Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Mercedes-Benz EQS guna bateri solid-state prototaip lengkapkan perjalanan 1,205 km satu cas penuh

    Mercedes-Benz EQS guna bateri solid-state prototaip lengkapkan perjalanan 1,205 km satu cas penuh

    Mercedes-Benz berjaya menguji sebuah model EQS yang dilengkapi dengan bateri solid-state prototaip, mencatat jarak perjalanan sejauh 1,205 kilometer dengan hanya satu cas penuh. Perjalanan tersebut bermula dari Stuttgart, Jerman, merentasi Denmark dan berakhir di Malmo, Sweden — tanpa sebarang pengecasan semula sepanjang laluan.

    Menurut kenyataan pihak Mercedes-Benz, kenderaan itu masih mempunyai baki jarak sekitar 137 km sebelum baterinya benar-benar habis. Sebagai perbandingan, EQS450+ versi produksi biasa dengan bateri 118 kWh hanya mampu mencapai jarak maksimum sekitar 822 km mengikut piawaian ujian WLTP.

    Pencapaian ini dibuat selepas pengumuman awal Mercedes-Benz pada Februari lalu bahawa mereka telah memulakan ujian jalan raya bagi teknologi bateri solid-state. Teknologi ini dibangunkan bersama Mercedes-AMG High Performance Powertrains (HPP), anak syarikat milik penuh Mercedes-Benz Group yang berpangkalan di Brixworth, United Kingdom dan pakar dalam teknologi Formula 1.

    Mercedes-Benz EQS guna bateri solid-state prototaip lengkapkan perjalanan 1,205 km satu cas penuh

    Perjalanan ini merupakan sebahagian daripada program pengesahan menyeluruh bagi teknologi bateri solid-state yang sedang dijalankan oleh Mercedes-Benz. Tujuannya adalah untuk menilai prestasi kenderaan secara keseluruhan dalam pelbagai keadaan cuaca dan jenis laluan, sekaligus mempercepatkan proses membawa teknologi ini ke tahap pengeluaran massa.

    Ketua Pegawai Teknologi Mercedes-Benz Group, Markus Schafer berkata bahawa bateri solid-state ini merupakan satu lonjakan besar dalam mobiliti elektrik. Katanya, kejayaan pemanduan jarak jauh ini membuktikan bahawa teknologi ini bukan sahaja berkesan di makmal, tetapi juga di atas jalan raya sebenar. Mercedes-Benz mensasarkan untuk memperkenalkan inovasi ini dalam model pengeluaran menjelang penghujung dekad ini, menawarkan kepada pelanggan jarak perjalanan jauh serta keselesaan baru.

    Bateri solid-state yang diuji menggunakan sel dari syarikat Amerika Syarikat, Factorial Energy. Walaupun saiz dan beratnya setanding dengan bateri biasa dalam EQS sedia ada, ia menawarkan peningkatan jarak penggunaan sehingga 25%. Tambahan pula, kecekapan tenaga dipertingkatkan melalui sistem penyejukan aliran udara pasif.

    Mercedes-Benz EQS guna bateri solid-state prototaip lengkapkan perjalanan 1,205 km satu cas penuh

    Antara kelebihan utama bateri solid-state berbanding bateri lithium-ion konvensional termasuk tahap keselamatan sel yang lebih baik kerana menggunakan elektrolit pepejal dan bukan cecair, serta membolehkan penggunaan anod baru seperti logam lithium. Ini juga menyumbang kepada prestasi yang lebih tinggi, termasuk ketumpatan tenaga yang lebih besar.

    Mercedes-Benz menyifatkan pencapaian ini sebagai satu penanda aras penting dalam pembangunan bateri solid-state dan menunjukkan potensi besar teknologi ini untuk digunakan dalam kenderaan produksi masa hadapan. Seperti yang ditegaskan oleh Schafer, Mercedes-Benz komited untuk membawa inovasi ini kepada model pengeluaran menjelang akhir dekad.

     
     
  • Mercedes-Benz C200 AMG Line dilancar di Malaysia – CKD, pengayaan AMG dengan rim 19-inci, RM293k

    Mercedes-Benz C200 AMG Line dilancar di Malaysia – CKD, pengayaan AMG dengan rim 19-inci, RM293k

    Selain dari dua model AMG sebenar iaitu Mercedes-AMG CLE53 dan Mercedes-AMG CLA45S 4Matic+ Final Edition yang dilancarkan hari ini, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) turut melancarkan satu lagi model iaitu Mercedes-Benz C200 AMG Line. Model dengan penggayaan lebih sporty ini menggantikan model C200 Avantgarde sebelum ini, masih lagi dipasang secara tempatan (CKD) dan dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM292,888.

    Mercedes-Benz C200 AMG Line pasaran Malaysia ini menerima bampar hadapan dengan apron AMG yang menampilkan liang kemasukan udara lebih besar, apron belakang dengan bahagian bawah seperti diffuser serta menempatkan dua tip ekzos, rim aloi 19-inci (1-inci lebih besar dari varian C350e) serta sistem brek yang dipertingkat menerusi pemandanan cakera dan angkup lebih besar dengan cetakan skrip ‘Mercedes-Benz’ pada angkup berkenaan.

    Pada bahagian dalaman pula ia diberikan roda stereng rata di bawah yang dibalut dengan kulit Nappa, pedal aloi sports AMG dan juga karpet AMG. Ia turut menerima beberapa kelengkapan lebih tinggi seperti varian C350e yang lebih mahal, antaranya Parking Package dengan kamera 360 darjah yang memberikan pandangan mata burung dari empat kamera yang terletak di hadapan, kedua-dua sisi dan belakang. Model ini juga diberikan USB Package Plus yang menampilkan enam port USB Type-C dan juga dua soket 12-volt.

    Tiada perubahan pada unit rangkaian kuasa di mana C200 ini masih digerakkan oleh enjin 1.5 liter empat silinder turbo berkuasa 205 PS/300 Nm, dengan sistem hibrid ringkas 48-volt yang membekalkan unit starter generator yang memberikan tujahan sementara 23 PS/200 Nm. Enjin ini juga masih digandingkan dengan kotak gear automatik sembilan kelajuan 9G-Tronic.

    Perincian lain yang turut diberikan termasuk suspensi Agility, Dynamic Select, lampu hadapan LED High Performance dengan bantuan lampu tinggi adaptif, tempat duduk hadapan larasan berkuasa dengan fungsi memori, pengecas telefon pintar tanpa wayar, upholsteri kulit sintetik Artico, sistem penghawa dingin Thermatic, lampu suasana kabin, but belakang dengan fungsi bukaan tanpa sentuh, skrin sesentuh untuk sistem infotainmen bersaiz 11.9-inci dan juga paparan instrumen digital dengan skrin 12.3-inci.

     
     
  • Leapmotor B05/Lafa 5 buat penampilan pertama di Munich Motor Show – EV hatch untuk pasaran sedunia

    Leapmotor B05/Lafa 5 buat penampilan pertama di Munich Motor Show – EV hatch untuk pasaran sedunia

    Leapmotor secara rasmi memperkenalkan model terbaru mereka, Leapmotor B05, di acara IAA Mobility 2025 yang berlangsung di Munich, Jerman. Model ini turut dikenali dengan nama Lafa 5 di beberapa pasaran seperti China.

    B05 hadir sebagai sebuah hatchback elektrik segmen C dan dibangunkan khas untuk pasaran global, termasuk Eropah. Menurut ketua pegawai eksekutif Leapmotor, Zhu Jiangming, model ini mencerminkan komitmen syarikat terhadap inovasi, kebolehcapaian dan memperkasakan generasi pemandu baru di seluruh dunia.

    Dari segi dimensi, B05 mencatat ukuran 4,430 mm panjang, 1,880 mm lebar dan 1,520 mm tinggi, dengan jarak antara roda sepanjang 2,735 mm. Saiz ini meletakkannya setanding dengan Volkswagen ID.3 dan juga Volkswagen Golf generasi kelapan.

    Leapmotor B05/Lafa 5 buat penampilan pertama di Munich Motor Show – EV hatch untuk pasaran sedunia

    Walaupun butiran teknikal penuh masih belum diumumkan, B05 dibina menggunakan platform modular LEAP 3.5 sama seperti yang digunakan pada SUV B10. Maka, tidak mustahil jika B05 akan berkongsi pilihan penggerak dengan model tersebut.

    Sebagai rujukan, B10 ditawarkan dengan motor elektrik tunggal berkuasa 179 PS dan 175 Nm, digandingkan dengan bateri LFP 56.2 kWh yang menawarkan jarak sekitar 420 km mengikut standard WLTP. Selain itu, versi dengan motor lebih berkuasa, 218 PS dan 240 Nm serta bateri lebih besar 67.1 kWh juga disediakan, mampu mencapai jarak sekitar 490 km WLTP – konfigurasi ini dijangka turut tersedia pada B05.

    Rekaan luaran B05 memperlihatkan elemen moden seperti lampu hadapan dan belakang penuh lebar, pemegang pintu jenis rata serta rim aloi bersaiz 19 inci yang dipadankan dengan tayar 225/45R19. Sesetengah varian juga dilengkapi penderia Lidar di atas bumbung, tetapi unit berwarna kuning yang dipamerkan ini tidak memilikinya.

    Bahagian dalam kenderaan masih belum didedahkan, namun dijangka menampilkan susun atur seperti model SUV B10, termasuk paparan kluster digital 8.8 inci dan skrin infotainmen bersaiz 14.6 inci yang dijalankan oleh sistem operasi Leapmotor.

    Dengan pelancaran perdananya di Munich, Leapmotor menunjukkan kemahuan untuk menembusi pasaran Eropah dan luar China. Menurut laporan Autocar, model ini dijangka memasuki pasaran United Kingdom seawal tahun 2027, dengan harga anggaran bermula sekitar £27,000 atau kira-kira RM154,000.

     
     
  • Mercedes-AMG CLA45S 4Matic+ Final Edition dilancar di Malaysia – edisi khas ‘selamat tinggal’, RM534k

    Mercedes-AMG CLA45S 4Matic+ Final Edition dilancar di Malaysia – edisi khas ‘selamat tinggal’, RM534k

    Selain dari Mercedes-AMG CLE53, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) turut melancarkan satu lagi coupe prestasi hari ini iaitu Mercedes-AMG CLA45S 4Matic+ Final Edition. Seperti namanya, ini adalah model edisi terhad untuk mengucapkan selamat tinggal kepada model generasi sedia ada, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM538,888.

    Ini bermakna model edisi khas tersebut dijual pada harga RM11,000 lebih mahal berbanding CLA45S AMG biasa yang dijual pada harga RM 527,888. Tambahan harga berkenaan memberikan beberapa perincian unik pada bahagian luaran versi Final Edition ini.

    Perincian tersebut termasuk AMG Night Package II yang diberikan secara standard, menampilkan gril hadapan AMG yang digelapkan sepenuhnya serta emblem, logo dan lencana sekeliling badan yang datang dalam kemasan krom gelap. Ia juga diberikan penutup pengisi petrol AMG dalam kemasan perak krom. Model edisi khas ini juga hanya ditawarkan dalam dua warna badan Manufaktur istimewa iaitu Alpine Grey Solid dan juga Patagonia Red Metallic.

    Mercedes-AMG CLA45S 4Matic+ Final Edition dilancar di Malaysia – edisi khas ‘selamat tinggal’, RM534k

    Selain dari itu Mercedes-AMG CLA45S 4Matic+ Final Edition ini masih menampilkan perincian yang sama seperti model biasa. Ia termasuk AMG Night Package I dan AMG Aerodynamics Package yang menampilkan splitter udara pada bampar hadapan, penutup cermin sisi, kemasan sekeliling tingkap dan juga kemasan tip ekzos yang kesemuanya datang dalam kemasan hitam berkilat. Ia juga menerima rim aloi AMG 19-inci juga dalam kemasan hitam berkilat dengan jalur sekeliling yang digilap.

    Perincian luaran standard lain yang turut dibekalkan termasuk lampu hadapan LED Multibeam dengan fungsi Adaptive Highbeam Assist Plus, bumbung suria panaromik, lampu sekeliling bersama lampu yang memancarkan logo bintang Mercedes-Benz.

    Manakala pada sebelah dalam, model ini menerima roda stereng AMG Performance dengan butang kawalan AMG balutan kulit Nappa serta gentian mikro Microcut, tempat duduk bucket hadapan AMG Performance kawalan elektrik dengan fungsi memori dan pemanas yang dibalut kulit sintetik Artico dan Microcut, serta tali pinggang keledar berwarna merah. Ia juga menerima sistem penghawa dingin automatik Thermotronic, lampu suasana 64-warna, cermin pandang belakang auto-malap, kemasan bendul bernyala AMG, karpet AMG dan lain-lain.

    Mercedes-AMG CLA45S 4Matic+ Final Edition dilancar di Malaysia – edisi khas ‘selamat tinggal’, RM534k

    Tiada perubahan pada unit rangkaian kuasa pada model edisi khas ini. Ia masih dijana oleh enjin petrol turbo M139 2.0 liter empat-silinder sebaris berkuasa 421 PS pada takat 6,750 rpm dan tork maksima 500 Nm bermula 5,000 hingga 5,250 rpm. Digandingkan dengan kotak gear klac-berkembar automatik lapan-kelajuan AMG Speedshift 8G dan juga sistem pacuan semua roda 4Matic+. Ini membolehkan jentera ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.1 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 270 km/j.

    Untuk keselamatan pula ia diberikan Pakej Bantuan Pemandu yang merangkumi fungsi Active Distance Assist Distronic, Active Blind Spot Assist, Active Lane Keeping Assist, dan Active Brake Assist, bersama Active Parking Assist dengan kamera 360-darjah. Turut diberikan ialah Guard 360 Vehicle Protection Plus.

    Setiap pembelian Mercedes-AMG CLA45S 4Matic+ Final Edition ini akan dilindungi oleh waranti selama empat-tahun tanpa had perbatuan.

    GALERI: Gambar rasmi Mercedes-AMG CLA45S 4Matic+ Final Edition pasaran Malaysia

     
     
  • Volvo XC60 2026 facelift dibuka tempahan di M’sia — anggaran harga B5 Core RM334k, T8 Ultra RM368k

    Volvo XC60 2026 facelift dibuka tempahan di M’sia — anggaran harga B5 Core RM334k, T8 Ultra RM368k

    Mula diperkenalkan di peringkat global pada Februari lalu, Volvo XC60 facelift kini tiba di Malaysia. Sama seperti sebelumnya, model berkenaan ditawarkan dalam dua varian, dan melibatkan kemaskini terhadap sistem nama yang digunakan. Dua varian berkenaan B5 AWD Core (sebelum ini B5 AWD Plus) dan T8 AWD Ultra (sebelum ini T8 AWD Ultimate) kini tampil dengan harga anggaran masing-masing dengan RM333,888 dan RM367,888 — tanda harga yang lebih mahal berbanding sebelumnya.

    Model Volvo yang paling laris di Malaysia ini menerima perubahan dari segi rekaan melibatkan bahagian gril yang mirip digunakan oleh XC90 versi facelift terbaru, yang diperkenalkan April lalu. Gril dengan corak mesh itu berada di tengah lampu utama LED yang mengekalkan rekaaan DRL Thor’s Hammer seperti sebelumnya. Perubahan minor lainnya untuk luaran ialah lampu belakang gelap, dengan bahagian bampar dan rekaan umum lainnya masih kekal sama.

    Di dalam, perubahan paling besar ialah penggunaan skrin sentuh 11.2-inci yang lebih besar yang terletak di papan pemukanya. Ciri ini juga menampilkan perisian baru untuk antaramuka pengguna, dengan Google binaan dalam yang membolehkan capaian ke atas pelbagai aplikasi dan servis dalam talian — ini dikuasakan oleh cip Qualcomm Snapdragon Cockpit Platform.

    Volvo XC60 2026 facelift dibuka tempahan di M’sia — anggaran harga B5 Core RM334k, T8 Ultra RM368k

    Bagi janaan kuasa, dua varian tersebut dikuasakan oleh enjin petrol 2.0 liter turbocas yang digandingkan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan. Varian B5 AWD Core merupakan varian mild-hybrid, dengan enjinnya sahaja mampu menghasilkan 249 PS dan 350 Nm tork.

    Turut membantu sistem janaan ini ialah bateri 48-volt dan integrated starter generator (ISG), yang menjana sebanyak 14 PS dan 40 Nm dan ditempatkan di antara enjin dan kotak gear untuk menyumbang kepada output keseluruhan sistem 263 PS dan 390 Nm. Varian paling rendah ini memerlukan 6.9 saat untuk memecut dari 0-100 km/j dan mampu memberikan kadar penggunaan minyak 7.6 liter per 100 km.

    T8 AWD Ultra plug-in hybrid juga merupakan varian dengan pacuan semua roda, dengan tetapan motor elektrik di belakang yang menghasilkan janaan 145 PS dan 309 Nm. Ini digabungkan dengan enjin yang menjana sebanyak 317 PS dan 400 Nm, yang memberikan janaan keseluruhan sistem sebanyak 462 PS dan 709 Nm. Varian yang lebih tinggi ini memecut dari 0-100 km/j dengan lebih pantas, dalam 4.8 saat dan menggunakan hanya sedikit minyak: 1.6 liter per 100 km.

    Volvo XC60 2026 facelift dibuka tempahan di M’sia — anggaran harga B5 Core RM334k, T8 Ultra RM368k

    Dalam mod elektrik sepenuhnya, T8 AWD Ultra boleh memberikan jarak sehingga 89 km WLTP. Ini lebih daripada sebelumnya, yang hanya memberikan 81 km — ini disumbangkan oleh bateri yang hadir dengan kapasiti nominal yang lebih tinggi dengan 19 kWj (sebelum ini 18.8 kWj). Kedua-dua varian ini juga hadir dengan tangki petrol berkapasiti 71 liter, dan mampu mencapai kelajuan maksimum yang dihadkan kepada 180 km/j.

    Kelengkapan standard yang ada termasuklah rim 19-inci lima-jejari dalam penyudah hitam berkilat dengan tayar bersaiz 235/55, kluster instrumen digital 12.3-inci, skrin sentuh untuk infotainmen dengan saiz 11.2-inci, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, pengecas telefon tanpa wayar, kerusi depan larasan kuasa dengan fungsi memori untuk sebelah pemandu, pintu barangan belakang tanpa kendalian tangan, kawalan pendingin dua-zon dengan sensor PM2.5 serta bumbung panoramik larasan kuasa.

    Untuk suspensi udara, ia hanya ditawarkan untuk varian yang paling tinggi, begitu juga dengan ciri head-up display, sistem audio Bowers & Wilkins dengan 15-pembesar suara, fungsi memori untuk kerusi penumpang depan, lebih larasan sokongan lumbar (empat-arah berbanding dua-arah) serta lanjutan kusyen dengan larasan kuasa.

    Semua varian XC60 terbaru ini menerima ciri keselamatan yang sama dan lengkap, yang antaranya terdiri daripada penghindar perlanggaran, amaran perlanggaran belakang, bantuan mengekalkan lorong, penghindar tersasar jalan, peninjau titik buta dengan bantuan stereng, amaran lintasan trafik dengan brek automatik, Pilot Assist dan sistem kamera 360-darjah.

    Pilihan warna yang tersedia pula ialah Crystal White, Onyx Black, Denim Blue dan Forest Lake, dengan warna kabin standard Charocal yang digabungkan dengan balutan vynil Nordico dalam warna Cardamom atau Charcoal. Perincian kemasan Natural Driftwood juga disertakan untuk varian plug-in hybrid, sementara versi mild-hybrid menggunakan kemasan Metal Mesh.

    Seperti sebelumnya, XC60 terbaru ini adalah model CKD dari kilang Volvo Car Manufacturing Malaysia di Shah Alam. Ia hadir dengan jaminan lima-tahun, tanpa had perbatuan, dengan versi plug-in hybrid turut menerima jaminan lapan-tahun/160,000 km untuk baterinya.

     
     
  • Hyundai Concept Three beri gambaran untuk Ioniq 3 – EV berasaskan Kia EV3, lawan VW ID.3, BYD Dolphin

    Hyundai Concept Three beri gambaran untuk Ioniq 3 – EV berasaskan Kia EV3, lawan VW ID.3, BYD Dolphin

    Hyundai memperkenalkan model konsep terbaru mereka yang dinamakan Concept Three di Munich Motor Show, menandakan langkah pertama jenama Ioniq ke dalam segmen kereta elektrik kompak. Model ini dijangka menjadi asas kepada Ioniq 3, sebuah hatchback lima pintu yang bakal bersaing dengan model seperti Volkswagen ID.3 dan BYD Dolphin.

    Dari segi reka bentuk, Concept Three menampilkan gaya yang berani dan unik. Garis bumbung yang menurun ke belakang serta rekaan badan yang condong ke arah kabin belakang memberi bayangan sporty dan moden. Warna kelabu matte “Tungsten Grey” dengan kemasan anodised menambah karakter pada penampilan luarannya, yang diserlahkan lagi dengan lampu siang LED nipis dan lampu belakang penuh lebar yang menggunakan tema piksel – satu elemen rekaan ikonik Hyundai.

    Kereta konsep ini turut menggunakan kamera bagi menggantikan cermin sisi biasa, disertakan dengan rekaan diffuser belakang yang memaparkan tulisan unik, “May the downforce be with you”, satu rujukan kepada francais Star Wars. Reka bentuknya yang kelihatan seperti mainan Hot Wheels bersaiz besar memberi identiti tersendiri kepada model ini.

    Hyundai Concept Three beri gambaran untuk Ioniq 3 – EV berasaskan Kia EV3, lawan VW ID.3, BYD Dolphin

    Bahagian dalamannya pula hadir dengan tema kelabu dan kuning, tempat duduk berbentuk seperti telur dan stereng empat segi dengan satu jejari di bawah. Panel instrumen digital memaparkan rekaan piksel dan boleh diubah suai mengikut gaya hidup pengguna melalui widget khas. Watak maskot maya bernama Mr. Pix turut kelihatan pada skrin dan beberapa elemen tersembunyi di dalam dan luar kereta.

    Dari segi saiz, Concept Three berukuran 4,287 mm panjang, 1,940 mm lebar dan 1,428 mm tinggi, dengan jarak roda 2,722 mm – lebih panjang sedikit berbanding Kia EV3, yang menggunakan platform E-GMP sama. Meskipun maklumat teknikal rasmi belum didedah, model produksi Ioniq 3 dijangka menggunakan konfigurasi motor hadapan tunggal 204 PS serta dua pilihan bateri – 58.3 kWh dengan jarak pemanduan 436 km, atau 81.4 kWh yang mampu mencapai sehingga 605 km mengikut piawaian WLTP.

    Hyundai Concept Three beri gambaran untuk Ioniq 3 – EV berasaskan Kia EV3, lawan VW ID.3, BYD Dolphin

    Walaubagaimanapun, tidak seperti Ioniq 5 dan 6 yang menggunakan sistem pengecasan pantas 800 volt, Ioniq 3 dijangka hanya menyokong sistem 400 volt, sama seperti EV3 dan EV4. Ini bermakna masa pengecasan dari 10% ke 80% dijangka sekitar 29 hingga 31 minit, bergantung kepada saiz bateri.

    Hyundai menyasarkan untuk melancarkan 21 model EV menjelang tahun 2030, dengan setiap model dalam barisan mereka akan mempunyai versi elektrifikasi menjelang 2027. Namun, buat masa ini, tiada perancangan untuk membawa Ioniq 3 atau mana-mana EV baru Hyundai ke pasaran Malaysia

     
     
  • Mercedes-AMG CLE53 4Matic+ Coupe dilancar di Malaysia – RM723k, 449 PS/560 Nm, 0-100 km/j 4.2s

    Mercedes-AMG CLE53 4Matic+ Coupe dilancar di Malaysia – RM723k, 449 PS/560 Nm, 0-100 km/j 4.2s

    Selepas Mercedes-Benz CLE300 dibawa ke pasaran tempatan pada Mei tahun lalu, hari ini secara Mercedes-Benz Malaysia (MBM) melancarkan pula coupe berkenaan dalam versi prestasi sebenar dengan lencana AMG – ini dia Mercedes-AMG CLE53 4Matic+ Coupe secara rasminya dijual pada pasaran tempatan.

    Ia dijual pada harga atas tanpa insuran dengan cukai jualan RM722,888, dan setiap pembelian akan dilindungi oleh waranti selama empat-tahun tanpa had perbatuan.

    Berbanding CLE300 yang digerakkan oleh enjin M256 2.0 liter turbo empat-silinder sebaris petrol yang menghasilkan 259 PS/400 Nm, perut CLE53 AMG ini pula disumbat dengan enjin turbo 3.0 liter enam silinder sebaris yang dikenali sebagai enjin M256M, iaitu unit M256 yang telah dipertingkat.

    Antara peningkatan yang dibuat adalah termasuk kepala silinder yang direka dengan kebuk pembakaran lebih optima melibatkan port masuk campuran udara-bahan api dan port ekzos yang direka semula, gegelang omboh baharu, sistem suntikan bahan api yang turut dioptimakan, serta pengecas turbo juga baharu.

    Mercedes-AMG CLE53 4Matic+ Coupe dilancar di Malaysia – RM723k, 449 PS/560 Nm, 0-100 km/j 4.2s

    Oleh itu enjin ini mampu menghasilkan kuasa 449 PS bermula 5,800 hingga 6,100 rpm dan tork maksima 560 Nm bermula 2,200 hingga 5,000 rpm. Tak cukup dengan itu, ia turut diberikan satu lagi pemampat udara elektrik yang menambah tekanan boost sebanyak 0.4 bar kepada 1.5 bar dalam mod overboost, memberikan tork puncak 600 Nm selama 12 saat.

    Ia digandingkan dengan kotak gear automatik sembilan kelajuan AMG Speedshift TCT 9G yang bukan sahaja berfungsi menyalurkan kuasa putaran enjin ke gandar, malah ia turut menerima unit starter generator yang bersepadu (ISG) di dalamnya, memberikan kuasa tambahan sehingga 23 PS/205 Nm ketika memecut, bertindak sebagai salah satu komponen sistem hibird ringkas 48-volt CLE53 ini, yang turut memberikan fungsi start-stop yang lebih lancar.

    Model ini juga menerima sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic+ yang mengagihkan tork pada gandar belakang dan hadapan secara bervariasi mengikut situasi. Gandingan semua unit rangkaian kuasa ini membolehkan Mercedes-AMG CLE53 memecut dari pegun hingga 100 km/j dalam masa 4.2 saat. Kelajuan maksima dihadkan pada 250 km/j, namun model pasaran Malaysia ini datang standard dengan AMG Driver’s Package membolehkan ia mencapai kelajuan maksima 270 km/j.

    CLE53 juga datang dengan suspensi AMG Ride Control yang menggunakan spring lingkaran serta penyerap boleh laras adaptif yang mempunyai pilihan tiga mod iaitu Comfort, Sport and Sport+. Ia turut dipadankan dengan sistem stereng sensitif-kelajuan tiga peringkat AMG bersama stereng untuk gandar belakang yang mampu memberikan putaran sehingga sudut maksima 2.5 darjah.

    Mercedes-AMG CLE53 4Matic+ Coupe dilancar di Malaysia – RM723k, 449 PS/560 Nm, 0-100 km/j 4.2s

    Manakala untuk memberhentikan coupe ini, ia menerima sistem brek terdiri dari cakera berliang 370 mm bersama angkup empat omboh di hadapan dan juga cakera 360 mm dengan satu angkup omboh tunggal terapung di belakang.

    Model pasaran Malaysia ini juga datang dengan pakej AMG Dynamic Plus secara standard, menampilkan mod pemanduan Race yang turut memberikan mod drift. Pakej ini juga datang sekali dengan roda stereng prestasi AMG yang dibalut dengan Artico seperti kulit Nappa dan diberikan butang kawalan program pemanduan serta tetapan dinamik lain, angkup brek warna merah dengan tulisan AMG serta cagak enjin aktif.

    Sudah tentu rupa luaran CLE53 AMG ini tampil lebih agresif berbanding CLE300 biasa. Rupa lebih ganas tersebut disumbangkan dari bampar dengan rekaan pengalir udara yang lebih besar serta keempat-empat fender yang lebih lebar bagi menempatkan rim aloi AMG 20-inci dengan tetapan jarak trek roda 58 mm lebih lebar di hadapan dan 75 mm lebih lebar di belakang.

    Model pasaran Malaysia ini diberikan standard dengan AMG Night Package I yang menampilkan kemasan hitam berkilat pada jalur kemasan pada apron hadapan AMG, penutup cermin sisi dan kemasan tip ekzos. AMG Night Package II juga diberikan standard dengan perincian dalam kemasan krom gelap pada gril hadapan dan juga emblem-emblem sekeliling badan.

    Mercedes-AMG CLE53 4Matic+ Coupe dilancar di Malaysia – RM723k, 449 PS/560 Nm, 0-100 km/j 4.2s

    Selain itu ia juga diberikan AMG Exterior Carbon-Fibre Package I juga secara standard, memberikan jalur kemasan pada apron hadapan AMG, kemasan sisi dan juga kemasan pada apron belakang, semuanya diperbuat dari material gentian karbon.

    Perincian luaran lain yang turut dipadankan pada CLE53 AMG pasaran Malaysia ini adalah termasuk lampu hadapan Digital Light dengan fungsi lampu tinggi adaptif, lip spoiler AMG, bumbung kaca panaromik dan lampu suasana yang memancarkan logo Mercedes-Benz.

    Kabin CLE53 ini juga disuntik dengan lebih banyak elemen perlumbaan. Ia masih menerima sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) yang menampilkan skrin sesentuh 11.9-inci di tengah dan paparan instrumen digital dengan skrin 12.3-inci, di mana kedua-duanya menerima pelbagai fungsi khas serta grafik paparan AMG dan juga AMG Track Pace.

    Ia dihubungkan kepada sistem bunyi sekeliling 3D Burmester, serta ditambah dengan perincian lain seperti paparan head-up dan juga penegcas telefon pintar tanpa wayar.

    Ia juga datang standard dengan tempat duduk prestasi AMG dengan fungsi larasan elektrik dan memori yang dibalut dengan upholsteri kulit sintetik Artico bersama serlahan-serlahan jahitan benang merah, tali pinggang yang juga berwarna merah, kemasan gentian karbon di beberapa bahagian, kemasan pada panel instrumen dengan upholsteri Artico yang nampak seperti kulit Nappa, karpet kaki AMG, kemasan bendul pintu bernyala AMG dan lain-lain.

    Manakala untuk keselamatan pula Mercedes-AMG CLE53 pasaran Malaysia ini diberikan Driving Assistance Package Plus yang menanpilkan fungsi seperti bantuan jarak Distronic, bantuan stereng aktif, bantuan titik buta aktif dan pelbagai lagi.

    Ia juga diberikan Parking Package dengan Memory Parking Assist bagi membantu pemandu memarkir kenderaan, dibantu oleh kamera 360 darjah dan bantuan parkir aktif dengan Parktronic. Sistem Guard 360° juga diberikan bagi menjaga keselamatan sekeliling kereta ini.

     
     
  • JPJ keluarkan 13,071 notis saman, sita 274 kenderaan menerusi Ops Khas Gempur Perdagangan sejak 1 Sept

    Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) telah mengeluarkan sejumlah 13,071 notis saman menerusi Ops Khas Gempur Perdagangan yang dilaksanakan di seluruh negara sejak 1 September lalu. Operasi yang akan berlangsung sehingga 31 Disember ini bertujuan untuk terus memperkukuh tindakan penguatkuasaan secara menyeluruh dengan pendekatan yang lebih tegas terhadap semua kenderaan perdagangan yang ingkar peraturan dan undang-undang jalan raya

    Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli bin Ma Hassan berkata setakat semalam, sebanyak 133,598 kenderaan telah diperiksa dan pihaknya juga telah menyita 274 buah kenderaan. Antara kesalahan yang direkodkan adalah tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL), Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada insurans, tiada Lesen Vokasional serta kesalahan teknikal yang lain.

    “Pihak JPJ akan terus melaksanakan tindakan penguatkuasaan secara tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana pemandu atau pemilik kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi ketetapan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) beserta Kaedah-kaedah di bawahnya, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 serta Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987.

    “Orang ramai diseru untuk melaporkan aduan berkaitan kesalahan yang melibatkan kenderaan perdagangan secara terus atau real time menggunakan aplikasi MyJPJ: e-Aduan@JPJ atau emel [email protected] beserta dengan butiran lengkap aduan,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • Moda Moca dilancarkan untuk pasaran Malaysia – skuter 108 cc dengan meter digital, harga RM3,988

    Moda Moca dilancarkan untuk pasaran Malaysia – skuter 108 cc dengan meter digital, harga RM3,988

    Selepas Sporter S dan Shifter 400X, MDua Motor Sdn Bhd kini melancarkan sebuah lagi skuter Moda, yang dipanggil sebagai Moca. Ia dijual pada harga RM3,988 tidak termasuk insurans, ditawarkan dalam tiga pilihan warna (oren, hitam dan biru), dan diberikan bersama jaminan dua tahun atau 20,000 km.

    Memacu skuter ini adalah enjin satu silinder empat strok SOHC 108 cc yang menggunakan sistem suntikan bahan api dan penyejukan udara, mampu menghasilkan kuasa maksimum 8.0 hp pada 7,500 rpm dan tork 8.5 Nm pada 6,500 rpm. Kuasa ini disampaikan kepada roda belakang melalui transmisi automatik CVT.

    Menghubungkan badan skuter ini dengan jalan adalah tetapan rim 10 inci depan dan belakang, dipegang oleh masing-masing fork teleskopik di hadapan dan satu penyerap hentak di belakang. Tinggi tempat duduk cuma 738 mm dan berat keseluruhan adalah 89 kg.

    Tugas menghentikan motosikal dilaksana tetapan brek cakera tunggal di hadapan, sementara di belakang menggunakan tetapan dram (tiada ABS). Memberi kemudahan kepada pengguna adalah sedikit ruang simpanan di bawah tempat duduk, cangkuk penggantung barang, ruang kaki luas, rak barangan belakang serta pemula enjin elektrik.

    Moca membawa penampilan ala skuter klasik dengan penggunaan lampu hadapan dan belakang berbentuk bulat, namun diterapkan dengan meter digital yang lebih moden, lengkap dengan paparan tahap bahan api, kelajuan, jam serta tahap rpm. Tangki bahan api berkapasiti 4.8 liter.

     
     
  • Pengenalan petrol Euro 5 ditangguh ke Sept 2026

    Pengenalan petrol Euro 5 ditangguh ke Sept 2026

    Seperti yang dilaporkan pada November 2024, Malaysia sepatutnya memperkenalkan petrol Euro 5 pada September 2025 dan dijangka mencapai spesifikasi penuh pada 2027 sebagai langkah penyelesaian jangka panjang dalam menjaga kualiti udara negara. Tetapi berdasarkan sepucuk surat daripada Jabatan Alam Sekitar (DOE) kepada syarikat petroleum utama di negara ini seperti yang diperoleh paultan.org dari sumber tertentu, nampaknya pelaksanaan petrol Euro 5 akan ditangguhkan selama setahun ke September 2026.

    Surat tersebut, bertarikh 2 September 2025, menyatakan bahawa kabinet telah bersetuju mengenainya melalui satu memorandum yang dibentangkan dalam mesyuarat kabinet pada 22 Ogos lalu. Walau bagaimana pun tiada alasan dinyatakan menerusi surat tersebut.

    “Penggunaan petrol Euro 5 adalah satu penyelesaian mampan yang akan memberi kesan positif kepada kualiti udara Malaysia. Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar (NRES) bersama DOE akan bekerjasama rapat dengan pihak industri bagi memastikan peralihan berjalan lancar,” kata bekas menteri NRES, Nik Nazmi Nik Ahmad pada November lalu. Beliau kini telah pun meletakkan jawatan.

    Pengenalan petrol Euro 5 dan diesel Euro 5 di Malaysia telah digazetkan pada tahun 2015 oleh NRES untuk diperkenalkan di stesen minyak pada 1 September 2025 dan September 2020. Diesel Euro 5 telah menggantikan gred Euro 2M pada April 2021.

    Kualiti petrol Euro 5 akan mematuhi piawaian baharu bagi sulfur dan plumbum, menurut kementerian pada masa itu. Ia juga menambah bahawa baki standard minimum untuk petrol Euro 5 seperti tekanan Reid Vapor, kandungan oksigen, benzena, olefin, aromatik dan banyak lagi akan dikuatkuasakan secara berperingkat sepanjang tahun 2026 dan 2027.

     
     
  • iCaur 03 2025 dilancarkan di Malaysia — dua varian, hingga 426 km jarak, 69.8 kWj; dari RM119,800

    iCaur 03 2025 dilancarkan di Malaysia — dua varian, hingga 426 km jarak, 69.8 kWj; dari RM119,800

    Selepas membuat penampilan umum di Malaysia ketika acara Malaysia Autoshow 2025 pada Mei lalu, iCaur 03 — yang sebelum itu turut ditunjuk di Malaysia sebagai Jaecoo J6 tahun lalu — kini dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia. Dua varian ditawarkan bagi model sulung iCaur ini, iaitu versi 2WD dengan harga RM119,800 dan juga versi iWD (Intelligent Wheel Drive) dengan harga RM129,800 — harga atas jalan belum termasuk insurans.

    SUV yang tampil dengan konsep rekaan i-Box ini mempunyai ukuran dimensi 4,406 mm panjang, 1,910 mm lebar dan 1,715 mm tinggi dengan jarak roda 2,715 mm — ini berada dalam dimensi saiz yang hampir sama dengan BYD Atto 3. SUV elektrik ini hadir denga berat 1,874 kg. SUV ini mempunyai sudut hadapan (approach angle) 28-darjah, sementara sudut berlepas (departure angle) di belakang 32-darjah. Kemampuan meredah air SUV ini adalah setinggi 600 mm.

    iCaur juga mendakwa model ini merupakan yang pertama dalam kelasnya yang menggunakan badan aluminium dan casis monocoque, dengan ciri perlindungan anti-karat hingga 30 tahun. Struktur berkenaan memberikan ketahanan torsional sebanyak 31,812 Nm — satu angka yang melebihi binaan sebahagian kereta sport moden.

    iCaur 03 2025 dilancarkan di Malaysia — dua varian, hingga 426 km jarak, 69.8 kWj; dari RM119,800

    Untuk sistem janaan kuasa, varian 03 2WD digerakkan oleh motor yang terletak di belakang dengan output 184 PS (181 hp atau 135 kW) dan tork 220 Nm. Motor berkenaan menerima bekalan kuasa daripada bateri lithium iron phosphate (LFP) 65.7 kWj, dan memberikan jarak perjalanan sehingga 426 km NEDC (355 km WLTP).

    Manakala 03 iWD pula dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda yang memanfaatkan dua unit motor — satu yang terletak di bahagian depan memberikan janaan 95 PS (94 hp atau 70 kW) dengan tork 165 Nm, sementara yang terletak di belakang hadir dengan unit untuk varian 2WD, dengan janaan kuasa 184 PS/220 Nm. Keseluruhannya, 03 iWD menghasilkan output sebanyak 279 PS (275 hp atau 205 kW) dan tork 385 Nm. Ini membolehkanya memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.5 saat, dan mencapai kelajuan maksimum 150 km/j.

    Bateri untuk varian 03 iWD hadir dengan kapasiti lebih besar, unit LFP dengan 69.8 kWj. Ini memberikan jarak perjalanan 418 km NEDC (atau 342 km WLTP — angka yang sama dengan jarak Jaecoo J6). Turut melindungi bateri ini ialah sistem bateri IPX8 4-lapis, yang terdiri daripada penebat seramik mica di atas yang tahan suhu tinggi dengan plat aluminium 10 mm di bahagian bawah, yang berfungsi untuk memberikan perlindungan ketika berada dalam keadaan ekstrim.

    iCaur 03 2025 dilancarkan di Malaysia — dua varian, hingga 426 km jarak, 69.8 kWj; dari RM119,800

    Untuk pengecasan, kedua-duanya membolehkan pengecasan pantas hingga 80 kW, dengan kadar dari 30% hingga 80% boleh dicapai dalam masa 30 minit. Untuk pengecasan AC, ia boleh dilakukan dalam kapasiti hingga 6.6 kW. Ia juga dilengkapi dengan sistem vehicle-to-load (V2L) 3.3 kW.

    Tidak ketinggalan ialah ciri iRoad yang menyediakan 10 pilihan mod pemanduan, serta digandingkan juga dengan suspensi belakang multi-link lengan-H untuk lebih daya tahan serta artikulasi gandar yang lebih bagus.

    Untuk ruang dalaman, ia antara lain dilengkapi dengan skrin sentuh infotainmen 15.6-inci HD di tengah yang dikuasakan oleh cip pemproses Qualcomm Snapdragon 8155. Ini dilengkapi oleh digital panel instrumen 9.2-inci, manakala sistem bunyi Infinity-nya datang dengan 12-pembesar suara (untuk varian iWD) — ada juga sokongan untuk sambungan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar.

    Antara kelengkapan lain yang tersedia termasuklah All View Monitor (AVM) 540-darjah, sistem peninjau tekanan tayar (TPMS), pengecas tanpa wayar 50W serta pengimbas NFC yang terletak di cermin sisi sebelah pemandu.

    Selain itu, ciri keselesaan lain yang tersedia termasuklah kerusi berliang dengan fungsi urut untuk dua kerusi di depan (untuk varian iWD). Ruang barangan yang tersedia adalah 450 liter, yang boleh ditambah menjadi 1,238 liter jika kerusi belakang direbahkan. Ruang storan tambahan seluas 40 liter juga tersedia di belakang untuk menyimban barangan kecil. Keseluruhannya ada 35 ruang kecil untuk simpanan barangan.

    Bagi aspek keselamatan, selain enam beg udara, iCaur 03 lengkap dengan fungsi ADAS Tahap 2 yang terdiri daripada ciri berikut:

    • Autonomous Emergency Braking (AEB)
    • Drive Away Info (DAI)
    • Front Collision Warning (FCW)
    • Emergency Lane Keeping (ELK)
    • Lane Departure Warning (LDW)
    • Rear Collision Warning (RCW)
    • Lane Departure Prevention (LDP)
    • Rear Cross Traffic Alert (RCTA)
    • Adaptive Cruise Control (ACC)
    • Traffic Jam Assist (TJA)
    • Blindspot Detection (BSD)
    • Door Opening Warning (DOW)

    iCaur 03 didatangkan dengan lima pilihan warna — perak, kelabu, putih, hitam dan Aurora Green sebagai warna hero. Ia juga ditawarkan dalam Black Phantom Edition yang boleh dipilih dengan tambahan kos RM20,000 — terdiri daripada bodykit luaran, kemasan hitam kesat, rak bumbung dan juga tangga sisi dan hanya untuk 100 unit sahaja.

    iCaur 03 datang dengan jaminan tujuh-tahun/150,000 km untuk kenderaan; jaminan lapan-tahun/160,000 km untuk bateri dan komponen elektrik dan pacuan; dan gantian bateri jika kapasitinya turun lebih rendah dari 70% dalam tempoh jaminan lapan-tahun tersebut.

    iCaur 03 2WD 2025

    iCaur 03 iWD 2025

    iCaur 03 iWD 2025 dengan aksesori

     
     
  • Lexus IS facelift 2026 didedah – IS 350 & IS 300h; muka lebih agresif, dalaman dan talaan pengendalian baharu

    Lexus IS facelift 2026 didedah – IS 350 & IS 300h; muka lebih agresif, dalaman dan talaan pengendalian baharu

    2025.07.31

    Jun lalu Lexus telahpun mendedahkan sedan sport Lexus IS 500 Climax Edition yang disifatkan sebagai edisi ‘selamat tinggal’. Namun ucapan ‘selamat tinggal’ berkenaan bukanlah untuk model generasi kedua yang telah berada di pasaran sejak 2013 ini, sebaliknya hanya untuk versi facelift kedua yang telah dijual sejak 2021 (facelift pertama diperkenal pada 2017). Jadi ini dia Lexus IS 2026, iaitu versi facelift ketiga untuk generasi ketiga.

    Buat permulaan, versi facelift ketiga ini ditawarkan dalam dua varian terlebih dahulu iaitu IS 350 dan IS 300h, manakala varian paling berkuasa IS 500 yang lazimnya datang dengan enjin V8 masih belum didedahkan. Fasa facelift kali ini memberi rombakan besar pada bahagian muka, di mana ia kini menerapkan rekaan jerung hammerhead terkini Toyota.

    Apa yang menarik, IS facelift 2026 ini sebenarnya masih menggunakan lampu hadapan yang sama seperti versi sebelum ini, dan perubahan yang dibuat cuma pada bahagian bampar hadapan yang menampilkan rekaan spindle separuh pada gril iaitu hanya pada bahagian bawah dan ia semakin lebar. Sementara gril atas tiada lagi rekaan spindle dan ia direka nipis bersama bahagian muncung yang tertutup serta diberikan logo Lexus di bahagian atas.

    Manakala di belakang, hampir kesemua bahagian masih nampak serupa. Apa yang berbeza logo ‘L’ pada bahagian tengah penutup but belakang kini diganti dengan skrip ‘LEXUS’. IS dengan penggayaan F Sport diberikan spoiler belakang lebih besar dan juga rim aluminium ringan bersaiz 19-inci baharu. Lapan warna badan disediakan termasuk Neutrino Grey, manakala angku brek boleh dipilih untuk dilayang dengan warna merah.

    Lexus IS facelift 2026 didedah – IS 350 & IS 300h; muka lebih agresif, dalaman dan talaan pengendalian baharu

    2025.07.31

    Pemadanan bampar hadapan baharu ini menyebabkan panjang keseluruhan IS 2026 ini sedikit meningkat iaitu sebanyak 10 mm kepada 4,720 mm. Manakala dimensi lain masih kekal dengan lebar 1,840 mm tinggi 1,435 mm hingga 1,440 mm, dan jarak roda pula adalah 2,800 mm.

    Pada bahagian dalaman, penyegaran dibuat menerusi pemadanan papan pemuka dengan rekaan baharu. Ia menampilkan paparan instrumen digital sepenuhnya dan juga skrin infotainmen di tengah di mana kedua-duannya berukuran 12.3-inci. Tiada lagi pad sesentuh kawalan infotainmen diletakkan pada konsol tengah kerana skrin baharu yang diberikan kini menampilkan fungsi sesentuh. Kawasan yang sama sekarang dihuni oleh suis putar kawalan bunyi audio dan juga kawalan liang udara dan pemanas tempat duduk.

    Papan pemuka baharu ini juga telah menyisihkan jam analog pada liang penghembus udara tengah bagi digantikan dengan suis lampu isyarat kecemasan. Suis-suis kawalan penghawa dingin juga kini lebih ringkas dan pemain CD di bawahnya juga sudah tiada, menjadikan bahagian tersebut lebih ringkas dan boleh menempat pad pengecas telefon pintar tanpa wayar.

    Selain itu IS facelift 2026 ini juga menerima roda stereng baharu, butang penghidup enjin yang dialih lebih rendah dari kedudukan sebelumnya, serta liang penghembus sisi kini berbentuk bersegi berbanding bulat sebelum ini. Lexus juga memberikan perapi-perapi ‘buluh buatan’ pada perumah suis penghidup enjin dan pada konsol tengah, serta tema warna kemasan dalaman yang digelar sebagai ‘Prominence’.

    Lexus IS facelift 2026 didedah – IS 350 & IS 300h; muka lebih agresif, dalaman dan talaan pengendalian baharu

    2025.07.31

    Bagi unit rangkaian kuasa, IS 350 ditawarkan dalam versi sama ada pacuan roda belakang dengan kotak gear lapan kelajuan automatik atau pacuan semua roda dengan transmisi automatik enam-kelajuan. Manakala varian IS 300h pula hanya ditawarkan dalam versi pacuan roda belakang dengan kotak gear CVT automatik.

    Lexus masih belum memperincikan enjin apa yang digunakan pada IS 2026 ini. Bagi versi terdahulu, IS 350 menerima enjin 3.5 liter V6 NA berkuasa 318 PS/380 Nm, manakala IS 300h pula digerakkan dengan enjin 2.5 liter NA empat-silinder sebaris dengan sistem hibrid elektrik menghasilkan kuasa keseluruhan 220 PS.

    Talaan dinamik bagi IS facelift ini juga dipertingkat. Untuk stereng, rak jenis sepaksi biasa sebelum ini ditukar dengan rak jenis sepaksi biasa diganti dengan sistem nisbah bervariasi serta dipadankan dengan motor stereng berkuasa elektrik (EPS) berinersia rendah bagi memberikan rasa stereng yang lebih linear dan lancar. Menurut Lexus, dengan rak nisbah bervariasi ini akan memberikan pengendalian yang lancar dalam lebih banyak situasi, dari pemanduan di jalan berliku dengan banyak selekoh berturut-turut sehinggalah kepada penukaran lorong pada kelajuan tinggi di lebuhraya.

    IS facelift ini masih menerima suspensi adaptif bervariasi (AVS), tetapi ia kini diberikan solenoid actuator bina-dalam baharu bagi menggantikan actuator jenis berperingkat, bagi memberikan respon daya serapan hentakan sekitar empat kali lebih baik.

    Manakala untuk keselamatan, IS facelift ini menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Lexus Safety System+ yang memberikan fungsi termasuk Bantuan Pemanduan Proaktif, yang membantu pemandu untuk memperlahankan kenderaan sekiranya mengesan kenderaan lain di hadapan atau mengesan laluan selekoh, tanpa perlu kerap menukar kedudukan kaki pada pedal kawalan. Ia juga memberikan sokongan putaran stereng yang berterusan ketika memandu dalam lorong.

    Lain-lain fungsi ADAS yang turut diberikan termasuk Pre-Collision System (PCS), cruise control adaptif, bantuan papan tanda jalan, sistem bantuan tukar lorong, Advanced Drive (bantuan ketika kesesakan trafik, dan lain-lain bagi membantu mengurangkan keletihan pemandu ketika memandu di lebuh raya.

     
     
  • 27 buah EV, hibrid terbakar di M’sia setakat Julai 2025

    27 buah EV, hibrid terbakar di M’sia setakat Julai 2025

    Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) telah merekodkan sebanyak 27 kes kebakaran melibatkan kenderaan EV dan hibrid sejak tahun 2023 hingga Julai tahun ini, dengan purata 10 kes setahun, lapor The Edge.

    “Bagi pihak Bomba, kebakaran EV adalah satu daripada cabaran terbesar kerana ia melibatkan tahap risiko yang tinggi ketika operasi memadamkan kebakaran. Penggunaan selimut api menjadi antara cara paling berkesan untuk memadamkan kebakaran EV, selain penggunaan air dan buih.” ujar Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman ​​Athirah Sabu di Dewan Negara, hari ini.

    Pernyataan itu adalah susulan daripada pertanyaan Senator Datuk Ahmad Ibrahim berkaitan adakah sebarang perancangan untuk membekalkan selimut api kepada stesen Bomba di bandar-bandar utama berikutan meningkatnya kes kebakaran melibatkan kenderaan EV dan hibrid. Aiman menjelaskan, sebanyak 318 unit selimut api bernilai RM915,000 telah dibeli tahun ini untuk diagihkan ke stesen bomba terpilih seluruh negara.

    “Sebagai tambahan, jabatan itu juga telah menerima 30 unit selimut api daripada Persatuan Kenderaan Sifar Emisi Malaysia (MyZEVA), yang telah diagihkan secara berperingkat bermula Disember 2024 hingga 13 Mei tahun ini,” ujar beliau, yang menambah bahawa agen penyejuk serta bekas rendaman menjadi antara alternatif yang turut dikaji oleh Bomba untuk menangani kebakaran EV.

    “Ketika ini, agen penyejuk yang digunakan oleh jabatan berkenaan bagi memadamkan kebakaran EV ialah air, yang bertujuan untuk mengurangkan tahap kepanasan bateri sekali gus menghindarkan api daripada merebak ke bahagian lain.

    “Penggunaan agen penyejuk lain seperti serbuk kering, agen pembersih serta gas lengai pula tidak sesuai untuk digunakan di kawasan terbuka kerana ia memerlukan kaedah rendaman menyeluruh untuk berfungsi dengan berkesan,” ujar beliau.

     
     
  • Porsche 911 Turbo S 2026 generasi 992.2 diperkenal – 911 produksi paling berkuasa, 711 PS, 0-100 2.5 saat

    Porsche 911 Turbo S 2026 generasi 992.2 diperkenal – 911 produksi paling berkuasa, 711 PS, 0-100 2.5 saat

    Porsche secara rasmi memperkenalkan model 911 paling berkuasa pernah dihasilkan setakat ini – Porsche 911 Turbo S generasi 992.2. Diperkenalkan di IAA Mobility Motor Show di Munich, model ini digambarkan sebagai kereta sports serba boleh yang terbaik dalam kelasnya.

    Ditawarkan dalam versi coupe dan cabriolet, 911 Turbo S bukan sahaja lebih laju, tetapi juga tampil dengan reka bentuk lebih garang, sistem aerodinamik yang diperbaiki, casis yang dioptimumkan dan kelengkapan yang lebih eksklusif.

    Menurut Frank Moser, timbalan presiden bagi model 911 dan 718, Turbo S generasi baru ini direka untuk menjadi lebih selesa, lebih tersendiri dan jauh lebih pantas berbanding model terdahulu, sama ada untuk kegunaan harian, perjalanan jauh atau di litar lumba.

    Perubahan paling ketara hadir pada bahagian enjin, yang kini turut menggunakan sistem elektrifikasi seperti model 911 Carrera GTS. Berbeza dengan GTS yang hanya mempunyai satu pengecas turbo elektrik (eTurbo), Turbo S datang dengan dua eTurbo khas yang direka bentuk semula untuk prestasi maksimum dan maklum balas lebih pantas. Ia digabungkan dengan sistem hibrid T-Hybrid 400V dan bateri 1.9 kWh.

    Porsche 911 Turbo S 2026 generasi 992.2 diperkenal – 911 produksi paling berkuasa, 711 PS, 0-100 2.5 saat

    Hasilnya, jantung mekanikal 3.6 liter enam silinder rata Turbo S ini mampu menjana 711 PS dan 800 Nm tork, menjadikannya 911 produksi paling berkuasa pernah dihasilkan. Tork maksimum boleh dicapai dari 2,300 hingga 6,000 rpm, manakala kuasa puncak penuh 711 PS hadir antara 6,500 hingga 7,000 rpm – peningkatan 61 PS berbanding enjin 3.8L Turbo S sebelum ini.

    Kuasa ini disalurkan melalui transmisi PDK 8-kelajuan yang turut menempatkan motor elektrik, memacu sistem pacuan semua roda. Ini membolehkan Turbo S Coupe memecut dari 0-100 km/j dalam hanya 2.5 saat, lebih pantas dua persepuluh saat berbanding sebelumnya.

    Pecutan 0-200 km/j pula hanya mengambil masa 8.4 saat, setengah saat lebih cepat, manakala kelajuan maksimum dicatat pada 322 km/j. Sebagai perbandingan, 911 GTS mencatatkan 540 PS, 610 Nm, 0-100 km/j dalam tiga saat dan kelajuan tertinggi 312 km/j.

    Walaupun menerima sistem hibrid baru, berat Turbo S hanya bertambah sekitar 85 kg berbanding model sebelumnya. Porsche turut mendedahkan bahawa jentera ini berjaya mencatat masa pusingan 7:03.92 minit di Nürburgring Nordschleife, iaitu 14 saat lebih pantas berbanding Turbo S generasi lama.

    Porsche 911 Turbo S 2026 generasi 992.2 diperkenal – 911 produksi paling berkuasa, 711 PS, 0-100 2.5 saat

    Dari sudut dinamik pemanduan, Turbo S ini hadir dengan tayar Pirelli P Zero R baru yang menawarkan cengkaman lebih baik di permukaan kering dan masih cemerlang di jalan basah. Tayar belakang kini 10 mm lebih lebar (325/30 ZR 21), manakala tayar depan kekal pada saiz 255/35 ZR 20.

    Sistem brek seramik komposit Porsche (PCCB) kini menggunakan pad brek baru dengan rasa pedal yang lebih baik, serta cakera brek belakang lebih besar (390 mm dinaikkan ke 410 mm; depan kekal 420 mm), menjadikannya sistem brek terbesar pernah dipasang pada model dua pintu Porsche.

    Aerodinamik aktif turut dipertingkat, termasuk flap penyejukan menegak di bahagian hadapan, diffuser hadapan aktif, spoiler hadapan boleh laras serta sayap belakang yang boleh ditarik keluar dan dimiringkan – sama seperti Turbo S terdahulu.

    Sistem ini bukan sahaja mengurangkan daya angkat, tetapi juga mengurangkan seretan mengikut situasi pemanduan. Porsche turut menyatakan bahawa dalam mod basah, diffuser hadapan akan ditutup untuk mengurangkan percikan air ke cakera brek hadapan, sekaligus meningkatkan kecekapan membrek dalam hujan.

    Porsche 911 Turbo S 2026 generasi 992.2 diperkenal – 911 produksi paling berkuasa, 711 PS, 0-100 2.5 saat

    Teknologi casis juga menerima peningkatan ketara dengan pengenalan sistem Porsche Dynamic Chassis Control (ehPDCC) yang dikawal secara elektro-hidraulik, dipacu oleh sistem elektrik berkuasa tinggi 400V. Sistem ini membantu mengurangkan olengan badan ketika mengambil selekoh dan meningkatkan kestabilan.

    Ia menggunakan cross-connected active coupling rod yang membina tekanan mengikut situasi pemanduan untuk memastikan kereta sentiasa seimbang – memberikan keseimbangan sempurna antara keselesaan, kestabilan dan ketangkasan.

    Untuk kemudahan tambahan, sistem lift axle depan turut disediakan sebagai pilihan, dan kini bertindak lebih pantas kerana integrasi sistem 400V. Turbo S generasi baru ini juga menerima sistem ekzos sport standard dengan peredam belakang dan tip titanium, menghasilkan bunyi yang lebih emosi dan unik. Sistem ekzos ini juga lebih ringan, menjimatkan 6.8 kg.

    Dari sudut penampilan, Turbo S ini memperkenalkan strategi reka bentuk “Turbo” merentas model Porsche lain. Elemen khas berwarna Turbonite, iaitu warna eksklusif untuk model Turbo, digunakan pada lambang Porsche, tulisan Turbo S, bahagian tengah rim dan sirip sayap belakang serta bingkai tingkap sisi.

    Porsche 911 Turbo S 2026 generasi 992.2 diperkenal – 911 produksi paling berkuasa, 711 PS, 0-100 2.5 saat

    Di dalam kabin, sentuhan Turbonite boleh dilihat pada panel pintu, stereng, papan pemuka, konsol tengah, jahitan hiasan, jam Sport Chrono serta kluster instrumen. Warna gelap ini juga digunakan pada tali pinggang keledar dan beberapa butang lain. Hiasan gentian karbon dengan trim neodyme serta pelapik bumbung mikrofiber berlubang dengan latar belakang hitam turut diperkenalkan.

    Tempat duduk standard adalah jenis Sports Seats Plus larasan 18-hala dengan memori dan tulisan “Turbo S” pada perehat kepala. Corak embossing eksklusif pada tempat duduk dan panel pintu diinspirasikan dari model 911 Turbo 930 klasik. Jika mahukan tempat duduk lebih sporty, tempat duduk ringan dari 911 GT3 juga ditawarkan untuk coupe.

    Menariknya, versi coupe dihantar sebagai kereta dua tempat duduk, tetapi tempat duduk belakang boleh dipasang tanpa caj tambahan. Versi cabriolet pula datang dalam konfigurasi 2+2. Pelanggan juga boleh memilih pelbagai pilihan penggayaan melalui Porsche Exclusive Manufaktur, termasuk lebih 100 pilihan warna luaran, bumbung gentian karbon dan lengan pengelap karbon yang 50% lebih ringan.

    Sebagai pelengkap, Porsche turut menawarkan jam tangan eksklusif Chronograph 911 Turbo S, dengan rekaan sepadan. Dihasilkan secara buatan tangan di Grenchen, Switzerland, jam ini menggunakan sarung titanium dengan salutan titanium karbida hitam dan kaliber Porsche Design WERK 01.200 yang disahkan COSC dengan fungsi flyback.

     
     
  • Polestar 5 diperkenal – EV dua motor dengan kuasa sehingga 884 PS/1,015 Nm, jarak gerah WLTP 670 km

    Polestar 5 diperkenal – EV dua motor dengan kuasa sehingga 884 PS/1,015 Nm, jarak gerah WLTP 670 km

    Setelah diperkenalkan sebagai model konsep pada tahun 2021, Polestar 5 kini akhirnya dilancarkan secara rasmi. Model gran tourer ini dibangunkan menggunakan platform aluminium khas Polestar sendiri yang dikenali sebagai Polestar Performance Architecture dan direka sebagai kereta 4+1 tempat duduk dengan dimensi yang agak besar – panjang 5,087 mm, lebar 2,015 mm, tinggi 1,425 mm dan jarak roda 3,054 mm.

    Polestar 5 hadir dengan sistem elektrik 800-volt, tetapan dua motor dan dua varian kuasa. Varian asas, Polestar 5 Dual Motor, menghasilkan 748 PS dan 812 Nm, membolehkannya memecut 0-100 km/j dalam masa 3.8 saat. Versi yang lebih berkuasa, Polestar 5 Performance pula menawarkan 884 PS dan 1,015 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam hanya 3.2 saat. Kelajuan maksimum kedua-dua model ini dihadkan pada 250 km/j.

    Kedua-dua varian menggunakan pek bateri lithium-ion NMC 112 kWh (106 kWh boleh guna) yang dibekalkan oleh SK On. Bateri ini menyokong pengecasan AC sehingga 11 kW, mengambil masa sekitar 11 jam untuk penuh dari kosong dan pengecasan pantas DC sehingga 350 kW yang mampu mengecas 10-80% dalam masa hanya 22 minit.

    Untuk jarak pemanduan, Polestar 5 Dual Motor menawarkan bacaan WLTP sejauh 670 km bagi satu cas penuh, manakala varian Performance yang lebih berkuasa mencatat jarak 565 km.

    Di bahagian suspensi, Polestar 5 menggunakan sistem jenis double wishbone di hadapan dan four-link di belakang. Varian Dual Motor dilengkapi penyerap hentak pasif dan spring gegelung, manakala versi Performance dilengkapi dengan sistem Magneride. Saiz rim berbeza mengikut varian – 20 dan 21 inci untuk Dual Motor, manakala Performance hadir dengan rim 21 dan 22 inci. Sistem brek menggunakan unit Brembo dengan angkup empat piston di bahagian depan.

    Reka bentuk luaran menampilkan lampu utama LED jenis dual-blade adaptive pixel dengan 12 segmen kawalan automatik bagi setiap lampu. Bahagian hadapan turut menempatkan sistem SmartZone ADAS yang mengandungi radar menghala ke depan manakala pemegang pintu dengan mekanisme bukaan elektrik akan muncul secara automatik apabila kereta dibuka. Bumbung panoramik yang digunakan berukuran dua meter panjang dan 1.25 meter lebar, dan ini adalah yang paling besar pernah digunakan pada mana-mana model Polestar setakat ini.

    Bahagian dalaman pula direka dengan perhatian seimbang untuk pemandu dan penumpang. Tempat duduk hadapan direka oleh Recaro dengan titik duduk rendah, menawarkan posisi pemanduan yang sedikit ke belakang. Paparan instrumen digital bersaiz sembilan inci dipasang pada kolum stereng yang boleh dilaras secara elektrik, manakala paparan HUD bersaiz 9.5 inci turut disediakan.

    Walaupun direka sebagai kereta 4+1 tempat duduk, Polestar 5 menumpukan keselesaan kepada empat penumpang utama. Tempat duduk belakang boleh direbahkan secara individu dan tempat letak tangan tengah dilengkapi kawalan penyaman udara. Ia juga boleh dinaikkan untuk digunakan sebagai tempat duduk kelima.

    Polestar 5 diperkenal – EV dua motor dengan kuasa sehingga 884 PS/1,015 Nm, jarak gerah WLTP 670 km

    Sistem infotainmen dikawal melalui skrin sesentuh menegak bersaiz 14.5 inci yang menggunakan sistem operasi Android Automotive khas Polestar, lengkap dengan Google binaan dalam. Dua pilihan sistem audio ditawarkan – sistem asas 10 pembesar suara 300 watt atau sistem premium Bowers & Wilkins dengan 21 pembesar suara, teknologi Tweeter-on-Top dan kuasa keseluruhan 1,680 watt.

    Kemasan dalaman menggunakan bahan MicroTech sebagai standard, manakala kulit Nappa daripada Bridge of Weir ditawarkan sebagai pilihan. Bahan kitar semula seperti Econyl digunakan untuk karpet, manakala kepala bumbung diperbuat daripada PET kitar semula. Bahagian atas pintu pula dilapisi fabrik knitted deco.

    Pencahayaan dalaman menggunakan jalur lampu laser dalam warna putih atau emas. Terdapat pad pengecasan tanpa wayar 15W serta empat port USB-C – dua di hadapan dan dua di belakang, semuanya 18W. Ruang but belakang juga dilengkapi dengan soket 12V.

    Sistem bantuan pemandu yang disediakan adalah lengkap, termasuk Understeer Control Logic, Electronic Stability Control, Trailer Stability Assist, Regenerative Stability Control, Adaptive Cruise Control, Pilot Assist, Lane Change Assist, Intelligent Speed Assist, serta sistem elak perlanggaran dan mitigasi dengan bantuan brek dan stereng. Sistem ini boleh mengesan kenderaan lain, penunggang basikal dan pejalan kaki.

    Ciri tambahan termasuk Forward Collision Warning, Lane Keeping Aid, Lane Departure Warning, Run-off Road Mitigation, Oncoming Lane Mitigation, Driver Alert Control, Rear Collision Warning, Cross Traffic Alert dengan bantuan brek, Road Sign Information, Blind Spot Information dengan bantuan stereng, Exit Assist dan Post-impact Braking.

    Polestar 5 kini telah mula dijual di pasaran Eropah dengan harga bermula daripada EUR 119,900 (sekitar RM591,406) untuk varian Dual Motor dan daripada EUR 142,900 (sekitar RM704,854) untuk varian Performance.

     
     
  • DBKL tawar kadar istimewa untuk saman trafik hingga 17 Sept 2025 – RM30 untuk kereta, motosikal RM10

    DBKL tawar kadar istimewa untuk saman trafik hingga 17 Sept 2025 – RM30 untuk kereta, motosikal RM10

    DBKL telah mengumumkan penawaran kadar istimewa untuk saman trafik sempena dengan Hari Merdeka yang ke-68 dan Hari Malaysia yang bakal disambut tidak lama lagi.

    Sedang berlangsung sehingga 17 September ini, ‘diskaun’ saman trafik bagi kereta ditawarkan pada kadar RM30 dan RM10 untuk motosikal. Jadi, jika anda mempunyai saman trafik tertunggak yang dikeluarkan oleh DBKL, inilah masa yang sesuai untuk melangsaikannya.

    Untuk pembayaran, anda boleh menggunakan platform dalam talian Pay@kl dan PBTPay atau pun terus berkunjung ke kaunter DBKL mahu pun menggunakan perkhidmatan Pos Malaysia.

    Bagi yang tidak tahu, PDRM juga sedang menawarkan diskaun saman sebanyak 50% sehingga 16 September ini. Ia hanya sah untuk pembayaran melalui aplikasi MyBayar PDRM menggunakan log masuk MyDigital ID, sekaligus memastikan kemudahan ini khusus kepada rakyat Malaysia.

     
     
  • Malaysia kini mempunyai lebih 4,100 pengecas EV

    Malaysia kini mempunyai lebih 4,100 pengecas EV

    Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan di Malaysia ketika ini sudah mempunyai sekurang-kurangnya 4,100 pengecas EV awam, lapor Bernama. Sasaran awal ialah untuk mempunyai sebanyak 10,000 pengecas EV menjelang hujung tahun 2025; dan menurut rangkaian pengecas EV PLANMalaysia menunjukkan sebanyak 4,161 unit telah tersedia setakat ini.

    “Di bawah perancangan mobiliti hijau, Malaysia kini sedang rancak memperluas ekosistem EV, dari prasarana pengecasan seluruh negara dan barisan kenderaan awam elektrifikasi hinggalah kepada pembentukan dasar untuk menggalakkan pengeluaran EV serta rantaian bekalan komponen tempatan,” ujarnya dalam ucapan perasmian Persidangan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (ICCHEE) 2025.

    Beliau menjelaskan bahawa matlamatnya bukan hanya untuk mengurangkan emisi karbon, tetapi untuk memposisikan negara sebagai hab serantau bagi mobiliti hijau dan mapan.

    Malaysia ingin mencapai tahap sifar emisi menjelang 2050 melalui enam perancangan di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) — yang merangkumi kecekapan tenaga, tenaga boleh diperbaharui, biotenaga, hidrogen, mobiliti hijau dan penyerapan karbon.

    Malaysia kini mempunyai lebih 4,100 pengecas EV

    Bagi mencapai tahap tenaga bersih yang lebih tinggi, Malaysia mensasarkan untuk meningkatkan perkongsian bagi tenaga boleh diperbaharui kepada 70% menjelang 2050, serta menggandakan sasaran penjimatan kecekapan tenaga kepada 22%, jelas beliau.

    “Pendekatan praktikal telah pun dimulakan: pengubahsuaian bangunan berskala besar, piawaian kecekapan yang lebih kukuh untuk peralatan pengguna serta memperluas penggunaan biodiesel dari B10 kepada B20 bagi sektor pengangkutan. Ini bukanlah idea yang abstrak, sebaliknya merupakan langkah yang boleh diambil secara nyata yang boleh dinilai perkembangannya,” tambah beliau.

    Berkaitan hidrogen, beliau turut menyebut tentang Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen Negara (HETR), yang mensasarkan untuk menjadikan Malayia sebagai hab hidrogen bersih di Asia Pasifik menjelang 2050. “Dengan potensi untuk untuk menjana lebih daripada RM400 bilion pendapatan, mencipta 200,000 peluang pekerjaan bary dan mengurangkan emisi gas rumah hijau sebanyak 15% menjelang 2050, hidrogen boleh membentuk semula lanskap tenaga kita,” jelas Fadillah.

     
     
  • Xpeng P7 dipamer di Munich Motor Show – sedan EV sehingga 594 PS, jarak gerak paling jauh 820 km CLTC

    Xpeng P7 dipamer di Munich Motor Show – sedan EV sehingga 594 PS, jarak gerak paling jauh 820 km CLTC

    Pengeluar automotif China, Xpeng masih lagi menyertai IAA Mobility Show (juga dikenali sebagai Munich Motor Show) di Jerman tahun ini dengan membawa model generasi baharu Xpeng P7 yang baru dilancarkan di China bulan lalu. Pada pasaran negara asalnya, sedan elektrik ini ditawarkan dalam empat varian dan dijual pada harga bermula 219,800 hingga 301,800 yuan (sekitar RM130k hingga RM178k).

    Varian paling asas dikenali sebagai P7 702 Ultra dibekalkan dengan bateri litium logam fosfat (LFP) berkapasiti 74.9 kWj, memberikan jarak gerak sejauh 702 km dalam kitaran ujian CLTC. Ia hanya dibekalkan dengan satu motor elektrik yang memacu roda belakang berkuasa 367 PS (270 kW) dan tork maksima 465 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.8 saat. Dengan asas elektrikal 800-volt, bateri tersebut menyokong penegcasan 5C yang membolehkan kuasa dari 10-80% dipenuhkan dalam masa hanya 12-minit.

    Manakala tiga varian selebihnya menerima bateri nikel kobalt mangan (NMC) berkapasiti 92.2 kWj yang boleh dipenuhkan dari 10-80% dalam masa 11.3 minit. Bagi varian 820 Ultra, ia digerakkan dengan konfigurasi motor elektrik yang sama seperti varian asas 702 Ultra, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.4 saat dan memberikan jarak gerak CLTC sejauh 820 km.

    Xpeng P7 dipamer di Munich Motor Show – sedan EV sehingga 594 PS, jarak gerak paling jauh 820 km CLTC

    Varian 750 Performance pula diberikan satu lagi motor elektrik bagi memacu roda hadapan, membolehkan ia dibekalkan dengan kuasa keseluruhan 594 PS (437 kW) dan tork 695 Nm) serta kebolehan pacuan semua roda. Padanan ini menyaksikan varian 750 Performance tersebut mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.7 saat dan boleh bergerak sejauh 750 km.

    Varian paling mahal untuk Xpeng P7 ini masih lagi digelar sebagai 750 Performance, menampilkan kofigurasi bateri dan motor elektrik yang sama, tetapi ia dipadankan dengan pintu hadapan yang boleh dibuka ke atas seperti ‘gunting’.

    Kelajuan maksima bagi kesemua varian ditetapkan pada 230 km/j, dan kesemuanya juga datang standard dengan suspension udara dua kebuk bersama penyerap hentak bervariasi serta sistem brek Brembo dengan angkup empat omboh di hadapan. Bagi varian 750 Performance, ia ditambah dengan sistem aliran udara aktif untuk brek dan juga agihan tork pintar.

    Antara kelengkapan standard lain yang ditampilkan pada P7 ini termasuk sistem bantuan pemanduan digelar sebagai VLA (Vision-Language-Action), fungsi-fungsi sistem keselamatan aktif, paparan instrumen digital dengan skrin 8.8-inci, skrin sesentuh sistem infotainmen bersaiz 15.6-inci, paparan cermin pandang belakang sembilan-inci, paparan head-up 87-inci, skrin hiburan untuk kabin belakang 8-inci, pelbagai fungsi yang dikuasakan AI dan banyak lagi.

    Ketika acara IAA Mobility Show ini berlangsung, Xpeng turut mengumumkan bahawa ia bakal membuka pusat R&D baharu di Munich bulan ini sebagai salah satu rancangan bagi mengembangkan operasinya diperingkat global. Manakala menerusi laporan CNBC, Xpeng mengumumkan bahawa ia bakal melancarkan sub-jenama baharu tahun depan yang digelar sebagai Mona, iaitu jenama pasaran besar untuk luar dari China.

     
     
  • Penutupan lorong di Lebuhraya NKVE antara Jalan Duta-Bukit Lanjan – 10-11 Sept, 11 malam-5 pagi

    Penutupan lorong di Lebuhraya NKVE antara Jalan Duta-Bukit Lanjan – 10-11 Sept, 11 malam-5 pagi

    Untuk para pengguna Lebuhraya NKVE, ini ada makluman penting daripada PLUS Malaysia Berhad (PLUS). Dimaklumkan bahawa PLUS akan melaksanakan penutupan lorong di kedua-dua arah di laluan antara Jalan Duta dan Bukit Lanjan iaitu di KM28.20 hingga KM28.25 di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) pada malam esok (10 September) hingga 11 September, dari jam 11 malam hingga 5 pagi.

    Penutupan lorong berkenaan adalah bagi kelancaran kerja-kerja pemasangan struktur gantri paparan iklan merentasi lebuhraya di laluan berkenaan oleh kontraktor pihak ketiga.

    Berdasarkan info grafik di atas, kita dapat lihat tiga lorong menghala ke Jalan Duta akan ditutup, hanya satu lorong (tidak termasuk lorong kecemasan) yang kekal dibuka untuk aliran trafik. Sementara itu, bagi laluan menghala ke Bukit Lanjan (arah utara) pula, dua lorong paling kanan akan ditutup, manakala dua lorong kiri akan kekal dibuka.

    Justeru, para pengguna laluan berkenaan dinasihatkan agar merancang perjalanan, mematuhi arahan petugas trafik, dan memandu dengan berhati-hati ketika melalui kawasan kerja demi keselamatan bersama.

     
     
  • Makmal Forensik Kenderaan dilancarkan – analisa data kenderaan berkaitan kemalangan dan keselamatan

    Makmal Forensik Kenderaan dilancarkan – analisa data kenderaan berkaitan kemalangan dan keselamatan

    Makmal Forensik Kenderaan (Makmal CAM Kenderaan) telah pun dilancarkan semalam oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo. Bertempat di CyberSecurity Malaysia, Cyberjaya, makmal ini menjadi penanda aras baharu dalam bidang forensik digital automotif, yang berperanan memperkukuh aspek keselamatan siber negara.

    Dikendalikan oleh CyberSecurity Malaysia (CSM), pembukaan makmal ini adalah inisiatif yang direalisasikan melalui kerjasama strategik dengan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), termasuk pembangunan teknologi real-time black box untuk merekod data kenderaan secara langsung.

    Langkah ini bukan sahaja meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya, malah membuka peluang kepada inovasi, penyelidikan dan pengkomersialan teknologi forensik digital dalam sektor automotif negara.

    Menurut laporan Harian Metro, berbanding dengan kaedah sedia ada yang bergantung kepada bukti fizikal di lokasi nahas serta anggaran yang dijalankan, makmal yang pertama di negara ini itu berupaya menganalisis data dalam perakam data kejadian (event data recorder), modul kawalan beg udara (airbag control module) dan sistem maklumat hiburan kenderaan (infotainment) untuk mengetahui situasi sebenar yang berlaku.

    Gobind Singh Deo berkata, inisiatif oleh CSM itu sangat penting kerana ia dapat membantu semua pihak apabila berlaku sesuatu kemalangan. Di mana data yang diperoleh itu boleh dinilai dan diteliti di makmal, sekali gus membantu siasatan pihak berkuasa.

    “Saya berasa kita semua tahu pentingnya data bila berlaku satu insiden yang memerlukan siasatan. Kedua, kita juga dapat melihat apakah sebenarnya yang telah membawa kepada insiden tersebut dan kita dapat mengambil langkah-langkah untuk kita cuba memastikan bahawa kekurangan-kekurangan yang wujud, yang telahpun membawa kepada kemalangan atau insiden tersebut dapat kita perbaiki.

    “Kemudian, kita juga dapat mengumpul data terbabit untuk penilaian atau apa yang kita kata ‘predictive technologies’,” katanya sambil menambah buat masa ini makmal berkenaan bekerjasama dengan pihak berkuasa, khususnya pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang mempunyai peranan besar dalam siasatan insiden membabitkan kenderaan dan sebagainya.

    Selain menjalankan penyelidikan dan analisis data kenderaan berkaitan kemalangan dan isu keselamatan, makmal berkenaan juga menyokong siasatan forensik digital agensi penguatkuasaan undang-undang melalui bukti digital yang sahih dan berintegriti.

    Walau bagaimana pun, Gobind berkata, beliau menyedari kebimbangan mengenai bagaimana data yang dikumpul itu digunakan secara selamat. Justeru, katanya, perkara itu adalah aspek yang diberi penekanan dalam membangunkan makmal berkenaan dalam memastikan data yang digunakan untuk siasatan yang dijalankan disimpan dengan selamat.

    “Di Malaysia kita ada undang-undang yang cukup jelas yang berkaitan dengan data peribadi dan sebagainya. Inilah perkara yang kita tidak akan kompromi. Jadi, tadi pun saya tanya soalan berkaitan dengan apabila berlaku satu insiden ataupun ada permintaan untuk siasatan kita kena pastikan bahawa setiap keperluan dari sudut undang-undang dipatuhi sebelum data itu dapat diberikan,” katanya.

    Beliau menambah, pihaknya juga memberikan jaminan akan melihat aspek keselamatan siber dan juga ‘privacy data’ terutama bagi menjayakan proses yang diperlukan. Dalam masa yang sama, pihaknya juga sudah berbincang dengan pihak berkuasa dan mereka yang memerlukan kerjasama CSM untuk memudahcarakan siasatan dalam mencari penyelesaian.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026