Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • BYD Seal 6 EV capai penghantaran lebih 100 seunit dalam tempoh seminggu selepas dilancar di M’sia

    BYD Seal 6 EV capai penghantaran lebih 100 seunit dalam tempoh seminggu selepas dilancar di M’sia

    Dalam tempoh seminggu pertama dilancarkan di Malaysia, lebih 100 unit BYD Seal 6 EV telah dihantar kepada pelanggan yang menempahnya. Menjadikan ia sebagai kumpulan pelanggan pertama di luar China yang memiliki sedan EV ini, yang dikenali sebagai Qin L EV di negara asalnya.

    “Malaysia berbangga menjadi pasaran antarabangsa pertama yang menyambut kehadiran Seal 6, satu pencapaian penting yang bukan sahaja menandakan kemunculan sebuah kenderaan baharu yang dinamik, tetapi turut mencerminkan komitmen kami untuk memenuhi keperluan pelanggan dengan profesionalisme dan semangat yang tinggi.

    “Kami menghargai penyelarasan lancar oleh pasukan kami yang memastikan Seal 6 berjaya dihantar ke seluruh negara tanpa sebarang kelewatan. Ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk membina kepercayaan pelanggan sambil memperluaskan akses terhadap mobiliti elektrik dalam kalangan rakyat Malaysia,” kata Adeline Lew, Pengarah Urusan BYD Sime Motors.

    Dalam masa yang sama, BYD Sime Motors turut merancang untuk mengembangkan rangkaian pengedarnya daripada 37 cawangan sedia ada kepada 50 cawangan pada tahun depan, bagi meningkatkan akses kepada jualan, perkhidmatan dan kemudahan pengecasan di seluruh negara.

    BYD Seal 6 EV capai penghantaran lebih 100 seunit dalam tempoh seminggu selepas dilancar di M’sia

    Untuk pasaran Malaysia, dua varian Seal 6 ditawarkan iaitu Dynamic dan Premium dengan harga masing-masing ialah RM100,000 dan RM115,800. Di peringkat global, ini adalah pengenalan pertama bagi model berkenaan di luar China.

    Kedua-dua varian adalah pacuan roda belakang, dengan varian Dynamic menghasilkan 129 PS (95 kW) dan 220 Nm, membolehkannya memecut dari sifar ke 100 km/j dalam masa 10.9 saat. Varian Premium pula dipertingkatkan kuasa kepada 218 PS (160 kW) dan 330 Nm, dengan pecutan 0-100km/j hanya 7.5 saat.

    Selain itu, kedua-dua varian juga dilengkapi dengan bateri Blade lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 56.64 kWh, yang menawarkan jarak pemanduan sehingga 485 km mengikut kitaran NEDC; namun jangkaannya lebih hampir kepada 410 km mengikut kitaran WLTP yang lebih ketat.

    Seal 6 menyokong pengecasan pantas DC sehingga 100 kW, yang mengambil masa 23 minit untuk mengecas dari 30% ke 80%. Ia juga menyokong pengecasan AC sehingga 6.6 kW dan dilengkapi dengan fungsi vehicle-to-load (V2L) 3.7 kW. Untuk mengetahui lebih terperinci mengenai sedan EV ini, anda boleh baca artikel mengenai pelancarannya DI SINI.

    BYD Seal 6 EV Premium 2025

     
     
  • JAC T9 PHEV bakal tiba di Malaysia — trak pikap plug-in hybrid pertama, sertai barisan T9 diesel dan EV

    JAC T9 PHEV bakal tiba di Malaysia — trak pikap plug-in hybrid pertama, sertai barisan T9 diesel dan EV

    Selepas memperkenalkan JAC T9 diesel dan JAC T9 EV pada Mac lalu — yang menjadi trak pikap pertama untuk pasaran Malaysia untuk pemilik persendirian — pengedar jenama itu, Evolvelectric Motors kini sedang membuat persiapan untuk pengenalan sulung yang lain. Syarikat itu telah menunjukkan iklan untuk model JAC T9 PHEV di Facebook, yang kelihatannya bakal menjadi trak plug-in hybrid yang pertama di Malaysia tak lama lagi.

    Setakat ini, belum pernah sebuah trak pikap ditawarkan dengan beberapa pilihan sistem janaan kuasa seperti ini di Malaysia seperti yang dilakukan oleh JAC ini.

    JAC T9 PHEV tampil pertama kali di persada global ketika Melbourne Motor Show tahun ini. Seperti dilaporkan oleh Drive, model ini menggunakan enjin 2.0 liter petrol dan digandingkan dengan dua motor elektrik, yang memberikan output keseluruhan 523 PS/1,000 Nm serta bateri LFP 31.2-kWj dengan jarak EV 100 km.

    JAC T9 diesel dan EV masing-masing dijual dengan harga antara RM120k dan RM200k di Malaysia. Berapa agaknya harga untuk varian PHEV nanti?

     
     
  • Polis KL keluarkan 16,968 saman lalu lintas dalam Op Pematuhan Undang-Undang 2025 sejak 1 Okt lalu

    Polis KL telah mengeluarkan sebanyak 16,968 saman lalu lintas menerusi Operasi Pematuhan Undang-Undang (Op PUU) 2025 yang bermula sejak 1 Oktober lalu. Di mana halangan lalu lintas merupakan kesalahan tertinggi yang merekodkan sebanyak 11,720 saman diikuti mengabaikan lampu isyarat (2,036) dan tiada atau tamat tempoh lesen memandu (702), kata Ketua Polis KL, Datuk Fadil Marsus.

    Manakala kesalahan lain termasuk tidak ikut jejantas/lintasan pejalan kaki (381), nombor pendaftaran kotor/kabur/fancy (tidak dinyatakan jumlah saman), tidak ikut peraturan (374), tidak berhenti di lampu isyarat (148), tidak memakai topi keledar/tidak kemas (135), laporan Harian Metro.

    Diikuti dengan berhenti di petak kuning (95), tidak pakai tali pinggang keledar (93), ubahsuai kenderaan (80), berhenti melebihi garisan putih (75), guna telefon bimbit semasa memandu (70) dan memotong Q atau garisan berkembar (dua).

    Polis KL keluarkan 16,968 saman lalu lintas dalam Op Pematuhan Undang-Undang 2025 sejak 1 Okt lalu

    Fadil turut berkata, pihaknya mengeluarkan sebanyak 13,365 saman terhadap pemandu kereta manakala penunggang motosikal mencatatkan 2,813 saman.

    “Pejalan kaki menerima 381 saman, pemandu van, pacuan empat roda dan kenderaan utiliti sukan pula menerima 200 saman, lori (141 saman), teksi (62) serta bas (enam),” katanya.

    Menurutnya, operasi itu dilaksanakan selepas pihaknya memberikan tempoh masa bermula dari 6 hingga 30 September lalu dalam konteks advokasi (Advokasi OP PUU).

    “Masyarakat perlu sedar dan mengubah sikap mementingkan diri ketika berada di atas jalan raya dengan mematuhi undang-undang lalu-lintas. Selepas kita memberikan peringatan dan nasihat sebelum ini, kini tiada lagi toleransi untuk mereka yang masih berdegil,” katanya.

    Tambahnya, pada peringkat awal, Op PUU dilaksanakan di kawasan tumpuan utama seperti Pavilion, KLCC, Lot 10, Sogo dan Jalan Sultan Ismail sebelum diperluas ke seluruh ibu kota. Di mana penguatkuasaan yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan dilaksanakan sepanjang tahun bagi memastikan Kuala Lumpur menjadi contoh bandar raya yang patuh undang-undang.

    Katanya, langkah itu juga adalah selaras dengan persiapan menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2026 serta pelbagai acara antarabangsa lain.

     
     
  • iCaur V23 atas jalan di M’sia — dua motor, jarak 360 km; SUV kompak ala Land Cruiser klasik bakal tiba?

    iCaur V23 atas jalan di M’sia — dua motor, jarak 360 km; SUV kompak ala Land Cruiser klasik bakal tiba?

    Dua buah model iCaur V23 yang berdaftar telah dilihat ketika sedang dicaj menggunakan kemudahan pengecasan EV awam. Ini sekaligus memberi bayangan bahawa model berkenaan akan dilancarkan di sini tidak lama lagi.

    iCaur V23 pernah dipertontonkan di Malaysia pada Mei tahun ini, bersama dengan model 03 dan 03T. iCaur 03 juga telah dilancarkan di sini bulan lalu. Di rantau ini, V23 sudah dilancarkan di Thailand, dan dijual dengan harga bermula 699,900 baht (RM90,900).

    Sebagai perbanding dengan 03, V23 mempunyai ukuran 4,220 mm panjang, 1,915 mm lebar dan 1,845 mm tinggi, dengan jarak roda 2,735 mm. Ini menjadikannya 186 mm lebih pendek, 5 mm lebih lebar dan 130 mm lebih tinggi berbanding 03, dengan jarak roda yang 20 mm lebih panjang.

    iCaur V23 atas jalan di M’sia — dua motor, jarak 360 km; SUV kompak ala Land Cruiser klasik bakal tiba?

    Di Thailand, V23 ditawarkan dalam versi pacuan roda belakang dan pacuan semua roda. Versi RWD menggunakan motor tunggal yang menjana 136 PS/180 Nm, sementara versi 4WD memanfaatkan gandingan dua motror yang menghasilkan sebanyak 211 PS/292 Nm. Versi RWD boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa 11 saat, sementara versi AWD dalam 7.5 saat. Kedua-duanya dihadkan laju maksimumnya kepada 140 km/j.

    Untuk bateri RWD, ia menggunakan unit lithium iron phosphate (LFP) dengan kapasiti 59.93 kWj ditawarkan di Thailand, didakwa mampu memberikan jarak perjalanan sejauh 360 km NEDC (sekitar 300 km WLTP). Bagi varian AWD, bateri lebih besar 81.76 kWj dari jenis nickel manganese cobalt (NMC) digunakan, memberi jarak perjalanan yang didakwa sejauh 430 km NEDC, atau 360 km mengikut kitaran WLTP.

    Untuk RWD, ia boleh dicas sehingga 85 kW DC, sementara untuk AWD sehingga 104 kW. Pengecasan AC pula disokong oleh kapasiti sehingga 6.6 kW, V23 ini datang dengan fungsi vehicle-to-load (V2L) dengan kapasiti 3.3 kW.

    Harga V23 untuk pasaran Malaysia masih belum ada petunjuk. Jika merujuk kepada harga di pasaran asalnya di China, ia mungkin akan dipasarkan dengan harga yang tidak jauh dari model 03, yang diperkenalkan bermula dari RM120k hingga RM130k.

     
     
  • Salah bayar harga petrol RON 95 subsidi kerana isu teknikal? Buat tuntutan semula di laman KPDN

    Salah bayar harga petrol RON 95 subsidi kerana isu teknikal? Buat tuntutan semula di laman KPDN

    Pengguna yang terpaksa membayar harga RM2.60 seliter bagi petrol RON 95 disebabkan gangguan teknikal dalam sistem boleh memohon bayaran balik bagi perbezaan harga bermula 9 Oktober 2025. Perkara ini disahkan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr Fuziah Salleh, seperti dilaporkan oleh The Star.

    Menurut beliau, walaupun terdapat aduan berkaitan gangguan sistem sejak pelaksanaan inisiatif Budi Madani RON 95 (Budi95) bermula 30 September lalu, kebanyakan isu telah ditangani dengan cepat. Namun begitu, sekiranya pengguna telah dikenakan harga petrol tanpa subsidi disebabkan masalah tersebut, mereka layak untuk membuat tuntutan bayaran balik dengan mengemukakan bukti pembelian.

    Tuntutan boleh dibuat secara dalam talian menerusi laman web mysubsidi.kpdn.gov.my bagi transaksi pembelian petrol tanpa subsidi yang berlaku antara 30 September hingga 31 Oktober 2025. Pemohon perlu memuat naik resit sebagai bukti pembelian untuk menyokong tuntutan mereka.

    Bagi pihak perniagaan, syarat tambahan dikenakan iaitu syarikat perlu berdaftar di bawah Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan membuktikan bahawa permohonan untuk mendapatkan kad fleet telah dibuat selewat-lewatnya pada 31 Oktober. Setelah tuntutan disahkan dan diluluskan oleh pihak KPDN, bayaran balik akan dimasukkan ke dalam akaun bank pemohon dalam tempoh 15 hari bekerja.

    Untuk sebarang pertanyaan lanjut, pengguna boleh menghubungi Pusat Panggilan SKPS di talian 03-8882 5893, 5894, 5923 atau 6667. Alternatifnya, mereka juga boleh menghantar emel ke alamat [email protected]
    .
    Dr Fuziah turut mendedahkan bahawa setakat ini hanya kira-kira 25 peratus perniagaan yang mengendalikan kenderaan layak telah mendaftar di bawah SKPS. Ini melibatkan sekitar 100,000 kenderaan di seluruh negara. Beliau mengakui sambutan masih rendah dan pihak kementerian kini sedang bekerjasama dengan kumpulan-kumpulan berkaitan, termasuk persatuan teksi, untuk menggalakkan pendaftaran di bawah skim tersebut agar lebih ramai dapat menikmati manfaat subsidi petrol.

    Menurut beliau lagi, mereka yang mendaftar lewat masih boleh menuntut semula subsidi bagi pembelian petrol yang dibuat selepas 1 Oktober, asalkan mereka dapat mengemukakan resit sebagai bukti pembelian. Justeru, beliau berharap lebih banyak pihak akan segera mendaftar bagi memastikan mereka tidak terlepas peluang menikmati faedah yang ditawarkan melalui program subsidi ini.

    Untuk mendaftar atau menyemak jenis kenderaan yang layak menerima subsidi, pengguna boleh terus melayari laman rasmi mysubsidi.kpdn.gov.my.

     
     
  • Tesla Model Y Standard ditemui sebelum pelancaran – varian lebih mampu milik dengan spesifikasi ringkas

    Tesla Model Y Standard ditemui sebelum pelancaran – varian lebih mampu milik dengan spesifikasi ringkas

    Varian terbaru Tesla Model Y, dikenali sebagai Model Y Standard, telah ditemui lebih awal sebelum pelancaran rasminya. Maklumat ini dikongsi oleh akaun peminat Tesla Newswire di platform X.

    Model Y Standard dijangka ditawarkan pada harga permulaan US$39,990 (kira-kira RM168,457) di pasaran Amerika Syarikat. Ia diletakkan sebagai varian paling mampu milik dalam barisan Model Y.

    Berdasarkan imej yang terdedah, model ini tidak mempunyai jalur cahaya depan yang menyambungkan kedua-dua lampu utama seperti yang terdapat pada versi terkini Model Y “Juniper”.

    Menurut Tesla Newswire, Model Y Standard hadir dengan beberapa perubahan yang menjadikannya lebih ringkas dan murah. Antara yang dilaporkan termasuk:

    • Bumbung kaca tertutup (tidak lut cahaya)
    • Rim bersaiz 18 inci
    • Kemasan dalaman asas dengan tempat duduk berbalut fabrik
    • Stereng boleh laras secara manual

    Selain itu, skrin utama kekal bersaiz 15.4 inci, namun tiada skrin kedua untuk penumpang belakang, sementara pendingin hawa untuk tempat duduk belakang boleh dilaras secara manual. Penapis udara HEPA digantikan dengan penapis biasa dan ruang bagasi juga dilaporkan sedikit lebih kecil.

    Seorang pengguna X bernama ‘Green’ turut mendedahkan beberapa butiran lanjut mengenai model bajet ini, termasuk:

    • Cermin sisi tanpa fungsi lipatan automatik dan lampu genangan air (puddle lamp)
    • Tiada sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS)
    • Bumbung dalaman diperbuat daripada gentian kaca yang lebih ringkas
    • Pilihan sistem audio asas atau versi dengan sedikit tambahan
    • Kamera undur tanpa elemen pemanas untuk mencegah kabus
    • Sistem penyaman udara “Airwave” telah dibuang

    Model Y Standard ini turut dijangka ditawarkan dalam versi pacuan belakang (RWD) dan pacuan semua roda (AWD). Sistem suspensi juga dikatakan lebih ringkas berbanding varian lain.

    Tesla baru-baru ini memuat naik video teaser di platform X yang menunjukkan objek berputar dengan logo Tesla di tengah. Ramai berpendapat ia adalah rim, namun ketiadaan skru pengikat menimbulkan spekulasi bahawa ia mungkin penutup rim atau komponen lain.

    Video susulan menunjukkan rekaan lampu utama yang dipercayai milik Model Y, namun tanpa jalur lampu tengah — satu lagi petunjuk kepada perubahan reka bentuk bagi varian Standard ini. Banyak lagi maklumat mengenai Model Y Standard dijangka akan didedah pada 7 Oktober.

     
     
  • Dua tren tambahan KTM ETS sempena Deepavali

    Dua tren tambahan KTM ETS sempena Deepavali

    Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menyediakan dua tren tambahan bagi perkhidmatan ETS sempena dengan perayaan Deepavali yang bakal disambut tidak lama lagi.

    Tren tambahan tersebut akan disediakan antara 17 hingga 22 Oktober ini untuk laluan dua hala iaitu Padang Besar-KL Sentral-Padang Besar. Jualan tiket dibuka mulai jam 10 pagi esok, 7 Oktober 2025, menerusi aplikasi KITS, kios dan laman web KTMB.

    KTMB berkata, sebanyak 630 tempat duduk sehari atau secara keseluruhannya mencecah 3,780 tempat duduk disediakan sepanjang tempoh yang dinyatakan itu, termasuk untuk Kelas Perniagaan. Tren akan berlepas dari Padang Besar pada jam 11.05 pagi dan tiba di KL Sentral pada 4.30 petang. Kemudian tren akan bergerak semula dari KL Sentral jam 5 petang dan tiba di Padang Besar pada jam 10.20 malam.

    Penumpang perkhidmatan ETS disarankan agar merancang perjalanan serta membeli tiket awal bagi menikmati tambang fleksibel yang lebih menjimatkan dan mengelak kehabisan tiket pada saat akhir. Sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200 atau melayari platform media sosial rasmi KTMB untuk maklumat terkini.

     
     
  • JPJ Selangor cekup ‘ulat teksi’ yang umpan pelanggan dari luar negara dengan MPV Toyota Vellfire di KLIA

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor telah menahan seorang pemandu yang dipercayai bertindak sebagai ‘ulat teksi’ di Terminal 2 KLIA baru-baru ini. Selain itu, kenderaan MPV mewah, Toyota Vellfire, yang dipandu oleh individu terbabit turut disita.

    “Hasil daripada intipan dan pemantauan di Terminal 2 KLIA, Stesen Penguatkuasa KLIA telah membuat satu tangkapan ‘ulat’ yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen atau secara haram.

    “Sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire beserta pemandu telah ditahan dan disita untuk siasatan selanjutnya. Siasatan awal mendapati ‘ulat’ berkenaan telah memujuk, merayu dan menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada enam orang penumpang warganegara Belgium dari Terminal 2 KLIA ke The Platinum 2, Kuala Lumpur dengan kadar tambang sebanyak RM225 dan akan dibayar bila sampai ke destinasi,” kata JPJ menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Selain daripada MPV mewah itu, JPJ turut menyita sebuah Proton Exora dan Proton Saga serta kedua-dua pemandu kenderaan berkenaan juga ditahan atas kesalahan yang sama.

    JPJ berkata, siasatan awal mendapati pemandu Exora berkenaan telah memujuk, merayu dan menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada empat orang penumpang warganegara Thailand dari Terminal 1 KLIA ke Terminal Bersepadu Selatan, Kuala Lumpur dengan kadar tambang sebanyak RM105.

    Manakala pemandu Proton Saga itu pula ditahan kerana didapati menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada dua orang penumpang warganegara Bangladesh dari Terminal 1 KLIA ke Shah Alam dengan kadar tambang sebanyak RM80.

    “Mana-mana mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 205 (1), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010), yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan dan sesiapa yang bersubahat melakukan aktiviti ‘ulat’ ini juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1), di bawah akta yang sama.

    “Orang awam dinasihatkan agar menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah sama ada melalui kaunter perkhidmatan yang disediakan di Terminal 1 dan 2 KLIA atau pun membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing,” tambah JPJ lagi.

    Untuk sebarang aduan trafik, orang awam boleh menyalurkan kepada [email protected] atau platform aplikasi e-aduan@JPJ beserta butiran pengadu dan butiran aduan.

     
     
  • MBSA belanja minyak bagi 500 motosikal pada 7 Okt di Petronas Seksyen 13, parkir percuma pada 10 Okt

    MBSA belanja minyak bagi 500 motosikal pada 7 Okt di Petronas Seksyen 13, parkir percuma pada 10 Okt

    Berita baik untuk penunggang motosikal di sekitar Shah Alam. Pada 7 Okt 2025 (esok), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bakal menganjurkan program Jom Isi Minyak Motosikal Percuma. Ia akan berlangsung di Stesen Minyak Petronas Seksyen 13 mulai jam 11 pagi. Menurut MBSA, walau bagaimana pun, tawaran ini terhad untuk 500 buah motosikal terawal sahaja.

    Menurut penganjuran sebelum ini, MBSA berkata, inisiatif ini adalah usaha berterusan membantu komuniti di dalam kawasan pentadbiran MBSA dan sebagai salah satu program kemasyarakatan untuk merapatkan hubungan perpaduan, ukhwah silaturahim dengan masyarakat.

    Di mana mereka yang terpilih merupakan kumpulan sasaran seperti penghantar makanan, penjawat awam, pekerja industri, serta penuntut pusat pengajian tinggi di kawasan sekitar.

    Malah sempena dengan Sambutan Jubli Perak 25 Tahun MBSA, parkir percuma akan diberikan selama satu hari untuk semua kawasan pentadbiran PBT ini termasuk tempat letak kereta di Wisma MBSA dan di hab Seksyen 19 (berhampiran Komuter Seksyen 19) iaitu pada 10 Oktober (Jumaat ini).

    Untuk sepanjang bulan Oktober ini juga, MBSA sedang menganjurkan kempen pengurangan kompaun terpilih sebanyak 80% dan RM10 untuk kompaun tempat letak kereta. Jadi, bagi warga Shah Alam khususnya, jangan lepaskan peluang ini untuk menjelaskan tunggakan kompaun yang ada.

     
     
  • 100,675 kenderaan perdagangan masih belum pasang Peranti Had Kelajuan (SLD) setakat ini – JPJ

    100,675 kenderaan perdagangan masih belum pasang Peranti Had Kelajuan (SLD) setakat ini – JPJ

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memaklumkan bahawa sebanyak 100,675 kenderaan perdagangan atau 92% masih belum membuat pengesahan pemasangan Peranti Had Kelajuan (SLD) setakat ini, laporan Bernama.

    Menurut Pengarah Kanan Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan, sejak penguatkuasaan penggunaan peranti tersebut bermula 1 Oktober lalu, sebanyak 8,130 kenderaan perdagangan disahkan menggunakan SLD membabitkan 513 bas ekspres, bas persiaran (290) dan kenderaan barangan (7,227).

    Katanya, daripada jumlah keseluruhan 108,805 kenderaan yang perlu diperiksa dalam fasa pertama penguatkuasaan penggunaan SLD, terdapat 2,015 bas ekspres, 5,951 bas persiaran dan 92,709 kenderaan barangan belum membuat pengesahan SLD.

    “Dalam tempoh tiga hari pertama penguatkuasaan, sebanyak 2,180 kenderaan diperiksa dan daripada jumlah itu, 385 membabitkan 144 bas ekspres dan 221 kenderaan barangan dikenakan tindakan kerana gagal mengemukakan slip pengesahan kefungsian SLD.

    “Penguatkuasaan penggunaan SLD melibatkan kenderaan perdagangan yang dibina selepas 1 Januari 2015 bagi bas persiaran dan bas ekspres dengan Berat Dengan Muatan (BDM) melebihi 5,000 kilogram (kg) manakala bagi kenderaan barangan ialah dengan BDM melebihi 3,500 kg,” katanya.

    Beliau berkata, JPJ mengingatkan bahawa semua pemasangan, konfigurasi dan pengaktifan SLD hendaklah disahkan badan yang diiktiraf JPJ melalui pengeluaran Slip Pengesahan dan Laporan Kefungsian SLD.

    “Pihak yang dibenarkan untuk mengeluarkan dokumen ini ialah pengilang dan pengeluar kenderaan, Technical Service (TS) diiktiraf JPJ, bengkel atau fasiliti servis atau Badan Pensijilan Bertauliah oleh Jabatan Standard Malaysia (JSM) yang diiktiraf JPJ.

    “Slip pengesahan berkenaan wajib dikemukakan semasa pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) atau urusan pembaharuan permit dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) atau Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan,” katanya yang menambah slip berkenaan perlu disimpan di dalam kenderaan serta diperbaharu setiap dua tahun.

    Beliau turut menegaskan bahawa tiada kompromi diberikan selepas tarikh penguatkuasaan sepenuhnya. Di mana Notis 114 (panggilan temu siasat) akan dikeluarkan kepada mana-mana pemilik kenderaan yang gagal mematuhi ketetapan ini.

     
     
  • Proton eMas 5 kini dibuka untuk tempahan — harga anggaran dari RM60k-RM80k; EV termurah di Malaysia

    Proton eMas 5 kini dibuka untuk tempahan — harga anggaran dari RM60k-RM80k; EV termurah di Malaysia

    Selepas didedahkan perinciannya secara rasmi pada awal Ogos lalu, Proton melalui Pro-net kini mengumumkan perincian terkini bagi model elektrik terbaru keluarannya, Proton eMas 5 — model elektrik berkenaan diberikan harga anggaran RM60,000 hingga RM80,000 dan mula dibuka untuk tempahan secara rasmi.

    Dengan harga anggaran yang diumumkan ini, eMas 5 menjadi EV peringkat kemasukan yang paling murah di Malaysia ketika ini, yang berada di bawah RM100,000 bagi unit CBU.

    Harganya dijangka bermula dari RM60,000 bagi model paling asas, kemungkinan akan dinamakan Prime — sama seperti untuk penawaran eMas 7. Satu lagi varian ialah Premium dengan harga anggaran RM80,000, yang telah disahkan dan ketahui perinciannya ketika dipertontonkan sebelum ini.

    Bagi pembeli terawal yang membuat tempahan, yuran yang dikenakan hanya RM99, lebih rendah daripada biasa, serta akan menerima kad Touch ‘n Go NFC jenama eMas dengan isian tersedia bernilai RM100. Bagi kelompok pembeli terawal ini, rebat tambahan RM500 turut diberikan untuk yuran tempahan.

    Proton eMas 5 kini dibuka untuk tempahan — harga anggaran dari RM60k-RM80k; EV termurah di Malaysia

    Merupakan model kembar bagi Geely Xingyuan/Star Wish di China, eMas 5 adalah model pemanduan sebelah kanan (RHD) bagi kembarnya itu dibangun menggunakan platform Global Modular Architecture (GMA) dan boleh digunakan untuk kenderaan BEV atau PHEV, mengikut keperluan.

    Model ini mempunyai ukuran dimensi 4,135 mm panjang, 1,805 mm lebar, 1,580 mm tinggi dengan jarak roda 2,650 mm — menjadikannya hatchback yang sedikit lebih tinggi berbanding BYD Dolphin. Bahagian “frunk”-nya menyediakan 70 liter ruang simpanan, sementara di belakang dengan 375 liter yang boleh ditambah menjadi 1,320 liter sekiranya penyandar kerusi belakang direbahkan.

    Bagi versi paling asas Prime, ia akan menggunakan unit motor 79 PS (58 kW) dan 130 Nm dengan laju maksimum sehingga 125 km/j. Ia dilengkapi bateri lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 30.12 kWj yang memberikan jarak sekitar 225 km mengikut kitaran WLTP. Model ini juga mempunyai tiga mod pemanduan — Sport, Eco dan Comfort.

    Proton eMas 5 kini dibuka untuk tempahan — harga anggaran dari RM60k-RM80k; EV termurah di Malaysia

    Untuk versi Premium yang paling lengkap, ia akan menggunakan bateri jenis lithium iron phosphate (LFP) keluaran CATL dengan kapasiti 40.16 kWj (ini berbeza dengan Proton eMas 7 yang menggunakan bateri Aegis Geely).

    Untuk motor elektrik, ia adalah unit dari jenis 11-dalam-1 yang bersepadu, yang diletakkan di bahagian belakang. Bagi EV, ini adalah kereta pacuan roda belakang pertama oleh Proton. Motor berkenaan menjana sebanyak 85 kW kuasa dan 150 Nm tork. Untuk prestasi, pecutan 0-50 km/j (bukan 100 km/j) boleh dicapai dalam masa 3.9 saat.

    Jika mengikut kitaran WLTP, ia mampu memberikan jarak sejauh 325 km dengan sekali cas. Untuk tempoh pengecasan, eMas 5 ini mampu menampung pengecasan pantas DC maksimum sehingga 71 kW, sementara untuk pengecasan AC dengan kapasiti 6.6 kW. Bagi SoC dari 30% hingga 80%, ia boleh dicapai dalam masa 21 minit sahaja (untuk DC).

    Proton eMas 5 kini dibuka untuk tempahan — harga anggaran dari RM60k-RM80k; EV termurah di Malaysia

    Rekaan luar eMas 5 mirip dengan Xingyuan, walaupun Proton masih mengenakan pelekat samaran. Rekaan lampu depan dan belakang dalam bentuk bujur, wajah depan yang ringkas dengan bukaan udara kecil serta rekaan pemegang pintu tersembunyi. Satu kelainan dari model China ialah di bahagian tiang C yang diberikan kemasan motif bintang.

    Proton eMas 5 juga lengkap dengan stereng elektrik, dan untuk sistem suspensi, bahagian depannya menggunakan jenis MacPherson Strut dan di belakang dengan jenis multi-link untuk keselesaan optimum. Untuk rim pula, varian Premium ini menggunakan saiz 16-inci, dengan saiz tayar 205/60.

    Di dalam pula, antara kelengkapan yang ada ialah papan pemuka yang sama dari Xingyuan dengan stereng beralih ke sebelah kanan. Roda stereng dua jejari serta konsol tengah yang menempatkan ruang telefon, butang kawalan pendingin serta tombol pemilih gear. Warna tema kabin juga agakan ditawarkan dalam dua warna, iaitu putih dan hitam.

    Bahagian depan tersedia skrin infotainmen 14.6-inci yang menggunakan perisian Atlas (seperti X50) dan bukannya sistem Flyme Audio seperti model Xingyuan. Ini bermakna, ia akan turut dilengkapi dengan ciri arahan suara dalam Bahasa Malaysia seperti X50. Tidak lupa, ciri Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar juga disertakan dari awal.

    Khusus untuk model EV ini adalah ciri peta kemudahan pengecasan “live” bersepadu, yang boleh dicapai melalui sistem navigasi binaan dalam atau aplikasi pintar eMas seperti untuk eMas 7. Masih di dalam, kluster instrumen adalah melalui skrin 8.8-inci LCD, begitu juga dengan kerusi dan stereng balutan kulit. Untuk audio, tersedia enam-pembesar suara semuanya.

    Bagi aspek keselamatan, Proton eMas 5 datang lengkap dengan enam beg udara, ESC, ABS, sensor parkir di belakang serta kamera 360-darjah dengan paparan 3D. Bagi ciri bantuan pemanduan pula, terdapat 12 fungsi dalam sistem ADAS-nya yang disenaraikan:

    • Adaptive cruise control (ACC)
    • Autonomous emergency braking (AEB)
    • Forward collision warning (FCW)
    • Lane departure warning (LDW)
    • Blind spot detection (BSD)
    • Lane change assist (LCA)
    • Rear cross traffic alert (RCTA)
    • Rear collision warning (RCW)
    • Emergency brake assist (EBA)
    • Front vehicle departure (FVD)
    • Traffic sign recognition (TSR)
    • Door opening warning (DOW)

    Turut dinyatakan ialah sistem anti-gelincir G-TCS, yang memberikan penambahbaikan dua saat ketika di permukaan licin dan pengurangan 50% bagi gelinciran roda pada permukaan kurang cengkaman.

    Segmen kenderaan di bawah RM100k selepas ini akan menerima pencabar baru dalam bentuk EV. Mampukan eMas 5 menarik minat kebanyakan pengguna dalam segmen tersebut untuk beralih kepada kenderaan elektrik?

    Gambar rasmi Proton

     
     
  • WMoto Cruiser AMT 125 dilancarkan di Malaysia – enjin 124 cc 7.8 hp, transmisi automatik, RM5,988

    WMoto Cruiser AMT 125 dilancarkan di Malaysia – enjin 124 cc 7.8 hp, transmisi automatik, RM5,988

    Bersama dengan EZ125i, MForce Bike Holdings Sdn Bhd turut melancarkan satu lagi motosikal di bawah jenama WMoto, iaitu Cruiser AMT 125. Ia ditawarkan pada harga RM5,988 tidak termasuk insurans, dalam pilihan tiga warna dan datang dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km.

    Direka sebagai sebuah motosikal santai, Cruiser AMT 125 ini dipacu oleh enjin satu silinder 124 cc suntikan bahan api, penyejukan udara, mampu menghasilkan kuasa sehingga 7.8 hp pada 8,000 rpm dan tork 8.8 Nm pada 6,000 rpm.

    Sementara enjin ini nampak seperti biasa sahaja, Cruiser AMT 125 membawa keunikan apabila transmisinya menggunakan unit automatik dan penyampaian kuasa dibuat kepada roda belakang melalui sistem rantai. Tangki bahan api berkapasiti enam liter.

    Menyediakan pemegang yang tinggi serta peletak kaki lebih ke hadapan, ciri cruiser motosikal ini diperlengkap lagi rim bersaiz 17 inci (tayar 80/90) di hadapan dan 13 inci (tayar 140/70) di belakang. Ia kemudiannya dipegang oleh masing-masing fork teleskopik dan penyerap hentak tunggal.

    Brek pada kedua-dua roda motosikal ini menggunakan unit cakera, sementara kelengkapan lain yang diberi adalah termasuk semua lampu jenis LED, meter gabungan analog dan digital serta kunci mekanikal.

     
     
  • Chery Tiggo 8 PHEV di M’sia – 1.5T hibrid, 279 PS/365 Nm, jarak gerak hingga 1,200 km; dari RM159,800

    Chery Tiggo 8 PHEV di M’sia – 1.5T hibrid, 279 PS/365 Nm,  jarak gerak hingga 1,200 km; dari RM159,800

    Chery Malaysia bukan sekadar melancarkan Tiggo 7 PHEV pada hari ini, bahkan ‘abangnya’ Tiggo 8 PHEV turut menyertai pasaran Malaysia secara rasminya. Kedua-dua model SUV PHEV ini adalah unit pemasangan tempatan (CKD) yang dikeluarkan di kilang Inokom di Kulim, Kedah.

    Seperti mana Tiggo 7 PHEV, SUV PHEV segmen-D ini turut menerima unit rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV) generasi baharu dari siri Chery Super Hybrid. Untuk pasaran tempatan, ia ditawarkan dengan harga atas jalan RM159,800 tanpa insurans.

    Juga seperti ‘adiknya’ iaitu Tiggo 7 PHEV, Tiggo 8 PHEV ini juga menggunakan unit rangkaian kuasa Chery Super Hybrid (CSH) generasi baharu yang sama. Di mana sistem ini menampilkan enjin petrol kitaran Miller 1.5 liter turbo baharu dengan output 143 PS (105 kW) dan tork maksima 215 Nm. Enjin ini hadir dengan sistem suntikan bahan api terus yang dibina khas untuk digandingkan bersama sistem hibrid, menampilkan keberkesanan suhu mencecah 44.5%.

    Chery Tiggo 8 PHEV di M’sia – 1.5T hibrid, 279 PS/365 Nm,  jarak gerak hingga 1,200 km; dari RM159,800

    Ia turut dipadankan dengan transmisi khas hibrid DHT tiga-kelajuan dan juga dua motor elektrik dengan kuasa 204 PS (150 kW) dan tork 310 Nm, yang menerima tenaga elektrik dari bateri LFP 18.3 kWj. Sekali gus memberikan keseluruhan kuasa mencecah 279 PS (205 kW) dan tork maksima 365 Nm yang memacu sepenuhnya roda hadapan.

    SUV PHEV ini juga diberikan bateri lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 18.3 kWh yang mampu memacu jarak pemanduan elektrik sepenuhnya sehingga 90 km, dengan sokongan untuk pengecasan AC yang mampu memberikan pengecasan penuh dalam tiga jam, manakala jika menggunakan pengecas pantas DC pula, hanya mengambil masa sekitar 19 minit untuk mencapai status pengecasan antara 30-80%. Ia juga boleh dicas penuh menggunakan palam tiga-pin biasa yang memerlukan sekitar 8.5 jam untuk memenuhkan bateri tersebut.

    Dalam mod hibrid, jarak pemanduan maksimum dengan tangki bahan api 60 liter adalah sehingga 1,200 km mengikut piawaian WLTP. Chery turut mendakwa bahawa jika kadar cas bateri berada antara 25-100%, penggunaan bahan api yang direkodkan ialah 1.3L/100 km, manakala dengan tahap cas bateri rendah di bawah 25%, penggunaan bahan api masih boleh mencecah 4.9L/100 km.

    Tiggo 8 PHEV ini memiliki dimensi berukuran 4,725 mm panjang, 1,860 mm lebar, 1,705 mm tinggi dengan jarak roda cecah 2,710 mm serta seberat 1,916 kg.

    Untuk imej penampilan luaran pula, Tiggo 8 PHEV nampak lebih matang, diserlahkan dengan lampu hadapan baharu, gril dengan kerangka krom yang lebih nipis dan juga rekaan bampar yang kini menampilkan tirai udara sebenar pada kedua-dua sisi.

    Pada bahagian sisi, Tiggo 8 PHEV ini ditampilkan dengan pembuka pintu jenis tersorok ke dalam dan dipadankan bersama rim aloi bersaiz 19-inci yang dibaluti tayar profil 235/50 R19. Manakala di belakang, rekaan lampu masih lagi hampir sama dengan model petrol sepenuhnya, cuma dibezakan dengan bahagian kemasan diffuser yang lebih menonjol di bawah bampar, manakala tip ekzos bulat berkembar sebenar pula digantikan dengan perumah tip ekzos berbentuk leper. Tidak seperti Tiggo 7 PHEV yang disertakan pintu tailgate kuasa, untuk Tiggo 8 PHEV ini sekadar diberikan pintu tailgate manual sahaja.

    Chery Tiggo 8 PHEV di M’sia – 1.5T hibrid, 279 PS/365 Nm,  jarak gerak hingga 1,200 km; dari RM159,800

    Menjengah bahagian kabinnya, ia kelihatan mirip dengan Tiggo 8 Pro e+, namun jika diteliti, ada juga perbezaanya terutamanya dengan papan pemuka baharu yang kini diberikan paparan yang dipisahkan iaitu unit paparan utama 15.6-inci dan meter kluster instrumen 10.25-inci. Selain itu, konsol tengah pula telah direka semula lebih tinggi dan bersambung dengan corong udara tengah.

    Ciri lain termasuk pemilih gear jenis putar (rotary gear selector), pad pengecas telefon pintar tanpa wayar pula diposisikan secara menegak membolehkan satu lagi ruang untuk meletakkan telefon pintar di sebelahnya, tempat duduk pemandu larasan kuasa 6-hala dengan fungsi memori (4-hala untuk tempat penumpang hadapan), sistem bunyi Sony Premium Audio dengan 10-pembesar suara, upholsteri hitam dengan pelapik bumbung berwarna kelabu, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, kamera panoramik HD 540° dan cermin pandang belakang auto-malap tanpa bingkai.

    Spesifikasi penuh Chery Tiggo 8 PHEV. Klik untuk besarkan

    Untuk aspek keselamatan dan bantuan pemandu, Tiggo 8 PHEV diberikan lapan beg udara, ABS dengan EBD, bantuan mula mendaki dan kawalan menurun cerun, penderia parkir hadapan dan belakang, pemantau tekanan angin tayar, sistem bantuan brek, program kestabilan elektronik, sistem kawalan cengkaman dan pemantau tekanan angin tayar.

    Selain itu, ia juga dilengkapi sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) merangkumi amaran ketibaan lorong, bantuan menukar lorong, bantuan kekal lorong, pengesan titik buta, kepekaan trafik lintasan belakang, brek trafik lintasan belakang, amaran pelanggaran hadapan dan belakang, kawalan keluncuran adaptif, kawalan keluncuran bersepadu, bantuan kesesakan trafik, amaran membuka pintu, peringatan had kelajuan, sistem pemantauan keletihan pemandu dan sistem pengelak pintar.

    Chery Tiggo 8 PHEV ini ditawarkan dengan tiga pilihan warna luaran iaitu Aurora Green, Khaki White dan Carbon Black. Dengan harga atas jalan RM159,800 tanpa insurans, ia juga hadir dengan waranti kenderaan tujuh-tahun atau 150,000 km, waranti lapan-tahun atau 160,000 km untuk bateri, motor dan unit kawalan hibrid dan selenggara percuma untuk lima-tahun (hanya enam kali kos buruh percuma).

     
     
  • Chery Tiggo 7 PHEV dilancarkan di Malaysia – 1.5T 279 PS/365 Nm, jarak gerak EV 90km; dari RM129,800

    Chery Tiggo 7 PHEV dilancarkan di Malaysia – 1.5T 279 PS/365 Nm, jarak gerak EV 90km; dari RM129,800

    Hari ini, Chery Malaysia telah pun melancarkan Chery Tiggo 7 PHEV untuk pasaran tempatan. Ditampilkan dengan varian tunggal, Tiggo 7 PHEV ini ditawarkan dengan harga atas jalan RM129,800 tanpa insurans. Pernah dipertontonkan di Malaysia Autoshow 2025 di MAEPS Serdang pada Mei lalu, SUV PHEV segmen-C ini merupakan model pemasangan tempatan (CKD) yang dikeluarkan dari kilang Inokom, di Kulim, Kedah.

    Tiggo 7 PHEV ini diberikan unit rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV) dari siri generasi baharu Chery Super Hybrid (CSH) iaitu enjin petrol turbo kitaran Miller berkapasiti 1.5 liter TGDi dengan output 143 PS (105 kW) dan tork maksima 215 Nm. Ia juga digandingkan dengan sistem suntikan bahan api terus yang dibina khas untuk digandingkan bersama sistem Chery Super Hybrid (CSH).

    Untuk pengetahuan anda, CSH merupakan barisan sistem hibrid generasi baharu yang dihasilkan menerusi penambahbaikkan dan diperhalusi dari sistem hibrid generasi sebelumnya. Antara penambahbaikkan yang dibuat adalah pemadanan enjin petrol yang lebih efisien, jarak gerak pemanduan menggunakan elektrik sepenuhnya yang lebih jauh dan juga peralihan mod sama ada dari mod EV penuh, atau hibrid yang melibatkan enjin pembakaran dalaman berfungsi lebih lancar tanpa ada rasa seperti enjin dihidupkan. Ia juga dikatakan mampu memberikan kadar keberkesanan suhu yang lebih baik sehingga boleh mencapai 44.5%, seterusnya memberikan pengunaan bahan api yang lebih rendah.

    Chery Tiggo 7 PHEV dilancarkan di Malaysia – 1.5T 279 PS/365 Nm, jarak gerak EV 90km; dari RM129,800

    Bukan itu sahaja, Tiggo 7 PHEV turut digandingkan dengan transmisi khas hibrid DHT tiga-kelajuan dan juga dua motor elektrik bersaiz kompak dengan kuasa 204 PS (150 kW) dan tork 310 Nm, yang menerima tenaga elektrik dari bateri LFP 18.3 kWj. Sekali gus menghasilkan kuasa keseluruhan mencecah 279 PS (205 kW) dan tork maksima 365 Nm yang memacu sepenuhnya roda hadapan.

    Dengan sistem PHEV bermakna bateri yang dibekalkan boleh dicas semula seperti EV sebenar. Ia boleh dicas menggunakan pengecas AC yang mengambil masa sekitar tiga jam untuk penuh. Manakala dengan sistem pengecas pantas DC, kuasa dari 30% hingga 80% boleh dipenuhkan dalam masa 19 minit. Sistem ini turut boleh dicas terus dari palam tiga-pin biasa, di mana ia memerlukan masa selama 8.5 jam untuk memenuhkan bateri tersebut. Ia juga mempunyai fungsi Vehicle To Load (V2L) berkapasiti 3.3kWh yang membolehkannya mengecas peranti lain.

    Chery mendakwa, dengan satu tangki petrol penuh berkapasiti 60 liter, Tiggo 7 PHEV ini boleh bergerak lebih dari 1,200 km dalam kitaran ujian WLTP. Manakala dengan satu cas bateri penuh, ia boleh memberi jarak gerak sejauh 90 km tanpa enjin petrol dihidupkan langsung. Sekiranya kadar cas bateri berada pada tahap 25%-100%, penggunaan bahan api yang dicatatkan adalah sekitar 1.3L/100 km, manakala dengan kadar cas bateri rendah iaitu di bawah 25%, penggunaan bahan api masih boleh mencapai 4.9L/100 km.

    Chery Tiggo 7 PHEV dilancarkan di Malaysia – 1.5T 279 PS/365 Nm, jarak gerak EV 90km; dari RM129,800

    Bagi penampilan luarannya, Tiggo 7 PHEV diberikan lampu utama LED automatik dengan fungsi selamat datang dan follow-me-home, digandingkan bersama lampu nyalaan siang LED, dan gril hadapan yang dilapisi permukaan lutsinar yang rata bersama logo Chery yang tenggelam. Bampar hadapan pula diserlahkan dengan seksyen kemasan hitam lebih besar, mengurangkan bahagian berjalur, serta diberikan lampu kabus bulat pada sisi bawah bampar.

    Di belakangnya pula, lampu LED lebih bersegi, lebih nipis dengan lensa jenis jernih yang menonjolkan grafik LED di dalamnya. Lampu berkenaan masih dihubungkan di kiri dan kanan menerusi satu bar lampu yang lebih tebal dan merentangi pintu tailgate sepenuhnya. Manakala perumah nombor pendaftaran juga kini lebih tinggi dari bahagian bampar ke pintu tailgate. Reflektor merah yang sebelum ini melintang di bawah bampar kini ‘menegak’ pada setiap sisi bampar dengan perumah direka seakan liang udara. Tidak seperti model petrol penuh, Tiggo 7 PHEV ini tidak menampilkan tip ekzos pada bampar.

    Ciri kelengkapan lain bagi luaran termasuklah lampu kabus hadapan dan belakang, lampu isyarat membelok jenis sequential, rel bumbung, pengelap cermin automatik, bumbung panaromik, pintu tailgate bantuan kuasa dan juga rim aloi 18-inci dengan tayar 255/60 R18.

    Chery Tiggo 7 PHEV dilancarkan di Malaysia – 1.5T 279 PS/365 Nm, jarak gerak EV 90km; dari RM129,800

    Untuk bahagian kabinnya pula, sama seperti versi petrol sepenuhnya, model PHEV ini juga menampilkan papan pemuka dengan skrin infotainmen utama dan juga skrin paparan instrumen yang bersambung ala-Mercedes-Benz, dan juga suis-suis kawalan fizikal terletak di bawah liang udara tengah. Roda stereng pula diperkemas dengan pemadanan suis seperti pad bagi menggantikan suis-suis biasa sebelum ini, serta tuil kawalan dengan lebih banyak perincian krom serta direka lebih besar dan tidak bulat seperti Mercedes-Benz.

    Konsol tengah masih nampak sama, tetapi tuil gear diganti dengan tombol gear dengan bentuk lebih konvensional namun diperbuat dari kristal. Ciri kelengkapan lain masih sama termasuk kawalan larasan tempat duduk depan diletak pada pintu bersama rekaan lain seperti penutup pembesar suara dan suis tingkap semuanya diinspirasikan dari Mercedes-Benz, manakala kemasan-kemasan brushed aluminium telah ditukar kepada gentian karbon palsu yang lebih nampak seperti Mercedes-AMG.

    Selain itu, ia juga diberikan paparan instrumen digital dan juga sistem infotainmen bersaiz 24.6-inci, sokongan Apple CarPlay tanpa wayar dan Android Auto dengan wayar, Bluetooth, kamera panaromik 540-darjah, sistem bunyi premium Sony dengan lapan-pembesar suara, roda stereng dan upholsteri tempat duduk kulit sintetik, tempat duduk pemandu larasan kuasa 6-hala dengan fungsi memori (4-hala untuk tempat penumpang hadapan), sistem kunci pintar dengan penghidup enjin jarak jauh dan kunci automatik walk away, penyaman udara automatik dua-zon dengan corong kabin belakang, penapis udara N95, pengecas telefon pintar tanpa wayar 50W dan cermin pandang belakang auto-malap tanpa bingkai.

    Spesifikasi penuh Chery Tiggo 7 PHEV. Klik untuk besarkan

    Untuk dimensinya, Tiggo 7 PHEV berukuran 4,553 mm panjang, 1,862 mm lebar, 1,696 mm tinggi, dan jarak roda 2,670 mm serta seberat 1,795 kg.

    Untuk aspek keselamatan dan bantuan pemandu, Tiggo 7 PHEV diberikan lapan beg udara, penderia parkir hadapan dan belakang, bantuan mula mendaki dan kawalan menurun cerun, pemantau tekanan angin tayar, dashcam dan pelbagai lagi.

    Ia juga dilengkapi sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) merangkumi fungsi brek kecemasan automatik dengan amaran pelanggaran hadapan dan belakang, sistem pemantau pemandu, amaran buka pintu, amaran lintasan trafik belakang bersama bantuan brek automatik, cruise control dengan sistem adaptif dan bersepadu, amaran keluar laluan, bantuan tukar lorong, pengelak keluar lorong, pengekal lorong kecemasan, bantuan kesesakan trafik dan lain-lain.

    Chery Tiggo 7 PHEV ini ditawarkan dengan tiga pilihan warna luaran iaitu Bloodstone Red dengan bumbung hitam (dikenakan kos tambahan RM2k), Khaki White dan Phantom Grey. Dengan harga atas jalan RM129,800 tanpa insurans, ia juga hadir dengan waranti kenderaan tujuh-tahun atau 150,000 km, waranti lapan-tahun atau 160,000 km untuk bateri, motor dan unit kawalan hibrid, dan selenggara percuma untuk lima-tahun (hanya enam kali kos buruh percuma).

     
     
  • Proton catat jualan 114,297 unit untuk suku ke-3 2025, 0.9% lebih tinggi berbanding tempoh sama 2024

    Proton catat jualan 114,297 unit untuk suku ke-3 2025, 0.9% lebih tinggi berbanding tempoh sama 2024

    Proton mengumumkan bahawa ia telah mencatatkan jualan sebanyak 13,395 unit (termasuk domestik dan eksport) kenderaan sepanjang bulan September 2025. Ini membolehkan jenama automotif nasional tersebut meraih jualan suku ke-3 2025 berjumlah 42,141 unit, dan jualan tahunan keseluruhan sehingga hujung bulan lalu pula mencapai 114,297 unit.

    Ini bermakna jualan bagi suku ketiga Proton untuk suku ke-3 tahun ini adalah 0.9% lebih tinggi dari tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan jualan sebanyak 112,758 unit. Menurut Proton lagi angka ini dicapai ketika jumlah keseluruhan industri (TIV) pada September dianggarkan menurun sebanyak 21.7% kepada sekitar 57,169 unit, iaitu sebulan selepas ia mencapai paras tertinggi tahun 2025.

    Jadi berdasarkan situasi tersebut, pegangan pasaran Proton dianggarkan berada pada 23.4% untuk bulan September dan 19.9% untuk sembilan bulan pertama tahun ini. Proton menyatakan keputusan tersebut adalah yang tertinggi dicatatkan tahun ini dan selari dengan usahanya bagi melepasi 20% penguasaan pasaran automotif untuk 2025.

    Untuk pecahan jualan mengikut model, Saga masih lagi menjadi model Proton paling laris dengan jualan sebanyak 6,058 unit sepanjang September 2025. Ini membolehkan ia mencatatkan bulan ketiga berturut-turut jualan melebihi 6,000 unit dan berada di tempat keempat dalam carta model paling laris di Malaysia.

    Proton catat jualan 114,297 unit untuk suku ke-3 2025, 0.9% lebih tinggi berbanding tempoh sama 2024

    Manakala bagi Proton X50 yang diperkenalkan dalam versi facelift pada Julai lalu mencatatkan jumlah jualan sebanyak 3,438 unit sepanjang September, membolehkan ia kekal sebagai SUV paling laris di Malaysia. Sehingga bulan lalu, sebanyak 21,154 unit X50 telah terjual tahun ini, naik sebanyak 24.4% berbanding tempoh sama tahun lalu. Satu lagi model Proton yang mendahului segmennya adalah sedan segmen-C Proton S70 yang terjual sebanyak 979 sepanjang bulan lalu.

    Bagi lain-lain model, Proton X70 telah terjual sebanyak 6,033 unit untuk sembilan bulan pertama tahun ini, Proton X90 pula terjual sebanyak 194 unit sepanjang bulan lalu, manakala Proton Persona dan Proton Iriz masing-masing mencatatkan jualan sebanyak 1,161 unit dan 278 unit pada September 2025.

    “Jualan Proton pada September menunjukkan produk kami terus mendapat tempat di hati pelanggan. Prestasi kukuh pada suku ketiga 2025 memberi keyakinan untuk kami membawa momentum ini ke suku akhir bagi mencapai sasaran jualan, selain menjadi landasan penting untuk memasuki tahun 2026,” kata naib CEO Proton Edar, Zhang Qiang.

    Beralih ke pasaran eksport, Proton telah menjual sebanyak 815 unit kenderaannya di pasaran luar Malaysia sepanjang September 2025, membolehkan jumlah jualan kumulatif tahunan kini mencapai 3,959 unit sehingga bulan lalu atau naik sebanyak 56% berbanding tempoh sama tahun lalu. Pasaran eksport Proton kini diuruskan oleh anak syarikatnya iaitu Proton International Sales Corporation.

    Proton catat jualan 114,297 unit untuk suku ke-3 2025, 0.9% lebih tinggi berbanding tempoh sama 2024

    Proton X50 merupakan model paling laris jenama itu di luar negara dengan dakwaan ia telah terjual pada pasaran eksport 220% lebih banyak berbanding tempoh sama tahun lalu. Saga juga masih popular di pasaran luar di mana ia didakwa menyumbang jualan sebanyak 14% dari jumlah keseluruhan eksport.

    Untuk divisi tenaga baharu Proton eMas pula, Proton melaporkan bahawa eMas 7 masih menjadi EV paling laris di Malaysia apabila terjual sebanyak 845 unit pada September 2025. Ini menjadikan sebanyak 6,656 eMas 7 terjual untuk sembilan bulan pertama tahun ini.

    Proton eMas 7 juga dilaporkan dapat diterima baik pada pasaran luar di mana sebanyak 443 unit telah dieksport keluar setakat ini termasuk pasaran Nepal, Trinidad & Tobago dan juga Singapura. SUV ini telahpun mula dibuat di Malaysia menerusi kilang EV Proton yang bari sahaja beroperasi secara rasmi di Tanjung Malim bulan lalu. Selepas ini Proton akan melancarkan satu lagi EV yang bakal dijual pada harga lebih mampu milik iaitu eMas 5, dan pasaran eksport EV akan turut dikembangkan ke Mauritius pada hujung bulan ini.

     
     
  • Tesla Model 3 Highland Long Range RWD masuk pasaran Malaysia – jarak gerak WLTP 750 km, RM185k

    Tesla Model 3 Highland Long Range RWD masuk pasaran Malaysia – jarak gerak WLTP 750 km, RM185k

    Tesla Malaysia menambah satu lagi varian baru dalam barisan Model 3 Highland untuk pasaran tempatan, iaitu Long Range Rear-Wheel Drive (LR RWD). Varian ini diletakkan di tengah-tengah antara model asas Rear-Wheel Drive (RWD) dan Long Range All-Wheel Drive (AWD), menawarkan kombinasi jarak pemanduan terjauh dengan harga yang lebih kompetitif.

    Model LR RWD dijual pada harga RM185,000, iaitu RM16,000 lebih mahal berbanding model asas RWD yang kini berharga RM169,000 selepas penurunan harga baru-baru ini. Dalam masa yang sama, ia RM14,000 lebih murah berbanding varian Long Range AWD yang kini dijual pada harga RM199,000, turun dari RM210,000 sebelum ini.

    Apa yang menjadikan LR RWD menarik adalah jarak pemanduannya yang mencecah sehingga 750 km mengikut piawaian WLTP, menjadikannya sebagai Model 3 Highland dengan jarak paling jauh setakat ini. Sebagai perbandingan, varian RWD menawarkan 520 km, LR AWD 660 km dan Performance AWD sejauh 571 km.

    Tesla Model 3 Highland Long Range RWD masuk pasaran Malaysia – jarak gerak WLTP 750 km, RM185k

    Dari aspek prestasi, LR RWD turut dilengkapi motor elektrik yang lebih berkuasa berbanding RWD, membolehkannya memecut dari 0 ke 100 km/j dalam masa hanya 5.2 saat, berbanding 6.1 saat bagi RWD. Kedua-dua varian ini berkongsi kelajuan maksimum 201 km/j.

    LR RWD juga menyokong kadar pengecasan pantas DC sehingga 250 kW, yang mampu menambah jarak sejauh 311 km dalam masa hanya 15 minit. Sebagai perbandingan, RWD hanya menyokong pengecasan sehingga 170 kW. Walaupun Tesla tidak mendedahkan secara rasmi kapasiti bateri dan output kuasa dalam laman webnya, spesifikasi yang dikongsikan sejajar dengan model LR RWD yang telah dilancarkan di China pada Ogos lalu, memandangkan unit pasaran Malaysia juga dihasilkan di Gigafactory Shanghai.

    Menurut laporan media China, LR RWD dipasang dengan bateri jenis NMC (Nickel Manganese Cobalt) daripada LG, dengan kapasiti 78.4 kWh. Ini adalah peningkatan ketara berbanding bateri LFP 62.5 kWh daripada CATL yang digunakan pada model RWD.

    Tesla Model 3 Highland Long Range RWD masuk pasaran Malaysia – jarak gerak WLTP 750 km, RM185k

    Bateri ini dipadankan dengan motor elektrik pada gandar belakang yang menghasilkan kuasa 306 PS (bersamaan 302 hp atau 225 kW), lebih tinggi daripada RWD yang menjana 264 PS (260 hp atau 194 kW). Di China, varian ini dikatakan mampu mencapai jarak pemanduan 830 km berdasarkan piawaian CLTC, manakala versi di Jerman mencatat jarak 702 km mengikut standard WLTP.

    Melihat kepada penampilan, varian ini hadir dalam warna standard Stealth Grey, seperti yang diperkenalkan dalam kemas kini terdahulu pada Julai. Pelanggan yang inginkan warna lain boleh memilih Pearl White Multi-Coat, Deep Blue Metallic atau Diamond Black dengan bayaran tambahan RM5,000. Pilihan warna premium Quicksilver dan Ultra Red pula ditawarkan pada harga tambahan RM11,000.

    Bagi mereka yang mahukan sentuhan tambahan, bahagian dalam kabin secara standard hadir dalam warna hitam, namun boleh dinaik taraf kepada kombinasi hitam dan putih dengan kos tambahan RM5,000. Roda standard 18 inci Photon juga boleh ditukar kepada rim 19 inci Nova, namun ini akan mengurangkan sedikit jarak pemanduan maksimum kepada 691 km. Selain itu, Tesla turut menawarkan dua pakej Autopilot tambahan – Enhanced Autopilot pada harga RM16,000 dan Full Self-Driving Capability pada harga RM32,000.

    Tesla Model 3 Highland Long Range RWD masuk pasaran Malaysia – jarak gerak WLTP 750 km, RM185k

    Sama seperti varian lain, LR RWD juga menerima beberapa kemas kini teknikal dan rekaan. Antaranya termasuk kamera hadapan baru pada bampar, yang merupakan sebahagian daripada sistem Tesla Vision dengan jumlah keseluruhan lapan kamera.

    Kamera ini diperkenalkan sebagai penyelesaian kepada penghapusan sensor ultrasonik sejak tahun 2022 dan dijangka dapat membantu meningkatkan keupayaan parkir serta keselamatan. Di samping itu, tuil lampu isyarat pada kolum stereng telah diperkenalkan semula, manakala logo Tesla pada bahagian bonet dan but kini lebih ringkas dan disiapkan dengan kemasan hitam matte. Perubahan ini turut dikongsi oleh semua varian Model 3 Highland.

     
     
  • Tesla Model 3 Highland turun harga sehingga RM13k di Malaysia – terima tuil lampu isyarat, kamera hadapan

    Tesla Model 3 Highland turun harga sehingga RM13k di Malaysia – terima tuil lampu isyarat, kamera hadapan

    Tesla Malaysia memberi kemas kini kepada barisan Model 3 Highland untuk pasaran tempatan, dengan bukan sahaja memperkenalkan varian baru, tetapi juga menurunkan harga bagi semua model sedia ada.

    Harga Baru Model 3 Highland di Malaysia adalah seperti berikut:

    • Rear-Wheel Drive (RWD) – RM169,000 (turun RM12,000 daripada RM181,000)
    • Long Range Rear-Wheel Drive (LR RWD) – RM185,000 (varian baru)
    • Long Range All-Wheel Drive (AWD) – RM199,000 (turun RM11,000 daripada RM210,000)
    • Performance All-Wheel Drive (AWD) – RM229,000 (turun RM13,000 daripada RM242,000)

    Penurunan harga ini merupakan kali kedua sejak pelancaran Model 3 Highland di Malaysia pada Oktober 2023. Ketika itu, harga bagi model RWD adalah RM189,000 manakala LR RWD pula dijual pada RM218,000. Pada April lalu, harga kedua-dua varian ini telah dikurangkan masing-masing kepada RM181,000 dan RM210,000.

    Selain pelarasan harga, Tesla turut memperkenalkan beberapa penambahbaikan teknikal dan spesifikasi baru. Antaranya, peningkatan jarak pemanduan (WLTP) untuk varian Performance AWD, yang kini mampu mencapai 571 km berbanding 528 km sebelum ini.

    Sebelum ini, varian RWD juga menerima peningkatan jarak gerak daripada 513 km kepada 520 km — dipercayai hasil penggunaan pek bateri yang dinaik taraf. Namun begitu, angka ini masih sedikit rendah berbanding 580 km yang ditawarkan pada Model Y Performance yang dikemas kini baru-baru ini.

    Ciri Baru pada Model 3 Highland:

    • Kamera baru pada bampar hadapan
    • Sistem Autopilot Vision yang dinaik taraf dengan lapan kamera
    • Tuil lampu isyarat baru pada kolum stereng
    • Logo Tesla berwarna hitam matte di bahagian depan dan belakang

    Tesla Model 3 Highland turun harga sehingga RM13k di Malaysia – terima tuil lampu isyarat, kamera hadapan

    Tiada perubahan pada pilihan warna sejak kemas kini awal tahun ini. Warna Stealth Grey kini menjadi warna standard menggantikan Pearl White Multi-Coat, yang kini ditawarkan sebagai pilihan berbayar (RM5,000), bersama warna Deep Blue Metallic dan Diamond Black (pengganti Solid Black). Warna premium seperti Quicksilver dan Ultra Red pula ditawarkan dengan bayaran tambahan RM11,000.

    Tesla Malaysia juga mengumumkan rancangan untuk memperluaskan lagi rangkaian infrastruktur pengecasan di seluruh negara. Menjelang akhir tahun 2025, lebih banyak stesen pengecasan akan dibina di lokasi strategik seperti Pavilion Damansara Heights, Nexus Bangsar South dan The Mall, Mid Valley Southkey. Setakat ini, Tesla mempunyai 15 stesen Supercharging dengan 68 Supercharger dan 16 stesen Destination Charging dengan 73 pengecas destinasi di seluruh Malaysia.

     
     
  • GAC Emkoo dilancarkan di Malaysia — SUV segmen C, dua varian, 1.5L turbo 177 PS/270 Nm; dari RM124k

    GAC Emkoo dilancarkan di Malaysia — SUV segmen C, dua varian, 1.5L turbo 177 PS/270 Nm; dari RM124k

    Setelah beberapa kali membuat penampilan umum dan dibuka untuk tempahan, Warisan Tan Chong Automotif (WTCA) selaku pengedar kenderaan GAC di Malaysia melancarkan secara rasmi model SUV segmen C terbaru keluarannya, GAC Emkoo. Ditawarkan dalam dua varian, Premium dan juga Premium Pro dengan harga masing-masing RM123,800 dan RM133,800.

    Sempena pelancarannya, 500 pembeli terawal juga akan menikmati tawaran menarik dalam bentuk rebat tunai sebanyak RM4,000 serta pakej aksesori percuma bernilai RM10,000.

    GAC Emkoo merupakan sebuah SUV dalam segmen C yang dibangun menggunakan Global Platform Modular Architecture (GPMA) oleh GAC sendiri, yang turut dikongsikan dengan model lebih kecil dalam segmen B, GS3 Emzoom. Emkoo mempunyai ukuran dimensi 4,680 mm panjang, 1,901 mm lebar dengan jarak antara roda 2,750 mm.

    GAC Emkoo dilancarkan di Malaysia — SUV segmen C, dua varian, 1.5L turbo 177 PS/270 Nm; dari RM124k

    Ukuran berkenaan sebenarnya lebih besar daripada pesaing dalam segmen yang sama, Proton X70 yang mempunyai dimensi 4,526 mm panjang, 1,831 mm lebar dengan jarak antara roda 2,670 mm — GAC Emkoo 154 mm lebih panjang, 70 mm lebih lebar serta jarak rodanya juga 80 mm lebih panjang.

    Emkoo untuk pasaran Malaysia didatangkan dengan satu pilihan enjin sahaja, 1.5 liter turbo petrol dengan sistem suntikan bahan api terus (TGDI) sahaja untuk kedua-dua varian. Unit tersebut menghasilkan kuasa sebanyak 177 PS pada 5,500 rpm dan tork maksimum 270 Nm bermula dari 1,400 hingga 4,500 rpm, digandingkan bersama kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan yang menghantar kuasa ke roda hadapan.

    Ini membolehkan Emkoo memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.8 saat, serta menggunakan bahan api serendah 6.6 liter bagi setiap 100 km dalam kitaran NEDC. Untuk ruang barangan, 638 liter ruang tersedia di belakang, dan jika penyadar kerusi direbahkan, ia akan memberikan kapasiti 1,586 liter.

    GAC Emkoo dilancarkan di Malaysia — SUV segmen C, dua varian, 1.5L turbo 177 PS/270 Nm; dari RM124k

    Sama seperti Emzoom, Emkoo menerapkan rekaan bersegi yang tajam. Ia menerima lampu hadapan LED yang bersambung dengan lampu nyalaan siang LED. Lampu dengan “sistem gaya matriks” ini turut menampilkan fungsi lampu tinggi adaptif. Lampu tersebut mengapit rekaan gril berbentuk-V, yang didakwa bermaksud “victory” (kejayaan).

    SUV ini juga menerima rekaan pemegang pintu tersorok, rekaan bumbung “terapung” dengan tiang-A digelapkan serta tiang-C yang tebal, serta rel bumbung berwarna perak yang direka seakan bersambung dengan spoiler.

    Di belakang, lampu SUV ini seakan menonjolkan huruf-X menerusi grafik LED yang menyala. Bahagian bawah bampar agak sibuk dengan diffuser yang menampilkan lampu mengundur di bahagian tengah bersama dua reflektor melintang serta dua liang udara palsu pada kedua-dua sisi.

    Kedua-dua varian Emkoo menerima rim aloi dua-tona 19-inci bersama tayar 235/55/R19 dan cermin sisi kawalan elektrik, namun hanya varian Premium Pro diberikan bumbung panaromik dan juga cermin sisi dengan fungsi pemanas, sudut pandang ke bawah ketika parkir serta memori. Manakala untuk fungsi pintu tailgate belakang bantuan kuasa, ia diberikan secara standard untuk Premium Pro, dan pelanggan yang membeli varian Premium ditawarkan secara pilihan dengan tambahan bayaran.

    Beberapa perincian unik boleh lihat pada rekaan dalaman GAC Emkoo ini, antaranya liang penghembus udara dengan bentuk seakan silinder, serta pembuka pintu bersaiz besar yang perlu ditarik ke atas. Tiada suis fizikal untuk kawalan penghawa dingin dan audio, dengan kedua-dua perincian tersebut diganti dengan suis maya yang sentiasa berada di kiri dan kanan skrin sentuh sistem infotainmen bersaiz 10.1-inci yang terletak di tengah papan pemuka.

    Skrin tersebut turut menyokong fungsi Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Kedua-dua varian juga datang dengan pad pengecas tanpa wayar 50W yang diletakkan pada konsol tengah, dengan bahagian tersebut turut menempatkan dua pemegang cawan, tombol gear dengan kemasan kristal, suis brek parkir elektrik, butang penghidup enjin dan suis lampu isyarat kecemasan.

    GAC Emkoo dilancarkan di Malaysia — SUV segmen C, dua varian, 1.5L turbo 177 PS/270 Nm; dari RM124k

    Kerusi balutan kulit sintetik adalah standard untuk kedua-dua varian. Bagi tempat duduk hadapan, varian Premium diberikan tempat duduk pemandu dengan fungsi larasan kuasa enam-hala dan juga liang pengudaraan, manakala varian Premium Pro ditambah dengan fungsi larasan elektrik 12-hala bersama memori pada tempat duduk pemandu, serta tempat duduk penumpang hadapan dengan larasan elektrik empat-hala dan liang pengudaraan.

    Bagi pemandu, skrin 7-inci diberikan untuk paparan instrumen digital bagi varian Premium, manakala varian Premium Pro ditambah dengan paparan instrumen digital dengan skrin 10.25-inci, paparan heads-up yang dipancarkan cermin hadapan. Selain itu varian paling mahal itu juga menerima penambahan Ionizer udara dengan penderia kualiti udara serta lampu suasana kabin pelbagai warna.

    Bagi aspek keselamatan, kedua-dua varian berkongsi kelengkapan yang hampir sama. Ia termasuk enam-beg udara, kamera pemantau 540-darjah dan pemantau tekanan angin tayar. Kedua-dua varian juga menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan kebolehan pemanduan autonomi Tahap 2 menampilkan fungsi termasuk brek kecemasan automatik, kawalan melayar adaptif dengan fungsi kawalan stereng seperti bantuan kekal tengah lorong dan sebagainya.

    Hanya varian Premium Pro yang diberikan sistem bantuan parkir automatik penuh (FAPA) yang membolehkan SUV ini diparkir secara automatik tanpa dipandu oleh pemandu. Dengan kelengkapan keselamatan yang ada, ai telah membolehkan GAC Emkoo menerima penarafan lima-bintang dalam ujian pelanggaran keselamatan Program Penilaian Kereta Baru untuk Asia Tenggara (ASEAN NCAP).

    Lima warna badan ditawarkan untuk GAC Emkoo pasaran Malaysia — Star Lake Green, Super Star Silver, Graphite Grey, Asphalt Black dan Frost White. SUV ini ditawarkan terus dalam versi pemasangan tempatan (CKD) di mana produksinya telah bermula Jun lalu di kilang milik Tan Chong di Segambut, Selangor.

    SUV ini juga datang dengan jaminan lima-tahun/150,000 km untuk kenderaan, serta jaminan tujuh-tahun/180,000 km untuk enjin dan sistem janaan.

    GAC Emkoo Premium

    GAC Emkoo Premium Pro

    GAC Emkoo Premium Pro di Malaysia

     
     
  • Tayar klon di kesan dalam serbuan ‘Ops Grip’ SPRM – pemalsuan label pelekat & tarikh produksi juga ditemui

    Tayar klon di kesan dalam serbuan ‘Ops Grip’ SPRM – pemalsuan label pelekat & tarikh produksi juga ditemui

    Jika anda baru-baru ini ada terbeli tayar dengan harga jauh lebih murah dari harga pasaran, mungkin anda patut berhati-hati. Ini kerana dalam serbuan beberapa premis jualan tayar yang dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dalam ‘Ops Grip’ awal minggu ini, bukan sekadar tayar yang diseludup ditemui, malah ada sebahagian tayar yang dipercayai merupakan tayar tiruan.

    Menurut laporan News Straits Times, pihak berkuasa telah menemui label-label pelekat yang belum dilekat pada tayar dalam sebuah gudang tayar yang diserbu tempoh hari. Dalam operasi tersebut, SPRM bersama beberapa penguatkuasa lain telah melakukan serbuan serentak di 23 lokasi yang terletak di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor. Sejumlah 17,672 tayar telah dirampas dari beberapa lokasi, termasuk yang disimpan di dalam gudang dan kontena penyimpanan.

    Pelekat-pelekat tersebut sepatutnya dilekatkan pada setiap unit tayar baharu dari kilang, dan ini mendorong SPRM untuk bertemu dengan pegawai kementerian pengangkutan dan kementerian perdagangan dalam negeri serta pemain industri bagi menentukan tahap keparahan masalah itu, memandangkan suruhanjaya berkenaan hanya mempunyai skop kuasa bagi kesalahan yang disyaki menyeludup tayar dan memalsukan dokumen import.

    Sumber yang rapat dengan perkara ini memberitahu akhbar berkenaan bahawa satu perbincangan telah berlangsung pada pagi semalam bagi memastikan sejauh mana tayar sedemikian telah menyusup masuk ke pasaran Malaysia. “Agenda mesyuarat adalah untuk membincangkan langkah seterusnya yang perlu diambil selepas penemuan tayar yang disyaki klon serta tayar yang mungkin tidak disahkan oleh badan pentadbir,” kata sumber berkenaan.

    Tayar klon di kesan dalam serbuan ‘Ops Grip’ SPRM – pemalsuan label pelekat & tarikh produksi juga ditemui

    Ia juga menyatakan bahawa ada kemungkinan sebahagian tayar-tayar yang lebih murah yang telah dirampas dalam serbuan tersebut langsung tidak menerima sebarang pensijilan. “Sesetengah tayar yang dirampas mungkin diberikan tanda E-Mark Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Jabatan Pengangkutan Amerika Syarikat semasa proses pembuatan tanpa memiliki pensijilan sebenar,” kata sumber itu.

    Berikutan serbuan yang telah dibuat, SPRM turut meminta pemain industri untuk datang melihat kawasan yang telah diserbu supaya mereka lebih faham situasi isu tersebut dan mencari jalan penyelesaian secepat mungkin. Sekurang-kurangnya lapan pengeluar tayar utama antarabangsa dan tempatan telah membuat pemeriksaan di beberapa gudang simpanan tayar semalam.

    Menerut laporan susulan yang dibuat oleh NST, antara syarikat tayar yang hadir membuat siasatan tersebut termasuk Michelin, Bridgestone, Toyo, Continental, Goodyear, Yokohama, Maxxis dan Pirelli. Syarikat-syarikat ini turut membawa pasukan teknikal untuk memeriksa pelbagai aspek pada produk keluaran masing-masing, khususnya bagi aspek ketulenan. Ada beberapa isu yang dikesan termasuk pemalsuan tarikh produksi tayar, penggunaan label-label pelekat palsu, dan juga tayar-tayar yang disyaki diseludup.

     
     
  • JPJ eBid: SJN dan CFE bakal dibuka untuk bidaan

    Oktober ini turut menyaksikan makin banyak syarikat kenderaan memperkenalkan model baharu serta mengadakan pelbagai promosi jualan menarik termasuk menawarkan diskaun dan rebat tunai. Mungkin anda ada berhajat untuk memiliki kenderaan baharu, jadi inilah masa yang sesuai untuk membelinya. Bagi yang sudah menempah kenderaan baharu, ini ada siri nombor pendaftaran terkini dari Sabah dan Pahang dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Sabah, SJN dibuka bidaannya mulai 4 Oktober. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 8 Oktober. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 9 Oktober 2025. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Pahang, CFE, bakal dibuka bidaan mulai 13 Oktober. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 17 Oktober, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 18 Oktober 2025.

    Disebabkan sekarang ini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026