Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Belanjawan 2026: Diskaun tol 50% pada 18-19 Okt 2025 sempena Deepavali, kos pampasan sebanyak RM19.86j

    Belanjawan 2026: Diskaun tol 50% pada 18-19 Okt 2025 sempena Deepavali, kos pampasan sebanyak RM19.86j

    Bagi yang ingin balik ke kampung atau ke mana-mana destinasi menggunakan lebuhraya utama sempena cuti perayaan Deepavali yang bakal disambut pada 20 Oktober 2025, ini ada berita baik untuk anda. Kerajaan telah bersetuju untuk meluluskan diskaun tol sebanyak 50% selama dua hari. Perkara ini diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pembentangan Belanjawan 2026 petang ini.

    Kementerian Kerja Raya (KKR) pula memaklumkan pemberian diskaun tol sebanyak 50% ini adalah bagi kenderaan Kelas 1 (Kelas 2 di Jambatan Pulau Pinang) sahaja bermula jam 12.01 tengah malam pada 18 Okt 2025 (Sabtu) dan berakhir jam 11.59 malam, 19 Okt 2025 (Ahad).

    Dan seperti kelazimannya, diskaun tol ini melibatkan semua plaza tol KECUALI di plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).

    “Kerajaan akan menanggung implikasi kewangan yang dianggarkan sebanyak RM19.86 juta bagi membayar pampasan kepada semua syarikat konsesi lebuhraya bertol berikutan pemberian diskaun tol 50% kepada rakyat bersempena musim Perayaan Deepavali ini,” kata KKR menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • Belanjawan 2026: RM2.2 bilion untuk projek tebatan banjir, lebih RM260 juta yang lain untuk baiki cerun

    Belanjawan 2026: RM2.2 bilion untuk projek tebatan banjir, lebih RM260 juta yang lain untuk baiki cerun

    Antara perkara penting yang turut mendapat perhatian dalam Belanjawan 2026 ialah berkaitan bencana banjir dan lain-lain, yang turut memberi kesan kepada komuniti berkenderaan di seluruh negara. Untuk itu, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2.2 bilion disediakan bagi meneruskan pelaksanaan 43 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) berkeutamaan tinggi mengikut jadual.

    Ini termasuklah 12 RTB baru yang mula dilaksanakan tahun hadapan, antaranya:

    • RTB Sungai Mengkibol, Mukim Kluang, Kluang, Johor
    • RTB Sungai Chaah, Segamat, Johor
    • RTB Sungai Temin/Bata, Kubang Pasu, Kedah
    • RTB Sungai Lenggeng, Seremban, Negeri Sembilan
    • RTB Sungai Gemencheh, Tampin, Neger Semblan
    • RTB Sungai Jimah Fasa 2, Port Dickson, Negeri Semblan
    • RTB Sungai Si Rusa, Port Dickson, Neger Semblan
    • RTB Sungai Nyiur, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang
    • RTB Sungai Trong, Larut, Matang Dan Selama, Perak
    • RTB Sungai Buloh Fasa 2, Selangor
    • RTB Sungai Buaya, Kuala Nerus, Terengganu
    • RTB Anak Sungai Ibai, Kuala Terengganu, Terengganu

    Selaian itu, lebih RM260 juta diperuntukkan bagi mencegah, menyelenggara dan membaiki cerun seluruh negara termasuk Jalan Persekutuan. Dan, sebanyak RM55 juta untuk membersih dan menaik taraf longkang dan parit di semua PBT.

     
     
  • Belanjawan 2026: Lemon Law akan diperkenal di M’sia

    Belanjawan 2026: Lemon Law akan diperkenal di M’sia

    Dalam pembentangan Belanjawan 2026 hari ini, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan akan meminda Akta Perlindungan Pengguna 1999 bagi memasukkan elemen undang-undang lemon (Lemon Law). Langkah ini bertujuan untuk melindungi hak pengguna, khususnya melibatkan pembelian kenderaan.

    Cadangan untuk mewujudkan Lemon Law ini bukanlah sesuatu yang baru. Pada Mac 2024, kerajaan telah melaksanakan satu kajian kebolehlaksanaan terhadap keperluan pelaksanaan undang-undang ini. Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh ketika itu menyatakan bahawa kajian ini turut meneliti beberapa kelemahan dalam Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang perlu diperbaiki.

    Kemudian pada Mei tahun ini, KPDN memaklumkan bahawa satu kertas cadangan telah disediakan untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri. Kertas cadangan tersebut mencadangkan pindaan kepada akta sedia ada bagi memasukkan peruntukan berkaitan Lemon Law, hasil daripada satu kajian undang-undang yang dijalankan selama enam bulan.

    Lemon Law lazimnya merujuk kepada perlindungan terhadap pengguna yang membeli kenderaan yang mengalami kerosakan serius atau kecacatan tersembunyi yang menjejaskan keselamatan dan fungsi kenderaan tersebut. Pelaksanaan undang-undang ini di Malaysia dijangka akan memberi perlindungan yang lebih menyeluruh kepada pengguna dan menggalakkan amalan lebih bertanggungjawab dalam industri automotif negara.

     
     
  • Belanjawan 2026: Projek lebuhraya di Sabah dan Sarawak melibatkan kos cecah RM48 bilion

    Belanjawan 2026: Projek lebuhraya di Sabah dan Sarawak melibatkan kos cecah RM48 bilion

    Menerusi pembentangan Belanjawan 2026 petang ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan projek yang berkait dengan lebuhraya di Sabah dan Sarawak melibatkan kos peruntukan mencecah RM48 bilion.

    Ini termasuklah sembilan pakej Lebuhraya Pan Borneo Sarawak Fasa 1 yang siap sepenuhnya dan telah pun dibuka untuk kegunaan rakyat. Fasa 1 ini melibatkan laluan berjarak 641 kilometer daripada keseluruhan 786 kilometer telah dibuka kepada pengguna. Antara pakej yang telah siap ialah jajaran Telok Melano ke Sematan, Serian ke Persimpangan Pantu, serta beberapa laluan utama lain yang memudahkan perhubungan di Sarawak.

    “Empat pakej Pan Borneo Sabah Fasa 1 A juga telah siap. Untuk tahun 2026, sebanyak RM1.67 bilion disediakan untuk Pan Borneo Sabah (bagi Fasa 1B) dilaksanakan mengikut jadual. Bagi projek Lebuhraya Trans Borneo (LTB) melengkapkan jalan perhubungan antara Sabah Sarawak, Surat Setuju Terima (SST) akan dikeluarkan seawal suku pertama 2026,” katanya.

    Selain itu, katanya, kerajaan akan menaiktaraf struktur turapan jalan sedia ada bagi jajaran red line di seksyen Durin dan Salim, Sibu, Sarawak dengan kos sebanyak RM350 juta.

    Dengan keprihatinan kerajaan pusat yang menyediakan memperuntukkan seperti yang diumumkan ini, pastinya memberikan khabar gembira buat penduduk di Malaysia Timur kerana jalan penghubung dan infrastruktur lebuhraya di sana dipertingkatkan.

     
     
  • Pengecualian cukai kereta mewah di Langkawi dihad kepada kereta bernilai RM300k bermula 1 Jan 2026

    Pengecualian cukai kereta mewah di Langkawi dihad kepada kereta bernilai RM300k bermula 1 Jan 2026

    Menteri Kewangan merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa pengecualian cukai kenderaan di Langkawi dan Labuan dihadkan kepada nilai kenderaan tidak melebihi 300 ribu ringgit berkuat kuasa 1 Januari 2026.

    Perkara ini diumumkan beliau ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat sebentar tadi. Menurut beliau pengecualian cukai yang telah diberikan sekian lama tersebut telah menyebabkan golongan ‘mahakaya’ mengambil kesempatan untuk membeli kenderaan mewah dan disimpan di pulau-pulau bebas cukai berkenaan.

    Jadi langkah terbaharu ini akan mengelakkan ketirisan cukai berkenaan, dan pengecualian cukai tersebut akan digunakan hanya bagi memudahkan penduduk-penduduk tempatan di Pulau Langkawi dan Pulau Labuan untuk membeli kenderaan bagi kegunaan harian di sana.

     
     
  • Sistem MyNIISe diperluaskan ke laluan motosikal di dua pintu masuk utama negara di Johor mulai 15 Okt

    Bermula 15 Oktober 2025 ini, Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) bakal diperluaskan ke laluan motosikal di dua pintu masuk utama negara iaitu Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Johor.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, melalui peluasan ini, pengguna motosikal boleh menikmati urusan imigresen yang lebih cepat dan mudah dengan pilihan dua sistem yang memiliki fungsi yang sama dan cepat iaitu MyNIISE dan MyBoarderPass.

    Katanya, sebanyak tujuh unit laluan keluar di BSI iaitu B1- B7 disediakan khusus untuk pengguna motosikal yang menggunakan sistem MyNIISe. Manakala di KSAB pula terdapat lapan unit laluan motosikal membabitkan empat laluan masuk (B21- B24) yang dilengkapi dengan sistem pengimbas kod QR.

    Sistem MyNIISe diperluaskan ke laluan motosikal di dua pintu masuk utama negara di Johor mulai 15 Okt

    Pada pertengahan September lalu, kerajaan mengumumkan pengguna yang memasuki Singapura melalui jalan darat di pusat pemeriksaan BSI dan KSAB boleh menggunakan sistem kod QR yang berupakan satu usaha di bawah Sistem MyNIISe.

    Pemandu yang memasuki Singapura boleh mengimbas kod QR yang dihasilkan oleh MyNIISe di laluan terpilih dan tidak perlu lagi menunggu giliran untuk pemeriksaan manual di kaunter. Pengguna bagaimanapun perlu terlebih dahulu mendaftar menerusi platform MyNIISe untuk membolehkan mereka menjana kod QR berkenaan, yang akan dipautkan dengan perincian perjalanan mereka.

     
     
  • Belanjawan 2026: Kemaskini secara live bagi hal-hal berkaitan automotif dan sektor pengangkutan

    Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah pun membentangkan Belanjawan 2026 petang ini. Seperti kebiasaannya, kami akan memberi perhatian kepada hal-hal berkaitan automotif dan sektor pengangkutan yang terangkum dalam pembentangan tersebut dan membawakan kemaskini semasa di sini.

    Hal-hal berkaitan yang mungkin akan disentuh adalah tentang Budi95 yang sudah dimulakan sejak hujung September dan bagaimana lanjutannya pada masa akan datang. Selain itu, diharap Belanjawan 2026 ini juga akan memberikan petunjuk baru kepada perkara pengecualian cukai yang akan berakhir hujung tahun ini atau yang berkaitan dengan kenderaan elektrik di Malaysia.

    Selain itu perkembangan lanjut atau kemaskini terbaru tentang isu open market value OMV/402 juga diharap akan diberi sorotan oleh PMX, kerana ia akan memberi kesan kepada harga kereta pemasangan tempatan (CKD).

    Naik taraf lebuhraya seperti Lebuhraya Timur-Barat (terutamanya laluan Gerik-Jeli) juga dijangka bakal diumumkan.

    Ikuti kemaskini secara langsung Belanjawan 2026 bersama kami.

      Senarai perkara terbabit adalah seperti berikut:

      1. Pengecualian cukai kenderaan di Pulau Langkawi dan Pulau Labuan akan dihadkan kepada nilai kenderaan yang tidak melebihi RM300,000, berkuatkuasa 1 Januari 2026. Ini adalah kerana terdapat segelintir pemilik kenderaan mewah yang telah mengambil kesempatan ke atas situasi tersebut sekian lama untuk lari daripada cukai.

      2. Lemon Law. Setelah penggubalan Akta Kredit Pengguna, kerajaan akan meminda Akta Perlindungan Pengguna untuk memasukkan unsur Lemon Law untuk untuk melindungi hak pengguna yang sering tertindas.

      3. Projek lebuh raya Sabah & Sarawak. Kos sebanyak RM48 bilion diperuntukkan untuk menyelesaikan pembinaan jaringan lebuh raya dan jalan raya di Malaysia Timur, termasuk Pan Borneo Sabah, Projek Sabah-Sarawak Link Road, Projek Trans Borneo serta naik taraf jajaran red line.

      4. Pengecualian duti eksais teksi. Sebagai kemudahan kepada semua pemandu teksi, kerajaan meneruskan pengecualian 100 peratus duti eksais dan pengecualian 100 peratus cukai jualan ke atas pembelian kereta nasional baru keluaran PROTON dan PERODUA oleh pemilik teksi dan kereta sewa persendirian.

      5. Langkah tebatan banjir jangka panjang. Sebanyak RM2.2 bilion disediakan bagi meneruskan pelaksanaan 43 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) berkeutamaan tinggi mengikut jadual, termasuk 12 RTB baharu yang mula dilaksanakan tahun hadapan, antaranya:

    • RTB Sungai Mengkibol, Mukim Kluang, Kluang, Johor
    • RTB Sungai Chaah, Segamat, Johor
    • RTB Sungai Temin/Bata, Kubang Pasu, Kedah
    • RTB Sungai Lenggeng, Seremban, Negeri Sembilan
    • RTB Sungai Gemencheh, Tampin, Neger Semblan
    • RTB Sungai Jimah Fasa 2, Port Dickson, Negeri Semblan
    • RTB Sungai Si Rusa, Port Dickson, Neger Semblan
    • RTB Sungai Nyiur, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang
    • RTB Sungai Trong, Larut, Matang Dan Selama, Perak
    • RTB Sungai Buloh Fasa 2, Selangor
    • RTB Sungai Buaya, Kuala Nerus, Terengganu
    • RTB Anak Sungai Ibai, Kuala Terengganu, Terengganu
    • 6. Pencegahan bencana lain. Lebih RM260 juta diperuntukkan bagi mencegah, menyelenggara dan membaiki cerun seluruh negara termasuk Jalan Persekutuan. Dan, sebanyak RM55 juta untuk membersih dan menaik taraf longkang dan parit di semua PBT.

      7. Lupus kereta tua. Kerajaan akan menyediakan geran padanan dengan nilai sehingga RM4,000, bersama dengan pengeluar kenderaan nasional, bagi menggalakkan pemilik kenderaan tua yang sudah berusia lebih 20 tahun untuk melupuskan kenderaan mereka dan membeli kenderaan nasional yang baru.

      8. Penyelenggaraan jalan persekutuan. Sebanyak RM2.5 bilion diperuntukkan bagi tujuan selenggara Jalan Persekutuan, termasuk menurap jalan berlubang, memasang lampu jalan di kawasan berisiko serta mengganti perabot jalan. 700 juta ringgit dikhaskan untuk kontraktor G1-G4.

      9. Penyelenggaraan jalan negeri. RM5.6 bilion pemberian MARRIS kepada kerajaan negeri untuk menyelenggara jalan negeri di seluruh negara. RM30 juta juga diberikan untuk memperkasa peranan Jurutera Daerah bagi mempercepat kera-kerja pembaikan kecil di daerah termasuk aduan rakyat melalui aplikasi MY Jalan.

      10. Pemasangan lampu jalan. Lembaga Lebuhraya Malaysia akan memasang 3,000 unit lampu LED di beberapa lokasi tumpuan lebuh raya yang berisiko terjadinya kemalangan.

      11. Menghadkan kelajuan kenderaan berat. Bagi membantu penguatkuasaan had laju, kerajaan bercadang, kos pembelian alat pengehad kelajuan untuk kenderaan berat diberi Elaun Modal Dipercepatkan untuk dituntut dalam tempoh satu tahun.

      12. Kesihatan pemandu. Program Saringan Kesihatan PERKESO juga diperluas kepada pemandu pengangkutan awam dan barangan.

     
     
  • BYD Atto 3 facelift 2026 dapat motor elektrik daripada Seal, binaan elektrik 800 volt, pengecasan DC 150 kW

    BYD Atto 3 facelift 2026 dapat motor elektrik daripada Seal, binaan elektrik 800 volt, pengecasan DC 150 kW

    Model terbaru BYD Atto 3 versi facelift untuk tahun 2026 bakal tampil dengan peningkatan kuasa yang ketara apabila dilengkapi motor elektrik berkuasa 308 hp, diambil daripada model Seal. Menurut laporan Car News China, peningkatan ini juga menunjukkan bahawa model ini mungkin akan menerima seni bina elektrik 800-volt, sekaligus membolehkannya menyokong pengecasan pantas DC yang lebih laju.

    Meskipun dimensi luarannya kekal sama seperti sebelum ini, iaitu panjang 4,455 mm, lebar 1,875 mm, tinggi 1,615 mm dan jarak antara roda 2,720 mm — berat Atto 3 baru bagaimanapun telah meningkat kepada 1,880 kg berbanding hanya 1,625 kg sebelum ini. Peningkatan berat ini dipercayai berpunca daripada penggunaan pek bateri yang lebih besar, walaupun kapasiti sebenar bateri masih belum diumumkan.

    Versi facelift ini juga dikatakan akan menggunakan bateri daripada FinDreams dan kombinasi bersama motor berkuasa tinggi seperti yang terdapat pada model Seal dan Denza N7, menguatkan lagi spekulasi mengenai penggunaan sistem 800-volt. Dengan ini, Atto 3 2026 akan menyokong pengecasan pantas DC sehingga 150 kW — hampir dua kali ganda lebih pantas berbanding 88 kW pada model terdahulu.

    BYD Atto 3 facelift 2026 dapat motor elektrik daripada Seal, binaan elektrik 800 volt, pengecasan DC 150 kW

    Dikenali sebagai Yuan Plus di China, Atto 3 facelift hadir dengan rekaan luaran yang lebih moden dan menyerupai model lebih kecil dalam barisan BYD iaitu Atto 2 (Yuan Up di pasaran China). Antara perubahan reka bentuk termasuk bahagian bampar depan yang kini tampil dengan potongan lebih tajam serta kemasan salur udara yang direka semula. Bahagian bampar belakang juga menerima sentuhan serupa dengan rekaan diffuser berwarna kontras di bahagian bawah.

    Spoiler baru turut dipasang di bahagian atas pintu but dengan rekaan tengah yang melengkung dan lampu brek berkembar menyerupai simbol ‘pause’. Lampu belakang pula menerima elemen rekaan berombak yang diambil daripada model Atto 2 dan Dolphin. Panel tiang-C kini tampil lebih ringkas, manakala reka bentuk rim aloi baru lebih tertutup bagi meningkatkan kecekapan aerodinamik. Kamera hadapan juga telah diposisikan lebih tinggi pada bampar.

    Di Malaysia, BYD Atto 3 masih ditawarkan dalam versi sebelum facelift sebagai varian Ultra, dijual pada harga RM123,800 — penurunan sebanyak RM44,000 daripada harga pelancarannya pada tahun 2023 iaitu RM167,800 untuk varian Extended Range dengan bateri berkapasiti 60.48 kWh.

     
     
  • Lorong ditutup di Plaza Tol Shah Alam, Plaza Tol Persimpangan Putra Mahkota di PLUS – 11-12 Okt

    Lorong ditutup di Plaza Tol Shah Alam, Plaza Tol Persimpangan Putra Mahkota di PLUS – 11-12 Okt

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memaklumkan bahawa satu lorong keluar bagi kenderaan berat dan lebar (Lorong K16) di Plaza Tol Shah Alam, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah akan ditutup sementara pada 11 hingga 12 Okt 2025.

    Penutupan lorong berkenaan adalah bagi kelancaran kerja-kerja penambahbaikan turapan jalan di laluan berkenaan iaitu bermula jam 10 malam (11 Okt) hingga 2 petang keesokan harinya.

    Lorong ditutup di Plaza Tol Shah Alam, Plaza Tol Persimpangan Putra Mahkota di PLUS – 11-12 Okt

    Pada tarikh dan masa yang sama juga, PLUS turut mengumumkan penutupan satu lorong masuk (Lorong M02) di Plaza Tol Persimpangan Putra Mahkota di KM289.00 di Lebuhraya Utara-Selatan untuk tujuan yang sama iaitu penurapan jalan.

    “Pemandu kenderaan berat yang melebihi had lebar dinasihatkan untuk menggunakan laluan alternatif di plaza tol berhampiran sama ada menerusi Plaza Tol Southville City di KM294.15 atau Plaza Tol Bandar Baru Nilai di KM283.8 semasa tempoh kerja-kerja dijalankan.

    “Kerjasama para pelanggan lebuhraya untuk mematuhi arahan papan tanda di lokasi sepanjang proses kerja-kerja dijalankan amat kami hargai. Sekiranya anda menghadapi kecemasan, sila hubungi talian PLUSLine di 1800-88-0000,” kata PLUS,

     
     
  • Belanjawan 2026 dibentangkan jam 4 petang oleh PMX

    Belanjawan 2026 dibentangkan jam 4 petang oleh PMX

    Belanjawan 2026 Malaysia akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada jam 4 petang hari ini. Seperti biasa, paultan.org akan memantau ucapan beliau bagi sebarang pengumuman berkaitan automotif dan pengangkutan, serta melaporkannya secara langsung di sini.

    Dengan perkara utama seperti Budi Madani RON 95 (Budi95) sudah dilaksanakan dan berjalan dengan baik secara keseluruhannya, kami menjangkakan kerajaan akan memberi tumpuan kepada isu-isu lain. Adakah kerajaan akan mengesahkan secara rasmi bahawa kenderaan elektrik (EV) yang diiimport sepenuhnya (CBU) tidak lagi akan dikecualikan cukai menjelang tahun 2026? Ketika ini, kita masih belum mencapai separuh daripada sasaran negara untuk mempunyai 10,000 pengecas EV menjelang akhir tahun 2025; adakah sasaran ini akan disemak semula?

    Terdapat juga kemungkinan kemas kini mengenai status OMV/402, yang mungkin memberi kesan kepada harga kereta pemasangan tempatan (CKD). Naik taraf lebuhraya seperti Lebuhraya Timur-Barat (terutamanya laluan Gerik-Jeli) juga dijangka bakal diumumkan. Nantikan laporan selanjutnya.

    Secara rasmi, ini merupakan belanjawan keempat kerajaan Madani dan yang pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang bertujuan untuk terus menyokong rakyat tanpa menambah hutang negara, mengukuhkan ekonomi, memelihara kebajikan rakyat, meningkatkan taraf hidup minimum, memperkukuh pertumbuhan nasional, serta memperteguh asas pembangunan mampan dan inklusif Malaysia.

     
     
  • JPJ Selangor sita 17 bas kilang, keluarkan 186 saman dalam Ops Khas KPA di sekitar Shah Alam dan Klang

    JPJ Selangor sita 17 bas kilang, keluarkan 186 saman dalam Ops Khas KPA di sekitar Shah Alam dan Klang

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor telah melaksanakan Ops Khas KPA (bas kilang) yang diadakan di sekitar Shah Alam dan Meru, Klang pada 8 Okt lalu dan hasilnya sebanyak 17 buah kilang telah disita serta sejumlah 186 notis atas pelbagai kesalahan dikeluarkan.

    Menurut Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan, antara kesalahan tertinggi seperti tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) dengan 25 saman, tiada Lesen Vokasional (27), kesalahan teknikal (25), Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh (20), tiada insuran (10) dan lain – lain termasuk menggunakan telefon bimbit sewaktu memandu (36).

    “JPJ Selangor ingin mengingatkan semua pengendali kenderaan perdagangan agar sentiasa memastikan kenderaan diselenggara dengan baik dan pemandu mematuhi syarat-syarat lesen serta peraturan jalan raya. Pihak kami juga akan terus mempertingkatkan operasi seumpama ini dari semasa ke semasa demi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya,” katanya lagi.

    Ops Khas KPA (bas kilang) ini adalah sebahagian daripada Ops Khas Gempur Perdagangan yang mula dilaksanakan oleh JPJ di seluruh negara sejak 1 Sept lalu hingga 31 Dis 2025. Ia dilaksanakan bagi memastikan pemandu dan pengendali kenderaan perdagangan mematuhi sepenuhnya peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) beserta Kaedah-kaedah di bawahnya, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 serta Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987.

    Pada 1 Okt lalu, Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Malaysia, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan dilaporkan berkata, sejak 1 Sept 2025, pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 124,700 notis saman atas pelbagai kesalahan melalui Ops Khas Gempur Perdagangan di seluruh negara. Di mana sepanjang tempoh sebulan itu, 544,403 kenderaan diperiksa, yang mana 50,629 daripadanya diambil tindakan termasuk tindakan menyita 1,060 kenderaan.

     
     
  • 2.1 juta kenderaan dijangka berada di lebuhraya, jalan bandaran antara 17-22 Okt 2025 sempena Deepavali

    2.1 juta kenderaan dijangka berada di lebuhraya, jalan bandaran antara 17-22 Okt 2025 sempena Deepavali

    Sempena dengan cuti perayaan Deepvali yang bakal disambut pada 20 Oktober ini, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menjangkakan sekitar 2.1 juta kenderaan akan bergerak menuju pelbagai destinasi dalam tempoh 17 hingga 22 Oktober 2025.

    Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata pihaknya akan menggerakkan lebih 500 pegawai dan anggota di seluruh negara bagi mengawasi situasi dan pergerakan di sepanjang lebuhraya dan jalan bandaran, laporan Bernama.

    “Fokus operasi adalah untuk memastikan aliran trafik lancar terutamanya di lebuhraya, jalan bandaran dan jalan persekutuan selain lokasi tumpuan ramai seperti kawasan tumpuan pelancong. JSPT juga akan segera membantu pengguna jalan raya yang terlibat dalam kemalangan bagi mengelakkan kesesakan,” katanya.

    Beliau berkata, pihaknya juga menunggu arahan lanjut daripada Kementerian Pengangkutan (MOT) berhubung larangan perjalanan kenderaan perdagangan di lebuhraya utama sepanjang cuti perayaan itu.

     
     
  • Geely Xingyuan 2026 bakal dilancar 10 Oktober — beza penampilan berbanding Proton eMas 5, lebih jarak km?

    Geely Xingyuan 2026 bakal dilancar 10 Oktober — beza penampilan berbanding Proton eMas 5, lebih jarak km?

    Geely telah umumkan yang model Xingyuan 2026 akan dilancarkan untuk pasaran China esok, 10 Oktober 2025. Penawaran terbaru ini akan membawakan beberapa peningkatan terhadap EV berkenaan. Pengumuman tersebut turut disertakan dengan beberapa imej rasmi model tersebut.

    Antara kelainan yang ditampilkan untuk model baru itu ialah perincian hitam di bahagian tiang C kini mempunyai motif bintang (sesuai dengan namanya yang bermaksud “star wish”), sementara ruang dalaman dengan kemasan hitam berkilau juga mengenakan corak yang sama, dan menggantikan corak hiasan yang sebelumnya.

    Macam pernah dilihat? Ya, memang. Corak dan perincian bintang ini pertama sekali digunakan untuk kembar model ini di Malaysia, Proton eMas 5 — ini bermakna, selain menggunakan lencana yang berbeza serta kedudukan stereng, kedua-dua model itu adalah sama.

    Geely Xingyuan 2026 bakal dilancar 10 Oktober — beza penampilan berbanding Proton eMas 5, lebih jarak km?

    Kemaskini lain termasuklah pilihan warna baru lilac, yang akan menyertai warna biru muda, hijau dan merah jambu, serta warna krim, putih, kelabu dan perak. Tiada sebarang perubahan lain yang dimaklumkan setakat ini, namun kita boleh jankakan perubahan lebih ketara diberikan untuk aspek mekanikal — Geely baru-baru ini memperkenalkan pilihan bateri yang lebih besar untuk Galaxy E5 (atau Proton eMas 7 di sini).

    Berpandukan kembarnya eMas 5 yang berkongsi motor dan bateri yang sama, model ini adalah pacuan roda belakang, dengan varian paling asas menghasilkan 79 PS (58 kW) dan 130 Nm dengan memberikan jarak WLTP hanya 225 km dengan bateri CATL lithium iron phosphate (LFP) 30.12 kWj. Varian lebih tinggi pula menerima output 116 PS (85 kW) dan 150 Nm, dan dilengkapi dengan bateri lebih besar 40.16 kWj, dengan jarak 325 km.

    Proton eMas 5 akan dilancarkan di Malaysia dalam masa terdekat, dan sudah dibuka untuk tempahan. Ia menjadi EV termurah di Malaysia dengan harga anggaran dari RM60,000 hingga RM80,000 — jauh di bawah tahap harga minimum RM100,000 yang dikenakan untuk EV import lain.

     
     
  • Rang Undang-Undang Sewa Beli (Pindaan) 2025 diluluskan – kadar faedah efektif ganti kadar rata

    Rang Undang-Undang Sewa Beli (Pindaan) 2025 diluluskan – kadar faedah efektif ganti kadar rata

    Dewan Rakyat semalam meluluskan Rang Undang-Undang (Pindaan) Sewa Beli 2025 yang menyaksikan pemansuhan penggunaan kadar rata (flat rate) dan kaedah pengiraan Rule of 78 dalam pinjaman sewa beli berkadar tetap. Langkah ini diumumkan bagi memastikan sistem pembiayaan yang lebih adil dan tidak membebankan pengguna – lapor Bernama.

    Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali ketika menggulung perbahasan rang undang-undang tersebut berkata bahawa sistem kadar rata dan Rule of 78 selama ini dianggap tidak adil kepada peminjam, terutama bagi mereka yang ingin melangsaikan pinjaman lebih awal. Kaedah lama ini akan digantikan dengan kadar faedah efektif (Effective Interest Rate, EIR) dan kaedah baki berkurang (reducing balance), yang lebih telus serta memberi manfaat kepada pengguna.

    Menurut laporan The Edge Malaysia, pindaan ini turut mewajibkan pemberi pinjaman untuk mendedahkan kadar faedah efektif kepada pengguna, bukan sahaja ketika promosi dibuat, tetapi juga sebelum sebarang perjanjian ditandatangani. Langkah ini bertujuan memberi gambaran yang lebih tepat kepada pengguna mengenai jumlah faedah sebenar yang perlu dibayar sepanjang tempoh pinjaman.

    Rang Undang-Undang Sewa Beli (Pindaan) 2025 diluluskan – kadar faedah efektif ganti kadar rata

    Armizan menjelaskan bahawa penggunaan kadar faedah efektif akan memastikan pengiraan ansuran bulanan yang lebih adil serta caj faedah yang tidak membebankan, terutama untuk peminjam yang ingin menyelesaikan pinjaman lebih awal. Ini kerana, tidak seperti sistem lama yang mengenakan faedah tinggi pada peringkat awal pinjaman, kaedah baki berkurang hanya mengenakan faedah berdasarkan baki pinjaman semasa.

    Tambah beliau, pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan ketelusan dalam pengurusan pinjaman sewa beli, malah membolehkan pengguna membuat perbandingan yang lebih tepat antara pelbagai pakej pinjaman yang ditawarkan. Ia juga membantu pengguna merancang kewangan mereka dengan lebih baik kerana kadar faedah efektif menunjukkan jumlah sebenar faedah yang perlu dibayar, serta membantu mengenal pasti kos tersembunyi seperti faedah kompaun yang boleh membawa kepada hutang yang semakin meningkat.

    Selain pemansuhan kadar rata dan Rule of 78, pindaan ini turut membuka ruang untuk penggunaan teknologi moden dalam proses perjanjian dan kemas kini sewa beli. Turut dicadangkan ialah pindaan kepada Seksyen 6B, yang memperkenalkan kaedah baru bagi pengiraan caj sewa beli, termasuk tempoh masa untuk pemilik memberitahu penyewa mengenai sebarang perubahan dalam komitmen kewangan mereka selepas semakan semula kadar faedah efektif dilakukan.

    Rang Undang-Undang Sewa Beli (Pindaan) 2025 diluluskan – kadar faedah efektif ganti kadar rata

    Walaupun rang undang-undang ini telah diluluskan, ia tidak akan dikuatkuasakan serta-merta. Sebaliknya, satu tempoh peralihan selama 18 bulan telah ditetapkan untuk pelaksanaan penuh pindaan ini. Namun, beberapa ahli parlimen telah menyuarakan gesaan agar tempoh peralihan tersebut dipendekkan bagi mempercepatkan pelaksanaan.

    Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong mencadangkan agar tempoh peralihan dipendekkan kepada antara enam hingga 12 bulan sahaja, dengan alasan bahawa institusi kewangan pada masa ini sudah pun menggunakan sistem komputer sedia ada bagi pinjaman perumahan yang berasaskan kaedah baki berkurang.

     
     
  • Budi95: Majikan tidak boleh arah pekerja guna subsidi RON95 untuk kegunaan kenderaan syarikat – Fahmi

    Budi95: Majikan tidak boleh arah pekerja guna subsidi RON95 untuk kegunaan kenderaan syarikat – Fahmi

    Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menegaskan bahawa majikan tidak dibenarkan mengarah pekerja untuk mengisi petrol menggunakan bantuan subsidi bersasar Budi Madani RON95 (Budi95) bagi kegunaan kenderaan milik syarikat, laporan Bernama.

    Beliau berkata, sekiranya perkara itu berlaku, pekerja boleh membuat laporan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) atau memaklumkan kepada pihak berwajib untuk tindakan lanjut.

    “Itu salah. Jadi sekiranya ada mana-mana pekerja yang diarah oleh syarikat untuk mengisi kenderaan syarikat, kenderaan milik syarikat untuk tujuan itu, boleh buat laporan kepada pihak KPDN ataupun maklumkan pihak berwajib untuk mengambil tindakan,” katanya.

    Budi95: Majikan tidak boleh arah pekerja guna subsidi RON95 untuk kegunaan kenderaan syarikat – Fahmi

    Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai video tular membabitkan seorang pekerja syarikat kurier yang didakwa mengisi petrol untuk kenderaan majikannya menggunakan bantuan subsidi bersasar Budi95.

    “Saya ada teliti satu video tular melibatkan sebuah syarikat kurier baru-baru ini, dan saya telah minta pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat kurier itu kerana syarikat kurier menerima lesen daripada MCMC.

    “CEO syarikat kurier itu mengakui bahawa mereka mempunyai fleet card dan pekerja berkenaan telah pun menurunkan kandungan tersebut. Syarikat kurier itu memaklumkan kepada pihak MCMC bahawa pekerja tersebut telah memohon maaf,” katanya.

    Budi95: Majikan tidak boleh arah pekerja guna subsidi RON95 untuk kegunaan kenderaan syarikat – Fahmi

    Fahmi turut menambah beliau telah berhubung dengan Kementerian Kewangan dan Persatuan Syarikat Penghantaran Ekspress Malaysia (AMEC) bagi meneliti mekanisme bantuan yang bersesuaian untuk pekerja syarikat penghantaran, khususnya dalam kalangan pekerja ekonomi gig.

    “Sebab kita tahu ada dua kategori (pekerja penghantaran), mereka yang bekerja secara tetap dengan syarikat, maka syarikat penghantaran ini akan menyediakan fleet card. Tetapi sekiranya mereka pekerja gig, jadi dalam aspek itu pihak Kementerian Kewangan sedang meneliti kemungkinan dimasukkan sebagai sebahagian daripada pekerja gig yang mendapat kuota Budi95,” katanya.

    Dengan kemas kini harga bahan api terbaru yang dikeluarkan semalam, Kementerian Kewangan telah menegaskan bahawa harga tanpa subsidi bagi petrol RON95 akan kekal pada kadar RM2.60 seliter bagi bulan Oktober 2025. Rakyat Malaysia yang mempunyai lesen memandu yang sah dan layak untuk program Budi95 akan dapat membeli petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter, dengan kuota bulanan sebanyak 300 liter.

     
     
  • Kalle Rovanperä bersara dari WRC hujung musim ini, bakal pandu siri Super Formula Jepun tahun depan

    Kalle Rovanperä bersara dari WRC hujung musim ini, bakal pandu siri Super Formula Jepun tahun depan

    Juara dunia Kejohanan Rali Dunia (WRC) paling muda dalam sejarah, Kalle Rovanperä mengumumkan bahawa beliau akan bersara dari perlumbaan tersebut pada penghujung musim ini dan bakal beralih arah untuk berlumba dalam disiplin lain.

    “Saya jatuh cinta dengan rali ketika masih seorang kanak-kanak dan bertuah untuk membesar dikelilingi legenda dan idola, dengan peluang untuk memandu pada usia yang sangat muda. Impian saya ketika itu adalah untuk menjadi pelumba WRC, menang rali, dan satu hari nanti bergelar juara dunia. Saya bangga kerana telah mencapai impian-impian tersebut. Sukan ini telah membentuk saya dan kemahiran saya dalam banyak cara, dan saya berhenti dengan rasa yang sangat bersyukur,” kata Rovanperä dalam kenyataan yang baru dikeluarkan sebentar tadi.

    Kalle Rovanperä merupakan anak kepada pelumba WRC dari Finland, Harri Rovanperä yang pernah menang Rally Sweden 2001 bersama pasukan Peugeot. Beliau mula mendapat perhatian dalam dunia rali ketika masih berumur lapan-tahun, dilihat begitu mahir memandu jentera rali pacuan belakang Toyota Starlet. Pada umur baru mencecah 15 tahun, Kalle Rovanperä sudahpun berjaya bergelar juara kelas R2 dalam Kejohanan Rali Latvia.

    Kalle Rovanperä bersara dari WRC hujung musim ini, bakal pandu siri Super Formula Jepun tahun depan

    2023 FIA World Rally Championship / Round 12 / Central European Rally 2023 / 25th-29th October, 2023 // Worldwide Copyright: Toyota Gazoo Racing WRT

    Rovanpera kemudiannya beralih ke kelas lebih tertinggi pada kejohanan rali nasional berkenaan dan berjaya bergelar juara kategori terbuka dua tahun berturut-turut pada 2016 dan 2017. Dia kemudiannya dilamar oleh pasukan Skoda untuk bertarung dalam WRC dalam kategori WRC2 Pro, dan bergelar juara pada tahun 2019.

    Ini menyebabkan Tommi Makinen yang ketika itu menyandang tugas sebagai prinsipal pasukan Toyota Gazoo Racing tidak menunggu lama untuk melamar Rovanpera bagi menyertai pasukannya, melengkapkan barisan pemandu pasukan tersebut bersama Elfyn Evans dan Sebastien Ogier bermula pada musim 2020.

    Beliau kemudiannya mencatatkan rekod sebagai pemenang pusingan WRC paling muda apabila memenangi Rally Estonia 2021 ketika berumur 20 tahun, dan kemudian dinobatkan sebagai Juara Dunia WRC paling muda dalam sejarah pada musim 2022 ketika berumur 22 tahun. Kalle Rovanperä sekali lagi mempertahankan gelaran Juara Dunia berkenaan pada musim 2023.

    Kalle Rovanperä bersara dari WRC hujung musim ini, bakal pandu siri Super Formula Jepun tahun depan

    Pelumba muda tersebut kemudiannya mengumumkan untuk ‘separa bersara’ dari WRC dengan mengambil bahagian dalam hanya beberapa pusingan, di mana masa lapang yang ada beliau gunakan untuk mengambil bahagian dalam beberapa perlumbaan litar dan juga kejohanan Drift. Setelah kembali sepenuh masa pada musim 2025, prestasi Rovanpera dilihat menurun dengan mendakwa bahawa beliau tidak dapat menyesuaikan dengan tayar baharu WRC yang kini dibekalkan oleh Hankook berbanding Pirelli sebelum ini.

    Ke mana arah Kalle Rovanperä selepas ini? Menerusi satu lagi kenyataan yang juga baru dikeluarkan oleh Toyota Gazoo Racing (TGR), Rovanperä bakal memulakan kerjayanya sebagai pelumba single seater dalam siri Kejohanan Super Formula Jepun musim hadapan dengan sokongan dari Toyota, dengan sasaran untuk ke Kejohanan Formula 2 pada 2027!

    “Agak istimewa untuk mendapat sokongan dari Toyota Gazoo Racing dari permulaan cabaran baharu ini dan dapat berlumba dalam Super Formula. Saya tahu bahawa dari rali, ini merupakan terjunan yang terus ke dasar tetapi saya benar-benar tak sabar dan bersama TGR kami mempunyai rancangan yang bagus untuk bersedia dengan cara sebaik yang mungkin dan cuba menghabiskan hampir semuanya,” kata Rovanperä dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Toyota.

     
     
  • Baik pulih kenderaan EV kemalangan lebih rumit dan mahal berbanding ICE – membawa kepada total loss

    Baik pulih kenderaan EV kemalangan lebih rumit dan mahal berbanding ICE – membawa kepada total loss

    Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) mendedahkan bahawa kerosakan akibat kemalangan membabitkan kenderaan elektrik (EV) boleh menjadi jauh lebih rumit dan mahal untuk dibaiki berbanding kenderaan biasa. Dalam sesetengah kes, bergantung kepada lokasi kerosakan, kenderaan tersebut mungkin langsung tidak boleh dibaiki dan terpaksa diisytihar sebagai ‘total loss’ – lapor New Straits Times.

    Perkara ini dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PIAM, Chua Kim Soon, dalam satu taklimat media berkenaan prestasi industri insurans bagi separuh pertama tahun 2025. Menurut beliau, pihaknya telah menjalankan kajian terhadap data daripada pasaran EV yang lebih matang seperti China untuk menilai jangka hayat dan kos penyelenggaraan kenderaan elektrik dari semasa ke semasa.

    Hasil kajian menunjukkan bahawa apabila EV semakin berusia, corak pemanduan akan berubah, kadar susut nilai meningkat dengan ketara dan kos pembaikan turut melonjak. Ini menjadikan EV sangat berbeza daripada kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE), bukan sahaja dari segi teknologi, malah dari sudut risiko dan tuntutan insurans.

    Menurut Chua, nilai jualan semula EV yang menjunam serta kerumitan pembaikannya memberikan cabaran unik kepada pihak insurans. Tambahan pula, susut nilai yang tinggi menyukarkan proses tuntutan, terutama apabila kos baik pulih semakin mahal.

    Baik pulih kenderaan EV kemalangan lebih rumit dan mahal berbanding ICE – membawa kepada total loss

    Cabaran ini menjadi semakin ketara apabila penggunaan EV di Malaysia terus meningkat. Jualan kenderaan elektrik bateri (BEV) melonjak sebanyak 91.4% dalam separuh pertama tahun ini, merangkumi 3.4% daripada jumlah keseluruhan jualan kenderaan baru di negara ini. Lonjakan ini didorong oleh pelbagai insentif cukai yang ditawarkan kerajaan.

    Namun, insentif untuk EV import sepenuhnya (CBU) dijadual tamat pada akhir tahun ini, manakala insentif bagi EV pemasangan tempatan (CKD) akan diteruskan sehingga tahun 2027. Sejumlah jenama popular juga telah menyatakan komitmen mereka untuk memasang EV di Malaysia.

    Chua berkata, walaupun perkembangan ini amat positif dari segi kelestarian alam sekitar, ia turut mendedahkan keperluan mendesak untuk industri insurans menyesuaikan diri dengan risiko baru serta keperluan operasi dalam melindungi EV.

    Salah satu keperluan utama ialah membangunkan keupayaan dalam bidang pembaikan EV, terutamanya melibatkan bateri yang merangkumi sebahagian besar kos keseluruhan kenderaan elektrik. Buat masa ini, ekosistem pembaikan bateri EV di Malaysia masih belum matang dan memerlukan pembangunan menyeluruh.

    Baik pulih kenderaan EV kemalangan lebih rumit dan mahal berbanding ICE – membawa kepada total loss

    “Malaysia perlu membina rangkaian bengkel pembaikan bateri yang lengkap. Sekarang ini, kita masih belum sampai ke tahap itu,” kata Chua. Beliau turut menjelaskan bahawa membaiki EV memerlukan kepakaran khas, termasuk jurutera elektrik dan tidak boleh dilakukan oleh mekanik biasa kerana risiko keselamatan yang tinggi.

    Sebagai langkah awal, PIAM sedang bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk membangunkan standard dan keperluan pematuhan bagi bengkel EV, bagi memastikan aspek keselamatan dan kepakaran dipenuhi.

    Buat masa ini, pemilik EV di Malaysia masih menikmati kadar premium insurans yang lebih rendah kerana sektor ini masih berada dalam fasa liberalisasi berperingkat dan dikawal oleh kerajaan. Namun, menurut Chua, situasi ini berbeza di negara-negara yang lebih maju, di mana kos insurans EV jauh lebih tinggi kerana risiko dan kos pembaikan yang lebih besar.

    “Keadaan itu belum berlaku di sini, dan kami sedang berusaha menguruskannya agar tidak perlu menaikkan premium. Tapi kalau lihat di pasaran lain, itulah realitinya,” ujar beliau.

     
     
  • Rapid KL sediakan perkhidmatan bas ke SIC pada 24-26 Okt untuk Petronas Grand Prix of Malaysia 2025

    Rapid KL sediakan perkhidmatan bas ke SIC pada 24-26 Okt untuk Petronas Grand Prix of Malaysia 2025

    Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus), selaku pengendali perkhidmatan pengangkutan bas Rapid KL dan perantara LRT serta MRT, akan menyediakan sebanyak 82 buah bas Rapid KL bagi membawa peminat untuk menyaksikan perlumbaan Petronas Grand Prix of Malaysia 2025 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 24 hingga 26 Oktober 2025.

    Menurut kenyatan yang dikeluarkan, Rapid Bus berkata, perkhidmatan bas khas ini akan beroperasi dari tiga lokasi utama iaitu Hab Bas Pasar Seni (sambungan perkhidmatan ke Laluan Kelana Jaya dan Laluan Kajang), Hentian Bas KLCC (sambungan perkhidmatan ke Laluan Kelana Jaya) dan Hab Bas KLIA2 (untuk pengunjung dari KLIA Terminal 2/ KLIA2 dan sambungan ke ERL Express).

    “Pengguna boleh membeli tiket secara dalam talian menerusi shop.myrapid.com.my bermula 10 Oktober 2025. Para pengunjung disarankan untuk membuat pembelian awal bagi mengelakkan kesesakan atau tempoh menunggu panjang pada saat akhir,” kata Rapid Bus.

    Selain itu, pengguna juga boleh mendapatkan tiket secara terus di lokasi-lokasi berikut yang akan dijual bermula pada 13 Oktober 2025.

    Rapid KL sediakan perkhidmatan bas ke SIC pada 24-26 Okt untuk Petronas Grand Prix of Malaysia 2025

    Harga tiket bagi laluan Pasar Seni atau KLCC ke SIC ialah RM20 sehala dan RM35 untuk perjalanan pergi-balik, manakala RM12 sehala jika dari KLIA 2 ke SIC.

    “Bagi melancarkan pergerakan para pengunjung di lokasi acara, Rapid KL turut menyediakan perkhidmatan bas perantara percuma di sekitar SIC sepanjang tempoh acara berlangsung,” kataya lagi.

    Untuk maklumat lanjut mengenai perkhidmatan bas ke Petronas MotoGP Malaysia 2025, sila layari laman web rasmi www.myrapid.com.my atau ikuti saluran media sosial Rapid KL.

     
     
  • JPJ tidak pernah iktiraf penjualan semula nombor pendaftaran kenderaan selain hanya di JPJeBid

    JPJ tidak pernah iktiraf penjualan semula nombor pendaftaran kenderaan selain hanya di JPJeBid

    Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah menegaskan bahawa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak pernah mengiktiraf sebarang penjualan semula nombor pendaftaran kenderaan di platform tidak rasmi selain menerusi sistem JPJeBid, laporan Berita Harian.

    Justeru, beliau menyarankan agar orang ramai mendapatkan nombor pendaftaran hanya melalui saluran rasmi JPJ bagi menjamin ketelusannya.

    “Penjualan semula nombor pendaftaran bagi tujuan mengaut keuntungan atas angin selepas bidaan dilaksanakan dengan sah dan teratur adalah urus niaga persendirian dan ia di luar kawalan JPJ.

    “Dalam hal ini, JPJ sudah menetapkan kawalan dan pemantauan terhadap pemindahan nama nombor pendaftaran hanya dibenarkan dalam kes tertentu. Contohnya pembida meninggal dunia dan pemindahan nombor pendaftaran kepada ahli keluarga yang terdekat saja,” katanya.

    Kenyataan ini dikeluarkan ketika menggulung usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025 bagi Kementerian Pengangkutan di Dewan Rakyat semalam. Ia juga bagi mengulas kewujudan sindiket penjualan semula nombor dan Sistem eBidding secara dalam talian seperti dibangkitkan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) ketika sesi perbahasan semalam.

    Hasbi turut menjelaskan bahawa sistem JPJeBid dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian dan automatik, tanpa campur tangan manusia, yang mana hanya pembida berdaftar dan disahkan identiti dibenarkan menyertai bidaan.

    JPJ tidak pernah iktiraf penjualan semula nombor pendaftaran kenderaan selain hanya di JPJeBid

    “Sebagai kawalan ke atas pengguna yang memanipulasikan penjualan semula nombor pendaftaran, sistem JPJeBid hanya membenarkan individu iaitu maksimum lima nombor dan bagi syarikat maksimum tiga nombor untuk berjaya bida dalam satu siri bidaan dibuka,” katanya.

    Tambahnya, JPJ sentiasa memantau dan bertanggungjawab terhadap pengurusan dan hasil bidaan awam nombor pendaftaran melalui sistem JPJeBid ini.

    “Bidaan yang tidak dimanfaatkan iaitu nombor tidak didaftarkan sehingga tamat tempoh, tidak menjejaskan hasil kerajaan, kerana nombor itu akan dikembalikan untuk bidaan semula atau tawaran semula selepas tamat tempoh diberikan kepada pembida asal berjaya.

    “JPJ akan sentiasa meneliti dan mengkaji peluasan tambahan bagi mengoptimumkan hasil dan mencegah penyalahgunaan dalam sistem JPJeBid,” katanya.

    Beliau turut mengesahkan JPJ sedang dalam proses membangunkan sistem penawaran semula nombor pendaftaran bagi semua kategori baki nombor tidak dijual yang ada dalam rekod Jabatan ini.

    “Sistem ini dikenali sebagai sistem eBaki yang merupakan salah satu saluran tambahan yang akan digunakan JPJ bagi menawarkan semula nombor-nombor baki yang ada untuk dijual semula kepada orang ramai,” katanya.

     
     
  • Skoda Fabia 130 didedahkan – 1.5L TSI 177 PS/250 Nm, DSG 7-kelajuan, kelajuan maksima 228 km/j!

    Skoda Fabia 130 didedahkan – 1.5L TSI 177 PS/250 Nm, DSG 7-kelajuan, kelajuan maksima 228 km/j!

    Skoda memperkenalkan model edisi terhad untuk hatchback segmen-B Fabia yang digelar sebagai Skoda Fabia 130. Model ini dihasilkan bagi meraikan ulangtahun ke-130 Skoda Auto dan juga warisan sejarah sukan permotoran bagi jenama automotif dari Republik Czech berkenaan.

    Fabia dipilih bagi penghasilan model istimewa ini kerana hatchback kompak berkenaan mempunyai sejarah kejayaan dalam disipilin rali – ia telah dihasilkan sebagai jentera rali dalam banyak regulasi FIA termasuk WRCar, S2000 dan yang terbaharu R5/Rally2 serta meraih banyak gelaran juara. Manakala angka ‘130’ pada nama model ini bukan sahaja simbolik 130 tahun Skoda, malah ia adalah angka kuasa kuda yang dibekalkan pada Fabia 130 ini.

    Model edisi terhad ini diasaskan dari Fabia Monte Carlo, jadi ia masih digerakkan dengan enjin 1.5 liter TSI Evo2 tetapi ditala semula bagi menghasilkan 177 PS (130 kW) pada takat 5,750 hingga 6,000 rpm dan tork maksima 250 Nm bermula 1,500 hingga 4,000 rpm.

    Skoda Fabia 130 didedahkan – 1.5L TSI 177 PS/250 Nm, DSG 7-kelajuan, kelajuan maksima 228 km/j!

    Jadi berbanding Monte Carlo yang hanya menjana 150 PS (110 kW), Fabia 130 adalah 77 PS lebih berkuasa. Bagi ‘memerah’ kuasa tambahan tersebut, beberapa tingkat taraf telah dibuat oleh pakar-pakar unit rangkaian kuasa di Skoda Technical Development, antaranya dengan menukar komponen termasuk plenum ambilan udara dan juga lengan jumpelang (rocker arm) pada enjin berkenaan.

    Enjin tersebut digandingkan bersama kotak gear klac berkembar automatik DSG tujuh-kelajuan yang juga telah ditala semula untuk memberikan rasa lebih sporty dan sesuai dengan kuasa enjin lebih besar yang dihasilkan. Antara talaan tersebut termasuk titik tukaran gear pada tahap rpm lebih tinggi, tukaran ke gear rendah dengan kesan double clutch dalam mod Sport untuk rasa lebih lancar, dan logik brek yang diubah bagi mendapatkan pecutan semula lebih pantas.

    Gandingan unit rangkaian kuasa ini membolehkan Fabia 130 memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.4 saat, atau 0.4 saat lebih pantas dari Fabia biasa. Ia juga membolehkan hatchback kecil ini mencapai kelajuan maksima 228 km/j, didakwa sebagai Fabia produksi paling laju pernah dihasilkan oleh Skoda.

    Skoda Fabia 130 didedahkan – 1.5L TSI 177 PS/250 Nm, DSG 7-kelajuan, kelajuan maksima 228 km/j!

    Dengan kuasa lebih besar ini, Fabia 130 turut menerima talaan pengendalian lebih baik. Ia termasuk suspensi lebih sporty serta 15 mm lebih rendah dari versi standard, digandingkan bersama set roda dengan rim aloi 18-inci bagi meningkatkan kawalan serta kestabilannya. Sistem stereng berkuasa Fabia 130 ini juga telah ditala semula bagi memberikan tindak balas yang lebih jitu dan tangkas serta selari dengan talaan baharu yang diberikan pada mod pemanduan Normal dan Sport.

    Model edisi khas ini juga menampilkan sistem kawalan dinamik dua-peringkat yang boleh dipilih oleh pemandu. Menerusi fungsi ini, sistem Anti-Slip Regulation (ASR) boleh mematikan Traction Control, seterusnya pemandu boleh memandu secara menggelangsar tetapi masih boleh dikawal. Sekiranya ASR dan sistem kawalan kestabilan elektronik (ESC) ditetapkan pada mod Sport, lebih wheel-spin akan diberikan dengan kawalan ESC akan masuk dengan lebih lambat, memberikan lebih keseronokan pemanduan dalam keadaan terkawal, dakwa Skoda.

    Pada bahagian luaran, Fabia 130 ini masih berkongsi kit penggayaan yang sama seperti Fabia Monte Carlo termasuk apron hadapan, skirt sisi, spoiler belakang, penutup cermin sisi serta bumbung berwarna hitam. Apa yang berbeza adalah model istimewa ini diberikan pelekat dengan grafik ‘Fabia 130’ pada fender hadapan, rim aloi-18 Libra kemasan hitam (17-inci paling besar untuk varian lain), angkup brek hadapan kemasan merah, lampu hadapan bi-LED dengan perumah hitam dan juga dua tip ekzos di bawah bampar belakang.

    Namun pada sebelah dalam Fabia 130 ini berkongsi rupa hampir sepenuhnya sama seperti Fabia Monte Carlo dengan kelengkapan seperti tempat duduk hadapan bucket larasan kuasa dengan jalur tengah seperti grafik Martini Racing, roda stereng rata di bawah, set pedal logam tahan karat, paparan instrumen digital Virtual Cockpit dengan skrin 10-inci dan juga sistem infotainmen dengan pilihan skrin sesentuh sehingga sembilan-inci.

    Hanya sedikit perbezaan diberikan pada Fabia 130 ini menerusi pemadanan perapi bendul pintu aluminium hitam dengan grafik ‘Fabia 130’ dan juga perapi-perapi dengan kemasan perak pada papan pemuka dan juga pemegang pintu. Skoda Fabia 130 ini ditawarkan dalam empat pilihan warna badan iaitu putih, hitam, biru dan merah. Penghantaran pertama kepada pelanggan terawal yang menempahnya di Eropah akan bermula pada Disember ini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026