Sempena dengan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 (ASEAN 2025) yang akan berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober 2025 di Kuala Lumpur, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) mengambil langkah proaktif bagi memastikan kelancaran pergerakan orang ramai serta delegasi antarabangsa sepanjang persidangan berkenaan.
Memandangkan enam lebuhraya utama di Lembah Klang dan 25 laluan utama di pusat bandar Kuala Lumpur akan ditutup atau dilencongkan secara berperingkat sepanjang tempoh berkenaan, maka MOT menggalakkan orang ramai untuk menggunakan mod pengangkutan awam seperti perkhidmatan rel, bas dan van perantara.
Seperti perkhidmatan tren KLIA Ekpres dan Transit yang meningkat kekerapan perjalanan, Rapid KL juga akan melakukan perkara yang sama untuk perkhidmatan rel, bas dan van Rapid KL On Demand kendaliannya.
Menurut Rapid KL, bagi perkhidmatan rel, masa operasi bagi waktu puncak sepanjang ASEAN 2025 akan bermula jam 6.30 pagi hingga 10 pagi dan 4.30 petang hingga 8 malam, berbanding pada hari biasa iaitu 7 pagi hingga 9 pagi dan 5 petang hingga 7.30 malam.
Bagi kekerapan pula, untuk LRT Laluan Sri Petaling/Ampang, tren akan tiba setiap empat minit (berbanding lima minit pada hari biasa), LRT Laluan Kelana Jaya pula setiap lima minit (berbanding tujuh minit pada hari biasa) serta Monorel dan MRT Laluan Kajang/Putrajaya pula adalah setiap lapan minit (berbanding 10 minit pada hari biasa).
Selain itu, terdapat beberapa laluan tertentu bagi perkhidmatan bas dan van Rapid KL On Demand yang dijangka terjejas berikutan penutupan jalan di sekitar pusat bandar. Laluan bas Rapid KL yang dijangka bakal mengalami kelewatan ialah Laluan 402 (LRT Titiwangsa-LRT Maluri), Laluan 302 (LRT Titiwangsa-KLCC), Laluan 300 (Hab Pandan Indah – Lebuh Ampang), Laluan 303 (Taman Mulia Jaya – Lebuh Ampang), dan perkhidmatan van Rapid KL In Demand pula melibatkan Zon Titiwangsa – Chow Kit.
Bagi pengguna perkhidmatan bas ke KLCC dan kawasan sekitarnya, disarankan untuk menggunakan perkhidmatan rel iaitu di Stesen KLCC, Stesen Persiaran KLCC, Stesen Raja Chulan, Stesen Conlay dan Stesen Bukit Bintang. “Rapid KL akan menempatkan 400 kakitangan tambahan di stesen utama bagi meningkatkan pemantauan operasi sepanjang tempoh sidang Kemuncak ASEAN 2025 ini,” kata MOT.
Walau bagaimana pun, MOT berkata, perkhidmatan KTM Komuter beroperasi seperti biasa, dan tiket boleh dibeli melalui laman web atau aplikasi KTMB Integrated Ticketing System (KITS).
“MOT menyeru warga kota untuk merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan pengangkutan awam bagi kelancaran trafik sepanjang sidang kemuncak berlangsung,” katanya lagi.
Mulai 1 Januari 2026, kadar dan kaedah kompaun saman trafik yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan diselaras. Di mana diskaun saman berasaskan program atau kempen khas akan digantikan dengan prinsip The Less You Delay, The Less You Pay atau ‘Lebih Cepat Anda Bayar, Lebih Sedikit Anda Perlu Bayar’.
Perkara ini diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke selepas Jemaah Menteri memutuskan untuk menyelaraskan kadar dan kaedah pelaksanaan kompaun bagi memastikan keseragaman dalam penguatkuasaan undang-undang jalan raya di seluruh negara pada 17 Oktober lalu.
“Hal ini kerana pemberian diskaun saman berasaskan program adalah tidak adil kepada golongan yang bertanggungjawab dan membayar saman mereka lebih awal. Berdasarkan prinsip The Less You Delay, The Less You Pay, kadar kompaun adalah lebih rendah sekiranya bayaran dibuat lebih awal.
“Pendekatan ini bertujuan memberi insentif kepada mereka yang bertanggungjawab menjelaskan saman dengan segera,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen, hari ini.
Loke turut berkata, berdasarkan struktur baharu itu, bayaran yang dibuat dalam tempoh 1 hingga 15 hari selepas tarikh notis akan menikmati pengurangan 50%, manakala 16 hingga 30 hari mendapat pengurangan 33%. Manakala bayaran yang dijelaskan dalam tempoh antara 31 hingga 60 hari pula dikenakan kadar kompaun maksimum, manakala selepas 61 hari, tindakan mahkamah dan senarai hitam akan dikenakan.
Bagaimanapun, katanya, insentif baharu itu tidak terpakai bagi kesalahan serius yang tidak boleh dikompaun seperti tiada insurans, tiada lesen memandu atau mempamerkan lesen kenderaan motor (LKM) palsu.
“Kesalahan seperti memandu tanpa insurans adalah serius dan mesti dibawa ke mahkamah. Tiada kompromi untuk kesalahan seperti itu,” katanya.
Jelasnya lagi, dalam tempoh peralihan sebelum pelaksanaan penuh sistem baharu itu, kerajaan menawarkan kompaun khas bermula 1 November hingga 30 Disember 2025 dengan pengurangan antara 50 hingga 70% bagi saman boleh dikompaun yang dikeluarkan JPJ dan PDRM.
“Selepas tempoh itu, prinsip The Less You Delay, The Less You Pay sepenuhnya dan tiada lagi tawaran diskaun untuk saman yang tidak dibayar. Saya menggesa semua pengguna jalan raya segera menjelaskan saman masing-masing sebelum 30 Disember ini” katanya.
Beliau menggalakkan orang ramai membuat semakan dan membuat pembayaran melalui portal MySikap, aplikasi MyJPJ, MyBayar PDRM serta semua kios JPJ atau semua saluran pembayaran saman PDRM.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, sempena dengan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada minggu ini, menyaksikan sejumlah enam lebuhraya utama di Lembah Klang dan 25 laluan utama di pusat bandar Kuala Lumpur akan ditutup atau dilencongkan antara tempoh 26 hingga 28 Okt ini.
Sempena dengan ASEAN Summit kali ini, perkhidmatan KLIA Ekspres dan Transit akan meningkatkan kekerapan operasinya antara KL Sentral dan KLIA mulai hari ini (22 Okt) hingga 28 Okt 2025. Di mana perkhidmatan KLIA Ekspres tanpa henti akan beroperasi setiap 15 minit dari 9 pagi hingga 9 malam, dan setiap 20 minit di luar waktu tersebut.
Manakala KLIA Transit pula akan menambah satu perjalanan tambahan pada jam 1 pagi dari KLIA2 ke KL Sentral. Para pengguna perkhidmatan tren berkenaan diminta untuk merancang perjalanan bagi mengurangkan risiko berhadapan dengan sebarang kesulitan.
Sebelum ini, Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, dilaporkan berkata pihaknya akan menempatkan 1,111 petugas trafik membabitkan 91 pegawai dan 1,020 anggota sepanjang persidangan berlangsung. Di mana penugasan dijalankan termasuk mengiringi kenderaan orang kenamaan, mengawal lalu lintas dan menguatkuasakan undang-undang jalan raya.
Orang ramai juga diminta untuk merancang perjalanan sewajarnya dan elak memasuki pusat bandar sepanjang tempoh itu sekiranya urusan boleh ditangguh, dan dinasihati memilih mod pengangkutan awam sekiranya perlu ke mana-mana destinasi di sekitar Lembah Klang khususnya pusat bandar.
Harga bagi Subaru Forester generasi ke-enam telah pun dipaparkan di laman web rasmi Subaru Malaysia, selepas sebulan pra-tempahannya dibuka. Forester terkini itu ditawarkan dengan harga RM221,500 sebelum kos atas jalan dan insurans, di mana ia lebih mahal berbanding model semasa, Forester GT Edition EyeSight yang berharga RM188,800 (harga runcit).
KEMASKINI 12.23 t/hari:Subaru Malaysia telah mengemaskini laman web rasminya dan membuang harga bagi Forester generasi ke-enam ini.
Tiada butiran lanjut disediakan buat masa ini, jadi spesifikasi adalah berdasarkan apa yang dipaparkan pada halaman pendaftaran minat. Forester versi Malaysia akan dikuasakan oleh enjin 2.5 liter naturally-aspirated empat-silinder boxer petrol yang menghasilkan 185 PS (182 hp atau 136 kW) dan tork 247 Nm. Enjin ini digandingkan dengan transmisi Lineartronic CVT dan sistem Symmetrical All-Wheel Drive daripada Subaru.
Ciri-ciri yang ditawarkan termasuk Dual X-Mode, lapan beg udara, EyeSight 4.0 (dengan kamera stereo berkembar, kamera monokular sudut lebar dan monitor pandangan sekeliling 360 darjah), pad pengecas tanpa wayar, tempat duduk pemandu boleh laras kuasa 10-arah, serta tailgate kuasa bebas tangan.
Dengan binaan Subaru Global Platform yang terkini, Forester baharu ini dipertingkatkan ketegaran kilasannya sebanyak 10%. Dimensinya juga kini berukuran 4,656 mm panjang (+31 mm), 1,829 mm lebar (+14 mm), 1,730 mm tinggi (tidak berubah) dan jarak roda 2,670 mm (juga tidak berubah).
Pertama kali didedahkan di peringkat global pada November 2023, Forester terbaharu ini masih mengekalkan bentuk asalnya tetapi diberikan sentuhan rekaan yang lebih segar dan berani. Ia jelas pada bahagian hadapan termasuk gril yang lebih besar dengan kemasan hitam, lampu hadapan dua tingkat dan bampar depan yang lebih ‘sarat’, sekali gus memberikan penampilannya yang lebih menonjol. Manakala bahagian sisinya pula menerima gerbang roda berbentuk segi empat dengan kemasan hitam.
Di dalamnya, papan pemuka yang direka semula hampir sama dengan model-model baharu, dengan skrin sesentuh infotainmen berorientasi menegak menjadi tumpuan utama. Ia turut menggabungkan kawalan suhu, sekali gus mengurangkan bilangan butang kawalan fizikal pada papan pemuka. Ciri lain seperti roda stereng dan tombol gear kekal seperti mana yang ada pada model terdahulu.
GALERI: Subaru Forester di Gaikindo Indonesia International Auto Show 2025
Pameran jualan kenderaan Auto Car Expo (ACE) anjuran paultan.org akan kembali tahun ini pada 8 dan 9 November di Pusat Persidangan Setia City (SCCC). Ditaja bersama oleh Carro dan Kärcher, edisi 2025 ini bakal menyaksikan banyak jenama yang terlibat, semuanya dengan tawaran yang tidak boleh dilepaskan.
Senarai jenama yang bakal tampil antaranya ialah BMW dan MINI (diwakili oleh Wheelcorp Premium), Audi, Volkswagen, Zeekr (diwakili oleh Carro), Jaecoo, Chery, Jetour, Hyundai, Ford, BYD, Perodua, Proton, Proton eMas, Isuzu dan smart (diwakili oleh EON). Semua jenama ini akan menawarkan promosi terbaik mereka sepanjang acara berlangsung.
Bukan itu sahaja. Di ACE 2025, pengunjung juga akan menikmati pelbagai tawaran dan hadiah menarik daripada kami di paultan.org. 200 tempahan terawal akan menerima baucar bernilai RM2,500 untuk filem penapis haba, cucian serta aksesori kenderaan daripada V-Kool, Dodomat, Kuzig Glanz Detailing, The Carage dan Harman Kardon.
Selain itu, setiap tempahan yang telah disahkan melayakkan anda untuk menyertai cabutan bertuah bagi memenangi hadiah utama berupa percutian yang ditanggung sepenuhnya untuk dua orang bernilai RM10,000. Turut tersedia hadiah daripada Kärcher untuk dimenangi.
Terus bersama kami untuk mengikuti perkembangan dan promosi istimewa yang akan diberikan oleh setiap jenama. Jadi, tandakan kalendar anda dan jumpa di ACE 2025 pada 8 dan 9 November nanti di SCCC, bermula 9 pagi hingga 7 malam. Jumpa di sana!
Dalam tempoh 20 hari pertama penguatkuasaannya, Polis KL telah mengeluarkan sebanyak 81,880 saman atas pelbagai kesalahan trafik menerusi Op Patuh Undang-Undang (Op PUU) yang dilaksanakan sejak 1 Okt 2025.
Saman yang dikeluarkan itu terdiri daripada pelbagai kategori pengguna jalan raya termasuk 66,859 pemandu kereta, 11,346 penunggang motosikal, 1,142 pemandu van atau SUV, 757 pemandu lori, 109 pemandu bas, 625 pemandu teksi, serta 1,042 pejalan kaki, laporan Berita Harian.
“Angka yang direkodkan itu menunjukkan bahawa walaupun kempen kesedaran dan pemantauan dijalankan selama sebulan sebelum itu, namun masih ramai pengguna jalan raya enggan mengubah sikap mereka. Jika trend ini berterusan dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang, ia akan menunjukkan bahawa kempen dan program kami gagal mendorong perubahan sikap,” kata Ketua Polis KL, Datuk Fadil Marsus pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Tambah beliau, kesalahan paling banyak direkodkan ialah halangan lalu-lintas (54,364), ingkar isyarat trafik (16,891), memandu tanpa lesen atau lesen tamat tempoh (2,388), cukai jalan tamat tempoh (1,501), kesalahan pejalan kaki seperti tidak menggunakan jejantas atau lintasan (1,042), dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi atau tersembunyi (1,000).
Kesalahan lain termasuk berhenti melepasi garisan putih (575), melanggar lampu merah (541), tidak memakai atau tidak memasang topi keledar dengan betul (513), menggunakan telefon bimbit semasa memandu (395), berhenti di petak kuning (367), ubah suai kenderaan (312), tidak memakai tali pinggang keledar (296), serta memotong barisan atau melanggar garisan berkembar (44).
“Kita mahu warga kota membudayakan sikap berdisiplin yang mencerminkan rasa hormat terhadap undang-undang, termasuk peraturan trafik kecil. Orang ramai mesti ikut peraturan dan perlu bermula sekarang jika tidak, tiada sebarang penambahbaikan akan berlaku.
“Op PUU akan dikuatkuasakan secara menyeluruh dan berterusan sepanjang tahun, dengan pembabitan semua agensi dan jabatan berkaitan di Kuala Lumpur. Orang ramai khususnya pengguna jalan raya dinasihatkan mematuhi undang-undang kerana peraturan itu diwujudkan demi keselamatan semua. Walaupun polis tidak mahu terlalu bergantung kepada tindakan saman sebagai langkah pencegahan, kami tiada pilihan lain sekiranya pendidikan semata-mata tidak berkesan,” katanya.
Menurut beliau lagi, jika tahap pematuhan tidak menunjukkan peningkatan, polis akan membawa perkara itu ke peringkat lebih tinggi untuk mendapatkan sokongan dasar dan inisiatif baharu, sambil menekankan keperluan kerjasama semua kementerian dan sektor masyarakat bagi memupuk rasa hormat terhadap undang-undang.
Pada peringkat awal, Op PUU dilaksanakan di kawasan tumpuan utama seperti Pavilion, KLCC, Lot 10, Sogo dan Jalan Sultan Ismail sebelum diperluas ke seluruh ibu kota. Di mana penguatkuasaan yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan dilaksanakan sepanjang tahun bagi memastikan Kuala Lumpur menjadi contoh bandar raya yang patuh undang-undang.
Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman akan melaksanakan lencongan trafik di sekitar Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 24 hingga 26 Okt ini sempena dengan penganjuran Petronas Grand Prix Malaysia 2025.
Pengarah JSPT Bukit Aman, CP Datuk Seri Mohd Yusri Haji Hassan Basri berkata, langkah ini diambil bagi kelancaran pergerakan lalu lintas serta menjamin keselamatan pengguna jalan raya di kawasan sekitar laluan masuk dan keluar ke SIC sepanjang tempoh acara.
Pelaksanaan pengurusan trafik berkenaan melibatkan laluan masuk orang awam ke SIC yang melalui Bulatan Masjid KLIA menuju ke kawasan parkir SIC, lampu isyarat Kuarters KLIA dari arah Sepang, Enstek, Labu dan Nilai, serta Bulatan Kargo KLIA ke Jalan Pekeliling menuju ke kawasan parkir SIC.
Manakala laluan keluar dari SIC pula melibatkan kawasan parkir menuju ke lampu isyarat SIC, kemudian membelok kanan ke Jalan Kuarters KLIA untuk ke arah Sepang dan Enstek, dari kawasan parkir menuju ke lampu isyarat Bukit Tinjau kemudian membelok kiri ke Jalan Pekeliling menuju Bulatan Kargo.
Klik untuk besarkan
Bagi laluan petugas PDRM dan VIP, ia melibatkan laluan masuk dari arah Bulatan Masjis KLIA ke kawasan paddock secara aliran kontra dan laluan keluar pula dari arah kawasan paddock ke Bulatan Masjid KLIA secara aliran kontra.
“Seramai 177 orang pegawai kanan polis dan pegawai rendah JSPT akan ditempatkan dan ditugaskan di lokasi-lokasi strategik bagi membantu kawalan trafik serta memastikan keselamatan awam terpelihara. JSPT menyeru semua pengunjung agar memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa, menggunakan laluan alternatif yang disediakan serta merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesulitan dan kesesakan,” katanya.
Selain itu, anda juga boleh menggunakan pengangkutan awam. Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus), selaku pengendali perkhidmatan pengangkutan bas Rapid KL dan perantara LRT serta MRT, akan menyediakan sebanyak 82 buah bas Rapid KL bagi membawa peminat untuk menyaksikan perlumbaan berprestij itu. Info lanjut mengenainya DI SINI.
Selepas Omoda | Jaecoo, Jetour dan iCaur, satu lagi sub-jenama Chery iaitu Lepas disahkan bakal bertapak di Malaysia tidak lama lagi. Perkara ini diumumkan oleh Chery Corporate Malaysia kepada delgasi media Malaysia ke Chery International User Summit 2025 yang kini sedang berlangsung di Ibu Pejabat Chery di Wuhu, China.
Lepas diperkenalkan secara rasmi pada April lalu, diumum sebagai jenama global dengan rekaan tersendiri, berbeza dari barisan model-model sedia ada Omoda | Jaecoo dan Chery Tiggo, namun masih menggunakan platform dan juga unit rangkaian kuasa yang sama.
Lepas bermaksud “Leap” dan “Passion”, dan ia turut merujuk kepada asas rekaan luaran barisan model jenama ini iaitu “Leopard Aesthetic” atau estetika harimau bintang. Jadi untuk kesemua model dengan jenama Lepas akan menerima lampu rekaan siang yang nipis bersama grafik LED yang kelihatan seperti mata harimau bintang yang sedang menumpukan pandangan terhadap sesuatu.
Selain itu, bahagian sisi model-model Lepas ini juga akan tampil dengan tiga garis lengkung utama yang diambil dari otot-otot lengan kaki hadapan dan paha belakang serta bahagian bawah perut seekor harimau bintang. Dan permukaan badan model-model lepas ini nampak licin dan ringkas serta melengkung dengan inspirasi diambil dari barangan tembikar.
Manakala pada bahagian dalaman, setiap model-model Lepas ini akan diberikan papan pemuka ringkas dengan rekaan asas diinpirasikan dari latar langit bumi, dan disertakan dengan konsol tengah yang bersepadu dengan skrin tengah utama dalam posisi potret serta dicondongkan seakan air terjun yang mengalir ke bawah.
Sementara pada pintu dan papan pemuka, Lepas akan memberikan balutan fabrik yang tidak pernah ada pada mana-mana jenama sebelum ini, menampilkan tekstur seakan kulit bayi. Tiga model pertama Lepas ditunjuk ketika itu, di mana semuanya SUV yang terdiri dari model segmen-D Lepas L8, model segmen-C Lepas L6 dan segmen-B Lepas L4.
Seperti disebut tadi Lepas L8 diasaskan dari platform sama seperti Chery Tiggo 8 generasi seterusnya. Ia menampilkan dimensi 4,688 mm panjang, 1,860 mm lebar, 1,695 mm tinggi dengan jarak roda 2,800 mm. Menurut laporan media-media Indonesia, Lepas L8 untuk pasaran negara itu akan ditawarkan dengan unit rangkaian kuasa “Super Hybrid System”, merujuk kepada sistem Chery Super Hybrid (CSH) yang tampil bukan sahaja dengan sistem hibrid biasa, malah ada juga pilihan sistem plug-in hybrid (PHEV).
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo mengesahkan seorang kanak-kanak perempuan ditemukan meninggal dunia dalam sebuah kenderaan di Tanah Putih, Gua Musang, Kelantan, petang semalam. Di mana mangsa yang berusia empat tahun itu ditemukan tidak sedarkan diri oleh bapanya dalam kenderaan sebelum disahkan meninggal dunia, laporan Berita Harian.
Sik Choon Foo berkata mangsa dikejarkan ke Hospital Gua Musang dan disahkan meninggal dunia serta proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian dijalankan pakar patologi forensik. Berdasarkan siasatan awal, bapa mangsa dikatakan tertinggal anaknya dalam kereta terbabit selama tiga jam selepas mereka pulang bersarapan bersama.
“Doktor mengesahkan punca kematian disebabkan strok haba. Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan laporan kematian mengejut kes ini masih dalam siasatan. Pihak polis menasihati orang awam tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini yang boleh menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat serta menggesa ibu bapa memastikan keselamatan anak mereka.
“Kita juga mengalu-alukan orang awam menyalurkan maklumat berkaitan kejadian ini kepada polis dengan tampil di mana-mana balai berhampiran selain menghubungi talian 09-9121222,” katanya.
Insiden seperti ini bukan pertama kali terjadi di negara kita, di mana laporan-laporan kejadian seperti ini sudahpun dipaparkan beberapa tahun kebelakangan ini. Ya, kita tidak berada di tempat ibu kanak-kanak berkenaan ketika insiden tersebut berlaku, dan tidak tahu apa yang sebenarnya dihadapi olehnya, tetapi untuk peringatan bersama, JANGAN SESEKALI TINGGALKAN ANAK ANDA DI DALAM KERETA TANPA PENGAWASAN WALAUPUN SEKEJAP.
Strok haba ini merupakan sesuatu yang tidak boleh dipandang remeh, terutamanya di negara dengan iklim khatulistiwa seperti Malaysia. Pada 2015, People for the Ethical Treatment of Animals (PETA) telah menyiarkan video untuk menunjukkan betapa bahayanya serangan strok haba ini sekiranya anda terperangkap di dalam kereta.
Menerusi video berkenaan, pemain American Football dari pasukan Arizona Cardinal, Tyrann Mathieu duduk di dalam kereta yang diparkir di bawah terik matahari. Atlet profesional berkenaan hanya bertahan selama lapan minit di dalam kereta tersebut, setelah suhu di dalam kabin meningkat sehingga 48.9 darjah selsius.
Itu orang dewasa yang juga seorang atlet profesional, sekarang anda bayangkan pula bagaimana keadaan seorang kanak-kanak berhadapan situasi sebegitu dengan suhu di negara kita. Menurut pakar kecemasan paediatrik, badan kanak-kanak lebih cepat memanas berbanding orang dewasa, seterusnya lebih cepat diserang strok haba.
Dalam masa hanya 15 minit terperangkap dalam kereta yang panas, kanak-kanak berisiko untuk mengalami kerosakan pada otak atau buah pinggang yang boleh menyebabkan kematian. Apabila suhu badan kanak-kanak mencapai 40 darjah Celsius, organ dalaman mungkin berhenti berfungsi, manakala pada suhu 41.6 darjah Celsius, kanak-kanak berkenaan boleh meninggal dunia.
Untuk pengetahuan anda juga, perkara seperti ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah di serata dunia. Susulan itu, beberapa pengeluar kenderaan telah menghasilkan sistem keselamatan untuk mengingatkan pemandu agar memeriksa semula bahagian belakang kereta sebelum meninggalkan kenderaan masing-masing, contohnya Rear Door Alert dari Nissan dan Rear Occupant Alert oleh Hyundai.
Jika kenderaan anda tidak dilengkapi sistem keselamatan seperti itu, mungkin anda boleh meletakkan barangan penting seperti beg tangan bawah tempat duduk belakang atau melekatkan nota peringatan “Jangan lupa anak ada di belakang” di stereng. Mungkin cara ini dapat membantu mengurangkan risiko terlupa dengan kehadiran si cilik ini di tempat duduk belakang.
Juga sebagai masyarakat yang prihatin, jika anda terlihat kanak-kanak yang ditinggalkan di dalam kereta tanpa ditemani orang dewasa, TOLONG hubungi pihak berkuasa seperti polis secepat mungkin, bimbang perkara yang tidak diingini seperti kes ini berulang lagi.
Selepas mengesahkan pembangunan jentera Ypsilon Rally2 HF Integrale bulan lalu, jenama ikonik Itali yang sinonim dalam dunia perlumbaan rali iaitu Lancia mengumumkan bahawa ia akan kembali ke Kejohanan Rali Dunia (WRC) bermula musim depan, bertanding dalam kategori kedua tertinggi kejohanan itu iaitu WRC2 dengan pasukan rasmi dari kilang.
Pengumuman ini dibuat oleh CEO Lancia, Luca Napolitano menerusi satu video yang disiarkan selepas berakhirnya Rallye Sanremo 2025 di Itali hujung minggu lalu, mengesahkan bahawa Ypsilon Rally2 HF Integrale akan berada di garis permulaan pusingan pertama WRC 2026 iaitu di Rallye Monte Carlo pada 22 Januari nanti.
“Rallye Sanremo merupakan tempat yang sesuai untuk menutup musim yang diingati dan membuka musim yang baharu. Selepas kejayaan Lancia Trophy dan Ypsilon Rally4 HF, kami sudah bersedia untuk mara setapak lagi. Kami boleh umumkan dengan bangga bahawa Lancia akan kembali ke WRC, di mana jenama ini telah mencatatkan beberapa muka surat yang paling legenda dalam sejarah rali,” kata Napolitano.
“Ini merupakan kepulangan semula jadi untuk jenama rali paling berjaya dalam sejarah, yang mendekati masa depan dengan keghairahan yang sama dan keazaman yang melahirkan ikon dunia. Jumpa anda Januari nanti, di Monte Carlo, untuk perlumbaan pertama Kejohanan Dunia 2026,” tambahnya dalam video yang turut menampilkan pemandu rali legenda Lancia, Miki Biason.
Tahun hadapan merupakan musim terakhir WRC menggunakan jentera dalam spesifikasi Rally1 bagi kategori tertinggi. FIA bakal merombak undang-undang WRC di mana bermula musim 2027, bakal digantikan dengan kelas baru yang dinamakan sebagai WRC27.
Regulasi rasmi bagi kelas WRC27 ini masih lagi belum diumumkan, tetapi secara ringkasnya ia akan menggabungkan casis spaceframe seperti jentera Rally1 sekarang dengan enjin, transmisi, sistem pacuan empat roda, suspensi dan lain-lain dengan spesifikasi diambil dari jentera Rally2. Dengan perubahan tersebut, kategori WRC2 akan dimansuhkan dan jentera-jentera dengan spesifikasi Rally2 layak untuk bertanding merebut kejuaraan utama WRC menentang kereta-kereta WRC27.
Jadi tidak berbaloi sekiranya Lancia sertai WRC dalam kategori tertinggi pada musim hadapan kerana jentera Rally1 hanya boleh digunakan dalam satu musim sahaja. Jadi Penyertaan Lancia dalam WRC2 ini mungkin persediaan pasukan itu untuk ke kategori utama pada 2027, di mana ia sempat untuk menjadikan Ypsilon Rally2 HF Integrale tersebut sebuah jentera lumba yang ‘matang’ bagi merebut gelaran juara dunia.
Lancia mula menyertai WRC sejak tahun 1973. Ia terkenal dengan pelbagai jentera rali yang berjaya seperti Lancia Stratos, Lancia Rally 037 Group B, Lancia Delta S4 Group B dan juga Lancia Delta HF Integrale Group A. Selepas dinobatkan sebagai juara kategori pengeluar sebanyak 10-kali dan merangkul lima juara dunia kategori pemandu, skuad dari Itali tersebut akhirnya mengundur diri dari WRC pada penghujung musim 1992.
2025 FIA World Rally Championship / Round 12 / Central European Rally / 16-19th October 2025 // Worldwide Copyright: TGR WRT / McKlein
Baru sahaja mengumumkan bahawa ia akan bersara dari Kejohanan Rali Dunia (WRC) pada penghujung musim ini, Kalle Rovanperä melakukan kejutan dengan memenangi Central European Rally 2025 hujung minggu lalu. Malah dengan rakan sepasukannya dari Wales, Elfyn Evans menamatkan perlumbaan di tempat kedua, membolehkan Toyota merangkul gelaran juara dunia kategori pengeluar WRC walaupun kejohanan musim ini masih berbaki dua pusingan!
Ini bermakna Toyota kini telah merangkul gelaran tersebut sebanyak sembilan-kali, hanya kurang satu lagi gelaran berbanding pasukan yang diiktiraf paling berjaya dalam WRC iaitu Lancia yang telah dinobatkan gelaran yang sama sebanyak 10-kali.
Kalle Rovanpera mengambil kesempatan dengan terus memandu secara konsisten selepas menjadi pendahulu perlumbaan pada awal pagi Sabtu dalam rali yang diadakan merentas Republik Czech dan Austria ini, selepas seorang lagi rakan sepasukannya iaitu Sebastian Ogier mengalami kemalangan yang terjadi akibat tayar hadapan kirinya pecah.
2025 FIA World Rally Championship / Round 12 / Central European Rally / 16-19th October 2025 // Worldwide Copyright: TGR WRT / McKlein
2025 FIA World Rally Championship / Round 12 / Central European Rally / 16-19th October 2025 // Worldwide Copyright: TGR WRT / McKlein
2025 FIA World Rally Championship / Round 12 / Central European Rally / 16-19th October 2025 // Worldwide Copyright: TGR WRT / McKlein
Setelah habis kesemua SS pada hari Ahad, Rovanperä disahkan sebagai juara dengan kelebihan 43.7 saat berbanding Evans. Tempat ketiga adalah milik pemandu pasukan Hyundai, Ott Tänak yang menghabiskan rali ini 49.3 saat di belakang Rovanperä.
Dengan berbaki hanya Rally Japan dan Rally Saudi Arabia di mana kedua-duanya akan berlangsung bulan hadapan, Elfyn Evans kini berada di kedudukan pertama dalam saingan bagi merebut gelaran Juara Dunia 2025 dengan pungutan 247 mata. Ogier dan Rovanperä pula masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga dengan pungutan mata yang sama sebanyak 234 mata.
Satu-satunya pemandu bukan Toyota yang masih boleh bersaing untuk gelaran juara dunia tahun ini adalah Ott Tänak dengan pungutan 197 mata, manakala seorang lagi pemandu Hyundai yang juga Juara Dunia tahun lalu iaitu Thierry Neuville berada di tempat kelima dengan 166 mata.
2025 FIA World Rally Championship / Round 12 / Central European Rally / 16-19th October 2025 // Worldwide Copyright: TGR WRT / McKlein
“Setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh pasukan, termasuk semua orang di bengkel dan di sini di service park. Untuk memenangi kejuaraan pengeluar sekali lagi membuktikan bahawa kami adalah pasukan yang terbaik. Semua orang bekerja dengan sangat baik bersama-sama, jadi terima kasih. Ia adalah hujung minggu yang sangat baik untuk kami.
“Seronok dapat kembali ke asfalt dan rentak yang kami miliki cukup pantas, jadi kami telah melakukan tugas yang baik bersama pasukan. Kejuaraan pemandu masih lagi tidak mudah tetapi sekurang-kurangnya telah memerluaskan peluang kami dengan keputusan ini dan kami akan berterusan begini pada Rally Japan selepas ini,” kata Rovanperä yang juga merupakan Juara Dunia WRC bagi musim 2022 dan 2023.
2025 FIA World Rally Championship / Round 12 / Central European Rally / 16-19th October 2025 // Worldwide Copyright: TGR WRT / McKlein
2025 FIA World Rally Championship / Round 12 / Central European Rally / 16-19th October 2025 // Worldwide Copyright: TGR WRT / McKlein
2025 FIA World Rally Championship / Round 12 / Central European Rally / 16-19th October 2025 // Worldwide Copyright: TGR WRT / McKlein
2025 FIA World Rally Championship / Round 12 / Central European Rally / 16-19th October 2025 // Worldwide Copyright: TGR WRT / McKlein
2025 FIA World Rally Championship / Round 12 / Central European Rally / 16-19th October 2025 // Worldwide Copyright: TGR WRT / McKlein
2025 FIA World Rally Championship / Round 12 / Central European Rally / 16-19th October 2025 // Worldwide Copyright: TGR WRT / McKlein
2025 FIA World Rally Championship / Round 12 / Central European Rally / 16-19th October 2025 // Worldwide Copyright: TGR WRT / McKlein
2025 FIA World Rally Championship / Round 12 / Central European Rally / 16-19th October 2025 // Worldwide Copyright: TGR WRT / McKlein
2025 FIA World Rally Championship / Round 12 / Central European Rally / 16-19th October 2025 // Worldwide Copyright: TGR WRT / McKlein
2025 FIA World Rally Championship / Round 12 / Central European Rally / 16-19th October 2025 // Worldwide Copyright: TGR WRT / McKlein
Bersempena dengan pembukaan Pusat Teknikal Kawasaki di Glenmarie, Modenas turut melancarkan sebuah model baru untuk pasaran tempatan, iaitu Kawasaki Z900 2025. Ia ditawarkan dalam dua versi, Standard pada harga RM47,800 dan SE pada harga RM60,100.
Model ini didedahkan kepada dunia hujung tahun lalu, membawakan rekaan panel badan yang semuanya adalah baru, sambil mengekalkan konsep rekaan Sugomi yang telah diterapkan sejak awal. Lampu LED hadapan lebih kompak dan tajam, sementara lampu belakang pula sudah tidak menggunakan pencahayaan berbentuk Z, diganti dengan unit LED berteknologi light-guiding dengan motif seakan bentuk H.
Enjin masih lagi sama, iaitu unit empat silinder sebaris 948 cc DOHC, tetapi Kawasaki telah membuat talaan semula untuk menjadikan pecutannya lebih linear serta memberikan penggunaan bahan api lebih baik. Kuasa yang mampu dihasilkan adalah 123 hp pada 9,500 rpm dan tork 97.4 Nm pada 7,700 rpm. Ia dipadankan bersama transmisi enam kelajuan bersama quickshifter dua hala.
Pada bahagian elektronik, peningkatan utama adalah kemasukan IMU, yang sekaligus dapat memberi input tambahan kepada kawalan cengkaman (tiga mod) serta ABS untuk mengikut keadaan condong motosikal. Mod tunggangan ada empat, termasuk satu yang paremeternya boleh diubah.
Di bahagian kokpit, pengguna disediakan dengan meter TFT warna penuh baru bersaiz lima inci, dengan sistem yang boleh disambung kepada aplikasi Kawasaki Rideology di dalam telefon pintar, seterusnya boleh memaparkan petunjuk navigasi (turn-by-turn), notifikasi serta menerima arahan suara.
Demi memberi lebih keselesaan kepada pengguna, Z900 baru ini mendapat tempat duduk yang lebih tebal, tetapi tinggi tempat duduk masih kekal pada 830 mm kerana sedikit perubahan dibuat pada kerangka belakangnya. Suspensi terdiri daripada fork USD 41 mm di hadapan dan monoshock di belakang, dan kedua-duanya boleh dilaras untuk lantunan dan pra beban.
Bahagian brek juga dipertingkat, dengan cakera 300 mm berkembar di hadapan menerima angkup Nissin empat piston Radial baru. Di belakang masih menggunakan cakera 250 mm dengan angkup satu piston. Pergi kepada model SE, ia dinaik taraf lagi dengan angkup Brembo M4.32 di hadapan, hos brek stainless steel serta monoshock belakang Ohlins S46.
Kelengkapan lain yang disediakan pada Z900 2025 adalah termasuk tangki bahan api 17 liter, rim aluminium 17 inci, cruise control dan tayar Dunlop Sportmax Q5A. Berat keseluruhan versi standard adalah 213 kg, manakala Z900 SE bertambah satu kilogram lagi.
Land Cruiser FJ ini menampilkan rupa retro seakan SUV Toyota FJ Cruiser sebelum ini, di mana model berkenaan juga sebenarnya diinspirasikan dari model legenda Land Cruiser dikenali dengan kod casis FJ40/BJ40. Namun menurut Toyota nama ‘FJ’ yang diberikan pada model entry level terbaharu ini bermaksud ‘Freedom & Joy’ (kebebasan dan keseronokkan).
Menurut Toyota, Land Cruiser FJ ini diasaskan dari casis ladder frame dari platform IMV, iaitu platform sama digunakan pada trak pikap Hilux serta model lebih mampu milik diperkenalkan tahun lalu iaitu Hilux Champ. Dan Land Cruiser FJ ini mungkin ada kaitan rapat dengan Hilux Champ kerana muka hadapannya yang nampak agak seiras.
Secara keseluruhan SUV ini menerima rekaan berkotak juga seperti FJ40, manakala di belakang tiang-C yang agak ‘tebal’, pintu tailgate dengan engsel pada bahagian sisi bersama tayar gantian yang digantung, serta hadir dengan rel bumbung secara standard.
Selain itu ia menampilkan bampar hadapan yang agak ‘gemuk’ yang selari dengan pelindung-pelindung badan plastik juga direka tebal, dipasang pada semua ruang roda dan pada bahagian bawah pintu. Pemijak kaki sisi juga kelihatan dipasang standard bagi memudahkan penumpang masuk ke kabin yang tinggi. Bampar belakang juga direka gemuk, bukan sahaja untuk melindungi badan, malah turut ada bahagian yang direka sebagai pemijak kaki.
Toyota menyatakan bahawa panel sisi pada bampar hadapan dan belakang Land Cruiser FJ ini direka agar boleh dicabut berasingan dari bampar utama. Ini bagi membolehkan ia boleh diperbaiki dengan lebih mudah di mana pengguna hanya perlu menukar pada bahagian yang rosak dan bukan keseluruhan bampar sekiranya melanggar sesuatu yang selalunya akan berlaku ketika meredah laluan off-road.
Dari segi saiz, Land Cruiser FJ ini menampilkan dimensi panjang 4,575 mm, lebar 1,855 mm, tinggi 1,960 mm dan jarak roda sejauh 2,580 mm. Bagi memudahkan anda membayangkan saiznya, Land Cruiser FJ ini adalah 220 mm lebih pendek dari satu lagi SUV yang diasaskan dari platform IMV iaitu Toyota Fortuner.
Jarak rodanya juga adalah 165 mm lebih pendek dari Fortuner, tetapi ia menampilkan lebar yang sama serta 125 mm lebih tinggi. Toyota menyatakan bahawa dengan saiz yang kecil ini membolehkan Land Cruiser FJ ini dihasilkan sebagai sebuah jentera off-road yang lebih tangkas.
Tanpa mendedahkan sebarang angka, Toyota mendakwa Land Cruiser FJ ini menampilkan jarak kelegaan tanah serta sudut berlepas yang membolehkan ia mencapai prestasi dalam laluan off-road yang setara dengan Land Cruiser 70 Series. SUV ini juga direka bagi mudah dikendali pada kawasan sempit dengan radius pusingan hanya 5.5 meter.
Bagi memastikan tahap ketahanannya setaraf dengan ‘abang-abang’ Land Cruiser yang lain, Toyota memberikan pendakap-pendakap tambahan pada platform ladder frame IMV ini. Tingkat taraf bawah lantai ini juga membolehkan Land Cruiser FJ ini menampilkan badan lebih tegar serta memberikan kestabilan pengendalian.
Dalam spesifikasi yang didedahkan, Land Cruiser FJ ini ditawarkan hanya dengan satu unit rangkaian kuasa iaitu enjin petrol yang sama seperti Fortuner 2TR-FE 2.7 liter empat silinder berkuasa 163 PS dan tork maksima 246 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear automatik enam kelajuan 6 Super ECT, bersama sistem pacuan empat roda separa-masa.
Rekaan berkotak-kotak diteruskan ke dalam bahagian kabin Land Cruiser FJ ini. Ia menampilkan papan pemuka dan konsol tengah seperti Land Cruiser 250 tetapi dalam skala lebih kecil, manakala rekaan tombol dengan dan roda stereng pula kelihatan seiras.
Menurut Toyota papan pemuka tersebut direka dengan panel instrumen yang diletak pada posisi lebih rendah bagi memberikan pandangan lebih jelas untuk pemandu terhadap cermin hadapan, memberikan pemanduan lebih selamat tak kira pada laluan off-road atau jalan biasa. SUV ini juga hadir hanya dalam konfigurasi lima-tempat duduk.
Seperti Hilux Champ, Toyota turut mendakwa Land Cruiser FJ ini juga merupakan sebuah model yang direka agar mudah untuk diubahsuai, bagi disesuaikan dengan gaya dan penggunaan pemilik itu sendiri. Antara perincian custom yang telah didedahkan sekali termasuk lampu hadapan dengan LED nyalaan siang bulat yang lebih seiras dengan Land Cruiser klasik, rak bumbung, dan juga salur snorkel yang membolehkan SUV ini meredah sungai tanpa air masuk ke ambilan udara enjin.
Kenapa bahagian tiang-C Land Cruiser FJ ini direka begitu tebal? Ini kerana pada bahagian dalam, tiang berkenaan membolehkan panel MOLLE (Modular Lightweight Load-carrying Equipment) seperti gaya kenderaan tentera AS diletakkan yang membolehkan pelbagai kelengkapan-kelengkapan aktiviti outdoor dan perkhemahan disimpan dengan rapi. Panel yang sama turut boleh diletakkan pada pintu tailgate belakang.
Toyota juga mendedahkan skuter elektrik yang digelar sebagai Land Hopper yang boleh dipakejkan sekali dengan Land Cruiser FJ ini, seperti skuter Motocompo yang ditawarkan Honda pada hatchback kompak City satu ketika dahulu. Skuter berkenaan menampilkan tayar hadapan berkembar dan didakwa boleh membawa orang dan barangan, serta boleh meredah laluan off-road. Toyota akan mengumumkan pelancaran Land Hopper ini kemudian.
Untuk keselamatan, setakat ini Toyota mengesahkan Land Cruiser FJ ini datang sekali dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Toyota Safety Sense, menampilkan fungsi seperti amaran pelanggaran hadapan, brek kecemasan automatik dan lain-lain.
Toyota mengesahkan bahawa Land Cruiser FJ ini akan mula dijual pada pasaran Jepun bermula pertengahan tahun hadapan, tetapi sebelum itu ia akan membuat kemnuculan sulung di Japan Mobility Show 2025 di Tokyo akhir bulan ini. Seperti Hilux, Land Cruiser FJ ini mungkin akan diproduksi di Thailand dan kemudian diimport ke Jepun. Jadi ada kemungkinan juga ia akan ditawarkan dengan enjin turbodiesel dari Hilux untuk pasaran lain.
Dengan diasaskan menerusi platform IMV, mungkin tiada masalah untuk model ini dipasang di kilang UMW Toyota di Shah Alam di mana fasiliti berkenaan sedang memasang dua model IMV lain iaitu Hilux dan Fortuner. Dengan harga yang betul, mungkin ia akan mengugat pasaran Suzuki Jimny dengan enjin 1.5L NA yang kini dijual pada harga RM159k bagi versi biasa dan RM200k untuk versi 5-Door?
Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan mendedahkan terdapat beberapa pemandu lori didapati bertindak ingkar terhadap Ops Perang Kenderaan Lebih Muatan dengan membuang muatan mereka serta mematikan enjin dan Sistem Kedudukan Global (GPS), laporan Utusan Malaysia.
Beliau berkata, para pemandu berkenaan dipercayai telah diarahkan oleh ahli perniagaan atau pemilik syarikat untuk berbuat demikian. Salah satu kes pembuangan muatan berlaku pada Jumaat di Jalan Labu, Negeri Sembilan, manakala dua lagi kes yang melibatkan tindakan mematikan enjin dan GPS berlaku di Lebuhraya Persekutuan, hingga menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk.
“Situasi tersebut memaksa JPJ untuk meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menunda lori berkenaan. Pemandu lori berkenaan juga dikenakan tindakan di bawah Seksyen 234 Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) kerana menghalang tugas JPJ. Malah ketiga-tiga pemandu ini didapati bersikap kurang sopan serta enggan memberikan kerjasama semasa pemeriksaan dijalankan,” kata Muhammad Kifli kepada pemberita semalam.
Beliau turut berkata tindakan tidak bertanggungjawab itu telah menyebabkan gangguan dan kesesakan lalu lintas. Perkara ini juga dimaklumkan kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, dan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, katanya.
“Kami (JPJ) tidak akan berkompromi dengan kesalahan yang dilakukan oleh pemandu lori. JPJ akan menghantar laporan kepada APAD untuk mencadangkan penggantungan atau pembatalan permit lori. Kami juga akan menggantung lesen memandu barangan (GDL) pemandu yang enggan bekerjasama,” katanya sambil menambah bahawa operasi selama tiga hari (14-16 Oktober) itu merekodkan 28 kes, dan semua lori yang terlibat telah disita.
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengumumkan bahawa pakej 1 bagi projek penyuraian trafik antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua (PTJSD) dimulakan hari ini dan dikendalikan oleh NAZA Engineering & Construction Sdn Bhd selaku kontraktor utama.
Bagi pakej 1 ini, ia meliputi kerja-kerja menaiktaraf bulatan di Persimpangan Bertingkat Timur-Barat (KM135.15 – KM135.4) dan pembinaan jejambat baharu di Jalan Tun Hussein Onn (KM133.5 – KM134.5), yang akan dilaksanakan selama dua tahun.
PLUS turut berkata, pakej 1 ini juga merupakan sebahagian daripada pakej-pakej Projek PTJSD yang bertujuan untuk menyuraikan trafik di kawasan terbabit dan akan dapat membantu pengguna-pengguna lebuhraya serta penduduk setempat untuk menikmati perjalanan yang lebih lancar pada masa hadapan.
“Secara keseluruhannya, Projek PTJSD ini merupakan projek berimpak tinggi dan akan memberi manfaat kepada kira-kira 200 ribu pengguna harian melalui pengurangan kesesakan di laluan terbabit.
“Pada peringkat permulaan ini, kerja-kerja awalan tidak akan mengganggu aliran trafik kerana dua lorong sedia ada di kedua-dua hala lebuh raya terbabit mash kekal dibuka kepada pengguna. PLUS juga akan membuat pengumuman dari semasa ke semasa berhubung perkembangan terkini projek ini menerusi saluran media sosial,” kata PLUS menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Dalam penganjuran Malaysia Autoshow 2025 pada Mei lalu, Jetour T2 (versi pemanduan sebelah kiri) telah dipertontonkan. Ia dipadankan dengan enjin yang sama seperti Chery Tiggo 8 Pro iaitu 2.0 liter turbo dengan hamburan kuasa 254 PS dan tork 390 Nm dan dipadankan dengan kotak gear automatik klac-berkembar tujuh-kelajuan.
Baru-baru ini pula, Jetour Malaysia telah memaparkan iklan promosi menerusi Facebook rasminya bahawa Jetour T2 bakal dilancarkan di pasaran sini.
T2 ini memiliki ukuran dimensi 4,785 mm panjang, 1,880 mm tinggi, 2,006 mm lebar dan jarak roda 2,800 mm serta jarak kelegaan tanah (ground clearance) cecah 220 mm serta mampu mengharungi air dengan kedalaman hingga 700 mm. Cukup sesuai karakternya untuk dilenjan pemanduan off-road.
Timbalan Presiden Jetour Auto International, Kevin Xu berkata di China pada November lalu bahawa semua produk Jetour untuk pasaran Malaysia akan ditawarkan dengan unit pemasangan tempatan (CKD) termasuk T2. Kilang milik Berjaya Asembly di Tampoi buat masa ini bertanggungjawab memasang Dashing dan VT9.
Di China, Jetour mendakwa telah menjual sebanyak 15,000 unit T2 sebulan, dua kali ganda jumlahnya berbanding pesaing rapatnya, GWM Tank 300 dan cukup membuatkan ia mendahului pasaran ‘boxy SUV’. Di Malaysia, Tank 300 yang diimport dari China (CBU) ditawarkan pada harga RM250k. Agak-agaknya, berapa pula harga Jetour T2 untuk pasaran Malaysia?
Pasaran sedan segmen-C di Malaysia tidak lagi meriah seperti satu ketika dahulu kerana pelanggan yang mempunyai bajet sekitar RM100k-RM150k mereka lebih gemar untuk memilih SUV. Memiliki sedan kini seolah-olah memberikan satu ‘statement’ oleh pemiliknya bahawa selain praktikaliti untuk keluarga, mereka juga memerlukan sesuatu yang seronok untuk dipandu.
Mungkin inilah sebab mengapa Honda Civic menjadi ‘raja’ dalam pasaran sedan segmen-C (bukan nasional) di Malaysia. Ini kerana Civic bukan hanya menampilkan platform yang memberikan karekteristik pengendalian yang begitu seronok, malah ia turut menerima enjin 1.5 liter VTEC Turbo yang agak berkuasa dalam keadaan standard.
Seperti biasa, lawan tradisi untuk Civic dari Toyota adalah Corolla – untuk generasi Civic FE, ia perlu berhadapan dengan Corolla generasi ke-12 dengan kod E210. Dan bagi pasaran Malaysia, Corolla turut ditawarkan dalam versi lebih sporty dengan lencana GR Sport. Tidak seperti Civic RS yang hanya menerima tingkat taraf kosmetik, Corolla GR Sport benar-benar menerima sentuhan semula prestasi pada beberapa bahagian bagi memberikan pemanduan lebih sporty berbanding versi standard.
Corolla GR Sport ini diperkenalkan buat pertama kali di Malaysia pada Ogos 2023 pada harga RM153,800, dan kemudian dilancarkan dalam versi facelift pada awal tahun ini, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran lebih murah iaitu RM149,800. Walau bagaimanapun varian lebih sporty ini masih RM5,000 lebih mahal dari Corolla biasa serta hampir sama dengan Civic RS Turbo, jadi apa istimewanya Corolla GR-Sport? Mari saya bawa tuan-tuan pandu uji Toyota Corolla GR Sport 2025 ini.
Pengeluar kereta China, BYD, bakal melaksanakan panggilan balik (recall) terbesar setakat ini melibatkan lebih daripada 115,000 kenderaan siri Tang dan Yuan Pro yang dihasilkan antara tahun 2015 hingga 2022 disebabkan oleh kecacatan reka bentuk dan risiko keselamatan berkaitan bateri, menurut kenyataan pengawal selia pasaran China hari ini.
BYD telah mengemukakan pelan kepada Pentadbiran Negeri bagi Peraturan Pasaran (State Administration for Market Regulation) untuk memanggil balik 44,535 kenderaan siri Tang yang dihasilkan antara Mac 2015 dan Julai 2017, di mana kecacatan reka bentuk pada komponen tertentu mungkin menyebabkan fungsi tidak normal, laporan Reuters.
Syarikat itu juga bakal memanggil balik 71,248 kenderaan elektrik Yuan Pro yang dihasilkan antara Februari 2021 dan Ogos 2022 disebabkan oleh isu pembuatan yang menjejaskan pemasangan bateri.
Pada bulan Januari lalu, syarikat itu telah memanggil balik 6,843 kenderaan SUV plug-in hibrid off-road Fangchengbao Bao 5 kerana risiko kebakaran.
Sebelum itu, pada September 2024, pengeluar kereta tersebut telah memanggil balik hampir 97,000 kenderaan elektrik Dolphin dan Yuan Plus akibat kecacatan pembuatan yang melibatkan unit kawalan stereng yang menimbulkan risiko kebakaran.
Portal automotif Jepun, Mag-X mendedahkan bahawa Toyota bakal mendedahkan SUV baharu yang digelar sebagai Land Cruiser FJ pada 21 Oktober nanti. Menerusi laporan beberapa media antarabangsa lain termasuk Carscoops, SUV ini merupakan model mampu milik yang kecil, diasaskan dari casis ladder frame, dan bakal diproduksi di Thailand.
Toyota sebenarnya telahpun menyiarkan teaser Land Cruiser FJ ini ketika pendedahan Land Cruiser Prado generasi baharu pada 2023. Bayangan badan sisi SUV tersebut ditunjuk, mendedahkan bahawa ia menampilkan rekaan berkotak seperti SUV off-road klasik, lengkap dengan tayar gantian yang digantung pada pintu tailgate belakang, sesuai dengan nama ‘FJ’ yang diinspirasikan dari Toyota Land Cruiser klasik FJ40.
Bayangan lebih jelas muncul di Filipina baru-baru ini di mana lukisan paten SUV tersebut tersebar, memperlihatkan bahagian mukanya seiras dengan trak pikap mampu milik lebih murah dari Hilux yang baru dilancarkan untuk pasaran ASEAN pada hujung 2023, dikenali sebagai Hilux Champ di Thailand, Hilux Rangga di Indonesia dan Tamaraw di Filipina.
Teaser Land Cruiser FJ ketika pendedahan Land Cruiser Prado pada 2023
Hilux Champ dijual pada harga bermula 459,000 baht (sekitar RM60k) di Thailand. Jadi tidak mustahil Land Cruiser FJ ini turut akan diasaskan dari platform IMV dan berkongsi komponen-komponen lain dengan Hilux Champ bagi membolehkan ia dijual pada harga entry level.
Trak pikap berkenaan ditawarkan dengan tiga varian enjin berbeza iaitu enjin petrol 1TR-FE 2.0 liter empat silinder berkuasa 141 PS/185 Nm, enjin petrol 2TR-FE 2.7 liter berkuasa 166 PS/245 Nm dan enjin turbodiesel 2GD-FTV 2.4 liter empat silinder berkuasa 150 PS. Land Cruiser FJ mungkin akan ditawarkan dengan sistem pacuan empat roda, di mana sistem ini tidak diberikan pada mana-mana varian Hilux Champ.
Buat masa sekarang SUV ladder frame Toyota paling murah dalam pasaran adalah Toyota Fortuner yang dijual di Malaysia pada harga RM196k. Mungkin dengan penawaran Land Cruiser FJ yang lebih murah serta bergaya seperti SUV retro ini kelak ia boleh di bawa ke Malaysia untuk berhadapan terus dengan Suzuki Jimny?
Menteri Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menegaskan bahawa pihaknya akan mengeluarkan arahan larangan penutupan laluan bagi sebarang kerja-kerja selenggara atau baiki jalan sempena cuti Deepavali hujung minggu ini.
Larangan yang juga akan diimplementasikan sepanjang penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 (ASEAN 2025) yang bakal berlangsung antara 26 hingga 28 Okt ini bagi laluan-laluan yang terlibat, katanya.
“Ia (larangan selenggara jalan) akan dikoordinasikan bersama LLM dan konsesi-konsesi jalan raya dan sebagainya. Memang itu wajar kita lakukan,” katanya selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Hab Pengecasan EV Bersepadu di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban arah selatan.
Sempena Deepavali ini, kerajaan juga telah mengumumkan pemberian diskaun tol sebanyak 50% bagi kenderaan Kelas 1 (Kelas 2 di Jambatan Pulau Pinang) sahaja bermula jam 12.01 tengah malam pada 18 Okt 2025 (Sabtu) dan berakhir jam 11.59 malam, 19 Okt 2025 (Ahad) di semua plaza tol KECUALI di plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
Manakala sempena dengan ASEAN 2025 pula, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah mengumumkan penutupan dan lencongan jalan secara berperingkat bermula 25 hingga 28 Oktober untuk enam lebuhraya utama di Lembah Klang dan 25 laluan utama di sekitar ibu kota Kuala Lumpur. Info penuh, boleh dibaca menerusi ARTIKEL INI.