Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Aveta Nova 250 dilancarkan di Malaysia – RM14,388

    Aveta Nova 250 dilancarkan di Malaysia – RM14,388

    Selepas Nova 125 dan Nova 160, Aveta kini melancarkan sebuah lagi skuter yang menggunakan nama Nova, tetapi dengan enjin 244 cc, dipanggil sebagai Nova 250. Ia ditawarkan dalam dua warna iaitu Emerald Green dan Metro Grey, pada harga RM14,388 tidak termasuk insurans.

    Jaminan yang diberi untuk skuter ini adalah selama dua tahun atau 20,000 km, dan sebagai promosi, 200 pembeli terawal akan diberikan dengan kotak barangan belakang serta tapaknya, daripada jenama Givi, bernilai RM750 secara percuma.

    Nova 250 digerakkan oleh enjin satu silinder penyejukan cecair SOHC 244.3 cc, dipadankan bersama transmisi automatik CVT, mampu menghasilkan kuasa 25.5 hp pada 8,250 rpm dan tork 23 Nm pada 6,500 rpm. Enjin ini antaranya menggunakan sistem suntikan bahan api daripada Bosch dan mempunyai nisbah mampatan 11.5:1.

    Menghubungkan skuter ini kepada jalan adalah rim 14 inci dengan tayar 120/70 di hadapan, dan 13 inci dengan tayar 130/70 di belakang, dan ia masing-masing dipegang oleh fork teleskopik serta dua penyerap hentak gas.

    Tugas penghentian pula dijalankan oleh tetapan cakera tunggal dengan angkup empat piston di hadapan, cakera tunggal dengan angkup dua piston di belakang, bersama sistem ABS dual-channel. Turut membantu sistem keselamatan adalah kawalan cengkaman.

    Nova 250 juga datang dengan pelbagai kelengkapan moden termasuk lampu LED, sistem kunci pintar, pemerhati tekanan angin tayar, soket pengecas USB-C, perakam video hadapan serta panel meter TFT-LCD tujuh inci dengan fungsi screen mirroring. Tangki bahan api berkapasiti 12 liter.

     
     
  • Aveta Marvel 150 dilancarkan di Malaysia – RM7,988

    Aveta Marvel 150 dilancarkan di Malaysia – RM7,988

    Aveta menambah pilihan modelnya di Malaysia dengan melancarkan Marvel 150, sebuah motosikal berkonsepkan ‘funbike‘. Ia ditawarkan dalam dua pilihan warna, Mocha Blaze dan Sonic Blue, pada harga RM7,988 tidak termasuk insurans.

    Menggerakkan Marvel 150 adalah enjin satu silinder penyejukan udara 149 cc, digabungkan bersama transmisi lima kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 10.6 hp pada 7,500 rpm dan tork 11.5 Nm pada 5,500 rpm. Untuk menukar gear, penunggang perlu menarik tuil klac di tangan.

    Bersaiz kecil seperti Honda MSX/Grom 125 dan Kawasaki KSR, motosikal ini terletak di atas rim bersaiz 12 inci dengan tayar 120/70 di hadapan dan belakang, manakala sistem brek pula terdiri daripada unit cakera di kedua-dua roda.

    Bagi memberi prestasi lebih mantap atas jalan, Marvel 150 dipasang dengan fork USD di bahagian hadapan, sementara bahagian belakang pula menggunakan dua penyerap hentak dengan pelarasan pra beban. Informasi penting motosikal dipaparkan melalui meter jenis digital LCD berbentuk bulat.

    Turut disediakan adalah soket pengecas USB, semua lampu jenis LED serta tangki bahan api berkapasiti 8.2 liter. Jaminan yang diberikan untuk Marvel 150 adalah selama dua tahun atau 20,000 km.

     
     
  • Proton Saga MC3 2026 dipamerkan di CoE – lebih dari 2 beg udara, ADAS, lampu projektor LED, meter digital

    Proton Saga MC3 2026 dipamerkan di CoE – lebih dari 2 beg udara, ADAS, lampu projektor LED, meter digital

    Selepas dipamerkan di Kuala Lumpur ketika berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 tempoh hari, Proton Saga MC3 2026 yang dibalut dengan pelekat penyamaran bermotif kain songket kini dipamerkan di Pusat Kecermelangan Proton (CoE) di Subang Jaya. Kami mengambil kesempatan ini untuk ke sana dan membelek Saga tersebut bagi mengetahui lebih terperinci tentang sedan yang telah dikemaskini berkenaan.

    Saga 2026 ini diberikan muka yang berubah sepenuhnya berbanding model MC2 sedia ada, di mana penutup bonet, lampu, gril dan juga bampar menerima rekaan baharu. Lampu depan Saga MC3 ini telah diberikan pencahayaan projektor LED, bersama lampu nyalaan siang LED bina-dalam.

    Gril Saga ini juga menerima motif ‘sulaman songket’ yang sama dengan X50 facelift yang baru dilancarkan Julai lalu, dan ia kini lebih besar merangkumi sehingga bahagian bawah lampu hadapan. Rekaan busur panah juga ditampilkan pada gril tersebut dalam kemasan krom bersama logo Proton terletak di tengah, dan ia kelihatan seperti bersambung dengan jalur LED untuk DRL dalam lampu utama.

    Proton Saga MC3 2026 dipamerkan di CoE – lebih dari 2 beg udara, ADAS, lampu projektor LED, meter digital

    Berbanding pada model sedia ada yang diberikan gril bawah pada bampar berbentuk trapezoid, Saga 2026 ini menerima gril bawah berbentuk segi empat. Tiada sebarang lampu diberikan pada bampar, di mana kemasan seperti liang udara pada kedua-dua sisi bampar benar-benar mengalirkan udara ke ruang roda hadapan – tidak dapat dipastikan sama ada untuk tujuan aerodinamik atau untuk menyejukkan brek hadapan.

    Manakala di belakang, jelas Saga diberikan lampu belakang yang merentasi lebar keseluruhan sedan ini, dengan lensa jernih dan grafik LED diinspirasikan dari ‘abangnya’ iaitu Proton S70. Penutup but Saga ini juga menerima perubahan dimana di direka lebih ‘lentik’ di belakang seakan spoiler ekor itik. Bampar belakang Saga ini turut dipadankan bersama dengan panel bawah seakan diffuser udara.

    Namun jika dilihat pada bahagian sisi, bentuk garis bumbung, pintu hadapan dan belakang dan juga garis-garis badan masih lagi sama seperti model sedia ada. Sebelum ini Proton ada menyatakan bahawa Saga 2026 diasaskan dari platform AMA 01, di mana ia adalah berdasarkan platform yang sama digunakan oleh Saga MC2 sekarang tetapi diberikan pelbagai penambahbaikkan – mungkin ini sebab mengapa rupa asas Saga ini masih lagi sama.

    Proton Saga MC3 2026 dipamerkan di CoE – lebih dari 2 beg udara, ADAS, lampu projektor LED, meter digital

    Walau bagaimanapun masih ada beberapa perincian berbeza boleh dilihat pada sisi sedan berkenaan, antaranya set rim aloi 15-inci baharu dengan kemasan dua tona dan dibalut tayar Atlas AS380 dengan saiz 185/55R15, rekaan cermin sisi baharu.

    Unit yang dipamerkan dikunci, jadi kami tidak dapat untuk membelek dengan lebih terperinci bahagian kabin Saga 2026 ini. Apa yang kami boleh lihat Saga ini menerima papan pemuka baharu yang direka semula sepenuhnya, menampilkan skrin infotainmen dan skrin paparan instrumen digital. Dalam set gambar sebelum ini mendedahkan bahawa walaupun skrin tersebut bercantum, ia tidak menampilkan saiz yang sama di mana paparan untuk instrumen adalah lebih kecil dari berbanding infotainmen.

    Selain itu juga dapat dilihat Saga 2026 ini diberikan liang penghembus udara yang kini bujur dan leper berbanding empat segi sebelum ini, suis kawalan cermin sisi, butang penghidup enjin, roda stereng lebih sporty rata dibawah yang diambil terus dari model-model Proton-Geely seperti X50, S70, dan X90, serta perehat kepala untuk tempat duduk belakang kini sudah boleh dilaras.

    Malah kami turut perasan bahawa terdapat label ‘SRS Airbag’ pada tempat duduk hadapan dan juga pada panel pintu menandakan Saga 2026 ini juga menawarkan lebih dari dua beg udara, di mana model-model sebelum ini Saga secara maksimum Saga hanya diberikan beg udara pada stereng dan papan pemuka.

    Pada penutup but belakang, Saga ini turut menerima lencana i-GT – ini mengesahkan bahawa ia menerima enjin i-GT 1.5 liter empat-silinder sebaris yang sama seperti pada X50 baharu. Walau bagaimanapun, kami jangkakan enjin yang disumbat pada Saga ini adalah varian dengan kod BHE15PFI, bukan BHE15TD seperti pada X50.

    Asas kedua-dua enjin tersebut masih lagi sama, tetapi enjin Saga ini adalah dari versi dengan harga lebih mampu milik yang diberikan sistem suntikan bahan api pada port (PFI) berbanding suntikan terus (GDI) pada X50, dan ia juga tidak dibekalkan dengan pengecas turbo. Lebih perincian berkenaan barisan enjin BHE15 ini boleh anda baca pada PAUTAN INI.

    Berdasarkan maklumat yang tertiris sebelum ini, Proton akan menawarkan pilihan transmisi automatik empat-kelajuan 4AT atau CVT automatik bergantung pada varian. Tiada pilihan kotak manual ditawarkan pada model terbaharu Saga ini.

    Model Saga yang dipertingkatkan ini juga sebelum ini telah disahkan menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan fungsi termasuk pemantau titik buta dan juga brek kecemasan automatik. Kami tak nampak sebarang suis kawalan untuk sistem cruise control adapatif pada roda stereng, jadi boleh diagak sistem ADAS yang ditawarkan hanya memberikan fungsi asas tanpa kebolehan pemanduan autonomi Tahap 2.

    Sehingga kini Proton masih belum memberikan sebarang petunjuk bila Saga ini akan dilancarkan. Namun selepas didedahkan tanpa sebarang penyamaran oleh Perdana Menteri Malaysia, Yang Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim di KL pagi tadi, boleh diagak pelancarannya akan dibuat tidak lama lagi.

     
     
  • Proton Saga 2026 didedah tanpa penyamaran oleh PMX di Sidang Kemuncak ASEAN – dah nak lancar?

    Proton Saga 2026 didedah tanpa penyamaran oleh PMX di Sidang Kemuncak ASEAN – dah nak lancar?

    Selain dari eMas 5, Proton hari ini turut menunjukkan rupa sebenar Proton Saga 2026 tanpa sebarang pelekat penyamaran ketika berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kuala Lumpur. Ia didedahkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Yang Berhormat Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, dan juga Premier Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Li Qiang.

    Walau bagaimanapun gambar yang dihantar kepada kami hanya menampilkan bahagian hadapan Saga berwarna Ruby Red ini dan juga sedikit sisi hadapan. Namun kami telah sempat untuk meninjau Saga 2026 yang masih dibalut dengan pelekat penyamaran songket tempoh hari yang kini dipamerkan di Pusat Kecemerlangan Proton (CoE) di Subang Jaya.

    Seperti yang dilihat sebelum ini, muka Saga ini berubah sepenuhnya berbanding model MC2 sedia ada, di mana fender, penutup bonet, lampu, gril dan juga bampar menerima rekaan baharu. Lampu depan Saga 2026 ini telah diberikan pencahayaan projektor LED, bersama lampu nyalaan siang LED bina-dalam.

    Proton Saga 2026 didedah tanpa penyamaran oleh PMX di Sidang Kemuncak ASEAN – dah nak lancar?

    Gril Saga ini juga menerima motif sama dengan X50 facelift yang baru dilancarkan Julai lalu, dan ia kini lebih besar merangkumi sehingga bahagian bawah lampu hadapan. Rekaan busur panah juga ditampilkan pada gril tersebut dalam kemasan krom, bersama logo Proton terletak di tengah, serta kelihatan seperti bersambung dengan jalur LED dalam lampu utama.

    Manakala di belakang, jelas Saga diberikan lampu belakang yang merentasi lebar keseluruhan sedan ini, dengan lensa jernih dan grafik LED diinspirasikan dari ‘abangnya’ iaitu Proton S70. Bampar belakang Saga ini turut dipadankan bersama dengan panel bawah seakan diffuser udara.

    Namun jika dilihat pada bahagian sisi, bentuk garis bumbung, pintu hadapan dan belakang dan juga garis-garis badan masih lagi sama seperti model sedia ada. Sebelum ini Proton ada menyatakan bahawa Saga 2026 diasaskan dari platform AMA 01, di mana ia adalah berdasarkan platform yang sama digunakan oleh Saga MC2 sekarang tetapi diberikan pelbagai penambahbaikkan – mungkin ini sebab mengapa rupa asas Saga ini masih lagi sama.

    Proton Saga 2026 didedah tanpa penyamaran oleh PMX di Sidang Kemuncak ASEAN – dah nak lancar?

    Walau bagaimanapun masih ada beberapa perincian berbeza boleh dilihat pada sisi sedan berkenaan, antaranya set rim aloi 15-inci baharu, rekaan cermin sisi baharu dan terdapat suis kunci pada pembuka pintu pemandu, menandakan Saga 2026 ini akhirnya diberikan sistem kemasukan dan penghidup enjin tanpa kunci.

    Rekaan papan pemuka Saga ini juga terdedah hampir keseluruhannya. Dapat dilihat ia menerima rekaan serba baharu dengan liang penghembus udara yang kini bujur dan leper berbanding empat segi sebelum ini. Dan yang paling menonjol adalah skrin infotainmen berdiri sendiri bercantum dengan satu lagi skrin tanpa perumah untuk paparan instrumen digital penuh.

    Namun kedua-dua skrin tersebut tidak boleh diistilahkan ‘berkembar’ kerana paparan untuk meter digital adalah lebih kecil berbanding infotainmen, menyebabkan ada satu ruang gelap yang agak besar di antara kedua-dua skrin berkenaan. Saga baharu ini juga telah dipadankan dengan roda stereng rata di bawah yang diambil terus dari model-model terkini seperti X50, S70 dan X70.

    Proton Saga 2026 didedah tanpa penyamaran oleh PMX di Sidang Kemuncak ASEAN – dah nak lancar?

    Antara perincian dalaman lain yang boleh kami intai pada Saga ini dari luar termasuk ia diberikan lebih dari sekadar dua-beg udara (berdasarkan label pada tempat duduk dan pintu) serta perehat kepala tempat duduk belakang yang kini sudah boleh dilaras.

    Kalau anda perasan pada penutup but belakang, Saga ini turut menerima lencana i-GT – ini mengesahkan bahawa ia menerima enjin i-GT 1.5 liter empat-silinder sebaris yang sama seperti pada X50 baharu. Walau bagaimanapun, kami jangkakan enjin yang disumbat pada Saga ini adalah varian dengan kod BHE15PFI, bukan BHE15TD seperti pada X50.

    Asas kedua-dua enjin tersebut masih lagi sama, tetapi enjin Saga ini adalah dari versi dengan harga lebih mampu milik yang diberikan sistem suntikan bahan api pada port (PFI) berbanding suntikan terus (GDI) pada X50, dan ia juga tidak dibekalkan dengan pengecas turbo. Lebih perincian berkenaan barisan enjin BHE15 ini boleh anda baca pada PAUTAN INI.

    Proton Saga 2026 didedah tanpa penyamaran oleh PMX di Sidang Kemuncak ASEAN – dah nak lancar?

    Berdasarkan maklumat yang tertiris sebelum ini, Proton akan menawarkan pilihan transmisi automatik empat-kelajuan 4AT atau CVT automatik bergantung pada varian. Tiada pilihan kotak manual ditawarkan pada model terbaharu Saga ini. Model Saga yang dipertingkatkan ini juga sebelum ini telah disahkan menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan fungsi termasuk pemantau titik buta dan juga brek kecemasan automatik.

    Masih belum ada maklumat rasmi bila Saga ini akan dilancarkan, namun kami difahamkan bahawa ia akan berada di pasaran sebelum berakhirnya tahun ini.

     
     
  • Proton eMas 5 didedahkan sepenuhnya – bermula RM60k hingga RM80k, harga sebenar diumum 30 Okt

    Proton eMas 5 didedahkan sepenuhnya – bermula RM60k hingga RM80k, harga sebenar diumum 30 Okt

    Selepas bahagian dalamannya didedahkan sepenuhnya Ogos lalu, Proton hari ini mendedahkan pula bahagian luaran penuh tanpa pelekat penyamaran untuk EV terbaharunya iaitu eMas 5, sebelum pelancaran penuhnya dijadualkan berlangsung pada 30 Oktober ini.

    Proton eMas 5 ini akan ditawarkan dalam dua varian iaitu Prime dan Premium. Harganya masih belum diketahui kerana ia hanya akan diumumkan ketika pelancarannya nanti. Namun Proton memberikan bayangan bahawa varian asas Prime akan dijual pada harga sekitar RM60,000, manakala varian tertinggi Premium pula akan dijual pada harga sekitar RM80,000.

    Juga buat masa ini Proton hanya mendedahkan eMas 5 hanya dalam varian Premium, manakala untuk varian Prime yang lebih murah mungkin hanya akan ditayangkan Khamis nanti.

    Proton eMas 5 didedahkan sepenuhnya – bermula RM60k hingga RM80k, harga sebenar diumum 30 Okt

    Walau bagaimanapun, pendedahan penuh untuk eMas 5 hari ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana rupa luaran hatchback ini sama sepenuhnya dengan kembarnya di China iaitu Geely Geome Xingyuan/Star Wish, dengan perbezaan hanya pada logo Proton di hadapan dan skrip ‘PROTON’ serta lencana eMas 5 di pintu tailgate belakang.

    Proton juga menawarkan pilihan warna yang sama seperti Geely Xingyuan iaitu Moonstone White, Graphite Silver dan Slate Grey untuk semua varian, serta Marble Cream dan Quartz Rose hanya untuk varian Premium.

    Pada bahagian kabin pula secara standard eMas 5 menerima kemasan dalaman berwarna Flint Grey, manakala pembeli varian Premium yang memilih warna eksklusif Marble Cream dan Quartz Rose akan diberikan kemasan dalaman Alabaster White yang lebih cerah.

    Proton eMas 5 didedahkan sepenuhnya – bermula RM60k hingga RM80k, harga sebenar diumum 30 Okt

    Setakat ini Proton mengesahkan bahawa varian asas akan menerima perincian seperti lampu hadapan halogen, rim besi 16-inci, tempat duduk hadapan larasan manual, sistem penghawa dingin manual dengan liang hembusan kabin belakang dan juga upholsteri kulit sintetik.

    Manakala bagi varian Premium, boleh dilihat ia menerima perincian lebih baik seperti lampu hadapan LED, bumbung berwarna hitam, rim aloi 16-inci dua tona, enam pembesar suara kamera 360-darjah dab pintu tailgate belakang bantuan kuasa.

    Untuk infotainmen, eMas 5 diberikan skrin bersaiz 14.6-inci yang beroperasi dengan OS Atlas Proton. Ia menyokong aplikasi Apple CarPlay dan Android Auto yang boleh dihubungkan tanpa wayar, serta menampilkan fungsi arahan suara Bahasa Melayu “Hi eMas” dan fungsi khas untuk EV seperti navigasi pencarian stesen-stesen pengecas.

    Proton eMas 5 ini dihasilkan dengan dimensi panjang 4,135 mm, lebar 1,805 mm, tinggi 1,580 mm dna juga jarak roda sejauh 2,650 mm. Hatchback ini menyediakan ruang kargo pada but belakang dengan kapasiti 375 liter, dan ia boleh dibesarkan sehingga 1,320 liter sekiranya tempat duduk belakang dilipat. Ia turut diberikan ruang frunk di hadapan dengan kapasiti simpanan 70 liter.

    Proton eMas 5 ini juga merupakan model pertama Proton yang ditawarkan sebagai sebuah model pacuan roda belakang dengan motor elektrik tunggal yang diletakkan pada gandar belakang. Untuk varian Premium, motor elektrik berkenaan menghasilkan kuasa 116 PS (85 kW) dan tork maksima 150 Nm, dipacu oleh bateri LFP keluaran CATL dengan kapasiti 40.16 kWj.

    Manakala bagi varian Prime, motor elektrik yang dibekalkan hanya berkuasa 79 PS (58 kW) dan tork maksima 130 Nm, menerima bekalan kuasa dari bateri LFP lebih kecil berkapasiti 30.12 kWj.

    Konfigurasi unit rangkaian kuasa ini membolehkan eMas 5 Premium memecut dari 0-150 km/j dalam masa 3.9 saat sebelum mencapai kelajuan 135 km/j serta jarak perjalanan 325 km (WLTP) dengan satu cas bateri penuh, manakala eMas 5 Prime pula kelajuan maksimanya dihadkan pada 125 km/j dan boleh bergerak sejauh 225 km (WLTP) dengan satu cas penuh.

    Untuk mengecas pula eMas 5 boleh menerima pengecas AC 6.6 kW dan juga penegcas pantas DC sehingga 71 kW yang membolehkan cas dari 30%-80% dipenuhkan dalam masa 21 minit.

    Hanya tinggal dua hari sebelum model ini dilancarkan, dan ia bakal menjadi EV paling murah di Malaysia setakat ini kelak. Proton sebenarnya sudahpun membuka tempahan eMas 5 pada awal bulan ini, dan sehingga minggu lalu ia telahpun menerima sebanyak 4,000 tempahan.

    Kami juga telah diberi peluang untuk memandu eMas 5 ini di litar ujian Proton Shah Alam tempoh hari, dan laporannya boleh anda baca pada PAUTAN INI.

     
     
  • Hampir 50,000 pengguna perkhidmatan BAS.MY setakat Ogos; majoriti penumpangnya warga emas

    Hampir 50,000 pengguna perkhidmatan BAS.MY setakat Ogos; majoriti penumpangnya warga emas

    Seramai 49,611 penumpang telah menggunakan perkhidmatan bas percuma BAS.MY setakat Ogos tahun ini, laporan Bernama. Warga emas merupakan golongan paling ramai yang menggunakan BAS.MY ini iaitu sebanyak 78%, diikuti pelajar sekolah (13%), orang kurang upaya (6%) dan penuntut universiti (3%), kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

    “Perkhidmatan BAS.MY di bawah Program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti memberi tumpuan kepada ibu negeri dan kawasan sekitarnya, terutamanya di luar Lembah Klang. Sehingga bulan Oktober, perkhidmatan ini telah beroperasi di Kangar, Kota Setar, Ipoh, Seremban, Melaka, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kota Bharu dan Kuching. Perkhidmatan ini juga sedang diperkenalkan secara berperingkat di Kota Kinabalu,” kata Loke di Dewan Rakyat.

    Johor Bahru mencatatkan jumlah pengguna kad konsesi BAS.MY tertinggi iaitu seramai 16,832 orang, diikuti Kuching dengan 10,215 orang, Ipoh (7,304 orang), Seremban (6,310 orang), dan Melaka (4,668 orang)

    Sementara itu, Loke berkata kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama awam-swasta bagi memperluas kemudahan hentian bas di seluruh negara dan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

    Beliau menjelaskan bahawa masih terdapat cabaran dari segi pembiayaan dan sumber kerana penyediaan hentian bas turut memerlukan kerjasama pihak berkuasa tempatan. Justeru, Kementerian Pengangkutan sedang melaksanakan model kerjasama awam-swasta yang membolehkan syarikat swasta menaja dan menyelenggara hentian bas sebagai pertukaran untuk peluang pengiklanan di lokasi berkenaan.

    “Tidak semua hentian bas perlu dibina oleh kerajaan atau pihak berkuasa tempatan. Kami boleh menyediakan tapak, dan kementerian sedang membangunkan satu program di mana syarikat swasta boleh mengambil alih atau ‘adopt’ hentian bas ini. Ini akan menjadi situasi menang-menang untuk semua pihak. Saya berharap usaha untuk menambah baik hentian bas dan laluan pejalan kaki akan terus dijalankan,” kata Loke.

     
     
  • PLUS sumbang empat unit Honda CR-V 1.5T kepada PDRM untuk dijadikan kenderaan penguatkuasa

    PLUS sumbang empat unit Honda CR-V 1.5T kepada PDRM untuk dijadikan kenderaan penguatkuasa

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah menyerahkan empat unit Honda CR-V 1.5 Turbo kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk dijadikan kenderaan penguatkuasa. Ia adalah bagi memperkukuhkan kerjasama strategik yang telah terjalin selama lebih 30 tahun antara PDRM dan PLUS serta komitmen berterusan dalam memastikan keselamatan pengguna lebuhraya.

    Majlis penyerahan ini disempurnakan oleh Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar kepada Ketua Polis Negara, IG Dato’ Sri Mohd Khalid Haji Ismail di Bukit Aman, Kuala Lumpur, semalam.

    Menurut PLUS, penyerahan kenderaan penguatkuasa kepada pihak PDRM adalah untuk membantu memperkasakan lagi peranan unit peronda lebuh raya (Expressway Mobile Patrol Vehicle – EMPV) PDRM dalam menjalankan penguatkuasaan undang-undang, rondaan dan pemantauan dengan lebih efektif di lebuhraya kendalian PLUS.

    Inisiatif ini juga merupakan salah satu kerjasama strategik antara pihak PLUS dan PDRM dalam memastikan orang ramai menikmati perjalanan yang selamat ketika berada di lebuhraya, selain memantapkan kecekapan penguatkuasaan di sepanjang Lebuhraya PLUS.

    Pada 14 Oktober lalu, PLUS turut menyumbangkan empat unit CR-V 1.5 turbo kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga untuk dijadikan kenderaan penguatkuasaan bagi meningkatkan keselamatan pengguna lebuhraya kendaliannya.

    Honda CR-V generasi keempat ini dilancarkan di pasaran Malaysia pada akhir Disember 2023, diberikan unit L15BE DOHC turbo empat-silinder yang mampu menghasilkan kuasa 193 PS (190 hp) pada 6,000 rpm dan 243 Nm dari 1,700-5,000 rpm. Bagi enjin turbo, ia ditawarkan dengan empat varian iaitu Honda CR-V 1.5L Turbo S – RM159,900; Honda CR-V 1.5L Turbo E – RM169,900; dan Honda CR-V 1.5L Turbo V AWD – RM181,900. Manakala CR-V 2.0L e:HEV RS pula dijual pada harga RM195,900.

     
     
  • Jaecoo J7 AWD pasaran Malaysia kini datang dengan pemijak sisi elektrik, kotak peralatan tepi, RM153,800

    Jaecoo J7 AWD pasaran Malaysia kini datang dengan pemijak sisi elektrik, kotak peralatan tepi, RM153,800

    Model Jaecoo J7 AWD kini hadir dengan pakej aksesori secara standard, seperti yang diumumkan oleh Omoda | Jaecoo Malaysia melalui saluran media sosial rasminya. Tawaran ini adalah khas untuk varian AWD (pacuan semua roda) dan pakej berkenaan merangkumi kotak peralatan sisi (side toolkit box) serta pemijak tepi elektrik (electric side steps).

    Kedua-dua aksesori ini sebelum ini ditawarkan secara pilihan dalam katalog rasmi Jaecoo, dengan harga RM2,000 bagi kotak peralatan sisi dan RM5,800 bagi pemijak tepi elektrik. Dalam laman web rasmi Omoda | Jaecoo Malaysia, pakej ini dikenali sebagai ‘Package A’, yang boleh dibeli secara berasingan pada harga RM7,500. Namun, dengan semakan harga terbaru, pelanggan yang membeli pakej ini bersama kenderaan hanya perlu membayar RM5,000.

    Dengan kemas kini ini, Jaecoo J7 AWD pemasangan tempatan (CKD) bersama dua aksesori tersebut kini dijual pada harga RM153,800 atas jalan tanpa insurans, berbanding RM148,800 sebelum ini tanpa pakej tambahan.

    Selain itu, pelanggan juga boleh memilih aksesori tambahan lain seperti kanopi tepi (RM2,600), kotak taktikal (RM3,000), rak bumbung (RM5,800) dan tangga sisi (RM1,500). Beberapa barangan ini turut ditawarkan dalam ‘Package B’ yang berharga RM10,000, merangkumi rak bumbung, kotak peralatan sisi dan kanopi tepi.

    Dari segi prestasi, Jaecoo J7 AWD dikuasakan oleh enjin petrol empat silinder 1.6 liter turbo yang menghasilkan 197 PS (194 hp atau 145 kW) dan 290 Nm tork. Kuasa disalurkan melalui transmisi tujuh kelajuan klac berkembar (DCT) dengan sistem pacuan semua roda, membolehkan SUV ini memecut dari 0 ke 100 km/j dalam 9.9 saat dan mencapai kelajuan maksimum 180 km/j.

    Antara kelengkapan standard yang disertakan termasuk rim 19 inci rekaan ‘Aurora’, lampu utama LED automatik, lampu suasana 64 warna, bumbung suria panoramik, paparan instrumen digital 10.25 inci, skrin infotainmen 14.8 inci, pad pengecas tanpa wayar 50W, tujuh mod pemanduan serta sistem audio Sony lapan pembesar suara. Turut disediakan ialah sokongan tanpa wayar Android Auto dan Apple CarPlay, head-up display serta pakej bantuan pemandu (ADAS).

     
     
  • GAC M8 PHEV – harga rasmi untuk pasaran Malaysia diumum, dari RM329k, jarak gerak sehingga 1,038 km

    GAC M8 PHEV – harga rasmi untuk pasaran Malaysia diumum, dari RM329k, jarak gerak sehingga 1,038 km

    Selepas beberapa bulan tempahan dibuka, pengedar rasmi jenama GAC di Malaysia, Warisan Tan Chong Automotif (WTCA), kini mengumumkan harga rasmi bagi GAC M8 PHEV, iaitu MPV plug-in hybrid mewah dari China yang ditawarkan dalam dua varian iaitu Premium dan Luxury.

    Harga atas jalan tanpa insurans bagi varian Premium ditetapkan pada RM328,800, manakala varian Luxury dijual pada RM388,800. Menariknya, harga varian asas ini sedikit lebih rendah daripada anggaran awal RM333,000 yang diumumkan semasa Malaysia Autoshow 2025 pada bulan Mei lalu.

    Dari segi kuasa, kedua-dua varian menggunakan enjin petrol empat silinder 2.0 liter turbo yang menghasilkan 190 PS dan 300 Nm tork, digandingkan dengan motor elektrik 182 PS dan 300 Nm. Motor ini mendapat tenaga daripada bateri 25.57 kWh, dipadankan dengan transmisi hibrid khas dua kelajuan (DHT). Gabungan kedua-dua sistem ini menghasilkan kuasa keseluruhan 373 PS dan 630 Nm, membolehkan M8 PHEV memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 8.8 saat.

    GAC M8 PHEV – harga rasmi untuk pasaran Malaysia diumum, dari RM329k, jarak gerak sehingga 1,038 km

    Apabila menggunakan tenaga elektrik sepenuhnya, M8 PHEV mampu bergerak sejauh 120 km dengan sekali cas, manakala dengan tangki bahan api 56 liter dan bateri penuh, jarak pemanduan hibrid maksimum yang direkodkan adalah 1,038 km. Menurut piawaian NEDC, penggunaan bahan api bercampur adalah 6.1 liter/100 km, manakala penggunaan mod hibrid hanya 1.1 liter/100 km.

    Pengecasan AC 6.6 kW akan mengambil masa sekitar 3.5 jam untuk mendapatkan cas penuh, manakala pengecasan pantas DC 40 kW mampu menaikkan tahap bateri dari 10% ke 80% dalam 30 minit. Fungsi Vehicle-to-Load (V2L) turut disediakan dengan output 3.3 kW untuk membekalkan kuasa kepada peralatan elektrik luaran.

    Sistem suspensi menggunakan tetapan MacPherson di hadapan dan multi-link di belakang. Kedua-dua varian dilengkapi teknologi Adaptive Vehicle Dynamic Control (AVDC), manakala varian Luxury menerima tambahan sistem Smart Damping Control dengan penyerap hentak elektromagnetik.

    Dari segi kelengkapan, semua varian hadir dengan rim 18 inci, lampu utama LED bersama lampu siang (DRL), lampu belakang LED, bantuan lampu tinggi automatik, kaca privasi akustik untuk barisan kedua dan ketiga, bumbung suria kuasa di hadapan, bumbung suria belakang dengan bidai (bercahaya dalam varian Luxury), pintu belakang kuasa tanpa sentuhan serta pengelap cermin automatik.

    Bahagian dalamannya menawarkan tempat duduk untuk tujuh penumpang, dengan dua kerusi kapten berkuasa di barisan kedua yang dilengkapi fungsi urut, memori, pengudaraan dan ottoman terbina. Setiap kerusi turut mempunyai paparan 5 inci, manakala di siling terdapat monitor 15.6 inci. Tempat duduk hadapan juga mempunyai larasan kuasa serta fungsi pemanas dan pengudaraan, dengan varian Luxury mendapat pelarasan tambahan.

    Menurut laman rasmi GAC Malaysia, kabin M8 PHEV menampilkan paparan instrumen digital 12.3 inci, skrin infotainmen tengah 10.1 inci, sistem audio Yamaha lapan pembesar suara, kawalan suhu tiga zon, Apple CarPlay dan Android Auto, pad pengecas tanpa wayar 50W, tombol gear kristal, serta penapis udara PM2.5 dengan penderia kualiti udara dan ioniser. Lampu suasana pelbagai warna eksklusif untuk varian Luxury.

    GAC M8 PHEV – harga rasmi untuk pasaran Malaysia diumum, dari RM329k, jarak gerak sehingga 1,038 km

    Dari segi keselamatan, MPV ini dilengkapi tujuh beg udara (hadapan, sisi, tirai dan belakang), bersama sistem keselamatan pasif seperti ABS, EBD, ESP, serta fungsi auto hold, hill hold, hill descent control, kamera 360 darjah, pengesan jarak depan dan belakang serta pemantauan tekanan tayar (TPMS).

    Kedua-dua varian turut mendapat pakej bantuan pemanduan (ADAS) lengkap termasuk cruise control adaptif, Traffic Jam Assist, Integrated Cruise Assist, brek kecemasan automatik (AEB), amaran pelanggaran hadapan, bantuan kekal lorong, amaran keluar lorong, bantuan kecemasan lorong, pemantauan titik buta, amaran lintasan belakang dengan brek, pengenalan tanda trafik serta bantuan parkir automatik. Untuk varian Luxury, terdapat tambahan fungsi reverse tracking, AEB belakang dan sistem parkir yang lebih canggih.

    Dengan ukuran 5,212 mm panjang, 1,893 mm lebar, 1,823 mm tinggi dan jarak roda 3,070 mm, GAC M8 PHEV lebih besar daripada Toyota Alphard dan Vellfire, malah hampir sepadan dengan Zeekr 009 dan Denza D9. Ia ditawarkan dalam dua pilihan warna — Crystal White dan Elegant Black — bersama waranti lima tahun atau 150,000 km untuk kenderaan, serta lapan tahun atau 150,000 km untuk bateri PHEV.

     
     
  • MG S5 EV di Malaysia turun harga RM8,000 – Com dari RM109k, Com LR dari RM119k dan Lux LR dari RM129k

    MG S5 EV di Malaysia turun harga RM8,000 – Com dari RM109k, Com LR dari RM119k dan Lux LR dari RM129k

    Harga bagi SUV elektrik MG S5 EV disemak semula untuk pasaran Malaysia, hanya beberapa bulan selepas ia mula dijual pada Mei lalu. Seperti yang berlaku kepada model MG4 EV , semakan harga terbaru ini menjadikan MG S5 EV lebih mampu milik berbanding sebelumnya.

    Bermula serta-merta, MG S5 EV varian Com kini dijual pada harga RM107,900, diikuti Com Long Range pada RM117,900, manakala varian tertinggi Lux Long Range berharga RM127,900. Harga ini adalah sebelum kos atas jalan (OTR) dan insurans.

    Selepas dimasukkan kos OTR tetapi tanpa insurans, harga masing-masing menjadi RM108,548 untuk Com, RM118,548 untuk Com Long Range dan RM128,548 untuk Lux Long Range. Secara keseluruhan, setiap varian menerima penurunan harga sebanyak RM8,000 berbanding sebelum ini.

    Melihat kepada spesifikasi, semua varian MG S5 EV menggunakan bateri jenis lithium iron phosphate (LFP), dengan varian asas Com dilengkapi bateri 49 kWh dengan jarak pemanduan sehingga 340 km (WLTP). Bagi Com Long Range dan Lux Long Range, kedua-duanya mendapat bateri 62 kWh dengan jarak pemanduan masing-masing sehingga 430 km dan 425 km.

    Sistem pengecasan AC disediakan sehingga 7 kW, manakala pengecasan pantas DC adalah 120 kW untuk varian Com dan 150 kW bagi dua varian Long Range. Dengan pengecasan pantas ini, bateri boleh dicas dari 10% ke 80% dalam hanya 26 minit. MG S5 EV juga menyokong fungsi Vehicle-to-Load (V2L) bagi membekalkan kuasa kepada peralatan elektrik luaran.

    Dari aspek prestasi, semua varian dilengkapi motor elektrik belakang yang menghasilkan 170 PS (168 hp atau 125 kW) dan tork 250 Nm. Pecutan 0–100 km/j dicatatkan pada 8 saat untuk varian Com, 8.2 saat bagi Com Long Range dan 8.6 saat untuk Lux Long Range.

    MG S5 EV di Malaysia turun harga RM8,000 – Com dari RM109k, Com LR dari RM119k dan Lux LR dari RM129k

    Kelengkapan standard yang disediakan adalah termasuk lampu utama LED dengan DRL bertema “Racing Flag”, lampu belakang LED, rim aloi hitam 17 inci, brek parkir elektronik dengan fungsi auto hold, penghawa dingin automatik zon tunggal dengan corong belakang, Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, skrin infotainmen sesentuh 12.8 inci dengan arahan suara, kluster instrumen digital 10.25 inci, kamera undur serta sambungan aplikasi MG iSmart.

    Varian Com Long Range dinaik taraf dengan tempat duduk gabungan kulit dan fabrik yang mempunyai logo MG berliang, serta kerusi pemandu berkuasa enam larasan dengan sokongan lumbar manual.

    Naik ke varian Lux Long Range, pembeli akan menikmati rim dua tona 18 inci, cermin sisi boleh lipat automatik, bumbung panoramik, stereng kulit, pengecas telefon tanpa wayar, perehat tangan belakang dengan lampu bacaan, sistem audio enam pembesar suara, pengelap cermin automatik, pintu belakang berkuasa dengan penderia kaki serta kamera 360 darjah.

    Dari aspek keselamatan, semua varian hadir dengan tujuh beg udara, sistem bantuan pemandu (ADAS) lengkap, termasuk lampu tinggi automatik dan pemantauan tekanan tayar (TPMS).

    GALERI: MG S5 EV Com

    GALERI: MG S5 EV Lux Long Range

     
     
  • 1,017 kenderaan perdagangan diambil tindakan dalam Op Khas Perang Lebih Muatan sejak 14 Okt – KP JPJ

    1,017 kenderaan perdagangan diambil tindakan dalam Op Khas Perang Lebih Muatan sejak 14 Okt – KP JPJ

    Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) telah memeriksa sejumlah 27,300 buah kenderaan perdagangan menerusi Operasi Khas Perang Lebih Muatan di seluruh negara sejak 14 Oktober lalu

    Daripada jumlah itu, sebanyak 1,017 kenderaan dikesan melakukan kesalahan membawa barangan melebihi muatan, manakala 1,696 pemandu dan pemilik kenderaan telah dikenakan tindakan saman, kata Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli.

    “Pada masa sama, 96 buah lori turut disita di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) atas kesalahan membawa barangan lebih muatan,” katanya lagi ketika sidang media Ops Perang Lebih Muatan di Plaza Tol Sungai Petani (Utara) malam tadi.

    1,017 kenderaan perdagangan diambil tindakan dalam Op Khas Perang Lebih Muatan sejak 14 Okt – KP JPJ

    Tambah Aedy, pihaknya menegaskan bahawa tindakan serius akan diambil terhadap mana- mana pemandu, pemilik kenderaan atau syarikat pengangkutan yang gagal mematuhi peraturan dan had muatan yang telah ditetapkan.

    Dalam hal ini, JPJ komited untuk terus mempergiat aktiviti penguatkuasaan, pemantauan dan pendidikan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya, infrastruktur awam terpelihara serta tahap pematuhan undang-undang dalam industri pengangkutan terus dipertingkatkan.

    Pada 14 Oktober lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan bahawa JPJ telah memulakan operasi penguatkuasaan bersepadu sehingga 31 Disember 2025 yang disifatkan sebagai “pengisytiharan perang” terhadap kesalahan membawa muatan lebih melibatkan kenderaan perdagangan.

    1,017 kenderaan perdagangan diambil tindakan dalam Op Khas Perang Lebih Muatan sejak 14 Okt – KP JPJ

    Katanya, operasi penguatkuasaan bersepadu itu dilaksanakan meliputi lima zon utama, iaitu Utara, Tengah, Selatan, Timur dan Borneo, di mana tindakan penguatkuasaan itu merupakan langkah tegas untuk mengekang sikap sambil lewa dan ketidakpatuhan dalam kalangan pengusaha, serta pemandu kenderaan perdagangan yang membawa lebih muatan dan melanggar undang-undang jalan raya.

    Selain dari operasi bersepadu, Loke turut mengarahkan JPJ dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) melaksanakan kerangka pentadbiran baharu bagi memperkukuh tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat pengendali kenderaan perdagangan berisiko tinggi.

    Dengan kerangka tersebut, pesalah berulang bukan sahaja akan dikenakan saman oleh JPJ, tetapi permit kenderaan atau lesen pengendali syarikat turut boleh digantung atau dibatalkan oleh APAD.

     
     
  • Tren MRT Laluan Putrajaya beroperasi dalam mod manual hari ini – bas perantara percuma disediakan

    Tren MRT Laluan Putrajaya beroperasi dalam mod manual hari ini – bas perantara percuma disediakan

    Sejak Sabtu lalu, perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya mengalami gangguan operasi gara-gara kes kecurian kabel komunikasi dan masalah sistem semboyan hingga menjejaskan perjalanan penumpang dari Stesen Kwasa Damansara ke Stesen Putrajaya Sentral.

    Rapid Rail Sdn Bhd telah mengeluarkan kenyataan bahawa sehingga hari ini (27 Okt 2025), perkhidmatan tren Laluan Putrajaya akan terus beroperasi dalam mod manual berikutan kerja-kerja baik pulih sistem semboyan yang masih giat dijalankan.

    “Langkah ini diambil bagi memastikan operasi tren dapat diteruskan dengan selamat sementara kerja pembaikan sistem dijalankan susulan insiden kecurian kabel berhampiran Stesen Kuchai pada 25 Oktober 2025.

    Tren MRT Laluan Putrajaya beroperasi dalam mod manual hari ini – bas perantara percuma disediakan

    “Sepanjang tempoh ini, tren akan dipandu secara manual dari Stesen Kwasa Damansara ke Stesen Putrajaya Sentral, yang menyebabkan pergerakan tren menjadi lebih perlahan serta berhenti lebih lama di setiap stesen. Kekerapan tren dijangka setiap 15 hingga 20 minit,” katanya.

    Justeru, bagi membantu penumpang yang terjejas, perkhidmatan bas perantara ulang-alik percuma juga disediakan dari Stesen Kwasa Damansara ke Stesen Putrajaya Sentral sepanjang tempoh gangguan. Kekerapan bas dijangka setiap 15 hingga 20 minit bergantung kepada keadaan trafik semasa.

    Selain itu, Rapid Rail turut menyarankan agar para penumpang menggunakan laluan rel lain sebagai alternatif untuk ke destinasi yang dituju seperti berikut:

    Tren MRT Laluan Putrajaya beroperasi dalam mod manual hari ini – bas perantara percuma disediakan

    Syarikat ini turut berkata, petugas stesen dan anggota polis bantuan akan ditempatkan di platform, ruang legar dan hentian bas di stesen bagi membantu penumpang yang memerlukan panduan.

    “Penumpang dinasinatkan merancang peralanan lebin awal serta mengikutiperkembangan terkini melalui saluran media sosial rasmi Rapid KL dan aplikasi PULSE. Rapid Rail menghargai kesabaran para penumpang sepanjang tempoh gangguan dan memohon maaf atas sebarang kesulitan yang dialami,” katanya lagi.

     
     
  • Suzuki GSX-8T, GSX-8TT dilancar di Malaysia – enjin dua silinder 776 cc, quickshifter, dari RM59,600

    Suzuki GSX-8T, GSX-8TT dilancar di Malaysia – enjin dua silinder 776 cc, quickshifter, dari RM59,600

    Baru sahaja diperkenalkan kepada dunia Julai lalu, Suzuki GSX-8T dan GSX-8TT kini dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada harga masing-masing RM59,600 dan RM63,600 tidak termasuk insurans.

    Asas untuk dua model baru ini adalah sama, bermula dengan enjin, iaitu unit dua silinder selari 776 cc DOHC dengan sistem penyejukan cecair dan suntikan bahan api elektronik, dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan dan sistem pacuan rantai. Kuasa yang mampu dihasilkan adalah 82.9 hp pada 8,500 rpm dan tork 78 Nm pada 6,800 rpm.

    Pada bahagian kokpit, informasi penting dipaparkan oleh panel instrumen TFT-LCD lima inci berwarna penuh, sementara untuk mod tunggangan, ada tiga pilihan disediakan, dengan Mode A yang paling agresif, diikuti Mode B, dan Mode C yang lebih seperti mod hujan.

    Menggunakan sistem pendikit ride-by-wire, motosikal ini turut datang dengan kawalan cengkaman tiga tahap (boleh tutup), bantuan rpm rendah untuk memudahkan pergerakan awal serta quickshifter (naik dan turun) secara standard. Memegang rim 17 incinya ke atas jalan adalah suspensi daripada Kayaba, dengan fork USD di hadapan, sementara sistem brek pula terdiri daripada cakera berkembar 310 mm di hadapan, dan cakera 240 mm di belakang.

    Beza antara dua model ini cuma pada aksesori luaran, seperti yang boleh dilihat GSX-8T tampil lebih ringkas, sementara GSX-8TT ditambah dengan fairing atas, pelindung bawah enjin serta jahitan istimewa pada tempat duduk, menjadikannya dua kilogram lebih berat berbanding GSX-8T, pada 203 kg.

    Kelengkapan lain yang datang bersama GSX-8T dan GSX-8TT ini adalah termasuk tangki bahan api 16.5 liter, bateri lithium ion, soket pengecas USB-C, tayar Dunlop Sportmax Roadsport 2 bersaiz 120/70 di hadapan dan 180/55 di belakang serta cermin sisi melekat pada hujung pemegang.

    GALERI: Suzuki GSX-8T

    GALERI: Suzuki GSX-8TT

     
     
  • Proton Saga 2026 dipertonton – enjin i-GT, lampu projektor LED, papan pemuka baru, meter digital

    Proton Saga 2026 dipertonton – enjin i-GT, lampu projektor LED, papan pemuka baru, meter digital

    Ini sesuatu yang agak mengejutkan – Proton telahpun mendedahkan hampir sepenuhnya Proton Saga MC3 2026 di Kuala Lumpur ketika berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47! Walaupun masih dilekat dengan ‘pelekat penyamaran’ dengan grafik seakan motif kain songket, rupa sebenar Saga ini sudahpun kelihatan jelas, dan ia turut mendedahkan bahagian kabin dan beberapa perincian lain.

    Dapat dilihat muka Saga ini berubah sepenuhnya berbanding model MC2 sedia ada, di mana fender, penutup bonet, lampu, gril dan juga bampar menerima rekaan baharu. Lampu depan Saga MC3 ini telah diberikan pencahayaan projektor LED, bersama lampu nyalaan siang LED bina-dalam.

    Gril Saga ini juga menerima motif sama dengan X50 facelift yang baru dilancarkan Julai lalu, dan ia kini lebih besar merangkumi sehingga bahagian bawah lampu hadapan. Rekaan busur panah juga ditampilkan pada gril tersebut dalam kemasan krom, bersama logo Proton terletak di tengah.

    Proton Saga 2026 dipertonton – enjin i-GT, lampu projektor LED, papan pemuka baru, meter digital

    Manakala di belakang, jelas Saga diberikan lampu belakang yang merentasi lebar keseluruhan sedan ini, dengan lensa jernih dan grafik LED diinspirasikan dari ‘abangnya’ iaitu Proton S70. Bampar belakang Saga ini turut dipadankan bersama dengan panel bawah seakan diffuser udara.

    Rekaan papan pemuka Saga ini juga terdedah hampir keseluruhannya. Dapat dilihat ia menerima rekaan serba baharu dengan liang penghembus udara yang kini bujur dan leper berbanding empat segi sebelum ini. Dan yang paling menonjol adalah skrin infotainmen berdiri sendiri bercantum dengan satu lagi skrin tanpa perumah untuk paparan instrumen digital penuh.

    Namun kedua-dua skrin tersebut tidak boleh diistilahkan ‘berkembar’ kerana paparan untuk meter digital adalah lebih kecil berbanding infotainmen, menyebabkan ada satu ruang gelap yang agak besar di antara kedua-dua skrin berkenaan. Saga baharu ini juga telah dipadankan dengan roda stereng rata di bawah yang diambil terus dari model-model terkini seperti X50, S70 dan X70.

    Kalau anda perasan pada penutup but belakang, Saga ini turut menerima lencana i-GT – ini mengesahkan bahawa ia menerima enjin i-GT 1.5 liter empat-silinder sebaris yang sama seperti pada X50 baharu. Walau bagaimanapun, kami jangkakan enjin yang disumbat pada Saga ini adalah varian dengan kod BHE15PFI, bukan BHE15TD seperti pada X50.

    Proton Saga 2026 dipertonton – enjin i-GT, lampu projektor LED, papan pemuka baru, meter digital

    Asas kedua-dua enjin tersebut masih lagi sama, tetapi enjin Saga ini adalah dari versi dengan harga lebih mampu milik yang diberikan sistem suntikan bahan api pada port (PFI) berbanding suntikan terus (GDI) pada X50, dan ia juga tidak dibekalkan dengan pengecas turbo. Lebih perincian berkenaan barisan enjin BHE15 ini boleh anda baca pada PAUTAN INI.

    Berdasarkan maklumat yang tertiris sebelum ini, Proton akan menawarkan pilihan transmisi automatik empat-kelajuan 4AT atau CVT automatik bergantung pada varian. Tiada pilihan kotak manual ditawarkan pada model terbaharu Saga ini. Model Saga yang dipertingkatkan ini juga sebelum ini telah disahkan menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan fungsi termasuk pemantau titik buta dan juga brek kecemasan automatik.

    Saga MC3 ini dibangunkan dari platform AMA Proton, di mana ia masih berasaskan platform sedia ada tetapi ditingkat taraf bagi memastikan ia terus relevan dari segi ujian keselamatan, standard terkini dan sebagainya. Walaupun muka dan bahagian belakang menerima rombakan rekaan yang besar, kerangka asas badan dan juga kesemua bentuk pintu masih lagi nampak serupa dengan versi MC2 sedia ada.

    Masih belum ada maklumat rasmi bila Saga ini akan dilancarkan, namun kami difahamkan bahawa ia akan berada di pasaran sebelum berakhirnya tahun ini.

     
     
  • CFMoto 250 SR Lite dilancar – enjin 250 cc 27 hp, tork 22 Nm, ABS dual-channel, meter LCD, harga RM9,988

    CFMoto 250 SR Lite dilancar – enjin 250 cc 27 hp, tork 22 Nm, ABS dual-channel, meter LCD, harga RM9,988

    Bersempena dengan minggu MotoGP di Litar Sepang hari ini, MForce Bike Holdings Sdn Bhd melancarkan CFMoto 250 SR Lite yang dijual pada harga RM9,988 tidak termasuk insurans dalam pilihan tiga warna iaitu Zephyr Blue, Nebula Black dan Gem Black.

    Model sports dengan fairing penuh ini dipacu oleh enjin satu silinder DOHC penyejukan cecair, digabungkan bersama transmisi enam kelajuan, menghasilkan kuasa 27 hp pada 9,750 rpm dan tork 22 Nm pada 7,250 rpm.

    Sebagai sebuah model permulaan, 250 SR Lite menggunakan kelengkapan yang ringkas sahaja, termasuk fork teleskopik di hadapan, monoshock di belakang serta rim 17 inci yang dibalut masing-masing tayar 110/70 dan 140/60.

    Sistem brek terdiri daripada unit cakera pada kedua-dua roda, dengan angkup dua piston di hadapan dan satu piston di belakang. Sistem ABS dual-channel diberikan secara standard.

    Kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk soket pengecas USB-C dan A, kesemua lampu jenis LED, tangki bahan api 12 liter serta meter digital LCD. Jaminan yang diberi adalah selama dua tahun tanpa had batuan.

     
     
  • Toyota Hilux Travo – model generasi baru bakal didedahkan 10 November ini, dijangka ada varian EV

    Toyota Hilux Travo – model generasi baru bakal didedahkan 10 November ini, dijangka ada varian EV

    Portal automotif Autolifethailand melaporkan bahawa model generasi baharu trak pikap Toyota Hilux bakal didedahkan di Thai Motor Expo pada 10 November ini. Hilux yang dijangka digelar sebagai Hilux Travo tersebut bakal menggantikan Hilux Revo sedia ada, dan turut akan ditawarkan dalam versi elektrik penuh bagi memberikan saingan kepada model seperti Isuzu D-Max EV.

    Menerusi pelbagai sumber, Hilux Travo dilapor masih akan menggunakan platform ladder frame IMV sedia ada. Unit prototaip trak pikap itu juga pernah muncul diuji di atas jalan raya, mendedahkan ia diberikan ‘kepala’ baharu, tetapi masih lagi menggunakan bahagian cab sama seperti generasi sedia ada.

    Juga ada terdedah rekaan papan pemuka Hilux Travo berkenaan, yang nampaknya menerima rekaan seperti Land Cruiser Prado 250 serta satu lagi model baharu yang diasaskan platform IMV iaitu Land Cruiser FJ.

    Hilux Travo juga dijangka akan mengekalkan barisan pilihan unit rangkaian kuasa sedia ada iaitu enjin turbodiesel empat-silinder 2GD-FTV 2.4 liter dan 1GD-FTV 2.8 litre, serta varian dengan sistem hibrid ringkas 48V yang ditawarkan pada pasaran Eropah bagi memenuhi undang-undang emisi yang semakin ketat. Kotak gear automatik enam kelajuan dan sistem pacuan empat roda dari model sedia ada juga dijangka akan diguna semula.

    Sebelum ini Toyota ada mendedahkan model konsep Hilux Revo BEV yang digerakkan sepenuhnya oleh kuasa elektrik. Jadi unit rangkaian kuasa dari model konsep tersebut mungkin akan dibawa ke produksi menerusi Hilux Trevo baharu ini dengan penawaran varian EV.

    Kami jangkakan ketika pendedahannya nanti, Toyota turut akan mendedahkan sekali Land Cruiser FJ untuk pasaran Thailand di mana Land Cruiser paling mampu milik berkenaan dikhabarkan bakal dilancar di negara tersebut pada awal 2026 nanti.

     
     
  • Toyota Corolla Cross HEV 2025 – 1.8L hibrid, RM141k; SUV segmen B berbaloi dengan penjimatan, prestasi

    Toyota Corolla Cross HEV 2025 – 1.8L hibrid, RM141k; SUV segmen B berbaloi dengan penjimatan, prestasi

    SUV segmen B di pasaran Malaysia ketika ini ada banyak pilihan. Antara model atau penawaran terbaru yang dipertingkat yang diperkenalkan di sini termasuklah model-model seperti Proton X50 dan Chery Tiggo Cross. Namun, jika membicarakan model hibrid dalam segmen berkenaan, hanya ada dua calon utama yang tidak boleh tidak, mesti disebut.

    Yang dimaksudkan ialah Toyota Corolla Cross HEV dan juga Honda HR-V e:HEV RS. Bagi HR-V generasi ketiga — yang mula diperkenalkan di sini pada tahun 2022 — telah diberikan versi facelift dan kemaskini pada Julai lalu. Ia dijual dengan harga RM143,900, dan model ini menjadi pilihan yang paling kerap dilihat di atas jalan kita.

    Namun, Toyota yang awalnya agak lambat memperkenalkan tawaran saingan dalam segmen berkenaan telah terlebih dahulu membawakan versi facelift bagi Toyota Corolla Cross (termasuk varian HEV), yang diperkenalkan ketika Kuala Lumpur International Motorshow (KLIMS) 2024.

    Baca selanjutnya

     
     
  • Lencongan jalan di laluan Kulai-Sedenak di Lebuhraya PLUS untuk kerja pasang rasuk jambatan – 27-30 Okt

    Lencongan jalan di laluan Kulai-Sedenak di Lebuhraya PLUS untuk kerja pasang rasuk jambatan – 27-30 Okt

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengumumkan bahawa pihaknya akan melaksanakan lencongan jalan secara berperingkat di Kulai-Sedenak di Lebuhraya Utara-Selatan bermula 27 hingga 30 Oktober ini bagi membolehkan kerja-kerja pemasangan rasuk jambatan di laluan berkenaan dijalankan dengan selamat. Ia adalah sebahagian daripada projek pembinaan lorong tambahan dari Yong Peng ke Senai arah utara.

    Lencongan jalan ini melibatkan dua lokasi iaitu KM34.20 – KM36.20 arah selatan dan KM32.50 – KM34.50 arah utara, antara jam 10 malam hingga 5 pagi setiap hari sepanjang tempoh yang dinyatakan itu.

    “Ketika kerja-kerja tersebut dijalankan, kenderaan akan dilencongkan ke laluan paling kanan bagi mewujudkan zon kerja yang selamat di samping meminimumkan gangguan trafik kepada pengguna lebuh raya.

    “Justeru, pengguna lebuhraya disarankan supaya merancang perjalanan mereka dengan menggunakan aplikasi PLUS bagi mendapatkan maklumat trafik terkini. Pengguna juga diingatkan supaya mematuhi semua papan tanda dan arahan yang dikeluarkan oleh petugas PLUS ketika melalui kawasan kerja-kerja pembinaan tersebut,” kata PLUS.

    Lencongan jalan di laluan Kulai-Sedenak di Lebuhraya PLUS untuk kerja pasang rasuk jambatan – 27-30 Okt

    Fasa 1 projek pembinaan lorong tambahan Lebuhraya PLUS terdiri daripada dua pakej iaitu Pakej A (Sedenak-Kulai) dan Pakej B (Kulai-Senai Utara) merangkumi jarak 22 kilometer dengan peruntukan RM525 juta yang dijangka siap pada Januari 2028.

    Lorong tambahan ini juga akan dilebarkan dari dua lorong kepada tiga lorong yang dijalankan secara berfasa dari Fasa 1 ke Fasa 3 iaitu dari Senai Utara ke Machap. Projek berkenaan adalah inisiatif yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan bagi menangani kesesakan di Lebuhraya PLUS yang sering berlaku pada waktu puncak, semasa cuti umum dan musim perayaan, terutama di laluan selatan yang sebelum ini hanya mempunyai dua lorong sehala.

     
     
  • Modenas Z15 GT dilancar untuk pasaran Malaysia – supermoped dengan enjin 149.5 cc 17 hp, 6-kelajuan

    Modenas Z15 GT dilancar untuk pasaran Malaysia – supermoped dengan enjin 149.5 cc 17 hp, 6-kelajuan

    Susulan daripada teaser yang disiarkan sebelum ini, Modenas hari ini melancarkan Z15 GT, model yang juga sebelum ini dirujuk sebagai Supermoped 150. Ia dijual pada harga RM8,288 tidak termasuk insurans, dalam pilihan warna Rosso Red, Graphite Grey dan Nardo Grey.

    Seperti yang diberitahu sebelum ini, Z15 GT adalah sebuah motosikal serba baru yang dibangunkan sendiri oleh Modenas bersama rakan teknikal dari beberapa negara serta input daripada Kawasaki. Menggerakkannya adalah enjin satu silinder penyejukan cecair, suntikam bahan api, DOHC 149.5 cc dengan nisbah mampatan 12.6:1.

    Dipadankan bersama transmisi manual enam kelajuan dengan tuil klac tangan, motosikal ini mampu menghasilkan 16.8 hp pada 9,500 rpm dan tork 13.5 Nm pada 7,500 rpm. Enjin hanya boleh dihidupkan menggunakan pemula elektrik (tiada penendang kaki), manakala tangki minyak pula berkapasiti 5.7 liter.

    Menghubungkan badan motosikal ini dengan jalan adalah tetapan rim 17 inci dengan tayar 90/80 di hadapan dan 120/70 di belakang, dipegang masing-masing oleh fork teleskopik dan monoshock (Kayaba). Brek terdiri daripada unit cakera di hadapan dan belakang, namun ABS hanya tersedia untuk bahagian hadapan sahaja (single-channel).

    Di bahagian kokpit anda akan melihat meter jenis digital LCD, yang digunakan untuk memaparkan informasi penting termasuk kelajuan, tahap rpm, kedudukan gear dan tahap minyak. Butang kawalan tersusun secara konvensional dan turut dilengkapi fungsi lampu kecemasan serta kill switch.

    Kelengkapan lain yang disediakan pada Modenas Z15 GT ini adalah termasuk lampu depan dan belakang LED, sistem kunci pintar dan soket pengecas USB.

     
     
  • Jualan kenderaan di M’sia pada Sept 2025 turun 21.5%

    Jualan kenderaan di M’sia pada Sept 2025 turun 21.5%

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan kenderaan bagi bulan September 2025, dengan melaporkan bahawa sejumlah 58,490 unit telah diserahkan kepada pembeli. Angka ini menunjukkan penurunan sebanyak 21.47%, atau 15,989 unit, berbanding 74,479 unit yang terjual pada bulan Ogos (disemak semula daripada 73,041 unit yang dilaporkan bulan sebelumnya).

    Menurut persatuan itu, penurunan angka jualan pada bulan September disebabkan oleh bilangan hari bekerja yang lebih sedikit berikutan beberapa cuti umum (empat hari) serta sikap tunggu dan lihat dalam kalangan pengguna menjelang pembentangan Belanjawan 2026, termasuk butiran mengenai rasionalisasi subsidi petrol Budi95.

    Jumlah jualan bagi bulan September juga mencatatkan peningkatan kecil sebanyak 0.24% (atau 139 unit) berbanding tempoh yang sama pada tahun 2024, di mana 58,351 unit kenderaan penumpang dan komersil telah dijual. Bagi jumlah kumulatif tahunan setakat ini (YTD), angka bagi sembilan bulan pertama tahun 2025 mencatatkan 579,336 unit terjual, iaitu ketinggalan 2.78% berbanding tempoh yang sama pada tahun 2024, di mana 595,883 unit telah diserahkan kepada pembeli.

    Bagi bulan Oktober 2025, MAA menjangkakan jualan akan lebih baik berbanding September berikutan tiadanya pengumuman lanjutan pengecualian cukai bagi kenderaan elektrik import sepenuhnya (CBU EV) yang akan tamat pada tahun ini. Perkara ini dijangka akan meningkatkan permintaan terhadap BEV sehingga hujung tahun. Persatuan itu turut menambah bahawa kempen promosi hujung tahun dijangka akan meningkatkan jumlah jualan keseluruhan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026