Satu lagi skuter daripada Moda tiba di pasaran Malaysia apabila MDUA Motor Sdn Bhd melancarkan Aero E pada harga RM5,189 tidak termasuk insurans. Ada dua warna yang ditawarkan sebagai pilihan, iaitu Cobalt Blue dan Carmine Red, dengan jaminan yang diberi adalah selama dua tahun atau 20,000 km.
Menggerakkan skuter ini adalah enjin satu silinder suntikan bahan api SOHC 118.8 cc bersama padanan transmisi automatik CVT, mampu menghasilkan 9.1 hp pada 7,500 rpm dan tork 9.5 Nm pada 6,000 rpm. Enjin ini boleh dihidupkan dengan suis elektrik dan mendapat penarafan emisi Euro 4.
Aero E terletak di atas rim bersaiz 14 inci hadapan dan belakang, dibalut oleh tayar 90/90 di hadapan, 100/90 di belakang dan masing-masing dipegang oleh fork teleskopik serta satu penyerap hentak. Brek pula terdiri daripada unit cakera di hadapan dan dram di belakang.
Informasi utama motosikal dipaparkan melalui skrin digital LCD dan kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk lampu hadapan LED projector, lampu belakang LED, soket pengecas USB-A dan USB-C serta ruang simpanan bawah tempat duduk 6.5 liter.
Di bawah bahagian pemegang terdapat dua lagi poket barangan, sementara tangki bahan api pula datang dengan kapasiti 5.5 liter.
Selepas mengendalikan perkhidmatan tren komuter di Lembah Klang dan utara (Komuter Utara – Ipoh-Butterworth dan Butterworth-Padang Besar), tidak lama lagi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bakal memulakan operasi untuk Komuter Selatan pula, laporan The Star.
“Perkhidmatan ini dijangka akan beroperasi pada Februari 2026. Turut dirancangkan sebanyak 32 perjalanan sehari bagi Komuter Selatan dengan sejumlah kapasiti 400 penumpang bagi setiap perjalanan.
“Apabila dilancarkan kelak, Komuter Selatan, dengan perjalanan sejauh 25 km dari Johor Bahru Sentral ke Kulai, dijangka akan mengurangkan masa perjalanan sekitar sejam jika menaiki kereta kepada 30 minit dengan perkhidmatan tren tersebut,” kata Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor.
Tambah beliau, tiket dianggarkan di bawah kos RM3, menjadikan ia paling berpatutan bagi pilihan pengangkutan awam untuk rakyat Johor. Kami berharap perkhidmatan ini akan menerima sambutan baik dan mampu mengurangkan kesesakan trafik di bahagian yang terlibat.
Sementara itu, tren penumpang untuk landasan-tunggal turut dicadangkan, melibatkan perjalanan antara Kempas Baru-Pasir Gudang yang buat masa ini hanya mempunyai tren barangan sahaja. Perkhidmatan tren penumpang ini juga dijangka mampu mengurangkan masalah trafik di Pasir Gudang, Masai, Tampoi dan kawasan sekitar, kata Fazli.
“Kami melihat potensi untuk perkhidmatan tren penumpang bagi laluan Kempas-Pasir Gudang. Malah ia boleh mengurangkan masa perjalanan sekitar 30 minit bagi jarak 25 km, berbanding satu jam sekiranya menaiki kereta pada waktu puncak. Buat masa ini, landasan belum digunakan sepenuhnya untuk tren kargo, jadi ia juga boleh digunakan untuk tren penumpang, ” katanyanya sambil menambah empat perjalanan sehari dicadangkan dengan kos tambang sekitar RM3 sehala.
Walau bagaimana pun, katanya, sedikit perubahan perlu dilakukan untuk stesen Pasir Gudang sekiranya cadangan untuk tren penumpang ini diluluskan, kerana buat masa ini ia hanya beroperasi untuk mengendalikan barangan. Fazli turut berkata, beliau telah membawa cadangan ini kepada Kementerian Pengangkutan dan pihak kementerian juga bersetuju untuk mengendalikan pemeriksaan di lokasi tidak lama lagi.
“Ini adalah sebahagian daripada usaha kami yang lebih luas untuk penyuraian trafik dan memberi rakyat Johor pilihan yang lebih pantas dan lebih bersesuaian. Memandangkan landasan sudah ada, kami ingin menjadikannya sesuai untuk rakyat,” kata Fazli, sambil menambah bahawa negeri itu telah mencadangkan stesen penumpang sementara untuk dibina dalam tempoh enam bulan akan datang iaitu di Taman Daya, Bandar Seri Alam dan Kampung Pasir Putih.
Memasuki bulan terakhir 2025, sudah pasti banyak promosi jualan kenderaan baharu sedang dilaksanakan oleh kebanyakan syarikat kenderaan, termasuk menawarkan rebat dan diskaun ‘gempak’. Jadi inilah masa yang cukup sesuai untuk membeli kenderaan baharu. Dan jika sudah menempahnya, sudah pasti anda tercari-cari nombor pendaftaran kenderaan kan. Ini ada siri terkini dari Perak dan Sabah yang akan dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.
Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Perak, APH bakal dibuka bidaan bermula 3 Disember 2025. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 7 Disember. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 8 Disember 2025. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.
Manakala siri nombor pendaftaran terkini Sabah, SJQ dibuka bidaan bermula 7 Disember 2025. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 11 Disember, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 12 Disember 2025.
Memandangkan kini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran kenderaan yang diingini.
Majlis Bandaraya Shah Alam melakar sejarah sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Malaysia yang menggunakan Proton eMas 7 sebagai kenderaan rasmi. Pagi tadi telah berlangsungnya majlis penyerahan lapan unit eMas7 yang diperoleh daripada Dynamic Group Berhad dengan kerjasama Proton.
“Inisiatif ini menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh agenda Bandar Hijau dan Rendah Karbon, seiring komitmen MBSA terhadap matlamat pembangunan mampan (SDG) termasuk memperkenalkan tenaga bersih dan mampu milik melalui penggunaan mobiliti berasaskan elektrik, selain menjadi bandar dan komuniti lestari dengan memperluas penggunaan teknologi hijau dalam perkhidmatan bandar serta mengurangkan pelepasan karbon dan pencemar udara.
“Penggunaan EV ini juga memberi penjimatan dari segi penggunaan petrol, kos penyelenggaraan dan operasi. Kenderaan ini akan digunakan untuk tugasan harian seperti penguatkuasaan, rondaan, penyeliaan projek, lawatan tapak dan urusan jabatan,” kata MBSA menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Dalam masa yang sama, MBSA bersama Dynamic Group Berhad dan Proton turut merancang pembinaan stesen pengecas EV di lokasi strategik sekitar Shah Alam bagi menyokong pembangunan infrastruktur mobiliti rendah karbon yang lebih mampan.
Kereta dengan tema warna gelap sedang menjadi hangat di pasaran Thailand, dan terkini Honda baru saja melancarkan City e:HEV The Black Outshine di sana. Ditawarkan dengan harga 735,000 baht (sekitar RM94k), The Black Outshine berasaskan varian e:HEV SV sedia ada bagi sedan segmen-B itu dan diberikan beberapa kekemasan estetika yang menyerlah, sesuai dengan nama bagi edisi istimewa ini.
Ini termasuklah logo Honda berwarna hitam di hadapan dan belakang, dengan lencana ‘City’ juga dalam kemasan gelap. Selain itu, roda aloi 16-inci, pemegang pintu dan perumah cermin sisi juga diwarnakan hitam, manakala grilnya mengikut rekaan model RS dan disertai dengan jalur atas berwarna hitam.
Selain daripada perubahan visual ini, ciri lain masih dikekalkan seperti mana e:HEV SV. Ia masih dibekalkan dengan sistem hibrid Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) dari Honda sendiri dengan motor elektrik berkuasa 109 PS (107 hp atau 80 kW) dan tork 253 Nm yang memacu roda hadapan.
Kuasa untuk motor elektrik itu dijanakan oleh bateri lithium-ion yang dicas oleh satu lagi motor elektrik (bertindak sebagai generator dan starter) yang dipadankan dengan enjin petrol 1.5 liter empat silinder DOHC i-VTEC kitaran Atkinson yang menghasilkan 98 PS (97 hp atau 72 kW) dan 127 Nm. Enjin petrol itu juga boleh disambungkan melalui transmisi satu-kelajuan (E-CVT) untuk memberi pacuan terus pada kelajuan yang lebih tinggi.
Ciri kelengkalan lain termasuk lampu utama projektor halogen, paparan kluster instrumen pelbagai-info tujuh-inci, unit utama Advanced Touch lapan-inci dengan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, penyaman udara automatik dengan corong belakang, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin (dengan kunci pintar), Honda Sensing, empat beg udara dan upholstery kulit.
Pelanggan mempunyai dua warna luaran untuk dipilih, dengan harga permulaan untuk Crystal Black Pearl, manakala Platinum White Pearl pula meningkat ke 739,000 baht (RM95k).
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) akan melaksanakan pemeriksaan khas terhadap semua kenderaan rakyat Malaysia yang rosak akibat banjir di Hat Yai, Thailand ketika melalui pintu masuk Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam – lapor The Star. Langkah ini diambil bagi menghalang sebarang cubaan sindiket penyeludupan yang mungkin mengambil kesempatan membawa masuk dadah atau barangan terlarang ketika musim banjir ini.
Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir menjelaskan bahawa hanya kenderaan yang lulus pemeriksaan khas itu sahaja akan dibenarkan keluar dari kompleks tersebut, lengkap dengan dokumen pengesahan yang ditandatangani pegawai AKPS bertugas. Beliau berkata pihaknya sedar risiko tinggi percubaan penyeludupan ketika keadaan banjir dan pemeriksaan terperinci akan dilakukan bagi memastikan setiap cubaan dapat dipatahkan.
Menurutnya, pihak AKPS tidak menolak kemungkinan sindiket cuba menyembunyikan dadah, senjata api atau barang terlarang di dalam kenderaan rakyat Malaysia yang ditunda pulang. Buat masa ini, Pejabat Koordinasi Sempadan Malaysia-Thailand sedang menyusun operasi melibatkan 15 lori tunda untuk membawa keluar hampir 1,000 kenderaan milik rakyat Malaysia yang terkandas di Hat Yai.
Hasil perbincangan bersama, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla dan AKPS Bukit Kayu Hitam bersetuju menetapkan lokasi khas bagi proses penarikan kenderaan tersebut, iaitu di jajaran baharu CIQ Sadao–Bukit Kayu Hitam. Kawasan itu dipilih kerana pihak berkuasa Thailand tidak membenarkan sebarang aktiviti berkumpulan di zon CIQ Sadao.
Penempatan lori tunda di lokasi tersebut membolehkan pasukan AKPS menjalankan pemeriksaan khas sebelum kenderaan dibawa masuk ke Malaysia, sekaligus memastikan tiada pihak mengambil kesempatan menyeludup barang terlarang. Satu mesyuarat penyelarasan melibatkan semua agensi berkaitan akan diadakan dalam masa terdekat untuk memastikan operasi pemindahan berjalan lancar dan keselamatan rakyat serta aset negara terjamin.
Selepas beberapa siri teaser, Honda StepWGN akhirnya membuat penampilan rasmi di Thailand International Motor Expo. MPV import sepenuhnya (CBU) dari Jepun itu dijangka dijual pada harga bermula sekitar 1.7 juta baht, bersamaan kira-kira RM219,000.
Pada harga tersebut, StepWGN bakal menjadi model kedua termahal dalam barisan Honda Thailand, mengatasi CR-V e:HEV dan Accord e:HEV yang masing-masing bermula pada 1.399 juta dan 1.479 juta baht (RM180k dan RM190k). Satu-satunya model yang lebih mahal ialah Civic Type R yang dijual pada harga 3.99 juta baht (RM514k).
Pasaran Thailand menerima StepWGN dalam varian Spada, lengkap dengan rangkaian kuasa hibrid e:HEV. Sistem ini menggunakan enjin petrol 2.0 liter empat silinder NA yang mematuhi bahan api gasohol, menghasilkan 145 PS dan 175 Nm.
Enjin tersebut berfungsi terutamanya sebagai penjana untuk bateri yang membekalkan kuasa kepada motor elektrik hadapan, yang mampu menghasilkan 184 PS dan 315 Nm. Pada kelajuan lebih tinggi, enjin kitaran Atkinson boleh dipautkan melalui E-CVT untuk memacu roda hadapan secara langsung.
Honda mendakwa konfigurasi ini mampu mencapai penggunaan bahan api 18.5 km/l. Model ini juga hadir dengan waranti lima tahun tanpa had perbatuan, manakala bateri hibrid menerima perlindungan selama 10 tahun, juga tanpa had perbatuan.
Dari segi kelengkapan, StepWGN Spada tampil dengan kabin hitam, tempat duduk gabungan kulit dan fabrik, kerusi kapten di baris kedua lengkap dengan ottoman, bangku baris ketiga berlipat 60:40, pintu gelungsur kuasa di kedua-dua sisi, pintu belakang kuasa, kawalan suhu tiga zon, paparan instrumen digital serta pakej keselamatan Honda Sensing.
Hanya warna Meteoroid Gray Metallic ditawarkan tanpa kos tambahan, manakala Twilight Mist Black Pearl dan Crystal Black Pearl masing-masing lebih 10,000 baht (RM1.3k). Warna Platinum White Pearl pula memerlukan tambahan 14,000 baht (RM1.8k) pada harga akhir.
Dengan pelancaran ini, Thailand menjadi negara ketiga di Asia Tenggara menerima StepWGN selepas Indonesia dan Singapura. Persoalannya, adakah Malaysia turut berpeluang mendapatkannya pada masa depan, dan sanggupkah anda melihatnya sebagai alternatif kepada Nissan Serena apabila model itu tiba nanti?
Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) telah mengumumkan bahawa Sistem Pengurusan Akses Kenderaan (VAMS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dilaksana bermula hari ini. VAMS menggunakan pembaca nombor pendaftaran automatik (License Plate Readers – LPR) untuk merekod masa masuk setiap kenderaan, laporan Bernama.
Ia dilaksanakan selepas ujian percubaan sistem tersebut yang bermula pada bulan September, bertempat di Aras 5 Terminal 1 (untuk penghantaran penumpang berlepas) dan Aras 3 (untuk pengambilan penumpang tiba) sehingga 30 November, serta di Terminal 2 dari 15 September hingga 30 November.
Menurut MAHB, percubaan sistem itu didapati berkesan mengubah tingkah laku pemandu, dengan pengurangan jumlah kenderaan yang melebihi had 10 minit di kawasan menurunkan dan mengambil penumpang, daripada 50% kepada 21%.
“Data daripada percubaan menunjukkan bahawa kesesakan di bahu jalan bertambah baik apabila kenderaan mematuhi had masa 10 minit. Majoriti besar pengguna KLIA mematuhi peraturan ini, dan dengan penguatkuasaan penuh di Terminal 1 KLIA bermula hari ini, kami memastikan akses yang lebih teratur supaya semua orang mempunyai peluang yang adil untuk menggunakan laluan dengan lebih efisien,” kata Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani.
Di bawah sistem ini, tempoh ihsan secara percuma dibenarkan dalam 10 minit sebaik sahaja kenderaan terbabit masuk untuk menghantar atau mengambil penumpang. Manakala caj penalti antara RM10 hingga RM100 akan dikenakan jika melebihi masa tersebut. Pembayaran boleh dibuat menggunakan Touch ‘n Go, kad kredit atau MyDebit.
Bagi yang merancang untuk pulang ke kampung atau mana-mana destinasi pilihan dengan menaiki perkhidmatan tren KTM ETS dan Intercity dalam bulan Mei 2026, anda sudah boleh membeli tiketnya yang mula dibuka jualannya sejak semalam.
Jualan tiket dibuka lebih awal memandangkan umat Islam bakal menyambut Hari Raya Aidiladha pada hujung Mei 2026. Jadi cukup sesuailah kalau anda dapat merancang awal untuk balik ke kampung halaman dengan menaiki tren kendalian KTM Berhad ini. Seperti biasa, tiket perkhidmatan tren KTMB ini memang ‘laku keras’ untuk musim perayaan, jadi anda perlu membelinya dengan cepat untuk elak kecewa kerana kehabisan tiket.
Dalam masa yang sama, KTMB turut memaklumkan bahawa penjualan tiket Ekspres Selatan bagi perjalanan bermula Januari 2026 masih ditangguhkan buat sementara waktu.
Hanya dua tahun selepas kerajaan meminta Perodua untuk menghasilkan sebuah model EV tempatan dan menjadi peneraju dan pemangkindalam usaha untuk memperkukuhkan eko-sistem EV di Malaysia — seperti yang diumumkan oleh MITI pada 1 September 2023 — syarikat itu hari ini melancarkan secara rasmi model elektrik pertama buatan Malaysia, Perodua QV-E. Hanya satu varian ditawarkan, dengan harga RM80,000, belum termasuk insuran.
Dua tahun adalah satu tempoh yang agak singkat untuk membangunkan sesebuah kenderaan sendirian. Namun, dengan teknologi dan sokongan strategik — dalam kes ini, kerjasama dengan Magna Steyr, sebuah syarikat kejuruteraan automotif asal Austria serta pembekal yang telah teruji seperti CATL untuk bateri EV — Perodua berhasil menyiapkan dan memasarkan sebuah kereta elektrik yang dibangun sepenuhnya oleh Malaysia: bukan rebadge atau dipinjam daripada mana-mana syarikat atau model lain sedia ada.
Sejak awal telah dimaklumkan, untuk projek EV ini, Perodua perlu mencari rakan strategik baru selain daripada Daihatsu. Ini kerana Daihatsu sendiri tidak memberi tumpuan kepada pembangunan EV. Maka, jalan yang sedikit berbeza perlu ditempuh oleh Perodua untuk mencapai matlamat yang satu ini — dan semua itu dilakukan dengan persetujuan Daihatsu sebagai rakan kongsi utama Perodua selama ini.
Perodua QV-E ini adalah hasil daripada pembangunan bersama yang meramu pengalaman masing-masing yang berbeza untuk disepadukan dengan cara terbaik demi untuk mencapai matlamatnya. QV-E sudah mula dipasang di kilang Smart Mobility Plant Perodua di Sungai Choh, dan sebahagian fungsi lain akan turut melibatkan pemasangan di kemudahan pemasangan Tan Chong Motor di Serendah.
Perodua menyatakan pelaburan yang dikeluarkan adalah sekitar RM800 juta, yang ditanggung oleh Perodua sendiri untuk memulakan pembangunan model yang diberikan kod nama P01A ini. Seperti berkali-kali ditekankan oleh syarikat itu, semua proses kajian dan pembangunan (R&D) telah dijalankan sendiri oleh Perodua dengan bantuan rakan strategik. Apa yang lebih penting, semua Intellectual Property (IP) berkaitan model elektrik ini dimiliki oleh Perodua, termasuk platform yang digunakan.
Keseluruhannya, tempoh yang digunakan untuk tujuan R&D ini adalah selama 266,000 jam tenaga kerja yang terlibat di dalamnya. Ini merupakan EV tempatan yang pertama akan dikeluarkan secara mass-production bermula Disember 2025, dengan tahap lokalisasi sekitar 50% untuk tahun 2026, dan akan ditingkatkan kepada 70% menjelang tahun 2030.
Pada 2025, projek ini melibatkan sebanyak 52 pembekal tempatan, yang dijangka akan dipertingkat kepada 66 pembekal pada 2026 sebelum mencapai sekitar 70 pembekal pada 2030. Sebagai permulaan, Perodua mensasarkan jualan EV ini sekitar 500 unit sebulan hingga hujung tahun hadpaan. Angka tersebut akan ditingkatkan kepada 3,000 unit sebulan selepas setahun QV-E mula dipasarkan.
Sejak awal diumumkan pada 2023, sudah beberapa kali Perodua QV-E — dalam bentuknya yang masih dalam pembangunan — telah ditunjukkan. Ia bermula dengan E-MO I ketika Malaysia Auto Show (MAS) 2024, kepada E-MO II ketika KLIMS 2024, serta dalam penampilan prototaip terkahir eMO EV ketika MAS 2025. Dan kita akhirnya tahu perincian dan spesifikasi penuh bagi Perodua QV-E ini.
Dari segi dimensi, ia mempunyai ukuran dimensi seperti berikut: 4,170 mm panjang, 1,800 mm lebar, 1,502 mm tinggi serta jarak roda 2,680 mm. Jarak kelegaan tanahnya pula ialah 158 mm, dengan berat 1,600 kg. Berbanding Myvi, QV-E merupakan kereta penumpang paling besar yang ditawarkan oleh Perodua kini (selain SUV dan MPV-nya).
Sebagai rujukan, ukuran Myvi adalah seperti berikut: (-275 mm) untuk panjang; (-65 mm) untuk lebar; (+13 mm) untuk tinggi; (-180 mm) untuk jarak roda; serta (+2 mm) bagi jarak kelegaan tanah; dan jauh lebih ringan dengan (-575 kg) bagi varian paling tinggi AV. Dua model utama yang dijadikan benchmark oleh Perodua pula ialah Proton eMas 5 dan juga BYD Dolphin — dua EV segmen B yang sedia ada dalam pasaran tempatan ketika ini, dengan perbandingan saiz sebenar yang setara dengan Perodua QV-E, tetapi berbeza pendekatan reka bentuk.
Bercakap tentang rekaan, Perodua melakukan percubaan yang sangat berani untuk membawakan penampilan sporty seperti yang ditunjukkan melalui QV-E. Ia ternyata lari jauh daripada apa yang pernah syarikat itu tampilkan sebelum ini. Ia sangat sporty dengan menerapkan pendekatan sportback: garis bumbung yang lebih rendah di belakang.
Wajah depannya elegan, dengan rekaan bonet melengkung serta bahagian jalur lampu nipis yang lebar penuh, sesuai dengan lenggok rekaan kereta EV generasi semasa. Bahagian bampar dan apron bawah juga diberikan rekaan perincian bersegi — misalnya bahagian lampu di sudut bampar — untuk menyerlahkan wajah agresif EV ini.
Sama seperti di depan bahagian belakang juga menyerlahkan rekaan lampu yang tajam dan bersambung terus dari kiri ke kanan oleh satu jalur nipis di tengah. Ia juga nampak gagah dan bersegi dari belakang, dengan rekaan yang kemas dan tidak berlebihan. Rim pula dalam saiz 18-inci, menjadikannya nampak lebih tegap dan stabil.
Sedikit tentang platform yang digunakan oleh Perodua QV-E ini. Ia merupakan platform serba baru yang dibangunkan bersama antara Perodua dan Magna Steyr, walaupun syarikat Austria itu memang mempunyai platform EV sedia ada untuk dijual. Kelebihan platform ini, ia boleh digunakan untuk aplikasi yang pelbagai bagi kenderaan bersaiz dalam segmen A dan B.
Jarak roda yang boleh ditampung oleh platform ini ialah dari 2,550 mm (untuk kenderaan hatchback/sedan kompak), beralih kepada kenderaan sportback dengan jarak roda 2,680 mm, hinggalah kepada SUV dengan jarak roda 2,700 mm. Ia juga berpotensi untuk memenuhi keperluan yang anjal, bahkah boleh diubahsuai untuk digunakan bagi kenderaan REEV dan hibrid juga.
Perodua QV-E juga datang dengan barisan ciri yang pertama kali ditawarkan oleh model keluaran syarikat itu. Antaranya ialah lampu dengan dua projektor untuk pancaran cahaya yang lebih jelas, pemegang pintu belakang di kedudukan “tingkap kecil” dan tersorok, rim 18-inci, emblem belakang yang berfungsi juga sebagai pemegang pintu bergaya, pemegang pintu depan yang tersimpan kemas serta lampu isyarat sequential untuk semua.
Di dalam, rekaan gear kini dalam bentuk bulat untuk lebih minimalis dan moden, kerusi pemandu larasan elektrik, cermin pandang belakang digital, head unit dengan paparan bersaiz 10.25-inci dengan sambungan dan capaian penuh dan ada juga lampu ambient.
Ada juga pengecas telefon tanpa wayar, rekaan stereng dua-jejari dengan bahagian bawahnya rata, butang panggilan kecemasan (ke pusat panggilan Perodua), Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, sistem tinjauan tekanan tayar serta pengesan anak kecil di kerusi belakang.
Bagi sistem janaan pula, QV-E dilengkapi dengan sebuah motor elektrik yang menghasilkan kuasa 150 kW dan 285 Nm tork. Ini membolehkannya memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.5 saat (dalam mod Sport) dan mampu mencapai laju maksimum 165 km/j.
Kuasa untuk motor berkenaan dibekalkan oleh bateri lithium iron phosphate (LFP) CATL dengan kapasiti tenaga 52.5 kWj. Bateri ini menyokong pengecasan pantas DC hingga 60 kW, yang membolehkan pengecasan dari SoC 30%-80% dalam masa 30 minit. Untuk pengecasan AC pula, ia menampung sehingga 6.6 kW, dan satu kitaran cas penuh mengambil masa lapan jam. Bateri tersebut mempunyai berat 405.7 kg, dan mampu memberi jarak sehingga 445 km NEDC.
Untuk wallbox Perodua, ia dijual secara berasingan dengan kos sebanyak RM1,850 untuk pengecas AC, sementara kos pemasangan ialah RM1,200. Dan, telefon anda tidak boleh digunakan untuk membuka kunci kereta, seperti beberapa model EV yang ada.
Berkaitan baterinya, penting juga untuk dinyatakan bahawa Perodua menawarkan apa yang dipanggil “Battery As a service”, sebuah program langganan bateri dengan matlamat untuk membolehkan harga jualan dan pemilikan kereta ini lebih rendah.
Ini bermaksud, harga yang perlu dibayar oleh pelanggan hanyalah badan kenderaan, yang dibiayai seperti juga sebagaimana kaedah konvebsional selama ini. Insurans kenderaan ini juga dibayar oleh pelanggan seperti biasa, dengan jaminan diberikan selama tiga-tahun/100,000 km untuk umumnya serta enam-tahun/150,000 km untuk badan kenderaan, sementara jaminan lapan-tahun/150,000 km untuk unit pacuan.
Manakala bateri pula akan ditanggung oleh Perodua secara langganan bulanan dengan nilai RM275 dalam tempoh sembilan tahun. Insuran untuk bateri akan dibayar oleh Perodua — pelanggan tidak perlu runsing dengan hal ini kerana semuanya akan dikendalikan antara Perodua dan bank. Pelanggan hanya perlu membayar ansuran bulanan seperti biasa kepada bank.
Kami berikan contoh sebagai gambaran ansuran bulanan, dengan harga RM80k berkenaan. Dengan mengambil kira kadar faedah 2.5% setahun, untuk tempoh sembilan tahun, pelanggan akan membayar ansuran bulanan sebanyak RM910 + RM275, menjadikan jumlah ansuran keseluruhan RM1,185. Jumlah bagi pembiayaan tujuh tahun pula RM1,120 + RM275 (RM1,395); dan lima tahun sebanyak RM1,500 + RM275 (RM1,775) sebulan. Untuk tempoh sembilan tahun, gabungan ansuran tersebut adalah lebih tinggi berbanding pembiayaan kereta bernilai RM100k.
Sekiranya EV ini ingin dijual semula, itu tiada masalah kerana boleh dilakukan melalui Perodua Pre-Owned Vehicle (POV). Bagi baterinya pula, pemilik baru perlu menandatangani kontrak baru dengan Perodua.
Dalam bahasa mudah, pelanggan tidak perlu risau tentang bateri. Sekiranya ia rosak, atau kapasitinya menurun dalam tempoh pemilikan, Perodua akan urusakannya untuk pelanggan. Ini juga bertujuan untuk menjamin harga jualan semula EV berkenaan — dengan cara, keseluruhan eko-sistem berkaitan EV ini dikendalikan sendiri oleh Perodua.
Dengan Perodua, baterinya diberikan jaminan sepanjang hayat (selagi bateri itu milik Perodua dan belum dipindah milik kepada pelanggan), bukan setakat lapan-tahun seperti yang biasa diamalkan. Ini adalah program yang pertama seumpamanya ditawarkan di Malaysia, sekali gus menunjukkan keyakinan Perodua terhadap EV pertama Malaysia ini. Semua bateri berkenaan juga perlu dikembalikan kepada Perodua untuk tujuan pelupusan — tanggungjawab yang turut digalas oleh syarikat itu tanpa pelanggan perlu risau.
Bagi aspek keselamatan, QV-E datang dengan enam beg udara, ABS dengan EBD & BA, kawalan kestabilan (ESC) serta kawalan cengkaman (TCS). Tidak ketinggalan ciri keselamatan aktif canggih seperti AEB, kawalan melayar adaptif (ACC), Bantuan Kesesakan Jalan (TJA) dan bantuan lebuhraya (HWA), amaran perlanggaran depan, pengesan titik buta, amaran penukaran lorong, lampu tinggi automatik, amaran lintasan trafik di belakang (RCTA) dan lain-lain.
Siapa kelompok sasaran Perodua untuk EV ini? Memandangkan ini model paling canggih dan paling mahal yang dihasilkan oleh syarikat itu setakat ini, maka ia disasarkan untuk mereka yang berpendapatan pertengahan dan tinggi. Pembeli utamanya disasarkan kepada golongan M40 ke atas, dengan keluarga muda bersama tiga orang anak. Selain itu, ia juga disasarkan kepada golongan muda dari keluarga T20 dan pembeli kereta pertama dari kelompok ini, yang mempunyai kesedaran tentang teknologi dan prihatin kepada alam sekitar.
Selain itu, pada Oktober lalu, Perodua juga sudah memperkenalkan aplikasi P-Circle yang menyediakan segala hal untuk memperkayakan pemilikan EV ini, termasuklah jam pintar P-Go.
Hanya satu varian Perodua QV-E ditawarkan ketika pelancarannya, dengan dua pilihan warna: Ice Blue dan Caviar Grey. Sebagai permulaan, QV-E hanya akan dijual dan diedarkan melalui sembilan cawangan terpilih Perodua yang bertempat di Juru, Ipoh, Glenmarie, Perodua Sentral, Putrajaya, Senawang, Johor Bahru, Kuantan dan Kota Bharu.
Menteri Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengesahkan bahawa kegagalan struktur pembentung bawah tanah (culvert) dikenalpasti sebagai punca kejadian lubang benam (sinkhole) yang berlaku di laluan Jalan Persekutuan FT033, Seksyen 22.0 Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) menghala ke Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal, malam kelmarin.
“Siasatan awal mendapati sinkhole tersebut dianggarkan berukuran 10 meter panjang dan 5 meter lebar dan punca kejadian dipercayai disebabkan kegagalan struktur culvert yang menyebabkan mendapan berlaku di permukaan jalan.
“Tindakan mitigasi segera telah dilaksanakan di tapak bagi keselamatan pengguna jalan raya melalui pemasangan papan tanda amaran, lencongan trafik dan penutupan lorong fastlane sepanjang 300 meter untuk kedua-dua arah dan JKR Daerah Melaka Tengah juga akan menjalankan pemantauan berterusan dari semasa ke semasa khusus di lokasi kejadian,” katanya selepas meninjau lokasi terbabit semalam.
Tambah beliau, bagi kerja-kerja pembaikan kekal antara yang akan dilaksanakan termasuklah kerja pengorekan termasuk pemasangan temporary sheet pile, penggantian culvert konkrit yang rosak, kerja penimbusan dan pemadatan tanah dan pembaikan struktur dan perabot jalan.
“Tempoh pembaikan dijangka mengambil masa dua bulan bergantung kepada keadaan tanah dan cuaca dengan anggaran kos pembaikan sekitar RM2.5 juta.
“Saya menyeru orang awam untuk mematuhi arahan keselamatan serta papan tanda yang dipasang di lokasi demi menjaga keselamatan bersama,” katanya lagi.
MForce Bike Holdings Sdn Bhd, syarikat tempatan yang sudah beroperasi sejak tahun 2008 kini melebarkan sayap ke negara jiran apabila membuka MForce Vietnam, yang menjadi pengedar rasmi bagi beberapa jenama termasuk QJMotor, Benelli, CFMoto, Benda, Cyclone, Voge, Brixton, Morbidelli dan WMoto.
MForce Vietnam dimiliki secara bersama oleh MForce Bike Holdings dengan rakan perniagaan di sana, dengan pegangan 60:40 dan antara perancangan terdekat tahun hadapan adalah untuk membuka 10 wakil pengedar berserta pusat khidmat pelanggan.
Menurut Ketua Pegawai Operasi MForce Bike Holdings Sdn Bhd, Asri Ahmad, fokus di Vietnam buat masa awal ini adalah untuk penjualan motosikal berkapasiti tinggi (lebih 250 cc) serta motosikal bawah 50 cc, yang tidak memerlukan lesen memandu di negara itu.
Semasa majlis pembukaan rasmi pusat operasi utama di Ho Chi Minh City, MForce Vietnam turut melancarkan tiga model baru untuk pasaran iaitu Voge DS900X, QJMotor SRV600V dan QJMotor SRV400, dengan harga masing-masing 320 juta dong (RM50k), 185 juta dong (RM29k) dan 135 juta dong (RM21k). Harga ini adalah tidak jauh beza berbanding harga di Malaysia.
Untuk tahun hadapan, MForce Vietnam meletakkan sasaran jualan sebanyak 2,000 unit, dan antara keistimewaan yang ditawarkan kepada pelanggan adalah jaminan selama tiga tahun tanpa had batuan, menandakan keyakinan kepada ketahanan model yang dibawa.
Kia Corporation telah umumkan beralih kepada operasi kendalian syarikat induk di Malaysia, dengan Kia Sales Malaysia bakal menguruskan jualan, lepas jualan, laihan serta operasi keseluruhan dan runcit jenama itu di Malaysia berkuatkuasa 1 Januari 2026.
Ditubuhkan pada 3 November tahun ini, Kia Sales Malaysia merupakan anak syarikat milik penuh Kia Corporation dan akan bersamaan seperti mana Honda Malaysia, Mercedes-Benz Malaysia atau mana-mana OEM yang dikawal secara langsung oleh ibu pejabat masing-masing. Hyundai sebelum ini turun menjalani perkara yang sama sejak Jun tahun ini. Kia Sales Malaysia akan diketuai oleh Hyung Ho Kim selaku Presiden dan CEO, dengan bekas Timbalan Presiden Omoda | Jaecoo sebelum ini, Emily Lek diumumkan secara rasmi akan menggalas tanggungjawab sebagai Pengarah Urusan bermula Januari 2026.
“Kia sangat teruja untuk memperbaharui semula kehadiran jenama itu di Malaysia. Kami percaya inovasi serta strategi yang mengutamakan pelanggan akan memperkaya pengalaman pelanggan dalam usaha kami untuk terus menyokong pertumbuhan ekonomi dan industri automotif di Malaysia. Kami akan kekal di sini, selari dengan visi ‘Movement That Inspires’ yang dibawakan jenama ini, dan kami bersungguh untuk membangun masa depan yang mengilhami pengalaman baru dan mobiliti mapan,” ujar Presiden dan CEO Kia Asia Pacific, Ki Seok Ahn.
“Antara perkara yang boleh dijangkakan daripada langkah terbaru ini termasuklah perluasan rangkaian pengedar Kia, pelaburan dalam servis lepas jualan serta pengenalan model baru,” jelas kenyataan yang dikeluarkan.
Sudah pasti, model berikutnya yang sangat dinanti-nantikan pelancaran rasminya selepas ini ialah Perodua QV-E. Dan, dalam sebuah video iklan teaser terbaru yang sangat singkat (hanya sembilaan saat), sekali lagi kelibat lain EV tersebut kelihatan.
Seperti dalam siri iklan teaser lain QV-E yang lain sebelum ini, ia memaparkan penekanan Perodua terhadap aspek pembangunan tempatan yang dilakukan terhadap projek ini. “Kerana tiada siapa akan bangunkan untuk Malaysia seperti warganya sendiri,” terjemahan longgar kepada teks yang dipaparkan di dalamnya.
Video terbaru ini antara lain telah memperlihatkan rekaan luaran EV ini, yang kelihatan sangat bersegi dan sporty — sebuah sisi lain kepada imej wajah depan yang dapat dilihat dalam iklan sebelum ini. Kelihatan juga jalur lampu berkelebaran penuh di bahagia belakang QV-E.
Presiden dan CEO Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad sebelum ini telah menjelaskan bahawa Perodua memegang hak sepenuhnya terhadap intellectual property (IP) EV ini, termasuklah rekaan dan platformnya, walaupun ia menggunakan bateri yang dibekalkan oleh CATL. Bersekali dengan pengenalan QV-E nanti, Perodua turut akan memperkenalkan skim pajakan bateri, menjadi pengeluar yang pertama melakukan ini di pasaran umum.
Kapasiti bateri untuk QV-E juga sudah diketahui sebelum ini, iaitu dengan 52.5 kWj, dengan jarak yang boleh dicapai sekitar 400 km hingga 410 km. Pesaing yang paling hampir dari Proton ialah eMas 7, yang juga memberikan jarak perjalanan sekitar 410 km (WLTP).
Dari segi prestasi, QV-E mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa enam saat, dengan laju maksimum 160 km/j. Proton eMas 5 yang baru dilancarkan pula misalnya dinyatakan mampu melakukan pecutan 0-50 km/j (bukan 100 km/j) dalam masa 4.4 saat.
Kita sudah menghampiri tarikh pelancaran Perodua QV-E. Teruskan bersama kami untuk makluman hal-hal selanjutnya berkaitan EV ini nanti.
Untuk warga Shah Alam, ini ada makluman penting buat anda. Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengumumkan bahawa sebahagian jalan utama di sekitar Shah Alam akan ditutup esok, 29 November 2025, dari jam 4 pagi hingga 11 pagi. Ia adalah bagi kelancaran acara larian Malaysia Vibe Fest 2025 yang akan diadakan esok di i-City, Seksyen 7, Shah Alam.
Laluan yang terlibat ialah i-City, Jalan Plumbum 7/102, Persiaran Permai, Persiaran Bestari, Persiaran Bestari, UiTM Shah Alam, Persiaran Kayangan, Jalan Padang Jawa, Seksyen 16, Persiaran Selangor, Seksyen 15, Bulatan Selangor, Persiaran Tengku Ampuan, Bulatan Melawati, dan Bulatan Kayangan di Seksyen 13.
Selain itu, ia juga melibatkan Persiaran Kayangan, Persiaran Bandaraya, Persiaran Damai, Persiaran Masjid, Bulatan Setia Jasa, Persiaran Majlis di Seksyen 14, Bulatan Bestari, Persiaran Tun Arsyad Ayub di Seksyen 7, dan Persiaran Keluli 1C.
Justeru, anda dinasihati agar merancang perjalanan sewajarnya dan disaran untuk menggunakan laluan alternatif untuk ke destinasi yang ditujui. Sila gandakan fokus pemanduan dan lebih berhati-hati memandu sewaktu melalui laluan yang terlibat dengan separa penutupan ini.
ASEAN NCAP (Program Penilaian Kereta Baharu untuk Negara Asia Tenggara) telah menyiarkan laporan penilaian penuh untuk Proton Saga 2026 yang dilancarkan semalam. Di mana model terbaharu daripada pengeluar kereta nasional itu telah diberikan penarafan empat bintang di bawah protokol 2021-2025.
Pada Oktober lalu, kami melaporkan bahawa penilaian yang dibuat berdasarkan protokol ujian ASEAN NCAP 2021–2025 masih digunakan sehingga akhir tahun ini. Bermula Januari nanti, protokol baru 2026–2030 akan diperkenalkan dengan penekanan lebih besar terhadap sistem bantuan pemandu termaju (ADAS).
Bagi Saga 2026 ini, varian Standard yang telah digunakan di dalam ujian tersebut memperoleh 23.72 daripada 32.00 mata dalam penilaian perlindungan penghuni dewasa (AOP), 38.17 daripada 51.00 mata dalam penilaian perlindungan penghuni kanak-kanak (COP), 14.00 daripada 21.00 mata dalam penilaian bantuan keselamatan, dan 7.00 daripada 16.00 mata dalam penilaian keselamatan penunggang motosikal (MS).
Dalam penilaian perlindungan penghuni dewasa (AOP), ruang kabin hadapan Proton Saga dinilai kekal stabil dalam ujian impak offset hadapan. Namun, perlindungan sederhana (marginal) diperhatikan pada bahagian dada pemandu, dan perlindungan sederhana ini juga dikesan dalam ujian impak sisi.
Sistem bantuan keselamatan yang diberikan untuk Saga 2026 ini termasuklah brek kecemasan autonomous (AEB), amaran pelanggaran hadapan, amaran ketibaan lorong dan pengesan titik buta, bersama dua beg udara, ESC, ABS, pengingatan pemakaian tali pinggang keledar untuk pemandu dan penumpang hadapan serta cagak ISOFIX.
Bagi penilaian keselamatan penunggang motosikal, Proton Saga 2026 memperoleh satu mata bonus kerana menawarkan teknologi keselamatan penunggang motosikal termaju melalui fungsi AEB untuk motosikal sebagai ciri pilihan.
Menerusi kategori AOP, COP, bantuan keselamatan dan penilaian keselamatan penunggang motosikal, Saga 2026 mencapai penarafan maksimum empat bintang bagi setiap kategori. Dengan skor sebanyak 66.70 mata, melayakkan Saga 2026 menerima penarafan keseluruhan empat bintang dari ASEAN NCAP.
Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) mengumumkan bahawa MyDigital ID akan digunakan sebagai kaedah log masuk tunggal (single login) ke aplikasi MyJPJ dilaksanakan mulai 1 Februari 2026.
“Warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas akan menggunakan MyDigital ID sebagai kaedah log masuk tunggal ke aplikasi MyJPJ, sekali gus menggantikan penggunaan kata laluan sedia ada. Bagi pengguna bawah 18 tahun serta pemegang kad MyPR, kaedah log masuk sedia ada akan terus digunakan melalui pautan khas yang memerlukan pengguna memasukkan 12 digit nombor MyPR/MyKAD berserta kata laluan.
“Sementara itu, pengguna yang belum pernah mendaftar MyJPJ, proses log masuk boleh terus dilaksanakan melalui MyDigital ID. Langkah ini penting bagi mengelakkan pembukaan akaun palsu serta akses tidak sah ke dalam sistem MyJPJ,” kata JPJ menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Tambah JPJ, untuk rekod, setakat ini, seramai 13 juta pengguna telah mendaftar atau memiliki akaun MyJPJ. Daripada jumlah itu, 1.3 juta pengguna telah menggunakan MyDigital ID untuk log masuk ke aplikasi MyJPJ dan baki 11 juta pengguna lagi perlu melakukan proses pradaftar melalui pengesahan wajah untuk mempercepatkan proses pendaftaran MyDigital ID.
“JPJ menyeru semua pengguna aplikasi MyJPJ agar mengambil langkah proaktif dengan mendaftar dan menyediakan tetapan MyDigital ID lebih awal demi kelancaran urusan apabila kaedah log masuk tunggal ini mula dikuatkuasakan sepenuhnya pada 1 Februari 2026,” katanya lagi.
MyDigital ID ialah platform identiti digital yang mengesahkan identiti pengguna secara tepat dan telus melalui pangkalan data Kerajaan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), tanpa menyimpan sebarang data peribadi pengguna. Langkah ini bukan sahaja meningkatkan keselamatan transaksi digital, malah lebih mudah, lancar tanpa keperluan mengingati pelbagai kata laluan.
Ketika pelancaran Proton Saga MC3 2026 hari ini, pengerusi Proton Holdings Berhad Datuk Seri Syed Faisal Albar menyatakan bahawa Proton akan menghasilkan lebih banyak model pembangunan tempatan yang bukan rebadge dari Geely, berasaskan platform AMA pada masa akan datang.
Menurutnya model-model berkenaan bukan hanya disasarkan untuk menguasai pasaran tempatan, malah ia akan menjadi ‘senjata’ utama Proton pada pasaran global.
“Akan ada lebih banyak model akan keluar berasaskan platform AMA ini di mana semua IP (harta intelek) kereta-kereta Proton akan datang menjadi milik Proton. Platform AMA ini telah direka untuk menjadi tangkas, boleh diskalakan, membolehkan ia dilaras berdasarkan saiz dan binaan kereta yang kami mahukan,” kata Syed Faisal.
Lakaran digital Proton Saga Hatchback oleh Theophilus Chin
Beliau turut menambah dengan pengenalan Saga 2026 ini juga secara tidak langsung adalah permulaan kelahiran platform AMA yang akan membentuk model-model Proton akan datang, dan model-model berkenaan akan menjadi ‘tiket’ kepada Proton untuk mengusai lebih banyak pasaran eksport bagi menjadikan Proton satu jenama bertaraf global.
“Mengapa begitu? Secara asasnya untuk satu-satu OEM automotif itu dapat betul-betul menembusi pasaran luar, anda tak boleh sekadar menawarkan satu model dan mengharapkan ia terjual dengan banyak. Anda perlu sentiasa hadir dengan produk yang mengujakan, jika tidak pengedar tempatan di negara-negara tersebut tidak akan bermotivasi untuk menjual kereta anda.
“Jadi inilah sebabnya platform AMA yang telah dibangunkan oleh pasukan kami selama bertahun-tahun adalah sangat penting kepada kami kerana ia akan menjadi ‘senjata’ dalam strategi eksport kami. Tetapi selepas itu anda boleh tanya mengapa pasaran eksport adalah sangat penting kepada kejayaan Proton? Dan sebabnya adalah mudah, di Malaysia jualan kereta adalah pada kadar 800,000 unit setahun, jadi untuk Proton mencapai cita-cita kami bagi menjadi pemain global, kami tidak boleh hanya bergantung pada pasaran domestik. Oleh itu kami perlu untuk memperluaskan pasaran eksport secara teliti,” jelasnya lagi.
Lakaran digital Proton Saga Cross oleh Theophilus Chin
Platform AMA, atau Advanced Modular Architecture merupakan platform yang dihasilkan dari platform sedia ada yang dibangunkan sendiri oleh Proton sebelum ini, tetapi ditingkat taraf dari segi keselamatan dan sebagainya bagi membolehkan ia kekal relevan dalam pasaran.
Pada Saga MC3 misalnya, platform berkenaan dipertingkat dengan pemadanan cross member pada lantai yang memegang cagak tempat duduk dan juga tiang-B yang kini menggunakan logam dengan teknologi Hot Press Forming (HPF). Proton turut menyatakan bahawa platform AMA ini juga bersifat modular, membolehkan ia menjadi asas kepada pelbagai model lain dengan saiz dan badan berbeza selain dari sedan.
Jadi selepas ini Proton mungkin akan hadir dengan ‘Saga’ dalam versi hatchback, SUV dan mungkin juga MPV menggunakan platform AMA ini. Model-model ini juga dilihat akan memberikan pilihan lebih luas kepada pelanggan yang tidak dapat ditawarkan oleh model-model Geely sedia ada, seperti model hatchback kompak bagi menggantikan Proton Iriz, MPV tujuh-tempat duduk bagi menggantikan Exora, atau SUV kompak yang boleh berhadapan dengan model seperti Perodua Ativa dan sebagainya.
Selepas beberapa siri pra-tonton yang turut mendedahkan hampir semua aspek berkaitan Proton Saga 2026 sebelum ini, Proton akhirnya melancarkan sedan popular berkenaan secara rasmi untuk pasaran tempatan, hari ini. Proton Saga 2026 ditawarkan dalam tiga varian seperti berikut:
Proton Saga 1.5 Standard A/T – RM38,990
Proton Saga 1.5 Executive A/T – RM44,990
Proton Saga 1.5 Premium CVT – RM49,990
Sehingga 31 Disember 2025, rebat tunai sebanyak RM1,000 turut akan diberikan kepada pelanggan, menjadikan harga yang diumumkan ini lebih murah.
Ini merupakan harga atas jalan belum termasuk insuran, dan termasuk sekali jaminan Pro-Warranty lima-tahun/150,000 km dan kos tenaga kerja percuma bagi tiga servis berjadual yang terawal. Saga 2026 sebelum ini diberi harga jangkaan antara RM40,000 hingga RM50,000, dan untuk 10,000 pembeli terawal yang menbuat tempahan sebelum ini, mereka akan menerima kad Touch ‘n Go edisi istimewa serta servis percuma selama setahun (termasuk alat ganti dan tenaga kerja).
Sempena pelancaran rasmi ini, Proton turut memperkenalkan pakej jaminan dan sokongan lepas jualan untuk Saga 2026. Selain Pro-Warranty, ada juga Pro-Trade-In dengan sokongan sehingga RM1,500; Pro-Xchange yang juga menawarkan sokongan RM2,000; Pro-Finance dengan dengan kadar faedah pembiayaan bermula dari RM2.6%; dan Pro-Shield dengan perlindungan insuran untuk bencana seperti banjir sehingga RM2,000.
Sebagai perbandingan, Saga sebelum ini dijual dengan harga bermula RM34,800 untuk varian Standard M/T, naik kepada RM38,300 untuk Standard Lite A/T, RM38,800 untuk Standard A/T, RM41,800 untuk Premium A/T dan RM44,800 untuk Premium S A/T. Dengan model terbaru ini, tiada lagi varian Standard Lite dan transmisi manual ditawarkan, yang menjadi sebab meningkatnya harga permulaan sedan terbaru ini. Proton juga mendakwa, pembeli kereta terbaru ini akan menerima kit tambahan bernilai sehingga RM12,000.
Banyak rombakan yang telah dilakukan oleh Proton untuk sedan segmen A ini, terutama dari sudut mekanikalnya. Dan, semua itu sudah diketahui melalui laporan terdahulu. Berikut beberapa perkara utama yang perlu anda tahun tentang penawaran terbaru Saga MC3 2026 ini:
1. Rekaan luar dirubah drastik
Walaupun bentuk bahagian sisi masih terlihat sama seperti Saga MC2, Saga 2026 MC3 ini diberikan rombakan menyeluruh untuk bahagian muka dan belakang. Ini Saga pertama dengan lampu hadapan LED — dari jenis projektor LED. Tetapi, ia hanya untuk varian Premium dan Executive. Saga MC3 Standard hanya menerima lampu reflektor halogen.
Ia dipadankan sekali dengan jalur LED binaan dalam sebagai DRL, dan seakan bersambung dengan kemasan ‘busur panah’ krom gril hadapan. Lampu ini juga datang sekali dengan fungsi automatik dan juga lampu Follow-Me-Home.
Saga 2026 menampilkan gril yang jauh lebih besar yang merentangi hingga ke bahagian bawah kedua-dua belah lampu hadapan — dengan motif sulaman songket yang sama seperti model X50 facelift. Bukaan gril bawahnya kini segi empat, dan bukan lagi dalam bentuk trapezoid. Juga, tiada lagi sebarang lampu ditempat di bahagian bampar, dan liang udara yang ada juga terbuka dan berfungsi, bukan sekadar hiasan.
Di belakang, rekaan lampunya berkelebaran penuh, dengan perumah jernih serta diterapkan grafik LED yang mirip lampu Proton S70. Pintu ruang but juga kini lebih lentik dan terlihat seperti spoiler. Di bahagian bawah ada rekaan ala diffuser diberikan.
Rim aloi 15-inci rekaan baharu turut diberikan pada varian Premium dengan kemasan dua tona, dan kemasan perak pada Executive – kedua-duanya dibalut dengan tayar Atlas AS380 185/55R15. Manakala Saga Standard pula menerima rim aloi 14-inci yang masih sama seperti pada Saga MC2.
Lima warna badan ditawarkan untuk Saga 2026, termasuk dua warna baru iaitu Deep Marine Blue dan Space Grey, serta tiga lagi warna sedia ada terdiri dari Ruby Red, Armour Silver dan Snow White.
2. Ruang dalaman dirombak
Rekaan papan pemuka serba baru menghiasi kabin Saga MC3 2026. Antara ciri utama yang ada ialah skrin infotainmen sembilan-inci yang berdiri sendiri dan bersambung dengan skrin paparan instrumen digital tujuh-inci untuk pemandu. Ada juga sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.
Kendalian untuk pendingin, kunci sentral, lampu isyarat kecemasan, fungsi nyah-kabus cermin depan dan penderia parkir bagaimanapun boleh dikawal menggunakan suis fizikal yang mudah dan ringkas. Corong pendingin kini dalam bentuk bujur, dan permukaan papan pemuka hadir dalam rekaan beralun.
Roda stereng juga baru dan lebih kecil, dengan rekaan rata di bahagian bawahnya. Bagaimanapun larasan kedudukan stereng masih hanya boleh dibuat ke atas dan ke bawah, dan tidak ditawarkan dengan larasan teleskopik.
Konsol tengah juga telah menerima rombakan rekaan: pemegang cawan kini disusun dalam kedudukan senget, membolehkan dua cawan saiz biasa diletakkan berbanding ruang lebih kecil yang ditawarkan pada model sebelum ini kerana ia disusun secara melintang biasa. Tombol gear juga nampak lebih sporty, dengan penunjuk kedudukan gear ‘PRNDS’ kini dicetak pada tombol tersebut, bukan di bahagian sisi.
Untuk tempat duduk, ia masih kelihatan sama seperti Saga sebelumnya. Bagi varian Premium ia dibalut dengan bahan kulit buatan dan tempat duduk pemandu boleh dilaras ketinggian secara keseluruhan.
3. Platform Advanced Modular Architecture (AMA)
Seperti dinyatakan sebelum ini, Platform AMA masih lagi diasaskan dari platform Saga terdahulu. Namun, platform berkenaan telahpun menerima kejuruteraan semula bagi membolehkan ia terus relevan dari segi keselamatan dan juga penggunaan teknologi terkini, dan tiada masalah untuk terus diguna pakai dalam tempoh yang lama.
Perkara pertama yang dibuat adalah menguatkan semula kerangka dengan menambahbaik beberapa struktur. Antaranya Proton telah menerapkan logam dengan teknologi Hot Press Forming (HPF) pada tiang-B dan juga bahagian cross member pada lantai yang memegang cagak tempat duduk.
Kerangka Saga 2026 juga menerima logam berketegaran tinggi termaju (AHSS) di bahagian tulang tengah bumbung, serta logam berketegaran tinggi pada setiap pintu. Bukan itu sahaja, malah kerangka ini turut diubah bagi membolehkan penumpang dalam kabin dilindungi sehingga enam-beg udara berbanding maksima hanya dua sebelum ini.
Proton juga memadankan seni bina elektrikal pada platform AMA ini yang membolehkan Saga 2026 dipadankan dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS). Namun, disebabkan masih menggunakan ‘kulit’ kerangka dan juga pintu yang sama, rupa asas Saga 2026 ini masih lagi kelihatan sama dengan model-model sebelumnya.
4. Enjin serba baru, tetapi transmisi masih lagi sama
Khidmat enjin Campro VVT S4PE 1.3L telahpun secara rasminya ditamatkan untuk Saga. Bagi model 2026, Saga menerima enjin yang digelar oleh Proton sebagai enjin ‘i-GT’. Enjin ini dibangunkan oleh Aurobay, iaitu pembekal unit rangkaian kuasa milik Geely yang sebelum ini merupakan bahagian unit rangkaian kuasa Volvo.
Unit ini adalah dari keluarga enjin dengan kod BHE15, keluarga enjin yang sama digunakan untuk X50 facelift. Ia menampilkan asas yang sama dengan sesaran 1.5 liter empat-silinder, dengan omboh dengan saiz gerek (bore) 73.4 mm dan lejang (stroke) 88.57 mm.
Untuk Saga, enjin yang dibekalkan adalah dari varian BHE15PFI: versi tanpa turbo dan hanya dihadirkan dengan sistem suntikan bahan api pada port kemasukan udara (PFI), berbanding varian BHE15TD pada X50 yang lengkap dengan pengecas turbo serta datang dengan sistem suntikan bahan api terus (T-GDI).
Enjin BHEPFI ini masih menampilkan sistem pemasaan injap bervariasi berkembar (DVVT), dan mekanisma tersebut digerakkan dengan pemasangan timing chain, dan bukan lagi timing belt seperti enjin Campro — penyelenggaraan timing chain adalah lebih mudah. Enjin ini juga menerima pam air elektrik bagi mengurangkan kehilangan kuasa dan memberikan keberkesanan yang lebih baik. Enjin ini mampu menjana sebanyak 120 PS dan 150 Nm tork.
Ada dua jenis transmisi ditawarkan untuk Saga — bagi varian paling tinggi Premium, ia datang dengan kotak gear CVT, manakala dua varian lebih rendah pula — Executive dan Standard — datang dengan kotak gear automatik konvensional empat-kelajuan 4AT.
Padanan unit rangkaian kuasa ini membolehkan Saga MC3 CVT mencapai penggunaan bahan api serendah 4.9L/100 km dan versi 4AT pula mencapai 5.1L/100 km — kedua-duanya dalam kitaran ujian tempatan iaitu MDC.
Menurut Proton, enjin ini telah diuji sejauh lebih 9,000,000 km di peringkat global, serta telah menjalani lebih 50,000 jam ujian dyno. Manakala sistem timing chain yang digunakan adalah dari jenis rantai bergigi, didakwa 25.24% lebih senyap berbanding menggunakan timing chain jenis pengguling (roller).
Jika anda berminat untuk mengetahui dengan lebih terperinci berkaitan perbezaan dan penawaran mekanikal untuk Saga MC3 2026, baca laporan awal kami di sini.
Perbandingan spesifikasi antara varian Standard, Executive dan Premium seperti berikut:
Proton Saga 1.5 Standard 2026 Ciri standard:
Mekanikal
Enjin 1.5 liter DOHC i-GT PFI
1,499 cc NA Dual-VVT empat-silinder petrol
120 PS pada 6,100 rpm, 150 Nm tork pada 4,000-5,000 rpm
Skuter yang dikenali sebagai Yamaha Gear Ultima Hybrid 125 kini tiba di Malaysia, dilancarkan oleh Hong Leong Yamaha Motor sebagai Ego Gear Pro, pada harga RM6,198 tidak termasuk insurans. Tiga warna ditawarkan, iaitu Stellar White, Navy Green dan Cosmic Blu.
Reka bentuk Ego Gear Pro adalah berbeza dengan Ego Gear dan rimnya menggunakan unit yang lebih kecil, bersaiz 12 inci hadapan dan belakang, dibalut tayar 110/70. Lampu hadapan menggunakan unit LED.
Menggerakkan skuter ini adalah enjin satu silinder 125 cc Bluecore suntikan bahan api, SOHC, mampu menghasilkan kuasa 8.4 PS pada 6,500 rpm dan tork 10.6 Nm pada 4,500 rpm.
Ia juga digelar sebagai sebuah skuter hibrid kerana datang dengan fungsi Power Assist, yang dapat memberikan bantuan sewaktu pecutan awal dan berguna terutamanya di kawasan berbukit. Cirinya kemudian ditambah lagi dengan Start & Stop, serta meter digital yang boleh disambung kepada telefon melalui aplikasi Y-Connect.
Sebagai sebuah skuter, Gear Ultima menyediakan pelbagai kemudahan termasuk ruang simpanan bawah tempat duduk 18.6 liter, tangki bahan api 5.1 liter, cangkuk barangan serta poket barangan di bawah pemegang. Berat keseluruhannya adalah 95 kg.
Sistem brek menggunakan unit cakera di hadapan manakala di belakang menggunakan unit dram. Jaminan yang diberi adalah selama dua tahun atau 20,000 km.