Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Mercedes-Benz GLB 2026 – SUV EV 7-tempat duduk dengan jarak gerak sehingga 631 km, hibrid kemudian

    Mercedes-Benz GLB 2026 – SUV EV 7-tempat duduk dengan jarak gerak sehingga 631 km, hibrid kemudian

    Selepas lebih enam tahun berada dalam pasaran, Mercedes-Benz akhirnya memperkenalkan generasi baru bagi GLB. Sepanjang tempoh itu, model ini menempati ruang unik dalam segmen premium kerana masih belum ada jenama arus perdana lain yang menawarkan SUV kompak dengan tiga baris tempat duduk. Jadi, mereka memilih untuk meneruskan kesinambungan GLB, meskipun terpaksa mengorbankan model A-Class.

    Dibina atas platform Mercedes-Benz Modular Architecture (MMA) yang sama seperti CLA serba baru, GLB generasi kedua ini berkongsi teknologi dan komponen yang serupa termasuk rangkaian trenkuasa elektrik penuh pada peringkat awal. Dimensinya kini sedikit lebih besar, menawarkan ruang praktikal yang lebih baik serta tahap teknologi dan kecerdasan yang dipertingkatkan.

    Untuk permulaan, dua varian ditawarkan iaitu GLB250+ dan GLB350 4Matic, masing-masing membawa gelaran “with EQ Technology”. Varian asas menggunakan motor tunggal pada gandar belakang dengan 272 PS dan 335 Nm, digandingkan dengan transmisi dua kelajuan seperti Porsche Taycan, bagi meningkatkan kecekapan tanpa menjejaskan pecutan.

    Mercedes-Benz GLB 2026 – SUV EV 7-tempat duduk dengan jarak gerak sehingga 631 km, hibrid kemudian

    Ia mampu melakukan pecutan 0–100 km/j dalam 7.4 saat dengan kelajuan maksimum 210 km/j. GLB350 pula hadir dengan sistem pacuan semua roda dua motor, menghasilkan 354 PS dan 515 Nm, membolehkan pecutan 0–100 km/j dalam 5.5 saat.

    Kedua-dua model dilengkapi bateri NMC 85 kWh, memberikan jarak WLTP antara 542–631 km untuk GLB250+ dan 521–614 km untuk GLB350. Melalui binaan elektrik 800 volt, SUV ini menyokong pengecasan pantas DC sehingga 320 kW, menambah jarak perjalanan 260 km hanya selepas sepuluh minit dicas.

    Berbeza dengan CLA, GLB boleh menggunakan pengecas 400 volt sejak mula, tetapi melalui penukar DC yang ditawarkan sebagai pilihan tambahan. Pengecasan AC pula sehingga 22 kW, manakala pengecasan dua hala akan diaktifkan melalui kemas kini OTA pada masa akan datang.

    Mercedes-Benz GLB 2026 – SUV EV 7-tempat duduk dengan jarak gerak sehingga 631 km, hibrid kemudian

    Barisan model GLB akan dikembangkan kemudian nanti dengan varian lebih mampu milik serta tiga pilihan hibrid. Model hibrid menggunakan motor dan inverter yang disepadukan dalam transmisi klac berkembar 8F-eDCT lapan kelajuan, dibantu bateri 48 volt 1.3 kWh dan sistem penjanaan semula kuasa sehingga 25 kW. Enjin M252 1.5 liter pengecas turbo dibangunkan bersama Geely dan dikatakan mempunyai kaitan dengan enjin BHE15 pada Proton X50.

    Suspensi menggunakan unit MacPherson di hadapan dan sistem multilink baru di belakang, diadaptasi daripada model Mercedes lebih besar. Sistem brek menggunakan teknologi brake-by-wire dan pilihan rim disediakan sehingga 20 inci; rim paling besar hadir dengan penyerap hentak adaptif sebagai standard.

    Reka bentuk luaran masih mengekalkan bentuk kotak GLB sebelumnya, lengkap dengan d-pillar tebal yang menjadi identitinya. Di bahagian depan, lampu LED bentuk segi empat disambungkan kepada jalur cahaya dan dihiasi grafik bintang Mercedes yang besar.

    Gril oktagon pula menempatkan logo sebesar “pinggan makan”, dengan keseluruhan panel mampu menyala bergantung pada peraturan pasaran. Pemegang pintu kini jenis boleh keluar dan tenggelam, manakala lampu belakang berbentuk jalur U terbalik yang bersambung merentasi pintu belakang turut mendapat grafik bintang.

    Mercedes menumpukan perhatian kepada kecekapan aerodinamik, dengan bahagian hadapan dan belakang yang lebih lancar, garis badan yang dimeterai, rekaan cermin sisi baru serta bahagian bawah badan yang hampir tertutup sepenuhnya. Hasilnya, GLB mencapai kecekapan rintangan angin serendah 0.28.

    Dari segi saiz, GLB baru kini lebih panjang dan lebih lebar tetapi lebih rendah berbanding model sebelumnya pada 4,732 mm panjang, 1,861 mm lebar dan 1,687 mm tinggi. Jarak roda bertambah 60 mm kepada 2,889 mm, menyumbang kepada ruang kaki baris kedua yang lebih luas.

    Mercedes-Benz GLB 2026 – SUV EV 7-tempat duduk dengan jarak gerak sehingga 631 km, hibrid kemudian

    Platform elektrik ini juga memberi ruang kepala lebih baik pada baris kedua dan ketiga berbanding EQB lama, dan Mercedes mendakwa baris ketiga kini boleh memuatkan penumpang dewasa setinggi sehingga 171 cm dengan lebih selesa. Bagaimanapun, ruang kepala masih sedikit kurang berbanding GLB petrol lama, walaupun hanya dua milimeter.

    Kabin turut mengikut jejak CLA dengan papan pemuka rata penuh paparan tanpa butang fizikal. Pakej pilihan MBUX Superscreen menawarkan sehingga tiga skrin – paparan instrumen 10.25 inci serta skrin tengah dan penumpang berukuran 14 inci.

    Sistem ini menggunakan MB.OS generasi baru dengan sokongan ChatGPT dan Google Gemini, mampu memainkan kandungan Disney+, Ridevu dan permainan cloud Boosteroid. Sistem audio Burmester 3D 16 pembesar suara turut ditawarkan sebagai pilihan.

    Atas maklum balas pelanggan, roda stereng kembali menggunakan suis fizikal untuk kawalan kelajuan cruise control dan kelantangan audio, walaupun butang lain kekal jenis sentuhan kapasitif. Seperti CLA, hanya dua suis tingkap disediakan di pintu pemandu dan pengguna perlu menukar mod untuk mengawal tingkap hadapan atau belakang.

    Bahagian tengah kabin menempatkan corong udara gaya turbin, konsol tengah tinggi dengan ruang pengecasan tanpa wayar dan dua pemegang cawan. Bumbung kaca panoramik besar ditawarkan tanpa bidai kuasa tetapi hadir dengan lapisan penapis UV, manakala bumbung Sky Control dengan kesan kaca berais dan cahaya berbintang ditawarkan sebagai pilihan.

    Seperti model sebelumnya, GLB baru menawarkan pilihan baris ketiga dengan cagak ISOFIX, menjadikan sehingga lima kerusi kanak-kanak boleh dipasang serentak. Baris kedua 40:20:40 boleh dilungsur dan kini lebih mudah diakses ke baris ketiga melalui fungsi tilt-and-slide yang diperbaiki.

    Mercedes-Benz GLB 2026 – SUV EV 7-tempat duduk dengan jarak gerak sehingga 631 km, hibrid kemudian

    Ruang but berkapasiti 540 liter untuk versi lima tempat duduk dan 480 liter untuk versi tujuh tempat duduk (dengan baris ketiga dilipat). Kapasiti boleh ditingkatkan kepada 1,715 liter dan 1,605 liter apabila baris kedua turut dilipat. Versi elektrik menambah ruang storan hadapan 127 liter – terbesar dalam barisan model kompak Mercedes.

    Dari segi keselamatan, GLB dilengkapi sembilan beg udara secara standard termasuk beg udara tengah dan lutut. Ia menerima satu set lengkap sensor untuk fungsi bantuan pemandu di bawah pakej MB.Drive. Ciri-ciri tambahan seperti MB.Drive Assist Level 2, Assist Plus dan Assist Pro ditawarkan melalui Mercedes-Benz Store, termasuk sistem parkir baru yang menyokong ruang parkir menyerong serta kamera 360 darjah.

    GLB baru kini dibuka untuk tempahan di Jerman, dengan pelancaran pasaran dijangka musim bunga ini. Harga bermula €59,048 (sekitar RM283,000) untuk GLB250+ dan €62,178 (sekitar RM298,000) untuk GLB350.

     
     
  • Continental Malaysia umum jaminan pengeluaran sepanjang hayat tayar baru, ganti pelan 5-tahun lama

    Continental Malaysia umum jaminan pengeluaran sepanjang hayat tayar baru, ganti pelan 5-tahun lama

    Continental Tyre Malaysia (CTM) mengumumkan jaminan pengeluaran sepanjang hayat bagi tayar baru keluarannya adalah sah bagi semua kenderaan penumpang, SUV dan 4×4 — termasuk tayar keluarannya yang menggunakan jenama General Tire dan Viking.

    Menurut syarikat itu, program jaminan terbaru ini meliputi pelindungan daripada kecacatan pengeluaran bagi sepanjang jangka hayat beroperasinya tayar terbabit. Bagaimanapum, kerosakan akibat faktor luaran yang tidak berada di bawah kawalan jenama itu, seperti pancit, koyakan atau kerosakan yang disebabkan oleh keadan jalan, tidak termasuk di bawah jaminan ini.

    Jaminan baru ini juga menggantikan jaminan lima-tahun yang diberikan sebelum ini. Sebagai tambahan, ia juga diperluaskan kepada semua tayar untuk kereta penumpang yang sah, SUV serta 4×4 yang dibeli sebelum pengumuman ini dibuat.

    “Kami bukan sekadar mengeluarkan tayar. Kami membangunkan keyakinan. Jaminan ini juga bukan sekadar janji, sebaliknya ia mencerminkan kawalan kualiti yang terperinci serta inovasi terhadap semua yang kami lakukan,” ujar Pengarah Urusan Continental Tyre Malaysia, Andrea Somorova.

    Sama seperti sebelum ini, jaminan tersebut turut disertakan dengan jaminan kerosakan jalan raya Total Confidence Plan (TCP) oleh Continental, yang memberikan pelindungan selama 12 bulan daripada tarikh pembelian, daripada kerosakan yang diakibatkan oleh keadaan jalan — sekiranya pembelian didaftarkan melalui Conti TCP app. Terma dan syarat ada di sini.

     
     
  • LRT3 Shah Alam ditangguh lagi, hingga Q2 2026

    LRT3 Shah Alam ditangguh lagi, hingga Q2 2026

    LRT3 Laluan Shah Alam yang sepatutnya direncana memulakan operasinya pada 31 Disember ini, nampak gayanya bakal ditangguh lagi sehingga sekurang-kurangnya pada suku kedua (Q2) tahun 2026, laporan The Star. Menurut laporan itu, dengan memetik sumber industri, perkara tersebut disebabkan oleh kerja-kerja ujian sistem dan pentauliahan, iaitu peringkat terakhir dan paling mencabar dalam projek berkenaan.

    Laluan LRT3 Shah Alam kini sedang menjalani ujian operasi tanpa gangguan (fault-free run) yang diwajibkan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010. Dalam fasa ini, sebanyak 22 set tren bersama sistem sokongan masing-masing perlu dapat diintegrasikan serta beroperasi secara berterusan dan boleh diyakini, sebagaimana yang diharapkan daripada sistem tren tanpa pemandu mengikut piawaian Tahap Automasi 4 (Grade of Automation 4 standard), menurut laporan itu.

    “Jika tren tidak dapat mengekalkan kelajuan ini secara konsisten dan boleh dipercayai, sela perkhidmatan yang dirancang iaitu setiap enam minit tidak dapat dicapai. Keadaan ini akan memberi kesan langsung kepada kapasiti dan kekerapan perkhidmatan untuk para penumpang, serta tidak memenuhi spesifikasi yang telah dinyatakan dalam Skim Keretapi yang dibentangkan untuk pemeriksaan awam,” kata satu sumber yang dipetik oleh The Star.

    LRT3 Shah Alam ditangguh lagi, hingga Q2 2026

    Pada pertengahan November lalu, Loke berkata tarikh sasaran terbaharu bagi operasi LRT3, atau Laluan Shah Alam, telah disemak kepada 31 Disember 2025. Walau bagaimana pun, ia hanya akan disahkan setelah semua fasa ujian memenuhi kepuasan pihak berkuasa.

    Sebelum itu, pada hujung Ogos lalu, Loke mengumumkan bahawa laluan tersebut, yang pada asalnya dijadualkan mula beroperasi pada 30 September, telah diberikan garis masa baharu pada hujung tahun. Beliau berkata beberapa ujian masih diperlukan, menyebabkan sedikit kelewatan.

    Perkhidmatan LRT3 Laluan Shah Alam sepanjang 37.8 km ini menghubungkan Bandar Utama di Petaling Jaya ke Johan Setia di Klang. Ia melibatkan 25 stesen termasuk Stadium Shah Alam, Pasar Besar Klang, Seri Andalas dan Johan Setia. Apabila beroperasi kelak, LRT3 mempunyai kapasiti untuk mengangkut seramai 300,000 penumpang sehari, dan kapasiti ini mungkin akan dapat dicapai dengan cepat memandangkan laluan berkenaan melalui kawasan-kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.

     
     
  • Prasarana bakal menggunakan lebih 1,045 buah bas elektrik di KL dan Pulau Pinang menjelang tahun 2030

    Prasarana bakal menggunakan lebih 1,045 buah bas elektrik di KL dan Pulau Pinang menjelang tahun 2030

    Prasarana Malaysia merancang untuk melancarkan lebih daripada 1,045 buah bas elektrik bagi kegunaan operasinya di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang menjelang tahun 2030, laporan The Star. Menurut pengerusi kumpulan syarikat, Tan Sri Mohd Nasir Ahmad, bas mesra alam itu merupakan sebahagian daripada tumpuan untuk mewujudkan ekosistem pengangkutan hijau.

    “Kami kini hanya mempunyai 15 buah bas elektrik di laluan Bus Rapid Transit (BRT) Sunway yang telah beroperasi sejak 2015,” katanya. Dilancarkan pada 2015, Laluan BRT Sunway merupakan laluan bas bertingkat yang dihubungkan dengan KTM Komuter (melalui Setia Jaya) dan Laluan LRT Kelana Jaya (melalui USJ 7).

    Lebih dua tahun lalu, Rapid Bus, anak syarikat Prasarana, berkata ia menyasarkan sehingga 30% daripada barisan basnya terdiri daripada bas elektrik menjelang 2030, dengan sasaran seterusnya mencapai 100% bas elektrik menjelang 2037.

    Sebagai persediaan untuk mengendalikan bas pada skala besar, latihan asas dan pendedahan mengenai pemadaman kebakaran bas elektrik akan diberikan kepada kakitangan operasi bagi memastikan mereka dapat bertindak sewajarnya sekiranya berlaku insiden yang tidak diingini.

    “Kecekapan akan menjadi isu utama dalam setiap perkara yang kami lakukan. Kakitangan akan dilatih terlebih dahulu, daripada kru bas hinggalah kepada mereka yang bertanggungjawab memahami pemadaman kebakaran bagi bas elektrik. Kami tidak akan memulakan operasi bas elektrik selagi kami belum benar-benar bersedia. Berdasarkan taklimat awal, termasuk prosedur dan dasar, kami akan memastikan semuanya dipatuhi dengan sebaiknya,” kata Mohd Nasir.

     
     
  • JPJ eBid: VQJ dan BSR dibuka untuk bidaan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan bahawa siri nombor pendaftaran terkini dari WP Kuala Lumpur dan Selangor dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Antara pilihan yang ada ialah siri nombor pendaftaran terkini dari WP Kuala Lumpur, VQJ, yang boleh dibida mulai hari ini, 8 Disember. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 12 Disember. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 13 Disember 2025. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau sebaliknya) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Selangor, BSR, bakal dibuka bidaan mulai 9 Disember. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 13 Disember, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 14 Disember 2025.

    Jadi, sekarang ini anda boleh menjimatkan masa dan wang ringgit dengan membida sendiri nombor pendaftaran yang anda hajati tanpa perlu menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner). Tak susah pun untuk membidanya dan anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk tujuan bidaan ini.

     
     
  • Maxim M’sia dapat kelulusan APAD untuk beroperasi

    Maxim M’sia dapat kelulusan APAD untuk beroperasi

    Syarikat e-hailing Maxim Malaysia telah mengumumkan bahawa syarikat itu telah menerima surat kelulusan akhir daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk meneruskan operasi di seluruh negara, menandakan berakhirnya tempoh semakan selama tiga bulan.

    “Dengan kelulusan akhir ini, Maxim bersedia memasuki fasa pertumbuhan yang lebih kukuh di Malaysia. Kami akan terus meningkatkan perkhidmatan, meluaskan capaian serta memastikan pengalaman yang selamat dan boleh dipercayai untuk penumpang dan rakan-pemandu,” kata Pengarah Maxim Malaysia, Mohd Hazwan Musley.

    Beliau turut berkata, platform ini juga dapat membantu mereka yang menjadikan e-hailing sebagai sumber pendapatan utama. “Langkah-langkah ini mencerminkan komitmen kami bukan sahaja terhadap pematuhan peraturan, tetapi juga dalam memperkukuh keselamatan penumpang, kebajikan pemandu dan sokongan kepada komuniti. Maxim telah membuktikan bahawa ia adalah pemain yang diperlukan dan kompetitif dalam landskap e-hailing Malaysia, membantu mengurangkan monopoli pasaran dan meningkatkan mobiliti di semua negeri.”

    Pada bulan Mei, APAD telah membatalkan permit Maxim dan pesaingnya InDrive kerana didakwa gagal memenuhi beberapa syarat, terutamanya berkaitan keperluan permit kenderaan e-hailing (EVP).

    Pada 24 Julai, APAD membenarkan kedua-dua syarikat menyambung operasi, tertakluk kepada semakan selama tiga bulan. Maxim berkata ia telah mengemukakan semua laporan yang diperlukan sepanjang tempoh semakan dan telah menjalankan audit dalaman bagi lesen kenderaan perkhidmatan awam (PSV) dan EVP, mengemas kini proses pengambilan pemandu serta melaksanakan pemeriksaan yang lebih ketat bagi memastikan pematuhan penuh terhadap pelesenan pemandu.

     
     
  • Lencongan trafik dilaksana di laluan Kulai-Sedenak di Lebuhraya PLUS pada 8-11 Dis, 10 malam-5 pagi

    Lencongan trafik dilaksana di laluan Kulai-Sedenak di Lebuhraya PLUS pada 8-11 Dis, 10 malam-5 pagi

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memaklumkan bahawa lencongan jalan secara berperingkat akan dilaksanakan di laluan Kulai-Sedenak di Lebuhraya Utara-Selatan bermula 8 hingga 11 Disember 2025 ini. Ia adalah bagi kelancaran kerja-kerja pemasangan rasuk jambatan untuk projek pembinaan lorong lambahan dari Yong Peng (utara) ke Senai (utara).

    Menurut PLUS, lencongan trafik di laluan berkenaan melibatkan kedua-dua arah utara dan selatan, serta dilaksanakan dari jam 10 malam hingga 5 pagi setiap hari sepanjang tempoh yang dinyatakan itu.

    “Ketika kerja-kerja tersebut dijalankan, kenderaan akan dilencongkan ke laluan paling kanan bagi mewujudkan zon kerja yang selamat di samping meminimumkan gangguan trafik kepada pengguna lebuh raya. Justeru, pengguna lebuhraya disarankan supaya merancang perjalanan mereka dengan menggunakan aplikasi PLUS bagi mendapatkan maklumat trafik terkini.

    “Pengguna juga diingatkan supaya mematuhi semua papan tanda dan arahan yang dikeluarkan oleh petugas PLUS ketika melalui kawasan kerja-kerja pembinaan tersebut,” kata PLUS.

    Untuk maklumat trafik semasa dan bantuan, pengguna boleh merujuk kepada Pembantu Maya PUTRI, aplikasi X@plustrafik atau paparan mesej elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih, atau menghubungi talian PLUSLine di 1800-88-0000 sekiranya berlaku kecemasan.

     
     
  • Subaru Forester menangi Kereta Tahunan Jepun 2025-2026 – tewaskan Honda Prelude, Toyota Crown Estate

    Subaru Forester menangi Kereta Tahunan Jepun 2025-2026 – tewaskan Honda Prelude, Toyota Crown Estate

    Subaru Forester generasi ke-enam telah dinobatkan sebagai pemenang keseluruhan bagi Kereta Tahunan Jepun (JCOTY) 2025-2026 selepas menerima sejumlah 1,149 mata dari panel juri. SUV berkenaan berjaya menewaskan pencabar terdekatnya iaitu Honda Prelude yang berada di tangga kedua dengan 1,076 mata dan Toyota Crown Estate di kedudukan ketiga menerima 654 mata.

    Forester baharu ini telah pun dilancarkan di Malaysia pada hujung Oktober lalu, dan kita hanya menerima penjana kuasa naturally-aspirated sahaja. Di Jepun, Forester turut ditawarkan dengan enjin hibrid.

    Model lain yang turut berada dalam senarai 10 teratas termasuklah Nissan Leaf generasi ketiga (622 mata), Volkswagen ID.Buzz (578 mata), Hyundai Inster (477 mata), BMW 2 Series Gran Coupe generasi kedua (416 mata), Peugeot 3008 generasi ketiga (393 mata), Suzuki eVitara (357 mata) dan Daihatsu Move generasi ketujuh (338 mata).

    Walaupun ID.Buzz terlepas daripada memenangi anugerah utama, van elektrik itu berjaya meraih dua anugerah tersendiri, termasuk Kereta Import Jepun Terbaik dan Kereta Rekaan Terbaik Tahun Ini. Bagi anugerah yang terakhir itu, antara finalisnya ialah 3008, Prelude, Inster, Cadillac Lyriq, Leaf, BYD Sealion 7, Crown Estate, Alfa Romeo Junior dan e Vitara.

    Satu lagi pemenang dalam edisi ke-46 penganjuran anugerah tersebut ialah Porsche 911 GTS generasi 992.2, dengan sistem T-Hybrid pada kereta itu mengagumkan para juri kerana keupayaannya meningkatkan prestasi melalui elektrifikasi tanpa menjejaskan daya tarikan pemanduan. 911 GTS menewaskan Leaf, Prelude, Forester, Lyriq, Audi A6 e-tron, Honda N-One e:, Sealion 7, Mercedes-AMG GT dan eVitara untuk merebut anugerah tersebut.

     
     
  • GR GT didedahkan – kereta sport flagship Toyota dengan enjin V8 4.0L Hybrid, 650 PS/850 Nm!

    GR GT didedahkan – kereta sport flagship Toyota dengan enjin V8 4.0L Hybrid, 650 PS/850 Nm!

    Toyota hari ini mendedahkan sebuah kereta sport flagship yang digelar sebagai GR GT – ya, kereta ini bukan sahaja dibina sebagai kereta sport paling berkuasa jenama tersebut, malah ia tidak dilekatkan dengan sebarang logo Toyota, sebaliknya menjadi produk terus dibawah jenama sayap perlumbaannya iaitu Gazoo Racing.

    Turut didedahkan bersama model ini adalah versi perlumbaan sebenar yang dihomologasikan dalam spesifikasi FIA GT3, seolah-olah model produksi jalan raya tersebut wujud kerana Toyota mahu menghasilkan sebuah jentera lumba GT3 yang boleh digunakan dalam siri perlumbaan WEC, di mana buat masa sekarang Toyota hanya mempunyai jentera kelas tertinggi Le mans Hypercar (LMH).

    Jadi rupa asasnya juga jelas kelihatan seperti kereta lumba GT dengan badan yang rendah, muncung yang panjang serta bahagian but belakang direka pendek. Setiap liang udara pada bampar hadapan dan juga penutup bonet bukan sekadar untuk estetik, bahkan ia berfungsi untuk ‘mangaut’ udara segar dan sejuk dari bahagian hadapan dan kemudian mengeluarkan udara panas dari ruang enjin.

    GR GT didedahkan – kereta sport flagship Toyota dengan enjin V8 4.0L Hybrid, 650 PS/850 Nm!

    Ia digerakkan dengan enjin V8 4.0 liter yang disuap oleh dua pengecas turbo serta dibantu oleh sistem hibrid elektrik. Enjin tersebut direka dengan strok yang pendek dan juga konfigurasi turbo jenis “hot-V”, dan model produksi jalan raya ini juga sudah dilengkapi dengan sistem pelinciran menampilkan takung minyak enjin jenis dry-sump bagi membolehkan enjin diletakkan lebih rendah, secara tidak langsung merendahkan titik graviti keseluruhan kereta ini.

    Enjin GR GT ini masih lagi terletak di hadapan, namun kotak gearnya berada pada gandar belakang di mana kedua-dua komponen ini digandingkan menerusi satu tiub tork yang diperbuat dari gentian karbon. Kotak gear lapan kelajuan automatik tersebut tidak mempunyai torque converter, sebaliknya tugas berkenaan digalas oleh set klac basah. Gandar belakang kereta ini turut dihuni oleh motor elektrik untuk sistem hibrid, dan tork antara roda belakang kiri dan kanan diagih menerusi unit LSD mekanikal.

    Secara keseluruhan unit rangkaian kuasa tersebut menghasilkan sekurang-kurangnya 650 PS dan tork 850 Nm, membolehkan GT ini mencapai kelajuan maksima 320 km/j. Dengan enjin V8 yang kompak, bahagian hud hadapan yang panjang pada kereta ini membolehkan ia diguna untuk meletakkan bateri hibrid, tangki bahan api dan pelbagai komponen lagi – hasilnya berat kereta ini dapat diagihkan 45% pada bahagian hadapan dan 55% pada bahagian belakang.

    GR GT didedahkan – kereta sport flagship Toyota dengan enjin V8 4.0L Hybrid, 650 PS/850 Nm!

    Kereta ini tidak dibina berdasarkan platform kereta produksi biasa, dan buat pertama kali Toyota menggunakan kerangka space frame yang dihasilkan dari material aluminium sepenuhnya. Casis ini turut menampilkan suspensi jenis double wishbone untuk keempat-empat sudut, serta menampilkan lengan-lengan suspensi yang diperbuat dari aluminium forged.

    Tidak cukup dengan itu, badan kereta sport ini juga dibina dari panel-panel yang diperbuat dari karbon dan juga plastik bagi membolehkan ia mencapai berat yang disasarkan pada 1,750 kg. Manakala untuk berhenti, GR GT ini datang dengan brek karbon seramik secara standard.

    Menurut Toyota, pembangunan GR GT ini turut melibatkan proses di mana para jurutera ‘membelasah’ kereta sport tersebut di litar ujian Shimoyama dan juga litar-litar lumba sebenar seperti di Fuji Speedway di Jepun dan Nürburgring di Jerman bagi mengesan kelemahannya, dan kemudian diperbaiki dan diperkuatkan lagi.

    Toyota juga turut menyatakan bahawa rekaan pada GR GT ini lebih mengutamakan aspek aerodinamik, dan elemen ‘cantik’ berada di tangga kedua. Jadi penghasilan rekaan luaran kereta turut dibantu oleh jurutera-jurutera aerodinamik yang membangunkan kereta lumba Toyota yang bertanding dalam perlumbaan WEC.

    Jadi setiap lengkuk dan setiap sirip pada panel badan kereta ini direka dengan mengambil kira faktor aerodinamik. Liang besar pada bahagian belakang fender hadapan misalnya, ia berfungsi untuk mengeluarkan gelora aliran udara yang terjadi di dalam ruang roda, manakala garis bahu badan GT ini berfungsi untuk mengalirkan udara ke bahagian spoiler belakang bagi memberikan lebih cengkaman pada jalan.

    Selain dari faktor aerodinamik, GT ini juga mampu melekat di atas permukaan jalan raya menerusi pemadanan set tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 yang membaluti rim aloi gergasi dengan diameter 20-inci.

    Bahagian kabin GR GT ini juga direka hampir kepada sebuah kereta lumba. Ia menampilkan papan pemuka yang ringkas, bersama konsol tengah yang tinggi bagi memudahkan suis-suis kawalan dicapai oleh pemandu. Roda stereng dengan rekaan rata di bawah diberikan bersama pedal penukar gear yang besar, juga dibuat bagi memudahkan capaian pemandu.

    Roda stereng berkenaan turut diberikan dua suis putar seperti pada model-model Mercedes-AMG, dengan masing-masing digunakan untuk larasan sistem kawalan kestabilan dan juga mod pemanduan. Ia juga menerima paparan instrumen digital sepenuhnya dengan rekaan grafik seperti sebuah kereta lumba sebenar, menampilkan takometer mendatar bersama bacaan kelajuan digital di atasnya serta penunjuk kedudukan gear yang besar di tengah.

    Ia masih diberikan skrin untuk sistem infotainmen yang diletakkan secara terapung di tengah papan pemuka bersama suis-suis kawalan pendingin hawa dalam kedudukan seperti kekunci piano. Imej seperti sebuah kereta lumba sebenar juga diserlahkan oleh tempat duduk perlumbaan gentian karbon dari Recaro.

    Walau bagaimanapun GR GT ini tidak akan berada dalam pasaran dalam masa terdekat. Menurut Toyota kereta sport ini hanya akan dilancarkan pada 2027 nanti.

     
     
  • Proton Persona akan dihentikan pengeluarannya pada 2026 – model akhir Campro diganti dengan S70 NA?

    Proton Persona akan dihentikan pengeluarannya pada 2026 – model akhir Campro diganti dengan S70 NA?

    Rasanya tidak ramai yang akan terkejut apabila mengatakan Proton Persona kini berada di penghujung hayatnya. Kembar tidak seirasnya, Proton Iriz, sudah pun dihentikan pengeluaran pada September lalu selepas 11 tahun berada di pasaran, sementara Persona sekarang pula sudah dilancarkan sejak 2016, menerima facelift pada 2019, dan kemas kini terakhir menyusul pada 2021 – menjadikannya hampir sedekad dalam pasaran.

    Sebab utama Persona dijangka tidak lagi meneruskan kelangsungan selepas tahun ini ialah ketiadaannya dalam sebarang pembentangan pelan masa depan Proton di acara Proton Tech Showcase yang bermula hari ini di Proton Centre of Excellence (COE), Shah Alam.

    Nama Persona tidak muncul dalam rancangan platform AMA, tidak juga dalam slaid siri X dan S, serta tidak disebut dalam strategi model GMA. Ketika sesi taklimat media, Proton menjelaskan perkembangan model-model masa hadapan bagi memasuki ‘era universiti’ syarikat mulai tahun 2025, namun Persona terus tidak kelihatan.

    Petanda lain bahawa sedan ini bakal bersara ialah pengumuman mengenai penggantian sepenuhnya enjin Campro VVT dan GEP3 dengan keluarga enjin i-GT menjelang 2026. Persona, bersama Iriz yang kini tidak lagi dikeluarkan, berkongsi enjin 1.6L VVT, sementara Iriz juga pernah ditawarkan dengan enjin 1.3L.

    Pengunduran Persona akan meninggalkan kekosongan antara Saga dalam kategori sedan segmen A dan S70 dalam sedan segmen C, baik dari segi saiz mahupun harga, memandangkan terdapat jurang RM25,000 antara varian tertinggi Saga dan varian asas S70.

    Timbul pula khabar angin bahawa Proton mungkin memperkenalkan S70 versi lebih mampu milik menggunakan enjin 1.5 liter NA – dan bukan turbo seperti sekarang – untuk mengisi kekosongan sedan segmen B tersebut. Ia mungkin kedengaran pelik, namun perlu diingat bahawa model asas S70, iaitu Geely Emgrand, memang menggunakan enjin 1.5L NA di beberapa pasaran lain.

    Bagi transmisi, Proton turut menyatakan sedang meneliti penggunaan CVT dengan torque converter. Ini menjadikan S70 versi bajet calon lebih sesuai berbanding Saga, yang baru sahaja menerima transmisi CVT Punch pada varian Premium.

    Segala petunjuk ini membawa kepada satu kesimpulan yang makin jelas: sudah tiba masanya kita mengucapkan selamat tinggal kepada Proton Persona.

    GALERI: Proton Persona 1.6 Premium 2022

     
     
  • Lexus LFA Concept didedah – model lagenda hidup semula sebagai EV, dibangunkan bersama GR GT

    Lexus LFA Concept didedah – model lagenda hidup semula sebagai EV, dibangunkan bersama GR GT

    Lexus menghidupkan semula nama LFA, namun buat masa ini hanya sebagai sebuah model konsep. Ia tampil bersama Toyota GR GT dan GR GT3, dan sebenarnya telah pun ditunjukkan lebih awal semasa acara The Quail, A Motorsport Gathering pada Ogos lalu di bawah nama Sport Concept. Walaupun begitu, pendedahan terbaru ini masih belum membawa kepada versi produksi seperti yang dijangkakan.

    Model LFA asal terkenal dengan enjin petrol 1LR-GUE V10 4.8 liter tanpa turbo yang dibangunkan bersama Yamaha, menghasilkan bunyi nyaring yang diingati peminat tegarnya. Namun, pengganti baru ini bukan sahaja tidak lagi menggunakan enjin V10 malahan tiada enjin pembakaran dalaman langsung. Ia digerakkan oleh kuasa elektrik sepenuhnya.

    Lexus masih belum mendedahkan butiran teknikal penuh, tetapi menjanjikan tahap prestasi pemanduan yang tinggi. Menurut syarikat itu, nama LFA kini mewakili model yang membawa warisan teknologi kejuruteraan generasi semasa dan seterusnya, tanpa terikat kepada enjin pembakaran.

    Lexus LFA Concept didedah – model lagenda hidup semula sebagai EV, dibangunkan bersama GR GT

    LFA Concept dibangunkan seiring dengan GR GT dan GR GT3, berkongsi struktur aluminium tegar serta jarak roda 2,725 mm. Ketiga-tiganya turut menampilkan bentuk hampir sama dengan bonet panjang dan bahagian belakang pendek. Namun, LFA Concept lebih kompak dengan ukuran panjang 4,690 mm, lebar 2,040 mm dan tinggi 1,195 mm.

    Asas struktur yang kukuh dan pusat graviti rendah adalah dua daripada tiga elemen pendekatan pembangunan Toyota yang digelar ‘Shinkinen Sengu’, manakala satu lagi memberi tumpuan kepada kecekapan aerodinamik. Lexus menjelaskan bahawa rekaan konsep ini menggabungkan aliran udara efisien dengan gaya kemas, termasuk ciri yang mengingatkan semula kepada LFA asal seperti bonet berliang dan saluran udara pada bahagian buttress.

    Bahagian dalaman turut diberikan perhatian besar, dengan fokus kepada suasana kokpit yang memberi rasa keterlibatan penuh kepada pemandu. Kedudukan pemanduan direka agar memberikan keselesaan dan kawalan terbaik. Walaupun versi produksi nanti munckin berbeza, konsep asasnya tetap meletakkan pemandu sebagai pusat pengalaman.

    Stereng gaya ‘yoke’ direka supaya pemandu tidak perlu mengubah genggaman ketika membelok, manakala paparan besar di hadapan dipadankan dengan butang kawalan yang mudah dicapai. Suis jenis putar untuk penukaran gear terletak di sebelah kanan, manakala dua butang berbentuk pedal untuk mod ‘F-Mode’ dan ‘Custom’ membolehkan penukaran mod pemanduan dengan cepat. Pilihan untuk mengubah tetapan boost dan brek turut menunjukkan tahap fleksibiliti sistem penggerak elektriknya.

    Sebagai sebuah model konsep, masih terlalu awal untuk menjangkakan bila LFA serba baru akan memasuki fasa produksi, terutama dengan fokus yang kini diberikan kepada penghantaran GR GT. Namun jika perkembangan berjalan lancar, mungkin kita akan dapat melihat versi produksi LFA yang sebenar dalam masa terdekat.

     
     
  • Nissan Serena e-Power dipertonton di Malaysia – penggerak hibrid dengan enjin 1.4L, lancar Q1 2026

    Nissan Serena e-Power dipertonton di Malaysia – penggerak hibrid dengan enjin 1.4L, lancar Q1 2026

    Lama ditunggu, akhirnya Nissan Serena generasi keenam kini bersedia untuk dilancarkan di Malaysia. Model C28 ini, yang pertama kali didedahkan kepada dunia pada November 2022, telah beberapa kali dikesan menjalani ujian di jalan raya tempatan sejak Mac 2023 dan sekali lagi pada November lalu. Hari ini, pratonton rasmi pertama dibuat, bagi MPV baru ini, yang bakal menggantikan Serena C27 yang sudah berada di pasaran sejak 2018 dan menerima facelift pada pertengahan 2022.

    Menurut Edaran Tan Chong Motor (ETCM), maklumat mengenai Serena C28 akan didedahkan secara berperingkat. Buat masa ini, hanya reka bentuk luaran dan perincian trenkuasa yang dibenarkan untuk dikongsi. Spesifikasi dalaman serta senarai kelengkapan masih disimpan dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

    Unit yang dipamer ini merupakan kenderaan percubaan produksi dari kilang Tan Chong Motor Holdings (TCMH) di Serendah, Selangor. Kemudahan yang sebelum ini memasang Serena C27 untuk pasaran tempatan dan eksport ke Thailand bakal beralih sepenuhnya kepada pemasangan Serena C28.

    Nissan Serena e-Power dipertonton di Malaysia – penggerak hibrid dengan enjin 1.4L, lancar Q1 2026

    Perkara ini penting kerana model baru ini akan ditawarkan dengan sistem hibrid e-Power, menjadikannya model e-Power pertama yang dipasang di Malaysia. Berbeza dengan Nissan Kicks e-Power yang pernah dilancarkan sebelum ini dan diimport sepenuhnya dari Thailand, Serena C28 membawa teknologi yang sama tetapi dipasang secara CKD.

    ETCM meletakkan sasaran melancarkan Serena C28 e-Power antara Februari ke Mac tahun depan. Harga anggaran hanya akan diumumkan lebih hampir kepada tarikh pelancaran. Sebagai rujukan, Serena C27 facelift kini dijual pada harga RM149,888 bagi varian Highway Star dan RM163,888 untuk Premium Highway Star Package.

    Perubahan terbesar Serena generasi baru ini terletak pada sistem e-Power. Ia menggabungkan enjin petrol HR14DDe 1.4 liter tiga silinder NA berkuasa 98 PS dan 123 Nm, yang berfungsi sepenuhnya sebagai penjana tenaga untuk bateri lithium-ion 1.77 kWh yang ditempatkan di bawah lantai antara tempat duduk hadapan.

    Nissan Serena e-Power dipertonton di Malaysia – penggerak hibrid dengan enjin 1.4L, lancar Q1 2026

    Bateri ini membekalkan kuasa kepada motor elektrik berkuasa 163 PS dan tork 315 Nm, yang memacu roda hadapan. Tiada sambungan mekanikal antara enjin dan roda, maka tiada keperluan untuk transmisi.

    Jika dibandingkan dengan Serena C27 yang menggunakan enjin 2.0 liter MR20DD dan sistem S-Hybrid, Serena C28 menawarkan pengalaman pemanduan lebih mirip EV dengan tork segera dan pecutan lebih responsif, tanpa kebimbangan mengenai jarak perjalanan atau proses pengecasan.

    Selagi tangki 52 liter berisi petrol, enjin akan terus menjana elektrik untuk bateri. Mereka yang kurang gemar rasa tarikan seperti getah pada transmisi CVT juga mungkin akan lebih menyukai sistem ini.

    Nissan Serena e-Power dipertonton di Malaysia – penggerak hibrid dengan enjin 1.4L, lancar Q1 2026

    Sistem e-Power pernah ditawarkan pada Serena C27 di pasaran luar tetapi tidak dibawa masuk ke Malaysia. Untuk generasi C28, Nissan telah menaik taraf output enjin serta motor elektrik. Sebagai perbandingan, e-Power pada Kicks menggunakan bateri 2.06 kWh, motor 129 PS/280 Nm dan enjin 1.2 liter tiga silinder berkuasa 82 PS.

    Dari segi reka bentuk, Serena C28 masih mengekalkan identiti model sebelumnya tetapi dengan gaya lebih moden. Gril V-motion kini mempunyai susunan palang menegak dalam kemasan hitam atau krom dan diintegrasikan kemas bersama lampu utama LED projektor tiga elemen.

    Bahagian bampar hadapan turut menerima lampu kabus LED bersaiz kecil dan liang sisi yang kini berfungsi sebagai tirai udara. Di belakang, lampu belakang berbentuk boomerang direka lebih nipis, manakala tailgate direka semula dengan logo Nissan dan tulisan “Serena” lebih rapat. Kemasan ruang plat pendaftaran juga diperkecilkan, bersama lampu kabus belakang LED di sisi kanan.

    Dari sisi, bentuk keseluruhan Serena masih dikenali dengan garis tingkap yang berlekuk, namun garisan karakter yang sebelum ini bermula dari lampu hadapan dan menghala ke rel pintu gelungsur telah digantikan dengan garisan lurus yang bermula dari bampar depan. MPV ini dipadankan dengan rim 16 inci bersama tayar 205/65.

    Dimensi rasmi belum didedahkan untuk Malaysia, tetapi model yang dijual di Indonesia berukuran 4,765 mm panjang, 1,715 mm lebar, 1,885 mm tinggi dan jarak roda 2,870 mm. Ini tidak jauh berbeza berbanding Serena C27 yang sedikit lebih panjang dan lebar bergantung pada reka bentuk muka hadapannya.

    Bahagian dalaman masih belum boleh diperkatakan buat masa ini, namun berdasarkan pendedahan global sebelum ini, peminat MPV ini mungkin sudah mempunyai gambaran awal tentang susun atur kabinnya.

     
     
  • Enjin Proton i-GT 1.5L – kandungan tempatan capai 54% untuk versi NA dan 45% untuk versi turbo

    Enjin Proton i-GT 1.5L – kandungan tempatan capai 54% untuk versi NA dan 45% untuk versi turbo

    Bukan lagi rahsia, Proton kini sedang dalam usaha untuk menyelaraskan agar semua model-modelnya untuk menggunakan hanya satu jenis enjin iaitu siri enjin yang dikenali sebagai i-GT bagi menggantikan bukan sahaja barisan enjin Campro, malah enjin GEP3 1.5 liter tiga-silinder turbo.

    Enjin dari keluarga dengan kod BHE15 berkenaan bukan sahaja melenyapkan kegusaran pelanggan sebelum ini kerana ia dihasilkan dengan konfigurasi empat-silinder sebaris, serta menggunakan mekanisma timing chain bagi menggantikan timing belt untuk menggerakkan aci sesondol, malah enjin ini juga jauh lebih modular dan boleh digunakan dalam pelbagai aplikasi untuk disesuaikan pada apa jua model – ia hadir dalam versi NA dan turbo, sistem suntikan bahan api terus (GDI) dan port (PFI), serta turut boleh disesuaikan dengan pelbagai sistem hibrid elektrik.

    Enjin ini dibangunkan oleh Aurobay (kini merupakan divisi di bawah Horse Powertrain) yang berpangkalan di Sweden. Namun khas untuk model-model Proton, ia dapat dipasang secara eksklusif menerusi kilang rangkaian kuasa Proton yang terletak di Tanjung Malim, Perak, Malaysia.

    Ketika berlangsungnya Proton Tech Showcase di Pusat Kecemerlangan Proton (CoE) di Subang Jaya semalam, Proton menyatakan bahawa buat masa sekarang enjin i-GT dalam versi turbo kini mempunyai 45% komponen yang dibuat secara tempatan di Malaysia, manakala versi NA pula mempunyai 54% kandungan tempatan.

    Ketika ditanya adakah kandungan tempatan tersebut akan diperbanyakkan lagi, wakil Proton yang menjawab menyatakan bahawa keputusan tersebut hanya boleh dibuat oleh pengurusan syarikat, namun tahap kandungan tempatan pada enjin tersebut buat masa sekarang sudahpun lebih tinggi dari apa yang disyaratkan oleh kerajaan.

    Bagi versi NA yang kini boleh dijumpai dalam perut Proton Saga MC3, ia menghasilkan kuasa 120 Nm dan tork maksima 150 Nm, iaitu angka yang lebih baik berbanding enjin Campro 1.6 liter VVT yang masih menggerakkan Proton Persona menjana 108 PS/150 Nm. Menurut Proton lagi, enjin baharu ini bukan sahaja lebih berkuasa, malah penggunaan bahan apinya juga adalah 18% lebih jimat berbanding enjin Campro 1.3L VVT.

    Manakala untuk enjin i-GT dalam versi turbo dengan sistem suntikan bahan api terus pula, ia tampil buat kali pertama menerusi X50 facelift 2025 yang dilancarkan pada Julai lalu, dan selepas ini sah akan dipadankan pada XC70 MC3, X90 MC dan juga S70 MC.

    Ia menghasilkan kuasa 181 PS dan tork maksima 290 Nm dan dipadankan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan, membolehkan X50 facelift memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.6 saat. Proton mendakwa penggunaan bahan api enjin turbo baharu ini juga lebih rendah, iaitu 4.7% lebih jimat berbanding enjin 1.5L turbo-tiga selinder sebelum ini.

     
     
  • Negara jimat RM2.5b-RM4b setahun susulan pelaksanaan rasionalisasi RON95 – Anwar Ibrahim

    Negara jimat RM2.5b-RM4b setahun susulan pelaksanaan rasionalisasi RON95 – Anwar Ibrahim

    Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa kerajaan dijangka dapat menjana penjimatan sekitar RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun berdasarkan data penggunaan domestik serta andaian bahawa sekitar 20% daripada jumlah penggunaan RON95 pada masa ini melibatkan pengguna yang tidak layak menerima subsidi.

    Jelasnya, julat penjimatan tersebut mengambil kira pelbagai senario harga minyak mentah global, iaitu antara USD60 hingga USD80 setong, serta pelaksanaan penghapusan subsidi ke atas segmen yang tidak disasarkan seperti warga asing dan pengguna komersial.

    “Semasa menangani ketirisan subsidi, pendekatan kerajaan secara penyasaran subsidi mempunyai kelebihan tidak menyebabkan peningkatan kadar inflasi yang mendadak berbanding dengan pendekatan untuk menaikkan harga RON95 kepada harga pasaran untuk semua. Dengan pendekatan penyasaran subsidi, kadar inflasi dijangka kekal di bawah kadar 2% untuk 2025 dan 2026.

    “Di samping itu, penyasaran subsidi juga membantu dari segi kos sara hidup untuk menampung tahap kegunaan RON95 yang berbeza di kalangan rakyat disebabkan antara lain kerana rakyat mempunyai jarak berbeza di antara tempat tinggal dan tempat bekerja,” katanya.

    Negara jimat RM2.5b-RM4b setahun susulan pelaksanaan rasionalisasi RON95 – Anwar Ibrahim

    Kenyataan ini dikeluarkan bagi menjawab soalan Datuk Seri Rafizi Ramli (PH-Pandan) mengenai anggaran penjimatan kos sistem dan belanja pelaksanaan tahunan susulan pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 menerusi jawapan bertulis di laman web rasmi Parlimen.

    Tambahnya, kerajaan sentiasa komited untuk mengamalkan pendekatan fiskal yang berhemah dan bertanggungjawab. Pelaksanaan penyasaran subsidi bukanlah langkah yang akan menambah hutang negara.

    Sebaliknya, beliau berkata, ia merupakan strategi penting bagi mengurangkan liabiliti jangka panjang, menstabilkan kedudukan fiskal negara serta mengukuhkan keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi Malaysia.

    “Penjimatan melalui penyasaran subsidi ini akan dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat dan pembiayaan pembangunan kemudahan pendidikan, kesihatan serta pengangkutan awam negara,” katanya.

     
     
  • Honda CR-V Dual-Tone Edition – versi bumbung hitam sempena ulang tahun ke-25 di M’sia, 300 unit sahaja

    Honda CR-V Dual-Tone Edition – versi bumbung hitam sempena ulang tahun ke-25 di M’sia, 300 unit sahaja

    Bulan lalu, Honda Malaysia telah mengumumkan pengenalan CR-V Dual-Tone Edition, yang dikeluarkan terhad 300 unit sahaja, sempena dengan ulang tahun ke-25 syarikat berkenaan di Malaysia.

    Seperti mana namanya, model generasi ke-enam ini, yang merupakan SUV segmen-C paling laris di Malaysia, telah diberikan dua warna untuk luaran iaitu dengan bumbung hitam, bersama tiang-A dan perumah cermin sisi dengan rona yang sama. Ini merupakan buat pertama kalinya CR-V diberikan gabungan warna sebegini di pasaran Malaysia.

    Dua warna luaran utama tersedia untuk bumbung istimewa hitam ini, iaitu Ignite Red Metallic dan Platinum White Pearl. Pembeli boleh memilih daripada dua varian SUV untuk edisi ini, iaitu gred E dan V AWD, yang kedua ialah versi yang dilihat dalam gambar-gambar ini.

    Selain warna bumbung, tiada lagi perubahan mekanikal atau spesifikasi, dan ia masih kekal dijanakan oleh enjin L15BE 1.5L VTEC turbo empat-silinder yang menawarkan 193 PS (190 hp) pada 6,000 rpm dan 243 Nm dari 1,700 hingga 5,000 rpm. Ciri kelengkapan lain juga masih dikekalkan seperti sebelum ini.

    Apa yang lebih menarik ialah pilihan dua tona ini tidak memerlukan sebarang kos tambahan, dengan E kekal berharga RM169,900 dan harga V pula RM181,900, kedua-duanya harga atas jalan tanpa insurans. Jadi, jika anda ingin memiliki CR-V anda dalam skema warna dua tona dari awal, inilah pilihan dan masa terbaik. Cepat tau… ada 300 unit sahaja.

     
     
  • Projek baikpulih infrastruktur termasuk jalan raya rosak akibat Monsun Timur Laut perlu kos RM327.8j

    Projek baikpulih infrastruktur termasuk jalan raya rosak akibat Monsun Timur Laut perlu kos RM327.8j

    Menteri Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, memaklumkan RM327.8 juta diperlukan untuk membaiki infrastruktur termasuk jalan raya yang alami kerosakan akibat Monsun Timur Laut (MTL) yang sedang melanda seluruh negara, laporan Berita Harian

    Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak RM225.9 juta membabitkan kerosakan jalan berturap manakala RM47.4 juta lagi bagi jalan tidak berturap serta kawasan cerun pula mencecah RM54.5 juta.

    “Angka ini berdasarkan laporan semasa, manakala kerosakan baharu dilaporkan hampir setiap hari susulan hujan lebat berterusan. Tindakan pertama ialah menyiasat jenis dan bentuk kerosakan, selepas itu, kita akan pastikan kita dapat menganggarkan berapa kos diperlukan untuk membaiki atau memulihkannya,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Kad Hijau CID semalam.

    Menurutnya, semua kerosakan aset awam seperti jalan dan infrastruktur berkaitan dipantau melalui Bilik Gerakan Bencana KKR atau ‘Big Ben’ yang kini beroperasi 24 jam memandangkan kekerapan insiden di seluruh negara.

    Tambah beliau, kementerian mempunyai peruntukan sedia ada untuk kerja pembaikan segera, namun permohonan tambahan akan dikemukakan jika diperlukan.

    Berkenaan dengan peruntukkan yang disediakan kerajaan dalam menghadapi bencana kali ini, Alexander menjelaskan peruntukan RM500 juta yang diumumkan untuk impak monsun adalah bagi pengurusan bencana secara keseluruhan dan akan diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), bukannya disalurkan sepenuhnya kepada KKR.

    “Sudah pasti kementerian masih mempunyai peruntukan bagi kerja pembaikan ketika ini, namun bergantung kepada tahap impak Monsun Timur Laut itu sendiri. Setakat ini cuaca masih terkawal dan tidak seteruk tahun lalu yang menyebabkan kerosakan besar, tetapi kita berharap situasi semasa tidak bertambah buruk,” katanya.

     
     
  • Proton Saga Cross bakal diperkenal dengan hanya pilihan enjin 1.5 liter 4-silinder NA dan kotak gear 4AT?

    Proton Saga Cross bakal diperkenal dengan hanya pilihan enjin 1.5 liter 4-silinder NA dan kotak gear 4AT?

    Lakaran digital Proton Saga Cross oleh Theophilus Chin

    Banyak yang Proton dedahkan berkenaan platform AMA dan model-model akan datang yang akan diasaskan platform tersebut ketika majlis pembukaan acara Proton Tech Showcase berlangsung di Pusat Kecemerlangan Proton (CoE) di Subang Jaya semalam.

    Selepas Saga MC3, akan ada tiga model lagi disahkan akan dibina menerusi platform tersebut yang setakat ini hanya dikenali sebagai AMA02, AMA05 dan AMA06. Proton menyatakan antara tiga model tersebut, ia akan tampil sebagai SUV dan juga MPV. Tetapi apa yang menarik, ketika pembentangan berkenaan enjin 1.5L empat-silinder i-GT, Proton ada mendedahkan sedikit pembayang berkenaan salah satu SUV yang akan diasaskan dari platform AMA tersebut.

    Pembayang berkenaan ditemui pada slaid barisan keluarga enjin 1.5L i-GT, di mana selepas Saga MC3, enjin dalam varian NA dengan sistem suntikan bahan api pada port kemasukan (PFI) tetapi bukan untuk sokongan kepada sistem plug-in hybrid (PHEV) tersebut akan disumbat ke dalam perut sebuah model SUV baharu.

    Proton Saga Cross bakal diperkenal dengan hanya pilihan enjin 1.5 liter 4-silinder NA dan kotak gear 4AT?

    Tidak seperti Saga MC3 di mana ia datang dengan pilihan kotak gear sama ada CVT atau empat-kelajuan konvensional 4AT, unit rangkaian kuasa yang bakal dimuatkan pada SUV baharu tersebut hanyalah transmisi 4AT.

    Maklumat-maklumat yang didedahkan ini seakan menguatkan khabar angin yang bertiup sebelum ini bahawa model dengan kod AMA02 yang akan diperkenalkan oleh Proton selepas ini adalah SUV kompak yang akan dikenali dengan nama Proton Saga Cross. Jadi sekiranya model ini benar-benar dijelmakan kelak, ia akan dijana oleh enjin 1.5 liter empat-silinder NA berkuasa 120 PS dan tork maksima 150 Nm serta hanya hadir dengan kotak gear 4AT dari Aisin.

    Berdasarkan perincian-perincian yang telah diberikan pada Saga MC3, tak mustahil Saga Cross ini juga mungkin akan hadir dengan kelengkapan keselamatan yang merangkumi enam-beg udara dan juga pelbagai fungsi sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS).

    Dengan kelengkapan dan perincian yang ditawarkan tersebut, mungkin Proton mensasarkan Saga Cross ini untuk ‘mengambil’ sedikit bahagian pasaran yang kini sedang dinikmati oleh Perodua Ativa?

     
     
  • Proton eMas 7 PHEV buat kemunculan sulung; masih dengan pelekat penyamaran, bermula RM130k?

    Proton eMas 7 PHEV buat kemunculan sulung; masih dengan pelekat penyamaran, bermula RM130k?

    Seperti dijanjikan oleh teaser yang disiarkan oleh Proton tempoh hari, Proton hari ini sempena acara Proton Tech Showcase di CoE Subang Jaya, buat pertama kalinya mendedahkan SUV eMas 7 yang datang dengan enjin pembakaran dalaman – ini dia Proton eMas 7 PHEV!

    Seperti biasa, unit yang didedahkan secara rasmi buat pertama kali ini masih dibalut dengan pelekat penyamaran. Namun ia nampak seperti sudah siap sedia untuk diproduksi kerana telah siap dalam versi pemanduan sebelah kanan (RHD), serta cermin belakang dengan cop jenama Proton. Jadi boleh diagak, pelancarannya mungkin akan dibuat seawal tahun hadapan. Walau bagaimanapun pada cermin hadapan, ia masih sama dengan eMas 7 EV di mana ia masih diberikan cop jenama Geely bersama grafik Bandar Hangzhou.

    Proton eMas 7 PHEV ini sebenarnya diasaskan dari Geely Starship 7 di China atau Geely Starray EM-i pada pasaran eksport, yang merupakan versi PHEV bagi Geely Galaxy E5/EX5 dan Proton eMas 7. Pada sebelah luar, Starship 7 tampil dengan beberapa perincian berbeza berbanding EX5 termasuk lampu dan juga bampar hadapan. Ia juga menampilkan pembuka pintu konvensional (tenggelam pada EX5/eMas 7) dan juga perumah nombor pendaftaran belakang yang dialih dari bampar ke pintu tailgate.

    Proton eMas 7 PHEV buat kemunculan sulung; masih dengan pelekat penyamaran, bermula RM130k?

    Dan untuk Proton eMas 7 PHEV ini, ia menerapkan semua rekaan dari Geely Starship 7, kecuali logo dan skrip Geely ditukar kepada Proton. Bagi unit rangkaian kuasa, ia akan digerakkan oleh unit rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV) EM-i (E-Motive Intelligence). Jadi ia bukan hanya digerakkan oleh enjin petrol, tetapi ia turut disokong oleh motor elektrik dengan bateri yang boleh dicas semula seperti sebuah EV sebenar.

    Enjin petrol yang digunakan bagi unit rangkaian kuasa ini adalah sama seperti enjin yang disumbat pada Proton Saga MC3, iaitu enjin BHE15PFI 1.5 liter empat-silinder tanpa turbo dan hanya diberikan sistem suntikan bahan api pada port kemasukan.

    Sesuai dengan tugasnya sebagai enjin sokongan pada sistem plug-in hybrid, enjin BHE15PFI pada eMas 7 PHEV ini menerima injap EGR, serta hanya diberikan sistem injap bervariasi (VVT) tunggal dan ia berfungsi dengan kitaran Atkinson sepenuh masa, berbanding enjin pada Saga MC3 yang menerima sistem Dual VVT dan kitaran Atkinson hanya berfungsi ketika beban rendah. Oleh itu kuasa yang dihasilkan hanyalah 99 PS dan tork maksima 125 Nm, berbanding Saga yang ditala bagi menghasilkan kuasa 120 PS/150 Nm.

    Proton eMas 7 PHEV buat kemunculan sulung; masih dengan pelekat penyamaran, bermula RM130k?

    Unit rangkaian kuasa berkenaan turut dipamerkan di acara Proton Tech Showcase ini. Diberi kod P145, dapat dilihat enjin berkenaan turut tidak menggunakan tali sawat kerana pemampat sistem pendingin hawa beroperasi dengan kuasa elektrik dan ia tidak mempunyai alternator kerana bateri 12V menerima pengecasan semula dari penukar DC-DC. Ini secara langsung mengurangkan kehilangan kuasa parasit seterusnya meningkatkan kadar efisien enjin.

    Wakil Geely yang turut datang ke acara Proton Tech Showcase ini mendakwa bahawa enjin tersebut mencapai keberkesanan haba terbaik di dunia pada kadar 47.26%. Ia dicapai menerusi pembakaran yang sangat efisien di mana campuran udara dan bahan api terbakar 20% lebih pantas di dalam kebuk, nisbah balikan (tumble ratio) meningkat sebanyak 21% dan tenaga kinetic adalah 44% lebih baik.

    Enjin ini dipadankan dengan kotak gear khas hibrid (DHT) kelajuan tunggal yang turut mempakejkan motor elektrik 12-dalam-1 berkuasa 218 PS dan tork maksima 262 Nm. Dalam kebanyakkan masa motor ini akan menggerakkan sepenuhnya roda hadapan, sementara enjin yang begitu efisien yang dibekalkan berfungsi hanya untuk mengecas bateri litium logam fosfat (LFP) bilah pendek keluaran Aegis berkapasiti 18.4 kWj (19.09 kWj untuk pasaran China).

    Proton eMas 7 PHEV buat kemunculan sulung; masih dengan pelekat penyamaran, bermula RM130k?

    Namun pada situasi tertentu, enjin petrol tersebut turut akan membantu untuk memacu roda bagi meningkatkan keberkesanan penggunaan bahan api. Padanan ini secara keseluruhan membolehkan badan SUV yang dibawa untuk memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8 saat, serta jarak gerak dengan satu tangki petrol dan satu cas bateri dapat dicapai sejauh 1,065 km, dakwa Proton dalam pembentangan yang dibuat hari ini.

    Semakan yang kami buat, Geely Starray EM-i pasaran Australia mendakwa ia boleh bergerak sejauh 83 km dengan kuasa elektrik sepenuhnya dan jarak gerak keseluruhan 943 km yang diuji dalam kitaran WLTP.

    Ketika acara ini berlangsung, Proton turut menjalankan tinjauan terhadap pemilik-pemilik X50 terpilih berkenaan eMas 7 PHEV ini. Dalam borang soal selidik tinjauan yang dibuat tersebut turut terdapat pertanyaan terhadap pemilik-pemilik berkenaan adakah mereka akan mempertimbangkan eMas 7 PHEV ini sekiranya ia dijual pada harga sekitar RM20k hingga RM30k lebih mahal berbanding X50.

    Proton eMas 7 PHEV buat kemunculan sulung; masih dengan pelekat penyamaran, bermula RM130k?

    Proton X50 facelift baru sahaja dilancarkan pada Julai lalu, dijual pada harga bermula RM85,800 hingga RM109,300 untuk varian tertinggi Flagship. Jadi ada kemungkinan eMas 7 PHEV akan dijual pada harga bermula sekitar RM130k hingga RM140k.

    Harga tersebut dilihat lebih tinggi dari versi EV eMas 7 yang dijual pada harga RM110k hingga RM124k. Ini kerana kerajaan memberikan insentif pengecualian cukai untuk model-model EV, dan disebabkan ia dipasang secara tempatan (CKD) di Tanjong Malim, eMas 7 akan terus menerima manfaat tersebut sehingga tahun hadapan.

    Jadi persoalan untuk anda pula – adakah anda sanggup membayar lebih untuk model PHEV tanpa kegusaran jarak ini, atau memilih model EV penuh eMas 7 yang lebih murah?

     
     
  • Mercedes-Maybach S580 4Matic Night Series kini di Malaysia – tema gelap, harga bermula dari RM2.4 juta

    Mercedes-Maybach S580 4Matic Night Series kini di Malaysia – tema gelap, harga bermula dari RM2.4 juta

    Mercedes-Maybach S-Class kini hadir ke pasaran Malaysia dengan edisi baru Night Series, yang tampil lebih gelap dan eksklusif bersama trenkuasa S580 4Matic. Model istimewa ini dijual pada harga RM2,404,888 tanpa insurans, iaitu sekitar RM209,000 lebih tinggi berbanding Maybach S580 4Matic versi biasa yang bermula daripada RM2,195,888.

    Seperti namanya, S580 4Matic Night Series menampilkan kemasan shadow gloss gelap pada bahagian luaran, termasuk pada gril dan bampar depan, logo Mercedes, kemasan, pemegang pintu serta lencana Maybach pada tiang C. Kemasan hitam berkilat turut digunakan pada garisan tingkap, keliling tingkap, tiang B dan penutup cermin sisi, manakala muncung ekzos tampil dalam kemasan krom gelap dan hitam.

    Lampu utama Digital Light menerima sentuhan krom metalik gelap bersama elemen rose gold, sementara tepi pintu terdapat lampu dengan tulisan “Maybach Night Series” dan rim aloi 20 inci tujuh jejari dalam kombinasi hitam serta shadow gloss menjadi tarikan tambahan. Kunci pintar juga diserikan dengan warna hitam berkilat bersama bingkai shadow gloss.

    Mercedes-Maybach S580 4Matic Night Series kini di Malaysia – tema gelap, harga bermula dari RM2.4 juta

    Pembeli boleh memilih pelbagai warna luaran, termasuk pelbagai tona kelabu, hitam dan putih. Bagi mereka yang mahukan sesuatu lebih menonjol, pilihan dua tona juga ditawarkan seperti onyx black/Mojave silver dan Manufaktur opalite white bright/obsidian black.

    Masuk ke kabin, suasana mewah diteruskan dengan balutan kulit Nappa dalam gabungan Black/Black Pearl bersama kemasan kelabu keemasan. Lampu suasana aktif hadir dengan tema ‘Garnet Glow’ yang memberikan suasana hangat dan moden, manakala panel kayu walnut gelap bertona matte dari katalog Manufaktur menampilkan corak herringbone.

    Konsol tengah pula dihiasi motif Maybach dan kemasan seakan kristal hitam, manakala corong pendingin hawa turut dipadankan dengan sentuhan shadow gloss. Pemilik Night Series juga akan disambut dengan animasi permulaan UI yang digambarkan sebagai “mistik”.

    Di bawah hud, trenkuasa S580 4Matic menampilkan enjin petrol 4.0 liter V8 biturbo dengan 503 PS dan 700 Nm, disokong sistem hibrid ringkas EQ Boost 48 volt yang menambah 23 PS dan 205 Nm. Dipadankan dengan transmisi automatik 9G-Tronic dan sistem pacuan semua roda 4Matic, model ini mampu memecut 0-100 km/j dalam 4.8 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 250 km/j. Turut melengkapi sistem mekanikalnya ialah stereng gandar belakang serta suspensi udara Airmatic dengan E-Active Body Control 48 volt untuk kestabilan maksimum.

    Senarai kelengkapan lain adalah sama seperti S580 4Matic standard, termasuk bumbung panoramik, tempat duduk hadapan dan belakang berpengudaraan, tempat duduk Multicontour, konfigurasi empat tempat duduk First-Class di belakang, karpet lantai tebal, kawalan suhu empat zon, skrin sentuh OLED 12.8 inci untuk MBUX, paparan digital 12.3 inci dengan efek 3D, bidai elektrik belakang, pengecas tanpa wayar Qi dan sistem hiburan belakang MBUX lengkap dengan skrin dan tablet.

    Tambahan nilai untuk edisi Night Series termasuk sistem audio Burmester 3D surround, yang merupakan pilihan tambahan untuk model standard. Aspek keselamatan terdiri daripada 14 beg udara, pakej Driving Assistance yang merangkumi AEB, adaptive cruise control, bantuan kekal lorong dan banyak lagi, selain sistem Pre-Safe dan Pre-Safe Impulse Side.

     
     
  • Proton AMA02, AMA05, AMA06 – model SUV, MPV dan hibrid baru guna platform modular, bawah RM80k?

    Proton AMA02, AMA05, AMA06 – model SUV, MPV dan hibrid baru guna platform modular, bawah RM80k?

    Selepas pelancaran Saga MC3 2026 yang dikenali secara dalaman sebagai AMA01, Proton kini mengesahkan hala tuju model-model baru yang akan dibangunkan menggunakan platform sama, Advanced Modular Architecture (AMA). Platform ini bakal menggantikan barisan model PIES – Persona, Iriz, Exora dan Saga generasi lama – dengan tiga model baru yang dirujuk sebagai AMA02, AMA05 dan AMA06.

    Melihat kepada pembentangan rasmi Proton, sebuah MPV hibrid dan dua SUV hibrid akan dihasilkan. Satu daripadanya dipercayai adalah eMas 7 PHEV yang bakal tiba, berdasarkan penggunaan transmisi DHT160. Dua model hibrid lain – satu SUV dan satu MPV – akan menggunakan transmisi DHT120 yang menawarkan kuasa lebih rendah.

    Menariknya, satu lagi slaid berkaitan AMA menyatakan sasaran Proton untuk menembusi segmen bawah RM80,000 dengan “siri kereta mampu milik nasional.” Jika semua model AMA benar-benar dipasarkan bawah harga tersebut, kedudukan Chery Tiggo Cross Hybrid sebagai hibrid paling murah di Malaysia pada harga RM89,000 mungkin akan tergugat.

    Proton AMA02, AMA05, AMA06 – model SUV, MPV dan hibrid baru guna platform modular, bawah RM80k?

    Dalam pada itu, Proton turut menunjukkan sebuah SUV baru bukan hibrid. Dalam pembentangan, kedudukannya yang diletakkan bersebelahan Saga memberi petunjuk bahawa model ini berasaskan Saga – menggunakan enjin 1.5 liter i-GT tanpa turbo bersama transmisi 4AT, bukannya CVT. Memandangkan platform AMA boleh diubah suai mengikut saiz, besar kemungkinan ini ialah SUV kecil saiz segmen A dengan asas casis daripada Saga.

    Untuk SUV seterusnya yang menggunakan transmisi DHT120, model ini dijangka menjadi SUV hibrid dengan output lebih rendah berbanding eMas 7 PHEV. Ia berpotensi menjadi versi hibrid kepada “Saga SUV” atau mungkin sebuah model baru bersaiz lebih besar — mungkin dalam kategori segmen B.

    Ini membawa kita kepada MPV AMA. Walaupun idea MPV berasaskan Saga boleh menimbulkan tanda tanya, kemampuan AMA untuk dipanjang atau dipendekkan membuka ruang kepada sebuah MPV keluarga bersaiz praktikal. Harapannya, model ini akan ditawarkan dalam dimensi yang sesuai untuk pasaran tempatan.

    Berdasarkan petunjuk yang ada, kemungkinan terbesar untuk AMA02, AMA05 dan AMA06 ialah sebuah SUV kecil, sebuah SUV yang sedikit lebih besar dan sebuah MPV. Persoalannya, ke mana hilangnya AMA03 dan AMA04? Spekulasi paling logik ialah salah satunya mungkin sebuah hatchback, manakala satu lagi mungkin diketepikan kerana faktor budaya dan nombor yang dianggap kurang bernasib baik.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026