Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • LRT3 Laluan Shah Alam dilanjut ujian kerana berhadapan 33 isu teknikal di peringkat akhir

    LRT3 Laluan Shah Alam dilanjut ujian kerana berhadapan 33 isu teknikal di peringkat akhir

    Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), dan Setia Utama LRT3 Sdn Bhd (SULRT3), selaku kontraktor utama projek LRT Laluan Shah Alam, memaklumkan bahawa projek tersebut kini berada dalam Fasa Pengujian dan Pentauliahan (Testing & Commissioning – T&C).

    Di mana fasa ini merangkumi beberapa komponen kritikal termasuk ujian percubaan (trial run), ujian larian tanpa gagal (fault-free run – FFR) dan operasi percubaan (trial operations), yang perlu dipenuhi sebelum semua dokumen teknikal dapat dikemukakan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk permohonan Lesen Pengendali Rel.

    “Pada masa ini, projek sedang berada dalam fasa FFR, iaitu ujian integrasi menyeluruh melibatkan sistem-sistem utama seperti sistem isyarat, komunikasi, set tren LRV (rolling stock) dan sistem kawalan.

    “Sepanjang FFR bermula pada 26 Ogos 2025, beberapa isu teknikal melibatkan aspek keselamatan, operasi dan prestasi telah dikenal pasti. Isu-isu ini memerlukan tindakan pembetulan oleh pihak terlibat termasuk kontraktor isyarat, kontraktor tren (LRV), dan SULRT3 sebelum sistem boleh diterima oleh Prasarana dan seterusnya melangkah ke fasa operasi percubaan,” kata Prasarana menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Jelasnya, bagi tren utama atau “Golden Train”, ujian FFR mensyaratkan pemanduan tanpa henti sejauh 4,000 km tanpa sebarang kegagalan. Bagi set tren lain dalam kumpulan yang sama, jarak ujian ditetapkan pada 3,000 km, manakala tren selebihnya perlu melengkapkan 2,500 km sebelum memperoleh kelulusan untuk operasi.

    “Untuk rekod, sebanyak 11 percubaan FFR telah dilaksanakan sebelum ini, namun, jarak perbatuan yang ditetapkan belum dapat dicapai berikutan beberapa isu teknikal yang dikenal pasti sepanjang proses tersebut. Dalam tempoh 2.5 bulan, pihak kontraktor telah mengenal pasti sebanyak 33 isu melibatkan ralat perisian serta gangguan sistem.

    “Antara isu tersebut adalah kegagalan tren berhenti di platform dengan tepat yang mengakibatkan pintu tren tidak berfungsi dengan sempurna, tren tidak dapat meneruskan perjalanan ke stesen berikutnya secara automatik dan pergerakan tren tidak mengikut kelajuan yang diprogramkan di dalam sistem dan terdapat pergerakan minima ketika tren dalam keadaan pegun,” katanya lagi.

    Tambah Prasarana, semua isu ini sedang dianalisis oleh pihak kontraktor, dan kerja-kerja penambahbaikan perisian sedang dijalankan bagi memastikan kestabilan, ketepatan, dan kebolehpercayaan sistem. Penambahbaikan serta pengesahan ini mesti diselesaikan sebelum langkah seterusnya dapat dilaksanakan.

    LRT3 Laluan Shah Alam dilanjut ujian kerana berhadapan 33 isu teknikal di peringkat akhir

    “Terdapat beberapa siri ujian dan fasa yang perlu dijalankan menjelang pembukaan operasi kepada orang ramai iaitu ujian larian percubaan, percubaan operasi, laporan jurutera bebas dan permohonan lesen layak operasi dari pihak berkuasa.

    “Prasarana ingin menegaskan bahawa tiada sebarang kompromi dalam aspek keselamatan, keandalan dan kestabilan sistem, selaras dengan piawaian ketat yang ditetapkan oleh APAD. Hanya setelah semua sistem berfungsi pada tahap optimum, dan semua isu diselesaikan, barulah laluan ini boleh dipertimbangkan untuk pengoperasian,” katanya sambil menambah semua kerja pembaikan dan penambahbaikan teknikal kini diberi keutamaan bagi memastikan Laluan Shah Alam benar-benar sedia, stabil dan selamat sebelum dibuka untuk orang ramai.

    Berkenaan dengan aspek operasi, Prasarana berkata kesiapsiagaan turut diperkukuh melalui tenaga kerja lebih 800 kakitangan yang telah melengkapkan semua latihan mandatori. Rapid Rail, sebagai operator Laluan Shah Alam, juga melaksanakan latihan lapangan (On-Job Training) dengan menempatkan petugas barisan hadapan di laluan rel sedia ada bagi memberikan pendedahan tambahan, khususnya dalam pengurusan orang ramai (crowd control).

    Bagi memastikan keupayaan operasi berada pada tahap terbaik, Latih Amal Pelan Tindakan Kecemasan telah dijalankan pada 12 November 2025. Latihan ini bertujuan menguji kecekapan operasi semasa situasi krisis dan memperkukuh koordinasi antara kakitangan stesen serta agensi penyelamat.

     
     
  • Leapmotor B10 EV dilancarkan di Malaysia – dua varian, 218 PS/240 Nm, hingga 434 km; dari RM99,800

    Leapmotor B10 EV dilancarkan di Malaysia – dua varian, 218 PS/240 Nm, hingga 434 km; dari RM99,800

    Setelah mengeluarkan teaser model baharu Leapmotor sejak sebulan yang lalu, pagi ini Stellantis Malaysia telah melancarkan SUV Crossover elektrik segmen-C B10. B10 ini merupakan model global ketiga diproduksi syarikat pengeluar kenderaan dari China ini selepas C10 dan T03 (yang tidak ditawarkan di Malaysia).

    Untuk pasaran Malaysia, ia ditawarkan dengan dua varian iaitu B10 Life dengan harga atas jalan bermula RM107,800, dan B10 Design pula berharga dari RM118,800. Namun sempena dengan pelancarannya, Stellantis Malaysia mengumumkan pemberian rebat istimewa untuk kedua-dua varian ini iaitu RM8,000 untuk B10 Life menjadikan harganya dari RM99,800 dan B10 Design pula menerima RM9,000 sekaligus berharga dari RM109,800. Walau bagaimana pun, rebat ini hanya untuk 200 pembeli pertama sahaja. Siapa cepat, dia dapat.

    Untuk kedua-dua varian B10 ini, kuasanya disalurkan dari motor elektrik belakang dengan output 218 PS (215 hp atau 160 kW) dan tork 240 Nm, membolehkan ia dipecut dari sifar ke 100 km/j dalam lapan saat dan kelajuan maksimum boleh dicapai hingga 170 km/j. Leapmotor turut menekankan prestasi senyap motor berpenyejuk minyak tujuh-dalam-satu (dengan tahap bunyi di bawah 76 dB(A) semasa operasi), ciri ringan (60 kg) serta kecekapan puncak 94% dalam memindahkan kuasa ke roda belakang yang memacu EV ini.

    Leapmotor B10 EV dilancarkan di Malaysia – dua varian, 218 PS/240 Nm, hingga 434 km; dari RM99,800

    Ia juga ditawarkan dengan bateri lithium iron phosphate (LFP) iaitu yang asas dijanakan unit 56.2 kWh yang mampu memberikan jarak gerak hingga 361 km mengikut kitaran WLTP, dan pek bateri besar berkapasiti 67.1 kWh dengan jarak gerak hingga 434 km. Mengikut angka prestasi, pecutan dari 0-100 km/j boleh dicapai dalam lapan saat, dengan kelajuan maksima mencecah 170 km/j. B10 diberikan sistem suspensi McPherson untuk hadapan dan Multi-Link di belakang serta cakera ventilasi untuk sistem brek.

    Dari segi pengecasan, pengeluar kenderaan ini menyatakan bahawa ia mengambil masa kira-kira 4.2 jam untuk mengecas bateri berkapasiti lebih kecil, atau 5.6 jam bagi bateri yang lebih besar melalui pengecasan AC, pada kadar maksimum 11 kW. Tempoh ini adalah sama seperti pesaing terdekatnya iaitu Proton eMas 7, namun lebih baik berbanding kadar maksimum 7 kW pada BYD Atto 3.

    Bagi pengecasan DC pula, B10 menyokong pengecasan pantas sehingga 140 kW untuk bateri 56.2 kWh dan 168 kW untuk unit 67.1 kWh, dengan kedua-duanya mengambil masa sekitar 20 minit untuk status pengecasan meningkat daripada 30% ke 80%. Dalam aspek ini, ia mengatasi eMas 7 (80 kW untuk varian Prime, 100 kW untuk Premium) dan Atto 3 (88 kW). Fungsi vehicle-to-load (V2L) turut didatangkan sebagai ciri standard, dengan kadar kuasa 3.3 kW.

    Dibangunkan di bawah platform Leap 3.5, B10 ini berukuran 4,515 mm panjang, 1,873 mm lebar dan 1,652 mm tinggi dengan jarak roda 2,735 mm dan jarak kelegaan tanah cecah 170 mm.

    B10 ini diberikan rekaan imej yang kemas dan bentuknya kelihatan lebih seimbang berbanding abangnya C10 yang merupakan SUV segmen-D. Walau bagaimana pun, jika diperhatikan dengan lebih dekat aliran reka bentuknya, anda akan dapat melihat elemen yang biasa, sama seperti C10 yang mengambil inspirasi daripada model lain.

    Namun ada sedikit berbeza dengan C10 di mana B10 menampilkan lampu hadapan yang nipis dengan signitur cahaya yang menarik terpisah dilengkapi lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk “bendera kotak-kotak”, bampar hadapan berwarna hitam, jalur plastik lutsinar di bahagian hadapan, pemegang pintu yang rata dan tersembunyi, Star Ring Dynamic Fender, roda aloi Star Sports bersaiz 18-inci, roof spoiler serta lampu belakang Wing Star LED.

    Untuk bahagian kabinnya, kelihatan ia sedikit lebih bergaya berbanding C10, termasuk menampilkan kemasan perak pada stereng dua-jejari dan corong udara berbentuk segi empat. Ciri unik lain termasuk rekaan berlubang di hadapan tempat duduk penumpang hadapan dan pemegang cawan berbentuk segi empat yang boleh dilipat di bawah konsol tengah terapung. Di China, kereta ini ditawarkan dengan meja lipat untuk penumpang, namun sayangnya ciri ini nampaknya tidak dibawa ke pasaran antarabangsa.

    Leapmotor B10 EV dilancarkan di Malaysia – dua varian, 218 PS/240 Nm, hingga 434 km; dari RM99,800

    Sebaliknya, model ini didatangkan standard dengan paparan instrumen digital bersaiz 8.8-inci yang bergerak bersama ruang stereng, serta skrin sesentuh infotainmen 14.6-inci. Tidak seperti C10, B10 ditawarkan dengan Apple CarPlay dan Android Auto, walaupun hanya melalui kemaskini perisian OTA pada bulan Januari nanti.

    Ciri kelengkapan lain yang turut diberikan termasuklah bumbung suria panoramik dengan tirai elektrik, penyaman udara automatik, pengecas tanpa wayar 15-watt, In-Vehicle WiFi, Online Navigation, keyless start system, penapis udara PM2.5 dan enam pembesar suara untuk Life tapi Design dapat 12-pembesar-suara.

    Manakala bagi tempat duduk pula, ia diberikan rekaan dan material mesra-bayi. Varian Life menerima larasan manual enam-hala untuk bahagian pemandu dan empat-hala untuk pemandu, dan larasan automatik untuk kedua-dua tempat duduk hadapan bagi model spesifikasi tertinggi. Untuk USB port, ia diberikan empat unit (satu unit Type-A 12 watt, satu unit Type-C 60 watt di hadapan dan untuk di belakang diberikan satu unit Type-A 12-watt dan 1 unit Type-C 15 watt).

    Seperti C10, B10 juga menggunakan kunci kad NFC, bermakna anda perlu mengetuk penutup cermin sisi pemandu untuk membuka pintu dan meletakkan kad tersebut di konsol tengah untuk menghidupkan kenderaan. Terdapat juga aplikasi Leapmotor, yang membolehkan sambungan ke kenderaan pada bila-bila masa dan di mana sahaja melalui telefon pintar. Banyak ciri boleh diakses melalui aplikasi ini, termasuk pengaktifan AC, tingkap dan kunci kawalan jauh.

    Untuk aspek keselamatan, B10 diberikan kelengkapan ADAS Tahap 2, dengan 12 penderia ultrasonic yang menawarkan 17 fungsi bantuan pemanduan termasuk kawalan keluncuran adaptif, bantuan kelajuan pintar, bantuan kesesakan trafik, amaran pelanggaran hadapan, amaran pelanggaran belakang, amaran membuka pintu, kepekaan trafik belakang, pemantauan titik buta, AEB, amaran ketibaan lorong, bantuan kekal lorong dan bantuan kekal lorong kecemasan. Ciri keselamatan lain termasuk tujuh beg udara, kamera panoramik 360-darjah dan penderia parkir belakang.

    Bagi warna pula, untuk B10 Life, ia diberikan Dark Grey Fabric untuk bahagian kabin dan luarannya dengan pilihan Metallic Black dan Light White. Manakala untuk B10 Design, dua pilihan warna diberikan iaitu Shadow Grey Eco Leather untuk kabin dengan luaran sama ada Starry Night Blue atau Dawn Purple, dan juga Dark Grey Eco Leather untuk kabin dan Metallic Black, Light White atau Tundra Grey untuk luaran.

    Seperti yang dimaklumkan, B10 Life ditawarkan pada harga bermula RM107,800 dan B10 Design pula berharga dari RM118,800. Setiap pembeliannya didatangkan dengan waranti kenderaan enam-tahun atau 150,000 km dan waranti bateri pula lapan-tahun atau 160,000 km.

    Leapmotor B10 Design

    Leapmotor B10 Life

     
     
  • JPJ tegaskan pelantikan ejen pemungut telah dilaksana sejak 2016 – ada 10 ejen setakat 9 Dis 2025

    JPJ tegaskan pelantikan ejen pemungut telah dilaksana sejak 2016 – ada 10 ejen setakat 9 Dis 2025

    Sejak semalam banyak pihak mempertikaikan pelantikan Rider Gate yang bernaung di bawah syarikat Ramssol Group Berhad, selaku ejen pemungut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Ini mendorong JPJ untuk memberikan penjelasan berhubung isu ini dan berkata pelantikan ejen-ejen pemungut telah dilaksanakan sejak tahun 2016.

    “Setakat 9 Disember 2025, JPJ telah melantik sebanyak 10 ejen pemungut. Kenyataan yang menggambarkan pelantikan ejen pemungut sebagai penswastaan perkhidmatan JPJ adalah berpunca daripada salah faham berkenaan fungsi ejen pemungut JPJ.

    “Ejen-ejen pemungut tidak mempunyai sebarang peranan dalam pemungutan melalui saluran rasmi iaitu aplikasi MyJPJ, MySikap dan Pejabat JPJ yang sedang dan akan terus dikendalikan oleh JPJ. Sebaliknya, pelantikan ejen-ejen pemungut JPJ membenarkan perkhidmatan JP untuk ditawarkan di saluran tambahan,” kata Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli menerusi kenyataan yang dikeluarkan lewat petang tadi.

    Sebagai contoh, katanya, apabila sesebuah platform insuran kenderaan dilantik sebagai ejen pemungut JPJ, ini membolehkan platform tersebut untuk turut menawarkan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) apabila pelanggan membeli insuran kenderaan. Namun, pengguna masih mempunyai pilihan untuk memperbaharui LKM secara berasingan dan secara langsung dengan JPJ melalui aplikasi MyJPJ, MySikap atau di pejabat JPJ.

    “Untuk makluman, antara syarikat-syarikat yang telah dilantik sebagai ejen pemungut sebelum ini termasuk POS Malaysia Berhad, PUSPAKOM Sdn. Bhd., MyEG Services Sdn. Bhd., Konsortium Multimedia Swasta Sdn. Bhd., TCSENS Sdn. Bhd., serta TNG Sdn. Bhd.

    “Pelantikan ejen pemungut ini juga tidak melibatkan sebarang kos kepada pihak kerajaan. Mana-mana syarikat yang berkelayakan dan ingin menawarkan nilai tambah melalui perkhidmatan JPJ boleh membuat permohonan kepada JPJ. Semua permohonan akan dipertimbangkan mengikut prosedur selaras dengan kelulusan oleh Kementerian Kewangan (MOF) seperti yang telah dilaksanakan sekian lama,” jelasnya lagi.

    Katanya lagi, JPJ kekal komited untuk memastikan penyampaian perkhidmatan yang cekap, selamat dan mudah diakses oleh orang ramai melalui pengawalselian berterusan ke atas semua agen pemungut yang dilantik.

    “JPJ juga akan terus memastikan integriti data, keselamatan transaksi serta tahap pengalaman pengguna berada di tahap optimum selaras dengan aspirasi kerajaan dalam memperkukuh perkhidmatan digital sektor awam,” katanya.

     
     
  • Saman tertunggak tidak jejas kelayakan Budi95 – Loke

    Saman tertunggak tidak jejas kelayakan Budi95 – Loke

    Kementerian Pengangkutan (MOT) menafikan beberapa laporan media yang menyatakan bahawa pesalah trafik yang gagal melunaskan tunggakan saman yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum 31 Dis ini, berhadapan dengan risiko kehilangan kelayakan subsidi petrol atau Budi Madani RON 95 (Budi95)

    Menterinya, Anthony Loke berkata bahawa saman tertunggak dan kelayakan subsidi petrol Budi95 merupakan dua mekanisme yang berbeza dan beroperasi secara berasingan.

    “Kedua-duanya bukan perkara yang sama dan tidak mempunyai kaitan langsung secara automatik. Mengikut dasar semasa, untuk memohon atau terus menikmati subsidi petrol Budi95, pemohon perlu mematuhi syarat asas seperti mestilah warga negara Malaysia yang disahkan melalui MyKad dan mesti memiliki lesen memandu yang aktif,” katanya selepas merujuk kepada sebahagian laporan media berhubung dakwaan kegagalan menjelaskan saman akan menyebabkan penerima Budi95 kehilangan kelayakan subsidi berkenaan.

    Saman tertunggak tidak jejas kelayakan Budi95 – Loke

    Tambah beliau, lesen memandu yang aktif merujuk kepada lesen yang masih dalam tempoh sah atau yang tarikh luputnya tidak melebihi tiga tahun.

    “MOT menasihatkan orang ramai supaya terus mematuhi undang-undang trafik demi keselamatan semua pengguna jalan raya,” katanya lagi.

    Jadi, anda kekal layak menikmati subsidi Budi95 walau pun masih ada saman tertunggak yang dikeluarkan oleh JPJ, selagi lesen memandu masih sah atau belum tamat tempoh melebihi tiga tahun. Walau bagaimana pun, kena ingat, jika masih culas melunaskan saman tertunggak, anda berhadapan dengan risiko bakal disenaraihitamkan dari memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan. Maka, jadilah seorang pengguna jalan raya yang bertanggungjawab!

     
     
  • Proton X50 2025 — Rekaan baru depan belakang, enjin 1.5L turbo empat-silinder jadikannya lebih baik?

    Proton X50 2025 — Rekaan baru depan belakang, enjin 1.5L turbo empat-silinder jadikannya lebih baik?

    Proton X50 2025 dilancarkan secara rasmi pada Julai lalu dan dengan pantas menarik banyak perhatian terutama bagi mereka yang mahukan sebuah SUV dalam segmen B. Versi terbarunya ini tidak hanya menampilkan perubahan rekaan yang berbeza daripada model sebelum ini — baik di dalam dan juga di luar — namun lebih penting melibatkan perubahan sistem janaan kuasanya juga.

    Enjin baru i-GT 1.5 liter turbo empat-silinder telah menggantikan unit tiga-silinder yang lama, dan ia ternyata memberikan kelancaran dan maklum balas yang sangat baik. Lebih penting, dari dalam kabin, enjin berkenaan tidak memberikan rasa getaran yang ketara, begitu juga dengan menyumbang kepada suasana kabin yang lebih senyap. Secara ringkas, dari aspek ini, Proton X50 2025 lebih diperhalusi pengalaman pemanduannya.

    Output kuasa juga semakin bertambah dengan janaan 181 PS dan 290 Nm (naik 4 PS dan 35 Nm berbanding enjin versi TGDi paling berkuasa untuk X50 sebelum ini), maklum balas pemanduannya juga lebih baik dan dirasakan lebih bertenaga, walaupun masih menggunakan transmisi DCT 7-kelajuan yang sama.

    Penggunaan minyak juga menjadi lebih baik: di atas kertas, tetapan janaan kuasa yang baru ini memberikan 4.7% lebih jimat untuk kadar penggunaan petrol.

    Selain itu, ada beberapa perkara yang membezakan varian Flagship yang paling tinggi berbanding varian Premium pertengahan. Dari luaran, ia dibezakan dengan bumbung hitam dan juga spoiler belakang yang tajam dan besar.

    Di bahagian dalam, varian Flagship dilengkapi pula dengan cermin pandang belakang anti-silau, kemasan hitam-merah untuk kabin, pelapik bumbung hitam, penghadang matahari separa telus di depan, bumbung kaca panoramik dengan penghadang matahari larasan elektrik, pengecas tanpa wayar Qi (sebelah pemandu) serta ciri Park Assist.

    Kami bawakan video ulasan yang sempat kami lakukan dalam perjalanan pergi dan balik dari Kuala Lumpur ke Ipoh sebelum ini. Banyak pengamatan dan perkongsian yang diberikan, termasuk pengalaman pemanduannya serta tanggapan pemilikan SUV paling laris Proton ini. Selamat menonton dan mendapat manfaat!

    Proton X50 Flagship 2025

     
     
  • Kia Vision Meta Turismo Concept didedah – fastback empat pintu tunjuk hala tuju rekaan masa hadapan

    Kia Vision Meta Turismo Concept didedah – fastback empat pintu tunjuk hala tuju rekaan masa hadapan

    Kia telah mendedahkan model konsep terbarunya, Vision Meta Turismo, sebuah kajian reka bentuk yang bakal menjadi panduan kepada hala tuju rekaan kenderaan Kia pada masa hadapan.

    Menurut Kia, Vision Meta Turismo menggabungkan prestasi pemanduan yang dinamik dengan kabin bergaya ‘lounge’, sambil “mengambil inspirasi daripada gaya dan kelajuan kereta touring jarak jauh era 1960-an.” Konsep ini digambarkan sebagai interpretasi moden terhadap tiga pengalaman utama: pemanduan berprestasi, interaksi digital yang memberikan pengalaman imersif serta ruang dalaman luas yang berasakan suasana lounge.

    Namun, Kia belum mendedahkan sama ada model ini akan menjadi asas kepada mana-mana model produksi tertentu. Dari aspek bentuk dan perkadaran, Vision Meta Turismo memiliki rekaan fastback yang mengingatkan kepada Polestar 5 dan Lotus Emeya, kedua-duanya EV berprofil rendah dengan rekaan yang memberi fokus kepada aerodinamik.

    Bahagian dalamnya menampilkan kabin minimalis dengan pemisahan visual yang jelas antara ruang pemandu dan penumpang. Zon pemandu diberi skema warna berbeza, bersama stereng berbentuk yoke yang direka semula untuk menawarkan interface pemanduan generasi baru. Turut kelihatan ialah satu tombol yang mungkin berfungsi sebagai pemilih gear atau joystick, namun Kia masih belum menjelaskan butirannya.

    Vision Meta Turismo juga dilengkapi tiga mod digital — Speedster, Dreamer dan Gamer — yang menggunakan teknologi augmented reality head-up display (AR HUD). Sistem ini menggabungkan cermin pintar yang mampu memaparkan grafik maya seolah-olah terapung di hadapan pemandu, memberikan pengalaman yang lebih mendalam dan futuristik ketika memandu.

    Kia menyatakan bahawa lebih banyak maklumat mengenai Vision Meta Turismo akan didedahkan dalam masa terdekat. Apa pandangan anda tentang rekaan futuristik ini?

     
     
  • Bayar tunggakan saman sebelum 31 Dis jika tidak mahu disenaraihitam; 4.95j saman belum dilunas – JPJ

    Bayar tunggakan saman sebelum 31 Dis jika tidak mahu disenaraihitam; 4.95j saman belum dilunas – JPJ

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memaklumkan bahawa terdapat 4.95 juta saman tertunggak bernilai RM1.48 bilion masih belum dijelaskan oleh pesalah trafik, laporan The Star.

    Diingatkan sekali lagi, tempoh pembayaran saman trafik dengan pemberian diskaun sebanyak 50% yang ditawarkan oleh JPJ sejak 1 Nov lalu dan akan berakhir pada 31 Dis ini. Jadi pesalah trafik yang mempunyai tunggakan saman cuma tinggal berbaki lebih kurang 24 hari lagi sebelum tahun 2025 melabuhkan tirainya untuk menyelesaikan pembayaran.

    JPJ menegaskan, sekiranya pesalah trafik gagal melunaskan tunggakan saman tersebut bakal berhadapan dengan tindakan disenaraihitamkan dari memperbaharui lesen memandu dan Lesen Kenderaan Motor (LKM atau cukai jalan).

    Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, setakat 8 Dis lalu, hanya seramai 362,230 pengguna jalan raya yang telah menyelesaikan tunggakan saman trafik yang berjumlah RM47.85 juta sejak penawaran diskaun trafik. Jumlah tersebut hanya mewakili 7% daripada jumlah keseluruhan saman trafik dan sebanyak 4.95 juta saman yang dikeluarkan sejak tahun 2010 masih belum dibayar, katanya kepada penerbitan akhbar berkenaan.

    Bayar tunggakan saman sebelum 31 Dis jika tidak mahu disenaraihitam; 4.95j saman belum dilunas – JPJ

    Apabila ditanya sama ada tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang gagal menjelaskan saman sebelum tarikh akhir, beliau berkata pesalah akan disenarai hitam dan berdepan tindakan mahkamah yang akan menghalang mereka daripada memperbaharui lesen memandu serta cukai jalan sehingga saman dijelaskan.

    Beliau menegaskan bahawa undang-undang lalu lintas diwujudkan bagi memastikan kenderaan dipandu dengan selamat dan berhemah, sekaligus melindungi semua pengguna jalan raya.

    “Semangat tanggungjawab bersama di jalan raya perlu dipupuk bagi menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya. Menjelaskan saman tertunggak mengukuhkan pematuhan terhadap undang-undang lalu lintas yang telah ditetapkan. Kita mesti mematuhi undang-undang lalu lintas dalam usaha membina budaya keselamatan jalan raya yang ideal,” tambahnya.

    Para pengguna jalan raya yang mahu menyelesaikan tunggakan saman boleh melakukannya menerusi pelbagai saluran JPJ, termasuk aplikasi MyJPJ, kiosk JPJ atau mana-mana cawangan JPJ berhampiran.

    Bayar tunggakan saman sebelum 31 Dis jika tidak mahu disenaraihitam; 4.95j saman belum dilunas – JPJ

    Pada 22 Oktober lalu, Loke telah mengumumkan kadar dan kaedah kompaun saman trafik yang dikeluarkan oleh JPJ dan PDRM akan diselaras. Di mana diskaun saman berasaskan program atau kempen khas akan digantikan dengan prinsip The Less You Delay, The Less You Pay atau ‘Lebih Cepat Anda Bayar, Lebih Sedikit Anda Perlu Bayar’.

    Beliau berkata, berdasarkan struktur baharu itu, bayaran yang dibuat dalam tempoh 1 hingga 15 hari selepas tarikh notis akan menikmati pengurangan 50%, manakala 16 hingga 30 hari mendapat pengurangan 33%. Manakala bayaran yang dijelaskan dalam tempoh antara 31 hingga 60 hari pula dikenakan kadar kompaun maksimum, manakala selepas 61 hari, tindakan mahkamah dan senarai hitam akan dikenakan.

    Bagaimanapun, insentif baharu itu tidak terpakai bagi kesalahan serius yang tidak boleh dikompaun seperti tiada insurans, tiada lesen memandu atau mempamerkan LKM palsu.

     
     
  • Nak ubah enjin pembakaran dalaman kereta anda ke EV? JPJ kini sudah keluarkan garis panduan baharu

    Nak ubah enjin pembakaran dalaman kereta anda ke EV? JPJ kini sudah keluarkan garis panduan baharu

    Bahagian Kejuruteraan Automotif Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telahpun mengeluarkan garis panduan baharu untuk pengubahsuaian unit rangkaian kuasa sesebuah kenderaan dari menggunakan enjin pembakaran dalaman ke elektrik sepenuhnya (EV). Garis panduan ini meliputi keperluan dari segi teknikal dan undang-undang bagi memastikan pengubahsuaian yang dibuat dengan cara yang betul serta tidak menjejaskan sebarang fungsi dan juga standard keselamatan kenderaan tersebut.

    Pengenalan garis panduan ini juga tidak bercanggah dengan peraturan sedia ada di mana pembinaan dan penggunaan sesebuah kenderaan di Malaysia dikawal melalui Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959. Setiap model kenderaan baharu perlum melalui proses Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) oleh JPJ bagi memastikanm pematuhan kepada standard keselamatan dan alam sekitar selaras dengan peraturan United Nations (UN) berdasarkan peruntukan Seksyen 66(1)(pp), APJ 1987.

    Merujuk kepada Kaedah 94(2), Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959, tiada komponen, sistem, bahagian atau aksesori yang dipasang pada kenderaan boleh diubah, diubahsuai, ditukar atau diganti sehingga menyebabkan ia tidak mengikut spesifikasi asal pengeluar kenderaan atau pengeluar peralatan asal, melainkan dengan kelulusan terlebih dahulu daripada Ketua Pengarah JPJ tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

    Nak ubah enjin pembakaran dalaman kereta anda ke EV? JPJ kini sudah keluarkan garis panduan baharu

    Dengan peruntukan ini, JPJ dapat membenarkan pengubahsuaian dari enjin pembakaran dalam kepada EV tetapi ia memberi penekanan bahawa setiap pengubahsuaian perlu dilaksanakan secara terkawal dan berlandaskan undang-undang bagi menjamin keselamatan. Namun menurut JPJ, garis panduan ini tidak terpakai kepada kenderaan yang digunakan bagi tujuan off-road atau kenderaan prototaip bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

    Mengikut carta aliran garis panduan ini, proses bagi mendapatkan kelulusan pengubhasuaian dari enjin pembakaran dalaman ke EV ini perlu bermula dengan menghantar rekaan konsep ubahsuai kepada JPJ. Ia termasuk perincian berkenaan kenderaan yang akan diubahsuai dan juga semua perubahan dan tambahan yang perlu dibuat termasuk diagram terperinci terhadap sistem yang akan digunakan. Selepas semua ini dihantar, JPJ akan meneruskan proses penilaian dan memberikan maklum balas.

    Selepas JPJ berpuasahati dengan kerja-kerja pengubahsuaian tersebut menerusi pemeriksaan dan pengujian kenderaan yang telah siap diubahsuai dan menepati keperluan oleh penilai servis teknikal, barulah sesebuah kenderaan yang diubahsuai dari menggunakan enjin kepada motort elektrik tersebut diluluskan.

    Seperti yang anda boleh lihat pada garis panduan penuh yang kami lampirkan di bawah, kenderaan yang diubahsuai dan mahu menerima kelulusan untuk digunakan di atas jalan raya berkenaan perlulah melepasi pelbagai standard, termasuk bengkel yang melakukan kerja-kerja berkenaan juga perlu berdaftar dengan JPJ.

    Selepas kenderaan berkenaan melepasi peringkat ini, barulah pemiliknya atau bengkel yang menjalankan pengubahsuaian (dengan persetujuan pemilik kenderaan) berkenaan akan menghantar permohonan bersama dokumen yang diperlukan kepada JPJ untuk kelulusan akhir sebelum kenderaan yang telah siap dibenarkan digunakan secara sah di atas jalan raya.

    Dengan pengenalan garis panduan ini, bermakna kini tidak mustahil lagi untuk anda mengubahsuai kenderaan anda yang kini bergerak dengan kuasa bahan api fosil bertukar kepada kuasa elektrik penuh. Namun kos yang perlu dikeluarkan mungkin tidak murah kerana JPJ mahu memastikan kerja-kerja yang dilakukan tidak ‘cincai’ dan selamat digunakan di atas jalan raya.

     
     
  • Penutupan lorong antara Bukit Mertajam-Perai ke Lebuhraya PLUS; 9-12 Dis, 10.30 malam-5.30 pagi

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memaklumkan bahawa pihaknya akan melaksanakan penutupan lorong sepenuhnya di Line R dan Line S (CH 0.0 hingga CH 0.2) arah utara, dari Bukit Mertajam dan Perai di Pulau Pinang, iaitu laluan untuk ke Lebuhraya Utara-Selatan.

    Penutupan ini akan dijalankan bermula malam ini (9 Dis) hingga 12 Disember 2025, setiap hari dari jam 10.30 malam hingga 5.30 pagi, bagi membolehkan kerja-kerja perobohan tiang lampu dijalankan dengan selamat menggunakan jentera khas.

    “Sepanjang tempoh penutupan, pengguna yang terkesan boleh melalui laluan alternatif iaitu menggunakan jalan di kawasan Perusahaan Perai sebelum masuk semula ke Lebuhraya PLUS, atau melalui Bulatan Bukit Tengah dan seterusnya ke Bulatan Seberang Jaya untuk kembali memasuki lebuhraya.

    “Sehubungan itu, pengguna dinasihatkan supaya merancang perjalanan serta mematuhi semua papan tanda dan arahan keselamatan yang disediakan di lokasi kerja. Kerjasama dan keprihatinan semua pengguna amat dihargai,” kata PLUS.

     
     
  • Perodua Nexis/Traz dalam teaser – pelancaran SUV D66B berasaskan Toyota Yaris Cross semakin hampir

    Perodua Nexis/Traz dalam teaser – pelancaran SUV D66B berasaskan Toyota Yaris Cross semakin hampir

    Selepas memperkenalkan kenderaan elektrik (EV) pertamanya beberapa hari lalu, Perodua kini menyiarkan teaser satu lagi model baru menerusi sebuah video pendek di media sosialnya. Tiada butiran rasmi didedahkan, namun banyak petunjuk yang menghala kepada model crossover segmen B yang sudah lama ditunggu, dikenali dengan nama kod D66B.

    Model D66B dijangka berkongsi banyak persamaan dengan Toyota Yaris Cross, yang meraih penarafan keselamatan lima bintang ASEAN NCAP pada Ogos lalu. Laporan penilaian untuk Yaris Cross menyebut “Production Malaysia for Malaysia market”, mengesahkan bahawa SUV kompak itu akan diperkenalkan di sini sebagai model Toyota dan juga Perodua. Berdasarkan pemfailan tanda dagangan lebih tiga tahun lalu, versi Perodua dikatakan mungkin menggunakan nama Nexis atau Traz.

    Seperti mana perbezaan antara Alza dan Toyota Veloz, Perodua turut memberikan sentuhan tersendiri kepada D66B. Dalam teaser yang dikongsi, Perodua hanya menunjukkan bahagian gril hadapan secara jelas. Menariknya, gril Perodua menampilkan motif perincian berbentuk L, berbeza dengan motif U pada Yaris Cross.

    Perodua Nexis/Traz dalam teaser – pelancaran SUV D66B berasaskan Toyota Yaris Cross semakin hampir

    Video tersebut juga memaparkan satu pandangan luas D66B yang digelapkan, namun jika diteliti, kelihatan beberapa elemen reka bentuk yang mirip Yaris Cross seperti lampu hadapan yang nipis serta kemasan krom yang melengkung ke belakang berhampiran tiang C. Lakaran digital oleh pereka Theophilus Chin memberikan gambaran hampir kepada apa yang boleh dijangka daripada model produksi sebenar.

    Setakat ini, Perodua belum mengesahkan pilihan enjin untuk Nexis/Traz. Di Indonesia, Yaris Cross ditawarkan dengan enjin petrol 1.5 liter NA 2NR-VE empat silinder yang menghasilkan 106 PS dan 138 Nm, dipadankan sama ada dengan transmisi manual lima kelajuan atau CVT pacuan roda depan.

    Sementara itu di Thailand pula, model ini hanya dijual dalam versi hibrid, menggabungkan enjin 1.5 liter NA 2NR-VEX (91 PS, 121 Nm) dengan motor elektrik 80 PS/141 Nm untuk kuasa keseluruhan 111 PS.

    Mengikut laporan Kenanga Research pada Februari lalu, pelancaran D66B asalnya dijadualkan berlangsung pada April 2024, namun tumpuan Perodua terhadap pelancaran Q-VE dipercayai menyebabkan jadual D66B sedikit tertunda. Walaubagaimanapun, teaser terbaru ini mengesahkan bahawa detik pelancarannya semakin hampir.

    Apa jua nama yang dipilih nanti, D66B akan diletakkan di atas Ativa dalam barisan model Perodua. Harga Ativa kini bermula daripada RM62,500 (atas jalan tanpa insurans) dan mencecah sehingga RM73,100, atau RM73,400 untuk varian AV dua tona. Jadi, anda rasa berapa agaknya harga D66B apabila tiba nanti?

     
     
  • Dongfeng Vigo dipertonton di Malaysia – lancar Q1 2026, 184 PS, jarak gerak CLTC sehingga 471 km

    Dongfeng Vigo dipertonton di Malaysia – lancar Q1 2026, 184 PS, jarak gerak CLTC sehingga 471 km

    Selain Dongfeng 007, Central Auto Distributors (CADB) turut mempertontonkan sebuah lagi model elektrik baru untuk pasaran Malaysia, iaitu Dongfeng Vigo. Jangan keliru dengan Toyota Hilux Vigo generasi ketujuh di Thailand, kerana model ini sebenarnya merupakan sebuah SUV elektrik kompak yang saiznya hampir setara dengan BYD Atto 2.

    Walaupun demikian, pelancarannya yang dijadualkan berlangsung pada suku pertama tahun depan memberi petunjuk Vigo tidak dapat menikmati insentif cukai untuk EV CBU yang berakhir pada 31 Disember ini. Disebabkan itu, ia dijangka ditawarkan pada harga yang lebih hampir dengan BYD Atto 3 atau Proton eMas 7, iaitu sekitar RM110,000 hingga RM120,000.

    Buat masa ini, spesifikasi rasmi untuk model pasaran Malaysia belum diumumkan. Namun, model pasaran China yang dikenali sebagai Nammi 06 menggunakan motor tunggal di hadapan dengan output 184 PS dan 290 Nm. Pecutan 0 hingga 50 km/j hanya mengambil masa 3.6 saat, manakala kelajuan maksimum dihadkan pada 150 km/j.

    Dua pilihan bateri LFP ditawarkan di China, iaitu 44.94 kWh dengan jarak 401 km dan 51.87 kWh dengan jarak 471 km mengikut standard CLTC. Dalam realiti WLTP yang lebih ketat, angka tersebut dijangka sekitar 330 km untuk bateri kecil dan 380 km untuk bateri besar.

    Dari segi pengecasan, Vigo memerlukan sekitar 30 minit untuk mengisi bateri daripada 30% ke 80% menggunakan pengecas pantas DC apabila dipadankan dengan bateri kecil, manakala bateri besar pula siap dalam sekitar 18 minit dan menyokong sehingga 167 kW.

    Seperti Dongfeng 007, pengecasan AC hanya terhad kepada 6.6 kW, yang bermaksud pengecasan penuh mengambil masa kira-kira 8.3 jam bagi bateri 44.94 kWh dan sembilan jam bagi bateri 51.87 kWh. Sekurang-kurangnya terdapat fungsi vehicle-to-load (V2L) 3.3 kW untuk membekalkan kuasa kepada peralatan luar.

    Dongfeng Vigo dipertonton di Malaysia – lancar Q1 2026, 184 PS, jarak gerak CLTC sehingga 471 km

    Jika dibandingkan dengan BYD Atto 2, saiz Vigo tidak jauh beza. Model ini berukuran 4,306 mm panjang, 1,868 mm lebar dan 1,645 mm tinggi, menjadikannya empat milimeter lebih pendek, 38 mm lebih lebar dan 30 mm lebih rendah daripada Atto 2.

    Ia juga sekitar 149 mm lebih pendek daripada Atto 3. Namun yang menarik, jarak rodanya ialah 2,715 mm — lebih panjang 95 mm berbanding Atto 2 dan hanya lima milimeter lebih pendek daripada Atto 3. Ini sepatutnya memberi kelebihan pada ruang kaki penumpang belakang.

    Bahagian luar Vigo tampil dengan rekaan unik yang dikatakan diinspirasikan oleh kiub Rubik, walaupun beberapa elemen mengingatkan kepada Kia EV5. Lampu hadapan LED projektor berbentuk L terbalik disambungkan dengan bar plastik lutsinar, manakala bamparnya diberi kemasan plastik hitam tebal bersama pelindung perak.

    Di bahagian tepi, terdapat lengkung roda bersegi, cermin sisi dengan jalur hitam dan pemegang pintu rata yang sebenarnya tidak bergerak — ia menggunakan butang elektronik di bahagian bawah. Vigo dipadankan dengan rim 17 inci bersama penutup aero penuh, dengan pilihan rim 18 inci yang lebih menarik.

    Bahagian belakang menampilkan lampu berbentuk segitiga dan ciri istimewa yang jarang ditemui dalam segmen ini — penutup but jenis dua bahagian seperti BMW X5 atau Range Rover. Ruang but yang ditawarkan adalah luas, sekitar 500 liter dan tempat duduk belakang dibahagikan kepada konfigurasi 60:40.

    Terdapat juga lantai but dua tingkat dan pelbagai ruang simpanan di bahagian bawah. Walaupun unit pameran tidak mempunyai ruang simpanan hadapan, CADB memaklumkan bahawa unit pelanggan akan disertakan ciri tersebut.

    Dongfeng Vigo dipertonton di Malaysia – lancar Q1 2026, 184 PS, jarak gerak CLTC sehingga 471 km

    Kabin Vigo direka dengan gaya minimalis, dilengkapi konsol tengah pelbagai fungsi yang menyediakan banyak ruang simpanan, pengecas Qi 50 watt dan tiga pemegang cawan tarik keluar. Sistem infotainmennya serupa dengan Dongfeng 007, iaitu paparan instrumen 8.8 inci dan skrin sesentuh 15.6 inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

    Tempat duduk hadapan menawarkan pelarasan kuasa enam hala, fungsi ventilasi dan memori untuk pemandu, dengan kemasan kulit sintetik. Seperti model 007, penyaman udara hanya satu zon dan stereng hanya boleh dilaras secara mencondong tanpa larasan teleskopik. Lampu suasanan pula boleh diubah mengikut tema, termasuk fungsi “ritma” yang biasa ditemui pada kereta buatan China. Unit pameran tidak mempamerkan bumbung panoramik, namun ia ditawarkan sebagai pilihan.

    Walaupun harganya mungkin kelihatan kurang kompetitif pada permulaan, CADB merancang untuk memulakan pemasangan tempatan (CKD) bagi memanfaatkan insentif sedia ada. Namun begitu, syarikat di bawah PEKEMA ini masih berada di peringkat awal perancangan dan belum menentukan rakan strategik untuk fasiliti pemasangan.

     
     
  • Mercedes-Benz GLE 400e 4MATIC diperkenal di M’sia — 2.0L PHEV, 280 kW/650 Nm, 114 km elektrik; RM499k

    Mercedes-Benz GLE 400e 4MATIC diperkenal di M’sia — 2.0L PHEV, 280 kW/650 Nm, 114 km elektrik; RM499k

    Selain Mercedes-Benz GLC 200 4MATIC, Mercedes-Benz Malaysia turut memperkenalkan secara rasmi varian plug-in hybrid GLE 400e 4MATIC dengan EQ Hybrid Technology AMG Line untuk pasaran tempatan, yang dijual dengan harga RM498,888. Ini juga merupakan model pemasangan tempatan di Pekan, Pahang, dan merupakan model GLE PHEV pertama yang diperkenalkan di sini.

    SUV ini digerakkan oleh enjin 2.0 liter turbo empat-silinder dengan bantuan elektrifikasi, yang digandingkan dengan transmisi automatik 9G-Tronic dan sistem pacuan semua roda 4MATIC. Sistem ini juga turut dibantu oleh sebuah motor elektrik 100 kW yang memberikan output keseluruhan 280 kW dan 650 Nm tork.

    Ia mampu memberikan jarak elektrik sepenuhnya sejauh 114 km WLTP. Untuk pengecasan, SUV ini dilengkapi dengan pengecas 11 kW AC, dengan dua mod kabel pengecas untuk memudahkan pengguna. Dengan program Off-Road, SUV ini juga boleh dipacu oleh kuasa elektrik sepenuhnya di permukaan off-road. Untuk prestasi pemandua, ia boleh mencapai 0-100 km/j dalam masa 6.1 saat, dan mencapai laju maksimum 210 km/j.

    Mercedes-Benz GLE 400e 4MATIC diperkenal di M’sia — 2.0L PHEV, 280 kW/650 Nm, 114 km elektrik; RM499k

    Untuk lebih keselesaan, Airmatic Package disediakan untuk sistem suspensi pintar yang akan beradaptasi secara automatik terhadap keadaan, kelajuan serta beban ketika pemanduan. Sistem berkenaan akan memberikan keselesaan maksimum yang menjadi keutamaannya.

    Penapilan luarannya diserikan oleh kemasan AMG Line yang hadir dengan gril berlian dan corak Mercedes-Benz dalam kemasan krom, apron depan AMG dengan kemasan krom, panel sisi AMG serta pelindung lengkuk tayar dlaam warna badan, dan juga apron belakang AMG ala diffuser. Melengkapi imejnya ialah rim AMG 21-inci lima-jejari, dan juga landasan bumbung aluminium.

    Untuk lampu utama, ia menggunakan jenis Multibeam LED dengan ciri Adaptive Highbeam Assist Plus, yang menyediakan suluhan cahaya yang pelbagai dan meluas. Pilihan warna badan yang ada pula ialah Obsidian Black, Selenite Grey, High-Tech Silver dan warna khas dengan kos tambahan, MANUFAKTUR Opalite White Bright.

    Mercedes-Benz GLE 400e 4MATIC diperkenal di M’sia — 2.0L PHEV, 280 kW/650 Nm, 114 km elektrik; RM499k

    Di dalam, Mercedes-Benz GLE 400e 4MATIC lima-tempat duduk ini dilengkapi antaranya dengan stereng sport multi-fungsi rata di bawah dengan balutan kulit Nappa, pedal sport AMG, kerusi gabungan balutan kulit buatan Artico/Microcut gentian mikro serta pelapik bumbung gelap Anthracite.

    Selain itu, ada juga kawalan pendingin Thermotronic, kerusi larasan elektrik, USB Package Plus dengan lima slot USB-C dan pengecas tanpa wayar di depan. Suasana dalam boleh juga dioleh dengan lampu ambient dengan 64-warna, sistem tanpa kunci yang menawarkan bebas kendalian tangan serta bukaan pintu kargo automatik.

    Sistem infotainmen MBUX (Mercedes-Benz User Experience) generasi kedua pula memberikan sambungan dan kawalan intuitif, melibatkan paparan di tengah bersaiz 12.3-inci dengan ciri skrin sentuh di tengah, serta sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Ia juga lengkap dengan MBUX Navigation Premium dan MBUX Augmented Reality untuk pengalaman navigasi yang lebih menarik.

    Model ini juga disertakan dengan sistem bunyi Burmester® 3D Surround Sound, yang menampilkan tetapan bunyi personal dan juga disepadukan dengan Dolby Atmos — dan lengkapi dengan 13-pembesar suara, 13 saluran amplifier dan output total 590 watt.

    Antara ciri yang melengkapi aspek keselamatan termasuklah Active Parking Assist dengan Parktronic dan Parking Package dengan kamera 360°. Dalam mod Off-Road, paparan bonet lutsinar akan membolehkan pandangan permukaan di depan menerusi kamera 360° untuk membantu pemandu menelusuru permukaan jalan yang tidak rata dengan lebih mudah.

    Driving Assistance Package Plus pula menawarkan keselesaan dan keselamatan maksimum. Ia kini termasuk sekali ciri seperti Active Distance Assist Distronic dengan Active Steering Assist, Evasive Steering Assist dan Active Lane Keeping Assist.

    Mercedes-Benz GLE 400e 4MATIC dengan EQ Hybrid Technology AMG Line

    Gambar rasmi

     
     
  • MBSA akan tunda kenderaan terbiar mulai Jan 2026

    MBSA akan tunda kenderaan terbiar mulai Jan 2026

    Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan melaksanakan tindakan menunda kenderaan yang terbiar mulai Januari 2026, dengan menyasarkan kenderaan yang ditinggalkan oleh bengkel di petak parkir awam, laporan The Star.

    Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata banyak kenderaan terbiar sama ada ditinggalkan begitu sahaja atau diparkir oleh bengkel di ruang yang sepatutnya digunakan oleh perniagaan lain.

    “Kebiasaannya, bengkel juga akan meletakkan kenderaan rosak di petak parkir yang diperuntukkan untuk kedai bersebelahan,” katanya sambil menambah kenderaan terbiar itu bukan sahaja mengambil ruang parkir, malah mencemarkan imej bandar.

    Katanya lagi, pasukan penguatkuasa MBSA akan menunda kenderaan terbiar ini mulai Januari hadapan. Di mana ia melibatkan kenderaan yang telah dikeluarkan notis tetapi tidak dialihkan selepas tempoh yang ditetapkan.

    “Meninggalkan kenderaan terbiar di petak parkir awam bukan sahaja menyebabkan pihak berkuasa tempatan kehilangan hasil, malah caj penundaan, iaitu RM300 bagi kenderaan yang masih mempunyai tayar dan RM400 bagi kenderaan tanpa tayar, akhirnya mungkin terpaksa ditanggung oleh pembayar cukai sekiranya pemilik tidak dapat dikesan,” katanya.

     
     
  • JPJ Johor sita Honda Jazz disyaki kereta klon – dipandu PEWA, tiada lesen memandu, cukai jalan

    JPJ Johor sita Honda Jazz disyaki kereta klon – dipandu PEWA, tiada lesen memandu, cukai jalan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Johor telah mengesan dan menahan sebuah Honda Jazz yang disyaki kenderaan klon semasa menjalankan rondaan penguatkuasaan di KM16, Lebuhraya Pasir Gudang yang dilaksanakan oleh Stesen Penguatkuasa (SPK) JPJ Jemaluang.

    “Hasil pemeriksaan mendapati pemandu berkenan telah melakukan beberapa kesalahan, antaranya tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL), tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM), tiada perlindungan insurans, menggunakan kenderaan yang tidak berdaftar dan menggunakan nombor pendaftaran milik kenderaan lain.

    “Pemandu tersebut juga merupakan bukan warganegara Malaysia (PEWA – pemandu warga asing) dan kenderaan telah disita di bawah Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. JPJ Negeri Johor menegaskan komitmen untuk terus mempergiatkan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terjamin,” kata JPJ Johor menerusi perkongsiannya di Facebook.

     
     
  • Dongfeng 007 dipertonton di M’sia – sedan EV dengan kuasa sehingga 544 PS, jarak gerak CLTC 650 km

    Dongfeng 007 dipertonton di M’sia – sedan EV dengan kuasa sehingga 544 PS, jarak gerak CLTC 650 km

    Selepas lebih setahun hanya memasarkan Dongfeng Box sebagai model tunggalnya, Central Auto Distributors (CADB) kini membuat pratonton untuk Dongfeng 007 di Malaysia sebelum dilancarkan pada suku pertama 2026. Di pasaran China, model ini dikenali sebagai eπ 007 (disebut “yipai”) dan hadir sebagai sedan elektrik lima pintu yang dibangunkan untuk mencabar BYD Seal, dengan jangkaan harga yang lebih rendah.

    Dari sudut reka bentuk, 007 mungkin kelihatan agak familiar kerana model sama turut digunakan Nissan sebagai asas untuk model N7 bagi pasaran eksport. Dengan ukuran 4,880 mm panjang, 1,895 mm lebar dan 1,476 mm tinggi, ia sedikit lebih besar daripada BYD Seal, manakala jarak rodanya berukuran 2,915 mm — hanya lima milimeter lebih pendek daripada pesaing tersebut.

    Gaya luaran menampilkan imej tipikal sedan elektrik buatan China dengan muncung rendah, garis bumbung memanjang, tingkap tanpa bingkai serta pemegang pintu jenis pop-out. Lampu hadapan rekaan berpecah dengan DRL nipis dipadankan bersama lampu belakang LED jalur penuh.

    CADB mempunyai perancangan menawarkan tiga varian untuk pasaran tempatan. Varian asas pacuan roda belakang menghasilkan 218 PS dan 310 Nm serta mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.8 saat, dengan bateri LFP 58.35 kWh yang menawarkan jarak sehingga 550 km mengikut standard CLTC China.

    Varian jarak jauh pula meningkatkan kuasa kepada 272 PS dan memendekkan masa pecutan kepada 5.8 saat, manakala bateri 73.48 kWh membolehkan pemanduan sehingga 650 km untuk satu cas penuh. Bagi varian pacuan semua roda yang dipertontonkan, dua motor elektrik menghasilkan kuasa keseluruhan 544 PS dan 620 Nm, membolehkan pecutan 0–100 km/j diselesaikan dalam hanya 3.9 saat. Namun, prestasi lebih tinggi ini memberi sedikit kesan terhadap kecekapan, menjadikan jarak maksimum sekitar 565 km.

    Dari aspek pengecasan, Dongfeng 007 menyokong pengecasan pantas DC sehingga 200 kW bagi bateri 73.48 kWh, membolehkan cas daripada 30% ke 80% disiapkan dalam sekitar 16 minit. Walaupun begitu, pengecasan AC terhad kepada 6.6 kW sahaja. Model ini turut menawarkan fungsi vehicle-to-load (V2L) untuk membekalkan kuasa kepada peralatan luaran.

    Dongfeng 007 dipertonton di M’sia – sedan EV dengan kuasa sehingga 544 PS, jarak gerak CLTC 650 km

    Bahagian dalaman meneruskan tema minimalis dengan papan pemuka ringkas dan konsol tengah yang tinggi, lengkap dengan dua ruang telefon pintar termasuk pengecas wayarles Qi. Hampir semua fungsi dikawal melalui dua skrin utama, iaitu paparan instrumen 8.8 inci dan skrin infotainmen 15.6 inci yang menyokong Apple CarPlay serta Android Auto secara tanpa wayar.

    Sistem audio pula menggunakan 19 pembesar suara dengan sokongan bunyi sekeliling Wanos. Bagi warna kabin, varian pacuan roda belakang ditawarkan dalam tema hitam dan putih, manakala versi pacuan semua roda hadir dengan kombinasi kelabu dan putih. Tempat duduk hadapan pula dilengkapi ventilasi, pelarasan kuasa serta fungsi memori untuk pemandu.

    Walaupun tampil moden, terdapat beberapa aspek yang agak mengejutkan untuk segmennya. Penyaman udara hanya satu zon, stereng hanya boleh dilaras secara ke atas dan ke bawah tanpa fungsi teleskopik, dan tempat duduk belakang pula dilipat sebagai satu bahagian penuh, mirip model bajet seperti Proton Saga. Ruang but belakang berkapasiti 452 liter dan turut disertakan ruang simpanan kecil di bahagian hadapan.

    Dari aspek keselamatan, Dongfeng 007 dilengkapi pakej penuh sistem bantuan pemandu termasuk brek kecemasan automatik, kawalan jelajah adaptif dengan fungsi berhenti dan mula semula, bantuan kekal lorong, pemantauan titik buta, amaran lintas trafik belakang dengan brek automatik, amaran pelanggaran belakang serta amaran buka pintu.

    Memandangkan pelancarannya hanya dijadualkan berlangsung tahun depan, 007 tidak sempat menikmati pengecualian cukai untuk EV CBU yang berakhir pada 31 Disember ini. CADB bagaimanapun merancang pemasangan tempatan (CKD) untuk memanfaatkan insentif CKD pada masa depan, tetapi perancangan tersebut masih di peringkat awal dan rakan kerjasama belum ditentukan.

     
     
  • Mercedes-Benz GLC 200 4MATIC dilancarkan — varian paling asas, 2.0L mild-hybrid, 204 hp/320 Nm; RM330k

    Mercedes-Benz GLC 200 4MATIC dilancarkan — varian paling asas, 2.0L mild-hybrid, 204 hp/320 Nm; RM330k

    Memasuki bulan terakhir 2025, Mercedes-Benz Malaysia hari ini memperkenalkan dua model terakhirnya untuk pasaran tempatan hari ini. Satu daripadanya ialah Mercedes-Benz GLC 200 4MATIC sebagai tambahan varian paling asas terbaru bagi barisan penawaran SUV berkenaan. Ia dijual dengan harga RM329,888 — harga atas jalan, belum termasuk insuran. Varian terbaru ini adalah model pemasangan tempatan di Pekan, Pahang.

    SUV ini dilengkapi enjin 2.0 liter twin-scroll turbo dengan sistem gandingan bersama integrated starter-generator (ISG) dan sistem mild-hybrid 48-volt. Ia menghasilkan sebanyak 204 hp pada 5,800 rpm dan 320 Nm tork dari 1,600-4,000 rpm yang disalurkan melalui sistem pacuan semua roda 4MATIC.

    Mercedes-Benz GLC 200 4MATIC terbaru ini mengenakan kemasan gaya badan AMG Line yang tampil sporty. Ini terdiri daripada bahagian apron depan dengan bukaan udara dengan kemasan krom, serta bahagian diffuser AMG di belakang. Selain itu, landasan bumbung aluminium juga menghiasi aspek luarannya — tidak ketinggalan gril corak Mercedes-Benz di depan.

    Mercedes-Benz GLC 200 4MATIC dilancarkan — varian paling asas, 2.0L mild-hybrid, 204 hp/320 Nm; RM330k

    Varian ini menggunakan rim AMG 20-inci lima-jejari. Di belakang, lampu belakang tampil dengan dua bahagian dengan visual tiga-dimensi yang menegaskan lagi kelebaran SUV ini. Ada juga kemasan krom di belakang untuk bahagian muncung ekzos.

    Lampu utama GLC 200 4MATIC ini dilengkapi dengan ciri LED High Performance dengan Bantuan Lampu Tinggi Adaptif. Lampu keliling dengan pancaran logo juga menambahkan perincian yang ditawarkan.

    Sama seperti di luar, varian ini mengenakan kemasan AMG Line yang tampil sporty. Ini antaranya termasuklah balutan kerusi dari kulit buatan Artico warna hitam, stereng multi-fungsi sport balutan kulit Nappa serta pedal sport AMG.

    Mercedes-Benz GLC 200 4MATIC dilancarkan — varian paling asas, 2.0L mild-hybrid, 204 hp/320 Nm; RM330k

    Kemasan lain terdiri daripada pelapik bumbung Anthracite gelap, sementara konsol tengah pula dalam penyudah logam. Untuk paparan, skrin 12-3-inci beresolusi tinggi terapung yang kelihatan kemas di hadapan pemandu, dengan paparan 11.9-inci di tengah mengisi bahagian tengah papan pemuka — kedua-dua paparan ini disudutkan condong ke arah pemandu untuk lebih memudahkan pemerhatian.

    SUV ini juga lengkap dengan ciri MBUX Navigation Premium dan MBUX Augmented Reality Navigation untuk panduan jalan yang lebih kaya. Selain itu, Parking Package dengan kamera 360-darjah dan Active Parking Assist dengan Parktronic memudahkan lagi kendalian.

    Ciri lain yang turut tersedia di dalam ialah sistem tanpa kunci, kendalian bebas tangan untuk pintu kargo belakang, pengecas tanpa wayar di depan, serta ada enam slot pengecasan pantas USB-C. Untuk Boot Comfort Package, ia menyertakan sekali ciri lipatan kerusi belakang larasan elektrik dan soket 12 V.

    Bantuan pemanduan yang ada termasuklah suspensi Agility Control yang mengimbangkan pengendalian tepat dengan keselesaan, menyesuaikan maklum balas terbaik terutama dalam keadaan permukaan jalan yang berbeza untuk ia kekal stabil dan selesa. Bantuan keselamatan aktif yang melengkapi varian ini pula termasuk Active Lane Keeping Assist, Blind Spot Assist, Active Brake Assist, sistem PRE-SAFE® dan banyak lagi.

    Mercedes-Benz GLC 200 4MATIC

     
     
  • Chery beri rebat hingga RM15k pada Dis 2025, PHEV dapat waranti 10-tahun atau 200k km bernilai RM3k

    Chery beri rebat hingga RM15k pada Dis 2025, PHEV dapat waranti 10-tahun atau 200k km bernilai  RM3k

    Adakah anda sedang mencari-cari SUV untuk dimiliki? Mungkin boleh memasukkan mana-mana model keluaran Chery di dalam senarai anda. Chery Malaysia sedang menganjurkan promosi jualan akhir tahun bagi bulan ini, dengan menawarkan rebat tunai sehingga RM15,000 dan juga waranti lanjutan bagi bateri secara percuma untuk model plug-in hybrid.

    Untuk promosi ini, penawaran diskaun terbesar sudah pasti melibatkan model kereta yang besar, antaranya rebat sebanyak RM15,000 untuk SUV tiga barisan tempat duduk Tiggo 8 Pro yang berharga RM159,800. Diikuti dengan diskaun sebanyak RM10,000 untuk SUV segmen-C Tiggo 7 Pro yang berharga RM123,800.

    Tiggo 7 Pro dijanakan oleh enjin 1.6 liter turbo empat-silinder dengan 197 hp/290 Nm, dipadankan bersama transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan. Manakala Tiggo 8 Pro pula model Chery yang paling padu di Malaysia dengan enjin 2.0 liter turbo yang mampu memberikan kuasa 256 hp/390 Nm dan dipadankan dengan DCT tujuh-kelajuan.

    Chery beri rebat hingga RM15k pada Dis 2025, PHEV dapat waranti 10-tahun atau 200k km bernilai  RM3k

    Diperkenalkan pada awal tahun ini, Tiggo Cross didatangkan dengan dua versi penjana kuasa iaitu enjin petrol (1.5L turbo empat-silinder dengan 147 PS/210 Nm, 6DCT) dan hibrid dengan kombinasi 204 PS/310 Nm. Bagi versi hibrid, ia ditawarkan dengan harga RM99,800, manakala versi Turbo pula RM10k lebih murah iaitu RM88,800. Kedua-duanya diberikan rebat RM5,000 untuk bulan ini.

    Pada Oktober lalu, Chery melancarkan Tiggo 8 PHEV berharga RM159,800 dan Tiggo 7 PHEV dengan harga RM129,800. Ia dipadankan dengan enjin 1.5 liter kitaran-Miller turbo empat-silinder 143 PS/215 Nm dengan motor elektrik 204 PS/310 Nm yang diintegrasikan bersama transmisi khas hibrid DHT tiga-kelajuan. Sekaligus menghasilkan jumlah keseluruhan kuasa mencecah 275 PS/365 Nm. Tiggo 8 PHEV menggunakan model facelift sebagai asas tetapi diberikan kokpit gaya-EV serba baharu.

    Kedua-dua model PHEV diberikan rebat sebanyak RM5,000 dan waranti lanjutan bagi bateri secara percuma selama 10-tahun atau 200,000 km, di mana Chery turut memberikannya kepada semua pelanggan yang membeli model PHEV ini sejak dilancarkan (waranti standard bagi bateri ialah lapan-tahun atau 160,000 km). Waranti lanjutan ini bernilai RM3,000.

     
     
  • ETS JB Sentral-KL Sentral buka jualan tiket mulai 12.30 tengah malam ini – tambang dari RM82 sehala

    ETS JB Sentral-KL Sentral buka jualan tiket mulai 12.30 tengah malam ini – tambang dari RM82 sehala

    Sebelum ini, kami pernah melaporkan bahawa Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan memulakan perkhidmatan tren elektrik (ETS) Laluan JB Sentral-KL Sentral pada 12 Disember 2025, dengan pelaksanaan empat perkhidmatan sedia ada laluan KL Sentral – Kluang – KL Sentral dilanjutkan ke JB Sentral.

    Terkini, KTMB telah mengumumkan bahawa jualan tiket bagi ETS JB Sentral-KL Sentral akan dibuka bermula 12.30 tengah malam ini, 9 Disember 2025. Kadar tambang bagi laluan KL Sentral – JB Sentral bermula dari RM82 sehala. Menerusi kenyataan di Facebook rasminya, KTMB turut memaparkan kod promo JBBEST untuk para penumpang menikmati diskaun 30% bagi perjalanan dari 12 Disember 2025 hingga 11 Januari 2026.

    “Tiket-tiket boleh didapati melalui aplikasi KITS Style, mesin kios atau di laman sesawang rasmi KTMB bermula 9 Disember 2025 (Selasa) jam 12.30 tengah malam. Tiket dijual bagi tempoh enam bulan perjalanan sehingga Mei 2026,” kata KTMB.

    Pengoperasian ETS JB Sentral-KL Sentral ini turut menandakan bahawa Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (PLBEGJB) yang melibatkan pembinaan jajaran 192 kilometer dan 11 stesen telah disiapkan mengikut sasaran yang ditetapkan. Namun demikian, kata KTMB, perkhidmatan ETS akan diaktifkan secara berfasa melibatkan laluan perjalanan ke sektor Utara, selaras dengan proses pentauliahan set ETS.

    Ketua Pegawai Teknikal KTMB (turut memegang tugas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan) Ir. Ahmad Nizam bin Mohamed Amin berkata, “Dengan pembukaan perkhidmatan tren ETS ke JB Sentral, rakyat Johor kini boleh menikmati kemudahan perjalanan terus ke KL Sentral, sebelum bersambung ke destinasi-destinasi lain di utara dan Pantai Timur.

    Jadual perjalanan untuk ETS JB Sentral-KL Sentral-JB Sentral. Klik untuk besarkan

    “Pada masa yang sama, akses kepada pengangkutan awam yang selamat, selesa dan bersepadu ini turut memberi manfaat besar kepada penduduk setempat. la bukan sahaja memudahkan mobiliti harian, malah menyokong pertumbuhan industri pelancongan serta ekonomi Johor dengan menarik lebih ramai pelancong, termasuk dari Singapura, untuk berkunjung ke Malaysia melalui perkhidmatan kereta api.”

    Tambahnya, pelaksanaan ini hadir tepat pada masanya menjelang musim cuti sekolah dan penghujung tahun tempoh di mana rakyat Malaysia mengambil peluang bercuti ke Johor, manakala rakyat Johor pula menikmati perjalanan mudah ke destinasi luar Johor melalui sambungan tren ETS. Kemudahan ini sekali gus meningkatkan pergerakan domestik dan merancakkan aktiviti pelancongan serta perniagaan di kedua-dua arah.

    “KTMB mengharapkan rakyat Johor tidak ketinggalan untuk merasai pengalaman menaiki tren ETS ini dan rancang perjalanan serta membuat pembelian tiket lebih awal. Sehubungan itu, KTMB berbesar hati menawarkan diskaun istimewa 30% untuk perkhidmatan ETS sektor Selatan bagi perjalanan dari 12 Disember 2025 hingga 11 Januari 2026.

    “Penumpang boleh menikmati tawaran ini dengan menggunakan kod promosi iaitu JBBEST semasa pembelian tiket. Sebanyak 5,000 kod promosi ditawarkan, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan. KTMB menggalakkan orang ramai merancang perjalanan awal dan membeli tiket lebih awal bagi menikmati tambang fleksibel yang lebih menjimatkan serta mengelakkan pembelian saat akhir,” katanya lagi.

    Pengguna juga diingatkan tiba sekurang- kurangnya 30 minit sebelum berlepas kerana pintu masuk ditutup lima minit sebelum tren bergerak. Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman sesawang rasmi www.ktmb.com.my atau hubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200.

     
     
  • Nissan Kait diperkenalkan di Brazil – SUV kompak guna platform sama dengan Kicks P15, 1.6L NA, CVT

    Nissan Kait diperkenalkan di Brazil – SUV kompak guna platform sama dengan Kicks P15, 1.6L NA, CVT

    Nissan memperkenalkan sebuah SUV kompak baru bernama Kait khas untuk pasaran Amerika Latin, dengan Brazil menjadi negara pertama yang menerimanya. Model ini turut dihasilkan di Kompleks Industri Nissan Resende di Brazil sebelum dieksport ke lebih 20 pasaran lain di rantau tersebut.

    Kait dibina atas platform V Nissan, sama seperti Kicks generasi pertama (P15) yang turut ditawarkan di Malaysia dengan sistem hibrid e-Power. Dari segi saiz, Kait berukuran 4,304 mm panjang, 1,760 mm lebar, 1,611 mm tinggi dengan jarak roda 2,620 mm – hampir sama dengan P15 Kicks. Kapasiti but juga tidak berubah pada 432 liter.

    Reka bentuknya lebih tegap dan tajam berbanding “saudaranya”, dengan bahagian depan menampilkan lampu LED nipis, jalur lampu siang dan gril lebar berpalang melintang. Di bahagian sisi, garisan tingkap yang menaik dan rel bumbung memberi gaya lebih lasak, manakala bumbung sedikit melandai mengalir ke cermin belakang yang condong.

    Nissan Kait diperkenalkan di Brazil – SUV kompak guna platform sama dengan Kicks P15, 1.6L NA, CVT

    Bahagian dalaman pula menampilkan papan pemuka yang berlainan daripada P15 Kicks, tanpa bonggol di atas corong udara tengah. Corong udara tepi direka lebih bersegi supaya sepadan dengan panel pintu, namun butang kawalan dan roda stereng kelihatan dikekalkan daripada Kicks.

    Di Brazil, Kait berada dalam barisan model yang turut merangkumi Kicks P15 (dipasarkan sebagai Kicks Play) serta Kicks generasi kedua P16 yang menggunakan platform Renault–Nissan CMF-B HS. Namun laporan tempatan menyatakan bahawa Kait baru ini dijangka menggantikan Kicks Play.

    Perbandingan harga menguatkan jangkaan tersebut kerana kedua-dua model bermula pada harga sama, iaitu 117,900 real Brazil (sekitar RM91,000). Pada varian tertinggi, Kait mencecah BRL152,990 (RM119,000), sedikit lebih tinggi berbanding Kicks Play pada BRL150,190 (RM116,000). Kicks P16 pula berada pada segmen lebih premium dengan harga antara BRL166,990 hingga BRL199,000 (RM129,000 hingga RM154,000).

    Untuk pasaran Brazil, Kait ditawarkan dalam empat varian, semuanya dikuasakan enjin HR16DE 1.6 liter NA empat silinder fleksibel (petrol atau etanol). Ia menghasilkan 110 PS dan 146 Nm apabila menggunakan petrol atau 113 PS dan 149 Nm apabila menggunakan etanol. Kuasa dihantar ke roda hadapan melalui transmisi Xtronic CVT.

    Varian lebih tinggi dilengkapkan dengan pakej ADAS merangkumi brek kecemasan automatik, amaran dan pencegahan keluar lorong, kawalan kelajuan adaptif serta pemantauan titik buta. Nissan menyatakan Kait bakal menjadi model penting dalam portfolio serantau, mengiringi Kicks generasi baru dan Magnite yang kini membentuk era baru bagi Nissan di Amerika Latin.

     
     
  • Pemaju kediaman dekat stesen tren digesa kurangkan ruang parkir, galakkan guna pengangkutan awam

    Pemaju kediaman dekat stesen tren digesa kurangkan ruang parkir, galakkan guna pengangkutan awam

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengutarakan cadangan kepada pemaju kediaman yang berada dekat dengan stesen tren supaya mengurangkan jumlah petak parkir bagi projek pembangunan yang baru. Beliau menjelaskan, cadangan tersebut telah di usulkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), dengan menyatakan keperluan untuk menyediakan satu atau dua unit parkir untuk setiap unit menjadi antara faktor yang menyumbang kepada naiknya harga hartanah.

    Cadangan ini sangat masuk akal, terutama bagi segelintir orang yang tempat kerjanya berada berdekatan dengan jajaran rangkaian tren sedia ada ketika ini. Ini tambahan pula menjadi pilihan yang menarik buat mereka yang masih bujang dan tiada keperluan untuk menghantar-jemput anak kecil. Dan, jika ada keperluan untuk menggunakan kereta bagi aktiviti yang bukan rutin, sentiasa ada perkhidmata e-hailing untuk dimanfaatkan. Pendekatan seperti ini sudah banyak dilakukan di merata tempat, terutama di kota-kota utama.

    “Bagi projek kediaman yang berdekatan dengan stesen pengangkutan awam seperti LRT atau MRT, keperluan ruang parkir boleh dikurangkan untuk menggalakkan penduduk menggunakan pengangkutan awam,” jelasnya dalam satu sidang media selepas melancarkan bangunan pejabat Multiplex Land yang baru serta pra-pelancaran Residensi Alamanda Heights di Serdang semalam, seperti dilaporkan Bernama.

    Pemaju kediaman dekat stesen tren digesa kurangkan ruang parkir, galakkan guna pengangkutan awam

    Ahli Parlimen Seremban itu berkata, beberapa projek pembangunan berorientasikan transit (TOD) di Kuala Lumpur dibenarkan untuk memohon pengecualian bagi keperluan ruang parkir daripada pihak berkuasa tempatan. Loke juga menekankan bahawa cadangan tersebut hanya untuk pembangunan baru dan disasarkan untuk golongan muda yang tinggal berdekatan dengan rangkaian pengangkutan awam.

    “Sekiranya mereka tinggal berdekatan dengan stesen pengangkutan awam, keperluan untuk memiliki kereta juga mungkin menurun. Ini akan membantu mengurangkan kos sara hidup mereka,” jelas Loke, dan turut menambah bahawa usaha ini dihasratkan untuk menyokong peralihan jangka masa panjang ke arah gaya hidup yang lebih banyak bergantung kepada pengangkutan awam.

    Sekurang-kurangnya, pendekatan ini akan memberi pilihan kepada masyarakat — ditambah dengan adanya skim seperti My50 (dengan kos pengangkutan awam hanya RM50 sebulan), ia merupakan sesuatu yang wajar dipertimbangkan demi kualiti hidup di kawasan bandar yang lebih baik.

    Bagaimana pula pandangan anda?

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026