Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Xpeng umum EPMB jadi rakan CKD di Malaysia — G6, X9 dan X9 PowerX REEV akan dipasang di Melaka

    Xpeng umum EPMB jadi rakan CKD di Malaysia — G6, X9 dan X9 PowerX REEV akan dipasang di Melaka

    Kini disahkan bahawa Xpeng akan melakukan pemasangan tempatan (CKD) bagi model G6 SUV, X9 MPV dan juga model baru yang didedahkan X9 PowerX range-extended electric vehicle (REEV) di Malaysia. Dan yang akan menjadi rakan strategik bagi tujuan ini adalah EP Manufacturing Bhd (EPMB) yang terletak di Melaka.

    Sebuah pengumuman di Bursa Saham Malaysia hari ini mendedahkan bahawa pengeluaran G6 dan X9 itu dijangka akan dimulakan masing-masing pada 31 Mac dan 25 Mei, dan masing-masing dijangka akan berakhir pada 30 Disember 2027 dan suku pertama 2028.

    Pengumuman itu turut menyebut tentang “tawaran pemasangan melibatkan tiga model Xpeng berikutnya (termasuk D02 dan D03)” di Malaysia secara eksklusif, tertakluk kepada terma yang dipersetujui. Tidak banyak yang diketahui tentang D02 dan D03 tersebut; beberapa laporan dalam talian menyebut itu akan menjadi model SUV yang lebih bajet dan menggunakan platform Mona M03.

    Xpeng umum EPMB jadi rakan CKD di Malaysia — G6, X9 dan X9 PowerX REEV akan dipasang di Melaka

    Sebuah kenyataan bersama yang dikeluarkan juga menyebut: “melalui kerjasama ini, Xpeng akan memanfaatkan kepakaran pemasangan tempatan, kapasiti pengeluaran yang terbukti dan pengetahuan mendalam tentang pasaran oleh EPMB untuk mengilangkan EV pintar yang disesuaikan khusus untuk pengguna di Malaysia dan ASEAN.”

    Pada September, EPMB mengeluarkan saham mewakili 30% daripada perkongsian modal yang dikeluarkannya. 15% pergi kepada pemegang taruh terbesarnya, Mutual Concept. Sementara baki 15% pula pergi kepada Bermaz Capital, sebuah anak syarikat Bermaz Auto — ini bakal menyaksikan syarikat itu memiliki sebanyak 11.54% kepentingan dalam EPMB. Bermaz adalah pengedar kenderaan Xpeng di Malaysia.

    Xpeng umum EPMB jadi rakan CKD di Malaysia — G6, X9 dan X9 PowerX REEV akan dipasang di Melaka

    Walaupun belum ada pengumuman model mana yang akan dipasang di Malaysia, Xpeng ketika ini menjual model G6 SUV dan X9 MPV di Malaysia — dengan model MPV berkenaan sudah juga mula dipasang di Indonesia.

    Bermula sebagai pembekal komponen Tier-1, EPBM kini merupakan pemasang-kontrak bagi kereta-kereta daripada pengeluar seperti Great Wall Motor (GWM), BAIC dan yang akan datang, MG. Ia juga baru memasuki “Fasa 2” — yang melonjakkan kapasiti pengeluarannya daripada 6,000 kepada 30,000 unit pada masa GWM Wey G9 pertama kali dikeluarkan.

     
     
  • CAM EV Microvan — dijangka dilancarkan pada Q2 2026, tempat duduk tunggal, anggaran harga RM65,000

    CAM EV Microvan — dijangka dilancarkan pada Q2 2026, tempat duduk tunggal, anggaran harga RM65,000

    Perkenalkan, CAM EV Microvan yang datang dalam saiz yang kecil (hanya satu tempat duduk!). Kereta ini ditunjukkan ketika acara CETA & MobilityX Asia 2025 minggu lalu, dan dijangka akan dilancarkan di Malaysia pada suku kedua 2026 dengan harga sekitar RM65,000.

    Binaan cab-casis yang ditampilkan ini membolehkan pelbagai gaya badan diberikan untuknya, termasuk lori sampah dengan bahagian muatan di belakang, kenderaan cucian tekanan tinggi, trak pembersih, trak kopi dan pelbagai lagi. Apapun, CAM Malaysia mungkin hanya akan menawarkannya dalam bentuk van kotak seperti ini. Kenderaan ini menggunakan pacuan roda belakang.

    Ia mempunyai ukuran seperti berikut: 3,500 mm panjang, 1,240 mm lebar (sangat kurun dan hanya gunakan sebelah pengilap cermin sahaja) dan 1,700 mm tinggi dengan jarak roda 2,350 mm. Ia boleh memuatkan barang dengan luas 2.14 kubik meter (1.8 x 1.1 x 1.08 meter) dengan keupayaan beban 255 kg.

    Motor belakangnya boleh menjana sama ada 13.6 PS atau 20.4 PS, dengan tork 105 Nm dan laju maksimum 80 km/j. Ia dilengkapi bteri LFP 15.97-kWh dan boleh dicas AC sehingga 3.3 kW dan memberikan jarak 150 km. Beratnya ialah 800 kg, termasuk 250 kg untuk bateri.

    Enjinnya dihidupkan menggunakan kunci, ada tingkap manual, brek parkir kaki, pendingin, pelaras ketinggian lampu utama, dua slot USB-A, pemilik gear rotari. Dan, tiada beg udara.

    CAM EV Microvan akan menjadi tambahan terbaru bagi penawaran van EV di Malaysia, yang antara lain sudah menerima model seperti BYD T3, CAM EA4, EC35 dan Jenhoo EV48, Foton iBlue, Higer Ace E1, Maxus eDeliver 3 serta eDeliver 7.

     
     
  • Jetour T2 di Malaysia — spesifikasi tempatan dengan ADAS Tahap 2, enjin 2.0T petrol 254 PS/390 Nm, 7-DCT

    Jetour T2 di Malaysia — spesifikasi tempatan dengan ADAS Tahap 2, enjin 2.0T petrol 254 PS/390 Nm, 7-DCT

    Jetour T2 sebelum ini pernah dipertontonkan di acara Auto Car Expo (ACE) 2025 anjuran paultan.org bulan lalu. Kini, kami bawakan pula galeri penuh model SUV saiz sederhana berkenaan dalam versi spesifikasinya di Malaysia — dengan pertambahan kelengkapan berbanding unit yang ditunjuk itu.

    Antaranya, T2 kini lengkap dengan kamera skrin lebar yang membantu kemampuan ADAS-nya, yang menampilkan fungsi Tahap 2 termasuk ciri seperti AEB, kawalan melayar adaptif (ACC), bantuan ke tengah lorong, peninjau titik buta serta amaran perlanggaran belakang.

    Dari luar, SUV ini mengenakan ejaan Jetour di depan yang menggunakan material plastik jernih dan bukannya krom seperti unit yang dipertonton dulu, dan rimnya pula walau masih dengan saiz 19-inci yang sama dengan tayar 255/60R19 yang kini tanpa kemasan hijau.

    Jetour T2 di Malaysia — spesifikasi tempatan dengan ADAS Tahap 2, enjin 2.0T petrol 254 PS/390 Nm, 7-DCT

    Di dalam, T2 diberikan pelapik bumbung hitam, yang menggantikan pelapik putih pada unit pratonton, serta pemilik mod pemanduan rotari kini menerima tujuh mod, berbanding hanya tiga dalam unit yang ditunjuk sebelum ini.

    Satu perkara yang kelihatan belum ditukar ialah bahagian perehat kepala: untuk pasaran Malaysia, tidak akan diberikan perehat kepala yang ada bahagian sisi, tetapi hanya akan dibekalkan dengan unit biasa sahaja.

    Rekaletak papan pemuka T2 terus menempatkan paparan instrumen digital untuk pemandu bersaiz 10.25-inci dan juga skrin sentuh 15-6-inci. Jetour juga telah menyatakan yang unit untuk pasaran Malaysia akan turut menerima kerusi depan larasan kuasa dengan fungsi memori, balutan kulit buatan, bumbung kaca panoramik, Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, sistem bunyi Sony dengan 12-pembesar suara, sistem kamera 360-darjah dan enam beg udara.

    Jetour T2 di Malaysia — spesifikasi tempatan dengan ADAS Tahap 2, enjin 2.0T petrol 254 PS/390 Nm, 7-DCT

    Jetour T2 dilengkapi sistem janaan yang sama seperti Chery Tiggo 8 Pro — enjin 2.0 liter turbocas, suntikan terus empat-silinder petrol yang menjana sebanyak 245 PS pada 5,500 rpm dan 390 Nm tork dari 1,750 rpm hingga 4,500 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik tujuh-kejalajuan klac berkembar.

    Dijangka dilancarkan pada suku pertama tahun depan, Jetour T2 kini telah dibuka untuk tempahan, dengan harga anggaran RM178,888. Ini merupakan lonjakan harga yang tinggi jika dibandingkan dengan sebuah lagi model Jetour yang telah dilancarkan di Malaysia, VT9, dalam dua varian dengan harga dari RM119k hingga RM124k.

     
     
  • Xpeng bincang dengan EPMB untuk CKD EV di M’sia

    Xpeng bincang dengan EPMB untuk CKD EV di M’sia

    Xpeng dalam satu kenyataan menyebutkan yang syarikat itu sedang berunding dengan EP Manufacturing Bhd (EPMB) di Melaka untuk memasang EV di Malaysia pada 2026, lapor The Edge. Pengeluar kenderaan China itu menjelaskan mereka sasarkan untuk menjadikan Malaysia sebagai lokasi strategik bagi perluasan model pemanduan sebelah kanan ASEAN.

    Pada September, EPMB mengeluarkan saham mewakili 30% daripada perkongsian modal yang dikeluarkannya. 15% pergi kepada pemegang taruh terbesarnya, Mutual Concept. Sementara baki 15% pula pergi kepada Bermaz Capital, sebuah anak syarikat Bermaz Auto — ini bakal menyaksikan syarikat itu memiliki sebanyak 11.54% kepentingan dalam EPMB. Bermaz adalah pengedar kenderaan Xpeng di Malaysia.

    Walaupun belum ada pengumuman model mana yang akan dipasang di Malaysia, Xpeng ketika ini menjual model G6 SUV dan X9 MPV di Malaysia — dengan model MPV berkenaan sudah juga mula dipasang di Indonesia.

    Xpeng bincang dengan EPMB untuk CKD EV di M’sia

    Bermula sebagai pembekal komponen Tier-1, EPBM kini merupakan pemasang-kontrak bagi kereta-kereta daripada pengeluar seperti Great Wall Motor (GWM), BAIC dan yang akan datang, MG. Ia juga baru memasuki “Fasa 2” — yang melonjakkan kapasiti pengeluarannya daripada 6,000 kepada 30,000 unit pada masa GWM Wey G9 pertama keluar daripada kilangnya.

    Berdepan dengan perang harga di pasaran asalnya serta kekangan sempadan perdagangan yang dipengaruhi oleh kesan geo-politik, pengeluar EV China tidak ada jalan lain selain masuk ke pasaran eksport — dengan tumpuan utama untuk mewujudkan pangkalan pengeluaran di seluruh dunia. Di Malaysia, EV CBU tidak lagi akan diberikan pengecualian cukai bermula tahun depan (yang boleh meningkatkan harganya sebanyak 30%-100%). Maka, pengeluar yang ingin terus kompetitif perlu memasang EV mereka di sini.

    Pengeluar yang sudah memasang EV di Malaysia adalah termasuk Proton, Perodua, Volvo, Chery, Mercedes-Benz dan TQ Wuling. BYD sedang merancang sebuah kilang di Tanjung Malim, Zeekr pula mungkin melakukannya di kemudahan Automotive Hi-Tech Valley juga di Tanjung Malim dan Leapmotor dijangka akan menggunakan kilang Stellantis di Gurun. Bagi jenama yang belum ada perancangan CKD pada 2026, boleh dijangkakan harga unit CBU-nya akan meningkat naik.

     
     
  • Proton X90 MC1 dilihat — bakal guna enjin 1.5T i-GT 4-silinder, rekaan kekal, tiada lagi ciri 48V mild-hybrid

    Proton X90 MC1 dilihat — bakal guna enjin 1.5T i-GT 4-silinder, rekaan kekal, tiada lagi ciri 48V mild-hybrid

    Ada sebuah lagi model dari versi dipertingkat keluaran Proton dilihat sedang diuji di jalan raya Malaysia oleh seorang pembaca paultan.org, dengan nama samaran Arashikage — iaitu Proton X90 MC1 facelift.

    Daripada gambar yang diperoleh, penampilan luarannya kelihatan masih sama seperti model sedia ada — wajah depan yang masih mirip yang lama, serta rekaan rim juga nampak masih dikekalkan. Dan untuk itu, dimensi luarannya juga dijangka masih sama dengan 4,835 mm panjang, 1,900 mm lebar dan 1,785 mm tinggi dengan jarak roda 2,815 mm.

    Ketika di pameran Proton Tech Showcase yang diadakan awal Disember, kita tahu bahawa SUV dengan tiga baris tempat duduk ini, serta model-model baru yang akan datang, akan menerima enjin 1.5 i-GT turbocas empat-silinder seperti yang digunakan oleh Proton X50 facelift yang dilancarkan Julai lalu.

    Proton X90 MC1 dilihat — bakal guna enjin 1.5T i-GT 4-silinder, rekaan kekal, tiada lagi ciri 48V mild-hybrid

    Janaan enjin berkenaan ialah 181 PS dan 290 Nm, manakala untuk X50, ia digandingkan dengan transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan yang memacu roda depan. Ini bakal menjadikan X90 akan datang hadir tanpa sistem mild-hybrid 48-volt yang ditawarkan ini, yang digandingkan bersama enjin 1.5 liter turbocas tiga-silinder petrol dengan janaan 190 PS dan 300 Nm.

    Untuk ruang dalaman, belum jelas sama ada akan diberi pembaharuan atau tidak. Jika melihat kepada model “saudaranya” Geely Haoyue L facelift yang didedahkan bulan lalu, ia hadir dengan rekaan papan pemuka yang berbeza dengan adanya skrin sentuh infotaimen 14.6-inci dan paparan instrumen panel 10.2-inci. X90 ketika ini dilengkapi unit infotainmen 12.3-inci.

    Haoyue L facelift juga menampilkan susuna konsol tengah yang berbeza, yang mana pemilih gear diletak bersebelahan dengan sepasang ruang cawan. Model Geely berkenaan juga ditawarkan dalam konfigurasi lima, enam atau tujuh-tempat duduk, Proton X90 pula dijangka akan hanya ditawarkan sebagai SUV tiga baris dengan tujuh tempat-duduk.

     
     
  • Perodua tunjuk lagi teaser Nexis/Traz — D66B dari Toyota Yaris Cross dilancarkan minggu depan?

    Perodua tunjuk lagi teaser Nexis/Traz — D66B dari Toyota Yaris Cross dilancarkan minggu depan?

    Perodua telah menunjukkan satu lagi iklan teaser bagi model akan datangnya, yang dijangka sebuah crossover segmen B dengan kod nama D66B, yang akan dinamakan Nexis, atau Traz. Imej dalam teaser terbaru ini menunjukkan Nexis/Traz ini dari sudut berlainan. Bentuk umumnya sudah pernah kita lihat, dengan model Toyota Yaris Cross, yang telahpun dilancarkan di Thailand dan Indonesia pada 2023.

    Berbanding Yaris Cross, versi Perodua ini seperti menampilkan perbezaan perincian yang ada. Imej teaser sebelum ini menunjukkan gril depan dengan corak bentuk L, sementara Yaris Cross menggunakan bentuk U. Dalam imej terbaru ini pula lebih jelas kelihatan sosok kereta ini, dengan mendedahkan bahagian bampar depan yang mempunyai kemasan di sudut yang berbeza daripada Yaris Cross.

    Sistem janaan bagi Perodua Nexis/Traz ini masih belum disahkan. Bagaimanapun, jika merujuk kepada Yaris Cross di Indonesia, ia dilengkapi dengan enjin 2NR-VE 1.5 liter NA empat-silinder yang menghasilkan 106 PS dan 138 Nm, digandingkan dengan kotak gear CVT atau manual lima-kelajuan. Pasaran Thailand pula turut menerima versi hibrid dengan enjin 2NR-VEX 1.5 liter empat-silinder dengan janaan 91 PS/121 Nm yang diganding bersama sebuah motor elektrik 80 PS/141 Nm untuk menghasilkan output keseluruhan 111 PS.

    Perodua tunjuk lagi teaser Nexis/Traz — D66B dari Toyota Yaris Cross dilancarkan minggu depan?

    Tentu ada banyak persamaan antara Perodua crossover B ini dengan Toyota Yaris Cross. Model Toyota terbabit juga telah menerima penarafan lima-bintang ASEAN NCAP pada Ogos lalu. Untuk nama Nexis atau Traz, ia telah difailkan untuk tanda dagang di bawah Intellectual Property Corporation of Malaysia (MyIPO) oleh Perodua sejak lebih tiga tahun lalu.

    Hantaran di Instagram Perodua juga menyebutkan lima hari lagi, merujuk kepada pengenalan rasmi untuk Nexis/Traz untuk pasaran tempatan, yang dijadualkan minggu depan. Crossover segmen B ini diposisikan di atas Ativa, yang bermula dengan harga RM62,500 atas jalan belum termasuk insuran, hingga kepada
    RM73,100 atau RM73,400 untuk varian AV dengan pilihan dua-tona warna. Berapa harga permulaan yang sesuai untuk Nexis/Traz?

     
     
  • Proton Saga MC3 – kos selenggara varian 4AT lebih murah dari CVT; kedua-duanya lebih murah dari Bezza

    Proton Saga MC3 – kos selenggara varian 4AT lebih murah dari CVT; kedua-duanya lebih murah dari Bezza

    Proton Saga MC3 2026 baru sahaja dilancarkan pada lewat bulan lalu. Model ini bukan sahaja menerima pelbagai tingkat taraf dari segi perincian, malah ia turut diberikan perubahan dari segi mekanikal terutamanya pada unit rangkaian kuasa.

    Tiada lagi enjin S4PE 1.3 liter Campro dan ia digantikan dengan enjin i-GT 1.5 liter BHE15PFI di mana enjin baharu yang jauh lebih moden ini memberikan kelebihan kuasa yang lebih tinggi, penggunaan bahan api lebih efisien, malah ia juga menggunakan mekanisma timing chain untuk menggerakkan aci sesondol dan bukan lagi menggunakan timing belt.

    Dan, Saga MC3 ini juga ditawarkan dengan dua kotak gear automatik bergantung pada varian, di mana varian tertinggi Premium menerima kotak gear CVT Punch Powertrain VT3+ manakala dua lagi varian lebih rendah iaitu Executive dan Standard menerima kotak gear automatik konvensional empat-kelajuan 4AT yang dibekalkan oleh Aisin.

    Perubahan dari segi mekanikal ini sudah tentu akan melibatkan kos penyelenggaran yang berbeza dari model sebelumnya. Oleh itu kami akan buat satu analisa berkenaan perbezaan kos selenggara berkenaan, dan turut membandingkannya dengan model saingan terdekatnya iaitu Perodua Bezza.

    Sebelum itu ingin kami nyatakan bahawa angka-angka yang kami dapat ini dalah menerusi laman web rasmi Proton dan juga Perodua, dan perbandingan dibuat untuk tempoh masa penggunaan selama lima tahun/100,000 km.

    Kos penyelenggaraan Proton Saga AT MC3 2026 Vs. Proton Saga CVT MC3 2026

    Proton Saga MC3 – kos selenggara varian 4AT lebih murah dari CVT; kedua-duanya lebih murah dari Bezza

    Antara dua varian paling baharu ini, kos penyelenggaraan Proton Saga AT MC3 adalah lebih murah dari Saga CVT MC3. Walau bagaimanapun perbezaan kos penyelenggaraan selama lima tahun pertama bagi bagi kedua-dua versi dengan kotak gear berlainan ini tidak lah besar iaitu hanya RM110.67, dan ini adalah disebabkan jenis minyak yang digunakan (CVTF vs ATF) serta penapis yang berbeza.

    Kos penyelenggaraan Proton Saga AT MC3 2026 Vs. Proton Saga AT 2022

    Proton Saga MC3 – kos selenggara varian 4AT lebih murah dari CVT; kedua-duanya lebih murah dari Bezza

    Berdasarkan pemerhatian ini juga kami dapati bahawa untuk Saga MC3 dengan kotak gear 4AT, kos penyelenggaraannya dalam tempoh tersebut adalah lebih rendah berbanding model sebelumnya iaitu Saga MC2 4AT walaupun ia menggunakan kotak gear yang sama.

    Perbezaan harga berkenaan dilihat agak ketara iaitu sebanyak RM656.69 untuk tempoh lima tahun, dan ia adalah kerana kos minyak transmisi dan alat-alat ganti berkaitan yang lebih murah untuk model baharu ini.

    Selain itu kos yang lebih murah ini juga adalah disebabkan ada alat ganti yang perlu ditukar dalam sela masa lebih lama. Misalnya penapis udara untuk enjin Campro perlu ditukar setiap 20,000 km/12 bulan berbanding komponen yang sama pada enjin i-GT perlu ditukar setiap 40,000 km/24 bulan.

    Kekerapan penukaran cecair penyejuk enjin juga dikurangkan kerana ia kini perlu ditukar setiap 60,000 km/36 bulan berbanding setiap 30,000 km/18 bulan untuk enjin Campro. Malah ada juga perkara yang tidak perlu lagi dibuat termasuk penukaran bendalir stereng kuasa kerana Saga MC3 ini telahpun menggunakan sistem stereng berkuasa elektrik (EPS).

    Proton Saga MC3 – kos selenggara varian 4AT lebih murah dari CVT; kedua-duanya lebih murah dari Bezza

    Penjimatan terbesar untuk penyelenggaraan Saga MC3 ini tentulah kerana ia tidak perlu lagi menukar timing belt kerana telah menggunakan timing chain yang boleh digunakan dalam tempoh yang jauh lebih lama. Untuk Saga MC2, timing belt perlu ditukar setiap 110,000 km/66 bulan dengan kos alat ganti sebanyak RM334.68. Namun bagi tali sawat tambahan kedua-duanya masih sama dengan kos RM67.

    Apa yang lebih menarik, tiada sebarang item yang perlu ditukar ketika servis pertama 1,000 km untuk Saga MC3, di mana pada Saga MC2 minyak enjinnya perlu ditukar pada tempoh berkenaan. Juga setiap pembelian Saga MC3 ini diberikan caj upah percuma untuk tiga servis pertama.

    Walau bagaimanapun untuk enjin baharu ini, Proton mensyaratkan penggunaan minyak enjin jenis sintetik penuh sebagai keperluan minima yang dijual pada harga RM169 untuk empat liter, berbanding minyak jenis separa sintetik untuk enjin Campro yang berharga RM116 empat liter.

    Palam pencucuh (spark plug) yang digunakan pada enjin baharu ini juga adalah lebih mahal, dijual pada harga RM 131.60 satu set berbanding RM56.68 untuk set lengkap palam pencucuh untuk enjin Campro. Namun palam pencucuh yang digunakan pada enjin i-GT mampu bertahan selama dua tahun/40,000 km, berbanding komponen sama pada enjin Campro yang perlu ditukar setiap 18 bulan/30,000 km; jadi kos penukaran palam pencucuh ini untuk tempoh masa lima tahun adalah lebih rendah untuk Saga MC3.

    Kos penyelenggaraan Proton Saga CVT MC3 2026 VS Proton Saga CVT 2016

    Proton Saga MC3 – kos selenggara varian 4AT lebih murah dari CVT; kedua-duanya lebih murah dari Bezza

    Proton Saga generasi ketiga membuat kemunculan sulungnya pada 2016, dan ketika itu ia hanya ditawarkan dengan kotak gear CVT. Kemudian versi facelift pertama (MC1) diperkenalkan pada 2019, dengan perubahan terbesarnya adalah kotak gear CVT tersebut diganti dengan 4AT.

    Jadi sebelum model MC3 diperkenalkan, kali terakhir Saga menerima kotak gear CVT adalah menerusi model 2016, dan ketika itu ia menggunakan kotak gear CVT Punch dari versi VT2. Jadi kami bandingkan juga kos penyelenggaraan kedua-dua versi ini kerana pada Saga MC3, ia dibekalkan dengan kotak gear CVT dari Punch yang lebih baharu dikenali sebagai VT3+.

    Proton Saga MC3 – kos selenggara varian 4AT lebih murah dari CVT; kedua-duanya lebih murah dari Bezza

    Kalau dilihat pada angka akhir keseluruhan penyelenggaraan selama lima-tahun/100,000 km, kos untuk Saga MC3 CVT adalah lebih rendah dari Saga 2016 dengan perbezaan sebanyak RM286.91. Sela masa penukaran minyak transmisi CVT (CVTF) bagi kedua-dua model ini adalah sama iaitu setiap 60,000 km/36 bulan, dan kos penapis CVTF dan juga drain plug adalah sama iaitu masing-masing berharga RM129.52 dan RM21.95.

    Namun apa yang berbeza adalah harga CVTF itu sendiri di mana untuk Saga MC3 ia hanya berharga RM143.78 berbanding RM181.61 untuk Saga MC3. Manakala bagi kos lain-lain ia melibatkan komponen alat ganti enjin i-GT yang lebih murah berbanding enjin Campro.

    Kos penyelenggaraan Proton Saga CVT MC3 2026 VS Perodua Bezza

    Jadual servis berkala untuk Perodua Bezza 1.0L (kiri) dan Bezza 1.3L (kanan)

    Kenapa kami bandingkan dengan Perodua Bezza? Kerana Bezza merupakan satu-satunya saingan Saga dalam pasaran sedan segmen-A di Malaysia, malah ketika dilancarkan Proton sendiri mendakwa bahawa Saga merupakan model yang paling murah untuk diselenggara dalam saingan pasaran tersebut.

    Dalam masa lima tahun, kos bagi menyelenggara Bezza dalam varian enjin yang paling besar iaitu 1.3 liter adalah RM3,531.36. Angka tersebut adalah lebih mahal dari Saga MC3 4AT dan CVT masing-masing dengan beza RM204.45 dan RM93.78, walaupun kapasiti enjin adalah lebih besar dan komponen alat ganti yang perlu ditukar adalah lebih banyak pada Saga. Malah angka yang kami hitung ini hanyalah pakej asas tanpa pilihan komponen-komponen Perodua Pro Care.

    Walau bagaimanapun untuk Bezza dengan enjin lebih kecil iaitu 1.0 liter, kos penyelenggaraan dalam tempoh sama adalah RM3,319.74, atau RM7.17 lebih murah dari Saga MC3 4AT dan RM117.84 lebih murah dari Saga MC3 CVT.

    Perkara-perkara lain berkaitan yang turut perlu dipertimbangkan

    Selain dari kos servis berkala, ada juga kos-kos lain yang kita perlu kita pertimbangkan dalam pemilikan sesebuah kereta. Antaranya seperti penggunaan bahan api, di mana Saga CVT kini mampu mencatakan penggunaan 4.9 l/100 km (5.1 l/100 km untuk 4AT), hampir dengan penggunaan bahan api Bezza 1.3L (4.76 l/100 km atau 4.55 l/100 km dengan Eco Idle) walaupun dengan kapasiti enjin lebih besar. Penggunaan bahan api Bezza 1.0L pula adalah lebih jimat dengan 4.69 l/100 km.

    Juga ada komponen-komponen haus dan lusuh (seperti pad brek, penyerap hentak, bateri, tayar dan sebagainya) di mana jangka hayatnya bergantung kepada tabiat pemanduan pemilik yang perlu diambil kira. Bagi Saga MC3 Standard dan Bezza varian lebih rendah, ia datang dengan rim berdiameter 14-inci dibalut dengan tayar dengan saiz yang sama iaitu 175/65R14. Manakala bagi varian lebih tinggi, Saga MC3 dan Bezza kedua-duanya diberikan rim 15-inci tetapi Saga hadir dengan tayar lebih lebar iaitu 185/55R15, manakala Bezza pula 175/60R15.

    Bezza juga datang dengan sistem start-stop enjin ketika kelajuan melahu yang memerlukan bateri 12-volt lebih mahal untuk beroperasi, manakala Saga pula datang dengan bilah pengelap cermin tanpa bingkai yang lebih mahal untuk ditukar. Enjin baharu Saga ini juga masih lagi baru dan masih tidak diketahui ‘ragam’nya dan komponen-komponen lain yang perlu ditukar selepas tamat tempoh waranti nanti.

    Berbanding Bezza yang sudah lama dalam pasaran dan rata-rata mekanik sudah boleh mengagak masalah-masalah biasa yang akan dihadapi pada masa hadapan, dan harga bagi alat-alat ganti tersebut.

    Dengan berlainan kapasiti enjin, kos untuk cukai jalan juga berbeza tetapi tidaklah jauh mana. Bezza dengan enjin 1,329 cc dikenakan cukai jalan sebanyak RM70 setahun, manakala untuk varian 1.0L pula lebih murah iaitu RM20. Sementara Saga dengan enjin 1,499 cc pula dikenakan cukai jalan sebanyak RM90 setahun.

    Seperti yang diketahui sebelum ini, Saga MC3 dijual pada harga atas jalan tanpa insuran yang cukup kompetitif iaitu bermula RM38,990 untuk varian Standard hingga RM48,990 untuk varian tertinggi Premium, dan kesemua varian ini menerima enjin 1.5 liter yang sama. Malah sehingga akhir Disember 2025, Proton turut menawarkan diskaun tambahan sebanyak RM1,000 untuk semua varian.

    Manakala untuk Bezza, varian asas hanya menerima enjin 1.0 liter dan dijual pada harga atas jalan tanpa insuran bermula RM34,580, varian dengan enjin 1.3L paling murah dijual pada harga RM43,980, manakala varian paling mahal pula berharga RM49,980. Malah Bezza dengan enjin 1.3L juga kini datang dengan filem penapis haba yang dipasang dari kilang.

    Jadi bukan hanya harga sahaja, malah untuk penyelenggaraan asas Saga MC3 juga kini dilihat lebih berbaloi dari Bezza. Walau bagaimanapun semua perbandingan ini hanyalah perkara-perkara yang kita boleh lihat atas kertas. Anda pula bagaimana? Adakah untuk jangka masa panjang Perodua Bezza masih lagi pilihan yang lebih baik berbanding Proton Saga MC3?

    Kongsikan pendapat anda sama ada menerusi ruang komen di bawah atau di laman-laman sosial kami.

     
     
  • EPMB lancar Fasa 2 kilang pemasangan kenderaan di Melaka – kapasiti 30k, hab CKD kenderaan China

    EPMB lancar Fasa 2 kilang pemasangan kenderaan di Melaka – kapasiti 30k, hab CKD kenderaan China

    EP Manufacturing Berhad (EPMB) mengumumkan pelancaran Fasa 2 fasiliti pemasangan kenderaannya di Melaka, sekaligus meningkatkan kapasiti pengeluaran tahunan daripada 6,000 unit kepada 30,000 unit. Pelancaran ini turut disertai dengan pengeluaran rasmi model CKD GWM Wey G9, sebuah MPV mewah plug-in hybrid yang menjadi model terbaru dipasang di sini.

    Sebelum ini beroperasi sebagai pembekal komponen Tier-1, EPMB kini bergerak sebagai rakan pemasangan kenderaan bersepadu untuk jenama automotif global. Fasa 1 kilang Melaka dibuka pada suku keempat 2023, dan sejak itu lebih 6,000 unit GWM H6 HEV telah dikeluarkan.

    Pada November lalu, pengeluaran perintis untuk BAIC X55 dan BJ40 turut disiapkan, dengan pengeluaran penuh dijadualkan bermula pada Januari 2026. Bagi jenama MG, pengeluaran perintis pula dijangka bermula pada Februari 2026.

    Menurut EPMB, keupayaan pemasangan automotif syarikat itu diperkukuh oleh rangkaian kilang pembuatan komponen di Kedah, Perak, Selangor dan Melaka. Fasa 3 juga telah dirancang dan dijangka beroperasi menjelang akhir suku ketiga 2026. Fasiliti ini akan ditambah dengan kemampuan mengecat badan kenderaan secara sendiri, seterusnya meningkatkan aktiviti lokalisasi. Ia akan dibina bersebelahan kilang Fasa 2 di atas tanah tambahan seluas lapan ekar.

    EPMB lancar Fasa 2 kilang pemasangan kenderaan di Melaka – kapasiti 30k, hab CKD kenderaan China

    “Kami berbangga untuk mengumumkan pelancaran Fasa 2 kemudahan pengeluaran automotif kami di Melaka, yang akan membolehkan kami meningkatkan pengeluaran secara signifikan dan memenuhi permintaan yang semakin bertambah bagi jenama pelanggan kami di Malaysia. Pencapaian mercu tanda ini hanya dapat direalisasikan dengan kepercayaan dan kerjasama rakan kongsi OEM kami — GWM, BAIC dan SAIC, serta dedikasi dan komitmen para pekerja kami,” kata pengerusi eksekutif EPMB, Hamidon Abdullah.

    Beliau turut menambah bahawa EPMB terus menerima minat daripada lebih banyak pengeluar China yang mencari rakan pemasangan dan pelokalan di Malaysia. Negara ini kini dilihat sebagai hab automotif yang sedang berkembang dan kompetitif dalam rantau Asia Pasifik, khususnya bagi model pemanduan sebelah kanan.

    Dengan memperkukuh integrasi bersama rantaian bekalan automotif China yang maju dan berdaya saing, EPMB melihat Melaka sebagai hab pemasangan untuk pengeluar China yang menyasarkan pasaran Malaysia dan ASEAN.

    Pada Oktober 2025, EPMB telah dilantik oleh SAIC Motor Malaysia sebagai pemasang kontrak untuk beberapa model MG. Tahun sebelumnya, syarikat itu memperoleh kontrak pemasangan jangka panjang daripada Great Wall Motor dan BAIC, masing-masing untuk tempoh lapan dan 10 tahun.

     
     
  • 20 jenama kenderaan terlaris November 2025 – Mazda melonjak ke tempat keenam, Chery jatuh banyak

    20 jenama kenderaan terlaris November 2025 – Mazda melonjak ke tempat keenam, Chery jatuh banyak

    Data pendaftaran terkini daripada JPJ menunjukkan beberapa perubahan ketara dalam kedudukan jenama automotif bagi November 2025. Selain empat teratas yang kekal dikuasai dua jenama tempatan dan dua jenama Jepun, serta BYD yang terus melekat di tempat kelima sejak Oktober, bulan ini menyaksikan lonjakan besar daripada Mazda dan Tesla yang mengubah kedudukan masing-masing dengan agak dramatik.

    Mazda naik daripada tempat kesembilan pada Oktober kepada tempat keenam November lepas, apabila jumlah pendaftarannya meningkat daripada 849 kepada 1,398 unit. Peningkatan ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan Mazda telah melancarkan beberapa model baru sejak September, termasuk CX-60 dan CX-80, serta Mazda 3 1.5 High Plus dan BT-50 facelift pada November. Ini juga merupakan bulan terbaik Mazda setakat tahun ini, dan kali pertama ia mencapai jualan empat angka dalam tempoh 2025.

    Tesla pula membuat kenaikan paling besar dalam carta apabila melonjak dari kedudukan ke-19 ke tempat ketujuh dengan 1,301 unit didaftarkan pada November, berbanding hanya 320 unit pada bulan sebelumnya. Walaupun prestasi Tesla sepanjang tahun ini tidak menentu, November ternyata menjadi bulan terbaiknya setakat ini.

    20 jenama kenderaan terlaris November 2025 – Mazda melonjak ke tempat keenam, Chery jatuh banyak

    Sementara itu, Chery yang sebelum ini sering berada di kedudukan kelima atau keenam, terpaksa akur berada di tempat kesembilan apabila mencatat 1,069 unit — jauh lebih rendah berbanding rekod tertingginya iaitu 1,735 unit pada Ogos.

    Rakan sekumpulan Chery, iaitu Omoda | Jaecoo, mencatat prestasi sedikit lebih baik dengan 1,092 unit. Mitsubishi pula hanya ketinggalan dua unit di belakang Chery, menjadikannya pesaing rapat dalam kelompok pertengahan carta. Great Wall Motor (GWM) turut mencatat perkembangan positif dengan 642 unit, angka tertinggi jenama itu setakat tahun ini dan meletakkannya betul-betul di luar 10 teratas.

    Dengan tinggal hanya satu bulan sebelum 2025 melabuhkan tirai, kedudukan keseluruhan bagi tahun ini semakin jelas. Perodua sedang memburu rekod baru 359,000 unit untuk tahun 2025, dan bagi mencapainya, ia perlu menjual 36,133 unit lagi pada Disember. Proton pula menyasarkan 156,000 unit. Selepas mengambil kira 6,000 unit eksport, jenama nasional itu masih perlu menambah 12,000 unit jualan domestik sebelum tahun berakhir.

    20 jenama kenderaan terlaris November 2025 – Mazda melonjak ke tempat keenam, Chery jatuh banyak

    Toyota kini berada pada 112,903 unit, manakala Honda di 64,730 unit — angka yang turut dipacu oleh permintaan kukuh terhadap Hilux serta model Alphard terpakai import. Dalam kalangan jenama China, Omoda | Jaecoo berada di depan dengan hampir 16,000 unit setakat ini, jauh meninggalkan BYD yang mencatat 11,870 unit dan Chery yang berada pada 11,458 unit.

    Mitsubishi berpotensi menamatkan tahun ini di tempat keenam dengan prestasi kukuhnya, manakala Mercedes-Benz terus mengekang BMW daripada memasuki kelompok 10 teratas dengan 8,195 unit berbanding 6,926 unit bagi pesaing Jermannya itu.

     
     
  • 20 jenama EV terlaris November 2025 – BYD kekal di atas, Tesla di tempat kedua mengatasi Proton

    20 jenama EV terlaris November 2025 – BYD kekal di atas, Tesla di tempat kedua mengatasi Proton

    BYD kekal sebagai jenama kenderaan elektrik (EV) paling laris di Malaysia selepas mencatat 1,705 pendaftaran baru pada November 2025, menurut data terbaru JPJ. Setakat ini, BYD merupakan satu-satunya jenama yang telah mencapai jumlah pendaftaran lima angka untuk tahun 2025, dan sasaran itu mula dicapai pada Oktober, seterusnya kini meningkat kepada 11,870 unit sehingga bulan lalu.

    Namun yang agak mengejutkan, Tesla berjaya memintas Proton untuk naik ke tempat kedua apabila merekodkan 1,301 pendaftaran pada November. Peningkatan ini jelas didorong oleh penghantaran kuat Model Y. Walaupun begitu, jumlah keseluruhan Tesla setakat tahun ini (5,468 unit) masih berada di belakang Proton.

    Bagi pihak Proton sendiri, sebanyak 830 unit didaftarkan pada November, menjadikan jumlah terkumpulnya 7,784 unit. Angka ini termasuk sedikit unit eMas 5 yang baru dilancarkan pada akhir Oktober, manakala majoritinya masih disumbangkan oleh eMas 7.

    20 jenama EV terlaris November 2025 – BYD kekal di atas, Tesla di tempat kedua mengatasi Proton

    Dengan kebangkitan Tesla, Zeekr turun ke tangga keempat setelah mencatat 356 pendaftaran pada November, menjadikan jumlah tahunannya 1,718 unit. iCaur pula terus menambah angka meskipun memasuki pasaran agak lewat, dengan 218 unit baru direkodkan pada November untuk mencapai jumlah keseluruhan 565 unit. Xpeng menjadi satu lagi jenama lain yang turut mencapai tiga angka bulan lalu dengan 193 unit, sekaligus membawa jumlah tahunannya kepada 1,334 unit.

    Seterusnya, Leapmotor berada di tempat ketujuh dengan 86 unit (437 unit keseluruhan), manakala Maxus turut kekal berada dalam senarai 20 teratas dengan 76 unit, menjadikan jumlah tahunannya 135 unit. BMW melengkapkan senarai 10 teratas bersama 74 pendaftaran (1,368 unit keseluruhan), manakala Denza berada tepat di belakangnya dengan 70 unit dan jumlah terkumpul 1,002 unit.

    Di luar kelompok 10 teratas, MG mencatat 64 unit untuk berada di kedudukan ke-11 (534 unit setakat ini). Great Wall Motor pula menikmati bulan terbaiknya tahun ini selepas mencatat 63 pendaftaran, sekali gus meningkatkan jumlah keseluruhannya kepada 361 unit.

    20 jenama EV terlaris November 2025 – BYD kekal di atas, Tesla di tempat kedua mengatasi Proton

    MINI berada di tempat ke-13 dengan 58 unit (585 keseluruhan), manakala Porsche menduduki tempat ke-14 dengan 48 unit dan total 655 unit — angka yang turut merangkumi unit recond yang disenaraikan dalam data JPJ.

    Jenama smart kembali memasuki senarai 20 teratas dengan 40 pendaftaran pada November untuk berada di tempat ke-15. Lima tempat terakhir diduduki oleh Volvo dengan 36 unit (502 keseluruhan), Dongfeng dengan 35 unit — prestasi bulanan terbaiknya setakat ini — menjadikan jumlah tahunannya 157 unit, diikuti oleh Honda yang kembali tersenarai selepas kali terakhir muncul pada September dengan 33 unit (122 keseluruhan). Chery berada di tempat ke-19 dengan 32 unit (629 keseluruhan), manakala Audi melengkapkan senarai dengan 20 unit dan jumlah terkumpul 99 unit.

     
     
  • 20 model EV terlaris November 2025 – Tesla Model Y atasi Proton eMas 7, Model 3 di tempat ketiga

    20 model EV terlaris November 2025 – Tesla Model Y atasi Proton eMas 7, Model 3 di tempat ketiga

    Anda sudah tahu kedudukan jenama kenderaan elektrik (EV) terlaris, sekarang kita lihat pula kepada model EV yang paling banyak didaftarkan di Malaysia bagi November 2025, berdasarkan data terkini daripada JPJ. Sepanjang tahun ini, Proton eMas 7 hampir setiap bulan menguasai carta, kecuali pada Mei dan kini November. Untuk bulan ini, kedudukan akhirnya dipintas oleh Tesla Model Y.

    Tesla Model Y mencatatkan prestasi terbaiknya bagi tahun 2025 dengan 810 unit didaftarkan pada bulan November. Lonjakan ini membolehkan ia mengambil alih kedudukan teratas daripada eMas 7 serta meningkatkan jumlah terkumpul tahunannya kepada 3,490 unit.

    Walaupun tersingkir ke tempat kedua, Proton eMas 7 tetap mencatat angka yang sangat kukuh dengan 786 unit, juga merupakan prestasi kedua tertinggi bagi model itu dalam satu bulan. Secara keseluruhan, eMas 7 masih mendahului semua model lain dengan jumlah 7,740 unit setakat ini.

    Di tempat ketiga, Tesla Model 3 turut mencatat rekod peribadi untuk tahun ini dengan 491 unit didaftarkan pada November, menjadikan jumlah keseluruhannya 1,977 unit. Selepas tiga yang teratas, barisan model BYD terus menguasai kelompok pertengahan carta.

    20 model EV terlaris November 2025 – Tesla Model Y atasi Proton eMas 7, Model 3 di tempat ketiga

    BYD Atto 3 berada paling hampir dengan tiga pesaing utama apabila mencatatkan 440 unit, manakala Sealion 7 mengikuti rapat dengan 427 unit; kedua-duanya kini berkongsi jumlah terkumpul yang sama iaitu 3,569 unit. Model terbaru BYD, Seal 6, pula mencatat 380 unit pada November dan kini mencapai 824 unit secara keseluruhan.

    Model baru lain yang mula menunjukkan peningkatan ialah Zeekr 7X. Walaupun dilancarkan lewat tahun ini, ia telah pun mencatat 831 unit secara keseluruhan, dengan 274 unit direkodkan pada November untuk menduduki tempat ketujuh.

    Ia diikuti oleh BYD Atto 2 dengan 260 unit (1,336 unit terkumpul) dan iCaur 03 yang mencatat 215 unit, menjadikan jumlah keseluruhannya 560 unit. Menutup senarai 10 teratas ialah BYD M6 dengan 147 unit dan jumlah terkumpul 1,496 unit.

    Seterusnya, Xpeng G6 berada di tempat ke-11 dengan prestasi bulanan terbaik baginya setakat ini, iaitu 123 unit untuk mencapai 770 unit keseluruhan. Leapmotor C10 pula mencatat 86 unit bagi November dan kini berada pada angka 437 unit secara keseluruhan. Zeekr 009 menyusul dengan 76 unit (765 unit terkumpul), manakala Maxus T90 kekal dalam kelompok 20 teratas dengan 75 unit, sekaligus membawa jumlah tahunannya kepada 128 unit.

    20 model EV terlaris November 2025 – Tesla Model Y atasi Proton eMas 7, Model 3 di tempat ketiga

    Dua MPV dari China mencatat angka yang sama pada November, iaitu Denza D9 dan Xpeng X9, masing-masing dengan 70 unit. Walaupun begitu, Denza D9 kekal mendahului dari segi jumlah keseluruhan dengan 1,002 unit, berbanding 564 unit untuk X9.

    Seterusnya, JPJ menggabungkan pendaftaran GWM Ora Good Cat dan Ora 07 sebagai satu kategori, sama seperti model smart. Untuk November, model Ora gabungan ini mencatatkan 63 unit, yang juga merupakan prestasi bulanan terbaik bagi jenama tersebut tahun ini, sekaligus membawa jumlah keseluruhannya kepada 361 unit.

    Tiga model terakhir dalam senarai ialah BYD Seal dengan 51 unit—yang merupakan angka bulanan terendahnya setakat tahun ini tetapi hampir mencapai 1,000 unit keseluruhan, diikuti pendatang baru Proton eMas 5 yang membuat kemunculan dengan 44 unit. Model smart pula menutup senarai 20 teratas dengan 40 unit pada November, menjadikan jumlah tahunannya 236 unit.

     
     
  • Kia Malaysia dilancar secara rasmi — ingin terus relevan, fokus terhadap lepas jualan; umum pimpinan

    Kia Malaysia dilancar secara rasmi — ingin terus relevan, fokus terhadap lepas jualan; umum pimpinan

    Jenama Kia di Malaysia kini menempuh perjalanan baru dengan rasminya pengenalan Kia Sales Malaysia (KSM), yang ditubuhkan dan diterajui sendiri oleh syarikat induknya. Ia melibatkan ambil-alih jenama daripada pengedar sebelumnya, Dinamikjaya Motors milik Bermaz, KSM telah mendedahkan barisan pimpinan utama syarikat itu, yang diterajui oleh Presiden dan CEO Hyung Ho Kim dan Pengarah Urusan, Emily Lek.

    Perjalanan Kia di Malaysia bukanlah baru. Sejak hujung tahun 2000an ketika dibawah kendalian Kumpulan Naza, model-model seperti Rio, Forte dan Sorento sudah berada dalam pasaran tempatan. Namun pada pertengan tahun 2010an, keadaan menjadi lebih sukar untuk Kia, antaranya kerana persaingan daripada penawaran dari jenama Jepun.

    Keadaan sukar untuk Kia ini diteruskan pula pada tahun-tahun 2020an, dengan kehadiran pelbagai jenama dan model syarikat dari China. Kini, lembaran baru ingin dituliskan melalui kendalian Kia di bawah KSM, dengan slogan mereka “Be Unstill”.

    Kia Malaysia dilancar secara rasmi — ingin terus relevan, fokus terhadap lepas jualan; umum pimpinan

    Strategi yang akan dilakukan terdiri daripada tiga teras utama — Return, Rebuid and Reposition. Fasa pertama kehadiran semula ini telah pun dimulakan, dengan strategi pemasaran untuk meraih semula keyakinan pelanggan. Fasa kedua pula akan melibatkan pengembangan rangkaian pengedar dengan matlamat untuk memperkaya pengalaman yang sangat menyenangkan untuk pelanggan.

    Dan fasa terakhir untuk ini adalah untuk memposisikan semula barisan produk baru keluarannya untuk memenuhi keperluan pasaran Malaysia. Belum dimaklumkam model mana yang akan terlibat, tetapi ada dipamerkan dalam majlis yang sama beberapa model yang sebelum ini diedarkan oleh Dinamikjaya — seperti Carnival, Sportage dan Sorento terkini. Ada juga model EV9 yang masih dikekalkan.

    Kia Malaysia dilancar secara rasmi — ingin terus relevan, fokus terhadap lepas jualan; umum pimpinan

    Barisan pasukan utama KSM turut diperkenalkan, terdiri daripada Pengarah Perhubungan Kerajaan dan Produk, Hafiz Zaim, Pengurus Besar Jualan, Victor Chan, Pengurus Besar Pemilikan, Rafhan Saiah, Pengurus Besar Pemasaran, Vince Yeoh serta Pengurus Besar Saluran, Phang Chee Wei.

    Ditubuhkan pada 3 November lalu, KSM akan memulakan operasi pengedarannya pada 1 Januari 2026. Syarikat itu akan memenuhi semua tempahan yang dilakukan sehingga 30 November, dan semua pusat servis Kia akan beroperasi seperti biasa dalam fasa peralihan daripada Dinamikjaya. Bagaimanapun, tempahan akan dihentikan seketika sepanjang bulan Disember ini.

     
     
  • Proton jual 13, 451 unit pada November 2025 — YTD 143k unit, jangka kongsi pasaran 18.4%, 19.7% YTD

    Proton jual 13, 451 unit pada November 2025 — YTD 143k unit, jangka kongsi pasaran 18.4%, 19.7% YTD

    Proton telah umumkan, sepanjang bulan November syarikat itu telah menjual sebanyak 13,451 unit kenderaan (-13.6% berbanding Oktober, yang mencatatkan jualan terbaik tahun ini), termasuk eksport. Ini menjadikan jualan tahunan setakat ini (YTD) 143,322 unit (dan +3.6% berbanding tempoh sama tahun lalu, YoY). Proton hanya perlu menjual sebanyak 12,678 unit bulan ini sekiranya ingin mencapai angka jualan 156,unit bagi 2025.

    Syarikat itu menganggarkan TIV di Malaysia ketika ini 0.9% berbanding tahun lalu, dan berdasarkan ini menjangkakan perkongsian pasaran sebanyak 18.4% pada November dan 19.7% YTD.

    Sebanyak 6,931 unit Saga telah dijual sepanjang November, dengan angka YTD-nya kini 66,038 unit. Sebahagian besar daripada jumlah itu adalah model lama, kerana Saga MC3 hanya dilancarkan pada 27 November lalu. Proton menjelaskan, kilangnya di Tanjung Malim sedang mempergiat pengeluaran untuk memenuhi permintaan — lebih 30,000 pelanggan telah membeli sedan kompak tersebut.

    Proton jual 13, 451 unit pada November 2025 — YTD 143k unit, jangka kongsi pasaran 18.4%, 19.7% YTD

    Sepanjang November, SUV X50 telah terjual sebanyak 2,127 unit (25,974 unit YTD, +23.5% YoY, masih SUV paling laris), 1,487 unit S70 (15,828 unit YTD, masih pendahulu sedan segmen C), 1,050 unit Persona (14,214 unit YTD), 471 unit X70 (7,184 unit YTD), 234 X90 (2,357 unit YTD) dan 241 unit Iriz (3,208 unit YTD).

    Bagi EV pula, sebanyak 830 unti eMas 7 terjual sepanjang bulan lalu (7,784 unit YTD, masih EV paling laris di sini). Dan, walaupun Proton tidak menyatakan jumlah jualan eMas 5, syarikat itu menjelaskan model berkenaan turut menyumbang kepada peningkatan 14.8% jualan eMas berbanding bulan sebelumnya.

    Untuk pasaran eksport, 460 unit kenderaan Proton telah dijual sepanjang November (5,014 unit YTD, tertinggi sejak 2022, +37.3% lebih daripada 2024) — dengan sasaran 6,000 unit eksport tahun ini.

     
     
  • Harga minyak 11-17 Dis – diesel di Semenanjung, RON97, RON95 tanpa subsidi diturunkan 2 sen seliter

    Harga minyak 11-17 Dis – diesel di Semenanjung, RON97, RON95 tanpa subsidi diturunkan 2 sen seliter

    Bagi minggu bertarikh 11 hingga 17 Disember 2025, Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan bahawa harga runcit petrol RON 97 diturunkan sebanyak dua sen seliter kepada RM3.27 seliter.

    Untuk petrol RON 95 tanpa subsidi, ia juga diturunkan sebanyak dua sen seliter menjadi RM2.64 seliter. Walau bagaimana pun harga runcit petrol bersubsidi RON95 di bawah Budi95 masih kekal pada RM1.99 seliter.

    Begitu juga dengan harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia yang turut diturunkan sebanyak dua sen seliter menjadi RM3.06 seliter. Manakala harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan yang kekal pada RM2.15 seliter.

    Pada 2 Disember lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan kekal komited melaksanakan mekanisme penyasaran subsidi petrol RON 95 menerusi program Budi Madani RON95 (Budi95), sekali gus menolak cadangan Bank Dunia supaya harga bahan api ditetapkan mengikut harga pasaran. Katanya, penyasaran subsidi RON 95 merupakan langkah berhemat yang membolehkan kerajaan menjimatkan perbelanjaan tanpa membebankan rakyat.

     
     
  • PANDU UJI: Proton eMas 5 Premium 2025 – EV paling murah, tapi seronok dipandu, praktikal dalam bandar!

    PANDU UJI: Proton eMas 5 Premium 2025 – EV paling murah, tapi seronok dipandu, praktikal dalam bandar!

    Semacam tidak percaya, jenama automotif nasional iaitu Proton telah melancarkan model elektrik penuh (EV) pertamanya pada Disember tahun lalu. Ini kerana penulis masih ingat lagi tiga tahun sebelum itu iaitu pada 2021, Proton masih belum jelas dengan rancangan elektrifikasinya, malah ada laporan penyelidikan yang menyatakan bahawa Proton hanya akan melancarkan model EV pertamanya pada 2027 nanti.

    Namun setelah ada hala tuju yang lebih jelas dari kerajaan yang mahukan kedua-dua pengeluar automotif nasional untuk hadir dengan model EV mampu milik menjelang akhir 2025, Proton mula mengorak langkah. Dengan pengenalan eMas 7, ‘tugas’ yang diberikan oleh kerajaan berkenaan baru hanya siap separuh kerana harga jualan model tersebut masih belum masuk dalam kategori “mampu milik”. ‘Tugas’ itu hanya disempurnakan dengan pelancaran eMas 5 pada penghujung Oktober tahun ini.

    Proton eMas 5 ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insuran bermula RM59,800 bagi varian asas Prime, dan RM72,800 untuk varian tertinggi Premium. Malah untuk pelanggan yang membuat tempahan sebelum 31 Disember 2025, Proton memberikan diskaun tambahan sebanyak RM3,000, menjadikan varian Prime dijual pada harga RM56,800 dan varian Premium pula pada harga RM69,800.

    Ini secara tidak langsung menjadikan eMas 5 sebagai EV paling mampu milik di Malaysia buat masa sekarang, walaupun selepas jenama yang lebih sinonim dengan istilah mampu milik iaitu Perodua melancarkan EV pertamanya, QV-E yang dijual pada harga RM80,000 tidak termasuk bateri.

    Secara jujur, penulis sendiri tidak terlalu teruja menanti kehadiran eMas 5 ini. Iya lah, ia adalah produk entry level, tengok spesifikasi atas kertas pun nampak ‘cikai’. Tapi jelas apa yang penulis fikirkan adalah meleset. Selepas diberi peluang memandu uji hatchback EV ini segala persepsi awal tersebut berubah! Kenapa? Mari ikuti pengalaman penulis memandu uji EV yang telah menerima tempahan lebih 10,000 unit tak sampai sebulan selepas dilancarkan ini.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Kymco AK550 Premium CKD dilancar – spesifikasi skuter 550 cc tidak berubah, harga kini RM55,888

    Kymco AK550 Premium CKD dilancar – spesifikasi skuter 550 cc tidak berubah, harga kini RM55,888

    Pada bulan Januari tahun 2024, Kymco AK550 Premium memasuki pasaran Malaysia sebagai unit import dan dijual pada harga RM65,600. Kini, Modenas selaku pengedar rasmi motosikal jenama Taiwan itu mengumumkan pengeluaran AK550 Premium versi pemasangan tempatan (CKD), yang dijual pada harga RM55,888 tidak termasuk insurans.

    Pengurangan harga hampir RM10k ini menjadikan skuter maxi tersebut semakin kompetitif dalam pasaran, dan dapat kembali bersaing dengan pelbagai model skuter lain dalam segmen sama seperti Yamaha TMax 560 dan SYM Maxsym TL508.

    AK550 dipacu oleh enjin dua silinder selari crossplane DOHC 550.4 cc yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 50.9 hp pada 7,500 rpm dan tork 52 Nm pada 6,000 rpm, dihantar ke roda belakang melalui transmisi automatik CVT dan sistem tali sawat. Untuk menyesuaikan tunggangan dengan keadaan, penunggang boleh memilih dua mod, sama ada Power atau Rain.

    Kymco AK550 Premium CKD dilancar – spesifikasi skuter 550 cc tidak berubah, harga kini RM55,888

    Memegang skuter seberat 238 kg ini ke atas jalan adalah suspensi yang terdiri daripada fork USD di hadapan (tanpa pelarasan) dan monoshock melintang dengan pelarasan pra beban di belakang. Kedua-dua rim adalah bersaiz 15 inci, dengan tayar 120/70 di hadapan dan 160/60 di belakang.

    Brek AK550 menggunakan set cakera berkembar 270 mm dengan angkup Brembo empat piston di hadapan, sementara di belakang terdapat cakera 260 mm dengan angkup dua piston. Selain fungsi brek parkir, sistem brek skuter ini juga datang dengan sistem Cornering ABS pintar yang dikatakan mempunyai sensor dan boleh mengawal kuasa brek pada setiap tayar mengikut keadaan.

    Sebagai sebuah skuter maxi, AK550 datang pelbagai kemudahan antaranya penghadang angin boleh laras secara elektrik, cruise control, sistem kunci pintar serta ruang simpanan bawah tempat duduk yang dikatakan boleh menempatkan satu helmet fullface dan satu helmet open face.

    Untuk paparan informasi, ia dilaksanakan oleh skrin digital dengan unit TFT bulat di bahagian tengah serta sistem Noodoe yang membolehkan ia disambung kepada telefon untuk kawalan fungsi navigasi, musik dan telefon. Tangki bahan api AK550 berkapasiti 14.5 liter dan tinggi tempat duduknya adalah 785 mm.

     
     
  • Yamaha EZ115 tampil dengan warna baru – RM5,698

    Yamaha EZ115 tampil dengan warna baru – RM5,698

    Hampir tiga tahun berada dalam pasaran, Yamaha EZ115 sekali lagi disegarkan semula, dengan kini ditawarkan dalam tiga warna baru iaitu biru, kelabu dan hijau. Harga cadangan pengeluar bagaimanapun tidak berubah, masih lagi RM5,698 tidak termasuk insurans.

    Walaupun menggunakan nama yang bermula dengan huruf EZ, motosikal ini sebenarnya bukanlah sebuah skuter. Ia sebaliknya adalah kapcai bertransmisi empat kelajuan (tanpa klac tangan), dan dipacu oleh enjin satu silinder, SOHC, suntikan bahan api, 114 cc, mampu menghasilkan kuasa 8.7 PS pada 7,000 rpm dan tork 9.5 Nm pada 5,500 rpm.

    Enjin yang mendapat penarafan Euro 4 itu boleh dihidupkan dengan menggunakan penendang kaki ataupun butang elektrik, sementara pada panel meter pula terdapat lampu penunjuk Eco serta tanda amaran bateri sekiranya bateri mula menjadi lemah.

    EZ115 juga boleh memberikan kemudahan tambahan kepada pengguna dengan menyediakan ruang simpanan di bawah tempat duduk, tetapi ia telah menjadikan tangki bahan apinya sedikit kecil berbanding Lagenda 115Z, iaitu 3.9 liter (Lagenda berkapasiti 4.05 liter).

    Bahagian lain motosikal ini dijadikan ringkas sahaja, dengan lampu masih menggunakan mentol, brek cakera hanya di depan (belakang menggunakan dram) dan rim bersaiz 17 inci dengan tayar 70/90 di depan dan 80/90 di belakang. Suspensi pula terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan dua penyerap hentak di belakang.

     
     
  • smart #6 EHD terdedah – sedan segmen D PHEV saiz hampir seperti Mercedes-Benz E-Class, enjin 1.5T

    smart #6 EHD terdedah – sedan segmen D PHEV saiz hampir seperti Mercedes-Benz E-Class, enjin 1.5T

    Hari demi hari, smart semakin jauh berubah daripada identitinya sebagai pengeluar kereta bandar kecil. Selepas memperkenalkan beberapa SUV elektrik yang meluaskan hala tujunya, smart kini bersedia melangkah lebih jauh dengan kemunculan sebuah sedan besar baru yang dikenali sebagai #6.

    Model ini muncul dalam dokumen pendaftaran di kementerian industri dan teknologi maklumat (MIIT) China, seperti dilaporkan oleh Autohome. Saiznya agak besar, dengan panjang 4,906 mm, lebar 1,922 mm dan tinggi 1,508 mm – hanya kurang 50 mm berbanding Mercedes-Benz E-Class semasa dari segi panjang, malah mengatasinya dalam hampir semua dimensi lain kecuali jarak roda, yang mencatatkan 2,926 mm.

    Daripada imej yang terdedah, bahagian hadapan jelas mengekalkan identiti smart menerusi rekaan seperti pada #1 dan #3, termasuk jalur lampu LED melintang yang bersambung terus ke lampu utama nipis, serta bukaan udara tengah yang menurun, kali ini dengan bingkai menyerlah dalam warna badan.

    smart #6 EHD terdedah – sedan segmen D PHEV saiz hampir seperti Mercedes-Benz E-Class, enjin 1.5T

    Semua ini dipadankan dengan bentuk sedan elektrik buatan China yang elegan, lengkap dengan garisan tingkap enam panel yang memanjang, pemegang pintu pop-out yang rata dan perincian hitam berkilat pada bahagian bawah untuk mengurangkan visual ketinggian kenderaan.

    Bahagian belakang pula menyaksikan perubahan ketara daripada gaya comel model-model smart lain kepada penampilan lebih sporty. Jalur lampu belakang penuh masih dikekalkan, namun bentuk segi empat dan rekaan dalaman gelap memberikan aura seakan kereta moden yang tegap. Turut kelihatan ialah spoiler aktif belakang, bersama rekaan bampar agresif dan kemasan bawah berwarna badan yang melengkapkan rupa keseluruhan.

    Tidak seperti model smart lain yang sepenuhnya elektrik, lencana EHD pada bahagian belakang memberi petanda kepada penggerak plug-in hybrid, sama seperti sistem yang digunakan pada #5 EHD. Asasnya dijangka hampir sama, dengan #6 disahkan menggunakan enjin petrol 1.5 liter BHE15-CFZ turbo empat silinder dengan kecekapan terma 47.26%, menghasilkan 163 PS dan 255 Nm – enjin yang mempunyai kaitan dengan unit pada Proton X50 facelift.

    smart #6 EHD terdedah – sedan segmen D PHEV saiz hampir seperti Mercedes-Benz E-Class, enjin 1.5T

    Model #5 EHD dilengkapi transmisi hibrid khusus tiga kelajuan (3DHT Evo) bersama motor elektrik 272 PS/380 Nm, memberikan jumlah kuasa keseluruhan 425 PS dan 635 Nm yang dihantar sepenuhnya ke roda hadapan. Ia juga ditawarkan dengan bateri LFP 20 kWh dan 41.46 kWh, menawarkan jarak pemanduan elektrik penuh masing-masing 120 km dan 252 km mengikut kitaran CLTC di China, seterusnya menghasilkan jarak gabungan sehingga 1,483 km atau 1,615 km. Dengan bentuk aerodinamik #6 yang lebih licin, jarak pemanduan dijangka sedikit lebih baik.

    smart #6 dijangka dilancarkan di China seawal tahun depan sebelum memasuki pasaran global. Trenkuasa PHEV ini dijangka membantu memulihkan jualan smart yang merosot ketika permintaan EV mula perlahan. Dan bagi peminat model kecil smart, jangan risau – sebuah dua tempat duduk mirip fortwo yang dikenali sebagai #2 turut dirancang hadir menjelang akhir 2026.

     
     
  • Kit badan Toyota Yaris Cross mula dijual di Malaysia – pelancaran D66B Perodua Nexis/Traz semakin hampir?

    Kit badan Toyota Yaris Cross mula dijual di Malaysia – pelancaran D66B Perodua Nexis/Traz semakin hampir?

    Sudah dua tahun sejak Toyota Yaris Cross untuk pasaran ASEAN didedahkan, namun perkembangan terbaru menunjukkan pelancarannya di Malaysia kini semakin hampir. Malahan sebelum model Perodua yang mempunyai kaitan dengannya, iaitu D66B (mungkin juga dinamakan sebagai Nexis atau Traz) muncul dalam teaser semalam, pengedar rasmi aksesori Modellista untuk Toyota telah memaklumkan bahawa tempahan bagi kit badan untuk SUV segmen-B itu sudah dibuka.

    Perkembangan ini sebenarnya lebih besar daripada sekadar pelancaran kit badan. Pengedar tersebut ialah Wing Hin Motorsports, sebahagian daripada kumpulan Wing Hin yang juga antara pengedar Toyota terbesar di negara ini. Jika ada pihak yang mempunyai maklumat awal tentang model baru Toyota yang akan dilancarkan UMW Toyota Motor, syarikat ini pasti adalah salah satu daripadanya. Jelas sekali, pengumuman ini bukan satu kebetulan.

    Pelancaran Yaris Cross yang semakin hampir juga berkait rapat dengan kehadiran Perodua D66B. Kedua-dua model berkongsi platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) dan dijangka diproduksi di kilang Perodua di Sungai Choh, Rawang – sama seperti perkongsian produksi antara Perodua Alza dan Toyota Veloz sebelum ini.

    Ketika ini, Perodua baru sahaja menyelesaikan pembangunan EV pertamanya, QV-E, yang dibangunkan sepenuhnya dari awal. Dengan projek besar itu kini selesai, fokus syarikat boleh beralih kepada model penting seterusnya yang bakal berada di atas Ativa sebagai penawaran paling tinggi dalam barisan produknya. Dengan D66B dijangka diperkenalkan tidak lama lagi, Yaris Cross juga berkemungkinan besar dilancarkan seiring sebagai pilihan yang lebih premium.

    Petanda awal kehadiran Yaris Cross sebenarnya sudah dapat dilihat sejak Ogos lalu apabila ASEAN NCAP mengumumkan keputusan ujian pelanggaran model itu – yang menerima penarafan lima bintang. Dalam laporannya, agensi tersebut menyatakan bahawa model berkenaan sedang dibina untuk pasaran Malaysia, sesuatu yang pada masa itu belum benar, tetapi kini semakin jelas kesahihannya.

    Model ini tidak harus dikelirukan dengan Yaris Cross versi global yang lebih kecil dan lebih canggih berdasarkan platform Toyota New Global Architecture (TNGA). Versi Asia Tenggara ini berukuran 4,310 mm panjang, 1,770 mm lebar dan 1,615 mm tinggi, menjadikannya 245 mm lebih panjang, 60 mm lebih lebar dan 20 mm lebih rendah berbanding Perodua Ativa. Jarak rodanya 2,620 mm, iaitu 95 mm lebih panjang, memberikan ruang kaki belakang yang lebih luas.

    Kuasa dijana oleh enjin 1.5 liter 2NR-VE tanpa turbo yang menghasilkan 106 PS dan 138 Nm – enjin yang sama seperti pada Alza, dipadankan dengan transmisi CVT. Turut ditawarkan ialah varian hibrid yang menggunakan enjin kitaran Atkinson 2NR-VEX berkuasa 91 PS dan 121 Nm, dipadankan dengan dua motor elektrik dalam eCVT, dengan motor yang menghasilkan 80 PS dan 141 Nm.

    Segalanya menunjukkan bahawa Toyota Yaris Cross dan Perodua Nexis/Traz semakin hampir memasuki pasaran. Persoalannya kini, adakah anda lebih cenderung memilih Perodua dengan harga dijangka lebih rendah, atau sanggup membayar lebih untuk versi Toyota? Kongsikan pendapat anda.

    GALERI: Toyota Yaris Cross pasaran Indonesia

     
     
  • Seres 3 EV di Malaysia — hanya 10 unit, RM95k; Seres 5 Pro REEV dengan jarak 1,175 km tiba Q1 2026

    Seres 3 EV di Malaysia — hanya 10 unit, RM95k; Seres 5 Pro REEV dengan jarak 1,175 km tiba Q1 2026

    Dalam pasaran tempatan ketika ini, ada sebuah model EV terbaru yang dikenali dengan nama Seres 3 (disebut Series 3). Diedarkan oleh Oriental Swan Motor Group, Seres 3 kini ditawarkan dengan harga promosi RM95,000 atas jalan belum termasuk insuran. Tetapi, hanya ada 10 unit sahaja tersedia sebagai pengenalan jenama tersebut.

    Seres 3 sudah pernah tampil di Malaysia pada 2021, ketika seorang pembaca paultan.org mengirim gambar EV berkenaan dalam versi sebelum facelift-nya. Yang sedang anda lihat ini pula ialah versi facelift terkini yang disasarkan untuk pasaran eksport, tetapi telah dihentikan pengeluarannya di China (dikenali sebagai Glory E3 dahulu).

    Dengan harga itu, pelanggan akan mendapatkan sebuah SUV elektrik dengan saiz yang hampir sama seperti Honda e:N1/HR-V dan Proton X50. Ia mempunyai ukuran 4,385 mm panjang, 1,850 mm lebar, 1,650 mm tinggi dengan jarak roda 2,655 mm. Suspensi depan adalah dari jenis MacPherson Strut, manakala di belakang jenis torsion beam. Ia dilengkapi juga dengan rim 18-inci dengan tayar 225/55.

    Seres 3 EV di Malaysia — hanya 10 unit, RM95k; Seres 5 Pro REEV dengan jarak 1,175 km tiba Q1 2026

    Motor elektriknya memacu roda depan dan menjana sebanyak 163 PS (161 hp atau 120 kW) dan 300 Nm, yang mendapatkan kuasanya daripada bateri nickel manganese cobalt (NMC) berkapasiti 53.6-kWj. Ini memberikan jarak sejauh 405 km NEDC (sekitar 340 km WLTP) dan menyokong pengecasan AC 11 kW (0-80% dalam empat jam) serta pengecasan pantas DC 60-kW (0-80% dalam masa 40 minit).

    Antara kelengkapan yang ada pula seperti skrin sentuh 10.25-inci untuk sistem infotainmen, empat-pembesar suara, enam-beg udara, ESP, bantuan brek, EBD, kawalan cengkaman, bantuan mula mendaki, peninjau tekanan tayar, kawalan melayar pasif, sensor parkir belakang dan lain-lain.

    Namun di sini, ia tiada ciri seperti sistem masuk tanpa kunci, cermin sisi kuasa elektrik atau ADAS — mencadangkannya dari varian yang paling asas. Bagaimanapun, untuk EV ini ada tayar ganti disediakan — sesuatu yang jarang ada untuk EV.

    Seres 3 EV di Malaysia — hanya 10 unit, RM95k; Seres 5 Pro REEV dengan jarak 1,175 km tiba Q1 2026

    Seres 3 ini merupakan sebuah EV yang meminjam kerangka model Glory 500 janaan enjin biasa, dan dialihkan untuk menjadi EV. Penggunaan bateri NMC juga menunjukkan kereta ini sudah lama, kerana di China, mereka telah beralih kepada bateri lithium iron phosphate (LFP) untuk saiz yang setara.

    Menurut pengedar tempatannya, Seres 3 akan disertai oleh model Seres 5 Pro pada suku pertama 2026, dengan versi range extender (REEV) dijangka dapat memberikan jarak 1,200 km WLTP. Versi REEV berkenaan menggunakan enjin 1.5 liter turbocas empat-silinder sebaris petrol dan ada sebuah motor elektrik yang bertindak sebagai generator untuk bateri NMC 40 kWj.

    Itu digunakan untuk sepasang motor elektrik yang memberikan pacuan semua roda dan output keseluruhan sistem sebanyak 551 PS (543 hp atau 405 kW) dan 820 Nm. Ada juga versi pacuan roda belakang REEV ini ditawarkan dengan janaan 347 PS (342 hp atau 255 kW) dan 520 Nm.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026