Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • JPJ Kedah keluar 4,513 saman ke atas kenderaan berat

    JPJ Kedah keluar 4,513 saman ke atas kenderaan berat

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri Kedah telah mengeluarkan 4,513 saman selepas melakukan pemeriksaan ke atas 13,902 buah kenderaan perdagangan di bawah Ops Perang Lebih Muatan yang telah dijalankan sejak Oktober lalu, lapor Bernama. Operasi tersebut yang akan berlangsung hingga hujung tahun mensasarkan pemandu dan kenderaan perdagangan yang melanggar peraturan, terutamanya dengan membawa lebih muatan.

    “Operasi ini melibatkan negeri seperti Kedah, Pulau Pinang dan Perlis, serta dilakukan secara berperingkat. P. Pinang dari 17-23 November, dan di wilayah Utara secara bersepadu dari 19-21 Disember,” jelas Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam kepada pemberita semalam. 45 daripada 4,513 saman yang dikeluarkan itu adalah atas kesalahan lebih muatan, termasuk tiga kes dengan bebanan melebihi 50% daripada had yang dibenarkan.

    “Setakat ini, tiga kenderaan telah dilucutkan statusnya sepanjang operasi berlangsung — satu di P. Pinang dan dua di Kedah. Keseluruhannya, enam kenderaan telah dilucutkan status di Kedah bagi tempoh Jun-Disember tahun ini,” tambah beliau, dengan menambah bahawa 60 pegawai penguatkuasa telah dikerahkan dalam setiap fasa, melibatkan rondaan bergerak dan di lokasi strategik, termasuk laluan logistik dan kawasan berisiko tinggi untuk lebihan muatan.

    Kutipan saman di Kedah sejak awal 2025 pula kini mencecah RM23,399,865, dengan RM20,049,665 adalah melalui kompaun dan RM3,350,200 melalui sidang mahkamah.

     
     
  • Basikal dilarang di KESAS, termasuk di lorong motor

    Basikal dilarang di KESAS, termasuk di lorong motor

    Amanat Lebuhraya Rakyat (ALR) sekali lagi berkongsi peringatan melalui laman Facebook berkaitan larangan pengayuh basikal untuk berada di dalam laluan Lebuhraya Shah Alam (KESAS), termasuk di laluan motosikal. Perbuatan itu disifatkan sebagai sangat berbahaya dan membahayakan pengguna jalan yang lain, termasuk diri mereka sendiri.

    Hantaran tersebut telah menimbulkan perdebatan yang hangat, dengan segelintir berpendapat bahawa lorong motosikal tidak kerap digunakan, sementara segelintir yang lain menyokong larangan tersebut. Apa pun, ada jurang perbezaan kelajuan yang jauh antara kedua-dua kenderaan itu, dan keselamatan seharusnya diutamakan terlebih dahulu.

    Apa pula pandangan anda?

     
     
  • Jadual Cadangan Waktu Perjalanan di Lebuhraya KL-Karak, LPT1 sempena Krismas – 25 & 28 Dis 2025

    Jadual Cadangan Waktu Perjalanan di Lebuhraya KL-Karak, LPT1 sempena Krismas – 25 & 28 Dis 2025

    Sempena perayaan Krismas yang bakal disambut luasa, AFA Prime Berhad (sebelum ini dikenali sebagai ANIH BERHAD) selaku pengendali Lebuhraya KL-Karak (KLK) & Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) telah mengeluarkan Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk rujukan para pengguna kedua-dua lebuhraya terbabit.

    TTA berkenaan adalah bagi perjalanan antara 25 Disember dan 28 Disember 2025, memberikan peluang kepada pengguna untuk merancang perjalanan dengan baik bagi menikmati perjalanan yang lebih lancar dan selesa menuju kampung halaman atau destinasi pilihan.

    Bagi yang datang dari arah KL dan Selangor, dan memulakan perjalanan 25 Disember, anda disaran mula bergerak antara jam 12 tengahari hingga 4 petang atau 8 malam hingga 11 malam jika ke Pahang, antara 9 pagi hingga 12 tengahari atau 8 malam hingga 11 malam bagi yang ke Terengganu dan yang menuju ke Kelantan, dicadangkan mula bergerak antara 6 pagi hingga 9 pagi atau selepas 5 petang hingga 8 malam.

    Jadual Cadangan Waktu Perjalanan di Lebuhraya KL-Karak, LPT1 sempena Krismas – 25 & 28 Dis 2025

    Untuk perjalanan kembali ke KL dan Selangor pada antara 28 Disember pula, anda disarankan memulakan perjalanan antara jam 7 pagi hingga 10 pagi atau selepas jam 7 petang hingga 11 malam jika dari Pahang. Bagi yang datang dari arah Terengganu, disarankan mula bergerak selepas 10 pagi hingga 1 tengahari atau selepas 8 malam hingga 10 malam. Manakala yang datang dari arah Kelantan pula, disarankan mula bergerak selepas 4 petang hingga 8 malam atau selepas 9 malam hingga 12 tengah malam.

    Waktu perjalanan bebas pula dari mana-mana destinasi adalah antara 12 tengah malam sehingga 6 pagi. Untuk bas ekspres pula, untuk destinasi ke Pantai Timur, disarankan memasuki Plaza Tol Gombak antara jam 9.30 pagi hingga 12 tengahari atau 9.30 malam hingga 12 tengahmalam. AFA memaklumkan, kenderaan ringan tidak digalakkan memasuki Plaza Tol Gombak pada waktu tersebut.

    Sila periksa kondisi kenderaan anda sebelum memulakan perjalanan. Disarankan agar anda selenggara kenderaan terlebih dahulu bagi memastikan ia berada dalam keadaan yang baik. Pastikan kad tambah nilai Touch ‘n Go mempunyai baki yang mencukupi. Dapatkan rehat yang mencukupi sebelum memandu dan sentiasa amalkan pemanduan selamat. Moga anda selamat sampai ke destinasi yang ditujui.

     
     
  • Jualan kenderaan di M’sia pada Nov 2025 turun 4.6%

    Jualan kenderaan di M’sia pada Nov 2025 turun 4.6%

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan kenderaan untuk bulan November 2025, dengan melaporkan bahawa sebanyak 72,509 unit telah dihantar kepada pembeli pada bulan lalu. Ia mewakili penurunan sebanyak 4.6% atau 3,482 unit, berbanding 75,991 unit (asalnya dilaporkan pada 75,992 unit) yang terjual pada Oktober.

    Menurut persatuan terbabit, walaupun berlaku penurunan berbanding bulan yang mencatat rekod yang lebih baik, prestasi jualan pada bulan November masih kekal tinggi dan wajar dipuji, didorong oleh kesinambungan kempen promosi agresif sejak Oktober serta pembelian pantas oleh pengguna terhadap kenderaan elektrik (EV) import sepenuhnya (CBU) sebelum pengecualian cukainya berakhir pada 31 Disember 2025.

    Angka jualan bulan November juga menunjukkan peningkatan sebanyak 5.5% (atau 3,760 unit) berbanding bulan yang sama pada tahun 2024, di mana sebanyak 68,749 unit kenderaan penumpang dan komersil telah terjual. Bagi angka setakat ini (YTD) pula, jumlah keseluruhan jualan pada tahun 2025 menjelang penghujung tahun adalah sebanyak 727,836 kenderaan, hanya 1.15% lebih rendah berbanding tempoh yang sama pada tahun 2024 dengan 736,317 unit telah dihantar kepada pelanggan.

    Berdasarkan angka jualan pada bulan November, jumlah volum industri (TIV) dijangka melepasi sasaran ramalan 780,000 unit bagi tahun 2025 dengan selesa, namun kini dilihat agak sukar untuk jumlah keseluruhan mengatasi rekod TIV tahun lalu iaitu sebanyak 816,747 unit.

    Walaupun begitu, persatuan tersebut menyatakan bahawa mereka menjangkakan momentum jualan pada bulan Disember akan terus kukuh seperti bulan November, berikutan permintaan terhadap EV CBU yang berterusan sehingga akhir tahun.

     
     
  • Jetour T1 dilihat lagi di Malaysia, lebih murah dari T2?

    Jetour T1 dilihat lagi di Malaysia, lebih murah dari T2?

    Jetour T1 telah dilihat sekali lagi ketika sedang diuji di Malaysia, kali ini di SS2 Petaling Jaya, dan dikongsikan di laman Facebook paultan.org Automotive/Car Discussion Group oleh Michael Wong Boon Kim.

    T1 merupakan model SUV dalam saiz yang lebih kecil berbanding model T2, dan direka lebih untuk kegunaan dalam kota. Ia mempunyai dimensi ukuran 4,706 mm panjang, 1,967 mm lebar, 1,845 mm tinggi dan jarak roda 2,810 mm. Di antara kedua model berkenaan juga terdapat banyak kelainan rekaan bahagian depan dan belakang untuk membezakannya.

    Di pasaran China, T1 ditawarkan dengan enjin 1.5 liter dengan janaan 184 PS/290 Nm atau enjin 2.0 liter yang menjana 254 PS/390 Nm — kedua-duanya unit empat-silinder dengan turbo. Unit yang lebih kecil memacu roda depan melalui transmisi DCT tujuh-kelajuan, sementara unit yang lebih besar memacu sama ada roda depan atau semua roda melalui transmisi automatik lapan-kelajuan.

    Model T2 pula menggunakan enjin 2.0 liter yang sama, tetapi diganding dengan 7-DCT dan ciri AWD. Di China, T1 dijual dengan harga 125k-155k yuan (RM72k-90k), dan diposisikan di bawah T2 yang dijual bermula 140k yuan (RM81k). Memandangkan harga anggaran T2 ialah RM179k, adakah T1 boleh dijual dengan harga di bawah RM170k?

     
     
  • EV CBU yang tiba di Malaysia sebelum 28 Disember layak pengecualian duti eksais, cukai import — MAA

    EV CBU yang tiba di Malaysia sebelum 28 Disember layak pengecualian duti eksais, cukai import — MAA

    Kereta elektrik (EV) yang diimport sepenuhnya (CBU) yang dibawa masuk sebelum 28 Disember tahun ini masih layak untuk menikmati pengecualian duti eksais dan import, walaupun tempoh pengecualian itu bakal berakhir minggu depan, dan harga baru untuknya akan naik bermula 1 Januari 2026. Perkara ini dijelaskan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dalam satu wawancara dengan Buletin Utama.

    Tempoh serahan bagi EV CBU boleh dilanjutkan memandangkan syarat utama bagi pengecualian cukai tersebut adalah tempoh kenderaan itu memasuki negara, dan bukannya bergantung kepada jadual serahan, jelas Presiden MAA, Mohd Shamsor Mohd Zain. “Tempoh serahan tidak berkaitan dengan pengecualian cukai tersebut. Apa yang penting adalah stok perlu masuk ke Malaysia sebelum 28 Disember 2025 dan diisytiharkan kepada kastam,” jelas beliau.

    Pertama kali diumumkan pada Oktober 2021 ketika pembentangan Belanjawan 2022, pengecualian duti import dan eksais ketika ini telah dilanjutkan selama dua kali. Awalnya, ia sepatutnya berakhir pada 31 Disember 2023, sebelum dilanjutkan kepada 31 Disember 2024 ketika pembentangan Belanjawan 2023, dan kemudian diumumkan dalam ucapan Belanjawan 2023 PMX pada Februari 2023.

    EV CBU yang tiba di Malaysia sebelum 28 Disember layak pengecualian duti eksais, cukai import — MAA

    Tempoh pengecualian tersebut yang tidak lagi akan dilanjutkan telah merancakkan jualan EV pada bulan November dan Disember kerana pembeli dan pengedar ingin memanfaatkan kelebihan itu sebelum tarikh luputnya, ujar Mohd Shamsor.

    Menurut MAA, bagi jumlah keseluruhan industri (TIV), ia dijangka akan melepasi angka 800,000 unit tahun ini. Pertumbuhan ini dipacu oleh aktiviti promosi yang berlaku pada suku keempat tahun 2025.

    Pada 2024, industri mencapai rekod baru dengan 816,747 unit, atau peningkatan 2.1% daripada rekod sebelumnya yang mencatatkan 799,821 unit pada 2023. Tahun ini, pendahulu industri dari segi jumlah, Perodua dijangka akan menyumbang sebanyak 44%-46% daripada TIV yang dijangka berada antara 780K unit hingga 805k unit.

     
     
  • Kerajaan jimat RM800j sejak Budi95 dilaksana; penjimatan dapat bagi inisiatif untuk rakyat – PMX

    Kerajaan jimat RM800j sejak Budi95 dilaksana; penjimatan dapat bagi inisiatif untuk rakyat – PMX

    Kerajaan berjaya menjimatkan sejumlah RM800 juta sejak program Budi Madani RON 95 (Budi95) bermula pada 30 September. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penjimatan itu hasil daripada langkah memastikan subsidi bahan api hanya dinikmati oleh rakyat Malaysia. Di mana program tersebut berjaya membendung ketirisan yang sebelum ini turut memberi manfaat kepada lebih 3.5 juta warga asing serta kegiatan penyeludupan bahan api.

    Beliau berkata setiap ringgit yang dijimatkan daripada subsidi bahan api bersasar itu disalurkan semula kepada rakyat melalui pelbagai inisiatif termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara), selain usaha menaiktaraf klinik dan hospital, menambah baik jalan raya serta memperkukuhkan lagi infrastruktur dan kemudahan demi rakyat, laporan Bernama.

    Seperti yang dilaporkan sebelum ini, seramai 13.9 juta daripada 16.55 juta rakyat Malaysia yang layak (84%) telah membeli sebanyak 2.59 bilion liter petrol RON 95 pada harga bersubsidi RM1.99 seliter (berjumlah RM5.16 bilion) sejak program tersebut dilaksanakan sehingga 30 November lalu.

    Selain itu, turut dinyatakan sebelum ini bahawa kerajaan turut dijangka menjana penjimatan sekitar RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun. Walau bagaimana pun ia tertakluk kepada harga minyak global, berdasarkan data tinjauan penggunaan domestik sebelum pelaksanaan Budi95. Penjimatan tahunan itu dijangka bukan sahaja menepati malah melebihi unjuran, berdasarkan jumlah yang dilaporkan bagi tempoh lebih dua bulan pelaksanaan program tersebut.

    Di bawah program Budi95, semua pemegang MyKad Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang mempunyai lesen memandu yang sah layak untuk membeli sehingga 300 liter petrol RON 95 bersubsidi setiap bulan pada harga RM1.99 seliter, berbanding harga pasaran mingguan tanpa subsidi, yang kini pada paras RM2.62 seliter bagi minggu 18 hingga 24 Disember.

     
     
  • Zeekr Malaysia catat kejayaan dengan 2,000 unit jualan – 7X milik Siti Nurhaliza lengkapi pencapaian tersebut

    Zeekr Malaysia catat kejayaan dengan 2,000 unit jualan – 7X milik Siti Nurhaliza lengkapi pencapaian tersebut

    Zeekr Intelligent Technology Malaysia telah menganjurkan satu acara di Sentul Depot, Kuala Lumpur pada hujung minggu lalu bagi menjayakan penghantaran kenderaan ke-2,000, yang dicapai dalam tempoh hanya setahun sejak pelancaran rasmi jenama EV itu pada Disember 2024. Kenderaan bersejarah tersebut ialah sebuah 7X berwarna Forest Green, yang diserahkan kepada pemiliknya yang merupakan legenda dunia hiburan tanahair Datuk Seri Siti Nurhaliza. Acara itu turut menghimpunkan 50 pemilik baharu Zeekr yang lain bersama keluarga masing-masing.

    “Kejayaan memperoleh 2,000 pemilik dalam tempoh setahun bukanlah satu pencapaian kecil bagi kami di Zeekr dan ia mencerminkan kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat Malaysia terhadap jenama ini serta janji kami untuk menawarkan bukan sekadar kereta, tetapi pengalaman pemilikan kenderaan yang tiada tandingan. Kami akan terus meningkatkan standard dalam jualan dan perkhidmatan selepas jualan, bagi memastikan setiap perjalanan bersama Zeekr sinonim dengan kemewahan dan ketenangan fikiran.

    “Hari ini kami meraikan lebih daripada sekadar angka – kami meraikan hubungan. Kepada setiap pemilik yang telah meletakkan kepercayaan mereka terhadap Zeekr, terima kasih kerana mempercayai visi kami untuk mentakrifkan semula pemilikan EV premium. Kami menantikan untuk mengalu-alukan anda ke dalam keluarga Zeekr dan mencipta pengalaman perjalanan yang melangkaui jangkaan,” kata Eddy Lu, Pengurus Besar Zeekr Malaysia.

    Tahun hadapan, Zeekr akan memperkembangkan lagi rangkaian jualannya, dengan wakil pengedaran baharu bakal berada di Johor Bahru, Melaka, Ampang KL dan Ipoh. Syarikat itu turut berkata, menjelang akhir 2026, pengedarannya akan memiliki 18 bilik pameran di seluruh negara, termasuk lebih 10 pusat servis serta mengetuk dan mengecat kenderaan.

    Buat masa ini, Zeekr Malaysia telah melancarkan tiga modelnya di pasaran tempatan iaitu SUV 7X yang berharga antara RM180k hingga RM230k, crossover X (RM156k-RM170k) dan juga MPV 009 (RM300k-RM360k).

     
     
  • JPJ Selangor keluarkan 39,555 notis menerusi Ops Perang Lebih Muatan di seluruh negeri sejak 14 Okt

    JPJ Negeri Selangor telah mengeluarkan sebanyak 39,555 notis atas pelbagai kesalahan menerusi operasi Perang Lebih Muatan yang dilaksanakan secara menyeluruh di seluruh negeri sejak 14 Oktober lalu.

    Tuan Azrin Borhan, Pengarah JPJ Negeri Selangor berkata, antara kesalahan tertinggi ialah Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh iaitu 5,160 notis, tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) (4,440 notis) dan tiada perlindungan insuran (3,492 notis).

    Selain itu, ia juga melibatkan tiada Lesen Vokasional (2,299 notis) dan juga kesalahan lebih muatan pula adalah sebanyak 1,080 notis. Manakala sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 22 kenderaan perdagangan yang didapati membawa muatan berlebihan telah disita.

    “Penguatkuasaan yang dilaksanakan bertujuan untuk mendidik dan memastikan semua pengendali serta pemilik kenderaan perdagangan mematuhi spesifikasi teknikal, had muatan yang ditetapkan dan standard keselamatan jalan raya demi kepentingan bersama. Tindakan tegas akan terus diambil tanpa pengecualian terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peraturan,” katanya.

    Dalam perkara lain pula, Azrin berkata, sejak 15 Disember lalu, pihakya turut melaksanakan pemakaian Body Worn Camera (BWC) dalam kalangan anggota penguat kuasa. Ini merupakan satu langkah strategik dan progresif bagi meningkatkan ketelusan, akauntabiliti dan integriti sepanjang pelaksanaan operasi penguatkuasaan di lapangan.

    Pada Januari lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, selain memperlengkapkan penguatkuasaan undang-undang jalan raya menerusi bukti visual bagi kesalahan trafik, penggunaan kamera badan ini juga akan mempertingkat integriti pegawai lapangan kerana ia akan turut merakam interaksi mereka dengan pengguna jalan raya yang lain

     
     
  • Geely sah akan rebadge Proton Saga MC3; dilancar di Filipina pada 2026, akan bersaing dengan Toyota Vios

    Geely sah akan rebadge Proton Saga MC3; dilancar di Filipina pada 2026, akan bersaing dengan Toyota Vios

    Sebelum ini kami ada melaporkan bahawa Geely bakal rebadge model-model yang Proton hasilkan berdasarkan platform Advance Modular Architecture (AMA) untuk dijual pada pasaran-pasaran tertentu. Nampaknya perkara tersebut akan berlaku tak lama lagi kerana Geely telah mengesahkan bahawa Proton Saga MC3 bakal dijual di Filipina menggunakan lencana jenama dari China itu!

    Perkara ini dilaporkan oleh Autocar Philippines yang menunjukkan satu slaid pembentangan model-model baharu yang akan dilancarkan oleh Geely Filipina untuk tahun hadapan. Dalam slaid yang disiarkan menerusi hantaran media sosial berkenaan dengan jelas menunjukkan bahawa Geely Filipina akan melancarkan sebuah sedan dengan kuasa petrol sepenuhnya pada suku keempat 2026.

    Sedan berkenaan masih lagi belum diberi nama dan dirujuk hanya dengan kod AMA01, iaitu kod pembangunan bagi Proton Saga MC3 di Malaysia. Malah gambar AMA01 itu juga jelas menunjukkan bahagian sisi Saga MC3. Slaid itu juga menggambarkan Saga MC3 sebagai sebuah model yang menampilkan “penggayaan yang dinamik” dan juga “pengendalian yang stabil”, serta ia disasarkan untuk berhadapan terus dengan Toyota Vios serta Mitsubishi Mirage sedan generasi keempat atau dikenali sebagai Attrage di Malaysia satu ketika dahulu.

    Geely sah akan rebadge Proton Saga MC3; dilancar di Filipina pada 2026, akan bersaing dengan Toyota Vios

    Sebelum ini Proton memberitahu bahawa model-model dengan platform AMA ini akan di’rebadge’ oleh Geely adalah untuk memenuhi permintaan pasaran tertentu kerana ia tidak mempunyai model-model yang lebih kecil dari siri-X dan siri-S, dan rancangan yang didedahkan oleh Geely Filipina ini mengesahkan perkara itu.

    Filipina merupakan negara yang menggunakan konfigurasi pemanduan sebelah kiri (LHD). Namun tidak mustahil Saga MC3 dengan logo Geely tersebut masih akan dibuat di Tanjong Malim dan kemudian dieksport ke Filipina. Sebelum ini Proton turut pernah memasang X50 dalam versi LHD dan dilekat dengan logo Geely Coolray untuk dieksport ke pasaran Vietnam.

    Proton Saga MC3 baru sahaja dilancarkan di Malaysia pada hujung bulan lalu. Ia merupakan model pertama Proton yang menggunakan platform AMA iaitu platfotm yang diasaskan dari platform Saga terdahulu, tetapi diberikan kejuruteraan semula untuk menguatkan semula kerangka Saga ini dengan menambahbaik beberapa struktur. Antaranya Proton telah menerapkan logam dengan teknologi Hot Press Forming (HPF) pada tiang-B dan juga bahagian cross member pada lantai yang memegang cagak tempat duduk.

    Tiada lagi enjin Campro 1.3L pada Saga MC3 ini dan ia digantikan dengan enjin “i-GT” yang dibangunkan oleh Aurobay. Enjin dengan kod BHE15 berkenaan merupakan enjin dari keluarga yang sama dengan enjin yang kini dipadankan pada X50 facelift.

    Untuk Saga, enjin yang dibekalkan adalah dari varian BHE15PFI, iaitu versi tanpa turbo dan hanya hadir dengan sistem suntikan bahan api di port kemasukan udara (PFI), berbanding varian BHE15TD pada X50 yang disuap pengecas turbo serta datang dengan sistem suntikan bahan api terus (T-GDI); ia mampu menghasilkan kuasa 120 PS dan tork maksima 150 Nm.

    Dua jenis transmisi ditawarkan untuk Saga pada pasaran Malaysia di mana varian paling tinggi iaitu Premium ia datang dengan kotak gear CVT, manakala dua varian lebih rendah pula iaitu Executive dan Standard, ia datang dengan kotak gear automatik konvensional empat kelajuan 4AT.

    Padanan unit rangkaian kuasa ini membolehkan Saga MC3 CVT mencapai penggunaan bahan api serendah 4.9L/100 km dan versi 4AT pula mampu mencapai 5.1L/100 km — kedua-duanya dalam kitaran ujian tempatan iaitu MDC.

     
     
  • Hyundai Staria facelift 2026 dilancar di Korea — rekaan dalaman baru, 1.6 turbo hibrid, tiada lagi turbodiesel

    Hyundai Staria facelift 2026 dilancar di Korea — rekaan dalaman baru, 1.6 turbo hibrid, tiada lagi turbodiesel

    Selepas empat tahun dalam pasaran, Hyundai Staria kini diberikan facelift terkini untuk pasaran domestiknya di Korea Selatan bagi tahun 2026. Ada beberapa versi diperkenalkan di sana, termasuk — Cargo (van komersil dengan dua, tiga atau lima-tempat duduk), Tourer (MPV sembilan atau 11-tempat duduk) dan Lounge MPV (tujuh atau sembilan-tempat duduk) — di Malaysia, konfigurasi dua varian itu ada ditawarkan ketika ini.

    Tourer dijual dengan harga 35.02-39.99 juta Won (RM97k-110k), termasuk varian 1.6 Turbo Hybrid 11-tempat duduk berharga 36.59 juta Won (RM101k). Varian Lounge pula bermula dari 44.99-50.21 juta Won (RM124k-139k), termasuk varian 1.6 Turbo Hybrid tujuh-tempat duduk dengan 47.05 juta Won (RM130k). Sementara itu, Cargo pula bermula dari 32.59-38.2 juta Won (RM90k-105k), termasuk varian 1.6 Turbo Hybrid lima-tempat duduk dengan harga 34.9 juta Won (RM96k).

    Hyundai Staria facelift 2026 dilancar di Korea — rekaan dalaman baru, 1.6 turbo hibrid, tiada lagi turbodiesel

    Jalur DRL di depan masih dikekalkan, terdiri daripada tiga bahagian yang menyala bersambungan, dan ada juga nama Staria terlihat di sisi DRL tersebut. Gril baru yang digunakan pula miri yang ada pada Hyundai Stargazer. Untuk Lounge, ia menggenakan kemasan krom dengan rekaan gril lebih bersegi, sementara yang lain rekaan grilnya lebih bulat tanpa kemasan krom. Lampu depan yang bersepadu dengan gril kelihatannya masih sama. Hyundai Bagaimanapun belum mendedahkan gambar belakangnya.

    Lain ceritanya di dalam, kerana yang menanti adalah rekaan baru. Papan pemuka lebih terbentang, skrin yang lebih bersegi (kini dengan 12.3-inci berbanding 10.25-inci sebelumnya), sistem infotainmen baru, lebih banyak butang fizikal, roda stereng baru dengan gaya ala Ioniq, serta bahagian tengahnya juga direka baru — yang menempatkan corong pendingin yang telah disatuka di bawah skrin utama.

    Hyundai Staria facelift 2026 dilancar di Korea — rekaan dalaman baru, 1.6 turbo hibrid, tiada lagi turbodiesel

    Ada dua kaedah pemilihan gear untuk model ini. Untuk varian biasa Staria, ia menggunakan tuil gear, sementara untuk Lounge pula mengenakan kaedah tuil gear pusingan seperti Ioniq. Sterengnya juga akan masuk ke dalam sendiri untuk memudahkan pergerakan keluar-masuk pemandu.

    Di Korea, Staria facelift ini menerima janaan 1.6 turbo hibrid petrol dan 3.5 litre LPG (tiada lagi enjin turbodiesel 2.2 liter). Model hibrid turbo menjana sebanyak 180 hp dan 265 Nm, mirip dengan janaan enjin yang digunakan oleh Tucson dan Santa Fe hibrid. Boleh juga dijangka yang motor elektrik 65 PS/264 Nm, transmisi automatik enam-kelajuan dan output keseluruhan sistem 235 PS/367 Nm juga sama. Kadar penjimatan minyak yang dinyatakan ialah 13.1 km/l.

    Hyundai Staria facelift 2026 dilancar di Korea — rekaan dalaman baru, 1.6 turbo hibrid, tiada lagi turbodiesel

    Keselesaan dan NVH juga dijangka lebih baik. Hyundai menjelaskan yang suspensi depan kini mempunyai sambungan lebih kukuh antara badan dan sub-kerangkanya, untuk menjadikannya lebih stabil dan mudah dikawal dalam kelajuan tinggi dan laluan lurus.

    Antara kelengkapan lain yang ada ialah ciri kunci digital, fungsi kunci automatik bila jauh, dashcam, pengesanan suara multi-zon serta fungsi ADAS standard seperti bantuan penghindaran perlanggaran depan serta bantuan penghindaran perlanggaran sisi. ACC dan bantuan mengekalkan lorong ada untuk varian lebih tinggi.

     
     
  • Nissan Serena C28 facelift 2026 diperkenal di Jepun — janaan 2.0L petrol atau 1.4L e-Power hibrid, dari RM73k

    Nissan Serena C28 facelift 2026 diperkenal di Jepun — janaan 2.0L petrol atau 1.4L e-Power hibrid, dari RM73k 1388797753[/caption]

    Nissan Serena C28 facelift telah dilancarkan untuk pasaran Jepun, empat tahun selepas model generasi berkenaan berada dalam pasaran. Di Malaysia, Serena C28 pra-facelift pernah ditunjukkan awal bulan ini, dan dijangka akan dilancar pada suku pertama tahun depan.

    MPV yang diperkemas ini dibezakan dari versi sebelumnya melalui penampilan wajah depan, yang kini mengenakan corak V dan bukannya garis melintang lagi. DRL LED juga diubah kedudukannya. Selain itu, rim aloi rekaan baru juga diberikan.

    Untuk pasaran Jepun, dua pilihan janaan kuasa ditawarkan. Pertama, unit MR20DD 2.0 liter NA petrol janaan 150 PS/200 Nm yang sama dengan model pra-facelift. Kedua, unit HR14DDe e-Power 1.4 liter NA tiga-silinder sebaris yang berfungsi sebagai generator untuk motor elektrik dengan janaan 163 PS/315 Nm (dengan sebuah lagi motor di gandar belakang untuk varian AWD).

    Nissan Serena C28 facelift 2026 diperkenal di Jepun — janaan 2.0L petrol atau 1.4L e-Power hibrid, dari RM73k

    Dari maklum balas pelanggan, Serena C28 facelift ini menyertakan juga fungsi memori untuk mod pilihan e-Pedal (pemanduan pedal tunggal), yang membolehkan pemandu mengekalkan mod operasi e-Pedal yang digemari ketika kereta dihidupkan kali yang berikutnya.

    Serena C28 facelift dijual di Jepun dalam tingkat kemasan X, Highway Star V dan Luxion — dengan yang terakhir itu adalah untuk versi e-Power. Varian Highway Star V dan Luxion juga menerima penampilan luaran baru, dan juga balutan kerusi baru untuk Luxion yang khusus untuk membezakan penawarannya.

    Turut ditawarkan di sana ialah pakej Autech Line yang terdiri daripada rekaan rim 16-inci berlainan, kemasan gril krom hitam di depan, perumah cermin sisi dalam metalik, material kerusi khas dan lencana Autech Line.

    Di dalam, Serena C28 facelift terus hadir dengan tujuh atau lapan-tempat duduk bergantung varian. Kini ada juga varian Multi Box dengan empat atau lima-tempat duduk yang menggantikan kerusi barisan ketiga dengan kotak simpanan luas, yang boleh digunakan juga sebagai kerusi panjang atau meja — yang di dalammnya mempunyai banyak pecahan bahagian, yang dilapik dengan alas kalis air Cordura.

    Untuk infotainmen, Serena C28 facelift dilengkapi dengan sistem NissanConnect dengan sokongan Google Maps, Google Assistant dan Google Play, dan termasuk fungsi penggera untuk memaklumkan pemandu melalui telefon pintar sekiranya mereka terlupa mengunci kereta, tutup tingkap atau lampu kecemasan dibiarkan terpasang.

    Aspek keselamatan pula, model ini datang dengan pengingat penumpang belakang, agar pemandu memeriksa bahagian belakang sebelum meninggalkan kenderaan. Nissan Serena C28 facelift ini akan mula dijual di Jepun pada Februari tahun depan, dengan harga bermula 2,785,200 yen (RM72,990).

     
     
  • Honda M’sia rai pemenang bulan Nov kempen Because of You – memenangi Civic 1.5L RS, CR-V e:HEV RS

    Honda M’sia rai pemenang bulan Nov kempen Because of You – memenangi Civic 1.5L RS, CR-V e:HEV RS

    Honda Malaysia (HMSB) telah meraikan dua lagi pemenang cabutan bertuah bagi kempen Because of You yang dianjurkan sempena ulangtahun ke-25 syarikat tersebut. Kali ini, dua pemenang terbabit masing-masing membawa pulang seunit Civic 1.5L RS dan CR-V 2.0L e:HEV RS.

    Pemenang bertuah yang berjaya membawa pulang Civic 1.5L RS ialah Zulkeffli Abdul Rahman dari Negeri Sembilan, yang membeli HR-V 1.5T V sebagai kereta kedua buat keluarganya. Dia yang tidak dapat menghadiri majlis penyampaian hadiah ini telah diwakili anaknya Nuramirah Zulkeffli dan Nuratikah Zulkeffli.

    “Honda benar-benar menghargai para pelanggannya. Sebagai pemilik Honda sedia ada, saya sentiasa mempercayai jenama ini, jadi ia menjadi pilihan pertama secara automatik apabila saya mencari sebuah kereta kedua untuk keluarga. Kini, bukan sahaja saya memiliki sebuah SUV baharu, malah juga sebuah Civic RS yang baru dimenangi di laman rumah saya, di samping City saya. Keluarga saya amat teruja, dan kami tidak sabar untuk memandunya,” katanya.

    Honda M’sia rai pemenang bulan Nov kempen Because of You – memenangi Civic 1.5L RS, CR-V e:HEV RS

    Sementara itu, Mohamad Farees Rahim Ab Kadir dari Johor benar-benar terkejut apabila mengetahui dia telah memenangi CR-V e:HEV RS. Penyertaannya dalam peraduan cabutan bertuah tersebut adalah hasil daripada pembelian sebuah City Hatchback RS.

    “Memenangi CR-V e:HEV RS benar-benar di luar jangkaan saya. Saya memang ada terfikir untuk menaik taraf kepada sebuah SUV suatu hari nanti. Kini, saya mempunyai pilihan sama ada memandu sebuah hatchback yang sporty atau menikmati pemanduan SUV yang lebih premium bersama keluarga,” katanya.

    Kedua-dua kenderaan ini merupakan antara enam hadiah utama yang ditawarkan oleh syarikat tersebut sempena sambutan ulang tahunnya. Awal bulan ini, dua pemenang pertama telah menerima hadiah masing-masing, dan dengan pengumuman pemenang bagi bulan November, masih terdapat dua hadiah utama yang belum didedahkan.

     
     
  • Kerajaan kata tiada kenaikan kadar tol untuk 10 lebuhraya pada 2026 – MEX, DUKE, LPT2, LATAR

    Kerajaan kata tiada kenaikan kadar tol untuk 10 lebuhraya pada 2026 – MEX, DUKE, LPT2, LATAR

    Kerajaan kekal komited untuk melindungi kebajikan rakyat dengan meneruskan kadar tol seperti biasa bagi tahun 2026 yang melibatkan 10 buah lebuhraya utama di seluruh negara. Ia diumumkan oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang berkata, perkara ini dipersetujui secara retrospektif dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Disember lalu bagi memastikan kesinambungan pelaksanaan kadar tol tersebut.

    “Langkah ini membuktikan kesungguhan kerajaan dalam meringankan beban kos sara hidup rakyat, khususnya pengguna lebuh raya, dengan memastikan tiada sebarang kenaikan kadar tol dilaksanakan sepanjang tahun 2026.

    “Walaupun kerajaan perlu menanggung implikasi kewangan yang besar dengan pampasan berjumlah RM591.56 juta bagi tahun 2026, kerajaan tetap memilih untuk mendahulukan kepentingan rakyat,” katanya menerusi perkongsian di Facebook rasminya.

    10 lebuhraya terbabit ialah:

    • Lebuhraya Cheras–Kajang (GRANDSAGA)
    • Lebuhraya KL–Kuala Selangor (LATAR)
    • Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (NNKSB)
    • Lebuhraya Senai–Desaru (SDE)
    • Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2)
    • Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE)
    • Lebuhraya Duta–Ulu Kelang (DUKE)
    • Lebuhraya Kuala Lumpur–Putrajaya (MEX)
    • Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB)
    • Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah

    Kerajaan sebelum ini berjaya mengekang kenaikan kadar tol pada tahun 2022, setelah mengambil alih empat lebuhraya milik kumpulan Gamuda bagi menjimatkan RM4.3 bilion dalam bentuk subsidi dan mengelakkan kenaikan kadar tol. Seterusnya kerajaan menetapkan kadar tol semasa bagi lebuhraya tersebut untuk tempoh sepuluh tahun akan datang.

     
     
  • Omoda C9 Matte Black Limited Edition di Malaysia

    Omoda C9 Matte Black Limited Edition di Malaysia

    Omoda | Jaecoo Malaysia telah menyiarkan teaser Omoda C9 Matte Black Limited Edition menerusi laman sosial rasminya. Ia disertakan dengan kapsyen “exceptionally rare” (sangat jarang berlaku) dan pelanggan yang berminat sudah boleh menempah sesi pandu uji bagi edisi terhad ini. Walau bagaimana pun, tiada perincian lebih lanjut mengenai edisi terhad ini termasuk bagi harga, jumlah unit yang ditawarkan dan sebagainya.

    Tidak mungkin ia berasaskan versi PHEV kerana varian tersebut belum dilancarkan. Jadi semestinya ia adalah model ICE, namun tidak dipastikan adakah ia versi 2WD (angkup brek berwarna perak) atau AWD (angkup brek berwarna merah).

    Dilancarkan pada Disember 2024, SUV segmen-D yang dipasang di Shah Alam ini dilengkapi enjin 2.0 liter turbo empat-silinder dengan kuasa 261 PS dan tork 400 Nm, dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan. Ia turut menggunakan suspensi hadapan jenis MacPherson strut dan suspensi belakang multi-link (dengan suspensi adaptif Continuous Damping Control untuk versi AWD).

    Harga runcit bagi model standard ialah RM168,800 untuk versi 2WD dan RM188,800 untuk versi AWD, namun Omoda | Jaecoo Malaysia kini menawarkan beberapa promosi hujung tahun. Bagi edisi terhad ini pula, kita tunggu dan lihat berapa harga yang bakal diumumkan kelak.

     
     
  • Tiada rancangan tukar subsidi Budi95 dengan rebat tunai sebagai insentif EV atau hibrid – Amir Hamzah

    Tiada rancangan tukar subsidi Budi95 dengan rebat tunai sebagai insentif EV atau hibrid – Amir Hamzah

    Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengesahkan kerajaan tidak bercadang menggantikan subsidi bahan api di bawah skim Budi95 dengan rebat tunai sebagai insentif untuk menggalakkan peralihan kepada kenderaan elektrik (EV) atau hibrid.

    Beliau berkata, langkah itu akan mengubah tujuan asal pelaksanaan Budi95 dan berpotensi menjejaskan keberkesanan penyasaran subsidi kepada kumpulan yang masih bergantung kepada kenderaan enjin pembakaran dalaman, laporan Bernama.

    “Objektif utama Budi95 adalah beralih daripada subsidi pukal kepada subsidi bersasar dan memastikan bantuan bahan api terus disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan dan bergantung kepada petrol sebagai sumber pendapatan atau keperluan harian. Budi95 bukan bertujuan untuk menggalakkan peralihan pemandu kepada EV atau hibrid,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara semalam.

    Tiada rancangan tukar subsidi Budi95 dengan rebat tunai sebagai insentif EV atau hibrid – Amir Hamzah

    Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Dr Lingeshwaran R. Arunasalam yang ingin mengetahui sejauh mana keberkesanan kuota 600 liter dalam menggalakkan peralihan pemandu kepada EV atau hibrid.

    “Keberkesanan pelaksanaan Budi95 dinilai berdasarkan keupayaannya mengurangkan ketirisan, melindungi kumpulan sasaran selain mengekalkan kestabilan pelaksanaan dari segi pengalaman pengguna memanfaatkan subsidi Budi95. ,” katanya.

    Amir Hamzah berkata, dasar peralihan kepada EV dan hibrid ditangani melalui rangka kerja dan inisiatif berasingan termasuk pembangunan infrastruktur pengecasan dan pelaksanaan Dasar Automotif Nasional.

    “Pendekatan ini bertujuan memastikan setiap dasar mencapai objektif masing-masing tanpa bercanggah antara satu sama lain,” katanya.

     
     
  • Diskaun tol 50% pada 23-24 Dis sempena Krismas; kenderaan Kelas 1, kecuali di plaza tol BSI, Tg Kupang

    Diskaun tol 50% pada 23-24 Dis sempena Krismas; kenderaan Kelas 1, kecuali di plaza tol BSI, Tg Kupang

    Kerajaan telah memutuskan untuk memberikan diskaun tol 50% daripada kadar tol biasa selama dua hari iaitu pada 23 dan 24 Disember 2025 kepada para pengguna kenderaan persendirian bersempena dengan sambutan perayaan Hari Krismas.

    Menurut Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, diskaun tol akan diberikan kepada kenderaan kelas 1 (kelas 2 di Jambatan Pulau Pinang) di semua plaza tol kecuali plaza tol di pintu masuk sempadan negara iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).

    “Kerajaan akan menanggung implikasi kewangan yang dianggarkan sebanyak RM20.65 juta bagi membayar pampasan kepada semua syarikat konsesi lebuh raya bertol yang terlibat berikutan pemberian diskaun tol 50% sempena perayaan Hari Krismas 2025 ini.

    “Pemberian diskaun tol 50% ini diharap dapat meringankan sebahagian dari beban kos perjalanan rakyat Malaysia yang merancang pulang ke kampung halaman untuk melawat ahli keluarga sempena sambutan Hari Krismas atau bercuti bersama-sama keluarga sempena musim cuti sekolah,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Diskaun tol 50% pada 23-24 Dis sempena Krismas; kenderaan Kelas 1, kecuali di plaza tol BSI, Tg Kupang

    Tambahnya lagi, pemilihan tarikh ini juga adalah sebahagian dari inisiatif penyuraian trafik musim perayaan dan cuti sekolah terutama pada hari perjalanan pulang ke kampung dan kembali semula ke bandar serta dapat mengoptimumkan pengoperasian lebuhraya di sepanjang kawasan hentian sebelah (Lay By) dan kawasan Rehat dan Rawat (RSA) di lebuh raya.

    “Kementerian Kerja Raya (KKR) berharap pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan peluang ini dan merancang perjalanan dengan sebaiknya melalui aplikasi TuJu Highway Navigation dan aplikasi MyLUS-TTA untuk perjalanan yang selesa dan lancar. Di samping itu, pengguna lebuhraya juga digalakkan mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) yang disyorkan serta perlu menitikberatkan aspek keselamatan dengan memathi had laju, papan tanda dan peraturan-peraturan di sepanjang lebuh raya,” katanya lagi.

    Alexander turut menitipkan pesanan agar para pengguna memandu dengan berhemah dan mematuhi semua peraturan jalan raya yang telah dietapkan. “Berehatlah jika keletihan dan mengantuk dan bersama-samalah kita sema bekerjasama dalam menjadikan lebuhraya kita sentiasa selamat, bersih dan selesa serta berusaha mengurangkan statistik kemalangan jalan raya Malaysia,” tambahnya lagi.

    Pengguna boleh menyemak status trafik atau sebarang insiden di lebuh raya yang akan dikemaskini di Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia, aplikasi X @LLMtrafik dan Tiktok @limtrafik secara berkala. Atau menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800- 88-7752 untuk mendapatkan bantuan atau maklumat terkini keadaan trafik.

     
     
  • Nissan perkuat Nismo untuk pulih dari krisis; terus berlumba, perbanyakkan model prestasi dan restorasi

    Nissan perkuat Nismo untuk pulih dari krisis; terus berlumba, perbanyakkan model prestasi dan restorasi

    Ada sayap perlumbaan dan prestasi rasmi terpaksa dikorbankan demi untuk satu-satu jenama itu terus bertahan ketika menghadapi krisis kewangan, misalnya Mitsubishi yang terpaksa menutup Ralliart pada 2010. Namun untuk Nissan yang kini dalam fasa untuk memulihkan kembali syarikat itu bersama anak syarikatnya Nissan Motorsports & Customization Co., Ltd. (NMC) akan memperkasakan jenama prestasi dan perlumbaannya iaitu Nismo, sebagai salah satu langkah bagi bangkit semula dalam rancangan penstrukturan semula operasi RE:Nissan.

    “Sebagai sebahagian dari strategi produk RE:Nissan, ‘model-model yang menyemarakkan degupan jantung’ adalah penting untuk mencetuskan emosi serta meyerlahkan DNA jenama Nissan. NMC berusaha untuk menyokong perkara ini dengan mengejar prestasi dalam suka permotoran dan keghairahan memandu dalam produk-produk Nismo menerusi inisiatif perniagaan baharu,” kata Nissan dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Menurut Nissan lagi ia akan terus berlumba dalam siri perlumbaan seperti Formula E, Super GT dan Super Taikyu kerana percaya bahawa dengan aktiviti sukan permotoran kelas tinggi berkenaan akan menghasilkan jentera jalan raya Nismo yang baik menerusi motto “Dari jalan raya ke litar, dari litar ke jalan raya”.

    Nissan juga akan menggandakan barisan model Nismo dari lima kepada sepuluh, dan ia bukan hanya ditumpukan pada pasaran Jepun, sebaliknya disasarkan untuk pasaran global dengan jumlah pengeluaran yang lebih banyak.

    “Nissan juga merancang untuk memperluaskan pasaran untuk kereta-kereta Nismo. Nissan mensasarkan untuk menaikkan jumlah penghantaran dari sekitar 100,000 unit kepada 150,000 unit menjelang 2028, dengan jualan pasaran luar negara naik dari sekitar 40% kepada 60%. Bagi usaha untuk menambah nilai kepada pelanggan, Nissan akan secara aktif mempertimbangkan kerjasama dengan rakan kerjasama luar bagi meluaskan lagi perniagaan barisan kereta-kereta Nismo,” tambah Nissan.

    Malah bermula tahun fiskal 2026, Nissan turut merancang untuk memperkenalkan kenderaan-kenderaan prototaip untuk aktiviti perlumbaan bagi memacu kemajuan teknologi dalam pembangunan komponen dan perisian untuk kegunaan kereta lumba serta perluasan barisan model kereta baharu.

    Bukan hanya berlumba dan menghasilkan lebih banyak model prestasi, malah perniagaan sedia ada Nismo dalam bidang restorasi serta ubahsuai kereta-kereta lagenda turut akan diteruskan.

    “Pasaran restorasi automotif global kini dinilaikan sekitar 500 bilion yen (USD 3.3 bilion) dan ia dijangka meningkat kepada 1.2 trilion yen (USD 7.7 bilion) menjelang 2032. NMC akan meningkatkan perniagaan restorasi, restomod, dan penjualan komponen alat ganti dengan fokus awalan untuk diperkembangkan sekitar model Skyline GT-R R32, R33 dan R34, serta akan diikuti dengan lebih banyak penawaran kenderaan dan kawasan,” kata Nissan lagi.

    “Nismo terus meningkatkan keterujaan dan inovasi kenderaan Nissan. Melangkah ke hadapan, kami menyasarkan untuk menerapkan semangat dan keterujaan yang didorong ke dalam rangkaian produk Nissan yang lain,” kata Presiden dan CEO NMC, Yutaka Sanada.

     
     
  • Penggunaan kereta manual di institut memandu tidak semestinya hanya keluaran Proton, Perodua – MOT

    Penggunaan kereta manual di institut memandu tidak semestinya hanya keluaran Proton, Perodua – MOT

    Di institut memandu di seluruh negara, penggunaan kereta manual bagi latihan dan ujian memandu masih dilaksanakan bagi memberikan pilihan bagi yang ingin mengambil lesen memandu manual (D) yang membenarkan individu terbabit memandu kedua-dua kereta manual dan auto.

    Walau bagaimana pun, di persidangan Dewan Negara semalam, Senator Robert Lau Hui Yew telah mengemukakan soalan kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi mengetahui rancangan Kerajaan berhubung ujian memandu kereta manual. Kata beliau, memandangkan Proton telah menghentikan pengeluaran kereta manual dan Perodua akan berbuat demikian menjelang 2026, menyebabkan tiada lagi kereta manual keluaran tempatan untuk ujian memandu kecuali diimport dari luar negara.

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menjawab, pelaksanaan latihan dan ujian memandu di insitusi memandu tidak terikat kepada penggunaan kereta manual keluaran tempatan semata-mata.

    “JPJ membenarkan institut memandu menggunakan kenderaan yang memenuhi spesifikasi teknikal dan keselamatan yang ditetapkan, termasuk kenderaan sedia ada di institut memandu yang telah diluluskan Sijil Kenderaan di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Sekolah Memandu) 1992 di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

    Penggunaan kereta manual di institut memandu tidak semestinya hanya keluaran Proton, Perodua – MOT

    “Oleh itu, isu penghentian pengeluaran kenderaan manual oleh pengeluar tempatan tidak menjejaskan pelaksanaan latihan dan ujian memandu pada masa ini,” katanya di Dewan Negara semalam.

    Tambahnya, pada masa yang sama, Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP) Motokar yang digunapakai oleh JPJ merangkumi pembelajaran asas pemanduan bagi transmisi manual dan automatik.

    “Kementerian akan terus memantau perkembangan industri automotif dan keperluan sektor pengangkutan bagi memastikan dasar latihan dan ujian memandu kekal selari dengan keperluan keselamatan jalan raya serta realiti penggunaan kenderaan di Malaysia,” katanya lagi.

    Nampak gayanya, buat masa ini, kerajaan masih mahu meneruskan pengambilan lesen memandu manual sebagai pilihan walau pun di pasaran Malaysia, hanya Perodua sahaja yang masih memproduksi dan menjual kereta manual bertaraf marhaen iaitu Axia E dan Bezza 1.0 yang memang menjadi pilihan institut memandu.

     
     
  • Kesatuan Eropah tarik balik pengharaman jualan kereta enjin pembakaran dalaman menjelang 2035

    Kesatuan Eropah tarik balik pengharaman jualan kereta enjin pembakaran dalaman menjelang 2035

    Kesatuan Eropah (EU) secara rasmi telah menarik balik pengharaman penjualan kereta-kereta baharu dengan enjin pembakaran dalaman menjelang 2035 yang sebelum ini dibuat bagi mengurangkan pencemaran udara yang disebabkan oleh ekzos.

    Dengan pengumuman ini bermakna kereta-kereta baharu dengan enjin pembakaran dalaman masih boleh dijual di benua tersebut selepas 2035, namun model-model yang dijual berkenaan mestilah patuh dengan pengurangan emisi dari paip ekzos sehingga 90%. Manakala 10% emisi lagi boleh ditimbal balik menerusi penggunaan logam karbon rendah sekiranya ia diproduksi di mana-mana negara Kesatuan Eropah, atau menerusi penggunaan bahan api sintetik (e-fuels) dan bahan api bio.

    “Ini akan membolehkan kenderaan plug-in hybrid (PHEV), penambah jarak (REEV), hibrid ringkas, dan enjin pembakaran dalaman masih memainkan peranan selepas 2035, sebagai tambahan kepada kenderaan elektrik penuh (EV) dan hidrogen,” kata Suruhanjaya Eropah dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

    Menjelang tahun 2035, pengeluar-pengeluar kenderaan akan diberikan “kredit super” terhadap sasaran emisi untuk EV kecil yang dihasilkan di Kesatuan Eropah bagi menggalakkan pengeluaran model-model sedemikian. Dalam perkara berkaitan, fleksibiliti tambahan diberikan kepada segmen van dengan sasaran pengurangan CO2 yang dikurangkan daripada 50% kepada 40%.

    Kesatuan Eropah tarik balik pengharaman jualan kereta enjin pembakaran dalaman menjelang 2035

    Suruhanjaya Eropah juga mencadangkan pindaan piawaian CO2 yang disasarkan untuk kenderaan berat dengan “fleksibiliti yang memudahkan pematuhan dengan sasaran 2030”.

    “Inovasi. Mobiliti bersih. Daya saing. Tahun ini, ia adalah keutamaan utama dalam dialog intensif kami dengan sektor automotif, organisasi masyarakat sivil dan pihak berkepentingan. Dan hari ini, kami menangani semuanya bersama-sama. Ketika teknologi dengan pantas mengubah mobiliti dan geopolitik membentuk semula persaingan global, Eropah kekal di barisan hadapan peralihan bersih global,” kata presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen.

    “Pakej ini akan menjadi talian hayat untuk industri automotif Eropah. Kami menggunakan setiap tuil yang kami miliki – penyederhanaan, fleksibiliti, keutamaan Eropah, sokongan yang disasarkan dan inovasi. Secara bersama-sama, langkah-langkah ini merupakan komitmen kami untuk memulihkan kepimpinan perindustrian Eropah sambil menerajui peralihan global mengenai iklim,” kata Naib Presiden Eksekutif Suruhanjaya Eropah untuk kemakmuran dan strategi perindustrian, Stéphane Séjourné.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026