Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Kementerian Kewangan umum tarikh membayaran bantuan bulanan RM200 Budi Madani diesel 2026

    Kementerian Kewangan umum tarikh membayaran bantuan bulanan RM200 Budi Madani diesel 2026

    Kementerian Kewangan telah umumkan tarikh bayaran bagi bantuan bulanan Budi Diesel RM200 untuk 2026, yang layak dinikmati oleh pemilik kenderaan diesel persendirian dan pertanian milikan kecil dan sederhana di Semenanjung Malaysia.

    Program bantuan tunai diesel ini pertama kali diumumkan pada Mei 2024, sebelum pelaksanaan skim subsidi diesel bersasar yang bermula pada 9 Jun 2024. Pengguna boleh memohon untuk subsidi diesel tersebut di bawah kategori Budi Individu atau Budi Agri-Komoditi untuk petani (pemilik fleet ada saluran khusus dengan kad fleet di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi).

    Kriteria bagi pemohon yang layak untuk Budi Individu adalah seperti berikut:

    • Warganegara Malaysia
    • Pemilik kenderaan diesel yang didaftarkan dengan JPJ, kecuali kenderaan diesel mewah yang kurang daripada 10 tahun
    • Kenderaan dengan cukai jalan sah
    • Pendapatan tahunan RM100,000 ke bawah (individu dan pasangan)
    • Kriteria bagi pemohon Budi Agri-Komoditi adalah seperti berikut:

    • Petani atau peladang di bawah agensi berkaitan yang berdaftar di bawah Kementerian Petanian dan Sekuriti Makanan (KPKM) atau dengan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK)
    • Mampu menunjukkan hasil tahunan antara RM50,000 hingga RM300,000 dari pertanian atau pengeluaran komoditi

    Bagi mereka yang belum memohon, anda boleh memeriksa kelayakan dan mendaftar di sini. Permohonan dibuka sepanjang masa dan tiada tarikh akhir, setakat ini.

     
     
  • Perodua pertimbang beli kilang pemasangan Tan Chong di Serendah dengan harga RM500 juta

    Perodua pertimbang beli kilang pemasangan Tan Chong di Serendah dengan harga RM500 juta

    Perodua Sales Sdn Bhd (PSSB) dan Tan Chong Motor Assemblies Sdn Bhd (TCMA) bulan lalu telah menandatangani letter of intent (LOI) untuk Tan Chong menyediakan perkhidmatan salutan electro-deposition dan mengecat, serta sewaan dan penggunaan beberapa kemudahan pemasangan untuk Perodua QV-E.

    Dalam satu laporan The Edge, yang memetik pegawai yang terlibat dalam perbincangan itu, bahawa Perodua juga sedang mempertimbangkan untuk membeli kilang di Serendah milik Tan Chong, yang terletak hanya 3 km dari ibu pejabat Perodua di Sungai Choh — dengan harga sekitar RM500 juta.

    “Perodua memajak kapasiti sebanyak 30,000 unit setahun di kemudahan Tan Chong Serendah, yang mempunyai kapasiti pengeluaran sekitar 40,000 unit setahun. Syarikat itu juga sedang melihat kemungkinan untuk mengambil alih kilang Serendah tersebut,” jelas seorang pegawai yang dimaksudkan, dengan menambah persetujuan pajakan itu nanti akan menyumbang sebanyak RM80 juta kepada Tan Chong.

    Perodua pertimbang beli kilang pemasangan Tan Chong di Serendah dengan harga RM500 juta

    Ini kelihatan akan menguntungkan kedua-dua pihak. Perodua memang telah mencapai kapasiti maksimum 320,000 unit setahun (di dua kilangnya — Perodua Manufacturing Sdn Bhd dan Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd), sementara Tan Chong tidak memanfaat sepenuhnya kapasiti pengeluaran di kilangnya di Serendah dan Segambut, yang mempunyai kapasiti pengeluaran gabungan sebanyak 65,000 unit setahun, jelas sumber tersebut.

    The Edge melaporkan, menurut laporan Kenanga Research pada 26 November lalu, Tan Chong hanya memandaaatkan kadar pengeluaran sebanyak 13% (8,840 unit). Hanya 7,785 kenderaan Nissan yang terjual tahun lalu. TCMA Serendah ketika ini memasang Serena dan Almera, sementara TCMA Segambut memasang X-Trail, serta beberapa kenderaan bukan Nissan seperti GAC GS3 Emzoom, GAC Emkoo dan TQ Wuling Bingo.

    Laporan yang sama menyebut, Kenanga Research meramalkan Tan Chong akan mencatatkan kerugian RM185.5 juta bagi tahun kewangan 2025, dan kerugian sebanyak RM164.3 juta bagi tahun kewangan 2026. Sementara RHB Research pula meramalkan masing-masing kerugian pada angka RM166 juta dan RM107 juta.

    Dalam sembilan bulan pertama 2025, kerugian syarikat itu berkurang kepada RM114.3 juta daripada RM146.11 juta dalam tempoh sama tahun lalu, sementara pendapatannya meningkat sebanyak 3.23% kepada RM1.62 bilion.

     
     
  • Pilihan bayar saman secara ansuran mungkin akan selesaikan masalah saman degil tertunggak — pakar

    Pilihan bayar saman secara ansuran mungkin akan selesaikan masalah saman degil tertunggak — pakar

    Bagi mengatasi masalah saman degil yang tertunggak, ada yang mencadangkan supaya diperkenalkan pilihan bayaran saman secara ansuran bagi meringankan beban kewangan pengguna yang terlibat. Bercakap kepada NST, Profesor Madya Dr Law Teik Hua dari Pusat Keselamatan Jalanraya Universiti Putra Malaysia menjelaskan, dengan membenarkan pengguna membayar saman secara ansuran, ia akan menyelesaikan masalah kemampuan dan kesanggupan untuk melunaskan saman tertunggak, terutama dalam kalangan mereka yang berpendapatan rendah.

    “Dengan menawarkan bayaran ansuran yang piawai dan dihebahkan secara meluas, kita akan menyelesaikan masalah kemampuan untuk membayar saman tersebut. Ia akan mengalih nilai keseluruhan yang tidak mampu dibayar itu kepada pecahan lebih kecil dan konsisten untuk diselesaikan,” jelasnya.

    “Contoh pernyataan yang ingin disampaikan daripada pendekatan ini adalah: kami faham kekangan kewangan anda dan kami akan bantu untuk meringankannya, tetapi komitmen anda perlu kekal dan itu tidak boleh dirunding. Ia menggabungkan rasa belas kasihan dan ketegasan, yang sangat penting untuk sesebuah penguatkuasaan yang berkesan,” tambahnya.

    Pilihan bayar saman secara ansuran mungkin akan selesaikan masalah saman degil tertunggak — pakar

    Law juga menekankan bahawa sistem tersebut perlu digandingkan dengan penguatkuasaan tegas, yang mungkin akan melibatkan denda automatik bagi pesalah, misalnya seperti pembekuan cukai jalan atau pembaharuan lesen memandu.

    “Masalahnya juga datang daripada penguatkuasaan. Sekiranya hukuman sebenar tidak dikenakan, tiada sesiapa pun yang akan merasakan keperluan untuk melunaskan saman. Ia menjadi seperti tikam nombor ekor pula, dengan hanya mereka yang tidak bernasib baik yang terpaksa membayar saman,” ujarnya, dengan menyatakan penguatkuasaan yang pilih bulu juga menyumbang kepada budaya tidak bayar saman ini, kerana masyarakat melihatnya sebagai pilihan.

    Cadangan Law itu datang selepas ada laporan yang menyatakan JPJ berjaya mengutip sebanyak RM93.51 juta dari saman tertunggak sejak diskaun 50% ditawarkan sejak 1 November 2025. Bagaimanapun, ini mewakili hanya sebahagian kecil sahaja daripada jumlah keseluruhan RM1.42 bilion saman tertunggak.

     
     
  • Selamat jalan KTM Ekspres Selatan — diganti ETS

    Selamat jalan KTM Ekspres Selatan — diganti ETS

    Dengan bermulanya operasi Electric Train Service (ETS) oleh Keretapi Tanah Melayu (KTM) untuk laluan hingga ke Johor Bahru, bermula 1 Januari ini bakal berakhirlah perkhidmatan keretapi lama tenaga diesel Ekspres Selatan yang telah berkhidmat selama sembilan tahun membawa penumpang dari Gemas ke Johor Bahru.

    Perkhidmatan itu pernah dikenali sebagai Shuttle Selatan, yang melayani jalur dari Gemas menuju Woodlands di Singapura. Kemudian, Shuttle Tebrau menjadi satu-satunya tren KTM menuju Woodlands (perkhidmatan ini juga akan tamat dan digantikan dengan RTS Link) dan perjalanan keretapi ke Selatan akan berakhir di Johor Bahru.

    Selamat jalan KTM Ekspres Selatan — diganti ETS

    Sebaik sahaja perkhidmatan Ekspres Selatan dengan enam perjalanan sehari itu ditamatkan, hanya tinggal satu sahaja ekspres tenaga diesel yang beroperasi di Malaysia — iaitu Ekspres Rakyat Timuran, yang akan diteruskan dengan hentian yang terhad antara JB dan Tumpat melalui Gemas.

    “Setiap perjalanan, memori dan nostalgia dengan Ekspres Selatan akan sentiasa terpahat dalam ingatan setiap pekerja KTM. Kami juga ingin mengucapkan penghargaan tertinggi kepada semua penumpang dan pengguna setia Ekspres Selatan atas sokongan yang diberikan selama ini,” ujar Ketua Pegawai Teknikal KTM dan pemangu CEO Kumpulan, Ir Ahmad Nizam Mohamed Amin.

     
     
  • Lori sagat kereta yang diparkir di selekoh dalam R&R

    Dalam sebuah video yang tular di media sosial, sebuah lori treler kelihatan menghadapi masalah di laluan sempit yang disebabkan oleh beberapa kenderaan yang diparkir secara salah di bahagian selekoh kawasan R&R. Kejadian didakwa berlaku di R&R Ayer Keroh arah Selatan. Ia berakhir dengan lori treler itu melanggar bahagian tepi beberapa buah kereta di situ untuk meneruskan perjalanannya.

    Ruangan komen juga kecoh, dengan ramai yang mengkritik pemilik kereta yang meletak kereta mereka sesuka hati di kawasan yang tidak dibernarkan, apatah lagi di kawasan laluan berlengkuk seperti itu. Kenderaan berat dan panjang memerlukan ruang yang lebih besar untuk membolehkannya melepasi lengkuk atau selekoh. Dan, akibat kerosakan seperti itu, tuntutan insuran pula didakwa tidak akan berjaya.

    Namun, ada juga yang menyatakan pemandu lori terbabit ada ruang yang cukup di bahagian luar selekoh untuk melepasi laluan itu, sementara yang lain menyalahkan ruang parkir yang tidak mencukupi di kawasan itu, terutamanya ketika musim cuti. Apa pun, ambil ikhtibar daripada kejadian ini dan berfikir panjang sebelum melakukan sesuatu.

    Apa pandangan anda?

     
     
  • Nombor plat saiz ‘kuman’ jadi trend baru penunggang motosikal, boleh didenda hingga RM10k — JPJ

    Nampaknya, hal berkaitan nombor plat fancy sekarang ini sudah sampai ke tahap baru yang lebih ekstrim. Nombor plat palsu, itu sudah biasa. Plat dengan penampilan bentuk-bentuk dan ejaan unik juga sudah biasa. Sekarang muncul pula nombor plat halus saiz “kuman”, lapor Harian Metro.

    Dirujuk dengan nama jolokan “nombor plat saiz kuman”, Pengarah Penguatkuasaan JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan memaklumkan yang hal tersebut kini sudah menjadi trend terutama dalam kalangan penunggang motosikal, dan boleh dikenakan tindakan tegas di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “JPJ juga turut mengambil tindakan ke atas nombor plat palsu, fancy dan ekstrim yang terang-terangan telah melanggar Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Kes di bawah kesalahan ini akan dibawa ke mahkamah dan tindakan tegas akan diambil, dengan denda minimum RM5,000 akan dikenakan, hingga maksimum RM10,000,” jelas beliau.

    Beberapa buah motosikal dengan nombor plat fancy ini telah ditahan dalam sebuah operasi yang dijalankan. Sebahagian daripada penunggang mengakui mereka memasang nombor plat tersebut sekadar suka-suka, dan tidak sedar bahawa semua itu boleh dikenakan tindakan tegas.

    “Kami telah menerima maklum balas daripada pendakwaraya dan mendapatkan kebenaran untuk mengambil tindakan di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Jadi saya ingin memberi amaran kepada semua pihak, berdasarkan kes yang telah didakwa di Mahkamah Kajang minggu lalu, denda akan dikenakan. Ini merupakan tindakan terbaru yang terpaksa kami ambil setelah mendapati banyak motosikal dan kereta masih menggunakan nombor plat fancy dan ekstrim ini untuk mengelirukan pihak berkuasa,” ujarnya.

     
     
  • JKR kenal pasti jalan persekutuan di Kelantan yang perlukan baik pulih disebabkan hujan musim monsun

    JKR kenal pasti jalan persekutuan di Kelantan yang perlukan baik pulih disebabkan hujan musim monsun

    Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan pihaknya telah mengenal pasti 29 jalan Persekutuan di sembilan daerah di Kelantan yang memerlukan penyelenggaraan segera. Menurut Pengarah JKR Negeri, Nik Badlihisham Nik Ismail, semua jalan berkenaan perlu dibaiki berikutan adanya kerosakan termasuk jalan berlubang yang disebabkan oleh cuaca monsun Timur Laut.

    Tujuh jalan yang dimaksudkan terletak di Gua Musang, dengan laluan yang terkesan ialah Jalan Kuala Betis; Lojing-Gua Musang; Jalan Masuk Sungai Chiku 7 dan 8; Jalan Chiku-Aring 5; Jalan Penempatan Aring 5; Jalan Chiku-Aring Felda Jalan Masuk Aring 2 dan 3; serta Jalan Dalam LKP Aring 8 dan 9.

    Manakala enam jalan lagi di daerah Kota Bharu juga memerlukan baik pulih segera, melibatkan Jalan Pasir Puteh-Kota Bharu; Jalan Wakaf Che Yeh-Salor-Pasir Mas; Jalan Kota Bharu-Pengkalan Chepa; Jalan Gua Musang-Kota Bharu; Jalan Pantai Cahaya Bulan, dan Jalan Sultan Ismail Petra, lapor Bernama.

    Katanya lagi, JKR juga mengenal pasti empat jalan masing-masing di Jeli dan Tanah Merah yang memerlukan pembaikan, sementara jalan-jalan lain yang memerlukan perhatian yang sama adalah alan Gua Musang-Kota Bharu, Jalan Machang-Jeli, Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu dan Jalan Pintas Pasir Puteh. Jalan lain yang termasuk dalam senarai adalah seperti Jalan Kota Bharu-Rantau Panjang, Jalan Kota Bharu-Pengkalan Kubor, Jalan Panglima Bayu-Rantau Panjang, dan Jalan Kubang Kerian-Bachok.

    Nik Badlihisham juga menjelaskan bahawa JKR Negeri akan berunding dengan Kementerian Kerjaraya untuk semua kerja pembaikan yang diperlukan ini, termasuk kos anggaran yang terlibat. Dalam masa yang sama, beliau menggesa pengguna untuk lebih berhati-hati ketika menggunakan jalan yang terkesan itu.

     
     
  • Jalan Bukit Bintang tutup 1 dan 3 Jan untuk ‘I Lite U’

    Jalan Bukit Bintang tutup 1 dan 3 Jan untuk ‘I Lite U’

    Beberapa jalan utama di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur akan ditutup sementara dari 1 hingga 3 Januari untuk memberi laluan kepada penganjuran festival ‘I Lite U’, yang akan menjadi acara pembuka bagi Tahun Melawat Malaysia 2026, lapor Bernama.

    Seperti biasa, Jalan Bukit Bintang akan ditutup sepenuhnya bagi sambutan Tahun Baru antara 5 petang 31 Disember 2025 hingga 2 pagi 1 Januari 2026. Kemudian, untuk raptai festival ‘I Lite U’, jalan berkenaan akan ditutup dari pukul 6 petang pada 1 Januari 2026 hingga selesai raptai. Penutupan terakhir akan dilakukan dari 7.30-10 malam pada 3 Januari untuk acara berlangsung.

    “Acara ini terdiri daripada dua komponen utama, iaitu majlis pembukaannya yang akan dilakukan di Pavilion Kuala Lumpur dan majlis perasmian yang menampilkan perarakan kebudayaan di sepanjang Jalan Bukit Bintang,” jelas Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa.

    Beliau menambah, 20 kontingen termasuk tujuh pancaragam akan ikut serta dalam perarakan tersebut, yang akan bermula dari Pavilion menuju Hotel Federal, meliputi 900 meter menuju persimpangan Jalan Bukit Bintang dan Jalan Sultan Ismail.

    “Pihak pengurusan Pavilion dan penganjur akan menyediakan pelekat parkir khas untuk kenderaan VIP dan VVIP, sementara penutuoan jalan akan diuruskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” ujarnya.

    DBKL dalam satu hantara Facebook baru-baru ini memaklumkan penutupan jalan sempena festival ‘I Lite U’ akan melibatkan Jalan Bukit Bintang dan Jalan Sultan Ismail pada 1 Januari 2026 dari pukul 6-11 malam, dan pada 3 Januari dari 6 petang hingga 12 malam.

     
     
  • Nikmati Musim Ganjaran bersama Omoda | Jaecoo Malaysia — J7 PHEV dengan ganjaran hingga RM14k!

    Nikmati Musim Ganjaran bersama Omoda | Jaecoo Malaysia — J7 PHEV dengan ganjaran hingga RM14k!

    Bagi Omoda | Jaecoo Malaysia, penghujung tahun seperti ini adalah waktunya untuk Musim Ganjaran. Ada banyak tawaran menarik bagi semua barisan kenderaan keluarannya, yang sudah tentu menjadi sesuatu yang tidak boleh dilepaskan begitu saja.

    Tidak hanya menjadi sebuah SUV bergaya dan memikat, Jaecoo J7 PHEV kini datang dengan ganjaran hingga RM14,000*, termasuk pengecas wallbox percuma, jaminan bateri mengagumkan hingga 10-tahun/200,000 km*, serta pilihan antara servis dan penyelenggaraan percuma selama tujuh-tahun atau ganjaran RM5,000*.

    SUV plug-in hybrid dengan harga mengujakan ini memberikan jarak perjalanan gabungan mengikut kitaran NEDC sejauh 1,300 km serta 106 km jarak elektrik sepenuhnya. Ia juga dilengkapi enjin dengan janaan sebesar 347 PS dan 525 Nm — sebuah gandingan mantap antara kuasa dan penjimatan bahan api.

    Jaecoo J7 AWD pula ditawarkan dengan ganjaran hingga RM12,000*. Ini termasuk kadar faedah serendah 0.7%*, serta pilihan antara tujuh-tahun servis dan penyelenggaraan percuma, atau ganjaran RM6,000*. Anda tidak perlukan fungsi pacuan semua roda? Boleh juga mempertimbangkan Jaecoo J7 2WD, yang ditawarkan dengan ganjaran sehingga RM8,000* termasuk lima-tahun servis dan penyelenggaraan percuma, serta kadar faedah serendah 0.8%*.

    Bukan itu saja. Omoda C9 AWD juga boleh menjadi milik anda dengan ganjaran sehingga RM9,000*, termasuk pilihan antara lima-tahun servis dan penyelenggaraan percuma atau ganjaran RM5,500*, sementara Omoda C9 2WD juga hadir dengan tawaran yang sama tetapi tanpa pilihan diskaun RM3,000* bagi Professional Affiliates Programme (PAP), yang ditawarkan untuk semua model selagi pembeli menepati kriteria.

    Tiada masa yang lebih baik berbanding sekarang untuk membeli kenderaan Omoda atau Jaecoo, sebelum kita memasuki tahun 2026. Tempah pandu uji di sini dan pastikan anda mengikuti saluran rasmi Omoda | Jaecoo Malaysia untuk kemaskini semasa.

    *Tertakluk kepada terma dan syarat.

     
     
  • Proton eMas 7 kini terima Android Auto — kemaskini OTA ada larasan kecerahan skrin, BM di pertingkat

    Proton eMas 7 kini terima Android Auto — kemaskini OTA ada larasan kecerahan skrin, BM di pertingkat

    Berdasarkan maklumat yang dikongsikan dalam Proton eMas 7 Community Malaysia Facebook, sepertinya kemaskini over-the-air (OTA) yang menyertakan Android Auto akhirnya telah ada untuk Proton eMas 7, dalam tempoh seperti yang dijanjikan sebelum ini. Gambar yang disertakan ini adalah dari pengguna ExcellentFox8322, yang memaklumkan OTA berkenaan akan dikeluarkan secara berkelompok.

    Selain Android Auto, OTA tersebut (versi 1.2.0) juga menyertakan pelaras kecerahan skrin, kemampuan Bahasa Melayu yang lebih baik dan kemaskini sistem lainnya — menurut ExcellentFox8322, ia kini ada bunyi ketika anda menukar mod pemanduan, yang menjadi satu daripada kemaskini terbarunya.

    Model EV pertama Proton itu menerima Apple CarPlay melalui OTA pada Ogos. OTA yang sama ini juga menyertakan beberapa pilihan lain (‘Galactic Note’ dan ‘Space Walk’) kepada bunyi amaran “lori ais krim” untuk pejalan kaki sebelum ini.

     
     
  • PANDU UJI: Mazda CX-60 2.5 High 2025 – prestasi sederhana tetapi memadai, keselesaan bonus utama

    PANDU UJI: Mazda CX-60 2.5 High 2025 – prestasi sederhana tetapi memadai, keselesaan bonus utama

    Rasanya masih belum terlambat untuk saya mengulas mengenai SUV saiz sederhana, Mazda CX-60, yang dilancarkan di pasaran Malaysia pada September lalu. Di Malaysia, CX-60 ditawarkan dengan satu varian sahaja iaitu 2.5 High, berharga dari RM200,510 tanpa insurans. Harganya memang agak mahal disebabkan ia merupakan versi import sepenuhnya (CBU), dibawa masuk dari Jepun.

    Jika anda mempunyai perancangan untuk membeli sebuah SUV dengan paras harga antara RM200,000 ke atas, CX-60 ini boleh dikatakan relevan untuk diletakkan dalam senarai pilihan. Selain itu, CX-60 juga pilihan yang bersesuaian jika pemilik SUV CX-5 mahu up grade kenderaan sedia ada.

    Namun begitu, sebelum anda membuat pilihan yang tepat, mungkin ulasan pandu uji dari kami ini boleh membantu memberikan serba sedikit gambaran mengenai CX-60.

    CX-60 ini merupakan SUV crossover saiz sederhana yang juga merupakan model pertama dalam kumpulan Mazda Large Product, CX-60 2025 ini dibangunkan di bawah platform Skyactiv Multi-Solution Scalable Architecture yang direka untuk menampung elektrifikasi masa hadapan dan memenuhi piawaian alam sekitar yang ketat.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Harga minyak 25-31 Dis 2025 – Semua turun; RON97 kini RM3.16, RON95 jadi RM2.56, diesel pada RM2.94

    Harga minyak 25-31 Dis 2025 – Semua turun; RON97 kini RM3.16, RON95 jadi RM2.56, diesel pada RM2.94

    Bagi minggu terakhir tahun 2025 iaitu 25 hingga 31 Disember, Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan bahawa harga runcit petrol RON 97 diturunkan sebanyak lapan sen seliter menjadi RM3.16 seliter.

    Untuk petrol RON 95 tanpa subsidi, ia pula diturunkan sebanyak enam sen seliter menjadi RM2.56 seliter. Walau bagaimana pun harga runcit petrol bersubsidi RON95 di bawah Budi95 masih kekal pada RM1.99 seliter.

    Begitu juga dengan harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia turut diturunkan sebanyak lapan sen seliter menjadi RM2.94 seliter. Manakala harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.

    Pada 2 Disember lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan kekal komited melaksanakan mekanisme penyasaran subsidi petrol RON 95 menerusi program Budi Madani RON95 (Budi95), sekali gus menolak cadangan Bank Dunia supaya harga bahan api ditetapkan mengikut harga pasaran. Katanya, penyasaran subsidi RON 95 merupakan langkah berhemat yang membolehkan kerajaan menjimatkan perbelanjaan tanpa membebankan rakyat.

     
     
  • PANDU UJI: Proton Saga MC3 2026 Premium CVT dan Executive 4AT – ‘Supercar’ baharu rakyat Malaysia!

    PANDU UJI: Proton Saga MC3 2026 Premium CVT dan Executive 4AT – ‘Supercar’ baharu rakyat Malaysia!

    Tak tahulah di negara lain macam mana, tapi untuk pasaran Malaysia bagi menghasilkan sebuah kereta entry level bukannya mudah. Untuk yang lebih berkemampuan, mereka mungkin ada kereta berlainan untuk tujuan berlainan – misalnya kalau nak jalan jauh ada sebuah MPV besar, nak angkut barang ada ‘Hailak’ yang garang tapi tak pernah masuk hutan, nak hantar anak pergi sekolah, ke surau atau ke pasar mungkin ada sebuah EV comel yang efisien untuk digunakan, dan hujung minggu mungkin ada kereta sukan dua-pintu untuk melepak dengan kawan-kawan.

    Tapi untuk golongan marhaen, kesemua ‘tugas’ berkenaan hanya diserahkan pada sebuah kereta, dan kereta tersebut juga perlu dijual pada harga yang rendah. Tak ke pening kepala jurutera nak buat sebuah kereta yang boleh buat semua benda tapi harga nak kena murah?

    Jadi sebab itulah kenapa Perodua boleh menguasai pasaran automotif di Malaysia. Model-model seperti Perodua Axia, Bezza dan Myvi dapat menunaikan hampir semua keperluan rakyat Malaysia tersebut dan ditawarkan pada harga yang cukup rendah. Dan hanya kelemahan yang jelas dan boleh di ‘komplen’ pada model-model keluaran Perodua ini adalah pengendalian yang macam ‘sampan’, manakala bagi model-model lebih kecil seperti Axia dan Bezza adalah ia tidak selesa untuk perjalanan yang jauh.

    Nak jalan jauh? Kita ada Proton Saga yang lebih selesa dan lebih solid pengendaliannya. Namun atas beberapa faktor seperti penggunaan bahan api dan juga penyelengaraan yang lebih tinggi menyebabkan Saga sukar untuk mengatasi jualan ketiga-tiga model Perodua berkenaan. Proton sedar akan kelemahan tersebut, dan ini dia Proton Saga MC3 2026!

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Honda Jazz 2026 bocor di China — imej lebih sporty, kemaskini kelengkapan; enjin 1.5L, CVT masih sama

    Honda Jazz 2026 bocor di China — imej lebih sporty, kemaskini kelengkapan; enjin 1.5L, CVT masih sama

    Untuk memberi laluan kepada Honda City Hatchback, Honda Jazz memang tidak lagi dijual di Malaysia, tetapi model kompak berkenaan masih lagi ditawarkan di pasaran lain. Enam tahun sudah berlalu sejak model generasi keempat Jazz didedahkan, dan Jazz masih menerima permintaan yang tinggi daripada peminatnya. Di China, kereta tersebut nampaknya akan memasuki facelift yang kedua di sana, yang dikenali dengan nama Honda Fit.

    Imej terbaru model hatchback segmen B ini muncul di laman Autohome. Ia menerima wajah baru dengan rekaan lampu utama terpisah, bersama dengan DRL LED yang tirus bersambung ke bahagian grilnya. Terdapat juga bukaan udara di sudut bampar depan, dalam bentuk empat bukaan segi empat.

    Di belakang, lampu bentuk trapezoid masih dikekalkan, tetapi dengan rekaan bampar yang lebih menonjol yang disertakan dengan bahagian ala diffuser. Sedikit pelik imejnya adalah kerana menggunakan rim besi dan penutup — mungkin ini model paling asas.

    Honda Jazz 2026 bocor di China — imej lebih sporty, kemaskini kelengkapan; enjin 1.5L, CVT masih sama

    Mujur, kemaskini lain yang dilakukan agak menarik. Menurut Autohome, Fit ini akan ditawarkan dengan kelengkapan skrin sentuh lebih besar bersaiz 10.1-inci dengan sokongan Apple CarPlay, Huawei HiCar dan Baidu CarLife — menggantikan unit lama dengan saiz lapan-inci.

    Untuk mekanikal pula, tiada sebarang perubahan dilakukan. Fit untuk pasaran China ini datang dengan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC empat-silinder dengan janaan 124 PS/145 Nm yang sama, yang diganding dengan CVT. Ada yang merindui model ini untuk ia kembali ke pasaran Malaysia?

     
     
  • Nissan Almera 2026 muncul — depan dan belakang baru, lampu terpisah, sisi sama, ciri ADAS tambahan?

    Nissan Almera 2026 muncul — depan dan belakang baru, lampu terpisah, sisi sama, ciri ADAS tambahan?

    Ini adalah gambar Nissan Versa 2026 — atau yang kita kenali dengan nama Almera — telah dikongsikan oleh Carscoops dari sebuah laman kumpulan Facebook di Mexico, memperlihatkan model berkenaan yang sedang menjalani penggambaran promosi. Kemungkinan model terbabit akan mula dijual di pasaran Latin Amerika terlebih dahulu.

    Gaya baru Almera ini nampak menarik dengan lampu utama terpisah (DRL LED di atas, lampu utama di bawah), menjadikan wajah depannya lebih lapang. DRL tirusnya bersambung dengan jalur hitam berkilat yang turut menempatkan logo Nissan. Ruang bukaan di bawah juga tampil lebih kemas dengan perincian krom.

    Rekaan di belakang pula nampak lebih santai. Tiada lampu belakang berkelebaran penuh, yang disertai oleh palang hitam berkilat yang menempatkan ejaan Versa. Sebahagian daripada lampu itu juga nampak masih mengekalkan rekaan lama, sementara bahagian tengahnya saja yang diberi rekaan baru, termasuk di bahagian grafik di dalamnya. Kedudukan nombor plat juga kini dialih ke bahagian bampar.

    Nissan Almera 2026 muncul — depan dan belakang baru, lampu terpisah, sisi sama, ciri ADAS tambahan?

    Jadi adakah ini merupakan facelift kedua atau model generasi baru? Dari sisi sebenarnya kereta ini masih mengekalkan bentuk yang sama, dan untuk itu ini tidaklah boleh dirujuk sebagai rekaan dengan platform Nissan V yang terkini, walaupun ia tentunya akan datang dengan banyak penambahbaikan.

    Untuk ruang dalaman, masih belum ada maklumat tentangnya, tetapi ada laporan yang menjangkakan rekaan dalaman juga akan diberi sentuhan baru, dengan panel instrumen digital, infotainmen dikemaskini serta ciri ADAS. Di Malaysia bagaimanapun kita bahkan belum menerima Almera versi facelift yang pertama. Almera N18 generasi keempat facelift tersebut pertama kali diperkenalkan di AS pada Oktober 2022, di Thailand pada Mei 2023 dan Filipina pada Julai 2023.

     
     
  • Stesen LRT Bukit Jalil dilanjutkan waktu operasi pada 27 Dis 2025 hingga 1 pagi sempena konsert Bollywood

    Stesen LRT Bukit Jalil dilanjutkan waktu operasi pada 27 Dis 2025 hingga 1 pagi sempena konsert Bollywood

    Rapid KL telah mengumumkan bahawa operasi stesen LRT Bukit Jalil akan dilanjutkan sehingga jam 1 pagi pada 27 Disember 2025.

    Ia adalah sempena dengan acara mega pelancaran rasmi audio filem Jana Nayagan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil yang dijangka bakal dihadiri 85,000 pengunjung. Turut dianjurkan serentak Thalapathy Thiruvizha: A Tribute Concert yang akan menampilkan 30 penyanyi dan persembahan langsung oleh pengarah muzik Anirudh Ravichander yang dijangka akan dihadiri artis-artis terkenal dari India dan Malaysia.

    Pengendali rel tersebut juga memakumlankan bahawa stesen-stesen sambungan juga turut dilanjutkan waktu operasi bagi membawa penumpang ke destinasi akhir. Walau bagaimana pun, para penumpang diingatkan untuk menggunakan kad Touch ‘n Go bagi memudahkan perjalanan. Sila pastikan baki tambah nilai di dalam kad berkenaan mencukupi.

     
     
  • Jambatan kedua Pulau Pinang ditutup sementara pada 3-4 Jan, 8 malam-2 pagi; untuk acara berbasikal PDRM

    Jambatan kedua Pulau Pinang ditutup sementara pada 3-4 Jan, 8 malam-2 pagi; untuk acara berbasikal PDRM

    Makluman buat masyarakat di sekitar Pulau Pinang atau pun yang merancang untuk ke negeri berkenaan pada hujung minggu hadapan. Dimaklumkan bahawa Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah atau pun Jambatan Kedua Pulau Pinang akan ditutup sementara pada 3 hingga 4 Januari 2026.

    Penutupan laluan di jambatan berkenaan bermula jam 8 malam pada 3 Januari sehingga 2 pagi keesokannya bagi memberikan laluan kepada penganjuran acara PDRM Penang International 2nd Bridge Solidarity Fun Ride 2026.

    Justeru, orang ramai dinasihati agar merancang perjalanan lebih awal dan mematuhi semua papan tanda serta arahan yang diberikan. Walau bagaimana pun, Jambatan Pulau Pinang dibuka seperti biasa dan boleh digunakan sebagai laluan alternatif untuk yang mahu masuk atau keluar ke/dari bahagian pulau ke tanah besar.

    PDRM Penang International 2nd Bridge Solidarity Fun Ride 2026 dijangka menerima 3,000 penyertaan yang melibatkan kayuhan sejauh 52 km. Kayuhan akan bermula di Queensbay Mall dan merentasi Jambatan Kedua Pulau Pinang sebelum berpatah kembali ke pusat membeli-belah berkenaan sebagai garisan penamat. Acara berbasikal ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Sukan Berbasikal Kontijen Pulau Pinang dan ia merupakan penganjuran kali ke-6 serta sebahagian daripada kempen pencegahan jenayah PDRM.

     
     
  • 4.84 juta saman JPJ belum dibayar, diskaun 50% akan berakhir, pesalah boleh disenarai-hitam tahun depan

    4.84 juta saman JPJ belum dibayar, diskaun 50% akan berakhir, pesalah boleh disenarai-hitam tahun depan

    Setakat ini, ada sejumlah 4.841 juta saman JPJ yang telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan yang belum dilunaskan oleh pesalah, melibatkan jumlah sebanyak RM1.45 bilion. Dan, semua pesalah ini berkemungkinan akan disenarai hitam atau dihadapkan ke mahkamah tahun depan jika masih gagal menyelesaikan saman mereka.

    Angka tersebut dikongsikan oleh Pengarah Kanan Penguatkuasaan JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan, yang mendedahkan hanya 583,281 notis saman telah diselesaikan setakat ini di bawah inisiatif diskaun oleh kerajaan, yang diterjemahkan kepada jumlah keseluruhan RM77.27 juta, lapor Borneo Post.

    Kerajaan menawarkan diskaun saman 50% bagi saman JPJ yang masih tertunggak, dan diskaun 70% bagi saman polis hingga 30 Disember ini. Bermula tahun depan, tiada lagi program diskaun saman yang akan diberikan, kerana kerajaan akan beralih kepada struktur saman baru dengan pendekatan “segera dibayar, lebih murah” denda yang dikenakan.

    Bermula 1 Januari 2026, kompaun yang dibayar dalam tempoh satu hingga 15 hari layak menerima pengurangan 50%, sementara 33% pengurangan diberikan kepada mereka yang membayar dalam tempoh antara 16-30 hari. Kadar kompaun penuh akan dikenakan kepada mereka yang membayar dalam tempoh 31-60 hari, sementara pesalah akan disenarai hitam atau dihadapkan ke mahkamah sekiranya saman masih gagal dibayar dalam tempoh selepas 61 hari tersebut.

    Secara ringkas, pesalah trafik yang enggan menjelaskan saman mereka akan berdepan dengan tindakan tegas, sama ada dihadapkan ke mahkamah atau tidak lagi boleh memperbaharui lesen kenderaan motor (LKM) mereka. Dan, hanya tinggal baki tempoh seminggu sahaja lagi untuk anda melunaskan saman yang tertunggak sedia ada, sebelum kaedah baru digunapakai bermula 1 Januari 2026.

     
     
  • LRT Laluan Mutiara: Jalan Sultan Azlan Shah, Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu ditutup sebahagian laluan

    LRT Laluan Mutiara: Jalan Sultan Azlan Shah, Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu ditutup sebahagian laluan

    MRT Corp telah umumkan penutupan jangka panjang berjadual bagi sebahagian laluan di Jalan Sultan Azlan Shah dan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu pada sebelah malam bagi memudahkan pembinaan LRT Laluan Mutiara, lapor Bernama.

    Penutupan laluan di Jalan Sultan Azlan Shah akan dilakukan pada 18 Disember 2025 hingga 16 Februari 2026, antara 10 malam dan lima pagi, bagi tujuan kerja-kerja berkaitan. Kerja-kerja pemunggahan jalan juga akan terlibat, menjadikan lorong paling kiri di kedua-dua arah antara persimpangan Jalan Mayang Pasir dan Perkampungan Polis Bayan Indah akan ditutup. Akan ada satu lorong yang akan sentiasa dibuka kepada trafik.

    Sementara itu, laluan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu pula akan bermula dari Gat Lebuh Macallum hingga Gat Lebuh Cecil, dan akan dilakukan dari 13-31 Disember antara 5 petang hingga enam pagi melibatkan kerja-kerja pelebaran jalan. Akan ada papan tanda, kon trafik dan petugas bendera yang akan mengawal di kedua-dua lokasi. Kepada pengguna jalan raya, diharap berhati-hati di kawasan terbabit.

    Pertama kali diusulkan pada 2015, LRT Laluan Mutiara sepanjang 29.5 km akan menghubungkan bahagian pulau dan tanah besar Pulau Pinang, dan melibatkan 21 stesen. Jajaran utamanya melibatkan laluan dari kawasan tambak selatan pulau tersebut ke Penang Sentral dan stesen Komtar di George Town. Pembinaan dijangka akan diteruskan sepanjang musim perayaan Tahun Baru Cina pada Februari dan Hari Raya Aidilfitri pada Mac untuk menepati tarikh akhir siap pada Disember 2031.

     
     
  • JPJ ‘cekup’ 2,685 pemilik kenderaan mewah yang tiada cukai jalan yang sah – Porsche mendahului senarai

    JPJ ‘cekup’ 2,685 pemilik kenderaan mewah yang tiada cukai jalan yang sah – Porsche mendahului senarai

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendedahkan sejumlah 2,685 kenderaan mewah telah ditahan kerana gagal memperbaharui cukai jalan kenderaan (Lesen Kenderaan Motor atau LKM) pada tahun ini. Menurut Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan, angka tersebut direkodkan dari 1 Januari hingga 18 Disember tahun ini, yang kebanyakannya ditahan menerusi Ops Luxury, yang dilaksanakan mulai akhir Jun lalu.

    “Daripada 2,685 kenderaan mewah yang gagal memperbaharui LKM, Porsche mencatatkan jumlah tertinggi dengan 1,887 kenderaan, diikuti Ferrari (223), Lamborghini (195), Bentley (172), Maserati (88), Rolls-Royce (64) dan Aston Martin (56),” katanya, sambil menambah bahawa sebanyak 855 kenderaan mewah telah disita sejak Ops Luxury dilaksanakan.

    Tambahnya, kesemua 2,685 kenderaan yang tidak mematuhi peraturan itu masih berada di bawah pemantauan penguatkuasaan, dan tindakan penyitaan akan diambil sekiranya LKM tidak diperbaharui dengan segera. Beliau turut menegaskan bahawa kenderaan yang digunakan tanpa LKM yang sah membawa risiko tinggi kerana tidak dilindungi insurans, sekali gus berpotensi menyebabkan liabiliti kewangan dan perundangan yang serius sekiranya berlaku kemalangan.

    Muhammad Kifli berkata, antara kesan pelaksanaan Ops Luxury ialah berlakunya peningkatan ketara dalam pembaharuan LKM bagi kenderaan mewah, melibatkan sebanyak 12,921 kenderaan, dengan jumlah kutipan keseluruhan mencecah RM34.47 juta, laporan Borneo Post.

    “Porsche sekali lagi mencatatkan nilai pembaharuan tertinggi, dengan kutipan (bagi 10,142 kenderaan) mencecah RM17.94 juta,” katanya lagi.

    Pada bulan September lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke memaklumkan bahawa seramai 6,360 pemilik kenderaan mewah di Malaysia yang terdiri daripada jenama Rolls-Royce, Lamborghini, Bentley, Ferrari dan Porsche, telah merekodkan tunggakan cukai jalan hampir RM35.7 juta.

    Senarai yang dikeluarkan oleh JPJ mendedahkan bahawa Rolls-Royce melibatkan 345 unit dengan tunggakan RM6,455,563.70, 372 unit Lamborghini (RM3,761,345.40), 660 unit Bentley (RM7,055,197.10), 675 unit Ferrari (RM4,718,395.60), dan 4,308 unit Porsche (RM13,751,078.20).

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026