Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Proton eMas 5 – 216 unit dari 14.6k tempahan telah diserah kepada pelanggan; eMas 7 terjual 9,336 unit

    Proton eMas 5 – 216 unit dari 14.6k tempahan telah diserah kepada pelanggan; eMas 7 terjual 9,336 unit

    Proton telah mengumumkan bahawa sebanyak 216 unit eMas 5 telah diserahkan kepada pelanggan sehingga 31 Disember 2025, selepas EV kompak berkenaan dilancarkan pada 30 Oktober lalu. Kesemua unit tersebut telah selamat diterima oleh pemilik masing-masing pada bulan lalu.

    Namun masih banyak kerja yang perlu Proton lakukan kerana sehingga kini sebanyak 14,600 unit eMas 5 telah ditempah oleh pelanggan. Proton eMas 5 dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM59,800 bagi varian asas Prime, dan RM72,800 untuk varian tertinggi Premium.

    Ia juga merupakan model pertama Proton yang ditawarkan sebagai sebuah model pacuan roda belakang dengan motor elektrik tunggal yang diletakkan pada gandar belakang, memberikan pengendalian yang menyeronokkan – anda boleh baca ulasan pandu uji kami pada PAUTAN INI.

    Untuk varian Premium, motor elektrik berkenaan menghasilkan kuasa 116 PS (85 kW) dan tork maksima 150 Nm, dipacu oleh bateri LFP keluaran CATL dengan kapasiti 40.16 kWj. Manakala bagi varian Prime, motor elektrik yang dibekalkan hanya berkuasa 79 PS (58 kW) dan tork maksima 130 Nm, menerima bekalan kuasa dari bateri LFP lebih kecil berkapasiti 30.12 kWj.

    Proton eMas 5 – 216 unit dari 14.6k tempahan telah diserah kepada pelanggan; eMas 7 terjual 9,336 unit

    Konfigurasi unit rangkaian kuasa ini membolehkan eMas 5 Premium memecut dari 0-50 km/j dalam masa 3.9 saat sebelum mencapai kelajuan 135 km/j serta jarak perjalanan 325 km (WLTP) dengan satu cas bateri penuh, manakala eMas 5 Prime pula kelajuan maksimanya dihadkan pada 125 km/j dan boleh bergerak sejauh 225 km (WLTP) dengan satu cas penuh.

    Proton turut memberitahu bahawa sebanyak 9,336 unit eMas 7 telah terjual tahun lalu, di mana 8,677 adalah untuk pelanggan tempatan sementara 659 unit untuk pasaran eksport. Ini bermakna secara keseluruhan sebanyak 9,549 unit model EV Proton eMas telah terjual di seluruh dunia, namun secara majoritinya berada di Malaysia.

    “Tahun 2025 menandakan satu permulaan penting bagi Proton eMas, bukan sahaja dari segi pertumbuhan, tetapi juga impak sebenar yang dicipta oleh kenderaan Proton eMas setiap hari,” kata CEO Pro-Net, Zhang Qiang.

    “Dengan 9,549 kenderaan eMas kini beroperasi, kita dapat melihat bagaimana pemilik eMas menyumbang kepada udara yang lebih bersih, perjalanan yang lebih tenang dan pengurangan penggunaan bahan api melalui pemanduan harian mereka.

    “Melangkah ke tahun 2026, fokus kami tetap untuk memperkukuh permulaan ini dengan meningkatkan pilihan kenderaan elektrik, menguatkan sokongan pengecasan dan perkhidmatan selepas jualan, serta memastikan mobiliti elektrik kekal praktikal, mudah diakses dan memberi manfaat di mana sahaja kenderaan kami beroperasi,” tambahnya lagi.

     
     
  • Honda Malaysia anjur promosi Jan 2026 – diskaun Civic Type R 2025 RM60k, e:N1 RM34k, CR-V RM18k

    Honda Malaysia anjur promosi Jan 2026 – diskaun Civic Type R 2025 RM60k, e:N1 RM34k, CR-V RM18k

    Untuk anda yang ingin memiliki kereta baharu sempena dengan kedatangan Tahun Baharu 2026, inilah masa yang sesuai untuk merealisasikan hajat anda itu. Honda Malaysia memulakan 2026 dengan memberikan diskaun gempak menerusi promosi yang sedang dianjurkan iaitu ‘Every Drive, More Fun!’ sepanjang Januari ini.

    Penawaran diskaun yang paling tinggi diberikan untuk Civic Type R buatan tahun 2025 iaitu sebanyak RM60,000, sementara EV e:N1 pula menerima rebat RM34,000. Kedua-duanya adalah model import sepenuhnya (CBU).

    Tidak melupakan model pemasangan tempatan (CKD), Honda Malaysia turut menawarkan diskaun sebanyak RM11,000 untuk kesemua lima varian City Sedan, dan City Hatchback pula dapat RM8,000. Untuk WR-V pula, ia mendapat diskaun dari RM8,000 untuk varian V hingga RM11,000 untuk RS, manakala dua varian lain menerima rebat RM9,000.

    KLik untuk besarkan

    Bagi HR-V, versi facelift 2025 ditawarkan diskaun RM12,000 untuk model asas S dan V, manakala RS hybrid pula diberikan RM13,000.

    Dua model yang paling menjadi rebutan masa kini iaitu CR-V dan Civic, masing-masing menerima diskaun sebanyak RM18,000 (kecuali RS hybrid yang hanya RM13,000) dan RM13,000 (kecuali 1.5T RS yang dapat rebat RM10,000).

    Jika anda mahukan model buatan 2026, diskaun sebanyak RM6,000 untuk semua varian bagi City dan WR-V, RM4,000 untuk City Hatchback, RM5,000 hingga RM7,000 bagi HR-V, RM10,000 pula untuk CR-V (RS hybrid RM8,000) dan RM5,000 untuk Civic. Anda boleh lihat senarai di atas untuk penawaran diskaun tersebut. Kesemua diskaun ini adalah untuk kenderaan yang didaftarkan sekarang hingga 31 Januari.

     
     
  • Volvo ES90 2026 – pendaftaran minat di Malaysia dibuka; CKD, 333 PS, jarak gerak 651 km WLTP

    Volvo ES90 2026  – pendaftaran minat di Malaysia dibuka; CKD, 333 PS, jarak gerak 651 km WLTP

    Volvo ES90 Exterior

    Volvo Cars Malaysia (VCM) mengumumkan bahawa pendaftaran minat (ROI) bagi sedan EV Volvo ES90 kini sudahpun dibuka sebelum model berkenaan dilancarkan ke pasaran tempatan awal tahun ini. Tarikh pelancaran, varian serta harganya masih belum diumumkan, namun VCM mengesahkan bahawa bagi 100 pelanggan terawal yang menempah model ini dengan membuat pendaftaran bermula 2 Januari hingga 31 Mac 2026 akan menerima insentif sebanyak 2%.

    Volvo ES90 ini akan terus ditawarkan sebagai model pemasangan tempatan (CKD). Ia mula diperkenalkan untuk peringkat global pada Mac tahun lalu, diasaskan dari platform Scalable Product Architecture (SPA2). Tidak seperti EX90 yang diperkenalkan dengan sistem 400-volt untuk permulaan dan kemudian beralih kepada sistem 800-volt pada September tahun lalu, ES90 ini pula terus menerima sistem 800-volt untuk beroperasi.

    Ini membolehkan sedan ini menggunakan pengecas pantas DC sehingga 350 kW, membenarkan cas bateri dipenuhkan dari 10-80% dalam masa 22 minit serta mendapatkan jarak gerak sejauh 300 km hanya dalam masa 10-minit.

    Volvo ES90 2026  – pendaftaran minat di Malaysia dibuka; CKD, 333 PS, jarak gerak 651 km WLTP

    Volvo ES90 Exterior

    Bagi pasaran Malaysia VCM menyatakan bahawa ES90 akan dibekalkan dengan kuasa 333 PS dan tork maksima 480 Nm – ini menunjukkan bahawa ia adalah dari varian Single Motor dengan hanya satu motor tunggal memacu roda belakang, dibekalkan dengan bateri NMC yang membolehkan ia bergerak sejauh 651 km dalam kitaran ujian WLTP. Pada pasaran lain ES90 turut hadir dengan pilihan varian Twin Motor dan Twin Motor Performance yang lebih berkuasa.

    ES90 juga merupakan model pertama Volvo yang menampilkan sistem komputer Nvidia Drive AGX Orin sebagai sebahagian dari teknologi Superset, di mana ia mengawal fungsi AI, kelengkapan keselamaran, penderia-penderia kenderaan dan juga sistem pengurusan bateri.

    Model ini telahpun dilancarkan di Thailand pada Oktober tahun lalu di mana negara tersebut turut menerima hanya satu varian tunggal iaitu Ultra Single Motor, dijual pada harga 2.99 juta baht (sekitar RM386k) untuk model yang diimport sepenuhnya dari China.

     
     
  • Proton Saga MC3 – 10,000 unit terjual selepas dilancar

    Proton Saga MC3 – 10,000 unit terjual selepas dilancar

    Proton mengumumkan bahawa 10,000 unit Saga MC3 2026 yang baru dilancarkan pada akhir November lalu telah pun diserahkan kepada pelanggan sehingga kini. Angka ini adalah termasuk 7,975 unit yang telah diserahkan sepanjang bulan lalu.

    Namun masih banyak Saga MC3 yang perlu dihasilkan oleh kilang Proton di Tanjung Malim kerana hanya selepas kira-kira seminggu dilancarkan, tempahan bagi sedan segmen-A yang dikemaskini ini sudahpun mencapai 30,000 unit, dan ia sudah tentu jauh lebin tinggi sekarang.

    Proton Saga MC3 2026 ini ditawarkan dalam tiga varian iaitu Standard, Executive dan Premium, masing-masing dijual pada harga atas jalan tanpa insuran bermula RMRM38,990, RM44,990 dan RM49,990. Model paling mampu milik dari Proton yang dikemaskini ini dibina berasaskan platform AMA — ia menggunakan platform Saga terdahulu, tetapi diberikan kejuruteraan semula untuk menguatkan semula kerangka Saga ini dengan menambahbaik beberapa struktur. Antaranya Proton telah menerapkan logam dengan teknologi Hot Press Forming (HPF) pada tiang-B dan juga bahagian cross member pada lantai yang memegang cagak tempat duduk.

    Tiada lagi enjin Campro 1.3L pada Saga MC3 ini dan ia digantikan dengan enjin “i-GT” BHE15-CFN yang mampu menghasilkan kuasa 120 PS dan tork maksima 150 Nm. Dua jenis transmisi ditawarkan untuk Saga – bagi varian paling tinggi iaitu Premium ia datang dengan kotak gear CVT, manakala dua varian lebih rendah pula iaitu Executive dan Standard, ia datang dengan kotak gear automatik konvensional empat kelajuan 4AT.

    Proton Saga MC3 – 10,000 unit terjual selepas dilancar

    Model ini juga menerima rombakan besar dari segi rupa di mana semua varian kini diberikan lampu hadapan projektor LED, gril dan bampar hadapan baharu, serta lampu belakang juga dengan teknologi LED, bersama bar LED merentangi sepenuhnya but belakang (hanya untuk varian Premium).

    Kabin Saga ini juga telah dirombak semula di mana varian Executive dan Premium kini diberikan skrin infotainmen sembilan-inci dengan hubungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, dan semua varian diberikan paparan instrumen digital dengan skrin TFT tujuh-inci dan juga roda stereng lebih sporty rekaan rata di bawah.

    Selain itu Saga MC3 2026 dalam varian Premium turut menerima peningkatan drastik dari segi keselamatan di mana ia kini diberikan enam beg udara dan fungsi bantuan pemanduan termaju (ADAS).

    Kami telah senaraikan setiap perincian yang diterima untuk setiap varian yang boleh anda baca pada PAUTAN INI. Juga kami sudahpun berpeluang memandu uji model ini dan ulasannya pula boleh anda baca pada PAUTAN INI.

    GALERI: Proton Saga 2026 Premium CVT

    GALERI: Proton Saga 2026 Executive 4AT

    GALERI: Proton Saga 2026 Standard 4AT

     
     
  • Mitsubishi siar teaser SUV baru berasaskan trak pikap Triton – ini adalah Pajero dan bukan Pajero Sport?

    Mitsubishi siar teaser SUV baru berasaskan trak pikap Triton – ini adalah Pajero dan bukan Pajero Sport?

    Mitsubishi telah menyiarkan teaser untuk sebuah SUV baharu di mana ia muncul pada bahagian akhir satu video yang dibuat untuk meraikan kejayaan trak pikap Triton dalam perlumbaan Asia Cross Country Rally (AXCR) tahun lalu. Dalam video tersebut, Mitsubishi meletakkan kemenangan Triton dalam AXCR berkenaan sebagai penerus kejayaannya dalam pelbagai kejohanan rali sebelum ini termasuk Kejohanan Rali Dunia (WRC) dan juga Rali Paris-Dakar (dikenali sebagai Rali Dakar sekarang).

    Tiada sebarang perincian disebut oleh Mitsubishi berkenaan SUV tersebut dalam video ini. Namun dengan mengangkat Triton, ini mungkin model generasi baharu Pajero Sport yang sememangnya dihasilkan dari platform ladder frame yang sama dengan Triton.

    Model generasi sedia ada Pajero Sport sudahpun berada sedekad dalam pasaran, dan menerima facelift terakhir pada 2024 di mana ketika itu Triton sudahpun hadir dalam model generasi baharu seterusnya. Jadi sememangnya logik untuk Mitsubishi memperkenalkan Pajero Sport generasi baharu bila-bila masa sahaja dari sekarang.

    Walau bagimanapun menurut laporan media automotif Australia CarExpert, SUV baharu ini mungkin akan dikenali sebagai Pajero, bagi menghidupkan kembali legasi SUV Mitsubishi yang telahpun ditamatkan pengeluarannya pada 2021. Bagi yang belum mengetahui, Pajero dan Pajero Sport adalah dua model berbeza, di mana Pajero merupakan model lebih mewah yang dibina berasaskan kerangka unibody yang disatukan dengan kerangka ladder frame bagi memberikan keselesaan lebih baik.

    Malah Pajero Sport yang lazimnya dikilangkan di Thailand bersama dengan Triton tidak pernah dijual di pasaran Jepun – mengambil kira video ini dibuat dalam bahasa Jepun, ada kemungkinan ia akan masuk ke pasaran negara tersebut dan ini boleh jadi satu lagi sebab mengapa ia akan dikenali sebagai Pajero dan bukan Pajero Sport.

    Walaupun hanya muncul sekitar dua saat dengan keadaan cahaya yang rendah dalam video tersebut, dapat dilihat bahawa SUV baharu ini menerima lampu hadapan berbentuk-T dan juga gril yang besar seakan SUV-SUV terbaharu Mitsubishi seperti Xforce dan Destinator. Ia juga menampilkan badan yang lebih tegap serta berkotak berbanding Pajero Sport generasi sedia ada.

    Sekiranya SUV baharu dibangunkan menggunakan kerangka Triton, ia berkemungkinan akan menerima unit rangkaian kuasa yang sama. Triton generasi terkini digerakkan dengan enjin 4N16 2.4 liter MIVEC turbodiesel yang ditawarkan dalam versi turbo tunggal dan berkembar, dengan versi talaan paling berkuasa menampilkan kuasa 204 PS dan tork maksima 470 Nm. Ia turut menawarkan kotak gear enam kelajuan automatik serta sistem 4WD Super Select II untuk meredah laluan off-road yang lasak.

     
     
  • Prasarana merekodkan sejumlah lebih 1.54 juta penumpang sempena ambang Tahun Baharu 2026

    Prasarana merekodkan sejumlah lebih 1.54 juta penumpang sempena ambang Tahun Baharu 2026

    Prasarana telah mencatatkan sejumlah 1.54 juta penumpang yang menggunakan perkhidmatan bas dan rel kendaliannya pada malam ambang Tahun Baharu 2026, sekaligus menjadi pencapaian tertinggi dalam sejarah perkhidmatan Rapid KL dan Rapid Penang, laporan Bernama.

    “Kecekapan koordinasi dan pengurusan kawalan orang ramai, yang dikendalikan oleh kira-kira 3,000 petugas barisan hadapan Rapid KL di Lembah Klang, memastikan pengguna rel dan bas menikmati perjalanan yang lancar, selamat dan selesa sepanjang sambutan tersebut,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan, dalam satu kenyataan baru-baru ini.

    Prasarana merekodkan sejumlah lebih 1.54 juta penumpang sempena ambang Tahun Baharu 2026 Prasarana merekodkan sejumlah lebih 1.54 juta penumpang sempena ambang Tahun Baharu 2026

    Beliau turut berkata, jumlah tersebut meningkat sebanyak 0.76% berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

    Berdasarkan rekod, katanya, jumlah pengguna perkhidmatan rel pada tarikh tersebut mencecah 1.29 juta penumpang, manakala perkhidmatan bas termasuk Rapid On-Demand (ROD) mencatatkan sejumlah 251,737 penumpang, termasuk di Pulau Pinang.

    Bagi perkhidmatan rel, Laluan Kajang mencatatkan jumlah tertinggi dengan 396,141 penumpang, diikuti Laluan Kelana Jaya (321,381), Putrajaya (234,158), Ampang/Sri Petaling (246,885) dan Monorel (90,748). Sementara itu, bagi perkhidmatan bas pula, Rapid KL merekodkan 183,944 penumpang, diikuti Rapid Penang (48,002) dan BRT Sunway (19,791)

     
     
  • Tren KTM MySawasdee ke Hat Yai kembali — 30 Jan-2 Feb, 27-30 Mac; KL Sentral, Sg Buloh, Ipoh, Taiping

    Kepada mereka yang ingin mengunjungi Hat Yai, perkhidmatan keretapi KTM MySawasdee ke bandar itu bakal kembali pasca bencana banjir yang menimpa bandar itu kira-kira sebulan lalu.

    Jualan tiket kini di buka untuk dua perjalanan pergi-balik — pada 30 Januari dari KL Sentral ke Hat Yai, dan 2 Februari untuk perjalanan pulang ke Malaysia; atau bagi perjalanan bertarikh 27-30 Mac. Harga tiket bermula dari RM95 dan boleh dibeli di laman web rasmi KTM, aplikasi KITS Style atau secara fizikal di kiosk.

    Keretapi MySawasdee bertolak dari KL Sentral, tetapi boleh juga dinaiki dari Sungai Buloh. Ia akan berhenti di Ipoh dan Taiping juga, jika ada yang mahu naik dari dua stesen berkenaan. Rujuk imej yang disertakan untuk perincian lanjut.

     
     
  • Puspakom implementasi sistem tempahan ‘GiCheck’ baharu, caj pemprosesan naik ke RM5 dari RM3.50

    Puspakom implementasi sistem tempahan ‘GiCheck’ baharu, caj pemprosesan naik ke RM5 dari RM3.50

    Puspakom mula mengimplementasikan sistem tempahan pemeriksaan kenderaan baharu yang lebih stabil, tepat dan mesra pelanggan, menurut syarikat itu. Sistem baharu yang dinamakan GiCheck ini merangkumi integrasi automatik dengan portal mySIKAP JPJ, selain proses bayaran balik yang lebih tersusun dan telus.

    Dalam masa yang sama, Puspakom turut mengumumkan bahawa caj pemprosesan tempahan pemeriksaan kenderaan telah diselaraskan daripada RM3.50 kepada RM5.00, berkuat kuasa semalam (4 Januari).

    Syarikat itu menjelaskan bahawa caj pemprosesan tersebut tidak pernah disemak sejak pengenalan tempahan pemeriksaan dalam talian pada tahun 2017, dan pelarasan ini bertujuan untuk menyokong sistem tempahan yang lebih stabil, telus dan berfokuskan pelanggan, selaras dengan keperluan industri automotif semasa serta jangkaan pengguna.

    Sistem baharu ini akan menampilkan penjenamaan, antara muka dan fungsi yang dikemas kini bagi meningkatkan pengalaman pelanggan dan kecekapan tempahan, menurut Puspakom dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • Mitsubishi Xforce dijumpai di Malaysia tanpa sebarang penyamaran; akan dilancar tak lama lagi, 1.5L NA, CVT

    Mitsubishi Xforce dijumpai di Malaysia tanpa sebarang penyamaran; akan dilancar tak lama lagi, 1.5L NA, CVT

    SUV segmen-B dari Mitsubishi iaitu Xforce sudah dilihat di Malaysia pada Februari tahun lalu, tetapi ketika itu ia masih berselindung di sebalik pelekat penyamaran. Terbaharu, model berkenaan dilihat sekali lagi, dan kali ini tanpa sebarang pelekat! Imej yang kami terima ini dikirimkan oleh pembaca paultan.org Derek Ng, di mana Xforce tersebut dilihat sedang diturunkan dari lori pengangkut di Shah Alam, dan ini petanda jelas bahawa ia bakal dilancarkan pada pasaran Malaysia tidak lama lagi.

    Mitsubishi Xforce muncul buat pertama kali untuk peringkat global di Indonesia pada Ogos 2023. Ia dihasilkan dengan dimensi 4,390 mm panjang, 1,810 mm lebar dan 1,660 mm tinggi. Oleh itu Mitsubishi Xforce ini mempunyai saiz dalam kelas segmen-B penuh seperti Honda HR-V (4,385 mm x 1,790 mm x 1,590 mm) dan Toyota Corolla Cross (4,460 mm X 1,825 mm x 1,620 mm), serta lebih besar dari kembar Perodua Traz dan Toyota Yaris Cross.

    Ketika diperkenalkan buat pertama kali, Xforce hadir dengan enjin petrol NA 1.5 liter 4A91 DOHC MIVEC yang sama seperi MPV Mitsubishi Xpander, menghasilkan kuasa 105 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 141 Nm pada takat 4,000 rpm, digandingkan dengan kotak gear CVT automatik yang memacu hanya roda hadapan.

    Kemudian pada Mac tahun lalu, Xforce HEV muncul di Thailand yang digerakkan oleh unit rangkaian kuasa hibrid e:Motion. Ia menggandingkan enjin petrol kitaran Atkinson 4A92 1.6 liter MIVEC empat-silinder berkuasa 95 PS pada takat 5,100 rpm dan tork maksima 134 Nm pada takat 4,500 rpm, di mana enjin ini dalam kebanyakkan masanya hanya berfungsi untuk mengecas bateri litium-ion bagi sistem hibrid.

    Mitsubishi Xforce dijumpai di Malaysia tanpa sebarang penyamaran; akan dilancar tak lama lagi, 1.5L NA, CVT

    Manakala roda hadapan dipacu secara primari oleh motor elektrik berkuasa 116 PS dan tork maksima 255 Nm. Namun pada masa-masa tertentu khususnya pada kelajuan tinggi, motor elektrik ini turut akan dibantu oleh enjin petrol untuk memacu roda yang disatukan menerusi klac lock-up.

    Tak kira sama ada dari versi petrol penuh atau hibrid, kedua-dua varian Xforce ini dibekalkan dengan sistem Active Yaw Control (AYC) yang mampu mengagihkan tork antara roda kiri dan kanan hadapan mengikut situasi pemanduan, membolehkan ia dipandu meredah permukaan off-road walaupun hanya memacu roda hadapan. Kedua-duanya juga diberikan empat mod pemanduan iaitu Normal, Wet, Gravel dan Mud, manakala bagi versi hibrid ditambah dengan mod Tarmac serta dua lagi mod untuk pemanduan hibrid iaitu EV Priority dan Charge.

    Namun untuk pasaran Malaysia, kita mungkin akan menerima varian 1.5L petrol NA sahaja. Ini kerana berdasarkan gambar yang kami terima ini, Xforce berkenaan menerima perincian-perincian luaran model petrol penuh seperti corak rim aloi 18-inci dan lampu belakang dengan grafik LED merah (albino untuk HEV).

    Rupa luaran Mitsubishi Xforce ini menerapkan sepenuhnya rekaan dari model konsep XFC yang muncul pada Oktober 2022. Pada bahagian muka Dynamic Shield Xforce ini masih menerima gril hadapan berbentuk trapezoid serta lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk-L yang agak seiras dengan XFC.

    Mitsubishi Xforce dijumpai di Malaysia tanpa sebarang penyamaran; akan dilancar tak lama lagi, 1.5L NA, CVT

    Jalur LED sebelah bawah DRL tersebut dijadikan lampu utama yang agak nipis, dan gabungan kedua-dua lampu itu menghasilkan rekaan berbentuk-T. Ia turut datang dengan kemasan berwarna perak yang agak besar pada bahagian berkenaan. Rekaan skid plate pada sebelah bawah bampar XFC juga diberikan pada versi produksi, dan ia lebih menonjol tetapi tiada jalur LED disekeliling liang udara.

    Segala perincian sebelah sisi XFC juga dilihat dijelmakan hampir sepenuhnya pada prototaip produksi sebenar ini. Ia termasuk rekaan ruang roda dibentuk seakan flare, garis badan yang direka membentuk seakan ‘otot-otot’ pada bahagian pintu belakang bersama garis cermin tingkap belakang ternaik ke atas, elemen sarang lebah pada panel sebelah bawah pintu, cermin tingkap suku belakang yang direka tajam, dan juga rekaan tiang-D yang memberikan rupa bumbung seakan terapung.

    Di belakang, lampu kombinasi berbentuk-T yang mencerminkan rekaan pada sebelah muka juga dijelmakan pada versi produksi ini. Rekaan pada cermin belakang dan juga spoiler juga nampak sama, namun lampu brek menegak pada versi konsep diubah menjadi mendatar seperti biasa.

    Pada bahagian kabin, Xforce menerima pada pemuka yang direka dengan elemen mendatar yang didakwa memberikan pandangan lebih luas pada cermin hadapan, membolehkan pemandu melihat perubahan postur kenderaan ketika dipandu pada permukaan lasak.

    Untuk sistem infotainmen, varian tertinggi Xforce hadir dengan skrin sesentuh Smartphone-Link Display Audio 12.3-inci yang menyokong fungsi Apple CarPlay dan Android Auto. Skrin berkenaan memaparkan tiga bahagian berbeza bagi membolehkan pelbagai fungsi digunakan dalam satu masa.

    Skrin ini juga memberikan paparan ‘meter tiga beradik’ yang memberikan informasi termasuk altitud, sudut senget melintang dan menegak, serta kompas, diinspirasikan dari meter yang sama pada papan pemuka SUV legenda Mitsubishi iaitu Pajero.

    Ia juga dilengkapi dengan sistem bunyi premium yang dibekalkan oleh Yamaha, juga pertama buat Mitsubishi. Sistem ini menampilkan lapan pembesar suara yang terdiri dari dua tweeter pada tiang-A, woofer pada pintu hadapan, dan dua pembesar suara coaxial dua hala pada pintu belakang.

    Mitsubishi Xforce turut diiktiraf dengan penarafan lima-bintang dalam ujian pelanggaran Program Penilaian Kereta Baharu Asia Tenggara (ASEAN NCAP), dengan menerima enam-beg udara serta fungsi-fungsi sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif (ACC), lampu tinggi automatik (AHB), pemantau titik buta dengan fungsi bantuan tukar lorong serta amaran lintasan trafik belakang (RCTA).

     
     
  • Proton jual 157,637 unit kenderaan pada 2025, naik 3.3% berbanding 2024; jualan eksport cecah 6k unit!

    Proton jual 157,637 unit kenderaan pada 2025, naik 3.3% berbanding 2024; jualan eksport cecah 6k unit!

    Proton mengumumkan bahawa ia telah menjual sebanyak 157,976 unit kenderaan sepanjang 2025. Ini bermakna jualan yang dicatatkan tersebut naik 3.3% berbanding jualan yang dicatatkan pada tahun sebelumnya, di mana 2024 buat pertama kali jualan Proton tidak meningkat sejak 2018. Dengan jumlah jualan berkenaan Proton menganggarkan pegangan pasarannya kini berada pada 19.4%, naik 0.7% walaupun Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) Malaysia dianggarkan menguncup 0.2% kepada 814,949 units.

    Model paling mampu milik Proton Saga terus menjadi pemacu utama syarikat berkenaan bagi mencapai prestasi jualan tersebut, lagi-lagi dengan pengenalan model kemaskini Saga MC3 yang dilancarkan pada akhir November lalu. Sepanjang 2025 sebanyak 74,013 unit Saga terjual termasuk 7,975 unit daripadanya adalah Saga MC3, atau naik 15.1% berbanding tahun sebelumnya.

    Proton juga telah menjual sebanyak 28,057 unit X50 dengan, di mana sebanyak 4,287 unit SUV tersebut telah diserahkan kepada pembeli pada bulan Ogos (rekod tertinggi dicatatkan dalam masa 35 bulan) selepas versi facelift model berkenaan dilancarkan.

    Proton jual 157,637 unit kenderaan pada 2025, naik 3.3% berbanding 2024; jualan eksport cecah 6k unit!

    2025 juga menyaksikan Proton telah mencapai sasaran untuk mengeksport 6,000 unit kenderaan, iaitu rekod tertinggi sejak 2012 dan naik 26% berbanding 2024. Disember merupakan bulan terbaik bagi pasaran eksort Proton dengan 986 kenderaan terjual. Mesir merupakan pasaran eksport Proton terbesar tahun lalu dengan 2,280 unit telah terjual di sana tahun lalu. Malah Proton juga telah memasang 1,316 unit X50 dalam versi pemanduan belah kiri yang dilekat dengan lencana Geely Coolray dan dieksport ke pasaran Vietnam.

    Bagi mencapai keputusan ini, Proton sebenarnya telahpun menubuhkan satu lagi anak syarikat iaitu Proton International Corporation (PICSB), di mana diwujudkan khas untuk menumpukan kepada pasaran eksport.

    Selain itu Proton juga turut fokus terhadap pengembangan jaringan jualan dan servisnya di Malaysia sepanjang 2025. Sehingga kini Proton sudahpun mempunyai 187 outlet Proton Edar di seluruh negara, termasuk 27 pusat 3S dan 4S baharu serta fasiliti yang digelar sebagai Sales City Centres.

    Proton jual 157,637 unit kenderaan pada 2025, naik 3.3% berbanding 2024; jualan eksport cecah 6k unit!

    Malah rangkaian jenama kenderaan tenaga baharunya iaitu Proton eMas turut berkembang pesat dan kini merupakan rangkaian EV khusus terbesar di Malaysia dengan 48 pengedar eMas, merangkumi 36 pusat 3S, 12 pusat 1S dan 10 kemudahan Body & Paint khusus. Sebanyak 44 dari pengedar e.Mas berkenaan kini telah dilengkapi dengan kemudahan pengecas pantas DC.

    Untuk 2026, Proton dijangka akan melancarkan beberapa model baharu, terutamanya model-model kemaskini yang melibatkan penyelerasan penggunaan enjin 1.5 liter empat-silinder i-GT bagi menggantikan enjin 1.5 liter tiga-silinder GEP pada model-model seperti X70, S70 dan X90.

    Ia juga dijangka bakal melancarkan model dengan teknologi plug-in hybrid (PHEV) pertamanya, menerusi eMas 7 PHEV yang telah pun didedahkan bulan lalu. Model-model dengan platform Advanced Modular Architecture (AMA) yang dibangunkan sendiri oleh Proton turut dijangka akan meluaskan lagi jangkauan pasaran eksport Proton di mana Saga MC3 yang dipasang di Tanjung Malim turut disahkan akan dijual ke luar dengan lencana Geely, dengan pasaran Filipina akan menjadi antara pasaran awal yang menerima model tersebut.

     
     
  • Lebuhraya Sungai Besi laksana penutupan penuh pusingan-U di KM9.5 mulai hari ini selama 6 bulan

    Lebuhraya Sungai Besi laksana penutupan penuh pusingan-U di KM9.5 mulai hari ini selama 6 bulan

    Besraya (M) Sdn Bhd selaku pengendali Lebuhraya Sungai Besi telah mengumumkan bahawa pihaknya akan melaksanakan ujian rintis penutupan penuh pusingan-U di KM9.5 di kedua-dua arah bermula hari ini (5 Januari 2026) secara percubaan selama enam bulan.

    “Ekoran daripada pembangunan pesat di sepanjang jajaran Lebuhraya Sungai Besi seperti Pekan Sungai Besi, Kg Malaysia, Kuchai Lama, Pekan Salak Selatan, Bandar Tasik Permaisuri dan Taman Salak Jaya, telah menyumbang kepada pertambahan trafik dan menyebabkan kesesakan pada waktu puncak pagi dan petang di kawasan tersebut.

    “Lalu lintas bersilang (traffic weaving) di pusingan U di KM9.5 turut mengganggu aliran trafik laluan utama lebuhraya dan menyumbang kepada kesesakan lalu lintas di sekitar kawasan tersebut. Penutupan penuh pusingan U KM9.5 adalah inisiatif untuk meningkatkan kelancaran aliran trafik,” kata Besraya.

    Tambahnya. sepanjang pelaksanaan ujian rintis penutupan penuh pusingan U ini, pengguna dari arah Selatan boleh menggunakan pusingan U di KM8.6, dan bagi pengguna dari arah utara pula boleh menggunakan pusingan U di KM10.5.

    Sila rujuk infografik di atas untuk maklumat lanjut berkenaan penutupan penuh pusingan U ini serta laluan alternatif sepanjang tempoh tersebut. Para pengguna Lebuhraya Sungai Besi juga dinasihati agar merancang perjalanan masing-masing dan berhati-hati ketika memandu. Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi talian Besline di 1-800-88-0999.

     
     
  • Jangan terperdaya scam tunggakan bayaran tol dan kesalahan trafik, usah klik sembarangan pautan – Polis

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) telah mengeluarkan peringatan kepada orang ramai agar berhati-hati dengan penipuan yang menggunakan nama PDRM/Mybayar PDRM yang kononnya berkaitan dengan tunggakan bayaran tol atau kesalahan trafik.

    Menurut JSPT, modus operandi aktiviti penipuan atau scam tersebut ialah menghantar mesej kepada orang ramai berserta dengan pautan (link) dan penerima dikehendaki klik “Pay Now” dan mengisi maklumat peribadi termasuk bank. Bagi lebih mengelirukan orang ramai, paparan laman web tersebut turut direka khas seolah-olah laman rasmi PDRM.

    “PDRM dan JPJ tidak akan menghantar notis bayaran melalui link rawak atau pun WhatsApp. Jangan klik link tersebut dan jangan masukkan maklumat pembankan.

    “Sahkan maklumat hanya melalui laman web rasmi atau kaunter kerajaan. (Jika menerima mesej sebegini) Laporkan kepada PDRM atau CCID Scam Response Center. Sebarkan mesej ini supaya lebih ramai tidak menjadi mangsa,” kata JSPT menerusi perkongsian di Facebook rasminya.

    Untuk anak-anak yang mempunyai ibu bapa yang menggunakan telefon pintar agar sentiasa berpesan kepada ibu bapa anda berhubung dengan aktiviti scammer sebegini. Ini kerana warga emas antara golongan yang cukup ramai yang mudah mempercayai aktiviti scammer. Ingat tau…polis dan JPJ tidak akan menghantar mesej sebegini. Jika anda menerimanya, cepat-cepat padam (delete) dan jangan sesekali klik pada pautan yang diberikan itu. Jika klik, boleh ‘kosong’ wang simpanan anda di dalam bank.

     
     
  • AFAZ Kencana Sport hasil kerjasama syarikat Malaysia dan Jepun, 113 cc, akan dijual pada harga RM5,799

    AFAZ Kencana Sport hasil kerjasama syarikat Malaysia dan Jepun, 113 cc, akan dijual pada harga RM5,799

    Sejak tahun 2023 lagi kita sudah tahu, Malaysia mempunyai jenama motosikal nasional kedua, yang dipanggil sebagai AFAZ. Pelancaran produknya ke dalam pasaran sudah tertangguh sekian lama, namun kali ini ia benar-benar hampir kerana kelibat model pertama dari jenama itu, yang dipanggil sebagai Kencana Sport sudah bukan sahaja dapat dilihat tetapi juga tiba di tangan kami untuk ujian.

    Baru sahaja mengambilnya beberapa hari lalu, kami rasakan ini adalah sebuah motosikal yang patut menjadi perhatian mereka yang mencari kapcai permulaan. Harga Kencana Sport ini sudah didedahkan, iaitu RM5,799, dan memetik kata-kata Pengurus Besar dan Pengarah KMSB Motor Sdn Bhd, Datuk Jeffrey Lim sebelum ini, ia adalah bersesuaian dengan kualiti serta prestasi yang ditawarkan.

    Bagi yang belum tahu, AFAZ mempunyai kerjasama dengan pengeluar dari Jepun, iaitu Suzuki, dan Kencana Sport ini adalah hasil pertama yang dapat ditawarkan kepada pengguna Malaysia. Ia menggunakan asas daripada Suzuki Smash Fi, termasuklah enjin, iaitu unit satu silinder 113 cc SOHC suntikan bahan api yang mampu menghasilkan kuasa 9.1 hp pada 7,500 rpm dan tork 9.0 Nm pada 5,500 rpm.

    Namun, menjadikan motosikal ini istimewa adalah AFAZ mengubah penampilannya, menggunakan rekaan yang mereka bangunkan sendiri, serta dinaik taraf berbanding Smash Fi. Lampu hadapan kini adalah unit LED, siap dengan DRL serta tulisan AFAZ di dalamnya, manakala di belakang, pencahayaan LED menghasilkan bentuk seakan huruf A, berkemungkinan ada kaitan dengan jenamanya.

    Daripada maklumat yang kami terima, Kencana Sport menggunakan 40% bahan keluaran tempatan dan ini adalah termasuk panel badan, ekzos, rim serta ekzos, manakala enjin serta kerangka asas pula datang daripada beberapa kilang Suzuki di sekitar Asia Tenggara.

    Panel meter, daripada pemerhatian kami, adalah sama seperti Smash Fi yang dipasarkan di Filipina. Unit ini cumalah jenis analog biasa untuk kelajuan dan tahap minyak, namun turut memaparkan informasi penting lain seperti kedudukan gear, amaran enjin serta lampu tinggi.

    AFAZ Kencana Sport hasil kerjasama syarikat Malaysia dan Jepun, 113 cc, akan dijual pada harga RM5,799

    Selepas kunci dipulas secara manual, motosikal ini boleh dihidupkan sama ada menggunakan suis di bahagian kanan pemegang atau penendang di tepi enjin. Kuasa pula dipindahkan daripada enjin ke roda belakang melalui transmisi manual empat kelajuan serta rantai, yang mempunyai penutup secara penuh.

    Pada pendapat kami, motosikal ini tidak menggunakan nama Sport secara sesuka hati. AFAZ menaik taraf dua penyerap hentak di belakang dengan unit daripada Kayaba, dan ketegapannya memang terasa. Kemudiannya, dalam keadaan asal juga ekzos motosikal ini sudah mempunyai bunyi sport, tidaklah bisu terus. Ia jelas kedengaran, bukan setakat waktu memecut, tetapi juga waktu melahu (idle) dan memperlahankan motosikal.

    Tangki bahan api Kencana Sport berkapasiti 4.2 liter. Ia terletak di bawah tempat duduk, bersebelahan dengan ruang kecil yang cukup untuk memuatkan baju hujan atau mungkin juga barangan keperluan lain. Tugas membrek dijalankan unit cakera dengan angkup Nissin di hadapan, serta unit dram di belakang.

    Segala informasi penting tentang AFAZ Kencana Sport ini sudah didedah, tetapi kami masih belum tahu secara tepat bila ia akan dilancarkan secara rasmi. Berkemungkinan pada hujung bulan ini, namun maklumat yang kami terima ia sudahpun berada di wakil pengedar motosikal AFAZ di seluruh negara. Jika berminat bolehlah masuk merisik. Selain warna biru seperti dalam gambar, ada juga warna merah untuk Kencana Sport ini.

    Nantikan kemudian laporan tunggang uji, selepas kami dapat mengumpul maklum balas penting berkenaannya.

     
     
  • Kia Sales Malaysia mula operasi; harga EV9, Carnival, Sportage diumum bersama insentif & program baru

    Kia Sales Malaysia mula operasi; harga EV9, Carnival, Sportage diumum bersama insentif & program baru

    Selepas dilancarkan secara rasmi bulan lalu, Kia Sales Malaysia (KSM) iaitu syarikat baharu yang mengendalikan operasi jenama Kia di Malaysia serta diterajui oleh syarikat induknya sendiri kini sudah rasmi beroperasi pada pasaran tempatan.

    Dengan itu KSM telah mengumumkan beberapa inisiatif, termasuk strategi harga baharu untuk produk-produk sedia ada dalam portfolionya, melancarkan program kesetiaan pelanggan, insuran jenama Kia dan lain-lain insentif korporat di mana semuanya disasarkan untuk menunjukkan penghargaan dan komitmen syarikat itu terhadap pelanggan-pelanggan sedia ada dan juga yang baharu.

    Bermula 1 Januari 2026, semua model-model yang ditawarkan oleh KSM dijual pada harga yang lebih kompetitif untuk bersaing dalam pasaran tempatan. Untuk SUV segmen-C Kia Sportage, KSM menawarkan empat varian dengan harga bermula RM128,800 untuk model asas 2.0G 2WD sehingga RM178,800 untuk varian tertinggi 1.6T 4WD HI.

    Manakala MPV Kia Carnival pula ia dijual pada harga RM193,000 untuk model 8-tempat duduk dan RM218,000 untuk model 7-tempat duduk. Satu-satunya model elektrik penuh yang dijual oleh KSM iaitu Kia EV9 pula dijual pada harga bermula RM368,888 bagi varian GT-Line 8-tempat duduk dan RM373,888 bagi varian GT-Line 6-tempat duduk, iaitu harga yang sama ketika ia dijual oleh Dinamikjaya Motors (subsidiari Bermaz Auto).

    Perlindungan waranti untuk semua kenderaan baharu Kia yang dijual pada pasaran Malaysia selepas ini adalah selama lima-tahun atau 150,000 km yang mana sampai dulu – menurut KSM ini adalah selari dengan dengan standard perlindungan waranti yang diberikan oleh Kia bagi peringkat global.

    Selain itu, KSM turut akan memberikan diskaun sebanyak 15% secara purata untuk semua alat ganti asli Kia. Syarikat itu menyatakan bahawa jaringan servis selepas jualannya kini disokong oleh gudang alat ganti khas untuk Kia yang terletak di Shah Alam. Fasiliti tersebut didakwa akan memastikan alat ganti dapat dibekalkan dengan cepat, di mana ia akan menyelesaikan masalah berkenaan masa menunggu dalam servis selepas jualan.

    Kia Sales Malaysia mula operasi; harga EV9, Carnival, Sportage diumum bersama insentif & program baru

    Program kesetiaan pelanggan Kia Circle juga diperkenalkan oleh KSM yang menawarkan rebat tunai sehingga RM6,000 apabila pemilik Kia sedia ada bertukar kepada kereta baharu juga berjenama Kia di mana ia turut akan memberikan manfaat kepada ahli keluarga lain termasuk ibu bapa, anak-anak dan pasangan.

    Selain itu program Kia Professional turut diperkenalkan untuk flit korporat dan profesional. Program ini akan menawarkan konsesi eksklusif sehingga 3% untuk ahli badan profesional dan syarikat-syarikat utama yang membuat pembelian kenderaan individu, dengan insentif yang boleh disesuaikan untuk flit yang lebih besar.

    Turut diperkenalkan adalah program insuran Kia Cares dengan kerjasama Berjaya Sompo, Zurich dan Zurich Takaful. Program ini menyediakan perlindungan komprehensif untuk kerugian atau kerosakan akibat kemalangan serta pelbagai faedah. Untuk ketenangan fikiran tambahan, pemilik juga mempunyai kawalan untuk menyesuaikan perlindungan mereka melalui faedah tambahan pilihan untuk disesuaikan dengan pilihan individu.

     
     
  • Jualan global automotif China pada 2025 dijangka atasi Jepun buat kali pertama – diunjur 27 juta unit

    Jualan global automotif China pada 2025 dijangka atasi Jepun buat kali pertama – diunjur 27 juta unit

    Jualan global automotif China bagi 2025 dijangka akan mengatasi jualan global yang dibuat oleh Jepun buat kali pertama, lapor Nikkei Asia. Berdasarkan pendedahan syarikat dari Januari hingga November 2025 dan data daripada S&P Global Mobility, pengeluar-pengeluar kereta dari China diunjurkan menjual kira-kira 27 juta unit kenderaan sepanjang tempoh tersebut.

    Ini akan membolehkan pengeluar-pengeluar automotif dari China menjadi penjual kenderaan baharu terbesar buat pertama kali pada 2025, memintas pengeluar-pengeluar automotif Jepun yang mempertahankan gelaran itu selama 20 tahun, menurut laporan itu lagi.

    Angka 27 juta unit yang dicatatkan tersebut juga adalah 17% lebih tinggi berbanding tahun 2024. Sementara itu, gabungan jualan pengeluar-pengeluar kereta Jepun dijangka kekal tidak berubah pada sekitar 25 juta kenderaan, yang bakal menyebabkan ia jatuh ke tempat kedua.

    Laporan itu juga menyatakan bahawa 70% jualan yang dibuat oleh pengeluar-pengeluar kenderaan China ini dijual dalam pasaran domestik China sendiri, di mana hampir 60% jualan kereta penumpang di negara itu adalah terdiri dari model elektrik sepenuhnya (EV) dan hibrid plug-in (PHEV).

    Manakala untuk pasaran eksport, China telah menjual sebanyak 2.3 juta kenderaan di Eropah, 500,000 unit di Asia Tenggara, 540,000 unit di Amerika Latin serta kira-kira 230,000 unit di Afrika. Bagi pasaran Afrika dan Amerika Latin, kedua-duanya mencatatkan jualan kenderaan dari China sekitar 30% lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu.

     
     
  • JPJ kutip RM5.65 bilion sepanjang 2025 — naik 6%, rekod tertinggi; diskaun saman 50% jadi penyumbang

    JPJ kutip RM5.65 bilion sepanjang 2025 — naik 6%, rekod tertinggi; diskaun saman 50% jadi penyumbang

    JPJ telah mengumpul sebanyak RM5.65 bilion sepanjang 2025, yang menjadi pendapatan paling tinggi setakat ini. Rekod ini mencatatkan peningkatan sebanyak 6.05% berbanding tahun 2024, dengan kutipan RM5.33 bilion, yang juga merupakan rekod sebelum ini. Terdahulu, rekod kutipan terbanyak adalah sebanyak RM5.074 bilion pada 2023 — peningkatan dan rekod yang dipecahkan setiap tahun.

    Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli memaklumkan Kosmo bahawa bulan Oktober dan Disember merupakan bulan dengan kutipan terbanyak, dengan jumlah yang melebihi RM500 juta. Program diskaun saman 50% yang bermula pada 1 November 2025 hingga hujung tahun turut menjadi penyumbang kepada perkara ini.

    Beliau juga berkata, pendapatan dari hasil cukai jalan (Lesen Kenderaan Motor) adalah penyumbang terbesar dengan RM3.43 bilion, sementara kutipan daripada lesen memandu (Lesen Memandu Malaysia) dan saman masing-masing sebanyak RM614 juta dan RM426 juta.

    Beliau menjelaskan, penjelasan perkhidmatan digital seperti aplikasi MyJPJ turut menjadi antara faktor yang membantu pengumpulan pendapatan ini kekal di atas paras RM5 bilion.

    “Selain itu, pelaksanaan beberapa operasi penguatkuasaan dan kempen keselamatan, serta pengukuhan tadbir-urus yang lebih baik, serta kawalan dalaman dan integriti, sama-sama menyumbang ke arah itu,” jelasnya. Tidak pula dinyatakan tentang kutipan daripada jualan nombor plat khas, tetapi itu tentunya satu daripada saluran pendapatan yang turut menyumbang.

    Ketua Pengarah JPJ itu juga menambah, Ops Perang Lebih Muatan yang mensasarkan lori lebih muatan telah mencatatkan sebanyak 3,563 kesalahan sejak dilancarkan pada 14 Oktober tahun lalu. Setakat 30 Disember 2025, sebanyak 169,965 kenderaan telah diperiksa dan daripada jumlah itu, 6,340 telah dikenakan tindakan.

     
     
  • Minyak enjin JDT Lubricant Passenger Car Engine Oil dilancarkan – harga bermula RM89 hingga RM279

    Minyak enjin JDT Lubricant Passenger Car Engine Oil dilancarkan – harga bermula RM89 hingga RM279

    Selepas hadir dengan barisan pilihan minyak enjin motosikal sebelum ini, pasukan bola sepak dari Selatan Tanah Air iaitu Johor Darul Ta’zim Football Club (JDT) kini memperkenalkan pula JDT Lubricants Passenger Car Engine Oil, iaitu minyak enjin khas yang dihasilkan untuk kegunaan kereta penumpang.

    Jenama minyak enjin ini masih diuruskan oleh JDT Lubricants, dan ia dihasilkan dengan kerjasama Duckhams Oil serta diedarkan oleh DB Petroleum. Pelbagai gred serta kelikatan ditawarkan dengan harga bermula RM89 hingga RM279. Senarai pilihan minyak enjin JDT Lubricants Passenger Car ini adalah seperti berikut:

    Minyak Sintetik-penuh

    • 0W20 API SP
    • 5W30 API SP C2/C3
    • 5W40 API SN/CF

    Minyak Separa-sintetik-penuh

    • 10W40 API SN PLUS A3/B4

    Minyak Mineral

    • 10W30 API SN PLUS
    • 15W40 API SN PLUS
    • 20W50 API SL/CF

    Untuk pembelian dan maklumat lebih lanjut berkenaan barisan minyak enjin ini, anda boleh lawati laman web rasmi DB Petroleum pada PAUTAN INI.

     
     
  • Harga bahan api bagi minggu 1-7 Januari 2026 kekal

    Harga bahan api bagi minggu 1-7 Januari 2026 kekal

    Memasuki tahun baru 2026, semua harga bahan api — baik yang bersubsidi ataupun tidak — kekal dengan harga yang sama seperti minggu terakhir 2025, bagi tempoh 1-7 Januari 2026.

    Untuk itu, petrol RON 95 tanpa subsidi kekal pada harga RM2.65 seliter seperti minggu lalu, manakala petrol RON 97 pula dengan harga RM3.16 seliter.

    Untuk RON 95 dengan subsidi di bawah skim Budi95 pula dijual pada harga tetap RM1.99 seliter. Semua warga negara Malaysia yang mempunyai lesen memandu yang sah adalah layak untuk menikmati harga subsidi ini dengan kuota 300 liter sebulan.

    Untuk diesel, Euro B5 campuran B10 dan B20 kekal dengan harga RM2.94 seliter, sementara Euro 5 campuran B7 pula terus dengan harga 20 sen lebih mahal, dijual dengan harga RM3.14 seliter. Harga runcit bagi diesel di Sabah dan Sarawak juga tetap pada kadar RM2.15 seliter.

    Semua harga ini akan berkuatkuasa tengah malam nanti, hingga 7 Januari 2026 selepas pengumuman baru dilakukan. Ini merupakan pengumuman harga minyak pertama bagi 2026, dan yang ke-364 sejak format harga mingguan ini diperkenalkan pada awal 2019. Selamat Tahun Baru!

     
     
  • Harga min. EV CBU jenama baru di Malaysia akan naik ke RM250k, kuasa minimum 272 PS bermula 2026

    Harga min. EV CBU jenama baru di Malaysia akan naik ke RM250k, kuasa minimum 272 PS bermula 2026

    Sebuah dokumen yang didakwa daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI) yang dimuatkan di LinkedIn menunjukkan bermula 1 Januari 2026 nanti, semua kenderaan EV pemasangan luar (CBU) daripada jenama baru yang bakal masuk ke Malaysia akan dijual pada harga RM250k ke atas, dan kuasa motornya mestilah sekurang-kurangnya 200 kW (272 PS).

    Namun, ini tidak melibatkan jenama atau model EV CBU yang sudah berada di pasaran tempatan — dengan harga lantai RM100k untuk ini masih dikekalkan. Dan sudah tentu, semua EV yang masuk ke sini pada atau selepas 28 Disember 2025 tidak lagi akan diberikan pengecualian cukai import dan duti eksais.

    Harga min. EV CBU jenama baru di Malaysia akan naik ke RM250k, kuasa minimum 272 PS bermula 2026

    BYD, yang merupakan jenama EV paling popular di sini, merancang untuk membuka sebuah kilang di KLK TechPark, Tanjong Malim, tetapi hanya akan mula beroperasi pada separuh kedua 2026. Stok EV CBU yang memasuki negara ini pada atau selepas 28 Disember lalu pula akan menyaksikan peningkatan harga — walaupun kadar kenaikannya akan bergantung kepada kadar duti yang baru, yang masih belum diumumkan secara terbuka. Jenama yang ingin kekal berdaya saing selepas ini perlu memasang EV mereka di Malaysia.

    Banyak juga pengeluar yang sudah memasang EV mereka di sini, seperti Proton, Perodua, Volvo, Chery, Mercedes-Benz dan TQ Wuling. Selain BYD, Zeekr akan melakukannya di kemudahan Automotive Hi-Tech Valley oleh DRB-Hicom di Tanjong Malim, Leapmotor dijangka akan menggunakan kilang Stellantis di Gurun untuk tujuan itu, sementara EPMB akan memasang EV Xpeng dan MG, manakala Volkswagen ada perancangan untuk memasang EV di kilang DRB-Hicom Pekan, Pahang.

     
     
  • Ujian pertama RTS Link dari depot ke sempadan lancar

    Ujian pertama RTS Link dari depot ke sempadan lancar

    Johor Bahru-Singapore Rapid Transit System Link (RTS Link) pada Jumaat lalu telah selesai menjalani ujian perjalanannya, sebulan selepas set pertama tren berkenaan tiba di depot Wadi Hana, Johor Bahru. Tren ujian itu berlepas dari depot, melalui stesen Bukit Chagar (terminial sebelah Malaysia), melalui jejambat sebelum tiba di sempadan Singapura sebelum berpatah balik.

    Ujian itu disertai dan disaksikan oleh jurutera dari RTS Operations (usaha sama antara Prasarana RTS Sdn Bhd dari Malaysia dan SMRT RTS Pte Ltd dari Singapura), Jacobs, CRRC, Pestech dan CHEC, serta dengan sokongan daripada rakan kerjasama Infraco Malaysia Rapid Transit System Sdn Bhd dan Land Transport Authority dari Singapura.

    Dalam satu hantaran di Facebook, RTS Operation menyatakan, sebelum menjalankan ujian dinamik, pemeriksaan keselamatan utama dan teknikal sudah selesai, termasuk perlepasan landasan, pengesahan sistem dalaman serta kesediaan kuasa cengkaman. Percubaan awal dilakukan dalam kelajuan rendah, dengan pertambahan secara berperingkat tertakluk kepada keperluan keselamatan yang ketat.

    Landasan sepanjang 4 km itu, yang menghubungkan Bukit Chagar di JB dan Woodlands North di Singpura, akan dikendalikan oleh tren tanpa pemandu dengan kapasiti maksimum 10,000 penumpang setiap jam sehala. Siap sepenuhnya pada Disember 2026 nanti, ia akan menggantikan perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu (KTM) Shuttle Tebrau. Selepas itu, apa akan jadi kepada landasan lama ratusan tahun untuk seberang tambak?

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026