Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Jaecoo J5 – galeri model pameran di Malaysia, 1.5 turbo 147 PS/210 Nm, CVT, dijangka bawah RM120k

    Jaecoo J5 – galeri model pameran di Malaysia, 1.5 turbo 147 PS/210 Nm, CVT, dijangka bawah RM120k

    Jaecoo J5 yang bakal dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi kini diperlihatkan sepenuhnya, sekali gus memberi gambaran jelas tentang apa yang bakal ditawarkan oleh SUV segmen-B ini. Diletakkan sebagai model paling mampu milik dalam barisan Jaecoo, J5 dijangka ditawarkan pada harga anggaran bawah RM120,000, menjadikannya pencabar baru dalam segmen yang semakin sengit.

    Berbeza dengan pasaran Thailand dan Indonesia yang menerima versi elektrik, Jaecoo J5 untuk Malaysia akan menggunakan enjin petrol turbo 1.5 liter SQRE4T15C. Enjin ini menghasilkan kuasa 147 PS dan tork 210 Nm, dipadankan dengan transmisi CVT serta pacuan roda hadapan.

    Pecutan dari 0 hingga 100 km/j mengambil masa 10.2 saat dengan kelajuan maksimum 175 km/j. Berat kenderaan ini ialah 1,439 kg, manakala penggunaan bahan api dianggarkan sekitar 7.5 liter bagi setiap 100 km, dengan jarak pemanduan sehingga 680 km menggunakan tangki bahan api berkapasiti 51 liter.

    Jaecoo J5 – galeri model pameran di Malaysia, 1.5 turbo 147 PS/210 Nm, CVT, dijangka bawah RM120k

    Dari segi dimensi, Jaecoo J5 berukuran 4,380 mm panjang, 1,860 mm lebar dan 1,650 mm tinggi, dengan jarak roda 2,620 mm. Ini menjadikannya sedikit lebih panjang dari segi jarak roda berbanding Honda HR-V dan Chery Tiggo Cross, serta mengatasi Proton X50 sekitar 20 mm. Jika dibandingkan dengan abangnya, Jaecoo J7 pula lebih besar dengan panjang 4,500 mm dan jarak roda 2,672 mm.

    Bahagian luaran J5 menampilkan lampu utama LED projektor, rim 18 inci dengan tayar 235/55R18, serta pemegang pintu konvensional berbanding unit tersembunyi pada J7. Menariknya, SUV ini dilengkapi suspensi belakang jenis multi-link yang jarang ditemui dalam segmen ini, digandingkan dengan suspensi MacPherson di hadapan.

    Ciri tambahan seperti tingkap hadapan double-glazed, mod pemanduan Eco, Normal dan Sport serta ketegaran badan 23,500 m/deg dijangka memberikan keselesaan yang baik untuk pemanduan jarak jauh.

    Di dalam pula terdapat bumbung kaca panoramik, pengecas telefon tanpa wayar 50W, paparan meter digital bersaiz lapan inci dan skrin sentuh utama 13.2 inci beresolusi 2K. Sistem infotainmen menyokong Android Auto dan Apple CarPlay, dilengkapi kamera 540 darjah serta fungsi karaoke binaan dalam.

    Jaecoo turut mempromosikan J5 sebagai kenderaan mesra haiwan peliharaan, lengkap dengan pensijilan TUV. Selain balutan tempat duduk yang bersifat anti-bakteria dan tahan calar, terdapat aksesori tambahan seperti jaring, alas dan pembawa haiwan bagi memastikan keselesaan haiwan peliharaan semasa perjalanan.

    Dari sudut keselamatan, Jaecoo J5 dilengkapi sistem bantuan pemandu Tahap 2+, termasuk fungsi Curve Speed Assistance yang membolehkan kenderaan memperlahankan kelajuan secara automatik di selekoh apabila kawalan jelajah adaptif diaktifkan. Ruang but menawarkan kapasiti 480 liter dan boleh ditingkatkan kepada 1,180 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.

     
     
  • Jetour T2 raih ASEAN NCAP lima-bintang — laporan dedah CKD, dua varian, ADAS untuk varian tertinggi?

    Jetour T2 raih ASEAN NCAP lima-bintang — laporan dedah CKD, dua varian, ADAS untuk varian tertinggi?

    Belum pun dilancarkan di Malaysia, Jetour T2 kini sudah menerima penarafan lima-bintang ASEAN NCAP. Ujian berkenaan dijalankan di China Automotive Engineering Research Institute (CAERI) di Chongqing pada 25 November lalu, dan menurut ASEAN NCAP, penilaian akhir dilakukan pada Disember sebagai penutup kalendar 2025. Ini mungkin kereta terakhir yang diuji menggunakan protokol 2021-2025. Berikutnya ujian akan beralih kepada protokol 2026–2030 yang akan lebih mementingkan ADAS.

    T2 yang bakal dilancarkan di Malaysia ini mencatatkan bacaan 37.17 daripada 40 mata untuk orang dewasa, 15.94 daripada 20 untuk kanak-kanak, 17.14 daripada 20 untuk bantuan keselamatan dan 16.25 daripada 20 untuk penunggang motosikal, menjadikan mata keseluruhannya 86.5.

    Laporan ASEAN NCAP ini juga mendedahkan beberapa perincian lain: Malaysia disenaraikan di bawah ‘pengeluaran ASEAN lain’ yang mungkin mencadangkan T2 akan di CKD, seperti juga Dashing dan VT9, di kilang pemasangan Berjaya di Tampoi. Selain itu, ‘2’ dicatatkan untuk jumlah varian, dan AEB, amaran perlanggaran depan, amaran penukaran lorong, bantuan mengekalkan lorong serta lampu tinggi automatik disenaraikan sebagai ‘tersedia sebagai pilihan’. Sekiranya ini benar, pasaran kita hanya akan menerima ADAS untuk varian paling lengkap.

    Kedua-dua varian akan mempunyai enam beg udara, pengingat tali keledar untuk semua penumpang, pengesan penumpang belakang, pengesan titik buta, pelindungan pejalan kaki, pengesan kehadiran kanak-kanak dan ISOFIX. T2 telah dibuka untuk tempahan dengan hagra anggaran RM178,888, dan menampilkan ciri seperti enjin 2.0 liter turbo 254 PS/390 Nm dan 7-DCT.

     
     
  • Hot Wheels lancarkan model diecast Porsche 935 Lunar New Year Silver Series untuk Asia Pasifik

    Hot Wheels lancarkan model diecast Porsche 935 Lunar New Year Silver Series untuk Asia Pasifik

    Sempena sambutan Tahun Baharu China tahun ini, pemilik jenama Hot Wheels iaitu Mattel telahpun melancarkan siri koleksi edisi terhad diecast skala 1/64 baharu dinamakan sebagai Hot Wheels Silver Series, yang dihasilkan dengan kerjasama Porsche bersama rekaan grafik oleh pereka grafik Hot Wheels berasal dari Indonesia iaitu Anton Henggono.

    Asas model yang digunakan untuk versi edisi terhad ini adalah Hot Wheels Porsche 935 moden, iaitu model kelahiran semula yang muncul pada 2018, diasaskan dari Porsche 911 GT2 RS generasi 991 dengan badan yang direka semula bagi menyamai rupa Porsche 935 asli yang merupakan kereta lumba Le Mans pada era 70’an hingga 80’an.

    Bagi edisi terhad ini ia menampilkan warna badan merah menyala, dan kemudian Anton Henggono telah memberikan sentuhannya dengan rekaan grafik badan menampilkan imej kuda dengan serlahan-serlahan emas-putih-hitam, motif kaligrafi Cina dan juga angka ‘2026’ pada spoiler belakang.

    Model edisi terhad ini juga datang dengan kad blister rekaan istimewa yang menampilkan grafik bunga api, tanglung, pagoda, dan juga perincian-perincian emas dan merah yang lazimnya dikaitkan dengan sambutan Tahun Baru Cina.

    “Keluaran ini meraikan kerjasama berterusan Hot Wheels dengan komuniti budaya kereta dan Porsche, membayangkan semula siluet prestasi legenda melalui lensa budaya dan perayaan, menjadikan ianya sebuah karya untuk pengumpul sebenar bagi merayakan, budaya dan kelajuan,” kata Mattel dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Porsche 395 Hot Wheels Lunar New Year Silver Series ini kini sudah boleh dibeli di kedai-kedai mainan, gedung serbaneka, kedai serbaneka dan kedai stesen minyak di seluruh negara.

     
     
  • MyDigital ID jadi kaedah log masuk tunggal MyNIISe untuk semua warga Malaysia bermula 15 Januari ini

    MyDigital ID jadi kaedah log masuk tunggal MyNIISe untuk semua warga Malaysia bermula 15 Januari ini

    Kementerian Dalam Negeri mengumumkan bahawa MyDigital ID akan menjadi kaedah log masuk tunggal bagi aplikasi MyNIISe (National Integrated Immigration System) bermula 15 Januari 2026. Ini hanya dikenakan ke atas warga negara Malaysia sahaja, manakala pengunjung warga asing kekal menggunakan kaedah log masuk sedia ada tanpa sebarang perubahan.

    Dalam satu kenyataan, kementerian itu menyatakan pelaksanaan MyDigital ID adalah sebahagian daripada inisiatif NIISe, yang bermatlamat untuk mengesahkan identiti pengguna dengan tepat dan selamat melalui pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tanpa menyimpan data peribadi pengguna. Projek NIISe ini bakal menggantikan Malaysian Immigration System (MyIMMs), yang telah digunakan sejak lebih 20 tahun lalu.

    “Pendekatan ini memperkayakan lagi keselamatan transaksi digital, dan dalam masa yang sama mempertingkat pengalaman pengguna melalui hanya satu log masuk, yang tidak lagi memerlukan pengguna mengingat beberapa kata laluan berbeza. Warga negara Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas adalah digalakkan untuk memuat turun dan mendaftar untuk MyDigital ID sebelum menggunakan MyNIISe,” jelas kenyataan tersebut.

    Aplikasi MyNIISe diperkenalkan pada 22 September tahun lalu, dan kini sedang dalam fasa percubaan hingga 28 Februari 2026 di Bangunan Sultan Iskandar (BIS) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Johor Bahru. Ia kelak akan diperluas secara berperingkat ke Terminal 1 dan 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dan juga di lapangan terbang Bayan Lepas, Kuching dan Kota Kinabalu. Setakat 30 Disember 2025, aplikasi MyNIISe mencatatkan sebanyak 599,967 muat turun dan 287,258 pengguna berdaftar.

    MyDigital ID jadi kaedah log masuk tunggal MyNIISe untuk semua warga Malaysia bermula 15 Januari ini

    Dalam tempoh percubaan itu, sistem kod QR dan aplikasi MyBorderPass masih boleh digunakan. Dijangka aplikasi MyNIISe akan menggantikan MyBorderPass lepas selesai fasa percubaan, kerana aplikasi berkenaan akan tamat pada penghujung Mac tahun ini.

    Aplikasi MyNIISe berbeza dengan MyBorderPass dari beberapa sudut. Pertama, MyBorderPass hanya untuk warga negara Malaysia, manakala MyNIISe adalah untuk warga Malaysia dan pelancong dari 63 negara khusus yang bertujuan untuk mempercepat pemeriksaan imigresen melalu kemudahan autogate — dengan pelancong perlu mengisi juga kad ketibaan digital dalam aplikasi MyNIIse.

    Selain itu, hanya satu kod QR diperlukan untuk melepasi pemeriksaan imigresen bagi yang masuk secara berkumpulan, menjadikannya lebih mudah berbanding MyBorderPass yang memerlukan semua mengimbas kod satu per satu. Pengguna berkenderaan juga boleh menggunakan MyNIISe untuk pemeriksaan imigresen, termasuk yang memandu kereta, bas, lori dan motosikal. Untuk MyBorderPass, hanya penumpang bas dan motosikal boleh menggunakannya, serta mereka yang melalui KLIA.

    Ringkasnya, MYNIISe menyepadukan semua urusan imigresen ke dalam satu aplikasi. Anda boleh memuat turun MyDigital ID melalui Google Play Store, Apple App Store atau Huawei AppGallery.

     
     
  • Toyota Vios Hybrid 2026 bakal dilancar tak lama lagi – ada varian GR Sport, 3.6L/100 km, RM105k-RM110k

    Toyota Vios Hybrid 2026 bakal dilancar tak lama lagi – ada varian GR Sport, 3.6L/100 km, RM105k-RM110k

    Selepas membuat kemunculan sulung global di Thailand Ogos tahun lalu, Toyota Vios dengan unit rangkaian kuasa hibrid elektrik akhirnya disahkan bakal dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi. UMW Toyota masih belum mengumunkan tarikh pelancaran model ini, namun beberapa perincian awalan dan juga harga anggarannya telah pun disiarkan menerusi laman web rasmi Toyota Malaysia.

    Nampaknya Malaysia bakal menerima Vios Hybrid ini dengan dua varian yang sama seperti pasaran Thailand iaitu varian asas Vios 1.5 HEV AT dengan anggaran harga atas jalan tanpa insuran RM103,900, dan juga varian yang lebih sporty Vios 1.5 HEV GR Sport AT berharga RM109,900.

    Spesifikasi teknikal bagi model pasaran Malaysia ini masih belum diumumkan. Namun berdasarkan model pasaran Thailand, Vios Hybrid ini menerima unit rangkaian kuasa yang sama dengan Yaris Cross Hybrid di mana kedua-dua model ini diasaskan dari platform sama iaitu Daihatsu New Global Architecture (DNGA).

    Unit rangkaian kuasa hibrid tersebut menampilkan enjin 2NR-VEX 1.5 liter NA empat silinder yang menghasilkan 91 PS dan tork maksima 121 Nm, digandingkan bersama motor elektrik berkuasa 80 PS (79 hp atau 59 kW) dan tork 141 Nm. Secara keseluruhan, sistem HEV ini menghasilkan kuasa gandingan 111 PS, dan ia disalur ke roda hadapan menerusi kotak gear E-CVT. Bagi motor elektrik, ia menerima kuasa yang dibekalkan dari bateri lithium-ion berkapasiti 0.7 kWj.

    Menurut UMW Toyota, Vios Hybrid pasaran Malaysia ini mampu mencapai penggunaan bahan api serendah 3.6L/100 km dalam kitaran ujian NEDC. Jadi sekiranya unit rangkaian kuasa yang sama seperti di Thailand diberikan pada Vios Hybrid pasaran Malaysia, ia bukan sahaja lebih jimat bahan api dan lebih mesra alam, malah lebih berkuasa dari Vios biasa – bagi model pasaran Malaysia sedia ada, ia dibekalkan dengan enjin 2NR-VE 1.5 liter NA empat-silinder petrol yang menghasilkan 106 PS pada 6,000 rpm dan 138 Nm tork pada 4,200 rpm.

    Pada sebelah luar, varian asas Vios HEV masih lagi nampak sama seperti Vios petrol biasa, kecuali gril atas menerima kemasa krom gelap. Bahagian kabin juga masih nampak serupa, tetapi Vios Hybrid nampaknya diberikan lampu suasana kabin baharu serta sistem infotainmen dengan skrin Digital Audio lebih besar bersaiz 10.1-inci. Ia juga disahkan menerima sistem amaran yang memberitahu sekiranya ada pejalan kaki atau penunggang basikal datang menghampiri kenderaan.

    Manakala untuk Vios HEV GR Sport, ia tampil dengan penggayaan lebih garang termasuk diberikan rim aloi 17-inci dengan tayar Continental PremiumContact 6 205/50R17, bampar hadapan dengan rekaan seperti GR Yaris menampilkan gril sarang lebah dan juga liang udara sisi lebih besar, serta kit badan lain. Bukan hanya nampak lebih garang, Vios HEV GR Sport pasaran Malaysia ini juga disahkan akan menerima talaan semula terhadap spring dan penyerap hentak bagi memberikan pengendalian yang lebih baik.

    Kabin Vios HEV GR Sport ini juga menerima penampilan yang lebih sporty melibatkan balutan upholsteri gandingan kulit dan sued serta sulaman logo GR pada tempat duduk dan serlahan perapi-perapi berwarna perak pada tema warna hitam secara keseluruhan. Versi ini turut diberikan unit infotainmen Digital Audio 10.1-inci yang sama seperti Vios HEV biasa yang boleh dihubungkan kepada telefon pintar menerusi Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

    Tak kira dari segi perincian mahupun harga, Vios Hybrid ini nampaknya benar-benar mahu mencabar Honda City Hybrid di Malaysia. Honda Malaysia hanya menawarkan City Hybrid hanya dalam penggayaan paling sporty iaitu City RS e:HEV yang dijual pada harga RM111,900.

     
     
  • 4,423 kes langgar lampu isyarat di T’ganu pada 2025, JPJ cadang pasang kamera AWAS di black spot

    4,423 kes langgar lampu isyarat di T’ganu pada 2025, JPJ cadang pasang kamera AWAS di black spot

    Sebanyak 4,423 kes langgar lampu isyarat direkodkan di Terengganu sepanjang tempoh Januari sehingga Disember tahun lalu. Menurut Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Zamri Samion, berdasarkan pecahan data tersebut, penunggang motosikal mencatatkan kesalahan tertinggi dengan 3,348 kes, diikuti pemandu kereta dengan 917 kes.

    Jelasnya lagi, ​lain-lain kenderaan pula mencatatkan 106 kes, kenderaan barangan (49 kes) dan kenderaan perkhidmatan awam sebanyak tiga kes.

    Justeru, pihaknya mencadangkan agar kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) dipasang di laluan berisiko tinggi dan lokasi kerap kemalangan atau black spot di negeri terbabit.

    Katanya, langkah itu penting bagi menurunkan kadar kelajuan kenderaan selain meningkatkan tahap pematuhan pengguna jalan raya terhadap peraturan ditetapkan.

    “Sselain pemasangan kamera, penambahbaikan fasiliti di laluan berisiko seperti pemasangan jalur bergetar (rumble strip) juga perlu diberi perhatian untuk mengurangkan kadar kelajuan kenderaan sekali gus meminimumkan risiko nahas.

    4,423 kes langgar lampu isyarat di T’ganu pada 2025, JPJ cadang pasang kamera AWAS di black spot

    ​”Di peringkat JPJ, mungkin kita boleh cadangkan pemasangan kamera AwAS di laluan-laluan yang kita lihat tinggi risiko dan menjadi black spot kemalangan. Langkah berkesan perlu diambil bagi menurunkan kadar kelajuan pemandu di kawasan tersebut,” katanya dalam temubual bersama akhbar Sinar Harian.

    Walau bagaimana pun, katanya, status lokasi black spot perlu disahkan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM). “Namun kekerapan kemalangan di kawasan itu memerlukan tindakan segera daripada semua pihak. Sepertimana kes yang berlaku baru-baru ini, kita anggap laluan itu sebagai kawasan berisiko. Kita tidak pasti lagi sama ada PDRM dah jadikan kawasan itu sebagai black spot kerana terdapat kaedah bagi menjustifikasikannya,” katanya.

    Beliau berkata demikian bagi mengulas kes kemalangan membabitkan penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Syakirah Hanan Mazli, yang meninggal dunia selepas kenderaan dipandunya dilanggar oleh sebuah Honda Jazz di simpang empat Jalan Kemajuan, Bukit Kecil, Isnin lalu.

    Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Deputi Komisioner Azli Mohd Noor, berkata, hasil siasatan awal mendapati Perodua Viva dipandu mangsa terdahulu berhenti di lampu isyarat di simpang empat terbabit. Bagaimanapun ketika kereta itu membelok ke kanan selepas lampu isyarat bertukar hijau, ia dilanggar Honda Jazz yang datang dari arah bertentangan. ​Kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

     
     
  • Toyota GR Yaris Morizo RR didedah – hanya 200 unit, 8AT GR-DAT, diasas kereta lumba Nurburgring 24-Jam

    Toyota GR Yaris Morizo RR  didedah – hanya 200 unit, 8AT GR-DAT, diasas kereta lumba Nurburgring 24-Jam

    Toyota hari ini secara rasmi mendedahkan satu lagi model edisi khas hot-hatch GR Yaris di Tokyo Auto Salon 2026, dikenali sebagai sebagai GR Yaris Morizo RR. Model ini diproduksi berdasarkan pengalaman pasukan Toyota Gazoo Rookie Racing (TGRR) dan juga ‘Master Driver’ Gazoo Racing iaitu Morizo (nama samaran bagi pengerusi Toyota, Akio Toyoda ketika berlumba) dalam perlumbaan Nurburgring 24-Jam tahun lalu.

    Jadi GR Yaris Morizo RR ini menerima spoiler belakang gentiann karbon gergasi yang sama seperti kereta lumba GR Yaris TGRR, dan ia dilengkapi sekali dengan kit aerodinamik lain termasuk spoiler bawah bampar hadapan serta skirt sisi. Penutup bonet enjin juga ditukar menggunakan komponen yang diperbuat dari material gentian karbon dan ia serupa dengan penutup bonet yang diberikan pada model edisi khas GRMN Yaris sebelum ini.

    GR Yaris Morizo RR ini hanya hadir dalam warna badan Gravel Khaki sahaja. Kemudian ia turut menerima gril hadapan dalam kemasan Piano Black, rim dalam kemasan Bronze Matte, angkup brek kemasan kuning, lencana Morizo RR di belakang bersama tanda tangan Morizo diturunkan pada cermin hadapan.

    Toyota GR Yaris Morizo RR  didedah – hanya 200 unit, 8AT GR-DAT, diasas kereta lumba Nurburgring 24-Jam

    Sudah tentu model edisi khas ini bukan sekadar diberikan tingkat taraf kosmetik, dan ia turut melibatkan talaan semula prestasi. Perkara pertama yang diberikan adalah talaan semula pada suspensi yang memberikan kestabilan yang baik walaupun kereta berkenaan dipandu pada permukaan tidak rata seperti keadaan di Litar Nurburgring.

    Talaan suspensi baharu ini juga dibuat dengan mengambil kira kesan aerodinamik lebih kuat yang diberikan pada spoiler belakang yang lebih besar pada model edisi khas ini. Malah sistem stereng bantuan kuasa elektrik (EPS) juga ditala semula bagi diserasikan dengan talaan suspensi baharu berkenaan.

    Tidak seperti model-model edisi terhad sebelum ini yang lazimnya hanya ditawarkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan, GR Yaris Morizo RR ini hanya hadir dengan kotak gear automatik GR-DAT lapan-kelajuan. Ini kerana kereta lumba GR Yaris TGRR yang dipandu oleh Morizo tahun lalu di Nurburgring tahun lalu turut menggunakan kotak gear yang sama untuk menguji sistem transmisi baharu berkenaan.

    Kotak gear tersebut diakui tahan dan dapat menamatkan perlumbaan lasak berkenaan. Malah Morizo sendiri mengakui bahawa dia dapat menguasai 15 lap litar ‘The Green Hell’ sepanjang hampir 21 km satu lap itu.

    Sistem pacuan semua roda GR Four pada GR Yaris ini masih dikekalkan. Namun untuk mod dengan agihan tork 50:50 yang memberikan cengkaman paling baik, ia kini ditala semula mengikut input yang diberikan oleh Morizo. Oleh itu mod yang dikenali sebagai Gravel sebelum ini berkenaan ditukar kepada mod ‘Morizo’.

    Tiada tingkat taraf enjin dinyatakan. Oleh itu GR Yaris Moriz RR ini masih dibekalkan dengan enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga silinder turbo yang sama seperti sebelum ini, menghasilkan kuasa 304 PS dan tork maksima 400 Nm.

    Pada sebelah dalam, model istimewa ini masih mengekalkan kabin yang sama dengan GR Yaris facelift, menampilkan papan pemuka ‘berkotak’ yang didakwa memberikan capaian semua suis kepada pemandu tanpa menggerakkan badan, bersama paparan instrumen digital 12.3-inci.

    Apa yang berbeza GR Yaris Morizo RR ini diberikan plat nombir siri khas, serlahan jahitan upholsteri berwarna kuning serta balutan material sued pada tuil brek tangan, tombol gear dan juga roda stereng. Roda stereng model ini tidak sama dengan model standard di mana ia menampilkan diameter lebih kecil, diberikan modul beg udara berbeza dan diberikan logo ‘GR’ di tengah, kedudukan pedal penukar gear yang diubah lebih baik serta suis-suis kawalan dengan kedudukan seperti kereta lumba sebenar yang didakwa dipelajari dari suis-suis kawalan pada roda stereng jentera rali GR Yaris Rally2.

    Toyota GR Yaris Morizo RR ini hanya dihasilkan sebanyak 200 unit seluruh dunia, di mana 100 unit untuk pasaran Jepun, dan 100 unit lagi untuk diagih-agihkan kepada beberapa negara di pasaran Eropah. Ia akan mula dijual pada musim luruh tahun ini – untuk pasaran Jepun pelanggan yang berminat perlu membuat cabutan menerusi loteri yang boleh dibeli melalui aplikasi “GR App”.

    GALERI: Gambar Rasmi Toyota GR Yaris Morizo RR 2026

     
     
  • Prasarana bakal menggunakan 250 bas EV secara berperingkat mulai 2027 bagi naiktaraf perkhidmatan

    Prasarana bakal menggunakan 250 bas EV secara berperingkat mulai 2027 bagi naiktaraf perkhidmatan

    Prasarana menerusi syarikat Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) melangkah dengan lebih agresif dalam meningkatkan mutu perkhidmatannya termasuk bakal mengoperasikan sejumlah 250 bas elektrik (EV) yang dijadualkan bermula Mac 2027. Buat masa ini, syarikat tersebut menggerakkan 310 bas diesel baharu yang sedang dihantar secara berperingkat sehingga bulan hadapan, laporan Free Malaysia Today.

    “Penambahan ini bertujuan untuk memperkukuh ketersediaan perkhidmatan serta meningkatkan kebolehpercayaan operasi rangkaian Rapid Bus. Setakat ini, sebanyak 301 hentian bas dan 16 laluan pejalan kaki telah siap, manakala pembinaan bagi 43 lagi hentian bas dan 17 laluan pejalan kaki masih sedang dijalankan,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan.

    Dalam masa yang sama, lorong khas bagi bas juga akan diperluaskan pada tahun ini untuk mengurangkan masa menunggu penumpang. Lorong bas baharu di Jalan Ipoh dan Jalan Gombak dijadualkan dilaksanakan secara berperingkat mulai suku ketiga tahun 2026, manakala lorong bas di Jalan Ampang yang sebelum ini dilaksanakan secara percubaan akan dijadikan kekal.

    Pada Julai tahun lalu, Rapid Bus berkata 310 unit bas diesel baharu itu akan memainkan peranan penting dalam memperkukuh perkhidmatan pengangkutan awam di Lembah Klang dan Pulau Pinang. Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan untuk menaik taraf dan memperkasa sistem pengangkutan awam negara. Selain itu, ia bertujuan menggantikan bas-bas lama yang telah beroperasi sejak sekian lama, dan memulakan operasi secara berperingkat sejak penghujung Julai 2025 hingga suku pertama tahun 2026.

    .

     
     
  • Fasiliti B&P terbakar – Proton keluar kenyataan rasmi; tiada kecederaan dilapor, bukan isu berkaitan produk

    Fasiliti B&P terbakar – Proton keluar kenyataan rasmi; tiada kecederaan dilapor, bukan isu berkaitan produk

    Semalam tular dalam media sosial bahawa sebuah fasiliti pembaikan badan dan cat (B&P) Proton di Sungai Buloh telah terbakar. Oleh itu hari ini Proton telah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung insiden tersebut.

    Menurut Proton, kejadian tersebut berlaku pada jam kira-kira 5 petang pada Rabu, 7 Januari 2026 melibatkan salah satu jaringan pusat B&P rasminya iaitu Proton Salient Progress yang terletak di Kampung Baru Sungai Buloh, Shah Alam, Selangor.

    “Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah dihubungi dengan segera dan kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 8.00 malam.

    “Punca kejadian serta tahap kerosakan kini masih dalam siasatan pihak berkuasa berkaitan. Setakat ini, Proton mengesahkan bahawa tiada petunjuk yang menunjukkan insiden tersebut berpunca daripada isu berkaitan produk. Tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan,” kata Proton dalam kenyataan yang dikeluarkan tersebut.

    Menurut syarikat itu lagi insiden ini sedang disiasat oleh pihak berkuasa berkaitan dengan kerjasama penuh daripada pihak pengedar.

    “Proton akan terus menyokong pengedar terlibat, khususnya dalam menguruskan perkara berkaitan pelanggan, dan pelanggan yang terjejas akan dihubungi dengan segera,” tulis kenyataan itu lagi dan mengesahkan bahawa bilik pameran Salient Progress Kepong 4S di Jln Besar Kepong, Kuala Lumpur tidak terjejas dan beroperasi seperti biasa.

     
     
  • Proton X70 MC3 2026 dilancarkan – 1.5T i-GT 4-silinder, 181 PS/290 Nm, naiktaraf NVH; dari RM100k

    Proton X70 MC3 2026 dilancarkan – 1.5T i-GT 4-silinder, 181 PS/290 Nm, naiktaraf NVH; dari RM100k

    Proton membuka tirai untuk tahun 2026 dengan melancarkan X70 baharunya yang merupakan versi naiktaraf minima ketiga (third minor change atau MC3) untuk SUV segmen-C keluarannya itu. Untuk barisan X70 terbaharu ini, ia ditawarkan dengan dua varian iaitu: 



    • 1.5TD Executive RM106,800 (OTR)
    • 1.5TD Premium RM119,800 (OTR)

    Kedua-duanya adalah harga atas jalan tanpa insurans. Namun sempena dengan pelancarannya, Proton mengumumkan harga istimewa selepas rebat bernilai RM7,000 iaitu RM99,800 untuk 1.5TD Executive dan RM112,800 bagi 1.5TD Premium. Tawaran ini hanya untuk 1,500 unit pertama sahaja dan berlangsung sehingga 31 Mac 2026. Ia turut diberikan waranti lima-tahun dengan perbatuan tanpa had dan kos buruh secara percuma sebanyak enam kali.

    Penarafan yang paling utama dibuat untuk barisan X70 terbaharu ini ialah Proton memberikannya penjana kuasa yang sama dengan model X50 facelift iaitu enjin Intelligent Green Technology (i-GT) 1.5 liter pengecas turbo empat-silinder bagi menggantikan enjin terdahulu 1.5 liter pengecas turbo tiga-silinder.

    Juga sama dengan adiknya, X50, enjin yang ada pada X70 ini mampu menghamburkan 181 PS pada 5,500 rpm dan tork 290 Nm antara 2,000 hingga 3,500 rpm. Sekaligus memberikan peningkatan angka prestasi sebanyak 4 PS dan 35 Nm berbanding enjin terdahulu (177PS/255 Nm). Proton berkata enjin baharu ini mampu meningkatkan tindak balas pendikit yang lebih lancar dan pantas pada julat rendah hingga sederhana.

    Namun X70 2026 ini masih dipadankan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan DCT yang sama. Di mana ia didakwa mampu mencatatkan angka penggunaan bahan api sekitar 6.9 liter bagi setiap 100 km. Padanan enjin baharu dengan transmisi ini telah membuatkan penggunaan bahan api pada X70 2026 didakwa berkurangan sebanyak 5.5% berbanding model terdahulu.

    Selain enjin, Proton telah menaiktaraf aspek tahap bunyi, getaran dan kekasaran (NVH) untuk barisan X70 2026 ini. Menurut Proton, penggunaan toothed timing chain membantu menjimatkan kos penyelenggaraan berbanding timing chain standard sebelum ini. Malah ia juga didakwa 25.24% lebih senyap berbanding sistem pacuan rantai biasa.

    Secara keseluruhannya, tahap NVH telah berkurang sebanyak 4.5% dan Proton menyatakan bahawa X70 kini ditawarkan dengan enjin yang lebih senyap serta lebih “halus”. Kami sempat meneliti ruang enjin X70 baharu ini dan mendapati ia menggunakan bahan penebat bunyi di beberapa bahagian termasuk di di bawah penutup enjin dan ruang atas sistem injap bagi membantu mengurangkan bunyi.

    Proton X70 MC3 2026 dilancarkan – 1.5T i-GT 4-silinder, 181 PS/290 Nm, naiktaraf NVH; dari RM100k

    Untuk pengendaliannya pula, Proton telah melakukan talaan semula bagi sistem suspensi termasuk menambahbaik tahap bunyi jalan raya pada frekuensi rendah hingga sederhana, impak ketegaran gandar belakang serta kapasiti sokongan olengan bagi X70 2026.

    Bukan itu sahaja, X70 2026 ini juga ditambahbaik sistem sterengnya termasuk bagi nisbah stereng dan juga tindak balas stereng yang lebih cekap dan pantas.

    Selain itu, Proton turut mendakwa X70 2026 kini ditawarkan dengan kos selenggara untuk tempoh lima tahun yang paling rendah dalam segmennya. Walau bagaimana pun, syarikat pengeluar ini tidak memperincikan info berkaitan termasuk perbandingan dengan model pesaingnya.

    Untuk imej luaran dan dalaman, masih sama saja dengan versi terdahulu. Termasuk dikekalkan dengan pilihan warna secara standard iaitu Snow White, Armour Silver, Jet Grey dan Marine Blue. Ciri luarannya masih kekal termasuklah gril dengan rekaan pin krom yang diinspirasikan dari corak kain songket, bampar hadapan, fender sisi, lampu utama, gril dan juga penutup bonet dengan rekaannya diadaptasikan dari Geely Boyue facelift yang diperkenalkan pada 2022.

    Walau bagaimana pun, tayarnya ditukar kepada jenama Giti siri Comfort F50 bagi menggantikan tayar Continental buatan tempatan yang telah menutup kilangnya di Alor Setar, Kedah. Namun, saiz rim masih kekal iaitu 18-inci untuk Executive dan 19-inci bagi Premium.

    Untuk kabinnya, X70 masih dikekalkan dengan rekabentuk kabin lama termasuk papan pemuka beralun. Namun ia diberikan sedikit sentuhan lebih segar dengan kemasan perak dan hitam, skrin sesentuh infotainmen ‘terapung’ bersaiz 12.3-inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

    Proton X70 MC3 2026 dilancarkan – 1.5T i-GT 4-silinder, 181 PS/290 Nm, naiktaraf NVH; dari RM100k

    Walau bagaimana pun, berbeza dengan X50 facelift, X70 2026 ini masih belum menerima naiktaraf sistem operasi Atlas yang menambah pilihan Bahasa Melayu dan kawasan suara “Hi Proton”.

    Selain itu, kedua-dua varian X70 kini menerima ciri standard termasuk tempat duduk pemandu dengan larasan kuasa enam-hala, cermin pandang belakang auto-kelam, kamera 360-darjah, kemasukan tanpa kunci, kawalan penghidup enjin, penyaman udara dwi-zon automatik, enam pembesar suara, tempat duduk balutan leatherette (kulit tiruan) berwarna hitam dengan jaluran merah (bukan lagi rona Stone Grey seperti versi terdahulu).

    Ciri tambahan bagi model spesifikasi penuh Premium pula diberikan roda stereng balutan Nappa berbanding leatherette pada versi sebelumnya (varian Executive masih diberikan material leatherette), tempat duduk penumpang hadapan dengan larasan kuasa empat-hala berserta suis “boss”, pencahayaan ambien 72-warna dengan fungsi ritma.

    Walau bagaimana pun, varian Premium kini tidak lagi dilengkapi cermin kecil ‘vanity’ yang ditempatkan pada pelindung suria untuk penumpang hadapan, tidak seperti yang diberikan untuk varian Premium X pada barisan X70 sebelum ini. Begitu juga dengan bumbung suria panoramik yang sebelum ini turut diberikan pada varian Premium X, namun ia tidak ditampilkan buat varian tertinggi X70 2026.

    Untuk aspek keselamatan pula, varian Executive tidak diberikan diberikan ciri sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) seperti mana yang ditampilkan pada Premium. Ciri standard untuk kedua-dua varian ialah enam beg udara, ABS dengan EBD dan bantuan brek, kawalan cengkaman, bantuan mula mendaki, bantuan menurun bukit, sistem kamera 360-darjah dengan fungsi 3D dan transparent serta penderia parkir hadapan dan belakang.

    Namun Premium ditambahkan dengan kelengkapan ADAS Tahap 2 yang merangkumi brek kecemasan sendiri, kawalan peluncuran adaptif dengan fungsi stop & go, bantuan pemusatan stereng, bantuan kekal lorong, pengesan isyarat trafik, pemantauan titik buta, kepekaan trafik belakang, amaran pelanggaran belakang, amaran membuka pintu, lampu tinggi automatik dan sistem pemantauan tekanan tayar.

    Sekali lagi, barisan X70 2026 ini ditawarkan dengan dua varian iaitu 1.5TD Executive berharga dari RM99,800 dan harga bagi 1.5TD Premium pula ialah RM112,800. Kedua-duanya adalah harga atas jalan tanpa insurans dan selepas ia diberikan rebat sebanyak RM7,000 dan hanya untuk 1,500 unit pertama sahaja serta hingga 31 Mac 2026. Pembeliannya didatangkan dengan waranti lima-tahun dengan perbatuan tanpa had dan kos buruh secara percuma sebanyak enam kali.

    Selain penawaran waranti, Proton turut mengumumkan empat lagi pakej bagi setiap pembelian X70 2026 iaitu Pro-Connect merangkumi pakej data untuk kereta yang dipertingkatkan selama lima tahun dan 2GB setiap bulan, Pro Finance (kadar pembiayaan selama 9-tahun dari 2.2% PA), Pro-Trade In (sokongan jual beli sehingga RM2,000) dan Pro-Shield iaitu program insurans Proton yang ditambahbaik.

    Proton X70 MC3 2026 dilancarkan – 1.5T i-GT 4-silinder, 181 PS/290 Nm, naiktaraf NVH; dari RM100k

    Pecahan spesifikasi mengikut varian:

    Proton X70 1.5TD Executive 2026

    Ciri standard termasuk:

    Mekanikal

    • Enjin i-GT 1.5 liter pengecas turbo empat-silinder suntikan terus petrol
    • 181 PS pada 5,500 rpm, tork 290 Nm pada 2,000-3,500 rpm
    • Transmisi dwi-klac basah 7-kelajuan
    • Penggunaan bahan api 6.9 liter per 100 km
    • Mod pemanduan Eco, Comfort dan Sport
    • Pacuan roda-hadapan
    • Suspensi MacPherson strut (hadapan), multilink (belakang)
    • Cakera brek Ventilated (hadapan), solid disc (belakang)

    Luaran

    • Lampu utama auto LED dengan fungsi lampu ‘welcome’ dan ‘follow-me-home’
    • Lampu nyalaan siang LED
    • Lampu belakang LED
    • Rel bumbung rona perak
    • Dwi corong ekzos
    • Roda aloi dua-tona 18-inci dengan tayar 225/60 R18

    Kabin

    • Kemasukan tanpa kunci dengan kawalan menghidup enjin
    • Butang menghidup enjin
    • Raung dalaman rona hitam dengan jahitan kelabu dan jaluran merah
    • Lapik bumbung rona hitam
    • Kawalan suhu automatik dwi-zon dengan corong belakang
    • Bilah pengelap cermin automatik
    • Cermin pandang belakang dengan fungsi auto-kelam
    • Cruise Control dengan pengehad kelajuan
    • Tempat duduk pemandu dengan larasan elektrik enam-hala
    • Ventilasi pada tempat duduk hadapan
    • Balutan kulit tiruan upholstery
    • Roda stereng pelbagai-fungsi
    • Paparan instrumen digital 7.0-inci
    • Skrin sesentuh infotainmen 12.3-inci
    • Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar
    • Kawalan suara “Hi Proton”
    • Enam pembesar suara
    • Dua port USB di hadapan (USB-A dan USB-C)
    • Dua port USB di belakang (USB-A dan USB-C)
    • Brek parkir elektronik dengan penahan brek auto
    • Ketersambungan aplikasi Proton Link 2.0 (status kenderaan, kawalan jauh, navigasi)
    • Tailgate elektronik dengan penderia kunci untuk bukaan bebas tangan
    • Ruang kapasiti but cecah 515 liter

    Keselamatan

    • Enam beg udara (hadapan, sisi, tirai)
    • ABS dengan EBD dan bantuan brek
    • Kawalan cengkaman dan kawalan kestabilan
    • Walk Away Auto Lock
    • Bantuan mula mendaki dan kawalan menurun bukit
    • Sistem kamera 360-darjah camera system dengan fungsi 3D dan transparent
    • Penderia parkir hadapan dan belakang

    Proton X70 1.5TD Premium 2026


      Ditambah dengan:

    Luaran

    • Roda aloi dua-tona 19-inci dengan tayar 225/55 R19

    Kabin

    • Fungsi larasan lumbar untuk tempat duduk pemandu
    • Tempat duduk penumpang hadapan larasan kuasa dengan empat-hala dan suis “boss” pada bahagian bahu
    • Roda stereng balutan kulit Nappa
    • Pencahayaan ambien 72-warna dengan mod ‘ritma’
    • Lapisan filem keselamatan

    Keselamatan

    • Brek kecemasan sendiri
    • Kawalan keluncuran adaptif dengan fungsi stop and go
    • Bantuan pemusatan lorong
    • Bantuan kekal lorong
    • Pengesan isyarat trafik
    • Pemantauan titik buta
    • Kepekaan trafik lintasan belakang
    • Amaran pelanggaran belakang
    • Amaran membuka pintu
    • Lampu tinggi automatik
    • Sistem pemantauan tekanan tayar

    GALERI: Proton X70 MC3 2026 varian Premium

    Gambar rasmi Proton X70 MC3 2026

     
     
  • Proton eMas 5 Prime – Imej pertama varian asas, RM57k, 79 PS, 225 km WLTP, rim besi, lampu halogen

    Proton eMas 5 Prime – Imej pertama varian asas, RM57k, 79 PS, 225 km WLTP, rim besi, lampu halogen

    Ketika dilancarkan pada Oktober tahun lalu, Proton eMas 5 diumumkan hadir dalam dua varian iaitu varian asas Prime yang dijual pada harga RM56,800 dan juga varian tertinggi Premium berharga RM69,800 (masing-masing setelah ditolak rebat RM3,000). Namun ketika itu tiada sebarang unit varian Prime ditunjukkan, di mana segala perincian berkenaan model ini berkenaan hanya tertulis di atas spesifikasi yang disiarkan oleh Proton.

    Dan ini dia, kami telahpun dapat merakamkan galeri pertama Proton eMas 5 Prime selepas diberitahu oleh pengedar Proton di Petaling Jaya iaitu Regal Motors bahawa mereka ada beberapa unit awalan.

    Berbanding varian Premium, eMas 5 Prime ini adalah sekitar RM13,000 lebih murah. Jadi ia bukan sekadar diberikan motor elektrik kurang berkuasa dan juga bateri yang lebih kecil, malah varian asas ini juga hadir dengan kelengkapan lebih rendah.

    Proton eMas 5 Prime – Imej pertama varian asas, RM57k, 79 PS, 225 km WLTP, rim besi, lampu halogen

    Konfigurasi unit rangkaian kuasa masih lagi sama di mana motor elektrik tunggal yang diberikan diletakkan pada gandar belakang, bagi memacu roda belakang dan ia diletakkan pada gandar yang menampilkan tetapan suspensi jenis multilink. Namun kuasa yang ditampilkan adalah lebih rendah iaitu 79 PS (58 kW) dan tork maksima 130 Nm, berbanding 116 PS (85 kW)/150 Nm pada eMas 5 Premium.

    Ini membolehkan ia memecut dari 0-50 km/j dalam masa 4.4 saat (3.9 saat untuk Premium). Ia masih dibekalkan dengan bateri LFP keluaran CATL, tetapi dengan kapasiti lebih kecil iaitu 30.12 kWj, membolehkan ia bergerak hanya sejauh 225 km dalam kitaran ujian WLTP. Sebagai perbandingan, varian Premium diberikan bateri berkapasiti 40.16 kWj dengan jarak gerak WLTP sejauh 325 km.

    Untuk mengecas, varian eMas 5 boleh menerima pengecas pengecas pantas DC sehingga 58 kW yang membolehkan cas dari 30%-80% dipenuhkan dalam masa 21 minit dan juga pengecas AC 6.6 kW yang membolehkan bateri di penuhkan dari 10%-100% dalam masa 4.3 jam. Sistem vehicle-to-load (V2L) juga diberikan secara standard.

    Sekali tengok eMas 5 Premium dan Prime nampak serupa pada sebelah luar, namun ada beberapa perincian yang membezakan kedua-duanya. Paling jelas adalah pada bahagian roda di mana eMas 5 Prime ini diberikan rim besi bersaiz 15-inci yang datang dengan penutup hab plastik, dibalut dengan tayar Linglong Comfort Master 205/65R15, berbeza dengan varian Premium yang datang dengan rim aloi dua-tona 16-inci.

    Model lebih murah ini juga hanya datang dengan lampu hadapan halogen manual dengan rekaan seperti projektor serta tertulis “Classic Tech” di sebelah dalam, berbanding lampu projektor LED sebenar bersama fungsi automatik serta tertulis “Full LED Tech” pada sebelah dalam untuk lampu varian Premium.

    Satu lagi yang jelas berbeza pada sebelah luar, eMas 5 Prime ini tidak datang dengan bumbung berwarna hitam seperti varian Premium. Model ini juga hanya diberikan tiga pilihan warna badan iaitu Moonstone White, Graphite Silver dan Slate Grey, di mana varian Premium menerima dua lagi pilihan warna tambahan iaitu Marble Cream dan Quartz Rose.

    Proton eMas 5 Prime – Imej pertama varian asas, RM57k, 79 PS, 225 km WLTP, rim besi, lampu halogen

    Manakala sebelah dalam, eMas 5 Prime hanya hadir dengan warna kabin Flint Grey bersama roda stereng warna tunggal, tanpa pilihan warna Alabaster White dan roda stereng dua tona seperti Premium. Selain itu ia juga tidak diberikan port USB-A pada sebelah belakang dan hanya empat pembesar suara serta pintu tailgate tanpa bantuan kuasa.

    Selain dari itu, kedua-duanya menerima kelengkapan yang sama iaitu sistem penghawa dingin manual dengan liang hembusan kabin belakang, upholsteri kulit sintetik, sistem kemasukan tanpa kunci, ruang penyimpan bawah tempat duduk 20-liter, skrin paparan instrumen 8.8-inci serta sistem infotainmen dengan skrin bersaiz 14.6-inci yang beroperasi dengan OS Atlas Proton.

    Sistem infotainmen tersebut turut menyokong aplikasi Apple CarPlay dan Android Auto yang boleh dihubungkan tanpa wayar, serta menampilkan fungsi arahan suara Bahasa Melayu “Hi eMas” dan fungsi khas untuk EV seperti navigasi pencarian stesen-stesen pengecas. Pemilik juga diberikan akses untuk aplikasi telefon pintar eMas App yang bukan sahaja mengawal pelbagai fungsi dari jauh, malah turut boleh membuat pembayaran untuk pengecas awam.

    Proton eMas 5 ini juga kekurangan dari segi keselamatan kerana ia tidak diberikan kamera 360-darjah dan banyak sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) termasuk tiada brek kecemasan automatik, cruise control adaptif dan sebagainya. Namun ia masih diberikan fungsi asas seperti pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, amaran pelanggaran belakang, amaran buka pintu, serta hadir dengan enam-beg udara.

     
     
  • Vespa GTV 300 dan Sprint 150 Officina 8 dilancar di Malaysia – edisi khas dengan harga bermula RM22k

    Vespa GTV 300 dan Sprint 150 Officina 8 dilancar di Malaysia – edisi khas dengan harga bermula RM22k

    Vespa Malaysia secara rasmi melancarkan dua model edisi khas untuk tahun 2026 iaitu Vespa Officina 8 GTV 300 dan Officina 8 Sprint 150. Untuk pasaran tempatan, Officina 8 GTV 300 ditawarkan pada harga RM37,900, manakala Officina 8 Sprint 150 pula dijual pada harga RM22,000. Harga yang diumumkan tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.

    Kedua-dua model Officina 8 hanya ditawarkan dalam satu pilihan warna eksklusif iaitu Blu Officina 8, yang diinspirasikan daripada pakaian pekerja kilang Piaggio. Nama Officina 8 pula merujuk kepada Jabatan Eksperimen pasca Perang Dunia Kedua di kilang Piaggio di Pontedera, Itali.

    “Officina” membawa maksud bengkel dalam bahasa Itali, dan Officina 8 merupakan bahagian penting yang bertanggungjawab menghasilkan rekaan serta prototaip Vespa pertama, termasuk model untuk perlumbaan dan pemecahan rekod.

    Dari segi penampilan, warna biru khas Officina 8 digandingkan dengan logo warna emas, termasuk pada bahagian rim. Tempat duduk turut menerima sentuhan eksklusif dengan jahitan kontras serta rivet tembaga. Bagi varian GTV 300, ia turut dilengkapi penutup bahagian belakang (rear cowl) yang diinspirasikan daripada Vespa lumba era 1950-an.

    Kedua-dua model dilengkapi cermin sisi di hujung pemegang, yang memberikan gaya perlumbaan klasik. Vespa Officina 8 GTV 300 hadir dengan hendal tanpa penutup dan paparan LCD bulat, manakala Sprint 150 mengekalkan penutup hendal konvensional bersama gabungan meter analog dan digital.

    Dari sudut mekanikal, kedua-dua model ini diasaskan daripada barisan Vespa sedia ada. Officina 8 GTV 300 menggunakan enjin silinder tunggal 300 cc HPE, empat injap dan penyejukan cecair, yang menghasilkan kuasa 23.8 hp. Lampu hadapan yang dipasang pada fender hadapan menjadi ciri ikonik yang mengimbau sejarah perlumbaan Vespa.

    Sementara itu, Sprint 150 Officina 8 dikuasakan oleh enjin i-GET silinder tunggal 154 cc dengan penyejukan udara dan tiga injap. Enjin ini menghasilkan kuasa 12.5 hp pada 7,750 rpm serta tork maksimum 12.3 Nm pada 6,750 rpm.

    GALERI: Vespa Sprint 150 Officina 8


    GALERI: Vespa GTV 300 Officina 8

     
     
  • Kia Carnival 2026 facelift bakal dilancarkan di Malaysia — hanya janaan diesel atau akan ada hibrid juga?

    Kia Carnival 2026 facelift bakal dilancarkan di Malaysia — hanya janaan diesel atau akan ada hibrid juga?

    Selepas memulakan operasi rasmi minggu ini, Kia Sales Malaysia telah menunjukkan iklan teaser model pertama yang akan dilancarkan untuk pasaran tempatan. Melalui laman media sosial rasmi, syarikat itu memuat naik sebuah video menunjukkan apa yang kelihatan seperti MPV Carnival facelift.

    MPV berkenaan yang kini dalam generasi keempat dan mula diperkenalkan di pasaran global pada Jun 2020, sebelum versi facelift-nya tiba pada Oktober 2023. Di Malaysia, Carnival generasi KA4 ini mula dijual pada Januari 2022, dalam versi 11-tempat duduk dan diimport sepenuhnya (CBU) dari Korea Selatan.

    Versi CKD-nya pula mula diperkenalkan pada Julai 2022, dalam versi tujuh atau lapan-tempat duduk. Versi 11-tempat duduk kekal menjadi model CBU dan hanya beralih kepada model CKD pada November 2023. Kemaskini terakhir yang diberikan untuknya adalah pada Februari 2024.

    Kia Carnival 2026 facelift bakal dilancarkan di Malaysia — hanya janaan diesel atau akan ada hibrid juga?

    Kelainan yang membezakan Carnival dalam penampilan facelift yang terbaru ini boleh dilihat di bahagian DRL Star Map yang khusus seperti yang termuat dalam teaser berkenaan. Ini disertai juga dengan lampu utama LED menegak dan gril yang lebih besar, sementara di belakang diberikan lampu bentuk L terbalik dan perumah nombor plat yang lebih ke bawah.

    Di dalam, rekaan papan pemuka kekal sama, dengan diberikan beberapa perubahan kecil. Ini termasuklah panel paparan skrin lebar bersambung yang memuatkan skrin sentuh 12.3-inci untuk infotainmen, dengan kluster instrumen digital 12.3-inci untuk varian yang lebih lengkap.

    Suis kawalan audio dan pendingin juga telah disekalikan dalam satu panel sentuh seperti pada EV6. Ini membolehkan ruang simpanan lebih luas di bawah, dan tambahan jalur lampu ambient yang lebar sebagai tambahan di bawah corong pendingin.

    Kia Carnival 2026 facelift bakal dilancarkan di Malaysia — hanya janaan diesel atau akan ada hibrid juga?

    Carnival di pasaran tempatan dikuasakan oleh enjin 2.2 liter Smartstream D2.2 turbodiesel empat-silinder, dan menjana sebanyak 202 PS (199 hp atau 149 kW) dan 440 Nm tork, yang disalurkan ke roda depan melalui transmisi automatik lapan-kelajuan.

    Dalam pasaran yang sudah menerima versi facelift terkini itu seperti Singapura, Thailand dan Indonesia, beberapa pilihan janaan hibrid turut ditawarkan. Ini menggunakan enjin 1.6 liter turbocas empat-silinder petrol yang diganding bersama sebuah motor elektrik dan memberikan output keseluruhan sistem sebanyak 245 PS (242 hp atau 180 kW) dan 367 Nm. Adakah Malaysia juga akan menarima varian hibrid?

    Kia Carnival 2024 di GIIAS

     
     
  • Xiaomi SU7 diberi peningkatan di China – lancar April ini, kuasa sehingga 690 PS, jarak gerak CLTC 902 km

    Xiaomi SU7 diberi peningkatan di China – lancar April ini, kuasa sehingga 690 PS, jarak gerak CLTC 902 km

    Kurang dua tahun selepas dilancarkan di pasaran China, sedan elektrik Xiaomi SU7 kini diberi kemas kini menyeluruh yang memfokuskan kepada peningkatan prestasi, keselamatan dan teknologi. Model versi baru ini akan mula dijual secara rasmi pada April 2026 dan akan terus ditawarkan dalam tiga varian iaitu Standard, Pro dan Max.

    Dari segi harga, tempahan awal bermula pada 229,900 yuan (sekitar RM134,000) untuk varian Standard. Varian Pro pula ditawarkan pada 259,900 yuan (RM151,000), manakala varian Max diletakkan pada harga 309,900 yuan (RM180,000). Meskipun spesifikasi penuh belum didedahkan, beberapa maklumat utama telah dikongsi menerusi akaun rasmi Weibo Xiaomi dan laporan CarNewsChina.

    Antara perubahan paling besar adalah pada sistem elektrik kenderaan. Sebelum ini, varian Standard dan Pro menggunakan sistem 400 volt, manakala Max menggunakan sistem 871 volt. Sekarang, varian Standard dan Pro dinaik taraf kepada sistem 752 volt, sementara varian Max menerima peningkatan kecil kepada 897 volt.

    Xiaomi SU7 diberi peningkatan di China – lancar April ini, kuasa sehingga 690 PS, jarak gerak CLTC 902 km

    Peningkatan ini membolehkan pengecasan pantas DC yang lebih cekap, dengan Xiaomi mendakwa jarak sehingga 670 km boleh dicapai dalam masa hanya 15 minit pengecasan, berbanding 510 km sebelum ini. Dari segi jarak pemanduan, varian Standard kini mampu mencapai sehingga 720 km, manakala Max menawarkan 835 km. Varian Pro kekal sebagai yang terbaik dengan jarak sehingga 902 km. Semua angka ini berdasarkan piawaian CLTC.

    Untuk rangkaian kuasa, semua varian SU7 kini menggunakan motor elektrik baru ‘V6s Plus’, menggantikan unit ‘V6’ dan ‘V6s’ sebelum ini. Hasilnya, varian Standard dan Pro pacuan roda belakang kini menghasilkan 320 PS, meningkat daripada 299 PS. Varian Max pula kini menjana 690 PS, berbanding 673 PS sebelum ini. Selain itu, sistem suspensi udara dual-chamber dengan kawalan redaman berterusan (CDC) kini ditawarkan pada varian Pro dan Max – sebelum ini eksklusif untuk Max sahaja.

    Xiaomi SU7 diberi peningkatan di China – lancar April ini, kuasa sehingga 690 PS, jarak gerak CLTC 902 km

    Dari sudut keselamatan dan struktur, badan kenderaan kini menggunakan keluli berkekuatan tinggi sehingga 2,200 MPa, berbanding 2,000 MPa sebelum ini. Jumlah beg udara turut ditingkatkan daripada tujuh kepada sembilan unit. Teknologi LiDAR kini menjadi ciri standard untuk semua varian, digandingkan dengan sistem ADAS baru berkeupayaan 700 TOPS serta sistem pemanduan autonomous Xiaomi HAD (Hyper Autonomous Driving).

    Perubahan lain termasuk tayar belakang yang kini lebih lebar, iaitu 265 mm berbanding 245 mm sebelum ini, manakala tayar hadapan kekal 245 mm. Angkup brek hadapan empat omboh jenis tetap kini menjadi ciri standard, bersama rekaan gril hadapan yang dioptimumkan. Dari segi penampilan, warna baru Capri Blue diperkenalkan, manakala ruang dalaman menerima tema Dark Black baru dengan kemasan yang dipertingkatkan.

     
     
  • Stesen LRT Bukit Jalil lanjut waktu operasi sempena konsert Siti Nurhaliza – 10 Jan 2026, hingga 1 pagi

    Stesen LRT Bukit Jalil lanjut waktu operasi sempena konsert Siti Nurhaliza – 10 Jan 2026, hingga 1 pagi

    Rapid KL telah mengumumkan bahawa operasi stesen LRT Bukit Jalil akan dilanjutkan pada Sabtu ini, 10 Januari 2026, hingga jam 1 pagi (11 Januari).

    Ia adalah sempena dengan ‘Konsert Mega Legacy 30 – Siti Nurhaliza’ yang akan diadakan pada tarikh berkenaan di Stadium Nasional Bukit Jalil bermula jam 8.30 malam. Penganjuran konsert berkenaan adalah bagi meraikan 30 tahun perjalanan seni Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam industri muzik. Konsert ini dijangka menghimpunkan puluhan ribu peminat, dengan menyajikan persembahan lagu-lagu popular sepanjang kariernya.

    Pengendali rel tersebut juga memaklumkan bahawa stesen-stesen sambungan juga turut dilanjutkan waktu operasi (kecuali laluan Monorel) bagi membawa penumpang ke destinasi akhir. Walau bagaimana pun, para penumpang dinasihati untuk menggunakan kad Touch ‘n Go atau Rapid Kota (pas perjalanan tanpa had satu hari) bagi memudahkan perjalanan. Sila pastikan baki tambah nilai di dalam kad berkenaan mencukupi.

     
     
  • Proton Saga MC3 2026 — rebat RM1,000 telah tamat, diganti dengan tawaran RM500+RM300 untuk Januari

    Proton Saga MC3 2026 — rebat RM1,000 telah tamat, diganti dengan tawaran RM500+RM300 untuk Januari

    Ketika Saga MC3 dilancarkan November lalu, Proton telah menawarkan diskaun berbentuk rebat khas bernilai RM1,000 untuk pembeli-pembeli terawal, iaitu sehingga 31 Disember 2025, membolehkan model tersebut masing-masing dijual pada harga atas jalan tanpa insuran bermula RMRM38,990, RM44,990 dan RM49,990 untuk varian Standard, Executive dan Premium.

    Bermula 1 Januari, rebat berkenaan sudahpun ditamatkan. Namun Proton telah mengumumkan diskaun baharu untuk pelanggan-pelanggan yang masih belum menerima Saga masing-masing, iaitu rebat bernilai RM500, serta tambahan rebat bernilai RM300 sekiranya anda membeli kereta baharu dengan kaedah tukar beli kenderaan lama (trade in).

    Jadi setiap pelanggan akan menerima rebat antara RM500 hingga RM800 bergantung cara pembelian, dan perbezaannya adalah antara RM200 hingga RM500 berbanding harga dengan rebat sebelum ini. Oleh itu untuk pelanggan dengan pembiayaan yang telah diluluskan dengan harga lama mungkin perlu membuat permohonan semula permohonan. Namun ada juga bank yang membolehkan pelanggan membayar nilai yang tidak cukup berkenaan dan tidak perlu membuat permohonan semula pembiayaan.

    Ini merupakan kali pertama Proton memberikan rebat ketika melancarkan model baharu dan ia berkurangan selepas satu tempoh yang telah dinyatakan. Lazimnya rebat yang diberikan ketika pelancaran akan kekal diberikan dan mungkin akan bertambah.

    Contohnya X50 facelift diberikan rebat RM4,000 ketika dilancarkan, dan kini ia meningkat kepada RM6,000 + RM800; X90 pula kini ditawarkan dengan rebat sebanyak RM20,000; S70 masih diberikan kit badan percuma bersama rebat tunai RM8,000.

    Hanya selepas seminggu dilancarkan, tempahan Saga MC3 ini telah mencapai 30,000 unit, dan awal bulan ini Proton mengumumkan bahawa 10,000 unit telah pun berjaya dihantar kepada pelanggan. Mungkin sebab inilah rebat RM1,000 untuk Saga MC3 tersebut tidak diteruskan.

    Kami telah senaraikan setiap perincian yang diterima untuk setiap varian Proton Saga MC3 ini yang boleh anda baca pada PAUTAN INI. Juga kami sudahpun berpeluang memandu uji model ini dan ulasannya pula boleh anda baca pada PAUTAN INI.

    GALERI: Proton Saga 2026 Premium CVT

    GALERI: Proton Saga 2026 Executive 4AT

    GALERI: Proton Saga 2026 Standard 4AT

     
     
  • Puspakom lanjut operasi pada tiga hari Sabtu bulan ini – 10,17 dan 24 Januari 2026; 25 cawangan terlibat

    Puspakom lanjut operasi pada tiga hari Sabtu bulan ini – 10,17 dan 24 Januari 2026; 25 cawangan terlibat

    Bagi memudahkan urusan orang ramai yang memerlukan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan, Puspakom akan melanjutkan operasinya pada tiga hari Sabtu berturut-turut sepanjang bulan ini.

    Lanjutan operasi tersebut dijadualkan untuk 10,17 dan 24 Januari 2026, yang melibatkan 25 cawangan terpilih di seluruh negara, yang dibuka dari jam 8 pagi hingga 5 petang. Semua pelanggan perlu membuat tempahan temujanji secara dalam talian iaitu menerusi MyPuspakom sebelum pergi ke cawangan yang dipilih. Tiada kunjungan secara walk-in dibenarkan.

    Di bawah ini adalah cawangan yang terlibat dengan waktu lanjutan operasi pada Sabtu:

      Lembah Klang

    • Wangsa Maju
    • Cheras
    • Shah Alam
    • Padang Jawa
    • Glenmarie
    • Banting
    • Bangi
    • Pandan Mewah
    • Batu Caves
      Utara

    • Alor Setar
    • Sungai Petani
    • Mak Mandin (Pulau Pinang)
    • Teluk Kumbar
    • Gopeng (Perak)
    • Taiping
      Selatan

    • Seremban
    • Alor Gajah (Melaka)
    • Johor Bahru
    • Pasir Gudang
    • Senai
    • Kluang
      Pantai Timur

    • Kuantan
    • Kota Bharu
      Malaysia Timur

    • Kota Kinabalu
    • Kota Samarahan

    Namun difahamkan bahawa cawangan Banting tidak akan beroperasi pada 10 Januari. Manakala cawangan Alor Setar, Sungai Petani dan Seremban akan ditutup pada 17 Januari 2026.

     
     
  • JPJ periksa 1.2j kenderaan perdagangan menerusi Op Lebih Muatan 2025, 240,493 daripadanya kena tindakan

    JPJ periksa 1.2j kenderaan perdagangan menerusi Op Lebih Muatan 2025, 240,493 daripadanya kena tindakan

    Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) telah memeriksa sejumlah 1.2 juta kenderaan berat menerusi Operasi Lebih Muatan pada tahun 2025. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 240,493 kenderaan diambil tindakan, termasuk 465 kenderaan disita di bawah Seksyen 80 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, kata Ketua Pengarah JPJ Dato’ Aedy Fadly bin Ramli.

    Beliau berkata, pihaknya akan terus komited melaksanakan penguatkuasaan secara berterusan di seluruh negara terhadap kenderaan perdagangan yang melanggar peraturan menerusi operasi berkenaan. Operasi ini, katanya, memberi tumpuan kepada kesalahan lebih muatan, penguatkuasaan teknikal serta pematuhan penggunaan Sistem Had Laju (SLD).

    Aedy berkata, jumlah yang direkodkan pada tahun lalu juga telah meningkat sebanyak 35.5% berbanding tahun 2024 di mana sekitar 829,392 kenderaan diperiksa. Malah jumlah kenderaan yang diambil tindakan juga meningkat sebanyak 47.7% berbanding tahun 2024 (126,974 kenderaan), laporan Berita Harian.

    “Antara kesalahan tertinggi yang direkodkan adalah gagal mematuhi Notis Arahan Pemeriksaan Berkala, tiada Lesen Vokasional, tidak menyelenggara tayar dengan baik, dan tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL),” katanya pada sidang media Operasi Lebih Muatan dikawasan Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil arah utara, malam tadi.

    Tambahnya, pelaksanaan operasi ini turut disokong dengan Audit JISA (JPJ Inspection & Safety Audit) bagi menilai tahap pematuhan keselamatan, integriti operasi serta pengurusan risiko dalam kalangan pengusaha dan pemandu kenderaan perdagangan.

    “JPJ menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap pelanggaran undang-undang, dan tindakan penguatkuasaan di bawah Operasi Lebih Muatan akan terus diperkasa secara berterusan demi keselamatan jalan raya, kesejahteraan orang awam dan kelestarian sistem pengangkutan negara.

    “Jadi saya ingin memberitahu kepada semua rakyat Malaysia dan juga pemilik kenderaan perdagangan bahawa Ops Lebih Muatan ini tidak berhenti pada tahun 2025. Ada yang mengatakan bahawa Ops Lebih Muatan yang dilaksanakan oleh JPJ hanya sehingga 31 Disember 2025, tetapi ingin saya tegaskan sekali lagi pada hari ini, kami mulakan Ops Lebih Muatan pada tahun 2026 ini dan ia akan diteruskan secara berkala, secara bersasar, dan kita tidak akan berhenti pada tahun ini,” katanya.

     
     
  • Toyota TR010 Hybrid 2026 didedahkan – kereta lumba Le Mans Hypercar baru untuk WEC ganti GR010

    Toyota TR010 Hybrid 2026 didedahkan – kereta lumba Le Mans Hypercar baru untuk WEC ganti GR010

    Toyota telahpun mendedahkan kereta lumba baharu yang digelar sebagai TR010 Hybrid Hypercar, iaitu kereta lumba yang dibina berasaskan regulasi FIA Le Mans Hypercar (LMH) yang akan digunakan dalam perlumbaan FIA World Endurance Championship (WEC). Jentera baharu ini akan menggantikan tugas Toyota GR010 Hybrid yang telah digunakan sejak 2021 dan telahpun memenangi perlumbaan LeMans 24 jam pada tahun 2021 dan 2022.

    Tiada sebarang perincian teknikal berkenaan kereta lumba baharu ini disiarkan. Namun yang jelas TR010 ini menampilkan rupa luaran yang berbeza dari GR010, terutamanya pada bahagian muka dan juga sayap belakang. TR010 ini nampak lebih tajam pada bahagian hadapan dengan rekaan lampu yang kini direka melintang berbanding berdiri pada GR010, serta diberikan jalur LED menrentangi bahagian muncung dan bersambung kepada jalur nyalaan siang dalam kluster lampu utama.

    Kereta lumba baharu ini juga diberikan grafik perlumbaan merah-putih sempena memperingati jentera lumba Toyota TS020 (juga dikenali sebagai Toyota GT-One) yang berlumba di Le Mans 24-Jam pada tahun 1998 dan 1999, yang antaranya menampilkan ‘The Drift King’ Keiichi Tsuchiya sebagai pemandu.

    Toyota TR010 Hybrid 2026 didedahkan – kereta lumba Le Mans Hypercar baru untuk WEC ganti GR010

    Toyota akan membariskan pemandu yang sama untuk WEC 2026 di mana trio Mike Conway, Kamui Kobayashi dan Nyck de Vries akan memandu jentera #7, manakala Sébastien Buemi, Brendon Hartley dan Ryo Hirakawa buat tahun kelima berturut-turut mengemudi jentera #8.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Toyota turut mengumumkan bahawa mereka tidak akan bertanding dalam WEC tahun ini di bawah nama Toyota Gazoo Racing, sebaliknya ia kini menggunakan nama Toyota Racing. Namun ia masih dikendalikan oleh pasukan yang sama berpangkalan di pusat pembangunan dan penyelidikan Toyota di Eropah, sebelum ini dikenali dengan nama Toyota Team Europe (TTE), menghasilkan jentera lumba Kejohanan Rali Dunia (WRC) dan juga F1 Toyota.

    Jenama Toyota Gazoo Racing (TGR) juga telah dijenamakan semula sebagai Gazoo Racing (GR) dan akan terus berlumba dalam WRC serta menghasilkan kereta-kereta lumba untuk program perlumbaan pelanggan termasuk jentera GR Yaris Rally2 dan GR Supra GT4, sementara Toyota Racing akan terus membekalkan enjin untuk kereta rali serta GT4 Toyota.

     
     
  • LRT3 Laluan Shah Alam terus alami kelewatan, belum ada tarikh muktamad untuk memulakan operasi

    LRT3 Laluan Shah Alam terus alami kelewatan, belum ada tarikh muktamad untuk memulakan operasi

    LRT3 Laluan Shah Alam masih terus alami kelewatan dan buat setakat ini belum ada tarikh mula yang muktamad untuk pelaksanaan ujian operasi tanpa kerosakan (fault-free run, FFR) yang diwajibkan, laporan The Star.

    “(FFR) masih belum dimulakan kerana masih terdapat beberapa isu yang perlu diselesaikan oleh kontraktor. Setakat ini, masih belum ada tarikh yang ditetapkan,” kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke. Beliau berkata pengendali pengangkutan awam Prasarana dan kontraktor utama projek tersebut dijadualkan untuk bertemu pada minggu hadapan bagi menentukan tindakan seterusnya.

    “Walaupun kami kecewa dengan kelewatan ini, keselamatan mesti diutamakan. Kontraktor perlu bertanggungjawab terhadap situasi ini,”sambungnya lagi.

    Pada bulan lalu, Ketua Operasi Laluan LRT3 Shah Alam, Mohd Ariffin Idris berkata, “Kita mempunyai 22 tren untuk Laluan Shah Alam. Setiap tren perlu menjalani ujian ini dan dipantau oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD). Tiga tren telah mencapai jarak yang ditetapkan, namun ia perlu dinilai semula kerana APAD akan menilai semula kriteria yang telah dilaksanakan.”

    LRT3 Laluan Shah Alam terus alami kelewatan, belum ada tarikh muktamad untuk memulakan operasi

    Pada 10 Disember tahun lalu, Prasarana mengumumkan bahawa projek rel tersebut tidak akan memulakan operasi pada tahun 2025 berikutan keperluan untuk menyelesaikan isu kestabilan sistem dan perisian yang masih dikesan semasa fasa ujian dan pentauliahan.

    Walau mengikut rancangan asal, ia dijadualkan untuk memulakan operasi pada 30 September. Namun projek rel LRT3 Laluan Shah Alam telah diumumkan mengalami kelewatan pada Ogos. Pada bulan November lalu pula, kerajaan menyatakan bahawa laluan rel tersebut berada di landasan yang betul untuk memulakan operasi menjelang tarikh sasaran 31 Disember, namun kemudiannya diumumkan bahawa operasi tidak akan bermula pada waktu tersebut.

    Laluan sepanjang 37 kilometer ini akan mempunyai 25 stesen dari Bandar Utama hingga Johan Setia, dengan stesen pertukaran di Bandar Utama (MRT Kajang) dan Glenmarie (LRT Kelana Jaya).

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026