Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • BMW iX1 eDrive20L M Sport dilancarkan di Malaysia – jarak roda lebih panjang, CBU, anggaran RM255,000

    BMW iX1 eDrive20L M Sport dilancarkan di Malaysia – jarak roda lebih panjang, CBU, anggaran RM255,000

    Selain dari melancarkan i5 CKD, BMW Malaysia hari ini turut melancarkan BMW iX1 eDrive20L M Sport, iaitu iX1 dalam versi jarak roda lebih panjang bagi memberikan ruang kabin belakang lebih besar. Model ini dijual pada harga anggaran RM255,000 dengan waranti standard selama dua tahun. Harga masih pada status ‘anggaran’ ini adalah kerana kerajaan masih belum mengumumkan kadar duti eksais baharu untuk EV CBU yang dijual di Malaysia tahun ini.

    Namun untuk iX1 L ini diimport sepenuhnya dari China (memang sebelum ini model-model dengan jarak roda lebih panjang adalah dibuat khas untuk pasaran China), berbanding iX1 biasa yang diimport sepenuhnya dari Jerman.

    Jadi model ini adalah lebih mahal berbanding dari versi jarak roda standard yang telah pun berada dalam pasaran tempatan sejak April tahun lalu, dijual pada harga RM249,800 (RM264,000 dengan pakej lanjutan waranti dan servis selama lima-tahun) . Ia dihasilkan dengan jarak roda sejauh 2,802 mm, atau 110 mm lebih panjang dari iX1 biasa. Ini menjadikan panjang keseluruhannya adalah 4,616 mm (+116 mm), dan menurut BMW ia memberikan ruang kaki kabin belakang 81 mm lebih besar dan ruang lutut 107 mm lebih besar.

    BMW iX1 eDrive20L M Sport dilancarkan di Malaysia – jarak roda lebih panjang, CBU, anggaran RM255,000

    Selain dari nampak lebih panjang dari bahagian sisi, iX1 eDrive20L ini turut boleh dikenali pada bahagian muka kerana ia diberikan gril tertutup dengan kemasan Shadowline (hitam berkilat) diapit dengan lampu hadapan LED Adaptif juga dengan kemasan M Shadowline. Kemasan Shadowline turut diberikan pada diffuser belakang, skirt sisi, cermin sisi dan rel bumbung.

    Penampilan luaran iX1 eDrive20L pasaran Malaysia ini dilengkapkan dengan set roda yang menampilkan rim aloi M lima jejari berkembar dua-tona 19-inci 871M.

    Unit rangkaian kuasa pada versi jarak roda lebih panjang ini masih sama seperti versi standard. Jadi ia tampil dengan motor elektrik tunggal berkuasa 204 PS dan tork maksima 250 Nm yang memacu roda hadapan, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.6 saat. Namun kelajuan maksimanya dicatatkan 5 km/j lebih laju pada 175 km/j.

    BMW iX1 eDrive20L M Sport dilancarkan di Malaysia – jarak roda lebih panjang, CBU, anggaran RM255,000

    Ia menerima kuasa elektrik dari bateri berkapasiti 66.5 kWj bagi membolehkan ia bergerak sejauh 433 km yang diuji dalam kitaran WLTP – kurang dari versi standard yang mencatatkan 475 km. Bateri berkenaan baleh dicas semula dengan sistem AC 11 kW yang membolehkan bateri dipenuhkan dari 0-100% dalam masa 6 jam 45 minit. Sistem pengecas pantas DC juga boleh digunakan dengan 130 kW membolehkan kuasa dari 10-80% dipenuhkan dalam masa 32 minit, dan jarak perjalanan sejauh 120 km boleh ditambah dengan pengecasan hanya dalam masa 10 minit.

    BMW Malaysia menyatakan bahawa BMW iX1 eDrive20L M Sport ini menerima talaan suspensi baharu yang selesa, namun ia tidak dibekalkan dengan sistem suspensi adaptif seperti yang diterima oleh iX1 standard.

    Pada bahagian kabin, iX1 L ini hadir dengan tempat duduk yang menampilkan busa lebih lembut serta kusyen 15 mm lebih panjang serta dibalut dengan upholsteri Perforated Veganza dalam kemasan Castanea. Papan pemuka model ini menampilkan kemasan aluminium Hexacube, manakala pemandu pula diberikan roda stereng M balutan kulit.

    Ia juga masih diberikan paparan head-up dan BMW Curved Display yang terdiri dari paparan instrumen 10.25-inci dan juga skrin sesentuh 10.7-inci untuk sistem infotainmen yang beroperasi dengan BWM OS 9. Sistem tersebut disambungkan kepada sistem bunyi Harman Kardon 205-watt dengan 12-pembesar suara.

    Perincian lain yang turut diberikan termasuk pintu tailgate belakang bantuan kuasa, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi memori, sistem penghawa dingin dua-zon, pengecas telefon pintar tanpa wayar. Model ini juga datang dengan bumbung kaca panaromik.

    Versi jarak roda panjang ini turut menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) BMW Driving Assistant Plus secara standard. Ia memberikan fungsi termasuk cruise control adaptif dengan ciri Berhenti & Jalan, Bantuan Kawalan Stereng dan Lorong, Info Had Laju dan Amaran Keluar Lorong dengan pengembalian ke lorong.

    BMW iX1 eDrive20L M Sport dilancarkan di Malaysia – jarak roda lebih panjang, CBU, anggaran RM255,000

    Sistem Parking Assistant Plus juga diberikan secara standard memberikan fungsi seperti pemantau sekeliling, Paparan 3D Kawalan Jauh, Perakam Pemanduan BMW dan Bantuan Parkir Profesional dengan Pengesanan Garis dan Tebing.

    Empat warna badan ditawarkan untuk BMW iX1 eDrive20L M Sport pasaran Malaysia, termasuk Mineral White, Brooklyn Grey, Skyscraper Grey dan Carbon Black.

    GALERI: Foto rasmi BMW iX1 eDrive20L M Sport 2026

     
     
  • BMW i5 eDrive40 M Sport Pro 2026 dilancar – EV BMW CKD pertama di M’sia, RM368,800, RM30k lebih murah

    BMW i5 eDrive40 M Sport Pro 2026 dilancar – EV BMW CKD pertama di M’sia, RM368,800, RM30k lebih murah

    Selepas lebih dua tahun berada dalam pasaran, kini BMW i5 eDrive40 M Sport Pro dilancarkan pula di Malaysia dalam versi pemasangan tempatan (CKD) bagi menggantikan versi diimport sepenuhnya (CBU) yang telah pun mula dijual di sini sejak November 2023. Menurut BMW Malaysia, i5 eDrive40 M Sport Pro ini bukan sahaja merupakan model EV pertama BMW yang dipasang di Malaysia, malah yang pertama di rantau Asia Pasifik.

    Model ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM368,800 dengan waranti standard selama dua tahun. Dengan status CKD, model ini masih menerima insentif pengecualian cukai sehingga 31 Disember 2027. Jadi berbanding versi CBU, versi CKD ini adalah sekitar RM30,000 lebih murah, dan ia menerima lebih banyak perincian.

    Seperti sebelum ini, eDrive40 merupakan model asas berbanding varian M60 xDrive yang lebih berkuasa dan masih ditawarkan dalam versi CBU. Jadi ia kekal dipacu hanya oleh satu motor elektrik pada gandar belakang berkuasa 340 PS dan tork maksima 430 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/dalam masa 6 saat dan mencapai kelajuan maksima pada 193 km/j.

    BMW i5 eDrive40 M Sport Pro 2026 dilancar – EV BMW CKD pertama di M’sia, RM368,800, RM30k lebih murah

    Bagi versi 2026 ini, i5 eDrive40 M Sport Pro pasaran Malaysia ini menerima beberapa tingkat taraf unit rangkaian kuasa, antaranya penukar silikon karbida (SiC) yang dipertingkat serta teknologi bateri dan sistem pengurusan haba baharu yang merangkumi sistem pemulihan adaptif dan sistem pam haba pintar yang menguruskan suhu kabin, komponen pemanduan. Semua ini membolehkan bateri dengan kapasiti 83.9 kWj yang dibekalkan memberikan jarak gerak antara 513 hingga 627 km dalam ujian kitaran WLTP.

    Bateri berkenaan boleh dicas semula dengan pengecas AC 22 kW yang membolehkan kuasa dipenuhkan dari 0-100% dalam masa 4 jam 15 minit. Sistem cas pantas DC juga boleh digunakan sehingga 205 kW membolehkan bateri dicas dari 10 hingga 80% hanya dalam hanya 34 minit.

    Perincian mekanikal lain yang turut dibekalkan secara standard untuk i5 eDrive40 M Sport Pro CKD ini termasuk Suspensi Adaptif Profesional, dan juga sistem stereng roda belakang yang membelok sehingga 2.5 darjah, memberikan kestabilan, dan kemudahan pengendalian yang lebih baik.

    Untuk perincian luaran, i5 eDrive40 M Sport Pro 2026 ini diberikan gril hadapan Shadowline Iconic Glow yang kini datang dalam kemasan hitam berkilat hampir sepenuhnya, membezakan rupanya dari versi CBU sebelum ini yang diberikan kerangka gril kemasan perak.

    Gril berkenaan diapit dengan lampu hadapan LED adaptif bersama lampu nyalaan siang yang diposisikan secara menegak. Versi CKD ini juga datang dengan pakej penggayaan M Sport Pro merangkumi spoiler belakang M dalam kemasan hitam berkilat, Shadowline M kemasan berkilat dan juga brek M Sport dengan angkup yang diberikan kemasan biru gelap metalik.

    Pakej M Sport Pro ini juga menyaksikan i5 eDrive40 pasaran Malaysia kembali menerima rim aloi 20-inci (berbanding model kemaskini 2024 yang diberikan rim 19-inci) menerusi set rim M Aerodynamic Wheels 939M dalam kemasan dua tona Black Grey.

    BMW i5 eDrive40 M Sport Pro 2026 dilancar – EV BMW CKD pertama di M’sia, RM368,800, RM30k lebih murah

    Penutup but belakang sedan ini boleh dibuka dan tutup dengan bantuan kuasa untuk akses kepada ruang kargo sebesar 490 liter. Tak cukup? Tempat duduk belakang i5 ini juga boleh dilipat dengan nisbah 40:20:40 bagi memuatkan barang yang lebih panjang.

    Masuk ke kabin, versi CKD ini juga menyaksikan ia kembali menerima bumbung panaromik kaca selepas perincian tersebut disisihkan pada versi kemaskini 2024. Bagi sistem infotainmen, hardware yang ditawarkan masih sama iaitu skrin melengkung BMW Curved Display yang merangkumi skrin sesentuh 14.9-inci dan juga paparan instrumen 12.3-inci.

    Namun ia kini beroperasi menggunakan BMW OS 8.5 dengan QuickSelect, menampilkan peta navigasi yang dioptimakan, BMW Live Cockpit Professional, servis ConnectedDrive, BMW Intelligent Personal Assistant serta Digital Key Plus dengan Ultra Wideband yang dioptimakan keselematannya (UWB), serta kamera dalaman dengan paparan jarak jauh melalui aplikasi
    My BMW.

    BMW i5 eDrive40 M Sport Pro 2026 dilancar – EV BMW CKD pertama di M’sia, RM368,800, RM30k lebih murah

    Ia turut digandingkan dengan sistem bunyi Surround Bowers & Wilkins dengan 18 pembesar suara dan amplifier 655 watt, digabungkan dengan BMW IconicSounds Electric, yang menurut BMW akan “memberikan pengalaman akustik yang mengasyikkan kepada pemandu serta penumpang.”

    Kabin i5 eDrive40 M Sport Pro ini hadir dengan serlahan-serlahan Dark Silver M, digandingkan dengan kemasan-kemasan gentian karbon serta perak berkilat serta upholsteri kulit Merino. Perincian-perincian dalaman lain yang turut dibekalkan termasuk tempat duduk hadapan sport dengan sokongan lumbar kawalan elektrik dengan fungsi memori, sistem penghawa dingin empat zon, tirai matahari jenis gulung serta bar interaksi BMW dengan lampu suasana dinamik.

    Ia juga menerima beberapan perincian dalaman M termasuk roda stereng balutan kulit M, tali pinggang keledar M serta pelapik bumbung antrasit M. Namun untuk versi CKD ini, ia tidak lagi diberikan tempat duduk berliang.

    Untuk keselamatan, BMW i5 eDrive40 M Sport Pro CKD ini datang dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) BMW Driving Assistant Professional, yang merangkumi fungsi seperti Kawalan Jarak dengan fungsi Berhenti & Jalan serta Bantuan Kawalan Stereng dan Lorong Bantuan Had Kelajuan, Perlindungan Pelanggaran Sisi dengan pengembalian aktif, Amaran Keutamaan Jalan dan Amaran Salah Arah, Amaran Lalu Lintas di hadapan dan belakang dengan fungsi brek, fungsi bantuan lorong kecemasan serta bantuan hentian kecemasan.

    Sistem Parking Assistant Plus juga diberikan secara standard yang diberikan fungsi pemantauan permulaan, Kamera Bantuan Undur, Bantuan Undur, Paparan Parkir, Paparan Panorama Hadapan, Fungsi Paparan 3D, Paparan 3D Kawalan Jauh, Perakam Pemanduan BMW dan Perakam Anti-Kecurian.

    BMW i5 eDrive40 M Sport Pro 2026 pasaran Malaysia ini boleh dipilih dalam lima warna badan iaitu Black Sapphire Metallic, Mineral White Metallic, Brooklyn Grey Metallic, Phytonic Blue Metallic dan juga Oxide Grey Metallic.

    GALERI: Foto rasmi BMW i5 eDrive40 M Sport Pro 2026 CKD

     
     
  • Rapid Penang bakal terima dan guna 75 unit bas EV secara berperingkat mulai Mei ini – Loke

    Rapid Penang bakal terima dan guna 75 unit bas EV secara berperingkat mulai Mei ini – Loke

    Bas Rapid Penang enjin diesel

    Prasarana Malaysia Bhd menerusi anak syarikat Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) bakal menggantikan bas lama Rapid Penang dengan bas elektrik (EV) secara berperingkat bermula tahun ini.

    Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke, sebanyak 250 bas elektrik akan diperoleh secara berperingkat dalam tempoh setahun mulai Mac ini. Ia melibatkan 75 bas dijangka tiba dan beroperasi secara berperingkat bermula Mei ini untuk Rapid Penang, manakala pembelian 175 unit lagi untuk Rapid KL, laporan Bernama.

    “Bagi memastikan operasi bas EV dapat dijalankan, kerajaan melalui Prasarana sedang melaksanakan pembangunan infrastruktur pengecasan di depoh Rapid Penang yang telah pun bermula,” katanya sewaktu meninjau operasi bas diesel Rapid Penang di Pulau Pinang baru-baru ini.

    Tambah Loke, langkah itu selari dengan hala tuju baharu Prasarana yang memberi tumpuan kepada penggunaan bas mesra alam bagi mengurangkan pelepasan karbon dan meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam. Dalam masa yang sama, beliau yakin pengenalan bas elektrik akan menjadi pengubah keadaan kepada sistem pengangkutan awam di negeri itu dan seterusnya menyokong hasrat kerajaan negeri menjadikan Pulau Pinang negeri lebih mesra alam.

    Berkenaan dengan bas diesel yang masih digunakan, Loke berkata Rapid Penang akan menerima baki 60 daripada 70 bas diesel bersaiz 8.9 meter secara berperingkat menjelang akhir Februari sekali gus melengkapkan sebahagian daripada 175 bas diesel kumpulan akhir daripada 310 bas diesel diperoleh Rapid Bus sejak Julai 2025 untuk pengoperasian di Lembah Klang dan Pulau Pinang.

    Untuk Rapid Penang On-Demand, perkhidmatan ini menerima sambutan menggalakkan dengan 50 buah van kini beroperasi di Pulau Pinang. Susulan permintaan kerajaan negeri, Prasarana bercadang menambah 170 van bagi memperluas perkhidmatan itu, dengan proses perolehan dijangka bermula pada pertengahan kedua tahun ini.

     
     
  • JPJ eBid: BSS dan QRX bakal dibuka untuk bidaan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan bahawa siri nombor pendaftaran terkini dari Selangor dan Sarawak bakal dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri nombor pendaftaran terkini dari Selangor, BSS, yang boleh dibida bermula 19 Januari. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 23 Januari. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 24 Januari 2026. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau sebaliknya) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Sarawak, QRX, bakal dibuka bidaan mulai 22 Januari. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 26 Januari, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 27 Januari 2026.

    Jadi, sekarang ini anda boleh menjimatkan masa dan wang ringgit dengan membida sendiri nombor pendaftaran yang anda hajati tanpa perlu menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner). Tak susah pun untuk membidanya dan anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk tujuan bidaan ini.

     
     
  • Mugen Honda Prelude Spec III 2026 didedah di Jepun – hanya 16 unit, kit aero karbon, sistem ekzos sport

    Mugen Honda Prelude Spec III 2026 didedah di Jepun – hanya 16 unit, kit aero karbon, sistem ekzos sport

    Honda Prelude generasi ke-enam sudahpun dilancarkan di Jepun pada September tahun lalu. Jadi ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon (TAS) 2026, penala prestasi Honda iaitu Mugen tampil dengan versi khas coupe hibrid berkenaan dikenali dengan nama Mugen Prelude Spec III.

    Menurut Mugen, Prelude Spec III ini merupakan penerus bagi Mugen Prelude Spec II yang dihasilkan pada tahun 1987 berasaskan Honda Prelude generasi ketiga. Pelbagai peralatan asli Mugen diberikan pada Prelude ini bagi mewujudkan sebuah kereta lengkap dan boleh digelar sebagai Mugen Prelude Spec III asli.

    Pada sebelah luar, ia hadir dengan spoiler bawah bampar hadapan, spoiler bawah skirt sisi, diffuser dan juga spoiler bawah bampar belakang, spoiler pada penutup but dan juga penutup cermin sisi, di mana semua komponen ini dibuat menggunakan gentian karbon asli. Selain itu ia juga badan Mugen Prelude Spec III ini diberikan pelekat sisi badan dengan grafik rasmi Mugen.

    Manakala untuk prestasi, Mugen Prelude Spec III ini diberikan sistem ekzos sport yang yang diperbuat dari logam tahan karat. Dengan sistem ekzos ini Mugen mendakwa bahawa ia akan memberikan bunyi ekzos yang lebih sporty lebih-lebih lagi ketika pemandu menukar ‘gear palsu’ yang disediakan pada mod S+ Shift.

    Mugen Honda Prelude Spec III 2026 didedah di Jepun – hanya 16 unit, kit aero karbon, sistem ekzos sport

    Mugen Prelude Spec III ini hanya akan dihasilkan sebanyak 16 unit, dan nombor setiap unit akan dicetak pada plat khas yang ditampal pada bahagian tengah papan pemuka. Untuk memiliki Mugen Prelude Spec ini, anda sebenarnya perlu membeli dahulu Honda Prelude 2026 menerusi pengedar Honda dan kemudian menghantarnya ke Mugen untuk disiapkan.

    Kos untuk sebuah Mugen Prelude Spec III yang lengkap adalah 1,650,000 yen (sekitar RM42k), di mana ia tidak termasuk kos kereta itu sendiri. Duit sahaja bukan penentu untuk anda dapat sebuah Mugen Prelude Spec III ini kerana Mugen akan membuat cabutan loteri untuk menentukan siapa yang layak untuk mendapatkannya.

    Unit pra-produksi (nombor siri 0/16) yang dipamerkan di TAS 2026 ini juga menerima beberapa tambahan peralatan Mugen yang lain seperti rim aluminium 19-inci Mugen FR10, set pad brek Mugen, perumah nombor pendaftaran karbon Mugen, karpet kaki dan pelapik ruang but Mugen dan kemasan bendul bernyala LED Mugen yang boleh dibeli berasingan.

    Manakala tempat duduk Recaro dengan sulaman logo Mugen dan juga roda stereng balutan kulit dengan logo Mugen diberikan pada unit pra-produksi ini juga mungkin masih dalam versi prototaip, kerana ia belum disenaraikan di laman web Mugen untuk dijual.

    Prelude ini sebenarnya berkongsi platform yang sama dengan Honda Civic ke-11, di mana unit rangkaian kuasanya diambil dari Honda Civic Hybrid, manakala suspensi pula disadur dari Civic Type R tetapi semuanya diberikan talaan khas untuk coupe ini.

    Mugen Honda Prelude Spec III 2026 didedah di Jepun – hanya 16 unit, kit aero karbon, sistem ekzos sport

    Jadi Prelude menerima unit rangkaian kuasa e:HEV yang menampilkan enjin 2.0 liter empat silinder kitaran Atkinson yang menjana 141 hp dan juga tork 181 Nm, digandingkan bersama dua motor elektrik yang menghasilkan 181 hp dan tork maksima 315 Nm. Menurut Honda, secara keseluruhan Prelude ini dibekalkan dengan kuasa sebanyak 200 hp dan tork maksima 315 Nm.

    Enjin petrol pada Prelude ini pada kebanyakkan masa hanya akan berfungsi untuk mengecas bateri hibrid, manakala setiap kali mula bergerak roda hadapan akan dipacu oleh motor elektrik membolehkan tork 315 Nm berkenaan diberikan dari 0 rpm. Namun pada situasi tertentu seperti pada kelajuan tinggi, enjin akan dihubungkan kepada motor elektrik untuk bersama-sama memacu roda menerusi klac lock-up yang dibekalkan.

    Pada Civic Hybrid, unit rangkaian kuasa e:HEV sudahpun diberikan bunyi enjin dan tukaran gear palsu bagi mengelakkan rasa janggal pada pemandu ketika memandu kereta tersebut. Namun untuk Prelude, bunyi berkenaan ditambah baik dengan Active Sound Control (ASC), malah dengan mod Honda S+ Shift, pemandu turut boleh ‘menukar gear’ palsu tersebut secara manual menerusi pedal penukar gear aluminium yang dipadankan pada roda stereng.

    Mod berkenaan akan memberikan lapan nisbah gear palsu, dan akan turut memberikan rasa ‘shift shock’ seperti kotak gear sebenar setiap kali gear ditukar. Menurut Honda, rasa dan kepantasan tukaran gear palsu pada Prelude ini diberikan rasa seperti tukaran kotak gear DCT Honda NSX generasi kedua. Sistem ini juga akan memberikan bunyi throttle blip setiap kali gear palsu berkenaan diturunkan secara manual.

    Mugen Honda Prelude Spec III 2026 didedah di Jepun – hanya 16 unit, kit aero karbon, sistem ekzos sport

    Untuk casis, Prelude diberikan konfigurasi suspensi hadapan topang dua paksi yang sama seperti Honda Civic Type R dan juga Acura Integra Type S, membolehkan torque steer yang lazimnya terjadi pada kereta pacuan hadapan ketika memecut dilenyapkan sepenuhnya.

    Prelude juga diberikan penyerap hentak adaptif yang sama seperti Civic Type R/Integra Type S namun diberikan talaan yang lebih tersendiri iaitu keselesaan untuk perjalanan jarak jauh seperti sebuah grand touring sebenar, dalam masa yang sama turut memberikan karekter pengendalian yang sporty. Malah jarak trek roda hadapan dan belakang Prelude ini juga dibuat sama lebar seperti Civic Type R (1,626 mm depan/1,613 mm belakang) bagi memberikan kestabilan serta cengkaman roda ketika mengambil selekoh yang lebih baik.

    Turut membantu kestabilan dan cengkaman Prelude ini termasuk pemandanan set roda yang menampilkan rim 19-inci yang dibalut dengan tayar 235/40R19. Dapat dilihat di sebalik roda tersebut adalah angkup brek empat omboh Brembo di hadapan dalam kemasan biru serta angkup belakang yang lebih kecil juga berwarna biru, yang sebenarnya juga merupakan sistem yang sama digunakan pada hot-hatch Honda Civic Type R.

    Honda Prelude generasi ke-enam ini berkemungkinan turut akan dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi. Ini kerana dalam video meraikan ulangtahun ke-25 tahun lalu, Honda Malaysia turut menyelitkan teaser kehadiran model ini pada 2026.

     
     
  • Harga minyak 15-21 Jan – Semua turun; RON97 kini RM3.08, RON95 jadi RM2.52, diesel pada RM2.84

    Harga minyak 15-21 Jan – Semua turun; RON97 kini RM3.08, RON95 jadi RM2.52, diesel pada RM2.84

    Bagi minggu bertarikh 15 hingga 21 Januari 2026, Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan bahawa harga runcit petrol RON 97 diturunkan sebanyak tiga sen seliter menjadi RM3.08 seliter.

    Untuk petrol RON 95 tanpa subsidi, ia pula diturunkan sebanyak dua sen seliter menjadi RM2.52 seliter. Walau bagaimana pun harga runcit petrol bersubsidi RON95 di bawah Budi95 masih kekal pada RM1.99 seliter.

    Begitu juga dengan harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia turut diturunkan sebanyak lima sen seliter menjadi RM2.84 seliter. Manakala harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.

    Pada 7 Januari lalu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican berkata kerajaan tidak akan melaksanakan penyasaran bagi subsidi petrol RON95 berdasarkan kelas pendapatan buat masa ini. Ini termasuklah mengurangkan kuota subsidi Budi95 untuk mengelakkan bebanan tambahan kepada isi rumah, terutamanya mereka yang tinggal jauh dari tempat kerja.

     
     
  • Modenas Z15 GT – panggilan balik hanya libatkan 1,000 buah keluaran awal, tukar rantai pemasa

    Modenas Z15 GT – panggilan balik hanya libatkan 1,000 buah keluaran awal, tukar rantai pemasa

    Model yang digelar sebagai “supermoped” keluaran Modenas, iaitu Z15GT dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada bulan Oktober tahun lepas, dan selepas beberapa bulan, kini tersebar dalam media sosial bahawa pengeluar tempatan itu telah memanggil balik unit tertentu untuk “pemeriksaan susulan.”

    Berdasarkan gambar surat rasmi yang dimuat naik kita boleh mengetahui ini adalah satu panggilan balik (atau recall) untuk motosikal tersebut, dan disebabkan tiada pengumuman awam melalui saluran rasmi, kami bertanya sendiri kepada Modenas semasa satu acara lawatan ke kilang mereka di Gurun, Kedah.

    Jawapannya ya, memang panggilan balik dibuat selepas ada pengguna yang memberi maklum balas terdapat bunyi abnormal di bahagian enjin. Bahagian yang didapati bermasalah adalah rantai pemasa (timing chain), dan ia akan ditukar secara percuma apabila pemilik (unit yang terlibat) membawa motosikal ke pusat servis.

    Modenas Z15 GT – panggilan balik hanya libatkan 1,000 buah keluaran awal, tukar rantai pemasa

    Namun, panggilan balik ini dibuat hanya untuk enjin bernombor MA150HEL00101 hingga MA150HEL01100, keseluruhannya berjumlah 1,000 unit. Daripada maklumat yang kami terima, unit yang bermasalah sebenarnya cuma ada 19, tetapi ia berada di antara 1,000 unit tersebut. Jadi, semua 1,000 unit akan diperiksa.

    Modenas sudah menghantar surat panggilan balik ini kepada pemilik yang terlibat dan setakat ini 219 buah motosikal yang terlibat sudah menjalani pemeriksaan. Untuk mengetahui nombor enjin Z15GT, pemilik boleh sama ada melihat kepada sijil pemilikan kenderaan (geran) atau lihat di bahagian kiri enjin.

    Pujian juga boleh diberi kepada Modenas kerana mengambil langkah proaktif bagi mengatasi masalah ini dan berhadapan dengan pemilik. Ini dibuat bagi menjaga kepuasan dan kepercayaan pelanggan, serta menyokong pengalaman pemilikan yang lebih yakin.

    GALERI: Modenas Z15GT

     
     
  • Perodua beli RM11 bilion komponen dari vendor di Malaysia pada 2025, terus perkasa pembekal tempatan

    Perodua beli RM11 bilion komponen dari vendor di Malaysia pada 2025, terus perkasa pembekal tempatan

    Menerusi pengumuman prestasi 2025 yang diumumkan oleh Perodua semalam, pembuat automotif dari Rawang berkenaan turut memberitahu bahawa ia telah membeli komponen bernilai RM11 bilion dari vendor-vendor pembekalnya yang berada di Malaysia, secara tidak langsung memperkasakan syarikat-syarikat tempatan.

    Perodua telah menghasilkan sebanyak 370,370 unit kenderaan menerusi kilangnya di Sg Choh, naik 0.6% berbanding 368,100 unit kenderaan yang dihasilkan pada 2024. Angka pembelian sebanyak RM11 bilion yang diumumkan tersebut dapat diperolehi dengan kebanyakkan model Perodua mempunyai sekitar 95% kandungan tempatan. Sebagai perbandingan, satu lagi jenama automotif tempatan iaitu Proton merekodkan pembelian komponen automotif bernilai RM3.2 bilion dari vendor-vendor tempatan.

    “Dengan adanya sokongan kuat daripada rakyat Malaysia, keseluruhan ekosistem automotif di negara ini akan mendapat manfaat yang besar menerusi pembelian komponen bernilai RM11 bilion daripada vendor tempatan dan dalam masa yang sama memperkasakan usahawan tempatan seperti pengedar bertauliah dan stokis Perodua,” kata CEO dan presiden Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad.

    “Kami akan terus memainkan peranan sebagai pembina negara dengan terus mengembangkan perniagaan di sini, terutama sekali dalam industri kenderaan elektrik serta tawaran digital lain.

    “Kami juga akan terus mengukuhkan kerjasama yang telah dimeterai, dan dalam masa yang sama mencari kerjasama baharu yang boleh memberi manfaat kepada industri tempatan dan negara,” tambahnya.

    Apa yang disebut oleh Zainal diakui oleh Presiden Persatuan Pembekal Perodua Tuan Haji Musa Zahidin Ahmad Zaidi di mana peningkatan dalam pengeluaran dan pembelian komponen alat ganti mempunyai impak yang mendalam terhadap ahlinya.

    “Pembelian tambahan dan komitmen berterusan dari Perodua telah membolehkan kami untuk terus melabur untuk operasi kami di masa hadapan. Ini bermakna, kami boleh mengembangkan tenaga kerja, menambahbaik perniagaan dan untuk sesetengah ahli kami, mengembangkan perniagaan ke luar negara,” kata Musa.

    “Perodua telah memainkan peranan penting dalam membina rangkaian pengedaran yang kukuh dan dengan jumlah jualan yang terus meningkat, kami dapat terus mengembangkan perniagaan walaupun berhadapan dengan persaingan daripada jenama jenama baharu,” kata Presiden Persatuan Pengedar Perodua, Cik Rabitah Shamsudin pula.

    “Bagi kami, Perodua mewakili jenama yang menjuarai operasi perniagaan tempatan dan berkongsi kejayaan industri dengan semua rakyat Malaysia – dan kami amat berterima kasih untuk itu,” tambah Rabitah.

     
     
  • Xpeng G6 RWD Standard Range kini di Malaysia – harga RM159,948, kuasa 252 PS, 440 Nm, 480 km WLTP

    Xpeng G6 RWD Standard Range kini di Malaysia – harga RM159,948, kuasa 252 PS, 440 Nm, 480 km WLTP

    Xpeng G6 versi facelift kini ditawarkan dengan satu varian baru yang lebih mampu milik menerusi pelancaran RWD Standard Range. Varian ini melengkapkan barisan sedia ada yang terdiri daripada RWD Long Range Pro, AWD Performance dan AWD Black Edition, yang mula dipasarkan di Malaysia pada Oktober tahun lalu.

    Dijual pada harga RM159,948 atas jalan tanpa insurans, RWD Standard Range menjadi varian paling murah dalam keluarga G6 facelift. Harganya lebih rendah sebanyak RM20,065 berbanding RWD Long Range Pro yang kini berharga RM180,013. Jika dibandingkan dengan AWD Performance, perbezaannya mencecah RM31,575, manakala AWD Black Edition kekal sebagai varian termahal dengan harga RM195,523.

    Seiring dengan statusnya sebagai varian asas, RWD Standard Range hadir dengan beberapa kekurangan dari segi spesifikasi. Motor elektrik belakangnya menghasilkan kuasa 252 PS, lebih rendah berbanding 296 PS pada RWD Long Range Pro, namun kedua-duanya berkongsi jumlah tork yang sama iaitu 440 Nm. Melihat kepada bateri, varian ini menggunakan pek lithium iron phosphate seperti varian lain, tetapi dengan kapasiti lebih kecil iaitu 68.5 kWh berbanding 80.8 kWh.

    Gabungan kuasa dan bateri yang lebih kecil ini menyaksikan RWD Standard Range mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 6.94 saat dengan kelajuan maksimum 202 km/j, serta jarak pemanduan sehingga 480 km mengikut piawaian WLTP. Sebagai perbandingan, RWD Long Range Pro mencatat masa pecutan 6.7 saat dan menawarkan jarak sehingga 525 km dengan kelajuan maksimum yang sama.

    Sebagai rujukan, Xpeng G6 versi sebelum facelift yang diperkenalkan pada Ogos 2024 turut mempunyai varian Standard Range dengan bateri 66 kWh dan jarak sehingga 435 km. Varian baru ini menawarkan jarak pemanduan lebih jauh, namun sedikit ketinggalan dari aspek kuasa kerana model lama menghasilkan 259 PS, meskipun tork kekal sama.

    Untuk pengecasan, RWD Standard Range menyokong pengecasan pantas DC sehingga 382 kW, membolehkan bateri dicas dari 10 hingga 80 peratus dalam masa sekitar 12 minit. Pengecasan AC pula disokong sehingga 11 kW, dengan masa pengecasan penuh dari 5 hingga 100 peratus mengambil kira-kira 7.3 jam.

    Xpeng G6 RWD Standard Range kini di Malaysia – harga RM159,948, kuasa 252 PS, 440 Nm, 480 km WLTP

    Dari sudut kelengkapan, RWD Standard Range tidak setara sepenuhnya dengan varian yang lebih mahal. Antara ciri yang digugurkan termasuk fungsi urutan pada tempat duduk hadapan, kemasan kulit Nappa dengan balutan suede pada tiang kabin serta penggunaan rim aloi lebih kecil bersaiz 18 inci berbanding 20 inci pada varian lain.

    Walaupun begitu, kelengkapan standardnya masih menyeluruh dengan kehadiran lampu utama LED, bumbung panoramik dengan pelindung matahari, paparan instrumen digital 10.25 inci, skrin infotainmen 15.6 inci, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, akses pintar melalui kad NFC dan aplikasi, pembantu suara digital, pengecas tanpa wayar berkembar 50 watt dengan pengudaraan serta lampu suasana 256 warna.

    Ia turut dilengkapi sistem pendingin hawa dua zon, tempat duduk hadapan larasan elektrik dengan fungsi pemanas dan pengudaraan, tujuh beg udara, sistem pemantauan tekanan tayar, ISOFIX belakang, cermin pandang belakang digital serta sistem audio sekeliling XOpera 16 pembesar suara. Pakej bantuan pemandu XPilot juga disertakan secara standard, tetapi tanpa ciri seperti pertukaran lorong automatik, perakam pemanduan dan pemantauan pemandu.

    Pilihan warna luar kekal sama seperti varian lain, terdiri daripada Arctic White, Graphite Gray, Midnight Black, Silver Frost dan Stellar Purple yang menggantikan Fiery Orange. Kesemua warna ini ditawarkan tanpa bayaran tambahan, begitu juga dengan pilihan tema dalaman Dark Gray dan Light Gray.

    Setiap pembelian Xpeng G6 disertakan dengan jaminan pengeluar selama lima tahun atau 120,000 km, manakala bateri dilindungi selama lapan tahun atau 160,000 km. Bermaz Xpeng turut menawarkan pakej penyelenggaraan percuma selama lima tahun atau 100,000 km. Bagi pembeli yang memerlukan pengecas AC di rumah, unit 7 kW ditawarkan pada harga RM4,300 dan sistem 11 kW pada RM5,000, termasuk pemasangan.

     
     
  • Mercedes-Benz CLA 250+ 2026 ditunjuk di M’sia — EV C174, jarak 792 km, pengecasan 320 kW, RM296k

    Mercedes-Benz CLA 250+ 2026 ditunjuk di M’sia — EV C174, jarak 792 km, pengecasan 320 kW, RM296k

    Mercedes-Benz Malaysia hari ini mempertontonkan buat pertama kali model Mercedes-Benz CLA serba baru, yang akan dipamerkan dari 15-18 Januari 2026 di Stars@Mercedes-Benz Bangsar. Model yang ditunjukkan ini ialah Mercedes-Benz CLA 250+ dengan EQ Technology, yang turut mula dibuka untuk tempahan di Malaysia dengan harga anggaran RM295,888 (termasuk 10% cukai jualan) untuk Semenanjung Malaysia — harga atas jalan belum termasuk insuran.

    Ini merupakan model CLA generasi ketiga dengan kod C178 yang mula diperkenalkan di pasaran global pada Mac 2025. Ia merupakan penawaran EV pertama bagi CLA, dan menggunakan sistem 800-volt yang membolehkan pengecasan pantas dengan kapasiti sehingga 320 kW — dalam tempoh 10 minit pengecasan, jarak yang boleh dicapai ialah 325 km. Ia mampu memberikan kadar penggunaan tenaga serendah 12.2 kWh dengan jarak perjalanan sehingga 792 km mengikut kitaran WLTP untuk satu cas penuh.

    Mercedes-Benz CLA 250+ 2026 ditunjuk di M’sia — EV C174, jarak 792 km, pengecasan 320 kW, RM296k

    Untuk bateri, CLA250+, ia dilengkapi bateri nickel manganese cobalt (NMC) 85 kWh dan sebuah motor di belakang yang menghasilkan sebanyak 272 PS (200 kW) dan 335 Nm tork. Ini membolehkan CLA EV ini mencapai pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.7 saat dan laju maksimum 210 km/j.

    Mercedes-Benz CLA serba baru ini juga menampilkan Mercedes-Benz Operating System (MB.OS) generasi baru yang lebih pintar. Sistem dengan bantuan AI ini membolehkannya dilengkapi dengan supercomputer yang disambungkan ke Mercedes-Benz Intelligent Cloud — yang membolehkan kemaskini over-the-air (OTA) untuk fungsi-fungsi penting kenderaan, termasuk sistem bantuan pemanduan untuk kali pertama — CLA ini akan sentiasa berada dalam kemaskini terkini.

    Dengan MBUX Virtual Assistant, kereta ini datang dengan ciri ChatGPT4o dan pencarian dengan Microsoft Bing, serta Google Gemini akan bertindak sebagai pembantu maya

    Dari segi dimensi ukuran, CLA serba baru ini mempunyai ukuran 4,723 mm panjang, 1,855 mm lebar, 1,468 mm dan tinggi dengan jarak roda 2,790 mm. Ini adalah 35 mm lebih panjang, 25 mm lebih lebar dan 29 mm lebih tinggi dan jarak roda 61 mm lebih panjang berbanding model C118 generasi kedua. Dan, oleh kerana ia EV, ruang barangan di belakang juga 55 liter lebih kecil, menjadi 405 liter — yang diganti dengan ruang barangan di depan seluas 101 liter.

    Mercedes-Benz CLA 250+ 2026 ditunjuk di M’sia — EV C174, jarak 792 km, pengecasan 320 kW, RM296k

    Dari segi penampilan, CLA serba baru ini tampilkan imej sporty dan bertenaga dengan bahagian depan yang lebih panjang dan lengkuk roda yang lebih besar. Rekaan gril bentuk A dan wajah depannya khusus untuk EV: dengan panel 142 bintang LED krom yang bercahaya, yang pertama seumpamanya diberikan untuk model keluaran Mercedes-Benz setakat ini.

    Ia juga lengkap dengan bumbung panoramik yang luas, diperbuat daripada satu kaca besar tanpa pembahagi di tengah — menjadikan bahagian kaca cerminnya seolah bersambung dari bahagian depan ke belakang dalam satu unit, dan memberikan penglihatan yang luas kepada penumpang di dalam kabin.

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) masih menunggu kadar duti akhir yang sebetulnya untuk EV CBU bermula tahun ini, dan harga yang dinyatakan itu mungkin akan berubah selepas mendapat kemaskini daripada kerajaan. Pelancarannya dijangka akan dilakukan pada suku kedua 2026.

    Pratonton Mercedes-Benz CLA 250+ 2026 AMG Line EV di Malaysia

    Gambar rasmi

     
     
  • Pemandu VW Jetta dengan nombor pendaftaran Singapura yang diubah untuk isi RON95 didenda RM9k

    Pemandu VW Jetta dengan nombor pendaftaran Singapura yang diubah untuk isi RON95 didenda RM9k

    Pemandu Volkswagen Jetta dengan nombor pendaftaran Singapura yang diubah untuk mengisi bahan api RON 95 di Johor – di mana videonya tular awal bulan ini – telah pun dikenakan tindakan apabila Mahkamah Majistret Kulai menjatuhkan hukuman denda RM9,000 terhadapnya pagi tadi, lapor Berita Harian.

    Orang Kena Saman (OKS), Long Sa Kow, 64 yang merupakan pemegang status penduduk tetap (PR) Singapura, dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret R Salini.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, Long didakwa sebagai pemandu Volkswagen Jetta berwarna perak bernombor pendaftaran SLJ 8967 M didakwa mempamerkan nombor pendaftaran yang bukan milik kenderaan itu. Perbuatan itu dilakukan di sebuah stesen minyak di Batu 21/4, Jalan Johor Bahru – Ayer Hitam, kira-kira jam 10.30 malam, 2 Januari lalu itu.

    Oleh itu dia didakwa mengikut Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Walau bagaimanapun Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Sharmaine Fairuz Mohd Zulkifli yang mewakili Long memohon hukuman denda yang minimum memandangkan dia seorang pesara dan tidak mempunyai pendapatan tetap, namun Timbalan Pendakwa Raya, S Thiviya pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan dan pengajaran.

    Mahkamah kemudiannya menurunkan denda kepada hanya RM9,000 dan turut memerintahkan Long untuk dipenjara sembilan bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

    Kes ini dikesan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menerusi satu video yang tular di Facebook pada 4 Januari lalu, memaparkan sebuah Volkswagen Jetta berwarna perak bernombor pendaftaran LJ 8967 sedang mengisi RON95 di sebuah stesen minyak di Kulai.

    Hasil siasatan mendapati, Long sebagai pemandu kenderaan yang sepatutnya bernombor pendaftaran SLJ 8967 M menutup huruf S dan M pada nombor pendaftaran itu bagi mengisi minyak subsidi RON95, dan ia diakui benar oleh Long sendiri.

     
     
  • Honda akan guna ‘Logo H’ baharu yang nampak retro, akan digunakan bermula siri EV 0 Series pada 2027

    Honda akan guna ‘Logo H’ baharu yang nampak retro, akan digunakan bermula siri EV 0 Series pada 2027

    Honda telah mendedahkan ‘logo H’ baharu yang akan digunakan oleh jenama itu menerusi model-model kenderaan elektrik (EV) generasi seterusnya dan juga hibrid, bermula dengan model-model 0 Series pada 2027. Logo ini juga akan digunakan pada imej korporat Honda di jaringan pengedar, inisiatif komunikasi dan juga sukan permotoran.

    Logo H baharu yang akan digunakan ini adalah lebih ringkas dan nampak retro, di mana bentuk ‘H’ nampak lebih mirip kepada logo H pertama yang digunakan Honda pada tahun 1963.

    “Ekspresi reka bentuk baharu, seperti dua tangan yang dihulurkan, mewakili komitmen Honda untuk meningkatkan kemungkinan mobiliti dan memenuhi keperluan pelanggan perniagaan automobil Honda dengan ikhlas,” kata syarikat itu dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Honda akan guna ‘Logo H’ baharu yang nampak retro, akan digunakan bermula siri EV 0 Series pada 2027

    Tahun lalu Honda Malaysia ada mengumumkan bahawa ia akan melancarkan tiga EV menjelang 2027, tidak termasuk e:N1 yang telah dilancarkan di sini tahun lalu. Jadi ada kemungkinan besar model-model 0 Series ini adalah salah salah satu model yang dirancang untuk di bawa masuk ke Malaysia.

    Pada Mei 2024, Honda telah mengumumkan bahawa tujuh model 0 Series akan dilancarkan ke seluruh dunia, dan ia akan meliputi model-model sedan, SUV bersaiz sederhana, SUV entry-level, SUV besar tiga baris tempat duduk, SUV kompak, SUV bersaiz kecil dan juga satu lagi sedan kompak.

     
     
  • Teksi air Pulau Pinang tidak boleh direalisasikan ekoran aspek teknikal dan keselamatan – Loke

    Teksi air Pulau Pinang tidak boleh direalisasikan ekoran aspek teknikal dan keselamatan – Loke

    Rancangan untuk melaksanakan perkhidmatan teksi air di Pulau Pinang masih belum dapat direalisasikan berikutan aspek teknikal dan keselamatan yang perlu diatasi, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

    Beliau berkata, walaupun sektor swasta telah menunjukkan minat terhadap perancangan untuk perkhidmatan teksi air tersebut, sebarang bentuk pengangkutan laut perlu melalui proses permohonan dan kelulusan yang ketat, melibatkan Kementerian Pengangkutan (MoT) dan Jabatan Laut Malaysia (MMD).

    “Walau apa jua mod pengangkutan, khususnya yang melibatkan laut, aspek keselamatan mesti diambil kira. Pertama, jabatan khusus seperti Jabatan Laut Malaysia, dan kedua, kelulusan teknikal daripada Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang sekiranya memasuki perairannya.

    “Perkhidmatan teksi air bukan sahaja melibatkan bot, tetapi juga jeti, maka perlu ada lokasi pendaratan di bawah bidang kuasa Jabatan Laut Malaysia, di mana aspek keselamatan dikawal selia dengan kerjasama kerajaan negeri kerana ia melibatkan tanah dan lain-lain perkara,” jelas Loke seperti dilaporkan Bernama.

    Bagaimanapun, Ahli Parlimen Seremban itu berkata kerajaan mengalu-alukan sebarang inisiatif daripada sektor swasta untuk melabur dan menubuhkan perkhidmatan teksi air di Pulau Pinang, selagi semua keperluan pelesenan dan keselamatan dipenuhi. Sebelum ini, Majlis Bandaraya Pulau Pinang bersetuju untuk membatalkan permintaan cadangan (request for proposal atau RFP) bagi perkhidmatan teksi air selepas syarikat terlibat gagal memenuhi surat niatnya untuk mendapatkan semua kelulusan yang diperlukan daripada Kementerian Pengangkutan.

     
     
  • Proton janjikan kereta ganti, servis percuma untuk bagi pembaikan lebih 3 hari untuk Saga MC3, X70 2026

    Proton janjikan kereta ganti, servis percuma untuk bagi pembaikan lebih 3 hari untuk Saga MC3, X70 2026

    Ketika pelancaran Proton X70 baharu minggu lalu, pengarah servis selepas jualan Proton Wan Hazran Wan Mustafa mengumumkan tiga komitmen baharu divisi yang dipimpin beliau berkenaan, di mana ia akan mengurangkan masa di pusat servis bagi meningkatkan kepercayaan pengguna terhadap SUV yang dikemaskini tersebut serta enjin baharu yang diberikan.

    Pertama, bagi X70 2026 yang datang ke pusat servis bagi melakukan servis asas seperti servis untuk perbatuan 10,000 km, 20,000 km atau 30,000 km, ia akan dilorongkan ke perkhidmatan “servis pantas”. Ini adalah untuk pelanggan yang telahpun membuat temujanji sebelum datang, dan memilih menunggu di pusat servis sehingga keretanya siap. Namun Wan Hazran tidak menyebut masa sebenar untuk melengkapkan servis tersebut.

    Untuk servis yang lebih rumit seperti servis bagi perbatuan 40,000 km, 60,000 km atau 80,000 km, Proton menjanjikan bahawa kerja-kerja tersebut akan siap dalam 24Jam, tidak kira untuk pelanggan yang telah membuat temu janji atau datang secara walk-in.

    Proton janjikan kereta ganti, servis percuma untuk bagi pembaikan lebih 3 hari untuk Saga MC3, X70 2026

    Manakala untuk kerja-kerja yang memerlukan kereta berkenaan ditinggalkan melebihi tiga hari, Proton akan menyediakan kereta gantian untuk pelanggan gunakan sebagai pengangkutan harian, dan pelanggan turut akan menerima satu servis percuma untuk kunjungan servis berkala akan datang. Kami turut diberitahu bahawa komitmen yang sama turut akan diberikan kepada pemilik Proton Saga MC3 kerana kedua-dua model ini baru sahaja menerima enjin baharu 1.5 liter empat silinder yang dikenali sebagai “i-GT”.

    Enjin berkenaan pertama kali diperkenalkan Proton menerusi versi facelift X50 yang dilancarkan pada Julai tahun lalu. Enjin ini bakal diselaraskan penggunaannya untuk semua model Proton selepas ini bagi menggantikan barisan enjin Campro dan juga enjin GEP 1.5 liter tiga-silinder sedia ada.

    Ini kerana enjin dari keluarga BHE15 tersebut direka modular dan boleh digunakan dalam pelbagai model, dari versi mampu milik dengan ambilan udara semulajadi (NA) seperti pada Saga MC3, versi dengan prestasi lebih baik yang disuap pengecas turbo seperti X50 dan X70, malah ia juga boleh dipadankan dengan sistem plug-in hybrid (PHEV) dan bakal tampil pada Proton eMas 7 PHEV yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

    Selain dari keberkesanan suhu lebih baik, penggunaan bahan api lebih jimat dan penghasilan kuasa lebih besar, enjin ini juga dilengkapi komponen lebih moden seperti penggunaan pam air elektrik serta menggunakan sistem timing chain untuk menggerakkan aci sesondol bagi mengurangkan kos penyelenggaraan.

     
     
  • Alfa Romeo Giulia, Stelvio di Malaysia lebih mahal dari harga jangkaan – RM440k-RM480k untuk 2.0T Veloce

    Alfa Romeo Giulia, Stelvio di Malaysia lebih mahal dari harga jangkaan – RM440k-RM480k untuk 2.0T Veloce

    Akhirnya harga rasmi bagi Alfa Romeo Giulia dan Stelvio untuk pasaran Malaysia diumumkan selepas kedua-duanya dipertontonkan November lalu. Sedan dan SUV ini ditawarkan dalam satu varian sahaja iaitu Veloce, dan diimport sepenuhnya (CBU) dari Itali, dengan kumpulan pertama model iuni dijangka tiba di Malaysia penghujung bulan ini atau awal bulan hadapan.

    Jika anda berminat dengan Giulia Veloce, harga yang ditawarkan ialah RM440,077.50 atas jalan tanpa insurans, manakala Stelvio Veloce pula dijual pada harga RM480,128. Harga ini jauh lebih tinggi berbanding anggaran awal sekitar RM400,000 yang diumumkan bagi kedua-dua model ketika tempahan mula dibuka semasa pelancaran semula jenama tersebut.

    Dengan harga ini, anda memperoleh reka bentuk bergaya Itali serta enjin yang menawarkan prestasi yang agak mengagumkan. Dalam versi Veloce, Giulia dan Stelvio berkongsi enjin petrol 2.0 liter turbo empat-silinder sebaris yang menghasilkan 280 PS (276 hp atau 206 kW) pada 5,250 rpm dan tork 400 Nm pada 2,250 rpm.

    Klik untuk besarkan

    Bagi sedan Giulia, enjin Multiair dipadankan dengan transmisi automatik ZF lapan-kelajuan yang memacu roda belakang, membolehkan pecutan 0–100 km/j dalam 5.7 saat serta kelajuan maksimum 240 km/j. Sementara itu, Stelvio menggunakan gabungan enjin dan transmisi yang sama, namun SUV ini dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda Q4 Alfa, dengan masa pecutan ke 100 km/j yang sama tetapi kelajuan maksimum lebih rendah iaitu 230 km/j.

    Rim aloi reka bentuk ala dail-telefon, yang menjadi identiti kenderaan Alfa, diberikan untuk kedua-dua model, dengan Giulia menerima rim 19-inci manakala Stelvio dilengkapi rim lebih besar bersaiz-20 inci. Kelengkapan lain yang disertakan termasuk pedal penukar gear (shift paddles), sistem audio Harman Kardon, pad pengecasan tanpa wayar, skrin sentuh infotainmen 8.8-inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, paparan meter digital 12.3-inci, sistem bantuan pemandu ADAS Tahap 2 (ACC, bantuan kekal lorong) serta tempat duduk balutam kulit sporty.

    Alfa Romeo Giulia Veloce dipertonton di Malaysia

    Alfa Romeo Stelvio Veloce dipertonton di Malaysia

     
     
  • Nissan Serena e-Power C28 2026 dilancar di Malaysia awal Mac ini – dijangka antara RM160k-RM180k

    Nissan Serena e-Power C28 2026 dilancar di Malaysia awal Mac ini – dijangka antara RM160k-RM180k

    Selepas dipertontonkan secara eksklusif pada Disember lalu, Nissan Serena e-Power C28 2026 bakal dilancarkan pada awal Mac ini. Perkara ini disahkan oleh Christopher Tan selaku Timbalan Presiden Eksekutif Edaran Tan Chong Motor (ETCM) selepas sesi pandu uji bersama pihak media di Kuantan semalam.

    Beliau turut berkata, Serena e-Power C28 dijangka berharga antara RM160,000 hingga RM180,000, dan setakat ini, pihaknya telah menerima sejumlah 400 unit tempahan sejak Disember lalu.

    Perubahan terbesar Serena generasi terbaharu ini terletak pada sistem hibrid e-Power, menjadikannya model e-Power pertama yang dipasang di Malaysia. Jika dibandingkan dengan Serena C27 yang menggunakan enjin 2.0 liter MR20DD dan sistem S-Hybrid, Serena C28 menawarkan pengalaman pemanduan lebih mirip EV dengan tork segera dan pecutan lebih responsif, tanpa kebimbangan mengenai jarak perjalanan atau proses pengecasan.

    Nissan Serena e-Power C28 2026 dilancar di Malaysia awal Mac ini – dijangka antara RM160k-RM180k

    Serena e-Power C28 dipadankan dengan enjin petrol HR14DDe 1.4 liter naturally aspirated tiga-silinder sebaris yang mampu menghamburkan 98 PS dan tork 123 Nm. Enjin ini berfungsi secara eksklusif untuk menjana bateri litium-ion berkapasiti 1.77 kWj yang terletak di bawah lantai, di antara tempat duduk hadapan. Bateri tersebut membekalkan kuasa kepada motor elektrik berkapasiti 163 PS (161 hp atau 120 kW) dan tork 315 Nm yang memacu roda hadapan sepenuhnya. Kecekapan bahan api didakwa sekitar 18.5 km seliter mengikut piawaian NEDC.

    MPV ini memiliki dimensi berukuran 4,765 mm panjang, 1,715 mm lebar, 1,870 mm tinggi dan mempunyai jarak roda 2,870 mm. Sebagai perbandingan, model C27 yang terdahulu berukuran 4,790 mm panjang (berkemungkinan disebabkan reka bentuk muka hadapan yang lebih menonjol), 1,740 mm lebar, 1,865 mm tinggi dan jarak rodanya ialah 2,860 mm.

    Dari segi reka bentuk, Serena C28 masih mengekalkan identiti model sebelumnya tetapi dengan gaya lebih moden. Gril V-motion kini mempunyai susunan palang menegak dalam kemasan hitam atau krom dan diintegrasikan kemas bersama lampu utama LED projektor tiga elemen.

    Bahagian bampar hadapan turut menerima lampu kabus LED bersaiz kecil dan liang sisi yang kini berfungsi sebagai tirai udara. Di belakang, lampu belakang berbentuk boomerang direka lebih nipis, manakala tailgate direka semula dengan logo Nissan dan tulisan “Serena” lebih rapat. Kemasan ruang plat pendaftaran juga diperkecilkan, bersama lampu kabus belakang LED di sisi kanan.

    Dari sisi, bentuk keseluruhan Serena masih dikenali dengan garis tingkap yang berlekuk, namun garisan karakter yang sebelum ini bermula dari lampu hadapan dan menghala ke rel pintu gelangsar telah digantikan dengan garisan lurus yang bermula dari bampar depan.

    Bagi kelengkapan kabinnya, Serena C28 ini diberikan papan pemuka yang lebih moden, menampilkan dua paparan bersaiz 12.3-inci iaitu satu berfungsi sebagai kluster instrumen digital dan satu lagi sebagai skrin sentuh untuk sistem infotainmen Nissan Connect. Sistem infotainmen ini menyokong Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, manakala penumpang belakang boleh menikmati monitor hiburan bersaiz 14-inci yang dipasang di siling.

    Untuk keselamatan pula, ia diberikan sistem bantuan pemandu yang merangkumi amaran perlanggaran hadapan, brek kecemasan automatik, amaran titik buta, amaran lintasan trafik belakang, bantuan lampu tinggi serta sistem kamera pandangan sekeliling.

    Pakej pemanduan semi-autonomous ProPILOT Nissan turut ditawarkan sebagai standard yang terdiri daripada kawalan kelajuan adaptif, bantuan kekal lorong, serta intervensititik buta yang mengenakan bantuan stereng atau brek secara lembut apabila pemandu cuba menukar lorong sementara kenderaan lain dikesan berada di kawasan titik buta.

    Terdapat empat pilihan warna luaran untuk dipilih, termasuk pilihan satu tona ialah Diamond Black. Manakala pilihan dua tona merangkumi Turquoise Blue, Brilliant White dan Dark Metal Grey, kesemuanya dipadankan dengan bumbung hitam. Setiap pembelian diberikan waranti kenderaan selama lima-tahun atau 100,000 km ditawarkan sebagai standard, manakala komponen e-Power (motor, bateri dan pengurusan tenaga) diberikan waranti selama lapan tahun atau 160,000 km.

     
     
  • Proton eMas 7 PHEV dibuka tempahan di M’sia — 1.5L 262 PS/262 Nm, hingga 996 km, harga RM110k-RM130k

    Proton eMas 7 PHEV dibuka tempahan di M’sia — 1.5L 262 PS/262 Nm, hingga 996 km, harga RM110k-RM130k

    Hujung minggu lalu, perincian tentang penawaran model SUV terbaru Pro-Net, Proton eMas 7 PHEV untuk pasaran Malaysia telah didedahkan, walaupun masih dengan pelekat samaran. Hari ini, model berkenaan diumumkan pula telah dibuka untuk tempahan kepada mereka yang berminat, dan sekali gus membolehkan kita melihat gambar penuh rekaan luaran dan dalamannya secara keseluruhan.

    Harga anggaran Proton eMas 7 PHEV ialah dari RM110k-RM130k. Sempena bermulanya pengambilan tempahan Proton eMas 7 PEHV ini, ada beberapa pakej atau tawaran menarik yang turut diumumkan: bagi 5,000 pelanggan terawal yang berjaya membuat tempahan, mereka akan menikmati yuran tempahan serendah RM99 dan juga akan menerima rebat yuran sebanyak RM500.

    Proton eMas 7 PHEV dibuka tempahan di M’sia — 1.5L 262 PS/262 Nm, hingga 996 km, harga RM110k-RM130k

    Seperti yang sudah ramai ketahui, Proton eMas 7 PHEV merupakan model plug-in hybrid pertama Proton yang di-rebadge dari model Geely Starray EM-i (di pasaran Australia), atau yang turut dikenali sebagai Geely Galaxy Starship 7 di China. Ini juga pendekatan yang sama seperti Proton eMas 7 EV sebelum ini, yang diambil daripada model Geely Galaxy E5/EX5.

    Untuk pasaran Malaysia, ada tiga varian ditawarkan — Prime, Premium dan Premium Plus. Sistem janaan kuasanya terdiri daripada sistem EM-i (E-Motive Intelligence) Super Hybrid dari Geely, yang menggandingkan enjin 1.5 liter NA BHE15PFI (sama seperti enjin Saga MC3) dengan janaan 99 PS (98 hp atau 73 kW) dan 125 Nm tork, dan disertakan dengan sebuah motor elektrik di depan dengan output 218 PS (215 hp atau 160 kW) dan 262 Nm — dengan enjin kitaran Atkinson. Output maksimum PHEV ini ialah sebanyak 262 PS (258 hp, atau 193 kW) dan 262 Nm yang disalurkan ke roda depan.

    Sistem ini menggunakan dedicated hybrid transmission (DHT) 11-dalam-1 kelajuan tunggal yang menggabungkan sebuah integrated starter-generator dan traction motor. Sistem akan membiarkan motor elektrik menggerakkan roda, tetapi turut mempunyai keupayaan untuk menghubungkan klac dan membantu enjin ICE dalam kelajuan yang lebih tinggi ketika enjin dalam keadaan lebih cekap — sama seperti sistem hibrid e:HEV Honda.

    Proton eMas 7 PHEV dibuka tempahan di M’sia — 1.5L 262 PS/262 Nm, hingga 996 km, harga RM110k-RM130k

    Enjin berkenaan turut dijadikan lebih ringkas dan ringan bagi membolehkannya memberikan kecekapan yang lebih tinggi — VVT tunggal berbanding dual-VVT dan EGR (kitaran semula gas ekzos) yang lebih tinggi di belakang — serta dengan tahap kecekapan thermal 46.5%. Tetapan ini juga memberikan kadar output yang sedikit berkurang daripada versi enjin sama di China, yang menghasilkan 111 PS dan 136 Nm.

    Berkenaan bukaan udara kecil di bahagian depan, pasukan R&D tempatan dan antarabangsa telah menjalankan ujian serta pengesahan bagi sistem pengurusan thermal yang ketat untuk SUV ini. Pasukan tempatan misalnya telah menjalankan ujian ketahanan sejauh 30,000 km dalam keadaan cuaca yang berbeza, sementara pasukan antarabangsa menjalankan ujian thermal dalam dua cuaca ekstrim (musim sejuk dan panas). Tiada sebarang masalah overheat yang dikesan sepanjang proses berkenaan.

    Kadar penggunaan minyak juga menjadi antara kelebihan utama SUV ini, iaitu 4.3 liter per 100 km untuk Prime/Premium dan 4.4 liter per 100 km untuk Premium Plus — tetapi itu angka dengan kitaran NEDC. Penggunaan sebenar mungkin akan lebih tinggi daripada ini. Untuk sela servis berjadual PHEV ini, ia hanya memerlukan servis setiap 12 bulan sekali atau setiap 20,000 km — dengan kos penyelenggaraannya didakwa lebih menghampiri EV berbanding kereta ICE biasa. SUV ini juga menawarkan tiga mod pemanduan — EV, Hybrid dan Power.

    Dari segi dimensi, Proton eMas 7 PHEV mempunyai ukuran 4,740 mm panjang, 1,940 mm lebar dan 1,685 mm tinggi dengan jarak roda 2,755 mm. Ini menjadikannya 125 mm lebih panjang, 39 mm lebih lebar dan 15 mm lebih tinggi berbanding “saudara” versi EV-nya (4,615 mm panjang, 1,901 mm lebar dan 1,670 mm tinggi). Jarak rodanya juga 5 mm lebih panjang, dan kedua-duanya berkongsi menggunakan platform GMA yang sama.

    Proton eMas 7 PHEV dibuka tempahan di M’sia — 1.5L 262 PS/262 Nm, hingga 996 km, harga RM110k-RM130k

    Angka prestasi pula terdiri daripada pecutan 0-100 km/j dalam masa 8 saat bagi Prime/Premium, dan 8.2 saat bagi Premium Plus, dengan semua varian mampu mencapai laju maksimum 170 km/j. Selain itu, setiap varian juga dibezakan dari sudut kapasiti bateri, jarak perjalanan dan kadar pengecasan DC. Perinciannya adalah seperti berikut:

    • Premium Plus — bateri Aegis short blade lithium iron phosphate (LFP) 29.8 kWh, 146 km jarak EV, 996 km jarak (WLTP), pengecasan DC 60 kW (30%-80% SoC kurang 16 minit), 6.6 kW AC.
    • Premium dan Prime — bateri CATL LFP 18.4 kWh, 83 km EV, 943 km jarak (WLTP), pengecasan DC 30 kW (30%-80% SoC kurang 20 minit), 6.6 kW AC.

    Memang Proton menyatakan yang PHEV ini mampu mencapai 1,065 km jarak perjalanan bagi Premium Plus (dan 1,000 km bagi Prime dan Premium), tetapi bacaan itu adalah berdasarkan kitaran NEDC. Kitaran WLTP lebih dekat dengan penggunaan sebenar dunia nyata, dan akan memberikan jarak 996 km tersebut. Sistem PHEV ini juga mampu menampung pengecasan sehingga 60 kW. Angka itu lebih rendah berbanding eMas 7 (80 kW dan 100 kW), namun bukanlah masalah kerana kapasiti bateri yang digunakan juga lebih kecil.

    Enjinnya mampu digunakan untuk mengecas bateri sehingga had 85%. Memandangkan bateri yang digunakan jenis LFP, Proton mencadangkan untuk pengguna mengecas bateri melalui pengecas pada kadar seminggu sekali bagi menjaga kesihatan dan hayat baterinya. Sistem juga akan menghalang pengggunaan bateri melepasi had 20% terkhir untuk tujuan sama.

    Selain itu, untuk membuka pintu kecil bagi isian minyak, pengguna perlu membuka kuncinya melalui skrin atau dengan cara pemandu menekan butang kiri kawalan cermin sisi.

    Secara umum, perkara yang membezakan antara varian Premium dan Premium Plus hanyalah kapasiti bateri, kadar maksimum pengecasan DC dan sunroof. Selebihnya kedua-duanya hampir setara, dengan adanya: pintu tailgate kuasa elektrik, cermin sisi lipatan automatik, cermin pandang belakang tanpa bingkai dan anti-silau, kerusi depan larasan elektrik dan berliang, kerusi penumpang depan boleh direbah rata, perehat tangan di belakang, lampu ambient 256-warna, penutup tonneau, skrin infotainmen 2.5K 15.4-inci, head-up display 13.8-inci, pengecasan tanpa wayar, 16-pembesar suara Flyme Sound Wanos termasuk di bahagian perehat kepala, pendingin automatik, tujuh beg udara termasuk di bahagian tengah depan, kamera 360-darjah dan sensor parkir depan.

    Prime hanya dilengkapi dengan enam-pembesar suara, enam-beg udara dan kamera undur. Saiz rimnya juga lebih kecil, dan tiada jalur lampu LED berkelebaran penuh di depan. Perincian lebih lanjut tentan Prime akan kami bawakan setelah meneliti penawarannya kelak. Apple CarPlay dan Android Auto tersedia untuk Proton eMas 7 PHEV.

    Dari segi rekaan, ada beberapa perkara yang membezakan antara versi EV dan PHEV bagi Proton eMas 7 ini. Pertama, wajah depan versi PHEV nampak lebih menarik dengan jalur lampu LED berkelebaran penuh yang menempatkan DRL dan lampu isyarat, yang kemas dan nipis. Lampu utama pula letaknya sedikit di bawah, di bahagian bampar.

    Pemegang pintu untuk PHEV ini juga menggunakan rekaan biasa yang kelihatan, manakala bagi EV-nya pemegang pintu tersembunyi yang lebih kemas. Bahagian belakang juga berbeza, dengan versi PHEV tampil dengan rekaan jalur lampu yang lebih menarik dan jelas, berkelebaran penuh, dengan ruang untuk nombor plat dinaikkan ke bahagian pintu dari kawasan bampar.

    Proton eMas 7 PHEV dibuka tempahan di M’sia — 1.5L 262 PS/262 Nm, hingga 996 km, harga RM110k-RM130k

    Dan, walaupun menggunakan rim dengan saiz 19-inci yang sama, rekaannya berbeza. Semua ini dilakukan tanpa memberikan kesan besar terhadap kadar rintangan pergerakannya: 0.288 Cd untuk eMas 7 PHEV berbanding 0.275 Cd untuk eMas 7. Oleh kerana ia bukan EV, eMas 7 PHEV juga mempunyai ekzos di kedudukan yang sedikit tersembunyi di bahagian bawah.

    Ruang barangan maksimum 2,055 liter di belakang — ini adalah 188 liter lebih bersar berbanding versi EV (dengan 1,888 liter) jika kerusi belakang direbahkan. Dalam keadaan biasa, ruang barangan PHEV ini ialah seluas 528 liter dan 67 liter lebih besar (EV 461 liter). Selain itu, ada juga ruang storan 100 liter yang tersembunyi di bawah lantai barangan: ini 49 liter lebih kapasiti berbanding pada EV.

    Bagi ciri keselamatan aktif, semua varian menerima ciri AEB, ACC dan ICC, fungsi lorong, amaran pergerakan kenderaan depan dan pengesan papan tanda lalu lintas. Prime bagaimanapun tidak dilengkapi dengan bantuan mengekalkan lorong, amaran perlanggaran belakang, pengesan titik buta, amaran buka pintu dan pengesan penumpang di belakang.

    Pilihan warna yang tersedia untuk Proton eMas 7 PHEV ialah Obsidian Black, Lithium White, Mercury Silver, Galena Grey atau Azure Blue. Sementara pilihan warna dalaman pula ada dua: Alabaster White dan Onyx Black. Untuk sela servis adalah setiap 12 bulan/20,000 km, dengan kos bagi tempoh 10-tahun adalah RM8,000.

    Proton eMas 7 PHEV Premium

    Proton eMas 7 PHEV Premium Plus — Ruang dalaman

     
     
  • Mazda CX-5 2026 dikemaskini – varian 2.0G High dapat skrin 12.3-inci dan lain-lain, harga RM10k lebih murah

    Mazda CX-5 2026 dikemaskini – varian 2.0G High dapat skrin 12.3-inci dan lain-lain, harga RM10k lebih murah

    Bermaz Motor secara senyap-senyap telah mengemaskini Mazda CX-5 dalam varian 2.0G 2WD High dengan menambah pakej aksesori. Kami diberitahu oleh penasihat jualan bahawa pakej aksesori berkenaan kini menjadi perincian standard bagi CX-5 2.0G 2WD 2026. Bukan itu sahaja, harga barisan model CX-5 versi facelift pasaran Malaysia yang diperkenalkan pada Januari 2024 juga kini telah dirombak semula.

    Kita mulakan dengan varian 2.0G 2WD High terlebih dahulu di mana ia sekarang datang standard dengan pakej aksesori bernilai RM6,160. Ia dinilai lebih tinggi dari pakej aksesori sebelum ini yang diumumkan pada harga RM2,410 kerana telah ditambah dengan beberapa kelengkapan lain.

    Antara kelengkapan yang masih sama seperti pakej aksesori terdahulu adalah filem penapis haba Activ-e dan juga plat kemasan panel bendul pintu dengan nyalaan LED. Dengan tanbahan harga, pakej ini turut datang dengan kamera perakam digital (dashcam) pada bahagian hadapan dan belakang serta unit skrin infotainmen lebih besar bersaiz 12.3-inci bagi menggantikan skrin 8-inci sebelum ini.

    Mazda CX-5 2026 dikemaskini – varian 2.0G High dapat skrin 12.3-inci dan lain-lain, harga RM10k lebih murah

    Kami dapati skrin berkenaan bukan hanya lebih besar, malah turut dikemaskini dengan menggunakan asas Android tetapi hadir dengan antaramuka sistem Mazda Connect. Ia boleh dioperasikan dengan cara yang sama seperti sistem Mazda Connect asal, malah turut boleh disambungkan ke telefon pintar menerusi sokongan Android Auto (menggunakan wayar) dan Apple CarPlay (wayar dan tanpa wayar).

    Pada bahagian luaran, model kemaskini 2026 bagi 2.0G 2WD High boleh dikenali menerusi perapi pelindung badan yang telah diberikan kemasan warna badan, berbanding varian lain yang masih berwarna plastik hitam tanpa cat.

    Dengan tingkat taraf yang diberikan ini, ia tidak memberikan sebarang tambahan kos kepada pembeli, malah harganya kini RM10,000 lebih murah iaitu RM151,469.20 berbanding harga ketika dilancarkan pada Januari 2024, ketika itu harganya adalah RM161,469.20.

    Mazda CX-5 2026 dikemaskini – varian 2.0G High dapat skrin 12.3-inci dan lain-lain, harga RM10k lebih murah

    Harga bagi varian CX-5 yang lain juga kini RM10,000 lebih murah berbanding ketika dilancarkan pada Januari 2024, dan ia sebenarnya sebelum ini pernah turun pada 1 September 2025 dan 1 Oktober 2025. Harga-harga baharu untuk Mazda CX-5 2026 yang berkuatkuasa pada 1 Januari 2026 adalah seperti berikut:

    • 2.0G 2WD Mid: RM134,469.20 (RM144,469.20 sebelum ini)
    • 2.5G 2WD High: RM164,960.40 (RM174,960.40 sebelum ini)
    • 2.2D 2WD High: RM170,322.80 (RM180,322.80 sebelum ini)
    • 2.5G AWD High: RM178,760.40 (RM188,760.40 sebelum ini)

    Harga-harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran serta warna badan metalik. Pelanggan perlu menambah RM3,300 sekiranya mahukan warna premium iaitu Soul Red Crystal dan Machine Gray. Semua varian disertakan dengan upholsteri kulit, kecuali varian 2.0G 2WD Mid yang datang dengan tempat duduk fabrik, tetapi pelanggan boleh memilih balutan kulit dengan tambahan bayaran RM2,900.

    Mazda CX-5 2026 dikemaskini – varian 2.0G High dapat skrin 12.3-inci dan lain-lain, harga RM10k lebih murah

    Klik untuk besarkan

    Varian-varian lain masih diberikan aksesori standard termasuk filem penapis haba, plat kemasan panel bendul pintu dengan nyalaan LED dan kamera perakam digital, kecuali CX-5 2.0G 2WD High 2026 yang diberikan lebih banyak aksesori seperti yang dinyatakan tadi.

    Bermaz masih memberikan waranti serta pakej servis penyelenggaraan percuma selama lima-tahun untuk pembelian semua varian Mazda CX-5 2026.

     
     
  • Nissan Serena e-Power C28 2026 didedah spesifikasi untuk Malaysia – 1.4L hibrid; ADAS dengan ProPILOT

    Nissan Serena e-Power C28 2026 didedah spesifikasi untuk Malaysia – 1.4L hibrid; ADAS dengan ProPILOT

    Pada Disember tahun lalu, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) telah mempertontonkan Nissan Serena generasi ke-enam (C28), yang akan dijual dalam versi pemasangan tempatan (CKD) pada suku pertama tahun ini. Walau bagaimana pun, ketika itu, kami cuma boleh menyiarkan imej luaran MPV yang menerima sentuhan lebih segar ini, di samping bercerita mengenai penjana kuasa hibrid e-Power.

    Kali ini kami dapat bercerita lebih banyak mengenai MPV ini, kecuali harganya yang masih belum didedahkan. Untuk pengetahuan Serena facelift C27 ditawarkan dengan varian Highway Star dan Premium Highway Star yang berharga masing-masing RM149,888 dan RM163,888.

    Bagi kelengkapan kabinnya, Serena baharu diberikan papan pemuka yang lebih moden, menampilkan dua paparan bersaiz 12.3-inci iaitu satu berfungsi sebagai kluster instrumen digital dan satu lagi sebagai skrin sentuh untuk sistem infotainmen Nissan Connect. Sistem infotainmen ini menyokong Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, manakala penumpang belakang boleh menikmati monitor hiburan bersaiz 14-inci yang dipasang di siling.

    Di bawah skrin sentuh tengah terdapat tombol kawalan kelantangan diikuti panel besar yang menempatkan kawalan sistem penyaman udara dwi-zon serta pemilih gear elektronik jenis butang tekan. Pada model terdahulu, terdapat tuil gear di bahagian tersebut yang tidak memberikannya ruang simpanan di belakangnya. Dengan susun atur baharu, ruang simpanan tersebut kini diletakkan lebih ke bawah dan diperbesarkan bagi menempatkan pad pengecasan tanpa wayar.

    Nissan Serena e-Power C28 2026 didedah spesifikasi untuk Malaysia – 1.4L hibrid; ADAS dengan ProPILOT

    Satu lagi ruang simpanan terbuka yang dikekalkan terletak di atas glove box, namun ruang simpanan bertutup yang sebelum ini berada di bahagian atas papan pemuka pada model C27 kini digugurkan. Walaupun begitu, kini terdapat pemegang cawan di hadapan corong penyaman udara di penjuru yang lebih praktikal.

    Selain itu, ia turut ditampilkan ialah brek parkir elektronik yang menggantikan sistem brek kaki, lengkap dengan fungsi auto hold. Kawalannya terletak di sebelah kiri roda stereng. Ciri kelengkapan lain termasuk meja lipat pada bahagian belakang tempat duduk hadapan untuk penumpang baris kedua, manakala akses ke baris ketiga dipermudahkan menerusi suis untuk pintu gelangsar belakang berkuasa serta pedal khas untuk menggelongsorkan tempat duduk baris kedua ke hadapan.

    Serena diberikan konfigurasi tempat duduk 2-2-3, dengan tempat duduk berinspirasikan konsep sifar graviti pada barisan pertama dan kedua (baris kedua dilengkapi dengan cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX). Terdapat laluan ke barisan ketiga yang menampilkan tempat duduk boleh lipat nisbah 50:50 (tiada ISOFIX; tali pinggang keledar tengah), yang juga boleh ditanggalkan penguncinya dan digantung ke sisi sekiranya anda memerlukan ruang kargo yang lebih luas. ETCM mendakwa terdapat tidak kurang daripada 13 konfigurasi tempat duduk, dan semua penumpang mempunyai akses kepada sekurang-kurangnya satu port USB-C untuk pengecasan peranti.

    Ciri lain melibatkan tempat duduk berinspirasikan konsep sifar graviti, dengan tempat duduk hadapan menampilkan kusyen yang lebih panjang berbanding model C27 bagi meningkatkan sokongan yang lebih baik. Struktur tempat duduk jenis bucket turut mengekalkan postur badan untuk mengurangkan pergerakan yang tidak diingini, sekali gus mengurangkan keletihan.

    Dari segi rangkaian kuasa, sistem e-Power menampilkan enjin petrol HR14DDe 1.4 liter naturally aspirated tiga-silinder sebaris yang mampu menghamburkan 98 PS dan tork 123 Nm. Enjin ini berfungsi secara eksklusif untuk menjana bateri litium-ion berkapasiti 1.77 kWj yang terletak di bawah lantai, di antara tempat duduk hadapan.

    Bateri tersebut membekalkan kuasa kepada motor elektrik berkapasiti 163 PS (161 hp atau 120 kW) dan tork 315 Nm yang memacu roda hadapan sepenuhnya. Kecekapan bahan api didakwa sekitar 18.5 km seliter mengikut piawaian NEDC.

    Tiga mod pemanduan diberikan iaitu Eco, Standard dan Sport, yang masing-masing mempengaruhi tahap brek regeneratif. Untuk brek regeneratif yang lebih kuat, mod B boleh diaktifkan pada pemilih gear (mod D), atau kenderaan boleh ditetapkan kepada mod e-Pedal bagi brek regeneratif paling maksimum (pemanduan satu pedal).

    ETCM turut menekankan langkah-langkah yang diambil untuk mengurangkan rasa motion sickness dalam perjalanan, termasuk melancarkan aliran udara di bahagian hadapan Serena melalui air curtain di penjuru bampar. Selain itu, penebat yang dipertingkatkan serta penggunaan kaca akustik digunakan bagi menangani masalah tersebut. MPV ini turut dilengkapi suspensi hadapan baharu, yang didakwa berasaskan SUV dan menampilkan penstabil 20% lebih tegar bagi mengurangkan olengan badan serta pergerakan lateral.

    Nissan Serena e-Power C28 2026 didedah spesifikasi untuk Malaysia – 1.4L hibrid; ADAS dengan ProPILOT

    Pemandu juga perlu membuat pembetulan stereng 23% lebih sedikit berbanding model C27 ketika mengambil selekoh, hasil daripada peningkatan ketegaran komponen suspensi (+50%) serta ketegaran dan kawalan geseran yang lebih tinggi (+40%) dalam sistem stereng kuasa elektrik.

    Bagi sistem brek, kawalan yang dioptimumkan pada fasa awal nyahpecutan mengurangkan pergerakan pitch apabila kaki dilepaskan daripada pedal pendikit, sekali gus membolehkan postur kenderaan yang lebih stabil dan lembut. Ciri-ciri brake booster juga telah ditala bagi mengurangkan rasa motion sickness, supaya perubahan nyahpecutan menjadi lebih lancar semasa brek digunakan.

    Untuk keselamatan pula, ia diberikan sistem bantuan pemandu yang merangkumi amaran perlanggaran hadapan, brek kecemasan automatik, amaran titik buta, amaran lintasan trafik belakang, bantuan lampu tinggi serta sistem kamera pandangan sekeliling.

    Pakej pemanduan semi-autonomous ProPILOT Nissan turut ditawarkan sebagai standard yang terdiri daripada kawalan kelajuan adaptif, bantuan kekal lorong, serta intervensititik buta yang mengenakan bantuan stereng atau brek secara lembut apabila pemandu cuba menukar lorong sementara kenderaan lain dikesan berada di kawasan titik buta.

    Nissan Serena e-Power C28 2026 didedah spesifikasi untuk Malaysia – 1.4L hibrid; ADAS dengan ProPILOT

    MPV Serena C28 ini memiliki dimensi berukuran 4,765 mm panjang, 1,715 mm lebar, 1,870 mm tinggi dan mempunyai jarak roda 2,870 mm. Sebagai perbandingan, model C27 yang terdahulu berukuran 4,790 mm panjang (berkemungkinan disebabkan reka bentuk muka hadapan yang lebih menonjol), 1,740 mm lebar, 1,865 mm tinggi dan jarak rodanya ialah 2,860 mm.

    Serena e-Power diperkenalkan ini ditawarkan dalam satu varian sahaja iaitu Premium Highway Star, yang hadir dengan semua ciri yang telah disebutkan sebelum ini. Selain itu, ia turut dilengkapi lampu hadapan projektor LED tri-beam, lampu siang LED, lampu kabus LED, upholsteri kulit Nappa hitam, sistem kemasukan tanpa kunci dengan fungsi walk-away auto lock dan butang penghidup enjin , enam beg udara serta rim 16-inci dengan tayar profil 205/65.

    Terdapat empat pilihan warna luaran untuk dipilih, termasuk pilihan satu tona ialah Diamond Black. Manakala pilihan dua tona merangkumi Turquoise Blue, Brilliant White dan Dark Metal Grey, kesemuanya dipadankan dengan bumbung hitam. Setiap pembelian diberikan waranti kenderaan selama lima-tahun atau 100,000 km ditawarkan sebagai standard, manakala komponen e-Power (motor, bateri dan pengurusan tenaga) diberikan waranti selama lapan tahun atau 160,000 km. Untuk harganya, kita tunggu MPV ini dilancarkan secara rasmi untuk pasaran tempatan tidak lama lagi.

     
     
  • Perodua jual 359,904 unit kenderaan sepanjang 2025 – satu lagi rekod jualan baru, naik 0.5% berbanding 2024

    Perodua jual 359,904 unit kenderaan sepanjang 2025 – satu lagi rekod jualan baru, naik 0.5% berbanding 2024

    Perodua hari ini mengumumkan bahawa ia telah menjual sebanyak 359,904 unit kenderaan sepanjang 2025, membolehkan ia mencatatkan satu lagi rekod jualan tertinggi. Angka berkenaan adalah 0.5% lebih tinggi berbanding rekod 358,102 unit yang dijual pada 2024.

    Jualan ini dipacu oleh jumlah pengeluaran yang turut meningkat di mana kilang Perodua di Rawang berjaya menghasilkan sebanyak 370,370 unit kenderaan sepanjang tahun lalu, naik 0.6% berbanding jumlah 368,100 unit kenderaan yang dihasilkan pada 2024.

    Syarikat itu menjangkakan jumlah keseluruhan industri (TIV) untuk 2025 akan mencecah 820,000, lebih tinggi dari jumlah 816,747 unit yang dicatatkan tahun sebelumnya. Oleh itu Perodua menganggarkan bahawa ia kini memegang sebanyak
    43.9% pegangan dalam pasaran automotif Malaysia bagi 2025. Jika angka ini tepat bermakna pegangan pasaran bagi Perodua adalah sedikit turun berbanding 44% yang dicatatkan pada 2024.

    Dari jumlah berkenaan, sedan segmen-A Perodua Bezza masih menjadi model paling laris syarikat itu dan model paling laris di Malaysia dengan jualan sebanyak 100,488 unit dijual sepanjang 2025, dan ini merupakan tahun kedua Bezza mencatatkan jualan tahunan melebihi 100,000 unit.

    Model kedua paling laris untuk Perodua merupakan hatchback segmen-A Perodua Axia dengan mencatatkan jualan tahunan 2025 sebanyak 84,291 unit, diikuti oleh Perodua Myvi yang dijual sebanyak 72,724 unit sepanjang 2025. Kedudukan Axia dan Myvi ini bukan hanya untuk Perodua sahaja, malah kedua-dua model ini sememangnya berada pada kedudukan kedua dan ketiga paling laris di Malaysia.

    “Ketiga-tiga model ini – Bezza, Axia dan Myvi – kekal sebagai tiga model tertinggi daripada aspek jualan di dalam negara ini dan kami berterima kasih kepada rakyat Malaysia kerana terus menyokong usaha kami untuk menawarkan nilai yang lebih baik terhadap produk-produk kami,” kata CEO dan Presiden Perodua Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

    Menurut beliau lagi, dua model yang baru dilancarkan oleh Perodua pada akhir tahun lalu iaitu EV QV-E dan Traz belum lagi memberikan impak terhadap jumlah jualan Perodua untuk 2025. “Impaknya terhadap jumlah jualan hanya akan diketahui pada tahun ini,” jelasnya.

    Dominasi tiga model utama Perodua ini bukan hanya pada tahun ini, malah ia sudah bermula beberapa tahun kebelakangan ini di mana kedudukan antara ketiga-tiga hanya berubah sesama sendiri. Dan sejak 2020 hingga 2025, Proton Saga sentiasa berada di tempat keempat di belakang model-model Perodua ini.

    Namun Saga tampil dengan versi yang dikemaskini, dilancarkan pada akhir November tahun lalu dengan menampilkan perincian dan harga yang sangat kompetitif berbanding saingannya di dalam segmen yang sama iaitu Bezza. Model berkenaan berjaya mengutip sebanyak 30,000 tempahan hanya selepas seminggu pelancarannya, dan awal bulan ini Proton mengumumkan bahawa 10,000 unit Saga MC3 berkenaan telah dihantar ke pelanggan.

    Jadi agak menarik untuk kita saksikan sama ada Proton boleh memecah monopoli Perodua tahun ini menerusi Saga, atau Perodua akan terus berada di atas tanpa gangguan berbekalkan reputasinya sebagai jenama yang dipercayai oleh pelanggan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026