Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Honda Jazz 2026 dilancar di China – RM39k, facelift khas untuk habiskan stok, hanya varian ‘kosong’

    Honda Jazz 2026 dilancar di China – RM39k, facelift khas untuk habiskan stok, hanya varian ‘kosong’

    Kita di Malaysia sudah tidak lagi menerima Honda Jazz/Fit, selepas model generasi ketiga hatchback segmen-B itu digantikan dengan City Hatchback untuk pasaran ASEAN. Bagi Jazz generasi keempat, ia hanya dijual di pasaran tertentu seperti Jepun, Eropah dan China. Masuk tahun ini, usia model berkenaan sudah pun mececah sekitar enam tahun, tetapi masih belum ada bayangan lagi bahawa ia akan diperkenalkan dalam versi generasi baharu.

    Di China, hatchback yang dikenali sebagai Honda Fit ini menerima satu lagi facelift – ini bukan untuk memanjangkan hayat produksinya, namun usahasama GAC Honda menghasilkan model ini untuk menghabiskan stok-stok terakhir sebelum ia dihentikan pengeluaran sepenuhnya.

    Lazimnya model-model “penghabisan stok” sebegini akan diberikan aksesori-aksesori yang ‘ringan’ tetapi eksklusif. Namun untuk Fit ini, ia menerima rombakan muka yang cukup drastik. Lampu Fit yang besar dan comel sebelum ini telah bertukar sepet dengan menampilkan lampu nyalaan siang yang nipis pada sebelah atas dan juga lampu utama bersegi terletak di bawahnya.

    Honda Jazz 2026 dilancar di China – RM39k, facelift khas untuk habiskan stok, hanya varian ‘kosong’

    Rekaan ini juga menjadikan gril sebelah atas lebih nipis, dan gril bawah direka lebih besar untuk mengaut udara dari hadapan. Manakala di belakang, rekaan lampu masih lagi nampak sama. Tetapi rekaan bampar belakangnya berubah menjadi lebih panjang, dan diberikan panel diffuser yang direka lebih besar. Rekaan tersebut dibuat bagi memberikan lebih perlindungan pada bahagian belakang, dan secara tidak langsung membuatkan Honda Fit 2026 pasaran China ini 59 mm lebih panjang berbanding model sebelumnya.

    Namun rekaan pada sebelah dalam kabin masih lagi sama. Ia cuma menerima tingkat skrin infotainmen yang kini lebih besar bersaiz 10.1-inci berbanding 8-inci sebelumnya. Skrin berkenaan menyokong hubungan ke telefon pintar menerusi aplikasi Apple CarPlay Baidu CarLife+ dan Huawei HiCar.

    Honda Jazz 2026 dilancar di China – RM39k, facelift khas untuk habiskan stok, hanya varian ‘kosong’

    Honda juga menghasilkan Fit 2026 pasaran China ini hanya dalam satu varian sahaja – varian tunggal tersebut walau bagaimanapun bukanlah varian paling tinggi, sebaliknya dihasilkan dalam varian ‘kosong’ yang paling rendah. Jadi ia hanya datang dengan rim besi dengan penutup hab plastik, tempat duduk balutan fabrik, hanya dua pembesar suara, tiada beg udara tirai, tiada sistem kemasukan tanpa kunci, dan tiada sistem bantuan pemanduan Honda Sensing.

    Manakala untuk unit rangkaian kuasa, ia masih digerakkan oleh enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC dengan sistem suntikan terus menghasilkan 124 PS dan tork maksima 145 Nm, digandingkan dengan kotak gear CVT automatik. Untuk semua ini, Honda Fit facelift 2026 pasaran China ini dijual pada harga hanya 66,800 yuan (RM38,900), dan Honda memberikan waranti seumur hidup untuk enjin dan juga transmisi.

     
     
  • Rapid On-Demand dinaikkan kadar tambang tetap menjadi RM2 sehala mulai Februari 2026 – Prasarana

    Rapid On-Demand dinaikkan kadar tambang tetap menjadi RM2 sehala mulai Februari 2026 – Prasarana

    Prasarana telah mengumumkan bahawa perkhidmatan van Rapid On-Demand dinaikkan kadar tambang tetap menjadi RM2 sehala bermula Februari 2026. Tambang promosi RM1 telah wujud sejak fasa bukti konsep (proof-of-concept) pada tahun 2023 dan akan berakhir pada 31 Januari ini. Tambang baharu ini juga terpakai kepada pemegang pas My50, Rapid Kota, Rapid Kembara dan Rapid Keluarga.

    Di Lembah Klang, pemegang kad konsesi Rapid Pelajar dan Rapid Emas akan terus menikmati diskaun 50%, manakala perjalanan percuma diteruskan untuk pemegang kad konsesi Rapid Mesra (OKU) dan pemegang Pas Mutiara (di Pulau Pinang).

    Perkhidmatan van popular bagi perjalanan batuan pertama dan terakhir (first- and last-mile) telah mencapai jumlah penumpang harian melebihi 19,000 orang setakat akhir tahun 2025, dan kini terdapat 301 van Rapid On-Demand yang beroperasi di 82 zon di Lembah Klang dan Pulau Pinang.

    Rapid On-Demand dinaikkan kadar tambang tetap menjadi RM2 sehala mulai Februari 2026 – Prasarana

    Menurut Ketua Strategi dan Perancangan, Prasarana Malaysia Berhad, Sharul Azwa Abd Rani, sambutan terhadap perkhidmatan ini semakin positif selari dengan peningkatan kesedaran terhadap keperluan mobiliti setempat.

    “Berbeza dengan perkhidmatan tren dan bas henti-henti yang beroperasi mengikut jadual serta laluan tetap, Rapid On-Demand merupakan perkhidmatan yang bersifat unik, dengan zon perkhidmatan yang lebih dinamik dan hentian maya yang boleh disesuaikan mengikut keperluan operasi. Kadar operasi sebenar ini penting bagi menyokong kesinambungan perkhidmatan serta penambahbaikan berterusan kepada pengalaman pengguna.”

    Sejak 16 Januari lalu, Rapid On-Demand mula mengambil alih sebanyak 16 laluan bas perantara MRT dan tiga laluan bas Rapid KL standard (mewakili 7% daripada 291 laluan bas Rapid KL). Walau bagaimana pun, akses perkhidmatan untuk pengguna sedia ada kekal terjamin kerana perubahan operasi ini disokong melalui perkhidmatan Rapid KL On-Demand, yang boleh ditempah menerusi aplikasi Rapid On-Demand yang boleh dimuat turun di Google Play dan Apple App Store.

     
     
  • Kia EV2 ditunjuk — lebih kecil berbanding BYD Atto 2, tetapi bateri lebih besar, jarak hingga 448 km WLTP

    Kia EV2 ditunjuk — lebih kecil berbanding BYD Atto 2, tetapi bateri lebih besar, jarak hingga 448 km WLTP

    Barisan kenderaan EV Kia untuk pasaran global telah menerima pertambahan terbaru: model EV2. Merupakan SUV dalam segmen B dan pernah ditunjukkan dalam bentuk konsep pada tahun lalu, model ini lebih kecil berbanding BYD Atto 2, tetapi hadir dengan spesifikasi yang menarik.

    EV2 dibangun menggunakan binaan versi 400-volt bagi Electric Global Modular Platform (E-GMP) oleh kumpulan Hyundai — ini lebih besar daripada Hyundai Inster, dan lebih kecil berbanding EV3. Ia mempunyai ukuran dimensi 4,060 mm panjang, 1,800 mm lebar dan 1,575 mm tinggi — ini adalah 250 mm lebih pendek, 30 mm kurang lebar dan 100 mm lebih rendah berbanding Atto 2 — dengan jarak rodanya 55 lebih pendek dengan 2,265 mm.

    Kia EV2 ditunjuk — lebih kecil berbanding BYD Atto 2, tetapi bateri lebih besar, jarak hingga 448 km WLTP

    Perincian lengkap masih belum didedahkan, tetapi beberapa hal telah disahkan, misalnya EV2 akan ditawarkan dengan dua saiz bateri. Unit 42.2 kWh akan memberikan jarak 317 km dalam kitaran WLTP, sementara unit 61 kWh memberikan jarak sehingga 448 km dalam satu cas penuh. Pengcasan pantas DC bagi EV2 akan membolehkan SoC dari 10%-80% dicapai dalam masa 29 minit untuk bateri lebih kecil, dan dalam 30 minit untuk bateri besar. Pengecasan AC pula boleh sehingga 22 kW, dan masing-masing memerlukan 2 jam 35 minit dan 3 jam.

    Kia EV2 akan digerakkan oleh satu motor tunggal yang terletak di depan, dengan jumlah outputnya yang masih belum dinyatakan, serta dilengkapi dengan suspensi belakang jenis torsion beam yang menampilkan ciri bushing hidraulik yang berfungsi untuk mengurangkan bunyi dan gegaran ketika melalui bonggol. Selain itu, ada juga sistem stereng elektrik column-mounted dan nisbah stereng yang dioptimumkan untuk memudahkan belokan dalam bandar.

    Kia EV2 ditunjuk — lebih kecil berbanding BYD Atto 2, tetapi bateri lebih besar, jarak hingga 448 km WLTP

    Dari segi penggayaan, EV2 mewarisi banyak rekaan yang mirip dengan barisan EV lain Kia sebelumnya. Antaranya dengan lampu utama LED dua jalur melintang dengan DRL Star Map, lengkung depan dan belakang yang ketara, tiang C menegak dan fender hitam yang bersambung ke bahagian lampu belakang bentuk L. Dalam kemasan GT-Line, ia tampil lebih agresif dengan bampar warna badan, dan rim rekaan berkotak.

    Di dalam, EV2 mewarisi banyak ciri yang menarik dari model-model sebelumnya yang lebih besar, misalnya: panel paparan yang besar dengan paparan kluster instrumen dan infotainmen berkembar 12.3-inci serta skrin sentuh lima-inci untuk kawalan pendingin, serta suis fizikal untuk pendingin.

    Boleh dilihat juga papan pemuka yang dibungkis fabrik lembut yang dilanjutkan ke bahagian pintu depan. Lampu ambient berkelebaran penuh juga boleh mengikut rentak dan suasana. Kia menyatakan yang rekaan EV2 telah mengambil ilham daripada bekal perkelahan. Ada juga pengecas tanpa wayar 100-watt tersedia di bahagian tengah.

    Sebagai ciri standard, EV2 hadir dengan lima-tempat duduk, yang boleh dijadikan empat-tempat duduk untuk lebih ruang dan selesa bagi penumpang. Ruang but yang tersedia adalah seluas 403 liter jika kerusi diunjur ke depan sepenuhnya (362 liter dalam konfigurasi lima-tempat duduk). Ada juga ruang “frunk” di depan seluas 15 liter.

    Kia EV2 ditunjuk — lebih kecil berbanding BYD Atto 2, tetapi bateri lebih besar, jarak hingga 448 km WLTP

    EV2 juga hadir dengan ciri Connected Car Navigation Cockpit Lite (ccNC Lite) yang baru untuk memenuhi keperluannya yang lebih mampu milik. Antara ciri yang turut melengkapinya ialah Pet Mode, Kia AI Assistant, bantuan parkir jarak jauh, cermin pandang belakang digital dan sistem bunyi Harman Kardon.

    Untuk aspek keselamatan, EV2 hadir dengan ciri lengkap bantuan pemandu Kia, termasuk AEB, ACC dengan Stop/Go, bantuan ke tengah lorong, peninjau titik buta dengan penghindar perlanggaran, kamera titik buta, amaran lintasan trafik di belakang dengan Auto Brake, bantuan had laju, amaran bukaan pintu dan peninjau tahap perhatian pemandu.

     
     
  • Yamaha Ego Avantiz diberi penampilan baru untuk tahun 2026 – skuter 125 cc, harga masih kekal RM5,998

    Yamaha Ego Avantiz diberi penampilan baru untuk tahun 2026 – skuter 125 cc, harga masih kekal RM5,998

    Yamaha Ego Avantiz, yang sudah berada dalam pasaran Malaysia sejak tahun 2016 kini disegarkan semula dengan pilihan warna serta grafik baru, yang terdiri daripada hitam, biru dan hijau. Harganya masih seperti tahun lepas, iaitu RM5,998 tidak termasuk insurans.

    Sudah hampir 10 tahun dalam pasaran negara, Avantiz tidak pernah diberikan sebarang peningkatan teknikal atau perubahan besar, dan hanya warnanya sahaja yang ditukar hampir setiap tahun.

    Ciri teknikal dan spesifikasi skuter ini tidak berubah dan ia masih dipacu oleh enjin BlueCore satu silinder 125 cc berpenyejukan udara, dengan sistem suntikan bahan api elektronik (EFI), yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 9.4 hp pada 8,000 rpm dan 9.6 Nm tork pada 5,500 rpm.

    Transmisi yang digunakan adalah jenis automatik tali sawat V, dan ia menyediakan tangki bahan api berkapasiti 4.2 liter. Di bawah tempat duduk skuter ini, terdapat ruang simpanan 14 liter, dan bahagian hadapannya menggunakan lampu utama jenis LED yang lebih terang.

    Rim pada model ini adalah bersaiz 14 inci dan di hadapannya terdapat fork teleskopik, brek cakera dan tayar 70/90, manakala di belakang menggunakan satu penyerap hentak, brek jenis dram dan tayar 90/80. Berat keseluruhan adalah 96 kg.

     
     
  • Nissan Aura Nismo RS Concept di Tokyo Auto Salon – hatchback prestasi guna sistem hibrid X-Trail Nismo

    Nissan Aura Nismo RS Concept di Tokyo Auto Salon – hatchback prestasi guna sistem hibrid X-Trail Nismo

    Nissan secara rasmi memperkenalkan Aura Nismo RS Concept pada Tokyo Auto Salon tahun ini, dan penampilannya memang garang. Warna Dark Matte Nismo Stealth Gray memberi aura lebih agresif, sesuai dengan imej model konsep berprestasi tinggi. Secara asasnya, ia merupakan Nissan Note Aura Nismo yang dipertingkatkan dari segi rekaan dan prestasi, dengan penggunaan sistem e-Power siri hibrid daripada X-Trail Nismo.

    Bagi sistem rangkaian kuasa, Aura Nismo RS Concept menggunakan enjin 1.5 liter VC Turbo tiga silinder KR15DDT yang menghasilkan 144 PS dan 250 Nm. Enjin ini bertugas untuk mengecas bateri, seterusnya menyalurkan tenaga kepada motor elektrik hadapan berkuasa 204 PS dan 330 Nm, serta motor elektrik belakang dengan 136 PS dan 195 Nm.

    Sebagai perbandingan, Aura standard menggunakan enjin 1.2 liter tiga silinder tanpa turbo dengan 82 PS dan 103 Nm, dipadankan dengan motor elektrik hadapan 136 PS dan 300 Nm, manakala versi pacuan semua roda menerima motor elektrik belakang yang lebih kecil dengan 68 PS dan 100 Nm.

    Nissan Aura Nismo RS Concept di Tokyo Auto Salon – hatchback prestasi guna sistem hibrid X-Trail Nismo

    Untuk dimensi, model konsep ini mempunyai panjang 4,262 mm, lebar 1,880 mm, tinggi 1,485 mm dan jarak roda 2,580 mm. Ini menjadikannya 142 mm lebih panjang, 145 mm lebih lebar dan 20 mm lebih rendah berbanding Aura Nismo biasa.

    Perubahan ini jelas dapat dilihat melalui fender yang lebih lebar, rekaan splitter yang lebih menonjol serta suspensi yang direndahkan. Walaubagaimanapun, dengan berat 1,490 kg, Aura Nismo RS Concept adalah sekitar 100 kg lebih berat berbanding Aura Nismo standard.

    Elemen warna merah menjadi tarikan utama pada kit badan, termasuk pada diffuser belakang dan angkup brek. Sistem brek yang digunakan ialah jenis angkup piston bertentangan, dengan unit empat piston di hadapan dan dua piston di belakang.

    Fender yang direka untuk pengaliran udara lebih baik menempatkan rim aloi 18 inci lima jejari, dipadankan dengan tayar Michelin Pilot Sport 4 bersaiz 245/45. Dengan pakej prestasi dan rekaan sebegini, Aura Nismo RS Concept jelas memberi bayangan bahawa Nissan mungkin sedang bersedia untuk mencabar model hatchback berprestasi tinggi seperti Toyota GR Yaris pada masa hadapan.

     
     
  • Volvo ES90 telah dilihat di KL dengan pelekat penyamaran, akan dilancarkan di Malaysia bulan ini

    Volvo ES90 telah dilihat di KL dengan pelekat penyamaran, akan dilancarkan di Malaysia bulan ini

    Selepas pendaftaran minat dan juga teasernya disiarkan awal bulan ini, kelibat sedan EV baharu Volvo ES90 muncul di Bangsar – imej ini dirakam oleh rakan kami di paultan.org sendiri, Jordan Xavier. Namun sedan berkenaan masih lagi dibalut sepenuhnya dengan pelekat penyamaran, dengan tertera tulisan ‘PROJ SELAMAT’ besar pada sisi badan serta menggunakan nombor plat yang turut tertulis ‘SELAMAT’.

    Volvo ES90 telah disahkan oleh Volvo Car Malaysia (VCM) akan dilancarkan ke pasaran Malaysia bulan ini juga. ‘PROJ SELAMAT’ ini mungkin gimik pelancaran yang akan dibuat untuk sedan ini – Volvo dengan ‘selamat’ memang tidak boleh dipisahkan kan?

    Tarikh pelancaran, varian serta harganya masih belum diumumkan, namun VCM mengesahkan bahawa bagi 100 pelanggan terawal yang menempah model ini dengan membuat pendaftaran bermula 2 Januari hingga 31 Mac 2026 akan menerima insentif sebanyak 2%.

    Volvo ES90 telah dilihat di KL dengan pelekat penyamaran, akan dilancarkan di Malaysia bulan ini

    ES90 membuat kemunculan globalnya pada bulan Mac tahun lalu. Ia diasaskan dari platform Scalable Product Architecture (SPA2), namun tidak seperti EX90 yang diperkenalkan dengan sistem 400-volt untuk permulaan dan kemudian beralih kepada sistem 800-volt pada September tahun lalu, ES90 ini pula terus menerima sistem 800-volt untuk beroperasi.

    Ini membolehkan sedan ini menggunakan pengecas pantas DC sehingga 350 kW, membenarkan cas bateri dipenuhkan dari 10-80% dalam masa 22 minit serta mendapatkan jarak gerak sejauh 300 km hanya dalam masa 10-minit.

    Bagi pasaran Malaysia VCM menyatakan bahawa ES90 akan terus hadir dalam versi pemasangan tempatan (CKD) dengan diproduksi di Shah Alam. VCM turut mengesahkan bahawa model pasaran Malaysia ini dibekalkan dengan kuasa 333 PS dan tork maksima 480 Nm.

    Angka tersebut menunjukkan bahawa ia adalah dari varian Single Motor dengan hanya satu motor tunggal memacu roda belakang, dibekalkan dengan bateri NMC 92 kWj yang membolehkan ia bergerak sejauh 651 km dalam kitaran ujian WLTP, serta memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.6 saat. Pada pasaran lain ES90 turut hadir dengan pilihan varian Twin Motor dan Twin Motor Performance yang lebih berkuasa.

    Volvo ES90 telah dilihat di KL dengan pelekat penyamaran, akan dilancarkan di Malaysia bulan ini

    ES90 juga merupakan model pertama Volvo yang menampilkan sistem komputer Nvidia Drive AGX Orin sebagai sebahagian dari teknologi Superset, di mana ia mengawal fungsi AI, kelengkapan keselamaran, penderia-penderia kenderaan dan juga sistem pengurusan bateri.

    Model ini telahpun dilancarkan di Thailand pada Oktober tahun lalu di mana negara tersebut turut menerima hanya satu varian tunggal iaitu Ultra Single Motor, dijual pada harga 2.99 juta baht (sekitar RM386k) untuk model yang diimport sepenuhnya dari China.

    Dengan hadir terus dalam versi CKD, Volvo ES90 ini mungkin akan dijual dengan harga yang kompetitif di Malaysia kerana ia masih menerima insentif pengecualian duti dan eksais dari kerajaan. Agak-agak anda berapa harga jualannya nanti? Kongsikan bersama kami menerusi ruang komen di bawah atau di laman-laman sosial kami.

    GALERI: Volvo ES90

     
     
  • Chery Tiggo 8 dilancarkan di Malaysia – varian paling asas, 1.6L Turbo 197 PS/290 Nm, RM129,800 OTR

    Chery Tiggo 8 dilancarkan di Malaysia – varian paling asas, 1.6L Turbo 197 PS/290 Nm, RM129,800 OTR

    Chery Malaysia telahpun memperkenalkan varian baru paling asas untuk SUV segmen-D tujuh-tempat duduk Chery Tiggo 8, dikenali hanya sebagai Chery Tiggo 8 dan dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM129,800. Jadi model ini ditawarkan dengan harga yang jauh lebih mampu milik berbanding dua varian lebih tinggi iaitu Chery Tiggo 8 Pro dan Chery Tiggo 8 PHEV di mana kedua-duanya dijual pada harga RM159,800.

    Varian asas Tiggo 8 ini dijana hanya dengan enjin 1.6 liter empat-silinder turbo yang sama seperti Tiggo 7, menghasilkan kuasa 197 PS dan tork maksima 290 yang digandingkan dengan kotak gear automatik klac berkembar tujuh kelajuan. Sebagai perbandingan Tiggo 8 Pro dijana oleh enjin 2.0 liter turbo berkuasa 256 hp/390 Nm, manakala Tiggo 8 PHEV pula diberikan enjin 1.5 liter turbo dengan bantuan motor elektrik menghasilkan kuasa keseluruhan 279 PS/365 Nm.

    Ada beberapa kelengkapan luaran yang membolehkan Tiggo 8 ini dibezakan berbanding Tiggo 8 Pro. Pada bahagian muka, kedua-duanya nampak sama. Namun jika anda lihat dari belakang, varian asas ini tidak menerima jalur lampu yang merentangi sepenuhnya pintu tailgate belakang, sebaliknya digantikan dengan kemasan berwarna hitam, dan skrip ‘CHERY’ juga dialih ke sebelah atas.

    Chery Tiggo 8 dilancarkan di Malaysia – varian paling asas, 1.6L Turbo 197 PS/290 Nm, RM129,800 OTR

    Manakala pada bahagian bawah bampar boleh dilihat bahawa Tiggo 8 hanya menerima perumah tip ekzos tunggal pada bahagian kiri dan kanan, manakala pada Tiggo 8 Pro hadir dengan tip ekzos sebenar berbentuk oval serta berkembar yang keluar pada kedudukan yang sama. Model asas ini juga hanya diberikan rim aloi 18-inci dengan tayar 235/55R18 berbanding rim aloi 19-inci yang dibekalkan pada Tiggo 8 Pro.

    Pada sebelah dalam, Tiggo 8 ini juga menampilkan papan pemuka yang berbeza berbanding Tiggo 8 Pro di mana skrin infotainmen 12.3-inci di tengah tidak bercantum dengan skrin 10.25-inci untuk paparan instrumen digital. Bentuk liang-liang penghembus udara untuk pendingin hawa juga direka berbeza.

    Tiggo 8 ini turut diberikan satu lagi skrin untuk kawalan penghawa dingin dan ia bercantum dengan konsol tengah bersama tombol gear yang nampak serupa dengan konsol tengah Tiggo Cross yang lebih kecil.

    Chery Tiggo 8 dilancarkan di Malaysia – varian paling asas, 1.6L Turbo 197 PS/290 Nm, RM129,800 OTR

    Antara perincian lain yang turut dibekalkan pada varian asas ini termasuk sistem audio Sony dengan lapan-pembesar suara, hubungan Apple CarPlay dan Android Auto, cermin akustik dua lapisan, penghawa dingin automatik dua zon, bumbung suria kawalan elektrik dengan pelindung matahari, cermin pandang belakang auto-malap, lampu suasana kabin dan tempat duduk pemandu kawalan elektrik dengan fungsi memori.

    Untuk keselamatan, Tiggo 8 asas ini masih menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan fungsi penuh, serta diberikan kamera pemantau 360-darjah. Hanya dua warna badan ditawarkan untuk Tiggo 8 paling murah ini iaitu Dark Black dan Khaki White.

    Spesifikasi penuh Chery Tiggo 8 1.6 Turbo. Klik untuk besarkan

    Chery Malaysia memberikan waranti selama tujuh tahun atau 150,000 km serta waranti enjin selama 10-tahun atau sejuta km dengan setiap pembelian Tiggo 8 ini. Ia juga diberikan pakej servis percuma termasuk kos buruh dan alat ganti selama lima tahun serta Program Insuran Chery selama setahun.

    Varian terbaharu untuk Chery Tiggo 8 ini hanya akan berada di bilik pameran Chery seluruh negara bermula 24 Januari ini.

     
     
  • Toyota Hiace H200 facelift 2026 diperkenal di Jepun – lampu bi-LED, meter digital, TSS dipertingkat, dll

    Toyota Hiace H200 facelift 2026 diperkenal di Jepun – lampu bi-LED, meter digital, TSS dipertingkat, dll

    Van Toyota Hiace generasi kelima dengan kod casis H200 sudahpun lebih 20 tahun dalam pasaran, dan ia masih dijual di Jepun dan banyak lagi pasaran lain walaupun model generasi ke-enam iaitu Hiace H300 telah pun muncul dalam pasaran pada 2019. Namun sehingga kini tiada tanda-tanda produksi H200 ini akan dihentikan kerana di Jepun ia diberikan satu lagi facelift untuk 2026!

    Untuk kemaskini terbaharu Hiace H200 JDM ini menerima lampu hadapan bi-LED baharu yang lebih moden. Bampar dan juga gril hadapan masih lagi nampak sama, cuma lampu kabus telah ditukar dengan unit LED yang lebih kecil dan diberikan perumah yang nampak seiras dengan lampu kabus dari trak pikap Hilux. Lain-lain perincian luaran masih lagi nampak sama.

    Manakala pada sebelah dalam, H200 JDM ini menerima beberapa tingkat taraf dari segi perincian bermula dengan unit infotainmen dengan skrin sesentuh 8-inci baharu yang disokong oleh Apple CarPlay dan Android Auto, kamera 360-darjah, paparan instrumen digital sepenuhnya dengan skrin 7-inci, panel kawalan penghawa dingin baharu, roda stereng baharu, dua port USB-C serta tempat duduk hadapan baharu dengan fungsi pemanas.

    H200 JDM ini sudah pun menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Toyota Safety Sense (TSS) bermula pada versi kemaskini 2020. Bagi model 2026 ini sistem TSS tersebut dipertingkat untuk berfungsi dengan lebih baik, antaranya dengan penambahan brek kecemasan automatik yang kini turut boleh mengesan pejalan kaki, penunggang basikal dan motosikal, pengesan pelanggaran berhadapan di persimpangan, cruise control adaptif dan juga pengenal tanda trafik.

    Seperti biasa Hiace H200 di Jepun ditawarkan dalam tiga bentuk badan iaitu badan Standard, badan Wagon dengan bumbung lebih tinggi dan juga badan Commuter yang lebih lebar. Tiada perubahan dari penawaran unit rangkaian kuasa dan ia terus menerima tiga pilihan enjin iaitu turbodiesel 2.8 liter 1GD-FTV, petrol 2.7 liter 2TR-FE Dual VVT-i, dan juga petrol 2.0 liter 1TR-FE.

    Enjin-enjin tersebut digandingkan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan, dengan pilihan sama ada pacuan roda belakang atau dengan sistem 4WD. Model kemaskini ini akan mula dijual pada pasaran Jepun bermula 2 Februari 2026.

     
     
  • BMW Group Malaysia jual lebih 10,800 buah kenderaan pada tahun 2025 – turun 20% berbanding tahun 2024

    BMW Group Malaysia jual lebih 10,800 buah kenderaan pada tahun 2025 – turun 20% berbanding tahun 2024

    BMW Group Malaysia mengumumkan bahawa sepanjang tahun 2025, lebih 10,800 kenderaan daripada jenama BMW, MINI dan BMW Motorrad berjaya dijual di pasaran tempatan. Angka ini menunjukkan penurunan kira-kira 20 peratus berbanding lebih 13,500 unit yang direkodkan pada 2024. Pada tahun itu juga jualan menurun 10 peratus berbanding tahun 2023. Penurunan ini tetap berlaku meskipun BMW Group Malaysia sudah memperkenalkan sebanyak 37 model dan varian baru pada 2025, iaitu 10 model lebih banyak berbanding tahun sebelumnya.

    Daripada jumlah keseluruhan jualan, 55 peratus adalah kenderaan pemasangan tempatan atau CKD, menurun daripada 66 peratus pada 2024. Melihat kepada jumlah sebenar, perbezaan ini adalah sekitar 3,000 unit, selari dengan penurunan keseluruhan jualan.

    Prestasi kenderaan elektrik (EV) pula kekal mendatar dengan lebih 2,700 unit didaftarkan merangkumi ketiga-tiga jenama. Namun begitu, peratusan EV dalam keseluruhan jualan meningkat kepada 25.2 peratus berbanding 20.6 peratus pada 2024, disebabkan jumlah pasaran yang lebih kecil. Walaupun begitu, BMW Group Malaysia masih mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran EV premium di Malaysia, gelaran yang dipegang sejak 2020.

    Bagi jenama BMW, lebih 7,700 unit kenderaan dijual pada 2025, penurunan sebanyak 27 peratus atau kira-kira 2,800 unit berbanding tahun sebelumnya. Data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menunjukkan sebanyak 7,876 unit BMW didaftarkan, menjadikan anggaran bahagian grey market atau kenderaan recond sekitar 2.2 peratus.

    Model BMW paling laris pada 2025 sekali lagi adalah 3 Series dengan jualan melebihi 1,300 unit, walaupun mencatatkan penurunan hampir 50 peratus dari tahun ke tahun. Daripada jumlah ini, hampir 300 unit adalah varian 320i Sport yang dilancarkan pada bulan Jun.

    Model BMW kedua dan ketiga paling laris masing-masing adalah 5 Series dan X1. BMW 5 Series mencatatkan lebih 1,240 unit dengan peningkatan ketara sebanyak 57 peratus atau sekitar 450 unit, manakala X1 mencatatkan lebih 1,200 unit walaupun menurun 20 peratus berbanding 2024.

    Dalam segmen SUV, X1 kekal sebagai model paling laris untuk BMW. Bagi kenderaan elektrik BMW, iX2 muncul sebagai EV paling laku dengan lebih 460 unit, diikuti i5 dengan lebih 450 unit dan peningkatan 10.8 peratus, serta iX1 dengan lebih 340 unit dan lonjakan 41.1 peratus. Baru-baru ini, i5 mencipta sejarah sebagai EV BMW pertama pemasangan tempatan di Malaysia dan rantau Asia-Pasifik, manakala iX1 menerima tambahan varian jarak roda panjang.

    Jenama MINI pula mencatatkan jualan melebihi 1,500 unit pada 2025, meningkat 8.7 peratus atau kira-kira 100 unit berbanding 2024. Namun begitu, prestasi ini tidak mencukupi untuk mengekalkan MINI dalam senarai 20 jenama terlaris tahunan di Malaysia.

    BMW Group Malaysia jual lebih 10,800 buah kenderaan pada tahun 2025 – turun 20% berbanding tahun 2024

    Model MINI paling laris adalah Countryman dengan jualan melebihi 900 unit, meningkat 36 peratus atau sekitar 240 unit, termasuk lebih 200 unit versi elektrik. Ini diikuti oleh Aceman dengan 330 unit dan Cooper dengan 250 unit. Secara keseluruhan, MINI menjual lebih 700 unit EV pada 2025, peningkatan 15.2 peratus, dengan EV merangkumi hampir separuh daripada jumlah MINI yang dihantar kepada pelanggan.

    Dalam segmen dua roda, BMW Motorrad mencatatkan penghantaran melebihi 1,600 unit pada 2025, meningkat 3.8 peratus berbanding tahun sebelumnya. Segmen Adventure menyumbang lebih 990 unit dengan pertumbuhan kukuh sebanyak 30.6 peratus, diterajui oleh R 1300 GS Adventure.

    Segmen Mobiliti Bandar pula mencatatkan lebih 400 unit dengan peningkatan lapan peratus, diterajui oleh skuter elektrik CE 04 yang mencatatkan lebih 120 unit dan lonjakan 68 peratus. Secara keseluruhan, BMW Motorrad menghantar lebih 170 motosikal elektrik pada 2025, termasuk model CE 02, dengan pertumbuhan 18.5 peratus.

    Dari segi infrastruktur pengecasan, BMW Group Malaysia kini menawarkan akses kepada lebih 2,000 kemudahan pengecasan hasil kerjasama dengan rakan seperti Gentari, ChargEV, Yinson Greentech dan JomCharge. Selain itu, terdapat lebih 100 kemudahan pengecasan BMW i dan MINI di pengedar sah serta lokasi rakan kongsi di seluruh negara, dengan rancangan pengembangan lanjut bermula 2026 dan seterusnya.

    BMW Group Malaysia jual lebih 10,800 buah kenderaan pada tahun 2025 – turun 20% berbanding tahun 2024

    BMW Group Financial Services Malaysia pula membiayai lebih 4,440 kenderaan pada 2025, bersamaan kadar penembusan 41 peratus, termasuk lebih 1,200 transaksi yang dilakukan secara digital. Menariknya, unit ini mencatatkan kadar penembusan tertinggi bagi BMW Motorrad di rantau Asia-Pasifik pada 67.7 peratus.

    Dalam aspek eksport, BMW Group Malaysia telah menjual lebih 11,800 kenderaan ke Filipina dan Thailand setakat ini, mengekalkan kedudukannya sebagai pengeksport kenderaan premium terbesar dari Malaysia. Sebagai langkah pengukuhan operasi, syarikat turut bekerjasama dengan Neptune Reliance untuk membangunkan sebuah pusat pengedaran kenderaan di Selangor dengan keluasan binaan hampir 49,000 meter persegi dan kapasiti sehingga 3,000 kenderaan.

    Kemudahan ini akan dilengkapi sistem parkir hidraulik mekanikal serta ruang pengecasan EV, dengan pembinaan bermula pada Oktober 2025 dan operasi dijangka bermula pada Januari 2027.

     
     
  • Senarai harga BMW Malaysia 2026 – naik sehingga RM16k bersama waranti lanjutan, EV tidak berubah

    Senarai harga BMW Malaysia 2026 – naik sehingga RM16k bersama waranti lanjutan, EV tidak berubah

    BMW Malaysia mengemas kini senarai harga bagi model tahun 2026, dengan kebanyakannya mencatatkan kenaikan harga berbanding sebelum ini. Secara keseluruhan, kenaikan adalah sehingga RM16,000 atau sekitar dua peratus berdasarkan harga atas jalan termasuk waranti standard dua tahun tanpa insurans. Bagi kenderaan yang dilengkapi pakej BMW Service Repair Inclusive (BSRI) yang merangkumi waranti lanjutan dan servis, pelarasan harga adalah sehingga RM16,000 atau kira-kira 1.86 peratus.

    Bagi 2 Series, model 218 Sport kini dijual pada harga RM219,800, manakala harga bersama BSRI adalah RM241,500. Ini merupakan kenaikan RM1,000 atau 0.46 peratus berbanding harga rasmi yang diumumkan pada Julai 2025. Model berprestasi tinggi M2 pula mencatatkan kenaikan lebih ketara iaitu RM6,000 atau 0.92 peratus, menjadikan harga barunya RM656,800.

    Rangkaian 3 Series turut menerima kenaikan harga. Model asas 320i Sport meningkat sebanyak RM2,000 atau 0.75 peratus. Kenaikan lebih tinggi dicatatkan oleh 330i M Sport dan 330Li M Sport, masing-masing naik RM3,000, manakala M340i xDrive M Sport Pro meningkat RM4,000. Untuk model berprestasi M3 Competition M xDrive, harga dinaikkan sebanyak RM9,000, menjadikannya kenaikan tertinggi dalam keluarga 3 Series. Varian Edition 50 Jahre pula telah digugurkan daripada senarai.

    Senarai harga BMW Malaysia 2026 – naik sehingga RM16k bersama waranti lanjutan, EV tidak berubah

    Untuk 5 Series, varian 520i standard tidak lagi ditawarkan dan digantikan oleh 520i M Sport. Model ini RM7,000 lebih mahal berbanding sebelum ini, manakala 530i M Sport mencatatkan kenaikan RM8,000. Model prestasi tinggi M5 pula mengalami kenaikan harga sebanyak RM12,000.

    Model 630i GT M Sport yang sebelum ini mengisi jurang antara 5 Series dan 7 Series telah digugurkan untuk tahun 2026. Dalam keluarga 7 Series, varian plug-in hybrid 750e xDrive M Sport kini dijual pada harga RM685,800, meningkat RM8,000 berbanding sebelum ini. Harga bersama BSRI pula adalah RM734,500.

    Dalam segmen Sports Activity Vehicle (SAV), BMW X1 sDrive20i xLine mencatatkan kenaikan RM2,000, manakala X3 20 xDrive M Sport yang dilancarkan pada Jun 2025 meningkat RM5,000. BMW X4 pula naik RM2,000, sementara X5 xDrive40i M Sport tanpa sistem hibrid mengalami kenaikan kecil sebanyak RM1,000.

    Senarai harga BMW Malaysia 2026 – naik sehingga RM16k bersama waranti lanjutan, EV tidak berubah

    Untuk BMW X6, harga atas jalan standard meningkat RM1,000. Namun begitu, apabila pakej BSRI diambil kira, harga keseluruhan sebenarnya turun sebanyak RM3,700. Menurut BMW Malaysia, ini berikutan kos BSRI untuk model X6 telah dikurangkan bagi tahun model 2026.

    BMW X7 pula mencatatkan kenaikan RM5,000 untuk kedua-dua varian xDrive40i Pure Excellence dan M Sport. Sementara itu, BMW XM kini hanya ditawarkan dalam varian Label Red sahaja, dengan harga baru RM1,554,800, meningkat RM16,000 berbanding sebelumnya. Harga bersama BSRI adalah RM1,650,500. Model roadster Z4 turut menerima kenaikan RM5,000, meskipun model ini sudah berada di penghujung kitaran hayatnya.

    Senarai harga BMW Malaysia 2026 – naik sehingga RM16k bersama waranti lanjutan, EV tidak berubah

    Berdasarkan semakan, semua model elektrik BMW tidak mengalami sebarang perubahan harga untuk tahun 2026. Antara tambahan baru ialah BMW i5 eDrive40 M Sport Pro pemasangan tempatan, serta iX1 jarak roda panjang yang dianggarkan berharga RM255,000 tanpa BSRI, tertakluk kepada pengesahan rasmi.

    Akhir sekali, BMW X5 xDrive50e M Sport versi plug-in hybrid mengekalkan harga sedia ada. Model ini sebelum ini telah dinaikkan harga pada pertengahan 2025 kepada RM494,800, atau RM533,200 bersama BSRI dan harga tersebut kekal tidak berubah bagi memasuki tahun 2026.

     
     
  • JPJ eBid: Siri CFF dan PSC bakal dibuka bidaan

    Bagi yang sedang mencari nombor pendaftaran bagi kenderaan, ini ada siri terkini dari Pahang dan Pulau Pinang yang akan dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Pahang, CFF bakal dibuka bidaan bermula 20 Januari. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 24 Januari. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 25 Januari 2026. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Pulau Pinang, PSC, dibuka bidaan bermula 21 Januari 2026. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 25 Januari, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 26 Januari 2026.

    Memandangkan kini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran kenderaan yang diingini.

     
     
  • Honda NSX NA1 hasil restorasi rasmi Honda Heritage Works dan alat-alat ganti ‘repro’ didedah di TAS 2026

    Honda NSX NA1 hasil restorasi rasmi Honda Heritage Works dan alat-alat ganti ‘repro’ didedah di TAS 2026

    Industri restorasi kereta lama kini semakin berkembang dan mendapat permintaan tinggi dalam pasaran. Industri ini juga nampaknya mendapat perhatian dari pengeluar rasmi, bukan sahaja dari jenama Eropah dan Amerika, malah dengan ‘deman JDM’ melanda dunia, jenama dari Jepun kini begitu aktif dalam menghasilkan semula alat-alat ganti model lama serta menjalankan program restorasi kilang.

    Antara yang sudah menjalankan program ini termasuk Toyota dengan Gazoo Racing Heritage Parts dan juga Nissan yang tampil dengan program Nismo Heritage Parts dan restorasi rasmi. Terbaharu, Honda juga tidak mahu ketinggalan untuk merebut peluang perniagaan baharu ini – diumumkan pertama kali pada Jun tahun lalu, dan kemudian pada Disember 2025 Honda secara rasmi menamakan program tersebut sebagai Honda Heritage Works.

    Program ini bukan sahaja akan menghasilkan alat-alat ganti untuk model-model lagenda Honda, malah turut akan menjalankan proses restorasi sepenuhnhya yang dibuat oleh kakitangan Honda sendiri. Model pertama yang diumumkan untuk program ini adalah model generasi pertama Honda NSX iaitu NSX NA1.

    Ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon 2026 pada hujung minggu lalu, hasil pertama restorasi Honda Heritage Works telah pun didedahkan kepada umum. NSX NA1 berwarna merah berkenaan bukan sahaja disegarkan semula, malah ia tampil dalam keadaan standard sepenuhnya termasuk menggunakan set rim aloi asal dengan diameter 15-inci di hadapan dan 16-inci di belakang.

    Honda NSX NA1 hasil restorasi rasmi Honda Heritage Works dan alat-alat ganti ‘repro’ didedah di TAS 2026

    Malah Honda turut meletakkan cermin di atas lantai pameran untuk menunjukkan bahagian bawah NSX tersebut yang kini turut nampak baru seperti baru keluar dari kilang.

    Selain itu, Honda turut membawa beberapa komponen alat ganti NSX NA1 ini yang telah dihasilkan semula untuk dijual kepada pemilik-pemilik model tersebut. Antara yang dibawa termasuk panel dalaman pintu, kabel pembuka penutup but, serta komponen lebih serius termasuk blok dan aci sesondol enjin V6 C30A DOHC VTEC untuk NSX tersebut.

     
     
  • Pembinaan RTS Link berjalan lancar, dijangka mampu siap mengikut jadual hujung tahun ini – Loke

    Pembinaan RTS Link berjalan lancar, dijangka mampu siap mengikut jadual hujung tahun ini – Loke

    Projek Rapid Transit System (RTS) Link antara Johor Bahru dan Singapura buat masa ini berjalan lancar dan dijangka mampu siap mengikut jadual penghujung tahun ini, menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke, laporan Bernama. Katanya, kebanyakan pembinaan infrastruktur fizikal dilaporkan selesai dan telah memasuki fasa pemasangan sistem RTS.

    “Di dalam stesen, dari segi bangunan dan strukturnya telah siap. Kini kita sedang memasang sistem sebelum melakukan ujian sistem kerana tanpanya ia tidak boleh beroperasi. Jadi dalam tempoh beberapa bulan ini, banyak ujian akan dilakukan. Tren juga sedang diuji di trek di Johor Bahru. Kita berharap semuanya berjalan lancar dan boleh selesai pada Disember, dan operasi perkhidmatan ini boleh bermula pada Januari 2027,” kata Loke lagi.

    Pembinaan RTS Link berjalan lancar, dijangka mampu siap mengikut jadual hujung tahun ini – Loke

    Beliau menambah penggubalan rang undang-undang (RUU) baharu bagi memudah cara operasi kawalan sempadan secara bersama projek RTS Link dijangka dibentangkan di Parlimen pada persidangan akan datang dan ia penting sebelum boleh beroperasi kelak.

    “Tanpa undang-undang tersebut, kita tidak boleh mengadakan sistem kastam, imigresen dan dan kuarantin (CIQ), iaitu membenarkan imigresen Singapura duduk di Stesen Bukit Chagar (di JB) dan imigresen Malaysia duduk di sebelah Woodlands North (di Singapura). Ini adalah satu kerjasama dua negara yang telah dicapai dan persefahaman amat penting untuk memastikan keberkesanan RTS Link,”katanya.

    Ahli Parlimen Seremban itu turut menambah bahawa pembangunan bersepadu Bukit Chagar boleh melaksanakan model yang dilihat di Central, Hong Kong, di mana semua bangunan di kawasan itu dihubungkan melalui laluan pejalan kaki. Ia juga perlu disepadukan dengan JB Sentral, iaitu berjarak sekitar 300 meter. JB Sentral merupakan hab untuk tren KTM dan bas.

     
     
  • Proton X50 facelift dilancarkan di Brunei – bermula RM87k hingga RM109k, Saga MC3 selepas ini

    Proton X50 facelift dilancarkan di Brunei – bermula RM87k hingga RM109k, Saga MC3 selepas ini

    Proton International Corporation Sdn. Bhd. (PICSB) secara rasmi telah pun melancarkan Proton X50 facelift di Brunei, menjadikan negara tersebut pasaran pertama luar Malaysia yang menerima versi kemaskini terbaharu bagi SUV segmen-B berkenaan.

    Di sana X50 facelift ditawarkan dalam tiga varian yang sama seperti Malaysia, bermula dengan varian asas Executive dijual pada harga B$27,499 (sekitar RM87k), diikuti varian Premium berharga B$31,500 (RM99k) dan varian Flagship berharga B$34,500 (RM109k). Proton turut menawarkan diskaun bernilai B$1,500 (RM4.7k) untuk 100 pelanggan terawal.

    Setiap pembelian akan didatangkan dengan waranti pengeluar selama lima tahun atau 150,000 km serta enam kali servis buruh percuma.

    Proton X50 facelift ini menerima rombakan rupa yang besar yang menampilkan rupa baharu sepenuhnya pada bahagian muka, belakang dan juga papan pemuka. Perubahan besar turut diberikan pada unit rangkaian kuasa di mana enjin 1.5L tiga-silinder turbo sebelum ini telah digantikan dengan enjin baharu i-GT 1.5 liter empat silinder turbo.

    Enjin berkenaan menghasilkan kuasa 181 PS dan tork maksima 290 Nm, dipadankan dengan kotak gear klac berkembar automatik DCT tujuh-kelajuan.

    Di Brunei, X50 menyumbang 38% daripada jumlah jualan keseluruhan Proton, menjadikannya antara model SUV paling laris di pasaran tersebut, dakwa Proton. Untuk tahun ini PICSB mensasarkan untuk menjual sebanyak 1,000 unit kenderaan di Brunei, termasuk Proton Saga MC3 yang turut akan dilancarkan di sana tidak lama lagi.

    “Brunei merupakan pasaran luar negara pertama yang memperkenalkan Proton X50 baharu, mencerminkan keyakinan Proton terhadap Brunei sebagai pasaran eksport serta kepercayaan terhadap kerjasama jangka panjang kami bersama PAD Motors. Ia juga menekankan peranan penting Brunei dalam perjalanan antarabangsa Proton. Dengan model seperti Proton X50, Proton berada pada kedudukan yang kukuh untuk mencapai sasaran eksport 2026 dan mempercepatkan usaha ke arah aspirasi jangka panjang syarikat untuk mencapai 330,000 unit menjelang 2030, dengan 30% disumbangkan oleh pasaran eksport,” kata Wan Wei, Naib Presiden PPICSB.

     
     
  • JPJ Selangor keluarkan 2,712 saman terhadap kenderaan berat ingkar waktu laluan terhad tahun lalu

    JPJ Selangor keluarkan 2,712 saman terhadap kenderaan berat ingkar waktu laluan terhad tahun lalu

    Pada tahun lalu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor telah mengeluarkan sejumlah 2,712 saman terhadap kenderaan berat yang gagal mematuhi larangan waktu terhad dengan berada di lebuhraya pada waktu puncak, laporan Buletin TV3.

    Menurut Pengarah JPJ Negeri, Azrin Borhan, penguatkuasaan itu dilaksanakan menerusi Operasi Khas Waktu Laluan Terhad Kenderaan Berat bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap peraturan dan syarat larangan pergerakan kenderaan barangan.

    “Larangan pergerakan kenderaan berat itu dikuatkuasakan mulai jam 6.30 pagi hingga 9.30 pagi serta 4.30 petang hingga 7.30 malam, selari dengan waktu puncak pergerakan orang ramai pergi dan pulang ke tempat kerja.

    “Alasan yang paling banyak diberi ialah mereka nak kejar trip. Walaupun kita telah memberikan amaran ataupun pemakluman awal tentang waktu-waktu tertentu, tidak boleh masuk di jalan-jalan tertentu tapi masih ada yang berdegil,” katanya.

    Mengulas lanjut mengenai jumlah saman dikeluarkan tahun lalu, Azrin berkata, Lebuhraya ELITE-NKVE mencatatkan jumlah tertinggi dengan 1,347 kes, diikuti Lebuhraya Persekutuan (579 kes), Jalan Sungai Buaya (420 kes) dan Jalan Templer (366 kes).

    Katanya lagi, penguatkuasaan terhadap kesalahan melanggar larangan pergerakan itu dilaksanakan di bawah Subseksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) oleh pegawai pengangkutan jalan, pegawai polis atau warden trafik.

     
     
  • BMW 218 Gran Coupe ditawarkan gril Iconic Glow di Malaysia; tingkat taraf percuma untuk hanya 150 unit

    BMW 218 Gran Coupe ditawarkan gril Iconic Glow di Malaysia; tingkat taraf percuma untuk hanya 150 unit

    Ketika pelancaran BMW i5 CKD dan juga iX1 L semalam, BMW Malaysia turut mengumumkan bahawa ia kini menawarkan BMW 218 Gran Coupe dengan gril Iconic Glow yang bernyala kepada 150 unit model berkenaan secara percuma.

    Model ini dijual pada harga bermula RM219,800 dengan waranti standard selama dua tahun, atau RM241,500 denga pakej lanjutan waranti dan servis selama lima tahun. Ya, harga berkenaan memang naik RM1,000 dari sebelum ini, namun ia adalah harga baharu BMW 218 Gran Coupe untuk 2026. Jadi sekiranya habis 150 unit dijual, unit selepas itu masih akan dijual pada harga yang sama tetapi hanya dilengkapi dengan gril hadapan biasa.

    BMW 218 Gran Coupe generasi kedua dengan kod F74 ini mula dilancarkan pada pasaran Malaysia pada Jun tahun lalu, terus dalam versi pemasangan tempatan (CKD). Ia digerakkan oleh enjin petrol kitaran Miller tiga-silinder 1.5 liter turbo yang menghasilkan kuasa 156 hp dan tork maksima 230 Nm.

    Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi Steptronic klac berkembar tujuh-kelajuan, membolehkan BMW kompak pacuan hadapan ini memecut dari 0-100 km/j dalam 8.6 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 230 km/j.

     
     
  • Kia Carnival 2026 facelift kini di Malaysia — kekal 2.2L diesel, 11 dan 7-tempat duduk, dari RM188,888

    Kia Carnival 2026 facelift kini di Malaysia — kekal 2.2L diesel, 11 dan 7-tempat duduk, dari RM188,888

    Kia Sales Malaysia (KSM), syarikat baru kendalian langsung oleh syarikat induk Kia yang mengambil alih operasi dan pengedaran kenderaan jenama itu di Malaysia sejak 1 Januari lalu hari ini memperkenalkan model pertama mereka untuk pasaran tempatan, Kia Carnival 2026 facelift. Model ini tiba selepas dua tahun ia diperkenalkan dipasaran global, dan beberapa bulan selepas memasuki pasaran serantau seperti di Indonesia.

    Kia Carnival 2026 ini dipasang secara CKD di Kulim, Kedah, dan ditawarkan dalam dua konfigurasi tempat duduk dengan harga masing-masing seperti berikut:

    • Kia Carnival 2.2D 11-tempat duduk 2026 – RM188,888
    • Kia Carnival 2.2D 7-tempat duduk 2026 – RM248,888
    • *Harga atas jalan di Semenanjung, belum termasuk insuran dan cukai jalan.

    Untuk penawaran enjin pula, Kia Carnival di Malaysia masih ditawarkan dengan unit Smartstream 2.2-liter turbodiesel yang menjana sebanyak 202 PS pada 3,800 rpm dan 440 Nm tork dari 1,750 rpm-2,750 rpm. Enjin tersebut digandingkan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan dengan kuasanya disalurkan ke roda depan. Gandingan tersebut didakwa mampu memberikan bacaan kadar penggunaan bahan api gabungan sebanyak 6.5 liter bagi setiap 100 km, mengikut kitaran NEDC. Bagaimanapun, penawaran enjin hibrid 1.6 liter turbo — seperti di Thailand dan Indonesia — belum ditawarkan di Malaysia ketika pelancarannya.

    Kia Carnival 2026 facelift kini di Malaysia — kekal 2.2L diesel, 11 dan 7-tempat duduk, dari RM188,888

    Dari segi rekaan, MPV ini menampilkan beberapa kelainan yang membezakannya dari model lama. Bahagian depannya menerapkan falsafah Opposites United yang antaranya boleh dilihat di bahagian DRL Star Map yang khusus seperti yang terpampang di wajah depannya.

    Ini disertai juga dengan lampu utama LED menegak dan rekaan gril yang lebih lebar dan besar dan rekaan bampar baru yang lebih aerodinamik. Sementara di belakang pula diberikan lampu bentuk L terbalik juga dengan visual Star Map dan perumah nombor plat yang telah dialih ke bawah. Untuk rim, rekaan juga baru, dengan saiz 19-inci untuk varian 7-tempat duduk, dan 18-inci untuk 11-tempat duduk.

    Di dalam, Kia Carnival 2026 ini ditawarkan dengan konfigurasi tempat duduk 2-2-3 bagi versi 7-tempat duduk, manakala untuk versi 11-tempat duduk hadir dengan konfigurasi 2-3-3-3. Varian Carnival dengan 7-tempat duduk juga datang dengan kerusi Relaxion Premium dengan fungsi larasan di sisi untuk baris kedua bagi menambah keselesaan penumpang. Model  ini turut dilengkapi kerusi baris ketiga yang boleh dilipat rata, untuk menyediakan ruang kargo tambahan.
     
    Kia Carnival 2026 facelift kini di Malaysia — kekal 2.2L diesel, 11 dan 7-tempat duduk, dari RM188,888

    Sementara itu, varian Carnival 11-tempat duduk pula disertakan dengan kerusi tengah boleh dilipat di baris kedua dan ketiga bagi memudahkan penumpang belakang keluar masuk. Ada juga tujuh lot USB-C untuk semua.

    Rekaan papan pemuka kekal sama, dengan diberikan beberapa perubahan kecil. Ini termasuklah panel paparan skrin lebar panorama melengkung yang memuatkan skrin sentuh 12.3-inci untuk infotainmen, dengan kluster instrumen digital 12.3-inci untuk varian yang lebih lengkap.

    Suis kawalan audio dan pendingin juga telah disekalikan dalam satu panel sentuh seperti yang ada pada EV6. Ini membolehkan ruang simpanan lebih luas di bawah, dan tambahan jalur lampu ambient yang lebar sebagai tambahan di bawah corong pendingin.

    Bagi aspek keselamatan, Kia Carnival 2026 menyediakan lapan-beg udara, serta ciri-ciri keselamatan aktif seperti berikut: Bantuan Mengelak Perlanggaran Depan 2.0 (FCA 2.0), Bantuan Had Kelajuan Pintar (ISLA), Bantuan Pemanduan Lebuh Raya 2 (HDA 2), Bantuan Mengekalkan Lorong (LKA), Bantuan Mengikut Lorong (LFA), Amaran Perhatian Pemandu (DAW), Bantuan Lampu Tinggi (HBA), Bantuan Mengelak Perlanggaran Titik Buta (BCA), Bantuan Mengelak Perlanggaran Lalu Lintas Silang (RCTA) dan Amaran Penumpang Belakang (ROA).

    Kia Carnival 2026 didatangkan dengan empat pilihan warna badan: Meteor Grey, Snowflake White Pearl, Astra Blue dan Jet Black. Ia juga datang dengan tempoh jaminan lima-tahun/150,000 km.

    Kia Carnival 2026 — 7-tempat duduk

    Kia Carnival 2026 — 11-tempat duduk

    Gambar rasmi

     
     
  • Mitsubishi Xforce keluar teaser baharu – tayang sistem bunyi Yamaha dan papan pemuka balutan fabrik

    Mitsubishi Xforce keluar teaser baharu – tayang sistem bunyi Yamaha dan papan pemuka balutan fabrik

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah mengeluarkan teaser terkini bagi Mitsubishi Xforce baharu, susulan pengumuman rasmi mengenainya baru-baru ini. SUV segmen-B ini akan dibuka tempahan mulai awal Februari ini, kata MMM. Malahan pendaftaran minatnya (ROI) juga telah mula dibuka.

    Selepas menyiarkan teaser yang mendedahkan imej luaran Xforce, kini tiba masanya pula didedahkan ruang kabin termasuk papan pemukanya. “Luas, kemas dan direka dengan teliti untuk praktikaliti serta keselesaan. Lihat dengan lebih dekat bahagian dalaman Mitsubishi Xforce serba baharu, yang direka untuk pemanduan moden,” seperti yang dicatat menerusi kapsyen.

    Pastinya ciri dalaman yang paling menarik perhatian ialah pembesar suara Yamaha jenis ‘Coaxial-2Way’, yang bermaksud kita akan menerima Dynamic Sound Yamaha Premium System seperti yang ditawarkan di pasaran ASEAN lain. Memang agak ‘rare’ juga jenama sistem audio ini kerana ia jarang ditemui dalam segmen SUV jenama mainstream, tetapi ia cukup popular di kalangan penggemar audio.

    Bukan itu saja, menerusi teaser tersebut, dipaparkan papan pemuka balutan fabrik, ini antara ciri yang menarik perhatian. Teksturnya kelihatan sedikit kasar namun rekaan grey melange memberikan sentuhan yang lebih istimewa.

    Selain itu, kelihatan kabin Xforce bertema gelap dan menawarkan gabungan antara skrin digital dan butang fizikal. Jika spesifikasi yang dibawa sama seperti pasaran Indonesia, skrin infotainmen utama diberikan unit bersaiz 12.3-inci, manakala panel meter digital pula berukuran 8.0-inci. Satu perkara yang positif ialah panel kawalan penyaman udara masih menggunakan reka bentuk tradisional dengan butang kawalan, selain turut kelihatan ruang but SUV yang besar serta tempat duduk belakang dengan fungsi lipat 40:20:40.

    Memiliki ukuran dimensi panjang 4,390 mm, lebar 1,810 mm dan tinggi 1,660 mm serta jarak roda 2,650 mm, ia berada di antara Honda HR-V dan Toyota Corolla Cross dari segi saiz, dan juga sedikit lebih besar berbanding Perodua Traz yang baru dilancarkan dan Yaris Cross yang juga bakal memasuki pasaran tempatan tak lama lagi.


    Xforce ditampilkan dengan enjin petrol NA 1.5 liter 4A91 DOHC MIVEC yang sama seperi MPV Mitsubishi Xpander, mampu menghamburkan kuasa 105 PS pada 6,000 rpm dan tork maksima 141 Nm pada 4,000 rpm. Walau bagaimana pun, ia digandingkan dengan kotak gear CVT yang memacu hanya roda hadapan, berbanding transmisi automatik empat-kelajuan pada Xpander.

    Orang ramai boleh melihat Mitsubishi Xforce secara langsung menerusi program jelajah “roving truck activation” di seluruh negara. Dari 16 hingga 29 Januari, trak pameran ini akan menjelajah sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, sebelum bergerak ke Pulau Pinang, Perak dan Johor dari 5 hingga 15 Februari. Ia juga akan singgah di Kuantan dan Kelantan sebelum kembali semula ke Lembah Klang dari 1 hingga 15 Mac. Lokasi tepat dan maklumat terkini akan dikongsikan melalui media sosial MMM.

    Sekali lagi, Mitsubishi Xforce bakal dibuka tempahan mulai awal bulan hadapan dan bagi sesiapa yang sudah mendaftarkan minat untuk SUV ini bakal menerima jemputan bagi siri jelajah, pengumuman dan kemaskini produk eksklusif serta pengalaman berkaitan pelancaran, dan juga notifikasi bagi early-bird. Adakah anda teruja dengan Mitsubishi Xforce yang bakal dilancarkan ini? Kongsikan pendapat anda bersama kami.

    GALERI: Mitsubishi Xforce di GIIAS 2023

     
     
  • Peugeot 408 facelift 2026 diperkenal – PHEV 1.6L, hibrid 1.2L dan EV e-408 dengan jarak gerak 456 km

    Peugeot 408 facelift 2026 diperkenal – PHEV 1.6L, hibrid 1.2L dan EV e-408 dengan jarak gerak 456 km

    Peugeot secara rasmi memperkenalkan Peugeot 408 facelift 2026, iaitu versi kemas kini bagi model generasi ketiga yang mula dipasarkan pada pertengahan 2022. Berbeza daripada generasi terdahulu yang tampil sebagai sedan, Peugeot 408 generasi baru ini mengekalkan bentuk fastback crossover yang lebih moden dan sporty.

    Pembaharuan utama dapat dilihat pada bahagian hadapan menerusi rekaan lampu utama, lampu siang (DRL) dan gril. Identiti pencahayaan tiga ‘cakar’ ikonik Peugeot kini digunakan pada bahagian hadapan, melengkapkan rekaan lampu belakang sedia ada. Ia turut dipadankan dengan jalur lampu LED yang merentasi keseluruhan lebar muka hadapan, menjadikan penampilannya lebih agresif dan futuristik.

    Profil sisi kekal seperti versi sebelum facelift, namun kini ditawarkan dengan rekaan rim baru bersaiz antara 17 hingga 20 inci bergantung kepada varian. Di bahagian belakang pula, tulisan Peugeot kini tampil dengan pencahayaan, manakala pilihan warna baru Flare Green diperkenalkan sebagai tambahan kepada palet warna sedia ada.

    Peugeot 408 facelift 2026 diperkenal – PHEV 1.6L, hibrid 1.2L dan EV e-408 dengan jarak gerak 456 km

    Seiring dengan versi enjin pembakaran dalaman, Peugeot turut melancarkan Peugeot e-408 facelift versi elektrik sepenuhnya. Model ini masih menggunakan motor elektrik yang dipasang di bahagian hadapan, namun kuasanya kini meningkat kepada 213 PS dan tork 343 Nm.

    Tenaga disalurkan daripada bateri nikel mangan kobalt berkapasiti boleh guna 58.2 kWh, sama seperti sebelum ini, yang menawarkan jarak pemanduan sehingga 456 km mengikut kitaran WLTP. Pengecasan pantas DC sehingga 120 kW membolehkan bateri dicas dari 20 hingga 80 peratus dalam kira-kira 30 minit.

    Selain versi elektrik, barisan Peugeot 408 facelift turut merangkumi varian hibrid dan plug-in hybrid. Varian plug-in hybrid dikenali sebagai 408 Plug-in Hybrid 240 e-DCS7, yang menggabungkan enjin petrol 1.6 liter berkuasa 180 PS bersama motor elektrik 125 PS.

    Peugeot 408 facelift 2026 diperkenal – PHEV 1.6L, hibrid 1.2L dan EV e-408 dengan jarak gerak 456 km

    Gabungan ini menghasilkan kuasa keseluruhan 240 PS dan dipadankan dengan transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan, menggantikan kotak gear automatik lapan kelajuan pada model terdahulu. Bateri lithium-ion berkapasiti 14.6 kWh boleh dicas menggunakan wallbox 7.4 kW, dengan masa pengecasan penuh sekitar dua jam lima minit dan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya sehingga 85 km.

    Melengkapkan rangkaian trenkuasa ialah 408 Hybrid 145 e-DCS6 yang menggunakan enjin petrol turbo tiga silinder 1.2 liter berkuasa 145 PS, digabungkan dengan motor elektrik yang disepadukan dalam transmisi automatik enam kelajuan. Peugeot mendakwa penggunaan bahan api adalah serendah 5.0 liter bagi setiap 100 km, selain keupayaan pemanduan dalam mod elektrik sehingga 50 peratus masa pemanduan di kawasan bandar.

    Peugeot 408 facelift 2026 diperkenal – PHEV 1.6L, hibrid 1.2L dan EV e-408 dengan jarak gerak 456 km

    Bahagian dalaman Peugeot 408 facelift pula tidak mengalami perubahan besar, namun menerima kemasan upholsteri dan kemasan baru untuk memberikan suasana lebih segar. Ia masih dilengkapi dengan paparan kluster instrumen digital 10 inci dengan grafik baru serta skrin sentuh infotainmen 10 inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Varian lebih tinggi turut menerima sistem i-Connect Advanced yang merangkumi navigasi TomTom Connected, integrasi AI ChatGPT, fungsi geolokasi kenderaan dan pelbagai ciri tambahan.

    Kesemua varian Peugeot 408 facelift dihasilkan di Perancis. Model hibrid dan plug-in hybrid dipasang di Mulhouse, manakala versi elektrik e-408 dihasilkan di Trémery menerusi fasiliti usaha sama Stellantis-Nidec.

     
     
  • MINI Countryman S Fiery Stallion Edition dilancarkan di Malaysia – hanya 18 unit sempena CNY, RM260,888

    MINI Countryman S Fiery Stallion Edition dilancarkan di Malaysia – hanya 18 unit sempena CNY, RM260,888

    MINI Malaysia hari ini melancarkan model edisi terhad MINI Countryman S All4 Fiery Stallion Edition, yang dihasilkan sempena Tahun Kuda untuk sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini. Ia dibuat hanya 18 unit, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM260,888 dengan waranti standard selama dua tahun.

    Ini bermakna harga yang ditawarkan adalah sama seperti Countryman S All4 biasa. Pelanggan bertuah yang membeli model ini akan menerima beberapa perincian istimewa termasuk grafik sisi badan “galloping flames” yang nampak seperti api dan juga bentuk badan seekor kuda.

    Grafik berbentuk ladam kuda juga boleh ditemui pada penutup pengisi minyak. Ia turut diberikan lencana Fiery Stallion Edition yang diletakkan disebelah lencana ‘S’ pada gril hadapan serta kemasan bendul pintu dengan logo ‘Fiery Stallion Edition’ dan juga nombor siri 1/18 di mana nombor ‘118’ melambangkan ‘kemakmuran’ dan ‘permulaan baharu’.

    MINI Countryman S Fiery Stallion Edition dilancarkan di Malaysia – hanya 18 unit sempena CNY, RM260,888

    Ia juga hanya ditawarkan dalam satu pilihan warna badan iaitu Chilli Red II yang sememangnya melambangkan ‘ong’ untuk masyarakat Cina, serta bumbung dengan warna Vibrant Silver yang nampak seperti warna emas. Kunci model ini juga direka khas dengan menampilkan grafik fiery stallion.

    Selain dari itu, perincian model edisi terhad ini masih lagi sama dengan Countryman S All4 biasa. Jadi ia masih digerakkan oleh enjin petrol empat silinder 2.0 liter turbo B48, yang menghasilkan kuasa 204 PS dan tork maksima 300 Nm, digandingkan dengan kotak gear lapan kelajuan automatik dan juga sistem pacuan semua roda All4.

    Perincian luaran yang diberikan termasuk rim aloi 20-inci ‘Windmill Spoke’ kemasan dua-tona, lampu hadapan dan belakang LED dan juga pakej kemasan Favoured secara standard. Begitu juga pada bahagian dalam kabin model ini menerima Comfort Package Plus, yang memberikan cermin pandang belakang anti silau, kemasan bumbung anthracite serta sistem audio Harman Kardon dengan 12 pembesar suara.

    Kawalan sistem infotainmen dan kawalan pendingin hawa boleh diakses melalui skrin sesentuh OLED bulat 9.4 inci di tengah. Tiada paparan instrumen digital atau analog untuk pemandu di mana informasi pemanduan lain dipaparkan pada paparan head-up yang dipancar pada cermin di hadapan pemandu.

    Turut disediakan adalah MINI Intelligent Personal Assistant, yang memberikan kawalan suara untuk navigasi, telefon, hiburan dan pelbagai fungsi lagi. Ia juga masih mengekalkan tempat duduk sport hadapan John Cooper Works dengan balutan kulit tiruan Vescin Beading dalam kemasan Dark Petrol, lengkap dengan fungsi memori dan mengurut untuk pemandu.

    Untuk keselamatan pula, Countryman S Fiery Stallion Edition ini datang dengan sistem bantuan pemanduan menerusi pakej Driving Assistant, yang memberikan fungsi seperti Lane Change Warning, Lane Departure Warning, Speed Limit Information, Manual Speed Limit Assist, Cruise Control dengan brek, Front Collision Warning dengan AEB, Evasion Assistant, Rear Cross-Rraffic Warning dengan AEB, Rear-End Collision Prevention dan Exit Warning.

    MINI Countryman S Fiery Stallion Edition dilancarkan di Malaysia – hanya 18 unit sempena CNY, RM260,888

    Pakej Driving Assistant Plus juga diberikan, yang menampilkan fungsi Active Cruise Control dengan stop and go, Steering and Lane Control Assistant dan Speed Limit Assistant.

    Ia juga dibekalkan standard dengan Parking Assistant Plus, yang memberikan Park Assist, Reversing Assistant, Active Park Distance Control, Drive-off Monitoring, Rear Panorama View, Parking View, Panorama View, Remote 3D View, BMW Drive Recorder dan perakam anti kecurian luar.

    GALERI: Foto rasmi MINI Countryman S Fiery Stallion Edition 2026

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026