Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Nissan jual kilang produksi di Afrika Selatan kepada Chery – hampir semua pekerja diserap majikan baru

    Nissan jual kilang produksi di Afrika Selatan kepada Chery – hampir semua pekerja diserap majikan baru

    Seperti yang diketahui, Nissan kini dalam rancangan pemulihannya dengan penstrukturan semula operasi kepada skala lebih kecil melibatkan penutupan banyak kilang pemasangannya di seluruh dunia. Dan yang terbaharu, jenama Jepun berkenaan telah menutup kilang pemasangannya di Rosslyn, Afrika Selatan dan menjual aset tersebut kepada Chery.

    Perjanjian tersebut menyaksikan Chery bukan sahaja membeli tanah, bangunan serta aset-aset Nissan yang lain di fasiliti tersebut, malah termasuk sekali kilang stamping Nissan yang terletak berdekatan di mana penjualan ini akan dilengkapkan menjelang pertengahan 2026.

    Kilang Nissan di Rosslyn ini hanya menghasilkan trak pikap Navara, di mana produksinya akan dihentikan pada Mei ini. Manakala majoriti pekerja Nissan di kilang tersebut ditawarkan untuk terus berkerja di bawah Chery kelak dengan terma dan syarat yang hampir serupa.

    “Nissan mempunyai sejarah yang panjang dan membanggakan di Afrika Selatan dan telah berusaha mencari penyelesaian terbaik untuk kakitangan kami, pelanggan kami dan rakan kongsi kami. Faktor luaran telah memberi impak yang ketara terhadap penggunaan kilang Rosslyn dan daya maju masa hadapannya dalam Nissan,” kata Jordi Vila, presiden Nissan Afrika.

    “Melalui perjanjian ini, kami dapat menjamin pekerjaan untuk sebahagian besar tenaga kerja kami, sekali gus memelihara peluang untuk rangkaian pembekal kami. Langkah ini juga memastikan bahawa kilang Rosslyn akan terus menyumbang kepada sektor automotif Afrika Selatan,” tambahnya.

    Dalam kenyataan yang sama Nissan mengesahkan bahawa ia akan terus berada di pasaran Afrika Selatan, cuma tidak terlibat dengan operasi pemasangan tempatan.

     
     
  • Mitsubishi Xforce dikesan lagi di Malaysia – dibawa trak untuk siri jelajah seluruh negara hingga 15 Mac

    Mitsubishi Xforce dikesan lagi di Malaysia – dibawa trak untuk siri jelajah seluruh negara hingga 15 Mac

    Sejak kebelakangan ini, makin banyak pengeluar kereta mempromosikan model akan datang dengan mempamerkannya di dalam kotak lutsinar yang diletakkan di atas lori flat-bed (atau dalam segmen pemasaran dikenali sebagai roving truck). Ternyata kaedah ini antara promosi yang berkesan. Untuk kali ini, foto Mitsubishi Xforce ini dikongsikan oleh Faiz Arshad menerusi paultan.org Automotive/Car Discussion Facebook Group.

    Bermula 16 Januari lalu, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) mengumumkan siri jelajah SUV crossover terbaharunya, Xforce yang singgah di banyak lokasi di sekitar Lembah Klang dan akan ke negeri lain termasuk Pulau Pinang, Perak, Johor, Pahang dan Kelantan.Tanpa sebarang balutan penyamaran, Xforce dipamerkan khas untuk tatapan khalayak. SUV segmen B ini juga akan dibuka tempahan pada awal bulan hadapan, bermakna ia juga akan dilancarkan dalam masa terdekat ini.

    Memiliki ukuran dimensi panjang 4,390 mm, lebar 1,810 mm dan tinggi 1,660 mm serta jarak roda 2,650 mm, Xforce berada di antara Honda HR-V dan Toyota Corolla Cross dari segi saiz, dan juga sedikit lebih besar berbanding Perodua Traz yang baru dilancarkan dan Yaris Cross yang juga bakal memasuki pasaran tempatan tak lama lagi.

    Xforce ditampilkan dengan enjin petrol NA 1.5 liter 4A91 DOHC MIVEC yang sama seperi MPV Mitsubishi Xpander, mampu menghamburkan kuasa 105 PS pada 6,000 rpm dan tork maksima 141 Nm pada 4,000 rpm. Walau bagaimana pun, ia digandingkan dengan kotak gear CVT yang memacu hanya roda hadapan, berbanding transmisi automatik empat-kelajuan pada Xpander.

    Mitsubishi Xforce di atas tral bergerak di Malaysia

    Mitsubishi Xforce dikesan di Malaysia

    Teaser Mitsubishi Xforce untuk Malaysia

    Mitsubishi Xforce di GIIAS 2023

     
     
  • Panggilan semula Volvo EX30 di Malaysia – tak sampai 200 unit terjejas, pemilik-pemilik sudah diberitahu

    Panggilan semula Volvo EX30 di Malaysia – tak sampai 200 unit terjejas, pemilik-pemilik sudah diberitahu

    Minggu lalu Volvo telah mengumumkan panggilan semula terhadap model EX30 di seluruh dunia, di mana ia berpotensi menyebabkan kebakaran. Wakilnya di Malaysia iaitu Volvo Car Malaysia (VCM) tidak berlengah turut mengumumkan perkara yang sama, dan ketika pelancaran Volvo ES90 semalam, syarikat itu berkongsi beberapa butiran lagi berkenaan perkara tersebut.

    Kerika menjawab soalan kami berkenaan panggilan semula ini, pengarah urusan VCM Chris Wailes memberitahu bahawa ia hanya melibatkan beberapa kumpulan EX30 yang diproduksi antara 2024 dan 2025 dengan jumlah tidak sampai 200 unit, dan ia dibuat hanya sebagai langkah pencegahan.

    Ini kerana VCM sendiri tidak mengetahui berapa unit kenderaan yang mengalami masalah tersebut, jadi kesemua unit dalam kumpulan produksi berkenaan dipanggil untuk diperiksa bagi tujuan berjaga-jaga.

    “Untuk memastikan keselamatan, kerana kami adalah Selamat, itu yang kami lakukan,” kata Wailes. “Kami tak boleh cakap ‘Volvo dikenali kerana keselamatan’ dan kemudian duduk tak buat apa-apa, jika kami percaya ada potensi kecil – potensi yang sangat kecil – dari masalah itu. Adalah lebih baik untuk bertindak dan telus berkenaan perkara tersebut, dan itu yang kami buat,” tambahnya.

    Panggilan semula Volvo EX30 di Malaysia – tak sampai 200 unit terjejas, pemilik-pemilik sudah diberitahu

    Buat masa sekarang masih lagi belum ada garis masa yang menyatakan bila langkah pembaikan muktamad akan disediakan, namun Wailes menjelaskan bahawa “ketika kita sedang bercakap, ada sepasukan kakitangan R&D di Gothenburg secara aktif, 24/7, bekerja untuk menyediakan pembaikan tersebut,” dan VCM akan memberikan lebih maklumat sebaik sahaja diterima.

    Beliau menambah bahawa VCM telahpun memberitahu pemilik-pemilik kumpulan terlibat berkenaan panggilan semula ini, dan menegaskan hanya mereka terjejas akan menerima surat. “Yang lain, kereta baru yang anda tengok hari ini, ia datang dengan bateri yang berlainan dan tidak terjejas.”

    Secara spesifiknya panggilan semula ini adalah melibatkan bateri nikel mangan kobalt (NMC) 69 kWj yang dibekalkan pada EX30 akan menjadi terlampau panas apabila di cas semula pada kadar tinggi, namun ia adalah sangat jarang untuk terjadi.

    Panggilan semula Volvo EX30 di Malaysia – tak sampai 200 unit terjejas, pemilik-pemilik sudah diberitahu

    Dalam keadaan yang paling teruk, ia mungkin akan memulakan kebakaran pada bateri. Menurut Volvo kejadian yang sudah berlaku direkodkan dalam jumlah yang sangat sedikit, dan unit-unit yang telah dikenalpasti terjejas hanyalah 0.02% dari jumlah keseluruhan EX30 yang telah terjual. Volvo juga mengesahkan tiada laporan yang melibatkan kecederaan dan kehilangan nyawa dicatatkan setakat ini.

    Sebelum langkah pembaikan diumumkan, Volvo menasihatkan pemilik agar tidak mengecas bateri pada EX30 masing-masing pada kadar melebihi 70%. Had pengecasan berkenaan boleh dibuat menerusi pelarasan Charging dalam menu pada skrin infotainmen.

    Volvo EX30 diasaskan dari platform Sustainable Experience Architecture (SEA) yang sama dan menggunakan sistem mekanikal yang serupa dengan smart #1, smart #3 dan Zeekr X. Namun masih belum diketahui adakah panggilan semula ini turut akan melibatkan model-model tersebut.

     
     
  • Projek naiktaraf Lebuhraya Senai-Desaru kini capai kemajuan 53.19%, dijangka siap April 2027 – KKR

    Projek naiktaraf Lebuhraya Senai-Desaru kini capai kemajuan 53.19%, dijangka siap April 2027 – KKR

    Menteri Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengesahkan bahawa projek menaiktaraf Lebuhraya Senai–Desaru (SDE) telah mencapai kemajuan 53.19% setakat 15 Januari 2026.

    “Berdasarkan laporan kemajuan tapak setakat 15 Januari 2026, projek ini menunjukkan prestasi yang sangat memberangsangkan. Kemajuan fizikal sebenar telah mencapai 53.19% siap, iaitu 0.02% lebih awal dari jadual. Ini mencerminkan tahap pengurusan projek dan penyelarasan di tapak yang baik antara semua pihak terlibat.

    “Untuk makluman, projek ini dilaksanakan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dengan kos kontrak berjumlah RM128.5 juta, dan dijangka siap sepenuhnya pada April 2027,” katanya selepas melawat sendiri lokasi projek berkenaan baru-baru ini.

    Projek naiktaraf Lebuhraya Senai-Desaru kini capai kemajuan 53.19%, dijangka siap April 2027 – KKR

    Projek menaiktaraf SDE ini melibatkan pembinaan dari dua lorong kepada empat lorong di laluan terlibat bermula dari Jambatan Sungai Johor di KM 49.3 hingga Sungai Semenchu di KM 58.7 yang melibatkan jajaran sepanjang 9.34 km.

    Nanta berkata, projek ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan bagi mengurangkan kesesakan, meningkatkan kapasiti, keselamatan serta keselesaan pengguna SDE, khususnya di laluan strategik yang menghubungkan kawasan perindustrian, pelabuhan dan destinasi pelancongan di Johor.

    Tambahnya, kementeriannya akan terus memantau rapat pelaksanaan projek ini agar ia dapat disiapkan dengan kualiti terbaik demi manfaat semua pengguna jalan raya.

     
     
  • Toyota GR Yaris Sebastien Ogier 9x World Champion Edition – hanya 200 unit, talaan khas 4WD GR-Four

    Toyota GR Yaris Sebastien Ogier 9x World Champion Edition – hanya 200 unit, talaan khas 4WD GR-Four

    Toyota secara rasmi melancarkan model edisi terhad Toyota GR Yaris Sebastien Ogier 9x World Champion Edition – model ini sebenarnya sudahpun didedahkan di Tokyo Auto Salon di Jepun dua minggu lalu, namun pelancaran rasminya untuk peringkat global hanya dibuat semalam, iaitu hari permulaan pusingan pertama Kejohanan Rali Dunia (WRC) musim ini di Rally Monte Carlo 2026.

    Jangan keliru dengan GR Yaris Sebastien Ogier Edition yang dilancarkan pada tahun 2024, kerana GR Yaris Sebastien Ogier 9x World Champion Edition ini adalah versi baharu untuk meraikan gelaran juara dunia ke-9 yang dinobatkan kepada pemandu rali kelahiran Perancis itu dalam WRC 2025.

    Ogier merampas semula takhta kejuaraan tersebut pada musim lalu walaupun hanya memandu untuk pasukan Toyota Gazoo Racing World Rally Team (TGR-WRT) secara sambilan iaitu hanya dalam 11 dari 14 pusingan yang dipertandingkan, di mana beliau memperolehi 10 kedudukan podium dan menang enam perlumbaan. Rekod baharu ini membolehkan Ogier menyamai rekod seorang lagi pelumba Perancis yang turut bergelar juara dunia sebanyak sembilan kali iaitu Sebastien Loeb.

    Berbalik kepada model edisi terhad bagi meraikan kejayaan tersebut ini, ia diasaskan dari GR Yaris Aero Performance Package yang diperkenalkan di Jepun pada September tahun lalu, kemudian ditambah dengan perincian-perician dengan input dan ‘selera’ dari Sebastien Ogier sendiri.

    Toyota GR Yaris Sebastien Ogier 9x World Champion Edition – hanya 200 unit, talaan khas 4WD GR-Four

    Jadi model ini menerima kit aero yang dibina oleh pasukan TGR dan juga input dari pelumba ketika berlumba dalam perlumbaan endurance siri Super Taikyu dan juga perlumbaan rali di Kejohanan Rali Jepun (JRC), yang terdiri dari penutup hud hadapan aluminium dengan liang aliran udara, spoiler bawah bampar hadapan, liang pengalir udara pada kedua-dua fender hadapan, spoiler belakang lebih besar dengan sudut sayap yang boleh dilaras dan juga sepasang liang pengalir udara pada bampar belakang.

    Kemudian badan model istimewa ini dilayangkan dengan warna Black Gravite, sempena warna utama hitam matte pada livery perlumbaan jentera rali GR Yaris Rally1 yang dipandu oleh Ogier dalam WRC musim lalu. Rim aloi GR Yaris ini juga datang dalam kemasan hitam matte, dengan angkup brek yang diserlahkan dengan warna biru signatur Ogier. Lencana berwarna biru-putih-merah turut diberikan pada gril hadapan bagi melambang bendera Perancis.

    GR Yaris istimewa ini turut menerima pelekat dengan grafik Toyota Gazoo Racing istimewa yang diposisikan pada bahagian bawah sisi badan. Ia juga datang dengan cermin hadapan yang mempunyai tandatangan ‘Morizo’, iaitu nama samaran bagi pengerusi Toyota, Akio Toyoda yang juga merupakan ‘Master Driver’ Gazoo Racing.

    Dalam kabin, Toyota GR Yaris Sebastien Ogier 9x World Champion Edition ini diberikan roda stereng yang sama seperti satu lagi model edisi khas yang didedahkan di TAS 2026 iaitu GR Yaris Morizo RR. Roda stereng tersebut menampilkan diameter lebih kecil, diberikan modul beg udara berbeza dan diberikan logo ‘GR’ di tengah, bersama suis-suis kawalan dengan kedudukan seperti kereta lumba sebenar yang didakwa dipelajari dari suis-suis kawalan pada roda stereng jentera rali GR Yaris Rally2.

    Toyota GR Yaris Sebastien Ogier 9x World Champion Edition – hanya 200 unit, talaan khas 4WD GR-Four

    Namun apa yang berbeza, roda stereng pada GR Yaris Sebastien Ogier 9x World Champion Edition ini dibalut dengan kulit (balutan sued pada Morizo RR) bersama serlahan jahitan dengan benang berwarna biru-putih-merah. Juga model istimewa ini datang standard dengan tuil brek tangan menegak ala-kereta rali sebenar (ia adalah perincian opsyenal untuk GR Yaris varian RC di Jepun) yang turut dibalut kulit dengan serlahan benang biru-merah-putih.

    Kokpit model istimewa ini dilengkapkan dengan plat nombor siri unik bersama grafik memperingati kejayaan Sebastien Ogier yang dilekat pada papan pemuka sebelah penumpang.

    Tiada perubahan angka kuasa dinyatakan, di mana GR Yaris Sebastien Ogier 9x World Champion Edition ini masih dibekalkan dengan enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga silinder turbo yang sama, menghasilkan kuasa 304 PS dan tork maksima 400 Nm. Tiada varian dengan kotak gear automatik GR DAT lapan-kelajuan ditawarkan, di mana model edisi terhad ini hadir eksklusif dengan kotak gear manual enam-kelajuan.

    Walaupun masih dibekalkan dengan jumlah kuasa yang sama, model edisi istimewa ini masih diberikan talaan prestasi khas iaitu pada sistem pacuan semua roda GR-Four dengan menampilkan dua mod istimewa iaitu mod ‘SEB’ dan mod ‘MORIZO’ bagi menggantikan mod Track dan Gravel pada versi biasa.

    Untuk SEB, agihan tork akan diberikan sebanyak 40% pada gandar hadapan dan 60% pada gandar belakang bagi membolehkan kawalan kereta di selekoh dibuat menerusi kuasa pada gandar belakang, dalam masa yang sama mengekalkan kadar responsif pada roda stereng.

    Menurut Toyota mod SEB ini dihasilkan bersama Sebastien Ogier bagi mensasarkan catatan masa lebih pantas dibuat dalam perlumbaan dengan meningkatkan rasa bersatu antara pemandu dan kereta ,serta memberikan kawalan kereta lebih baik pada kelajuan tinggi.

    Manakala untuk mod MORIZO pula ia merupakan mod kawalan 4WD yang dibuat dengan memaksimakan hubungan antara gandar hadapan dan belakang bagi mendapatkan cengkaman ketika memecut, dan ‘melonggarkan’ hubungan tersebut ketika membrek bagi memdapatkan prestasi membelok lebih baik.

    Mod ini dibina sendiri menerusi ujian-ujian yang dibuat oleh Morizo dalam perlumbaan litar dan rali, dan ia digemari oleh Sebastien Ogier sendiri.

    Toyota GR Yaris Sebastien Ogier 9x World Champion Edition ini hanya dihasilkan sebanyak 200 unit seluruh dunia, di mana 100 unit untuk pasaran Jepun, dan 100 unit lagi untuk diagih-agihkan kepada beberapa negara di pasaran Eropah. Ia akan mula dijual pada musim luruh tahun ini – untuk pasaran Jepun pelanggan yang berminat perlu membuat cabutan menerusi loteri yang boleh dibeli melalui aplikasi “GR App”.

    GALERI: Toyota GR Yaris Sebastien Ogier 9x World Champion Edition di Tokyo Auto Salon 2026

    GALERI: Imej rasmi Toyota GR Yaris Sebastien Ogier 9x World Champion Edition

     
     
  • Tesla Model 3 Standard tiba di Malaysia dengan harga RM147,600, Tesla paling murah di Malaysia setakat ini

    Tesla Model 3 Standard tiba di Malaysia dengan harga RM147,600, Tesla paling murah di Malaysia setakat ini

    Hanya beberapa bulan selepas pengenalan globalnya Oktober tahun lalu, Tesla Model 3 Standard kini telah muncul dalam senarai di laman tempahan Tesla Malaysia dengan harga bermula RM147,600. Dengan ini, ia sekarang menjadi model Tesla baru paling mampu milik yang pernah ditawarkan di pasaran Malaysia setakat ini.

    Melalui pengenalan Model 3 Standard ini juga, barisan Model 3 sedia ada iaitu RWD, LR RWD dan LR AWD kini menerima penjenamaan baru dengan penambahan gelaran “Premium” dan dikenali sebagai rangkaian Tesla Model 3 Premium. Terletak paling atas dalam keluarga Model 3 masih lagi adalah Tesla Model 3 Performance.

    Perbezaan utama antara Model 3 Standard RWD dan Model 3 Premium RWD dapat dilihat pada jarak pemanduan dan prestasi. Varian Standard menawarkan jarak pemanduan sehingga 534 km mengikut kitaran WLTP, sedikit lebih jauh berbanding Premium RWD yang mencatatkan 520 km. Dari segi pecutan, Model 3 Standard hanya ketinggalan 0.1 saat, dengan masa 0 hingga 100 km/j dalam 6.2 saat.

    Tesla Model 3 Standard tiba di Malaysia dengan harga RM147,600, Tesla paling murah di Malaysia setakat ini

    Dari luar, Model 3 Standard boleh dikenali menerusi rekaan rim baru bersaiz 18 inci yang dinamakan Prismata, dan ia tidak menawarkan pilihan naik taraf kepada rim 19 inci Nova. Pilihan warna badan juga lebih terhad, di mana selain warna standard Stealth Grey, pembeli hanya boleh memilih Pearl White atau Diamond Black, masing-masing dengan bayaran tambahan RM5,000.

    Perubahan yang lebih ketara dapat dilihat di bahagian kabin. Sistem audio kini menggunakan tujuh pembesar suara berbanding sembilan unit pada Premium RWD dan fungsi radio FM turut digugurkan. Jalur lampu suasana yang sebelum ini merentasi papan pemuka dan panel pintu juga tidak lagi ditawarkan, begitu juga lampu pada ruang simpanan pintu.

    Stereng kini hanya boleh dilaras secara manual, manakala kawalan pelarasan tempat duduk pada sisi tempat duduk telah dikeluarkan sepenuhnya dan digantikan dengan kawalan melalui skrin sesentuh. Walaupun begitu, fungsi memori tempat duduk masih tersedia melalui profil pemandu. Cermin sisi masih boleh dilaras secara elektrik, namun fungsi redup automatik telah dikeluarkan.

    Tesla Model 3 Standard tiba di Malaysia dengan harga RM147,600, Tesla paling murah di Malaysia setakat ini

    Bahan yang digunakan di bahagian dalam juga diubah, dengan tempat duduk dan kemasan pintu kini menggunakan fabrik, berbanding balutan kulit dan microsuede pada varian Premium. Tempat duduk hadapan hanya dilengkapi fungsi pemanas tanpa pengudaraan, manakala tempat duduk belakang pula kehilangan fungsi pemanas. Skrin sentuh untuk penumpang belakang juga tidak lagi ditawarkan dan larasan penghawa dingin belakang kini perlu dibuat secara manual.

    Pada bahagian mekanikal, Model 3 Standard menerima sistem suspensi pasif sepenuhnya, sama seperti model sebelum versi Highland. Ini berbeza dengan varian Highland Premium yang menggunakan penyerap hentak jenis frequency dependent.

    Selain perubahan yang dinyatakan, kelengkapan lain kekal hampir sama. Model 3 Standard masih didatangkan dengan Basic Autopilot sebagai ciri standard, lengkap dengan sistem kamera yang turut berfungsi sebagai kamera papan pemuka. Pilihan naik taraf kepada Enhanced Autopilot dan Full Self-Driving masih ditawarkan kepada pelanggan yang berminat.

    Menariknya, Tesla Malaysia tidak memperkenalkan Model Y Standard secara serentak, walaupun varian tersebut di pasaran lain menampilkan perbezaan visual yang lebih ketara berbanding Model Y “Premium”. Ini menjadikan Model 3 Standard sebagai satu-satunya model “Standard” baru dalam rangkaian Tesla Malaysia buat masa ini.

     
     
  • Tesla Model Y Long Range RWD kini di Malaysia – jarak gerak WLTP 661 km, harga dari RM216,450

    Tesla Model Y Long Range RWD kini di Malaysia – jarak gerak WLTP 661 km, harga dari RM216,450

    Tesla Malaysia telah memperkenalkan satu varian baru untuk Model Y di pasaran tempatan. Bukan versi Performance seperti yang mungkin dijangka, sebaliknya ia adalah Tesla Model Y Long Range Rear-Wheel Drive (LR RWD), yang ditawarkan pada harga RM216,450.

    Dari segi spesifikasi, Model Y LR RWD ini berkongsi banyak persamaan dengan varian RWD standard. Ia dilengkapi sistem audio dengan sembilan pembesar suara, sama seperti RWD dan tidak menerima sistem audio premium 15 pembesar suara serta satu subwoofer yang ditawarkan pada varian Long Range All-Wheel Drive (LR AWD).

    Varian LR RWD ini menggunakan motor tunggal yang memacu roda belakang, namun dengan kuasa yang sedikit lebih tinggi berbanding RWD biasa. Hasilnya, pecutan dari 0 hingga 100 km/j dapat dicapai dalam masa 5.6 saat, lebih pantas daripada RWD yang mencatatkan 5.9 saat, tetapi masih ketinggalan berbanding LR AWD yang mencatatkan masa 4.8 saat.

    Tesla Model Y Long Range RWD kini di Malaysia – jarak gerak WLTP 661 km, harga dari RM216,450

    Untuk varian ini, pilihan naik taraf kepada rim 20 inci Helix 2.0 tidak ditawarkan, berbeza dengan RWD dan LR AWD yang mempunyai pilihan tersebut. Keputusan ini dipercayai bertujuan untuk mengekalkan jarak pemanduan maksimum LR RWD yang mencecah 661 km mengikut kitaran WLTP.

    Angka ini jauh lebih tinggi berbanding RWD yang menawarkan jarak 466 km, serta LR AWD dengan 600 km. Rim yang lebih besar dijangka memberi kesan kepada kecekapan dan mungkin mengurangkan jurang jarak pemanduan antara LR RWD dan LR AWD.

    Unit yang dipaparkan ini merupakan Model Y LR RWD pertama di Malaysia dan ia turut menampilkan kemas kini terkini yang diumumkan awal bulan ini. Antara penambahbaikan tersebut termasuk skrin sesentuh tengah bersaiz lebih besar iaitu 16 inci serta kemasan dalaman berwarna hitam pada bahagian bumbung dan pelapik tiang.

    Dengan kehadiran varian ketiga Model Y di Malaysia, persoalan kini tertumpu kepada langkah seterusnya daripada Tesla. Adakah versi Model Y Performance akan diperkenalkan selepas ini atau mungkin Model Y Standard bagi melengkapi Model 3 Standard yang baru sahaja diperkenal? Tidak mustahil juga jika Tesla mempertimbangkan Model Y versi enam tempat duduk atau tujuh tempat duduk seperti yang ditawarkan di pasaran Amerika Syarikat.

    Secara keseluruhan, Tesla Model Y LR RWD hadir sebagai pilihan tengah yang menarik antara RWD dan LR AWD. Ia menawarkan jarak pemanduan paling jauh dalam barisan Model Y, dengan prestasi yang lebih baik daripada RWD, namun pada harga yang lebih rendah berbanding LR AWD. Persoalannya, adakah varian ini pilihan paling seimbang untuk pembeli di Malaysia?

     
     
  • JPJ ‘cekup’ 573 ulat teksi di KLIA, kutip denda lebih RM2 juta dari 2023-2025; kereta boleh dilucutkan hak

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah melakukan 573 tangkapan dan mengutip denda melebihi RM2 juta berkaitan kegiatan ulat teksi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2 antara tahun 2023 hingga 2025, laporan Berita RTM.

    Menurut Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan, pihaknya mengambil pendekatan serius dan agresif dalam melaksanakan pemantauan secara berterusan terhadap kegiatan menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen atau secara haram di Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA menerusi pelaksanaan Operasi Ulat (OPS Ulat).

    Statistik menunjukkan bahawa pada tahun 2025, sebanyak 211 tangkapan telah berjaya direkodkan, melibatkan 189 kes menggunakan kenderaan persendirian, 19 kes menggunakan kenderaan perkhidmatan awam, manakala tiga tangkapan dibuat tanpa melibatkan kenderaan.

    JPJ ‘cekup’ 573 ulat teksi di KLIA, kutip denda lebih RM2 juta dari 2023-2025; kereta boleh dilucutkan hak

    “‘Ulat’ ini menawarkan perkhidmatan kereta sewa kepada orang awam yang tiba di balai ketibaan dengan caj penghantaran tinggi antara RM80 hingga RM150 ke Kuala Lumpur dan sekitarnya, berbanding teksi biasa atau Limo antara RM65 hingga RM80 sahaja,” katanya dalam sidang media di KLIA petang semalam.

    Beliau menegaskan bahawa JPJ akan mengenakan tindakan tegas terhadap individu yang menjalankan kegiatan ‘ulat’ termasuk lucut hak kenderaan terhadap pesalah kali kedua dan seterusnya.

    “Kami telah berjaya mengambil tindakan (lucut hak) yang pertama pada tahun lepas. Mulai tahun ini, mana-mana kereta ditahan atas aktiviti ‘mengulat’ untuk kali kedua dan seterusnya akan dikenakan tindakan pelucutan hak.

    “Berdasarkan siasatan, satu hari mereka boleh dapat antara RM500 hingga RM1,000, Jadi kalau katakan mereka buat aktiviti ‘mengulat’ ni berterusan 20 hari dalam sebulan, mereka boleh menampung denda mahkamah,” katanya.

    Individu yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 205(1), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010), yang memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima (5) tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Selain itu, mana-mana pihak yang bersubahat dalam aktiviti ‘ulat’ juga boleh didakwa di bawah Seksyen 243(1) akta yang sama. Kenderaan yang terlibat turut boleh disita dan dilucuthakkan di bawah Seksyen 227 APAD 2010.

    Tambahnya, JPJ memandang serius kegiatan yang mementingkan keuntungan peribadi secara haram ini dan akan terus mengambil tindakan tegas bagi membendung aktiviti ‘ulat’ di kawasan KLIA.

     
     
  • Volvo EX60 didedah – pengecasan DC sehingga 400 kW, jarak gerak 810 km WLTP, akan tiba di Malaysia

    Volvo EX60 didedah – pengecasan DC sehingga 400 kW, jarak gerak 810 km WLTP, akan tiba di Malaysia

    Volvo EX30 terlalu kecil dan EX90 terlalu besar? Ini dia tuan-tuan, Volvo hari ini mendedahkan SUV EV baharu dengan saiz yang anda cari – ini dia Volvo EX60! Menurut Volvo, EX60 merupakan model pertamanya yang akan bersaing dalam “pasaran kenderaan elektrik paling besar dari segi jarak gerak, kelajuan mengecas, prestasi dan juga harga”.

    EX60 bukanlah versi ‘skala lebih kecil’ untuk EX90 kerana ia merupakan model yang diasaskan dari platform Scalable Product Architecture generasi ketiga (SPA3), berbanding EX90 yang masih menggunakan platform SPA2. Ketika membuat penampilan sulung global hari ini, Volvo turut mendedahkan EX60 dalam versi lebih lasak iaitu EX60 Cross Country.

    SUV dengan konfigurasi lima-tempat duduk ini dihasilkan dengan dimensi panjang 4,803 mm, lebar 1,899 mm, tinggi 1,635 mm serta jarak roda sejauh 2,970 mm. Manakala jarak trek roda pula adalah 1,655 mm di hapadan dan 1,640 mm di belakang.

    Volvo EX60 didedah – pengecasan DC sehingga 400 kW, jarak gerak 810 km WLTP, akan tiba di Malaysia

    Tiga varian unit rangkaian kuasa ditawarkan untuk EX60 iaitu P6 Electric, P10 Electric dan juga P12 Electric, di mana setiap setiap varian tersebut akan ditawarkan dalam dua varian penggayaan buat permulaan iaitu varian pertengahan Plus dan tertinggi Ultra. Selepas itu ia akan ditambah dengan satu lagi varian penggayaan dengan perincian paling asas iaitu Core.

    P6 Electric merupakan varian paling asas untuk unit rangkaian kuasa, menampilkan hanya sebuah motor elektrik berkuasa 364 PS dan tork 480 Nm yang memacu hanya roda belakang, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.9 saat. Varian ini dibekalkan dengan bateri 83 kWj membolehkan ia bergerak sejauh 620 km dalam kitaran ujian WLTP.

    Beralih ke varian P10, ia hadir dengan dua motor elektrik masing-masing memacu gandar hadapan dan belakang bagi memberikan ia kebolehan pacuan semua roda, menghasilkan kuasa keseluruhan 510 PS dan tork 710 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.6 saat. Varian ini diberikan bateri 95 kWj, memberikan jarak gerak WLTP 660 km.

    Volvo EX60 Cross Country

    Manakala varian tertinggi P12 Electric pula, ia masih datang dalam konfigurasi dua-motor AWD tetapi dibekalkan kuasa lebih besar iaitu 680 PS dan tork 790 N. Ini membolehkan ia memecut dari 0-100 dalam masa 3.9 saat, dan disertakan dengan bateri 117 kWj bagi membolehkan ia bergerak sejauh 810 km dalam kitaran WLTP.

    Platform SPA3 ini juga menampilkan seni bina elektrikal lebih maju – ia mampu menerima pengecas pantas DC sehingga 400 kW, membolehkan jarak gerak sejauh 340 km ditambah dengan pengecasan hanya selama 10 minit. Untuk memenuhkan cas dari 10-80% pula hanya mengambil masa 19 minit. Malah semua varian EX60 juga menerima kebolehan pengecas dua-arah pada kadar 22 kW AC.

    Untuk mekanikal, platform SPA3 ini memberikan suspensi jenis double wishbone pada bahagian hadapan dan juga suspensi jenis bebas di belakang dengan sistem lima-sambungan. Bergantung pada varian, kesemua tetapan tersebut hadir dengan pilihan sama ada suspensi biasa yang menggunakan penyerap hentak hidraulik, atau suspensi aktif yang menggunakan penyerap hentak separa-aktif. EX60 ini juga ditawarkan dengan set roda dengan pilihan rim berdiameter sehingga 22-inci.

    Bagi EX60 Cross Country pula, ia tidak dibezakan dengan pemandanan kit pelindung badan seperti lazimnya diberikan pada model-model Cross Country Volvo yang lain. Menurut Volvo versi Cross Country ini diberikan suspensi 20 mm lebih tinggi, dan diberikan sistem suspensi udara membolehkan badannya dinaikkan lagi sehingga 20 mm sekiranya diperlukan.

    EX60 Cross Country ini hanya akan hadir dalam dua varian unit rangkaian kuasa iaitu P10 AWD Electric dengan jarak gerak sejauh 640 km WLTP yang akan diperkenalkan terlebih dahulu, diikuti oleh P12 AWD dengan jarak gerak yang lebih jauh selepas itu.

    Masuk ke kabin, EX60 nampaknya tidak diberikan papan pemuka dengan rekaan sangat ringkas seperti pada EX30 dan EX90. Pada bahagian penumpang hadapan, papan pemuka tersebut direka ‘bertangga’ dan ia kemudian bersatu menjadi hanya satu aras di hadapan bahagian pemandu.

    Skrin ‘terapung’ pada bahagian tengah diletakkan dengan kedudukan mendatar, dan kalau anda perasan tiada liang penghembus udara untuk pendingin hawa pada bahagian tengah papan pemuka tersebut. Manakala liang penghembus sisi pula direka sangat panjang pada bahagian masing-masing.

    Juga tiada sebarang suis kawalan fizikal diletakkan pada bahagian bawah skrin dan konsol tengah di mana akses pantas akan diberikan pada skrin infotainmen, manakala penukar ‘PRND’ diberikan pada kolum stereng. Paparan instrumen yang nipis diberikan kepada pemandu, bersama roda stereng berbentuk oblong yang tidak sama dengan yang diberikan pada EX30 dan EX90.

    Untuk skrin sistem infotainmen, Volvo menyatakan bahawa ia merupakan skrin sesentuh “dengan pengalaman pengguna paling responsif dalam mana-mana kereta Volvo sehingga kini” tanpa sebarang lag terjadi ketika digunakan. Sistem bantuan arahan suara juga didakwa kini “lebih mudah memahami penumpang”.

    Menurut Volvo lagi EX60 merupakan model pertamanya akan dilancarkan bersama pembantu AI Google iaitu Gemini, di mana Volvo menyatakan bahawa ia akan membolehkan penumpang dalam kabin “berbual dengan lebih semula jadi dan lebih peribadi” dengan bantuan AI tanpa perlu mengingati arahan-arahan spesifik.

    Manakala audio akan dialunkan dalam kabin menerusi sistem bunyi Bowers & Wilkins dengan 28 pembesar suara, termasuk pembesar-pembesar suara yang di’tanam’ pada perehat kepala empat tempat duduk utama. EX60 ini juga merupakan Volvo pertama yang telah menerima pra-pemasangan Apple Music dan Dolby Atmos.

    Menerusi EX60 juga Volvo memperkenalkan fungsi Navi Pilot Assist, di mana Volvo mengesahkan bahawa pemandu boleh melepaskan tangan terus dari roda stereng dan membiarkan sistem berkenaan menetapkan arah kenderaan serta membantu untuk menukar lorong di lebuhraya pada kelajuan 130 km/j.

    Volvo EX60 ini nampaknya bakal hadir ke pasaran tempatan – Volvo Car Malaysia (VCM) belum mengesahkan bila ianya akan dilancarkan di sini, namun ia memberikan pentunjuk dengan menyatakan “tak kira anda merancang perjalanan dari Johor ke Perlis, membuat perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang, atau mengembara dari Sabah ke Sarawak, SUV baharu Volvo EX60 elektrik sepenuhnya akan sentiasa bersama anda”, seolah-olah membayangkan varian P12 yang boleh bergerak sejauh 810 km turut akan dibawa kelak.

    GALERI: Volvo EX60

    GALERI: Volvo EX60 Cross Country

     
     
  • Aveta Nova 250 diperkenalkan dengan dua warna baru – Nordic Blue terhad 688 unit, harga RM14,888

    Aveta Nova 250 diperkenalkan dengan dua warna baru – Nordic Blue terhad 688 unit, harga RM14,888

    Baru beberapa bulan dilancarkan untuk pasaran Malaysia, Aveta Nova 250 kini boleh didapati dalam dua warna baru iaitu Titan Red dan Nordic Blue, sebagai tambahan kepada warna Emerald Green dan Metro Grey sebelum ini. Harga bagi warna Titan Red, Emerald Green dan Metro Grey adalah sama seperti waktu pelancaran tahun lepas, RM14,388 tidak termasuk insurans.

    Walaubagaimanapun, warna Nordic Blue dijual RM1,000 lebih tinggi, menjadi RM14,888, kerana pengeluarannya dibuat terhad hanya 688 unit. Menambahkan lagi eksklusivitinya adalah bar pemegang aluminium serta pelekat logo Aveta di bahagian panel tepi.

    Nova 250 digerakkan oleh enjin satu silinder penyejukan cecair SOHC 244.3 cc, dipadankan bersama transmisi automatik CVT, mampu menghasilkan kuasa 25.5 hp pada 8,250 rpm dan tork 23 Nm pada 6,500 rpm. Enjin ini antaranya menggunakan sistem suntikan bahan api daripada Bosch dan mempunyai nisbah mampatan 11.5:1.

    Aveta Nova 250 diperkenalkan dengan dua warna baru – Nordic Blue terhad 688 unit, harga RM14,888

    Menghubungkan skuter ini kepada jalan adalah rim 14 inci dengan tayar 120/70 di hadapan, dan 13 inci dengan tayar 130/70 di belakang, dan ia masing-masing dipegang oleh fork teleskopik serta dua penyerap hentak gas.

    Tugas penghentian pula dijalankan oleh tetapan cakera tunggal dengan angkup empat piston di hadapan, cakera tunggal dengan angkup dua piston di belakang, bersama sistem ABS dual-channel. Turut membantu sistem keselamatan adalah kawalan cengkaman.

    Nova 250 juga datang dengan pelbagai kelengkapan moden termasuk lampu LED, sistem kunci pintar, pemerhati tekanan angin tayar, soket pengecas USB-C, perakam video hadapan serta panel meter TFT-LCD tujuh inci dengan fungsi screen mirroring. Tangki bahan api berkapasiti 12 liter.

     
     
  • TQ Wuling Bingo – pemasangan dalam negara bermula

    TQ Wuling Bingo – pemasangan dalam negara bermula

    Selepas sebulan dilancarkan di pasaran Malaysia, TQ Wuling kini mengesahkan bahawa pemasangan tempatan (CKD) bagi model elektrik kompaknya, Bingo EV telah bermula secara rasmi di kilang Tan Chong Motor Assemblies (TCMA) di Segambut. Ini juga menandakan Bingo EV sebagai kenderaan elektrik pertama yang dipasang secara CKD oleh Tan Chong.

    Menurut kenyataan media yang dikeluarkan, TQ Wuling akan melaksanakan pendekatan pengeluaran secara berperingkat pada fasa awal, dengan keupayaan untuk meningkatkan jumlah pengeluaran selaras dengan permintaan pasaran dan perkembangan segmen EV di Malaysia. Pendekatan ini dilihat sebagai langkah berhati-hati dalam menilai penerimaan pasaran sebelum meningkatkan skala pengeluaran.

    Ketua Perniagaan TQ Manufacturing, Wan Wei Sun, berkata permulaan pemasangan tempatan TQ Wuling Bingo EV bukan sekadar pelancaran satu model baru, sebaliknya mencerminkan pelaburan jangka panjang serta keyakinan syarikat terhadap Malaysia sebagai pasaran dan hab pengeluaran penting.

    TQ Wuling Bingo – pemasangan dalam negara bermula

    Beliau turut menegaskan bahawa gabungan kepakaran global SAIC-GM-Wuling dalam teknologi EV dengan pengalaman lama Tan Chong dalam bidang pembuatan akan membantu membina kepercayaan melalui kualiti, mengukuhkan ekosistem tempatan dan meletakkan asas pertumbuhan mampan untuk masa hadapan.

    Di Malaysia, TQ Wuling Bingo EV ditawarkan dalam dua varian iaitu Pro pada harga RM67,800 dan Max pada RM72,800. Sebagai model CKD, Bingo EV menikmati pengecualian cukai sehingga akhir 2027. Selain itu, 500 pembeli terawal layak menerima rebat RM5,000, menjadikan harga masing-masing RM62,800 dan RM67,800.

    Pakej pemilikan turut merangkumi jaminan bateri EV selama lapan tahun atau 120,000 km, jaminan motor penggerak selama lapan tahun atau 160,000 km, ansuran bulanan serendah RM625, pengecas rumah 7 kW, pengecas tiga pin, cermin gelap solar serta 17 manfaat insurans termasuk perlindungan EV, yang keseluruhannya dianggarkan bernilai lebih RM12,000.

    Jika dibandingkan dengan Proton eMas 5 yang dijual pada julat harga sekitar RM57,000 hingga RM70,000, TQ Wuling Bingo EV menawarkan jarak pemanduan yang sedikit lebih baik serta dilengkapi tempat duduk pemandu berkuasa dan cermin sisi lipat berkuasa, ciri yang tidak ditawarkan pada mana-mana varian eMas 5.

    Namun begitu, Proton eMas 5 membalas dengan kelebihan seperti sistem bantuan pemandu termaju (ADAS), pintu belakang berkuasa, kamera 360 darjah yang ditawarkan pada varian Premium, ruang simpanan hadapan (frunk), pengecasan DC yang lebih pantas – dari 30 hingga 80 peratus dalam masa 21 minit bagi semua varian, serta konfigurasi lima tempat duduk.

    GALERI: TQ Wuling Bingo

     
     
  • Tidak perlu tunjuk bukti perjalanan ke luar negara untuk dapat kad fizikal lesen memandu mulai 23 Jan

    Tidak perlu tunjuk bukti perjalanan ke luar negara untuk dapat kad fizikal lesen memandu mulai 23 Jan

    Rakyat Malaysia tidak lagi perlu menunjukkan bukti perjalanan ke luar negara untuk memohon kad fizikal lesen memandu (LMM) mulai esok (23 Januari 2026). Permohonan boleh dibuat di semua kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara, dengan bayaran sebanyak RM20 untuk warganegara Malaysia dan RM100 untuk bukan warganegara. Manakala warga emas berumur 60 tahun ke atas, pemegang lesen Kelas A1 dan A, serta orang kurang upaya (OKU) berdaftar boleh mendapatkan kad fizikal LMM secara percuma.

    “Orang awam mempunyai pilihan untuk memohon kad fizikal LMM di semua kaunter JPJ dan UTC di seluruh negara, dan permohonan tidak lagi terhad kepada kategori tertentu,” kata Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

    MOT berkata pihaknya sentiasa mengumpul maklum balas agar penambahbaikan berterusan boleh dilaksanakan. Antaranya adalah permintaan kad fizikal LMM oleh sesetengah rakyat Malaysia yang mahu melancong dan memandu di luar negara. Berdasarkan peraturan sedia ada, individu berkenaan boleh memohon kad fizikal LMM dengan menunjukkan bukti keluar negara seperti tiket penerbangan.

    “Sebagai langkah mengurangkan karenah birokrasi, JPJ telah diarahkan agar tidak lagi meminta bukti keluar negara,” kata MOT.

    Bagi mereka yang selesa menggunakan lesen memandu digital (e-LMM), mereka boleh terus mengaksesnya melalui aplikasi MyJPJ, yang juga membolehkan pembaharuan dilakukan dengan mudah tanpa perlu hadir ke kaunter. e-LMM merupakan sebahagian daripada pelan pendigitalan kerajaan yang turut menyaksikan pengenalan cukai jalan kenderaan digital (e-LKM) pada Februari 2023.

     
     
  • Lepas Malaysia sasar 30 pengedar tahun ini — bakal diperkenal secara rasmi pada separuh pertama 2026

    Lepas Malaysia sasar 30 pengedar tahun ini — bakal diperkenal secara rasmi pada separuh pertama 2026

    Lepas Malaysia (yang disebut “leap-pass”) telah merancang untuk membuka sekurang-kurangnya 20 cawangan jualan dan servis di negeri utama di Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur, dengan sasaran besarnya adalah untuk mempunyai 30 cawagan menjelang penghujung 2026.

    Dalam satu kenyataan rasmi, syarikat itu juga menyatakan akan memperkenalkan Pusat Pengalaman Gaya Hidup di Lembah Klang sebagai sebuah ruang menyeluruh bagi orang awam meneroka zon gaya hidup yang ditampilkan, serta untuk mereka mempelajari tentang teknologi yang ditawarkan oleh Lepas.

    “Direka untuk generasi yang berkeyakinan, kreatif dan terhubung, Lepas dibangun untuk individu yang inginkan keseimbangan dalam kerjaya, keluarga serta minat, serta mereka yang inginkan sebuah kenderaan sebagai cerminan kepada diri dan gaya hidup mereka,” jelas Naib Presiden Eksekutif, Chery Corporate Malaysia.

    Lepas Malaysia sasar 30 pengedar tahun ini — bakal diperkenal secara rasmi pada separuh pertama 2026

    “Dalam persediaan kami untuk pengenalan sulung pada 2026 ini, tumpuan adalah untuk memastikan pengalaman pelanggan berada pada tahap terbaik, selari dengan teknologi yang ditampilkan. Rangkaian yang semakin berkembang menandakan permulaan kepada komitmen jangka panjang terhadap pasaran Malaysia,” tambahnya.

    Pengenalan rasmi di sini dijangka dilakukan pada separuh pertama 2026, walaupun belum dinyatakan model mana yang pertama akan dilancarkan. Ketika ini, Lepas mempunyai tiga model dalam barisan penawarannya — L4, L6 dan L8 — yang semuanya dibangunkan menggunakan platform NEV global Chery.

    Seperti dilaporkan sebelumnya, model L8 yang merupakan versi rebadge kepada Chery Tiggo 8 generasi kedua, dijangka menjadi model pertama diperkenalkan di sini. Sementara itu, model L6 yang lebih kecil akan berada dalam segmen C SUV, sementara L4 yang paling kecil dalam segmen A.

     
     
  • Honda UC3 mula dijual di Vietnam – skuter elektrik dengan jarak gerak 122 km, laju maksimum 80 km/j

    Honda UC3 mula dijual di Vietnam – skuter elektrik dengan jarak gerak 122 km, laju maksimum 80 km/j

    Honda memperkenalkan skuter elektrik terbarunya, UC3 ke pasaran Vietnam, dijual pada harga bermula 96.4 juta dong (RM15k). Jika dibandingkan dengan Vario 160 yang dijual pada harga 52 juta dong (RM8k) di negara itu, UC3 adalah lebih mahal hampir satu kali ganda.

    Sumber kuasa untuk skuter elektrik ini datang daripada bateri lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 26.1 Ah (dua unit) yang melekat pada lantainya, dan boleh dicas menggunakan pengecas CHAdeMO 1,200 W atau 450 W. Apabila menggunakan pengecas 1,200 W, baterinya boleh naik 0-100% dalam masa empat jam dan 20-80% dalam masa dua jam.

    Kuasa daripada bateri ini pula dihantar kepada motor elektrik yang terletak pada roda belakang, berkemampuan 6 kW (8 hp) pada 3,500 rpm dan boleh membawa kepada kelajuan maksimum 80 km/j. Jarak gerak dengan sekali cas penuh pula adalah sehingga 122 km.

    Bagi memenuhi keperluan tunggangan yang berbeza, UC3 menyediakan tiga mod tunggangan iaitu Standard, Sport dan ECON, selain mod undur untuk membantu memudahkan pengendalian ketika meletakkan motosikal atau semasa melakukan pergerakan mengundur di ruang sempit.

    Kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk brek cakera hadapan, skrin TFT-LCD dengan sambungan kepada aplikasi RoadSync, kunci pintar, soket pengecas USB-C, lampu LED dan ruang simpanan bawah tempat duduk 26 liter.

     
     
  • Volvo perkenal jenama baru Selamat — teaser ES90 jadi sebahagian kempen keselamatan sepanjang tahun

    Volvo perkenal jenama baru Selamat — teaser ES90 jadi sebahagian kempen keselamatan sepanjang tahun

    Ketika pelancaran Volvo ES90 hari ini, Volvo Car Malaysia (VCM) turut memperkenalkan Selamat, yang telah menjadi teras sepanjang kempen teaser model sedan elektrik itu sejak beberapa ketika. Perkataan “Selamat” telah terpampang juga di pelekat samaran unit ujian yang dilihat di KL minggu lalu, serta kata itu digunakan dalam kempen papan tanda iklan serta iklan dalam talian.

    VCM menjelaskan, di Malaysia “Selamat” mempunyai dua maksud. Selain sebagai ucapan (seperti selamat pagi dan selamat jalan), ia juga membawa maksud “safety”. Dan, Volvo memang sangat sinonim dengan keselamatan sejak sekian lama.

    “EV di Malaysia bertumbuh pantas. Banyak jenama baru masuk ke pasaran, dan semuanya tampil menyatakan produk mereka yang paling selamat dengan cara tersendiri. Dalam keadaan di mana semua melaungkan slogan paling selamat, aspek keselamatan akhirnya hanya menjadi seperti satu ciri biasa, sesuatu yang selalu diperkatakan tetapi jarang dirasakan,” jelas Pengarah Pemasaran dan Jualan VCM, Patricia Yaw.

    “Bagi Volvo, keselamatan tidak pernah hanya sekadar kata-kata. Selamat mencerminkan keyakinan kami bahawa kemajuan yang sebenar adalah ketika memberikan keyakinan dan ketenangan dalam setiap perjalanan. Dengan mobiliti yang terus berkembang, Selamat akan memastikan yang kehidupan manusia sentiasa menjadi keutamaan,” tambahnya.

    VCM juga menyatakan, Selamat merupakan kempen bertema yang akan berlangsung sepanjang tahun 2026, yang direka untuk mengubah keselamatan jalan raya daripada mandat wajib menjadi sebuah budaya yang dikongsi bersama. Akan diadakan acara pengaktifan di lokasi serta usaha pendidikan untuk mengetengahkan kepentingan keselamatan dalam sesebuah kenderaan.

    Semua itu akan dibangunkan menuju acara Selamat Drive — yang dijangka diadakan pada suku kedua 2026 — iaitu sebuah acara utama yang membolehkan rakyat Malaysia mengalami sendiri kesepaduan antara tabiat pemanduan selamat dan teknologi keselamatan oleh Volvo dalam persekitaran sebenar.

    Berdasarkan data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, sebanyak 4,428 kematian berkaitan pengengkutan direkodkan di Malaysia pada 2024.

     
     
  • Hyundai Elexio akan mula dijual di Australia – satu varian 218 PS, jarak gerak WLTP 546 km, RM165k

    Hyundai Elexio akan mula dijual di Australia – satu varian 218 PS, jarak gerak WLTP 546 km, RM165k

    Hyundai Elexio bakal memasuki pasaran Australia dalam satu varian, Elite, dijual pada harga bermula AUD59,990 (sekitar RM164,793). SUV elektrik segmen C ini dilengkapi motor elektrik tunggal berkuasa 160 kW (218 PS) dan tork 310 Nm yang memacu roda hadapan. Tenaga dibekalkan oleh bateri lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 88.1 kWh, memberikan jarak pemanduan sehingga 546 km mengikut piawaian ujian WLTP.

    Model ini muncul buat pertama kali pada Julai 2025 dan diletakkan sebagai pencabar kepada SUV elektrik popular seperti BYD Atto 3 yang turut menerima kemas kini mekanikal bagi tahun semasa. Dari segi dimensi, Hyundai Elexio mencatat ukuran panjang 4,615 mm, lebar 1,875 mm dan tinggi 1,675 mm, dengan jarak roda 2,750 mm. Menurut laman web Hyundai Australia, Elexio mampu dicas daripada 10 hingga 80 peratus dalam masa sekitar 38 minit menggunakan pengecas pantas 350 kW.

    Bagi pasaran Australia, Elexio hadir dengan kelengkapan yang agak menyeluruh termasuk rim aloi 20 inci, pintu belakang berkuasa serta NFC Digital Key 2. Bahagian kabin pula menampilkan skrin infotainmen bersaiz 27 inci, kluster instrumen pemandu bersaiz kecil, pedal penukar untuk kawalan penjanaan semula kuasa brek serta kemasan tempat duduk kulit.

    Ciri lain yang turut disertakan adalah tempat duduk hadapan dengan larasan kuasa, fungsi pemanas dan pengudaraan, stereng dengan fungsi pemanas, pad pengecasan tanpa wayar berkembar di bahagian hadapan, sistem audio enam pembesar suara, lima soket pengecas USB-C, kawalan suara dengan pengecaman empat zon, perkhidmatan kenderaan bersambung BlueLink serta kemas kini perisian over-the-air (OTA).

    Hyundai Elexio dibuat di China dan ini bermakna ia berpotensi menikmati kadar cukai import yang lebih kompetitif, sekali gus membuka peluang untuk ditawarkan pada harga menarik di pasaran Malaysia. Kebarangkalian ini dilihat semakin realistik memandangkan model tersebut kini sudah ditawarkan di pasaran pemanduan sebelah kanan seperti Australia.

    Sebagai perbandingan, BYD Atto 3 yang ditawarkan di Malaysia dalam satu varian Ultra kini dijual pada harga RM123,800. Sekiranya Hyundai Elexio dibawa masuk ke pasaran tempatan, persoalannya kini ialah berapakah harga yang sesuai untuk SUV elektrik buatan China ini agar mampu bersaing secara langsung dengan pesaing sedia ada.

     
     
  • iCaur V23 2026 Retro Edition di M’sia – pakej kemasan krom bernilai RM18,888 untuk 88 pelanggan pertama

    iCaur V23 2026 Retro Edition di M’sia – pakej kemasan krom bernilai RM18,888 untuk 88 pelanggan pertama

    iCaur V23 2026 dengan pakej Retro Edition telah pun dilancarkan di Malaysia, yang ditetapkan dengan harga RM22,000 untuk kit penggayaan luaran tetapi sempena dengan Tahun Baharu Cina ini, ia ditawarkan dengan harga istimewa bernilai RM18,888, terhad untuk 88 set pertama sahaja.

    Kit penggayaan luaran ini merangkumi gril hadapan krom dan jalur hiasan, panel fender, bampar krom hadapan dan belakang, gerbang roda krom hadapan dan belakang, serta pemijak sisi. Menurut staf iCaur Malaysia, bahagian kayu pada panel fender dan pemijak sisi tersebut diperbuat daripada kayu padu.

    Ditawarkan kepada pemilik baharu dan sedia ada V23, kit Retro Edition ini sesuai digunakan untuk varian 2WD dan iWD bagi model kenderaan elektrik bateri tersebut. Kit Retro Edition dilindungi dengan waranti 12-bulan, kecuali pemijak sisi yang diberikan waranti 18-bulan.

    Harga kit Retro Edition ini adalah tambahan kepada harga V23, yang telah dikemaskini menjadi RM119,870 bagi varian 2WD dan RM132,980 bagi varian iWD untuk dwi-motor, kedua-dua harga adalah atas jalan tanpa insurans. Kenaikan harga masing-masing sebanyak RM70 dan RM180 ini adalah susulan cukai jalan yang telah berkuatkuasa bagi kenderaan elektrik (EV) di Malaysia mulai 1 Januari 2026

    Perlindungan waranti bagi iCaur V23 kekal dengan waranti kenderaan tujuh-tahun atau 150,000 km serta waranti bateri dan unit pacuan lapan-tahun atau 160,000 km, dan juga merangkumi jaminan penggantian bateri ‘one-for-one’ sekiranya tahap kesihatan bateri turun di bawah 70%.

    Aksesori percuma bagi setiap pembelian V23 termasuk kabel V2L dan pengecas mudah alih. Bagi warna luaran, V23 mengekalkan pilihan yang sama sejak pelancaran, iaitu Off Road Orange, Khaki White, Army Green, Slate Silver, Gravel Grey dan Carbon Black, dan kesemuanya dipadankan dengan ruang dalaman berwarna hitam.

    Dilancarkan di Malaysia pada November 2025, iCaur V23 didatangkan dengan dua varian iaitu 2WD motor-tunggal dan iWD pacuan semua roa dengan dwi-motor.

    iCaur V23 2WD

    • Motor elektrik: 136 PS (134 hp atau 100 kW) dan 180 Nm; RWD
    • 0-100 km/j: 11 saat
    • Kelajuan maksimum: 140 km/j
    • Bateri: 59.93 kWh lithium iron phosphate (LFP)
    • Jarak pacuan (NEDC): 360 km
    • Pengecas DC: 85 kW
    • Pengecas AC: 6.6 kW

    iCaur V23 iWD

    • Motor elektrik hadapan: 75 PS (74 hp atau 55 kW) dan 112 Nm
    • Motor elektrik belakang: 136 PS (134 hp atau 100 kW) dan 180 Nm
    • Jumlah keseluruhan kuasa: 211 PS (208 hp atau 155 kW) dan 292 Nm; AWD
    • 0-100 km/j: 7.5 saat
    • Kelajuan maksimum: 140 km/j
    • Bateri: 81.76 kWh nickel manganese cobalt (NMC)
    • Jarak pacuan (NEDC): 430 km
    • Pengecas DC: 104 kW
    • Pengecas AC: 6.6 kW

    iCaur V23 2WD 2026, dengan kit Retro Edition

    iCaur V23 iWD 2026, dengan kit Retro Edition

     
     
  • Volvo ES90 dilancar di Malaysia – Single Motor Ultra, RM339,888, CKD, RWD 333PS/480 Nm, 561 KM WLTP

    Volvo ES90 dilancar di Malaysia – Single Motor Ultra, RM339,888, CKD, RWD 333PS/480 Nm, 561 KM WLTP

    Selepas pendaftaran minatnya dibuka dan teaser disiarkan, hari ini secara rasmi sedan EV Volvo ES90 dilancarkan di Malaysia. Apa yang menarik, model tersebut bukan sahaja tiba tak sampai setahun selepas ia muncul pada peringkat global, malah ia terus hadir dalam versi pemasangan tempatan (CKD), diproduksi di Shah Alam.

    Oleh itu, ES90 masih menerima insentif pengecualian duti dan eksais untuk EV CKD, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran yang cukup kompetitif iaitu RM339,888 untuk varian tunggal ES90 Single Motor Ultra. Setiap pembelian model ini disertakan dengan waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan, bersama waranti bateri selama lapan-tahun tanpa had perbatuan dan juga servis percuma selama lima-tahun.

    Seperti yang disebut tempoh hari, 100 pelanggan terawal yang menempah model ini dengan membuat pendaftaran bermula 2 Januari hingga 31 Mac 2026 akan menerima insentif sebanyak 2%.

    Volvo ES90 ini diasaskan dari platform SPA2 yang sama seperti SUV EX90. Namun sedan ini terus hadir dengan asas sistem elektrikal 800-volt, berbanding EX90 yang terlebih dahulu hadir dalam versi 400-volt dan kemudian beralih ke 800-volt.

    Volvo ES90 dilancar di Malaysia – Single Motor Ultra, RM339,888, CKD, RWD 333PS/480 Nm, 561 KM WLTP

    Model pasaran Malaysia ini hadir dengan konfigurasi Single Motor, di mana ia hanya dibekalkan dengan hanya satu motor – jadi ini merupakan sedan pacuan belakang Volvo pertama yang kembali ke Malaysia selepas Volvo 900 Series dihentikan penjualannya sekitar tiga dekad lalu. Motor elektrik yang dibekalkan menghasilkan kuasa 333 PS (245 kW) dan tork maksima 480 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/ dalam masa 6.6 saat. Kelajuan maksimanya pula dihadkan hanya pada 180 km/j sejajar dengan cita-cita Volvo untuk menghasilkan kenderaan yang lebih selamat.

    Untuk bateri, varian Single Motor ini diberikan bateri NMC berkapasiti 92 kWj (88 kWj boleh digunakan), memberikan jarak gerak sejauh 651 km mengikut kitaran ujian WLTP. Dengan platform 800-volt, bateri tersebut boleh dipenuhkan dalam masa 15 jam menggunakan wallbox fasa tunggal 7.2 kW dan 10 jam menggunakan pengecas wallbox tiga fasa AC 11 kW.

    Manakala dengan pengecas pantas, sistem DC 50 kW boleh memenuhkan cas 10-80% dalam masa 82 minit, dan dengan pengecas DC 350 kW membolehkan kadar cas yang sama dipenuhkan dalam masa hanya 22 minit.

    Model pasaran Malaysia ini menerima rim aloi 22-inci 5 jejari dalam kemasan hitam berkilat dan Matt Graphite Diamond Cut. Sebagai model pacuan roda belakang sebenar, ia diberikan tayar belakang yang lebih lebar bersaiz 285/35R22 berbanding tayar hadapan dengan saiz 255/40R22. Ia juga diberikan sistem suspensi udara yang dipadankan secara standard.

    Volvo ES90 dilancar di Malaysia – Single Motor Ultra, RM339,888, CKD, RWD 333PS/480 Nm, 561 KM WLTP

    Untuk saiz, sedan ini menampilkan dimensi yang agak besar iaitu panjang 5,000 mm, lebar 1,942 mm, dan jarak roda sejauh 3,102 mm. ES90 diberikan siluet badan seperti sebuah fastback dengan muncung hadapan panjang serta bahagian but yang tinggi dan pendek.

    Malah bahagian but berkenaan turut dibuka bersama cermin belakang seperti sebuah fastback sebenar. Selain itu Volvo turut memberikan unsur-unsur SUV pada S90 ini dengan memadankan set roda bersaiz besar bagi memberikan jarak kelegaan tanah yang tinggi.

    Pada bahagian muka, S90 menampilkan rekaan signatur model-model khusus EV Volvo iaitu dengan lampu hadapan LED bersama grafik lampu nyalaan siang membentuk ‘Tukul Thor’ yang lebih jelas, palang dan logo ‘iron mark’ Volvo tanpa gril di belakangnya. Untuk bahagian bampar hadapan pula, inspirasi dari EX90 masih kuat dengan jalur LED menegak pada kedua-dua sisi bersama gril bawah berbentuk trapezoid.

    Manakala pada sebelah belakang, bukan hanya bentuk but, malah bentuk lampu belakang berbentuk-C juga direka menyerupai S60. Bagi menguatkan rekaan fastback, turut boleh dilihat nyalaan LED pada lampu belakang turut disambung pada kedua-dua sisi cermin belakang.

    Namun menerusi lakaran-lakaran rekaan yang ditunjukkan, Volvo seolah-olah mahu memberitahu bahawa bahagian muka dan juga belakang S90 ini dihasilkan dari inspirasi Volvo 780, iaitu versi coupe untuk Volvo siri 700 pada era 80’an (seperti 740, 760) yang direka oleh firma rekaan Itali iaitu Bertone. Secara keseluruhan, bentuk S90 ini memberikan pekali geseran hanya 0.25.

    Dengan but yang boleh dibuka seperti sebuah fastback, ia memberikan praktikaliti lebih baik pada ES90 ini. Ruang yang diberikan pada bahagian tersebut adalah 424 liter, dan ia boleh meningkat kepada 733 liter sekiranya tempat duduk belakang dilipat. Ia juga diberikan bahagian but depan atau frunk dengan kapasiti 22-liter bagi menyimpan kabel pengecas. Model pasaran Malaysia ini datang standard dengan pintu but yang boleh dibuka dan ditutup dengan bantuan kuasa.

    Untuk kabin, ES90 menampilkan rekaan papan pemuka yang sama seperti EX90. Oleh itu ia menerima paparan instrumen digital dengan skrin sembilan-inci dan paparan head-up. Ia juga menerima skrin infotainmen utama bersaiz 14.5-inci yang diletak menegak, diberikan sistem Google bina-dalam yang menawarkan servis seperti Google Maps, Google Assistant, dan pelbagai aplikasi lain yang boleh di muat turun menerusi Google Play.

    Tidak dilupa, sistem tersebut turut boleh dihubungkan kepada aplikasi Android Auto dan Apple CarPlay di telefon pintar tanpa wayar, dan bunyi dialunkan ke kabin menerusi sistem bunyi Bowers & Wilkins dengan 25 pembesar suara yang mempunyai mod istimewa bagi menghasilkan bunyi seakan berada di studio Abbey Road di London.

    Perincian lain yang turut diberikan termasuk enam tema warna untuk lampu suasana kabin, bumbung panaromik dengan fungsi elektrokromik, sistem penghawa dingin empat zon dengan penyegar udara. Tempat duduk hadapan boleh dilaras dengan bantuan kuasa termasuk larasan sokongan lumbar empat-hala serta datang dengan fungsi memori serta pengurut. Tempat duduk belakang juga boleh dilaras kecondongannya dengan bantuan kuasa, dan kesemua tempat duduk mempunyai fungsi liang pengalir udara.

    Untuk keselamatan, Volvo ES90 ini dibekalkan standard dengan sistem bantuan pemanduan termaju yang merangkumi fungsi pengelak pelanggaran, brek kecemasan automatik, Pilot Assist, pemantau titik buta, kamera 360 darjah, pemantau pemandu, amaran bukaan pintu, penderia penumpang penuh dan banyak lagi.

    Model pasaran Malaysia ini juga diberikan sistem Park Pilot Assist dan juga Park Assist dengan bantuan kamera pemantau 360 darjah dan juga pandangan 3D.

    Pembeli di Malaysia boleh memilih Volvo ES90 ini dalam empat pilihan warna badan iaitu Vapour Grey, Crystal White, Denim Blue dan Onyx Black. Semua warna badan ini hanya hadir dengan satu pilihan tema kabin iaitu kemasan Charcoal dengan upholsteri Charcoal Nordico dan perapi-perapi Birch Wood.

     
     
  • Lalaport BBCC hab baharu bas ekspres KL-SG; teliti lokasi lain termasuk 1 Utama, Sunway Pyramid – Loke

    Lalaport BBCC hab baharu bas ekspres KL-SG; teliti lokasi lain termasuk 1 Utama, Sunway Pyramid – Loke

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengesahkan bahawa Lalaport di Bukit Bintang City Centre (BBCC) bakal diberikan kelulusan rasmi sebagai hab pengangkutan awam berlesen, yang memfokuskan perkhidmatan bas dari KL ke Singapura (SG). Lesen berkenaan dijangka akan dikeluarkan seawal Februari ini.

    “Dari segi pelesenan, kementerian sedang bekerjasama rapat dengan semua pihak berkaitan termasuk Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi mempercepatkan proses tersebut,” kata Loke, seperti dilaporkan oleh Malay Mail.

    Beliau menambah bahawa kelulusan daripada DBKL diperlukan dan APAD akan mengeluarkan lesen setelah semua syarat dipenuhi.

    Sebelum ini, katanya, kebanyakan bas ekspres, khususnya antara KL-SG menurunkan penumpang di beberapa lokasi seperti kompleks beli-belah Berjaya Times Square dan hotel tertentu yang dilihat kurang sesuai dan tidak selamat.

    Lalaport BBCC hab baharu bas ekspres KL-SG; teliti lokasi lain termasuk 1 Utama, Sunway Pyramid – Loke

    Ahli Parlimen Seremban itu turut berkara pengusaha bas ekspres yang mengendalikan perkhidmatan KL–SG telah diberikan tempoh kelonggaran selama tiga bulan untuk terus beroperasi di lokasi tepi jalan sedia ada tanpa tindakan penguatkuasaan. Langkah ini bertujuan memberi masa kepada pengusaha untuk berpindah ke terminal atau hab pengangkutan yang lebih selamat dan direka dengan baik apabila mereka bersedia — dan tiada lagi hentian di tepi jalan pada masa hadapan.

    “Buat masa ini, hanya satu atau dua pengusaha telah mula beroperasi dari Lalaport, dengan tiga hingga empat pengusaha lagi dijangka berpindah ke sana dalam tempoh terdekat. Tumpuan utama adalah kepada pengusaha yang sebelum ini berhenti di Berjaya Times Square dan Hotel Corus, yang kedua-duanya telah dikenal pasti sebagai tidak sesuai, terutamanya disebabkan kesesakan lalu lintas dan kebimbangan keselamatan penumpang,” jelas Loke.

    Tambah beliau, daripada sejumlah lokasi yang telah dinilai setakat ini, Lalaport didapati paling bersedia dan sesuai, khususnya untuk perkhidmatan bas ekspres KL–SG. “Lokasi lain seperti 1 Utama di PJ, IOI City Mall di Putrajaya dan Sunway Pyramid memerlukan masa tambahan untuk melengkapkan naiktaraf kemudahan,” katanya sambil menambah bahawa Terminal Bersepadu Selatan dan Terminal Bersepadu Gombak lebih fokus pada destinasi lain.

    Perkembangan ini pastinya berita baik kepada pengguna tetap bas KL–SG, dan tidak membawa perubahan besar dari segi lokasi menaiki bas. Sebagai sebuah pusat beli-belah, Lalaport menyediakan pelbagai kemudahan F&B serta hanya berjalan kaki ke Bukit Bintang. Malah ia juga berhampiran dengan stesen LRT dan Monorel Hang Tuah.

     
     
  • Jumlah kemalangan maut melibatkan kenderaan berat menurun hasil penguatkuasaan – 163 kes pada 2025

    Jumlah kemalangan maut melibatkan kenderaan berat menurun hasil penguatkuasaan – 163 kes pada 2025

    Jumlah kes kemalangan maut yang membabitkan kenderaan berat menunjukkan penurunan pada tahun lalu hasil pelbagai penguatkuasaan yang dilaksanakan di seluruh negara.

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata mengikut data awal Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menunjukkan bahawa sekitar 163 kes kemalangan maut melibatkan kenderaan berat pada tahun 2025, menurun berbanding 232 kes pada 2023 dan 260 kes pada 2024. Statistik ini merangkumi kemalangan maut yang melibatkan lori, treler dan kenderaan barangan berat, tanpa mengambil kira sama ada kenderaan tersebut merupakan punca utama atau sekadar pihak yang terlibat dalam kemalangan.

    “Penurunan ini memberi gambaran awal bahawa langkah penguatkuasaan yang diperkukuh terhadap pematuhan keselamatan kenderaan berat, termasuk kawalan muatan, telah menyumbang kepada pengurangan risiko kemalangan maut di jalan raya, selaras dengan objektif Kerajaan untuk melindungi nyawa pengguna jalan raya,” katanya di Dewan Rakyat semalam.

    Ia adalah bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong (MP Ayer Hitam) yang ingin mengetahui impak sebenar penguatkuasaan serta-merta dasar lori lebih muatan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejak Oktober 2025 ke atas rantaian bekalan, kos logistik dan kos sara hidup rakyat serta mengapa penguatkuasaan ini dilaksanakan tanpa tempoh peralihan yang munasabah.

    Jumlah kemalangan maut melibatkan kenderaan berat menurun hasil penguatkuasaan – 163 kes pada 2025

    Loke turut berkata penguatkuasaan terhadap kesalahan lori membawa muatan berlebihan yang dilaksanakan oleh JPJ adalah berasaskan peruntukan sedia ada di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] serta Perintah Sekatan Berat (Weight Restriction Order, WRO) yang telah berkuat kuasa sejak sekian lama.

    “Penguatkuasaan ini tidak melibatkan pengenalan dasar baharu, sebaliknya merupakan penegasan semula terhadap pematuhan had Berat Dengan Muatan (BDM) yang ditetapkan demi keselamatan jalan raya dan perlindungan infrastruktur negara.

    “Dari segi impak rantaian bekalan dan kos, pemain-pemain industri seperti Malaysia Trucking Federation telah memaklumkan terdapat kesan jangka pendek tetapi mereka masih menyokong penguatkuasaan yang tegas kerana memahami pentingnya untuk melindungi nyawa rakyat Malaysia dan Kerajaan menghargai kesanggupan mereka untuk melakukan perubahan,” jelasnya lagi.

    Awal bulan ini, Ketua Pengarah JPJ Dato’ Aedy Fadly Ramli berkata pihaknya telah memeriksa sejumlah 1.2 juta kenderaan berat menerusi Operasi Lebih Muatan pada tahun 2025. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 240,493 kenderaan diambil tindakan, termasuk 465 kenderaan disita di bawah Seksyen 80 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

    Aedy berkata, jumlah yang direkodkan pada tahun lalu juga telah meningkat sebanyak 35.5% berbanding tahun 2024 di mana sekitar 829,392 kenderaan diperiksa. Malah jumlah kenderaan yang diambil tindakan juga meningkat sebanyak 47.7% berbanding tahun 2024 (126,974 kenderaan),

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026