Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Polis KL umum penutupan jalan pada 30-31 Januari dan 2-3 Februari 2026 sempena perarakan Thaipusam

    Polis KL umum penutupan jalan pada 30-31 Januari dan 2-3 Februari 2026 sempena perarakan Thaipusam

    Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur telah mengumumkan bahawa terdapat banyak jalan utama di sekitar ibu kota akan ditutup secara berperingkat sempena perarakan Thaipusam.

    “Perarakan tersebut akan bermula dari Kuil Sri Maha Mariamman Temple Dhevasthanam, Jalan Tun H.S. Lee dan berakhir di Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves. Pergerakan pergi bermula jam 9 malam pada 30 Januari dan dijangka sampai jam 4 petang pada 31 Januari 2026. Manakala pergerakan balik pula pada 2 Februari, jam 3 petang dan dijangka tiba keesokan harinya lebih kurang jam 4 pagi.

    “Perarakan tersebut melalui rangkaian jalan utama bandar, termasuk laluan persekutuan serta jalan-jalan strategik yang menampung trafik harian yang tinggi. Aktiviti perarakan melibatkan pergerakan kenderaan perarakan, kavadi serta pejalan kaki dalam jumiah yang besar. Situasi ini memberi impak signifikan terhadap aliran trafik, keselamatan awam dan pengurusan orang ramai di sekitar laluan perarakan,” kata Ketua JSPT KL ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Gambarajah laluan yang terlibat. Klik untuk besarkan

    Laluan perarakan pergi pada 30-31 Jan:

    • Kuil Sri Maha Mariamman Temple Dhevasthanam di KL
    • Jalan Tun H.S. Lee
    • Jalan Sultan
    • Jalan Pudu
    • Jalan Tun Perak
    • Jalan Leboh Ampang
    • Jalan Ampang
    • Jalan Munshi Abdullah
    • Jalan Dang Wangi
    • Jalan Raja Laut
    • Jalan Belia
    • Jalan Sri Amar
    • Jalan Raja Laut
    • Jalan Sultan Azlan Shah
    • Jalan Tun Razak
    • Jalan Kampung Batu
    • Jalan Kepong Lama
    • Bulatan Jalan Ipoh
    • Jalan Ipoh
    • Jalan Kuching
    • Bulatan Batu Caves
    • Susur dari MRR2
    • Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2)
    • Kuil Sri Subramaniar Swamy di Batu Caves

    Laluan perarakan balik pada 2-3 Feb:

    • Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves
    • Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2)
    • Bulatan Batu Caves
    • Jalan Kuching
    • Susur ke Jalan Ipoh
    • Bulatan Jalan Ipoh
    • Jalan Kepong Lama
    • Jalan Kampung Batu
    • Jalan Sultan Azlan Shah
    • Jalan Tun Razak (U-Turn)
    • Jalan Tun Razak
    • Jalan Sultan Azlan Shah
    • Jalan Raja Laut
    • Jalan Sri Amar
    • Jalan Belia
    • Jalan Raja Laut
    • Jalan Dang Wangi
    • Jalan Munshi Abdullah
    • Jalan Ampang
    • Jalan Leboh Ampang
    • Jalan Tun Perak
    • Jalan Pudu
    • Jalan Sultan
    • Jalan Tun H.S. Lee
    • Kuil Sri Maha Mariamman Temple Dhevasthanam di KL

    Penutupan dan lencongan jalan akan melibatkan persimpangan berikut:

    • Persimpangan Jalan Leboh Ampang / Jalan Perak
    • Persimpangan Jalan Tun Perak / Jalan Pudu
    • Persimpangan Jalan Tun Tan Cheng Lock / Jalan Sultan
    • Persimpangan Jalan Sultan / Jalan Hang Jebat
    • Persimpangan Jalan Sultan / Jalan Petaling
    • Persimpangan Jalan Sultan / Jalan Panggung
    • Persimpangan Jalan Sultan / Jalan Tun H.S. Lee
    • Persimpangan Jalan Hang Kasturi / Jalan Sultan Mohamed
    • Persimpangan Jalan Munshi Abdullah / Jalan Dang Wangi
    • Persimpangan Jalan Dang Wangi / Jalan Tuanku Abdul Rahman
    • Persimpangan Jalan Raja Laut / Jalan Dang Wangi
    • Persimpangan Jalan Raja Laut / Jalan Sultan Ismail

    “Orang ramai dinasihatkan agar merancang perjalanan lebih awal, menggunakan laluan alternatif yang bersesuaian serta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada anggota polis trafik yang bertugas. Pematuhan arahan adalah penting bagi memastikan kelancaran trafik dan keselamatan semua pihak,” kata Mohd Zamzuri lagi.

     
     
  • Proton AMA02 dilancar pada 2026 – Saga Cross SUV, MPV atau hatchback, hibrid DHT120 bakal diperkenal?

    Proton AMA02 dilancar pada 2026 – Saga Cross SUV, MPV atau hatchback, hibrid DHT120 bakal diperkenal?

    Memasuki tahun 2026 ternyata langkah Proton kian kencang dan padu, termasuk menyasarkan 26% peningkatan jualan iaitu sebanyak 200,000 unit. Walau pun Saga baharu yang dilancarkan pada akhir lalu nampak gayanya mampu melonjakkan lagi jenama ini, namun ini tidak bermakna Proton perlu berpeluk tubuh sahaja, sebaliknya giat merancang untuk pengeluaran produk baharu.

    Dalam majlis bersama pihak media malam tadi, CEO Dr Li Chunrong mengesahkan bahawa model seterusnya yang dibina berasaskan Advanced Modular Architecture (AMA), dengan kod nama AMA02, akan dilancarkan pada tahun ini.

    Setakat ini, tiada butiran lanjut didedahkan, namun Proton sebelum ini telah memaklumkan bahawa platform tersebut akan menghasilkan varian SUV dan MPV, yang berkemungkinan mensasarkan pesaing buat Perodua Ativa dan Alza. Kami telah lama membuat spekulasi mengenai ‘Saga Cross’, dengan pakar suntingan Photoshop, Theophilus Chin, menghasilkan pelbagai imej olahan, termasuk beberapa lakaran yang baru dikongsikan minggu ini.

    Proton AMA02 dilancar pada 2026 – Saga Cross SUV, MPV atau hatchback, hibrid DHT120 bakal diperkenal?

    Model tersebut dijangka dikuasakan oleh enjin i-GT 1.5 liter NA empat-silinder seperti Saga yang menghasilkan 120 PS/150 Nm, dipadankan dengan kotak gear automatik Aisin empat-kelajuan. Turut ditawarkan ialah pilihan versi plug-in hybrid yang kurang berkuasa, berasaskan rangkaian kuasa eMas 7 PHEV — sesuatu yang juga dirancang untuk ditawarkan pada varian MPV. Penjenamaan ‘DHT120’ menunjukkan output gabungan sebanyak 163 PS (120 kW)

    Untuk model AMA yang akan datang ini, Proton turut menjanjikan pelbagai perkara yang pastinya mampu memberikan manfaat, termasuk sasaran untuk mendapatkan penarafan lima-bintang dari ASEAN NCAP, binaan suspensi yang disemak semula bagi meningkatkan keselesaan dan pengendalian, tempoh pembangunan produk yang lebih singkat serta kesediaan untuk pasaran eksport, termasuk sokongan bagi penukaran pemanduan sebelah kiri. Kesemua model ini dijangka dijual pada harga di bawah RM80,000.

    Namun realitinya, jika Proton benar-benar mahu merampas takhta jualan daripada Perodua, di mana sesuatu yang perlu dilakukan untuk mencapai sasaran jualan yang tinggi ialah Proton perlu ‘merampas populariti’ model hatchback keluaran Perodua. Tahun lalu, Axia dan Myvi berada di belakang Bezza, manakala Alza dan Ativa pula di tempat kelima dan keenam iaitu di belakang Saga.

    Proton AMA02 dilancar pada 2026 – Saga Cross SUV, MPV atau hatchback, hibrid DHT120 bakal diperkenal?

    Oleh itu, Saga versi hatchback merupakan langkah akan datang yang dilihat bertepatan, sekali gus meluaskan daya tarikan sedan tersebut di samping (hanya anggapan semata-mata) mudah untuk dibangunkan. Ini kerana struktur sedia ada sebenarnya dibangunkan sebagai hatchback terlebih dahulu.

    Sekiranya ia menjadi kenyataan, model ini dijangka menggunakan rangkaian kuasa yang sama seperti sedan, termasuk enjin 1.5 liter dan padanan transmisi automatik empat-kelajuan yang disebutkan sebelum ini, serta Punch CVT bagi varian Premium.

     
     
  • JPJ patut guna sistem ANPR ganti sekatan jalan bagi kurangkan kesesakan, tambah kecekapan – Loke

    JPJ patut guna sistem ANPR ganti sekatan jalan bagi kurangkan kesesakan, tambah kecekapan – Loke

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu mengubah pendekatan dalam pelaksanaan sekatan jalan raya bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas serta meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan.

    Menurut laporan Bernama, beliau menjelaskan bahawa sekatan jalan raya secara fizikal yang diamalkan ketika ini sering menyebabkan kesesakan teruk, terutamanya apabila laluan jalan dikecilkan kepada satu atau dua lorong sahaja.

    Keadaan itu bukan sahaja mengakibatkan kelewatan yang panjang, malah mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan pengguna jalan raya. Loke menegaskan beliau tidak mahu melihat sekatan jalan raya dilakukan selepas plaza tol sehingga enam lorong terpaksa disempitkan kepada satu lorong, sambil menyifatkan kaedah tersebut sebagai lapuk dan tidak lagi sesuai dengan keperluan semasa.

    Sehubungan itu, beliau mencadangkan penggunaan teknologi pengecaman nombor pendaftaran automatik atau Automatic Number Plate Recognition (ANPR) sebagai alternatif yang lebih pintar, bagi membolehkan pemeriksaan kenderaan dilakukan tanpa perlu menghentikan aliran trafik.

    JPJ patut guna sistem ANPR ganti sekatan jalan bagi kurangkan kesesakan, tambah kecekapan – Loke

    Loke berkata sistem ANPR yang kini digunakan oleh PLUS Malaysia boleh diintegrasikan dengan sistem MySikap milik JPJ, sekali gus membolehkan perkongsian data antara agensi dilaksanakan untuk penguatkuasaan yang lebih menyeluruh dan berkesan tanpa bergantung kepada sekatan jalan raya fizikal.

    ANPR pada masa ini digunakan oleh PLUS bagi sistem pembayaran tol terbuka dan berfungsi melalui penggunaan kamera untuk mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan. Dengan integrasi bersama MySikap, teknologi ini bukan sahaja dapat melancarkan proses kutipan tol, malah membolehkan pihak berkuasa mengesahkan status cukai jalan dan insurans secara automatik, selain mengesan kenderaan curi atau tidak berdaftar.

    Tambah Loke, pendekatan berasaskan teknologi ini selari dengan strategi keseluruhan kerajaan yang menggalakkan kerjasama rentas kementerian serta menghapuskan jurang operasi antara agensi, demi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai.

     
     
  • GWM Wey G9 Hi4 PHEV dilancar di Malaysia – MPV 7-tempat duduk, RM269,800, 442 PS/642 Nm, CKD

    GWM Wey G9 Hi4 PHEV dilancar di Malaysia – MPV 7-tempat duduk, RM269,800, 442 PS/642 Nm, CKD

    Selepas dipertontonkan dan tempahannya dibuka tahun lalu, hari ini secara rasmi MPV mewah tujuh tempat duduk iaitu GWM Wey G9 dilancarkan secara rasmi di Malaysia. Model ini ditawarkan terus dalam versi pemasangan tempatan (CKD) dengan produksi dibuat di kilang EPMB di Pegoh Melaka, hanya satu varian dan dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM269,800.

    Setiap pembelian MPV ini akan dilindungi oleh waranti pengeluar selama enam-tahun tanpa had perbatuan, serta 8 tahun atau 180,000 km waranti untuk sistem hibrid, termasuklah perlindungan untuk pek bateri, motor kuasa, dan unit kawalan.

    Selain itu pembeli juga akan menerima manfaat pemilikan standard yang terdiri dari lima tahun perkhidmatan data sambungan percuma, lima tahun penyelenggaraan percuma dan juga pengecas dinding rumah percuma. Sempena pelancarannya hari ini, GWM Malaysia menawarkan skrin untuk kabin belakang bersaiz 17.3-inci secara percuma untuk 1,000 pelanggan terawal. Malah untuk pemilik model-model GWM lain, anda turut akan diberikan rebat sebanyak RM3,000 sekiranya membeli Wey G9 ini.

    GWM Wey G9 Hi4 PHEV dilancar di Malaysia – MPV 7-tempat duduk, RM269,800, 442 PS/642 Nm, CKD

    Bagi yang masih belum tahun ‘Wey’ adalah divisi mewah untuk GWM sebagaimana jenama Lexus untuk Toyota, di mana nama ‘Wey’ itu diambil dari nama pengasas GWM sendiri ini Jack Wey. Malaysia menerima G9 dalam versi tujuh-tempat duduk dan jarak roda pendek, dihasilkan dengan dimensi panjang 5,050 mm, lebar 1,960 mm, tinggi 1,900 mm dan jarak roda sejauh 3,085 mm.

    Jadi jika dibandingkan dengan MPV mewah ikonik di Malaysia iaitu Toyota Alphard, Wey G9 ini adalah 35 mm lebih panjang, 110 mm lebih lebar, 50 mm lebih rendah, dan jarak roda 85 mm lebih jauh. Walau bagaimanapun sekiranya dibandingkan dengan saingan-saingan senegaranya seperti Zeekr 009, Xpeng X9 dan Denza D9, Wey G9 ini adalah antara yang paling pendek kerana masing-masing mempunyai panjang melebihi 5.2 meter serta jarak roda antara 3.1 hingga 3.2 meter.

    Satu-satunya varian untuk pasaran Malaysia ini menerima unit rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV) Hi4 yang menggandingkan enjin 1.5 liter empar-silinder turbo berkuasa 150 PS bermula 5,500 hingga 6,000 rpm dan tork maksima 240 1,800 hingga 4,000 rpm, bersama motor elektrik berkuasa 109 PS/170 yang dipadankan pada kotak gear khusus hibrid DHT empat-kelajuan untuk memacu roda hadapan, serta satu lagi motor elektrik 184 PS/232 Nm untuk memacu roda belakang.

    GWM Wey G9 Hi4 PHEV dilancar di Malaysia – MPV 7-tempat duduk, RM269,800, 442 PS/642 Nm, CKD

    Ini memberikan kebolehan pacuan semua roda pada MPV ini, dengan bekalan kuasa keseluruhan 442 PS/642 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 200 km/j. Agihan tork antara gandar hadapan dan belakang pula dikawal oleh Intelligent Torque Vectoring Control (iTVC). Kami difahamkan model CKD Melaka yang turut dieksport ke Thailand diberikan unit rangkaian kuasa yang sama seperti model pasaran Malaysia ini.

    Sistem ini memberikan tiga mod kuasa yang boleh dipilih oleh pemandu iaitu mod EV, EV Priority dan Intelligent HEV. Manakala untuk mod pemanduan pula boleh dipilih dalam lima pilihan iaitu Eco, Normal, Sport, Snow dan AWD.

    Motor-motor elektrik pada unit rangkaian kuasa PHEV Hi4 ini menerima bekalan kuasa dari bateri NMC berkapasiti 44.2 kWj. Ini membolehkan MPV ini bergerak dengan hanya kuasa elektrik sejauh 145 km mengikut kitaran ujian WLTP. Manakala dengan satu tangki petrol penuh berkapasiti 58 liter (RM115.42 sekiranya menggunakan insentif Budi RON95) membolehkan ia bergerak dalam jarak pemanduan keseluruhan dianggarkan sekitar 1,000 km, atau ia menggunakan sekitar 1.2 liter petrol bagi setiap perjalanan 100 km.

    Dengan sistem PHEV ini juga membolehkan bateri pada Wey G9 dicas semula seperti sebuah kenderaan elektrik (EV) sebenar. Ia menyokong sistem pengecas AC berkapasiti 6.6 kWj bagi membolehkan cas antara 15% hingga 100% dipenuhkan dalam masa 6.5 jam, manakala dengan pengecas pantas DC cas dari 30% hingga 80% dapat dipenuhkan dalam masa sekitar 26 minit. Ia juga datang dengan sistem Vehicle-to-load (V2L) 3.3 kW bagi membolehkan pelbagai peralatan elektrik digunakan.

    Casis MPV ini menampilkan konfigurasi suspensi jenis topang McPherson di hadapan dan suspensi bebas jenis multilink di belakang. Model pasaran Malaysia ini datang standard dengan penyerap hentak adaptif Frequency Response Damper (FRD).

    Untuk kelengkapan luaran, model pasaran Malaysia ini datang dengan lampu hadapan LED automatik dengan fungsi lampu tinggi automatik, lampu nyalaan siang LED bina-dalam, lampu belakang LED, rim aloi dua tona 18 inci bersama tayar 245/50R18, bumbung suria hadapan, bumbung panaromik kabin belakang, pengelap cermin belakang tersembunyi dan pintu tailgate bantuan kuasa.

    GWM Wey G9 Hi4 PHEV dilancar di Malaysia – MPV 7-tempat duduk, RM269,800, 442 PS/642 Nm, CKD

    Manakala dalam kabin, Wey G9 pasaran Malaysia ini diberikan lampu suasana kabin 64 warna, pengecas tanpa wayar 50W, upholsteri kulit Nappa, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi aliran udara, memori dan urutan untuk pemandu, tempat duduk kapten ‘graviti sifar’ pada baris kedua yang boleh direbahkan secara satu sentuhan yang lengkap dengan penyokong kaki serta diberikan meja boleh lipat di belakang tempat duduk hadapan, peti sejuk 12.5 liter untuk kabin belakang yang boleh sentiasa berfungsi walaupun enjin dimatikan, 11-point pengecas dan juga pintu tailgate bantuan kuasa.

    Pemandu akan menerima paparan instrumen digital dengan 12.3 inci serta paparan head-up. Manakala untuk sistem infotainmen, sebuah skrin sesentuh bersaiz 14.6-inci dibekalkan pada papan pemuka, satu lagi monitor bersaiz 17.3-inci diletakkan pada kabin belakang (percuma untuk 1,000 pelanggan pertama), menerima sokongan hubungan ke telefon pintar menerusi Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, dan bunyi dikeluarkan menerusi sistem audio 2,440-watt dengan 21-pembesar suara.

    Kabin Wey G9 ini juga menerima penebat berstruktur, teknologi pembatalan bunyi aktif HALOSonic dan juga cermin akustik dengan dua lapisan tebal membolehkan kabinnya sentiasa senyap dengan bunyi diukur hanya pada kadar 63.4 desibel pada kelajuan 120 kilometer sejam di atas lebuh raya.

    GWM Wey G9 Hi4 PHEV dilancar di Malaysia – MPV 7-tempat duduk, RM269,800, 442 PS/642 Nm, CKD

    Untuk keselamatan pula, Wey G9 ini hadir dengan enam beg udara, kamera 360 darjah serta sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) dengan fungsi termasuk brek kecemasan automatik, cruise control adaptif dengan fungsi stop & go, bantuan kekal lorong, brek automatik ketika parkir, pemantau titik buta dengan pencegahan pelanggaran, amaran lintasan trafik belakang dengan brek automatik, amaran bukaan pintu dan kawalan menuruni bukit.

    Enam warna badan ditawarkan untuk GWM Wey G9 pasaran Malaysia ini iaitu Aurora White, Wisdom Grey dan Nebula Black. Manakala kabinnya pula boleh dipilih dalam dua tema warna iaitu upholsteri hitam dengan bumbung kelabu atau upholsteri coklat dan bumbung kelabu.

    GALERI: Gambar rasmi GWM Wey G9 Hi4 PHEV pasaran Malaysia

     
     
  • Honda Malaysia jual 72,301 unit pada tahun 2025 – jenama bukan nasional teratas kali ke-12 berturut-turut

    Honda Malaysia jual 72,301 unit pada tahun 2025 – jenama bukan nasional teratas kali ke-12 berturut-turut

    Honda Malaysia mengumumkan jualan sebanyak 72,301 kenderaan sepanjang tahun 2025, sekali gus membolehkannya mengekalkan kedudukan sebagai jenama nombor satu dalam segmen kenderaan penumpang bukan nasional buat tahun ke-12 berturut-turut.

    Berdasarkan jumlah keseluruhan 820,752 kenderaan baru yang didaftarkan tahun lalu seperti dilaporkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), prestasi Honda Malaysia itu mewakili pegangan pasaran sebanyak 8.8 peratus. Sebagai perbandingan, syarikat tersebut mencatatkan jualan 81,600 unit pada tahun 2024.

    Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Narushi Yazaki, merakamkan penghargaan kepada para pelanggan atas sokongan dan kepercayaan berterusan terhadap jenama Honda, yang menurutnya menjadi pemangkin kepada syarikat untuk terus meningkatkan kualiti dan prestasi produk.

    Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak berkepentingan serta kerajaan Malaysia atas sokongan berterusan, khususnya dalam usaha kelestarian dan elektrifikasi. Menurutnya, prestasi kukuh yang dicapai pada 2025 telah mengukuhkan keyakinan Honda terhadap hala tuju produk syarikat dan mempertegaskan komitmen untuk menawarkan penyelesaian elektrifikasi yang praktikal kepada pengguna tempatan.

    Honda Malaysia jual 72,301 unit pada tahun 2025 – jenama bukan nasional teratas kali ke-12 berturut-turut

    Dari segi model, HR-V muncul sebagai kenderaan terlaris Honda Malaysia pada 2025 dengan menyumbang 25 peratus daripada jumlah jualan keseluruhan. Ini diikuti oleh City yang mencatatkan 24 peratus dan CR-V sebanyak 15 peratus.

    Varian hibrid bagi HR-V dan CR-V turut menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila menyumbang lebih 30 peratus daripada jumlah jualan kenderaan hibrid Honda Malaysia. Ketika ini, Honda menawarkan varian hibrid bagi lima daripada lapan model yang dipasarkan, kecuali WR-V, Civic Type R dan e:N1, iaitu model elektrik sepenuhnya pertama Honda di Malaysia.

    Mengulas lanjut, Yazaki berkata pengukuhan kehadiran model hibrid dalam segmen utama pasaran kekal sebagai keutamaan, sejajar dengan ulang tahun ke-21 pengenalan teknologi hibrid Honda dari 2004 hingga 2025. Melalui integrasi teknologi hibrid termaju, Honda berhasrat untuk memberikan pengalaman pemanduan yang lebih menarik dan memuaskan, di samping menyokong pertumbuhan jangka panjang serta masa depan yang lebih mampan bagi jenama tersebut.

     
     
  • Toyota Vios Hibrid dilancar di Malaysia – 111 PS, 27.8km/l; HEV dan GR Sport; RM103,900-RM109,900

    Toyota Vios Hibrid dilancar di Malaysia – 111 PS, 27.8km/l; HEV dan GR Sport; RM103,900-RM109,900

    Hari ini, tibalah pula giliran Toyota Vios untuk menerima versi hibrid di pasaran tempatan bagi melengkapi barisan Vios sedia ada. Seperti mana di Thailand, pasaran kita juga menerima dua varian iaitu Vios HEV dan Vios HEV GR Sport yang lebih sporty.

    Ia ditawarkan dengan harga atas jalan tanpa insurans dari RM103,900 untuk varian HEV dan bermula RM109,900 bagi versi HEV GR Sport. Kedua-dua varian hibrid ini didatangkan dengan waranti kenderaan lima-tahun tanpa had perbatuan bersama waranti hibrid selama lapan-tahun yang melindungi bateri, inverter dan unit pengurusan kuasa.

    Seperti Vios petrol, versi hibrid juga dipasang secara CKD di Bukit Raja, Klang, begitu juga dengan baterinya. UMW Toyota Motor (UMWT) turut berbangga dengan usaha lokaliti yang dilaksanakan sebagai sebahagian daripada pelaburannya di kilang tersebut, dengan 97% komponen bateri dipasang di sini. Menurut UMWT, kilang ini berkeupayaan menghasilkan sehingga 30,000 unit bateri setahun.

    Toyota Vios Hibrid dilancar di Malaysia – 111 PS, 27.8km/l; HEV dan GR Sport; RM103,900-RM109,900

    Diasaskan dari platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), versi hibrid ini menggunakan konfigurasi Sistem Hibrid Toyota generasi keempat yang dibangunkan secara in-house, dengan menggabungkan set gear planetari E-CVT bagi membolehkan sambungan mekanikal antara enjin pembakaran dan pacuan roda. Ia disuapkan dengan enjin 2NR-VEX 1.5 liter NA empat-silinder yang menghasilkan 91 PS dan tork maksima 121 Nm, digandingkan bersama motor elektrik berkuasa 80 PS (79 hp atau 59 kW) dan tork 141 Nm.

    Secara keseluruhan, sistem ini menghasilkan kuasa gandingan 111 PS, dan ia disalur ke roda hadapan menerusi kotak gear E-CVT. Malahan Vios Hibrid ini juga lebih berkuasa berbanding Vios standard dengan enjin 2NR-VE 1.5 liter NA empat-silinder petrol yang menghasilkan 106 PS pada 6,000 rpm dan 138 Nm tork pada 4,200 rpm.

    Bagi motor elektrik, ia menerima kuasa yang dibekalkan dari bateri lithium-ion berkapasiti 0.7 kWj. Menurut Toyota, sistem hibrid pengecasan sendiri membolehkan pemanduan elektrik pada kelajuan rendah dalam trafik serta menggunakan brek regeneratif untuk mengecas semula bateri secara automatik, sekali gus menghasilkan operasi yang lebih senyap, kecekapan yang dipertingkatkan dan pelepasan emisi yang lebih rendah, khususnya dalam keadaan pemanduan bandar.

    Toyota Vios Hibrid dilancar di Malaysia – 111 PS, 27.8km/l; HEV dan GR Sport; RM103,900-RM109,900

    Gandingan unit rangkaian kuasa ini membolehkan Vios Hibrid mencapai penggunaan bahan api sekitar 3.6 liter bagi setiap 100 km (27.8 km/l – 23.2 km/l pada model biasa), serta emisi CO2 sekitar 77 hingga 82 g/km berbanding 100 g/km pada model bukan hibrid. Tiga mod pemanduan turut disediakan untuk unit rangkaian kuasa ini iaitu Eco, Normal dan Power.

    Selain daripada itu, Vios Hibrid ini mengekalkan spesifikasi standard Vios, dengan suspensi hadapan jenis MacPherson strut dan torsion beam di belakang, stereng kuasa elektrik serta brek cakera di keempat-empat roda. Namun begitu, struktur kenderaan telah diperkukuh bagi meningkatkan kualiti dan keselamatan, di samping penebatan bunyi tambahan yang diaplikasikan.

    Varian GR Sport pula menerima talaan lebih sporty pada suspensi di mana ia menerima bar anti-oleng khas hadapan dan belakang, penyerap hentak yang 10% lebih besar, spring hadapan 12% lebih keras, spring belakang 9% lebih keras di mana semua ini adalah untuk memberikan cengkaman tayar lebih baik. Sistem stereng bantuan kuasa elektrik (EPS) juga ditala semula bagi memberikan rasa stereng lebih jitu.

    Kiri: Vios HEV GR Sport, Kanan: Vios HEV

    Vios Hibrid tampil dengan gaya fastback silhouette, sama seperti Vios 1.5G. Walau bagaimana pun, sebagai versi hibrid, struktur badannya diberikan pengukuhan tambahan bagi meningkatkan kualiti, ketegaran dan keselamatan. Memandangkan pek bateri hibrid menambah berat kenderaan, pelbagai langkah telah diambil untuk mengurangkan berat pada bahagian seperti bonet, fender, panel pintu dan penutup but. Selain penggunaan kaca akustik pada cermin hadapan, langkah tambahan turut dilaksanakan bagi mengurangkan bunyi angin, enjin dan jalan raya.

    Bagi Vios HEV, terdapat beberapa ciri luaran yang berbeza berbanding Vios 1.5G. Di mana kemasan krom gelap digunakan pada trim di sekeliling tingkap sisi, manakala kemasan gun metal digunakan pada gril dan hiasan penutup but. Lencana HEV pada penutup but turut menunjukkan model ini sebagai versi hibrid. Turut diberikan rim aloi ala-turbin 16-inci dengan kemasan mesin dan rona hitam.

    Manakala Vios HEV GR Sport pula pastinya tampil lebih sporty dengan kemasan hitam yang dilengkapi GR Sport Aerokit yang didakwa memberikan manfaat aerodinamik yang praktikal. Gril bersaiz besar kini menampilkan sisipan corak honeycomb, digabungkan dengan saluran masuk udara di bucu bampar, memberikan sedikit persamaan dengan GR Yaris versi sebelum naik taraf. Ia juga dilengkapi penutup cermin sisi berwarna hitam, skirt sisi satu tona serta spoiler penutup but yang berbeza. Bahagian belakang kelihatan sangat agresif, dengan difuser bersaiz besar dan bucu bampar berbentuk-L.

    Ciri luaran lain yang khusus untuk varian ini termasuk lencana GR, serta rim aloi eksklusif bersaiz 17-inci dengan kemasan mesin dan rona hitam dibaluti tayar 205/50R17 bagi memberikan cengkaman dan kestabilan yang lebih baik.

    Vios GR Sport ditawarkan dengan pilihan warna Scarlet SE, Platinum White Pearl dan Attitude Black Mica, sementara Vios HEV pula ditambah rona Silver Metallic dan Celestite Grey Metallic. Untuk rona putih, kos tambahan sebanyak RM400 ditetapkan, dan jika memilih versi GR Sport dengan rona scarlet atau putih bersama bumbung hitam, masing-masing juga dikenakan kos tambahan berjumlah RM1,500 dan RM1,800.

    Untuk bahagian kabinnya, ia masih mengekalkan sentuhan premium, termasuklah kokpit berorientasikan pemandu, dengan semua butang kawalan dan suis yang mudah dicapai. Ciri kelengkapan standard yang diberikan untuk kedua-dua varian termasuklah panel instrumen digital TFT tujuh-inci yang memiliki bentangan spesifik hibrid tanpa takometer, sementara speedometer pula merupakan paparan digital besar. Terdapat empat paten yang boleh dipilih dengan elemen grafik yang memaparkan infomasi mengenai operasi penjana kuasa hibrid. Selain itu, pemandu juga boleh memantau pengecasan bateri dan melihat sama ada penjana kuasa beroperasi secara efisien, selain turut memaparkan mod EV sekiranya ia aktif.

    Kiri: Vios HEV GR Sport, Kanan: Vios HEV

    Ia juga diberikan panel Display Audio 10.1-inci, berbanding unit 9-inci pada Vios 1.5G. Panel paparan terbabit digunakan untuk sistem audio dan sistem infotainmen dan juga 3D Panoramic View Monitor (PVM). Seperti Vios 1.5G, ia juga diberikan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, pengecas tanpa wayar Qi, pencahayaan ambien 64-warna dan balutan upholstery kulit berwarna hitam.

    Selain itu, ia juga menampilkan sistem audio dengan enam-pembesar suara, penyaman udara automatik zon-tunggal dengan liang udara untuk bahagian belakang serta penapis udara PM2.5, Smart Entry & Pushstart System, brek parkir elektrik dengan fungsi auto hold, sistem kamera 360-darjah, tempat duduk hadapan larasan manual dan tiga poin pengecas USB (dua Type C, satu Type A).

    Kabin Vios GR Sport juga sama dengan versi HEV namun diberikan ciri eksklusif termasuk kemasan Soft Pad hitam dengan jahitan rona perak pada bahagian papan pemuka, dan GR-S Leather Suede (kombinasi kulit) untuk tempat duduk upholstery. Alas karpet juga mempunyai logo GR Sport, sementara roda stereng tiga-jejari turut diberikan lencana GR hitam dan merah.

    Sama seperti Vios standard, kedua-dua varian hibrid ini turut didatangkan dengan enam beg udara, kawalan kestabilan, serta bantuan pemandu Toyota Safety Sense yang merangkumi brek kecemasan autonomous, kawalan keluncuran adaptif, bantuan pemusatan lorong, pemantauan titik buta, kepekaan trafik belakang, kepekaan ketibaan hadapan, kawalan salah guna pedal dan lampu tinggi automatik.

    Toyota Vios 1.5 HEV

    Toyota Vios 1.5 HEV GR Sport

    Bateri hibrid CKD untuk Toyota Vios

     
     
  • Proton sasar jual 200k unit pada 2026, cecah 227k pada 2027, jenama No. 1 di Malaysia menjelang 2029

    Proton sasar jual 200k unit pada 2026, cecah 227k pada 2027, jenama No. 1 di Malaysia menjelang 2029

    Pada 4 Disember tahun lalu, Proton mendedahkan sasaran jualan untuk 2026 mampu mencapai 180,000 unit. Terkini, CEO Dr Li Chunrong berkata sasaran berkenaan dinaikkan ke 200,000 unit, iaitu lebih 26% berbanding 157,976 unit yang terjual pada 2025 (yang juga 3.3% lebih baik berbanding tahun 2024). Sasaran jualan ini juga termasuk dengan pasaran eksport.

    Untuk mencapai sasaran ini, Proton menyasarkan Saga bakal menjadi model No 1 di Malaysia. Begitu juga Proton eMas pula disasarkan berkeupaya menjadi jenama EV No 1 dan eMas 7 PHEV pula sebagai model PHEV No 1 negara.

    Proton turut mensasarkan ’30+30+30 menjelang 2030′ iaitu 330,000 unit, 30% daripadanya ialah model hibrid dan EV, 30% dijual luar Malaysia dan 30 pasaran eksport.

    Pengeluar kenderaan ini juga menyasarkan jualan lebih 227,000 unit pada tahun 2027, di mana angka ini dilihat signifikan kerana ia merupakan jualan tahunan tertinggi yang pernah dicapai oleh Proton dalam sejarahnya. Manakala menjelang tahun 2029, Proton menyasarkan ia mampu menjadi pengeluar kereta dengan jualan terbaik di Malaysia, iaitu mengatasi Perodua yang masih berada di takhta tersebut buat masa ini.

     
     
  • BMW M2 G87 2026 – kemasan gentian karbon, ekzos titanium kini dalam pilihan barangan M Performance

    BMW M2 G87 2026 – kemasan gentian karbon, ekzos titanium kini dalam pilihan barangan M Performance

    Selepas BMW M2 generasi kedua diberikan kemas kini pada Jun 2024 dan memasuki pasaran Malaysia hampir setahun kemudian, model G87 versi terbaru itu kini boleh dipadankan dengan pelbagai aksesori M Performance bagi pemilik yang mahukan penampilan lebih garang untuk coupé dua pintu ini.

    Pakej M Performance ini memberi tumpuan utama kepada aspek luaran G87, dengan penambahan pelbagai komponen gentian karbon. Di bahagian hadapan, ia merangkumi kemasan salur masuk udara hadapan pada harga RM21,821, penutup cermin sisi kiri dan kanan bernilai RM9,008 serta kemasan panel sisi lengkung roda hadapan dan belakang yang berharga RM9,882.

    Di bahagian sisi dan belakang pula, antara komponen yang ditawarkan ialah kemasan tepi pintu kiri dan kanan pada harga RM10,419, spoiler belakang yang dipasang pada penutup but dengan harga RM24,243 serta sistem peredam bunyi yang merangkumi muncung ekzos titanium dan diffuser belakang bernilai RM56,771. Secara keseluruhan, set lengkap aksesori M Performance yang dipaparkan untuk BMW M2 G87 ini mencecah RM132,145.

    Walaupun ternyata dalam risalah rasmi, set rim aloi aluminium forged bersaiz 20 inci di hadapan dan 21 inci di belakang tidak terlihat dipasang pada model yang dipamerkan ini. Ia masih menggunakan set rim standard BMW M2, iaitu 19 inci di hadapan dan 20 inci di belakang, dipadankan dengan tayar bersaiz 275/35R19 dan 285/30R20.

    Untuk pasaran tempatan, BMW M2 G87 hadir standard dengan bumbung M Carbon, selain kemasan gentian karbon tambahan di bahagian dalaman. Kelengkapan kabin termasuk tempat duduk M Sport, tali pinggang keledar M, kemasan bumbung anthracite, lampu tepi pintu, kawalan pendingin hawa tiga zon, sistem akses tanpa kunci, tempat duduk hadapan larasan elektrik dengan fungsi memori untuk pemandu, lampu suasana serta pad pengecasan tanpa wayar.

    Sistem infotainmen pula merangkumi paparan instrumen digital 12.3 inci dan skrin sentuh infotainmen 14.9 inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem audio Harman Kardon dengan 14 pembesar suara, lampu utama LED adaptif serta sistem pemantauan tekanan tayar.

    BMW M2 G87 2026 – kemasan gentian karbon, ekzos titanium kini dalam pilihan barangan M Performance

    Pakej M Performance ini tidak membawa sebarang perubahan kepada penggerak, dengan BMW M2 G87 masih menggunakan enjin petrol enam silinder sebaris turbo 3.0 liter S58 yang menghasilkan 480 PS pada 6,250 rpm dan 600 Nm tork antara 2,650 rpm hingga 6,130 rpm. Kuasa disalurkan kepada roda belakang melalui transmisi automatik lapan kelajuan bersama differential M Sport.

    Casis model ini terus dilengkapi suspensi M adaptif dan brek M Compound, manakala sistem M Drive Professional menawarkan pelbagai tetapan mod pemanduan mengikut citarasa pemandu.

    Menurut laman web BMW Malaysia, BMW M2 G87 model tahun 2026 ditawarkan pada harga RM656,800 dengan jaminan standard dua tahun, atau RM699,100 dengan pakej jaminan lanjutan lima tahun bersama pelan servis.

     
     
  • Proton Saga MC3 2026 terima tempahan hampir 70,000 unit dalam tempoh dua bulan sejak dilancarkan

    Proton Saga MC3 2026 terima tempahan hampir 70,000 unit dalam tempoh dua bulan sejak dilancarkan

    Proton mengumumkan bahawa model Saga MC3 2026 telah merekodkan tempahan hampir 70,000 unit dalam tempoh dua bulan sejak ia dilancarkan pada akhir November lalu. Perkara ini diumumkan oleh CEO Proton Dr. Li Chunrong dalam majlis makan malam bersama pihak media di Shah Alam lewat petang ini.

    Barisan Saga MC3 2026 didatangkan dengan tiga varian iaitu Standard yang ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insurans bermula RMRM38,990, manakala Executive pula berharga dari RM44,990 dan spesifikasi tertinggi Premium pula bermula RM49,990.

    Dibina berasaskan platform AMA, model sedan mampu milik dari jenama ini menggunakan platform Saga terdahulu, tetapi diberikan kejuruteraan semula untuk menguatkan semula kerangka Saga ini dengan menambahbaik beberapa struktur. Antaranya Proton telah menerapkan logam dengan teknologi Hot Press Forming (HPF) pada tiang-B dan juga bahagian cross member pada lantai yang memegang cagak tempat duduk.

    ‘King’ bagi sedan segmen-A ini juga tidak lagi menggunakan enjin Campro 1.3L, sebaliknya digantikan dengan penjana kuasa “i-GT” BHE15-CFN yang mampu menghasilkan output 120 PS dan tork maksima 150 Nm. Proton turut menawarkan dua jenis transmisi untuk Saga, di mana varian paling tinggi iaitu Premium diberikan kotak gear CVT, manakala dua varian lebih rendah pula iaitu Executive dan Standard, didatangkan dengan kotak gear automatik konvensional empat-kelajuan 4AT.

    Bukan setakat bahagian teknikal, barisan Saga MC3 2026 ini turut diberikan rombakan pada rekaan imej yang lebih segar termasuk kini menampilkan lampu hadapan projektor LED, gril dan bampar hadapan baharu, serta lampu belakang juga dengan teknologi LED, bersama bar LED merentangi sepenuhnya but belakang (hanya untuk varian Premium).

    Malahan kabin Saga ini juga telah dirombak semula di mana varian Executive dan Premium kini diberikan skrin infotainmen sembilan-inci dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, dan semua varian turut diberikan paparan instrumen digital dengan skrin TFT tujuh-inci dan juga roda stereng lebih sporty rekaan rata di bawah.

    Selain itu, varian Premium turut menerima peningkatan drastik dari segi keselamatan di mana ia kini diberikan enam beg udara dan fungsi bantuan pemanduan termaju (ADAS).

    Proton Saga 2026 Premium CVT

    Proton Saga 2026 Executive

    Proton Saga 2026 Standard

     
     
  • Harga minyak 29 Jan-4 Feb – diesel untuk Semenanjung dinaikkan empat sen seliter

    Harga minyak 29 Jan-4 Feb – diesel untuk Semenanjung dinaikkan empat sen seliter

    Bagi minggu bertarikh 29 Januari hingga 4 Februari 2026, Kementerian Kewangan mengumumkan bahawa harga runcit petrol RON 97 dikekalkan pada RM3.10 seliter.

    Untuk petrol RON 95 tanpa subsidi, ia juga dikekalkan pada harga RM2.54 seliter. Begitu juga dengan harga runcit petrol bersubsidi RON95 di bawah Budi95 masih kekal pada RM1.99 seliter.

    Walau bagaimana pun, harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia pula dinaikkan sebanyak empat sen seliter menjadi RM2.92 seliter. Bagi harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan, ia kekal pada RM2.15 seliter.

    Pada 7 Januari lalu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican berkata kerajaan tidak akan melaksanakan penyasaran bagi subsidi petrol RON95 berdasarkan kelas pendapatan buat masa ini. Ini termasuklah mengurangkan kuota subsidi Budi95 untuk mengelakkan bebanan tambahan kepada isi rumah, terutamanya mereka yang tinggal jauh dari tempat kerja.

     
     
  • Cadangan untuk hadkan akses motosikal masuk ke lebuhraya perlu dibincang secara praktikal – Loke

    Cadangan untuk hadkan akses motosikal masuk ke lebuhraya perlu dibincang secara praktikal – Loke

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menyatakan bahawa apa-apa cadangan untuk menghadkan kemasukan motosikal ke lebuh raya perlu dibincangkan secara praktikal dan teliti bagi menilai keberkesanannya serta kesan terhadap pengguna lain sebelum sebarang keputusan dibuat.

    Menurutnya dalam laporan Sinar Harian, walaupun pelbagai cadangan boleh dikemukakan, pelaksanaannya perlu dilihat dari sudut kebolehlaksanaan serta impak sebenar di lapangan.

    “Ada macam-macam cadangan yang dikemukakan termasuk dari pengendali lebuh raya, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) tetapi sama ada ia praktikal atau tidak, itu yang perlu dilihat,” katanya ketika sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan (MOT) di Putrajaya hari ini.

    Loke mengeluarkan kenyataan tersebut ketika mengulas cadangan supaya pergerakan motosikal di lebuh raya dihadkan mengikut masa atau kapasiti tertentu bagi mengurangkan konflik dengan kenderaan lain terutamanya di waktu puncak susulan kemalangan maut melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal yang meningkat dengan ketara sejak tiga tahun kebelakangan ini.

    Jelasnya lagi antara yang perlu dipertimbangkan adalah sama ada cadangan tersebut memberi kesan kepada pengguna lain yang benar-benar memerlukan melalui lebuh raya untuk ke destinasi masing-masing, dan menambah perkara tersebut bukan berada sepenuhnya di bawah bidang kuasa MOT sebaliknya melibatkan Lembaga Lebuhraya (LLM) dan Kementerian Kerja Raya (KKR) serta pengendali lebuh raya.

    “Kita tahu mungkin ada kebaikan dia demi keselamatan terutamanya untuk menghindarkan lebuh raya ini menjadi medan lumba haram,” jelas beliau.

     
     
  • KPDN akan perkenal peraturan baru untuk hukum pemilik kenderaan asing beli RON 95 1 April ini

    KPDN akan perkenal peraturan baru untuk hukum pemilik kenderaan asing beli RON 95 1 April ini

    Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kini sedang merangka undang-undang baharu bagi menguatkuasakan larangan khusus terhadap pembelian petrol RON95 oleh kenderaan berpendaftaran asing di stesen-stesen minyak.

    Perkara ini didedahkan sendiri oleh menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini. Menurutnya langkah itu melibatkan pengenalan undang-undang baharu di bawah Seksyen 6 Akta Kawalan Bekalan 1961, bagi memperkukuh kawalan terhadap penyaluran subsidi petrol RON95.

    “Ini kerana kerangka perundangan sedia ada, iaitu di bawah Peraturan 12A hanya melibatkan larangan terhadap penjualan, maksudnya tindakan hanya boleh diambil terhadap stesen minyak dan bukannya kepada pemilik ataupun pembeli yang menggunakan pendaftaran kenderaan warga asing.

    “Jadi melalui peraturan baharu yang sedang kita rangka ini, larangan itu akan bukan sahaja melibatkan penjualan tetapi juga pembelian, maksudnya mereka yang membeli, pemilik ataupun pemandu yang menggunakan kenderaan pendaftaran asing juga boleh dikenakan tindakan,” jelasnya.

    Tambah beliau lagi dalam menjawab soalan tambahan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (BN-Kalabakan) mengenai penguatkuasaan khusus atau tambahan untuk mengekang ketirisan subsidi RON95 khususnya di stesen minyak di kawasan sempadan, KPDN kini sedang melaksanakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan dan menyasarkan peraturan baharu itu dapat dimuktamadkan dan dikuatkuasakan bermula 1 April ini.

    Manakala bagi memastikan pemantauan dan penguatkuasaan subsidi RON95 pada peringkat runcit, Armizan berkata antara langkah yang telah dilaksanakan KPDN adalah pemeriksaan berkala di stesen minyak bagi memastikan pematuhan mekanisme penggunaan kad pengenalan dan penguatkuasaan larangan penjualan RON95 kepada kenderaan berpendaftaran asing.

    Selain itu, penguatkuasaan kawalan pembelian luar tangki dengan larangan penjualan melebihi 20 liter tanpa permit khas dan pemantauan berkala melalui buku log dan peti lawatan di stesen minyak bersempadan.

     
     
  • GWM Wey G9 lancar di Malaysia esok, saksikan secara langsung – dijangka 7-tempat duduk, bawah RM300k

    GWM Wey G9 lancar di Malaysia esok, saksikan secara langsung – dijangka 7-tempat duduk, bawah RM300k

    Great Wall Motor (GWM) Malaysia bakal melancarkan MPV pertama dan juga model plug-in hybrid (PHEV) sulungnya, Wey G9, pada jam 11 pagi esok, Khamis 29 Januari. Pelancaran ini akan disiarkan secara langsung (tonton di sini), sekali gus menandakan kemasukan rasmi GWM ke dalam segmen MPV premium di pasaran tempatan.

    Dibuka untuk tempahan sejak Disember lalu dengan anggaran harga di bawah RM300,000, Wey G9 dipasang secara tempatan (CKD) di kilang EP Manufacturing (EPMB) di Pegoh, Melaka. Model yang dijangka masuk untuk pasaran Malaysia ialah versi jarak roda pendek dengan konfigurasi tujuh tempat duduk susunan 2-2-3, dikenali sebagai Gaoshan 7 di China. Dimensi kenderaan ini adalah sepanjang 5,050 mm, lebar 1,960 mm, tinggi 1,900 mm dan jarak roda 3,085 mm.

    Saiz tersebut menjadikan Wey G9 lebih panjang dari segi badan dan jarak roda berbanding Toyota Alphard dan Vellfire, namun masih lebih pendek berbanding MPV elektrik dari China seperti Zeekr 009, Xpeng X9 dan Denza D9 yang masing-masing melebihi 5.2 meter panjang dan mempunyai jarak roda antara 3.1 hingga 3.2 meter. Menariknya, unit CKD pertama untuk pasaran Malaysia juga dilaporkan sedang dalam perjalanan ke Thailand.

    GWM Wey G9 lancar di Malaysia esok, saksikan secara langsung – dijangka 7-tempat duduk, bawah RM300k

    Untuk penggerak, Wey G9 menggunakan sistem plug-in hybrid Hi4 yang menggabungkan enjin petrol empat silinder turbo 1.5 liter dengan output 150 PS pada 5,500 hingga 6,000 rpm dan tork 240 Nm antara 1,800 hingga 4,000 rpm dengan transmisi hibrid khusus empat kelajuan (DHT) serta motor elektrik berkuasa 109 PS dan 170 Nm untuk gandar hadapan, manakala satu lagi motor elektrik di gandar belakang menghasilkan 184 PS dan 232 Nm.

    Gabungan keseluruhan sistem ini memberikan kuasa 442 PS dan tork 642 Nm, membolehkan Wey G9 pacuan semua roda memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 5.7 saat, dengan kelajuan maksimum mencecah 200 km/j. Bateri NMC berkapasiti 44.2 kWh membolehkan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya sehingga 170 km mengikut kitaran NEDC dan dengan tangki bahan api 58 liter, jarak pemanduan keseluruhan dianggarkan sekitar 1,000 km.

    Spesifikasi pasaran Thailand memberi gambaran awal tentang kelengkapan yang mungkin ditawarkan di Malaysia. Pada harga sekitar 2.4 juta baht atau kira-kira RM309,000, Wey G9 di sana hadir dengan rim aloi dua tona 18 inci, dua bumbung suria, lampu suasana 64 warna, tempat duduk hadapan berkuasa dengan fungsi pengudaraan, memori dan urutan untuk pemandu, serta tempat duduk baris kedua boleh direbahkan secara satu sentuhan lengkap dengan penyokong kaki.

    Turut ditawarkan ialah peti sejuk belakang, paparan instrumen digital 12.3 inci, head-up display, skrin sesentuh 14.6 inci, monitor belakang bersaiz 17.3 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, pengecas tanpa wayar 50W, sistem audio dengan 21 pembesar suara serta pintu but beroperasi tanpa sentuhan.

    Dari aspek keselamatan, versi Thailand dilengkapi enam beg udara, kamera 360 darjah serta sistem bantuan pemandu yang lengkap termasuk brek kecemasan automatik, kawalan jelajah adaptif dengan fungsi henti dan gerak, bantuan pengekalan lorong, brek automatik ketika parkir, pemantauan titik buta dengan pencegahan pelanggaran, amaran lintasan trafik belakang dengan brek automatik, amaran pembukaan pintu dan kawalan menuruni bukit. Semua butiran rasmi untuk pasaran Malaysia akan didedahkan sepenuhnya semasa pelancaran esok.

    GALERI: GWM Wey G9 yang dipamerkan di Malaysia September lalu

     
     
  • Mercedes-AMG CLE versi lebih hardcore kini sedang diuji – ini versi edisi terhad V8 Black Series?

    Mercedes-AMG CLE versi lebih hardcore kini sedang diuji – ini versi edisi terhad V8 Black Series?

    Kompromissloser AMG startet Kältetests in Schweden
    Uncompromising AMG begins cold-weather testing in Sweden

    Coupe Mercedes-Benz CLE bakal menerima satu lagi varian berprestasi tinggi Mercedes-AMG yang lebih berkuasa dari model Mercedes-AMG CLE53. Belum lagi diumumkan namanya, namun Mercedes-AMG telah pun menyiarkan imej unit prototaip model berkenaan yang sedang diuji dalam cuaca sejuk.

    Menurut Mercedes-AMG, versi kali ini merupakan “model baharu yang ekstrem” dan akan berada di tempat kedua dalam siri Mythos jenama prestasi tersebut selepas model dua tempat-duduk Mercedes-AMG PureSpeed. Enjin apa yang akan disumbat belum disebut secara rasmi, tetapi menurut laporan Autocar, model ini akan menerima enjin 4.0 liter V8 twin turbo dalam versi aci engkol jenis flat-plane baharu.

    Enjin tersebut sebelum ini telah diberikan pada model AMG GT Black Series, dan aplikasi enjin berkenaan pada Mercedes-AMG CLE mungkin akan melahirkan model Black Series generasi baharu.

    Mercedes-AMG CLE versi lebih hardcore kini sedang diuji – ini versi edisi terhad V8 Black Series?

    Kompromissloser AMG startet Kältetests in Schweden
    Uncompromising AMG begins cold-weather testing in Sweden

    Unit prototaip berkenaan nampak jauh lebih garang berbanding Mercedes-AMG CLE53, menampilkan badan lebih lebar bagi memberikan jarak trek roda hadapan dan belakang juga menjadi lebih lebar, dan disertakan dengan sayap GT bersaiz besar di belakang.

    Ia juga dipadankan dengan set roda yang lebih besar dan lebar serta sistem brek karbon seramik Mercedes-AMG, dengan suspensi yang ditala memberikan badan kereta yang lebih rendah. Badan unit prototaip ini masih dibalut dengan pelekat penyamaran, dan dijangka model produksinya nanti akan menerima lebih banyak komponen gentian karbon berbanding CLE53.

    Autocar juga menyatakan bahawa enjin V8 berkenaan bakal membekalkan kuasa 650 PS dan tork 800 Nm, jauh lebih berkuasa dari enjin 3.0 liter enam-silinder sebaris yang ditala menghasilkan 449 PS dan tork maksima 600 Nm pada CLE53 sedia ada.

    Februari tahun lalu Mercedes-Benz mengumumkan bahawa ia akan terus menawarkan enjin V8, walaupun pada satu tahap jenama itu telah memadankan enjin 2.0 liter empat-silinder sebaris dengan sistem hibrid pada model Mercedes-AMG C63 sebagai transisi untuk beralih ke EV sepenuhnya.

    Untuk enjin-enjin V8 berkenaan, ia turut akan digandingkan dengan sistem elektrifikasi dalam pelbagai tahap. Manakala ada pasaran terpilih akan terus dibekalkan dengan enjin V12.

     
     
  • Porsche Macan elektrik — rasai pengalaman kereta sport yang menggabungkan prestasi dan praktikaliti

    Porsche Macan elektrik — rasai pengalaman kereta sport yang menggabungkan prestasi dan praktikaliti

    Dengan kadar perkembangan kenderaan elektrik yang begitu pantas, kini ada begitu banyak model sebagai pilihan. Sebahagiannya menawarkan angka jarak perjalanan yang jauh serta teknologi canggih; sementara sebahagian yang lain mampu memberikan prestasi dan kelajuan yang menakjubkan. Namun, hanya ada sedikit sahaja model yang memberikan pengalaman pemanduan yang memuaskan seperti sebuah kereta sport — dan tanpa kompromi, menghadirkan semua ciri yang dinyatakan ini dalam satu penawaran.

    Porsche Macan elektrik adalah sebuah SUV yang berada dalam kelompok itu. Sama ada anda sedang mencari kenderaan yang menepati keperluan untuk kegunaan harian — yang pada masa sama turut berkemampuan menjadi kenderaan untuk kembara hujung minggu — atau bahkan menjadi kenderaan yang membolehkan anda dan keluarga bergerak dalam keadaan yang sangat selesa; SUV yang atletik dan praktikal ini ada semua itu.

    Semua bermula dengan pengalaman pemanduannya. Macan akan memuaskan naluri cintakan kelajuan pemandunya, tidak kira versi mana yang menjadi pilihan. Bahkan Macan standard sahaja memberikan janaan kuasa 340 PS, dan memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat. Naik tahap ke Macan Turbo, SUV kompak berkenaan akan memberi janaan 639 PS dan memecut 0-100 km/j dalam masa hanya 3.3 saat.

    Porsche Macan elektrik — rasai pengalaman kereta sport yang menggabungkan prestasi dan praktikaliti

    Tetapi, apa yang membezakan Macan daripada model lain ialah pengalaman pemanduan khas Porsche yang ada padanya, dengan kawalan stereng yang tajam dan tepat, serta kawalan badan yang padu. Dengan adanya Porsche Active Suspension Management (PASM), suspensi udara aktif serta stereng gandar belakang, anda boleh mengubah perwatakan pengendalian kereta ini untuk disesuaikan dengan keperluan sendiri, dari sama ada casis yang lebih tangkas, hinggalah kepada pemanduan yang lebih santai.

    Ruang dalaman Macan juga memberi tumpuan kepada kenyamanan pemandu; kedudukan pemanduan untuk ketangkasan serta butang dan suis kawalan fizikal yang lebih beraspirasi sport menjadi antara kelebihannya. Ini digandingkan pula antaranya dengan paparan instrumen 12.6-inci, skrin sentuh 10.9-inci resolusi tinggu dengan Porsche Communication Management (PCM) serta pilihan paparan penumpang 10.9-inci dan augmented reality head-up display.

    Selain itu, saiz ruang kabin yang tersedia juga cukup luas untuk menempatkan lima orang dewasa dengan selesa, serta ruang but yang lebih besar berbanding Macan petrol dengan kapasiti 540 liter, yang boleh ditambah menjadi 1,348 liter dengan kerusi belakang direbahkan. Dan seperti kereta sport dua-pintu Porsche lainnya, ada tersedia “frunk” yang menyediakan ruang 84 liter di depan.

    Bagi EV, prestasi tanpa jarak perjalanan yang jauh tidak ada gunanya. Oleh itu, Macan didatangkan dengan kapasiti bateri 100 kWh sebagai ciri standard, membolehkan anda untuk bergerak sejauh 641 km dengan hanya satu cas. Dan, untuk pengecasan pula, ia tidak memerlukan masa yang lama; pengecasan 10 minit akan memberikan jarak perjalanan sejauh 250 km dengan kemampuan pengecasan pantas DC hingga 270 kW.

    Porsche Macan elektrik — rasai pengalaman kereta sport yang menggabungkan prestasi dan praktikaliti

    Semua ini adalah sebelum anda menerima juga kelebihan eksklusif Porsche, seperti keahlian Shell Recharge Platinum yang membolehkan anda mengecas Macan dengan kadar istimewa serendah RM0.80 per kWh, serta kelebihan untuk menempah ruang pengecasan sejam lebih awal. Anda juga akan menikmati pengecasan pantas percuma DC dengan kadar 350 kW di Porsche Centre seluruh negara.

    Kelegaan fikiran diberikan melalui jaminan dua-tahun dan lapan-tahun untuk bateri. Khas untuk kenderaan Porsche, anda boleh melanjutkan tempoh jaminan sehingga 15-tahun, memastikan Macan akan sentiasa dilindungi dan dijaga sebaiknya untuk tempoh yang lama.

    Inilah Porsche Macan elektrik, sebuah SUV yang praktikal, selesa dengan pemanduan Porsche yang khusus. Anda juga masih boleh menikmati pengecualian cukai, kerana masih ada unit terpilih dengan harga tahun 2025 yang masih tersedia. Alami sendiri hari ini dengan memandu ujinya di Porsche Centre berdekatan anda. Layari laman rasmi Porsche Malaysia untuk maklumat lanjut dan tempah pandu uji anda hari ini.

     
     
  • MINI Countryman EV kini sediakan jarak gerak WLTP sehingga 500 km, inverter silikon karbida baru

    MINI Countryman EV kini sediakan jarak gerak WLTP sehingga 500 km, inverter silikon karbida baru

    MINI Countryman EV diberikan kemas kini yang membolehkannya bergerak lebih jauh dengan satu cas penuh. Penambahbaikan ini dicapai menerusi penggunaan inverter silikon karbida baru, meningkatkan kapasiti bersih baterinya kepada 65.2 kWh berbanding 64.6 kWh sebelum ini, serta pengurangan geseran pada bearing roda hadapan.

    Hasilnya, varian asas Countryman E kini menawarkan jarak pemanduan sehingga 501 km mengikut piawaian WLTP, manakala varian SE All4 pula mencapai 467 km. Angka ini menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding jarak sebelum ini, iaitu 462 km untuk Countryman E dan 433 km bagi SE All4.

    Menariknya, MINI menyatakan kapasiti ruang but kini adalah sehingga 1,450 liter, sedangkan sebelum ini ia disenaraikan pada 1,530 liter. Sama ada bateri fizikalnya benar-benar lebih besar atau tidak masih tidak jelas, memandangkan pengeluar hanya mengesahkan peningkatan kapasiti bersih bateri.

    Masa pengecasan pantas DC dari 10 hingga 80 peratus kekal sekitar 30 minit, dengan kadar pengecasan maksimum masih dijangka pada 130 kW untuk DC dan 22 kW bagi AC.

    Di Malaysia, SE All4 merupakan satu-satunya varian MINI Countryman tanpa pelepasan emisi yang ditawarkan. Model ini dilengkapi dua motor elektrik yang menghasilkan 313 PS kuasa dan 494 Nm tork, membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 5.6 saat, dengan kelajuan maksimum mencecah 180 km/j.

     
     
  • Chery Himla R08 EV dilancarkan di China – trak pikap elektrik sehingga 408 PS, 510 km CLTC, RM72k-RM90k

    Chery Himla R08 EV dilancarkan di China – trak pikap elektrik sehingga 408 PS, 510 km CLTC, RM72k-RM90k

    Tahun lalu ketika berlangsungnya acara Auto Shanghai 2025, Chery telahpun melancarkan jenama trak pikap baharu yang disasarkan untuk pasaran global yang dikenali sebagai Himla. Namun di China, jenama itu sebenarnya dikenali sebagai Rely, dan ketika berlangsungnya persidangan pernigaan Chery pada 16 Januari lalu, sebanyak lima model Rely telah pun didedahkan.

    Barisan model Rely yang dikenali sebagai R08 ini menampilkan rupa yang sama dengan model-model Himla yang didedahkan pada tahun lalu, dan ia hanya dibezakan menerusi pelbagai unit rangkaian kuasa yang ditawarkan termasuk dalam versi enjin pembakaran dalaman sepenuhnya, hibrid dan juga elektrik penuh (EV).

    Model yang anda lihat ini adalah Rely R08 EV iaitu model yang digerakkan sepenuhnya dengan bateri dan motor elektrik. Ia turut ditawarkan dalam versi yang lebih lasak dikenali sebagai R08 Pro. Lain-lain model Rely yang diperkenalkan pada waktu yang sama adalah termasuk P2X dan P3X.

    Rely 08 EV ini juga sebenarnya sudah mula dijual di China pada 27 Januari lalu, ditawarkan pada harga bermula 127,800 yuan hingga 158,800 yuan (sekitar RM72k hingga RM90k). Sebanyak enam varian boleh dipilih, masih menggunakan kerangka badan jenis ladder frame, ia hadir dalam versi satu- dan dua-motor elektrik.

    Chery Himla R08 EV dilancarkan di China – trak pikap elektrik sehingga 408 PS, 510 km CLTC, RM72k-RM90k

    Bagi varian motor tunggal, ia hanya memacu roda belakang dengan kuasa 204 PS dan tork 350 Nm, membolehkan pecutan dari 0-100 km/j hanya mengambil masa 8 saat. Manakala untuk versi dua motor, salah satu motor turut memacu roda hadapan bagi memberikan kebolehan pacuan semua roda, dibekalkan dengan kuasa keseluruhan 408 PS dan tork 540 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dibuat dalam masa 5 saat.

    Rely 08 EV ini juga datang dalam dua pilihan bateri iaitu 66.54-kWj dan 88-kWj, memberikan jarak gerak 405, 510 dan 505 km berdasarkan konfigurasi unit rangkaian kuasa.

    Dari segi rupa, tak banyak perincian yang membezaka Rely 08 EV ini dengan versi enjin pembakaran dalaman. Perbezaan paling ketara untuk mengenali versi EV ini adalah dengan kewujudan port pengecaj dengan penutup besar terletak pada gril hadapan, iaitu di bawah skrip ‘RELY’.

    Menurut laporan Yiche, Chery Rely 08 EV ini datang dalam versi bed belakang standard dan panjang. Bagi versi standard, dimensi trak pikap ini adalah 5,330 mm panjang, 1,890 mm tinggi dan bed sepanjang 1,530 mm. Manakala versi bed panjang pula, panjang keselruhannya juga meningkat kepada 5,610 mm dengan bed yang dipanjangkan kepada 1,810 mm. Lebar dan tinggi bed untuk kedua-dua versi masih sama iaitu masing-masing 1,620 mm dan 515 mm.

    Chery Himla R08 EV dilancarkan di China – trak pikap elektrik sehingga 408 PS, 510 km CLTC, RM72k-RM90k

    Pada bahagian kabin, trak pikap ini datang sama ada dengan kemasan dalaman perang cerah dan hitam serta kemasan-kemasan krom, bersama skrin infotaimen 15.6-inci atau 12.3-inci. Model varian-varian tinggi menerima fungsi ADAS seperti cruise control adaptif, bantuan kekal lorong serta brek kecemasan automatik.

    Bagi Rely 08 yang bukan EV, ia dijual pada harga antara 128,800 dan 185,800 yuan (RM73k dan RM105k). Ada sembilan varian model tanpa bantuan elektrik ini, di mana kesemuanya menerima enjin turbodiesel 2.3 liter berkuasa 163 PS dan tork maksima 420 Nm, digandingkan bersama kotak gear sama ada enam kelajuan manual dan lapan kelajuan automatik, dengan pilihan hanya pacuan roda belakang dan pacuan semua roda.

    Adakah trak pikap Himla atau Rely ini akan ke pasaran Malaysia? Masih lagi tak dapat dipastikan, namun Chery kini sedang sibuk membuka sub-sub jenamanya di pasaran tempatan, seperti Jaecoo, Omoda, ICaur dan yang terkini adalah Lepas.

     
     
  • Harga Denza D9 kini 15% lebih tinggi selepas cukai

    Harga Denza D9 kini 15% lebih tinggi selepas cukai

    Susulan pengumuman struktur cukai baru bagi kenderaan elektrik (EV) import sepenuhnya atau CBU, Denza akhirnya mengesahkan harga rasmi tahun 2026 untuk MPV D9 di Malaysia, selepas model ini tidak lagi menikmati pengecualian cukai. Pesaing kepada Toyota Alphard dan Vellfire itu kini dijangka menjadi sekitar 15 peratus lebih mahal berbanding tahun lalu.

    Harga baru ditetapkan pada RM299,000 bagi varian Advanced pacuan roda hadapan (FWD) dan RM355,000 untuk varian Premium pacuan semua roda (AWD). Kesemua harga ini adalah harga tanpa kos atas jalan dan pemilik juga kini perlu membayar cukai jalan yang telah diperkenalkan semula tahun ini, iaitu RM335 untuk versi FWD dan RM485 bagi AWD.

    Sebagai perbandingan, sebelum ini Denza D9 dijual pada harga RM259,000 untuk varian FWD dan RM309,000 bagi versi AWD. Ini bermakna berlaku peningkatan harga sebanyak RM40,000 untuk FWD dan RM46,000 bagi AWD. Walau bagaimanapun, bagi yang ingin mengelak kenaikan ini, masih terdapat sejumlah unit model tahun 2025 dengan harga bebas cukai yang masih belum dijual, namun dalam jumlah yang terhad.

    Untuk penggerak, Denza D9 menggunakan satu motor elektrik di hadapan yang menghasilkan 313 PS atau 230 kW kuasa dan 360 Nm tork, digandingkan dengan bateri Blade LFP berkapasiti 103.6 kWh yang memberikan jarak pemanduan sehingga 520 km mengikut kitaran WLTP.

    Versi AWD pula menampilkan dua motor elektrik dengan output gabungan 374 PS atau 270 kW serta 470 Nm tork, selain dilengkapi sistem penyerap hentak adaptif DiSus-C. Namun, jarak pemanduannya sedikit berkurang kepada 480 km.

    Pengumuman harga ini dibuat seiring dengan pendedahan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mengenai struktur cukai baru untuk EV CBU. Secara asasnya, kenderaan terlibat dikenakan duti import 30 peratus, duti eksais 10 peratus dan cukai jualan 10 peratus, menjadikan jumlah cukai boleh mencecah sehingga 50 peratus. Namun begitu, kenderaan yang diimport dari China seperti Denza D9 menikmati kadar duti import istimewa sebanyak lima peratus di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA), menjadikan jumlah cukai keseluruhan sekitar 25 peratus.

    Denza D9 Advanced FWD

    Denza D9 Premium AWD

     
     
  • Toyota siar teaser SUV baru sebelum diperkenal di AS

    Toyota siar teaser SUV baru sebelum diperkenal di AS

    Toyota bakal memperkenalkan sebuah SUV baru di pasaran Amerika Syarikat tidak lama lagi, selepas syarikat itu menyiarkan gambar teaser dalam keadaan gelap. Dalam kenyataan ringkasnya, Toyota hanya menyebut bahawa “sesuatu yang baru sedang menghampiri”, tanpa mendedahkan sebarang maklumat lanjut mengenai model berkenaan.

    Berdasarkan teaser tersebut, SUV ini menampilkan rekaan berbentuk lebih bersegi dengan garis badan yang tegap. Bahagian fender kelihatan menonjol ke luar, manakala terdapat satu garis yang menghubungkan bahagian badan sisi dengan cermin kabin. Lampu belakang turut dapat dilihat dengan jelas, menggunakan dua jalur LED yang merentasi hampir keseluruhan bahagian belakang kenderaan.

    Laporan awal mencadangkan model ini merupakan Toyota Highlander generasi kelima yang akan menggantikan model generasi keempat berkod XU70, yang telah berada di pasaran selama lebih enam tahun. Di Amerika Syarikat, Highlander sememangnya antara model SUV Toyota yang paling lama dijual tanpa kemas kini besar, menjadikan pengenalan generasi baru ini sesuatu yang dinantikan.

    Menariknya, rekaan SUV dalam teaser ini juga dilihat sangat mirip dengan konsep bZ Large SUV yang diperkenalkan Toyota pada tahun 2021, yang turut dikenali sebagai bZ5X. Beberapa elemen reka bentuk utama model konsep tersebut sepadan dengan imej acah terkini.

    Khabar angin turut menyatakan bahawa Highlander generasi baru ini mungkin ditawarkan sebagai model elektrik sepenuhnya, dibina menggunakan platform e-TNGA dan dilengkapi tiga baris tempat duduk. Jika benar, ia bakal menjadi pesaing kepada Kia EV9 dan Hyundai Ioniq 9, manakala Toyota Grand Highlander pula terus memenuhi keperluan pembeli yang mahukan SUV besar dengan enjin pembakaran dalaman.

     
     
  • KTM Komuter Lembah Klang tidak menyediakan koc wanita pada 30 Jan-2 Feb 2026 sempena Thaipusam

    KTM Komuter Lembah Klang tidak menyediakan koc wanita pada 30 Jan-2 Feb 2026 sempena Thaipusam

    KTM Berhad (KTMB) memaklumkan bahawa penguatkuasaan koc wanita bagi perkhidmatan KTM Komuter Lembah Klang tidak akan dilaksanakan pada 30 Januari hingga 2 Februari 2026 ini. Ia adalah bagi memastikan keselesaan penumpang sempena sambutan Thaipusam yang bakal disambut pada 1 Februari ini.

    Pada tempoh berkenaan juga KTMB akan menyediakan perkhidmatan KTM Komuter 24 jam selama empat hari tiga malam. Sebanyak 28 stesen akan terlibat dengan operasi 24 jam ini iaitu Batu Caves, Taman Wahyu, Kampung Batu, Batu Kentonmen dan Sentul.

    Ia juga melibatkan stesen Putra, Bank Negara, Kuala Lumpur, KL Sentral, Bandar Tasik Selatan, Kajang, Nilai, Seremban, Senawang, Sungai Gadut, Rembau dan Tampin/Pulau Sebang, Petaling, Kg Datuk Harun, Seri Setia, Subang Jaya, Batu Tiga, Shah Alam, Padang Jawa, Bukit Badak, Klang, Jalan Kastam dan Pelabuhan Klang.

    Selain itu, juga sempena Thaipusam, KTMB mengumumkan pemberian tambang percuma kepada para penumpang KTM Komuter Lembah Klang selama dua hari iaitu pada 31 Januari dan 1 Februari ini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026