Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • MOT bakal wajibkan pemandu yang punya rekod kesalahan trafik ikuti kursus pemanduan defensif

    MOT bakal wajibkan pemandu yang punya rekod kesalahan trafik ikuti kursus pemanduan defensif

    Menteri Pengangkutan (MOT) Anthony Loke mengesahkan pihaknya sedang meneliti untuk mewajibkan pemandu khususnya yang mempunyai rekod kesalahan atau lesen digantung untuk mengikuti kursus pemanduan defensif, laporan Bernama.

    Katanya, antara perkara yang diteliti ialah penambahbaikan kurikulum sedia ada dengan tumpuan terhadap aspek kemahiran sebenar serta teknik mengelak kemalangan berbanding hanya fokus untuk lulus ujian lesen semata-mata.

    “Ini satu pendekatan baharu yang kita nak bawa, supaya nak wajibkan ataupun nak menggalakkan mereka (pemandu) yang ada kes-kes lesen digantung dan sebagainya. Kita nak mereka untuk balik kepada kursus pemanduan defensif ataupun mengambil kursus bagaimana memandu dengan lebih berhemah dan mengelak daripada kemalangan,” katanya.

    Beliau menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai cadangan semakan semula kurikulum latihan ujian lesen motosikal pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam.

    MOT bakal wajibkan pemandu yang punya rekod kesalahan trafik ikuti kursus pemanduan defensif

    Berkaitan dengan penunggang motosikal pula, Loke berkata MOT dan Kementerian Pendidikan bersetuju melaksanakan intervensi lebih bersasar terutama dalam kalangan pelajar sekolah yang menunggang motosikal ke sekolah.

    Beliau juga berkata Program MyLesen B2 yang menawarkan latihan percuma kepada golongan B40 secara am sebelum ini akan disasarkan kepada sekolah menengah bagi memastikan pelajar yang menunggang motosikal mendapat latihan formal dan berstruktur, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan akibat kurang pengalaman dan latihan menunggang.

    “Penunggang motosikal mencatatkan 66.4% jumlah mangsa kemalangan maut pada tahun lepas dengan kumpulan umur 16 hingga 30 tahun menjadi mangsa utama,” katanya bagi menjawab soalan asal Datuk Siti Aminah Aching (BN-Beaufort) mengenai punca utama peningkatan kemalangan jalan raya di Malaysia terutamanya melibatkan penunggang motosikal dan langkah yang diambil untuk menangani masalah itu.

    Tambahnya, berdasarkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), antara faktor utama kemalangan jalan raya terutama melibatkan motosikal adalah tingkah laku berisiko, interaksi trafik bercampur antara kenderaan berat dan motosikal, kurang kemahiran menunggang secara selamat serta tahap kesedaran keselamatan rendah.

     
     
  • Jualan kereta hibrid atasi petrol penuh di Eropah – EV naik 30%, kini pegang 17.4% bahagian pasaran

    Jualan kereta hibrid atasi petrol penuh di Eropah – EV naik 30%, kini pegang 17.4% bahagian pasaran

    Tahun 2025 mencatatkan satu sejarah di mana buat pertama kali jualan bagi kereta-kereta yang digerakkan oleh unit rangkaian kuasa hibrid telah mengatasi model-model yang dijana oleh enjin petrol sepenuhnya di Eropah.

    Menurut laporan AFP, Persatuan Pengeluar Automobil Eropah ACEA) menyatakan bahawa sepanjang 2025 Kesatuan Eropah (EU) telah mencatatkan pendaftaran sebanyak 1.88 juta unit kenderaan baharu – walaupun angka tersebut masih rendah berbanding jumlah yang dicatatkan sebelum pandemik, ia masih lagi lebih tinggi dari tahun 2024 dengan peningkatan 1.8%.

    Jualan bagi model hibrid telah melonjak sebanyak 13.5%, menjadikan ia kini mewakili 34.5% dari jumlah keseluruhan jualan kereta baharu di Eropah tahun lalu, lebih tinggi dari model petrol penuh dengan 26.6%. Jualan model elektrik penuh (EV) juga melonjak sebanyak 30%, menjadikan bahagian pasarannya di Eropah kini mencecah 17.4%.

    Jualan kereta hibrid atasi petrol penuh di Eropah – EV naik 30%, kini pegang 17.4% bahagian pasaran

    Walau bagaimanapun, ACEA masih menganggap kenaikan jualan bagi model-model EV di Eropah masih berada pada takat yang rendah memandangkan kenaikan tersebut dibuat berbanding tahun 2024 yang sememangnya sangat lembab, dan ia perlu lebih tinggi bagi selari dengan sasaran peralihan yang telah ditetapkan oleh Kesatuan Eropah.

    Walau bagaimanapun jualan model dengan enjin pembakaran dalaman penuh masih lagi mendominasi pasaran Eropah dengan bahagian pasaran 35.5% setelah dikira sekali dengan jualan kereta baharu yang digerakkan oleh enjin diesel. Namun ia tetap jatuh kerana pada 2024 bahagian pasaran bagi kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman penuh berada pada 45.2%.

    Pecahan mengikut jenama pula menyaksikan Volkswagen Group masih memegang takhta sebagai jenama automotif paling laris di benua berkenaan dengan jualan yang meningkat sehingga 5.5% berbanding 2024. Kumpulan Renault (juga pemilik kepada Dacia) turut mencatatkan peningkatan jualan yang hampir sama, manakala jenama di bawah Stellantis seperti Peugeot, Citroen dan Fiat pula mencatatkan penurunan jualan sehingga 4.7%.

    Jualan kereta hibrid atasi petrol penuh di Eropah – EV naik 30%, kini pegang 17.4% bahagian pasaran

    Jenama-jenama China pula dilihat sedang mengukuhkan kedudukan mereka di Eropah di mana BYD berjaya menjual kereta dengan jumlah tiga kali ganda lebih banyak berbanding pada 2024, manakala SAIC yang memiliki jenama MG pula mencatatkan kenaikan jualan sehingga 1/3.

    Namun tak semua berkaitan EV menyaksikan peningkatan di Eropah tahun lalu. Jenama EV dari Amerika Syarikat iaitu Tesla mencatatkan kejatuhan jualan hampir 38%. Ini adalah kerana masalah reputasi disebabkan pemilik jenama itu iaitu Elon Musk menjadi penyokong vokal untuk parti-parti sayap kanan di Eropab seperti parti AfD di Jerman.

     
     
  • Perbandingan kos servis Perodua Traz 2026 — lagi murah berbanding Proton X50, tapi sama Ativa?

    Perbandingan kos servis Perodua Traz 2026 — lagi murah berbanding Proton X50, tapi sama Ativa?

    Perodua Traz yang dilancarkan sebulan lalu merupakan SUV segmen B paling murah ketika ini, dengan harga RM81,100 (bagi varian tertinggi H; X dengan harga RM76,100), walaupun varian paling asas bagi model pesaing seperti Chery Tiggo Cross dan Proton X50 tidak terlalu jauh dari harga tersebut, mengambil kira diskaun yang ditawarkan kepada pelanggan. Ditambah pula, dua model pesaing itu datang dengan enjin turbocas — dan janaan output lebih tinggi — sementara Traz hanya dengan enjin NA biasa.

    Untuk yang pentingkan praktikaliti

    Tetapi, ramai orang kebanyakan yang sebenarnya lebih mahukan kenderaan yang ringkas untuk kegunaan harian, yang praktikal dan tahan lasak, berbanding kereta yang “fancy“. Dan disebabkan inilah jenama seperti Toyota menjadi pengeluar kenderaan utama dunia. Perodua juga sejak lama ingin melayani khalayak pengguna yang sama, dan disebabkan itu, untuk Traz, mereka bahkan penggunakan tema “Kejuruteraan Ringkas” sebagai falsafah di belakang pembangunannya.

    Traz antara lain disasarkan untuk pengguna yang ingin naik taraf daripada Myvi/Axia, atau daripada sedan lain dalam segmen B — mereka yang mahukan sebuah kereta keluarga yang boleh digunakan untuk semua urusan dalam satu pakej. Kenderaan yang lasak dan boleh dipercayai, tanpa banyak “songeh” atau banyak masalah. Di sinilah enjin dari siri NR yang telah banyak digunakan untuk model Perodua, Daihatsu dan Toyota memainkan peranan penting.

    Dalam artikel ini, kita akan memberi perhatian kepada kos penyelenggaraan Traz bagi jarak hingga 100,000 km, atau lima-tahun/60-bulan. Kami sertakan sekali kos Myvi sebagai rujukan dan perbandingan (yang juga menggunakan enjin sama), serta kos untuk Ativa sebagai sebuah lagi model SUV dalam barisan penawaran Perodua; Ativa lebih canggih dan berkuasa, tetapi juga lebih kecil dan kurang praktikal sebagai kereta keluarga. Dan, ada juga kos Proton X50 sebagai perbandingan.

    Perbandingan kos servis Perodua Traz 2026 — lagi murah berbanding Proton X50, tapi sama Ativa?

    Kos terjangkau oleh Perodua

    Kos keseluruhan penyelenggaraan Traz bagi tempoh lima-tahun atau 100,000 km ialah RM3,534.87. Ini melibatkan tiga corak penukaran minyak enjin biasa sepanjang tempoh itu — penukaran “kecil” akan dikenakan kos RM256.24; penukaran “medium” dengan penapis kabin sekali akan dikenakan harga RM340.41.

    Penukaran “besar” yang melibatkan penapis udara dan servis bendalir brek juga berharga RM340.41. Servis besar 100k km — yang termasuk penukaran pelincir CVT dan palam pencucuh — dikenakan harga RM769.38. Semua ini menjadikan kos keseluruhan sekitar RM3.5k.

    Seperti dijangka, kos berkenaan tidak lari jauh dari kos Myvi bagi tempoh yang sama; pengguna perlu membayar RM3,368.70. Untuk beralih kepada kereta yang lebih besar, sebuah “SUV Toyota” pula, dengan kos penyelenggaraan yang hanya lebih RM200 bagi tempoh lima-tahun bukanlah beban yang memerlukan orang ramai untuk berfikir panjang untuk beralih — satu kos yang terjangkau oleh dompet.

    Lebih menarik, kos penyelenggaraan bagi Traz adalah hampir sama dengan kos untuk Ativa. Sedikit berbeza harga untuk palam pencucuh Ativa ketika servis 100k km (RM471.90 berbanding RM263.60 untuk Traz) — kerana Ativa menggunakan sistem yang lebih canggih dengan enjin 1.0 liter turbocas. Jadi secara ringkasnya, ketiga-tiga model Perodua ini memerlukan kos penyelenggaraan dalam harga yang hampir sama.

    Proton X50 — harga sesuai prestasi

    Bagi X50, kosnya lebih mahal tentunya, dengan RM5,048.70 bagi tempoh lima-tahun atau 100,000 km — RM1,513.83 lebih mahal berbanding kos Traz. Untuk kereta di bawah harga RM100k, ini satu angka yang besar. Hal ini kerana, X50 memberikan lebih prestasi.

    Kelengkapan yang perlu diganti untuk X50 yang tidak perlu dilakukan terhadap Traz adalah seperti penapis bahan api (RM83.80, ditukar berselang-seli ketika servis berjadual), penukaran minyak transmisi klac berkembar (RM346.92 pada 80k km; Traz perlu menukar minyak CVT juga, tetapi dengan kos RM140.70), dan coolant enjin (RM135.45 pada 60k km).

    X50 menggunakan empat liter minyak enjin setiap kali servis (Traz hanya 3.5 liter), dengan kos untuk alat ganti lain juga lebih mahal untuk X50. Sebagai contoh, penapis minyak X50 ialah RM50.25, dua kali harga barangan yang sama untuk Traz (RM19.80); begitu juga dengan penapis kabin N95. Selain harga alat ganti, penggantiannya juga lebih kerap — seperti penapis udara, yang perlu ditukar sekali setiap dua kali servis (Traz hanya sekali dalam empat kali servis).

    Perbezaan paling ketara antara dua model ini adalah ketika servis pertama: untuk Perodua Traz, ia hanya kunjungan untuk pemeriksaan biasa secara percuma, tetapi untuk X50 ia melibatkan penukaran minyak enjin dengan kos RM228.

    Beza harga kos penyelenggaraan X50 ini boleh jadi lebih tinggi sekiranya penukaran auxiliary belt perlu dilakukan pada jarak 100k km; mujur ia hanya akan dilakukan pada jarak 110k km, dan tidak termasuk dalam jadual 100k km ini. Barang tersebut hanya perlu ditukar dalam kitaran 10-tahun sekali dengan kos RM147.57. Untuk semua ini, X50 akan memberikan anda lebih kuasa dan enjin yang lebih canggih, yang ditimbal dengan harga yang lebih mahal.

    Perbandingan kos servis Perodua Traz 2026 — lagi murah berbanding Proton X50, tapi sama Ativa?

    Tayar, bateri dan kadar penggunaan minyak

    Bagaimana pula dengan alatan lain, seperti bateri dan tayar? Seperti Traz, dua varian teratas Ativa menggunakan tayar bersaiz 17-inci (profile lebih tinggi untuk Traz), namun tayar Bridgestone Turanza T005A yang digunakannya lebih mahal untuk diganti berbanding tayar Toyo Proxes CR1 yang digunakan oleh Traz. Ini sekiranya anda masih mahu kekal menggunakan tayar seperti ketika kereta keluar kilang; tentu saja boleh ditukar ke pilihan lain yang lebih murah, kalau mahu.

    Untuk X50, dua varian paling tingginya menggunakan saiz 18-inci, dengan tayar premium Continental UltraContact UC6 (kilang Continental sudah tidak lagi beroperasi di Malaysia, jadi kosnya juga akan lebih tinggi untuk ditukar), sementara varian Executive paling asas menggunakan tayar Giti dengan saiz yang sama dengan Traz — 215/60 R17.

    Tidak seperti model Perodua yang lain, Traz tidak mempunyai ciri Eco Idle auto start-stop. Ini bermaksud ia boleh menggunakan bateri 12V yang paling asas, dan tidak perlukan unit bateri Enhanced Flooded Battery (EFB) seperti untuk Ativa dan lain-lain. NS40 pun boleh diguna.

    Yang terakhir adalah tentang penggunaan minyak. Perodua mendakwa Traz boleh mencapai tahap 21.3 km/liter mengikut Kitaran Pemanduan Malaysia (MDC), sementara untuk Ativa dengan 18.9 km/l dalam mod ECE. Daihatsu pula mendakwa bacaan 18.6 km/l untuk model Rocky dalam kitaran WLTP yang lebih ketat, jadi angkanya sekitar itu untuk enjin 1.0T berkenaan.

    Perbandingan kos servis Perodua Traz 2026 — lagi murah berbanding Proton X50, tapi sama Ativa?

    Proton X50 pula mendakwa mampu memberikan bacaan 6.1 liter per 100 km, bersamaan dengan 16.4 km/liter. Namun, perlu diingat, semua angka ini menggunakan kitaran ujian yang berbeza — ini hanya sebagai gambaran kadar penggunaan sahaja: penggunaan sebenar akan memberikan bacaan yang lain lagi.

    Sepanjang menggunakan Traz dalam perjalanan dan persekitaran pemanduan yang pelbagai, bacaan penggunaan minyak sebenar yang sempat kami perhatikan adalah sekitar 16 km/liter — angka yang tidak terlalu jauh berbeza berbanding Ativa dan X50. Jadi, kalau ingin berjimat, mungkin lebih elok perhatikan kos penyelenggaraannya sebagai penentu.

    Dengan perincian kos penyelenggaraan ini, adakah Traz memberikan nilai tambah yang anda cari?

    Perodua Traz 1.5L H dengan GearUp 2026

     
     
  • Kerajaan bakal beri geran padanan hingga RM2,000 untuk ganti kenderaan berusia lebih 20 tahun

    Kerajaan bakal beri geran padanan hingga RM2,000 untuk ganti kenderaan berusia lebih 20 tahun

    Kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan (MOT) hari ini melancarkan Program Geran Padanan bagi penggantian kenderaan lama yang bertujuan menggalakkan pemilikan kenderaan baharu dengan tumpuan hanya kepada jenama nasional sahaja.

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, menerusi inisiatif di bawah Belanjawan 2026, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi membantu kira-kira 5,000 pemilik untuk menggantikan kenderaan lama berusia lebih 20 tahun dengan kenderaan baharu yang lebih moden, selamat, cekap tenaga dan mesra alam.

    “Menerusi program ini, penerima yang layak akan menikmati geran padanan sehingga RM2,000, yang turut dipadankan oleh pengeluar kenderaan tempatan. Pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan kos pembelian kenderaan baharu, malah memastikan bantuan kerajaan memberi impak kewangan yang lebih bermakna dan mampan kepada rakyat,” kata Loke selepas majlis pelancaran program berkenaan.

    Kerajaan bakal beri geran padanan hingga RM2,000 untuk ganti kenderaan berusia lebih 20 tahun

    Program Geran Padanan ini hanya tertakluk kepada pembelian model Proton dan Perodua (melibatkan model Aruz dan Ativa sahaja). Bagi jenama Proton, semua model (kecuali Saga baharu dan EV e.MAS 5) akan layak menerima jumlah geran sehingga RM4,000 iaitu RM2,000 daripada kerajaan dan RM2,000 daripada Proton sendiri. Dua model yang dikecualikan tersebut pula akan menerima insentif keseluruhan yang lebih rendah iaitu RM2,000.

    Menurut Loke lagi, program ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk mengurangkan bilangan kenderaan lama yang tidak lagi selamat digunakan di jalan raya, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan dan melindungi nyawa pengguna jalan raya.

    “Kenderaan lama lazimnya lebih terdedah kepada kegagalan mekanikal, kurang dilengkapi ciri keselamatan moden, serta tidak memenuhi piawaian keselamatan semasa. Oleh itu, penggantian kenderaan uzur melalui program ini dilihat sebagai satu intervensi keselamatan jalan raya yang signifikan dan berimpak tinggi.

    Kerajaan bakal beri geran padanan hingga RM2,000 untuk ganti kenderaan berusia lebih 20 tahun

    “Kerajaan menegaskan bahawa keselamatan jalan raya adalah isu nyawa, dan setiap kenderaan lama yang dikeluarkan daripada jalan raya melalui program ini adalah satu risiko yang berjaya dikurangkan demi kesejahteraan rakyat,”katanya.

    Selain itu, pelaksanaan program ini turut diperkukuh melalui penggunaan Sistem Pembatalan Pendaftaran Kenderaan Secara Dalam Talian (e-DeREG) oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), yang membolehkan proses pembatalan pendaftaran dilakukan secara digital, pantas dan telus, tanpa keperluan hadir secara fizikal ke kaunter.

    Kenderaan lama yang diserahkan di bawah program ini akan dilupuskan secara sah melalui Authorised Automotive Treatment Facility (AATF) iaitu pusat pelupusan berlesen yang memastikan proses pelupusan dilakukan secara terkawal, profesional dan mematuhi piawaian alam sekitar.

    Loke berkata, mekanisme AATF memastikan kenderaan lama tidak kembali ke jalan raya secara haram, selain mengelakkan penyalahgunaan identiti dan nombor pendaftaran.

    Kerajaan bakal beri geran padanan hingga RM2,000 untuk ganti kenderaan berusia lebih 20 tahun

    “Pelupusan terkawal ini juga membolehkan bahan buangan dan komponen kitar semula diurus dengan selamat serta menyokong agenda kelestarian alam sekitar dan ekonomi kitaran,” katanya.

    Program itu juga dilihat mampu membantu menangani isu kenderaan terbiar di kawasan awam yang boleh menjejaskan keselamatan, kebersihan persekitaran dan imej bandar.

    Selain memberikan manfaat langsung kepada rakyat melalui penjimatan kos pembelian dan penyelenggaraan kenderaan, program ini turut menyokong pertumbuhan industri automotif tempatan, dan merangsang permintaan domestik dan aktiviti ekonomi.

    Maklumat lanjut mengenai syarat kelayakan dan mekanisme permohonan akan diumumkan oleh Kementerian Pengangkutan dari semasa ke semasa.

     
     
  • Jetour T1 raih ASEAN NCAP lima-bintang – akan tiba di Malaysia tidak lama lagi, dipasang dalam negara?

    Jetour T1 raih ASEAN NCAP lima-bintang – akan tiba di Malaysia tidak lama lagi, dipasang dalam negara?

    Jetour T1 berjaya meraih penarafan keselamatan lima bintang penuh daripada ASEAN NCAP, menyusuli kejayaan model seangkatannya, Jetour T2, yang menerima pengiktirafan sama awal bulan ini. Pencapaian tersebut mengukuhkan kedudukan jenama berkenaan dalam aspek keselamatan kenderaan di rantau ASEAN.

    Menurut kenyataan rasmi ASEAN NCAP, Jetour T1 diuji menggunakan protokol penilaian 2021–2025 yang kini telah dihentikan. Bermula tahun ini, semua penilaian baru akan dijalankan di bawah protokol 2026–2030 yang menggantikan piawaian lama tersebut. Seperti T2, T1 sempat dinilai sebelum peralihan sepenuhnya kepada protokol baru.

    Ujian keselamatan Jetour T1 dijalankan oleh China Automotive Engineering Research Institute (CAERI). Varian yang diuji dilengkapi enjin petrol 2.0 liter turbo berkuasa 254 PS dan tork 390 Nm, manakala pasaran China turut ditawarkan pilihan enjin 1.5 liter turbo dengan output 184 PS dan 290 Nm.

    Laporan ASEAN NCAP bagi T1 turut menyenaraikan Malaysia di bawah kategori “pengeluaran ASEAN lain”, sekali gus memberi petunjuk bahawa model ini berpotensi dipasang secara tempatan atau CKD.

    Dari segi keputusan penilaian, Jetour T1 mencatatkan 30.47 mata daripada maksimum 32.00 mata bagi perlindungan penumpang dewasa, 41.26 mata daripada 51.00 mata untuk perlindungan penumpang kanak-kanak, 18.00 mata daripada 21.00 mata bagi sistem bantuan keselamatan, serta 13.00 mata daripada 16.00 mata dalam penilaian keselamatan penunggang motosikal.

    Dalam penilaian perlindungan penumpang dewasa, ruang kabin hadapan T1 memberikan perlindungan mencukupi kepada bahagian dada, kaki kiri dan tapak kaki pemandu, selain perlindungan memadai untuk kaki kiri penumpang hadapan. Penarafan “baik” turut direkodkan bagi bahagian lain kabin hadapan dalam ujian hentaman hadapan, serta dalam ujian hentaman sisi.

    Bagi perlindungan penumpang kanak-kanak pula, Jetour T1 memperoleh 22.88 mata dalam segmen ujian dinamik, 8.00 mata dalam penilaian berasaskan kenderaan, 9.39 mata bagi pemasangan kerusi kanak-kanak, serta 1.00 mata untuk sistem pengesanan kanak-kanak.

    Dari sudut bantuan keselamatan, model yang diuji dilengkapi sistem brek kecemasan autonomous atau AEB serta ciri bantuan pemanduan termaju seperti amaran keluar lorong, amaran pelanggaran hadapan dan bantuan kekal lorong sebagai ciri pilihan. Sistem keselamatan asas seperti ABS, ESC, peringatan tali pinggang keledar dan pengesanan kehadiran penumpang belakang pula adalah ciri standard bagi semua varian.

    Secara keseluruhan, Jetour T1 mencatatkan penarafan lima bintang bagi setiap kategori penilaian utama ASEAN NCAP. Dengan skor wajaran keseluruhan sebanyak 87.67 mata, SUV ini disahkan meraih penarafan lima bintang ASEAN NCAP, sekali gus menampilkan tahap keselamatan yang kompetitif dalam segmennya.

     
     
  • Akta Pekerja Gig akan dikuatkuasa Mac ini – anggota majlis perundingan diumum kemudian – menteri HR

    Akta Pekerja Gig akan dikuatkuasa Mac ini – anggota majlis perundingan diumum kemudian – menteri HR

    Akta Pekerja Gig 2025 yang telah diwartakan pada 31 Disember lalu dijangka berkuat kuasa pada bulan Mac, selepas semua mekanisme pelaksanaan termasuk penubuhan majlis perundingan, tribunal serta pejabat berkaitan dimuktamadkan. Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan.

    Beliau turut menjelaskan bahawa keanggotaan majlis perundingan pekerja gig akan diumumkan kemudian, dengan keutamaan diberikan kepada platform utama seperti Grab. Menurut laporan Bernama, Ramanan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Grab Partner Campus atau Kampus Rakan Grab di Petaling Jaya.

    Akta Pekerja Gig digubal dengan matlamat untuk melindungi keselamatan sosial, kebajikan dan maruah pekerja gig, termasuk pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing. Akta ini juga bertujuan memperluaskan perlindungan yang setara dengan pekerja formal kepada lebih 1.2 juta individu yang terlibat dalam sektor berkenaan.

    Akta Pekerja Gig akan dikuatkuasa Mac ini – anggota majlis perundingan diumum kemudian – menteri HR

    Ramanan berkata Grab telah menyatakan komitmen untuk meningkatkan perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi pekerja gig berdaftar mereka kepada 15 peratus, berbanding 10 peratus sebelum ini. Selain itu, Grab juga akan menyediakan latihan serta program peningkatan kemahiran kepada 5,000 pekerja sepanjang tahun ini, dengan sokongan pembiayaan kerajaan menerusi Perbadanan Pembangunan Kemahiran.

    Mengulas mengenai pengawalseliaan pendapatan pekerja gig, Ramanan menegaskan bahawa gaji minimum kebangsaan sebanyak RM1,700 kekal sebagai garis asas, manakala kadar bayaran untuk penghantar dan pemandu ditentukan oleh setiap platform. Beliau menolak cadangan penetapan kadar minimum seragam bagi perkhidmatan penghantaran kerana ia berpotensi membebankan platform e-hailing yang masih berusaha mencapai keuntungan.

    Menurutnya, pendekatan seimbang perlu diambil bagi memastikan kebajikan pekerja terus terpelihara tanpa menjejaskan kelangsungan perniagaan. Ramanan menekankan bahawa menjaga kebajikan pekerja semata-mata tanpa mengambil kira realiti perniagaan bukanlah penyelesaian jangka panjang, sebaliknya keseimbangan antara kedua-duanya adalah kunci kepada kestabilan industri gig, khususnya dalam sektor pengangkutan dan mobiliti.

     
     
  • Mitsubishi Triton GSR 2026 pasaran Jepun didedah – terima Performance Damper dari Yamaha Motors

    Mitsubishi Triton GSR 2026 pasaran Jepun didedah – terima Performance Damper dari Yamaha Motors

    Satu-satunya varian trak pikap Mitsubishi Triton pasaran Jepun iaitu Triton GSR kini menerima tingkat taraf ‘Performance Damper’ yang dihasilkan oleh Yamaha Motor.

    Namun jangan salah faham, ‘Damper’ yang dimaksudkan bukanlah penyerap hentak pada sistem suspensi, sebaliknya merupakan peredam getaran yang diletakkan pada struktur badan hadapan dan belakang trak pikap tersebut, berfungsi untuk membantu mengawal herotan casis dan menyerap getaran daripada badan kenderaan semasa memandu.

    Menurut Mitsubishi, dengan pemadananan Performance Damper berkenaan dapat memberikan keselesaan yang lebih baik dalam kabin, menambahbaik kestabilan pengendalian dengan mengurangkan pergerakan menegak ketika ia pandu meredah jalan yang tidak rata serta mengurangkan getaran yang dipindahkan dari enjin.

    Performance Damper berkenaan sebelum ini bukan sahaja telahpun dipasang pada beberapa model mewah keluaran Lexus dan Toyota, malah ia juga telah pun digunakan pada jentera rali Triton yang memenangi Asia Cross Country Rally (AXCR) tahun lalu.

    Selain itu Triton GSR JDM 2026 ini juga diberikan suspensi hadapan dan juga cagak badan yang dioptimakan untuk mengurangkan getaran dan meningkatkan kadar responsif. Tingkat taraf lain diberikan pada model kemaskini ini termasuk bantuan tailgate dan juga penyegar udara Panasonic Nanoe X yang kini diberikan sebagai perincian standard.

    Juga diumumkan Triton GSR pasaran Jepun ini menerima perapi untuk konsol tengah dan juga pemegang pintu yang kini hadir dalam kemasan titanium gelap.

    Walau bagaimanapun Triton GSR di Jepun ini masih diberikan unit rangkaian kuasa yang sama seperti model pasaran Malaysia di mana ia dibekalkan dengan enjin 4N16 MIVEC Turbodiesel 2.4 liter berkuasa 204 PS dan tork maksima 470 Nm, digandingkan bersama kotak gear enam-kelajuan automatik dan juga sistem Super Select 4WD-II.

    Mitsubishi Triton GSR 2026 ini ditawarkan pada harga 5,518,700 yen (sekitar RM142k), dan akan mula dijual di pasaran Jepun bermula 19 Februari 2026.

     
     
  • JPJ dan Pos Malaysia akan menghentikan pengeluaran slip bercetak bagi cukai jalan bermula 1 Feb 2026

    JPJ dan Pos Malaysia akan menghentikan pengeluaran slip bercetak bagi cukai jalan bermula 1 Feb 2026

    Pos Malaysia mengumumkan bahawa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menghentikan pengeluaran slip bercetak bagi Lesen Kenderaan Motor (LKM atau cukai jalan) bagi kenderaan persendirian yang dimiliki rakyat Malaysia bermula 1 Februari 2026.

    Syarikat itu menambah bahawa bagi mereka yang memerlukan slip LKM bercetak, ia masih boleh diperoleh ketika memperbaharui cukai jalan dan insurans kenderaan di kiosk serta pejabat Pos Malaysia sebelum tarikh akhir, tertakluk kepada ketersediaan stok.

    JPJ dan Pos Malaysia akan menghentikan pengeluaran slip bercetak bagi cukai jalan bermula 1 Feb 2026

    Slip LKM bercetak ini merujuk kepada pelekat berbentuk segi empat tepat yang dilekatkan pada cermin hadapan kenderaan, dan ia berbeza daripada dokumen kertas baharu yang diperkenalkan pada Februari 2023, yang masih boleh diperoleh di pejabat JPJ.

    Sejajar dengan usaha kerajaan untuk memperluaskan pendigitalan perkhidmatan pengangkutan, Kementerian Pengangkutan telah memperkenalkan cukai jalan digital (e-LKM) dan lesen memandu digital (e-LMM) pada Februari 2023, yang kedua-duanya disimpan serta boleh diperbaharui melalui aplikasi MyJPJ.

     
     
  • Semua lorong dari Ara Damansara ke Plaza Tol Subang di Lebuhraya NKVE sedang ditutup – PLUS

    Semua lorong dari Ara Damansara ke Plaza Tol Subang di Lebuhraya NKVE sedang ditutup – PLUS

    Anda sedang terperangkap dalam kesesakan trafik dari Ara Damansara dan Lapangan Terbang Subang menuju ke Plaza Tol Subang di Lebuhraya NKVE? Harap anda sempat lencongkan perjalanan anda dengan melalui jalan alternatif kerana PLUS mengumumkan semua lorong masuk ke plaza tol berkenaan dari arah Ara Damansara sedang ditutup.

    Penutupan lorong berkenaan susulan kerja-kerja pembaikan saluran paip air oleh pihak Air Selangor di Persimpangan Subang dari Ara Damansara ke Plaza Tol Subang.

    PLUS membuat hebahan tersebut pada jam 2.30 pagi tadi, namun setakat ini masih tiada sebarang kemaskini dari pihak konsesi NKVE ini. Jadi, jika boleh sila elak laluan berkenaan dan untuk pengetahuan anda kesesakan trafik sedang berlaku dari arah Lapangan Terbang Subang sehingga persimpangan ke plaza tol berkenaan.

    Kemaskini jam 13:22 PM menerusi @PLUSTRAFIK di X: PLUS memaklumkan kerja pembaikan oleh pihak TNB di Persimpangan Subang dari Ara Damansara ke Plaza Tol Subang. Di mana laluan susur masuk di Ramp J ditutup. Untuk pengguna laluan berkenaan, anda diminta membuat pusingan U di persimpangan Menara Jam untuk ke Plaza Tol Subang. Kesesakan trafik dijangka berlaku di kawasan terlibat. Sila patuhi arahan papan tanda dan rancang perjalanan anda sewajarnya.

     
     
  • Proton Saga Cross – satu lagi bayangan digital muncul, perincian dari Saga MC3; 1.5L NA 4AT Aisin?

    Proton Saga Cross – satu lagi bayangan digital muncul, perincian dari Saga MC3; 1.5L NA 4AT Aisin?

    Selepas Proton Saga MC3 dilancarkan, ada satu lagi model yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia iaitu Saga Cross. Proton sebenarnya masih belum secara rasmi mengumumkan nama “Saga Cross” ini, namun ia sudah menjadi buah mulut orang ramai. Malah Proton sendiri telah memberikan bayangan bahawa selain Saga, satu lagi model berasaskan platform AMA akan dilancarkan selepas dan ia merupakan sebuah SUV dengan harga lebih mampu milik.

    Dengan dibina berasaskan platform yang sama dengan Saga menguatkan lagi teori bahawa SUV tersebut bakal di kenali dengan nama Saga Cross. Sebelum ini pakar manipulasi automotif tempatan, Theophilus Chin ada menghasilkan bayangan digital Saga Cross berkenaan, dan terbaharu Theo sekali lagi hadir dengan bayangannya terhadap SUV mampu milik tersebut yang dilihat mungkin lebih logik hadir sebagai model produksi sebenar kelak.

    Kali ini Theo menggunakan Fiat Pulse sebagai asas rekaannya, kemudian memadankan perincian dari Saga MC3 termasuk lampu dan gril hadapan, cermin sisi dan juga lampu belakang dengan jalur LED merentangi sepenuhnya penutup but belakang.

    Proton Saga Cross – satu lagi bayangan digital muncul, perincian dari Saga MC3; 1.5L NA 4AT Aisin?

    Perincian-perincian lain seperti pelindung-pelindung badan dan rekaan bampar hadapan dan belakang adalah masih asli dari Fiat Pulse, dan ia kelihatan ngam dengan perincian-perincian dari Saga MC3.

    Ketika acara Proton Tech Showcase berlangsung di Pusat Kecemerlangan Proton (CoE) di Subang Jaya akhir tahun lalu, salah satu dari pembentangan yang dibuat oleh Proton mengesahkan bahawa akan ada tiga model lagi disahkan akan dibina menerusi platform AMA yang setakat ini hanya dikenali sebagai AMA02, AMA05 dan AMA06. Proton menyatakan antara tiga model tersebut, ia akan tampil sebagai SUV dan juga MPV.

    Manakala ketika pembentangan berkenaan enjin 1.5L empat-silinder i-GT, Proton ada mendedahkan sedikit pembayang berkenaan salah satu SUV yang akan diasaskan dari platform AMA tersebut akan menerima enjin berkenaan dalam varian NA dengan sistem suntikan bahan api pada port kemasukan (PFI). Tidak seperti Saga MC3 di mana ia datang dengan pilihan kotak gear sama ada CVT atau empat-kelajuan konvensional 4AT, unit rangkaian kuasa yang bakal dimuatkan pada SUV baharu tersebut hanyalah transmisi 4AT.

    Proton Saga Cross – satu lagi bayangan digital muncul, perincian dari Saga MC3; 1.5L NA 4AT Aisin?

    Maklumat-maklumat yang didedahkan ini seakan menguatkan khabar angin yang bertiup sebelum ini bahawa model dengan kod AMA02 yang akan diperkenalkan oleh Proton selepas ini adalah Proton Saga Cross. Jadi sekiranya model ini benar-benar dijelmakan kelak, ia akan dijana oleh enjin 1.5 liter empat-silinder NA berkuasa 120 PS dan tork maksima 150 Nm serta hanya hadir dengan kotak gear 4AT dari Aisin.

    Berdasarkan perincian-perincian yang telah diberikan pada Saga MC3, tak mustahil Saga Cross ini juga mungkin akan hadir dengan kelengkapan keselamatan yang merangkumi enam-beg udara dan juga pelbagai fungsi sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS). Dengan kelengkapan dan perincian yang ditawarkan tersebut, mungkin Proton mensasarkan Saga Cross ini untuk berhadapan terus dengan Perodua Ativa.

    Proton juga sebelum ini telah mengesahkan bahawa model-model berasaskan platform AMA ini bukan hanya akan menjadi ‘jaguh kampung’ kerana ia disasarkan pada pasaran global. Saga MC3 misalnya, ia bukan hanya akan menggantikan model MC2 yang telah berada di beberapa pasaran eksport, malah turut akan di’rebadge’ dengan lencana Geely untuk dijual dipasaran yang hanya ada jenama China tersebut, dengan Filipina telah pun disahkan akan menjadi antara pasaran awal Saga MC3 yang dijual sebagai Geely berkenaan.

     
     
  • Chery Tiggo 8 di Malaysia – varian asas RM129,800, masih 7-tempat duduk, 1.6 Turbo 197 PS/290 Nm, 7DCT

    Chery Tiggo 8 di Malaysia – varian asas RM129,800, masih 7-tempat duduk, 1.6 Turbo 197 PS/290 Nm, 7DCT

    Minggu lalu Chery Malaysia telahpun melancarkan varian baharu untuk Chery Tiggo 8, iaitu varian paling asas untuk SUV tujuh-tempat duduk berkenaan dikenali dengan nama Chery Tiggo 8. Model ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM129,800, jauh lebih mampu milik berbanding dua varian lebih tinggi iaitu Chery Tiggo 8 Pro dan Chery Tiggo 8 PHEV di mana kedua-duanya dijual pada harga RM159,800.

    Tiada sebarang majlis dibuat ketika pelancaran model ini minggu lalu, di mana kami hanya menerima satu kenyataan media dan beberapa gambar rasmi model tersebut. Jadi untuk mendapat foto yang lebih jelas, kami telah pun ke bilik pameran Chery Lesydear bagi merakamkan foto Chery Tiggo 8 paling murah ini bagi tatapan anda.

    Varian asas Tiggo 8 ini dijana hanya dengan enjin 1.6 liter empat-silinder turbo yang sama seperti Tiggo 7, menghasilkan kuasa 197 PS dan tork maksima 290 yang digandingkan dengan kotak gear automatik klac berkembar tujuh kelajuan. Sebagai perbandingan Tiggo 8 Pro dijana oleh enjin 2.0 liter turbo berkuasa 256 hp/390 Nm, manakala Tiggo 8 PHEV pula diberikan enjin 1.5 liter turbo dengan bantuan motor elektrik menghasilkan kuasa keseluruhan 279 PS/365 Nm.

    Chery Tiggo 8 di Malaysia – varian asas RM129,800, masih 7-tempat duduk, 1.6 Turbo 197 PS/290 Nm, 7DCT

    Ada beberapa kelengkapan luaran yang membolehkan Tiggo 8 ini dibezakan berbanding Tiggo 8 Pro. Pada bahagian muka, kedua-duanya nampak sama. Namun jika anda lihat dari belakang, varian asas ini tidak menerima jalur lampu yang merentangi sepenuhnya pintu tailgate belakang, sebaliknya digantikan dengan kemasan berwarna hitam, dan skrip ‘CHERY’ juga dialih ke sebelah atas.

    Manakala pada bahagian bawah bampar boleh dilihat bahawa Tiggo 8 hanya menerima perumah tip ekzos tunggal pada bahagian kiri dan kanan, manakala pada Tiggo 8 Pro hadir dengan tip ekzos sebenar berbentuk oval serta berkembar yang keluar pada kedudukan yang sama. Model asas ini juga hanya diberikan rim aloi 18-inci dengan tayar 235/55R18 berbanding rim aloi 19-inci yang dibekalkan pada Tiggo 8 Pro.

    Pada sebelah dalam, Tiggo 8 ini juga menampilkan papan pemuka yang berbeza berbanding Tiggo 8 Pro di mana skrin infotainmen 12.3-inci di tengah tidak bercantum dengan skrin 10.25-inci untuk paparan instrumen digital. Bentuk liang-liang penghembus udara untuk pendingin hawa juga direka berbeza.

    Chery Tiggo 8 di Malaysia – varian asas RM129,800, masih 7-tempat duduk, 1.6 Turbo 197 PS/290 Nm, 7DCT

    Tiggo 8 ini turut diberikan satu lagi skrin untuk kawalan penghawa dingin dan ia bercantum dengan konsol tengah bersama tombol gear yang nampak serupa dengan konsol tengah Tiggo Cross yang lebih kecil.

    Antara perincian lain yang turut dibekalkan pada varian asas ini termasuk sistem audio Sony dengan lapan-pembesar suara, hubungan Apple CarPlay dan Android Auto, cermin akustik dua lapisan, penghawa dingin automatik dua zon, bumbung suria kawalan elektrik dengan pelindung matahari, cermin pandang belakang auto-malap, lampu suasana kabin dan tempat duduk pemandu kawalan elektrik dengan fungsi memori.

    Untuk keselamatan, Tiggo 8 asas ini masih menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan fungsi penuh, serta diberikan kamera pemantau 360-darjah. Hanya dua warna badan ditawarkan untuk Tiggo 8 paling murah ini iaitu Dark Black dan Khaki White.

    Chery Malaysia memberikan waranti selama tujuh tahun atau 150,000 km serta waranti enjin selama 10-tahun atau sejuta km dengan setiap pembelian Tiggo 8 ini. Ia juga diberikan pakej servis percuma termasuk kos buruh dan alat ganti selama lima tahun serta Program Insuran Chery selama setahun.

    Chery Tiggo 8 ini sudahpun berada di semua bilik pameran Chery di seluruh sejak 24 Januari lalu. Kalau anda masih tak sempat nak ke bilik pameran, galeri penuh SUV segmen-D ini kami sediakan di bawah.

     
     
  • JPJ sita enam kereta mewah termasuk satu dengan nombor pendaftaran palsu dalam Ops Khas di Karak

    JPJ sita enam kereta mewah termasuk satu dengan nombor pendaftaran palsu dalam Ops Khas di Karak

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menyita enam kereta mewah bernilai RM1.5 juta atas pelbagai kesalahan termasuk sebuah kereta yang menggunakan nombor pendaftaran palsu dalam Ops Khas di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) di Karak semalam, laporan Bernama.

    “Pemeriksaan mendapati kereta mewah tersebut menggunakan nombor pendaftaran yang tidak sepadan dengan rekod sebenar kenderaan. Perkara ini menimbulkan syak wasangka wujudnya cubaan untuk mengelak tindakan penguatkuasaan.

    “Siasatan lanjut juga mendapati motif utama pemandu adalah untuk mengelakkan dikesan oleh kamera Sistem Kesedaran Keselamatan Automatik (AWAS),” kata Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan yang menambah bahawa kenderaan berkenaan juga tidak mempunyai cukai jalan mahupun perlindungan insurans yang sah.

    JPJ sita enam kereta mewah termasuk satu dengan nombor pendaftaran palsu dalam Ops Khas di Karak

    Kesalahan menggunakan nombor pendaftaran palsu tersebut disiasat di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan denda antara RM5,000 hingga RM10,000, selain tindakan undang-undang berkaitan yang lain. Kesalahan yang dilakukan oleh lima buah kereta mewah lain termasuk tidak mempunyai lesen memandu, cukai jalan dan/atau insurans.

    Selain kereta mewah, JPJ turut menyita 15 buah kereta, lapan motosikal berkuasa tinggi, 102 buah motosikal di bawah 250 cc, sebuah van dan sebuah lori, serta mengeluarkan 1,203 saman sepanjang operasi terbabit yang dijalankan dari jam 6 pagi hingga 1 tengah hari.

    “Ops Khas ini melibatkan kerjasama antara JPJ Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan ibu pejabat, dengan sokongan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pihak berkuasa tempatan. Seramai 183 anggota JPJ telah ditugaskan, dengan penguatkuasaan tertumpu di LPT1 meliputi laluan Gombak hingga Karak,” kata Muhammad Kifli.

     
     
  • Yamaha NMax terima dua warna baru – harga RM11.5k

    Yamaha NMax terima dua warna baru – harga RM11.5k

    Selepas satu tahun dilancarkan untuk pasaran Malaysia, Yamaha NMax (dipanggil V3) kini disegarkan semula dengan dua warna baru iaitu Icon Blue dan Crystal Graphite. Harga pula masih tidak berubah, sama seperti waktu ia dilancarkan Januari tahun lepas, iaitu RM11,498 tidak termasuk insurans.

    Untuk pengetahuan, meskipun di negara luar terdapat versi “Turbo”, kita tidak mendapat versi paling tinggi itu, dan datang cuma dalam versi pertengahan. Walaupun begitu, ia masih melibatkan pelbagai peningkatan, bermula dengan panel badan serba baru di semua bahagian termasuk lampu jenis hadapan jenis LED projector.

    Kemudiannya, kelengkapan skuter ini juga semakin canggih, termasuk dilengkapi dengan brek ABS dual-channel, kawalan cengkaman serta sistem kunci pintar. Ruang simpanan di bawah tempat duduk adalah 25 liter.

    Yamaha NMax terima dua warna baru – harga RM11.5k

    Paparan meter masih lagi menggunakan unit LCD, tetapi dengan grafik baru dan boleh disambung kepada aplikasi Y-Connect dalam telefon pintar untuk memaparkan notifikasi mesej atau telefon. Menurut HLYM, sistem suspensi NMax baru ini dipertingkat, tetapi masih lagi fork teleskopik biasa dan dua penyerap hentak tanpa tabung di belakang.

    Kelengkapan lain skuter ini masih sama seperti sebelumnya, termasuk enjin, yang merupakan unit satu silinder 155 cc Bluecore VVA suntikan bahan api, mampu menghasilkan kuasa 15.4 PS pada 8,000 rpm dan 14.2 Nm tork pada 6,500 rpm. Ia juga datang standard dengan sistem start & stop, brek cakera hadapan dan belakang, rim 13 inci dengan tayar 110/70 di hadapan dan 130/70 di belakang, soket pengecas USB serta tangki bahan api 7.1 liter.

     
     
  • Hyundai Staria pasaran Malaysia dapat konsol tetap gantikan tempat duduk tengah hadapan, harga sama

    Hyundai Staria pasaran Malaysia dapat konsol tetap gantikan tempat duduk tengah hadapan, harga sama

    Sebagai rujukan, Hyundai Staria pasaran Malaysia sebelum ini ditawarkan dalam dua konfigurasi utama. Varian tujuh tempat duduk didatangkan dengan konsol tengah tetap di antara tempat duduk hadapan yang mempunyai penutup gelungsur, manakala varian 10 tempat duduk pula menggunakan tempat duduk tengah yang boleh dilipat untuk menyediakan dua pemegang cawan serta dua ruang simpanan telefon. Susun atur ini telah digunakan sejak era Sime Darby, diteruskan semasa pengurusan Hyundai Motor Malaysia (HMY), sehinggalah ke fasa pemasangan tempatan (CKD).

    Sekarang, HMY mengumumkan bahawa MPV ini menerima kemas kini melibatkan penggunaan konsol lantai baru yang mempunyai pemegang cawan boleh tanggal, pemegang cawan boleh ditarik, kotak simpanan serta laci gelungsur. Tempat duduk tengah pula dikeluarkan.

    Walaupun dengan perubahan ini, harga jualan kekal tidak berubah iaitu antara RM179,888 hingga RM267,888. Untuk makluman, Hyundai Staria telah dipasang secara CKD di Malaysia sejak Oktober lalu.

    Hyundai Staria pasaran Malaysia dapat konsol tetap gantikan tempat duduk tengah hadapan, harga sama

    Buat masa ini, masih belum dapat dipastikan sama ada konsol baru ini adalah unit yang sama seperti yang digunakan pada varian tujuh tempat duduk atau satu rekaan yang benar-benar baru. Jika ia merupakan konsol yang sama, ini bermakna varian 10 tempat duduk kini menerima ciri yang telah lama ditawarkan pada varian tujuh tempat duduk. Jika sebaliknya, timbul persoalan sama ada konsol tersebut turut digunakan pada kedua-dua varian.

    Namun begitu, memandangkan model facelift terbaru yang masih belum memasuki pasaran Malaysia juga mengekalkan konsol tengah tetap seperti varian tujuh tempat duduk, adalah munasabah untuk mengandaikan bahawa konsol yang digunakan adalah sama. Pihak kami telah menghubungi HMY untuk mendapatkan pengesahan lanjut dan akan mengemas kini maklumat berserta gambar sebaik sahaja ia diterima.

     
     
  • GWM Wey G9 CKD yang dipasang di Melaka mula dieksport ke Thailand; pelancaran tempatan bulan ini

    GWM Wey G9 CKD yang dipasang di Melaka mula dieksport ke Thailand; pelancaran tempatan bulan ini

    GWM Malaysia hari ini mengumumkan bahawa ia telah mula membuat penghantaran pertama MPV mewah Wey G9 yang dihasilkan secara pemasangan tempatan (CKD) di kilang EPMB di Pegoh, Melaka ke pasaran Thailand. Produksi Wey G9 ini telah pun bermula pada penghujung tahun lalu, dan model ini dijangka bakal dilancarkan ke pasaran Malaysia bulan ini.

    “Penghantaran CKD untuk GWM WEY G9 ke Thailand pada hari ini menjadi bukti betapa kukuhnya asas pasaran serantau yang sedang kami bina di ASEAN,” kata En. Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia.

    “Peranan Malaysia sebagai hab pemasangan yang strategik adalah langkah sokongan kami terhadap pasaran negara jiran dengan keluaran produk New Energy yang canggih, di samping memantapkan lagi integrasi rantaian bekalan produk serantau. Penghantaran ini merupakan salah satu langkah untuk kami terus maju ke hadapan dan juga sebagai tanda kehadiran kami di rantau ini,” tambahnya.

    Wey G9 yang dieksport ke Thailand ini menampilkan spesifikasi yang sama seperti model yang akan dilancarkan di Malaysia kelak. Ia digerakkan dengan unit rangkaian kuasa plug-in hybrid Hi4 yang menggandingkan enjin 1.5 liter empar-silinder turbo berkuasa 150 PS dan tork maksima 240, bersama motor elektrik berkuasa 109 PS/170 yang dipadankan pada kotak gear khusus hibrid DHT empat-kelajuan untuk memacu roda hadapan, bersama satu lagi motor elektrik 184 PS/232 Nm untuk memacu roda belakang.

    Ini memberikan kebolehan pacuan semua roda Intelligent Electronically Controlled Four Wheel Drive pada MPV ini, dengan bekalan kuasa keseluruhan 442 PS/642 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 200 km/j.

    “GWM WEY G9 adalah gabungan kejuruteraan bertaraf dunia dan hasil tangan tempatan yang mantap. Penghantaran ke Thailand ini menunjukkan kemampuan daya saing kami bagi menyokong perkembangan serantau GWM. Ia bukan sekadar keupayaan dari segi logistik, tetapi permulaan kepada pencapaian satu matlamat jangka panjang yang memperkukuhkan kedudukan Malaysia, khususnya untuk masa depan New Energy GWM,” kata Pengarah Urusan GWM Malaysia, Encik Cui Anqi pula.

     
     
  • JPJ Kedah sita ‘Kelisa Gino’ yang dimodifikasi tanpa kelulusan, langgar peruntukan undang-undang

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kedah menyita sebuah Perodua Kelisa di Jalan Ekor Kucing–Padang Serai, Kulim, baru-baru ini kerana ia didapati telah diubahsuai dari segi struktur dan peralatan kenderaan tanpa kelulusan yang sah, sekali gus melanggar peruntukan undang-undang jalan raya yang ditetapkan.

    “Tindakan penguatkuasaan telah diambil dengan pengeluaran Notis Saman P22 di lokasi kejadian selain Notis PG1 serta Notis Arah Periksa di bawah Seksyen 61(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 terhadap pemilik kenderaan kerana membenarkan kenderaan tersebut berada di atas jalan raya dalam keadaan tidak mematuhi spesifikasi asal.

    “JPJ menegaskan bahawa pengubahsuaian kenderaan tanpa kelulusan bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya,”kata JPJ Kedah menerusi perkongsian di laman Facebook rasminya.

    Ini bukan kes pertama yang melibatkan ‘Kelisa Gino’. Hampir setahun yang lalu, JPJ Perak telah menyaman pemilik ‘Kelisa Gino’ kerana selain mengubahsuai kepada Daihatsu bergaya retro yang comel, dia turut memasang enjin 1.3 liter ke dalamnya tanpa kelulusan (Kelisa tidak pernah keluar dari kilang dengan enjin melebihi 1,000 cc).

     
     
  • BYD Atto 3 Ultra dapat pilihan warna baharu Atlantis Grey – stok bebas cukai terhad berharga RM105,800

    BYD Atto 3 Ultra dapat pilihan warna baharu Atlantis Grey – stok bebas cukai terhad berharga RM105,800

    BYD telah mengumumkan bahawa Atto 3 Ultra masih ditawarkan dalam versi bebas cukai pada harga promosi RM105,800. Walau bagaimana pun, stok adalah terhad. Selain itu, BYD turut memperkenalkan warna baharu bagi SUV EV ini iaitu Atlantis Grey, yang melengkapkan tiga pilihan sedia ada – Ski White, Harbour Grey dan Cosmos Black.

    Jika dilihat dengan pandangan mata kasar, Atlantis Grey kelihatan seperti rona biru berbanding kelabu, dan sebelum ini ia telah pun digunakan pada model BYD seperti Seal, Sealion 7 dan Dolphin.

    BYD Atto 3 Ultra dilancarkan di Malaysia pada Mac 2025. Ia merupakan versi yang dikemas kini daripada varian Extended Premium sebelum ini, diberikan kemasan baharu dan lebih banyak kelengkapan serta harga yang lebih rendah (dari RM118,800) bagi bersaing dengan Proton eMas 7, yang penghantarannya bermula pada awal tahun 2025.

    Ciri kelengkapan yang dikemaskini termasuklah rekaan baharu bagi roda 18-inci, sedikit perubahan pada lampu utama dan kemasan hitam di bahagian bahawa bagi menggantikan rona perak. Di dalamnya, ia diberikan upholstery hitam (tiada lagi rona biru) dengan kontras kuning (sebelum ini merah). Hiasan ala ‘tali gitar’ pada poket pintu kini juga berwarna hitam berbanding merah pada versi sebelumnya. Begitu juga dengan tempat duduk berliang dan kunci digital NFC yang menjadi antara ciri baharu untuk SUV EV ini.

    Walau bagaimana pun, tiada perubahan untuk bahagian mekanikalnya. Ia masih menggunakan sebuah motor di hadapan yang menghasilkan 204 PS (150 kW) dan 310 Nm, membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.3 saat. SUV ini juga masih diberikan bateri lithium iron phosphate (LFP) Blade 60.48 kWh dengan jarak 420 km WLTP. Ia juga menyokong pengecasan pantas DC 88 kW, membolehkan bateri dicas dari 10%-80% dalam masa 40 minit. Bagi pengecasan AC, input maksimum sama seperti sebelum ini dengan 7 kW yang memerlukan sembilan jam 42 minit untuk pengecasan penuh.

    GALERI: BYD Atto 3 Ultra 2025

     
     
  • JPJ Selangor nasihati orang ramai jangan terperdaya dengan iklan lesen memandu percuma tanpa ujian

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor menafikan penularan iklan dan hebahan di media sosial yang mendakwa kononnya orang awam boleh memperoleh lesen memandu secara percuma tanpa perlu melalui sebarang ujian yang sah.

    Pengarah JPG Selangor, Azrin Borhan berkata, pihaknya memandang serius dakwaan berkenaan dan menegaskan bahawa iklan terbabit adalah maklumat palsu serta mengelirukan, selain mempunyai unsur penipuan untuk memperdaya orang ramai.

    “Hasil siasatan awal mendapati iklan tersebut telah menggunakan gambar Pengarah JPJ Negeri Selangor tanpa kebenaran, sehingga menimbulkan kekeliruan kepada orang awam serta menjejaskan kredibiliti jabatan.

    “Sehubungan itu, JPJ Negeri Selangor ingin mengingatkan orang awam agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terperdaya dengan sebarang tawaran atau maklumat berkaitan pemberian lesen memandu secara percuma tanpa ujian yang sah, “katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Dalam masa yang sama, beliau turut menasihati orang awam supaya sentiasa membuat semakan melalui saluran rasmi JPJ bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.

     
     
  • Kawasaki Ninja ZX-4RR, ZX-4R SE dilancar di Malaysia – enjin empat silinder 399 cc, harga dari RM40,999

    Kawasaki Ninja ZX-4RR, ZX-4R SE dilancar di Malaysia – enjin empat silinder 399 cc, harga dari RM40,999

    Selepas hampir tiga tahun didedahkan kepada dunia, Kawasaki ZX-4R kini dilancarkan untuk pasaran Malaysia, ditawarkan dalam dua versi iaitu ZX-4R SE pada harga RM40,999 dan ZX-4RR pada RM42,999. Harga ini adalah tidak termasuk pendaftaran dan insurans.

    Binaan asas dua versi ini adalah sama, bermula dengan enjin iaitu unit empat silinder 399 cc DOHC, dipadankan bersama transmisi enam kelajuan dengan klac jenis assist & slipper, mampu menghasilkan sehingga 77 PS pada 14,500 rpm dan 80 PS apabila salur udara Ram-air cukup padat. Tork adalah 39 Nm pada 13,000 rpm.

    Tidak cukup dengan itu, ia juga dilengkapi dengan sistem elektronik moden termasuk quickshifter (naik dan turun), panel meter TFT 4.3 inci, kawalan cengkaman Kawasaki Traction Control (KTRC) tiga tahap, brek ABS serta pilihan mod tunggangan Sport, Road, Rain dan Rider.

    Kawasaki Ninja ZX-4RR, ZX-4R SE dilancar di Malaysia – enjin empat silinder 399 cc, harga dari RM40,999

    Dengan kuasa yang tinggi pada badan kompak sama seperti ZX-25R, Kawasaki tidak berkompromi dengan ciri keselamatan dengan memberikan tetapan brek cakera 257 mm berkembar bersama angkup empat piston di hadapan, cakera tunggal 186 mm dengan angkup satu piston di belakang serta rim 17 yang dibalut tayar 120/70 di hadapan dan 160/60 di belakang.

    Perincian lain ZX-4R adalah termasuk semua lampu jenis LED, tangki bahan api 15 liter, berat keseluruhan 189 kg, tinggi tempat duduk 800 mm, serta skrin TFT yang boleh disambung kepada telefon pintar melalui aplikasi Rideology.

    ZX-4R SE ditawarkan dalam warna Metallic Moondusty Gray/Metallic Spark Black dan Blizzard White/Spark Black, manakala ZX-4RR tersedia dalam warna Lime Green/Ebony. Selain warna, ZX-4RR juga dipertingkat dengan monoshock boleh laras Showa BFRC-lite (Balance Free Rear Cushion) serta talaan yang lebih agresif.

    GALERI: Kawasaki Ninja ZX-4R SE

    GALERI: Kawasaki Ninja ZX-4RR

    GALERI: Kawasaki Ninja ZX-4RR di Bangkok International Motor Show

     
     
  • JPJ Johor tahan 459 pemandu warga asing, sita 235 kenderaan dalam Ops PEWA – tiada lesen, cukai jalan

    JPJ Johor tahan 459 pemandu warga asing, sita 235 kenderaan dalam Ops PEWA – tiada lesen, cukai jalan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor telah menahan 459 pemandu warga asing di atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan tiada insurans kenderaan, dalam Ops Pemandu Warga Asing (PEWA) antara 1 hingga 23 Januari 2026, laporan The Star.

    Pengarah JPJ Negeri Johor Tuan Zulkarnain Yasin berkata menerusi operasi berkenaan, pihaknya telah memeriksa sebanyak 1,109 kenderaan dan mengeluarkan 459 notis atas pelbagai kesalahan. Manakala 235 kenderaan disita iaitu 152 motosikal, 69 kereta, 11 lori dan tiga van.

    Katanya lagi, pesalah trafik PEWA kali ini melibatkan 195 warga Pakistan, 110 warga Bangladesh, 99 warga Indonesia, 23 warga Burma, 15 warga Nepal dan 17 warga lain-lain negara.

    Sementara itu, JPJ Kuala Lumpur pula telah menyita sebanyak 58 kenderaan di bawah Ops PEWA pada 20 Januari lalu. Kenderaan yang disita termasuk lima buah lori sampah, yang dipandu oleh warga asing walau pun kenderaan berkenaan didaftarkan di bawah nama pemilik warga tempatan. Pengarah JPJ KL Hamidi Adam turut mengeluarkan amaran keras kepada kontraktor yang melanggar peraturan kerana mengajikan warga asing sebagai pemandu lori sampah.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026