Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Harga minyak 22-28 Jan – RON97 dan RON95 naik 2 sen seliter, diesel Semenanjung naik 4 sen seliter

    Harga minyak 22-28 Jan – RON97 dan RON95 naik 2 sen seliter, diesel Semenanjung naik 4 sen seliter

    Kementerian Kewangan mengumumkan bahawa bagi minggu bertarikh 22 hingga 28 Januari 2026, harga runcit petrol RON 97 dinaikkan sebanyak dua sen seliter menjadi RM3.10 seliter.

    Untuk petrol RON 95 tanpa subsidi, ia juga dinaikkan sebanyak dua sen seliter menjadi RM2.54 seliter. Walau bagaimana pun harga runcit petrol bersubsidi RON95 di bawah Budi95 masih kekal pada RM1.99 seliter.

    Manakala harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia pula dinaikkan sebanyak empat sen seliter menjadi RM2.88 seliter. Bagi harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan, ia kekal pada RM2.15 seliter.

    Pada 7 Januari lalu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican berkata kerajaan tidak akan melaksanakan penyasaran bagi subsidi petrol RON95 berdasarkan kelas pendapatan buat masa ini. Ini termasuklah mengurangkan kuota subsidi Budi95 untuk mengelakkan bebanan tambahan kepada isi rumah, terutamanya mereka yang tinggal jauh dari tempat kerja.

     
     
  • Toyota Raize 2026 kini di Indonesia – skrin AACP 9-inci, varian GR Sport dapat kit badan rekaan baru

    Toyota Raize 2026 kini di Indonesia – skrin AACP 9-inci, varian GR Sport dapat kit badan rekaan baru

    Bukan hanya Ativa, sebenarnya kembar dengan logo Toyota SUV berkenaan iaitu Toyota Raize juga tidak diberikan sebarang penyegaran sejak dilancarkan pada 2021. Oleh itu, tahun ini sedikit rombakan diberikan pada Raize pasaran Indonesia – namun ia bukanlah perubahan yang menyeluruh, tetapi hanya diberikan untuk Raize dalam varian GR Sport, itu pun pada komponen aerokit sahaja, dan juga beberapa tingkat taraf dalaman untuk varian-varian lain.

    Perubahan berkenaan menyaksikan rekaan komponen tersebut diubah dari kelihatan sebagai sebuah spoiler kepada menjadi lebih tebal dan nampak lebih lasak menerusi skid plate kemasan perak yang diberikan pada bahagian tengah. Rekaan lebih lasak tersebut turut diberikan pada bahagian belakang di mana reflektor di bawah bampar kini diberikan perumah bersegi yang lebih besar, serta bahagian diffuser di bahagian tengah kini nampak lebih pendek. Pelekat grafik baharu turut dilekat pada tiang-C Raize GR Sport 2026 ini.

    Varian GR Sport ini hanya hadir dalam versi enjin 1KR-VET 1.0 liter tiga-silinder turbo yang sama seperti Ativa di Malaysia, menghasilkan kuasa 98 PS/140 Nm dan digandingkan dengan hanya kotak gear CVT. Pelanggan boleh memilih untuk membeli Raize GR Sport 1.0T CVT, atau Raize GR Sport 1.0T TSS, iaitu versi yang dilengkapi dengan sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense.

    Selain itu versi dengan enjin 1.0 liter Turbo ini turut datang dalam dua lagi varian lebih rendah iaitu 1.0T G CVT dan 1.0T G MT iaitu model yang menerima kotak gear manual lima kelajuan. Di Indonesia Raize juga datang dengan pilihan unit rangkaian kuasa 1.2 liter tiga-silinder tanpa turbo dengan enjin WA-VE menghasilkan kuasa hanya 88 PS dan tork maksima 113 Nm. Versi ini juga datang dalam versi dua pilihan kotak gear iaitu 1.2 G CVT dan 1.2 G MT.

    Pada bahagian dalam kabin, semua varian Raize 2026 ini telah dikemaskini dengan perapi tiang dan pelapik bumbung berwarna hitam. Ia juga kini datang dengan sistem infotaimen yang sudah diberikan hubungan Android Auto dan Apple Carplay. Manakala untuk varian paling asas 1.2 G MT, skrin lapan-inci asal telah digantikan dengan skrin lebih besar bersaiz 9-inci.

    Selain itu, Raize GR Sport ini juga diberikan lebih banyak aksesori luaran yang boleh dipilih menerusi Toyota Customization Option, termasuk spoiler bumbung, visor sisi, penutup cermin sisi gentian karbon, perapi sisi badan pada pintu dalam kemasan Gun Metal, Scuff Plate GR, pelindung pembuka pintu GR, video perakam digital (dashcam), penyegar udara , T-Intouch, jaring kargo dan juga pewangi kereta pintar.

    Toyota Raize 2026 kini di Indonesia – skrin AACP 9-inci, varian GR Sport dapat kit badan rekaan baru

    Manakala bagi perincian-perincian lain ia masih tidak berubah dari sebelum ini di mana varian GR Sport datang dengan lampu hadapan LED adaptif, lampu isyarat membelok sequential, rim aloi 17-inci kemasan hitam berkilat, sistem penghawa dingin automatik, roda stereng GR balutan kulit, pedal penukar gear dan uphosteri gabungan kulit dan fabrik.

    Varian-varian lain pula datang standard dengan paparan instrumen digital dengan skrin TFT 7.0-inci dan kawalan penghawa dingin digital. Varian dengan enjin 1.2 liter menerima rim aloi 16-inci, manakala semua varian dengan enjin 1.0 liter turbo diberikan rim 17-inci.

    Toyota Raize pasaran Indonesia ini dijual pada harga bermula Rp 242,850,000 (RM58k) untuk varian asas 1.2 G MT, Rp 257,950,000 (RM62k) untuk 1.2 G CVT, Rp 262,700,000 (RM63k) untuk 1.0T G MT, Rp 277,100,000 (RM66k) untuk 1.0T G CVT, Rp 291,300,000 (RM70k untuk 1.0T GR Sport dan Rp 316,300,000 (RM76k) untuk 1.0T GR Sport TSS.

     
     
  • SmartLane di lebuhraya selamat digunakan; kadar kemalangan berkurangan sejak ia diaktifkan – Nanta

    SmartLane di lebuhraya selamat digunakan; kadar kemalangan berkurangan sejak ia diaktifkan – Nanta

    Menteri Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menjelaskan bahawa pelaksanaan SmartLane di lebuhraya selamat digunakan dan mengikut protokol keselamatan yang ketat.

    “Inisiatif SmartLane merupakan pengaktifan lorong kecemasan untuk kegunaan kenderaan ringan bagi menambah kapasiti laluan, terutamanya semasa waktu puncak atau musim perayaan, bagi mengurangkan kesesakan di lebuhraya. SmartLane adalah satu inisatif “Quick Win, High Impact” yang menggunakan strategi pengurusan trafik yang inovatif tanpa perlu kos yang tinggi untuk penambahan lorong atau pelebaran lebuh raya.

    “Bagi memastikan inisiatif ini tidak meningkatkan risiko kemalangan, KKR melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi telah melaksanakan mekanisme pemantauan yang komprehensif iaitu protokol keselamatan yang ketat dipatuhi di mana sebelum sesuatu SmartLane diaktifkan, pasukan peronda akan memastikan tiada halangan atau kenderaan berhenti di lorong kecemasan sebelum ia dibuka,” katanya.

    SmartLane di lebuhraya selamat digunakan; kadar kemalangan berkurangan sejak ia diaktifkan – Nanta

    Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Manndzri Nasib (MP Tenggara) di Dewan Rakyat yang ingin mengetahui mekanisme pemantauan keselamatan, penguatkuasaan undang-undang serta penggunaan teknologi yang diguna pakai pihak Kementerian bagi memastikan perlaksanaan SmartLane tidak meningkatkan risiko kemalangan jalan raya.

    Selain itu, kata Nanta lagi, penggunaan papan tanda makluman diletakkan pada jarak 1 kilometer dan 500 meter sebelum titik mula, serta di dalam kawasan SmartLane untuk memberi panduan jelas kepada pengguna. Malah paparan Variable Messaging Signage (VMS) mudah alih digunakan untuk memaklumkan pengguna mengenai pengaktifan/ penamatan operasi SmartLane. Penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) juga digunakan untuk memantau aliran trafik secara real-time dari semasa ke semasa dari Pusat Pemantauan Trafik (Traffic Management Center (TMC).

    “Pihak LLM dan syarikat konsesi juga menjalinkan kerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam aspek penguatkuasaan pematuhan penggunaan lorong kecemasan semasa SmartLane diaktifkan bagi memastikan keselamatan aliran trafik yang bercampur termasuk memastikan kenderaan berat tetap berada di lorong perlahan dan tidak menyalahgunakan SmartLane yang dikhaskan untuk kenderaan ringan sahaja,”jelasnya lagi.

    SmartLane di lebuhraya selamat digunakan; kadar kemalangan berkurangan sejak ia diaktifkan – Nanta

    Nanta turut berkata, secara keseluruhannya, kadar kemalangan di zon SmartLane adalah sangat rendah dan tidak signifikan jika dibandingkan dengan jumlah kenderaan yang melalui zon tersebut.

    “Analisis di beberapa lokasi SmartLane umpamanya di laluan Putra Mahkota ke Southville menunjukkan pengurangan sehingga 22% dan di laluan R&R Rawang ke Persimpangan Rawang menunjukkan pengurangan sehingga 74% kemalangan berbanding sebelum pengaktifan SmartLane.

    “Majoriti insiden kemalangan yang direkodkan bukan berpunca daripada reka bentuk jalan, sebaliknya disebabkan oleh kecuaian manusia seperti memandu laju di zon SmartLane, pertukaran lorong secara berbahaya tanpa memberi isyarat dan penggunaan lorong kecemasan di luar waktu operasi SmartLane (pencerobohan lorong),” kata Nanta.

     
     
  • Pos Malaysia bekerjasama dengan ALS untuk lancar kenderaan logistik autonomous pertama dalam negara

    Pos Malaysia bekerjasama dengan ALS untuk lancar kenderaan logistik autonomous pertama dalam negara

    Pos Malaysia menjalin kerjasama strategik dengan Autonomous Logistic Solutions (ALS) bagi melaksanakan penggunaan kenderaan logistik autonomous pertama seumpamanya di Malaysia. Menerusi perjanjian ini, kedua-dua pihak akan menjalankan percubaan konsep selama enam bulan, di mana sebuah kenderaan autonomous Zelos yang dibekalkan oleh ALS akan digunakan dalam persekitaran operasi sebenar Pos Malaysia.

    Zelos ketika ini mengendalikan lebih 15,000 kenderaan autonomous di beberapa negara termasuk China, Singapura dan Emiriah Arab Bersatu. ALS pula merupakan rakan eksklusif Zelos di Malaysia yang bertanggungjawab membawa masuk, menyesuaikan serta mengoperasikan teknologi kenderaan autonomous tersebut untuk pasaran tempatan.

    Percubaan ini menjadi langkah awal yang penting ke arah penggunaan kenderaan autonomous di jalan raya awam. Ia disokong melalui kerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Futuris bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan perundangan, keselamatan serta kerangka nasional kenderaan autonomous.

    Pos Malaysia bekerjasama dengan ALS untuk lancar kenderaan logistik autonomous pertama dalam negara

    Pengerusi Pos Malaysia, Tan Sri Syed Faisal Albar berkata, inisiatif kenderaan autonomous ini merupakan satu pencapaian penting dalam usaha mentransformasi Pos Malaysia menjadi penyedia logistik yang moden, inovatif dan mampan. Menurut beliau, Zelos bukan sekadar mewakili kemajuan teknologi, sebaliknya satu langkah nyata ke arah operasi yang lebih cekap dan lestari.

    Faisal menambah, teknologi tersebut berpotensi mengurangkan penggunaan bahan api, mengoptimumkan laluan penghantaran dan meminimumkan pembaziran dalam operasi harian. Pos Malaysia juga berbangga berada di barisan hadapan evolusi digital negara serta memimpin industri ke arah era automasi baru.

    Kenderaan autonomous Zelos merupakan kenderaan elektrik sepenuhnya dan dilengkapi dengan set penderia menyeluruh yang membolehkannya mencapai autonomous Tahap 4, iaitu beroperasi tanpa pemandu. Menurut Pos Malaysia, kenderaan logistik autonomous tanpa pelepasan karbon ini dibangunkan khas untuk pengangkutan barangan perniagaan ke perniagaan (B2B), terutamanya bagi operasi penghantaran berulang, berjumlah besar dan dari satu lokasi ke satu lokasi.

    Pos Malaysia bekerjasama dengan ALS untuk lancar kenderaan logistik autonomous pertama dalam negara

    Digital Nasional Berhad (DNB) turut terlibat sebagai rakan strategik ALS dalam menyediakan sambungan 5G, yang merupakan komponen penting bagi membolehkan penggunaan teknologi autonomous lanjutan. Langkah Pos Malaysia ke arah logistik autonomous ini juga selari dengan inisiatif mobiliti mampannya, yang menyaksikan syarikat itu kini mengendalikan kumpulan kenderaan elektrik terbesar di negara ini. Pos Malaysia memaklumkan ia memiliki lebih 1,500 motosikal dan van elektrik, dengan 25 peratus daripada keseluruhan kenderaannya kini menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya.

    Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewer, berkata pelancaran ini bukan sekadar memperkenalkan sebuah kenderaan autonomous, sebaliknya membuka lembaran baru untuk industri logistik Malaysia. Beliau menyifatkan projek perintis ini sebagai bukti komitmen Pos Malaysia terhadap inovasi, kecekapan dan masa depan negara, sambil menyatakan rasa bangga dapat menerajui perjalanan transformasi tersebut.

    Sementara itu, Pengarah Urusan ALS, Alan Chong, berkata kerjasama dengan Pos Malaysia membolehkan logistik autonomous bergerak melangkaui fasa ujian kepada operasi sebenar. Menurutnya, integrasi teknologi autonomous Tahap 4 ke dalam aliran kerja sedia ada penghantaran pos dan bungkusan membuktikan kesediaannya untuk digunakan di dunia sebenar. Kerjasama ini juga menetapkan penanda aras nasional bagi penggunaan industri yang lebih meluas serta membuka laluan jelas untuk kenderaan autonomous beroperasi di jalan raya Malaysia dalam masa terdekat.

     
     
  • APAD sedang bangunkan pangkalan data syarikat bas dan lori – dijangka dilancar pada suku pertama 2027

    APAD sedang bangunkan pangkalan data syarikat bas dan lori – dijangka dilancar pada suku pertama 2027

    Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Masita Mat Isa, mengesahkan pihaknya sedang membangunkan pangkalan data membabitkan lebih 60,000 pengendali syarikat bas dan lori yang dijangka dilancarkan suku pertama tahun hadapan, laporan Berita Harian.

    Menurut beliau, buat masa ini, pangkalan data berkenaan masih dalam peringkat awal iaitu untuk perolehan bajet.

    “Pangkalan data ini penting bagi mengumpulkan pemandu bas dan lori yang akan menyatakan seseorang pemandu berkenaan sama ada ‘fit to drive’ atau layak untuk memandu. Jika seseorang pemandu tidak mempunyai rekod dadah atau saman tinggi, maka status mereka adalah layak memandu dan pangkalan data ini juga akan memudahkan syarikat membuat rujukan jika mahu mengambil pemandu,” katanya.

    APAD sedang bangunkan pangkalan data syarikat bas dan lori – dijangka dilancar pada suku pertama 2027

    Tambah beliau, pangkalan data berkenaan juga akan dihubungkan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    “Kita kini dalam proses mendapatkan peruntukan daripada Kementerian Kewangan dan sekiranya pangkalan data ini siap lebih awal, maka ia akan dilancarkan lebih awal. Dengan adanya pangkalan data itu, ia dapat memastikan tiada pemandu berisiko di jalan raya,” jelasnya yang menambah nama data berkenaan masih dalam perbincangan.

    Sebelum ini, dilaporkan bahawa Kementerian Pengangkutan (MOT) akan membangunkan satu sistem pangkalan data membabitkan semua pemandu pengangkutan awam termasuk bas ekspres dan persiaran. Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pangkalan data terbabit akan dibina oleh APAD bagi memudahkan pihak berkuasa menyemak rekod lampau pemandu bermasalah, sekali gus menyenarai hitam mereka daripada terus mengendalikan kenderaan awam.

     
     
  • Cukai dan duti EV CBU diletakkan pada 30%+10%+10% atau 5%+10%+10%, bergantung kepada negara asal

    Cukai dan duti EV CBU diletakkan pada 30%+10%+10% atau 5%+10%+10%, bergantung kepada negara asal

    Pengecualian penuh duti import dan duti eksais bagi kenderaan elektrik (EV) import penuh atau CBU telah berakhir bersama penutup tahun 2025. Bermula 2026, struktur cukai baru kini dikenakan ke atas EV CBU yang dibawa masuk ke Malaysia.

    Dalam sesi taklimat semakan prestasi industri 2025 dan unjuran 2026 oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) semalam, pihak MAA menjelaskan secara terperinci kadar cukai yang terpakai. Secara asasnya, EV CBU kini dikenakan duti import sebanyak 30 peratus, duti eksais 10 peratus dan cukai jualan 10 peratus (cukai jualan sebelum ini memang sudah ada). Namun begitu, kadar duti import sebenar bergantung kepada perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang dimeterai Malaysia dengan negara atau blok perdagangan tertentu.

    Presiden MAA, Mohd Shamsor Mohd Zain, bersama ahli majlisnya mengambil China sebagai contoh, memandangkan sebahagian besar EV CBU di pasaran tempatan diimport dari negara tersebut. Di bawah jadual pengurangan tarif Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA), EV yang memasuki rantau ini hanya dikenakan duti import sebanyak lima peratus. Ini menjadikan jumlah cukai untuk EV CBU dari China adalah lima peratus duti import, 10 peratus duti eksais dan 10 peratus cukai jualan, satu kelebihan besar berbanding kadar standard 30 peratus duti import.

    Cukai dan duti EV CBU diletakkan pada 30%+10%+10% atau 5%+10%+10%, bergantung kepada negara asal

    Namun, tidak semua FTA menawarkan keistimewaan yang sama. Perjanjian perdagangan bebas antara ASEAN dan Korea Selatan, misalnya, meletakkan kenderaan dalam kategori “sangat sensitif”, menyebabkan duti import kekal pada kadar 30 peratus bagi EV CBU dari jenama seperti Hyundai dan Kia.

    Kategori sensitif ini diwujudkan bagi melindungi industri tempatan daripada lambakan import yang lebih berdaya saing dari segi harga, dan ia bergantung kepada rundingan timbal balik antara pihak terlibat. Dalam konteks ini, China jelas memperoleh kelebihan yang ketara.

    Ditanya sama ada duti import bagi EV CBU dari China berpotensi diturunkan lagi daripada lima peratus, wakil MAA yang pakar dalam perdagangan menjelaskan perkara itu hampir mustahil. Tahap kerjasama seterusnya antara ASEAN dan China merangkumi pelbagai aspek, namun tidak melibatkan pengurangan tarif, memandangkan kadar sedia ada sudah rendah dan lebih baik berbanding rakan dagang lain.

    Cukai dan duti EV CBU diletakkan pada 30%+10%+10% atau 5%+10%+10%, bergantung kepada negara asal

    Dari sudut harga jualan kepada pengguna, kesannya dijangka tidak terlalu besar. Memandangkan kebanyakan EV yang dijual di Malaysia berasal dari China, termasuk dua model Tesla yang dihasilkan di Gigafactory Shanghai, peningkatan harga dianggarkan sekitar 15 peratus. Angka ini dianggap sederhana, terutamanya jika dibandingkan dengan diskaun dan rebat besar yang sedang ditawarkan oleh beberapa jenama dalam perang harga EV yang masih berterusan.

    Setakat ini, Tesla merupakan satu-satunya pengeluar yang telah mengumumkan harga EV CBU bagi tahun 2026, dengan mengesahkan harga runcit yang sama seperti tahun 2025 akan dikekalkan. Masih belum jelas sama ada Tesla menyerap kos duti baru tersebut atau menerima keistimewaan tertentu daripada kerajaan melalui program BEV Global Leaders di bawah MITI, di mana Tesla merupakan satu-satunya pengeluar yang terlibat. Sejak awal kemasukannya ke pasaran tempatan, Tesla juga menjual kenderaan CBU tanpa memerlukan permit import (AP) francais yang lazimnya diwajibkan.

    Penamatan pengecualian duti sepenuhnya untuk EV CBU bertujuan menggalakkan pengeluar kenderaan menubuhkan operasi pemasangan tempatan di Malaysia. Namun, masih menjadi persoalan sama ada beban duti sekitar 15 peratus mencukupi untuk mempengaruhi keputusan pelaburan mereka, terutamanya apabila insentif bebas cukai bagi EV pemasangan tempatan atau CKD hanya berkuat kuasa sehingga penghujung 2027, iaitu kurang daripada dua tahun lagi.

    Dalam keadaan ini, pengeluar mungkin memilih untuk menaikkan harga atau menyerap kos tambahan tersebut, yang dilihat lebih berkemungkinan, sambil menunggu perkembangan seterusnya. Mungkin juga di sinilah peranan dasar baru MITI yang menetapkan harga lantai minimum RM250,000 untuk EV import, namun isu itu wajar dibincangkan secara berasingan.

     
     
  • Masuk Tahun Kuda dengan rebat Tahun Baru Cina sehingga RM18,888 untuk model Omoda & Jaecoo!

    Masuk Tahun Kuda dengan rebat Tahun Baru Cina sehingga RM18,888 untuk model Omoda & Jaecoo!

    Ingin jadi pusat perhatian dan tumpuan ketika balik kampung sempena perayaan Tahun Baru Cina nanti? Omoda & Jaecoo ada tawaran menarik untuk barisan kenderaan mereka untuk anda. Dengan rebat sehingga RM18,888 dan pakej servis percuma lima-tahun atau 100,000 km (yang mana datang dahulu) untuk semua model — kecuali J7 PHEV — sepanjang bulan ini, tak ada cara yang lebih baik untuk menyambut kedatangan Tahun Kuda kali ini!

    Beli mana-mana model Omoda & Jaecoo bermula sekarang hingga 31 Januari nanti untuk menikmati rebat Ang Pow eksklusif berjumlah sehingga RM2,888 untuk Jaecoo J7 2WD yang paling popular, hingga RM5,888 untuk model J7 AWD. Dengan pakej servis percuma lima-tahun temasuk sekali, anda bakal menikmati penjimatan masing-masing sebanyak RM8,400 dan RM11,800.

    Mahukan lebih ruang? Omoda C9 yang lebih mewah adalah jawapannya, dan boleh dimiliki dengan rebat RM2,888 untuk model 2WD dan RM3,888 untuk AWD, menjadikan penjimatan masing-masing sehingga RM8,500 dan RM10,000. Jika memerlukan tiga barisan tempat duduk, Jaecoo J8 hadir dengan rebat RM2,888 bagi kedua-dua versi 2WD dan AWD, dengan masing-masing memberikan penjimatan sehingga RM8,800 dan RM9,100.

    Tetapi, penjimatan paling besar adalah untuk Jaecoo J7 PHEV, yang menikmati rebat sehingga RM18,888 serta pakej servis percuma lima-tahun atau 50,000 km (yang mana datang dahulu), serta lanjutan jaminan bateri dua tahun untuk menjadikan tempoh perlindungan keseluruhannya 10-tahun. Semua ini memberi penjimatan sehingga RM24,800!

    Baki tempoh masa untuk promosi ini tidak panjang, jadi tempah model Omoda & Jaecoo baru anda sekarang untuk menerima serahannya sebelum balik kampung nanti. Untuk perincian lanjut, layari laman web rasmi Omoda & Jaecoo Malaysia.

    Tertakluk kepada terma dan syarat.

     
     
  • KTMB bakal menawarkan 26,460 tiket tambahan ETS bagi tempoh 13-22 Feb sempena Tahun Baharu Cina

    KTMB bakal menawarkan 26,460 tiket tambahan ETS bagi tempoh 13-22 Feb sempena Tahun Baharu Cina

    Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bakal menawarkan sebanyak 26,460 tiket tambahan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) bagi tempoh 13 hingga 22 Februari bagi memenuhi permintaan sempena perayaan Tahun Baharu Cina, laporan New Straits Times.

    Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke, peruntukan tambahan bagi tempoh perayaan tersebut akan meningkatkan operasi ETS kepada maksimum 52 perjalanan sehari, dan jualan tiket akan dibuka mulai 29 Januari ini.

    Bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini pula, KTMB akan menyediakan lapan perkhidmatan ETS dari 13 hingga 29 Mac di laluan terpilih, dengan jumlah keseluruhan 36,540 tiket ditawarkan. Langkah ini juga akan menjadikan operasi ETS mencapai maksimum 52 perjalanan sehari. Untuk musim Hari Raya Aidilfitri, jualan tiket akan dibuka mulai 1 Mac, menurut Menteri Pengangkutan itu lagi.

     
     
  • Geely EX2 dipasang di Indonesia; 46.5% kandungan tempatan termasuk bateri, pangkalan utama ASEAN

    Geely EX2 dipasang di Indonesia; 46.5% kandungan tempatan termasuk bateri, pangkalan utama ASEAN

    Geely Auto Indonesia mengumumkan bahawa ia telahpun memulakan operasi pemasangan tempatan (CKD) EV kompak Geely EX2 menerusi kilang PT Handal Indonesia Motor (HIM) yang terletak di keregenan Purwakarta pada Isnin lalu, 19 Januari 2026. Ini bermakna selepas dilancarkan secara rasmi pada pasaran negara itu semalam, pelanggan di Indonesia akan terus menerima model berkenaan dalam versi CKD.

    Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Geely Indonesia dan dilaporkan oleh voi.id, kandungan tempatan pada EX2 CKD Indonesia berkenaan mencecah 46.5%, termasuk bateri yang dibekalkan oleh vendor tempatan iaitu Gotion. Walau bagaimanapun, Gotion hanya memasang bateri berkenaan di Indonesia dengan sel-sel yang masih diimport dari China.

    EX2 juga merupakan model ketiga Geely yang dipasang secara tempatan di Indonesia selepas EX5 (eMas 7) dan Starray EM-i (eMas 7 PHEV), di mana fasiliti berkenaan mampu untuk menghasilkan 60 unit kenderaan setiap hari.

    “Kewujudan fasiliti produksi kami di Indonesia menunjukkan komitmen kuat Geely untuk menjadikan negara ini sebagai pangkalan automotif utama di Asia Tenggara,” kata CEO Geely Auto Indonesia CEO Wu Chuxing.

    Berbeza dengan kembar EX2 di Malaysia iaitu Proton eMas 5 yang dilancarkan di sini pada Oktober 2025, walaupun kilang EV Proton telah dirasmikan pada September tahun lalu, 216 unit awalan yang telah dilaporkan dihantar kepada pelanggan masih lagi diimport sepenuhnya (CBU) dari China. Malah sehingga kini operasi CKD untuk Proton eMas 5 masih belum bermula di Tanjong Malim.

    Manakala untuk eMas 7 CKD yang akan mula dipasang kelak, ia sebenarnya masih berstatus semi-knocked down (SKD) dengan kit yang dibawa dari China, dan Proton masih belum mendedahkan berapa peratus kandungan tempatan yang digunakan.

    Berbalik pada Geely EX2 pasaran Indonesia, ketika dilancarkan semalam model ini sah dijual pada harga 255 juta rupiah (RM61k) untuk varian asas Pro dan 285 juta rupiah (RM68k) untuk varian teringgi Max. Namun khas sempena pelancarannya, Geely Indonesia menawarkan diskaun istimewa untuk pelanggan yang membeli model ini sebelum 15 Februari atau 2,000 pelanggan pertama dengan harga 229,900,000 rupiah (RM55k) untuk EX5 Pro dan 259,900,000 rupiah (RM62k) untuk EX5 Max.

    Model ini perlu dijual dengan harga yang begitu kompetitif di sana berbanding Proton eMas 5 yang dijual pada harga RM57k-RM70k kerana EX2 perlu berhadapan dengan beberapa model EV mampu milik dari Wuling yang lebih lama bertapak di sana.

    Untuk unit rangkaian kuasa, kedua-dua varian Pro dan Max di Indonesia menerima motor elektrik tunggal memacu roda belakang berkuasa 116 PS/150 Nm, digerakkan juga dengan hanya satu pilihan bateri 40.8 kWj yang membolehkan ia bergerak sejauh 395 dalam kitaran NEDC.

    Berbeza dengan eMas 5 Prime di Malaysia, Proton menawarkan varian asas dengan motor yang berkuasa lebih rendah 79 PS/130 Nm dan juga bateri lebih kecil berkapasiti 30.12 kWj yang menawarkan jarak gerak 225 km dalam kitaran ujian WLTP yang lebih realistik.

    Untuk perbezaa kelengkapan pula EX2 Pro diberikan lampu hadapan projektor LED automatik (hanya halogen biasa untuk eMas 5 Prime) dan empat beg-udara (enam pada eMas 5 Prime). Kedua-dua varian EX2 pasaran Indonesia ini tidak menerima pintu tailgate belakang bantuan kuasa, di mana perincian ini diberikan pada eMas 5 Premium di Malaysia.

    Untuk keselamatan, Proton eMas 5 di Malaysia menerima fungsi penuh ADAS termasuk AEB dan ACC sama seperti EX2 Max di Indonesia. Namun untuk varian asas, EX2 tidak diberikan sebarang fungsi bantuan pemanduan, sebaliknya eMas 5 Prime di Malaysia masih menerima fungsi seperti pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, amaran pelanggaran belakang dan amaran bukaan pintu.

     
     
  • Lorong kiri, kecemasan di KM442.45-KM443.35 antara Sg Buaya-Rawang PLUS ditutup, 21-23 Jan, 10am-4pm

    Lorong kiri, kecemasan di KM442.45-KM443.35 antara Sg Buaya-Rawang PLUS ditutup, 21-23 Jan, 10am-4pm

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memaklumkan bahawa laluan antara Sungai Buaya dan Rawang di KM442.45-KM443.35 arah selatan di Lebuhraya Utara-Selatan ditutup pada 21 Jan (hari ini) hingga 23 Jan 2026, dari jam 10 pagi hingga 4 petang setiap hari.

    Ia adalah bagi kelancaran kerja-kerja penyelenggaraan talian atas elektrik merentasi lebuh raya akan dijalankan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) di laluan berkenaan.

    “Sepanjang tempoh kerja dijalankan, lorong kecemasan dan lorong kiri di KM442.45 sehingga KM443.35 arah selatan akan ditutup sementara kepada pengguna lebuhraya.

    “Gangguan trafik dijangka minimum di lokasi berkenaan. Para pengguna dinasihatkan agar merancang perjalanan lebih awal, mematuhi papan tanda trafik serta arahan petugas PLUS ketika melalui kawasan kerja demi keselamatan bersama,” kata PLUS menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • JPJ KL sita 58 kenderaan dipandu warga asing yang tiada lesen memandu dan dokumen sah

    JPJ KL sita 58 kenderaan dipandu warga asing yang tiada lesen memandu dan dokumen sah

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur telah menyita 58 kenderaan dalam pelaksanaan Ops Pemandu Warga Asing (PEWA) baru-baru ini. Operasi berkenaan yang menyasarkan warga asing yang memandu tanpa lesen atau dokumen yang sah, dilaksanakan dari jam 9 pagi hingga 2 petang kelmarin di sekitar Wangsa Maju, Setapak dan Gombak, laporan Bernama.

    “Mereka didapati melakukan pelbagai kesalahan, termasuk memandu tanpa lesen dan perlindungan insurans. Ada yang cuba melarikan diri namun berjaya ditahan untuk tindakan lanjut. Hasil semakan mendapati kenderaan tersebut masih didaftarkan atas nama pemilik tempatan. Tindakan undang-undang juga akan diambil terhadap mereka,” kata Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam.

    Individu yang terlibat terdiri daripada 15 warga Pakistan, 13 warga India, 11 warga Indonesia, 10 warga Bangladesh, lapan warga Myanmar dan seorang warga Palestin. Kebanyakan mereka terlibat dalam kerja pengumpulan besi buruk, manakala yang lain mengusahakan perniagaan kecil. Lima lori sampah juga disita, dan Hamidi turut mengeluarkan amaran keras kepada kontraktor yang melanggar peraturan kerana mengajikan warga asing sebagai pemandu lori sampah.

    Semua kenderaan disita di bawah Seksyen 64(1), manakala saman dikeluarkan di bawah Seksyen 23(1), 23(2) dan 90(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Operasi PEWA secara keseluruhan menyaksikan 323 kenderaan diperiksa dan 283 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, manakala jumlah sitaan kenderaan berkaitan PEWA menurun kepada 376 pada tahun lalu berbanding 586 pada tahun 2024.

     
     
  • Komuter Lembah Klang 24 jam sempena Thaipusam, 30 Jan-2 Feb – tambang percuma pada 31 Jan-1 Feb

    Komuter Lembah Klang 24 jam sempena Thaipusam, 30 Jan-2 Feb – tambang percuma pada 31 Jan-1 Feb

    Sempena dengan perayaan Thaipusam yang bakal disambut pada 1 Februari 2026, Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) bakal memberikan tambang percuma kepada para penumpang KTM Komuter Lembah Klang selama dua hari iaitu pada 31 Januari dan 1 Februari 2026.

    Walau bagaimana pun, penumpang perlu mengakses pintu masuk dan keluar (ACG) untuk menikmati tambang tren KTM Komuter secara percuma menggunakan mod pembayaran tanpa tunai dengan mengimbas QT KITS Style Wallet, kad Touch ‘N Go, kad KomLink atau kad MyDebit/kredit, membeli tiket fizikal di kaunter atau kios tiket untuk perjalanan pada tarikh yang dinyatakan itu.

    Selain itu, KTMB juga akan menyediakan perkhidmatan KTM Komuter 24 jam selama empat hari tiga malam yang akan bermula pada 30 Januari sehingga 2 Februari 2026.

    Sebanyak 28 stesen akan terlibat dengan operasi 24 jam ini iaitu Batu Caves, Taman Wahyu, Kampung Batu, Batu Kentonmen, Sentul, Putra, Bank Negara, Kuala Lumpur, KL Sentral, Bandar Tasik Selatan, Kajang, Nilai, Seremban, Senawang, Sungai Gadut, Rembau dan Tampin/Pulau Sebang.

    Ia juga melibatkan stesen Petaling, Kg Datuk Harun, Seri Setia, Subang Jaya, Batu Tiga, Shah Alam, Padang Jawa, Bukit Badak, Klang, Jalan Kastam dan Pelabuhan Klang.

     
     
  • MAA jangka jumlah jualan kenderaan baru turun 3.8% pada tahun 2026 disebabkan peningkatan kos hidup

    MAA jangka jumlah jualan kenderaan baru turun 3.8% pada tahun 2026 disebabkan peningkatan kos hidup

    Selepas mencatat satu lagi tahun rekod bagi jualan kenderaan baru hasil pertumbuhan konsisten sejak tiga tahun lalu, ramai menjangkakan pasaran automotif Malaysia akan terus melonjak pada 2026, apatah lagi dengan kemasukan pelbagai jenama baru serta pengukuhan nilai ringgit. Namun begitu, jangkaan tersebut mungkin terlalu optimistik.

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) meramalkan jualan kenderaan baru akan menurun sebanyak 3.8 peratus pada tahun ini. Anggaran jumlah industri (TIV) sebanyak 790,000 unit, merangkumi 730,000 kereta penumpang dan 60,000 kenderaan komersial, adalah lebih rendah berbanding 820,752 unit yang direkodkan pada tahun lalu. Jika ramalan ini menjadi kenyataan, 2026 akan menjadi tahun pertama sejak 2023 di mana TIV jatuh di bawah paras 800,000 unit.

    Melihat kepada data terdahulu, penurunan ini sebenarnya sukar dielak. Selepas melonjak daripada 508,883 unit pada 2021 kepada 721,177 unit pada 2022, pertumbuhan jualan kenderaan baru mula menunjukkan tanda-tanda mendatar.

    MAA jangka jumlah jualan kenderaan baru turun 3.8% pada tahun 2026 disebabkan peningkatan kos hidup

    Pada 2025, jumlah jualan hanya naik sekitar 0.5 peratus berbanding tahun sebelumnya, iaitu perbezaan hanya kira-kira 4,000 unit. Peningkatan kecil ini dianggap hampir tidak signifikan, walaupun pasaran mencatat bulan Disember dengan rekod jualan tertinggi, didorong oleh pembelian EV bebas cukai sebelum insentif cukai import CBU tamat pada 31 Disember.

    MAA menjelaskan prestasi ini dipengaruhi oleh beberapa faktor, antaranya kos sara hidup yang meningkat lebih pantas berbanding pengukuhan ringgit. Keadaan ini menjejaskan pendapatan boleh guna pengguna dan seterusnya melemahkan kuasa beli. Kementerian Kewangan turut menjangkakan pertumbuhan KDNK tahunan Malaysia akan perlahan kepada sekitar 4.0 hingga 4.5 peratus, berbanding 4.9 peratus pada 2025.

    Di peringkat global pula, keadaan ekonomi dijangka menjadi lebih mencabar susulan ketidaktentuan dasar perdagangan Amerika Syarikat serta ketegangan geopolitik yang berterusan. Perubahan pendirian perdagangan AS dan tindakan tarif terhadap beberapa negara Eropah dijangka memberi kesan kepada kelebihan perdagangan Malaysia, sekali gus menambah tekanan kepada ekonomi tempatan.

    MAA jangka jumlah jualan kenderaan baru turun 3.8% pada tahun 2026 disebabkan peningkatan kos hidup

    Dalam konteks industri automotif, ketiadaan insentif cukai bagi EV import sepenuhnya dijangka menyebabkan harga model CBU meningkat. Ini berkemungkinan memperlahankan lagi permintaan EV yang sememangnya masih rendah, dipengaruhi oleh tahap kematangan pasaran yang awal serta harga petrol RON 95 bersubsidi menerusi program Budi95.

    Walaubagaimanapun, MAA mengesahkan tiada risiko kenaikan harga secara menyeluruh bagi kenderaan pemasangan tempatan atau CKD susulan semakan duti eksais nilai pasaran terbuka (OMV), kerana isu tersebut telah diselesaikan sepenuhnya.

    Namun begitu, harga kenderaan masih berpotensi meningkat disebabkan faktor lain seperti kos pembuatan, komponen dan operasi yang semakin tinggi, sekali gus mengehadkan keupayaan pengeluar dan pengedar untuk menawarkan diskaun.

    MAA jangka jumlah jualan kenderaan baru turun 3.8% pada tahun 2026 disebabkan peningkatan kos hidup

    Di sebalik cabaran ini, prospek pasaran automotif tidak sepenuhnya suram. MAA masih menjangkakan ekonomi yang relatif stabil akan terus menyokong jualan kenderaan. Pasaran buruh yang kukuh, dengan kadar pengangguran rendah sekitar 2.9 peratus, dijangka mengekalkan kestabilan pendapatan dan mendorong pembelian kenderaan.

    Permintaan yang tinggi terhadap model mampu milik dan jimat bahan api, khususnya daripada pengeluar nasional seperti Proton dan Perodua, akan terus menjadi pemacu utama pasaran. Selain itu, kemasukan pelbagai jenama dan model baru sepanjang tahun ini, disertai promosi berterusan serta perkhidmatan nilai tambah, dijangka menyemarakkan minat pengguna.

    Peningkatan jumlah model EV yang dipasang secara tempatan turut dijangka menyokong pembangunan ekosistem EV negara, seterusnya menarik lebih banyak pelaburan, pemindahan teknologi dan pertumbuhan daripada jenama asing. Namun demikian, MAA kekal berhati-hati terhadap tahap komitmen pengeluar luar dalam memberi penekanan jangka panjang terhadap pembangunan keupayaan pengeluaran EV di Malaysia.

     
     
  • MAA: 30,848 EV baru dijual pada tahun 2025 di M’sia, YoY naik 109% – hibrid juga naik 25%, 38,515 unit

    MAA: 30,848 EV baru dijual pada tahun 2025 di M’sia, YoY naik 109% – hibrid juga naik 25%, 38,515 unit

    Data terbaru Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menunjukkan pasaran kenderaan elektrik (EV) di Malaysia terus mencatat pertumbuhan memberangsangkan pada tahun 2025, dengan jumlah jualan mencecah 30,848 unit. Angka ini merupakan peningkatan tahun ke tahun (YoY) sebanyak 109 peratus berbanding 14,766 unit yang direkodkan pada tahun 2024.

    Trend peningkatan ini turut dilihat dalam segmen kenderaan hibrid. Sepanjang 2025, sebanyak 38,515 unit kenderaan hibrid berjaya dijual, meningkat 25 peratus berbanding 30,796 unit pada tahun sebelumnya. Jika digabungkan, jumlah keseluruhan kenderaan elektrifikasi yang dijual di Malaysia pada 2025 adalah sebanyak 69,363 unit, iaitu peningkatan 52 peratus berbanding 45,562 unit pada 2024.

    Pertumbuhan pesat ini banyak didorong oleh insentif cukai yang diperkenalkan kerajaan semasa Belanjawan 2022. Insentif tersebut mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2022 dan tempohnya telah dilanjutkan beberapa kali, walaupun sebahagiannya kini telah tamat. Bagi EV import sepenuhnya atau CBU, pengecualian cukai berakhir pada 31 Disember 2025, manakala EV pemasangan tempatan atau CKD masih menikmati beberapa insentif sehingga 31 Disember 2027.

    MAA: 30,848 EV baru dijual pada tahun 2025 di M’sia, YoY naik 109% – hibrid juga naik 25%, 38,515 unit

    Sebelum insentif ini diperkenalkan, jualan EV berada pada tahap yang sangat rendah, iaitu hanya 278 unit pada 2021. Pada tahun pertama pelaksanaannya pada 2022, jualan melonjak kepada 2,631 unit, meningkat sebanyak 846 peratus. Pertumbuhan ini diteruskan pada 2023 dengan 10,159 unit dijual, bersamaan peningkatan 286 peratus.

    Meskipun kadar pertumbuhan menurun kepada 45 peratus pada 2024, jumlah jualan EV masih meningkat kepada 14,766 unit. Lonjakan besar sebanyak 109 peratus pada 2025 dipercayai didorong oleh pengguna yang ingin mengambil kesempatan terhadap insentif EV CBU sebelum ia berakhir.

    Bagi kenderaan hibrid pula, pertumbuhan dilihat lebih konsisten dari tahun ke tahun. Jualan meningkat daripada 7,875 unit pada 2021 kepada 19,988 unit pada 2022, sebelum berkembang kepada 28,055 unit pada 2023, 30,796 unit pada 2024 dan seterusnya 38,515 unit pada 2025. Pengenalan lebih banyak model hibrid oleh jenama arus perdana dilihat sebagai antara faktor utama yang menyokong peningkatan ini.

    MAA: 30,848 EV baru dijual pada tahun 2025 di M’sia, YoY naik 109% – hibrid juga naik 25%, 38,515 unit

    Jurang jualan antara kenderaan hibrid dan EV kini semakin mengecil berbanding tahun-tahun terdahulu, namun landskap pasaran mungkin berubah pada 2026. Walaupun insentif cukai berkaitan EV telah tamat, harga EV CBU didapati kekal hampir sama walaupun sebelum ini diunjur meningkat sehingga 100 peratus.

    Dalam masa yang sama, pelaksanaan program Budi Madani RON 95 (Budi95), yang mengekalkan harga petrol RON 95 pada RM1.99 seliter, berpotensi mengurangkan tarikan terhadap EV dan seterusnya memberi kesan kepada permintaan pasaran.

     
     
  • TIV jualan kenderaan baru di Malaysia 2025 catat rekod 820,752 unit; Dis dan Q4 bulan/suku tahunan tertinggi

    TIV jualan kenderaan baru di Malaysia 2025 catat rekod 820,752 unit; Dis dan Q4 bulan/suku tahunan tertinggi

    Sambutan jualan kenderaan di Malaysia ternyata luar biasa bagi tahun 2025. Sepanjang tahun lalu, sebanyak 820,752 unit kenderaan telah terjual, menjadikannya rekod baru yang pernah dicapai setakat ini. Ia juga diterjemahkan kepada 0.5% lebih banyak berbanding tahun 2024. Ini juga tahun kedua angka melebihi 800k berjaya dicapai.

    Disember 2025 mencatatkan jualan bulanan tertinggi dengan 90,716 unit terjual, mengatasi rekod jualan bulanan tertinggi sebelumnya pada Disemberi 2024. Suku keempat 2025 pula menjadi rekod bagi jualan suku tahunan setakat ini dengan mencatatkan 241,416 unit.

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menyatakan faktor pertumbuhan ekonomi yang pesat (KPDNK +4.7% bagi tiga suku pertama 2025), permintaan domestik yang kukuh, eksport yang semakin baik, sokongan kewangan yang mudah (2.75% OPR sejak Julai), kestabilan sosio-politik, kadar pengangguran yang rendah 2.9% (paling rendah dalam 11 tahun terakhir), jumlah lebihan pesanan yang banyak terutama bagi kenderaan segmen A, peningkatan EV (+109%) dan promosi agresif menjadi antara dorongannya.

    Dipacu oleh segmen SUV, jualan kenderaan penumpang naik 13% menjadi 228,572 unit pada 2025, berbanding 201,565 unit pada tahun 2024. Sementara jualan kenderaan komersial pula menurun untuk tahun kedua berturut-turut (-11 berbanding -14 pada 2024) kesan daripada harga diesel bersasar yang dimulakan pada Jun 2024.

    Bagi pengeluaran, sebanyak 747,780 unit kenderaan dikilagkan di Malaysia pada 2025 (-5% berbanding 790,347 unit pada 2024), menunjukkan sumbangan kenderaan EV CBU, yang permintaan terhadapnya meningkat sebelum tempoh insentif berakhir pada hujung tahun.

    Bagi kenderaan nasional dan bukan nasional, jualan kenderaan nasional naik 1.1% kepada 511,468 unit (62.3% perkongsian pasaran, naik dari 61.9% tahun 2024), sementara kenderaan bukan nasional turun 0.6% kepada 309,258 unit (311,058 unit pada 2024), kerana menurunnya sumbangan kenderaan komersial (8% berbanding 9%). MAA meramalkan tahun 2026 akan lebih perlahan dengan hanya 790k unit TIV.

     
     
  • Tiada kenaikan harga kereta CKD pada Julai 2026; isu OMV/402 selesai, sedang muktamadkan pengiraan

    Tiada kenaikan harga kereta CKD pada Julai 2026; isu OMV/402 selesai, sedang muktamadkan pengiraan

    Tidak akan berlaku kenaikan harga kenderaan pemasangan tempatan (CKD) selepas penilaian semula duti eksais berkaitan open market value (OMV) selepas ia dilaksanakan nanti. Begitu isi dan pengesahan yang dikongsikan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dalam taklimat bersama media, hari ini.

    Pada Disember 2025, Presiden MAA, Mohd Shamsor Mohd Zain menjelaskan bahawa walaupun perkara PU(A) 402/2019—Peraturan Cukai Eksais (Penentuan Nilai Barangan Keluaran Tempatan untuk Tujuan Cukai Eksais) akan dilaksanakan tahun ini, ia akan menggunakan kaedah baru yang hanya akan memberi sedikit kesan atau tiada kesan langsung kepada kereta CKD. Sebelum ini, harga kenderaan dikhuatiri meningkat sehingga 30% jika peraturan ini dilaksanakan.

    Hujung 2025 juga Kementerian Kewangan mengumumkan bahawa penilaian semula OMV ini, yang sepatutnya berlangsung bermula Januari 2026, telah ditangguhkan lagi untuk tempoh enam bulan. Menurut Mohd Shamsor, tempoh tambahan itu diperlukan untuk “memuktamadkan pengiraan”, dan bukannya kerana perkembangan lain tentang pelaksaan tersebut. “Pihak kami telah dimaklumkan bahawa kesan daripada langkah ini akan sangat minimal, atau bahkan sifar sama sekali,” jelasnya.

    Tiada kenaikan harga kereta CKD pada Julai 2026; isu OMV/402 selesai, sedang muktamadkan pengiraan

    “Ia memerlukan masa enam bulan lagi adalah kerana mereka perlu memuktamadkan pengiraan yang disebabkan oleh setiap syarikat yang mempunyai cara berbeza untuk mengisytiharkan perniagaan mereka. Jadi, perlu dipastikan semua cadangan berkaitan adalah adil, untuk memastikannya dikendalikan dengan sama rata. Disebabkan itu mereka perlukan enam bulan lagi,” tambahnya.

    Isu OMV/402 ini, yang diwartakan pada hari terakhir 2019, telah menetapkan kaedah baru pengiraan OMV bagi kenderaan CKD, yang akan mempengaruhi berapa banyak cukai yang perlu dibayar, dan juga sudah tentu mempengaruhi harga jualannya. OMV didefinasikan sebagai nilai akhir pasaran bagi kenderaan CKD setelah keluar kilang, sebelum kerajaan mengenakan duti eksais ke atasnya. Kiraan untuk kenderaan CBU adalah berbeza sama sekali.

    Peraturan ini sepatutnya dilaksanakan pada 2020, tetapi akibat pandemik, ia telah ditangguhkan ke 2021. Pada penghujung 2020, ia diumumkan pula akan ditangguhkan sekali lagi, dan MAA memohon kepada kerajaan pada 2022 untuk menangguhkannya lagi hingga 31 Disember 2024. Penangguhan terakhir adalah sehingga 31 Disember 2025.

     
     
  • Proton eMas 7 CKD 2026 diperkenal – terima tambahan perincian, RM6k lebih murah, bermula bawah RM100k

    Proton eMas 7 CKD 2026 diperkenal – terima tambahan perincian, RM6k lebih murah, bermula bawah RM100k

    Subsidiari Proton untuk jenama kenderaan tenaga baharu (NEV) iaitu Pro-Net hari ini memperkenalkan versi pemasangan tempatan (CKD) bagi SUV EV Proton eMas 7, yang bukan sahaja lebih murah, malah menampilkan beberapa penambahan perincian. Walaupun kilang pemasangan EV Proton di Tanjung Malim sudah dirasmikan pada September tahun lalu, pemasangan untuk eMas 7 masih belum dimulakan di mana tarikh unit pertama eMas 7 yang keluar dari barisan pengeluaran tersebut dan mula dihantar kepada pelanggan akan diumumkan tidak lama lagi.

    Versi CKD untuk eMas 7 ini masih akan ditawarkan dalam dua varian iaitu varian asas Prime yang dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM103,800 dan juga varian tertinggi Premium dijual pada harga RM119,800 – harga ini turut termasuk cukai jalan bernilai RM180 yang sebelum ini dikecualikan oleh kerajaan.

    Proton turut menawarkan rebat bernilai RM4,000 menjadikan eMas 7 Prime boleh dibeli pada harga bermula di bawah RM100k iaitu pada RM99,800 dan varian Premium pula dijual pada harga RM115,800. Dan berbanding harga yang diumumkan pada pelancaran pada Disember 2024, harga bagi versi CKD ini adalah RM6k lebih murah untuk varian Prime dan RM4k lebih murah untuk Premium.

    Seperti yang diberitahu tadi, terdapat beberapa perincian tingkat taraf diberikan pada eMas 5 CKD 2026 ini. Ia termasuk pintu tailgate belakang bantuan kuasa kini sudah pun diberikan pada varian rendah Prime. Manakala untuk varian Premium, tingkat taraf diberikan pada sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan penambahan fungsi bantuan olah gerak mengelak (kenderaan akan mengubah haluan untuk mengelak pelanggaran apabilan AEB diaktifkan), amaran lintasan trafik hadapan dan juga bantuan tukar lorong aktif (kereta akan menukar lorong secara automatik selepas lampu isyarat membelok diaktifkan serta sistem sudah mengesan keadaan trafik yang mengizinkan).

    Tiga fungsi baharu ADAS yang diberikan pada model 2026 ini tidak dapat diberikan pada model-model lebih awal menerusi kemaskini over-the-air (OTA) kerana ia turut melibatkan penambahan komponen tiga unit radar gelombang-milimeter baharu yang diletakkan pada bahagian tengah hadapan dan kedua-dua sisi bampar hadapan. Namun semua model 2026 ini akan terus dibekalkan dengan penutup penutup ruang kargo belakang (tonneau cover) seperti versi kemaskini tahun lalu.

    Selain dari itu, perincian-perician lain pada eMas 7 CKD ini masih lagi sama seperti versi sebelumnya. Untuk unit rangkaian kuasa, kedua-dua varian eMas 7 menampilkan motor elektrik tunggal berkuasa 218 PS/320 Nm, dengan varian Prime diberikan bateri LFP 49.52 kWj bagi memberikan jarak gerak sejauh 345 km (WLTP), manakala varian Premium pula diberikan bateri 60.22 kWj untuk jarak gerak 410 kWj (WLTP).

    Spesifikasi penuh Proton eMas 7 CKD 2026. Klik untuk besarkan

    Varian Prime mampu untuk memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat manakala varian Premium sedikit lebih lambat dengan catatan 7.1 saat. Namun kedua-duanya boleh mencapai kelajuan maksima 175 km/j. Kedua-duanya juga menyokong pengecas AC dengan kadar maksima 11 kW.

    Tetapi untuk pengecas pantas DC, varian Prime boleh menerima sehingga 80 kW dan Prime pula sehingga 100 kW, membolehkan bateri dipenuhkan dari 30-80% dalam masa 20 minit. Jika menggunakan pengecas AC wallbox di rumah, bateri boleh dipenuhkan dalam masa 4.9 jam untuk Prime dan 6.1 jam untuk Premium.

    Untuk spesifikasi, varian Prime menerima perincian seperti rim aloi 18-inci, skrin sesentuh infotainmen 15.4-inci dengan paparan 2.5k dan sistem bantuan pemandua termaju (ADAS) dengan kebolehan pemanduan Autonomi Tahap 2, manakala varian Premium ditambah dengan rim aloi 19-inci, sistem bunyi Flyme Audio dengan 16-pembesar suara, paparan head-up, tempat duduk hadapan berliang dan lain-lain.

    Untuk pilihan warna badan dan dalaman juga ditawarkan sama seperti versi kemaskini 2025 di mana pelanggan yang memilih warna badan Lithium White, Turquoise Green, Slate Grey, Platinum Silver, Quartz Rose, dan Obsidian Black akan menerima kabin berwarna Indigo Blue, manakala pembeli varian Premium dengan warna badan Quartz Rose dan juga Turquoise Green akan ditawarkan kabin dengan warna Alabaster White.

    Pro-Net turut masih menawarkan pakej jualan Power Pack+ yang merangkumi pengecas rumah 7kW percuma bernilai RM1,500, adaptor V2L percuma bernilai RM500, data internet tanpa had selama 5 tahun bernilai RM1,800, waranti tanpa had perbatuan selama 6 tahun untuk kenderaan, serta waranti 8 tahun/160,000 km untuk bateri voltan tinggi serta rebat tukar-beli bernilai RM5,000.

    GALERI: Brosur rasmi Proton eMas 7 CKD 2026

     
     
  • JPJ Alor Setar sita Nissan Skyline ER34 yang bergerak lima tahun tanpa cukai jalan dan insuran yang sah

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah mengumumkan bahawa ia telah menyita sebuah Nissan Skyline ER34 yang digunakan atas jalan raya awam tanpa cukai jalan atau Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan juga perlindungan insuran yang sah di mana kedua-duanya dipercayai tidak diperbaharui selama lima tahun.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh jabatan tersebut, Skyline ER34 dengan rupa seperti R34 GT-R berkenaan telah ditahan oleh JPJ Alor Setar dalam satu pemeriksaan di KM 9, Jalan Darul Aman, Taman Tengku Maheran, sekitar jam 6.49 petang semalam, !9 Januari 2026.

    Selain tiada LKM dan insuran yang sah, Skyline tersebut turut menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

    “Susulan itu, JPJ telah mengeluarkan Notis Sita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Notis JPJ (P) 22 terhadap pemandu terbabit.

    “JPJ menegaskan tiada kompromi atau layanan istimewa, termasuk terhadap kenderaan berprestasi tinggi. Tindakan penguatkuasaan akan terus diperkasakan demi keselamatan semua pengguna jalan raya,” tulis kenyataan itu lagi.

     
     
  • JPJ bakal tambah 500 unit kamera badan tahun ini bagi jamin integriti pegawai di lapangan

    JPJ bakal tambah 500 unit kamera badan tahun ini bagi jamin integriti pegawai di lapangan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bakal menambah bilangan peranti kamera badan (BWC) sekitar 300 ke 500 unit tahun ini, laporan New Straits Times

    Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli, pihaknya sedang dalam proses memperoleh unit tambahan yang akan diagihkan ke semua pejabat negeri.

    “Susulan pelaksanaan awal yang positif bermula pada Oktober tahun lalu, jabatan menganggarkan lebih 300 unit akan ditambah, dengan jumlah keseluruhan berkemungkinan mencecah 500 unit pada tahun ini. Kamera ini membantu memberi keyakinan kepada orang awam mengenai integriti pegawai di samping merakam semua pergerakan dan aktiviti anggota penguat kuasa, serta sebarang isu yang timbul di lapangan,” katanya.

    Pelaksanaan awal penggunaan kamera badan untuk JPJ menyaksikan sebanyak 100 unit kamera badan diagihkan secara berperingkat kepada pejabat JPJ negeri, dengan keutamaan diberikan kepada pegawai di ibu pejabat yang kerap terlibat dalam operasi bersama dan berisiko tinggi.

    Pada Januari tahun lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata anggota JPJ akan dibekalkan kamera badan pada tahun 2025. Di mana penggunaan kamera badan bagi anggota JPJ di lapangan akan meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan khususnya melibatkan kenderaan berat.

    “Penggunaan kamera badan bukan sahaja melindungi imej dan integriti JPJ tetapi juga menjaga pegawai itu sendiri. Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, kadangkala pegawai kita menghadapi kritikan, penghinaan dan pelbagai tohmahan. Dengan kamera badan, pegawai JPJ dilindungi, kerana sebarang bukti semasa tindakan penguatkuasaan mereka boleh dirakam,” katanya.

     
     
  • Chery Malaysia mula eksport Jaecoo J7 2WD dan J7 PHEV yang dipasang di Shah Alam ke Brunei

    Chery Malaysia mula eksport Jaecoo J7 2WD dan J7 PHEV yang dipasang di Shah Alam ke Brunei

    Chery Corporate Malaysia telah pun mula mengeksport kenderaan yang dibuat di fasilitinya di Shah Alam ke pasaran Brunei. Ini merupakan pasaran eksport kedua untuk syarikat itu selepas mula menghantar kenderaan ke pasaran Vietnam bermula Februari tahun lalu.

    Kumpulan pertama kenderaan yang dieksport ke Brunei ini adalah terdiri dari model SUV segmen-C Jaecoo J7 2WD dan Jaecoo J7 PHEV. Menurut Chery model-model yang dieksport ini menampilkan spesifikasi yang sama seperti versi pasaran Malaysia.

    “Pasaran eksport merupakan tonggak utama bagi strategi pertumbuhan jangka panjang kami di rantau ASEAN. Kami teruja untuk meneruskan momentum pertumbuhan ini dengan mengembangkan jangkauan jenama kami ke lebih banyak pasaran,” kata Naib Presiden Chery Corporate Malaysia, Men Lin Bo.

    “Berikutan permulaan eksport ke Vietnam pada Februari 2025, jarak dan potensi pasaran Brunei menjadikannya langkah seterusnya yang logik dan penting. Penghantaran awal Jaecoo J7 ini membolehkan kami mengukur penerimaan pasaran dan meletakkan asas yang kukuh di Brunei,” kata Naib Presiden Chery Corporate Malaysia, Cheng Nam Weng.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026