Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Modenas Z15GT akan ada beberapa varian termasuk klac automatik, jangka lancar awal tahun depan

    Modenas Z15GT akan ada beberapa varian termasuk klac automatik, jangka lancar awal tahun depan

    Selepas beberapa bulan Modenas Z15GT dilancarkan untuk pasaran Malaysia, kini tersebar ura-ura akan keluar pula versi klac automatik (tanpa tuil klac tangan) menggunakan asas sama. Bagi mendapatkan kepastian, kami bertanya terus kepada ketua pegawai eksekutif Modenas, Roslan Roskan, berkenaan perkara ini semasa lawatan ke kilang Modenas di Gurun bersama wakil media dan rakan industri termasuk pemilik bengkel.

    Roslan menjelaskan, memang Modenas mempunyai perancangan untuk mengeluarkan beberapa varian bagi Z15GT ini, dan yang sedang berada dalam proses pembangunan awal adalah versi klac automatik. Sasaran yang diletakkan adalah untuk memperkenalkannya kepada pasaran pada awal tahun hadapan.

    Maklum balas yang diterima daripada wakil bahagian pembangunan dan penyelidikan pula mengatakan bahawa mereka masih membuat kajian pada seluruh sistem dan perlu mementukan sama ada ia akan menggunakan kotak gear empat kelajuan atau lima kelajuan.

    Bahagian penting yang perlu ditukar sudah semestinya unit lengkap klac motosikal itu sendiri termasuk sistem automatiknya dan juga penutup luar, yang memerlukan acuan (mold) baru. Selepas bahagian-bahagian itu sudah ditetapkan, ia akan melalui pula proses ujian dan rujukan semula, yang biasanya akan mengambil masa agak lama.

    Melalui pengenalan versi klac automatik ini, Z15GT dijangka dapat mendekati lebih ramai pengguna, terutamanya mereka yang mencari motosikal dengan pengendalian mudah untuk kegunaan harian. Dalam keadaan sekarang pun Z15GT sudah diterima baik, dengan negeri yang mencatat penjualan paling tinggi adalah di Selangor dan Kedah.

    Z15GT dipacu enjin satu silinder penyejukan cecair, suntika bahan api, DOHC 149.5 cc dengan nisbah mampatan 12.6:1 dan mampu menghasilkan kuasa 6.8 hp pada 9,500 rpm dan tork 13.5 Nm pada 7,500 rpm.

     
     
  • Volvo EX30 dipanggil semula di seluruh dunia – ada risiko terbakar, model 2024-2025 di Malaysia terlibat

    Volvo EX30 dipanggil semula di seluruh dunia – ada risiko terbakar, model 2024-2025 di Malaysia terlibat

    Volvo telah membuat pengumuman panggilan semula terhadap model EX30 di seluruh dunia yang melibatkan risiko kebakaran pada bateri. Volvo Car Malaysia (VCM) hari ini turut mengesahkan bahawa model-model EX30 pasaran Malaysia yang dijual antara 2024 dan 2025 dalam varian Single dan Twin Motor turut terlibat dalam panggilan semula ini.

    Secara spesifiknya panggilan semula ini adalah melibatkan bateri nikel mangan kobalt (NMC) 69 kWj yang dibekalkan pada model-model berkenaan (dipadankan secara standard untuk EX30 di Malaysia) akan menjadi terlampau panas apabila di cas semula pada kadar tinggi, namun ia adalah sangat jarang untuk terjadi.

    Dalam keadaan yang paling teruk, ia mungkin akan memulakan kebakaran pada bateri. Menurut Volvo kejadian yang sudah berlaku direkodkan dalam jumlah yang sangat sedikit, dan unit-unit yang telah dikenalpasti terjejas hanyalah 0.02% dari jumlah keseluruhan EX30 yang telah terjual. Volvo juga mengesahkan tiada laporan yang melibatkan kecederaan dan kehilangan nyawa dicatatkan setakat ini.

    Volvo EX30 dipanggil semula di seluruh dunia – ada risiko terbakar, model 2024-2025 di Malaysia terlibat

    VCM menyatakan bahawa Volvo akan menjalankan panggilan semula ini secepat mungkin. Dalam masa yang sama jenama itu turut menasihatkan pemilik agar tidak mengecas bateri pada EX30 masing-masing pada kadar melebihi 70%. Had pengecasan tersebut boleh dibuat menerusi pelarasan Charging dalam menu pada skrin infotainmen.

    Menurut laporan CnEVPost, panggilan semula ini dibuat selepas salah satu anak syarikat Geely iaitu Viridi E-Mobility Technology (Vremt) telah menyaman pembekal bateri berkenaan iaitu Sunwoda sebanyak 2.31 bilion yuan (RM1.34 bilion) kerana kerugian yang berpunca daripada sel bateri yang rosak diterima dari syarikat itu antara Jun 2021 dan Disember 2023. Vremt merupakan syarikat yang dikendalikan oleh oleh Zeekr dan membekalkan bateri kepada pelbagai model lain dalam kumpulan automotif berkenaan.

    Volvo EX30 diasaskan dari platform Sustainable Experience Architecture (SEA) yang sama dan menggunakan sistem mekanikal yang serupa dengan smart #1, smart #3 dan Zeekr X. Namun masih belum diketahui adakah panggilan semula ini turut akan melibatkan model-model tersebut.

     
     
  • Result Japan NEO86 – kit badan lebar untuk Toyota 86/Subaru BRZ ZN6 inspirasi AE86 Sprinter Trueno

    Result Japan NEO86 – kit badan lebar untuk Toyota 86/Subaru BRZ ZN6 inspirasi AE86 Sprinter Trueno

    Penulis ingat lagi ketika Toyota 86 ZN6 didedahkan kepada umum pada 2012, ‘komplen’ utama peminat-peminat ketika itu adalah “tak macam AE86 pun rupa dia”. Tambahan pula ketika itu ‘demam’ Initial D sedang memuncak, tetapi ‘AE86’ generasi baharu yang keluar tiada pilihan muka Sprinter Trueno yang datang dengan lampu hadapan jenis ‘pop-up’ di mana versi berkenaan digunakan oleh hero anime tersebut iaitu Fujiwara Takumi.

    Akhirnya selepas 14 tahun (ya, ZN6 diperkenalkan 14 tahun dulu!), pembuat kit badan dari Osaka, Jepun iaitu Result Japan hadir dengan kit badan untuk Toyota 86 untuk kelihatan seperti AE86 Sprinter Trueno. Kit yang dikenali sebagai NEO86 ini sudahpun boleh ditempah, dan ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon 2026 hujung minggu lalu, sebuah demo car NEO86 ini telahpun dipertontonkan.

    Result Japan NEO86 – kit badan lebar untuk Toyota 86/Subaru BRZ ZN6 inspirasi AE86 Sprinter Trueno

    Kit badan ini diperbuat dari plastik diperkuat gentian (FRP). Fokus utamanya sudah tentu pada bahagian muka kerana ia hadir dengan lampu hadapan jenis ‘pop-up’, dan ia datang bersama set fender sisi dan juga penutup bonet hadapan bagi disesuaikan dengan lampu berkenaan.

    Bampar hadapan dan belakang juga diberikan menerusi kit ini, di mana ia turut direka bersegi seperti AE86 sebenar yang lahir pada era 80’an, berbanding Toyota 86 ZN yang muncul 30 tahun selepas itu. Tidak cukup dengan itu, kit ini turut menawarkan spoiler ‘ekor itik’ untuk penutup but belakang dan juga set fender flare bagi menjadikan ia lebih lebar dan lebih seiras dengan AE86 sebenar.

    Demo car yang dibawa dipamerkan di TAS 2026 ini turut menerima cat badan putih-hitam ‘Panda’ yang sama seperti AE86 ‘Kedai Tauhu Fujiwara’. Malah ia juga turut menerima set rim ‘pisang’ magnesium oleh pengeluar rim sama yang digunakan oleh Takumi iaitu RS Watanabe dari siri Type R, namun ia sudah tentu jauh lebih besar dan lebih lebar dengan saiz 18-inci, dibalut dengan tayar Nankang CR-S 225/40ZR18.

    Selain Toyota 86, kit badan ini sudah tentu boleh dipadankan pada model-model kembarnya iaitu Subaru BRZ dan Scion FR-S. Difahamkan bukan semua bahagian kit ini boleh dipadankan terus secara plug & play kerana ada beberapa bahagian memerlukan sedikit kerja-kerja fabrikasi.

     
     
  • NATS Vellfire Sedan berasaskan Lexus LS – imaginasi MPV jadi sedan mewah dizahirkan ke dunia nyata

    NATS Vellfire Sedan berasaskan Lexus LS – imaginasi MPV jadi sedan mewah dizahirkan ke dunia nyata

    Pada tahun 2020, pelajar-pelajar dari Nihon Automotive Technology School (NATS) datang ke Tokyo Auto Salon dengan NATS LS86 – iaitu sebuah Toyota Camry yang dibuat seolah-olah versi sedan untuk kereta sport Toyota 86 ZN6. Tahun ini pelajar NATS hadir dengan idea yang hampir sama, kali ini mereka menghasilkan Toyota Vellfire yang disumpah menjadi sedan mewah!

    Sebenarnya Vellfire Sedan ini diasaskan dari Lexus LS460. Projek ini dimulakan dengan memotong bahagian muncung LS460 berkenaan, kemudian kerja-kerja ubahsuai dibuat bagi memuatkan lampu dan juga bampar hadapan Vellfire AH40 bagi menggantikan mukanya.

    Oleh sebab muka Vellfire berkenaan lebih lebar, pelajar-pelajar NATS juga perlu melebarkan lagi fender LS460 berkenaan. Kerja-kerja yang hampir sama dibuat di belakang bagi mengantikan lampu belakang asal Lexus LS460 tersebut dengan lampu belakang Vellfire AH40.

    NATS Vellfire Sedan berasaskan Lexus LS – imaginasi MPV jadi sedan mewah dizahirkan ke dunia nyata

    Vellfire Sedan ini akhirnya dilayangkan cat badan berwarna hitam, kemudian dipadankan dengan rim dengan tema ‘VIP’ dari Work berdiameter 21-inci. Kemudian badannya dirapatkan ke permukaan tanah menerusi suspensi udara.

    Tiada perubahan besar dibuat pada sebelah dalam kerana LS460 ini sememangnya sebuah sedan mewah pada asalnya. Pelajar-pelajar NATS membalut semula papan pemuka dengan material sued, manakala tempat duduk dibalut semula dengan kulit berwarna putih.

    Cuma pada bahagian perehat tangan belakang ia diubah bagi menempatkan sebuah meja yang boleh diletakkam dua gelas minuman, bekas abu rokok kaca dan juga pewangi.

    Projek-projek pelajar NATS ini lazimnya akan dimulakan pada bulan Julai (kursus asas bermula bulan April dan berakhir pada Jun) setiap tahun dan mereka mempunyai masa selama setengah tahun sebelum TAS berlangsung pada Januari tahun berikutnya.

    Selepas dipamerkan di TAS, kenderaan ini akan menjalani ujian yang diselia oleh jabatan pengangkutan jalan negara berkenaan. Setelah diluluskan untuk digunakan secara sah di atas jalan raya, pelajar-pelajar berkenaan perlu mengujinya pada jalan raya sebenar yang digelar “Test Run Caravan”. Lengkap kesemua proses ini, barulah mereka diiktiraf lulus dan boleh menamatkan pengajian di NATS.

     
     
  • Mitsubishi Delica Mini X Dali with DAMD – kei car yang nampak seperti Pajero generasi pertama versi comel!

    Mitsubishi Delica Mini X Dali with DAMD – kei car yang nampak seperti Pajero generasi pertama versi comel!

    Sudah lama Mitsubishi tiada model-model prestasi, namun ini bukan bermakna jenama itu tidak hadir ke acara ubahsuai tahunan terbesar di Jepun iaitu Tokyo Auto Salon (TAS). Untuk tahun ini, Mitsubishi datang ke TAS dengan membawa banyak MPV Delica D:5 dan ‘adik kecilnya’ iaitu Delica Mini yang telah diubahsuai dengan pelbagai tema. Ini salah satu daripadanya – Delica Mini X Dali with DAMD yang nampak seperti SUV legenda Mitsubhi Pajero generasi pertama!

    Seperti namanya, model ini sebenarnya menerima aksesori yang dibangunkan oleh pengeluar kit badan terkenal di Jepun iaitu DAMD. Syarikat berkenaan bukan hanya popular menghasilkan kit aerodinamik untuk prestasi, malah turut terkenal menghasilkan kit-kit yang menjelmakan kereta-kereta moden untuk kelihatan seperti model-model retro seperti DAMD Little D, Little G dan Little Delta, iaitu Suzuki Jimny yang masing-masing nampak seperti Land Rover Defender, Mercedes-Benz G-Wagon dan Lancia Delta.

    Anda boleh membeli kereta yang siap terus disiapkan oleh DAMD, atau sekadar membeli kit yang disediakan. Untuk merubah Delica Mini ini anda perlukan siri kit yang dinamakan sebagai DAMD Dali. Kit ini sebenarnya hanya terdiri dari tiga komponen sahaja, iaitu satu panel lampu dan gril yang membuatkan muka asal Delica Mini nampak seperti Pajero, satu penutup bampar berwarna hitam bagi diserasikan dengan muka baharu ini, serta rak bumbung rekaan DAMD dari siri Trip Basket.

    Untuk DAMD Dali yang dibawa ke TAS 2026 ini, ia turut menerima pelekat badan dengan grafik seakan kayu bagi menaikkan rupa retronya. Ia juga dipasang dengan set rim DAMD Cantabile bersaiz 15X5jj yang dibalut dengan tayar off-road Toyo Open Country bersaiz 165/65R15 bagi memberikan rupa yang lebih lasak dan lebih mirip seperti Pajero sebenar.

    Dalam kabin, kemasan-kemasan berwarna Beige yang nampak klasik pada DAMD Dali ini sebenarnya adalah perincian salah satu varian dari kilang untuk Delica Mini di Jepun. Jadi untuk menambahkan mood retro, DAMD cuma membalut semula tempat duduk dengan fabrik dengan corak yang biasa kita boleh tengok pada kereta-kereta Jepun era 80’an dan 90’an.

    Tiada sebarang ubahsuai mekanikal dibuat pada DAMD Dali ini. Di Jepun Delica Mini ditawarkan dengan dua jenis enjin iaitu enjin petrol 659 cc DOHC NA berkuasa 52 PS dan tork maksima 60 Nm, dan juga enjin 659 cc DOHC Turbo yang menghasilkan kuasa maksima yang dihadkan pada 64 PS mengikut undang-undang K-Car dan tork maksima 100 Nm.

    Kedua-dua enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear CVT automatik. Juga terdapat pilihan pacuan roda hadapan dan juga pacuan semua roda yang turut datang standard dengan penyerap hentak dengan diameter lebih besar.

     
     
  • 20 jenama EV terlaris 2025 — BYD pertama dengan 14k unit, Proton bawah 9k, Tesla ketiga; Zeekr atasi Xpeng

    20 jenama EV terlaris 2025 — BYD pertama dengan 14k unit, Proton bawah 9k, Tesla ketiga; Zeekr atasi Xpeng

    Menurut perangkaan daripada JPJ, bagi tempoh sepanjang tahun 2025, BYD telah mendaftarkan paling banyak EV di Malaysia, sejumlah 14,407 unit. BYD mendahului jenama-jenama lain walaupun rata-rata mencatatkan peningkatan jualan pada Disember sebelum tempoh pengecualian cukai tamat bagi EV CBU.

    Di tempat kedua ialah Proton, dengan eMas 7 menjadi penyumbang terbesar jualannya. eMas 5 turut menyumbang jumlah kecil daripada keseluruhan 8,890 unit, yang kurang 5,517 unit berbanding jualan BYD.

    Di tempat ketiga adalah Tesla, yang mencatatkan 7,282 unit sepanjang 2025. Ini berbeza 1,708 unit kenderaan berbanding Proton yang berada di atasnya.

    Tangga keempat pula dihuni oleh Zeekr, yang menyaksikan sebanyak 2,560 unit sepanjang 2025, dengan majoritinya disumbangkan oleh model 7X. Jenama itu mengatasi jenama China lain seperti Xpeng (kelima: 1,536 unit) dan Denza (ketujuh: 1,200 unit) — Denza bahkan hampir mengatasi BMW yang menduduki tempat keenam dengan 1,493 unit.

    iCaur yang sedikit lewat masuk pasaran tetap menunjukkan angka yang baik, dengan menduduki tempat kelapan dengan 879 unit, walaupun hanya melancarkan model pertamanya, 03 pada September. 03 jadi penyumbang terbesar untuk itu, kerana model kedua V23 hanya dilancarkan pada November. Porsche pula berada di tangga kesembilan dengan 739 unit, walaupun angka ini mungkin termasuk sekali unit import persendirian. Tangga ke-10 jadi milik MINI dengan 672 unit.

    Tempat ke-11 ada Chery dengan 658 unit, dan diikuti oleh MG dengan 624 unit di tempat ke-12. Mercedes-Benz menyusul di tangga ke-13 dengan 617 unit — selebihnya adalah jualan EV yang kurang daripada 600 unit. Di tempat ke-14 ada Volvo dengan 534 unit, sementara Leapmotor di tangga ke-15 dengan 516 unit.

    Lima jenama terakhir adalah Great Wall Motor di tangga ke-16 dengan 446 unit, diikuti GWM dengan 414 unit di tangga ke-17. Dongfeng pula menduduki tempat ke-18 dengan 213 unit, diikuti Maxus dengan 175 unit dan Neta dengan 171 unit.

     
     
  • 20 kereta terlaris 2025 — Bezza terjual lebih 100k unit, Saga ke-4 dengan 71k unit, Vios/City atasi Proton S70

    20 kereta terlaris 2025 — Bezza terjual lebih 100k unit, Saga ke-4 dengan 71k unit, Vios/City atasi Proton S70

    Angka terbaru daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menunjukkan Perodua telah mengungguli carta jualan bagi tahun 2025 dengan mencatatkan sebanyak 359,905 unit, mewakili peningkatan 0.5% berbanding pada 2024.

    Penyumbang utama kepada pencapaian tersebut ialah Bezza, yang merekodkan jualan sebanyak 100,488 unit sepanjang tahun lalu, mendahului model-model lain Perodua seperti Axia (84,291 unit). Untuk angka jualan bulanan pula, Bezza mendahului hampir pada setiap bulan, kecuali Januari 2025 ketika Axia memintas dengan jualan 7,096 unit pada bulan itu, berbanding 5,106 unit untuk Bezza.

    Myvi pula mencatatkan kedudukan ketiga teratas untuk Perodua, dengan mencatatkan jualan sebanyak 72,724 unit tahun lalu. Perodua menduduki lima daripada enam kedudukan teratas, dengan Alza dan Ativa masing-masing di kedudukan kelima dan enam, dengan angka 45,534 unit dan 38,609 unit.

    Proton Saga menduduki tempat keempat pada tahun 2025 dengan sejumlah 70,903 unit terjual tahun lalu; 2,000 unit kurang daripada jumlah yang dicapai oleh Perodua Myvi. Bagaimanapun, Saga MC3 terbaru hanya dilancarkan pada 27 November dalam tiga varian; yang terjual sebelum itu adalah Saga lama.

    20 kereta terlaris 2025 — Bezza terjual lebih 100k unit, Saga ke-4 dengan 71k unit, Vios/City atasi Proton S70

    Dalam segmen B, Toyota Vios terus mendahului serta membolehkannya menduduki tempat ketujuh keseluruhan dengan jualan sebanyak 31,776 unit pada 2025. Ia disaingi rapat oleh Honda City – untuk versi sedan dan hatchback — yang menduduki tempat kesembilan keseluruhan dengan jualan 27,107 unit.

    Dalam segmen tersebut juga, model Toyota dan Honda mengatasi jualan Proton S70, penawaran segmen C yang diberikan harga dalam segmen B. Sejumlah 17,166 unit S70 terjual sepanjang tahun lalu.

    Jaecoo J7 menjadi satu-satunya model pengeluar China yang termasuk dalam senarai 20 teratas ini, dengan mencatatkan jualan sebanyak 11,520 unit tahun lalu, yang membolehkannya berada di depan Honda CR-V yang terjual sebanyak 10,735 unit. Berada di kedudukan terakhir adalah Mitsubishi Xpander dengan 9,102 unit.

     
     
  • KTMB perkenal tren khas Excursion RSTM edisi CNY 2026 laluan KL Sentral-Padang Besar – 13-17 Feb

    KTMB perkenal tren khas Excursion RSTM edisi CNY 2026 laluan KL Sentral-Padang Besar – 13-17 Feb

    Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah mengumumkan pengenalan Perkhidmatan Tren Khas Excursion RTSM edisi Tahun Baharu Cina (CNY) yang menghubungkan Stesen KL Sentral dan Padang Besar. Ia adalah sebagai langkah proaktif KTMB bagi memenuhi permintaan perjalanan penumpang yang meningkat ke destinasi utara negara sepanjang musim perayaan.

    Selain itu, ia juga merupakan antara inisiatif KTMB dengan sokongan Kementerian Pengangkutan Malaysia dalam menyediakan alternatif mobiliti yang cekap dan selamat sempena musim perayaan, di samping menyokong aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan memperkenalkan pengalaman perjalanan rel yang unik kepada pelancong tempatan dan antarabangsa.

    Perkhidmatan tren khas ini akan beroperasi selama empat hari iaitu pada 13, 14, 16 dan 17 Februari 2026 dan sebanyak 336 tiket ditawarkan bagi setiap perjalanan, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,344 tiket tersedia kepada orang ramai. Jualan tiket dibuka mulai hari ini, 12 Januari menerusi saluran rasmi KTMB.

    KTMB perkenal tren khas Excursion RSTM edisi CNY 2026 laluan KL Sentral-Padang Besar – 13-17 Feb

    Menurut KTMB, perkhidmatan ini menawarkan koc tempat tidur Superior dengan 120 katil bagi setiap perjalanan, selain koc tempat duduk Kelas Premier dan Kelas Superior, bagi memberikan pilihan perjalanan yang lebih selesa dan fleksibel kepada penumpang.

    Tambang sehala ditawarkan bermula serendah RM70 bagi Kelas Superior dan RM90 bagi tempat tidur Kelas Superior. Bagi melengkapkan pengalaman perjalanan, penumpang turut berpeluang menikmati kemudahan koc kafe serta koc Chillax, yang disediakan khusus untuk memastikan perjalanan lebih santai, selesa dan menyeronokkan.

    Jadual Tren Khas adalah seperti berikut:

    KTMB perkenal tren khas Excursion RSTM edisi CNY 2026 laluan KL Sentral-Padang Besar – 13-17 Feb

    Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Azlan Shah Al Bakri berkata, “Musim perayaan dan cuti panjang lazimnya menyaksikan peningkatan kesesakan lalu lintas di lebuhraya utama. Melalui pengenalan tren khas ini, KTMB berharap dapat membantu mengurangkan beban kesesakan jalan raya serta menawarkan pilihan perjalanan yang lebih selesa, khususnya kepada warga emas dan keluarga yang membawa kanak-kanak.”

    Katanya lagi, tren khas ini akan membuat perjalanan bermula dari Stesen KL Sentral dan akan berhenti di 11 buah stesen iaitu Stesen Sungai Buloh, Stesen Tanjung Malim, Stesen Kampar, Stesen Batu Gajah, Stesen Ipoh, Stesen Kuala Kangsar, Stesen Taiping, Stesen Sungai Petani, Stesen Alor Setar, Stesen Arau serta destinasi akhir tren ini ialah Stesen Padang Besar.

    Para pengguna boleh mendapatkan tiket secara tanpa tunai melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS), mesin kios, kaunter tiket dan laman sesawang rasmi KTMB di www.ktmb.com.my.

     
     
  • BHPetromart berwajah baharu dan kios eNak dilancarkan – rehat sebentar bersama kopi dan pastri

    BHPetromart berwajah baharu dan kios eNak dilancarkan – rehat sebentar bersama kopi dan pastri

    BHPetrol telah melancarkan wajah baharu BHPetromart serta kios eNak yang berada di dalam stesen minyak tersebut dengan menyajikan kopi, pastri dan makanan sedia dimakan, sekali gus memberi pelanggan pilihan tambahan untuk alas perut ketika berhenti mengisi minyak kenderaan atau berehat.

    Dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LTAT, Mohammad Ashraf Md Radzi dan Ketua Pegawai Eksekutif BHPetrol, Azizul Azily Ahmad, majlis pelancaran tersebut telah berlangsung pada hujung minggu lalu di BHPetrol Kg Sungai Kayu Ara (dari Lebuhraya Sprint, sebelum plaza tol NKVE Damansara), salah satu lokasi BHPetrol yang paling menonjol di Lembah Klang.

    Reka bentuk baharu BHPetromart ini “menghidupkan semula” kedai serbaneka di dalam stesen dengan penampilan yang lebih moden. Melalui kerjasama strategik antara BHPetrol dan Pusat Pembangunan Reka Bentuk Malaysia (DDEC), sebuah anak syarikat MARA, wajah baharu ini mencerminkan idea runcit moden, identiti jenama yang kukuh serta pengalaman pelanggan yang dipertingkatkan. Penggunaan panel kayuan yang ketara memberikan suasana yang lebih kontemporari dan selesa.

    Sementara itu, eNak turut ditawarkan di stesen BHPetrol di Lebuhraya Persekutuan, Taman Melawati dan Kg Baharu Puchong, selain di Kayu Ara. BHPetrol merancang untuk membuka lebih 50 kios eNak di seluruh negara dalam tempoh lima tahun. Untuk stesen Kayu Ara, eNak melengkapkan lagi kafe di dalam kedai serbaneka stesen selain Dunkin Donuts. selain turut mempunyai pengecas EV di kawasan hadapan stesen. Selain itu, terdapat juga perkhidmatan cucian kereta di sini.

    “Kami ingin menyediakan perkhidmatan yang memenuhi keperluan pelanggan di BHPetrol. Dengan perubahan konsep dan identiti baharu BHPetromart serta penambahan kiosk eNak, BHPetrol komited untuk mengembangkan rangkaian kami di Semenanjung Malaysia bagi memenuhi keperluan komuniti setempat. Ini juga akan mengangkat jenama BHPetrol sebagai jenama tempatan yang setara dengan jenama-jenama besar lain,” kata Azizul.

    Selain pembaharuan kedai serbaneka, kami turut melihat adanya petak parkir baharu yang dicat hitam dengan motif bendera dam berwarna oren di kawasan pam. Warna hitam memberikan kontras yang ketara, sekali gus menjadikannya sangat jelas di mana pemandu perlu meletakkan kenderaan ketika mengisi minyak — iaitu di dalam petak yang disediakan.

    GALERI: BHPetromart berwajah baharu + kios eNak di BHPetrol Kayu Ara

     
     
  • Toyota Vellfire Hybrid dilancar di Malaysia – RM550k, 250 PS, kelengkapan seperti Alphard Exec Lounge

    Toyota Vellfire Hybrid dilancar di Malaysia – RM550k, 250 PS, kelengkapan seperti Alphard Exec Lounge

    Selepas lebih dua tahun Toyota Vellfire generasi keempat dilancarkan di Malaysia, UMW Toyota hari ini melancarkan pula versi dengan unit rangkaian kuasa hibrid bagi MPV mewah tersebut. Ia ditawarkan dalam satu varian iaitu Toyota Vellfire Hybrid, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM549,900, dan ia merupakan model yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun.

    Jadi berbanding versi dengan enjin pembakaran dalaman penuh iaitu Toyota Vellfire 2.5L yang dijual pada harga RM448,000, versi hibrid ini adalah RM100,000k lebih mahal. Manakala berbanding kembarnya iaitu Alphard yang ditawarkan dalam varian 2.4T Executive Lounge, Vellfire Hybrid pasaran Malaysia ini masih RM2,000 lebih mahal.

    Vellfire Hybrid ini sebenarnya telahpun dipamerkan di Malaysia secara rasmi oleh UMWT pada Februari 2024. Ia digerakkan oleh sistem hibrid siri-selari Toyota, menggandingkan enjin Dynamic Force A25A-FXS 2.5 liter empat-silinder NA berkuasa 187 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 233 Nm bermula 4,300 hingga 4,500 rpm, bersama motor elektrik 5NM berkuasa 182 PS dan tork maksima 270 Nm.

    Toyota Vellfire Hybrid dilancar di Malaysia – RM550k, 250 PS, kelengkapan seperti Alphard Exec Lounge

    Secara keseluruhan, sistem ini menghasilkan sejumlah 250 PS (70 PS lebih berkuasa dari versi petrol penuh), dan kuasa tersebut dialirkan ke roda hadapan menerusi kotak gear CVT elektronik (E-CVT). Toyota menyatakan bahawa versi hibrid ini mampu mencapai penggunaan bahan api pada takat 5.7 liter/100 km, jauh lebih rendah dari versi petrol yang mencatatkan 9.1 liter/100 km.

    Tidak kira unit rangkaian kuasa yang diberikan, kedua-dua Vellfire petrol dan hibrid pasaran Malaysia menampilkan rupa luaran yang serupa, termasuk lampu hadapan dan belakang LED serta diberikan rim 19-inci kemasan dua-tona yang sama.

    Perbezaan lebih jelas dapat dilihat pada bahagian kabin di mana versi hibrid ini menerima kelengkapan lebih mewah seperti Alphard Executive Lounge termasuk paparan head-up dan upholsteri kulit Nappa kemasan Sunset Brown berbanding versi petrol yang diberikan balutan kulit sintetik berwarna hitam.

    Ia juga menerima kelengkapan-kelengkapan lain termasuk papara instrumen dengan skrin 12.3-inci, sistem infotainmen dengan skrin 14-inci bersama kawalan penghawa dingin fizikal ala-Lexus, hubungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, sistem bunyi JBL dengan 15 pembesar suara serta pengecas telefon pintar tanpa wayar.

    Kabin belakang Vellfire ini turut menerima tempat duduk belakang Executive Lounge yang sama seperti Alphard, di mana ia hadir dengan ottoman bina-dalam, diberikan fungsi pengurut, meja boleh lipat dengan cermin solek, fungsi pengalir pendingin hawa dan pemanas dan kesemua fungsi ini boleh dikawal menerusi panel kawalan digital yang nampak seperti telefon pintar.

    Vellfire Hybrid ini juga diberikan skrin kabin belakang yang sama seperti Alphard bersaiz 14-inci yang boleh dilipat pada bahagian tengah bumbung, antara kedua-dua pelindung cahaya bagi bumbung panaromik. Perincian lain yang turut dibekalkan termasuk penghidup enjin jarak jauh, penghawa dingin empat-zon dengan penyegar udara Panasonic Nanoe X, tempat duduk dengan pengalir udara dan pemanas serta larasan kuasa lapan-hala untuk pemandu dan empat-hala untuk penumpang hadapan, kolum stereng larasan kuasa, pedal penukar gear, cermin pandang belakang digital, kamera 360 darjah, pintu tailgate bantuan kuasa serta filem penapis haba dan keselamatan untuk cermin tingkap.

    Untuk keselamatan pula Vellfire Hybrid ini datang dengan fungsi penuh Toyota Safety Sense termasuk brek kecemasan automatik, cruise control adaptif dengan fungsi stop go, bantuan kekal tengah lorong, pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, lampu tinggi adaptif dan lain-lain. Ia juga datang dengan enam beg udara.

     
     
  • Mitsubishi Xforce di Malaysia – pendaftaran minat dibuka, tempahan mulai Feb 2026 – 1.5L NA, CVT

    Mitsubishi Xforce di Malaysia – pendaftaran minat dibuka, tempahan mulai Feb 2026 – 1.5L NA, CVT

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah mengeluarkan teaser bagi Xforce menerusi media sosial dan pendaftaran minat (ROI) juga kini dibuka. Manakala bagi yang berminat memiliki Xforce, MMM berkata, SUV ini boleh ditempah bermula awal Februari 2026.

    SUV segmen-B spesifik untuk pasaran ASEAN ini diperkenalkan di peringkat global pada Ogos 2023 di Indonesia. Kehadirannya akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh ASX, yang telah meninggalkan pasaran Malaysia dalam diam-diam beberapa tahun lalu.”

    Memiliki ukuran dimensi panjang 4,390 mm, lebar 1,810 mm dan tinggi 1,660 mm serta jarak roda 2,650 mm, ia berada di antara Honda HR-V dan Toyota Corolla Cross dari segi saiz, dan juga sedikit lebih besar berbanding Perodua Traz yang baru dilancarkan dan Yaris Cross yang juga bakal memasuki pasaran tempatan tak lama lagi.

    Bagi imej luarannya, Xforce mampu menandingi barisan SUV pesaing dari aspek reka bentuk, dengan ciri rekaan menarik termasuk bumbung terapung, lengkungan fender yang berotot serta elemen pencahayaan hadapan dan belakang dengan tandatangan berbentuk huruf T.

    Di bahagian dalaman, SUV ini menampilkan papan pemuka rendah bersudut yang disaluti fabrik serta dilengkapi paparan skrin iaitu skrin 8.0-inci untuk kluster instrumen dan skrin sentuh 12.3-inci bagi sistem infotainmen. Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar ditawarkan sebagai ciri standard, manakala versi lebih tinggi dilengkapi sistem bunyi Dynamic Sound Yamaha Premium dengan lapan pembesar suara, walaupun masih belum dapat dipastikan berapa banyak varian yang akan ditawarkan di pasaran tempatan.

    Xforce ditampilkan dengan enjin petrol NA 1.5 liter 4A91 DOHC MIVEC yang sama seperi MPV Mitsubishi Xpander, mampu menghamburkan kuasa 105 PS pada 6,000 rpm dan tork maksima 141 Nm pada 4,000 rpm. Walau bagaimana pun, ia digandingkan dengan kotak gear CVT yang memacu hanya roda hadapan, berbanding transmisi automatik empat-kelajuan pada Xpander.

    Selain itu, Xforce ini turut diberikan sistem Active Yaw Control (AYC) yang mampu mengagihkan tork antara roda kiri dan kanan hadapan mengikut situasi pemanduan, membolehkan ia dipandu meredah permukaan off-road walaupun hanya memacu roda hadapan. Bukan itu sahaja, ia juga diberikan empat mod pemanduan iaitu Normal, Wet, Gravel dan Mud.

    Untuk keselamatan, Xforce yang telah diberikan penarafan lima-bintang dari ASEAN NCAP diberikan enam beg udara dan sistem bantuan pemandu termasuk brek kecemasan sendiri, kawalan peluncuran adaptfif (ACC), lampu tinggi automatik (AHB), amaran titik buta (dengan fungsi bantuan menukar lorong) dan kepekaan trafik lintasan belakang (RCTA).

    GALERI: Mitsubishi Xforce di GIIAS 2023

     
     
  • Rapid KL On-Demand ambil alih beberapa laluan bas

    Rapid KL On-Demand ambil alih beberapa laluan bas

    Rapid Bus mengumumkan bahawa mulai 16 Januari ini, sebanyak 16 laluan bas perantara MRT dan tiga laluan bas Rapid KL standard (mewakili 7% daripada 291 laluan bas Rapid KL) akan ditukar sepenuhnya dengan perkhidmatan Rapid KL On-Demand, susulan jumlah penumpang harian yang rendah.

    Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Ku Jamil Zakaria, “Penstrukturan semula ini dibuat berdasarkan dapatan Demand-Led Bus Network Study, iaitu kajian perancangan rangkaian bas berasaskan data penggunaan sebenar penumpang yang telah dilaksanakan sejak pertengahan tahun 2024.”

    Akses perkhidmatan untuk pengguna sedia ada kekal terjamin kerana perubahan operasi ini disokong melalui perkhidmatan Rapid KL On-Demand, yang boleh ditempah menerusi aplikasi Rapid On-Demand yang boleh dimuat turun di Google Play dan Apple App Store. Laluan baharu tersebut adalah seperti di bawah:

    Rapid KL On-Demand ambil alih beberapa laluan basRapid KL On-Demand ambil alih beberapa laluan bas

     
     
  • Lambretta X300 Casa tiba di Malaysia – terhad 999 unit di seluruh dunia, terima kelengkapan premium

    Lambretta X300 Casa tiba di Malaysia – terhad 999 unit di seluruh dunia, terima kelengkapan premium

    Pengedar rasmi motosikal Lambretta di Malaysia, Bike Continent Sdn Bhd melancarkan model X300 Casa untuk pasaran Malaysia, namun harganya tidak didedah. Ini adalah sebuah model terhad yang dikeluarkan hanya 999 unit untuk seluruh dunia dan 99 daripadanya masuk ke Malaysia.

    Kesemua X300 Casa yang tiba di negara kita sudah dijual dan mereka yang masih berminat dengannya hanya boleh membuat tawaran kepada pemilik sedia ada. Setakat yang diberitahu, tawaran tertinggi yang diterima setakat ini adalah RM48,000 untuk sebuah motosikal.

    Nama Casa ini datang daripada Casa Lambretta/House of Lambretta, iaitu cabang ubah suai, talaan serta perlumbaan rasmi Lambretta, dengan X300 Casa ini menggunakan asas daripada X300 dan ditambah baik dengan beberapa barangan.

    Antaranya adalah termasuk kit aero gentian karbon yang terdiri daripada penghadang angin atas lampu, spoiler serta pelindung lengan suspensi, grafik inspirasi lumba dengan logo timbul, tempat duduk sport, plat nombor keluaran serta tayar Pirelli Angel Scooter.

    Lambretta X300 dipacu oleh enjin penyejukan cecair satu silinder 275 cc, digabungkan dengan transmisi automatik CVT, mampu menghasilkan kuasa 25.1 hp pada 8,250 rpm dan tork 24.5 Nm pada 6,250 rpm. Tangki minyak menyediakan kapasiti 7.5 liter.

    Kelengkapan lain X300 adalah termasuk meter TFT, brek cakera hadapan dan belakang, dua penyerap hentak depan dan belakang, sistem ABS serta rim 12 inci yang dibalut tayar masing-masing 120/70 di hadapan dan 130/70 di belakang.

     
     
  • Thunder Custom LS250-S dilancarkan di Malaysia – bentuk bobber, pilihan Hardtail dan Softail, RM24k

    Thunder Custom LS250-S dilancarkan di Malaysia – bentuk bobber, pilihan Hardtail dan Softail, RM24k

    Bike Continent Sdn Bhd, yang juga merupakan pengedar motosikal Scomadi dan Lambretta memperkenalkan jenama baru ke pasaran Malaysia, iaitu Thunder Motorcycles. Model pertamanya, Thunder Custom LS250-S dilancarkan pada harga RM23,788 tidak termasuk insurans dan tersedia dalam dua versi, Softail dan Hardtail.

    Thunder Motorcycles adalah satu jenama yang berasal dari Jepun, namun pengeluaran motosikalnya dibuat di China. Untuk Custom LS250-S ini, ia dipacu oleh enjin suntikan bahan api dua silinder V 249 cc, digabungkan bersama transmisi lima kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 17 hp pada 8,000 rpm dan tork 19 Nm pada 6,000 rpm.

    Penghantaran kuasa kepada roda belakang dilakukan melalui sistem rantai, sementara roda pula kedua-dua di bahagian hadapan dan belakang menggunakan unit 16 inci dan dilengkapi brek cakera.

    Menarik pada Thunder Custom ini, ia datang dengan sistem suspensi hadapan springer fork, seperti yang banyak digunakan oleh motosikal ubah suai khas, manakala untuk bahagian belakang ia bergantung kepada versi. Hardtail dilengkapi spring pada bawah tempat duduk, manakala Softail menggunakan monoshock yang tersembunyi.

    Bahagian lain motosikal ini adalah ringkas sahaja, termasuk butang kawalannya, meter gabungan analog dan digital, serta tangki bahan api tujuh liter. Berat keseluruhan motosikal ini adalah 181 kg.

    GALERI: Thunder Custom LS250-S Softail

    GALERI: Thunder Custom LS250-S Hardtail

     
     
  • Proton eMas 7 PHEV spesifikasi penuh didedah — 262 PS/262 Nm, dua saiz bateri LFP, hingga 996 km WLTP

    Proton eMas 7 PHEV spesifikasi penuh didedah — 262 PS/262 Nm, dua saiz bateri LFP, hingga 996 km WLTP

    Kita sudah sedia maklum bahawa model baru yang akan dilancarkan oleh Pro-Net untuk pasaran tempatan ialah Proton eMas 7 PHEV. SUV berkenaan sudah pernah dipertontonkan kepada umum — dengan pelekat samaran, tentunya — kira-kira sebulan lalu di acara Proton Tech Showcase di Centre of Excellence (COE) Proton, Shah Alam.

    Kini, Proton eMas 7 PHEV sekali lagi ditunjuk, masih dengan pelekat samaran, tetapi dengan tambahan perincian spesifikasi penuh bagi penawarannya untuk pasaran Malaysia — termasuk seperti yang dapat dilihat terpapar di atas pelekat samarannya, yang antara lain agak jelas terpampang tulisan “Malaysia’s first dual-powered EV”.

    Proton eMas 7 PHEV merupakan model plug-in hybrid pertama Proton. Bukan juga rahsia bahawa model ini diambil dan di-rebadge dari model Geely Starray EM-i di pasaran Australia, yang turut dikenali sebagai Geely Galaxy Starship 7 di China. Ini juga sama seperti Proton eMas 7 sebelum ini, yang diambil daripada model Geely Galaxy E5/EX5.

    Proton eMas 7 PHEV spesifikasi penuh didedah — 262 PS/262 Nm, dua saiz bateri LFP, hingga 996 km WLTP

    Jadi, tagline “Malaysia’s first dual-powered EV” yang diguna itu boleh jadi mengelirukan, kerana Proton eMas 7 PHEV bukanlah sebuah EV (tanpa enjin). Proton eMas 7 PHEV merupakan sebuah kenderaan plug-in hybrid, mempunyai enjin pembakaran dalaman (ICE) dan dibantu oleh sistem elektrifikasi hibrid. Untuk itu, cukai jalan kereta ini akan dikira mengikut kapasiti enjin ICE-nya, dan bukan mengikut output motor seperti EV. Serta, ia juga akan menggunakan nombor plat hitam seperti kereta biasa, dan bukannya plat putih untuk EV.

    Dari segi dimensi, PHEV ini mempunyai ukuran 4,740 mm panjang, 1,940 mm lebar dan 1,685 mm tinggi dengan jarak roda 2,755 mm. Ini menjadikannya 125 mm lebih panjang, 39 mm lebih lebar dan 15 mm lebih tinggi berbanding versi EV (4,615 mm panjang, 1,901 mm lebar dan 1,670 mm tinggi). Jarak rodanya juga 5 mm lebih panjang. Ia juga menggunakan platfrom GMA yang sama.

    Untuk pasaran Malaysia, akan ada tiga varian ditawarkan — Prime, Premium dan Premium Plus. Ini terdiri daripada sistem EM-i (E-Motive Intelligence) Super Hybrid dari Geely, yang menggandingkan enjin 1.5 liter NA BHE15PFI (sama seperti enjin Saga MC3) dengan janaan 99 PS (98 hp atau 73 kW) dan 125 Nm tork, dan diganding dengan sebuah motor elektrik di depan dengan output 218 PS (215 hp atau 160 kW) dan 262 Nm — dengan enjin dalam versi kitaran Atkinson. Output maksimum PHEV ini ialah sebanyak 262 PS (258 hp, atau 193 kW) dan 262 Nm yang disalurkan ke roda depan.

    Proton eMas 7 PHEV spesifikasi penuh didedah — 262 PS/262 Nm, dua saiz bateri LFP, hingga 996 km WLTP

    Supaya lebih cekap, enjin berkenaan dijadikan lebih ringkas dan ringan untuk membolehkannya memberikan kecekapan yang lebih tinggi — VVT tunggal berbanding dual-VVT dan EGR (kitaran semula gas ekzos) yang lebih tinggi di belakang — serta dengan tahap kecekapan thermal 46.5%. Tetapan ini juga memberikan kadar output yang sedikit kurang daripada versi enjin sama di China yang menghasilkan 111 PS dan 136 Nm.

    Kadar penggunaan minyak SUV ini juga menjadi antara kelebihan utamanya, iaitu 4.3 liter per 100 km untuk Prime/Premium dan 4.4 liter per 100 km untuk Premium Plus — tetapi itu angka dengan NEDC. Penggunaan sebenar mungkin akan lebih tinggi daripada ini. Untuk servis berjadual PHEV ini, ia hanya memerlukan servis setiap 12 bulan sekali atau 20,000 km — dengan kos penyelenggaraannya didakwa lebih menghampiri EV berbanding kereta ICE biasa.

    Seperti dinyatakan ketika pratonton pertama, enjinnya tidak mengggunakan auxiliary belt dan meminimumkan parasitic loss. Pemampat AC dan bateri 12V-nya pula dicas melalui pengalih DC-DC dan bukannya oleh alternator, serta pam airnya mempunyai kapasiti lebih tinggi berbanding versi enjin yang digunakan untuk Saga MC3. Tangki minyaknya juga tahan tekanan.

    Sistem ini digandingkan dengan dedicated hybrid transmission (DHT) 11-dalam-1 kelajuan tunggal yang menggabungkan sebuah integrated starter-generator dan motor cengkaman. Sistem ini akan membiarkan motor elektrik menggerakkan roda, tetapi turut mempunyai keupayaan untuk menghubungkan klac dan membantu enjin ICE dalam kelajuan yang lebih tinggi ketika enjin dalam keadaan lebih cekap — sama seperti sistem hibrid e:HEV Honda.

    Proton eMas 7 PHEV spesifikasi penuh didedah — 262 PS/262 Nm, dua saiz bateri LFP, hingga 996 km WLTP

    Angka prestasi pula terdiri daripada pecutan 0-100 km/j dalam masa 8 saat bagi Prime/Premium, dan 8.2 saat bagi Premium Plus, dengan semua varian mampu mencapai laju maksimum 170 km/j. Selain itu, setiap varian juga dibezakan dari sudut kapasiti bateri, jarak perjalanan dan kadar pengecasan DC. Perinciannya adalah seperti berikut:

    • Premium Plus — bateri Aegis short blade lithium iron phosphate (LFP) 29.8 kWh, 146 km jarak EV, 996 km jarak (WLTP), pengecasan DC 60 kW (30%-80% SoC kurang 16 minit), 6.6 kW AC.
    • Premium dan Prime — bateri CATL LFP 18.4 kWh, 83 km EV, 943 km jarak (WLTP), pengecasan DC 30 kW (30%-80% SoC kurang 20 minit), 6.6 kW AC.

    Memang Proton menyatakan yang PHEV ini mampu mencapai 1,065 km jarak perjalanan bagi Premium Plus (dan 1,000 km bagi Prime dan Premium), tetapi bacaan itu adalah berdasarkan kitaran NEDC. Kitaran WLTP lebih dekat dengan penggunaan sebenar dunia nyata.

    Sistem PHEV ini juga mampu menampung pengecasan sehingga 60 kW. Angka tersebut lebih rendah berbanding eMas 7 (80 kW dan 100 kW), namun bukanlah masalah kerana kapasiti bateri yang digunakan juga lebih kecil.

    Proton eMas 7 PHEV spesifikasi penuh didedah — 262 PS/262 Nm, dua saiz bateri LFP, hingga 996 km WLTP

    Dari segi rekaan, ada beberapa perkara yang membezakan antara versi EV dan PHEV bagi Proton eMas 7 ini. Pertama, wajah depan versi PHEV nampak lebih menarik dengan jalur lampu LED berkelebaran penuh yang menempatkan DRL dan lampu isyarat, yang kemas dan nipis. Lampu utama pula letaknya sedikit di bawah, di bahagian bampar.

    Pemegang pintu untuk PHEV ini juga menggunakan rekaan biasa yang kelihatan, manakala bagi EV-nya pemegang pintu tersembunyi yang lebih kemas. Bahagian belakang juga berbeza, dengan versi PHEV tampil dengan rekaan jalur lampu yang lebih menarik dan jelas, berkelebaran penuh, dengan ruang untuk nombor plat dinaikkan ke bahagian pintu dari kawasan bampar.

    Dan, walaupun menggunakan rim dengan saiz 19-inci yang sama, rekaannya berbeza. Semua ini dilakukan tanpa memberikan kesan besar terhadap kadar rintangan pergerakannya: 0.288 Cd untuk eMas 7 PHEV berbanding 0.275 Cd untuk eMas 7. Oleh kerana ia bukan EV, eMas 7 PHEV juga mempunyai ekzos di kedudukan yang sedikit tersembunyi di bahagian bawah.

    Bahagian dalaman pula masih belum boleh ditunjuk. Tetapi ruang kabinnya boleh dijangka akan mirip dengan versi EV-nya. Antara kelengkapan yang ada adalah seperti juga versi EV-nya, model PHEV ini dilengkapi dengan Flyme OS (dengan sokongan bahasa Malaysia dan Inggeris), sistem dengan 16-pembesar suara, kesepaduan peta pengecasan live dan skrin infotainmen di tengah 2.5k 15.4-inci. Ciri Apple CarPlay dan Android Auto juga tersedia. Ada juga ciri head-up display dan tujuh beg udara (lebih satu berbanding EV).

    Ruang barangan maksimum 2,055 liter di belakang — ini adalah 188 liter lebih daripada versi EV (dengan 1,888 iter) jika kerusi belakang di rebahkan. Dalam keadaan biasa, ruang barangan PHEV ini ialah seluas 528 liter dan 67 liter lebih besar (EV 461 liter). Selain itu, ada juga ruang storan 100 liter di bawah lantai barangan yang tersembunyi: ini 49 liter lebih kapasiti berbanding pada EV.

    Pertanyaannya, berapa harga yang patut dikenakan untuk Proton eMas 7 PHEV ini berbanding pesaingnya dalam segmen PHEV yang sama?

     
     
  • Projek sistem ANPR pertama di M’sia dilaksana di jajaran Hutan Kampung-Sungai Dua Lebuhraya PLUS

    Projek sistem ANPR pertama di M’sia dilaksana di jajaran Hutan Kampung-Sungai Dua Lebuhraya PLUS

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengumumkan pelaksanaan projek rintis Sistem Pembayaran Tol Terbuka berasaskan Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR) bagi kenderaan persendirian di jajaran Hutan Kampung-Sungai Dua di Lebuhraya Utara-Selatan.

    “Inisiatif ini menandakan satu pencapaian penting dan langkah awal pertama ke arah pelaksanaan sistem Multi Lane Free Flow” (MLFF) di lebuh raya Malaysia. Menerusi inisiatif ini, pengguna berdaftar tidak lagi terikat kepada lorong khas tertentu, sebaliknya boleh memasuki dan keluar melalui mana-mana lorong tol di sembilan plaza tol iaitu Hutan Kampung, Alor Setar Utara, Alor Setar Selatan, Pendang, Gurun, Sungai Petani Utara, Sungai Petani Selatan, Bertam dan Sungai Dua.

    “Meliputi jarak 87.7 kilometer, fasa pertama ini dijangka melancarkan aliran trafik di plaza tol serta mengurangkan risiko pertukaran lorong saat akhir. Kamera ANPR yang dipasang di plaza tol akan mengesan nombor plat kenderaan bagi membolehkan caj tol diproses secara automatik melalui platform pembayaran mudah alih yang dipautkan kepada kaedah pembayaran pilihan pengguna,”kata PLUS menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Projek sistem ANPR pertama di M’sia dilaksana di jajaran Hutan Kampung-Sungai Dua Lebuhraya PLUS

    Disokong oleh kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin, sistem ini direka untuk mengenal pasti kenderaan dalam pelbagai keadaan termasuk cuaca, kelajuan, sudut pandangan serta nombor plat tidak standard, dan akan terus meningkatkan tahap ketepatannya dari semasa ke semasa.

    Untuk menggunakan sistem ini, pengguna hanya perl memuat turun aplikasi mudah alih JustGO Malaysia, mendaftarkan kenderaan, menghubungkan kaedah pembayaran pilihan seperti kad debit atau kredit, dan memandu seperti biasa, tanpa memerlukan sebarang peranti tambahan serta tanpa kos pendahuluan kepada pengguna.

    Aplikasi mudah alih ini dibangunkan sebagai platform pembayaran digital terbuka yang dirancang untuk dimiliki bersama oleh industri lebuh raya, sekali gus memperlas pilihan pembayaran tol selaras dengan aspirasi Kerajaan untuk menyediakan kaedah pembayaran yang lebih fleksibel kepada pengguna.

    Projek sistem ANPR pertama di M’sia dilaksana di jajaran Hutan Kampung-Sungai Dua Lebuhraya PLUS

    Menurut PLUS lagi, kaedah pembayaran tambahan seperti e-dompet dan perbankan dalam talian akan diperkenalkan dalam tempoh terdekat. Selain urusan pembayaran tol, aplikasi JustGO Malaysia trut menyediakan kemudahan e-invois untuk memudahkan urusan pengguna. Sementara itu, kaedah pembayaran tol sedia ada seperti Touch ‘n Go, SmartTAG dan RFID mash boleh digunakan seperti biasa.

    Sejak September 2024, PLUS telah menjalankan ujian sistem pembayaran ANPR secara menyeluruh. Hasil ujian menunjukkan pengesanan yang lebih pantas berbanding sistem tol sedia ada berikutan hasil liputan kamera yang lebih luas di plaza tol.

    “Ujian ini dilaksanakan dengan kerjasama rapat Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta konsesi lebuh raya lain. Sepanjang tempoh pelaksanaan projek rintis, palang tol akan kekal digunakan. Pengguna dinasihatkan untuk mengekalkan kelajuan antara 20 hingga 25 km/j ketika melalui plaza tol tanpa perlu berhenti.

    PLUS menjemput pengguna lebuh raya di laluan Hutan Kampung hingga Sungai Dua untuk mencuba sistem ini dan menikmati kemudahan kebebasan lorong, e-invois serta pilihan pembayaran menggunakan kad debit dan kredit tanpa kos pendaftaran tambahan,” kata PLUS.

     
     
  • Proton eMas 7 PHEV teaser — “dual-powered EV” dalam livestream 1,000 km dari Penang-JB-Shah Alam

    Proton eMas 7 PHEV teaser — “dual-powered EV” dalam livestream 1,000 km dari Penang-JB-Shah Alam

    Kini sah bahawa model seterusnya yang akan diperkenalkan oleh Pro-Net di Malaysia dinamakan sebagai Proton eMas 7 PHEV, yang akan dilancarkan dalam masa terdekat. Proton eMas telah memuat naik sebuah iklan teaser di laman media sosialnya, menunjukkan model tersebut dalam pelekat samaran merah-biru dengan terpampang tulisan “Malaysia’s 1st Dual-powered EV”.

    Perkongsian itu juga turut mengumumkan siaran secara langsung: eMas 7 PHEV akan muncul dalam live stream ketika melakukan perjalanan 1,000 km dari Pulau Pinang ke Johor Bahru, dan kembali ke Proton Centre of Excellence di Shah Alam pada 12 dan 13 Januari ini. Konvoi berkenaan juga akan berhenti di lokasi menarik dan berkunjung ke pengedar eMas dalam perjalanan tersebut.

    Aktiviti ini jelas diadakan untuk menunjukkan kemampuan model baru terbabit yang mampu memberikan “jarak menakjubkan lebih daripada 1,000 km”. Sebagai konteks, model-model lain dari jenama pengeluar China dengan saiz yang sama, seperti Chery Tiggo 7 PHEV dan Jaecoo J7 PHEV juga mampu melakukan perjalanan sejauh itu, dengan kedua-duanya mendakwa mampu memberikan jarak NEDC sejauh 1,200 km perjalanan.

    Proton eMas 7 PHEV teaser — “dual-powered EV” dalam livestream 1,000 km dari Penang-JB-Shah Alam

    Model Geely Starray EM-i di pasaran Australia (atau juga dikenali dengan nama Galaxy Starship 7 di China), sebagai model asal yang di’rebadge’ menjadi eMas 7 PHEV ini didakwa mampu mencapai jarak perjalanan keseluruhan sejauh 943 km WLTP, bukan NEDC. Sama ada eMas 7 PHEV akan ditawarkan dalam kapasiti bateri yang lebih besar untuk membolehkannya mencapai jarak yang dinyatakan itu, kita perlu lihat nanti ketika pelancarannya.

    Namun, jika Proton selepas ini akan beralih menggunakan bacaan NEDC untuk model terbarunya (untuk menghampiri angka dari kitaran ujian CLTC di China), ia adalah satu langkah yang ke belakang. Ini kerana, Proton eMas sejak awal menjuarai penggunaan angka jarak dari kitaran WLTP yang lebih hampir dengan penggunaan realistik sebenar di Malaysia. Kenapa tukar sekarang?

    Proton eMas 7 PHEV teaser — “dual-powered EV” dalam livestream 1,000 km dari Penang-JB-Shah Alam

    Tentang tagline “Malaysia’s 1st Dual-powered EV” juga adalah tidak tepat. Ini kerana seperti yang tertera dalam namanya, eMas 7 PHEV merupakan sebuah kenderaan PHEV atau plug-in hybrid dan bukannya EV. Cukai jalan untuk kereta ini nanti akan dikira mengikut kapasiti enjin ICE-nya, dan bukan output motor. Dan, ia juga akan menggunakan nombor plat hitam seperti kereta biasa, dan bukannya plat putih untuk EV. Memasarkannya sebagai sebuah EV adalah tidak tepat dan boleh mengelirukan orang ramai.

    Dan, adakah betul ini model PHEV pertama Malaysia, atau di Malaysia? PHEV telah berada dalam pasaran tempatan sejak lama, sekitar 2015, walaupun ketika itu hanya ditawarkan oleh jenama premium, sehinggalah dua model pengeluar China yang disebutkan tadi dilancarkan di sini tahun lalu. Sekiranya tagline itu merujuk kepada PHEV buatan Malaysia yang pertama, ini juga tidak tepat, kerana model terbabit adalah model rebadge dari model sedia ada keluaran Geely — bukan dibangunkan sepenuhnya di sini oleh tenaga tempatan.

     
     
  • Toyota GR Corolla AT 2026 dilancarkan di Malaysia – RM378,950, 8-kelajuan, Launch Control, 300 PS/400 Nm

    Toyota GR Corolla AT 2026 dilancarkan di Malaysia – RM378,950, 8-kelajuan, Launch Control, 300 PS/400 Nm

    Selepas setahun Toyota GR Corolla facelift dilancarkan di Malaysia dalam versi kotak gear manual, hari ini secara rasmi varian dengan kotak gear automatik bagi hot-hatch berkenaan hadir ke pasaran tempatan. Varian ini diumumkan dijual dengan harga atas jalan tanpa insuran RM378,950. Jadi berbanding versi dengan kotak manual enam-kelajuan yang dijual pada harga RM368,950, versi automatik ini adalah RM10,000 lebih mahal.

    Dengan harga lebih tinggi ini anda bukan sahaja menerima kotak gear yang boleh menukar gear sendiri, malah teransmisi yang digelar sebagai Gazoo Racing Direct Automatic Transmission lapan-kelajuan (DAT-8AT) berkenaan dibina untuk ‘dilanyak’ dengan diberikan material klac kalis-haba, sistem kawalan tork baharu dan solenoid linear respon tinggi, dan juga perisian yang membolehkan gear diturunkan sepantas mungkin serta dapat memberikan pilihan gear yang tepat menerusi input dari brek dan pedal pendikit, menghasilkan tukaran gear automatik sehebat teknik dari pemandu profesional.

    Malah versi dengan kotak gear automatik juga diberikan sistem launch control yang membolehkan anda berlepas seperti roket, di mana sistem ini tidak dipadankan pada versi manual enam-kelajuan. Bagi GR Corolla pasaran Malaysia ini ia datang standard dengan penyejuk bendalir transmisi automatik (ATF) serta pemanas dan penyejuk ATF yang menggunakan cecair penyejuk bagi memastikan ia beroperasi pada suhu bekerja yang optimum.

    Toyota GR Corolla AT 2026 dilancarkan di Malaysia – RM378,950, 8-kelajuan, Launch Control, 300 PS/400 Nm

    Tiada perubahan diberikan pada enjin di mana ia masih dipadankan dengan enjin yang sama seperti varian manual iaitu enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga-silinder turbo yang menjana 300 PS pada 6,500 rpm, dan tork maksima 400 Nm dicapai antara 3,250 hingga 4,600 rpm.

    Kedua-dua varian GR Corolla menerima sistem pacuan semua roda GR Four yang sama, iaitu sistem yang diinspirasikan dari jentera rali sebenar. Sistem berkenaan menawarkan agihan tork antara gandar hadapan dan belakang 60:40 (60% untuk belakang, 40% untuk hadapan) untuk mod Normal, 50:50 untuk mod Gravel dan agihan yang sentiasa berubah antara 60:40 hingga 30:70 bergantung pada situasi pemanduan untuk mod Track.

    Agihan tork antara roda kiri dan kanan pula diagihkan menerusi LSD jenis Torsen yang dipadankan secara standard pada gandar hadapan dan belakang. Dalam brosur yang disiarkan oleh Toyota Malaysia, kedua-dua versi GR Corolla ini mencatatkan masa pecutan 0-100 km/j yang sama iaitu 5.3 saat.

    Toyota GR Corolla AT 2026 dilancarkan di Malaysia – RM378,950, 8-kelajuan, Launch Control, 300 PS/400 Nm

    Juga tidak ada perbezaan rupa ataupun apa-apa lencana berbeza antara versi manual dan automatik jika dilihat pada sebelah luar. Ia masih tampil dengan rupa versi facelift pertama GR Corolla yang diperkenalkan pada peringkat global pada 2024, di mana perubahan paling ketara boleh dilihat adalah pada rekaan bampar hadapan.

    Tiada lagi lampu kabus diletak pada bampar berkenaan bagi memberikan ruang liang udara yang lebih besar. Ini dibuat semata-mata bagi memberikan aliran udara untuk penyejukan yang lebih baik, terutamanya untuk penyejuk minyak transmisi pada model automatik. GR Corolla ini juga diberikan sub-radiator tambahan untuk memberikan penyejukan enjin lebih baik.

    Perincian-perincian standard yang diberikan juga serupa antara kedua-duanya, antaranya dilengkapi dengan lampu utama LED, brek dengan cakera berliang dan ditebuk untuk semua roda bersama angkup enam-omboh monoblok di hadapan, angkup dua-omboh monoblok di belakang serta rim aloi Enkei 18-inci hitam dibalut dengan tayar Yokohama Advan Apex 235/40R18.

    Manakala dalam kabin, perbezaan yang nyata antara kedua-dua versi kotak gear ini sudah tentu pada tombol gear yang berlainan, selain dari hanya menampilkan dua pedal serta hadir dengan pedal penukar gear pada stereng. Perincian lain masih sama kedua-duanya di mana GR Corolla pasaran Malaysia ini datang dengan sistem tanpa kunci, butang penghidup enjin, kawalan pendingin dua zon, paparan instrumen digital 12.3-inci, paparan head-up, pengecas tanpa wayar, enam-pembesar suara, dash cam depan dan belakang, kamera undur dan filem penapis haba.

    Bagi model 2026 ini kedua-dua versi kotak gear menerima skrin sistem infotaimen Display Audio baharu yang lebih besar bersaiz 10-inci bagi menggantikan skrin 9-inci sebelum ini, dan ia masih datang dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Ia juga menerima tempat duduk semi-bucket GR dengan balutan Brin Naub dan roda stereng GR dengan serlahan jahitan benang merah.

    Untuk keselamatan, model 2026 bagi kedua-dua varian ini menerima tingkat taraf pemantau titik buta pada kedua-dua cermin sisi kiri dan kanan, manakala perincian sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Toyota Safety Sense lain masih lagi sama dengan menampilkan sistem brek kecemasan automatik, cruise control adaptif, bantuan kekal tengah lorong, amaran lintasan trafik di belakang dan lampu tinggi automatik. Ia juga datang standard dengan tujuh beg udara.

    Seperti biasa, GR Corolla dan lain-lain model prestasi GR sebenar hanya dijual oleh pengedar-pengedar Toyota yang diiktiraf sebagai GR Garage sahaja.

    GALERI:Imej rasmi Toyota GR Corolla AT 2026 pasaran Malaysia

     
     
  • Honda Civic Type R ARTA GT didedahkan – hanya 20 unit, badan lebih lebar inspirasi jentera lumba GT500

    Honda Civic Type R ARTA GT didedahkan – hanya 20 unit, badan lebih lebar inspirasi jentera lumba GT500

    Kalau anda biasa dengan perlumbaan Super GT, pasukan Autobacs Racing Team Aguri (ARTA) sudah tentu tidak perlu diperkenalkan lagi. Pasukan yang dibimbing lagenda Formula 1 Jepun Aguri Suzuki dan disokong oleh rantaian pengedar aksesori dan komponen automotif antara yang terbesar di Jepun ini telah terlibat dalam perlumbaan Super GT sejak sekian lama, dan lazimnya akan menggunakan jentera Honda dalam kategori tertinggi GT500.

    Ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon 2026 hari ini, ARTA telah memperkenalkan sebuah model talaannya yang ditawarkan untuk dijual kepada orang awam – ini dia ARTA GT, iaitu Honda Civic Type R FL5 yang dihasilkan diinspirasikan dari jentera lumba Honda Civic Type R FL5 GT500!

    Pengaruh jentera GT500 jelas boleh dilihat pada ARTA GT ini – ia, diberikan kit badan yang membuatkan Civic Type R FL5 yang sudah sedia lebar bertambah lebar. Pada bahagian hadapan, bampar, fender serta penutup bonet depan sudah tidak digunakan lagi, diganti dengan komponen yang direka sendiri oleh ARTA.

    Honda Civic Type R ARTA GT didedahkan – hanya 20 unit, badan lebih lebar inspirasi jentera lumba GT500

    Bentuk yang diberikan sudah tentu nampak seakan diambil terus dari FL5 GT500, namun ia bukan sekadar kosmetik. Liang pengambilan udara yang besar pada bampar di gril hadapan berfungsi untuk ‘mengaut’ udara segar bagi menyejukkan intercooler untuk pengecas turbo, penyejuk minyak enjin dan juga brek hadapan. Manakala spoiler bawah bampar hadapan dan juga canard pada kedua-dua bahagian sisi yang diperbuat dari gentian karbon benar-benar menghasilkan downforce bagi membolehkan badan kereta ini melekat ke permukaan jalan pada kelajuan tinggi.

    Liang udara yang terletak di atas ruang roda pula adalah untuk mengeluarkan udara yang bergelora berlaku di dalam ruang roda berkenaan. Bahagian ‘sirip’ fender hadapan dan juga ‘sayap’ di bawah skirt sisi juga diperbuat dari gentian karbon pula berfungsi untuk mengekalkan downforce membolehkan ARTA GT ini kekal stabil pada kelajuan tinggi.

    Manakala di belakang, ARTA GT ini diberikan unit diffuser sebenar juga diperbuat dari karbon sebenar terletak di bawah bampar bagi membolehkan aliran udara dari hadapan keluar ke belakang dengan ‘bersih’. Ia juga diberikan spoiler karbon GT dengan pemegang jenis ‘tengkuk angsa’ yang sama seperti jentera lumba FL5 GT500.

    ARTA GT ini masih digerakkan oleh enjin K20C 2.0 liter empat-silinder VTEC Turbo, namun ia telah ditingkat taraf dengan menerima kit turbo, intercooler, ekzos, dan juga kotak komputer yang dibina bersama oleh ARTA dan juga HKS. Bagi memastikan minyak enjin sentiasa berada pada suhu bekerja yang optimal, ia turut diberikan penyejuk minyak juga dari HKS.

    ARTA tidak menyebut berapa kuasa akhir yang dihasilkan oleh enjin berkenaan, namun ia sudah tentu jauh lebih tinggi berbanding angka standard 330 PS dengan tork 420 Nm yang keluar dari kilang. Enjin tersebut juga masih digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan manual, namun unit LSD asal telah ditukar menggunakan LSD Cusco Type RS.

    Kuasa yang lebih besar ini juga disokong oleh suspensi yang lebih baik, di mana ARTA GT diberikan set penyerap hentak dan spring boleh laras dua-hala dari KW. Bagi memastikan semua kuasa putaran dapat dipindah ke permukaan jalan, ARTA GT datang standard dengan tayar Bridgestone Potenza RE-71RZ bersaiz 295/35R18 yang membaluti set rim aloi forged 18-inci pelbagai jejari keluaran ARTA sendiri.

    Untuk berhenti pula, set Brembo Civic Type R asal tidak lagi digunakan dan digantikan dengan set brek AP Racing Pro 5000R yang merangkumi cakera 365 mm ‘two piece’ bersama angkup enam-omboh bersama pad brek separa-metalik di hadapan. Manakala di belakang, set brek asal masih dikekalkan, cuma pad brek diganti dengan pad jenis separa-metalik serta aliran hidraulik disampaikan menerusi paip yang diperbuat dari logam tahan karat.

    Bahagian kabin ARTA GT ini turut tidak terkecuali menerima pengaruh sebuah kereta lumba. Tempat duduk bucket merah hadapan asal Type R telah diganti dengan tempat duduk perlumbaan Recaro RSS ASM Limited, dan roda stereng asal juga telah digantikan dengan roda stereng perlumbaan dari Sparco. Manakala suis-suis kawalan pada roda stereng asal telah dialihkan kepada perumah suis khas yang dibuat dan nampak seperti suis-suis kawalan pada roda stereng kereta lumba sebenar.

    “Masuk ke selekoh dengan sangat tajam yang akan menyebabkan anda tidak percaya bahawa ia adalah platform FF (enjin hadapan pacuan hadapan), dan sesiapa yang melihatnya akan menganggapnya sebuah kereta lumba. Ia secara aslinya rasa seperti kerja yang sempurna, dibawa terus dari litar ke jalan raya,” kata Aguri Suzuki.

    Honda Civic Type R ARTA GT didedahkan – hanya 20 unit, badan lebih lebar inspirasi jentera lumba GT500

    “Tiada satu pun Civic (FL5) di dunia ini yang telah diubahsuai pada tahap seperti ini,” kata ‘The Drift King’ Keiichi Tsuchiya yang kini merupakan pengarah pasukan ARTA. “Kami mahu menunjukkan apa yang jadi sekiranya orang-orang yang terlibat dalam dunia perlumbaan membina kereta untuk jalan raya secara serius,” tambahnya lagi

    Untuk memiliki ARTA GT ini, anda terlebih dahulu perlu mempunyai sebuah Honda Civic Type R FL5 standard. Kereta berkenaan kemudiannya perlu dibawa ke ARTA, dan kos penghasilannya akan memakan belanja sebanyak 13,500,000 yen (sekitar RM346k). Anda perlu membayar kos tambahan sekiranya mahukan ARTA GT anda dilayangkan dengan warna badan Oren ARTA.

    Namun duit sahaja tidak memadai bagi membolehkan anda memiliki sebuah Civic Type R yang diubah kepada ARTA GT kerana syarikat ini hanya akan menghasilkan sebanyak 20 unit model istimewa berkenaan.

    GALERI: Gambar Rasmi ARTA GT FL5

     
     
  • PANDU UJI: Proton X70 2026 – tanggapan awal bagi prestasi enjin, pengendalian dan NVH yang lebih padu

    PANDU UJI: Proton X70 2026 – tanggapan awal bagi prestasi enjin, pengendalian dan NVH yang lebih padu

    Sebenarnya bukanlah suatu kejutan apabila Proton buat keputusan untuk ‘menyuap’ enjin Intelligent Green Technology (i-GT) 1.5 liter pengecas turbo empat-silinder bagi menggantikan enjin terdahulu 1.5 liter pengecas turbo tiga-silinder untuk SUV X70 2026. Sama seperti yang dibuat untuk X50 facelift. Enjin baharu ini mampu menghamburkan 181 PS pada 5,500 rpm dan tork 290 Nm antara 2,000 hingga 3,500 rpm. Sekaligus memberikan peningkatan angka prestasi sebanyak 4 PS dan 35 Nm berbanding enjin terdahulu (177PS/255 Nm).

    Proton berkata enjin baharu ini mampu meningkatkan tindak balas pendikit yang lebih lancar dan pantas pada julat rendah hingga sederhana. Selain itu, enjin ini dikatakan lebih bertenaga dan paling penting mampu memberikan penjimatan bahan api yang lebih efisien.

    Dua hari sebelum pelancarannya, kami telah diundang oleh Proton untuk melenjan X70 2026 di litar ujian di Pusat Kecemerlangan Proton (COE), Shah Alam. Untuk sesi pandu uji ringkas ini, Proton menyediakan varian paling tinggi iaitu Premium.

    Pertama kali ‘bertentangan mata’ dengan X70 baharu ini, terus terdetik di dalam hati, “Sama saja rupa luaran dan dalaman dengan versi terdahulu…” Memang betullah…tiada perubahan imej luaran. Cuma untuk varian tertinggi ini, ia sudah tidak diberikan bumbung suria panoramik, tidak seperti yang ditampilkan pada varian tertinggi Premium X untuk X70 yang diperkenalkan dua tahun lalu. Bagai downgrade kan..

    Selain itu, X70 MC3 2026 ini menggunakan tayar GitiComfort F50 bagi menggantikan Continental UltraContact UC6 kerana kilang Continental di Alor Star telah ditutup hujung tahun lalu. Untuk ciri kelengkapan lain, anda boleh baca artikel pelancaran X70 MC3 2026 DI PAUTAN INI.

    Bagaimana agaknya prestasi X70 baharu ini? Tak boleh nak ulas terperinci memandangkan peluang memandu uji di litar ujian COE kelmarin hanya sekejap sahaja, tapi bolehlah sekadar memberikan gambaran dan tanggapan serba ringkas untuk prestasi dan pengendaliannya.

    PANDU UJI: Proton X70 2026 – tanggapan awal bagi prestasi enjin, pengendalian dan NVH yang lebih padu

    Terlebih dahulu, usah anggap X70 sudah bertukar menjadi SUV berprestasi tinggi. Cuma dengan ditampilkan enjin i-GT 1.5L turbo empat-silinder ini membuatkan ia sedikit padu berbanding versi terdahulu.
    Permulaan menggerakkan X70 2026 ini dengan kelajuan yang begitu sederhana mendorong sistem mekanikalnya memberikan maklumbalas yang menyenangkan. Kemudian kelajuan sedikit dipertingkatkan sekitar antara 20-30 km/j bagi melakukan ujian slalom, ketika ini tidak dapat dirasai prestasi enjinnya kerana lebih tertumpu pada aspek pengendalian.

    Untuk X70 2026 ini, Proton telah melakukan talaan semula bagi sistem suspensi termasuk menambahbaik tahap bunyi jalan raya pada frekuensi rendah hingga sederhana, impak ketegaran gandar belakang serta kapasiti sokongan olengan bagi X70 2026. Bukan itu sahaja, X70 2026 ini juga ditambahbaik sistem sterengnya termasuk bagi nisbah stereng dan juga tindak balas stereng yang lebih cekap dan pantas.

    Perubahan yang dilakukan ini memang menepati kerana terasa perubahan ketara pada karakteristik pemanduan yang lebih memuaskan. Kawalan stereng terasa lebih ‘tajam’ dan tidak terlalu berat. Walau pun masih terasa olengan badan namun ia berskala sederhana dan masih terkawal. Pergerakan badannya juga lebih lancar dan seimbang, selari dengan sudut stereng yang digunakan ketika itu.

    PANDU UJI: Proton X70 2026 – tanggapan awal bagi prestasi enjin, pengendalian dan NVH yang lebih padu

    Walau bagaimana pun, saya tidak dapat merasai keselesaan pemanduan dalam keadaan yang tidak rata, atau beralun memandangkan keadaan litar ujian proton yang cantik dan rata. Tapi kalau ikutkan pengalaman sewaktu memandu X70 di Sabah pada tahun 2024, memang rasa puas hati juga dengan keselesaan mengendalikannya memandangkan keadaan jalan di Negeri Bawah Bayu memang ada kepelbagaian corak dan ‘rupa’.

    Dan dengan sistem suspensi dan stereng yang ditala semula, saya meletakkan keyakinan bahawa pengendalian X70 2026 semestinya bertambah mantap di jalan raya. Kalau nak tahu, telahan saya ini benar atau ‘melencong’, kena tunggu masa mengujinya di jalan raya.

    Sewaktu memacu X70 2026 di laluan selekoh condong (banked curve) yang mempunyai kecondongan maksimum hingga 45 darjah, prestasi enjin teruji. Instruktor pemandu yang bersama saya ketika itu menyarankan agar saya memandu dalam kelajuan antara 90-100 km/j. Namun tanpa sedar, kelajuan menghampiri 120 km/j walau pun saya tidak mengenakan tekanan keras pada pedal pendikit. Ternyata begitu mudah enjin memuntahkan kuasa tanpa kerahan tenaga. Walau bagaimana pun pemanduan masih mudah terkawal dan stabil biar pun dalam kelajuan yang agak tinggi dengan corak jalan sebegitu. Saya juga berharap SUV ini tidak ‘begitu semput’ sekiranya dipandu di laluan berbukit.

    PANDU UJI: Proton X70 2026 – tanggapan awal bagi prestasi enjin, pengendalian dan NVH yang lebih padu

    Apa yang paling menarik perhatian saya, tahap NVH X70 kali ini memang superb dan wajar dipuji. Ia lebih baik berbanding enjin sebelum ini. Ternyata enjin I-GT yang lebih diperhalusi ini membuatkan tahap bunyi dan getaran jauh lebih rendah. Malah sewaktu enjin diperah sepenuhnya (full throttle), ia kekal senyap. Bunyi geseran tayar dan desiran angin yang meresapi ruang kabin sewaktu SUV ini dipacukan juga lebih minimal.

    Ternyata apa yang didakwa oleh Proton bahawa tahap NVH SUV ini telah berkurangan sebanyak 4.5% dan 25.24% lebih senyap bukanlah omong kosong.

    Walau bagaimana pun, prestasinya sedikit ‘spoil’ disebabkan tindak balas transmisi DCT yang agak perlahan. Ia seakan bermula dari gear kedua, sebelum mengambil masa turun ke gear pertama dan menyebabkan decitan tayar yang menghasilkan bunyi geseran yang agak kuat. Tayar juga mengambil masa untuk mencengkam sepenuhnya. Ia kerap terjadi sekiranya SUV ini mula digerakkan secara mendadak atau tiba-tiba terus memecut. Situasi sebegini memang berlaku sejak versi X70 sebelum ini.

    PANDU UJI: Proton X70 2026 – tanggapan awal bagi prestasi enjin, pengendalian dan NVH yang lebih padu

    Secara konklusi, dari aspek mekanikal, memang bertepatan perubahan yang dilakukan terutamanya dengan pemberian enjin i-GT yang lebih ‘ngam ho’ berbanding penjana kuasa terdahulu. Tahap NVH yang dipertingkatkan ini juga antara bonus untuk X70.

    Selain itu, penggunaan bahan api yang lebih menjimatkan seperti yang didakwa oleh Proton di mana X70 2026 ini mampu mencatatkan angka penggunaan bahan api sekitar 6.9 liter bagi setiap 100 km. Proton turut mendakwa padanan enjin baharu dengan transmisi ini telah membuatkan penggunaan bahan api pada SUV ini berkurangan sebanyak 5.5% berbanding model terdahulu.

    Dengan segala macam ‘jajan’ (ciri kelengkapan) yang ditampilkan pastinya menjadi antara taruhan utama untuk menjadikan X70 2026 ‘king’ bagi SUV segmen-C. Oh lupa pula. Harga atas jalan yang diberikan rebat sebanyak RM7,000 untuk 1,500 unit pertama sahaja juga menarik perhatian. Dengan penawaran rebat itu, harga bagi varian 1.5TD Executive ialah RM99,800 dan model spesifikasi penuh 1.5TD Premium berharga RM112,800. Kedua-duanya harga atas jalan dan tanpa insurans. Walau bagaimana pun, selepas 31 Mac 2026 (atau selepas 1,500 pembeli pertama memasuki senarai tempahan), harganya akan menjadi RM106,800 bagi Executive dan RM119,800 untuk Premium.

    GALERI: Proton X70 MC3 2026 varian Premium

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026