Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Harga minyak 8-14 Jan – RON97, RON95 tanpa subsidi dan diesel Semenanjung turun antara 2-5 sen seliter

    Harga minyak 8-14 Jan – RON97, RON95 tanpa subsidi dan diesel Semenanjung turun antara 2-5 sen seliter

    Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan bahawa untuk minggu bertarikh 8 hingga 14 Januari 2026, harga runcit petrol RON 97 diturunkan sebanyak lima sen seliter menjadi RM3.11 seliter.

    Untuk petrol RON 95 tanpa subsidi, ia pula diturunkan sebanyak dua sen seliter menjadi RM2.54 seliter. Walau bagaimana pun harga runcit petrol bersubsidi RON95 di bawah Budi95 masih kekal pada RM1.99 seliter.

    Begitu juga dengan harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia turut diturunkan sebanyak lima sen seliter menjadi RM2.89 seliter. Manakala harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.

    Hari ini, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican berkata kerajaan tidak akan melaksanakan penyasaran bagi subsidi petrol RON95 berdasarkan kelas pendapatan buat masa ini. Ini termasuklah mengurangkan kuota subsidi Budi95 untuk mengelakkan bebanan tambahan kepada isi rumah, terutamanya mereka yang tinggal jauh dari tempat kerja.

     
     
  • Budi95: Kerajaan tidak akan laksana penyasaran berdasarkan kelas pendapatan buat masa ini

    Budi95: Kerajaan tidak akan laksana penyasaran berdasarkan kelas pendapatan buat masa ini

    Kerajaan tidak akan melaksanakan penyasaran bagi subsidi petrol RON95 berdasarkan kelas pendapatan buat masa ini, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican seperti yang dilaporkan Berita Harian.

    Menurut beliau, walaupun terdapat cadangan penetapan sasaran yang lebih tepat, contohnya menghapuskan subsidi bagi mereka yang berpendapatan lebih RM20,000 sebulan.

    “Sesetengah pihak berhujah bahawa kuota boleh dikurangkan kerana data menunjukkan bahawa 90% rakyat menggunakan kurang daripada 200 liter. Namun, kita mesti mengelakkan daripada membebankan isi rumah yang mempunyai pilihan terhad untuk tinggal lebih dekat dengan tempat kerja.

    “Fokus utama kita sekarang adalah untuk menganalisis data dan mengesan potensi penyalahgunaan. Contohnya, terdapat kes individu yang hanya mempunyai lesen motosikal tetapi dilihat menggunakan kuota RON95 sepenuhnya, yang jelas mencurigakan,” katanya.

    Budi95: Kerajaan tidak akan laksana penyasaran berdasarkan kelas pendapatan buat masa ini

    Tambah beliau, setelah data dianalisis dengan lebih terperinci dan sebarang ketidakaturan ditangani, barulah kerajaan boleh mempertimbangkan penyesuaian parameter subsidi. Dimana ia melibatkan perubahan besar bagi negara dan perkara itu perlu dilaksanakan dengan berhati-hati.

    Selain itu, Johan turut berkata, kerajaan tidak mahu terburu-buru mengurangkan kuota subsidi atau penyasaran berdasarkan kelas pendapatan bagi Budi Madani RON95 (Budi95) untuk mengelakkan bebanan tambahan kepada isi rumah, terutamanya mereka yang tinggal jauh dari tempat kerja.

    “Kerajaan sentiasa memantau data penggunaan Budi95 dari semasa ke semasa tanpa menjejaskan golongan yang masih memerlukan bantuan. Kebanyakan penggunaan RON95 ketika ini adalah untuk perjalanan pergi balik kerja, justeru isi rumah berpendapatan sederhana (M40) yang tinggal jauh dari tempat kerja berdepan risiko peningkatan kos hidup jika subsidi dipotong,” katanya.

    Beliau turut berkata Budi95 adalah cabaran paling besar dalam pelaksanaan subsidi bersasar oleh kerajaan bagi mengurangkan ketirisan dan menghasilkan penjimatan. Hal ini kerana RON95 adalah isu yang sangat sensitif dari segi politik dan kebanyakan Ahli Kabinet amat berhati-hati mengenai isu itu kerana subsidi terbabit telah ditawarkan bertahun-tahun.

    Budi95: Kerajaan tidak akan laksana penyasaran berdasarkan kelas pendapatan buat masa ini

    “Dari segi teknikal pula, pelaksanaan subsidi elektrik jauh lebih mudah kerana hanya membabitkan satu entiti iaitu Tenaga Nasional Bhd (TNB) yang cuma perlu menyesuaikan bil dan secara automatik boleh mewujudkan struktur harga berperingkat tanpa pelaburan sistem baharu.

    “Diesel juga lebih mudah diurus kerana syarikat logistik boleh mendapatkan harga subsidi berdasarkan kelayakan. Mereka masih boleh membeli di stesen minyak sedia ada, hanya perlu membuat penyesuaian kecil pada sistem sedia ada, bukannya membina sistem baru dari awal,” katanya.

    Walau bagaimana pun, katanya, bagi RON95, kerajaan memerlukan sistem baharu sepenuhnya yang membolehkan rakyat membeli subsidi di mana-mana stesen. Oleh itu, ia memerlukan pembangunan pangkalan data pusat, di mana setiap kali pengguna memasukkan nombor kad pengenalan di stesen minyak, sistem akan menyemak kelayakan mereka dan baki subsidi.

    “Kami gembira pelaksanaan setakat ini berjalan lancar. Tiada isu besar dilaporkan, malah kita sudah mula melihat penjimatan,” katanya lagi.

     
     
  • BYD kekal pengeluar kenderaan paling laris China, jual 4,602,436 unit pada 2025 — eksport naik 151%

    BYD kekal pengeluar kenderaan paling laris China, jual 4,602,436 unit pada 2025 — eksport naik 151%

    BYD kekal sebagai pengeluar kenderaan paling laris di China bagi tempoh tiga tahun berturut-turut. Pada tahun 2025, syarikat itu berjaya menjual sebanyak 4,602,436 unit kenderaan (+7.73% berbanding 2024), termasuk 2,256,714 unit EV. Angka berkenaan juga turut termasuk 57,013 unit kenderaan komersial.

    Jika pada 2024 BYD menjual 720,386 unit lebih banyak kenderaan plug-in hybrid (PHEV) berbanding EV pada 2024, jurang berkenaan semakin berkurang pada 2025 menjadi 89,008 unit lebih bagi PHEV. Eksport pula? BYD telah menjual sebanyak sejuta kenderaan di luar China, iaitu 151% lebih banyak berbanding 417,204 unit pada 2024.

    Mujur jualan eksport BYD besar angkanya, kerana menurut Gasgoo, jualan bulanan BYD di China jatuh sebanyak dua digit sejak Julai hingga November tahun lalu, menjadikan penurunan selama lima bulan berturut-turut berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

    Car News China pula melaporkan, tahun 2026 akan menjadi tahun yang mencabar untuk BYD memandangkan kerajaan China akan lebih tegas terhadap amalan potongan harga besar oleh pemain-pemain industri di sana untuk merancakkan jualan EV mereka. Sebagai perbandingan, bagi tahun 2025, Geely menjual sebanyak 3,024,567 unit kenderaan keseluruhannya, sementara Chery Group dengan 2,806,393 unit dan GWM dengan 1,323,672 unit.

     
     
  • Rapid KL hadapai 31 gangguan landasan sepanjang 2025, turun sebanyak 87% dalam tempoh tiga tahun

    Prasarana selaku penyedia perkhidmatan pengangkutan awam di bawah nama Rapid memaklumkan, sepanjang tahun 2025, ia mengalami 31 kejadian gangguan perkhidmatan landasan di Lembah Klang. Angka berkenaan menurun berbanding 71 kejadian pada tahun 2024 dan sebanyak 118 kejadian pada 2023. Tahun 2022 mencatatkan sebanyak 252 gangguan perkhidmatan — membawa kepada 87% pengurangan dalam tempoh tiga tahun.

    Perkara ini dinyatakan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, yang melakukan kunjungan ke Prasarana pada setiap Januari untuk diberikan taklimat berkaitan prestasi perkhidmatan syarikat itu.

    “Sebetulnya, paling ideal tentulah sifar gangguan. Tetapi saya berterima kasih di atas usaha keras jurutera Rapid Rail yang berusaha mewujudkan budaya penyelenggaraan yang baru. Tanpa usaha mereka, jumlah kejadian dan gangguan perkhidmatan tidak akan menurun sebanyak 87% dalam tempoh tiga tahun terakhir ini,” jelas Loke.

    Rapid KL hadapai 31 gangguan landasan sepanjang 2025, turun sebanyak 87% dalam tempoh tiga tahun

    Bagaimanapun, Loke memaklumkan, tanggapan publik terhadap pengangkutan awam adalah berdasarkan pengalaman mereka dan bukannya melalui statistik.

    “Walaupun corak gangguan perkhidmatan ini menurun, sekiranya pengguna mengalami hanya beberapa pengalaman tidak menyenangkan, mereka tidak lagi akan menggunakan pengangkutan awam. Ini apa yang disebut sebagai ‘behaviourally fragile’ dalam laporan Institut Kajian Khazanah. Untuk itu, saya menegaskan kepada Prasarana, sekiranya berlaku ganguan, mereka perlu cepat melaksanakan pelan kecemasan dan sampaikan komunikasi yang berkesan kepada pengguna,” katanya.

    Loke juga menambah, beliau juga sedar corak gangguan semasa yang berlaku akibat kecurian kabel, dan usaha sedang diambil untuk mengatasi masalah itu. “Kami akan bekerja lebih keras untuk terus mengurangkan gangguan perkhidmatan untuk tahun ini,” jelas Loke.

     
     
  • Afeela Prototype 2026 – kereta konsep baru kerjasama Sony dan Honda, petunjuk model pasaran tahun 2028

    Afeela Prototype 2026 – kereta konsep baru kerjasama Sony dan Honda, petunjuk model pasaran tahun 2028

    Sony Honda Mobility (SHM), satu usaha sama antara Sony dan Honda, kembali ke Pameran Elektronik Pengguna (CES) tahun ini dengan memperkenalkan prototaip baru yang memberi gambaran kepada kenderaan elektrik (EV) masa depan yang akan menyertai Afeela 1 dalam barisan produk mereka.

    Dikenali secara rasmi sebagai Afeela Prototype 2026, prototaip ini berbentuk crossover dan menampilkan rekaan sederhana yang serupa dengan model sedan Afeela 1. Antara elemen reka bentuk yang dapat dilihat adalah visor hadapan dengan skrin LCD, LiDAR serta sensor-sensor yang berkaitan dengan ADAS (Sistem Bantuan Pemanduan Lanjutan) yang dipasang pada bumbung, pintu kuasa automatik, jalur lampu belakang lebar penuh dan bentuk rim aerodinamik.

    Walaupun SHM menunjukkan rekaan luaran prototaip ini, tiada maklumat terperinci diberikan mengenai spesifikasi teknikal atau gambaran mengenai bahagian dalamannya. Bagaimanapun, pihak syarikat mengesahkan bahawa model pengeluaran akan dilancarkan di Amerika Syarikat pada tahun 2028.

    Selain prototaip tersebut, Afeela 1 turut dipamerkan di pentas yang sama. Afeela 1 dijangka mula dijual pada tahun ini dengan harga permulaan sekitar USD89,900 (lebih kurang RM364,000). Sejak tempahan untuk sedan elektrik ini dibuka pada Januari tahun lalu, SHM telah membuka bilik pameran Afeela Studio dan mengadakan pameran kenderaan di pelbagai lokasi.

    Pada musim luruh 2025, pengeluaran percubaan Afeela 1 telah dimulakan di kilang pengeluar kontrak Honda di East Liberty Auto Plant, Ohio, Amerika Syarikat. Ini merupakan sebahagian daripada proses persediaan untuk pengeluaran secara besar-besaran, dengan unit-unit pengeluaran pertama dipamerkan di CES 2026. Penghantaran Afeela 1 dijangka bermula di California pada tahun ini, diikuti Arizona pada 2027. Penghantaran ke Jepun dijadualkan bermula pada separuh pertama tahun 2027.

     
     
  • Proton X70 2026 – rupa masih nampak sama, enjin 1.5L empat silinder turbo, bakal dilancar esok

    Proton X70 2026 – rupa masih nampak sama, enjin 1.5L empat silinder turbo, bakal dilancar esok

    Proton X70 2026 sudah sah bakal dilancarkan esok, 8 Januari 2026. Sebelum ini Proton sudahpun mengesahkan bahawa ia bakal digerakkan enjin i-GT baharu, dan teaser terbaharu turut mendedahkan beberapa perincian lain yang akan diberikan kepada SUV segmen-C yang dikemaskini berkenaan.

    Untuk rupa, hantaran teaser terbaharu dari Proton mendedahkan bahawa ia tampil dengan rupa yang sama seperti model sedia ada. Kapsyen pada hantaran tersebut turut memberitahu bahawa SUV ini juga menampilkan “pemanduan dan pengedalian yang lebih baik” – mungkin Proton sekali lagi merubah talaan suspensi model berkenaan.

    Seperti yang telah kami beritahu tempoh hari, enjin baharu i-GT yang dimaksudkan adalah BHE15TD 1.5 liter empat-silinder turbo bagi menggantikan enjin GEP 3G15TD 1.5 liter tiga-silinder turbo pada model sedia ada. Enjin baharu ini sebelum ini sudahpun disumbatkan pada Proton X50 facelift yang telah dilancarkan pada Julai tahun lalu.

    Unit rangkaian kuasa baharu ini menghasilkan kuasa 181 PS dan tork maksima 290 Nm, lebih berkuasa dari enjin sebelum ini yang hanya menghasilkan 177 PS dan tork maksima 255 Nm. Seperti juga X50, enjin baharu ini dijangka masih akan digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan DCT yang sama. Kami jangkakan tiada perubahan rupa luaran dan dalaman yang besar akan ditampilkan pada model kemaskini kali ini.

    Proton X70 mula diperkenalkan pada pasaran Malaysia pada Disember 2018, dijana oleh enjin 1.8 liter empat-silinder turbo yang dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik, serta hadir dalam versi diimport sepenuh (CBU) dari China.

    Model pemasangan tempatan (CKD) mula diperkenalkan pada Februari 2020 dengan rupa yang sama, tetapi kotak gear 6AT telah digantikan dengan kotak gear 7DCT yang lebih pantas. X70 sekali lagi diberikan kemaskini menerusi model MC (Minor Change) 2022 di mana hanya varian tertinggi masih dibekalkan dengan enjin 1.8L turbo, sementara varian lain yang lebih rendah mula menerima enjin GEP 1.5 liter tiga-silinder turbo.

    Kemudian model facelift dengan perubahan muka yang besar serta papan pemuka yang disegarkan semula diperkenalkan pada Ogos 2024, kali ini ia hanya hadir dengan pilihan enjin 1.5L tiga-silinder untuk semua varian. Muka baharu ini terus digunakan pada versi kemaskini yang bakal dilancarkan esok.

     
     
  • Harga Tesla Model 3, Model Y 2026 tidak berubah di Malaysia – Tesla komited terhadap “pasaran penting”

    Harga Tesla Model 3, Model Y 2026 tidak berubah di Malaysia – Tesla komited terhadap “pasaran penting”

    Selepas insentif pengecualian cukai untuk kenderaan elektrik penuh (EV) yang diimport sepenuhnya (CBU) berakhir pada 31 Disember 2025, harga bagi model-model sedemikian sepatutnya naik bermula 1 Januari tahun ini. Namun untuk Tesla, harga bagi model-model CBUnya yang dijual di sini iaitu Tesla Model 3 dan juga Tesla Moel Y diumumkan tidak naik, dan masih dijual pada harga yang sama.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Tesla Malaysia, syarikat itu menyatakan bahawa Malaysia merupakan pasaran penting buat Tesla dan ia akan terus melabur dalam pasaran tempatan bagi meneruskan komitmennya untuk mempercepatkan peralihan kepada tenaga lestari.

    Ia juga kini dalam persediaan untuk membuka lokasi jualan baharu di Kuching, Sarawak manakala sebuah popup store baharu telahpun dibuka di Lot G-064, Vivacity Megamall minggu ini.

    Jaringan pengecas Tesla di Malaysia turut sedang dikembangkan lagi, dengan beberapa stesen terbaharu dibuka termasuk di Nexus Bangsar South dan Quayside Mall di Kota Kemuning untuk kawasan Lembah Klang. Beberapa lokasi pengecasan lain turut dirancang untuk dibuka tahun ini.

    Buat masa sekarang Tesla Malaysia sudah mempunyai 18 stesen Supercharging dan 17 Destination Charging, dengan jumlah 76 pengecas Super serta 79 pengecas Destinasi secara keseluruhan.

    Manakala untuk mereka yang mahu membeli kenderaan-kenderaan baharu Tesla, tempahan menerusi konfigurator Tesla akan dibuat bulan ini di mana pelanggan akan menerima kereta-kereta yang ditempah bermula bulan Februari. Pelanggan juga ditawarkan dengan barisan kereta-kereta demo yang telah disenaraikan dalam laman inventori Tesla jika mahukan kereta lebih cepat.

     
     
  • Toyota GR Yaris Rally1 untuk WRC 2026 didedahkan – tampil livery perlumbaan merah menyala baharu!

    Toyota GR Yaris Rally1 untuk WRC 2026 didedahkan – tampil livery perlumbaan merah menyala baharu!

    Pasukan Rali Dunia Toyota Gazoo Racing (TGR-WRT) telahpun mendedahkan jentera Kejohanan Rali Dunia (WRC) yang akan digunakan untuk musim ini iaitu Toyota GR Yaris Rally1 2026.

    Jentera yang dikemaskini ini menampilkan rekaan grafik perlumbaan baharu dengan menampilkan warna merah sebagai warna utama, berbanding warna hitam matte atau perak sebelum ini. Namun ia masih menampilkan spesifikasi Rally1 tanpa sistem hibrid sama dengan yang digunakan tahun lalu seperti yang ditetapkan oleh FIA, sebelum semua pasukan perlu beralih kepada undang-undang WRC27 yang akan digunakan musim hadapan.

    Jadi ia masih lagi sebuah jentera rali binaan spaceframe dengan enjin 1.6 liter empat-silinder turbo berkuasa bersama restrictor berdiameter 36 mm bagi menghasilkan kuasa 380 hp. Enjin ini tidak disuap dengan petrol biasa, sebaliknya menggunakan bahan bakar perlumbaan dari P1 Racing, iaitu bahan api lebih mesra alam berasaskan hidrokarbaon yang dihasilkan bebas dari sebarang unsur fosil, dan diadun dengan bahan sintetik serta komponen bahan api bio.

    Toyota GR Yaris Rally1 untuk WRC 2026 didedahkan – tampil livery perlumbaan merah menyala baharu!

    Manakala untuk transmisi, ia dibekalkan dengan kotak gear sequential lima-kelajuan yang dihomologasi oleh FIA sama seperti jentera rali Rally2, tanpa pedal penukar gear pada stereng. Ia dibekalkan dengan sistem pacuan semua roda tanpa differential tengah aktif.

    Untuk musim 2026, TGR-WRT membawa seorang lagi pelumba muda iaitu Oliver Solberg yang berusia 24 tahun bagi mempertahankan gelaran juara dunia kategori pengeluar, selain dari tiga pemandu kekal sedia ada iaitu Elfyn Evans, Takamoto Katsuta dan juga Sami Pajari. Solberg yang merupakan anak kepada juara WRC 2002 iaitu Petter Solberg diberikan peluang oleh TGR-WRT setelah membuktikan keupayaannya menjadi juara WRC2 tahun lalu serta menang Rali Estonia 2025 dengan jentera GR Yaris Rally1.

    Juara dunia sembilan-kali (termasuk musim lalu) Sebastien Ogier masih akan memandu secara sambilan untuk TGR-WRT bagi menyertai pusingan-pusingan tertentu dalam musim WRC 2026, manakala juara dunia dua kali Kalle Rovanpera telahpun mengumumkan persaraannya dalam WRC apabila berakhir musim ini bagi menyertai perlumbaan single seater Super Formula di Jepun bermula tahun depan.

     
     
  • Projek Lebuhraya WCE di Johor akan dibentangkan April ini – jajaran 153.3 km, 13 persimpangan

    Klik untuk besarkan

    Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh mengesahkan Projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) untuk negeri berkenaan akan dibentangkan ke peringkat Persekutuan pada April ini.

    Buat masa ini perincian mengenai projek ini sedang dimuktamadkan bagi membolehkan pelaksanaan dari segi garis masa serta proses perolehan ditentukan, katanya.

    “Lebuhraya ini akan melengkapkan rangkaian yang menghubungkan Banting, Selangor melalui Negeri Sembilan dan Melaka dan terus ke Lebuhraya Laluan Kedua (Second Link), Gelang Patah Johor. Jajaran sepanjang 153.3 km ini bakal menjadi laluan alternatif yang lebih pantas dan efisien, sekali gus menjadi penyelesaian efektif kepada kesesakan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di Johor.

    “Projek ini dirancang bagi menyuraikan 27% trafik (lebih kurang 35,000 kenderaan sehari) yang masuk dan keluar daripada Johor menggunakan Lebuhraya PLUS khususnya semasa musim perayaan dan cuti sekolah. Mereka boleh menggunakan Lebuhraya WCE untuk ke mana-mana lokasi di pantai barat Johor seperti Muar, Batu Pahat dan Pontian. Selepas ini Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian dan Johor Bahru dapat dihubungkan dengan jaringan lebuhraya yang baru,”katanya menerusi Facebook rasminya.

    Projek Lebuhraya WCE di Johor akan dibentangkan April ini – jajaran 153.3 km, 13 persimpangan

    Tambah beliau, kerajaan negeri mencadangkan 13 persimpangan bagi merancakkan ekonomi setempat dan jika perlu disusun mengikut keutamaan, pihaknya mencadangkan tujuh persimpangan dibina dahulu antaranya di Sungai Terap (Muar), Parit Sulong (Batu Pahat) dan Pekan Nenas (Pontian).

    “Kajian kebolehlaksanaan telah disiapkan melalui libat urus antara pihak kementerian dan juga kerajaan negeri pada Disember 2025 dan perincian projek kini sedang dimuktamadkan untuk pembentangan ke peringkat Persekutuan pada April 2026 bagi menentukan garis masa pelaksanaan serta proses perolehan seterusnya.

    “nsyaAllah, jika tidak ada aral yang melintang, pembinaan WCE Selatan ini akan siap dalam tempoh 48 bulan sebaik sahaja semua proses dimuktamadkan,” katanya lagi.

     
     
  • Geely jual 3.02 juta kenderaan secara global sepanjang 2025, 14% daripadanya dijual pada pasaran eksport

    Geely jual 3.02 juta kenderaan secara global sepanjang 2025, 14% daripadanya dijual pada pasaran eksport

    Geely telah menjual sebanyak 3.02 juta kenderaan secara global sepanjang 2025 atau naik 39% berbanding jumlah jualan tahun sebelumnya. Dari jumlah berkenaan, 2.45 juta unit merupakan model dengan lencana Geely, 350,495 unit dengan lencana Lynk & Co dan 224,133 unit adalah model-model dengan lencana Zeekr.

    Juga dari jumlah keseluruhan berkenaan, 420,097 unit dijual pada pasaran domestik China, naik 4% berbanding 2024. Manakala selebihnya dijual pada pasaran eksport di mana Geely kini berada di 13 pasaran luar China baharu termasuk UK, Itali, Brazil dan Afrika Selatan.

    2025 juga menyaksikan Geely berjaya menjual 1.69 juta unit kenderaan tenaga baharu (NEV) termasuk model-model elektrik penuh (EV), hibrid (HEV), plug-in hybrid (PHEV) dan lain-lain. Ini bermakna jualan NEV Geely sepanjang tahun lalu naik lebih 90% berbanding 2024 serta memintas jualan NEV Chery yang terjual sebanyak 903,847 unit.

    Dari angka tersebut, model-model siri Galaxy telah terjual sebanyak 1.24 juta (naik 150% berbanding 2024), di mana Galaxy Xingyuan (Proton eMas 5) terjual sebanyak 40,000 unit setiap bulan untuk tujuh bulan berturut-turut, menjadikan jualan kumulatifnya melebihi 530,000 unit! Manakala Galaxy E5 (Proton eMas 7) pula telah terjual sebanyak 230,000 unit.

    Untuk 2026, kumpulan Geely mensasarkan jualan tahunan sebanyak 3.45 juta unit atau 14% lebih tinggi dari tahun lalu. Ia termasuk 2.75 juta untuk model-model dengan lencana Geely, 400,000 unit model-model Lynk & Co serta 300,000 unit model dari jenama Zeekr. Geely turut mensasarkan untuk menjual sebanyak 2.22 juta unit NEV atau 32% lebih tinggi berbanding tahun lalu.

    Sasaran yang ditetapkan oleh Geely ini adalah lebih tinggi dari sasaran yang dibuat oleh kumpulan Chery di mana saingan senegaranya itu mensasarkan untuk menjual sebanyak 3.2 juta unit kenderaan sepanjang 2026, juga 14% lebih banyak berbanding tahun lalu.

     
     
  • Pemasangan struktur gantri paparan iklan dilaksana di KM16.33 di NKVE pada 7-8 Jan, 10 malam-5 pagi

    Pemasangan struktur gantri paparan iklan dilaksana di KM16.33 di NKVE pada 7-8 Jan, 10 malam-5 pagi

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memaklumkan bahawa kerja-kerja pemasangan struktur gantri paparan iklan akan dilaksanakan di laluan antara Damansara dan Subang di KM16.33 (Kedua-dua arah), di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) pada 7 hingga 8 Januari 2026, mulai jam 10 malam sehingga 5 pagi.

    Menurut info grafik yang dikongsikan, kerja-kerja pemasangan ini melibatkan lorong kecemasan dan lorong paling kiri untuk arah Subang dan dan tiga lorong paling kanan untuk arah ke Sungai Buloh.

    “Sehubungan itu, kami menjangkakan akan berlakunya gangguan trafik yang minimum di lokasi semasa kerja-kerja dijalankan. Pengguna lebuh raya disarankan supaya merancang perjalanan mereka sepanjang tempoh tersebut. Mereka juga dinasihatkan supaya mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh petugas PLUS ketika melalui kawasan terbabit,” kata PLUS menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Anda boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi Aplikasi PLUS, Pembantu Maya – PUTRI, aplikasi X@plustrafik atau Paparan Mesej Elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih. Atau menghubungi talian PLUSLine di 1800-88-0000 sekiranya ingin mendapatkan bantuan jika berlaku kecemasan. Jangan lupa untuk terus mengamalkan pemanduan selamat.

     
     
  • UMW Toyota jual 102,417 unit kenderaan sepanjang 2025, tahun ke-4 berturut-turut capai lebih 100k unit

    UMW Toyota jual 102,417 unit kenderaan sepanjang 2025, tahun ke-4 berturut-turut capai lebih 100k unit

    UMW Toyota Motor (UMWT) hari ini mengumumkan bahawa ia berjaya menjual sebanyak 102,417 unit kenderaan sepanjang 2025, membolehkan ia mencatatkan rekod jualan melebihi 100,000 unit bagi tahun keempat berturut-turut. Rekod yang dicatatkan ini juga sedikit lebih tinggi berbanding jualan tahun lalu dengan catatan 102,300 unit, dan ia masih tidak boleh melangkaui rekod 108,107 unit yang dicatatkan pada 2023.

    Menurut syarikat itu lagi, ini merupakan rekod baharu dalam industri automotif Malaysia kerana sebelum ini tiada lagi jenama automotif bukan nasional yang dapat mencatatkan jualan tahunan melebihi 100,000 unit selama empat tahun berturut-turut. Walau bagaimanapun UMW Toyota tidak memperincikan jumlah jualan yang dicatatkan oleh setiap model.

    Syarikat itu juga menegaskan bahawa walaupun banyak jenama mula masuk secara agresif ke pasaran Malaysia dengan “naratif mobiliti yang berubah”, prestasi konsisten yang dicatatkan ini secara tidak langsung mencerminkan lebih dari momentum pasaran.

    “Dari pembeli pertama kali kepada pengguna setia Toyota, permintaan yang konsisten merentasi semua barisan model yang pelbagai jenama ini menyerlahkan reputasi Toyota untuk kenderaan yang rakyat Malaysia harapkan bukan hanya ketika saat ia dibeli, tetapi di sepanjang tempoh pemilikan.

    “Kejayaan yang mampan ini dipacu oleh Pendekatan Pelbagai Hala Toyota, yang mengenalpasti keperluan mobiliti berbeza merentas komuniti, corak penggunaan, dan kesediaan infrastruktur. Dengan menawarkan portfolio yang seimbang merangkumi enjin pembakaran dalaman yang eifisien, elektrifikasi hibrid, dan teknologi yang bersedia untuk masa depan, Toyota terus memajukan komitmennya terhadap Mobiliti untuk Semua, memastikan kemajuan adalah inklusif dan berasaskan realiti pasaran Malaysia,” kata UMW Toyota dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    “Mencapai jualan melebihi 100,000 kenderaan empat tahun berturut-turut merupakan detik yang bermakna buat Toyota dan merupakan tanda kepercayaan rakyat Malaysia terhadap kami,” kata presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K pula.

    “Untuk mengekalkan prestasi pada tahap ini di dalam pasaran yang sangat kompetitif dan cepat berubah membayangkan kekuatan strategi kami untuk jangka masa panjang, pelaburan kami di dalam kemampuan tempatan, dan kefahaman kami yang mendalam terhadap bagaimana rakyat Malaysia menggunakan kenderaan mereka. Dipandu oleh falsafah terbaik kami dan pemikiran untuk mengutamakan pelanggan, kami terus komited untuk menyampaikan solusi mobiliti yang praktikal, inklusif, dan boleh diharap, memastikan Toyota terus berkhidmat untuk rakyat Malaysia hari ini dan generasi-generasi akan datang,” tambahnya lagi.

     
     
  • Chery Malaysia jual lebih 30,000 unit kereta sejak 2023

    Chery Malaysia jual lebih 30,000 unit kereta sejak 2023

    Ternyata langkah Chery Malaysia di dalam dunia automotif tempatan kian rancak dan berkembang. Buktinya, sejak pelancaran semulanya pada pertengahan tahun 2023, syarikat ini berjaya menjual sebanyak 30,073 unit kereta di sini, termasuk 12,930 unit pada tahun lalu. Ini bersamaan dengan purata lebih 1,000 unit setiap bulan.

    Jenama ini memulakan kebangkitan semulanya di Malaysia dengan pelancaran Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro pada Julai 2023. Manakala Omoda E5, kenderaan elektrik (EV) pertamanya di negara ini menyusul pada Mac 2024, diikuti pelancaran Tiggo 7 Pro pada Jun 2024, Tiggo Cross pada Julai 2025, dan yang terbaru Tiggo 7 PHEV serta Tiggo 8 PHEV pada Oktober 2025.

    Buat masa ini, kenderaan berjenama Chery dipasang di kilang Inokom di Kulim (manakala kilang Shah Alam mengeluarkan model Omoda dan Jaecoo). Namun, menjelang akhir tahun ini, Taman Perindustrian Automotif Pintar Chery dijangka menyiapkan fasa pembinaan pertamanya. Terletak di Beringin High-Tech Auto Valley, Hulu Selangor, kemudahan seluas 200 ekar bernilai RM2.2 bilion ini mensasarkan kapasiti pengeluaran awal sebanyak 100,000 unit setahun.

     
     
  • Volvo ES90 dalam teaser – lancar di Malaysia bulan ini

    Volvo ES90 dalam teaser – lancar di Malaysia bulan ini

    Volvo Car Malaysia mengesahkan bahawa model sedan elektrik penuh terbaharunya, Volvo ES90, akan dilancarkan di pasaran Malaysia pada bulan ini. Pengumuman tersebut dibuat menerusi teaser rasmi yang menyatakan ES90 sebagai sebuah kenderaan yang direka untuk keseimbangan antara kerja dan kehidupan, sekaligus menandakan kemunculan sedan elektrik pertama Volvo untuk pasaran tempatan. Pendaftaran minat bagi model ini telah pun dibuka kepada orang ramai.

    Setakat ini, Volvo Car Malaysia masih belum mendedahkan butiran terperinci mengenai varian yang bakal ditawarkan serta harga rasmi. Namun begitu, menerusi kenyataan pendaftaran minat, syarikat itu mengumumkan insentif awal sebanyak dua peratus untuk 100 pelanggan pertama yang membuat tempahan sehingga 31 Mac.

    Volvo ES90 akan dipasang secara tempatan atau CKD bermula dari awal, berbeza dengan SUV elektrik Volvo EX90 yang sebelum ini diperkenalkan sebagai model import sepenuhnya atau CBU. Kedua-dua ES90 dan EX90 dibangunkan menggunakan platform Scalable Product Architecture generasi kedua, atau SPA2.

    Volvo ES90 dalam teaser – lancar di Malaysia bulan ini

    Volvo ES90 Exterior

    Menariknya, ES90 hadir dengan sistem elektrik 800V sejak awal, sedangkan EX90 hanya dinaik taraf daripada sistem 400V pada September 2025. Dengan seni bina 800V ini, ES90 menyokong pengecasan pantas DC sehingga 350 kW, membolehkan tahap cas bateri meningkat daripada 10 hingga 80 peratus dalam kira-kira 22 minit, atau jarak sekitar 300 km dengan hanya 10 minit pengecasan.

    Bagi rangkaian kuasa, varian motor tunggal ES90 menghasilkan kuasa 333 PS atau 245 kW dengan tork 480 Nm. Ia menggunakan bateri NMC berkapasiti 92 kWh yang menawarkan jarak pemanduan sehingga 651 km mengikut piawaian WLTP, serta pecutan 0 hingga 100 km/j dalam masa 6.6 saat.

    Turut ditawarkan ialah varian dua motor dengan kuasa 449 PS dan tork 670 Nm yang mampu memecut ke 100 km/j dalam 5.5 saat, serta varian dua motor prestasi tinggi dengan kuasa 680 PS dan 870 Nm, yang mencatat masa pecutan 4.0 saat. Kedua-dua varian dua motor ini menggunakan bateri 106 kWh dengan jarak pemanduan sehingga 700 km.

    Volvo ES90 dalam teaser – lancar di Malaysia bulan ini

    Volvo ES90 Exterior

    Volvo ES90 juga mencatat sejarah sebagai model pertama jenama itu yang menggunakan sistem pengkomputeran Nvidia Drive AGX Orin. Teknologi ini merupakan sebahagian daripada rangkaian Superset yang mengendalikan fungsi kecerdasan buatan, sistem keselamatan, penderia kenderaan serta pengurusan bateri.

    Sebagai rujukan, Volvo ES90 telah dilancarkan di Thailand pada Oktober 2025, di mana hanya satu varian Ultra Motor Tunggal import dari China ditawarkan pada harga 2.99 juta baht, bersamaan sekitar RM388,710. Dengan status pemasangan tempatan di Malaysia, ES90 berpotensi menikmati kelebihan dari segi cukai dan harga, sekali gus meletakkannya dalam kedudukan lebih kompetitif berbanding pesaing seperti BMW i5 dan Mercedes-Benz EQE yang masih diimport sepenuhnya.

    GALERI: Volvo ES90

     
     
  • Omoda | Jaecoo Malaysia siar teaser Jaecoo J5 – pencabar X50, HR-V bakal dilancar, sekitar RM120k?

    Omoda | Jaecoo Malaysia telah menayangkan model terbaru mereka, Jaecoo J5, menerusi sebuah video ringkas di Facebook. Perkongsian ini dibuat kira-kira sebulan selepas pendaftaran minat dibuka dan hampir lima bulan selepas SUV segmen B ini dipertonton buat kali pertama. Langkah ini menguatkan lagi petunjuk bahawa pelancarannya untuk pasaran tempatan semakin hampir.

    Jaecoo J5 diletakkan di bawah Jaecoo J7 yang berada dalam segmen C. Meskipun pasaran Thailand dan Indonesia menerima model ini dalam versi elektrik, Jaecoo J5 untuk Malaysia akan ditawarkan dengan enjin petrol 1.5 liter turbo yang menghasilkan kuasa 147 PS dan tork 210 Nm. Kuasa disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi CVT.

    Dari segi dimensi, Jaecoo J5 berukuran 4,380 mm panjang, 1,860 mm lebar dan 1,650 mm tinggi, dengan jarak roda 2,620 mm. Ini menjadikannya sedikit lebih panjang dari segi jarak roda berbanding Honda HR-V dan Chery Tiggo Cross, serta sekitar 20 mm lebih panjang berbanding Proton X50. Sebagai perbandingan, Jaecoo J7 yang lebih besar mempunyai panjang 4,500 mm, lebar 1,865 mm, tinggi 1,680 mm dan jarak roda 2,672 mm.

    Omoda | Jaecoo Malaysia siar teaser Jaecoo J5 – pencabar X50, HR-V bakal dilancar, sekitar RM120k?

    Reka bentuk luaran Jaecoo J5 menampilkan pemegang pintu konvensional, berbeza dengan pemegang pintu jenis tersembunyi yang digunakan pada J7. Omoda | Jaecoo Malaysia turut menekankan bahawa J5 adalah antara SUV segmen B yang dilengkapi suspensi belakang jenis multi-link, satu ciri yang jarang ditawarkan dalam kelas ini, manakala bahagian hadapan masih menggunakan sistem MacPherson.

    Bahagian dalaman pula dilengkapi paparan meter digital bersaiz lapan inci dan skrin infotainmen 13.2 inci beresolusi 2K. Sistem ini menyokong Android Auto dan Apple CarPlay, selain fungsi karaoke binaan dalam yang dilengkapi pengadun audio, dengan mikrofon dijual secara berasingan. Antara kemudahan lain yang ditawarkan termasuk balutan tempat duduk yang bersifat antibakteria, tahan calar dan mesra haiwan peliharaan.

    Dari aspek keselamatan, Jaecoo J5 hadir dengan pakej bantuan pemandu Tahap 2.5 yang merangkumi ciri seperti brek kecemasan autonomous, kawalan jelajah adaptif dan pelbagai sistem bantuan lain. Ruang kargo ditawarkan pada kapasiti 480 liter dengan tempat duduk belakang 60:40 dinaikkan, dan boleh diperluaskan sehingga 1,180 liter apabila tempat duduk dilipat.

    Harga anggaran Jaecoo J5 di Malaysia diunjurkan sekitar RM120,000. Ia bakal bersaing dengan beberapa model popular dalam segmen yang sama seperti Perodua Traz, Chery Tiggo Cross, Proton X50, Chery O5 dan Honda HR-V. Dengan spesifikasi dan kelengkapan yang ditawarkan, Jaecoo J5 dijangka menjadi pencabar baru yang menarik dalam pasaran SUV segmen B tempatan.

     
     
  • Pusingan akhir Vios Challenge musim 8 berlangsung hujung minggu ini – gelaran juara akan ditentukan!

    Pusingan akhir Vios Challenge musim 8 berlangsung hujung minggu ini – gelaran juara akan ditentukan!

    Perlumbaan ‘one make’ Vios Challenge Malaysia untuk musim ke-8 akhirnya akan masuk ke pusingan penentu dengan perlumbaan pusingan terakhir akan berlangsung pada hujung minggu ini di Litar Antarabangsa Petronas Sepang. Untuk musim ini, hadiah terkumpul sebanyak RM300,000 disediakan untuk direbut oleh para pelumba.

    Bagi pusingan terakhir ini perlumbaan akan diadakan di bahagian separuh Selatan litar tersebut, menampilkan lapan selekoh dengan jarak 2.609 km satu lap. Bagi kategori profesional iaitu Super Sporting, saingan untuk merebut gelaran juara keseluruhan masih terbuka antara pelumba pasukan Prima Pearl SP Selatan iaitu Mitchell Cheah yang kini mengumpul 143 mata dan juga Freddie Ang dari pasukan Telagamas Toyota yang mengekori rapat di belakang dengan 135 mata.

    “Ini pastinya merupakan hujung minggu yang sangat mustahak. Saya hanya perlu berada di hadapan Cheah. Namun untuk memenangi perlumbaan mungkin agak sukar minggu ini kerana saya membawa beban penalti berat 45kg hingga 50kg,” kata Ang.

    Pusingan akhir Vios Challenge musim 8 berlangsung hujung minggu ini – gelaran juara akan ditentukan!

    “Pusingan terakhir ini berlangsung di litar Selatann yang menyajikan pelumba dengan laluan lurus paling panjang musim ini, jadi harapnya saya tidak kehilangan banyak masa pada laluan lurus dengan beban berat yang saya bawa,” tambahnya.

    Bagi kelas amatur iaitu kategori Sporting pula, kejuaraan semakin hampir menjadi milik Jwan Hi dari pasukan Hong Huat X Armada KK Racing dengan mengumpul 145 mata, meninggalkan Elson Lew dari pasukan BAE Racing by ES Yang yang mengumpul 104 mata. Manakala bagi kategori Rookie, persaingan untuk gelaran juara masih terbuka untuk empat pelumba – buat masa sekarang Rahul Dev masih berada di hadapan dengan 147 mata, diikuti Ian James (143 mata), Aydan Khaliq (138 mata) dan Harkiesh Geeva (137 mata).

    “Bermula daripada permulaan sederhana, siri yang menekankan asas persaingan yang adil untuk pelumba, Vios Challenge telah berkembang menjadi salah satu perlumbaan siri satu pusingan yang paling kompetitif di negara ini dan dalam prosesnya menyumbang ke arah mendedahkan dan melatih generasi baharu pemandu muda – yang kebanyakannya berjaya mendaki tangga sukan permotoran ke acara yang lebih kompetitif,” kata Datuk Ravindran K., Presiden UMW Toyota Motor.

    Pusingan akhir Vios Challenge musim 8 berlangsung hujung minggu ini – gelaran juara akan ditentukan!

    “Toyota Gazoo Racing Malaysia melangkaui asas perlumbaan—ia berfungsi sebagai medan pembuktian yang mempengaruhi pembangunan produk masa depan kami. Lebih penting lagi, ia mewujudkan peluang yang tidak wujud sebelum ini, meletakkan asas yang kukuh dan mampan untuk pembangunan bakat, bukan sahaja untuk pemandu, tetapi juga untuk jurutera dan profesional teknikal yang penting untuk masa depan sukan ini,” tambahnya.

    TGR Malaysia turut memperkenalkan kategori baharu pada hujung minggu ini iaitu perlumbaan Vios Classic Challenge yang menawarkan hadiah terkumpul RM60,000. Sesi kelayakan dan Race 1 akan berlangsung pada hari Jumaat, 9 Januari 2026, manakala perlumbaan terakhir iaitu Race 2 akan berlangsung pada hari Sabtu, 10 Januari 2026. Perlumbaan ini turut akan disiarkan secara langsung menerusi laman-laman media sosia Toyota Gazoo Racing Malaysia.

     
     
  • Setel kini boleh ditambah nilai tunai di stesen Petronas

    Setel kini boleh ditambah nilai tunai di stesen Petronas

    Kalau anda biasa menggunakan aplikasi Setel dan bertambah kerap menggunakannya untuk memanfaatkan program subsidi Budi95, ada kemaskini terbaru daripada penyedia perkhidmatannya sebagai pilihan tambahan untuk memudahkan lagi penggguna.

    Setel baru-baru ini memperkenalkan ciri Tambah Nilai Tunai (Cash Top-Up) yang membolehkan pelanggan menambah nilai wang dalam Setel eWallet secara tunai di stesen Petronas seluruh negara. Ini akan memudahkan lagi pelanggan yang lebih gemar menggunakan wang tunai dalam banyak transaksi — dan kekal tidak perlu mengeluarkan kad pengenalan ketika ingin mengisi Budi95 dengan memanfaatkan aplikasi Setel.

    “Bagi penerima Budi95, Setel kekal menjadi cara paling mudah, dengan ganjaran, untuk memanfaatkan subsidi tersebut. Pilihan terbaru untuk menambah nilai secara tunai ini pula akan memastikan lebih ramai pengguna dapat memanfaatkannya tanpa perlu menukar kebiasaan pembayaran mereka,” jelas syarikat itu dalam satu kenyataan.

    Setel kini boleh ditambah nilai tunai di stesen Petronas

    “Di Setel, kami tahu masih ramai warga Malaysia yang bergantung dengan wang tunai, dan kami ingin menjadikan urusan pembayaran harian mereka lebih mudah dan sepantas mungkin tanpa meminta mereka menukar kebiasaan itu. Dengan tambah nilai tunai di stesen Petronas ini, pelanggan boleh terus ke kaunter dan gunakan wang tunai, dan menikmati semua kelebihan yang ditawarkan oleh aplikasi Setel,” ujar CEO Setel, Abdullah Ayman Awaluddin.

    “Dengan melancarkan servis ini ke seluruh negara, termasuk ke kawasan pedalaman, kami ingin mengikut-sertakan lebih ramai warga Malaysia dalam perjalanan digital ini dan memastikan tiada siapa yang tercicir. Ini adalah tentang membangunkan sebuah ekosistem yang merangkumi semua, yang menghubungkan komuniti-komuniti di seluruh negara dan membolehkan setiap orang — tidak kira di mana mereka berada dan kaedah pembayaran yang sudah mereka terbiasa — untuk turut sama menikmati kelebihan dan ganjaran melalui Setel,” tambahnya lagi.

     
     
  • Kia Malaysia potong harga alat ganti 15% — tempoh jaminan jadi 5-tahun/150,000 km dari 100,000 km

    Kia Malaysia potong harga alat ganti 15% — tempoh jaminan jadi 5-tahun/150,000 km dari 100,000 km

    Selain mengurangkan harga jualan kenderaannya sehingga RM52,000, Kia Sales Malaysia (KSM) juga mengumumkan akan mengurangkan harga alat ganti kenderaan keluaran syarikat secara purata sebanyak 15%. Ini adalah sebahagian daripada perkara yang diperhalusi hasil daripada pengambilalihan pengedaran Kia daripada Dinamikjaya Motors milik Bermaz bermula 1 Januari lalu.

    Langkah ini adalah bagi menanggapi masalah utama yang sejak sekian lama telah menjauhkan pelanggan berpotensi daripada menjadi pemilik kenderaan Kia — disebabkan kos alat ganti yang dirasakan mahal, menjadikan kos penyelenggaraannya lebih tinggi lagi. Pengarah Urusan KSM, syarikat yang kini dimiliki oleh syarikat induk Kia, Emily Lek sebelum ini menjelaskan yang KSM sedang mencari cara untuk mengurangkan kos keseluruhan pemilikan untuk pelanggan dan mempertingkatkan servis lepas jualan jenama itu.

    Bagaimanapun, KSM belum mengeluarkan sebarang perincian seperti senarai harga, dan pengesahan untuk semua perkara tersebut hanya akan diketahui apabila laman web baru Kia Malaysia mula beroperasi Khamis ini, 8 Januari. Ini juga bermakna, senarai pengedar di bawah seliaan KSM juga belum didedahkan, dan belum juga diketahui sama ada senarai itu akan melibatkan pengedar dari rangkaian Bermaz sebelum ini.

    Apa yang diketahui kini adalah rangkaian lepas jualannya akan disokong oleh gudang alat ganti khusus di Shah Alam. Menurut KSM, ini akan membolehkan mereka “menyediakan alat ganti dalam tempoh yang singkat”, kerana tidak lagi perlu berebut peruntukan dengan pasaran lain ketika ingin mendapatkannya.

    Kia Malaysia potong harga alat ganti 15% — tempoh jaminan jadi 5-tahun/150,000 km dari 100,000 km

    Seperkara lain yang penting untuk diperhatikan selepas pengambilalihan ini adalah perlindungan jaminan. Walaupun tempoh jaminan yang diberikan masih lima-tahun, had perbatuan jaraknya telah dinaikkan berbanding ketika Kia di bawah seliaan Bermaz — daripada 100,000 km kepada 150,000 km, sama seperti yang diberikan oleh Kia di pasaran glabal. Dengan itu, pakej servis percuma lima-tahun sebelum ini kelihatannya seperti tidak lagi diteruskan.

    Semua ini adalah selari dengan pengurangan harga kenderaan Kia yang diberikan, dengan Sportage menjadi antara penerima manfaat yang paling banyak. Sebelum ini, harga jualannya bermula dari RM147,219, yang kini telah dikurangkan sebanyak RM17,000 menjadi RM129,639 bagi varian dengan enjin 2.0 liter NA, sementara untuk enjin 1.6 liter turbo pula melibatkan pengurangan yang sama dengan harga menjadi RM159,320.

    Penjimatan yang lebih besar adalah untuk MPV Carnival, yang kini RM52,027 lebih murah, dengan harga bermula dari RM193,861 bagi versi lapan-tempat duduk dengan enjin 2.2 liter diesel. Bagi EV9, harganya kekal seperti sebelumnya (RM370,183 untuk tujuh-tempat duduk, RM375,183 untuk enam-tempat duduk, sekarang termasuk cukai jalan) walaupun dengan duti eksais yang dikenakan bermula tahun ini.

     
     
  • JPJ eBid: APJ dan QDE dibuka untuk bidaan

    Memasuki bulan pertama untuk tahun 2026 ini, makin banyak syarikat pengeluar kenderaan bakal melancarkan model terkini untuk pasaran Malaysia. Malah masih ada yang meneruskan kempen promosi jualan sejak akhir tahun lalu yang bersambung hingga Tahun Baharu Cina. Jadi banyak pemberian diskaun diberikan untuk stok model tahun lalu yang masih berbaki dan juga model pengeluaran terkini. Inilah masa yang bersesuaian untuk membeli kenderaan baharu.

    Kalau dah ada yang menempahnya, ini Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan bahawa siri nombor pendaftaran terkini dari Perak dan Sarawak dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri nombor pendaftaran terkini dari Perak, APJ, telah dibuka bidaan sejak semalam, 5 Januari. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 9 Januari. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 10 Januari 2026. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau sebaliknya) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Sarawak, QDE, bakal dibuka bidaan mulai 7 Januari. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 11 Januari, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 12 Januari 2025.

    Jadi, sekarang ini anda boleh menjimatkan masa dan wang ringgit dengan membida sendiri nombor pendaftaran yang anda hajati tanpa perlu menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner). Tak susah pun untuk membidanya dan anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk tujuan bidaan ini.

     
     
  • Proton X70 MC3 2026 sah akan dilancarkan Khamis ini – enjin i-GT 1.5L Turbo empat-silinder, 181 PS/290 Nm

    Proton X70 MC3 2026 sah akan dilancarkan Khamis ini – enjin i-GT 1.5L Turbo empat-silinder, 181 PS/290 Nm

    Menerusi satu hantaran media sosial, Proton telah mengesahkan bahawa model kemaskini terbaharu untuk SUV segmen-C X70 akan dilancarkan pada hari Khamis ini iaitu pada 8 Januari 2026. Seperti yang telah dibayangkan oleh Proton sebelum ini, perubahan terbesar bagi versi kali ini adalah melibatkan penukaran enjin baharu.

    Enjin yang dimaksudkan adalah enjin “i-GT” BHE15TD 1.5 liter empat-silinder turbo bagi menggantikan enjin GEP 3G15TD 1.5 liter tiga-silinder turbo pada model sedia ada. Enjin baharu ini sebelum ini sudahpun disumbatkan pada Proton X50 facelift yang telah dilancarkan pada Julai tahun lalu.

    Unit rangkaian kuasa baharu ini menghasilkan kuasa 181 PS dan tork maksima 290 Nm, lebih berkuasa dari enjin sebelum ini yang hanya menghasilkan 177 PS dan tork maksima 255 Nm. Seperti juga X50, enjin baharu ini dijangka masih akan digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan DCT yang sama. Kami jangkakan tiada perubahan rupa luaran dan dalaman yang besar akan ditampilkan pada model kemaskini kali ini.

    Proton X70 mula diperkenalkan pada pasaran Malaysia pada Disember 2018, dijana oleh enjin 1.8 liter empat-silinder turbo yang dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik, serta hadir dalam versi diimport sepenuh (CBU) dari China.

    Model pemasangan tempatan (CKD) mula diperkenalkan pada Februari 2020 dengan rupa yang sama, tetapi kotak gear 6AT telah digantikan dengan kotak gear 7DCT yang lebih pantas. X70 sekali lagi diberikan kemaskini menerusi model MC (Minor Change) 2022 di mana hanya varian tertinggi masih dibekalkan dengan enjin 1.8L turbo, sementara varian lain yang lebih rendah mula menerima enjin GEP 1.5 liter tiga-silinder turbo.

    Kemudian model facelift dengan perubahan muka yang besar serta papan pemuka yang disegarkan semula diperkenalkan pada Ogos 2024, kali ini ia hanya hadir dengan pilihan enjin 1.5L tiga-silinder untuk semua varian.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026