Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Perodua Traz dengan pakej aksesori rasmi GearUp — jaminan setahun, boleh masuk ansuran pembiayaan

    Perodua Traz dengan pakej aksesori rasmi GearUp — jaminan setahun, boleh masuk ansuran pembiayaan

    Perodua Traz yang baru saja dilancarkan turut didatangkan dengan empat pakej aksesori Gear Up sebagai pilihan kepada pelanggan yang mahukan penampilan lebih sporty. Empat pakej yang dimaksudkan ialah Sleek Bodykit, Elevate Package, Illumination Package dan Utility Package.

    Untuk pakej bodykit Gear Up, ia terdiri daripada kit bampar depan dengan lampu panduan (dengan aksesori yang diperlukan, sambungan dawai pemegang yang dijual secara berasingan), skirting sisi, dan kit bampar belakang. Pakej ini dikenakan kos sebanyak RM2,700 (RM2,756 untuk Malaysia Timur).

    Pakej Elevatepula menerima tambahan kemasan gril depan, perumah cermin sisi dan spoiler tengah di belakang (yang terletak antara lampu belakang dan di bawah bahagian cermin belakang). Pakej ini dikenakan kos RM900 (atau RM918 untuk Malaysia Timur).

    Perodua Traz dengan pakej aksesori rasmi GearUp — jaminan setahun, boleh masuk ansuran pembiayaan

    Illumination Package pula berharga RM580 dan terdiri daripada lampu RGB di lantai dan scuff plate, sementara Utility Package dengan harga RM510 akan menyertakan sekali visor tingkap, talam barangan dan pelapik kaki.

    Ada juga barangan yang turut ditawarkan secara berasingan — pembalut kerusi ala kulit (RM1,200), pengecas tanpa wayar (RM350), dan penebat hud (RM110). Ada juga pelapik kaki gaya Trapo (RM300).

    Untuk aspek keselamatan dan sekuriti, katalog GearUp turut menawarkan nut pengunci rim yang diperbuat daripada besi, yang berharga RM200 (atau RM204 di Malaysia Timur). Ada juga kerusi keselamatan kanak-kanak Perodua Care (RM680 Semenanjing, atau RM695 Sabah & Sarawak) yang boleh digunakan hingga usia 12 tahun dan berat hingga 36 kg. Semua ini boleh disekalikan dalam pinjaman pembiayaan.

    Perodua Traz dijual dengan harga RM76,100 untuk varian X, dan RM82,000 untuk varian H — harga atas jalan belum termasuk insuran. Jaminan kilang ialah lima-tahun atau 150,000 km. Berbanding penawaran dengan spesifikasi yang setara, harga Traz lebih mahal RM14k berbanding Ativa dengan rebat hujung tahun yang ditawarkan ketika ini. Traz cukup menarik perhatian anda?

    Perodua Traz 1.5L H dengan GearUp 2026

     
     
  • Perodua Traz raih lima-bintang untuk ASEAN NCAP

    Perodua Traz raih lima-bintang untuk ASEAN NCAP

    Perodua Traz akhirnya dilancarkan secara rasmi semalam selepas sekian lama khabar anginnya bertiup. Apa yang penting, kembar kepada Toyota Yaris Cross itu memasuki pasaran lengkap dengan panarafan lima-bintang ASEAN NCAP.

    Traz diberikan penarafan lima-bintang ASEAN NCAP mengikut protokol 2021-2025. SUV segmen B itu meraih bacaan keseluruhan 86.86 mata, dengan pecahan Adult Occupant Protection (AOP) 30.86 mata daripada 32 (weighted score 38.57), dan Child Occupant Protection dengan 43.89 mata daripada 51 (weighted score 17.21).

    Bagi segmen Safety Assist (SA), mata yang diraih ialah 19.5/21 (SA weighted score 18.57), manakala bagi Motorcyclist Safety (MS) ia mencatat 10/16 (MS weighted score 12.5). Ini laporan kedua ASEAN NCAP untuk Perodua yang dikeluarkan dalam tempoh sebulan, selepas model elektrik QV-E yang turut mencatat penarafan lima-bintang dengan 88.36 mata.

    Angka itu lebih tinggi berbanding yang dicapai oleh Traz. Namun, jika dilihat lebih teliti, mata ujian kemalangan bagi Traz (AOP dan COP) adalah lebih tinggi berbanding QV-E, tetapi skor tinggi EV berkenaan untuk dalam SA menjadi kelebihan akhir. Intinya, dua-dua kereta terbabit sangat selamat digunakan.

    Perodua Traz raih lima-bintang untuk ASEAN NCAP

    Sementara itu, makmal MIROS PC3 di Melaka telah juga menguji Toyota Yaris Cross awal tahun ini. Kembar Traz dari Toyota yang dipasang di Indonesia itu mencatatkan bacaan 29.28 mata daripada 32 untuk AOP, 44.17 mata daripada 51 untuk COP, 17.74 mata daripada 21 untuk SA dan 9.76 mata daripada 16 untuk MS — untuk mata keseluruhan 83.02. Menggunakan protokol dan prosedur yang sama, tetapi Traz memperoleh skor lebih tinggi.

    Aspek keselamatan Perodua Traz antaranya terdiri daripada enam-beg udara, ciri ASA dengan fungsi seperti amaran perlanggaran dan brek (AEB untuk pejalan kaki), penggera pergerakan kereta depan dan juga kawalan salah operasi pedal, amaran penukaran lorong serta peninjau titik buta.

    Model ini dijual dengan harga RM76,100 untuk varian X dan RM81,100 untuk H (RM82k untuk pilihan dua-tona warna). Bagaimanapun, Traz tidak dilengkapi dengan ciri kawalan melayar adaptif (ACC) — atau bahkan cruise control biasa.

    Baca lanjut tentang penawaran Perodua Traz ketika pelancarannya di sini.

     
     
  • Budi95: Pemandu e-hailing dengan perjalanan bulanan bawah 2,000 km tidak layak dapat kuota tambahan

    Budi95: Pemandu e-hailing dengan perjalanan bulanan bawah 2,000 km tidak layak dapat kuota tambahan

    Mana-mana pemandu e-hailing yang cuma mencatatkan jumlah perjalanan bulanan di bawah 2,000 km secara automatik tidak layak menerima tambahan kuota melalui program Budi Madani RON95 (Budi95) untuk bulan berikutnya, laporan Berita Harian.

    “Bermakna jarak perjalanan perkhidmatan e-hailing yang direkodkan dalam sistem syarikat pengendali e-hailing (EHO) bagi bulan terdahulu menjadi penentu kepada siling kelayakan. Di mana untuk kategori pertama jarak perjalanan e-hailing tidak melebihi 2,000km pada bulan sebelumnya akan kekal menerima kelayakan asas sebanyak 300 liter sebulan.

    “Kedua, jarak perjalanan e-hailing antara 2,000km ke 5,000km pada bulan sebelumnya layak menerima tambahan BUDI95 sebanyak 300 liter, menjadikan kelayakan kumpulan ini berjumlah 600 liter, termasuk kelayakan asas. Ketiga, jarak perjalanan e-hailing 5,000km ke atas pada bulan sebelumnya layak menerima tambahan sebanyak 500 liter, menjadikan kelayakan kumpulan ini berjumlah 800 liter,” kata Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

    Kenyataan ini dikeluarkan bagi menjawab soalan Senator Dr RA Lingeshwaran pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

    Dalam masa yang sama, beliau menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan boleh diambil ke atas pemandu atau EHO sekiranya mengemukakan maklumat palsu, meragukan atau bercanggah dengan rekod dalam sistem.

    Budi95: Pemandu e-hailing dengan perjalanan bulanan bawah 2,000 km tidak layak dapat kuota tambahan

    “Pendekatan berasaskan data perjalanan sebenar ini secara langsung menutup ruang ketirisan kepada pemandu tidak aktif, pemandu sambilan minimum atau akaun yang disalah guna, di samping memastikan subsidi hanya disalurkan kepada pemandu yang benar-benar bergantung kepada e-hailing sebagai sumber pendapatan utama.

    “Kerajaan akan terus memantau pelaksanaan secara corak penggunaan perkhidmatan e-hailing dari semasa ke semasa dan penambahbaikan akan dibuat sekiranya perlu bagi memastikan mekanisme Budi95 kekal berkesan, bersasar dan mampan pada jangka panjang,” katanya.

    Beliau turut berkata, setakat Disember ini, daripada keseluruhan 164,000 pemandu e-hailing yang diterima oleh EHO, lebih 106,000 atau 65% layak menikmati siling Budi95 sekurang-kurangnya 600 liter hingga 800 liter.

    Jelas beliau, jarak perjalanan bulanan setiap pemandu e-hailing akan ditentukan berdasarkan penggabungan data perjalanan dari semua EHO dan pengesahan data itu dikendalikan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) di Sabah dan Sarawak.

    Di mana hanya pemandu warganegara mempunyai lesen memandu Passenger Service Vehicle (PSV) dan permit e-hailing yang sah akan dipertimbangkan. “Bagi mengelak ketirisan subsidi kepada pemandu tidak aktif dan tak sah, EHO diwajibkan mengumumkan rekod perjalanan bulanan yang tepat, lengkap dan sahih pada awal setiap bulan kepada APAD dan LPKP,” katanya lagi.

     
     
  • Toyota RAV4 2026 dilancarkan di Jepun – varian Adventure dan Z, hanya hibrid 2.5L, bermula RM118k

    Toyota RAV4 2026 dilancarkan di Jepun – varian Adventure dan Z, hanya hibrid 2.5L, bermula RM118k

    Selepas diperkenalkan di peringkat global pada Mei lalu, model generasi ke-6 Toyota RAV4 kini sudahpun dilancarkan secara rasmi di Jepun. Buat permulaan RAV4 2026 di Jepun ini hanya ditawarkan dalam satu pilihan unit rangkaian kuasa hibrid yang boleh dipilih dalam dua varian, bermula dengan varian Adventure dijual pada harga 4.5 juta yen (sekitar RM118k) dan juga varian Z dijual pada harga 4.9 juta yen (RM129k). Manakala varian lebih sporty iaitu RAV4 GR Sport serta varian yang menerima untuk rangkaian kuasa PHEV pula hanya akan ditawarkan di Jepun pada tahun kewangan 2026 nanti.

    Bagi model yang dilancarkan kali ini, unit rangkaian kuasa hibridnya menampilkan enjin petrol A25A-FXS 2.5 liter empat-silinder sebaris yang menghasilkan kuasa 186 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 221 Nm bermula 3,600 hingga 5,200 rpm, digandingkan bersama kotak gear E-CVT. Enjin berkenaan turut dibantu dengan motor elektrik 1VM berkuasa 136 PS (100 kW) dan tork maksima 208 Nm.

    RAV4 Hybrid JDM ini juga datang standard dengan sistem pacuan semua roda E-Four, di mana sistem ini tidak menggunakan kotak pemindah mekanikal pada transmisi, sebaliknya dipadankan dengan satu lagi motor elektrik 4NM yang diletakkan pada gandar belakang bagi memacu roda belakang berkuasa 54 PS (40 kW)/121 Nm. Jadi secara keseluruhan unit rangkaian kuasa hibrid bersama sistem AWD E-Four pada RAV4 ini menghasilkan kuasa 241 PS.

    Bagi penggunaan bahan api pula Toyota mendakwa bahawa RAV4 Adventure mencapai bacaan 22.9 km/liter manakala RAV4 Z pula mencatatkan 22.5 km/liter. Toyota juga menyatakan bahawa sistem AWD E-Four pada SUV ini boleh mengagihkan tork hadapan dan belakang dalam nisbah antara 100:0 dan 20:80 dengan tepat, serta diberikan mod pemanduan Trail dan Snow.

    Kedua-dua varian pasaran Jepun ini hadir dengan muka yang tidak, serta beberapa perubahan kecil pada dimensi. Kedua-duanya datang dengan lampu hadapan utama berbentuk-C, namun hanya varian Z yang menampilkan muka signatur jerung Hammerhead Toyota yang dibentuk menerusi bampar dengan logo Toyota yang terletak pada bahagian ‘muncung, gril sarang lebah, gril berbentuk trapezoid di bawah serta perumah lampu kabus dengan bentuk seakan pengalir udara.

    RAV4 Z ini juga menampilkan dimensi panjang keseluruhan 4,600 mm, lebar 1,855 mm, tinggi 1,680 mm serta jarak roda sejauh 2,690 mm.

    Manakala varian Adventure pula menampilkan rupa lebih lasak seakan diinspirasikan dari siri SUV off-road sebenar Toyota Land Cruiser Prado. Ia diberikan gril hadapan bersegi dengan bar berwarna hitam bersama logo Toyota di tengah, gril dan juga sisi bampar juga direka bersegi bersama kemasan seakan skid plate yang menonjol pada bahagian bawah.

    Varian ini juga diberikan pelindung badan plastik pada setiap ruang roda yang nampak lebih tebal berbanding varian Z. Ini menjadikan dimensi bagi RAV4 Adventure lebih panjang dengan ukuran 4,620 mm serta lebih lebar dengan ukuran 1,880 mm.

    Walau bagaimanapun kedua-dua varian ini masih berkongsi rupa dalaman yang hampir serupa secara keseluruhan, dan hanya dibezakan menerusi skema warna yang diberikan pada komponen-komponen seperti panel dalaman pintu serta perapi-perapi.

    Antara perincian standard yang diberikan pada Toyota RAV4 2026 pasaran Jepun ini termasuk set rim aloi 18-inci, lampu hadapan bi-LED, upholsteri tempat duduk kulit sintetik, tuil pemilih mod EV, paparan instrumen digital dengan skrin 12.3-inci, pendingin hawa dua-zon, serta sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Toyota Safety Sense.

    Untuk varian Z, ia ditambah dengan paparan head-up berwarna serta penukar gear Electro-Shiftmatic. Aksesori asli juga turut diperkenalkan ketika pelancaran di mana varian Z ditawarkan dengan kit penggayaan Modellista berharga 538,340 yen (RM14k) atau 586,760 yen (RM15k) sekiranya beberapa komponen telah siap diwarnakan dari kilang, manakala varian Adventure pula ditawarkan dengan pakej Outdoor berharga 508,310 yen (RM13k).

     
     
  • 30 laluan Smart Lane diaktifkan di Lebuhraya PLUS, LPT2 sempena cuti Krismas dan Tahun Baharu 2026

    30 laluan Smart Lane diaktifkan di Lebuhraya PLUS, LPT2 sempena cuti Krismas dan Tahun Baharu 2026

    Sempena dengan cuti perayaan Krismas, cuti persekolahan dan juga Tahun Baharu 2026, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan jumlah trafik akan mencecah sehingga 2.2 juta kenderaan sehari pada hari-hari puncak di rangkaian lebuhraya kendalian iaitu di Lebuhraya Utara-Selaran dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) pada 19, 20, 22, 23 24, 26 dan 27 Disember 2025 dan 2 Januari 2026.

    Bagi mengurus peningkatan jumlah kenderaan dan melancarkan pergerakan trafik, PLUS akan mengaktifkan laluan Smart Lane di 30 lokasi-lokasi tumpuan trafik di lebuh raya bagi membantu aliran trafik di lebuh raya sempena musim percutian dan perayaan kali ini. Anda boleh rujuk info grafik di atas untuk mengetahui 30 lokasi untuk Smart Lane berkenaan.

    Justeru, PLUS menyaran orang ramai supaya merancang perjalanan lebih awal menggunakan jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA bagi memastikan kelancaran pergerakan di lebuhraya sepanjang tempoh yang dinyatakan.

    “MyPLUS-TTA boleh diakses menerusi aplikasi PLUS bagi memudahkan pengguna lebuh raya merancang perjalanan dengan lebih efisien dan seterusnya membantu memastikan aliran trafik yang lebih lancar di lebuh raya. Dengan penambahbaikan terbaharu, jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA boleh diakses bukan sahaja pada musim-musim perayaan, malah pada hari-hari puncak terpilih.

    “Sepanjang tempoh tersebut, orang ramai boleh mendapatkan jadual perjalanan digital MyPLUS- TTA untuk memilih waktu perjalanan yang paling optimum di Lebuhraya PLUS dan LPT2 yang tersedia di aplikasi PLUS bagi perjalanan antara 19 Disember 2025 hingga 4 Januari 2026 akan datang. Aplikasi PLUS boleh dimuat turun secara percuma menerusi Google Play Store dan App Store,” kata PLUS.

    Tambah PLUS, pada masa yang sama, pengguna lebuhraya juga boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi aplikasi PLUS, Pembantu Maya – PUTRI, mengikuti aplikasi X@plustrafik dan aplikasi X@|pt2trafik, paparan mesej elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih atau menerusi saluran stesen radio utama negara.

     
     
  • JPJ nafi keluarkan siri nombor pendaftaran “EE”

    JPJ nafi keluarkan siri nombor pendaftaran “EE”

    Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) menafikan dakwaan pengeluaran dan penggunaan tanda indeks nombor pendaftaran kenderaan siri “EE” melalui surat yang tular di media sosial.

    “JPJ ingin menegaskan bahawa tanda indeks nombor pendaftaran kenderaan siri “EE” tidak pernah dikeluarkan, diperkenalkan atau diluluskan oleh Jabatan. Surat kelulusan yang sedang tular di media sosial itu juga adalah palsu dan merupakan satu bentuk penipuan (scam) yang berpotensi mengelirukan serta memperdaya orang awam.

    “Hasil siasatan awal mendapati, format dan identiti surat rasmi JPJ telah digunakan secara tidak sah oleh pihak tidak bertanggungjawab, termasuk penggunaan kepala surat, gaya penulisan dan susun atur yang menyerupai dokumen rasmi JPJ, sehingga menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai serta menjejaskan kredibiliti jabatan,” kata Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, yang turut menambah pihaknya telah membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

    Dalam hal ini, JPJ ingin mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada, tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran atau maklumat berkaitan nombor pendaftaran kenderaan yang meragukan, serta sentiasa membuat semakan melalui saluran rasmi JPJ bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

     
     
  • Harga minyak 18-24 Dis – semua turun; RON95 kini RM2.62; RON97 jadi RM3.24; diesel pada RM3.02

    Harga minyak 18-24 Dis – semua turun; RON95 kini RM2.62; RON97 jadi RM3.24; diesel pada RM3.02

    Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan bahawa bagi minggu bertarikh 18 hingga 24 Disember 2025, harga runcit petrol RON 97 diturunkan sebanyak tiga sen seliter menjadi RM3.24 seliter.

    Untuk petrol RON 95 tanpa subsidi, ia pula diturunkan sebanyak dua sen seliter menjadi RM2.62 seliter. Walau bagaimana pun harga runcit petrol bersubsidi RON95 di bawah Budi95 masih kekal pada RM1.99 seliter.

    Begitu juga dengan harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia turut diturunkan sebanyak empat sen seliter menjadi RM3.02 seliter. Manakala harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.

    Pada 2 Disember lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan kekal komited melaksanakan mekanisme penyasaran subsidi petrol RON 95 menerusi program Budi Madani RON95 (Budi95), sekali gus menolak cadangan Bank Dunia supaya harga bahan api ditetapkan mengikut harga pasaran. Katanya, penyasaran subsidi RON 95 merupakan langkah berhemat yang membolehkan kerajaan menjimatkan perbelanjaan tanpa membebankan rakyat.

     
     
  • KTMB bakal tambah perkhidmatan tren ETS sektor Selatan dan Shuttle Timuran mulai 1 Januari 2026

    KTMB bakal tambah perkhidmatan tren ETS sektor Selatan dan Shuttle Timuran mulai 1 Januari 2026

    Keretapi Tanah Melayu (KTM) telah mengumumkan bahawa pihaknya akan melaksanakan pertambahan perkhidmatan tren bagi sektor Selatan dan Pantai Timur bermula 1 Januari 2026. Ia melibatkan empat perkhidmatan ETS laluan selatan tambahan (antara KL Sentral dan JB Sentral), menjadikan jumlah keseluruhan lapan perkhidmatan sehari.

    Selain itu, dua perkhidmatan ETS sedia ada yang melalui laluan Padang Besar–Segamat akan bermula dan berakhir di JB Sentral. KTM juga akan menambah dua lagi perkhidmatan ulang-alik Pantai Timur (antara Gemas dan Kuala Lipis), sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan enam perkhidmatan sehari. Jadual perjalanan adalah seperti di bawah.

    KTMB bakal tambah perkhidmatan tren ETS sektor Selatan dan Shuttle Timuran mulai 1 Januari 2026
    KTM ETS KL Sentral <> JB Sentral

    KTMB bakal tambah perkhidmatan tren ETS sektor Selatan dan Shuttle Timuran mulai 1 Januari 2026
    KTM ETS Padang Besar <> JB Sentral

    KTMB bakal tambah perkhidmatan tren ETS sektor Selatan dan Shuttle Timuran mulai 1 Januari 2026
    Perkhidmatan Shuttle Timuran Gemas <> Kuala Lipis

    Ketua Pegawai Teknikal KTMB (turut bertugas sebagai CEO Kumpulan), Ir. Ahmad Nizam Mohamed Amin berkata, “Dengan lengkapnya jajaran perkhidmatan tren elektrik dari Padang Besar hingga Johor Bahru, kita bukan sahaja memperkukuh rangkaian rel nasional, malah membuka lembaran baharu kepada masa depan pengangkutan rel yang lebih mapan, moden dan mesra rakyat.

    “Pencapaian ini turut memperluas pilihan mobiliti awam yang lebih selesa, cekap dan selamat, sekali gus memberi alternatif yang lebih berkualiti kepada rakyat Malaysia untuk perjalanan jarak jauh dan antara bandar, seiring aspirasi Kerajaan dalam memperkasa pengangkutan awam serta mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian”.

    Jualan tiket bagi perkhidmatan berkaitan sudah mula dibuka hari ini bagi tempoh perjalanan antara enam bulan sehingga Mei 2026 bagi memenuhi keperluan pengguna untuk bercuti khususnya ketika cuti umum dan musim perayaan seperti Thaipusam, Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri.

    Tiket-tiket boleh didapati melalui aplikasi KITS Style, laman sesawang rasmi KTMB di www.ktmb.com.my atau di mesin kios KTMB bagi kemudahan dan keselesaan pelanggan.

     
     
  • Perodua Traz 2026 dilancar di M’sia — kembar Toyota Yaris Cross, 1.5L NA CVT, varian X/H, dari RM76k

    Perodua Traz 2026 dilancar di M’sia — kembar Toyota Yaris Cross, 1.5L NA CVT, varian X/H, dari RM76k

    Perodua secara rasminya melancarkan model crossover segmen B terbarunya, Perodua Traz, hari ini. Ditawarkan dalam dua varian ketika pelancarannya, Traz X yang paling asas dijual dengan harga RM76,100, Traz H dengan harga RM81,100 dan Traz H dua-tona dengan harga RM82,000.

    Perodua Traz mungkin menjadi “rahsia terbuka” Perodua yang mengambil masa paling lama untuk dizahirkan. Hampir lima tahun tempoh senggang telah berlalu, ketika projek ini dimulakan pada Mei 2021 dan berita tentangnya mula meniti di bibir ramai pengamat dan peminatnya. Hanya pada Disember 2025 barulah ia menjadi kenyataan — bulan yang paling sibuk juga untuk Perodua dengan pelancaran model elektrik pertama, Perodua QV-E, lebih dua minggu sebelumnya.

    Bukan rahsia yang Perodua akan mengeluarkan sebuah SUV/crossover kembar kepada Toyota Yaris Cross, yang turut pernah digelar dengan nama jolokan Nexis. Bahkan, model kembar yang sama terlebih dahulu telah diperkenalkan di pasaran Indonesia dan Thailand pada 2023.

    Jadi, kenapa Perodua terlambat dua tahun? Kita semua tahu jawapannya: dalam sela waktu mereka mengerjakan projek model baru dengan kod nama D66B ini, kerajaan meminta Perodua mengusahakan sebuah projek nasional untuk memperkenalkan model elektrik sepenuhnya. Kita kenali model tersebut kini sebagai QV-E kini, yang dibangunkan dalam tempoh dua tahun sejak 2023.

    Perodua Traz 2026 dilancar di M’sia — kembar Toyota Yaris Cross, 1.5L NA CVT, varian X/H, dari RM76k

    Dan, dalam sesi taklimat tertutup untuk media Sabtu lalu, CEO dan Presiden Perodua, Datuk Sri Zainal Abidin Ahmad turut menyatakan satu lagi faktor yang menyumbang kepada kelewatan itu: skandal ujian keselamatan yang dihadapi Daihatsu di Jepun pada 2024, yang turut menjadi halangan yang tidak dijangka awalnya ketika melakukan perancangan untuk model ini.

    Tetapi semua itu telah berjaya dilalui dengan cekal. Dengan Traz, Perodua nampaknya telah kembali kepada hasrat awal yang telah lama dirancang. Perodua juga kembali ke landasan awal yang ingin memberikan perhatian terhadap segmen SUV dalam pasaran tempatan, yang bercambah sejak 2018, dan masih dalam corakknya yang berkembang.

    Traz, dan bukan Nexis, yang menjadi pilihan nama untuk model ini juga perlu untuk diceritakan. Perodua menjelaskan, nama itu datangnya dari perkataan dalam bahasa Melayu “teras”, yang mencerminkan semua nilai-nilai utama yang dirangkul oleh syarikat itu yang kini diterjemahkan kepada model ini.

    Dan, sekadar bermain-main dengan istilah dalam bahasa Inggeris pula, ia berkongsi bunyi dengan kata “trust”, yang merujuk kepada kepercayaan. Traz boleh saja dibayangkan sebagai merangkumi dua semangat itu — teras kepercayaan.

    Perodua Traz 2026 dilancar di M’sia — kembar Toyota Yaris Cross, 1.5L NA CVT, varian X/H, dari RM76k

    Perodua Traz merupakan model keempat generasi baru yang dibangun menggunakan platform DNGA. Ia menyusul selepas SUV kompak segmen A, Ativa (2021), MPV popular Perodua, Alza (2022) dan hatchback kompak segmen A, Axia (2023) — semua ini dibangun di bawah konsep Smart Built Perodua (SBP).

    Beberapa fakta menarik tentang pembangunan projek ini: pembangunannya menelan pelaburan sebanyak RM563 juta. Traz akan dikeluarkan secara massa bermula Disember ini juga, dan akan melibatkan kadar kandungan tempatan sebanyak 95%. Sebagai menunjukkan keyakinan Perodua terhadap crossover dalam segmen B ini, sasaran jualan yang diletakkan untuk Traz ialah 1,900 unit sebulan selepas pelancarannya.

    Dengan kehadiran Perodua Traz, model ini akan menjadi model dengan enjin konvensional yang paling besar (dan paling mahal) dalam barisan produk sedia ada syarikat itu ketika ini. Dalam pasaran, Traz diposisikan lebih tinggi berbanding Ativa, begitu juga saiznya yang lebih besar, dan harganya yang lebih mahal. Traz datang dengan ukuran dimensi 4,310 mm panjang, 1,770 mm lebar, 1,655 mm tinggi dengan jarak roda 2,620 mm. Menarik juga kerana jarak kelegaan tanah Traz agak tinggi, dengan 210 mm.

    Sekurang-kurangnya ada dua model pesaing yang dijadikan rujukan oleh Perodua dalam menilai penawaran Traz — iaitu Proton X50 dan juga Chery Tiggo Cross. Di antara ketiga-tiga model ini, Traz yang paling ringan, dan didakwa akan memberikan bacaan penggunaan minyak yang lebih baik. Sesuai dengan posisinya dalam pasaran yang sebegitu, Traz disasarkan kepada golongan berpendapatan pertengahan, baik pembeli muda yang sudah berkeluarga, ataupun mereka yang masih bujang yang bergaya hidup aktif.

    Perodua Traz 2026 dilancar di M’sia — kembar Toyota Yaris Cross, 1.5L NA CVT, varian X/H, dari RM76k

    Perodua Traz adalah saudara kembar bagi model Toyota Yaris Cross yang sudahpun berada di pasaran negara jiran seperti Indonesia dan Thailand. Di sebabkan itu, ada banyak persamaan antara kedua model terbabit, terutamanya dari segi reka bentuk umum. Wajah depan Traz diberikan sentuhan Perodua dengan elemen rekaan X di bahagian bamparnya yang dibawa hingga ke atas. Rekaan lampu yang nampak bersekali dengan gril mencadangkan yang kereta ini nampak lebar dan sasa.

    Bahagian sisi Traz turut dihiasi dengan kemasan lengkung tayar yang menampakkannya sedikit berotot. Bahagian belakang antara yang paling kemas dan matang: jalur lampu merentangi lebar penuh, serta bahagian-bahagian bersegi yang menjadikan imejnya tampil sporty.

    Tetapi, ada perbezaan dari segi varian yang ditawarkan untuk Traz kali ini — hanya ada dua varian, X dan H, dan tiada varian AV yang paling tinggi seperti model DNGA lainnya. Menarik juga untuk diperhatikan, kali ini Traz tidak mempunyai penawaran yang sama dari Daihatsu, sebaliknya hanya menjadi kembar kepada Toyota Yaris Cross (Ativa misalnya, adalah penawaran setara untuk Daihatsu Racky dan Toyota Raize).

    Varian X datang dengan lampu utama LED automatik dengan ciri Follow Me Home dan larasan tinggi manual, lampu posisi serta cermin sisi boleh lipat dan disekalikan dengan lampu isyarat. Ia juga menggunakan rim 17-inci dua tona dengan tayar Toyo Proxes CR1 bersaiz 215/60 — dengan semuanya brek cakera untuk membolehkan ciri brek parkir elektronik serta fungsi Auto Hold.

    Di dalam, ruang yang tersedia agak luas. Kemasan warna hitam menghiasi keseluruhan ruang, dengan permukaan lembut untuk bahagian papan pemuka dan panel pintu di sisi — jelas suntikan premium Perodua berikan untuk Traz. Meter untuk pemandu adalah unit TFT 4.2-inci, dengan paparan meter berkembar dan bukannya paparan digital seperti untuk varian AV lazimnya. Tempat duduknya pula menggunakan balutan kerusi fabrik dengan benang merah.

    Head unit di tengah papan pemuka pula bersaiz 9.0-inci — yang turut menyokong sambungan wayar bagi Apple CarPlay dan Android Auto. Ada juga ciri Push Start, tetapi untuk X ia tidak datang dengan masukan tanpa kunci — ciri ini dikhaskan untuk varian H sahaja, untuk kedua-dua sisi pintu depan.

    Untuk pendingin, untuk X ia hadir dalam bentuk satu butang sahaja, manakala untuk H dengan dua tombol kawalan zon tunggal automatik. Dan, tiada fungsi memori pendingin M1-M2 kali ini. Selain itu, Traz datang lengkap dengan filem penapis haba dari jenama yang diyakini, Llumar.

    Untuk slot USB pula, terdapat satu dari jenis USB-A dan satu USB-C di depan (ada juga soket 12V), manakala di belakang disediakan dengan dua slot USB-C. Bahagian belakang Traz juga didatangkan dengan corong pendingin sendiri. Untuk menghadirkan aspirasi sport di dalam ruang kabin, banyak perincian merah digunakan: yang sebahagiannya nampak kemas, tetapi ada juga yang nampak agak berlebihan, terutama plastik merah di bahagian papan pemuka.

    Perodua Traz 2026 dilancar di M’sia — kembar Toyota Yaris Cross, 1.5L NA CVT, varian X/H, dari RM76k

    Beralih kepada varian H, ia dilengkapi juga dengan lampu kabus LED, ciri masukan tanpa kunci di dua pintu depannya, stereng dan tombol gear balutan kulit, pendingin automatik, dua tweeter (enam pembesar suara). Ada juga kamera 360-darjah dan dashcam, serta ciri bukaan pintu ruang barangan tanpa kendalian tangan.

    Sebagai ringkasan, beberapa ciri lain untuk ruangan dalam yang ditawarkan oleh Traz yang wajar juga diberi perhatian adalah seperti berikut: larasan stereng teleskopik, ciri parkir brek elektronik, perehat lengan kerusi belakang dengan ruang cawan, dua USB-C di belakang, lampu aluan untuk pemandu dan penumpang, perakam video digital di depan, sambungan dengan wayar untuk Android Auto dan Apple Carplay, kamera 360-darjah serta sistem pendingin automatik. Satu ciri baru yang pertama untuk Perodua Traz adalah bukaan pintu ruang barangan tanpa kendalian tangan — dengan kunci di badan, gerakan kaki akan membukanya secara automatik untuk anda.

    Ruang barangan di belakang juga cukup luas, dengan kapasiti 471 liter — ini mengambil kira ada disediakan sekali tayar ganti Toyo yang sama. Berbanding Proton X50, Traz mempunyai kelebihan 141 liter ruang barangan tersebut, dan boleh memuatkan hingga enam beg beroda, atau empat sekiranya dua beg itu dalam saiz yang besar. Ia juga datang dengan tonneau cover boleh laras konvensional.

    Tentang varian AV, sekiranya ada, ia mungkin akan dijual di atas RM90k (sama seperti Nautica CBU pada 2008), dan itu dirasakan terlalu tinggi harganya untuk kekal kompetitif dalam pasaran semasa. Disebabkan itu, AV tidak ditawarkan sebagai permulaan ini.

    Perodua Traz 2026 dilancar di M’sia — kembar Toyota Yaris Cross, 1.5L NA CVT, varian X/H, dari RM76k

    Untuk enjin, Traz dilengkapi oleh unit sedia ada Perodua iaitu 1.5L 2NR-VE DVVT-i yang menjana sebanyak 78 kW pada 6,000 rpm dan 138 Nm tork pada 4,200 rpm. Enjin ini memberikan kadar penggunaan minyak sekitar 21.3 km/l mengikut MDC (kitaran pemanduan Malaysia). Dengan tangki minyak 42 liter, dengan harga minyak bersubsidi ketika ini, Perodua menyatakan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu hanya memerlukan RM45 petrol.

    Sebagai latar, Proton Saga MC3 yang hadir dengan enjin baru 1.5L i-GT NA/Punch CVT didakwa mampu memberi bacaan 20.4 km/l. Untuk itu, di atas kertas, Traz yang lebih besar akan memberikan bacaan penggunaan minyak yang lebih baik berbanding sebuah sedan kompak dalam segmen A. Selain itu, Tiada fungsi Eco Idle untuk Start/Stop automatik untuk Traz, jadi tiada keperluan juga untuk menggantikan bateri EFB yang menelan kos itu.

    Enjin ini digandingkan dengan Dual Mode CVT (D-CVT) yang hanya memerlukan penukaran pelincirnya setiap 100,000 km. Kotak gear ini, seperti yang dilihat digunakan oleh model lain DNGA, disifatkan lebih ringan dan cekap. Seperti yang sudah kita lihat pada model Perodua sebelum ini, D-CVT adalah sistem CVT dengan mod gear berasingan pertama di dunia. Ia menggabungkan pacuan tali sawat untuk lebih kecekapan.

    Dalam kelajuan rendah/medium, D-CVT berfungsi seperti CVT biasa, dengan tork enjin disalur melalui pengubah tork (seperti CVT Toyota dan Honda; Punch CVT Proton menggunakan pek klac) dan menerusi input pulley, sebelum dipindahkan kepada output pulley melalui tali sawat dan kemudian ke roda.

    Perodua Traz 2026 dilancar di M’sia — kembar Toyota Yaris Cross, 1.5L NA CVT, varian X/H, dari RM76k

    Sementara pada kelajuan tinggi, D-CVT akan beralih pula kepada mod berasingan dan akan menggunakan pacuan gear untuk transmisi bertenaga yang lebih cekap (kurang kehilangan tenaga), dan mengurangkan rotasi kepada pacuan tali sawat dengan banyak. Kotak gear ini juga mempunyai tujuh ratio maya, sama seperti Ativa, serta tiga mod pemanduan — Eco, Normal dan Sport.

    Toyota Yaris Cross, yang juga bakal diperkenalkan di sini oleh UMWT, ada ditawarkan dalam versi hibrid di negara jiran. Di Malaysia, adakah Traz akan mengikut jejak yang sama? Ketika ini tidak: model hibrid akan dibiarkan untuk jenama Toyota, yang akan menggunakan enjin 2NR-VEX 1.5L NA kitaran Atkinson (91 PS/121 Nm) dengan sebuah motor elektrik dengan 80 PS/141 Nm, yang mendapat kuasanya daripada bateri lithium-ion. Model hibrid inilah yang akan membezakan penawaran di Malaysia bagi Traz dan Yaris Cross.

    Bagi aspek keselamatan, Traz yang telah menerima penarafan lima-bintang ASEAN NCAP datang dengan enam-beg udara, ciri ASA dengan fungsi seperti amaran perlanggaran dan brek (AEB untuk pejalan kaki), penggera pergerakan kereta depan dan juga kawalan salah operasi pedal, amaran penukaran lorong serta peninjau titik buta.

    Bantuan parkir datang dalam bentuk amaran lintasan trafik di belakang, dan ada juga sensor sudut depan dan belakang. Semua ini bahkah ditawarkan secara standard untuk varian X. Varian H pula menerima tambahan kamera 360-darjah (hanya kamera undur untuk X) dan dashcam.

    Tetapi ada satu yang hilang — Traz tidak dilengkapi dengan ciri adaptive cruise control (ACC), atau bahkan kawalan melayar yang biasa. Ini dapat dilihat di bahagian kanan stereng yang nampak kosong. Agak aneh kenapa ciri ini digugurkan daripada Traz.

    Selain itu, ada juga pakej aksesori Gear Up yang ditawarkan untuk Traz — Sleek Bodykit, Elevate Package, Illumination Package dan Utility Package. Pilihan yang pertama ini melibatkan empat bahagian bodykit dan jalur LED di depan dengan harga RM2,700.

    Spoiler tengah pula terkandung dalam Elevate Package berharga RM900, yang terdiri daripada kemasan gril depan hitam berkilat dan perumah cermin sisi. Illumination Package pula berharga RM580 dan terdiri daripada lampu RGB di lantai dan scuff plate. Utility Package dengan harga RM510 akan menyertakan visor tingkap, talam barangan serta pelapik kaki.

    Ada juga barangan yang turut ditawarkan secara berasingan — pembalut kerusi ala kulit (RM1,200), pengecas tanpa wayar (RM350), dan penebat hud (RM110). Ada juga pelapik kaki gaya Trapo (RM300). Ditambah semua ini, kos yang terlibat adalah lebih daripada RM6,000, menjadikan Traz H mencecah harga RM90k. Tapi semua ini boleh disekalikan dalam pinjaman pembiayaan.

    Pilihan warna untuk Traz pula terdiri daripada Cranberry Red, Ivory White, Glittering Silver dan Granite Grey. H juga datang dengan pilihan dua-tona dengan bumbung hitam, yang boleh dipadankan dengan warna badan Glittering Silver atau Electric Blue.

    Perodua Traz dijual dengan harga RM76,100 untuk varian X, dan RM82,000 untuk varian H — harga atas jalan belum termasuk insuran. Jaminan kilang ialah lima-tahun atau 150,000 km. Berbanding penawaran dengan spesifikasi yang setara, harga Traz lebih mahal RM14k berbanding Ativa dengan rebat hujung tahun yang ditawarkan ketika ini. Traz cukup menarik perhatian anda?

    Perodua Traz 1.5L H 2026 — Warna Biru

    Perodua Traz 1.5L H 2026 — Warna putih

    Perodua Traz 1.5L H dengan Gear Up 2026

    Perodua Traz 1.5L X 2026

    Gambar rasmi Perodua Traz 1.5L H

    Gambar rasmi Perodua Traz 1.5L X

    Risalah rasmi Perodua Traz

     
     
  • TQ Wuling Bingo EV kini di Malaysia – varian Pro dan Max; CKD, hingga 337km WLTP; antara RM63k-RM68k

    TQ Wuling Bingo EV kini di Malaysia – varian Pro dan Max; CKD, hingga 337km WLTP; antara RM63k-RM68k

    Hari ini TQ Wuling telah pun melancarkan model elektrik kompak TQ Wuling Bingo untuk pasaran tempatan. Pertama kali dipertontonkan pada Mei lalu, TQ Wuling merupakan kerjasama antara Tan Chong Motor Holdings Berhad dan SAIC GM Wuling Automobile Co Ltd (SGM Wuling) dengan membawakan TQ Wuling Bingo sebagai model pertamanya ke pasaran Malaysia.

    Untuk pengetahuan anda, “TQ” atau “Truckquip” merupakan jenama Tan Chong sendiri yang sebelum ini digunakan pada model-model bas dan kenderaan perdagangan ringan di Vietnam. Jadi ini kali pertama jenama TQ berkenaan digunakan pada kenderaan penumpang biasa, dan jenama ini juga turut bermaksud “Trust & Quality”. Manakala “Wu” pula bermaksud “5” dan “Ling” pula adalah “berlian” dalam bahasa Mandarin.

    Untuk pasaran Malaysia, TQ Wuling Bingo ditawarkan dengan dua varian iaitu Bingo Pro yang berharga dari RM67,800 dan model spesifikasi penuh Bingo Max pula bermula RM72,800, kedua-duanya harga atas jalan dan tanpa insurans. Walau bagaimana pun, sempena dengan pelancarannya, TQ Wuling menawarkan promosi Bingo’s Fabulous 5 Perks di mana pembeli terawal bakal menikmati ganjaran eksklusif antaranya rebat tunai bernilai RM5,000, menjadikan harganya dari RM62,800 untuk Bingo Pro dan Bingo Max pula bermula RM67,800.

    TQ Wuling Bingo EV kini di Malaysia – varian Pro dan Max; CKD, hingga 337km WLTP; antara RM63k-RM68k

    Di sini, model elektrik tersebut merupakan versi pemasangan tempatan (CKD) yang diproduksi di fasiliti pemasangan Tan Chong Motor Assemblies Segambut, malah Tan Chong Motor juga merancang untuk mengeksportnya ke pasaran luar.

    Kedua-dua varian diberikan motor elektrik 50 kW dengan output 68 PS dan tork 150 Nm, memberikan kelajuan maksimum cecah 100 km/j. Walau bagaimana pun, varian asas Pro menerima bateri Lithium Ferro-Phosphate (LFP) berkapasiti 31.9 kWh, yang mampu memberi jarak gerak sejauh 273 km mengikut standard WLTP (atau333 km ikut CLTC). Sementara varian paling tinggi, Max, diberikan bateri LFP berkapasiti 37.9 kWj bagi memberikan jarak gerak 337 km juga ikut WLTP (410 km CLTC).

    Untuk pengecasan, kedua-dua varian boleh dicas menggunakan pengecas AC sehingga 3.3 kW, dengan bateri yang lebih kecil memerlukan masa 5.5 jam untuk penuh, manakala bateri yang besar mengambil 9.5 jam. Walau bagaimanapun, bateri yang lebih besar itu boleh dicas dengan pengecasan pantas DC, dan status pengecasan boleh naik dari kadar 20% ke 80% dalam masa 35 minit sahaja.

    TQ Wuling Bingo EV kini di Malaysia – varian Pro dan Max; CKD, hingga 337km WLTP; antara RM63k-RM68k

    Menurut TQ Manufacturing, Bingo EV ini dilengkapi dengan bateri “Magic Proprietary” dari SGMW yang menawarkan tahap keselamatan tertinggi tanpa sebarang insiden kebakaran atau letupan dan mempunyai sijil IP67 yang disahkan memberikan perlindungan tinggi terhadap habuk dan air. Dan turut mendakwa bateri Magic ini antara sistem bateri EV yang paling dipercayai dalam segmennya.

    Bingo EV ini berukuran 3,950 mm panjang, 1,708 mm lebar, 1,580 mm tinggi dan jarak roda cecah 2,560 mm. Sekaligus mampu memberikan persaaingan sengit buat Proton eMas 5 dan juga Perodua QV-E.

    Memperagakan imej retro-chic umpama diinspirasikan dari MINI klasik, bahagian hadapan Bingo EV ini diberikan lampu utama LED ‘X-Shaped’ dengan lampu nyalaan siang LED berbentuk unik yang menjadi signitur Wuling. Ia juga ditampilkan dengan garisan badan yang ringkas tetapi kemas, rim aloi 15-inci yang dibaluti tayar profil 185/60 R15, cermin sisi boleh laras elektrik dengan signal belok LED, pemegang pintu warna badan dan lampu belakang LED dengan efek moden.

    TQ Wuling Bingo EV kini di Malaysia – varian Pro dan Max; CKD, hingga 337km WLTP; antara RM63k-RM68k

    Bahagian kabinnya pula mempertaruhkan sentuhan retro moden dan minimalis dengan antara muka yang ringkas tetapi bersifat mesra pengguna serta diberikan kemasan panel dalaman material kulit sentuhan lembut dengan seramik berkilat bagi menyerlahkan elemen premium. Ia diberikan dwi skrin bersaiz 10.25 inci iaitu satu untuk instrumen dan satu lagi bagi sistem infotainmen yang diletak di tengah papan pemuka yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto.

    Ciri kelengkapan lain untuk bahagian dalam termasuklah roda stereng pelbagai-fungsi dua-tona dengan butang kawalan, pemilih gear rotary pada konsol tengah, Brek Parkir Elektronic (EPB) dan Auto Hold, kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, sistem penyaman udara automatik dengan butang fizikal, sokongan Bluetooth dan port USB.

    Ia juga diberikan tempat duduk balutan kulit sintetik (leatherette) berwarna Caramel Latte dengan larasan elektrik enam-hala untuk bahagian pemandu, dan but berkapasiti 395 liter yang boleh dipertingkatkan menjadi 1,240 liter jika tempat duduk belakang dibaringkan dengan nisbah 60:40.

    Untuk aspek keselamatan, ia dilengkapi enam beg udara, ABS dengan EBD, Bantuan Brek (BA), Isofix untuk kerusi kanak-kanak, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Bantuan Mula Mendaki, Amaran Mula Mendaki, Sistem Amaran Titik Buta, Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS), EntrySafe System, penderia parkir belakang dan kamera undur.

    Bagi warna luarannya, TQ Wuling diberikan pilihan rona Neon Blue, Lavender Purple dan Milky White, di mana kesemuanya dipadankan dengan bumbung hitam.

    Setiap pembelian mana-mana varian TQ Wuling Bingo ini turut disertakan dengan waranti kenderaan lima-tahun atau 150,000 km, waranti bateri EV lapan-tahun atau 120,000 km dan waranti motor pemacu lapan-tahun atau 160,000 km.

    Walau bagaimana pun, menerusi promosi Bingo’s Fabulous 5 Perks, selain diberikan rebat sebanyak RM5,000 (seperti yang disebutkan di atas), pembeli terawal juga bakal menikmati kadar pembiayaan rendah dengan ansuran bulanan bermula RM625, pakej jaminan komprehensif (waranti bateri EV dan motor pemacu selama lapan-tahun serta waranti kenderaan untuk lima-tahun. Tertaluk pada terma & syarat), pengecas wallbox 7kW, pengecas EV mudah alih dan tinted premium percuma serta penyelesaian insurans komprehensif dengan faedah EV menerusi Tan Chong Insured.

    Pembeli juga boleh membuat tempahan menerusi dalam talian menerusi tqwuling.my dengan yuran serendah RM50. Atau pun terus berkunjung ke mana-mana enam bilik pameran yang telah dibuka termasuk di Glenmarie, OUG, Melati Utama, Jalan Raja Laut, Butterworth dan Johor Jaya.

     
     
  • JPJ sita 706 kenderaan mewah pelbagai jenama di seluruh negara menerusi Ops Luxury sejak 1 Julai lalu

    JPJ sita 706 kenderaan mewah pelbagai jenama di seluruh negara menerusi Ops Luxury sejak 1 Julai lalu

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menyita sebanyak 706 kenderaan mewah di seluruh negara sejak Ops Luxury dilaksanakan bermula 1 Julai tahun ini. Ini termasuklah 78 kenderaan mewah dalam Ops Luxury Bilangan 4 yang bermula 12 Disember lalu, laporan Bernama.

    Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, operasi ini adalah kesinambungan penguatkuasaan berterusan JPJ terhadap pemilik kenderaan mewah yang gagal mematuhi peraturan jalan raya.

    “Sejak Ops Luxury dijalankan pada 1 Julai lepas, sebanyak 706 kenderaan mewah disita dan semuanya disimpan di depoh sitaan JPJ di seluruh negara mengikut Seksyen 64 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta peraturan-peraturan berkaitan.

    “Sitaan dibuat susulan pelbagai kesalahan dikesan termasuk tiada lesen memandu yang sah, lesen memandu tamat tempoh, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans serta kesalahan nombor pendaftaran,” katanya dalam sidang media di depoh sitaan JPJ Kuala Lumpur, petang semalam.

    Tambah beliau, bagi Ops Luxury 4.0 dilaksanakan bermula 12 Disember lalu, sebanyak 77 kenderaan mewah pelbagai jenama ditahan dan disita di seluruh negara. Kenderaan yang ditahan didapati dipandu oleh warga tempatan dan juga warga asing.

    “Ops Luxury 4.0 mencatat sitaan tinggi dalam tempoh singkat, dan antara kesalahan dikesan ialah tiada lesen kenderaan motor, tiada cukai jalan, tiada perlindungan insurans, lesen memandu tamat tempoh serta memandu tanpa lesen sah.

    “Semakan mendapati nilai tunggakan cukai jalan tertinggi membabitkan sebuah Lamborghini Huracan yang baru disita hari ini (semalam), berjumlah RM35,760 dan sebuah Audi A8 dengan tunggakan cukai jalan RM21,710,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

    Menurutnya, JPJ turut menahan sebuah kenderaan mewah jenis Audi TT yang tidak memperbaharui cukai jalan sejak 2021, selain mengesan sebuah lagi kenderaan mewah jenis BMW i7 mempamerkan nombor pendaftaran palsu.

    “Kita mendapati ada pemandu menggunakan nombor pendaftaran sebuah motosikal untuk membolehkan kenderaan yang belum didaftarkan dibawa di jalan raya. Motif sebenar masih dalam siasatan dan tindakan lanjut akan diambil,” katanya.

    Kenderaan yang disita hanya boleh dibawa keluar selepas pemilik menyelesaikan saman, memperbaharui LKM serta perlindungan insurans dan pihak JPJ tidak akan berkompromi terhadap pihak yang culas.

    Tegasnya, JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal mematuhi undang-undang jalan raya. Pelaksanaan berkala Ops Luxury ini akan terus diperkukuh sebagai usaha strategik JPJ bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan sektor pengangkutan negara.

     
     
  • Perodua Traz dalam teaser lagi, dilancar 11 pagi esok

    Perodua Traz dalam teaser lagi, dilancar 11 pagi esok

    Ini satu lagi iklan teaser oleh Perodua tentang model baru yang akan dilancarkan, dengan petunjuk bahawa pelancarannya akan berlangsung kurang sehari lagi. Sama seperti sebelum ini, crossover dengan kod nama D66B yang dikhabarkan akan menggunakan nama Traz, ditunjuk dalam imej bayangan yang menunjukkan bahagian sisinya.

    Ia meminjam bentuk yang sama seperti model kembarnya, Toyota Yaris Cross, yang telah diperkenalkan di Indonesia dan Thailand sejak 2023, walaupun bakal diberikan perincian yang sedikit berbeza yang khas Perodua.

    Perodua Traz dalam teaser lagi, dilancar 11 pagi esok

    Di Indonesia, Yaris Cross menggunakan enjin 2NR-VE 1.5 liter NA empat-silinder petrol yang menjana sebanyak 106 PS dan 138 Nm, yang digandingkan dengan pilihan antara kotak gear manual lima-kelajuan atau CVT. Di Thailand pula, ada pilihan sistem janaan hibrid yang turut ditawarkan untuk model terbabit, dengan output 91 PS/121 Nm dari unit 2NR-VEX 1.5 liter NA empat-silinder dan digandingkan dengan sebuah motor elektrik janaan 80 PS/141 Nm yang memberikan janaan gabungan 111 PS.

    Dijangka akan ada banyak persamaan antara Traz dan Yaris Cross, misalnya penarafan lima-bintang ASEAN NCAP yang diterima pada Ogos tahun ini. Ia diposisikan di atas Ativa, dan bermaksud harganya juga akan lebih mahal berbanding harga permulaan Ativa dengan RM62,500. Maklumat lanjut akan kami kongsikan selepas pelancaran rasmi Perodua Traz pada 11 pagi, esok.

     
     
  • Johari Ghani dilantik jadi Menteri MITI dalam rombakan kabinet – Akmal Nasir sebagai Menteri Ekonomi baru

    Johari Ghani dilantik jadi Menteri MITI dalam rombakan kabinet – Akmal Nasir sebagai Menteri Ekonomi baru

    Datuk Seri Johari Abdul Ghani telah dilantik sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) yang baharu, menggantikan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, yang tempoh pelantikannya sebagai senator berakhir pada 2 Disember lalu.

    Pelantikan beliau diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim awal petang ini sebagai sebahagian daripada rombakan Kabinet, yang menyaksikan beberapa perubahan portfolio.

    Sebelum pelantikan terbaharu ini, Johari memegang jawatan sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi sejak 2023. Jawatan berkenaan kini disandang oleh Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

    Johari Ghani dilantik jadi Menteri MITI dalam rombakan kabinet – Akmal Nasir sebagai Menteri Ekonomi baru

    Barisan kabinet terkini. Klik untuk besarkan

    Turut membarisi kabinet Madani terkini ialah Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang dilantik sebagai Menteri Ekonomi, yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air. Beliau mengisi kekosongan jawatan yang ditinggalkan oleh Rafizi Ramli, yang meletakkan jawatan pada Mei tahun ini.

    Sementara itu, Liew Chin Tong yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri MITI, kini dilantik menjadi Timbalan Menteri Kewangan yang baharu. Manakala Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, telah dilantik sebagai Timbalan Menteri MITI.

     
     
  • Beberapa pas perjalanan Rapid KL naik harga mulai 1 Jan – Pas Rapid Bulanan untuk rel, bas diperkenalkan

    Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah memperkenalkan Rapid Bulanan iaitu pas perjalanan 30 hari baharu yang menawarkan perjalananan tanpa had merangkumi perkhidmatan rel dan bas Rapid KL dengan harga RM150 sebulan untuk warganegara dan bukan warganegara Malaysia.

    Menurut Prasarana, susulan permintaan pengangkutan awam yang semakin meningkat, termasuk dalam kalangan ekspatriat dan pelawat jangka panjang, pengenalan Rapid Bulanan turut memberi pilihan yang lebih fleksibel dan praktikal kepada pengguna yang bergantung kepada perkhidmatan rel dan bas Rapid KL setiap hari.

    Dalam masa yang sama, Prasarana turut mengumumkan pelarasan harga bagi beberapa pas perjalanan Rapid KL yang akan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2026. Ia adalah selaras dengan perkembangan rangkaian pengangkutan awam serta keperluan memastikan perkhidmatan yang lebih stabil dan mampan untuk jangka panjang. Kenaikan harga bagi pas perjalanan ini melibatkan Pas Rapid Kota, Rapid Kembara dan Rapid Keluarga. Anda boleh menyemak senarai kenaikan harga terbabit menerusi foto di bawah.

    Beberapa pas perjalanan Rapid KL naik harga mulai 1 Jan – Pas Rapid Bulanan untuk rel, bas diperkenalkan

    “Pelarasan ini dibuat berdasarkan kajian menyeluruh terhadap corak penggunaan, peluasan rangkaian
    perkhidmatan dan kos operasi semasa. Walau pun ia dilaksanakan, pas perjalanan Rapid KL kekal menawarkan nilai terbaik kepada pengguna harian melalui penjimatan yang konsisten, kemudahan perjalanan tanpa had serta pengalaman mobiliti yang terus dipertingkatkan,” kata Pemangku Ketua, Jabatan Pengurusan Pengalaman Pihak Berkepentingan dan Pemasaran Kumpulan, Ashok Panchalingam.

    Menurut beliau, langkah ini sejajar dengan transformasi rangkaian rel dan bas Rapid KL yang kini jauh lebih komprehensif berbanding sedekad lalu, termasuk pembukaan Laluan Kajang pada 2016 dan Laluan Putrajaya pada 2022, selain penambahan laluan bas, peluasan liputan kawasan serta peningkatan kekerapan perkhidmatan.

    Beberapa pas perjalanan Rapid KL naik harga mulai 1 Jan – Pas Rapid Bulanan untuk rel, bas diperkenalkan

    Klik untuk besarkan

    Pelarasan ini merupakan yang pertama sejak tahun 2009, mengambil kira peningkatan kos operasi dan penyelenggaraan dari tahun ke tahun, di samping komitment berterusan Prasarana untuk memastikan piawaian keselamatan dan kebolehpercayaan perkhidmatan sentiasa berada pada tahap terbaik.

    Walau bagaimana pun, Prasarana menegaskan bahawa My50, serta kad konsesi Rapid Emas dan Rapid Mesra, kekal tanpa sebarang perubahan harga, selaras dengan komitmen berterusan untuk memastikan pengangkutan awam yang mampu milik dan inklusif, khususnya kepada golongan yang memerlukan.

     
     
  • Kenderaan berat tidak dibenarkan melalui Jambatan Angkat Kuala Terengganu mulai 1 Jan 2026

    Kenderaan berat tidak dibenarkan melalui Jambatan Angkat Kuala Terengganu mulai 1 Jan 2026

    Ti Properties Sdn Bhd selaku pihak pengurusan bagi Jambatan Angkat Kuala Terengganu memaklumkan bahawa semua kenderaan berat termasuk lori muatan, treler serta bas pelancong tidak lagi dibenarkan melalui jambatan berkenaan selepas penguatkuasaan palang penghadang dengan ketinggian 3.5 meter bermula 1 Januari 2026.

    Menurut syarikat terbabit, langkah ini diambil bagi mengawal pergerakan kenderaan melebihi had muatan yang dibenarkan untuk merentasi Jambatan Angkat Kuala Terengganu ini melalui satu Akta 333, Seksyen 86 (3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang tidak membenarkan semua muatan kenderaan BTM/BDM 5 Tan dan ke atas merentasi Jambatan Angkat Kuala Terengganu.

    “Langkah ini juga adalah bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya dan melindungi integriti struktur Jambatan Angkat yang merupakan infrastruktur penting dan ikonik negeri Terengganu.

    Klik untuk besarkan imej

    “Untuk makluman, papan tanda amaran had muatan serta papan kenyataan Akta dan Undang-undang telah dipasang di jalan-jalan utama ke Jambatan Angkat Kuala Terengganu. Selain itu, amaran had ketinggian di skrin LED juga telah dipasang di Jambatan Angkat Kuala Terengganu bagi memastikan pengguna jalan raya sentiasa peka terhadap had muatan yang ditetapkan,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan semalam.

    Tambahnya lagi, kenderaan yang melebihi BTM/BDM 5 Tan dan had ketinggian 3.5 meter ke atas perlu menggunakan laluan alternatif melalui Jambatan Sultan Mahmud dan Jambatan Manir bagi menghubungkan kawasan Kuala Nerus dan pusat bandar Kuala Terengganu. Selain itu, laluan alternatif penyuraian serta kawasan parkir khas terutama bas pelancong yang berkunjung ke Jambatan Angkat turut disediakan bagi memastikan kelancaran trafik dan keselesaan pengunjung.

    Jambatan Angkat Kuala Terengganu merupakan sebuah jambatan imbang yang terletak di Kuala Terengganu, Terengganu, yang menyeberangi Sungai Terengganu selepas Jambatan Sultan Mahmud, Jambatan Manir dan Jambatan Pulau Sekati. Ia merupakan sebuah projek dalam inisiatif Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang dibiba dengan kos RM248 juta. Kerja pembinaan bermula pada Ogos 2014 dan disiapkan pada pertengahan tahun 2019. Jambatan angkat ini juga merupakan sebahagian daripada projek pembangunan Kuala Terengganu City Centre (KTCC).

     
     
  • Proton Saga MC3 2026 – Proton jelaskan kotak gear Punch CVT baharu tak sama dengan sebelum ini

    Proton Saga MC3 2026 – Proton jelaskan kotak gear Punch CVT baharu tak sama dengan sebelum ini

    Kami masih lagi berada di Taman Negeri Royal Belum, Perak bagi menyertai sesi pandu uji media untuk Proton Saga MC3 2026. Di kesempatan ini kami sempat duduk bersama beberapa orang pakar produk untuk Saga MC3 untuk bertanyakan dengan lebih teliti berkenaan model ini, dan antara yang paling hangat adalah berkenaan kotak gear CVT keluaran Punch Powertrain yang masih menjadi pilihan Proton bagi dilengkapkan kepada Saga terbaharu ini, secara spesifiknya untuk varian tertinggi Premium.

    Kotak gear CVT baharu ini masih menggunakan sistem klac pemula (start-clutch) untuk memindahkan putaran enjin ke transmisi, tidak seperti kotak gear CVT lain yang telahpun beralih menggunakan torque converter bagi tugas tersebut. Jadi apa yang lain dengan kotak gear baharu ini?

    Menurut Proton, tidak seperti sebelum ini di mana kotak gear tersebut diterima ‘bulat-bulat’ dari Punch Powertrain sementara Proton hanya melakukakan proses talaan, kotak gear baharu ini pula dihasilkan secara spesifik untuk enjin i-GT BHE15PFI 1.5 liter empat silinder yang digunakan pada Saga MC3.

    Enjin baharu ini jauh lebih berkuasa dengan menjana 120 PS dan tork maksima 150 Nm berbanding enjin Campro VVT sebelum ini yang hanya dibekalkan dengan 95 PS/120 Nm, jadi kotak gear baharu ini diberikan agihan nisbah yang lebih luas dari kotak gear sebelum ini.

    Proton Saga MC3 2026 – Proton jelaskan kotak gear Punch CVT baharu tak sama dengan sebelum ini

    Kami sendiri dapat rasakan kelainan nisbah kotak gear CVT baharu ini ketika sesi pandu uji di mana pada putaran enjin 2,000 rpm ia memberikan kelajuan sekitar 85 km/j, berbanding hanya sekitar 70 km/j pada Saga CVT 2016 terdahulu. Jadi Saga MC3 Premium ini dapat memberikan NVH yang lebih baik dan juga penggunaan bahan api yang lebih jimat ketika cruising di atas lebuh raya, di mana kelajuan 110 km/j dapat dicapai dengan putaran enjin sekitar 2,800 rpm sahaja.

    Kotak gear CVT baharu dengan kod VT3+ ini juga memberikan resposif yang sangat baik. Ia tidak menjadikan enjin meraung tidak tentu hala, tidak terasa sebarang ‘jerk’ ketika mula bergerak. Dan yang paling seronok pada kedudukan gear ‘S’, ia dapat berada pada nisbah yang tepat ketika meredah selekoh pada kelajuan tinggi, sesuai dengan karekter ‘ride & handling’ yang begitu baik pada Saga ini.

    Kami juga sempat bertanya, kenapa masih guna klac-pemula dan tidak beralih terus menggunakan torque converter? Proton memberitahu bahawa tork pada enjin i-GT baharu ini sudah sangat sesuai dengan tork pemula, lebih-lebih lagi enjin tersebut memang datang dengan roda tenaga (flywheel) jenis dua jisim (dual mass), jadi ia tidak memerlukan torque converter untuk mula bergerak dengan lancar.

     
     
  • KTM Komuter laksana jadual waktu baharu mulai 1 Jan ini – laluan P. Klang-Tg Malim, Pulau Sebang-Bt Caves

    KTM Komuter laksana jadual waktu baharu mulai 1 Jan ini – laluan P. Klang-Tg Malim, Pulau Sebang-Bt Caves

    Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengumumkan bahawa jadual waktu baharu akan digunakan bagi laluan Tanjung Malim – Pelabuhan Klang – Tanjung Malim dan Pulau Sebang – Batu Caves – Pulau Sebang bermula 1 Januari 2026. Ia adalah selaras dengan kemajuan kerja Projek Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa II (KVDT2) yang sedang giat dijalankan.

    “Penyelarasan jadual ini merupakan sebahagian daripada usaha penambahbaikan perkhidmatan KTMB apabila kerja-kerja naik taraf landasan di bawah projek KVDT mula memberikan keupayaan operasi yang lebih stabil. Perubahan ini dijangka meningkatkan kelancaran perjalanan tren, mengoptimumkan pergerakan di sepanjang laluan terlibat, serta menyokong penyediaan perkhidmatan yang lebih konsisten kepada pengguna.

    “Dengan pelaksanaan jadual waktu baharu ini, perkhidmatan bas ulang-alik bagi laluan Subang Jaya – Pelabuhan Klang serta di stesen-stesen perantaraan yang terlibat tidak lagi disediakan. Perkhidmatan tren akan beroperasi di kedua-dua arah bagi laluan Pelabuhan Klang, termasuk stesen-stesen perantaraannya, pada waktu pagi dan petang mengikut jadual baharu yang telah ditetapkan,” kata KTMB menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    KTM Komuter laksana jadual waktu baharu mulai 1 Jan ini – laluan P. Klang-Tg Malim, Pulau Sebang-Bt Caves

    Sehubungan itu, KTMB berkata, bagi memenuhi keperluan perjalanan pengguna khususnya pada waktu puncak pagi dan petang, pihaknya akan menyediakan perkhidmatan tren dengan kekerapan setiap 30 minit bagi laluan Pelabuhan Klang – Kuala Lumpur, dan juga bagi laluan Tanjung Malim – Kuala Lumpur.

    “Ia adalah bagi memastikan keselesaan pengguna harian yang bergantung pada perkhidmatan ini untuk perjalanan pergi dan pulang bekerja. Sebanyak dua perkhidmatan tren dari Tanjung Malim ke Pelabuhan Klang dan satu perkhidmatan ke Shah Alam akan diperkenalkan pada waktu pagi bagi memenuhi keperluan perjalanan pengguna dari Tanjung Malim ke Pelabuhan Klang dan stesen perantaraannya, termasuk perjalanan melalui KL Sentral,” katanya sambil menambah jadual waktu baharu boleh disemak melalui aplikasi KITS STYLE atau di laman sesawang rasmi www.ktmb.com.my.

    Dalam pada masa yang sama, KTMB turut memaklumkan bahawa kerja-kerja penyelenggaraan dan penutupan landasan (line block) akan terus dilaksanakan antara jam 11 pagi hingga 3 petang setiap hari.

    “Sepanjang tempoh tersebut, tiada perkhidmatan tren penumpang bagi laluan Pelabuhan Klang – KL Sentral – Pelabuhan Klang bagi membolehkan kerja-kerja menaik taraf infrastruktur dijalankan dengan selamat.

    KTM Komuter laksana jadual waktu baharu mulai 1 Jan ini – laluan P. Klang-Tg Malim, Pulau Sebang-Bt Caves

    “Perubahan jadual ini turut melibatkan laluan Pulau Sebang – Batu Caves – Pulau Sebang, demi memastikan penyelarasan rangkaian tren komuter yang lebih efisien serta meminimumkan masa menunggu antara laluan. KTMB juga mengekalkan kekerapan 30 minit pada waktu puncak pagi dan petang di laluan ini,” kata KTMB.

    KTMB turut berkata, projek KVDT adalah bagi memastikan perkhidmatan tren yang lebih lancar dan selamat, seiring dengan penambahbaikan infrastruktur rel yang sedang dilaksanakan. Di mana dalam tempoh peralihan tersebut, operasi tren di sektor Pelabuhan Klang masih menggunakan satu landasan di antara Stesen Abdullah Hukum dan Stesen Pelabuhan Klang.

    “KTMB akan terus memantau serta menyelaras operasi dari semasa ke semasa sementara kerja-kerja naik taraf menyeluruh di bawah projek KVDT2 diteruskan dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2029,” katanya.

    Untuk maklumat dan pertanyaan lanjut, orang ramai boleh layari saluran media sosial rasmi KTMB atau hubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200.

     
     
  • Proton S70 MC1 2026 dilihat — enjin 1.5L i-GT empat-silinder baru; warna Ruby Red, rim dan lampu baru

    Proton S70 MC1 2026 dilihat — enjin 1.5L i-GT empat-silinder baru; warna Ruby Red, rim dan lampu baru

    Dari satu gambar yang dikongsi di laman Facebook Proton S70 Malaysia, beberapa perincian berkaitan Proton S70 facelift yang akan datang (dirujuk sebagai MC atau ‘minor change’) dapat dilihat dengan jelas. Ini datang beberapa bulan selepas versi prototaipnya mula dilihat, dan selepas pengeluarnya mengesahkan sedan berkenaan akan diberikan kemaskini.

    Kemaskini pertama untuk S70 ini datang dua tahun selepas ia mula-mula dilancarkan untuk pasaran tempatan pada November 2023. Apa yang dapat dilihat, ia menerapkan perubahan seperti yang terdapat pada Emgrand generasi keempat, yang telah diberi versi facelift pada 2024. Perlu dinyatakan bahawa Emgrand juga telah memasuki model generasi kelimanya bulan lalu, tetapi itu belum lagi tiba di sini.

    Perubahan penampilan yang terlibat antaranya di bahagian lampu utama, yang hadir dengan rekaan baru bersama lampu isyarat yang disepadukan, sementara rim yang digunakan nampak sama dengan yang ada pada Emgrand. Sedan ini juga akan menerima warna baru — Ruby Red, yang akan menggantikan warna Passion Red ketika ini.

    Proton S70 MC1 2026 dilihat — enjin 1.5L i-GT empat-silinder baru; warna Ruby Red, rim dan lampu baru

    Proton telah menyatakan yang S70 MC1 ini akan digerakkan oleh enjin 1.5 liter i-GT turbocas empat-silinder sebaris yang sama dengan X50 terkini, dengan unit BHE15TD tersebut turut akan digunakan untuk X70 dan X90 kelak. Untuk X50, enjin berkenaan menjana sebanyak 181 PS (178 hp atau 133 kW) dan 290 Nm, lebih daripada apa yang dijana oleh enjin 1.5 liter tiga-silinder semasa S70 yang memberikan angka 150 PS (148 hp atau 110 kW) dan 226 Nm.

    Transmisi 7DCT yang digunakan oleh S70 sejak pengenalannya dijangka akan dikekalkan untuk versi facelift ini. Ada khabar angin mengatakan bahawa Proton akan menyertakan juga pilihan enjin NA bagi varian S70 yang lebih rendah, yang akan menjadi penawaran ganti bagi Persona yang akan dihentikan pengeluarannya.

    Di China, Emgrand generasi keempat facelift ada ditawarkan dengan enjin berkenaan, iaitu unit 1.5 liter yang menjana sebanyak 126 PS (125 hp atau 93 kW) dan 152 Nm yang digandingkan dengan CVT. Angka ini adalah lebih baik berbanding janaan Persona dengan 1.6 liter NA empat-silinder dan CVT, yang menghasilkan 109 PS (107 hp atau 80 kW) dan 150 Nm.

    Turut bertiup di media sosial menyatakan yang S70 MC1 akan dilancarkan bulan depan. Bagaimanapun, Proton belum pernah mengeluarkan sebarang iklan teaser rasmi untuk model ini lagi, setakat ini.

     
     
  • JPJ eBid: NEJ dan PSB dibuka untuk bidaan

    Memasuki bulan terakhir 2025, banyak syarikat pengeluar kereta berlumba-lumba mempromosikan model kenderaan masing-masing termasuk menawarkan diskaun menarik. Malah bulan ini juga menyaksikan beberapa model baharu dilancarkan untuk pasaran tempatan, sekaligus memberikan banyak pilihan kepada pelanggan. Bila dah tempah kenderaan baharu, pastinya tercari-cari nombor pendaftaran yang sesuai bukan?

    Terkini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menawarkan siri nombor pendaftaran baharu yang boleh dibida menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Antara siri nombor pendaftaran terkini ialah dari Negeri Sembilan, NEJ, yang dibuka bidaannya sejak semalam, 15 Disember. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 19 Disember. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 20 Disember 2025. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Pulau Pinang, PSB, dibuka bidaan mulai hari ini, 16 Disember. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 20 Disember, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 21 Disember 2025.

    Disebabkan sekarang ini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Tiada rancangan naiktaraf Lebuhraya Persekutuan

    Tiada rancangan naiktaraf Lebuhraya Persekutuan

    Kerajaan Malaysia tiada rancangan untuk menaiktaraf FT2 Lebuhraya Persekutuan walau pun laluan terbabit telah mencatatkan tahap aliran trafik yang paling sesak berdasarkan rekod yang dicatatkan pada tahun 2024.

    “Menaiktaraf FT2 Lebuhraya Persekutuan dan FT28 Jalan Lingkaran Tengah 2 tidak lagi ekonomik dilaksanakan memandangkan ia melibatkan pengambilan balik tanah serta aset yang tinggi dan kemungkinan juga memberi kesan sosial jika dilaksanakan. Sehubungan itu, Kementerian ini tiada perancangan untuk menaik taraf jalan tersebut.

    “Berdasarkan data bancian lalulintas 2024, tahap perkhidmatan jalan (Level of Service, LOS) di FT2 Lebuhraya Persekutuan (Stesen Banci BR101) adalah LOS F iaitu aliran trafik sesak. Sama seperti FT28 di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) pada Stesen Bancian BR903,” kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi semasa sesi soal jawab di Dewan Negara semalam.

    Tiada rancangan naiktaraf Lebuhraya Persekutuan

    Sementara itu, pada Ogos lalu, beliau dilaporkan berkata pada tahun ini Lebuhraya Persekutuan menerima peruntukan sebanyak RM20 juta bagi kerja-kerja menaiktaraf lorong motosikal, namun tiada perancangan untuk menambah lorong motosikal baharu di jalan-jalan utama yang lain.

    Kerajaan perlu menjalankan kajian menyeluruh sebelum pembinaan lorong motosikal baharu dilaksanakan bagi mengelakkan berlakunya konflik baharu di jalan raya yang mempunyai banyak laluan masuk dan keluar, kata Nanta ketika itu.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026