Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Honda M’sia rai 2 pemenang pertama kempen Because of You – bawa pulang City Hatchback RS, WR-V RS

    Sempena dengan ulangtahun ke-25 berada di pasaran Malaysia, Honda Malaysia Sdn Bhd (HMSB) menganjurkan kempen Because of You sebagai tanda penghargaan buat para pelanggan setianya. Hari ini, HMSB telah mengumumkan dan meraikan dua pemenang pertama untuk kempen ini.

    Pemenang yang bertuah membawa pulang seunit City Hatchback RS, Chin Boon Hao dari Perak, menyertai peraduan ini selepas membeli Civic RS berwarna Platinum White Pearl. Katanya, “Memiliki sebuah Civic sentiasa menjadi impian saya kerana saya tertarik dengan penampilannya yang menonjol dan prestasinya yang mantap, yang kekal setia dengan DNA Civic. Menerima kereta baharu sudah cukup mengujakan, tetapi memenangi City Hatchback RS disebabkan penyertaan ini menjadikannya lebih istimewa.

    “Saya terkejut apabila mereka menelefon untuk memaklumkan bahawa saya menang – saya ingat itu scam! Kini, saya tidak sabar untuk memandu kedua-dua kereta Honda saya dan menikmati pengalaman pemanduan berbeza yang ditawarkan.”

    Seorang lagi pemenang, Avis Ou Xiau Qian, pula diwakili suaminya yang terbang dari Sarawak untuk ‘mengambil’ WR-X RS yang dimenanginya ini. Dia yang menyertai peraduan ini selepas membeli CR-V berkata, “Saya mahukan sebuah SUV yang menawarkan pakej lengkap seperti keselesaan, keluasan dan rekaan yang elegan. Saat saya melihat CR-V, saya tahu itulah kereta yang sesuai untuk saya dan keluarga, dan saya terus membuat tempahan tanpa ragu.

    “Siapa sangka kereta baharu saya itu akan ‘membawa’ sekali ‘adiknya’ ke dalam keluarga. Kini saya merupakan pemilik bukan satu, tetapi dua SUV Honda, kedua-duanya sangat sesuai untuk keperluan keluarga saya.”

    City Hatchback RS dan WR-V RS antara enam hadiah utama yang ditawarkan menerusi kempen Because of You sempena dengan ulang tahun HMSB ke-25. Dalam majlis penyerahan hadiah ini, HMSB turut mempamerkan seunit CR-V generasi kedua yang menjadi model pertama Honda yang dipasang di Malaysia untuk versi CKD iaitu pada tahun 2003.

     
     
  • Proton sahkan X70 MC3, X90 MC dan S70 MC akan diperkenal guna enjin 1.5L empat-silinder turbo i-GT

    Proton sahkan X70 MC3, X90 MC dan S70 MC akan diperkenal guna enjin 1.5L empat-silinder turbo i-GT

    Baru-baru ini Proton telah dilihat menguji lagi sedan segmen-C Proton S70 dengan pelekat penyamaran, yang ramai jangkakan ia adalah unit ujian bagi model kemaskini menggunakan enjin 1.5 liter empat-silinder i-GT bagi menggantikan enjin 1.5 liter tiga-silinder pada model sedia ada.

    Nampaknya jangkaan itu benar kerana ketika berlangsungnya acara Proton Tech Showcase di Pusat Kecemerlangan Proton (CoE) yang bermula hari ini, Proton sendiri mendedahkan bahawa ia bakal melancarkan S70 dengan enjin berkenaan. Malah bukan hanya S70, enjin baharu tersebut turut akan menggantikan semua enjin tiga-silinder yang ada pada X70 dan juga X90.

    Proton memberikan nama ‘MC’ yang bermaksud ‘Minor Change’ pada ketiga-tiga model ini, jadi kami jangkakan selain dari enjin, ia mungkin hanya menerima tingkat taraf kecil pada bahagian rupa luaran dan dalaman serta perincian-perincian lain.

    Walau bagaimanapun tiada sebarang garis masa bila model-model ini akan dilancarkan. Namun boleh dijangka ia mungkin akan dibuat seawal tahun hadapan – ini kerana lebih cepat semua model beralih menggunakan enjin empat-silinder, fasiliti pengeluaran enjin Proton akan lebih efisien dari segi kos dan masa kerana ia hanya mengeluarkan satu jenis enjin dengan pelbagai varian bergantung pada keperluan model.

    Proton sahkan X70 MC3, X90 MC dan S70 MC akan diperkenal guna enjin 1.5L empat-silinder turbo i-GT

    Buat masa sekarang enjin i-GT tersebut telah digunakan pada Proton X50 facelift 2025 dan juga Saga MC3 2026. Pada X50 facelift, enjin dengan kod BHE15TD tersebut menghasilkan kuasa 181 PS dan tork maksima 290 Nm dengan diberikan pengecas turbo dan juga sistem suntikan bahan api terus. Varian ini akan ditawarkan pada S70 MC, X70 MC3 dan X90 MC.

    Manakala pada Saga ia dikenali dengan kod BHE15PFI, datang tanpa pengecas turbo serta sistem suntikan bahan api konvensional, menghasilkan kuasa 120 PS dan tork maksima 150 Nm. Varian ini turut akan digunakan oleh model-model Proton yang menggunakan unit rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV) termasuk eMas 7 PHEV, dengan beberapa perubahan kecil berbanding enjin yang digunakan pada Saga, serta akan digandingkan dengan transmisi khas hibird (DHT) dari siri DHT120 atau DHT160.

    Dalam slaid pembentangan yang ditunjukkan, Proton turut mendedahkan bahawa enjin BHE15PFI ini turut akan digunakan pada sebuah SUV baharu yang bakal diperkenalkan selepas ini dan ia dipadankan dengan kotak gear empat-kelajuan 4AT – mungkin ia adalah Saga Cross yang digembar-gemburkan sebelum ini? Lebih perincian berkenaan enjin dari keluarga BHE15 ini boleh anda baca pada PAUTAN INI.

     
     
  • Honda City sedan di Malaysia – RS petrol dan e:HEV dapat kamera 360-darjah; harga kekal dari RM100k

    Honda City sedan di Malaysia – RS petrol dan e:HEV dapat kamera 360-darjah; harga kekal dari RM100k

    Honda City sedan kini menerima kamera pandangan 360-darjah, yang diberikan untuk varian RS petrol dan RS e:HEV sahaja. Menariknya, sistem kamera ini tidak melibatkan sebarang kos tambahan, bermakna City RS petrol kekal pada harga RM99,900 dan RS e:HEV hybrid pula berharga RM111,900, kedua-duanya harga atas jalan tanpa insurans.

    Walau bagaimana pun, tiada perubahan yang dilakukan untuk ciri-ciri lain termasuk mekanikal. Ini bermakna kamera terbabit merupakan satu-satunya ciri tambahan yang diberikan untuk City sedan, yang dipertingkatkan pada Ogos 2023. Ketika dilancarkan, City sedan ditawarkan dengan tiga lagi versi petrol iaitu S,E dan V yang berharga dari RM84,900 hingga RM94,900.

    Kesemua varian petrol, termasuk RS, dijanakan oleh enjin 1.5 liter naturally-aspirated empat-silinder sebaris DOHC i-VTEC dengan hamburan kuasa 121 PS (119 hp atau 89 kW) pada 6,600 rpm dan tork 145 Nm pada 4,300 rpm.

    Sementara itu, RS e:HEV dipadankan dengan motor elektrik 109 PS (107 hp atau 80 kW) dan 253 Nm, yang dijanakan oleh enjin 1.5 liter kitaran Atkinson berkuasa 98 PS/127 Nm. Di mana enjin tersebut bertindak sebagai generator, yang juga boleh memacu kereta dalam kelajuan tinggi (di mana ia lebih menjimatkan) menerusi transmisi kelajuan-tunggal dan lock-up clutch.

    Enam warna ditawarkan untuk City bagi pasaran Malaysia iaitu rona baharu Phoenix Orange Pearl (di mana ia diperkenalkan untuk versi sedan pada Mac lalu dengan kos tambahan RM400), Ignite Red Metallic, Meteoroid Gray Metallic, Platinum White Pearl, Crystal Black Pearl dan Lunar Silver Metallic. Di mana dua pilihan warna terakhir itu hanya ditawarkan untuk varian petrol sahaja.

     
     
  • Geely bakal rebadge model-model Proton berasaskan platform AMA untuk dijual pada pasaran tertentu

    Geely bakal rebadge model-model Proton berasaskan platform AMA untuk dijual pada pasaran tertentu

    Ketika berlangsungnya Proton Tech Showcase di Pusat Kecemerlangan Proton (CoE) di Subang Jaya pagi ini, Eksekutif Program Kenderaan Proton Desmond Pinto mendedahkan bahawa model-model yang dibangunkan sendiri oleh Proton berasaskan platform Advance Modular Architecture (AMA) bakal di’rebadge’ oleh Geely dan dijual pada pasaran-pasaran tertentu.

    Menurutnya ini kerana Geely tidak mempunyai model-model yang lebih kecil, kompak dan mampu milik dari model-model yang di’rebadge’ oleh Proton buat masa sekarang seperti siri-X dan siri-S. Jadi model-model yang bakal dibangunkan dan diperkenalkan oleh Proton berdasarkan platform AMA kelak akan dipilih oleh Geely untuk di’rebadge’ bagi ditawarkan pada pasaran-pasaran yang memerlukan model-model sedemikian.

    Platform AMA yang dibangunkan oleh Proton adalah versi yang ditambah baik berdasarkan platform model-model yang dibangunkannya sendiri sebelum ini. Model pertama yang menggunakan platform tersebut iaitu Saga MC3 telah pun dilancarkan baru-baru ini.

    Geely bakal rebadge model-model Proton berasaskan platform AMA untuk dijual pada pasaran tertentu

    AMA merupakan platform modular yang boleh menghasilkan pelbagai model dengan saiz dan bentuk badan berbeza. Menurut Pinto dalam pembentangannya hari ini, platform AMA direka bersedia untuk pasaran global dengan penawaran terus dalam versi pemanduan sebelah kanan (RHD) dan kiri (LHD), dan ia akan mewarisi penawaran model-model pembangunan sendiri Proton seperti Iriz, Persona, Exora dan Saga.

    Jarak roda platform ini boleh dihasilkan secara bervariasi sehingga 290 mm manakala lebar jarak trek roda pula sehingga 43 mm. Model-model yang dihasilkan juga bukan hanya disasarkan untuk menerima penarafan lima bintang oleh Program Penilaian Kereta Baharu Asia Tenggara (ANCAP) dalam protokol 2026-2030, malah struktur binaannya turut direka mengambil kira Program Penilaian Kereta Baharu Eropah (Euro NCAP).

    Manakala untuk unit rangkaian kuasa, model-model ini akan menggunakan padanan enjin 1.5 liter empat-silinder i-GT baharu sama ada dengan kotak gear automatik empat-kelajuan 4AT dari Aisin atau CVT dari Punch Powertrain, dan ia juga boleh menerima unit rangkaian kuasa hibrid (HEV) di mana enjin i-GT tersebut akan digandingkan dengan transmisi khas hibrid 1 DHT.

    Turut tidak ketinggalan, model-model berasaskan platform AMA ini juga akan mengekalkan karekteristik ride & handling Proton, dengan mengambil kira keseimbangan antara prestasi pengendalian dan keselesaan.

    Tiada sebarang petunjuk model apa yang diperkenalkan menerusi platform AMA ini selepas Saga, namun Proton ada mendedahkan sekurang-kurangnya akan ada tiga lagi model baharu berasaskan platform tersebut yang kini dikenali sebagai AMA02, AMA05 dan AMA06. Namun boleh dijangka antara model-model yang akan dihasilkan kelak termasuk SUV kompak, hatchback kompak dan juga MPV, bagi menggantikan tempat model seperti Iriz dan Exora.

    Sebelum ini pengerusi Proton Holdings Berhad Datuk Seri Syed Faisal Albar ada menyatakan bahawa Proton akan menghasilkan lebih banyak model pembangunan tempatan yang bukan rebadge dari Geely, berasaskan platform AMA pada masa akan datang, dan ia bukan hanya disasarkan untuk menguasai pasaran tempatan, malah ia akan menjadi ‘senjata’ utama Proton pada pasaran global.

     
     
  • Proton Saga MC3 2026 – tempahan cecah 30,000 unit!

    Proton Saga MC3 2026 – tempahan cecah 30,000 unit!

    Ketika berlangsungnya acara Proton Tech Showcase di Pusat Kecemerlangan Proton (CoE) pagi ini, CEO syarikat itu Dr Li Chunrong memaklumkan bahawa Saga MC3 2026 yang baru sahaja dilancarkan akhir bulan lalu kini sudah pun mengutip sebanyak 30,000 unit tempahan!

    Proton Saga MC3 2026 ini ditawarkan dalam tiga varian iaitu Standard, Executive dan Premium, masing-masing dijual pada harga atas jalan tanpa insuran bermula RMRM38,990, RM44,990 dan RM49,990. Sehingga 31 Disember 2025, Proton turut menawarkan rebat tunai sebanyak RM1,000 turut akan diberikan kepada pelanggan, menjadikan harga yang diumumkan ini lebih murah.

    Model paling mampu milik dari Proton yang dikemaskini ini dibina berasaskan platform AMA — ia menggunakan platform Saga terdahulu, tetapi diberikan kejuruteraan semula untuk menguatkan semula kerangka Saga ini dengan menambahbaik beberapa struktur. Antaranya Proton telah menerapkan logam dengan teknologi Hot Press Forming (HPF) pada tiang-B dan juga bahagian cross member pada lantai yang memegang cagak tempat duduk.

    Proton Saga MC3 2026 – tempahan cecah 30,000 unit!

    Tiada lagi enjin Campro 1.3L pada Saga MC3 ini dan ia digantikan dengan enjin “i-GT” yang dibangunkan oleh Aurobay. Enjin dengan kod BHE15 berkenaan merupakan enjin dari keluarga yang sama dengan enjin yang kini dipadankan pada X50 facelift.

    Untuk Saga, enjin yang dibekalkan adalah dari varian BHE15PFI, iaitu versi tanpa turbo dan hanya hadir dengan sistem suntikan bahan api di port kemasukan udara (PFI), berbanding varian BHE15TD pada X50 yang disuap pengecas turbo serta datang dengan sistem suntikan bahan api terus (T-GDI); ia mampu menghasilkan kuasa 120 PS dan tork maksima 150 Nm.

    Dua jenis transmisi ditawarkan untuk Saga – bagi varian paling tinggi iaitu Premium ia datang dengan kotak gear CVT, manakala dua varian lebih rendah pula iaitu Executive dan Standard, ia datang dengan kotak gear automatik konvensional empat kelajuan 4AT.

    Proton Saga MC3 2026 – tempahan cecah 30,000 unit!

    Padanan unit rangkaian kuasa ini membolehkan Saga MC3 CVT mencapai penggunaan bahan api serendah 4.9L/100 km dan versi 4AT pula mampu mencapai 5.1L/100 km — kedua-duanya dalam kitaran ujian tempatan iaitu MDC.

    Model ini juga menerima rombakan besar dari segi rupa di mana semua varian kini diberikan lampu hadapan projektor LED, gril dan bampar hadapan baharu, serta lampu belakang juga dengan teknologi LED, bersama bar LED merentangi sepenuhnya but belakang (hanya untuk varian Premium).

    Kabin Saga ini juga telah dirombak semula di mana varian Executive dan Premium kini diberikan skrin infotainmen sembilan-inci dengan hubungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, dan semua varian diberikan paparan instrumen digital dengan skrin TFT tujuh-inci dan juga roda stereng lebih sporty rekaan rata di bawah.

    Proton Saga MC3 2026 – tempahan cecah 30,000 unit!

    Selain itu Saga MC3 2026 dalam varian Premium turut menerima peningkatan drastik dari segi keselamatan di mana ia kini diberikan enam beg udara dan fungsi bantuan pemanduan termaju (ADAS).

    Kami telah senaraikan setiap perincian yang diterima untuk setiap varian yang boleh anda baca pada PAUTAN INI. Juga kami sudahpun berpeluang membelek dan memandu uji model ini di Tanjong Malim beberapa minggu yang lalu – perincian penuh model ini boleh anda baca pada PAUTAN INI, dan ulasan pandu uji ringkas pula boleh anda baca pada PAUTAN INI.

    Risalah Proton Saga 2026

    Proton Saga 2026 — Snow White

    Proton Saga 2026 — Ruby Red

    Proton Saga 2026 — Space Grey

    Proton Saga 2026 — Marine Blue

    Proton Saga 2026 — Amour Silver

    Proton Saga 2026 Premium CVT

    Proton Saga 2026 Executive

    Proton Saga 2026 Standard

     
     
  • Harga minyak 4-10 Dis – petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi dinaikkan masing-masing 3 sen seliter

    Harga minyak 4-10 Dis – petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi dinaikkan masing-masing 3 sen seliter

    Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan bahawa bagi minggu bertarikh 4 hingga 10 Disember 2025, harga runcit petrol RON 97 dinaikkan tiga sen seliter menjadi RM3.29 seliter.

    Untuk petrol RON 95 tanpa subsidi, ia juga dinaikkan sebanyak tiga sen seliter menjadi RM2.66 seliter. Walau bagaimana pun harga runcit petrol bersubsidi RON95 di bawah Budi95 masih kekal pada RM1.99 seliter.

    Bagi harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia, ia dikekalkan pada RM3.08 seliter. Begitu juga dengan harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan yang kekal pada RM2.15 seliter.

    Pada 2 Disember lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan kekal komited melaksanakan mekanisme penyasaran subsidi petrol RON 95 menerusi program Budi Madani RON95 (Budi95), sekali gus menolak cadangan Bank Dunia supaya harga bahan api ditetapkan mengikut harga pasaran. Katanya, penyasaran subsidi RON 95 merupakan langkah berhemat yang membolehkan kerajaan menjimatkan perbelanjaan tanpa membebankan rakyat.

     
     
  • Aveta akan pasarkan motosikal Peugeot di Malaysia

    Aveta akan pasarkan motosikal Peugeot di Malaysia

    Aveta International Sdn Bhd mengumumkan kerjasama strategik dengan Peugeot Motocycles untuk memperkenalkan jenama premium Eropah ini ke dalam segmen motosikal dua roda di Malaysia. Perjanjian persefahaman antara kedua-dua pihak telah ditandatangani hari ini, menandakan langkah penting dalam usaha Aveta untuk mengembangkan pasaran motosikal di negara ini.

    Dalam siaran akhbar dinyatakan bahawa pelancaran rasmi Peugeot Motocycles di Malaysia akan dibuat pada suku pertama 2026 dan sebelum itu, kita boleh menjangkakan terdapat pra tonton untuk model yang akan dijual. Melalui kerjasama ini, Aveta International, yang merupakan syarikat motosikal Malaysia akan mengendalikan jenama Peugeot Motocycles sepenuhnya di negara ini.

    Pemilihan Aveta adalah berdasarkan kepimpinan yang kukuh, pemahaman mendalam tentang pasaran, rekod pelaksanaan yang terbukti, serta ekosistem selepas jualan yang mantap. Kerjasama ini bertujuan untuk memberikan pengalaman menunggang yang premium dan mudah diakses dengan rekaan dan kejuruteraan Perancis, disokong oleh rangkaian selepas jualan yang kuat melalui jaringan perkhidmatan Aveta yang telah ditubuhkan.

    Terdapat juga perancangan untuk membuka kedai flagship di kawasan-kawasan utama di seluruh negara. Peugeot Motocycles, yang ditubuhkan pada tahun 1898, merupakan pengeluar motosikal dan skuter tertua di dunia, dengan lebih dari satu abad pengalaman dalam kejuruteraan Perancis dan falsafah rekaan “Allure”.

    Jenama ini memiliki lebih daripada 3,000 pusat jualan di seluruh dunia, di mana 67 peratus jualannya datang dari pasaran antarabangsa. Model-model premium seperti Peugeot Metropolis, XP400, dan Pulsion dihasilkan di kilang canggih mereka di Perancis.

     
     
  • Toyota GR GT dalam teaser bersama versi lumba dan Lexus Sport Concept produksi – didedah 5 Disember

    Toyota GR GT dalam teaser bersama versi lumba dan Lexus Sport Concept produksi – didedah 5 Disember

    Toyota mengumumkan bahawa mereka akan memperkenalkan supercar flagship baru pada 5 Disember 2025, bersama-sama dengan model sports baru yang lain. Berdasarkan gambar teaser yang disertakan, kita akhirnya akan dapat melihat keseluruhan model GR GT dan versi perlumbaannya, sementara versi produksi Lexus Sport Concept juga akan tampil pada hari yang sama.

    Kereta-kereta dari Gazoo Racing ini telah diperkenalkan melalui GT Concept dan GT Racing Concept awal tahun ini ketika prototaipnya menyertai perlumbaan Goodwood Hillclimb pada bulan Julai lalu. Sementara itu, Lexus Sport Concept telah dipamerkan di acara The Quail, A Motorsport Gathering yang diadakan pada bulan Ogos sebelum muncul di Japan Mobility Show.

    Ketiga-tiga kereta ini dijangka dikuasakan oleh enjin V8 twin-turbo baru dengan sistem bantuan hibrid, di mana model Lexus dikatakan sebagai pengganti kepada LFA. Pada awalnya, diandaikan bahawa versi produksi GT Concept akan dikeluarkan dengan lencana Lexus, tetapi dengan pelancaran Sport Concept, kini jelas bahawa Toyota ingin setiap jenama GR dan Lexus mempunyai model flagship masing-masing.

    Untuk GR GT, supercar ini telah diperkenalkan dalam iklan yang disiarkan di Jepun baru-baru ini. Dalam video tersebut, kita dapat melihat model lengkap yang tidak dilindungi bersama dengan 2000GT dan LFA. Pemandangan bahagian dalamnya telah ditunjukkan lebih awal semasa acara Goodwood.

    Bagi versi perlumbaan, ia telah diperkenalkan lebih awal pada tahun 2022 dengan GR GT3 Concept, yang kemudiannya akan disempurnakan menjadi GT Racing Concept. Gambar teaser menunjukkan banyak ruang pengudaraan, termasuk di atas lengkungan roda, bersama dengan rollcage dan tayar perlumbaan Michelin.

    Sementara itu, Lexus Sport Concept yang akan diproduksi akan kelihatan sangat berbeza daripada model GR yang lain. Di mana lampu lebar penuh pada GR GT mempunyai reka bentuk yang lebih melengkung, Lexus memilih reka bentuk yang lebih bersudut dan tajam sehingga ke sisi.

    Lexus Sport Concept

    Seperti pada model konsep, buttresses lebih berfungsi untuk mensimulasikan “bumbung terapung” dan kaca belakang mempunyai bentuk yang berbeza dengan grafik padanya. Kita juga dapat melihat lampu brek gaya F1 yang terletak berhampiran diffuser bawah, yang ada pada model konsep, tidak terdapat pada kereta dalam teaser.

    Berdasarkan petunjuk ini, reka bentuk akhir versi produksi akan kemungkinan besar mengikuti model konsep, termasuk pencahayaan depan yang unik dan wajah yang tajam. Kita akan mengetahui lebih lanjut apabila Toyota mendedahkan semua ini pada hari istimewa mereka pada 5 Disember. Acara tersebut akan disiarkan secara langsung di YouTube bermula pada pukul 11 pagi waktu Jepun, yang bersamaan dengan 10 pagi waktu Malaysia.

    GALLERY: Lexus Sport Concept at the 2025 Japan Mobility Show

     
     
  • Proton eMas 7 PHEV – teaser disiar, bakal muncul di Proton Tech Showcase di CoE 5 hingga 7 Disember ini

    Proton eMas 7 PHEV – teaser disiar, bakal muncul di Proton Tech Showcase di CoE 5 hingga 7 Disember ini

    Selepas ‘kelibat‘ unit ujian Proton eMas 7 PHEV dilihat berkeliaran di atas jalan raya awam untuk diuji kebelakangan ini, nampaknya model tersebut akan dipamerkan kepada awam tidak lama lagi – Proton akan mengadakan acara Proton Tech Showcase di Pusat Kecemerlangan (CoE) Proton di Subang Jaya hujung minggu ini bagi memperlihatkan teknologi-teknologi terkininya kepada orang awam, dan menerusi teaser yang disiar di laman sosial rasminya, eMas 7 PHEV turut akan dipamerkan pada acara tersebut!

    Proton tidak menyatakan dengan terus bahawa eMas 7 PHEV ini akan dipamerkan di acara yang akan berlangsung pada 5 hingga 7 Disember itu nanti. Sebaliknya ia menunjukkan sebuah SUV dengan bentuk badan yang seiras dengan eMas 7 tetapi digelapkan, kecuali pada lampu belakang. Lampu tersebut sememangnya sama dengan Geely Galaxy Starship 7 (atau dikenali sebagai Starray EM-i di Australia dan Indonesia), iaitu versi plug-in hybrid (PHEV) untuk Geely EX5/Proton eMas 7.

    Versi PHEV ini digerakkan dengan unit rangkaian kuasa yang dikenali sebagai EM-i yang menggandingkan enjin petrol empat silinder 1.5 liter NA dan dipadankan bersama transmisi hibrid khas (E-DHT). Ya, ia merupakan enjin BHE15 1.5 liter empat-silinder yang dikenali sebagai i-GT, yang kini sudahpun berada dalam perut Saga MC3 didakwa boleh mencapai kecekapan haba sehingga 46.6%. Namun untuk versi ini, enjin tersebut hanya menjana kuasa 99 PS serta tork 125 Nm, manakala transmisi E-DHT yang disebut tadi turut mempakejkan sekali dua motor elektrik 12-dalam-1 yang membekalkan kuasa keseluruhan 218 PS dan tork 320 Nm.

    Menerusi sistem ini enjin petrol yang dibekalkan dalam kebanyakkan masa hanya berfungsi sebagai generator untuk mengecas bateri, manakala roda hadapan akan dipacu oleh motor elektrik. Namun ada masa-masa tertentu enjin turut akan bersama-sama menggerakkan roda bersama motor elektrik, seperti sistem hibrid e:HEV Honda.

    Tetapi apa yang tidak sama, bateri pada sistem PHEV EM-i ini turut boleh dicas semula seperti sebuah EV sebenar. Di Australia Starray EM-i dibekalkan dengan bateri LFP berkapasiti 18.kWj. Ini memberikan jarak gerak elektrik penuh tanpa enjin dihidupkan sejauh 84 km, dan dengan satu tangki petrol penuh bersama satu cas penuh bateri membolehkan ia bergerak sejauh 943 km – kedua-dua angka ini dikira berdasarkan kitaran WLTP. Ia turut boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8 saat serta mencapai kelajuan maksima 170 km/j.

    Untuk mengecas pula Geely Starray EM-i mampu menerima pengecas AC 6 kW dan pengecas pantas DC sehingga 30 kW. Malah fungsi vehicle-to-load (V2L) juga boleh digunakan untuk mengoperasikan peralatan elektrik lain sama seperti EV sebenar.

    Proton sebenarnya sudahpun memfailkan nama eMas 7 PHEV ini di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) pada September 2024. Malah kilang EV baharu Proton di Tanjong Malim yang telah mula beroperasi sejak September lalu juga sememangnya direka membolehkan ia memasang model dengan unit rangkaian kuasa PHEV ini. Dengan kemnuculannya dikhalayak ramai akan dibuat hujung minggu ini, mungkin eMas 7 yang mempunyai enjin petrol ini boleh dilancarkan oleh Proton tahun depan?

    GALERI: Geely EX5 EM-i 2025 pasaran Australia

    GALERI: Geely Starray EM-i versi pemanduan sebelah kanan di GIIAS 2025

    GALERI: Geely Galaxy Starship 7 versi pemanduan sebelah kiri pasaran China di Auto Shanghai 2025

     
     
  • Kereta dipandu seorang lelaki terjatuh dalam gaung di Gua Musang kerana tidak sedari jalan ditutup

    Kereta dipandu seorang lelaki terjatuh dalam gaung di Gua Musang kerana tidak sedari jalan ditutup

    Seorang lelaki terselamat apabila kenderaan dipandunya terjatuh ke dalam gaung akibat tanah runtuh di Kilometer 45, Jalan Gua Musang-Lojing, berhampiran Pos Blau di sini, awal pagi tadi, laporan Harian Metro.

    Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi tadi, mangsa terjatuh ke dalam gaung tanah runtuh itu bersama kenderaannya kerana melalui jalan yang sudah ditutup sejak jam 12 tengah malam tadi. Mangsa dikatakan dalam perjalanan dari Cameron Highlands, Pahang ke Pasir Putih, Gua Musang sebelum kenderaan dipandunya terjatuh ke dalam gaung di kawasan tanah runtuh terbabit.

    Mujur kejadian terbabit disedari seorang pekerja Roadcare (M) Sdn Bhd yang sedang memantau kawasan terbabit apabila mendengar suara orang menjerit meminta tolong. Mangsa yang diselamatkan anggota bomba dibawa ke Klinik Kesihatan Pos Brooke untuk rawatan awal.

    Kereta dipandu seorang lelaki terjatuh dalam gaung di Gua Musang kerana tidak sedari jalan ditutup

    Untuk semua pengguna jalan raya, anda dinasihati agar lebih peka dengan keadaan sekeliling apatah lagi sekarang ini musim hujan dan banyak kawasan dilanda banjir kilat, tanah runtuh, pokok tumbang dan sebagainya. Jika melalui jalan yang gelap, berbukit dan berselekoh, elakkan memandu laju walau pun anda mungkin sudah biasa dengan jalan itu.

    Begitu juga jika ada laluan yang tenggelam dek banjir kilat, jangan sesekali berasa ia selamat untuk dilalui. Mungkin kedalaman banjir itu tidak selamat untuk diredah, ada tanah jerlus atau lubang besar yang tidak kelihatan di laluan terbabit atau pun air deras. Sudah beberapa kejadian berlaku apabila kenderaan yang meredah laluan ditenggelami banjir kemudian dihanyutkan air deras hingga ada nyawa yang terkorban.

    Tolong ambik iktibar dari kes-kes seumpamanya yang pernah berlaku sebelum ini. Sentiasa utamakan keselamatan dan nyawa anda serta penumpang anda. Fokus dalam pemanduan dan lebih berhati-hati di jalan raya.

     
     
  • Proton Saga MC3 Standard 2026 – galeri penuh varian paling murah; enjin 1.5L 120 PS/150 Nm, 4AT, RM38k

    Proton Saga MC3 Standard 2026 – galeri penuh varian paling murah; enjin 1.5L 120 PS/150 Nm, 4AT, RM38k

    Model Proton yang paling ditunggu-tunggu tahun ini iaitu Saga MC3 2026 sudahpun selamat dilancarkan minggu lalu. Jadi semua sudah tahu sedan paling mampu milik dari Proton ini ditawarkan dalam tiga varian iaitu Standard, Executive dan Premium, masing-masing dijual pada harga atas jalan tanpa insuran bermula RMRM38,990, RM44,990 dan RM49,990. Malah sehingga 31 Disember 2025, Proton turut menawarkan rebat tunai sebanyak RM1,000 turut akan diberikan kepada pelanggan, menjadikan harga yang diumumkan ini lebih murah.

    Dengan rebat tersebut menjadikan Saga MC3 boleh dibeli pada harga bermula RM 37,990 untuk varian 1.5 Standard. Tapi, di mana kita boleh tengok contoh Saga yang paling murah tersebut? Kami mendapati bahawa semua unit yang dipamerkan di bilik-bilik pameran Proton di seluruh Lembah Klang hanyalah dari varian Executive dan Premium.

    Mujur bilik pameran Proton Sianghin di Taman Melawati ada satu unit Saga MC3 Standard yang boleh kami lihat dan merakamkan galeri penuh sebelum unit berkenaan diserahkan kepada pemilik baharunya. Jadi mari kita tengok, dengan harga tidak sampai RM40k, apa yang anda dapat menerusi Saga MC3 Standard 2026 ini.

    Proton Saga MC3 Standard 2026 – galeri penuh varian paling murah; enjin 1.5L 120 PS/150 Nm, 4AT, RM38k

    Pada sebelah luar, Saga Standard ini masih menerima lampu hadapan projektor LED. Namun apa yang berbeza berbanding Exec dan Premium, lampu projektor LED pada Saga ini tidak diberikan fungsi lampu tinggi automatik. Dan, jalur LED berbentuk-L di bahagian dalam lampu tersebut masih ada, tetapi ia hanya berfungsi sebagai lampu maghrib – ia tidak secerah lampu nyalaan siang, dan tidak menyala secara automatik ketika enjin dihidupkan.

    Walau bagaimanapun, unit lampu berkenaan masih lagi sama seperti lampu yang dipasang pada Exec dan Premium berdasarkan nombor komponen (part number) yang kami periksa. Jadi perbezaan fungsi ini dibuat kemungkinan besar menerusi perisian yang mengawal lampu berkenaan. Mungkin selepas ini ada aksesori luar yang boleh mengkatifkan semula fungsi tersebut?

    Ada berberapa perincian lagi boleh anda kenali bahawa ini adalah varian Standard hanya menerusi pada bahagian muka, antaranya kemasan ‘busur panah’ pada gril hadapan varian ini datang dalam kemasan perak berbanding krom pada Exec dan Premium, dan ia tidak diberikan penderia parkir hadapan pada bampar.

    Beberapa perincian pada sebelah sisi sedan ini juga boleh memberitahu bahawa ia adalah dari versi paling asas, dan yang paling mudah adalah dengan melihat terus pada bahagian roda di mana ia tidak diberikan rim aloi 15-inci rekaan baharu, sebaliknya masih diberikan rim aloi 14-inci yang sama seperti Saga MC2 terdahulu. Kemudian anda juga boleh lihat pada pembuka pintu sebelah pemandu di mana varian ini tidak dibekalkan dengan butang kunci, dan kunci hanya boleh dibuka menerusi alat kawalan jauh sahaja (atau kunci manual menerusi silinder yang disorok di belakang penutup untuk digunakan sekiranya tiada bekalan elektrik).

    Selain itu, varian Standard ini ada berkongsi beberapa perincian luaran yang sama seperti varian pertengahan Executive, antaranya kerangka cermin tingkap pada tiang-B tidak berwarna hitam, tiada skrit sisi, tiada bar lampu yang merentangi penutup but belakang, dan tiada butang untuk membuka penutup but tersebut dari luar. Varian paling murah ini juga tidak diberikan kamera undur dan juga lampu dalam ruang but.

    Masuk ke kabin, perincian paling jelas bahawa ia adalah Saga Standard ialah ketiadaan skrin infotainmen, di mana anda hanya boleh mendengar muzik menerusi pemain audio standard 2-DIN hubungan Bluetooth dengan butang-butang kapasitif, tetapi masih diletak pada perumah skrin sembilan-inci yang ada pada varian Executive dan Premium. Bunyi dari pemain tersebut boleh didengari menerusi hanya dua pembesar suara yang diletakkan pada pintu hadapan. Namun varian dengan kelengkapan paling sedikit ini masih menerima paparan instrumen digital sepenuhnya menerusi skrin TFT tujuh-inci.

    Proton Saga MC3 Standard 2026 – galeri penuh varian paling murah; enjin 1.5L 120 PS/150 Nm, 4AT, RM38k

    Walaupun tiada butang kunci pada pembuka pintu, Saga Standard ini masih dibekalkan dengan butang penghidup enjin – jadi selepas anda membuka kunci dengan alat kawalan jauh, ia boleh disimpan terus dalam poket ketika masuk ke kereta, dan boleh terus menghidupkan enjin dengan butang tanpa perlu memasukkan kunci dalam mana-mana slot.

    Anda juga boleh lihat tiada butang penderia parkir pada susunan slot butang di bawah corong pendingin hawa tengah kerana tidak dibekalkan dengan penderia parkir hadapan, dan tiada fungsi auto-turun pada suis butang cermin tingkap pemandu (sama seperti Executive).

    Manakala untuk tempat duduk, ia hanya dibalut dengan fabrik tanpa sebarang corak, berbeza dengan varian Executive yang diberikan fabrik dengan corak ‘ombak laut’ sama seperti pada papan pemuka dan panel kemasan pintu. Ketinggian tempat pemandu juga hanya boleh dilaras pada bahagian hadapan menggunakan tombol bulat seperti varian Executive, sementara perehat kepala pada tempat duduk belakang tidak boleh dilaras ketinggiannya.

    Saga Standard ini tidak diberikan port USB di belakang brek tangan seperti yang ada pada Executive dan Premium, manakala port USB yang ada pada bahagian hadapan pula adalah port untuk data bagi kegunaan pemain audio, dan ia boleh mengecas telefon pintar secara perlahan.

    Bagi sistem keselamatan pula kelengkapan yang diberikan pada varian Standard dan Executive adalah sama dengan diberikan brek ABS, EBD dan BA, kawalan kestabilan elektronik dan hanya dua beg udara. Varian Premium datang dengan sistem keselamatan yang jauh lebih baik termasuk menerima enam-beg udara serta sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS).

    Enjin bagi kesemua varian Saga adalah sama iaitu unit 1.5 liter empat-silinder i-GT berkuasa 120 PS dan tork maksima 150 Nm – menjadikan Saga satu-satunya model bawah RM40k yang datang dengan enjin 1.5 liter. Namun sistem penghantaran kuasa ke roda hadapan adalah berbeza di mana varian Premium datang dengan kotak gear CVT automatik yang dibekalkan oleh Punch, manakala varian Executive dan Standard pula menerima kotak gear automatik konvensional empat-kelajuan 4AT keluaran Aisin.

    Jadi apa pendapat anda dengan kelengkapan yang diberikan pada Saga yang paling murah dalam barisan model ini? Adakah ia berbaloi dengan harga yang ditawarkan?

     
     
  • Tiada perkhidmatan tren Komuter dari Pelabuhan Klang ke KL Sentral pada 7 Dis ini – KTMB

    Tiada perkhidmatan tren Komuter dari Pelabuhan Klang ke KL Sentral pada 7 Dis ini – KTMB

    KTM Berhad (KTMB) memaklumkan bahawa tiada perkhidmatan tren Komuter disediakan dari Stesen Pelabuhan Klang ke Stesen KL Sentral pada Ahad ini, 7 Disember 2025. Walau bagaimana pun perkhidmatan tren Komuter dari KL Sentral ke Pelabuhan Klang akan beroperasi seperti biasa.

    Menurut KTMB, ini adalah bagi memberikan laluan kepada kerja-kerja naik taraf landasan di antara kedua-dua stesen terbabit pada tarikh berkenaan.

    “Sebagai alternatif, bas perantara akan disediakan di Stesen Pelabuhan Klang, Stesen Telok Gadung, Stesen Klang, Stesen Bukit Badak, Stesen Padang Jawa, Stesen Shah Alam dan Stesen Batu Tiga ke Stesen Subang Jaya. Bas perantara akan beroperasi dari jam 6.30 pagi dari stesen berkenaan,” kata KTMB menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Untuk maklumat lanjut, para penumpang boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan KTMB, atau layari laman web rasmi www.ktmb.com.my dan aplikasi KITS.

     
     
  • Bas ekspres asing boleh memasuki Malaysia tetapi tidak diberi permit beroperasi di negara ini – Loke

    Bas ekspres asing boleh memasuki Malaysia tetapi tidak diberi permit beroperasi di negara ini – Loke

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke memaklumkan bahawa bas ekpres dari negara luar termasuk Singapura dibenarkan memasuki Malaysia tetapi tidak akan diberikan sebarang permit untuk beroperasi di negara ini. Di mana keberadaan operasi bas dari Singapura di negara ini adalah atas kategori bas persiaran yang mana ia sememangnya dibenarkan, laporan Berita Harian.

    “Bas persiaran dari Singapura boleh masuk ke negara kita begitu juga dengan bas persiaran kita yang boleh masuk ke sana. Kita tidak mengharamkan bas persiaran masuk. Namun bagi kategori bas ekspres, kita tidak pernah mempertimbangkan dan tidak akan mempertimbangkan untuk diberikan permit bagi operasi di sini,” katanya.

    Ia ada bagi menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) yang meminta kerajaan menokhtahkan operasi bas ekspres haram dari Singapura yang memberi kesan kepada pengusaha bas tempatan.

    Tambah Loke, bagi operasi bas persiaran dari Singapura, mereka tidak boleh mengambil penumpang lain sepanjang perjalanan seperti dibuat oleh bas ekspres. Justeru, tindakan penguatkuasaan akan diambil jika pihaknya mendapati bas persiaran dari Singapura yang membawa pelancong dari sana, membuat pengambilan penumpang ketika berada di negara ini.

    “Industri tempatan mempertikaikan sama ada penguasaha ini menjalankan fungsi sebagai bas ekspres iaitu jika mereka mengambil penumpang dari Kuala Lumpur contohnya ke Singapura, yang mana jawapannya kita tidak benarkan. Jadi tidak timbul syarikat tempatan hilang punca pendapatan atau mengalami kerugian disebabkan isu terbabit,” katanya.

     
     
  • JPJ eBid: Siri JYQ dan QAB_N bakal dibuka bidaan

    Bagi yang sedang mencari nombor pendaftaran bagi kenderaan, ini ada siri terkini dari Johor dan Sarawak yang akan dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Johor, JYQ bakal dibuka bidaan bermula 5 Dis 2025. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 9 Dis. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 10 Dis 2025. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Sarawak, QAB_N, dibuka bidaan bermula 13 Dis 2025. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 17 Dis, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 18 Dis 2025.

    Memandangkan kini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran kenderaan yang diingini.

     
     
  • Perodua QV-E — pajakan bateri melalui BaaS dan bagaimana ia menjamin nilai jualan semula kenderaan

    Perodua QV-E — pajakan bateri melalui BaaS dan bagaimana ia menjamin nilai jualan semula kenderaan

    Dengan pengenalan Perodua QV-E yang merupakan model elektrik pertamanya semalam, syarikat itu turut memperkenalkan konsep “Battery-as-a-Service (BaaS)”, yang didakwa akan menyelesaikan keresahan pelanggan berkaitan bateri (jangka hayat dan tahap kesihatan yang menyusut) serta nilai jualan semula (nilai yang menyusut).

    Harga RM80,000 yang diumumkan itu adalah untuk badan kereta, sementara kos baterinya pula melibatkan ansuran RM275 sebulan untuk tempoh sembilan-tahun (tiada pilihan lain, misalnya untuk dipendekkan atau diperpanjang). Jumlah itu juga belum termasuk 8% cukai jualan dan servis (SST) — menjadikan jumlah keseluruhan untuk bateri ini ialah sekitar RM300 sebulan.

    Bagaimanapun, pelanggan juga perlu membayar pendahuluan untuk tiga bulan ketika menandatangani perjanjian pajakan tersebut, dengan kos keseluruhan RM825 belum termasuk SST, atau sekitar RM900 dengan SST. Jumlah ini muungkin akan digunakan untuk menanggung bayaran tiga bulan terakhir pajakan, atau untuk tujuan menyelesaikan baki bayaran sekiranya berlaku pembatalan awal, dengan lebihan bayaran akan dikembalikan kepada pelanggan. Ringkasnya, pelanggan perlu menyediakan bayaran untuk tempoh empat bulan sebagai pendahuluan untuk bayaran pajakan tersebut, dengan jumlah keseluruhan melibatkan sekitar RM1,200.

    Bayaran akan dibuat pada atau sebelum lima hari bulan, setiap bulan, dengan yuran sebanyak 1% setahun akan dicaj untuk setiap bayaran yang terlewat. Perodua juga berhak menghalang kereta daripada dihidupkan, atau menghalang fungsi bateri sekiranya pelanggan lewat bayar melebihi dua bulan, serta membatalkan perjanjian pajakan itu selepas tiga bulan tidak dilunaskan — sebelum mereka memulakan proses pengambilan semula.

    Perodua mendakwa skim BaaS yang patuh syariah ini menjamin nilai jualan semula EV berkenaan, dengan andaian bahawa badan kereta (serta motor dan komponen berkaitannya) masih mengekalkan nilainya. Ini kerana, Perodua akan menguruskan semua hal berkaitan penyelenggaraan bateri berkenaan, termasuk menggantikannya secara penuh sekiranya tahap kesihatan bateri (SoH) jatuh di bawah 70%.

    Tempoh pajakan yang panjang ini juga menjamin bateri kereta tersebut akan sentiasa kekal dalam keadaan baik untuk tempoh yang juga panjang; setahun lebih lama berbanding jaminan bateri lapan-tahun seperti kebiasaannya. Pajakan ini juga tiada had perbatuan yang dikenakan, tetapi pelanggan tidak boleh menggunakannya untuk tujuan e-hailing atau penghantaran, kerana dengan jelas penggunaan seperti itu adalah dilarang seperti dinyatakan dalam kontrak.

    Tentang nilai jualan semula, Perodua memaklumkan kontrak pajakan akan menjadikan pemilikan QV-E lebih melegakan fikiran pelanggan. Dengan EV lain, ramai yang beranggapan bahawa bateri EV hanya menunggu masa untuk merosot kesihatannya ke tahap yang tidak boleh digunakan lagi.

    Kerisauannya adalah disebabkan andaian bahawa bateri hanya akan tahan beberapa tahun sahaja lagi sebelum ia perlu diganti. Dan, untuk diganti di luar tempoh jaminan, pemilik akan dibebankan dengan kos yang sangat besar. EV yang berusia tujuh tahun yang diiklan untuk dijual misalnya, hanya akan memiliki tempoh setahun sahaja lagi untuk hayat sihat baterinya. Selepas itu, pemilik baru perlu menggantikan dan menanggung kos tersebut.

    Perodua QV-E — pajakan bateri melalui BaaS dan bagaimana ia menjamin nilai jualan semula kenderaan

    Nilai jualan semula EV juga perlu mengambil kira kemungkinan kos penggantian ini, yang menjadikan nilainya merudum dan begitu rendah. Inilah sebab kenapa permintaan terhadap EV terpakai sangat rendah, dan kenapa kereta EV yang usianya masih baru juga harganya jatuh separuh daripada harga jualan asal.

    Dengan QV-E, pelanggan tidak perlu risau tentang semua itu. Pembeli QV-E terpakai perlu menandatangani perjanjian pajakan yang baru, jadi baterinya akan sentiasa terjamin untuk tempoh sembilan-tahun ke hadapan (walaupun kereta itu telah digunakan selama dua tahun, sebagai contoh). Secara teorinya, ini akan membantu meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap EV tersebut, dan akan menjurus kepada permintaan yang tinggi, sekali gus menjamin nilai jualan semula yang lebih tinggi.

    Sebagai tambahan, dengan mengawal semua aspek tentang bateri tersebut sendiri, Perodua boleh memerhatikan inventorinya dengan lebih baik, dan melupuskan semua bateri yang telah rosak secara selamat dan bertanggungjawab — ini akan meningkatkan lagi aspek kemapanan dan status mesra alam dalam eko-sistem keseluruhan penggunaan QV-E.

    Ini juga selari dengan “passport bateri” yang diperkenalkan oleh Perodua, seperti mana piawaian yang telah dilaksanakan oleh MITI dan MARii bulan lalu. Ini didakwa akan menyediakan rekod digital menyeluruh untuk kitaran hayat bateri EV, dari pengeluaran hinggalah pelupusan,” seperti dilapor Malay Mail.

    Perodua QV-E — pajakan bateri melalui BaaS dan bagaimana ia menjamin nilai jualan semula kenderaan

    Pengesan bagi setiap kitaran hidup bateri ini adalah termasuk juga dengan penjejak GPS, yang membolehkan Perodua untuk mengesan sekiranya ada bateri yang telah dicabut keluar daripada kereta asal, atau sekiranya kereta terbabit dibiar terabai. Dalam situasi seperti itu, Perodua boleh mengesan bateri yang hilang tersebut dan menghantar pasukan untuk mengambilnya semula.

    Sudah tentu, ada juga kekurangan skim BaaS ini. Pertama, harga RM80,000 yang diumumkan itu akan membuatkan pelanggan merasakan QV-E lebih terjangkau berbanding keadaan sebenarnya. Mengambil kira bayaran pendahuluan 10% dan kadar faedah 2.5% setahun, pembeli perlu membayar sekitar RM1,120 sebulan (RM820 untuk badan kereta) jika tempoh pinjaman sembilan-tahun; RM1,310 sebulan (RM1,010 untuk badan kereta) untuk pinjaman tujuh-tahun; dan RM1,650 sebulan (RM1,350 untuk badan kereta) bagi tempoh pinjaman lima-tahun.

    Angka ini hampir sama dengan kos pembiayaan mana-mana kereta yang berharga sekitar RM100,000 sebenarnya. Betul juga pandangan yang menyatakan bahawa kos sekitar RM300 untuk pajakan bateri itu sebenarnya lebih daripada kos bahan api model kenderaan petrol biasa yang setara, tambahan pula pemilik QV-E masih perlu membayar untuk pengecasan.

    Kelemahan lain adalah sekiranya bateri perlu ditukar — atas sebab kemalangan atau pengabaian cara guna — akan memerlukan pemilik untuk menandatangani semula kontrak pajakan selama sembilan-tahun. Lain ceritanya jika bateri itu menunjukkan tanda-tanda kecatatan atau kerosakan pembuatan, itu akan diberi ganti di bawah jaminan tanpa mengubah perjanjian sedia ada.

    Perodua QV-E — pajakan bateri melalui BaaS dan bagaimana ia menjamin nilai jualan semula kenderaan

    Tetapi, QV-E menimbal balik semua ini dengan kos penyelenggaraan yang lebih rendah, kerana tiada enjin dan transmisi yang perlu dijaga. Tetapi walaupun penjimatan dari kos servis dan penggunaan ini biasanya lebih banyak berbanding kos tinggi yang diperlukan sekiranya perlu menukar bateri untuk jangka masa panjang, namun ini bukan kesnya dengan Perodua QV-E — kiranya, pelanggan membayar awal untuk penukaran berkenaan melalui pajakan tersebut.

    Dengan menawarkan badan kereta secara berasingan daripada bateri bermakna pinjaman pembiayaan hanya akan mengira daripada jumlah RM80,000 itu; ini bermaksud, ia lebih senang untuk diberi kelulusan oleh bank. Bayaran pajakan bateri dan ansuran bulanan akan dibayar sekali gus kepada bank, dan kemudian bank akan membahagikan jumlah berkenaan dan membayar kepada Perodua — maksudnya, pelanggan hanya perlu membuat bayaran sekali sahaja kepada satu pihak iaitu bank.

    Sekiranya tempoh pinjaman berakhir dahulu sebelum tempoh pajakan bateri, baki ansuran pajakan itu boleh dibuat melalui aplikasi P-Circle Perodua secara manual, atau melalui bank yang terlibat. Dalam kes ini, pelanggan tidak akan pernah memiliki bateri berkenaan: selepas selesai tempoh kontrak pajakan bateri, bateri tersebut masih menjadi milik Perodua, walaupun pelanggan sudah tidak perlu lagi membayar RM275 sebulan dan boleh menggunakan bateri terbabit selama yang mereka mahu.

    Cuma, jika mahukan perlindungan berterusan untuk bateri dan agar Perodua yang menanggung kos selepas itu (sekiranya bateri ada masalah atau SoC menyusut lebih rendah daripada 70%), maka perjanjin pajakan boleh diperbaharui untuk tempoh sembilan-tahun lagi.

    Perodua QV-E — pajakan bateri melalui BaaS dan bagaimana ia menjamin nilai jualan semula kenderaan

    Untuk menjual semula QV-E juga ada perbezaan caranya. Sepanjang tempoh pajakan, EV berkenaan hanya boleh dijual melalui Perodua Pre-Owned Vehicles (POV). Ini satu-satunya cara agar pemilik baru menjadi pelanggan pajakan bateri kereta terbabit. QV-E tidak boleh dijual secara terus kepada pembeli persendirian, pengedar kereta terpakai atau melalui platform seperti Carro atau Carsome.

    Dengan cara ini, Perodua dapat mengawal dan menjamin nilai jualan semula QV-E. Dan, walaupun kereta tersebut dijual dengan keadaan bateri yang baik dan sihat, pembeli baru itu perlu menandatangani kontrak sembilan-tahun yang baru serta menerima bateri baru; tidak ada cara bagi mereka untuk mewarisi bateri lama sekiranya pemilik kenderaan bertukar tangan. Dengan menukar bateri setiap kali QV-E bertukar pemilik, kelebihannya adalah pemilik baru akan terjamin baterinya untuk tempoh sembilan-tahun ke hadapan, sekali gus memperbaik nilai jualan semula.

    Perodua mungkin menjadi pengeluar kenderaan pertama yang menawarkan pajakan bateri di Malaysia, tetapi di pasaran lain sudah ada pengeluar yang menawarkan perkhidmatan yang sama — misalnya, Nio di China. Sebagai contoh, model sub-jenamanya yang lebih terjangkau, Firefly, diberikan subsidi dengan harga jualan hanya 79,800 yuan (RM46,600). Dan sebagai imbalan, bayaran pajakan bulanan sebanyak 399 yuan (RM230) dikenakan ke atas bateri dengan kapasiti yang lebih kecil 42 kWh (QV-E dengan 52.5 kWj) — jika ingin membeli bersama bateri, harganya menjadi 119,800 yuan (RM70,000).

    Beginilah perincian berkaitan Baas untuk QV-E, dan bagi Perodua, ia disifatkan mampu memberi kelebihan kepada pelanggan EV syarikat itu. Pandangan anda pula bagaimana?

     
     
  • Lexus GX550 2026 tiba di Malaysia – Toyota Land Cruiser Prado yang lebih mewah, harga dari RM780k

    Lexus GX550 2026 tiba di Malaysia – Toyota Land Cruiser Prado yang lebih mewah, harga dari RM780k

    Lexus akhirnya membawa masuk GX generasi ketiga ke Malaysia, muncul di laman rasmi jenama itu kira-kira dua tahun selepas pelancaran globalnya. SUV lasak premium ini, yang dibangunkan menggunakan asas Toyota Land Cruiser Prado serba baru, hadir sebagai pilihan lebih mewah untuk peminat 4×4 bersaiz sederhana – dan tampil dengan harga yang setanding.

    Dua varian ditawarkan kepada pembeli tempatan. GX550 Overtrail yang berimej lebih rugged dijual pada harga RM780,000, manakala GX550 Luxury+ yang memberikan fokus kepada kemewahan pula berharga RM830,000. Kedua-dua harga adalah atas jalan tanpa insurans dan termasuk waranti lima tahun tanpa had perbatuan.

    Meskipun harganya tinggi, pembeli tetap menerima rangkaian kuasa yang besar dan berprestasi. Berbeza dengan Prado yang hanya menggunakan enjin empat silinder, GX550 hadir dengan enjin petrol 3.5 liter V35A-FTS V6 berkembar turbo yang menghasilkan 354 PS antara 4,800 hingga 5,200 rpm serta 650 Nm tork dari 2,000 hingga 3,600 rpm.

    Kuasa dihantar melalui transmisi automatik 10 kelajuan bersama sistem pacuan semua roda sepenuh masa. SUV bersaiz besar ini mampu memecut 0-100 km/j dalam masa tujuh saat, manakala kelajuan maksimum dihadkan pada 175 km/j. Penggunaan bahan api pula direkodkan pada 12.3 liter bagi setiap 100 km mengikut kitaran NEDC.

    Dibina menggunakan rangka ladder frame Toyota New Global Architecture (GA-F), suspensi GX telah dioptimumkan untuk kestabilan dan pengendalian lebih baik, disertai kekakuan badan yang lebih tinggi untuk keselesaan dan tahap kebisingan dalaman yang lebih rendah.

    Sistem stereng kuasa elektrik turut membantu meningkatkan rasa stereng. Bahagian hadapan menggunakan suspensi double wishbone, manakala bahagian belakang menampilkan gandar solid four-link, lengkap dengan spring gegelung di semua penjuru.

    Lexus GX550 2026 tiba di Malaysia – Toyota Land Cruiser Prado yang lebih mewah, harga dari RM780k

    Perbezaan antara dua varian dapat dilihat dengan ketara pada kelengkapan offroad. Overtrail paling bersedia untuk cabaran lasak dengan kehadiran pengunci differential belakang dan sistem Multi-Terrain Select (MTS) yang menawarkan mod Dirt, Sand, Mud dan Rocks serta tetapan Auto dan fungsi Crawl Control.

    Varian ini turut memperkenalkan sistem Electronic-Kinetic Dynamic Suspension System (E-KDSS) yang boleh memisahkan anti-roll bar secara automatik bagi meningkatkan artikulasi roda. Luxury+ pula lebih memfokuskan keselesaan dengan penggunaan differential tengah Torsen, pemilih mod pemanduan biasa dan penyerap hentak adaptif.

    Kedua-dua varian tetap dilengkapi gear rendah serta sudut approach, break-over dan departure masing-masing pada 26, 23 dan 23 darjah. Kapasiti menunda pula ialah 3,130 kg untuk Luxury+ dan 3,500 kg untuk Overtrail.

    Lexus GX550 2026 tiba di Malaysia – Toyota Land Cruiser Prado yang lebih mewah, harga dari RM780k

    Dari aspek saiz, GX berukuran 4,950 mm panjang, 1,980 mm lebar dan 1,865 mm tinggi, menjadikannya 25 mm lebih panjang dan lima milimeter lebih rendah berbanding sebelum ini, dengan lebar dan jarak roda 2,850 mm yang dikekalkan. Overtrail pula sedikit lebih besar dengan lebar tepat dua meter dan tinggi tambahan 25 mm, hasil daripada jarak tayar kanan dan kiri yang lebih lebar serta rel bumbung yang lebih tinggi.

    Reka bentuk luaran membezakan GX daripada Prado, terutama di bahagian hadapan yang menampilkan lampu utama LED tiga projektor yang lebih nipis, lampu nyalaan siang berbentuk anak panah dan interpretasi baru gril spindle Lexus yang kini diintegrasikan dengan pelindung bampar hadapan.

    Di bahagian belakang, terdapat lampu LED penuh lebar berbentuk U, tulisan Lexus moden serta pintu belakang berkuasa – dengan fungsi tanpa sentuhan eksklusif untuk Luxury+. Luxury+ juga dipadankan dengan rim 22 inci kemasan kelabu gelap, sementara Overtrail menggunakan rim 18 inci kemasan matte bersama tayar all-terrain.

    Lexus GX550 2026 tiba di Malaysia – Toyota Land Cruiser Prado yang lebih mewah, harga dari RM780k

    Kabinnya menampilkan suasana lebih premium berbanding Prado, dengan papan pemuka tegak bersama kemasan Tsuyasumi atau kayu oak dan penataan kokpit Tazuna. Antara ciri utama termasuk paparan instrumen digital 12.3 inci, skrin sesentuh 14 inci dengan tombol fizikal untuk kawalan pendingin hawa dua zon serta sistem Lexus Climate Concierge. Sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, pengecas wayarles Qi dan head-up display turut disediakan.

    Tempat duduk hadapan boleh dilaras lapan hala dan hadir dengan fungsi pemanas, pengudaraan dan memori pemandu. Overtrail menggunakan balutan kulit tiruan, manakala Luxury+ menerima kulit semi-aniline bersama sokongan lumbar untuk pemandu dan penumpang hadapan serta perehat kepala larasan empat hala.

    Luxury+ juga merupakan satu-satunya varian tujuh tempat duduk, manakala Overtrail hanya menawarkan lima tempat duduk dengan tiga port USB-C berbanding lima pada Luxury+. Tempat duduk baris kedua dengan pemanas turut diberikan.

    Antara kelengkapan standard lain ialah cermin pandang belakang malap automatik, lampu suasana boleh ubah, sistem pembatal bunyi aktif dan sistem audio Pioneer 10 pembesar suara. Luxury+ menambah bumbung kaca panoramik, cermin pandang belakang digital dan sistem audio Mark Levinson 23 pembesar suara.

    Aspek keselamatan turut diberi perhatian dengan tujuh beg udara termasuk beg udara tengah serta pakej penuh Lexus Safety System+. Ini merangkumi brek kecemasan automatik, kawalan jelajah adaptif dengan fungsi stop and go, bantuan kekal lorong, pemantauan titik buta, amaran lintasan trafik belakang, AEB parkir, pengecaman tanda jalan, amaran pintu terbuka, kawalan salah tekan pedal dan lampu tinggi automatik.

    Luxury+ menerima lampu tinggi adaptif melalui sistem BladeScan, manakala Overtrail menambah kawalan menuruni bukit serta sistem kamera sekeliling yang ditingkatkan dengan Multi-Terrain Monitor yang memberi pandangan bawah hadapan dan mod paparan tembus pandang.

     
     
  • Makin banyak bas dan kenderaan barangan guna peranti had kelajuan; pematuhan naik 48.7% – Loke

    Makin banyak bas dan kenderaan barangan guna peranti had kelajuan; pematuhan naik 48.7% – Loke

    Tahap pematuhan penggunaan peranti had kelajuan (SLD) fasa 1 membabitkan bas dan kenderaan barangan menunjukkan peningkatan ketara sehingga 48.37% setakat semalam (1 Disember) berbanding 2.68% pada permulaan penguatkuasaan sejak 1 Oktober lalu, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, laporan Bernama.

    “Hasil daripada tindakan penguatkuasaan tegas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), tahap pematuhan penggunaan SLD fasa 1 meningkat dari 2.68% pada permulaan penguatkuasaan sehingga 48.37%. Kementerian Pengangkutan (MOT) akan meneruskan penguatkuasaan SLD dengan tegas untuk mencapai tahap pematuhan yang lebih baik,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau menjawab soalan asal Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) yang meminta MOT menyatakan maklumat terperinci mengenai peranti SLD.

    Tambahnya, pemasangan SLD fasa 1 membabitkan bas ekspres, bas pelancongan dan kenderaan barangan dengan berat dengan muatan (BDM) melebihi 3,500 kilogram (kg).

    Makin banyak bas dan kenderaan barangan guna peranti had kelajuan; pematuhan naik 48.7% – Loke

    “Sehingga 15 November lalu, sebanyak 307 pihak pengesah sudah berdaftar di seluruh negara bagi menjalankan pemasangan serta pengesahan kefungsian SLD,” katanya lagi.

    Pada Jun lalu, kerajaan mengumumkan semua pengendali kenderaan berat dan bas perlu mengaktifkan SLD pada kenderaan mereka, kerana penggunaannya akan diwajibkan mulai 1 Januari 2026.

    SLD merupakan sistem kawalan had laju yang direka untuk mengehadkan kelajuan maksimum sesuatu kenderaan. Ia akan menghalang jenis-jenis kenderaan komersial tertentu daripada dipandu melebihi had yang ditetapkan, iaitu 90 km/j untuk kenderaan berat dan bas. Peranti ini memainkan peranan penting dalam mengelakkan pemanduan melebihi had laju yang ditetapkan, terutamanya bagi kenderaan yang membawa muatan berat atau penumpang.

    “Pengilang diwajibkan untuk mengaktifkan SLD mereka agar hanya membolehkan kelajuan maksimum 90 km/j. Walaupun had laju jalan lebih tinggi, contohnya 110 km/j di lebuhraya, SLD masih akan mengehadkan kelajuan kenderaan kepada 90 km/j,” kata Loke sebelum ini.

     
     
  • Beli model baharu Hyundai dan jimat hingga RM10k, kadar faedah rendah; diskaun 20% untuk minyak enjin

    Beli model baharu Hyundai dan jimat hingga RM10k, kadar faedah rendah; diskaun 20% untuk minyak enjin

    Sedang kita menghampiri penghujung tahun 2025, Hyundai Motor Malaysia ingin menawarkan promosi istimewa sama ada jika anda ingin membeli kenderaan baharu Hyundai, ataupun untuk penyelenggaraan kereta sedia ada milik anda.

    Antara model yang diberikan tawaran istimewa ialah Tucson, dan pelanggan boleh memilih satu daripada dua tawaran berikut: pertama, kadar faedah pembiayaan serendah 0.8%, yang datang bersama Bonus Akhir Tahun sehingga RM5,000, serta lapan kali servis percuma bernilai RM4,858. Atau, pilihan kedua, yang melibatkan penjimatan sehingga 10% daripada harga biasa model tersebut.

    Inginkan sebuah kenderaan SUV yang lebih besar? Santa Fe juga ditawarkan dengan kadar faedah serendah 1.26%, serta Bonus Akhir Tahun yang lebih banyak iaitu sehingga RM10,000, serta lapan kali servis percuma bernilai RM6,230. Atau, sama seperti Tucson, anda boleh membeli Santa Fe baharu dengan penjimatan sehingga 10% daripada harga penuh asal.

    Untuk model yang lebih besar daripada itu, Staria adalah jawapannya. Ditawarkan dengan kadar faedah serendah 1.39%, serta Bonus Akhir Tahun sehingga RM8,000, dan lapan kali servis percuma bernilai RM8,000. Atau, anda boleh memilih pembelian Staria dengan penjimatan sehingga 10% daripada harga biasa.

    Sekiranya anda memilih pakej Kadar Feadah Rendah, tidak kira model Hyundai mana yang anda pilih, anda juga berpeluang menikmati ganjaran rakan kongsi lain melibatkan baucar Shell bernilai RM1,000 dan juga jam pintar Samsung bernilai RM1,200. Tawaran bagi model-model Hyundai yang dinyatakan ini akan berakhir pada 31 Disember 2025.

    Pemilik kenderaan Hyundai sedia ada juga berpeluang untuk menikmati kelebihan daripada kempen akhir tahun oleh Hyundai Motor Malaysia ini. Bawa kenderaan Hyundai anda ke pusat servis sah dari 1 Disember 2025 hingga 31 Januari 2026, dan anda akan menikmati diskaun hingga 20% untuk minyak enjin dan penapis minyak, serta akan diberikan pemeriksaan kenderaan percuma juga.

    Dengan tahun 2025 yang akan melabuhkan tirainya, sekarang adalah masa terbaik untuk memanfaatkan tawaran istimewa daripada Hyundai Motor Malaysia, baik untuk kenderaan baharu atau pun untuk kenderaan Hyundai sedia ada yang masih anda gunakan. Maklumat lanjut di sini.

     
     
  • Perodua QV-E terima penarafan lima-bintang untuk ASEAN NCAP dengan catatan keseluruhan 88.36 mata

    Perodua QV-E terima penarafan lima-bintang untuk ASEAN NCAP dengan catatan keseluruhan 88.36 mata

    Perodua QV-E yang baru saja dilancarkan semalam turut menerima penarafan lima-bintang bagi ujian keselamatan ASEAN NCAP. Kelengkapan keselamatan bagi kenderaan Perodua sememangnya lengkap, tetapi dengan QV-E, ada beberapa perincian terbaru yang diperkenalkan.

    Untuk mengelakkan kejadian pemandu yang terlupa ada kanak-kanak di kerusi belakang, Perodua kini memperlenalkan ciri Child Presence Detection (CPD) yang menggunakan gelombang milimeter untuk mengesan pergerakan dan pernafasan di kerusi belakang, walaupun kanak-kanak terbabit diselimuti fabrik. Sekiranya kereta sudah dimatikan dan CPD mengesan masih ada kanak-kanak di dalam kabin, ia akan membunyikan hon dan menyalakan lampu. Amaran peringkat kedua pula melibatkan aplikasi dan makluman SMS.

    CPD ini berfungsi juga pada waktu malam, dan sehingga 85 darjah-Celsius. Untuk haiwan peliharaan, mereka juga akan dapat dikesan. Ada juga butang SOS untuk kecemasan di atas cermin pandang belakang, yang boleh anda tekan sekiranya berlaku kemalangan atau kecemasan. Ia dipautkan ke Perodua Auto Assist dan bantuan menyelamat MERS 999.

    Semua ini diterjemahkan di dalam pencapaian ujian NCAP, yang mana QV-E menerima penarafan lima-bintang untuk ASEAN NCAP dalam protokol 2021-2025 semasa. EV ini mencatatkan bacaan 88.36 mata, dengan pecahan seperti berikut: Adult Occupant Protection (AOP) dengan 29.31 mata daripada 32 dan Child Occupant Protection dengan 42.67 mata daripada 51.

    Bagi segmen Safety Assist, bacaan yang diraih ialah 21/21, manakala bagi segmen Motorcyclist Safety, QV-E mencatatkan mata 12/16.

     
     
  • Naza umum tamatkan pengedaran Maserati di Malaysia; kini fokus pada Suzuki, Mercedes-Benz

    Naza umum tamatkan pengedaran Maserati di Malaysia; kini fokus pada Suzuki, Mercedes-Benz

    Naza Automotive Group telah mengeluarkan satu kenyataan hari ini dengan menyatakan bahawa Naza Italia secara rasmi telah mengeluarkan notis kepada Maserati S.p.A. tentang hasrat pihaknya untuk menamatkan pengedaran jenama Itali itu. Naza berkata notis tersebut telah dikemukakan mengikut keperluan kontrak 180 hari di bawah perjanjian pengimportan dan pengedaran bertarikh 1 Januari 2009.

    “Penamatan pengedaran Maserati merupakan sebahagian daripada strategi lebih luas bagi Naza Auto untuk mempertingkatkan fokus terhadap jenama teras dan bidang pertumbuhan baharu.

    “Perubahan fokus itu memberi tumpuan kepada memperkembangkan rangkaian Suzuki Cars Malaysia, pengalaman runcit dengan pengedar Mercedes-Benz di Bangsar, serta “pengukuhan inisiatif khidmat pelanggan, pelaburan dalam platform digital, dan penilaian aktif terhadap jenama automotif baharu, termasuk mobiliti EV dan peluang serantau di ASEAN,” menurut kenyataan daripada Naza Automotive Group.

    Tahun ini, Suzuki Cars Malaysia di bawah Naza Eastern Motors telah memulakan rancangan peluasan rangkaian pengedarnya bagi mencapai pertumbuhan lebih 100% dalam tempoh tiga tahun akan datang, selain melabur dalam platform digital dengan sasaran peningkatan jualan Suzuki di Malaysia setiap tahun. Model terbaharu Suzuki yang tiba di Malaysia ialah Fronx Hybrid, yang dilancarkan bulan lalu.

    Bagi Mercedes-Benz pula, pengedarnya NZ Wheels telah membuka cawangan Stars@Mercedes-Benz Bangsar bulan lalu, dan ia merupakan Stars@Mercedes-Benz pertama di ASEAN serta hanya yang ketiga di dunia selepas di Ginza, Tokyo dan Zurich, Switzerland. Konsep ini direka sebagai pusat urban perintis untuk mempamerkan model-model paling eksklusif daripada Mercedes-Benz, Mercedes-AMG dan Mercedes-Maybach, termasuk G-Class.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.67 (0.00)
EURO 5 B7 RM4.87 (0.00)
Last Updated Jun 11, 2026