Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Samsung sediakan barisan produksi ujian hasilkan bateri 4680 untuk Tesla – produksi sebenar di M’sia?

    Samsung sediakan barisan produksi ujian hasilkan bateri 4680 untuk Tesla – produksi sebenar di M’sia?

    Pengeluar bateri Samsung SDI kini difahamkan sedang menyediakan barisan produksi perintis di kilang yang terletak di Cheonan, Korea Selatan bagi memulakan ujian pengeluaran bateri yang diproduksi untuk Tesla, dan seterusnya akan diikuti dengan produksi besar-besar mungkin menerusi fasilitinya yang terletak di Malaysia, menurut laporan The Elec.

    Bateri yang diuji untuk diproduksi di kilang Korea berkenaan adalah bateri 4680 – merujuk kepada diameter 46 mm dan panjang 80 mm – dan Samsung SDI akan mengesahkan teknologi bateri berkenaan dalam masa setahun, tulis laporan itu lagi.

    Barisan produksi pengeluaran perintis Samsung SDI untuk bateri 4680 di Cheonan tersebut mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan hanya di bawah 1 GWj, namun dijangka syarikat tersebut mampu untuk meningkatkan pengeluaran bateri baharu ini kepada kapasiti tahunan 8 GWj hingga 12 GWj.

    Samsung sediakan barisan produksi ujian hasilkan bateri 4680 untuk Tesla – produksi sebenar di M’sia?

    The Elec menyatakan bahawa selepas produksi permulaan untuk projek perintis tersebut, produksi besar-besaran bateri 4680 itu akan dibuat di kilang Samsung SDI di Seremban, Malaysia. Jika ujian tersebut berjaya, Samsung mungkin akan bersama pengeluar bateri lain seperti Panasonic dan LG dalam membekalkan bateri generasi baharu untuk Tesla, lapor Teslarati pula.

    Format bateri 4680 ini telah diperkenalkan oleh Tesla pada September 2020 sebagai rekaan sel bateri tanpa tab ketika berlangsungnya acara Battery Day yang dianjurkan sendiri oleh jenama EV Amerika Syarikat berkenaan. Bateri tersebut didakwa mampu menawarkan ketumpatan tenaga lima kali lebih tnggi dan enam kali lebih berkuasa untuk 16% penambahbaikkan yang dibuat dalam jarak bateri pada kenderaan elektrik.

    Sumber yang dipercayai turut memberitahu The Elec bahawa Samsung SDI kini menyediakan lebih dari satu versi sel bateri, di mana salah satu versi sel bateri berdiameter 46 mm berkenaan menampilkan tinggi tidak sampai 80 mm dari sel bateri 4680 – bateri tersebut dilaporkan adalah permintaan dari BMW.

     
     
  • Diskaun 50% saman trafik di acara Keluarga M’sia

    Diskaun 50% saman trafik di acara Keluarga M’sia

    Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bakal menawarkan diskaun sebanyak 50% bagi saman trafik pada 1 hingga 3 Julai ini. Walau bagaimana pun, pembayaran saman dengan kadar diskaun tersebut hanya ditawarkan di satu lokasi sahaja.

    Lokasi terbabit ialah Litar Dato Sagor, di Pasir Salak, Perak, di mana satu acara besar iaitu Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia bakal berlangsung di situ pada tarikh berkenaan. Jadi, bagi orang ramai yang berada di daerah berkenaan atau berdekatan, atau pun di mana-mana jua anda berada dan berkesempatan berkunjung ke acara terbabit, jangan lupa untuk menyemak status saman trafik anda. Jika ada saman, boleh terus bayar.

    Acara yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 6 petang itu, memberikan penawaran diskaun saman trafik eksklusif buat pengunjungnya yang memiliki saman dari mana-mana lokasi di seluruh Malaysia. Kalau anda pernah kena saman di Sabah pun, boleh langsaikan bayaran saman tersebut dalam acara berkenaan.

    Selain itu, penduduk setempat juga berpeluang membayar saman yang dikeluarkan oleh Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) dengan tawaran diskaun sehingga 80% pada hari terakhir acara berkenaan, dan 50% untuk Jumaat dan Sabtu ini.

     
     
  • Ipoh lancar sistem lampu isyarat pintar guna AI dan 5G – tampil aliran trafik 51% lebih baik pada waktu puncak

    Ipoh lancar sistem lampu isyarat pintar guna AI dan 5G – tampil aliran trafik 51% lebih baik pada waktu puncak

    Perak telah melancarkan sistem lampu isyarat trafik pertama yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mengurangkan kesesakan aliran trafik.

    Baru-baru ini Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telahpun menandatangani perjanjian servis langganan dengan Telekom Malaysia (TM) untuk sistem Smart Traffic Light with Intelligence Analytic (STARS) yang menggunakan AI, kamera berdefinasi tinggi serta analitik video bagi menganalisa dan mengoptimakan aliran trafik.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Negeri Perak Khairul Shahril Mohamed, sistem STARS ini telah diuji sejak November tahun lalu di empat persimpangan sepanjang Jalan Sultan Idris Shah.

    Beliau menjelaskan bahawa sistem ini dapat membantu untuk melancarkan aliran trafik sehingga 51% ketika waktu puncak, yang bukan sahaja dapat menjimatkan masa dan kos pengguna jalan raya, malah turut mengurangkan emisi karbon dalam Ipoh sehingga 7,500 kg.

    Menurut laporan NST, lampu isyarat pintar ini akan dipasang di seluruh negeri dan selari dengan sasaran MBI bagi menjadikan Ipoh sebagai bandaraya karbon rendah menjelang 2030.

    Sistem STARS ini dihubungkan kepada Pusat Operasi Bersepadu Ipoh (IIOC), yang merupakan pusat untuk Pelan Tindakan Bandar Pintar Ipoh, berfungsi sebagai pusat kawalan pintar dengan kebolehan memproses Data Raya menggunakan AI dan Internet Benda (IoT) yang dikuasakan oleh jaringan 5G.

    Menurut MBI dalam kenyataan yang dikeluarkan, dengan kerjasama TM dan Digital Nasional Berhad (DNB) Ipoh telah menjadi negeri pertama di Utara Malaysia yang mendapat akses 5G pada kelajuan 1 GB sesaat. Bandaraya tersebut merancang untuk menambah 98 lagi tapak 5G di kawasan Greater Ipoh menjelang Oktober tahun ini, manakala liputan untuk seluruh negeri juga sedang diusahakan.

     
     
  • Polis cari pemandu Honda City guna laluan motosikal di Lebuhraya Persekutuan arah PJ menuju ke Klang

    Polis Daerah Petaling Jaya telah mengeluarkan kenyataan pihaknya sedang mengesan pemandu kereta Honda City yang memandu di lorong motosikal di KM 34.1 Lebuhraya Persekutuan arah Shah Alam.

    Aksi berkenaan dirakamkan oleh seorang penunggang motosikal dan telah dimuatnaik menerusi akaun pengguna TikTok @call_mezul serta tular di laman media sosial.

    Menurut ketua polis daerah ini, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, laporan polis telah dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Kenderaan yang terbabit adalah sebuah kereta Honda City dengan nombor pendaftaran VAG 8183. Dalam kejadian itu tidak membabitkan kemalangan serta kecederaan kepada pengguna jalan raya.

    “Pihak polis meminta pemilik atau pemandu kereta dan mana-mana saksi tampil membantu siasatan,” katanya.

    Beliau berkata, mereka boleh ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat trafik, Sarjan Ahmad Termizi Abdul Halim di talian 0133752511.

    @call_mezul #pdrmmalaysia #jpjnegeriselangor ? bunyi asal – CallMeZUL

     
     
  • Subaru Forester STI Sport 2022 didedahkan di Jepun – peredam STI, imej lebih menarik; 1.8L turbo 177 PS

    Subaru Forester STI Sport 2022 didedahkan di Jepun – peredam STI, imej lebih menarik; 1.8L turbo 177 PS

    Subaru Forester generasi kelima bakal muncul dengan varian STI Sport untuk pasaran Jepun, selepas model facelift SUV tersebut diperkenalkan pada Jun tahun lalu.

    Berasaskan gred Sport, penawaran baharu ini didatangkan dengan beberapa penambahbaikan bagi memenuhi kehendak pelanggan yang mahukan pemanduan yang lebih sporty. Ini termasuklah dengan kehadiran peredam baharu dengan talaan spesifik-STI, di mana Subaru mendakwa “ia memberikan pengendalian seperti sedan sport“, termasuk meningkatkan lagi pengendaliannya.

    Untuk imejnya pula, bahagian luarannya menerima kemasan hitam berkilat di beberapa bahagian, lencana STI dan roda alumnium 18-inci dengan rona gelap. Di dalam kabinnya pula, kluster instrumen turut menerima sentuhan STI, sementara tempat duduk hitam dengan kulit Nappa merah Bordeaux dengan jahitan merah. Malahan beberapa bahagian di dalam kabin turut menerima kemasan yang sama termasuk pada pad lutut, perehat tangan, serlahan papan pemuka dan panel pintu.

    Di bawah bonetnya, STI Sport menerima enjin yang sama dengan varian Sport dan model terkini Levorg iaitu unit CB18 1.8 liter pengecas turbo empat-silinder flat petrol. Penjana kuasa ini mampu menghasilkan sejumlah 177 PS (174 hp) dari 5,200 hingga 5,600 rpm dan tork 300 Nm dari 1,600 hingga 3,600 rpm, dengan pacuan disalurkan ke semua roda menerusi Lineartronic CVT dan sistem Symmetrical All-Wheel Drive.

    Harganya akan diumumkan tidak lama lagi tetapi pastinya lebih tinggi berbanding varian Sport yang berharga dari 3.3 juta yen (RM106,369), termasuk cukai penggunaan sebanyak 10%. Empat warna diberikan sebagai pilihan, termasuk Crystal White Pearl (dengan kos tambahan), Ice Silver Metallic, Magnetite Grey Metallic dan Crystal Black Silica.

     
     
  • Puspakom jelaskan kenapa ada kereta e-Hailing yang gagal dalam pemeriksaan brek berulang-ulang kali

    Puspakom jelaskan kenapa ada kereta e-Hailing yang gagal dalam pemeriksaan brek berulang-ulang kali

    Seperti yang diarahkan oleh kerajaan, kereta-kereta yang digunakan untuk perkhidmatan e-Hailing yang berusia lebih dari tiga tahun kini perlu melakukan pemeriksaan tahunan di Puspakom. Namun ada rungutan dari pemandu e-Hailing yang menyatakan bahawa mereka kerap gagal dalam ujian brek, dan ada yang sampai perlu mengambilnya berulang kali untuk lulus.

    Isu ini membuatkan ada yang ragu-ragu dengan Puspakom. Jadi untuk memberikan penerangan yang jelas mengapa ramai yang gagal ujian tersebut, Puspakom telah menganjurkan bengkel berkenaan pemeriksaan E-hailing di Puspakom Alor Gajah Melaka pada 17 Jun lepas, yang dibuat secara percuma.

    Menurut Puspakom, sistem brek pada kenderaan mempunyai banyak komponen, dan kerosakan pada mana-mana komponen berkenaan boleh menjadi sebab mengapa brek tidak dapat berfungsi selari dengan kemampuan yang ditetapkan oleh pemeriksaan Puspakom, seterusnya mereka gagal dalam ujian berkenaan.

    Puspakom jelaskan kenapa ada kereta e-Hailing yang gagal dalam pemeriksaan brek berulang-ulang kali

    Antara kerosakan yang paling kerap menyebabkan kegagalan tersebut termasuk kebocoran minyak atau tekanan dalam saluran bendalir brek, kekurangan tekanan udara dalam saluran brek, kerosakan pada modulator brek ABS, pad brek yang berminyak atau bergris, kerosakan pada ‘booster’ brek, serta sistem brek yang tidak dilaras dengan betul.

    Puspakom turut menasihatkan pemandu-pemandu e-Hailing membuat Pemeriksaan Kenderaan Sukarela terlebih dahulu untuk melihat prestasi brek serta mengesan sebarang kerosakan sebelum melakukan pemeriksaan mandatori. Ini membolehkan mereka membuat pembaikan pada mana-mana komponen terlebih dahulu dan lulus dengan mudah ketika pemeriksaan mandatori.

    Pemeriksaan Kenderaan Sukarela ini bukan sahaja dibuka hanya untuk sistem brek, malah untuk semua sistem mekanikal lain, dan dibuka untuk semua termasuk kenderaan persendirian biasa. Bayaran yang dikenakan adalah serendah RM15 untuk setiap item.

     
     
  • UPSI lancar siri nombor pendaftaran UG – bidaan dibuka bermula 1-12 Julai, sasar keuntungan RM3j

    UPSI lancar siri nombor pendaftaran UG – bidaan dibuka bermula 1-12 Julai, sasar keuntungan RM3j

    Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah pun melancarkan siri nombor pendaftaran kenderaan ‘UG’ dan bidaannya bakal dibuka untuk orang ramai bermula 1 Julai ini selama 12 hari.

    Majlis pelancarannya telah disempurnakan oleh Tuanku Canselor UPSI, Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

    Menurut Naib Cancelor UPSI merangkap Ahli Lembaga Pengarah UPSI Holding Sdn Bhd. (UHSB), Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff, inisiatif itu dilaksanakan bagi menyahut hasrat kerajaan untuk membantu penjanaan kewangan universiti menerusi pelaksanaan oleh anak syarikat, UHHB dengan kerjasama syarikat tempatan Aquatwo Sdn Bhd.

    UPSI lancar siri nombor pendaftaran UG – bidaan dibuka bermula 1-12 Julai, sasar keuntungan RM3j

    “Orang ramai boleh mula membida nombor plat kenderaan yang mereka minat dengan mengisi borang bidaan melalui laman web www.ugplat.com.my yang dibuka bermula 1 hingga 12 Julai 202. Kemudian borang bidaan tersebut perlu dihantar terus ke pejabat UHSB di Aras 1, Bangunan Bitarasiswa, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris, 35900 Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan,” jelasnya dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Pengurus Besar UHSB, Profesor Madya Dr. Ramlee Ismail pula berkata, siri nombor pendaftaran kenderaan UG yang bermaksud ‘Universiti Guru’ merupakan hadiah istimewa kepada seluruh alumni institusi pendidikan terulung itu sempena sambutan 100 tahun penubuhannya pada 22 November ini.

    “Selain menjadi hadiah bermakna sempena sambutan bersejarah universiti, UHSB mengunjurkan pulangan pendapatan bernilai lebih RM 3 juta ringgit,” jelasnya.

     
     
  • Honda ADV 160 terima meter baru, traction control?

    Honda ADV 160 terima meter baru, traction control?

    Hanya tinggal satu hari lagi sebelum Honda memperkenalkan sebuah model baru di Indonesia dan untuk menjadikan keadaan lebih hangat, mereka mengeluarkan satu lagi teaser yang berupa sebuah video melalui media sosial. Kali ini, kita dapat melihat sedikit bahagian dan kelengkapan model tersebut.

    Nama sebenar model ini masih belum didedah, tetapi melalui bayangan bentuknya serta ayat-ayat seperti “motor explorasi 160cc pertama di Indonesia” dan “Explore New Everyday“, kita boleh menjangka ini adalah ADV 160.

    Jika gambar teaser sebelum ini menampakkan bayangan bentuknya serta lencana eSP+ 160 yang menggambarkan enjinnya, video terbaru ini pula menampakkan beberapa ciri termasuk sistem kunci pintar, panel meter LCD serta panel tepi badannya.

    Berkenaan dengan meter tersebut, selain menggunakan paparan yang berbeza, ia juga didapati tidak mempunyai bingkai plastik pelindung seperti sebelum ini dan paparan lampu amaran yang sebelum ini berasingan telah digabungkan sekali pada meter tersebut.

    Satu lagi yang menarik, apabila ia dihidupkan, kita boleh melihat terpapar tulisan HSTC yang membawa maksud Honda Selectable Traction Control (sistem kawalan cengkaman). Sama ada ia boleh ditutup atau tidak, kita perlu menunggu maklumat waktu pelancarannya nanti.

    Perincian lain model ini juga masih belum didedah, tetapi kita boleh menjangka selain perubahan pada panel badan, juga adalah enjin, menggunakan unit 156.99 cc baru seperti Vario 160 dan Blade 160. Pada Vario 160, enjin satu silinder suntikan bahan api dengan sistem penyejukan cecair itu mampu menghasilkan 15.4 PS pada 8,500 rpm dan 13.8 Nm tork pada 7,000 rpm.

     
     
  • Proton Persona Premium 2022 – tiada lagi bumbung hitam, harga kekal sama; RM55,800 dengan SST

    Proton Persona Premium 2022 – tiada lagi bumbung hitam, harga kekal sama; RM55,800 dengan SST

    Proton telah pun membuat satu perubahan kecil untuk model Persona 1.6L Premium CVT, iaitu tidak lagi menawarkan bumbung berwarna hitam pada sedan segmen-B varian paling tinggi tersebut.

    Namun tiada sebarang perubahan harga diumumkan di mana ia masih dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM54,900 tanpa cukai jualan dan servis (SST) sekiranya anda sempat untuk menempahnya hari ini, atau RM55,800 dengan SST bermula esok kerana insentif ‘cuti cukai’ yang ditawarkan oleh kerajaan tersebut telah pun tamat.

    Tiada sebarang perubahan untuk perincian lain, di mana Persona Premium masih menerima lampu hadapan LED automatik, lampu nyalaan siang LED, rim aloi 16-inci dua-tona dan lip spoiler pada penutup but belakang untuk bahagian luaran.

    Perincian lain yang turut dikekalkan termasuk sistem kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, upholsteri kulit sintetik berwarna perang, skrin sesentuh lapan-inci untuk sistem infotainmen yang berfungsi dengan OS Atlas, paparan pelbagai informasi berwarna, empat pembesar suara, enam beg-udara dan kawalan kestabilan elektronik.

    Proton Persona Premium 2022 – tiada lagi bumbung hitam, harga kekal sama; RM55,800 dengan SST

    Ia juga masih menerima enjin 1.6 liter Campro VVT empat-silinder berkuasa 107 hp pada takat 5,750 rpm dan tork maksima 150 Nm pada takat 4,000 rpm, digandingkan dengan kotak gear CVT automatik dari Punch untuk memacu roda hadapan.

    Persona menerima satu lagi versi facelift tahun lalu bersama kembar hatchbacknya, Proton Iriz. Ia kini tampil dengan logo baharu Proton pada semua tempat sepatutnya termasuk pada roda stereng, konsol tengah pada papan pemuka yang mengubah posisi liang penghembus udara dan skrin infotainmen yang kini lebih besar dan ‘terapung’, diberikan suis kawalan pendingin hawa baharu dan pelbagai lagi.

    Kotak gear juga telah menerima perisian dan talaan baharu di mana ia kini memberikan fungsi mod Eco sebenar, serta mod SAT yang memberikan tukaran gear maya seperti kotak gear AT konvensional sekiranya pedal pendikit dikerah sepenuhnya.

    Proton Persona 2022 1.6L Premium CVT

     
     
  • MBJB rangka perancangan atasi isu kesesakan trafik – sediakan bas perantara, kawasan parkir sementara

    MBJB rangka perancangan atasi isu kesesakan trafik – sediakan bas perantara, kawasan parkir sementara

    Bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang kian meruncing di sekitar bandaraya Johor Bahru (JB), Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) merangka perancangan jangka pendek untuk tujuan tersebut.

    Menurut Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Datuk Mohd Noorazam Osman, kesesakan lalu lintas di JB adalah akibat peningkatan kenderaan sejak pintu sempadan Malaysia dan Singapura dibuka mulai 1 April lalu.

    Tambah beliau, pihaknya mendapati permasalahan berkenaan bertambah buruk dengan tindakan segelintir pemandu meletakkan kenderaan di tepi jalan yang bukan tempat meletak kenderan dibenarkan. Disebabkan itu, MBJB akan mengambil tindakan terhadap kenderaan yang diletakkan di tempat yang tidak dibenarkan supaya ia tidak mengganggu lalu lintas dan memberi imej kurang baik bandar raya, laporan Berita Harian.

    Bagaimanapun, katanya MBJB tidak dapat menyediakan tempat letak kenderaan khas yang luas kerana tiada rezab kerajaan di dalam pusat bandar.

    Katanya, berikutan itu bagi penyelesaian jangka pendek, MBJB kini sedang di dalam proses perbincangan bersama pihak swasta yang memiliki tanah belum dibangunkan di pusat bandar supaya dijadikan tempat letak kenderaan sementara.

    MBJB rangka perancangan atasi isu kesesakan trafik – sediakan bas perantara, kawasan parkir sementara

    “Perbincangan juga akan diadakan dengan pemilik bangunan komersial yang tidak beroperasi di sekitar bandar raya Johor Bahru untuk dibuka bagi tujuan sama. Selain itu MBJB merancang untuk menyediakan perkhidmatan electric shuttle bus di dalam dan di pinggir pusat bandar bagi memudahkan orang ramai memasuki pusat bandar tanpa membawa kenderaan mereka ke pusat bandar.

    “Perkhidmatan shuttle bus ini akan dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas dan dapat membendung kenderaan yang diletakkan tanpa kebenaran di pusat bandar,” katanya.

    Beliau turut berkata, bagi penyelesaian jangka panjang pula, MBJB berharap perkhidmatan pengangkutan awam yang dirancang seperti Iskandar Malaysia Bus Rapid Transit dan landasan berkembar KTMB dapat dilaksanakan dan disiapkan mengikut jadual dirancang.

    “Kedua-dua perkhidmatan pengangkutan awam ini penting untuk memudahkan orang ramai yang berada di luar daerah dan dalam kawasan Johor Bahru masuk ke pusat bandar tanpa membawa kenderaan mereka. Malah ia juga memberi sokongan kepada operasi Rapid Transit System Johor Bahru Singapura yang dijangka akan beroperasi pada tahun 2026.

    “MBJB juga mengalu-alukan langkah Kerajaan Negeri Johor untuk mengkaji pembangunan Transit Aliran Ringan (LRT) Johor Bahru bagi mengatasi isu kesesakan, sekali gus menyepadukan sistem pengangkutan di bandar raya,” katanya.

     
     
  • myTukar Auto Fair 2022 di Puchong South pada 1-3 Julai – nikmati tawaran hebat dan hadiah, menangi percutian ke Sydney!

    myTukar Auto Fair 2022 di Puchong South pada 1-3 Julai – nikmati tawaran hebat dan hadiah, menangi percutian ke Sydney!

    Sedang mencari kereta terpakai? Anda pasti akan temui apa yang anda cari di myTukar Auto Fair 2022 yang akan berlangsung pada hujung minggu ini, 1 hingga 3 Julai, di myTukar Retail Experience Centre yang terletak di Puchong South.

    Acara berkenaan menjanjikan pelbagai pilihan kenderaan terpakai, daripada jenama nasional dan Jepun hingga ke Continental bersama tawaran premium, semuanya dengan jaminan lanjutan, pakej servis percuma dan penghantaran cepat. Dengan lebih 1,000 kereta myTukar Certified tersedia, pastinya ada pilihan anda di sini.

    Walau apa pun model kenderaan yang anda pilih, pembelian yang anda buat pastinya bebas masalah. Ini kerana setiap kenderaan myTukar Certified telah menjalani pemeriksaan 160 point yang teliti untuk memastikan tiada ubahsuai perbatuan dan kereta berkenaan bebas daripada kemalangan besar, kebakaran dan kerosakan banjir. Pemeriksaan 160 mata termasuk enjin, stereng, brek & suspensi, transmisi & klac, luaran & dalaman serta pemeriksaan bahagian bawah badan & segenap ruang enjin.

    Selain itu, semua kereta myTukar Certified melalui proses baik pulih dan pemulihan menyeluruh untuk memastikan ianya sama seperti baharu. myTukar mempunyai Refurbishment Centre tercanggihnya sendiri untuk menjalankan kerja-kerja baik pulih kenderaan.

    myTukar Auto Fair 2022 di Puchong South pada 1-3 Julai – nikmati tawaran hebat dan hadiah, menangi percutian ke Sydney!

    Kedua-dua bahagian dalam dan luar kenderaan, termasuk semua perincian elektronik, akan melalui proses pembaikan dan pemulihan mengikut piawaian “MyTukar Certified Pre-Owned”. Baik pulih dilakukan di bawah pematuhan piawaian ketat kerana myTukar sentiasa mengutamakan keselamatan pelanggan.

    Setiap pembelian myTukar juga adalah termasuk waranti lanjutan satu tahun PERCUMA, dan anda akan diberikan servis kereta secara percuma sebanyak DUA KALI, yang memberikan anda ketenangan fikiran. Sekiranya anda menghadapi masalah atau hanya mahu mengubah fikiran anda berkenaan kenderaan tersebut, anda boleh terus kembalikannya kepada myTukar menerusi polisi jaminan wang dikembalikan selama 5 hari – tanpa sebarang pertanyaan diajukan kepada anda.

    Urusan pembelian kenderaan menjadi sangat mudah kerana myTukar Experience Centres merupakan pusat sehenti yang memastikan perjalanan anda untuk membeli kenderaan berlangsung dengan mudah dan tidak rumit. Semua urusan dari pemeriksaan Puspakom, pendaftaran JPJ, permohonan pinjaman hinggalah kepada insuran, semuanya diuruskan oleh syarikat ini.

    Sekiranya anda ingin membuat urusan tukar-beli dengan kereta yang sedang anda miliki sekarang, anda boleh berbuat demikian di myTukar Auto Fair 2022. Pakar produk myTukar akan memberikan anda tawaran tukar beli segera dengan nilai maksimum untuk kenderaan anda pada acara tersebut.

    Jika anda membeli kenderaan di acara ini nanti, ganjaran sehingga RM800,000 juga menanti! Pembeli berpeluang untuk memenangi perjalanan ke Sydney, Australia dengan semua kos ditanggung. Anda juga akan menerima tawaran istimewa, seperti kadar faedah pinjaman serendah 1.88% untuk 150 tempahan pertama serta peluang untuk memenangi baucar dengan nilai sehingga RM1,000 melalui promosi Spin & Win.

    Tidak lupa juga ada hadiah bernilai RM12,000 untuk cabutan bertuah eksklusif untuk dimenangi. Ini termasuklah iPhone 13, sebuah iPad, sebuah konsol Playstation, SmarTV Android, pembersih hampagas Xiomi Mi Robot serta pam air Karcher dan mesin kopi Nescafe Dolce Gusto.

    Trak makanan turut akan berada di lokasi, membolehkah pengunjung boleh menikmati makanan dan minuman pilihan mereka dengan mudah. Prosedur penghindaran Covid-19 juga perlu diamalkan — pelitup muka adalah wajib sepanjang masa, tetapi penjarakan fizikal tidak lagi wajib. Kru acara akan kerap membersihkan keseluruhan lokasi serta permukaan yang kerap disentuh seperti kereta dan kemudahan umum untuk memastikan keselamatan terjamin.

    myTukar Retail Experience Centre di Puchong South terletak di tepi LDP (Lot 14225, KM 3.8) sebelum plaza tol Puchong Barat, jika anda datang dari IOI Mall dan Bandar Puteri. Sebelum tol, di sebelah kiri anda. Kotak oren misteri yang dilihat di myTukar Plentong juga akan berada di beberapa kawasan seluruh negara, imbas untuk tahu lebih lanjut!

    Maklumat lanjut boleh didapati melalui laman web rasmi myTukar, atau layari pilihan luas kenderaan yang ada ketika ini di inventori myTukar dan lihat tawaran yang diberikan. Datanglah ke myTukar Auto Fair at the myTukar Retail Experience Centre – Puchong South dari 1-3 Julai nanti, 9.30 pagi hingga 9 malam setiap hari.

    Anda juga boleh menghubungi saluran berikut:

    Telefon : 03-7890 4499
    WhatsApp : +6018-2249999
    Emel: [email protected]

    myTukar Retail Experience Centre – Puchong South
    Lot 14225, KM 3.8,
    Lebuhraya Damansara–Puchong,
    47100 Puchong, Selangor.

    *Tertakluk kepada terma dan syarat.

     
     
  • Persiaran Tun Arshad nama baharu bagi Persiaran Institut di Shah Alam atas titah Sultan Selangor

    Persiaran Tun Arshad nama baharu bagi Persiaran Institut di Shah Alam atas titah Sultan Selangor

    Pada 23 Jun lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya nama Persiaran Institut di Seksyen 1, Shah Alam, Selangor ditukar kepada Persiaran Tun Arshad, bersempena nama Pengarah Pertama Institut Teknologi MARA (ITM).

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Alam Shah, titah berkenaan sudah diluluskan dan dikuatkuasakan serta-merta oleh Kerajaan Selangor menerusi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

    “Pertukaran nama persiaran ini merangkumi jalan sepanjang 1.62 kilometer bermula dari Bulatan Bistari Seksyen 2 (di hadapan pintu masuk utama Universiti Teknologi MARA/UiTM) hingga ke persimpangan lampu isyarat berhampiran Universiti Selangor (Unisel) Seksyen 7, Shah Alam.

    “Penukaran nama persiaran ini bagi mengenang jasa Allahyarham Tun Arshad Ayub yang juga tokoh pendidikan negara dihormati dan disegani serta banyak berjasa memperkasakan sistem pengajian tinggi di negara ini khususnya pembangunan UiTM,” katanya menerusi laman Facebook Selangor Royal Office.

    Pemasangan papan tanda nama persiaran baharu ini telah pun selesai dilakukan oleh MBSA.

    Arshad, 93, menghembuskan nafasnya pada 14 Jun lalu. Allahyarham berkhidmat sebagai Pengarah ITM sejak 1967 hingga 1975 yang kini dikenali sebagai UiTM. Sepanjang hayatnya, Allahyarham menabur bakti di UiTM, seterusnya dilantik Pro-Canselor selepas bersara daripada perkhidmatan awam selepas berkhidmat selama 32 tahun.

     
     
  • Yamaha YZF-R15M dilancar untuk pasaran Malaysia – tiada versi Standard, dua pilihan warna, RM14,998

    Yamaha YZF-R15M dilancar untuk pasaran Malaysia – tiada versi Standard, dua pilihan warna, RM14,998

    Menuruti beberapa teaser yang disiarkan sebelum ini, Yamaha YZF-R15M kini dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia, pada harga jualan RM14,998 tidak termasuk insurans dan cukai jalan. Meskipun di negara luar terdapat versi Standard yang lebih murah bagi R15 V4 ini, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) cuma membawa versi prestasi R15M untuk pasaran dan dua pilihan grafik disediakan, iaitu Signature M (warna perak) dan Monster Energy Edition.

    Diperkenalkan kali pertama September tahun lalu di India, R15M ini menampilkan panel badan serba baru termasuk tangki, penghadang lumpur dan panel tepi, sementara lampu hadapan LED utama pula menggunakan satu unit di bahagian tengah, di tepinya terdapat jalur LED sebagai DRL.

    Enjin model ini masih lagi sama seperti R15 sebelum ini, iaitu unit satu silinder suntikan bahan api SOHC, VVA 155 cc bersama padanan transmisi enam kelajuan dengan klac jenis slip & assist, menghasilkan 19 hp pada 10,000 rpm dan 14.7 Nm tork pada 7,500 rpm.

    Sebagai sebuah motosikal versi prestasi, R15M didatangkan terus dengan quickshifter, sistem kawalan cengkaman (boleh ditutup), ABS two-channel serta panel paparan LCD yang boleh disambungkan kepada telefon pintar melalui aplikasi Y-Connect.

    Meter LCD ini juga menyediakan dua pilihan paparan, iaitu Street untuk keadaan biasa, dan Track yang boleh memaparkan catatan masa pusingan di litar. Beberapa kemasan unik turut diberikan pada R15M, termasuk lencana R15M, penutup atas fork dengan logo R15M, tempat duduk khas serta angkup brek Bybre warna emas.

    Kelengkapan lain pada R15 V4 ini adalah sama seperti R15 sebelumnya, termasuklah fork USD di hadapan, monoshock, brek cakera 282 mm di hadapan dan 220 mm di belakang, tangki bahan api 11 liter, berat 140 kg dan lengan ayun aluminium.


     
     
  • Harga minyak 30 Jun-6 Julai – semuanya dikekalkan

    Harga minyak  30 Jun-6 Julai – semuanya dikekalkan

    Bagi minggu bertarikh 30 Jun hingga 6 Julai 2022, Kementerian Kewangan mengumumkan harga ketiga-tiga bahan api utama di negara ini dikekalkan seperti mana harga minggu sebelumnya. Di mana harga petrol RON 97 dikekalkan pada paras RM4.84 seliter selepas mengalami kenaikan mendadak selama tiga minggu berturut-turut.

    Untuk harga bagi petrol RON 95 yang telah mencapai harga siling, ia juga dikekalkan sejak lebih setahun yang lalu iaitu pada paras RM2.05 seliter.

    Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20 yang masih dikekalkan pada harga RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Kesemua harga ini masih berkuatkuasa sehingga Rabu hadapan, 6 Julai 2022.

     
     
  • Feri Penang lanjut 50% diskaun kenderaan 2 roda hingga 31 Dis – RM1 untuk motor, 70 sen bagi basikal

    Feri Penang lanjut 50% diskaun kenderaan 2 roda hingga 31 Dis – RM1 untuk motor, 70 sen bagi basikal

    Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) telah melanjutkan pemberian diskaun sebanyak 50% bagi kenderaan dua roda yang menaiki feri Pulau Pinang. Tawaran separuh harga itu telah mula diberikan sejak 1 Januari 2022 untuk tempoh enam bulan, iaitu sepatutnya berakhir esok (30 Jun 2022). Walau bagaimana pun, dengan lanjutan tempoh ini, pemberian diskaun tersebut akan dilaksanakan sehingga 31 Disember 2022.

    Pengerusi PPC Datuk Tan Teik Cheng berkata, setakat 31 Mei, sebanyak 62,564 motosikal dan 1,393 basikal telah menikmati pemberian diskaun 50% ini. Dalam tempoh tersbeut, PPC – yang merupakan badan berkanun di bawah Kementerian Pengangkutan – telah membelanjakan sebanyak RM65,539.10 untuk kempen diskaun berkenaan.

    Diskaun ini adalah untuk semua jenis motosikal, basikal dan beca, tanpa mengira warga negara penunggangnya. Untuk motosikal, dikenakan tambang sebanyak RM1 dan basikal pula 70 sen untuk menaiki feri RORO. PPC turut berkata, inisiatif ini dijangka memberikan manfaat buat 100,000 penunggang kenderaan dua roda.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Apr 25, 2024