Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Kilang enjin 1.5L TGDI Proton di Tg. Malim – pertama di luar China, mampu hasilkan 180,000 unit setahun

    Kilang enjin 1.5L TGDI Proton di Tg. Malim – pertama di luar China, mampu hasilkan 180,000 unit setahun

    Versi kemaskini terbaharu untuk SUV segmen-C Proton iaitu XC70 MC 2022 sudahpun dilancarkan bulan lalu, dan perubahan paling besar ditampilkan adalah sebahagian besar variannya kini dijana oleh enjin 1.5L turbo dengan sistem suntikan bahan api terus (TGDI), sama seperti model lebih kecil Proton X50.

    Serentak dengan pelancaran model berkenaan, Proton turut mengumumkan bahawa enjin 1.5L TGDI tersebut kini sudah pun dihasilkan di kilang mereka di Tanjong Malim, membolehkan X70 kini mempunyai kandungan komponen tempatan mencecah 70%. Hari ini, syarikat berkenaan berbesar hati untuk menjemput sekumpulan media termasuk paultan.org untuk melihat sendiri operasi kilang pemasangan enjin berkenaan.

    Enjin tersebut dipasang di Fasiliti Enjin dan Powertrain Proton Tanjung Malim, dengan barisan pemasangan meliputi kawasan seluas 18,000 meter persegi. Barisan produksi berkenaan mampu untuk menghasilkan 180,000 unit enjin setahun dengan operasi tiga syif.

    Fasiliti ini ditingkat taraf bagi membolehkan enjin yang dikenali dengan kod dalaman GEP3 (Global Engine Petrol 3) dengan kos sebanyak RM1.8 bilion, dan menurut Proton ini merupakan fasiliti pertama diluar China yang memasang enjin 1.5L Turbo yang dibangunkan bersama oleh Geely dan Volvo tersebut.

    Kilang enjin 1.5L TGDI Proton di Tg. Malim – pertama di luar China, mampu hasilkan 180,000 unit setahun

    Secara keseluruhan, 30% kandungan dalam enjin 1.5L GEP3 yan dipasang di Tanjung Malim ini dibekalkan oleh vendor dari Malaysia. Secara spesifik, 72 komponen dibekalkan oleh 19 vendor Malaysia, dan turut melibatkan 4 vendor dari Rantau ASEAN.

    Selain dari itu, fasiliti ini juga dibina dengan sasaran untuk membangunkan bakat-bakat tenaga kerja baharu, di mana ia dioperasikan oleh 202 pekerja dengan usia purata hanya 24-tahun.

    Proton turut memberitahu bahawa kelengkapan pada fasiliti ini adalah hampir sama dengan kelengkapan pemasangan enjin di Kilang Enjin Baoji Geely di China, menampilkan tahap automasi yang mencapai tahap 47% menggunakan etos IR 4.0; ia mempunyai 88 stesen yang terdiri daripada 17 stesen automatik, 15 separa automatik dan 56 stesen manual.

    Selain dari itu, kilang berkenaan sentiasa dalam persekitaran yang bersih dengan suhu bilik yang terkawal dan mempunyai stesen anti-statik untuk membolehkan pelepasan elektrik statik untuk melindungi komponen elektronik berteknologi tinggi.

    Barisan pemasangan baharu in menggunakan sistem talian pemasangan bergerak pada sistem penghantar yang bukan sahaja lebih lancar tetapi juga lebih bersih, lebih tahan lama dan lebih murah untuk dikendalikan daripada yang menggunakan rantai.

    Apa yang menarik lagi, kawalan kualiti pada barisan pemasangan ini menggunakan teknologi Internet of Things (IOT). Dengan teknologi ini, setiap data-data bacaan kualiti yang diambil pada komponen yang telah dipasang pada setiap stesen akan dikumpulkan secara intensif dan dianalisis untuk memastikan kualiti memenuhi piawaian yang diperlukan dan dikekalkan.

    Data-data berkenaan turut dikutip oleh 207 kawalan Error Mistake Proofing (EMP) dan 34 kamera pintar resolusi tinggi yang dipasang pada barisan pengeluaran untuk mengelakkan kecacatan proses dan pemasangan serta mengurangkan masa henti dengan keupayaan pengesanan kecacatan dengan kadar segera.

    Semua pekerja di barisan pemasangan telah menjalani latihan yang luas dengan Geely serta pembekal mesin yang digunakan seperti ABB, COMAU, FEV China, FEV India, WiBeda dan Hangxin.

    Kilang enjin 1.5L TGDI Proton di Tg. Malim – pertama di luar China, mampu hasilkan 180,000 unit setahun

    Enjin 1.5L TGDI dengan kod JLH-3G15TD berkenaan menghasilkan kuasa 177 PS dan tork maksima 255 Nm. Proton turut menawarkan enjin tiga-silinder turbo dari keluarga yang sama tetapi hanya dengan sistem suntikan pelbagai titik (PFI) menghasilkan kuasa 150 PS dan tork maksima 226 Nm, yang dipadankan pada X50 varian Premium dan ke bawah.

    Selain Geely dan Proton, enjin dari keluarga yang sama turut digunakan oleh pelbagai jenama lain di bawah payung Geely Auto Group termasuk Volvo dan Lynk & Co, serta dihasilkan dalam pelbagai varian termasuk dipadankan dengan sistem hibrid ringkas dan plug-in hybrid (PHEV) – kesemuanya menepati piawaian emisi Euro 6. Sehingga kini, ia telah digunakan oleh 750,000 unit kenderaan yang dijual di seluruh dunia.

    “Barisan pemasangan enjin baharu Proton menunjukkan bahawa syarikat mengotakan janjinya kepada pihak berkepentingannya. Apabila perjanjian dibuat untuk bekerjasama dengan Geely pada tahun 2017, salah satu komitmen kami adalah untuk melabur dalam industri automotif Malaysia dari segi kewangan dan melalui pengenalan komponen baharu berteknologi tinggi. Barisan pemasangan baharu ini memenuhi syarat ini di samping memberi laluan kepada Proton untuk menarik dan membangunkan bakat muda yang akan membantu memacu industri automotif dan Syarikat di masa hadapan,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

    “Kualiti adalah keutamaan barisan pemasangan enjin baharu kami. Kami tahu bahawa kami perlu menunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa Proton mampu membina produk berkualiti tinggi yang boleh dipercayai, jadi kami tidak meninggalkan apa-apa kepada peluang. Selain daripada langkah pemantauan kualiti yang digunakan pada barisan pemasangan, kami juga bekerja rapat dengan rakan sejawatan kami di Geely untuk menyelesaikan masalah dan berkongsi amalan terbaik dalam usaha kami untuk menghasilkan enjin bertaraf dunia,” tambah Roslan lagi.

     
     
  • Ducati V21L didedah – motosikal lumba elektrik MotoE

    Ducati V21L didedah – motosikal lumba elektrik MotoE

    Setelah menunjukkannya kepada dunia kali pertama pada Disember 2021, Ducati kini mendedahkan perincian motosikal lumba elektrik V21L, yang akan digunakan dalam perlumbaan MotoE. Ducati adalah pembekal motosikal tunggal bagi FIM Moto-E World Cup, dan 18 V21L akan disiapkan untuk perlumbaan.

    Sumber penggerak utama bagi motosikal ini adalah pek bateri berkapasiti 18 kWh yang mencatat berat 110 kg, dan boleh dicas melalui soket 20 kW di bahagian belakang tempat duduk. Inverter seberat 5 kg yang digunakan adalah sama seperti unit pada kereta elektrik lumba, sementara motor elektriknya yang mempunyai berat 21 kg pula boleh berputar sehingga 18,000 rpm.

    Secara keseluruhannya, motosikal ini boleh menghasilkan kuasa 150 hp dan 140 Nm tork, mencecah kelajuan maksimum 275 km/j dan mencatat berat keseluruhan 225 kg – 12 kg lebih ringan berbanding catatan minimum yang diperlukan oleh Dorna dan FIM untuk motosikal Moto-E.

    Untuk mengecas, pek bateri pada V21L ini memerlukan masa selama 45 minit untuk mencapai tahap 80%, dan sistemnya menggunakan tetapan litar berkembar yang direka untuk memenuhi keperluan penyejukan yang berbeza dan boleh digunakan dengan pengecas pantas tanpa perlu disejukkan terlebih dahulu.

    Kelengkapan lain yang dipasang pada motosikal ini adalah termasuk fork Ohlins NPX 25/30 43 mm, monoshock Ohlins TTX36, steering damper Ohlins, serta brek Brembo yang terdiri daripada cakera 338.5 mm dan angkup GP4RR M4 32/36, serta cakera 220 mm dan angkup P34 di belakang.

     
     
  • Chery Omoda 5 ditemui sedang diuji di Malaysia – pelancaran pencabar X50 dan HR-V semakin hampir?

    Chery Omoda 5 ditemui sedang diuji di Malaysia – pelancaran pencabar X50 dan HR-V semakin hampir?

    Melalui hantaran sebelum ini, kami dapat melihat banyak minat terhada Chery Omoda 5, dan ini mungkin kerana SUV dari China ini sudah kelihatan sangat berbeza berbanding model Chery yang kita ingat sebelum ini, seperti Eastar atau Tiggo.

    Sekarang, model tersebut telah dijumpai membuat ujian atas jalan di Malaysia dan kalau diperhatikan gambar ini, ia nampak seperti di LDP, berhampiran LRT Kelana Jaya. Malaysia sememangnya tempat yang bagus untuk melakukan ujian ketahanan, disebabkan cuaca serta keadaan pemanduan di sini. Chery juga mungkin sedang menguji kemampuan teknologi mereka serta sistem ADAS dengan keadaan trafik di Malaysia.

    Sekali pandang, lampu belakang unit yang dijumpai ini nampak lain berbanding lampu jenis nipis dan tajam pada Omoda 5, terutamanya dengan bahagian dalam yang berbentuk bulat, tetapi itu mungkin adalah penyamarannya. Bentuk serta jalur badan model ini bagaimanapun nampak sama, termasuk cermin belakangnya yang tirus, dan corak pelekat samaran, yang sama seperti model prototaip di China.

    Chery Omoda 5 ditemui sedang diuji di Malaysia – pelancaran pencabar X50 dan HR-V semakin hampir?

    Chery dalam proses untuk membuat kemunculan semula di Malaysia, dan dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi tahun ini. Pada bulan Disember tahun lepas, jenama ini memberitahu paultan.org bahawa mereka sedang dalam perbincangan bersama rakan kerjasama yang berpotensi, untuk melakukan pemasangan di dalam negara, dan menyatakan bahawa identiti rakan kongsi ini akan didedahkan pada tahun 2022.

    Antara model terawal yang akan membawa tanda kemunculan semula jenama ini adalah Omoda 5. Februari lepas, Chery telah mengesahkan bahawa SUV tersebut akan datang ke Malaysia, dan kita akan menjadi antara pasaran antarabangsa luar China yang terawal menerimanya. Laman peminat Omoda 5 di Facebook juga telah dibuat.

    Omoda 5 dipacu oleh enjin petrol TGDI 1.6 liter, menghasilkan kuasa 197 PS dan 290 Nm tork, dihantar kepada roda hadapan melalui transmisi klac berkembar tujuh kelajuan dan boleh melakukan pecutan o-100 km/j dalam masa 7.8 saat. Tempahan untuk Omoda 5 juga baru sahaja dibuka di China, di mana pelanggan juga boleh memilih padanan penggerak 1.5 TCI dengan transmisi 9CVT.

    GALERI: Chery Omoda 5

     
     
  • JPJ eBid: Plat nombor SMG, SYU dibuka bidaan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan giliran nombor pendaftaran SYU dan SMG, yang kedua-duanya adalah siri pendaftaran terkini dari Sabah, dibuka untuk bidaan. Bidaan hanya dilakukan secara dalam talian iaitu menerusi JPJ eBid.

    Bagi siri nombor pendaftaran SMG, ia telah pun boleh dibida sejak 3 Julai lalu, dan bidaannya bakal berakhir pada jam 10 malam Khamis ini, 7 Julai 2022. Seperti biasa, keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 8 Julai.

    Manakala bagi SYU pula, bidaannya bakal dibuka bermula 16 Julai ini untuk tempoh lima hari dan akan berakhir jam 10 malam pada 20 Julai 2022. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 21 Julai 2022.

    Keseluruhan proses kini dilakukan secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau sebaliknya) menerusi e-mel.

    Kalau anda berminat untuk melakukan bidaan sendiri, anda bolehlah rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Perodua Alza 2022 dalam Teaser #6 — pilih antara tiga mod pemanduan di stereng; Eco, Normal dan Power

    Perodua Alza 2022 dalam Teaser #6 — pilih antara tiga mod pemanduan di stereng; Eco, Normal dan Power

    Perodua sekali memberi petunjuk kepada MPV Alza 2022 melalui video produk terbaru yang dikeluarkan. Ini merupakan yang keenam dari siri video yang sama, dan kali ini ia memberi penekanan terhadap mod pemanduan yang dimiliki oleh Alza.

    Drive Mode ini disediakan untuk varian H dan AV sahaja, dan ia membolehkan pemandu memilik antara Eco, Normal dan Power. Perodua mencadangkan Eco untuk jalan jauh, Normal untuk dalam bandar dan Power untuk jalan berbukit. Itu hanya cadangan, terserah kepada anda untuk bila ingin menggunakannya.

    Dengan beberapa mod pemanduan ini, ia adalah peningkatan daripada sekadar mod PWR yang ada sebelum ini sebagai gandingan kepada kotak gear D-CVT yang ada, misalnya pada Ativa dan Myvi. Ia sepenuhnya melibatkan pemetaan sisten janaan kuasa, atau mungkin juga melibatkan berat stereng. Mod ini boleh ditukar melalui butang “Drive” pada jejari sebelah kanan stereng, seperti pada Ativa.

    Butang pada stereng lainnya juga sama seperti yang ada pada Ativa, memandangkan Alza AV juga hadir dengan kawalan melayar adaptif dan kawalan mengekalkan lorong (ASA dengan amaran penukaran lorong adalah ciri standard untuk semua varian). Panel meter yang kelihatan juga mirip seperti yang ada pada Ativa H/AV.

    Apa yang unik adalah ruang dalaman Alza dalam dua-tona hitam-merah gelap, berbeza dari merah cerah pada Myvi AV. Warna merah berkenaan juga ada pada panel pintu Alza, dan mungkin hanya untuk AV. Untuk papan pemuka X dan H, kita boleh jangkakan semuanya dalam warna hitam.

    Dalam video teaser sebelum ini, ia menunjukkan peninjau panoramik 360-darjah dan pengaktifan butang sterengnya, tata letak tempat duduk 2-3-2 dan kaedah lipatan kerusinya, brek parkir elektronik dengan Auto Brake Hold (yang pertama untuk Perodua) serta elemen rekaan luarannya (lampu utama LED dengan lampu tinggi adaptif, rim aloi dua-tona dll).

    Bakal dilancarkan tidak lama lagi, semua varian Alza, termasuk yang paling asas 1.5X dan pertengahan 1.5H, akan menggunakan enjin 1.5 liter NA empat-silinder Dual VVT-i dan D-CVT. Harga anggaran bermula dari RM62,000 atas jalan tidak termasuk insuran bagi 1.5X, hingga RM68,000 bagi 1.5H dan RM75,000 bagi 1.5AV.

     
     
  • Geely Radar – lagi gambar trak pikap EV didedah, guna platform unibody, asas daripada SUV Proton X90

    Geely Radar – lagi gambar trak pikap EV didedah, guna platform unibody, asas daripada SUV Proton X90

    Geely mendedahkan beberapa lagi gambar teaser untuk trak pikap elektrik Geely Radar, yang sebelum ini ditunjukkan melalui unit yang masih menggunakan pelekat camouflage. Ia didapati mempunyai hubungan dengan Geely Haoyue (atau Okavango di beberapa pasaran), iaitu model yang akan dibawa masuk ke negara kita sebagai Proton X90.

    Melalui gambar terbaru ini, kita dapat lihat terdapat jalur LED panjang di bahagian gril dan di belakang juga sama, dengan lampu tersebut menghubungkan lampu kiri dan kanan. Lampu utama belakang menggunakan rekaan mendatar, dengan di dalamnya terdapat elemen pencahayaan berbentuk X.

    Geely sebelum ini sudah memberitahu bahawa trak pikap elektrik ini akan menggunakan platform Sustainable Experience Architecture (SEA), sekaligus menjadikan binaannya sebagai unibody, dan bukannya body-on-frame seperti kebanyakan trak lain. Platform ini juga digunakan untuk juga digunakan untuk SUV coupe Zeekr 001 dan SUV Smart #1.

    Jika melihat teaser sebelum ini, Geely mahu menunjukkan Radar adalah sebuah trak pikap gaya hidup/rekreasi, dan bukannya kenderaan belasahan dengan memberi contoh ia digunakan oleh penunggang basikal dan meletakkan basikal mereka di belakang.

    Untuk saiznya pula, jika membandingkannya dengan saiz orang yang terdapat di dalam gambar tersebut, ia adalah sebuah trak pikap kompak, seperti Toyota Hilux dan Mitsubishi Triton di negara kita, dan bukannya trak saiz penuh yang besar seperti Ford F-150.

     
     
  • Harga SST Mazda 2022: Mazda 3 naik RM5.4k; CX-5 naik RM6.9k, CX-8 naik RM9.1k, CX-30 naik RM5.4k

    Harga SST Mazda 2022: Mazda 3 naik RM5.4k; CX-5 naik RM6.9k, CX-8 naik RM9.1k, CX-30 naik RM5.4k

    Mazda telah mengemaskini senarai harga baharu selepas tempoh pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) tamat pada 30 Jun 2022. Senarai harga baharu ini menyaksikan kenaikan terbesar mencecah RM9,190, atau 4.2% lebih tinggi berbanding harga dalam tempoh SST ‘dicutikan’.

    Model yang melibatkan kenaikan harga paling tinggi ialah MX-5 RF, dengan kedua-dua varian manual dan automatik kini lebih mahal sebanyak RM9.1k berbanding sebelum ini. Sementara itu, barisan CX-9 yang kini cuma menawarkan varian 2.5T 2WD denga pakej Ignite Edition, dinaikkan harga lebih RM8,763, kini menjadi RM328,610 atas jalan tanpa insurans.

    Untuk Mazda 3 pula, harganya meningkat sebanyak RM5,380, manakala Mazda 2 pula lebih RM2,400 untuk kedua-dua varian sedan dan hatchback. Bagi Mazda 6 pula, ia melibatkan kenaikan harga sebanyak RM7k untuk varian 2.5L, atau RM5,242 bagi varian tunggal 2.0L.

    Manakala CX-3 dengan varian tunggal 2.0 2WD, kini harganya lebih RM4,530, dan untuk CX-30 pula, ia melibatkan kenaikan harga antara RM4,300 hingga RM5,370 bergantung antara lima varian yang ditawarkan, termasuk dua pilihan Ignite Edition.

    Harga SST Mazda 2022: Mazda 3 naik RM5.4k; CX-5 naik RM6.9k, CX-8 naik RM9.1k, CX-30 naik RM5.4k

    Bagi model paling popular CX-5 pula, varian pengecas turbo kini dijual pada harga RM183,778.50, atau lebih RM6,926.40 berbanding sebelum ini, dengan varian 2.5 High 2WD menyaksikan kenaikan harga kedua tertinggi dalam barisan dengan RM6,852.50 – lain-lain varian pula naik harga sekitar RM6,058.20.

    Untuk CX-8 yang disemak semula beberapa hari sebelum pengecualian SST berakhir, dengan peningkatan ciri kelengkapannya dan kini turut ditawarkan dengan varian pengecas turbo. Varian 2.5 Mid Plus 2WD dikenali sebagai 2.5 High 2WD, dan telah dinamakan semula sebagai 2.5 High Plus 2WD.

    Varian 2.2D AWD High kini tidak lagi diberikan sistem pacuan empat-roda, dan dinamakan sebagai 2.2D High Plus 2WD. Walau bagaimana pun, harganya dinaikkan sebanyak RM9,135.

    Walau bagaimana pun, untuk BT-50 tidak terlibat dengan sebarang perubahan harga memandangkan ia diklasifikasikan sebagai kenderaan komersil dan tidak menerima manfaat dari pengecualian SST. MX-30 dilancarkan bersama CX-8 didatangkan dengan harga termasuk SST untuk varian EV High, yang dijual pada harga RM198,780.

     
     
  • Anih keluarkan Jadual Cadangan Perjalanan untuk LPT1 dan Lebuhraya KLK sempena cuti Aidiladha

    Anih keluarkan Jadual Cadangan Perjalanan untuk LPT1 dan Lebuhraya KLK sempena cuti Aidiladha

    Sempena dengan sambutan Hari Raya Aidiladha yang bakal disambut pada Ahad ini, 10 Julai 2022, Anih Berhad menjangkakan 1,648,000 kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) manakala 704,000 kenderaan lagi di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) bermula 8 hingga 11 Julai ini.

    Menurut Pengurus Besar Kanan Anih Berhad, Radzimah Mohd Radzi, penambahan 2.4 juta kenderaan itu sempena sambutan Aidiladha terutama bagi mereka yang akan menyempurnakan ibadah korban dan mengambil peluang bersama keluarga memandangkan cuti hujung minggu yang panjang.

    Katanya, berdasarkan trend hujung minggu yang stabil sejak awal tahun ini, purata harian hujung minggu bagi Lebuhraya KLK adalah sebanyak 161,000 kenderaan manakala jumlah kenderaan di LPT1 pula direkodkan sebanyak 65,000 kenderaan.

    “Oleh itu antara langkah yang diambil oleh Anih Berhad bagi meningkatkan tahap kesediaan pada musim perayaan kali ini ialah penambahan petugas dan anggota sebagai persediaan pengaktifan lorong-lorong tambahan jika berlaku peningkatan trafik.

    Anih keluarkan Jadual Cadangan Perjalanan untuk LPT1 dan Lebuhraya KLK sempena cuti Aidiladha

    “Selain itu ia membantu melancarkan aliran di lebuh raya dan mempertingkatkan tahap persediaan di semua fasiliti termasuk menjamin tahap kebersihan terbaik di semua Hentian Sebelah dan kawasan Rehat dan Rawat (RnR),” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Beliau berkata, pihaknya percaya pengguna lebuh raya kini lebih cakna dengan persediaan yang diperlukan bagi memastikan perjalanan yang lebih selesa dan selamat menjelang Aidiladha tahun ini.

    Tambahnya lagi, Aidiladha ini adalah kali ketiga rakyat Malaysia berpeluang pulang ke kampung halaman masing-masing sejak negara memasuki fasa endemik.

    “Sungguhpun begitu, demi meningkatkan komitmen kami dalam menjamin keselesaan semua, Jadual Cadangan Perjalanan (TTA) tetap dikeluarkan sebagai peringatan di setiap musim perayaan.

    “Dalam masa yang sama, Anih Berhad ingin mengingatkan pengguna supaya memandu dengan berhemah serta memastikan keadaan kenderaan optimum. Pengguna juga dinasihatkan agar memastikan baki e-wallet, Touch n’Go dan SmartTag mencukupi di samping mendapatkan rehat yang secukupnya sebelum memulakan perjalanan,” katanya.

     
     
  • Harga SST Lexus 2022: naik tertinggi hingga RM53k; ES naik RM20k; LM naik RM41k; RX naik RM46k

    Harga SST Lexus 2022: naik tertinggi hingga RM53k; ES naik RM20k; LM naik RM41k; RX naik RM46k

    Dengan berakhirnya pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada 30 Jun 2022, Lexus Malaysia juga tidak ketinggalan mengeluarkan senarai harga baharu bagi kesemua modelnya yang masih dijual di pasaran tempatan.

    Varian yang menyaksikan kenaikan harga paling tinggi ialah ://paultan.org/2021/02/02/lexus-ls-500-facelift-2021-dibuka-tempahan-di-malaysia-varian-luxury-executive-dari-rm1-023j/”>LS 500 dengan pakej Kiriko Cut Glass, di mana kini ia dijual pada RM1.358 juta, atau RM53,232 lebih tinggi berbanding sebelum ini. Sementara itu, LS 500 Luxury pula kini lebih mahal sebanyak RM39,371, kini berharga RM1,023,629.

    Manakala untuk barisan sedan ES pula, kini ia lebih RM19,977.50 berbanding ketika pengecualian SST. Kesemua model Lexus adalah unit import sepenuhnya (CBU), jadi ia hanya mendapat 50% pengurangan sahaja dari SST sewaktu ‘cuti cukai ini’ dilaksanakan.

    Harga SST Lexus 2022: naik tertinggi hingga RM53k; ES naik RM20k; LM naik RM41k; RX naik RM46k

    Bagi barisan SUV dan crossover pula, barisan UX kini naik sebanyak RM14,942 berbanding sebelum ini. Pada asalnya crossover premium kompak dilancarkan dengan tiga varian, namun kini tinggal dua varian sahaja yang masih ditawarkan (UX 200 Urban dan UX 200 Luxury), dengan varian UX 200 F Sport telah pun digugurkan.

    Untuk NX generasi kedua yang dilancarkan dengan harga termasuk SST, di mana ia berharga RM370,888 untuk NX 250 Luxury dan RM389,888 bagi NX 350 F Sport. Manakala SUV mewah RX pula, lebih mahal sebanyak RM45,701 berbanding ketika pengecualian SST, kini berharga bermula RM429,888.

    Untuk model Lexus dua-pintu, LC kini lebih mahal sebanyak RM47,185, dengan versi coupe berharga RM1.25 juta, sementara versi convertible pula RM1.35 juta. Bagi MPV mewah LM, ia menyaksikan peningkatan lebih RM40k, kini mencecah RM1.148 juta untuk varian tunggal LM 350 empat-tempat duduk.

     
     
  • Proton catat jualan 14,787 unit pada Jun – naik 51%, jualan separa pertama 2022 cecah 60,124 unit

    Proton catat jualan 14,787 unit pada Jun – naik 51%, jualan separa pertama 2022 cecah 60,124 unit

    Proton mengumumkan bahawa ia berjaya mencatatkan jualan sebanyak 14,787 unit sepanjang bulan Jun, iaitu prestasi jualan bulanan terbaik pernah dicatatkan untuk sepanjang tahun ini. Walau bagaimanapun, angka berkenaan bukan hanya dikira berdasarkan jualan tempatan, malah turut termasuk penghantaran ke pasaran eksport.

    Menurut syarikat tersebut dalam kenyataan yang dikeluarkan, prestasi yang memberangsangkan berkenaan menunjukkan komitmen mereka bagi menyelesaikan isu bekalan komponen, yang sebelum ini menyaksikan banyak tempahan dari pelanggan yang tertanggguh.

    Angka yang ditunjukkan tersebut mewakili peningkatan sebanyak 51.0% berbanding bulan lalu dan menjadikan jumlah jualan kumulatif tahunan 2022 adalah 60,124 unit, atau peningkatan sebanyak 3.9% berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

    Proton turut menyatakan bahawa ia masih mengekalkan kedudukan di tangga kedua di dalam industri automotif tempatan dengan anggaran pegangan pasaran semasa sebanyak 22.6%. Manakala jumlah pegangan pasaran tahunan mencatatkan 18.2%, penurunan sebanyak 5.1% berbanding enam bulan pertama pada tahun lepas. Jumlah Volum Industri (TIV) dianggarkan sebanyak 331,164 unit.

    Dari keseluruhan jumlah jualan bulan lalu, Proton Saga 2022 MC2 yang diperkenalkan pada 12 Mei lalu menjadi pemacu utama dengan 5,460 unit telah didaftarkan pada bulan lepas, sekaligus melonjakkannya kembali menjadi sedan segmen-A paling laris di Malaysia, dan mencatatkan jumlah jualan kumulatif tahunan kepada 23,484 unit setakat ini.

    SUV segmen-B Proton X50 pula mencatatkan jualan bulanan terbaik pernah direkodkan sejak ia dilancarkan dengan 4,473 unit berjaya dihantar kepada pelanggan bulan lalu, dan ia masih SUV paling laris di Malaysia buat masa sekarang. Manakala SUV Proton X70 yang baharu sahaja dikemaskini pada bulan lalu mencatatkan jualan bulanan 2,969 unit; bukan sahaja mencatatkan prestasi terbaiknya sepanjang tempoh 20 bulan kebelakangan ini, malah masih bergelar SUV segmen-C paling laris dalam negara.

    Satu-satunya MPV dalam barisan model Proton iaitu Exora berjaya dijual sebanyak 513 unit sepanjang Jun, menjadikan ia kekal sebagai MPV segmen-C paling laris di Malaysia. Kembar segmen-B iaitu sedan Proton Persona dan hatchback Proton Iriz pula masing-masing mencatatkan jualan 1,224 unit dan 421 unit dan meletakkan mereka di posisi ketiga dan keempat dalam segmen masing-masing.

    “Jun adalah bulan yang sibuk bagi industri automotif dengan kebanyakan jenama berusaha mengeluarkan sebanyak mungkin kenderaan bagi memenuhi permintaan pasaran. Pengumuman bahawa insentif SST akan berakhir pada 1 Julai juga mendorong tempahan apabila pelanggan bergegas mengambil kesempatan daripada penjimatan yang ditawarkan. Proton telah menerima lebih daripada 150,000 tempahan untuk enam bulan pertama tahun ini dan sekiranya ditambah kepada pesanan yang diterima pada tahun 2021, kami perlu bekerja keras dalam memastikan penghantaran kenderaan dilakukan dengan secepat mungkin seterusnya memenuhi pemintaan pelanggan,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton.

    “Kami bersyukur bahawa isu bekalan komponen dapat diselesaikan secara berperingkat, ia bukan sahaja dapat meningkatkan pengeluaran, tetapi juga memberi impak positif kepada rangkaian selepas jualan. Seperti yang dijanjikan, semua cawangan 3S/4S kami kini mempunyai stok tiga bulan bagi komponen bergerak pantas (FMP) dan ini direplikasi di gudang alat ganti kami. Isu bekalan bagi komponen yang lain juga sedang diselesaikan, dan kami berharap dapat memberikan tahap perkhidmatan selepas jualan yang lebih baik kepada pelanggan kami tidak lama lagi,” tambahnya lagi.

     
     
  • Proton X50 — 4,473 unit dijual pada Jun 2022; bulan dengan jualan terbaik bagi SUV pendahulu pasaran

    Proton X50 — 4,473 unit dijual pada Jun 2022;  bulan dengan jualan terbaik bagi SUV pendahulu pasaran

    Dengan 4,473 unit yang dijual sepanjang Jun 2022, Proton X50 kekal menjadi pendahulu pasaran dalam SUV segmen B, sekaligus mendahuli pasaran SUV di Malaysia. Angka jualan terbaru bagi X50 ini hampir 61% lebih tinggi berbanding 2,779 unit yang dijual pada Mei. Angka ini juga sebahagian daripada jumlah keseluruhan 14,787 unit (domestik dan eksport) yang dicapai bulan lalu.

    Menurut Proton, Jun menjadi bulan dengan jualan terbaik bagi X50 sejak model berkenaan dilancarkan pada Oktober 2020. SUV berkenaan ditawarkan dalam empat varian; 1.5T Standard, 1.5T Executive, 1.5T Premium dan 1.5 TGDi Flagship. Sejak dilancarkan, X50 menjadi pilihan ramai, dengan lebih daripada 100,000 tempahan setakat Mac tahun ini.

    Bulan lalu, dimaklumkan bahawa tempoh menunggu untuk SUV ini adalah sekitar enam bulan dan Proton sedang berusaha keras untuk memastika pelanggan menerima kereta mereka sebelum 1 April 2023. Ini selepas kerajaan mekalumkan pengecualian SST tidak lagi akan dilanjutkan, tetapi ia masih sah untuk semua kenderaan yang ditempah sebelum 1 Julai tahun ini dan didaftarkan menjelang 31 Mac 2023.

    Bagi eksport, Proton memaklumkan 100 unit X50 telah dihantar sepanjang Jun, dan ada lagi yang akan dihantar sepanjang tahun ini. Penghujung Mei lalu, Proton mengumumkan telah mengeksport kumpulan pertama X50, X70 dan Saga ke Afrika Selatan buat pertama kali sejak 2012.

     
     
  • Honda ADV 160 vs ADV 150 – banyak beza selain enjin

    Honda ADV 160 vs ADV 150 – banyak beza selain enjin

    Beberapa hari lalu, kita sudah melihat Honda mendedahkan buat kali pertamanya ADV 160 di pasaran Indonesia. Perubahan paling utama dilakukan pada pengganti ADV 150 ini adalah enjin, di mana sekarang ia menggunakan unit satu silinder suntikan bahan api 156.9 cc, tetapi bagaimana pula dengan bahagian lain seperti panel badannya?

    Ternyata, apabila melihat gambarnya secara terperinci, panel badan ADV 160 ini adalah berlainan berbanding ADV 150, meskipun secara kasarnya ia masih mengekalkan konsep rekaan yang sama. Bermula dari panel yang memegang lampu hadapan, tepi, bawah, pelindung ekzos, penghadang angin dan penghadang lumpur hadapan, semuanya adalah baru.

    Walaubagaimanapun, daripada pandangan mata kami, unit lampu LED hadapan dan belakang skuter ala adventure ini masih lagi sama, dan begitu juga dengan rekaan rim bersaiz 14 inci di hadapan dan 13 inci di belakang, dibalut dengan tayar masing-masing 110/80 dan 130/70, serta tempat duduknya.

    Pergi pula ke bahagian meter, anda boleh menyaksikan skrin LCD pada ADV 160 kini menggunakan unit yang rata tanpa sebarang butang, dan di sekelilingnya tidak mempunyai pelindung plastik seperti pada ADV 150. Semua informasi dipaparkan pada skrin ini, termasuklah lampu amaran yang sebelum ini diasingkan pada ADV 150, dan di bawahnya terdapat tiga butang yang kami kira, mungkin adalah untuk membuat pilihan pada skrin tersebut.

    Kembali pada enjinnya, dengan kapasiti yang lebih besar, sudah tentu kuasanya juga meningkat, dan sekarang mampu menghasilkan 15.8 hp pada 8,500 rpm dan 14.7 Nm tork pada 6,500 rpm, berbanding 14.6 hp pada 8,500 rpm dan 13.9 Nm tork pada 6,500 rpm bagi ADV 150 sebelum ini. Enjin ini juga datang dengan sistem start/stop, dan boleh memberikan penggunaan bahan api sehingga 45 km/l.

    Dengan perubahan yang diberikan pada panel badan ADV 160 ini, ruang simpanan di bawah tempat duduknya juga dapat dibesarkan lagi sebanyak dua liter, menjadikan kapasiti keseluruhannya 30 liter. Suspensi masih lagi tetapan fork teleskopik di hadapan dan dua penyerap Showa dengan tabung gas di belakang, menghasilkan kelegaan dari tanah 165 mm yang sama seperti sebelum ini, tetapi tinggi tempat duduk telah direndahkan 15 mm, menjadi 780 mm.

    Satu lagi peningkatan penting pada ADV 160 adalah sistem kawalan cengkaman HSTC. Di Indonesia, ADV 160 ditawarkan dalam dua varian iaitu CBS yang berharga 36 juta rupiah (RM10,624) dan ABS yang berharga 39.25 juta rupiah (RM11,583), dan sistem kawalan cengkaman ini diberikan standard untuk model ABS.

    Gambar yang kami dapat ini juga agak terhad, kerana laman web PT Astra Honda Motor tidak dapat diakses dari hari pelancaran itu sehinggalah sekarang, tetapi melaluinya sekurang-kurangnya anda sudah dapat melihat beza antara ADV 160 dan juga ADV 150. Klik gambar untuk besarkan.

     
     
  • Harga SST Mercedes-Benz 2022: naik hingga RM45k; A Sedan naik RM10k manakala GLC naik RM18k

    Harga SST Mercedes-Benz 2022: naik hingga RM45k; A Sedan naik RM10k manakala GLC naik RM18k

    Berikutan harga kenderaan yang kembali dengan SST bermula 1 Julai 2022, Mercedes-Benz Malaysia telah mengemaskini senarai harga kenderaan yang dijual syarikat itu di sini.

    GLE Coupe menyaksikan peningkatan paling ketara dengan kembalinya SST, dengan varian tunggal GLE 53 4Matic+ naik sehingga RM44,481.45 menjadi RM856,888 ketika ini. Sementara itu, GLC 300 e 4Matic Coupe yang baru saja dilancarkan pula melibatkan peningkatan paling kecil, iaitu RM6,305.69 menjadi RM398,888.

    Model utama seperti C-Class juga turut menyaksikan kenaikan harga, dengan varian paling tinggi C 300 AMG Line naik paling banyak (RM14,206.92) menjadi RM344,888. Begitu juga dengan model E-Class, dengan varian tertinggi E 300 AMG Line kini menjadi RM397,888, naik sebanyak RM18,958.03 berbanding sebelum ini.

    Harga SST Mercedes-Benz 2022: naik hingga RM45k; A Sedan naik RM10k manakala GLC naik RM18k

    Model peringkat kemasukan seperti A-Class Sedan dan GLA juga memperlihatkan kenaikan lebih RM10k, dengan pengecualian bagi kenaikan model paling asas A 200 Progressive Line, kini dengan kenaikan sebanya RM9,429.21.

    Bagi SUV Mercedes-Benz pula, GLA naik sehingga RM12,723.16 bagi varian bukan AMG, dan bagi GLA 35 4Matic CKD kini RM363,888 seperti yang dinyatakan ketika pelancarannya minggu lalu.

    Bagi SUV tujuh-tempat duduk GLB 200 Progressive Line dan GLB 250 4Matic AMG Line, ia kini naik sebanyak RM11,922.39 berbanding dahulu, dengan model AMG, GLB 35 4Matic menyaksikan pertambahan RM13,305.69. Bagi satu-satunya model elektrik, EQA, ia masih menikmati insentif tetapi dengan SST, menjadikan harganya kini naik RM8,686.75 kepada RM286,888.

     
     
  • Audi Q5 Sportsback S Line 2.0 TFSI quattro di Malaysia – kini berharga RM487,223 dengan SST

    Audi Q5 Sportsback S Line 2.0 TFSI quattro di Malaysia – kini berharga RM487,223 dengan SST

    Wakil pengedar baharu Audi di Malaysia iaitu PHS Automotive telah pun mengumumkan perincian barisan model-model yang dijual pada pasaran tempatan, antaranya adalah Audi Q5 Sportback S Line 2.0 TFSI quattro, selain model lain termasuk A5 Sportback, Q2, Q3, dan Q5.

    Model Q5 Sportback dengan badan “SUV-coupe” ini masih berkongsi unit penggerak yang sama dengan Q5 biasa pasaran Malaysia iaitu enjin petrol 2.0 liter empat silinder turbo berkuasa 249 PS bermula 5,000 hingga 6,000 rpm dan tork maksima 1,600 rpm hingga 4,500 rpm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan S Tronic, serta sistem pacuan semua roda quattro.

    Model ini sebenarnya telah pun dibawa ke Malaysia pada Ogos tahun lalu. Dan kini Audi Q5 Sportback S Line 2.0 TFSI quattro ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM487,223, lengkap dengan SST efektif bermula 1 Julai 2022.

    Klik untuk besarkan

    Sama seperti Q5 facelift, Q5 Sportback ini juga dilihat menampilkan harga yang jauh lebih tinggi dari sebelum ini. Namun bagi model kemaskini ini, ia datang standard dengan perincian-perincian yang sebelum ini diasingkan dalam opsyen Premium Package.

    Oleh itu, Q5 Sportback S Line pasaran Malaysia ini menerima kelengkapan-kelengkapan standard termasuk lampu hadapan LED dengan fungsi pembersih, rim aloi lima-jejari 20-inci bersama tayar 255/45R20, dan juga pakej kemasan-kemasan gelap untuk bahagian luaran bagi memberikan imej lebih agresif.

    Pada sebelah dalam, kabin S Line ini diberikan upholsteri kulit Nappa, fungsi Comfort Key dengan akses tanpa kunci, serta lampu suasana kabin pelbagai-warna. Turut tersedia adalah tempat duduk hadapan larasan elektrik 12-hala dengan sokongan lumbar, fungsi memori pada tempat duduk pemandu, sistem pendingin hawa tiga-zon serta cermin pandang belakang auto-malap tanpa bingkai.

    Audi Q5 Sportsback S Line 2.0 TFSI quattro di Malaysia – kini berharga RM487,223 dengan SST

    Untuk pemandu, ia diberikan lima mod pemanduan menerusi fungsi Audi Drive Select. Ia juga diberikan sistem infotainmen yang menyokong hubungan Apple CarPlay dan Android Auto, serta diberikan sistem audio premium Bang & Olufsen 16 saluran 755 watt yang dihubungkan kepada 19-pembesar suara.

    Bagi kelengkapan keselamatan pula, model ini diberikan cruise control adaptif, sistem Audi pre sense belakang dan basic, amaran keluar lorong, bantuan tukar lorong, pek kamera 360-darjah, serta sistem park assist bersama parking aid plus.

    Untuk waranti, PHS Automotive menawarkan perlindungan selama lima-tahun tanpa had perbatuan, bersama bantuan tepi jalan juga selama lima-tahun, serta pakej servis percuma selama tiga-tahun.

     
     
  • Kia Carnival CKD 2022 dipertonton di Malaysia — MPV 7-tempat duduk dengan ADAS; dari RM231k-RM261k

    Kia Carnival CKD 2022 dipertonton di Malaysia — MPV 7-tempat duduk dengan ADAS; dari RM231k-RM261k

    Hujung minggu lalu, Bermaz mempertontonkan kepada awam Kia Carnival CKD untuk pertama kali. Pertama kali sejak 2020, MPV dari pengeluar Korea ini ditawarkan dalam bentuk tujuh dan lapan-tempat duduk, dengan ruang yang banyak untuk penumpang belakang.

    Ini juga membawa kepada harga rasmi bagi tiga varian model CKD ini. Penawarannya bermula dengan varian 2.2D 8-tempat duduk pada RM231,229 atas jalan tidak termasuk insurans; 2.2D 8-tempat duduk High pada RM247,229; dan 2.2D 7-tempat duduk High dengan harga RM261,229. Semua harga ini termasuk SST semula.

    Harga berkenaan adalah lebih tinggi berbanding model CBU 11-tempat duduk, yang ditawarkan dengan harga permulaan lebih rendah, RM196,341. Dengan bilangan tempat duduk yang banyak itu membolehkan model CBU berkenaan diklasifikasi sebagai kenderaan komersial, dan menikmati kadar cukai lebih rendah.

    Untuk mengimbangi kenaikan harga itu, versi tujuh dan lapan-tempat duduk ini menyediakan ruang kabin yang lebih luas dan sususan kerusi yang lebih pelbagai. Versi lapan-tempat duduk yang lebih murah misalnya menghapuskan satu baris kerusi dan mengubah konfigurasi biasa 2-3-3-3 kepada 2-3-3 sahaja. Ini membolehkan rekaan kerusi yang berbeza digunakan untuk lebih selesa, dengan tiga kerusi saiz penuh di barisan kedua — yang dipasang dengan tali keledar tiga-poin dan bukan lagi tali keledar pangkal peha.

    Kia Carnival CKD 2022 dipertonton di Malaysia — MPV 7-tempat duduk dengan ADAS; dari RM231k-RM261k

    Sama seperti model 11-tempat duduk, kerusi di tengah boleh dilipat untuk dijadikan meja (dengan ruang cawan tersedia), walaupun ia boleh dilipat dan disimpan di tepi. Semua kerusi boleh dialih — seperti kerusi barisan kedua — dan boleh dilipat 180-darjah untuk menghadap kerusi barisan ketiga.

    Ketiga-tiga kerusi di barisan kedua boleh diluncur dan direbahkan secara individu, dan lebih penting, kerusi di tengah juga boleh dipasangkan kerusi kanak-kanak Isofix. Ini bermaksud, walaupun mempunyai kurang kerusi berbanding model 11-tempat duduk, model lapan tempat-duduk ini boleh dipasangkan tiga lagi kerusi keselamatan kanak-kanak (semuanya boleh lima kerusi).

    Versi tujuh-tempat duduk kurang kerusi tengah, sebaliknya menerima kerusi kapten yang lebih mewah untuk barisan kedua. Kerusi rehat premium ini tidak hanya nampak lebih padat dan gebu, yang hadir dengan perehat lengan dan kerusi larasan kuasa untuk penyandar dan ketinggian. Ia juga boleh di tolak ke depan secara manual.

    Kia Carnival CKD 2022 dipertonton di Malaysia — MPV 7-tempat duduk dengan ADAS; dari RM231k-RM261k

    Kedua-dua versi CKD ini memberikan tambahan ruang untuk barangan — dengan 627 liter, dengan kerusi barisan terakhir boleh dilipat dalam nisbah 60:40. Dengan melipat kerusi ini dengan rata, ia akan memberikan pertambahan ruang sebanyak 2,785 liter lagi.

    Kelengkapan lain yang ada termasuk tujuh slot USB Type-A (satu untuk data, dua untuk pengecas di depan dan dua lagi di belakang kerusi depan, dengan dua lagi di tepi kabin untuk barisan ketiga), dua ruang cawan untuk barisan kedua dan empat ruang cawan untuk barisan ketiga. Kawalan pendingin tiga-zon juga tersedia, dengan kawalan di barisan akhir terletak di bahagian kanan bumbung barisan kedua; dengan udaranya keluar dari saluran di bumbung untuk barisan belakang berkenaan.

    Walaupun dengan kelengkapan yang lebih banyak, Carnival CKD tampil hampir sama dengan model CBU. Ia lengkap dengan lampu utama LED automatik yang bersambung dengan gril, rim 18-inci jejari-Y dengan dua tona serta landasan bumbung warna perak. Perbezaan yang dapat dilihat hanyalah lampu belakang kini LED sepenuhnya, dalam kelebaran penuh — ditawarkan hanya untuk varian High.

    Di dalam, model CKD datang dengan sistem bunyi Bose 12-pembesar suara sebagai standard. Ia juga dilengkapi dengan paparan instrumen digital 12.3-inci, mungkin hanya untuk versi High, (versi CBU datang dengan tuil analog dan paparan multi-info 4.2-inci), walaupun skrin sentuh intotainmen 12.3-inci terus ditawarkan untuk semua.

    Selebihnya kelengkapan yang ada dijangka sama dengan model CBU. Ini termasuklah sistem tanpa kunci, butang Push Start, kerusi depan larasan kuasa lapan-hala, balutan kemasan kulit buatan, pengecas tanpa wayar Qi, sistem kamera 360-darjah, penghadap matahari manual untuk pintu gelungsur dan tingkap sisi belakang serta pintu gelungsur dan pintu barangan bebas kendalian tangan.

    Bagi varian High pula, ia datang dengan dua sunroof, memori untuk kerusi pemandu dan liang udara dan pemanas untuk kerusi depan, dengan versi tujuh-tempat duduk lengkap dengan kerusi balutan kulit. Dari segi keselamatan, semua model diberikan tujuh beg-udara, kawalan kestabilan, peninjau titik buta, amaran lintasan trafik belakang dan pengingat kerusi belakang dengan sensor ultrasonik untuk mengesan penumpang di belakang.

    Model High pula akhirnya turut menerima ciri keselamatan aktif Kia, Drive Wise, termasuk ciri AEB dengan pengesan lintasan trafik, kawalan melayar adaptif dengan Stop/Go, bantuan ke tengah lorong, bantuan mengekalkan lorong, penghindar titik buta dan perlanggaran lintasan trafik, lampu tinggi automatik dan amaran perhatian pemandu.

    Sama seperti model CBU Carnival, model CKD terus menggunakan enjin 2.2 liter turbodiesel empat-silinder yang dipanggil Smartstream D2.2. Outputnya adalah 202 PS pada 3,800 rpm dan 441 Nm dari 1,750 hingga 2,750 rpm, dihantar ke roda depan melalui kotak gear automatik lapan-kelajuan.

    Kia Carnival CKD 2022 dipertonton di Malaysia — MPV 7-tempat duduk dengan ADAS; dari RM231k-RM261k

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024