Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Honda Malaysia umum promosi Hari Malaysia – rebat tunai sehingga RM6k, kadar faedah serendah 2.24%

    honda-harmony-promo-1_bm

    Jika anda terlepas promosi Honda Malaysia (HM) sempena Hari Kemerdekaan bulan lalu, jangan risau kerana HM menyambung tawaran istimewa mereka dengan promosi Celebrate Harmony sepanjang bulan ini (1-30 Sept), bersempena sambutan hari Malaysia.

    Tawaran yang diberikan adalah sama dengan promosi sebelum ini, dengan promosi diberikan pada lima model terpilih. Tawaran berkenaan termasuk kadar faedah pembiayaan serendah 2.24% atau rebat tunai sehingga RM6,000, termasuk bonus istimewa My Malaysia.

    Civic generasi baharu tidak tersenarai dalam promosi bulan lalu, sama juga dengan promosi bulan ini. Accord yang ditawarkan pada promosi bulan lalu juga tidak tersenarai dalam promosi terbaharu ini kerana Accord versi facelift baru sahaja dilancarkan dua hari lalu.

    Bermula dengan Honda Jazz, bagi semua varian 1.5L – S, E dan V boleh dimiliki dengan kadar faedah serendah 2.24% atau dengan rebat tunai RM4,000. Sebagai tambahan, My Malaysia Bonus sejumlah RM2,000 turut ditawarkan, serta Eco Tint Ray Barrier 4 bernilai RM1,500 sebagai pilihan.

    Bagi Honda City, kadar faedah yang ditawarkan ialah 2.41% atau rebat tunai sebanyak RM3,000. Promosi ini sah untuk semua varian yang dijual, serta My Malaysia Bonus sehingga RM2,000 turut disediakan.

    Bonus istimewa bagi Honda HR-V pula ditawarkan sehingga RM3,000, dengan kadar faedah serendah 2.78% atau pilihan rebat tunai RM1,000. Ia turut ditawarkan bagi semua varian; HR-V 1.8 – S, E dan V.

    Ini diikuti dengan SUV lebih besar, Honda CR-V. Semua varian – 2.0L 2WD, 2.0L 4WD dan 2.4L 4WD kini boleh dimiliki dengan kadar faedah serendah 2.62% atau rebat tunai sehingga RM3,000, juga jumlah yang sama bagi My Malaysia Bonus yang untuk model ini.

    Yang terakhir; Odyssey pula ditawarkan dengan kadar faedah 2.75% atau rebat tunai RM2,000. Pembeli juga akan menikmati My Malaysia Bonus berjumlah RM1,000, beserta hadiah eksklusif Thermocafe Tumbler oleh Thermos.

     
     
  • Honda memperluaskan panggilan balik berkenaan beg udara Takata – lagi 668,816 unit kenderaan terlibat

    Honda airbag

    Honda telah memperluaskan lagi panggilan balik bagi menangani krisis beg udara buatan Takata. Kali ini, ia melibatkan sejumlah 668,816 unit kenderaan di Jepun, bagi penggantian beg udara bahagian penumpang yang mengalami masalah inflator.

    Model yang terlibat ialah Fit and Fit Hybrid (Jazz) buatan tahun 2010-2011, Fit Shuttle (2011), Freed dan Freed Spike (2010-2011), Insight (2010-2011), Civic, Civic Type dan Civic Hybrid (2009-2010), CR-V (2010-2011), Inspire (Accord) (2009-2011), Accord Euro dan Accord Tourer (2011), Legend (2009-2010) dan kenderaan sel hidrogen FCX Clarity (2009-2010).

    Menurut Automotive News, panggilan terkini di seluruh dunia telah melibatkan sejumlah 51 juta, dengan hampir 100 juta unit dipercayai terlibat dengan skandal beg udara Takata ini, mencatatkan panggilan balik terbesar dalam industri automotif. Malah ia turut melibatkan sekurang-kurangnya 14 kes kematian (termasuk tiga kes dari Malaysia) dan 150 kecederaan di seluruh dunia.

    Panggilan balik ini juga adalah susulan arahan dari Menteri Pengangkutan Jepun pada Mei lalu, di mana ia melibatkan lagi tujuh juta kenderaan menjelang 2019. Ia dilakukan secara berperingkat, termasuk panggilan semula yang dibuat oleh penguatkuasa pengangkutan Amerika Syarikat.

    Skandal beg udara buatan Takata ini berpunca dari masalah inflator di dalamnya. Di mana sekiranya kemalangan berlaku, hasil hentakan yang kuat boleh mengakibatkan besi di dalam inflator beg udara tersebut terkeluar, sekali gus mampu mengundang kematian.

    Honda yang merupakan pelanggan terbesar Takata, telah mengambil inisiatif bagi menggantikan semula unit beg udara yang terlibat dan menghentikan sepenuhnya penggunaan beg udara buatan Takata.

     
     
  • ANIH keluarkan jadual cadangan waktu perjalanan bagi Lebuhraya Karak, LPT1 sempena Aidiladha ini

    Karak-highway-01-850x490

    Hujung minggu ini, pastinya ramai yang ingin pulang ke kampung halaman masing-masing atau pun mahu ke destinasi pilihan memandangkan ia melibatkan cuti yang agak panjang sempena Hari Raya Aidiladha pada Isnin ini. Serentak pula dengan cuti persekolahan selama seminggu dan juga Jumaat depan, 16 September, kita akan menyambut Hari Malaysia.

    Seperti kebiasaan, lebuhraya pastinya dipenuhi dengan jutaan kenderaan yang bergerak ke serata destinasi. Justeru, bagi melancarkan perjalanan anda, sila rancang sebaik mungkin waktu bagi pergerakan kenderaan anda di lebuhraya yang terlibat.

    Bagi kelancaran trafik di Lebuhraya Kuala Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1), ANIH Berhad, pemegang konsesi bagi kedua-dua lebuhraya terbabit telah mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk membantu pengguna menikmati perjalanan yang selesa di KLK dan LPT 1 pada waktu puncak di musim cuti perayaan ini.

    Jadual TTA untuk perayaan Aidiladha kali ini menyarankan pengguna dari Lembah Klang yang menuju ke Pahang pada 10 dan 11 September untuk memasuki KLK dan LPT 1 pada jam 12 tengah hari hingga 3 petang atau antara 7 malam hingga 11 malam. Pengguna yang ingin menuju ke Terengganu dan Kelantan pula dinasihatkan memasuki lebuh raya antara jam 6 pagi hingga 11 pagi atau jam 5 petang hingga 8 malam.

    tta_raya-haji-2-002

    Klik untuk besarkan imej

    Bagi pengguna dari Pahang yang ingin kembali semula ke ibu kota pada 17 dan 18 September ini, mereka dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya pada jam 6 pagi hingga 10 pagi atau 7 malam hingga 11 malam.

    Pengguna dari Terengganu pula disarankan untuk memasuki lebuh raya pada jam 8 pagi hingga 11 pagi atau 8 malam hingga 10 malam, sementara pengguna dari Kelantan boleh menggunakan lebuh raya bermula jam 5 petang hingga 9 malam atau 9 malam hingga 12 tengah malam.

    Jadual TTA yang diperkenalkan ANIH Berhad sejak 2009, terdiri daripada cadangan perjalanan berperingkat mengikut masa dan destinasi tertentu dari Lembah Klang ke negeri-negeri dan bandar-bandar utama di negeri pantai timur Semenanjung Malaysia. Ia dirangka berdasarkan kepada analisis pergerakan trafik pada waktu puncak setiap kali musim perayaan pada tahun sebelumnya.

    Pengenalan TTA bertujuan untuk menyuraikan pergerakkan trafik dan mengurangkan kesesakan di laluan-laluan utama lebuh raya, plaza-plaza tol dan kawasan rehat pada waktu-waktu puncak.

     
     
  • Nissan Serena generasi kelima dipanggil balik kerana kerosakan dan risiko kebakaran pada sistem start/stop

    2016-nissan-serena-bm

    Dilancarkan di Jepun hanya dua bulan yang lalu, Nissan Serena baharu sudah terpaksa dipanggil balik kerana masalah pada sistem start/stop enjinnya. Secara keseluruhan, 9,481 unit Nissan Serena generasi kelima ini terkesan oleh panggilan balik tersebut.

    Masalahnya berpunca daripada litar elektrikal starter-generator – akibat rintangan yang tidak mencukupi, arus yang tinggi menyebabkan pemulaan semula enjin boleh mengakibatkan kerosakan bahagian dalaman, seterusnya litar pintas.

    Ini juga menyebabkan fungsi start/stop tidak berfungsi dengan betul dan paling teruk, generator boleh terbakar. Nissan menyarankan pengguna menutup ciri start/stop sehingga kerja penukaran dilakukan.

    Menurut Reuters, satu kejadian telah dilaporkan, dengan sedikit kebakaran kecil. Nissan juga dilaporkan sudah memberhentikan penghantaran minggu lalu akibat daripada panggilan balik ini.

    Walaupun jumlah penghantaran adalah tinggi, sebenarnya hanya 600 unit sahaja yang sudah tiba pada pelanggan. Selebihnya sama ada masih dalam proses penghantaran atau di pusat pameran sekitar Jepun. Nissan menjangka meneruskan kembali penghantaran pada minggu hadapan.

     
     
  • VIDEO: BMW 5 Series G30 diperlihat lebih awal daripada penampilan pertama di Paris Oktober nanti

    Pengenalan model baharu BMW 5 Series akan dilakukan semasa Pameran Permotoran Paris bulan hadapan, walaubagaimanapun video usikan awalnya sudah pun dikeluarkan. Model ini dianggap penting kerana akan bersaing terus dengan Mercedes-Benz E-Class W213 yang masih lagi baharu di pasaran.

    Tidak banyak sebenarnya yang dipaparkan berkenaan rekaan kereta dalam video selama 59 minit ini, dan paling jelas adalah lampu belakangnya sahaja. Ia mempunyai light guide berbentuk L berlapis, hampir seperti model 3-Series F30 Facelift.

    Melihat kepada laporan pemanduan awal 5 Series baharu ini oleh Autocar, ia akan menggunakan platform Cluster Architecture (CLAR) yang pertama kali digunakan pada model 7 Series baharu.

    Tidak seperti model yang lebih besar itu, G30 tidak akan menampilkan binaan Carbon Core, tetapi penggunaan aluminium diluaskan (serta ciri pengurangan berat lain), menjadikan beratnya berjaya dikurangkan sehingga 100kg, walaupun saiz bertambah besar.

    bmw-5-series-g30-bm

    Kuasa akan datang daripada enjin turbo empat, enam dan lapan silinder, termasuk 2.0 liter B47 diesel dan B48 petrol empat silinder, 3.0 liter B57 diesel dan B58 petrol enam silinder sebaris, dan 4.4 liter twin-turbo V8. Turut dijangka nanti adalah F90 M5 yang menggunakan enjin 4.4 liter V8 dipertingkat dan mampu mengeluarkan sehingga 626 hp.

    Turut akan ditawarkan adalah model plug-in hybrid yang menggunakan penjana kuasa sama seperti 330e, 740e dan X5 xDrive40e. Enjin empat silinder 2.0 liter digabungkan bersama motor elektrik dan bateri lithium-ion yang digunakan terletak di bawah lantai ruang simpanan belakang.

    Suspensi double wishbone pada bahagian hadapan juga diperbaiki, dengan penggunaan lebih komponen aluminium untuk mengurangkan beratnya, sementara suspensi belakang dengan lima sambungan juga direka kembali bersama geometri baharu, komponen aluminium lebih ringan dan keras serta tapak sambungan baharu. Turut akan ditawarkan sebagai pilihan tambahan adalah suspensi sport, penyerap dinamik, stereng empat roda dan pacuan empat roda xDrive.

    SPYSHOT: BMW 5 Series G30 M Sport

     
     
  • Lexus UX Concept – prebiu pertama yang disebarkan sebelum dipertontonkan di Paris Motor Show 2016

    lexus-ux-concept

    Lexus telah menyebarkan imej teaser pertama bagi model akan datang Lexus UX Concept, yang bakal diprebiu dalam slot SUV bersaiz kecil di bawah Lexus NX, kemungkinan berasaskan platform Toyota C-HR.

    Syarikat ini berkata, UX Concept direka oleh Pusat Rekaan Eropah milik Toyota, ED2. Menurut siaran akhbar yang diedarkan, ia mengadaptasikan rekaan terkini Lexus untuk peringkat akan datang dan menampilkan identiti yang lebih berdinamik, progresif dan sesuai dengan gaya hidup urban masa kini.

    Pertama kali mendengar nama UX ini pada Februari 2016, apabila Lexus dikhabarkan telah mendaftarkan nama UX 200, UX 250 dan UX 250h di Australia. Pada masa itu, kami menduga ia melibatkan sesuatu yang lebih kecil memandangkan saiz enjin turut disebut pada nama yang didaftarkan.

    Jika NX bersaing dengan beberapa model seperti Mercedes-Benz GLC dan BMW X3, UX pula dijangka bakal menyaingi pesaing seangkatannya termasuk GLA dan X1.

     
     
  • MV Agusta semakin pulih daripada masalah kewangan

    mv-agusta-motorcycle-9-e1473321202972-850x583BM

    MV Agusta yang sebelum ini menghadapi masalah kewangan kini dikatakan semakin pulih, menurut laporan yang ditulis oleh Motorcycle News.

    Dari laporan itu juga, Ketua Pegawai Eksekutif MV Agusta, Giovanni Gastiglioni menyatakan kilang MV Agusta sudah kembali beroperasi mengeluarkan model semasa serta akan datang mereka.

    Proses pemuilhan syarikat ini berjaya dilakukan oleh MV Agusta dengan memotong kos perbelanjaan dan mengecilkan syarikat untuk bertumpu kepada model yang lebih penting seperti Brutale.

    Selain itu, MV Agusta juga berjaya mendapatkan pelabur baharu dalam syarikat dan kini berjaya menghasilkan semula aliran tunai.

    Tambah Castioglioni, MV Agusta tetap akan mengeluarkan motosikal kelas tinggi dan tidak melihat kepada kemungkinan pengeluaran motosikal kelas lebih rendah seperti 400cc.

     
     
  • Lebuhraya CSR libatkan kos pembinaan RM6.6b

    latar-highway

    Dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-13 di Wisma Seri Pahang yang berlangsung semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar Pahang Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak telah menjelaskan projek pembinaan Lebuhraya Central Spine Road (CSR) melibatkan dua laluan antara Kota Bharu dan Kuala Krai, Kelantan, serta Kuala Krai ke Simpang Pelangai, Bentong dianggar menelan kos RM6.6 bilion.

    Katanya lagi, kos berkenaan lebih tinggi daripada anggaran awal berikutan langkah kerajaan menaik taraf projek daripada laluan dua lorong kepada empat lorong, laporan Bernama.

    Dalam menjawab soalan Chow Yu Hui (DAP-Bilut) yang mahukan penjelasan tentang anggaran kos keseluruhan pembinaan projek CSR, beliau turut berkata, pada peringkat awalnya, projek CRS yang dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan negeri dan Pusat ini hanya melibatkan pembinaan laluan dua lorong. Namun atas keprihatinan Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob, kerajaan negeri membuat keputusan melaksanakan lebuh raya empat lorong.

    “Buat masa ini, pelaksanaan projek Pakej 5 di Bentong melibatkan Raub Bypass dan Bentong Bypass, kemajuan kerja terkini adalah 19.9%,” ujarnya.

    Beliau turut memaklumkan, laluan Kota Bahru dan Kuala Krai melibatkan pembinaan jalan sepanjang 70.4 kilometer, manakala untuk laluan Kuala Krai ke Simpang Pelangai adalah sejauh 390 kilometer.

     
     
  • PLUS umum cadangan jadual perjalanan sempena Aidiladha; 1.6 juta kenderaan bakal banjiri lebuhraya

    tta-hari-raya-aidiladha-malaysia-day-school-holiday-16-01

    Bermula hujung minggu ini, PLUS menjangkakan 1.6 juta kenderaan akan menggunakan laluan Lebuhraya Utara Selatan pada waktu-waktu puncak di antara tempoh dari 9 September hingga 19 September nanti. Ini disebabkan oleh perayaan Hari Raya Aidiladha, Hari Malaysia serta musim cuti sekolah.

    Peningkatan berkenaan adalah 15% lebih tinggi daripada jumlah pengguna pada hari-hari biasa. Untuk berdepan dengan perkara itu, PLUS mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi mengelakkan kenderaan ke destinasi berlainan bertembung dalam satu masa dan menyebabkan kesesakan.

    Secara amnya, jadual berkenaan mengagihkan waktu mula perjalanan dan membahagikannya kepada beberapa zon kawasan. Sebagai contoh, pengguna dari Lembah Klang yang menuju ke Johor disarankan supaya memasuki Lebuhraya Utara-Selatan lebih awal iaitu di antara jam 6 pagi hingga 3 petang. Manakala, orang ramai yang menuju ke Negeri Sembilan dan Melaka dinasihatkan memasuki lebuh raya selepas jam 3 petang.

    social-media-size-tta-hari-raya-aidiladha-malaysia-day-school-holiday-16-01

    Pengarah Urusan PLUS, Datuk Noorizah Hj Abd Hamid berkata; “TTA memainkan peranan yang penting dalam membantu mengagihkan trafik di lebuh raya. Pengalaman dari musim-musim waktu puncak sebelum ini membuktikan jika lebih ramai yang mengikuti cadangan ini, keadaan trafik lebih terkawal.”

    Hal yang sama juga dicadangkan bagi pengguna-pengguna yang ingin pulang ke Utara. Maklumat lanjut pergerakan jadual perjalanan seperti yang dicadangkan oleh PLUS adalah seperti yang tertera pada grafik yang disertakan.

     
     
  • Volvo V90 Cross Country bakal membuat kemunculan sulung pada pertengahan bulan September ini

    Volvo V90 Location Front 7/8

    Volvo mengumumkan bahawa pengganti untuk model XC70 iaitu V90 Cross Country akan diperkenalkan buat pertama kali untuk peringkat global tengah bulan ini. “Cross Country telah mejadi cerminan sebenar kereta buatan Volvo pada pandangan ramai orang. Ia merupakan konsep yang berjaya sejak dari mula, sempurna untuk suhu yang sukar dan keadaan jalan raya yang kami tempuhi di Sweden,” kata Hakan Samuelsson, presiden dan CEO Volvo Car Group.

    V90 Cross Country ini akan mengembangkan lagi barisan model Siri 90 Volvo, yang kini terdiri dari sedan S90, V90 wagon (gambar diatas) serta SUV XC90. Ia akan menggunakan platform Scalable Product Architecture (SPA) Volvo, dan akan ditawarkan dengan enjin petrol serta diesel.

    Varian dengan unit janakuasa hibrid T8 Twin Engine mungkin juga turut akan ditawarkan, yang kini ditawarkan pada semua model Siri 90. Model Cross Country sentiasa direka untuk memenuhi keperluan lanskap yang ekstrem di kawasan Scandinavia, menampilkan ketinggian asal yang ditambah, dan juga tambahan panel penutup disekeliling badan untuk tujuan perlindungan.

    “Kami sangat berhati-hati sejak dari mula lagi untuk memastikan konsep Cross Country ini bukan hanya sekadar gaya yang lasak. Kami meletakkan keperluan yang tinggi pada kebolehan dunia sebenar, dan dalam pembangunan model ini kami menambah elemen keselesaan dan kemudahan yang dijangkakan oleh pemandu Volvo,” kata Peter Mertens, timbalan presiden senior pembangunan dan penyelidikan di Volvo Car Group.

    Seperti juga Cross Country sebelum ini, V90 Cross Country dijangka hanya hadir dengan versi pacuan semua roda sahaja. Lebih perincian berkenaan model ini akan didedahkan pada sesi pengenalan rasminya nanti. V70 Cross Country sebelum ini diubah namanya menjadi XC70 bagi menyelaraskan nama model setelah XC90 generasi pertama diperkenalkan.

    GALLERI: Volvo XC70

     
     
  • Perkhidmatan ETS KL – Butterworth – KL akan ditambah sempena Aidiladha dan cuti sekolah

    ktm-ets-e1437532629460

    Empat lagi perkhidmatan keretapi elektrik (ETS) untuk laluan Kuala Lumpur-Butterworth-Kuala Lumpur akan ditambah oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mulai esok hingga Ahad ini dan 16 hingga 18 Sept ini, menurut laporan Bernama.

    Perkhidmatan tambahan ini bagi menampung jangkaan warga kota pulang ke kampung sempena perayaan Aidiladha pada Isnin, sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept serta cuti sekolah bermula Sabtu ini hingga 18 Sept ini.

    Empat perkhidmatan ETS sedia ada yang kini hanya beroperasi pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad, akan beroperaasi setiap hari mulai esok hingga 18 Sept ini, jelas KTMB dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

    Menurut kenyataan berkenaan lagi, sepanjang tempoh berkenaan, sebanyak 40 perkhidmatan ETS akan beroperasi setiap Isnin hingga Khamis dan 44 perkhidmatan akan beroperasi pada Jumaat, Sabtu dan Ahad. Tiket perjalanan boleh dibeli mulai semalam dan KTMB menggalakan orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan tren bagi mengelak kesesakan lalu lintas di samping menjimatkan masa dan belanja.

     
     
  • Daihatsu Move Canbus – Kei-Car comel untuk wanita

    daihatsu-move-canbus-1-e1473321364728_bm

    Selain dari bentuknya yang kecil dan comel serta penggunaan bahan api dan pemilikannya yang menjimatkan, ada satu lagi daya penarik pada kei-car buatan Jepun, di mana sebahagian daripadanya diberikan ‘perwatakan’ khusus. Contohnya Daihatsu Mira L200 Felix the Cat dan Mira L500 Hello Kitty. Begitu juga dengan Toyota Passo generasi terbaharu – ia diberikan dua watak berbeza iaitu model standard X, dan juga Moda yang lebih funky.

    Terbaharu, Daihatsu memperkenalkan model Move Canbus yang berbentuk seperti van tetapi dalam saiz yang comel, dengan perwatakan lebih feminin, disasarkan untuk pembeli wanita.

    Canbus hadir dengan dimensi 3,395 mm panjang, 1475 mm lebar dan 1,655 mm tinggi, dengan jarak roda 2,115 mm. Jadi ia masih lagi diklasifikasikan sebagai K-Car dimana dimensi untuk kelas tersebut ditetapkan tidak melebihi 3,400 mm panjang, 1,480 mm lebar dan 2,000 mm tinggi.

    Undang-undang K-Car juga menetapkan kapasiti enjin yang dibenarkan adalah tidak melebihi 660 cc dan kuasa tidak melebihi 64 PS. Jadi, Canbus dikuasakan dengan enjin tiga silinder 658 cc menjana 52 PS pada takat 6,800 rpm dan tork maksima 60 Nm pada takat 5,200 rpm.

    Enjin berkenaan digandingkan bersama kotak gear CVT dengan opsyen sama ada pacuan roda hadapan atau pacuan empat roda. Untuk model pacuan hadapan, penggunaan bahan api dicatatkan pada 28.6 km untuk setiap liter mengikut kitaran JC08 Jepun. Manakala untuk model pacuan empat roda pula, penggunaan bahan api dicatatkan pada 27.4 km untuk setiap liter.

    Sesuai dengan wataknya, Canbus diberikan muka hadapan yang lebih comel berbanding Move standard atau Move Custom yang lebih agresif. Ia direka dengan konsep yang agak retro menampilkan gril dan lampu hadapan yang lebih bulat pada sudut-sudutnya. Tiang-D turut direka semula dan diwarnakan dengan warna hitam bagi memberikan penampilan seperti van sebenar.

    Bahagian belakang juga turut diberi penampilan baharu dengan lampu belakang berbentuk kiub serta pintu belakang ditukar dari pintu bukaan biasa pada Move standard kepada pintu jenis gelangsar. Menambah ciri femininnya, pembeli turut disediakan dengan pilihan warna yang luas bermula dari warna satu ton hingga pilihan kombinasi dua ton, begitu juga dengan roda aloi pelbagai corak bersaiz 14-inci yang boleh dipilih.

    daihatsu-move-canbus-3-e1473321734994_bm

    Bahagian dalaman Canbus diberikan pelbagai ciri storan yang praktikal seperti tray dibawah tempat duduk belakang yang boleh ditarik/ditolak untuk meletakkan barangan agar ia tidak jatuh. Ia juga dilengkapi dengan skrin sesentuh untuk sistem infotainmen pada varian tertentu, penghawa dingin automatik, tempat duduk pelbagai kofigurasi serta sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin.

    Untuk keselamatan, Canbus dilengkapi dengan sistem brek automatik (standard untuk semua varian), lampu hadapan LED adaptif, VSC, Kawalan Tarikan dan minimum dua beg udara (varian lebih tinggi menerima lebih banyak beg udara).

    Seperti biasa, peminat Kei-Car tempatan hanya mampu melihat dan bertenang kerana model istimewa sebegini sudah tentunya hanya untuk pasaran JDM sahaja. Daihatsu Move Canbus dijual pada harga bermula 1,188,000 yen (RM47,225) hingga 1,668,600 yen (RM66,330).

     
     
  • Volkswagen Polo 1.6 – kini hanya RM78k, turun RM13k

    Volkswagen Polo Facelift 1

    Laman web Volkswagen Malaysia telah mendedahkan harga untuk model hatcback Polo 1.6 CKD kini telah pun disemak semula. Untuk versi facelift yang diperkenalkan tahun lalu ini, kini dijual pada harga atas jalan tidak termasuk insuran RM77,646, kurang RM13,000 berbanding sebelum ini dijual pada harga RM90,646.

    Tiada perubahan pada sistem mekanikal dimana model ini masih dijana enjin 1.6 liter empat silinder MPI yang sama berkuasa 105 PS/153 Nm, dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan dari Aisin. Model ini juga masih dilengkapkan dengan roda aloi “Riverside” 15-inci dibaluti tayar bersaiz 185/60R15.

    Ciri-ciri standard juga masih sama seperti sebelum ini dimana Polo dilengkapi pemain audio utama RCD 330G dengan hubungan USB dan iPod serta kebolehan Mirrorlink, dihubungkan kepada empat unit pembesar suara.

    Kawalan Kelajuan, penghawa dingin automatik zon tunggal Climatronic dengan liang udara belakang serta lampu hadapan halogen juga turut hadir sama seperti sebelum ini. Untuk keselamatan, Polo 1.6 masih kekal dengan dua-beg udara, cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX serta brek ABS dibantu dengan BA tanpa kawalan kestabilan elektronik.

    Pembeli ditawarkan dengan opsyen cagak top tether tempat duduk kanak-kanak G1 Isofix Duo Plus dengan tambahan kos RM3,048. Pembelian Polo Hatch 1.6 kini dilindungi dengan waranti selama lima-tahun dan jaminan mobiliti juga selama lima tahun. Jika anda berminat untuk memandu uji model ini, daftarkan diri anda di sini.

    GALERI: Volkswagen Polo 1.6 Hatch CKD facelift 2015 (ini merupakan model facelift versi 2015 semasa ia diperkenalkan tahun lalu)

     
     
  • VIDEO: Mazda CX-9 2016 didedahkan menerusi video

    Mazda Australia telah menyebarkan perincian mengenai Mazda CX-9 baharu menerusi video. Model ini akan dijual di negara berkenaan tidak lama lagi. Tiga video utama ini memaparkan perincian lebih lanjut mengenai prestasi, keselamatan dan teknologi yang ditampilkan pada SUV tujuh-tempat duduk ini.

    Video pertama memaparkan hal mekanikalnya. CX-9 baharu ini menerima versi pengecas turbo bagi enjin petrol 2.5 liter SkyActiv-G empat-silinder. Ia mampu menghamburkan kuasa sehingga 228 hp pada 5,000 rpm dan tork 420 Nm pada 2,000 rpm bagi spesifikasi Australia. Selain itu, ia menampilkan Dynamic Pressure Turbo baharu iaitu kuasa ekzos yang berbeza-beza mengikut kelajuan enjin, bagi mengurangkan turbo lag.

    Penggunaan bahan api secara kombinasi dianggarkan sekitar 8.1 liter bagi setiap 100 km bagi model pacuan roda-hadapan, dan 8.8 liter per 100 km untuk sistem pacuan semua-roda i-Activ. Transmisi dikendalikan oleh kotak gear automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuan.

    Selain itu, aspek keselamatan turut dipaparkan, di mana CX-9 baharu ini turut didatangkan dengan i-ActivSense iaitu elemen standard bagi model spesifikasi Australia, ini termasuklah Pemantauan Titik Buta (BSM), Kepekaan Lintasan Trafik Belakang (RCTA) dan Sokongan Brek Pintar Bandar (SCBS). Malah ia juga dilengkapi dengan Mazda Radar Cruise Control (MRCC), dengan fungsi Stop & Go.

    Di samping itu, ia juga mengetengahkan teknologi terkini termasuk skrin sentuh bersaiz lapan-inci bagi sistem infotainmen MZD Connect, sistem bunyi premium Bose dengan 12-speaker dan paparan utama Active Driving Display yang dipertingkatkan, yang kini tampil berwarna sepenuhnya. Bukan itu sahaja, ia turut didatangkan dengan informasi navigasi dan rev counter.

    CX-9 baharu ini dijangka tiba di pasaran Malaysia sebelum 2016 melabuhkan tirainya. Biarpun harganya masih belum didedahkan oleh pengedar utamanya, Bermaz, namun kemungkinan ia berharga antara RM230k hingga RM250k.

    GALERI: Mazda CX-9 baharu di Jepun

     
     
  • Honda Civic Sedan dan Civic Hatchback 2017 versi Eropah diperkenalkan di Paris Motor Show tahun ini

    4160815_001H-e1471245540531_BM

    Honda telah mengumumkan Civic Hatchback generasi terbaharu akan melakukan kemunculan sulungnya di Paris Motor Show yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Model berkenaan untuk pasaran Amerika telahpun didedahkan pada pertengahan bulan lalu, dan akan dibina di kilang Honda Swindon, UK.

    Civic Hatchback bakal menembusi pasaran seluruh Eropah bermula awal tahun 2017. Tiada perincian sepenuhya didedahkan oleh Honda berkenaan model ini selain dinyatakan bakal dijana dengan pilihan enjin petrol 1.0 liter atau 1.5 liter VTEC Turbo.

    Enjin VTEC Turbo paling kecil dengan kapasiti 1.0 liter berkenaan berupaya untuk menjana sejumlah 127 hp dan tork 200 Nm, manakala enjin 1.5 liter VTEC Turbo untuk pasaran Eropah mampu menjana 201 hp dan tork 260 Nm, berbanding untuk pasaran ASEAN (termasuk Malaysia) hanya berkuasa 173 PS dan tork 220 Nm. Enjin-enjin ini berkemungkinan akan dipadankan dengan pilihan kotak gear manual enam-kelajuan dan CVT.

    Civic Type-R generasi terbaharu turut dikesan sedang diuji di Sepanyol baru-baru ini dan kelihatan hampir lengkap untuk diproduksi, tetapi masih belum jelas adakah Honda akan melakukan kejutan dengan menampilkan model ini di Paris nanti.

    Selain dari hatchback, Honda turut akan mendedahkan Civic Sedan untuk pasaran Eropah, yang turut bakal berada di pasaran benua berkenaan tahun hadapan. Tidak seperti model hatchback, model sedan ini akan diproduksi di kilang Honda Gebze, Turki. Namun, model ini dijangka akan menerima unit janakuasa yang sama dengan versi hatchback.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025