Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Proton dilapor bakal kembali ke UK, Australia & New Zealand, di pacu produksi lebih besar dari Tg. Malim

    Proton dilapor bakal kembali ke UK, Australia & New Zealand, di pacu produksi lebih besar dari Tg. Malim

    Autocar melaporkan bahawa Proton bakal kembali ke pasaran United Kingdom dan juga beberapa pasaran eksport lain yang telah ditinggalkan sebelum ini. Perkara berkenaan diberitahu kepada portal automotif UK tersebut menerusi sumber yang rapat dengan CEO Proton, Dr. Li Chunrong.

    Menurut sumber tersebut, Proton merancang untuk masuk ke beberapa pasaran pemanduan sebelah kanan lain di Asia, Australia dan New Zealand dengan sasaran menaikkan jualan eksportnya dalam jumlah yang jauh lebih tinggi selepas ia beroperasi sepenuhnya di Tanjong Malim.

    Bukan hanya kilang Proton itu sendiri, pengeluaran yang lebih besar ini disasarkan akan dipacu oleh kewujudan Lembah Automotif Teknologi Tinggi (AHTV) yang kini sedang dibangunkan di Tanjong Malim oleh pemilik Proton iaitu DRB-Hicom dengan kerjasama Geely.

    “Dengan adanya pelaburan, Proton akan mempunyai cara untuk kembali semula ke pasaran yang sebelum ini telah ditinggalkan, juga dalam masa yang sama masuk ke pasaran-pasaran baharu,” kata sumber tersebut. Walau bagaimanapun masih belum ada garis masa tepat untuk menjangkakan bila perkara ini akan berlaku, namun Autocar diberitahu bahawa Proton bakal masuk semula ke pasaran-pasaran eksport utama ini pada “lewat dekad ini”.

    Proton dilapor bakal kembali ke UK, Australia & New Zealand, di pacu produksi lebih besar dari Tg. Malim

    Projek AHTV yang dirancang tersebut telahpun diumumkan pada April 2022, dengan pelan pembangunannya dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia ketika itu Datuk Seri Ismail Sabri Bin Yaakob. Ketika pelancarannya, Dr. Li sudahpun menyebut berkenaan untuk memperluaskan pasaran eksport Proton menerusi penghasilan kenderaan-kenderaan lebih berteknologi tinggi menerusi kewujudan AHTV ini

    Perjanjian Dasar-Dasar Utama (HOA) antara DRB-Hicom Geely kemudiannya telah dimeterai pada April 2023, disusuli dengan Perjanjian Kerjasama Utama (MCA) yang menetapkan prinsipal asas, rangka kerja tadbir urus dan juga komitmen bersama termasuk peranan-peranan spesifik yang akan diambil untuk pembangunan dan inisiatif promosi bagi projek AHTV ini dibuat pada Oktober 2023.

    Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas menerima kunjungan hormat Pengerusi Geely Li Shufu di Putrajaya pada bulan yang sama, projek AHTV ini bakal meningkatkan pelaburan Geely di Malaysia kepada RM32 bilion, dalam masa yang sama akan menjadikan negara ini sebagai hab produksi bagi pasaran eksportnya.

    Manakala bulan lalu Proton telah memulakan projek untuk membina dua lagi kilang stamping di Tanjong Malim sebagai persediaan untuk berpindah sepenuhnya ke sana dengan menutup produksi Saga di Shah Alam pada 2026.

     
     
  • Harga minyak 8-14 Ogos – Diesel turun 5 sen seliter

    Harga minyak  8-14 Ogos – Diesel turun 5 sen seliter

    Bagi minggu bertarikh 8 hingga 14 Ogos 2024, Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan bahawa harga runcit bagi diesel diturunkan sebanyak 5 sen seliter kepada RM3.30 seliter. MOF berkata, penurunan harga itu seiring dengan penurunan harga pasaran minyak di peringkat global. Walau bagaimana pun harga diesel untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.

    Manakala untuk tempoh yang sama, petrol RON 97 masih dikekalkan pada harga runcit RM3.47 seliter, setelah mengalami kenaikan terakhir (setakat ini) sebanyak 10 sen seliter pada 20 September 2023. Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Pertengahan Julai lalu, Kementerian Ekonomi berkata, buat masa ini, kerajaan masih meneliti dan menilai semula subsidi dan bantuan yang diberikan kepada rakyat termasuk petrol RON95.

    “Kerajaan juga sedang meneliti keperluan pelaksanaan rasionalisasi subsidi ke atas petrol RON95. Walau bagaimanapun, buat masa ini, tumpuan dan keutamaan akan diberikan kepada pelaksanaan subsidi diesel sehingga penyasaran subsidi diesel menjadi stabil, sekaligus mencapai objektif yang ditetapkan.
    Kerajaan pada masa ini masih meneliti dan menilai semula subsidi dan bantuan yang diberikan kepada rakyat, termasuk petrol RON95,” katanya.

     
     
  • TGR Festival Vios Challenge musim ke-7 bermula minggu ini; tampil jentera baharu, pelumba a’bangsa

    TGR Festival Vios Challenge musim ke-7 bermula minggu ini; tampil jentera baharu, pelumba a’bangsa

    UMW Toyota Motors hari ini mengumumkan bahawa siri perlumbaan ‘one make’ Vios Challenge untuk Toyota Gazoo Racing (TGR) Festival musim ke-7 bakal bermula pada hujung minggu ini iaitu 9 hingga 11 Ogos. Perlumbaan ini akan berlangsung serentak dengan pusingan ketiga perlumbaan Malaysia Championship Series (MCS) di Litar Antarabangsa Petronas Sepang.

    Hanya tiga kategori dipertandingkan untuk perlumbaan musim baharu ini iaitu kelas Sporting yang disertai pelumba amatur, kelas Super Sporting menyaksikan pertarungan antara pelumba professional dan juga kelas TGR Rookie yang menampilkan pelumba-pelumba muda yang telah menamatkan kelas dalam kumpulan ke-4 program pembangunan pelumba muda Gazoo Racing Malaysia.

    Tiada lagi kelas Promotional yang disertai oleh selebriti-selebriti tempatan untuk musim ini, namun untuk kategori Sporting dan Super Sporting, ia turut akan disertai oleh beberapa orang pelumba dari luar negara. UMW Toyota juga mengumumkan musim kali ini akan menyediakan hadiah wang tunai berjumlah RM630,000 secara keseluruhan.

    “Objektif sejak penglibatan awal kami adalah dengan objektif untuk menyumbang kepada sukan permotoran Malaysia dan kami telah memulakan pelbagai inisiatif sejak enam musim lalu. Ini termasuk membawa sukan permotoran kepada orang ramai (melalui litar lumba jalanan); menjadikan siri ini lebih mudah diakses oleh peserta dalam bentuk mengekalkan format perlumbaan “one make”; menjadikan siri ini sebagai acara perlumbaan paling menguntungkan di Malaysia; dan memperkenalkan Program Pembangunan Bakat Muda Toyota GR untuk pemandu muda yang beralih daripada perlumbaan kart dan simulator kepada perlumbaan kereta saloon. Toyota turut berbesar hati kerana siri ini telah menyumbang secara besar-besaran ke arah melahirkan generasi baharu pemandu berbakat yang telah berkembang ke kelas perlumbaan yang lebih tinggi di dalam dan luar negara,” kata Presiden UMW Toyota Motor Datuk Ravindran K.

    TGR Festival Vios Challenge musim ke-7 bermula minggu ini; tampil jentera baharu, pelumba a’bangsa

    “Melangkah ke hadapan, sumbangan ini kini akan diperluaskan lagi dalam bentuk mengangkat status dan profil siri ini. Yang pertama adalah dengan memasukkannya ke dalam siri MCS. Kedua, kami juga mempunyai keistimewaan untuk kini menerima pemandu antarabangsa bagi menyertai siri ini dan musim ke-7 akan menyaksikan penyertaan pemandu dari Singapura, Thailand dan India buat kali pertama,” tambahnya.

    Bagi perlumbaan kelas Super Sporting musim ke-7 ini, tumpuan akan diberikan kepada pertarungan antara juara tiga kali siri ini iaitu Tengku Djan Ley, juara kelas musim lalu Mitchell Cheah dan juga beberapa pelumba berpengalaman termasuk Eddie Lew, William Ho, Tom Goh dan Freddie Ang.

    Namun kehadiran pelumba-pelumba muda dalam kelas ini terutamanya Putera Adam, adik-beradik Naquib dan Nabil Azlan (ketiga-tiganya merupakan bekas pelumba dan juara kelas Rookie), Bradley Benedict, Ady Rahimy, Aman Nagdev dari India juga tidak boleh dipandang remeh.

    Manakala kelas Sporting pula akan menyaksikan nama-nama seperti Dato’ Dr Ken Foo, Kenneth Koh, Dannies Ng, Shafiq Samsudin, Ricky Tan dan Lim Chun Beng mengesahkan penyertaan mereka bagi sekali lagi merebut gelaran juara untuk musim ini. Ia turut akan disertai oleh naib juara kelas Rookie tahun lalu iaitu Elson Lew dan beberapa lagi pelumba muda seperti Amirul Haikal, Timothy Yeo dan Ashen Arumugan.

    TGR Festival Vios Challenge musim ke-7 bermula minggu ini; tampil jentera baharu, pelumba a’bangsa

    Cabaran antarabangsa untuk kategori Sporting ini pula akan diwakili oleh Panithan Rakpaibulsombut dari Thailand dan Daniel Inosuke Ooi dari Singapura yang akan menyertai perlumbaan Vios Challenge ini buat pertama kali.

    Bagi kategori Rookie pula, enam pelumba muda akan memulakan karier mereka dalam perlumbaan jenis touring car kali ini. Mereka adalah Brandon Ho (22 tahun), Amirul Afiq (22 Tahun) dan Kingston Tan (19-tahun) ketiga-tiganya merupakan pelumba kart rekreasi, pelumba kart profesional Adam Mikail (18-tahun) dan Audrey Leong (17-tahun), serta pelumba simulator Raja Amirul (21-tahun) yang bakatnya dicungkil menerusi perlumbaan Toyota GR GT Cup Campus Tour 2023.

    Vios Challenge musim ke-7 ini juga menyaksikan pelumba kelas Sporting dan Super Sporting akan berlumba dengan jentera generasi baharu Vios NGC102 bagi menggantikan model generasi sebelumnya. Ia masih menggunakan enjin 2NR-VE 1.5 liter empat silinder Dual VVTi yang sama seperti Vios yang dijual di bilik pameran, tetapi digandingkan dengan kotak gear lima-kelajuan manual yang lengkap dengan LSD.

    TGR Festival Vios Challenge musim ke-7 bermula minggu ini; tampil jentera baharu, pelumba a’bangsa

    Menurut Toyota, casis Vios NGC102 baharu yang lebih teguh dan aspek aerodinamik yang lebih baik membolehkan ia mencatatkan masa yang lebih pantas di litar. UMW Toyota mengesahkan jentera ini akan digunakan sekurang-kurangnya untuk empat musim Vios Challenge akan datang bagi mengukuhkan komitmennya dalam siri perlumbaan ini.

    Secara keseluruhan TGR Festival Vios Challenge musim ke-7 ini akan berlangsung dalam tiga pusingan, kesemuanya akan berlangsung di Sepang. Pusingan kedua nanti akan diadakan pada 27 hingga 29 September, manakala pusingan terakhir akan berlangsung pada 3 hingga 5 Januari 2025 dan ia akan dibuka kepada orang ramai dan disertakan dengan pelbagai acara menarik termasuk hiburan serta aktiviti rekreasi dan keluarga.

    Untuk perlumbaan pusingan pertama pada hujung minggu ini, ia akan disiarkan secara atas talian menerusi pelbagai saluran media sosial Toyota Gazoo Racing Malaysia.

     
     
  • Kamera AES di Malaysia telah dikemaskini — guna rekaan ala tiang baru, lebih sukar dilihat oleh pemandu

    Kamera AES di Malaysia telah dikemaskini — guna rekaan ala tiang baru, lebih sukar dilihat oleh pemandu

    Kamera Automated Enforcement System (AES) yang digunakan di Malaysia sebelum ini yang merupakan sebahagian daripada Automated Awareness Safety System (AWAS) kini sedang diberi peningkatan dan kemaskini peranti — melalui penggunaan kamera baru.

    Kamera yang dilihat ini, yang terletak berdekatan KM17.2 Lebuhraya ELITE menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ini adalah satu daripada contoh naik taraf kelengkapan baru berkenaan.

    Ia adalah binaan Ekin Spotter yang merupakan kelengkapan kamera jalan modular yang boleh ditugaskan dengan beberapa fungsi berbeza melalui pemasangan beberapa modul berlainan. Dalam peranti yang digunakan sebagai kamera had laju ini, antara elemen lain yang dapat dilihat turut melengkapinya ialah sensor kelajuan, lampu flash putih serta module kamera peninjau.

    Turut ditawarkan untuk Ekin Spotter ialah modul untuk lampu beacon dan bandar, pembesar suara, antena serta hotspot wifi. Menurut laman web Ekin, peranti Spotter ini mampu menjalankan tinjauan berkualiti tinggi untuk siang dan malam, serta mampu meninjau kawasan yang lebih luas dan merakam video beresolusi tinggi.

    Ekin Spotter ini juga mampu meninjau perubahan di persekitarannya menggunakan teknologi sensornya sendiri, dan boleh memaklumkan sistem pusat jika berlaku perubahan keadaan yang luar biasa seperti peningkatan suhu, kelembapan, diganggu atau pencebohan unitnya.

    Jun tahun lalu, kerajaan Malaysia menyatakan hasrat untuk memasang lebih banyak kamera AWAS kerana disifatkan sangat berkesan dengan lebih 99% pematuhan terakam, menurut Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

     
     
  • Mercedes-AMG A45S 4Matic+ Limited Edition dilancar di Malaysia – RM558,888, hanya 10 unit, 421 PS/500 Nm

    Mercedes-AMG A45S 4Matic+ Limited Edition dilancar di Malaysia – RM558,888, hanya 10 unit, 421 PS/500 Nm

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) hari ini telah memperkenalkan model edisi terhad untuk hot-hatch Mercedes-AMG A 45 S 4Matic+ facelift, digelar sebagai Mercedes-AMG A 45 S 4Matic+ Limited Edition. Seperti namanya, model ini hanya ditawarkan sebanyak 10-unit untuk pasaran Malaysia, dan hanya boleh ditempah menerusi bilik pameran atas talian Mercedes-Benz Store, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM558,888.

    Berbanding model edisi terhad Street Style Edition yang nampak lebih relaks ditawarkan tahun lalu, versi Limited Edition terbaharu ini dihasilkan dengan rupa lebih menonjol. Untuk permulaan, badan kereta ini dilayangkan dengan warna AMG Green Hell Magno, iaitu warna yang sama ditawarkan pada AMG GT R dan G-Class Manufaktur.

    Kemudian ia diberikan pelekat badan dengan grafik ’45 S’ pada pintu dan juga logo AMG pada bonet hadapan, kedua-duanya dalam saiz yang besar. Tidak cukup dengan itu, grafik berkenaan turut menampilkan jalur badan dari bonet hadapan hingga pintu hatch belakang dan juga pada bahagian sisi badan.

    Mercedes-AMG A45S 4Matic+ Limited Edition dilancar di Malaysia – RM558,888, hanya 10 unit, 421 PS/500 Nm

    Lebih membuatkan model edisi terhad ini boleh dikenali dari jauh adalah serlahan jalur-jalur kuning yang diberikan pada gril hadapan dan jalur badan, serta pada kelengkapan-kelengkapan aero dalam pakej AMG Aerodynamic seluruh badan. Ia menerima set rim forged AMG 19-inci dalam kemasan hitam matte, dan serlahan jalur kuning yang sama pada badan turut diberikan pada jejari rim ini.

    Model ini juga didatangkan terus dengan sistem brek AMG High-Performance yang menampilkan angkup dalam kemasan hitam berkilat serta tulisan AMG berwarna putih. Selain itu ia turut diberikan penutup pengisi bahan api dengan logo AMG dan juga lampu selamat datang pada pintu yang memancarkan logo AMG ke permukaan tanah ketika pintu dibuka.

    Perincian standard luaran lain yang turut diberikan termasuk AMG Night Package II yang memberikan kemasan hitam pada gril hadapan serta emblem-emblem, perapi pembuka pintu dan logo Mercedes pada penutup hab rim dalam kemasan krom hitam.

    Mercedes-AMG A45S 4Matic+ Limited Edition dilancar di Malaysia – RM558,888, hanya 10 unit, 421 PS/500 Nm

    Serlahan-serlahan kuning turut diberikan pada bahagian kabin seperti pada tempat duduk hadapan AMG Performance yang dibalut upholsteri Artico dan gentian mikro Microcut, benang-benang jahitan, roda stereng, sulaman logo 45 S pada perehat kepala dan elemen-elemen perapi. Serlahan warna yang sama juga boleh dilihat pada panel instrumen serta set karpet kaki dan nyalaan pada perapi bendul pintu model edisi terhad ini.

    Tiada perubahan dibuat pada unit rangkaian kuasa di mana ia masih dijana oleh enjin produksi 2.0L empat silinder turbo paling berkuasa di dunia, iaitu enjin M139 yang menghasilkan kuasa 421 PS pada takat 6,750 rpm dan tork maksima 500 Nm bermula 5,000 hingga 5,250 rpm.

    Enjin digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik lapan-kelajuan AMG Speedshift 8G, dan kuasa dialirkan dengan agihan tork bervariasi ke kesemua empat roda menerusi sistem pacuan semua roda 4Matic+. Gandingan ini membolehkan A45S ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.9 saat dan mencapai kelajuan maksima 270 km/j.

     
     
  • Proton X50 RC 2024 catat jualan terbaik pada Julai dengan 2,585 unit, 60% pembeli berumur 26-50 tahun

    Proton X50 RC 2024 catat jualan terbaik pada Julai dengan 2,585 unit, 60% pembeli berumur 26-50 tahun

    Menerusi rekod jualan yang memberangsangkan bagi bulan Julai 2024, Proton turut menonjolkan prestasi yang cemerlang bagi jualan X50 RC 2024, model kedua terlaris bagi jenama ini selepas Saga. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, pengeluar kereta nasional itu merekodkan sebanyak 2,585 jualan bagi SUV segmen-B pada bulan pertama jualannya, membolehkan model itu kekal teratas dalam segmennya.

    Rekod yang dicatatkan ini sekaligus menjadikannya angka tertinggi bagi model ini untuk 2024, menyumbangkan lagi jumlah jualan hampir 120,000 unit sejak X50 dilancarkan pada Oktober 2020, mengekalkan statusnya sebagai SUV terlaris di Malaysia. Proton juga menambah walaupun menghadapi persaingan sengit dari jenama Jepun dan China, model ini berjaya memperoleh pegangan pasaran sebanyak 10.3% dalam segmen SUV dari Januari hingga Jun 2024 sekaligus mendahului kenderaan lain dalam segmen pasaran yang sama.

    Proton juga berkata X50 RC 2024 telah memberi kesan kepada pelbagai demografik dan menarik perhatian pembeli lelaki dan wanita secara sama rata. Lebih daripada 60% pembelinya berumur antara 26 hingga 50 tahun, menunjukkan daya tarikannya kepada professional muda dan mereka yang berkeluarga.

    “Prestasi jualan Proton X50 2024 pada bulan Julai adalah bukti kepada usaha keras dan dedikasi seluruh pasukan di Proton yang peka terhadap maklum balas pelanggan. Gabungan prestasi, keselamatan dan
    ketersambungan model terus bergema dengan pelanggan kami dan ini memenuhi keperluan mereka. Pada masa yang sama, Proton telah membuat penambahbaikan dalam pengeluaran tempatan dan peningkatan yang mengutamakan pelanggan bagi memastikan X50 kekal di hadapan pesaing.

    “Dalam masa yang akan datang, Proton akan terus berinovasi dan menawarkan nilai yang luar biasa kepada pelanggan kami, mengukuhkan kami sebagai pemain utama dalam industri automotif,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, PROTON Edar.

    Imej model RC (bermaksud ‘running change’) ini mirip dengan versi terdahulu tetapi diberikan beberapa penambahbaikan termasuk Noise, Vibration, and Harshness (NVH), melibatkan lebih 20 poin NVH ditambahbaik. Selain itu, kini ia menerima skrin sesentuh 10.25-incu dan paparan instrumen digital tujuh-inci secara standard, dan dengan pembaharuan yang dilakukan HUD ini, prestasi pengkomputerannya menjadi 3.3 kali ganda lebih pantas, dengan 33% lebih kelajuan untuk bootup dan juga 55% lebih pantas untuk loading time. Kini ia juga diberikan sistem kamera 360-darjah berdefinisi tinggi dan tailgate kuasa yang sebelum ini hanya untuk varian Premium dan Flagship sahaja.

    GALERI: Proton X50 RC Flagship 2024

     
     
  • Kanak-kanak pandu kereta di Puchong: Bapa berhadapan denda RM50k, penjara tak lebih 20 tahun

    Kanak-kanak pandu kereta di Puchong: Bapa berhadapan denda RM50k, penjara tak lebih 20 tahun

    Gara-gara ‘membiarkan’ anak lelakinya berusia 12 tahun memandu kereta, seorang bapa didakwa di Mahkamah Sesyen di Sepang atas pertuduhan mengabaikan dan bertindak secara cuai yang mungkin mendedahkan anaknya itu kepada kecederaan fizikal.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan lelaki terbabit yang merupakan warga Pakistan dan bekerja sebagai penjual karpet, dengan cara gagal mengawasi anaknya itu sehingga kanak-kanak terbabit memandu kenderaan, laporan Berita Harian.

    Walau bagaimana pun, tertuduh mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman. Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah taman perumahan di Taman Putra Impiana, Puchong jam 7.30 petang pada 28 Julai lalu.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama, memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi tempoh 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

    Kanak-kanak pandu kereta di Puchong: Bapa berhadapan denda RM50k, penjara tak lebih 20 tahun

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farahin Sasaruddin menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan dilarang mendekati saksi pendakwaan dan melapor diri di balai polis setiap bulan.

    Bagaimanapun, peguam Nabilla Rosli yang mewakili tertuduh membantah jaminan tinggi dikenakan berikutan anak guamnya penanggung tunggal keluarga.

    “Anak guam adalah warga pakistan yang berstatus PR (pemastautin tetap) Malaysia mempunyai lima anak berusia enam hingga 19 tahun yang semuanya masih sekolah. Isteri yang juga warga Malaysia adalah suri rumah dan anak guam peniaga karpet kecil-kecilan dengan pendapatan tidak menentu sekitar RM3,000,” katanya.

    Ahmad Fuad menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan serta 4 September ini untuk sebutan kes.

    Sebelum ini, tular rakaman video di laman media sosial memaparkan seorang wanita menahan kereta jenis Perodua Viva yang dipandu kanak-kanak dan turut dinaiki dua adiknya. Menurut wanita yang turut merakamkan video berkenaan, kereta dipandu kanak-kanak terbabit agak laju ketika melalui bonggol di depan sebuah rumah sebelum diarah untuk berhentikan keretanya.

     
     
  • Nahas jalan raya libatkan motosikal membimbangkan; berkait kelemahan penguatkuasaan – Anwar Ibrahim

    Nahas jalan raya libatkan motosikal membimbangkan; berkait kelemahan penguatkuasaan – Anwar Ibrahim

    Kadar kemalangan yang tinggi dalam kalangan pengguna motosikal di negara kita mengundang kebimbangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Perkara ini dikongsikan menerusi laman Facebook rasminya, selepas menerima kunjungan hormat aktivis sosial berpengaruh Tan Sri Lee Lam Thye yang kini merupakan Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat.

    “Kami senada menzahirkan kebimbangan akan kadar kemalangan yang tinggi terutama di kalangan pengguna motosikal berkait rapat dengan faktor kelemahan penguatkuasaan undang-undang jalan raya selain isu penyelenggaraan jalan raya.

    “Saya berharap NGO seperti ini dan lain-lain lagi, akan terus memberi khidmat kepada komuniti dalam membina budaya keselamatan yang mampan selain turut memainkan tanggungjawab dalam menyampaikan misi dan hasrat kerajaan khususnya kesedaran tentang Malaysia MADANI,” katanya.

    Walau bagaimana pun, beliau tidak berkongsi butiran perbincangan lanjut bersama Lee mengenai isu nahas jalan raya yang melibatkan motosikal serta pendapatnya mengenai kelemahan penguatkuasaan undang-undang dan isu selenggara jalan raya.

     
     
  • Geometry Xingyuan – ini Proton eMas 5, lawan terus kepada BYD Dolphin selepas eMas 7 dilancarkan?

    Geometry Xingyuan – ini Proton eMas 5, lawan terus kepada BYD Dolphin selepas eMas 7 dilancarkan?

    Bulan lalu Kementerian Industri dan Teknologi Informasi (MIIT) China telah menaikkan maklumat berkenaan EV baharu yang bakal dilancarkan oleh salah satu jenama EV Geely iaitu Geometry yang diberi nama Geometry Xingyuan, iaitu hatchback segmen-B yang bakal berhadapan terus dengan BYD Dolphin.

    Apa yang menarik, bentuk sisi Geometry Xingyuan ini dilihat seakan sama dengan siluet model hatchback yang muncul dalam teaser jenama EV Proton iaitu eMas (dieja e.MAS) baru-baru ini. Dan dengan lebih maklumat dibocorkan oleh portal automotif China telah menguatkan lagi bahawa Xingyuan merupakan kembar kepada hatchback EV Proton eMas tersebut yang bakal dilancarkan di sini pada masa hadapan.

    Menurut laman PC Auto, Xingyuan dijangka bakal menampilkan motor elektrik “11-dalam-1”, bateri lithium logam fosfat (LFP) Aegis “bilah pendek”, sistem infotainmen Flyme Auto dan juga suspensi jenis bebas pada bahagian belakang. Kesemua perincian ini menyamai SUV EV segmen-C Geely Galaxy E5 yang dibina bersama Proton bagi menghasilkan Proton eMas 7 yang bakal dilancarkan di Malaysia lewat tahun ini.

    Dengan kesemua kelengkapan tersebut, Geometry Xingyuan ini nampaknya turut akan menggunakan platform Global Intelligent New Energy Architecture (GEA) yang sama seperti Galaxy E5. Platform yang sama dikenali sebagai Global Modular Architecture (GMA) oleh Proton, dengan lima model awalan akan dilancarkan termasuk eMas 7 yang dikenali dengan kod GMA 01. Jadi tidak mustahil Xingyuan adalah jelmaan GMA 02 atau GMA 03 kerana ia diasaskan dari platform yang sama.

    Geometry Xingyuan ini ditawarkan dalam dua pilihan motor elektrik tunggal iaitu 79 PS (58 kW) dan 116 PS (85 kW), kedua-duanya hanya memacu roda hadapan. Dalam maklumat yang didedahkan oleh MIIT tempoh hari, model ini bakal ditawarkan dengan dua pilihan kapasiti bateri iaitu 30.12 kWj untuk jarak gerak 310 km dan 40.16 kWj untuk jarak gerak 410 km. Namun maklumat pada portal PC Auto pula menyebut Xingyuan boleh bergerak sejauh lebih 500 km untuk satu cas Penh bateri.

    Dari segi saiz, Geometry Xingyuan ini menampilkan dimensi panjang 4,135 mm, lebar 1,805 mm, tinggi 1,570 mm dan jarak roda 2,650 mm. Jadi berbanding BYD Dolphin, hatchback EV Geometry ini adalah 155 mm lebih pendek, 35 mm lebih lebar dan jarak roda pula 50 mm lebih dekat.

    Jika SUV segmen-C diberikan angka ‘7’ pada namanya seperti model sedan S70 dan SUV X70, ada kemungkinan hatchback segmen-B ini akan diberi nama sebagai eMas 5 seperti SUV segmen-B Proton X50. Jadi apa pendapat anda sekiranya hatchback ini benar-benar ditawarkan oleh Proton kelak? Boleh jadi pesaing sengit untuk BYD Dolphin disini nanti?

     
     
  • JPJ eBid: Siri MDY dan SK-F sedia untuk dibida

    Bagi yang memerlukan, siri nombor pendaftaran terkini dari Melaka dan Sabah bersedia dibida menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Melaka, MDY telah dibuka bidaan sejak 4 Ogos lalu. Bidaannya akan berakhir esok, jam 10 malam pada 8 Ogos. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 9 Ogos 2024. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Sabah, SK-F, bakal dibuka bidaan mulai 16 Ogos 2024. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 20 Ogos, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 21 Ogos 2024.

    Disebabkan sekarang ini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk tetapkan hukuman lebih tegas terhadap pemandu ‘lalok’ – Loke

    Pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk tetapkan hukuman lebih tegas terhadap pemandu ‘lalok’ – Loke

    Kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan (MOT) bercadang untuk meminda Seksyen 45A di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) untuk memasukkan elemen hukuman yang lebih tegas terhadap pemandu kenderaan pengangkutan awam dan perdagangan yang didapati memandu dalam pengaruh dadah walau pun tidak menyebabkan kemalangan.

    Seksyen 45A berkaitan memandu atau menjaga kenderaan motor dengan kepekatan alkohol melebihi had yang ditetapkan berikutan kesalahan memandu dalam pengaruh dadah tidak dikenakan hukuman yang setimpal seperti yang diterima pesalah mabuk.

    Menurut menteri MOT Anthony Loke, cadangan itu akan diusulkan ke Persidangan Ketiga Dewan Rakyat pada Oktober ini selepas perbincangan lanjut bersama pegawai kementerian dan jabatan berkaitan, laporan Bernama.

    Katanya, undang-undang sedia ada terhadap kesalahan pemandu positif dadah didapati kurang tegas dan sepatutnya perlu dihukum seperti kesalahan pemandu mabuk di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman maksimum denda RM10,000 dan penjara dua tahun.

    Namun, kata Loke, sekiranya pemandu disaring positif dadah dalam operasi sekatan jalan raya, hanya tindakan penggantungan lesen sahaja dilakukan mengikut Seksyen 36.

    “Kementerian ketika ini dalam proses meminda Akta 333 namun kita lihat ada kebimbangan dalam penggunaan dadah oleh pemandu kenderaan perdagangan dan berdasarkan hukuman semasa, kita tidak mahu menunggu kemalangan berlaku disebabkan sikap pemandu ini.

    “Jadi adalah menjadi keperluan untuk kementerian menghentikan aktiviti mengambil dadah dalam pemanduan dan saya sendiri akan berbincang dengan lebih lanjut dengan pegawai kementerian serta pegawai undang-undang untuk melihat perkara ini dari aspek undang-undang yang lebih tegas,” katanya selepas hadir dalam lawatan Program Pematuhan Operasi Khas Bersepadu Kenderaan Pelancongan dan Kenderaan Perkhidmatan Awam di Stesen Penguatkuasa JPJ Gombak hari ini.

    Tambah Loke, berdasarkan statistik operasi terbaharu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati dalam 13 pemandu yang disaring sekurang-kurangnya seorang yang didapati menggunakan dadah.

    “Dalam Operasi Khas Kenderaan Perdagangan dari 1 Ogos hingga 4 Ogos lalu menunjukkan, seramai 21 orang pemandu dikesan positif dadah hasil daripada pemeriksaan saringan ujian urin terhadap 276 orang pemandu kenderaan perdagangan. Kita tidak berkompromi dengan pemandu-pemandu yang tidak kompeten dalam mengendalikan kenderaan perdagangan dan pengangkutan awam,” katanya.

    Loke menjelaskan, pemandu kenderaan tidak boleh mengambil sebarang dadah walaupun secara kasual kerana ia boleh menyebabkan kemalangan, seperti pemandu di bawah pengaruh alkohol.

    “Saya tidak menerima istilah mengambil dadah secara kasual dalam pemanduan kenderaan, kerana kesannya adalah sama seperti mereka yang mabuk iaitu mereka akan khayal dan boleh mempengaruhi pemanduan termasuk memandu secara laju. Mereka ini mungkin menggunakan dadah untuk merangsang pemanduan jarak jauh,” katanya.

    Sementara itu, dalam operasi Khas Bersepadu Kenderaan Pelancongan dan Kenderaan Perkhidmatan Awam (Bas Persiaran dan Ekspres) yang diadakan bermula pada 2 hingga 31 Julai lalu, sejumlah 19,456 kenderaan sudah dikenakan tindakan.

    “Daripada jumlah itu, 667 kenderaan dikenakan tindakan, dengan 14 daripadanya disita. Hasil pemeriksaan daripada 2,547 pemandu bas persiaran dan ekspres, seramai 26 pemandu juga disaring positif dadah,” katanya.

     
     
  • Toyota Starlet Cross dilancar di Afrika Selatan – rebadge dari Suzuki Fronx, 1.5L NA, bermula RM72k

    Toyota Starlet Cross dilancar di Afrika Selatan – <em>rebadge</em> dari Suzuki Fronx, 1.5L NA, bermula RM72k

    Toyota sebelum ini telah ‘membangkitkan’ semula nama hatchback kompak ‘Starlet’ dengan memperkenalkan Toyota Starlet pada tahun 2020 khas untuk pasaran Afrika Selatan, yang sebenarnya merupakan model rebadge dari Suzuki Baleno yang diproduksi oleh Maruti Suzuki di India.

    Kini sekali lagi nama ikonik tersebut digunakan untuk pasaran Afrika Selatan apabila Toyota memperkenalkan pula SUV kompak yang diberi nama sebagai Toyota Starlet Cross 2024. Sekali lagi model ini merupakan versi rebadge dari Maruti Suzuki Fronx, yang juga dikenali sebagai Toyota Urban Cruiser Taisor yang baru dilancarkan di India pada April lalu.

    Starlet Cross ini merupakan SUV dengan panjang keseluruhan tidak sampai empat meter, atau lebih spesifik hanya 3,995 mm. Jadi ia merupakan SUV segmen-A dalam kelas yang sama seperti Perodua Ativa, Nissan Magnite dan sebagainya, lebih kecil dari Toyota Yaris Cross berasaskan platform DNGA yang sudahpun dilancarkan di Indonesia dan Thailand.

    Toyota Starlet Cross dilancar di Afrika Selatan – <em>rebadge</em> dari Suzuki Fronx, 1.5L NA, bermula RM72k

    Namun tidak seperti Maruti Suzuki Fronx dan Toyota Urban Cruiser Taisor di India yang menerima pilihan enjin K12N empat silinder 1.2 liter NA sama ada digerakkan dengan petrol atau gas asli mampat (CNG) dan enjin petrol K10C 1.0 liter tiga-silinder turbo, Toyota Starlet Cross di India hanya ditawarkan dengan satu jenis enjin iaitu 1.5 liter petrol NA berkuasa 105 PS dan tork maksima 138 Nm.

    Enjin tersebut dipadankan dengan pilihan kotak gear automatik empat kelajuan dan juga manual lima-kelajuan, kedua-duanya hanya memacu roda hadapan. Model dengan kotak gear auto boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.8 saat dan mencatatkan kelajuan maksima 170 km/j, manakala versi manual lebih pantas dengan pecutan sama dicapai dalam masa 5.6 saat dan kelajuan maksima 175 km/j.

    Pada sebelah luar, Toyota Starlet Cross ini tampil dengan rupa yang sama sepenuhnya seperti Urban Cruiser Taisor, yang secara asasnya Fronx yang ditukar dengan beberapa perincian kecil seperti grafik lampu nyalaan siang, corak gril dan grafik LED lampu belakang yang berbeza.

    Toyota Starlet Cross dilancar di Afrika Selatan – <em>rebadge</em> dari Suzuki Fronx, 1.5L NA, bermula RM72k

    Begitu juga pada bahagian kabin dimana Starlet Cross, Urban Cruiser Taisor dan Fronx berkongsi rekaan yang sama, dibezakan hanya logo pada roda stereng yang mengikut jenama masing-masing. Antara perincian yang diberikan termasuk pilihan skrin infotainmen 7- dan 9-inci dan juga pengecas telefon pintar tanpa wayar.

    Kelengkapan keselamatan pula agak rendah di mana tiada sebarang sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) ditawarkan. Varian asas XR hanya diberikan dua-beg udara, manakala varian tertinggi XS pula menerima enam-beg udara. Sistem kawalan kestabilan elektronik, brek ABS dan EBD serta bantuan mula mendaki adalah standard untuk semua model.

    Toyota Starlet Cross ini dijual pada harga bermula R299,900 (RM72k) untuk model asas XS MT dan R322,300 (RM78k) untuk XS AT. Varian tertinggi pula dijual pada harga bermula R339,300 (RM82k) untuk varian XR MT dan R359,300 (RM87k) untuk varian XR AT.

     
     
  • Isuzu Malaysia perkenal Insurance Pro – penyelesaian mudah “terbaik dalam kelas” untuk pikap D-Max, lori

    Isuzu Malaysia perkenal Insurance Pro – penyelesaian mudah “terbaik dalam kelas” untuk pikap D-Max, lori

    Isuzu Malaysia telah memperkenalkan Isuzu Insurance Pro, yang dikatakan mampu menghapuskan misteri apabila membeli perlindungan insurans yang mencukupi, sambil memberikan polisi insurans menyeluruh kepada pemilik untuk memastikan kenderaan Isuzu serta pemandu mereka dilindungi.

    Dibuat dengan kerjasama lima syarikat insurans dan takaful utama negara, Isuzu Insurance Pro ini boleh didapatkan buat kali pertama mahupun pembaharuan seterusnya, dan tersedia untuk model trak pikap D-Max serta semua trak ringan, pertengahan ataupun berat jenama itu, seperti Elf, Forward dan Giga.

    “Dengan memperkenalkan Isuzu Insurance Pro, kami bukan sahaja dapat mencipta satu penyelesaian yang mudah untuk pelanggan, tetapi juga memberikan pelbagai manfaat melalui polisi yang dapat memberikan pemilik Isuzu perlindungan tersasar, pantas dan mudah, yang telah dipilih khas secara khas untuk kebaikan pemilik Isuzu,” kata CEO Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe.

    Isuzu Malaysia perkenal Insurance Pro – penyelesaian mudah “terbaik dalam kelas” untuk pikap D-Max, lori

    Isuzu Insurance Pro dikatakan mempunyai pelbagai manfaat “terbaik dalam kelasnya,” termasuk kelulusan pantas untuk tuntutan bawah RM20,000, khidmat tunda 300 km tanpa had kekerapan untuk D-Max dan tunda 300 km tiga kali secara percuma untuk model Elf, perlindungan semua pemandu, manfaat bantuan banjir, perlindungan kunci hilang serta perlindungan kemalangan peribadi sehingga RM10,000 untuk pemegang polisi dan juga pemandu berdaftar.

    Manfaat lain yang disediakan adalah termasuk bantuan tepi jalan 24/7, pengecualian betterment dan bayaran awal selama 10 tahun, serta nilai dipersetujui sehingga 10 tahun untuk D-Max dan untuk tahun pertama bagi lori. Semua tuntutan di bawah Isuzu Insurance Pro akan menggunakan alat ganti asli selagi kenderaan dihantar ke pusat servis berdaftar.

    Isuzu Insurance Pro cuma boleh didapati melalui pengedar rasmi Isuzu dan pembeli terawal akan menerima hadiah istimewa.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025