Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Perodua Myvi masih ‘king’ segmen-B di Malaysia; jauh tinggalkan jualan Vios & Yaris, City, Persona & Iriz

    Perodua Myvi masih ‘king’ segmen-B di Malaysia; jauh tinggalkan jualan Vios & Yaris, City, Persona & Iriz

    Berdasarkan data pendaftaran kenderaan baharu dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, Perodua Myvi merupakan model segmen-B paling laris di Malaysia untuk tujuh-bulan pertama tahun ini. Dalam tempoh berkenaan sebanyak 41,466 unit telah terjual dalam pasaran tempatan, atau sekali ganda dari jumlah jualan yang dicatatkan pesaing terdekatnya iaitu Toyota Vios dan Yaris yang disatukan angka jualannnya.

    Sebelum kita kupas lebih jauh, ada beberapa penafian terlebih dahulu yang perlu dibuat. Pertama angka pendaftaran ini adalah diambil dari data.gov.my, iaitu data awam yang boleh diakses oleh semua orang. Manakala yang kedua, data pendaftaran JPJ ini tidak mengasingkan angka jualan mengikut bentuk badan sedan atau hatchback, dalam kes ini merujuk kepada Honda City dan Mazda 2.

    Oleh itu untuk lebih adil, kami turut menggabungkan data jualan untuk model sedan dan hatchback di bawah satu jenama yang diberikan nama berbeza, tetapi masih dalam kelas segmen-B; untuk kes ini adalah Toyota Vios dan Yaris serta Proton Persona dan Iriz.

    Perodua Myvi masih ‘king’ segmen-B di Malaysia; jauh tinggalkan jualan Vios & Yaris, City, Persona & Iriz

    Seperti yang disebut tadi, gandingan Vios dan Yaris berada di tempat kedua dengan jumlah jualan 20,961 unit. Ia diikuti oleh Honda City di tempat ketiga dengan 15,546 unit, Persona dan Iriz di tempat keempat dengan 14,960 unit, Nissan Almera pula hanya 1,256 unit, manakala Mazda pula hanya 32 unit terjual sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini.

    Kedudukan ini juga tidak berubah sekiranya kita hanya mengambil data jualan untuk bulan Julai 2024, di mana Myvi masih berada di tangga pertama dengan 6,778 unit terjual. Ia diikuti gandingan Vios dan Yaris dengan 3,436 unit, Honda City mencatatkan 2,731 unit, Persona dan Iriz pula dijual sebanyak 2,446 unit, Nissan Almera hanya laku sebanyak 221 unit, dan Mazda 2 hanya terjual sebanyak lima unit.

    Perodua Myvi masih ‘king’ segmen-B di Malaysia; jauh tinggalkan jualan Vios & Yaris, City, Persona & Iriz

    Penguasaan Myvi ini dijangka akan kekal hingga akhir tahun, seperti tahun-tahun sebelum ini, sementara Vios dan Yaris juga selesa di tempat kedua. Honda City yang berada di tempat ketiga pula mempunyai kelebihan tak sampai 1,000 unit berbanding Persona dan Iriz. Tapi mungkin City yang lebih baru dalam pasaran mempunyai momentum lebih besar untuk kekal berada di atas model-model yang agak berusia ditawarkan oleh Proton.

    Anda pula rasa bagaimana? Adakah kedudukan ini akan kekal hingga penghujung Disember nanti? Kongsikan pendapat anda pada ruang komen di bawah atau di laman-laman sosial kami.

     
     
  • Kia K8 2025 – enjin hibrid, petrol 2.5L, 3.5L, suspensi predective; harga dari RM122k di Korea Selatan

    Kia K8 2025 – enjin hibrid, petrol 2.5L, 3.5L, suspensi predective; harga dari RM122k di Korea Selatan

    Kia telah menyiarkan imej awalan bagi sedan K8 2025, dan sedan saiz penuh itu turut ditampilkan dengan rekaan bahasa terkini jenama ini. Model terkini Kia ini banyak diilhamkan dari SUV elektrik, EV9, dengan beberapa persamaan ciri termasuk lampu nyalaan siang dan lampu utama LED menegak.

    Overhang bahagian hadapan dan belakangnya juga telah dipertingkatkan masing-masing sebanyak 10 mm dan 25 mm, menurut laman berita Korea Hankyung, dengan hadapannya diberikan seksyen sama warna badan yang lebih nipis di antara seksyen hitam sepenuhnya, sementara corong intake di bawah kini pada seksyen trapezoidal yang disambung pada setiap sudut lampu utama.

    Melihat akan profilnya, K8 terus diperagakan dengan garisan bumbung yang condong ke arah bootlid , sementara untuk bahagian belakang pula, garisan bersudut juga diteruskan, dan mengekalkan lampu belakang LED sepenuhnya dengan garisan yang nipis.

    Kia K8 2025 – enjin hibrid, petrol 2.5L, 3.5L, suspensi predective; harga dari RM122k di Korea Selatan

    Pencahayaan untuk K8 termasuk fungsi dynamic welcome light, dengan tiga paten yang pengguna boleh pilih. Ia juga disambungkan dengan fungsi ‘dynamic escort light’, menurut laporan Hankyung, dan larasan pencahayaan ini adalah untuk ‘mengalu-alukan dan menghantar’ penumpang apabila mereka masuk dan keluar dari kenderaan.

    Data dari sistem navigasi ‘onboard’ kenderaan juga digunakan untuk meramal (predective) larasan suspensi kawalan elektronik, di mana ia mempunyai keupayaan untuk mengubah daya redaman, contohnya apabila kenderaan melepasi bonggol dengan laju. Ia juga menyesuaikan suspensi apabila bantuan pemanduan lebuhraya atau kawalan kelajuan pintar diaktifkan, bagi mengehadkan pergerakan kenderaan agar tidak melambung apabila melalui jalan yang berbonggol.

    Untuk sistem bantuan, Kia K8 menerima pengesan cengkaman roda stereng secara standard, sementara Lane Keep Assist 2 telah ditambahbaik daripada kaedah input tork stereng sedia ada kepada kaedah input sudut stereng. Manakala Kawalan Kelajuan Pintar berasaskan navigasi dan Bantuan Pemanduan Lebuhraya turut diberikan secara standard untuk semua varian, laporan Hankyung.

    Kia K8 2025 – enjin hibrid, petrol 2.5L, 3.5L, suspensi predective; harga dari RM122k di Korea Selatan

    Di dalamnya, K8 generasi baharu ini menampilkan instrumen pemandu dengan dwi-skrin ala terapung dengan binaan papan pemuka yang diadaptasi dari EV9. Selain itu, larasan infotainmen generasi-akan datang juga kini menyokong kemaskini over-the-air (OTA), menurut penerbitan itu lagi.

    Manakala perehat konsol tengah diberikan fungsi pemanas, selain turut ditampilkan dengan dua pad pengecas tanpa wayar, penstrilan UV dan pengesahan cap jari. Kabin K8 juga menerima tempat duduk hadapan Ergo Motion.

    Untuk perincian awalnya menyatakan bahawa Kia K8 2025 ini akan ditawarkan dengan tiga pilihan enjin, merangkumi dua unit petrol iaitu 2.5 liter dan 3.5 liter naturally-aspirated serta versi 3.5 liter LPG, dengan hibrid. Menurut Hankyung, harga untuk Kia K8 di Korea Selatan bermula dari 37.36 juta won (RM122,278), sehingga 51.67 juta won (RM169,114).

     
     
  • MITI tidak pernah umum Tesla akan buka kilang di M’sia; inisiatif BEV untuk semua pengeluar EV – Zafrul

    MITI tidak pernah umum Tesla akan buka kilang di M’sia; inisiatif BEV untuk semua pengeluar EV – Zafrul

    Berhubung dengan hasrat Tesla Inc (Tesla) membatalkan rancangan bagi membina kilang pengeluarannya di Asia Tenggara, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, laporan mengenai pembatalan hasrat Tesla ini bukanlah kenyataan rasmi dari jenama pengeluar EV itu sendiri, sebaliknya hanya memetik sumber yang anonymous ataupun tak bernama.

    “Tanya Tesla…Betul ke Tesla tak jadi bina kilangnya di Asia Tenggara? Laporan ini diterbitkan oleh sebuah akhbar Thailand dan dipetik semula oleh akhbar negara kita. Pertamanya, laporan tersebut bukanlah kenyataan rasmi Tesla, sebaliknya hanya memetik sumber yang anonymous ataupun tak bernama. Jadi, bila ditanya, jawapan saya ialah wartawan perlu semak kesahihan berita ini dengan Tesla, kerana sumber berita ini bukanlah Tesla,” katanya menerusi kenyataan yang dikongsikan di Facebook rasminya.

    Zafrul turut berkata, MITI juga tidak pernah mengumumkan bahawa Tesla akan membuka kilangnya di negara ini. “Memang kita adakan perbincangan dengan Elon Musk dalam usaha menarik pelaburan, tetapi Tesla tidak pernah membuat komitmen untuk membuka kilang di sini,”katanya lagi.

    MITI tidak pernah umum Tesla akan buka kilang di M’sia; inisiatif BEV untuk semua pengeluar EV – Zafrul

    Dalam masa yang sama, beliau turut menafikan bahawa kerajaan Malaysia memberikan pelbagai keistimewaan kepada Tesla. Menurut Zafrul, dalam usaha mengukuhkan ekosistem EV, Kerajaan telah memperkenalkan Inisiatif Peneraju Global Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) yang terbuka untuk mana-mana pembuat kenderaan EV.

    “Antara syarat-syarat yang dikenakan ialah memasang sekurang-kurangnya 50 unit ultra fast charger dengan kapasiti melebihi 180 kWh. Selain itu, perlu memastikan sekurang-kurangnya 30% daripada ultra fast charger yang telah dibangunkan di Malaysia dibuka untuk kegunaan awam iaitu untuk jenama kenderaan selain daripada jenama milik syarikat.

    “Syarat ketiga pula, perlu bekerjasama dengan sekurang-kurangnya 10 syarikat tempatan dalam membangunkan ekosistem industri perkhidmatan pengecasan EV termasuk menggunakan kontraktor tempatan yang membuat pemasangan pengecas EV, pembekal peralatan seperti transformer, kabel dan lain-lain lagi.”

    Tujuan inisiatif ini ialah untuk meningkatkan rangkaian pengecas untuk kegunaan pemilik kenderaan EV tempatan dan juga meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam ekosistem pengecasan EV. Setakat ini, menurut beliau, hanya Tesla yang telah memohon dan diluluskan penyertaannya dalam inisiatif Global BEV ini tetapi kita mengalu-alukan penyertaan pembuat EV lain.

    MITI tidak pernah umum Tesla akan buka kilang di M’sia; inisiatif BEV untuk semua pengeluar EV – Zafrul

    Tambahnya, melalui program yang serupa, negara seperti China, Hong Kong, dan Norway telah mempercepatkan peralihan kepada kenderaan elektrik. Apabila ini berlaku, banyak PKS tempatan mendapat manfaat daripada penyertaan dalam ekosistem EV.

    “Sekali lagi saya ulang, MITI atau mana-mana agensinya tak pernah buat pengumuman Tesla akan buka kilangnya di Malaysia. Walau apapun, MITI akan terus berusaha menarik pelaburan berkualiti tinggi ke Malaysia. Strategi untuk menarik pelaburan dalam industri automotif tidak terhad kepada Tesla sahaja,” tegasnya lagi.

    Zafrul turut berkata, dari tahun 2022 hinggalah suku pertama 2024, Malaysia telah menarik pelaburan bernilai RM24.55 bilion dalam aktiviti pembuatan berkaitan EV daripada syarikat seperti Chery, Gemilang Coachwork, Samsung SDI Energy, NexV Manufacturing dan EVE Energy. “Malahan pengeluar tempatan turut menyokong rantaian bekalan global Tesla dengan membekalkan alat ganti, komponen dan sistem automasi kilang kepada mereka.

    “Selain pelaburan dalam sektor automotif, Kerajaan juga menarik pelaburan dalam pelbagai sektor lain. Bagi Suku Pertama 2024 sahaja, pelaburan diluluskan adalah RM83.7 bilion iaitu naik 13% berbanding tahun lepas. InsyaAllah, MITI akan terus berusaha untuk menarik pelaburan berkualiti bagi mewujudkan lebih banyak pekerjaan untuk rakyat Malaysia,” sambungnya lagi.

     
     
  • Mitsubishi Ralliart siapkan talaan akhir Triton untuk rampas takhta juara Asia Cross Country Rally 2024

    Mitsubishi Ralliart siapkan talaan akhir Triton untuk rampas takhta juara Asia Cross Country Rally 2024

    Pasukan Mitsubishi Ralliart mengumumkan bahawa ia telahpun menyiapkan talaan akhir bagi jentera rali Mitsubishi Triton untuk perlumbaan Asia Cross Country Rally (AXCR) 2024 dalam satu sesi shakedown pada 6 Ogos lalu, sebelum perlumbaan sebenar bermula pada 11 Ogos nanti.

    “Sebagai tambahan untuk meningkat taraf prestasi pemanduan dan menambah lebar roda Triton, kami telah menambah baik suspensi belakang secara signifikant hasil dari kepakaran yang kami dapat menerusi Pajero, bekas juara Rali Dakar,” kata pengarah pasukan dan juara Rali Dakar dua kali, Hiroshi Masuoka.

    “Hasilnya adalah sebuah kereta rali yang boleh dipandu dengan pedal pendikit yang boleh dipijak sepenuhnya walaupun dalam laluan peringkat kelajuan tinggi, di mana kelajuan melebihi 100 km/j. Penambahbaikkan turut telah dibuat pada aspek kekuatan asli Triton, seperti pengendalian jalan pada permukaan yang sangat lasak, bagi membolehkan kereta rali ini memberikan prestasi yang kami jangkakan darinya.

    “Pasukan telah menambah bilangan kereta dari tiga kepada empat kenderaan, dan kami yakin bahawa pemandu dan juruarah dapat memainkan peranan masing-masing secara efektif. Sebagai tambahan untuk gelaran juara keseluruhan pertama selepas dua tahun, kami mahu mempertahankan tradisi unik Mitsubishi Motors dengan menggunakan pengalaman yang kami perolehi dari lapangan sukan permotoran yang mencabar kepada pembangunan kenderaan,” tambah Masuoka lagi.

    Mitsubishi Ralliart siapkan talaan akhir Triton untuk rampas takhta juara Asia Cross Country Rally 2024

    Mitsubishi Ralliart ‘dibangkitkan semula dari tidur yang panjang‘ untuk mula berlumba semula dalam AXCR 2022, dan kemudian terus bergelar juara pada penampilan sulungnya. Namun selepas beralih menggunakan Triton generasi baharu pada tahun lalu, salah satu jentera pasukan berkenaan hanya berada pada kedudukan ketiga untuk AXCR 2023.

    Jadi pasukan berkenaan tekad untuk kembali bergelar juara bagi AXCR tahun ini, dan membuat penambahbaikkan yang drastisk terhadap jentera generasi baharu berkenaan. Sebelum memuktamadkan segala talaan dalam sesi shakedown ini, pasukan Mitsubishi Ralliart terlebih dahulu sudahpun membuat ujian ketahanan di atas permukaan off-road sejauh 800 km pada akhir Jun lalu.

    “Tahun lepas, kami cuba untuk mempertahankan kemenangan untuk kali kedua berturut-turut dengan Triton serba baharu, yang baru sahaja dijual, tetapi kami tidak dapat mengeluarkan potensi penuhnya, berakhir di tempat ketiga. Dengan Triton tahun ini, kami telah membuat penambahbaikan besar terutamanya untuk prestasi pemanduan dan pengendalian jalan yang kasar, menambahbaik pasukan dengan empat kenderaan kami dan berhasrat untuk merampas semula kedudukan kami sebagai juara,” kata Masuoka ketika ujian berkenaan.

    Untuk barisan pemandu, juara AXCR 2022 dan pemenang tempat ketiga Chayapon Yotha dari Thailand masih kekal sebagai pelumba utama pasukan, dibantu juruarah Peerapong Sombutwong. Pemandu Jepun yang setia dengan Mitsubishi, Katsuhiko Taguchi juga masih diberikan kepercayaan untuk memandu jentera pasukan Ralliart dalam AXCR tahun ini dibantu juruarah Takahiro Yasui.

    Mitsubishi Ralliart siapkan talaan akhir Triton untuk rampas takhta juara Asia Cross Country Rally 2024

    Berumur 52 tahun, Katsu Taguchi merupakan pemandu berpengalaman dan telah dinobatkan sebagai juara Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC) untuk musim 1999 dan 2010, serta juara kategori Group N di Jepun pada 2007. Taguchi juga sangat berpengalaman dalam laluan SS di Asia Tenggara kerana selain memandu untuk pasukan rasmi Mitsubishi Ralliart, dia juga pernah memandu Proton Wira 4WD Evo III untuk pasukan Proton PERT dalam Kejohanan Rali Malaysia serta rali-rali antarabangsa lain pada era 90’an.

    Seorang lagi pemandu berpengalaman dari Thailand, Sakchai Hantrakul yang digugurkan tahun lalu kini diberikan kepercayaan semula untuk memandu Triton ketiga pasukan Mitsubishi Ralliart tahun ini, digandingkan bersama juruarah Jumpol Doungthip.

    Hantrakul yang sudahpun berumur 61 tahun mempunyai pengalaman selama 30 tahun dalam perlumbaan rali serta biasa dengan pelbagai jentera rali Mitsubishi, termasuk pernah memandu Mitsubishi Pajero dalam Rali Dakar 1996.

    Pemandu sensasi dari Indonesia, Rifat Sungkar pula tidak lagi membuat penampilan dalam AXCR tahun ini, dan dia diganti dengan seorang pemandu Jepun Kazuto Koide yang bergandingan dengan juruarah Eiji Chiba.

    Mitsubishi Ralliart siapkan talaan akhir Triton untuk rampas takhta juara Asia Cross Country Rally 2024

    Koide merupakan staf berpengalaman Mitsubishi Motors yang telah menyertai syarikat itu sejak 1998 sebagai pemandu ujian, serta mempunyai pengalaman mengendalikan jentera-jentera lagenda Mitsubishi termasuk Pajero dan Lancer Evolution. Beliau juga merupakan salah seorang jurulatih pemanduan untuk tenaga kerja Mitsubishi, dan terlibat dalam acara demonstrasi pemanduan yang dibuat oleh jenama itu di Jepun dan luar negara.

    Selain dari empat jentera lumba, dua lori yang membawa peralatan, Mitsubishi Ralliart turut membawa empat lagi kenderaan sokongan iaitu dua buah MPV Mitsubishi Delica D:5, sebuah kei-MPV Delica Mini, dan sebuah SUV Mitsubishi Outlander PHEV bagi mengiringi pasukan dari garis mula hingga tamat perlumbaan.

    AXCR merupakan rali rentas negara ala-Rali Dakar yang dilangsungkan merentas negara-negara Asia Tenggara dan diselia oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), menyajikan aksi off-road dengan cuaca panas dan lembab merentasi hutan dan kawasan pergunungan.

    Untuk edisi 2024 AXCR, ia pada asalnya akan melibatkan laluan perlumbaan yang bermula dari Surat Thani, Thailand sehingga ke Kuala Lumpur, Malaysia. Namun disebabkan insiden pengeboman yang berlaku di Selatan Thai pada 6 Mei lalu, laluan berkenaan telah diubah bermula dari Surat Thani menuju ke Hua Hin, dan berakhir di Kanchanaburi. Ia akan bermula 11 Ogos dan tamat pada 17 Ogos 2024.

    GALERI: Pasukan Mitsubishi Ralliart untuk AXCR 2024

    GALERI: Kenderaan-kenderaan sokongan pasukan Mitsubishi Ralliart untuk AXCR 2024

     
     
  • Polis beri 50% diskaun saman trafik pada 10 Ogos sempena program KDN di Padang Serai, Kedah

    Polis beri 50% diskaun saman trafik pada 10 Ogos sempena program KDN di Padang Serai, Kedah

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bakal menawarkan diskaun saman trafik sebanyak 50% pada esok, 10 Ogos 2024. Ia adalah sempena program Sua Mesra Bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang akan berlangsung di Dewan Koperasi Mukim Sidam Kanan, Kampung Guar Lobak, Padang Serai, Kedah. Di mana kaunter saman trafik berkenaan dibuka dari jam 8 pagi hingga 2 petang.

    Seperti amalan sebelum ini, pemberian diskaun saman ini tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya dan saman memotong di garisan kembar

    Ini termasuk juga dengan saman Kemalangan, saman Non Compund (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan lori, saman ubahsuai ekzos dan saman Ops Selamat tahun semasa.

    Jadi, jika anda berada di Padang Serai atau daerah sekitarnya pada tarikh berkenaan, jangan lupa ambil peluang ini untuk mendapatkan kadar diskaun bagi saman trafik terpilih. Sila lunaskan tunggakan saman yang ada bagi mengelakkan nama disenarai hitam atau disekat untuk pembaharuan cukai jalan atau lesen memandu.

     
     
  • Mitsubishi Ralliart bawa Delica Mini, Outlander PHEV & Delica D:5 untuk kenderaan sokongan rali AXCR 2024

    Mitsubishi Ralliart bawa Delica Mini, Outlander PHEV & Delica D:5 untuk kenderaan sokongan rali AXCR 2024

    Selain dari persiapan jentera perlumbaan untuk Asia Cross Country Rally (AXCR), pasukan Mitsubishi Ralliart biasanya turut turun tampil bergaya dengan kenderaan-kenderaan sokongan pasukan. Jika tahun lalu pasukan ini membawa MPV Delica D:5 yang diubahsuai sebagai pusat operasi bergerak, untuk AXCR tahun ini ia ditambah lagi dengan dua kenderaan sokongan yang tak kurang menariknya iaitu kei-MPV Mitsubishi Delica Mini dan juga SUV Mitsubishi Outlander PHEV!

    Untuk Delica D:5, Mitsubshi Ralliart telah menambah satu unit lagi di mana salah satunya akan membawa pengarah pasukan iaitu lagenda dan juara Rali Dakar dua kali, Hiroshi Masuoka untuk memeriksa laluan yang bakal dilalui jentera-jentera rali yang bertanding.

    Dalam spesifikasi standard, Delica D:5 ini digerakkan dengan enjin 2.2 liter turbodiesel DI-D empat silinder berkuasa 170 hp dan tork maksima 392 Nm, digandingkan kotak gear lapan kelajuan automatik serta dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda yang diberikan tiga mod iaitu 2WD, 4WD dan Lock seperti sebuah SUV yang direka untuk kegunaan lasak.

    Bagi memastikan ia turut boleh meredah laluan yang sama seperti kereta rali, Delica D:5 ini turut menerima ubahsuai lain seperti pelindung bawah enjin aluminium, suspensi yang menjadikan badan MPV ini 20 mm lebih tinggi dari versi standard.

    Mitsubishi Ralliart bawa Delica Mini, Outlander PHEV & Delica D:5 untuk kenderaan sokongan rali AXCR 2024

    Mitsubishi tidak memperincikan ubahsuai yang dibuat pada Delica Mini dan juga Outlander PHEV. Dalam keadaan standard, Delica Mini di Jepun ditawarkan dengan enjin 660 cc tiga silinder sama ada dalam versi NA atau turbo dengan kuasa tertinggi 64PS/100 Nm, digandingkan dengan sistem hibrid ringkas menampilkan motor elektrik berkuasa 2.7 PS/40 Nm serta kotak gear CVT dan pilihan sama ada pacuan hadapan atau pacuan semua roda.

    Delica Mini ini juga bukan hanya tampil standard dengan rupa yang lasak dengan dilengkapi bampar hadapan dengan kemasan seakan kanggaro bar, skid plate pada bahagian bawah bampar hadapan dan belakang serta pelindung sisi badan yang terletak di bahagian bawah pintu hadapan dan belakang, malah varian yang menerima sistem pacuan semua roda juga menerima tetapan suspensi istimewa membolehkan ia dipandu dengan selesa di atas permukaan salji dan tidak berturap.

    Manakala untuk Outlander PHEV, ia menerima enjin 4B12 2.4 liter empat-silinder MIVEC berkuasa 133 PS dimana enjin tersebut kebanyakkan masanya hanya bertugas sebagai generator untuk mengecas bateri lithium-ion 20 kWj bagi sistem elektrifikasi hibrid, tetapi masih akan menolong motor elektrik menggerakkan tayar pada kelajuan tinggi menggunakan klac lock-up dengan nisbah gear tunggal.

    Mitsubishi Ralliart bawa Delica Mini, Outlander PHEV & Delica D:5 untuk kenderaan sokongan rali AXCR 2024

    Sistem PHEV ini juga masih menampilkan dua motor elektrik bagi masing-masing untuk memacu gandar hadapan dan belakang, yang merupakan sebahagian dari sistem S-AWC (Super-All Wheel Control). Motor yang memacu roda hadapan kini berkuasa 116 PS/255 Nm, dan motor pada gandar belakang pula berkuasa 136 PS/195 Nm.

    Secara keseluruhan, unit rangkaian kuasa PHEV tersebut menghasilkan kuasa gabungan 243 PS dan tork maksima 450 Nm. Dengan dua motor berasingan pada gandar hadapan juga membolehkan tork diagihkan dengan lebih sempurna untuk mendapatkan cengkaman tayar terbaik menerusi sistem A-AWC berkenaan, yang kini turut dibantu oleh Active Yaw Control (AYC).

    Delica D:5 dan Delica Mini pasukan Mitsubishi Ralliart ini diberikan set rim aloi Work Crag T-Garbic III serta rak bumbung yang legkip dengan lampu sorot dari IPF, sementara Outlander PHEV pula diberikan set rim aloi Work Emotion. Namun ketiga-tiganya menerima set tayar off-road Yokohama Geolander yang membolehkan kesemuanya melepasi laluan yang sama diredah semua jentera rali tidak kira pada permukaan tar, batu kerikil dan juga berlumpur sepanjang rali ini berlangsung.

    Mitsubishi Ralliart bawa Delica Mini, Outlander PHEV & Delica D:5 untuk kenderaan sokongan rali AXCR 2024

    Ketiga-tiga kenderaan sokongan ini juga tampil dengan rekaan livery badan Mitsubishi Ralliart yang sama seperti jentera rali sebenar Mitsubishi Triton yang bertanding.

    AXCR merupakan rali rentas negara ala-Rali Dakar yang dilangsungkan merentas negara-negara Asia Tenggara dan diselia oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), menyajikan aksi off-road dengan cuaca panas dan lembab merentasi hutan dan kawasan pergunungan.

    Untuk edisi 2024 AXCR, ia pada asalnya akan melibatkan laluan perlumbaan yang bermula dari Surat Thani, Thailand sehingga ke Kuala Lumpur, Malaysia. Namun disebabkan insiden pengeboman yang berlaku di Selatan Thai pada 6 Mei lalu, laluan berkenaan telah diubah bermula dari Surat Thani menuju ke Hua Hin, dan berakhir di Kanchanaburi. Ia akan bermula 11 Ogos dan tamat pada 17 Ogos 2024.

     
     
  • Dua pelumba muda negara buat penampilan sulung di perlumbaan GT4 Thailand Super Series minggu ini

    Dua pelumba muda negara buat penampilan sulung di perlumbaan GT4 Thailand Super Series minggu ini

    Kedua-dua pelumba muda ini merupakan alumni dalam program pembangunan pelumba muda Toyota Gazoo Racing Malaysia, dan kemudian mula meningkat naik bukan sahaja dalam siri perlumbaan ‘one make’ Vios Challenge, malah turut menjadi pencabar berbisa dalam pelbagai perlumbaan premier tempatan. Dan pada hujung minggu ini, Naquib Azlan dan Amer Harris bakal membawa nama Malaysia dalam perlumbaan Thailand Super Series untuk kategori GT4!

    Perlumbaan Thailand Super Series (TSS) 2024 untuk kategori GT3, GTM, GT4 dan juga GTC bagi pusingan ketiga itu akan berlangsung di Litar Antarabangsa Petronas Sepang bermula 10 hingga 11 Ogos 2024. Untuk perlumbaan tersebut pasangan Naquib dan Amer bakal memandu Toyota GR Supra pasukan sepenuhnya dari Malaysia iaitu Wing Hin Motorsport, dan bakal berhadapan dengan lapan pesaing lain dalam kelas yang sama.

    Pasangan ini bersama pasukan Wing Hin bakal menghabiskan tiga lagi pusingan untuk musim tahun ini, di mana pusingan ketiga turut akan berlangsung di Sepang pada 6-8 September, dan pusingan terakhir ia akan kembali ke Litar Antarabangsa Chang di Thailand pada 13-15 Disember. Walaupun tidak menyertai dua pusingan awal, pasukan berkenaan yakin masih mampu memberikan impak kepada siri perlumbaan TSS musim ini.

    “Jadi, ini akan menjadi perlumbaan pertama kami dalam kelas GT4, bukan sahaja untuk diri saya tetapi juga untuk pasukan. Terdapat banyak perkara yang perlu dipelajari tentang kereta dan penggunaan tayar dan kami telah melakukan beberapa ujian sejak beberapa minggu lalu untuk menyesuaikan diri dengan harapan dapat mencapai prestasi optimum,” kata Naquib yang kini berusia 24 tahun.

    “Saya juga telah membuat latihan dengan simulator saya di rumah untuk merasai dinamik kereta secara maya dan cuba membawa perasaan itu ke trek sebenar. Walaupun masa ujian terhad, kami nampaknya mempunyai asas yang baik dan saya bersama Amer telah bekerja keras bersama-sama dengan pasukan untuk menyediakan jentera terbaik. Matlamat kami adalah tanpa ragu untuk berada di tangga teratas dan sebaiknya kami tidak membiarkan kekurangan pengalaman menghalang kami untuk mencapai sasaran itu.

    “Sepang jelas telah menjadi litar halaman kami dan ia menjadikan satu bonus sedikit kerana ia kami sudah biasa dengan persekitarannya. Secara peribadi, ia adalah detik yang membanggakan menjadi sebahagian daripada pakaian penuh Malaysia yang mengambil bahagian dalam kejohanan antarabangsa.”

    Manakala untuk Amer Harris yang baru berumur 21-tahun, kebelakangan ini namanya menjadi perhatian dunia sukan permotoran tempatan kerana kerap membuat catatan-catatan rekod terpantas baharu di Sepang menggunakan pelbagai jenis jentera.

    “Sudah tentu dengan berada di laman sendiri adalah satu kelebihan besar, tetapi grid terdiri daripada pemandu dan barisan pasukan yang sangat kuat. Saya pasti agak gementar memandangkan ia akan menjadi penampilan sulung saya dalam perlumbaan GT4 tetapi pada masa yang sama rentak kami dalam ujian beberapa hari kebelakangan ini kelihatan sangat memberangsangkan berbanding yang lain, dan oleh itu kami perlu menterjemahkannya kepada keputusan,” kata Amer.

    Bagi Wing Hin Motorsports pula untuk melangkah ke dalam perlumbaan GT4 ini disifatkan sebagai perkembangan secara semula jadi bagi membolehkan mereka menimba lebih banyak pengetahuan, pengalaman dan keupayaan pasukan dalam bersaing dalam peringkat perlumbaan yang lebih tinggi.

    Sebelum ini Wing Hin pernah bergelar juara dalam pelbagai perlumbaan termasuk perlumbaan ketahanan Sepang 1000KM (S1K) dan Malaysia Championship Series (MCS). Tahun lalu pasukan ini telah mula berlumba di Thailand dan meraih gelaran juara kelas untuk perlumbaan ketahanan Idemitsu Super Endurance 600 10-Jam Trofi Asia Tenggara. Selain dari kategori GT4, Wing Hin turut mula berlumba dalam kategori Super Compact bagi TSS musim tahun ini.

     
     
  • Laporan Tesla batal pembinaan kilang di Malaysia dan Asia Tenggara bukan kenyataan rasmi – MITI

    Laporan Tesla batal pembinaan kilang di Malaysia dan Asia Tenggara bukan kenyataan rasmi – MITI

    Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) hari ini memberi respon terhadap laporan berkenaan hasrat Tesla Inc (Tesla) membatalkan rancangan bagi membina kilang pengeluarannya di Asia Tenggara.

    Menurut jurucakap kementerian tersebut kepada Bernama, pembatalan rancangan tersebut mungkin satu keputusan komersial operasinya di peringkat global, dan ia tidak mencerminkan pembaharuan perindustrian dan penambahbaikan landskap pelaburan yang diusahakan oleh MITI serta agensinya sejak Disember 2022.

    Beliau turut menegaskan bahawa laporan media itu bukan kenyataan rasmi Tesla dan hanya berdasarkan ulasan daripada sumber yang identitinya dirahsiakan. “Sebarang pengesahan laporan itu perlu dibuat oleh Tesla,” tambahnya.

    Dalam masa yang sama Bernama juga menyatakan bahawa pihaknya turut berusaha mendapatkan kenyataan daripada Tesla, namun tidak berjaya setakat ini.

    Berita yang bertiup sebelum ini dilaporkan oleh portal atas talian Thailand The Nation semalam yang memetik sumber enggan dikenali dalam kerajaan negara itu, melaporkan Tesla membatalkan rancangan membangunkan kilang di Malaysia, Thailand serta Indonesia.

    Laporan itu menyatakan perbincangan Tesla pada masa ini hanya menjurus kepada usaha berkaitan stesen pengecasan dan menggantung rancangan membangunkan kilang bukan sahaja di Thailand tetapi di peringkat dunia.

    “Tesla tidak meneruskan (rancangan) di Malaysia, Indonesia atau lokasi lain kecuali di China, Amerika Syarikat dan Jerman,” lapor berita tersebut.

     
     
  • Proton X70 facelift 2025 sah dilancarkan 15 Ogos ini

    Proton X70 facelift 2025 sah dilancarkan 15 Ogos ini

    Selepas didedahkan dan tempahannya dibuka 1 Ogos lalu, Proton hari ini membuat pengumuman bahawa versi kemaskini X70 facelift 2025 bakal dilancarkan pada 15 Ogos ini.

    Ini merupakan versi perubahan paling besar diberikan pada model yang pertama kali diperkenalkan pada 2018 ini, dimana ia bukan hanya diberikan tingat taraf perincian, malah model 2025 ini turut menerima rombakan muka yang berbeza.

    Secara asasnya, X70 baharu ini menerima muka yang disadur dari Geely Boyue facelift 2022 menampilkan lampu hadapan yang lebih nipis. Ia tidak lagi menerapkan rekaan ukiran kayu rumah tradisional infinite weave pada gril, tetapi menerima corak rekaan inspirasi kain songket seperti model-model baharu Proton yang lain seperti S70 dan X90.

    Manakala pada sebelah dalam, X70 facelift ini menerima tingkat taraf yang bukan sahaja hadir dengan skrin lebih besar, malah kini diberikan fungsi yang paling ditunggu-tunggu iaitu sokongan Apple CarPlay dan Android Auto. Ia juga kini menerima lampu suasana dan tema warna kabin yang baharu.

    Proton X70 facelift 2025 sah dilancarkan 15 Ogos ini

    Ia masih digerakkan dengan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api terus (T-GDi) yang menghasilkan kuasa 177 PS dan tork maksima 255 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan 7DCT yang telah dikemaskini. Kuasa dari enjin hanya memacu roda hadapan, tanpa sebarang pilihan sistem pacuan semua roda untuk kali ini. Varian yang dijana enjin 1.8 liter T-GDi juga tidak lagi ditawarkan.

    Menurut Proton unit rangkaian kuasa yang dikemaskini ini memberikan penggunaan bahan api 7.3 liter setiap 100 km, atau 4% lebih rendah dari model MC 2022. Ia dapat dicapai menerusi penambahbaikkan dibuat pada keberkesanan pembakaran, pengurusan haba dan pengurangan geseran, secara tidak langsung turut memberikan kadar NVH yang lebih rendah.

    Proton X70 bakal ditawarkan dalam empat varian iaitu Standard, Executive, Premium dan Premium X, di mana varian ‘X’ merupakan versi Premium yang ditambah dengan bumbung suria panaromik. Harga hanya akan diumumkan ketika pelancaran rasminya nanti.

    Buat masa sekarang model sedia ada dijual dengan harga RM98,800 bagi Standard, RM110,800 bagi Eksekutif, RM116,800 bagi Eksekutif AWD, RM123,800 bagi Premium dan RM126,800 bagi Premium X. Kami sebenarnya telah diberi peluang untuk membelek model ini dengan lebih terperinci sebelum ini, dan laporannya boleh anda baca pada PAUTAN INI.

    GALERI: Proton X70 2025 Premium X

    GALERI: Proton X70 2025 Premium

     
     
  • Kamera AES baharu gantikan unit lama yang alami kerosakan besar, tambahbaik sistem sedia ada – JPJ

    Kamera AES baharu gantikan unit lama yang alami kerosakan besar, tambahbaik sistem sedia ada – JPJ

    Dalam sehari dua ini cerita pasal kamera baharu Automated Enforcement System (AES) yang merupakan sebahagian daripada Automated Awareness Safety System (AWAS), sedang hangat diperkatakan. Memang ramai pengguna lebuhraya yang tidak menyedari kehadiran kamera AES yang baharu ni, sebab ia seakan macam tiang hitam biasa saja.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pihaknya sedang melaksanakan penggantian kamera mengesan had laju tersebut secara berfasa di lokasi-lokasi yang telah diwartakan. “Penggantian kamera AWAS ini adalah selaras dengan penambahbaikan sistem kamera AWAS sedia ada selari dengan perubahan teknologi terkini yang menggunakan teknologi Automated Number Plate Recognition (ANPR) bagi memastikan kamera tersebut beroperasi dengan lebih baik. Penggantian ini melibatkan kamera model Redflex yang perlu ditukar atas faktor kerosakan besar dan tidak mendapat sokongan daripada pihak prinsipal.

    “Pengoperasian kamera AWAS adalah untuk memastikan penguatkuasaan yang melibatkan kesalahan memandu melebihi had laju dan gagal mematuhi lampu isyarat berdasarkan peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) selaras untuk mengurangkan statistik kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya,” kata JPJ menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Dalam masa yang sama, JPJ menyeru dan memohon kerjasama semua pengguna jalan raya mengambil langkah mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan dan bertoleransi dengan pengguna jalan raya yang lain demi keutamaan keselamatan diri dan keluarga ketika di jalan raya. “Jabatan ini juga sentiasa komited untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara seterusnya berada pada tahap yang terbaik,” sambungnya lagi.

    Semalam, wakil paultan.org pergi meninjau salah satu lokasi penempatan kamera AES yang baharu ini, terletak berdekatan KM17.2 Lebuhraya ELITE menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

    Ia adalah binaan Ekin Spotter yang merupakan kelengkapan kamera jalan modular yang boleh ditugaskan dengan beberapa fungsi berbeza melalui pemasangan beberapa modul berlainan. Dalam peranti yang digunakan sebagai kamera had laju ini, antara elemen lain yang dapat dilihat turut melengkapinya ialah sensor kelajuan, lampu flash putih serta module kamera peninjau.

    Turut ditawarkan untuk Ekin Spotter ialah modul untuk lampu beacon dan bandar, pembesar suara, antena serta hotspot wifi. Menurut laman web Ekin, peranti Spotter ini mampu menjalankan tinjauan berkualiti tinggi untuk siang dan malam, serta mampu meninjau kawasan yang lebih luas dan merakam video beresolusi tinggi.

    Ekin Spotter ini juga mampu meninjau perubahan di persekitarannya menggunakan teknologi sensornya sendiri, dan boleh memaklumkan sistem pusat jika berlaku perubahan keadaan yang luar biasa seperti peningkatan suhu, kelembapan, diganggu atau pencebohan unitnya.

     
     
  • JPJ eBid: Siri ANR dan PRL bakal boleh dibida

    Bila jurujual kenderaan hubungi mengatakan kenderaan yang anda tempah bakal diperoleh tidak lama lagi, pasti anda teruja tercari-cari plat nombor pendaftaran yang sesuai kan. Ini ada dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor terkini dari Perak, ANR, bakal dibuka bidaan mulai 9 Ogos ini. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 13 Ogos ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 14 Ogos 2024. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Pulau Pinang pula, PRL, bidaannya pula bakal dibuka mulai 19 Ogos dan akan berakhir jam 10 malam pada 23 Ogos. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 24 Ogos 2024.

    Jadi, jika anda mengingini mana-mana siri yang ditawarkan ini, anda boleh membidanya menerusi JPJ eBid tanpa perlu menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa.

     
     
  • Chery mula eksport kenderaan dari kilang Shah Alam tahun ini; Malaysia jadi hab R&D, produksi ASEAN

    Chery mula eksport kenderaan dari kilang Shah Alam tahun ini; Malaysia jadi hab R&D, produksi ASEAN

    Kilang Chery di Shah Alam yang baru dibuka Jun lalu bukan hanya akan membekalkan kenderaan untuk pasaran tempatan, ini kerana menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam hantaran Facebook yang dibuat semalam, beliau mengesahkan bahawa kilang berkenaan turut akan mengeksport model-model Chery ke pasaran ASEAN yang lain bermula akhir tahun ini.

    Beliau menyatakan bahawa Chery telah meletakkan Malaysia sebagai hab eksportnya untuk pasaran ASEAN, dan kilang tersebut merupakan sebahagian dari pelaburan besar yang telah diperuntukkan oleh jenama automotif China itu di sini.

    “Pada bulan Jun lepas, saya telah melancarkan kilang pemasangan Chery di Shah Alam, Selangor. Kilang ini adalah sebahagian daripada pelaburan RM1 bilion mereka di Malaysia. Semalam saya bertemu pihak Chery lagi, kali ini untuk mendengar perancangan mereka untuk menjadikan Malaysia sebagai hab eksport Chery di ASEAN dan juga ke rantau-rantau lain,” katanya.

    “Insya-Allah mereka akan mula mengeksport pada penghujung tahun ini. Saya harap kejayaan Chery akan menggalakkan lebih banyak pengeluar lain untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran mereka di rantau ASEAN,” tambahnya lagi.

    Chery mula eksport kenderaan dari kilang Shah Alam tahun ini; Malaysia jadi hab R&D, produksi ASEAN

    Kilang Chery Shah Alam ini mula beroperasi dengan memasang model sub-jenamanya iaitu SUV Jaecoo J7 yang baru sahaja dilancarkan 19 Julai lalu. Sementara model-model dengan logo Chery iaitu Omoda 5, Tiggo 8 Pro dan Tiggo 7 Pro masih dipasang di kilang milik Inokom di Kulim, Kedah. Kesemua model-model CKD ini masih hanya dihasilkan untuk pasaran tempatan.

    Namun Chery telah pun mengumumkan rancangan masa hadapannya di mana fasiliti di Shah Alam tersebut akan dijadikan sebagai hab kenderaan pemanduan sebelah kanan serta bakal dilengkapi kemudahan untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D). Perkara ini disahkan sendiri oleh presiden Chery International, Zhang Guibing yang melancarkan kilang Shah Alam berkenaan.

    Hab Chery di Malaysia ini akan ditugaskan untuk membangunkan versi-versi pemanduan sebelah kanan (RHD) bukan hanya untuk pasaran tempatan dan ASEAN, malah Zhang mengesahkan ia juga untuk pasaran global lain seperti UK dan Australia. Beliau turut menambah bahawa Malaysia juga dipilih kerana cuaca tropika di sini yang sesuai untuk ujian cuaca panas.

    “Sementara China menggunakan kenderaan pemanduan sebelah kiri, Malaysia menawarkan peluang unik untuk menyediakan keperluan pasaran pemanduan sebelah kanan. Kami sangat berminat untuk mengembangkan perniagaan di sini dan Malaysia boleh menjadi hab pemanduan sebelah kanan,” kata Zhang sambil menambah syarikat mempunyai perancangan untuk meneroka eksport ke negara RHD dan menggunakan kedudukan strategik Malaysia.

    Zhang juga memberitahu bahawa Chery mempunyai visi masa panjang yang termasuk “memastikan rakan kongsi tempatan berpuas hati, mencipta peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia serta memperkenalkan teknologi baru kepada pasaran tempatan.”

    Dengan semua usaha ini, Zhang menegaskan bahawa ia akan menguatkan lagi asas operasi Chery di Malaysia, dan “memastikan kualiti serta kecekapan berstandard tinggi yang seterusnya membina keyakinan pelanggan berpanjangan.”

    Hujung tahun lalu Chery menjanjikan pelaburan RM1 bilion untuk memberi sokongan kepada Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030. Syarikat itu menyatakan ia adalah sebagai satu komitmen jangka masa panjang yang menunjukkan keyakinan mereka terhadap potensi Malaysia.

     
     
  • Hyundai labur RM126j di Thailand untuk pemasangan EV dan bateri – produksi di Bangkok bermula 2026

    Hyundai labur RM126j di Thailand untuk pemasangan EV dan bateri – produksi di Bangkok bermula 2026

    Hyundai telah memutuskan untuk memperuntukkan pelaburan berjumlah 1 bilion baht (RM126 juta) bagi menubuhkan fasiliti pemasangan EV dan bateri di Thailand, kata Lembaga Pelaburan (BOI) negara itu semalam. Sekaligus menjadikan negara itu sebagai hab pembuatan jenamanya bagi mengeksport kenderaan di seluruh Asia Tenggara.

    Syarikat itu akan bekerjasama dengan Kilang Pemasangan Automotif Thonburi di Samut Prakan, di selatan Bangkok. Di mana ia sudah memiliki kemudahan pemasangan kenderaan Mercedes-Benz. Selain itu, Toyota dan Nissan juga mempunyai kilang di Samut Prakan. Hyundai merancang untuk memulakan pengeluaran di sana pada tahun 2026.

    Pelaburan Hyundai adalah sebahagian daripada fasa kedua matlamat Thailand untuk menjadi hab pengeluaran EV. Projek itu, yang dikenali sebagai EV 3.5, bermula dari 2024 hingga 2027 dan bertujuan untuk menggalakkan pelaburan pembuatan merentas keseluruhan ekosistem EV, termasuk kereta, bateri, komponen dan juga stesen pengecasan. Pakej ini menawarkan insentif untuk pengilang dan subsidi EV kepada pelanggan.

    Hyundai labur RM126j di Thailand untuk pemasangan EV dan bateri – produksi di Bangkok bermula 2026

    “Rantaian bekalan sedia ada Thailand yang kukuh akan membolehkan Hyundai mendapatkan tidak kurang daripada satu pertiga daripada bahan mentah dan bahagian yang diperlukannya dari dalam Thailand, sekali gus menyokong industri tempatan,” kata Setiausaha Agung BOI, Narit Therdsteerasukdi seperti yang dilaporkan Reuters.

    Jualan EV melonjak di seluruh Asia Tenggara dengan jenama BYD mendahului pasaran, mengambil alih pasaran kereta enjin pembakaran dalaman yang dikuasai oleh syarikat Jepun dan Korea.

    Laporan Bangkok Post menyebut, buat masa ini, Thailand yang juga hab pengeluar kereta terbesar di rantau ini, telah menyumbang sebanyak 55% dripada keseluruhan jualan EV di Asia Tenggara bagi suku pertama tahun ini, menurut Counterpoint Research.

     
     
  • Tesla batal rancangan bina kilang EV di Thailand, M’sia, Indonesia — serius dari awal atau sebaliknya?

    Tesla batal rancangan bina kilang EV di Thailand, M’sia, Indonesia — serius dari awal atau sebaliknya?

    Tesla dilaporkan telah membatalkan rancangan syarikat itu untuk membina kilang EV di Thailand, Malaysia atau Indonesia dan hanya akan memberi tumpuan kepada penyediaan stesen pengecasan sahaja. Perkara ini dilaporkan oleh The Nation, yang memetik sumber dalaman dari kerajaan Thailand.

    Keputusan untuk membatalkan rancangan pembukaan kilang di ASEAN adalah berikutan pasukan eksekutif Tesla yang telah membuat kunjungan ke Thailand tahun lalu, dibuang kerja. “Tesla kini hanya akan mempertimbangkan penyediaan stesen pengecasan, dan membatalkan rancangan untuk pembukaan kilang pemasangan tidak hanya di Thailand, sebaliknya di seluruh dunia. Mereka tidak akan meneruskan rancangan itu di Malaysia, Indonesia atau di mana sahaja kecuali China, Amerika dan Jerman,” ujar sumber berkenaan.

    Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin pada November 2023 telah memaklumkan bahawa Tesla akan menjadikan Thailand sebagai hab pengeluaran, selepas beliau mengadakan beberapa perjumpaan dengan pasukan eksekutif Tesla di Thailand dan juga di Amerika Syarikat. Beliau juga telah mengunjungi kilang Tesla di Fremont.

    Di Thailand, Srettha dan pemimpian parti Pheu Thai, Paetongtarn Shinawatra yang juga merupakan anak perempuan Thaksin pernah menerima kunjungan ekskutif Tesla, Rohan Patel di Festival Yi Peng di Chiang Mai pada bulan yang sama. Ketika itu dinyatakan bahawa Tesla sedang meninjau tiga kawasan kilang yang berpotensi di negara itu dan dijangka akan mengumumkan pelaburan bernilai US$5 bilion (RM22.5 bilion) pada suku pertama 2024.

    Menurut sumber dari kerajaan Thailand tersebut, Tesla telah memutuskan pembatalan rancangan berkenaan dan membubarkan pasukan eksekutif mereka yang terlibat. Keputusan itu adalah sebahagian daripada penarikan balik pelaburan di Asia oleh Tesla. Persoalan lebih penting yang perlu diajukan: adakah sejak awal lagi Tesla memang serius untuk melabur di Asia atau sebaliknya?

    Dalam perkembangan lain, sebuah gigafactory Tesla juga dibiar tergantung pembinaan dan operasinya di Mexico walaupun setelah pengumuman rasmi dibuat. Pertama kali diumumkan pada Mac 2023, projek berkenaan berdepan penangguhan dan ketidakpastian, dengan antara puncanya melibatkan ikrar oleh calon Presiden AS, Donald Trump yang ingin mengenakan tarif 100% terhadap kereta dari Mexico. Pada Oktober 2023 Tesla mengesahkan projek itu tergendala atas sebab ekonomi.

     
     
  • Proton dilapor bakal kembali ke UK, Australia & New Zealand, di pacu produksi lebih besar dari Tg. Malim

    Proton dilapor bakal kembali ke UK, Australia & New Zealand, di pacu produksi lebih besar dari Tg. Malim

    Autocar melaporkan bahawa Proton bakal kembali ke pasaran United Kingdom dan juga beberapa pasaran eksport lain yang telah ditinggalkan sebelum ini. Perkara berkenaan diberitahu kepada portal automotif UK tersebut menerusi sumber yang rapat dengan CEO Proton, Dr. Li Chunrong.

    Menurut sumber tersebut, Proton merancang untuk masuk ke beberapa pasaran pemanduan sebelah kanan lain di Asia, Australia dan New Zealand dengan sasaran menaikkan jualan eksportnya dalam jumlah yang jauh lebih tinggi selepas ia beroperasi sepenuhnya di Tanjong Malim.

    Bukan hanya kilang Proton itu sendiri, pengeluaran yang lebih besar ini disasarkan akan dipacu oleh kewujudan Lembah Automotif Teknologi Tinggi (AHTV) yang kini sedang dibangunkan di Tanjong Malim oleh pemilik Proton iaitu DRB-Hicom dengan kerjasama Geely.

    “Dengan adanya pelaburan, Proton akan mempunyai cara untuk kembali semula ke pasaran yang sebelum ini telah ditinggalkan, juga dalam masa yang sama masuk ke pasaran-pasaran baharu,” kata sumber tersebut. Walau bagaimanapun masih belum ada garis masa tepat untuk menjangkakan bila perkara ini akan berlaku, namun Autocar diberitahu bahawa Proton bakal masuk semula ke pasaran-pasaran eksport utama ini pada “lewat dekad ini”.

    Proton dilapor bakal kembali ke UK, Australia & New Zealand, di pacu produksi lebih besar dari Tg. Malim

    Projek AHTV yang dirancang tersebut telahpun diumumkan pada April 2022, dengan pelan pembangunannya dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia ketika itu Datuk Seri Ismail Sabri Bin Yaakob. Ketika pelancarannya, Dr. Li sudahpun menyebut berkenaan untuk memperluaskan pasaran eksport Proton menerusi penghasilan kenderaan-kenderaan lebih berteknologi tinggi menerusi kewujudan AHTV ini

    Perjanjian Dasar-Dasar Utama (HOA) antara DRB-Hicom Geely kemudiannya telah dimeterai pada April 2023, disusuli dengan Perjanjian Kerjasama Utama (MCA) yang menetapkan prinsipal asas, rangka kerja tadbir urus dan juga komitmen bersama termasuk peranan-peranan spesifik yang akan diambil untuk pembangunan dan inisiatif promosi bagi projek AHTV ini dibuat pada Oktober 2023.

    Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas menerima kunjungan hormat Pengerusi Geely Li Shufu di Putrajaya pada bulan yang sama, projek AHTV ini bakal meningkatkan pelaburan Geely di Malaysia kepada RM32 bilion, dalam masa yang sama akan menjadikan negara ini sebagai hab produksi bagi pasaran eksportnya.

    Manakala bulan lalu Proton telah memulakan projek untuk membina dua lagi kilang stamping di Tanjong Malim sebagai persediaan untuk berpindah sepenuhnya ke sana dengan menutup produksi Saga di Shah Alam pada 2026.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025