Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - facelift ke all-new?



Artikel Terkini

  • Isuzu Malaysia lantik Tomoyuki Yamaguchi sebagai CEO baharu bagi menggantikan Shunsuke Okazoe

    Isuzu Malaysia lantik Tomoyuki Yamaguchi sebagai CEO baharu bagi  menggantikan Shunsuke Okazoe

    Isuzu Malaysia telah mengumumkan pelantikan Tomoyuki Yamaguchi sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) baharu syarikat berkenaan berkuatkuasa sejak 24 April 2025. Yamaguchi menggantikan CEO sebelum ini, Shunsuke Okazoe, yang kembali ke Jepun selepas dilantik sebagai timbalan presiden bagi jabatan jualan di Isuzu Motors Limited.

    Yamaguchi menyertai Isuzu Motors pada tahun 1997, memulakan tugas di jabatan operasi antarabangsa untuk pasaran termasuk Rusia dan Ukraine, serta pelbagai pasaran Asia Barat Daya sebelum ditugaskan ke Isuzu Motors Afrika Selatan untuk mengembangkan perniagaan kenderaan komersial jenama itu di pasaran negara tersebut.

    “Isuzu Malaysia kekal sebagai model kecemerlangan dalam perspektif global. Operasi di sini telah mewujudkan pangkalan pelanggan setia yang mengiktiraf kekuatan dan keupayaan kenderaan Isuzu. Ini petanda baik untuk penubuhan pelanggan sepanjang hayat jenama Isuzu.

    “Kami perlu terus berusaha untuk menjadikan setiap pelanggan mendapat pengalaman yang positif. Saya berharap dapat bekerjasama dengan pasukan dan pengedar kami untuk membawa kepuasan pelanggan ke peringkat seterusnya,” kata Yamaguchi.

    Beliau turut menyasar untuk meluaskan skop perkhidmatan dalaman yang disediakan oleh pengedar Isuzu untuk memastikan perkhidmatan berkualiti bagi pelanggan jenama itu, serta mempercepatkan ketersediaan alat ganti melalui proses pergudangan yang dipertingkatkan.

     
     
  • Toyota GR Yaris 8AT 2025 kini tiba di Malaysia — 1.6L turbo, 300 PS/400 Nm AWD; harga jual RM325,600

    Toyota GR Yaris 8AT 2025 kini tiba di Malaysia — 1.6L turbo, 300 PS/400 Nm AWD; harga jual RM325,600

    UMW Toyota Motor (UMWT) telah mengumumkan ketibaan model Toyota GR Yaris 2025 di Malaysia, bersekali dengan ketibaan kereta sport dua-tempat duduk GR Supra Track Edition.

    Dijual dengan harga RM325,600, GR Yaris dengan Gazoo Racing Direct Automatic Transmission (DAT) lapan-kelajuan ini dijual bersekali dengan versi manual enam-kelajuan yang ditawarkan dengan harga RM315,000 — model automatik berkenaan RM10,000 lebih mahal berbanding versi manual.

    Dilengkapi dengan enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga-silinder sebaris turbocas petrol, ia menjana kuasa yang sama bagi kedua-dua versi dengan 300 PS dan 400 Nm. Kuasa disalurkan ke semua roda melalui sistem pacuan semua roda GR-Four yang hadir bersama beberapa mod pemanduan, termasuk Gravel (nisbah agihan tork depan dan belakang 53:47) dan Track (pembolehubah berterusan antara 60:40 dan 30:70).

    GR Yaris 8AT tersebut mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 5.2 saat, dengan laju maksimum 230 km/j. Berat kering antara model automatik dan manual melibatkan perbezaan 20 kg (versi 8AT lebih berat berbanding 6MT). Selebihnya semua sama antara keduanya.

    Perisian bagi GR Yaris automatik telah dioptimumkan untuk “pemanduan mengujakan”, jelas Toyota. Perisian transmisi akan meninjau input pemandu ke atas pendikit dan brek, dan akan menjangkakan titik penukaran gear optimal seperti yang dilakukan oleh pemandu profesional. Khusus untuk versi 8AT adalah cecair penyejuk transmisi automatik.

    Sebagai model facelift, pembaharuan yang dilakukan antara keduanya juga sama. Kini ada tiga bolt yang mengikat setiap penyerap hentak ke badan kereta (sebelum ini hanya satu bolt) bagi mengurangkan jajaran tersasar ketika membelok. Titik kimpalan juga ditambah sebanyak 13% dan penggunaan pelekat struktural juga ditingkatkan sebanyak 24% untuk memperkukuhkan badan kenderaan, dan menyumbang kepada kendalian dan keselesaan yang lebih baik.

    Toyota GR Yaris 8AT 2025 kini tiba di Malaysia — 1.6L turbo, 300 PS/400 Nm AWD; harga jual RM325,600

    Dari segi penampilan, model facelift GR Yaris ini diberikan rekaan bagi bagi bampar depannya. Di belakang, kamera undur dan lampu kabus telah disekalikan ke dalam kawasan lampu belakang, dialih dari bahagian bawah bampar untuk mengurangkan kerosakan. Lampu brek ketiga juga dialih dari spoiler belakang ke bahagian lebih rendah agark lebih mudah dilihat, serta spoiler dengan rekaan baru.

    Bahagian kabin antara kedua-dua bersi juga sama. Kerusi pemandu kini direndahkan sebanyak 25 mm, begitu juga dengan kedudukan stereng. Orientasi penukaran gear manual juga diubah (tarik untuk naikkan kedudukan gear), dan ada juga paddle shift di stereng.

    Untuk memberi tumpuan kepada pemandu, bucu atas panel instrumen 50 mm lebih rendah, cermin pandang belakang yang dialih ke kedudukan baru serta panel kawalan disudutkan 15 darjah ke arah pemandu. Ciri bantuan pemandu pula lengkap dengan Toyota Safety Sense (TSS3), yang antaranya terdiri daripada Pre-Collision Brake Assist untuk motosikal dan Pre-Collision Brake untuk kenderaan dari arah depan.

    Toyota GR Yaris 8AT 2025 kini tiba di Malaysia — 1.6L turbo, 300 PS/400 Nm AWD; harga jual RM325,600

    Kawalan melayar radar dinamik (DRCC) kini dihubungkan ke lampu isyarat, dan berfungsi bersama dengan Deceleration Assist untuk menyokong daripada memotong dalam sitausi berbahaya, sementara pengurangan kelajuan di selekoh akan berfungsi ketika DRCC aktif.

    Akhir sekali, GR Yaris 2025 automatik datang dengan jaminan lima-tahun, tanpa had perbatuan. Dijual dengan harga RM325,600, model ini ditawarkan dalam empat pilihan warna — Platinum White Mica, Emotional Red II, Precious Metal dan Precious Black.

     
     
  • Polis beri 50% diskaun saman trafik sempena Karnival Hari Pekerja; 1 Mei 2025 di Axiata Arena Bukit Jalil

    Polis beri 50% diskaun saman trafik sempena Karnival Hari Pekerja; 1 Mei 2025 di Axiata Arena Bukit Jalil

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) bakal memberikan pengurangan bayaran saman trafik sebanyak 50% bagi kesalahan terpilih yang ditawarkan pada 1 Mei 2025 (Khamis ini). Ia adalah sempena dengan Karnival Hari Pekerja 2025 anjuran Kementerian Sumber Manusia.

    Di mana orang ramai boleh mendapatkan diskaun saman trafik terpilih itu di kaunter PDRM yang dibuka di lokasi acara iaitu di Axiata Arena, Bukit Jalil dari jam 8 pagi hingga 4 petang.

    Walau bagaimana pun, anda dinasihatkan agar membuat semakan awal melalui portal https://mybayar.rmp.gov.my dan aplikasi MyBayar PDRM bagi melancarkan proses pembayaran saman nanti.

    Seperti amalan sebelum ini, pemberian diskaun saman tersebut tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya, saman memotong di garisan kembar, saman kemalangan, saman Non Compund (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan kenderaan berat, saman ubahsuai ekzos dan saman berstatus Op Selamat tahun semasa.

    Jadi, jika anda berada lokasi yang berhampiran, jangan lupa ambil peluang ini untuk mendapatkan kadar diskaun bagi saman trafik terpilih. Sila lunaskan tunggakan saman yang ada bagi mengelakkan nama disenarai hitam atau disekat untuk pembaharuan cukai jalan atau lesen memandu.

     
     
  • JPJ eBid: Siri NEG dan DFK bakal dibuka bidaan

    Jika anda sedang mencari nombor pendaftaran bagi kenderaan, ini ada siri terkini dari Negeri Sembilan dan Kelantan yang dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Negeri Sembilan, NEG dibuka bidaan mulai 2 Mei 2025. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 6 Mei. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 7 Mei 2025. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Kelantan, DFK, akan dibuka bidaan bermula 4 Mei 2025. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 8 Mei, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 9 Mei 2025.

    Disebabkan sekarang ini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran kenderaan yang diingini.

     
     
  • Ariic 318 GT dilancarkan di Malaysia – skuter 330 cc dengan brek berkembar hadapan, TFT, harga RM23k

    Ariic 318 GT dilancarkan di Malaysia – skuter 330 cc dengan brek berkembar hadapan, TFT, harga RM23k

    Pasaran Malaysia menerima satu lagi skuter hari ini apabila Ariic 318 GT dilancarkan dengan harga RM22,888 tidak termasuk insurans. Ini adalah model pertama Ariic di pasaran Malaysia dan ia kemudiannya akan disusuli beberapa lagi model berkemungkinan pada tahun hadapan. Jaminan yang diberi adalah selama dua tahun tanpa had batuan.

    Ariic 318 GT adalah sebuah skuter yang digerakkan oleh enjin satu silinder suntikan bahan api 330 cc dengan sistem penyejukan cecair, dipadankan bersama transmisi automatik CVT, mampu menghasilkan 28 hp pada 7,000 rpm dan tork 30.8 Nm pada 5,500 rpm.

    Walaupun dengan harga sebegitu, Ariic 318 GT datang dengan pelbagai kelengkapan termasuk penghadang angin boleh laras secara elektronik, meter TFT, sistem pemerhati tekanan angin tayar, semua lampu jenis LED, suis kawalan berlampu, sistem tanpa kunci serta soket pengecas USB-C dan USB-A.

    Tidak cukup dengan itu, pesaing terbaru dalam segmen skuter maxi ini juga dilengkapi kamera perakam video hadapan, brek berkembar di hadapan (260 mm), tunggal di belakang (240 mm) dan sistem ABS dual-channel. Tuil brek juga adalah jenis yang boleh dilaras. Rim datang dengan saiz 14 inci di hadapan dan 13 inci di belakang, dibalut oleh tayar CST masing-masing bersaiz 120/70 dan 150/70.

    Memegang roda ini adalah fork teleskopik di hadapan dan dua penyerap hentak dengan pelarasan pra beban di belakang. Di bawah tempat duduk 318 GT terdapat ruang yang dikatakan boleh menempatkan dua buah helmet, dan kemudiannya terdapat dua lagi poket barangan di bahagian bawah pemegang.

    Secara keseluruhannya, 318 GT mencatat berat 208 kg dan ia datang dengan tangki bahan api berkapasiti 16 liter. Tiga pilihan warna disediakan iaitu Matt Grey, Dark Grey dan Matt Black.

     
     
  • Continental umum bakal tutup kilang tayar keluarannya di Alor Setar, Kedah hujung tahun ini

    Continental umum bakal tutup kilang tayar keluarannya di Alor Setar, Kedah hujung tahun ini

    Continental telah mengumumkan bakal menghentikan operasi kilang pengeluaran tayarnya di Alor Setar, Kedah menjelang hujung tahun ini. Fasiliti pengeluaran ini mengeluarkan tayar untuk kereta penumpang, trak ringan bagi pasaran Asia Pasifik, serta tayar motosikal sejak 20 Disember 1979 dan mulai Mei 2012, kilang ini menjadi anak syarikat milik penuh Continental. Fasiliti pembuatan ini meliputi kawasan seluas kira-kira 133,000 meter persegi.

    “Seramai 950 orang tenaga kerja di fasiliti berkenaan, walau bagaimana pun keutamaan syarikat adalah untuk menyokong para pekerjanya dengan menyediakan bantuan seperti kaunseling kerjaya serta meneroka peluang pekerjaan yang berpotensi sama ada dalam Continental mahupun di luar syarikat.

    “Keputusan untuk menutup kilang tayar Continental di Alor Setar adalah hasil daripada semakan perniagaan secara terperinci yang bertujuan untuk melindungi daya saing, serta prestasi perniagaan syarikat di rantau Asia-Pasifik (APAC). Usaha ini juga dilaksanakan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan permintaan pelanggan. Syarikat juga berhasrat untuk mengoptimumkan portfolio produk tempatan dan memantau pengeluarannya,” kata Continental menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Walau bagaimana pun, syarikat ini turut berkata, Malaysia akan kekal sebagai pasaran utama bagi Continental di rantau Asia Pasifik. Malah rantau Asia Pasifik merupakan kawasan pertumbuhan strategik bagi Continental. Kilang pembuatan tayar syarikat di rantau ini terletak di Hefei (China), Rayong (Thailand), Modipuram (India), Kalutara (Sri Lanka), dan Petaling Jaya (Malaysia).

     
     
  • Jetour eVT5 versi RHD ditunjuk khas kepada media global di Shanghai – SUV EV ini bakal dijual di M’sia?

    Jetour eVT5 versi RHD ditunjuk khas kepada media global di Shanghai – SUV EV ini bakal dijual di M’sia?

    Dalam lawatan ke Auto Shanghai 2025 minggu lalu, Jetour turut mengambil kesempatan menunjukkan beberapa barisan modelnya di Hilton Shanghai yang menjadi hotel penginapan media global yang diundangnya. Selain SUV off-road T1 dan T2, Jetour turut mempamerkan SUV elektriknya eVT5 (nama yang diberikan untuk Malaysia, berbeza dengan nama bagi pasaran global disebabkan hakcipta, jadi nama asalnya seperti mana yang tertera di plat lesennya menerusi foto ini tidak terpakai di negara kita).

    Apa yang menariknya, eVT5 yang dipamerkan ini adalah versi pemanduan sebelah kanan (RHD) dan dijangkakan SUV elektrik ini juga dalam senarai model Jetour yang akan dibawa masuk ke pasaran Malaysia. Setakat ini, SUV VT9 yang turut dipamerkan di lokasi sama dan juga T2 sudah sah akan dilancarkan di pasaran kita tidak lama lagi.

    Menurut Jetour, untuk pasaran globalnya, setakat ini hanya tiga negara yang memerlukan versi RHD iaitu Malaysia, Indonesia dan Afrika Selatan. Untuk pasaran Malaysia, sebelum ini Jetour sudah mengumumkan bahawa semua modelnya akan dipasang secara tempatan (CKD) seperti mana SUV Dashing yang telah dilancarkan di sini pada 9 April lalu.

    Untuk pasaran global, selain versi elektrik, ia juga ditawarkan dengan unit enjin pembakaran dalaman (ICE) dengan pilihan enjin 1.5 liter berkuasa 116 hp dan 1.5 liter turbo bersama hamburan kuasa 156 hp dan tork 230 Nm. Kedua-dua pilihan enjin ICE itu dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan.

    SUV crossover segmen-B versi ICE yang diperkenalkan pada tahun 2024 di China ini mempunyai dimensi bersaiz 4,397 mm panjang, 1,841 mm lebar, 1,654 mm tinggi dengan jarak roda 2,601 mm. Berbeza dengan versi EV, ia berukuran 4,100 mm panjang, 1,831 mm lebar, 1,653 mm tinggi, lebih kurang sama dengan saiz BYD Dolphin.

    Bagi versi elektrik tulen, ia dilengkapi dengan elektrik yang dipasang di hadapan dengan kuasa 164 hp dan tork 280 Nm, dan dijana oleh bateri lithium-ion berkapasiti 53.6kWh. Buat masa ini, tiada perincian mengenai mekanikalnya namun didakwa bateri tersebut mampu memberikannya jarak gerak hingga 410 km.

    Jetour eVT5 versi RHD ditunjuk khas kepada media global di Shanghai – SUV EV ini bakal dijual di M’sia?

    Melihat di hadapan mata, eVT5 yang dipamerkan ini menampilkan lampu hadapan dan lampu belakang dari unit LED sepenuhnya, roda dua-tona bersaiz 17-inci, bumbung suria saiz standard, tempat duduk balutan kulit larasan elektronik, skrin paparan 10.25-inci, panel pengecasan tanpa wayar, corong pendingin hawa untuk tempat duduk belakang dan kamera panorama 360-darjah.

    Buat masa ini, Jetour belum bersedia mendedahkan perincian penuh bagi setiap versi SUV ini sama ada bagi unit ICE mahupun elektrik tulen. Kena nantikan Jetour bersedia mendedahkan sepenuhnya spesifikasi penuh bagi model SUV crossover ini.

     
     
  • Toyota GR Supra Track Edition tiba di Malaysia – brek, suspensi dinaik taraf, 6MT atau 8AT, harga RM698k

    Toyota GR Supra Track Edition tiba di Malaysia – brek, suspensi dinaik taraf, 6MT atau 8AT, harga RM698k

    UMW Toyota Motor mengumumkan, GR Supra Track Edition kini sudah tiba di Malaysia, dengan dijual pada harga RM698,000 tidak termasuk insurans. Ia ditawarkan dengan pilihan transmisi manual enam kelajuan atau automatik lapan kelajuan.

    Melalui versi Track Edition, kereta sports ini menerima penambah baikan di bahagian casis, perisian dan juga kit badan, tetapi enjinnya masih lagi sama seperti Supra A90 biasa, iaitu unit petrol enam silinder 3.0 liter turbo berkuasa 388 PS dari 5,800 ke 6,500 rpm dan tork 500 Nm dari 1,800 ke 5,000 rpm. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 4.1 saat untuk model manual dan 4.3 saat untuk automatik.

    Bahagian suspensi ditambah baik dengan penggunaan unit adaptif AVS, demi memberikan lebih cengkaman, manakala sistem stereng kuasa elektrik dan limited slip differential ditala semula untuk memberikan maklum balas yang lebih tepat serta stabiliti lebih baik apabila melalui selekoh dalam kelajuan tinggi.

    Membantu ciri aerodinamik model Track Edition ini adalah penambahan beberapa panel termasuk berhampiran roda hadapan dan bampar, sementara di bahagian belakang ia mendapat spoiler rendah yang diperbuat daripada gentian karbon.

    Untuk bahagian brek, cakera hadapan dijadikan 26 mm lebih besar, secara penuh berdiameter 374 mm dan dipadankan bersama angkup Brembo empat piston berwarna merah dengan logo GR. Menjadikan casis lebih tegap adalah stabiliser bar serta getah yang lebih keras, manakala control arm (juga diperkuat) disediakan dengan pelarasan camber negatif yang lebih.

    Rim masih menggunakan unit 19 inci sama seperti Supra 3.0 liter biasa, dan dibalut dengan tayar Michelin Pilot Super Sport bersaiz 255/35R19 di hadapan dan 275/35R19 di belakang.

    Toyota GR Supra Track Edition tiba di Malaysia – brek, suspensi dinaik taraf, 6MT atau 8AT, harga RM698k

    Pada bahagian dalam, Supra Track Edition mendapat tempat duduk yang dibalut padanan kulit dan Alcantara, bersama kontras warna merah pada bahagian seperti tali pinggang keledar, jahitan serta bahagian atas tombol gear unit manual.

    Supra Track Edition ini dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu yang termasuk Pre-collision Warning, Lane Departure Warning dengan bantuan stereng, Adaptive Cruise Control (cruise control manual pada 6MT), Blind Spot Monitoring, pemerhati tekanan angin tayar, pengesan jarak dan Autonomous Emergency Braking dengan Rear Cross Traffic Alert

    Untuk warna, enam pilihan disediakan bagi Toyota GR Supra Track Edition 2025 ini, dan setiap pembelian didatangkan dengan jaminan lima tahun tanpa had batuan.

     
     
  • Mazda EZ-60 tampil sulung di Shanghai — SUV dari Changan janaan EV dan PHEV, eksport sebagai CX-6e

    Mazda EZ-60 tampil sulung di Shanghai — SUV dari Changan janaan EV dan PHEV, eksport sebagai CX-6e

    Pertama kali muncul di Auto China Beijing 2024 sebagai rekaan konsep Arata, Mazda EZ-60 kini hadir dalam bentuk yang mula diproduksi sejak awal bulan ini, dan telah membuat penampilan di Auto Shanghai 2025.

    Mempunyai ukuran 4,850 mm panjang, 1,935 mm lebar dan 1,620 mm tinggi dengan jarak roda 2,902 mm, EZ-60 (atau untuk pasaran eksport akan dikenali sebagai CX-6e) adalah sama kategori saiz seperti Deepal S07, Tesla Model Y dan Xpeng G6. Akan ada versi elektrik dengan jarak perjalanan 600 km (CLTC), dan juga versi plug-in hybrid (PHEV) dengan lebih 1,000 km jarak (CLTC).

    Model ini antara lain menampilkan rim aloi 21-inci dengan tayar 255/40, cermin sisi kamera, pacuan roda belakang, agihan berat 50:50 (untuk PHEV; EV dengan 47:53), suspensi MacPherson strut di depan dan multi-link di belakang, serta penyerap hentak kawalan elektronik.

    Di dalam, sebuah skrin paparan gergasi bersaiz 26.45-inci 5k bersepadu tersedia. Menurut Mazda, ada juga head-up display 3D, ciri pengecaman suara dan pergerakan pintar, parkir pintar kawalan suara dari luar serta 23-pembesar suara termasuk di bahagian perehat kepala.

    EZ-60 sebelum ini dilaporkan akan mempunyai kerusi rebahan rata dengan satu sentuhan di depan, but berkapasiti 350 liter (dengan kerusi dilipat, 2,036 liter), frunk 126 liter, sembilan beg udara dan ADAS Tahap 2 yang disokong oleh lima kamera, lima radar milimeter-gelombang dan 12 sensor ultrasonic.

    Model ini dijangka dilancarkan di China pada Ogos nanti, dengan pengumuman spesifikasi yang lebih lengkap. Akan tiba ke Malaysia juga?

     
     
  • Nissan Frontier Pro diperkenal di Shanghai – trak pikap PHEV dengan enjin 1.5T, kuasa 408 PS, 800 Nm

    Nissan Frontier Pro diperkenal di Shanghai – trak pikap PHEV dengan enjin 1.5T, kuasa 408 PS, 800 Nm

    Apa yang anda lihat dalam gambar ini adalah Nissan Frontier Pro, satu produk hasil kerjasama Zhengzhou-Nissan yang akan dijual hujung tahun ini di China, diikuti pasaran lain yang akan diberitahu kemudian. Ia bukan sahaja plug-in hybrid (PHEV) Nissan, tetapi juga adalah trak pikap hibrid pertama jenama Jepun itu.

    Nissan memanggil penggayaan trak ini sebagai “Rugged Tech”, dengan pereka dari Shanghai yang membangunkannya dikatakan mendapat inspirasi daripada trak Nissan D21 Hardbody tahun 80-an yang mempunyai tiga lubang angin di di hadapan bonetnya, dan digambarkan semula pada trak baru ini dengan lampu DRL.

    Perincian lain yang boleh dilihat adalah seperti logo Nissan yang menyala, jalur lampu melintang di belakang yang menyambungkan lampu kiri dan kanan, rim 18 inci dibalut tayar 265/65, suspensi belakang jenis five-link serta sistem AWD pintar.

    Penggerak PHEV pada trak ini terdiri daripada enjin empat silinder 1.5 liter turbo bersama motor elektrik yang disambungkan kepada transmisi. Secara keseluruhannya ia mampu menghasilkan kuasa lebih 408 PS dan tork 800 Nm, sementara jarak gerak elektrik pula disasarkan sekitar 135 km mengikut standard NEDC. Turut disediakan adalah pengunci differential belakang elektromekanikal serta empat mod pemanduan.

    Kabinnya nampak ringkas, dengan terdapat panel instrumen digital 10 inci di belakang stereng, skrin sesentuh 14.6 inci di tengah serta butang kawalan di stereng. Tombol gear dan pemilih mod berada di bahagian bawah konsol tengah, sementara kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk bumbung panoramik, penutup bahagian barangan elektrik serta tempat duduk hadapan dengan fungsi pemanas, liang udara dan mengurut.

    GALERI: Nissan Frontier Pro di Shanghai Motor Show 2025

    GALERI: Gambar rasmi Nissan Frontier Pro

     
     
  • Rapid KL On-Demand beroperasi di 7 zon bagi stesen KTM Komuter, KLIA Transit terpilih mulai 30 April 2025

    Rapid KL On-Demand beroperasi di 7 zon bagi stesen KTM Komuter, KLIA Transit terpilih mulai 30 April 2025

    Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) selaku pengendali perkhidmatan bas Rapid KL, bas perantara MRT/LRT dan Rapid KL On-Demand telah mengumumkan akan menyokong kesalinghubungan dengan perkhidmatan KTM Komuter dan KLIA Transit bermula 30 April 2025.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, terdapat tujuh zon yang akan bermula operasi pada tarikh berkenaan iaitu KTM Kajang-Jalan Reko, KTM UKM-UKM, Bandar Tasik Kesuma-Bandar Rinching, KTM Bangi-Bandar Bukit Mahkota, yang masing-masing menyediakan tiga buah van dan pengguna boleh menempah tempat duduk menerusi aplikasi Mobi.

    Zon lain yang turut terlibat ialah MRT 16 Sierra-Taman D’Alpinia dan LRT Putra Heights-Rimbayu/Bandar Saujana Putra, yang masing-masing menyediakan dua buah van, serta empat buah van untuk Stesen Salak Tinggi KLIA Transit-Kota Warisan. Untuk zon ini, para penumpang boleh menempah tempat duduk menerusi aplikasi Kummute.

    Rapid Bus berkata, zon baharu ini merupakan kesalinghubungan pertama yang memberikan manfaat kepada para pengguna KTM Komuter dan KLIA Transit khususnya dari sekitar Kajang, Bangi dan Salak Tinggi untuk menyambung perjalanan mereka ke destinasi seterusnya.

    Rapid KL On-Demand beroperasi di 7 zon bagi stesen KTM Komuter, KLIA Transit terpilih mulai 30 April 2025

    “Kali ini sambungan perjalanan bagi perkhidmatan Rapid KL ON-Demand yang bakal dilancarkan Rabu ini (30 April) akan memberikan kemudahan kepada para pengguna yang menggunakan perkhidmatan awam selain dari rangkaian perkhidmatan bas dan tren dari Rapid KL. Ini adalah satu inisiatif bagi memberikan pengalaman penumpang dari segi perancangan perjalanan serta capaian batuan pertama dan akhir yang lebih efisien,” kata Pemangku CEO Rapid Bus, Ku Jamil Zakaria.

    Sehingga bulan Mac 2025, perkhidmatan ini telah beroperasi di 37 buah zon sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang untuk memberikan capaian perkhidmatan kepada para pengguna dan dan memberi manfaat kepada penduduk di kawasan sekitar, terutama sekali di perumahan yang tiada capaian perkhidmatan bas. Sehingga 17 April 2025, purata jumlah penumpang harian tertinggi telah mencecah 7,442 orang

    Menawarkan jaminan tempat duduk yang boleh ditempah setiap hari dari jam 6 pagi sehingga 11.30 malam, dengan tambang promosi RM1.00 untuk setiap perjalanan. Pengguna boleh membuat pembayaran menggunakan Kad Touch ‘n Go, kad debit atau kredit, kad Konsesi MyRapid, pas Perjalanan OKU Smile dan pas Perjalanan Tanpa Had (My50, MyCity & Pas Famili).

     
     
  • Zeekr 009 Collector’s Edition di Shanghai — MPV EV mewah empat-tempat duduk dengan saduran emas

    Zeekr 009 Collector’s Edition di Shanghai — MPV EV mewah empat-tempat duduk dengan saduran emas

    Antara model yang turut membuat penampilan sulung di Auto Shanghai 2025 ialah Zeekr 009 Collector’s Edition, yang merupakan versi lebih mewah bagi MPV bateri-elektrik yang turut ada dijual di Malaysia ini.

    Menggunakan model asas Zeekr 009 Grand dan menampilkan empat-tempat duduk (penumpang belakang boleh menikmati ruang luas yang tersedia), paling membezakan versi 009 Grand Collector’s Edition ini adalah penggunaan kemasan dan perincian saduran emas 24-karat — di bahagian seperti lencana jenamanya, dengan keseluruhannya melibatkan penggunaan tiga gram emas. Ini kemudiannya diserikan dengan kemasan yang dicat watna sama — bahagian garis bahu, bampar depan dan belakang, skirting sisi, tiang C dan kemasan rim.

    Zeekr 009 Collector’s Edition di Shanghai — MPV EV mewah empat-tempat duduk dengan saduran emas

    Bahagian dalam juga menerima kemasan warna emas yang sama menggantikan bahagian krom yang ada pada 009 Grand: tali keledar, monogram Zeekr di kedua-dua sisi TV 43-inci yang ada, serta karpet pula diperbuat daripada bahan wool dari alpaka Andean.

    Turut tersedia ialah tablet lapan-inci di belakang, meja boleh lipat kemasan kulit, suis kristal, peti sejuk 18-liter, cermin pandang belakang dan sisi elektrokromic, 31-pembesar suara, sistem audio Yamaha 3,000 watt dan mod privasi dengan sekali sentuh untuk gelapkan kaca belakang dan menaikkan pembahagi antara ruang penumpang depan dan belakang.

    Zeekr 009 Collector’s Edition di Shanghai — MPV EV mewah empat-tempat duduk dengan saduran emas

    Dari segi janaan kuasa, 009 Grand Collector’s Edition menggunakan sistem yang sama dengan 009 Grand: pacuan semua roda dengan dua motor dengan janaan 789 PS dan 810 Nm, memecut 0-100 km/j dalam masa 3.9 saat dan mencapai laju maksimum 230 km/j.

    MPV mewah ini menggunakan bateri 108 kWh yang menyediakan jarak 702 km (CLTC, atau sekitar 500 km WLTP). Model dengan bateri 116 kWh bagi 009 Grand di Malaysia memberikan 582 km WLTP.

    Untuk pengecasan, 009 Grand menyokong pengecasan 5C (untuk pelbagai kapasiti bateri). Ini bermakna, kapasiti pengecasan pantas DC-nya melebihi 500 kW. Di China, Zeekr 009 Grand Collector’s Edition ini dijual dengan harga 899,000 yuan (RM539,459).

     
     
  • Mitsubishi Motors buka cawangan pusat 3S ke-19 di Lembah Klang – Kajang sebagai lokasi terbaharu

    Mitsubishi Motors buka cawangan pusat 3S ke-19 di Lembah Klang – Kajang sebagai lokasi terbaharu

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah melancarkan pusat 3S baharunya yang berlokasi di Kajang, Selangor. Merupakan pusat 3S ke-19 di Lembah Klang, dan ia dikendalikan oleh wakil pengedar sahnya, Millennium Autohaus Sdn Bhd. Ini merupakan cawangan kedua yang dikendalikan oleh Millennium Autohaus selepas pelancaran pusat 3S kendaliannya di Kota Damansara pada September 2021.

    “Kami berbesar hati untuk mengukuhkan perkongsian kami dengan Millennium Autohaus melalui pembukaan cawangan baharu Mitsubishi Motors ini di Kajang. Pelancaran bilik pameran ini mencerminkan komitmen bersama kami untuk menyediakan perkhidmatan pelanggan yang luar biasa dan mengembangkan perkhidmatan Mitsubishi merentasi Lembah Klang,” kata Shinya Ikeda, CEO Mitsubishi Motors Malaysia.

    Terletak di Lot 1872A, Jalan Semenyih, Kajang, pusat 3S ini memiliki fasiliti berkeluasan 9,600 kaki persegi yang menyediakan perkhidmatan jualan termasuk mempamerkan barisan model semasa Mitsubishi iaitu trak pikap Triton dan Xpander serta turut memberikan perkhidmatan selepas jualan bagi meningkatkan pengalaman pemilikan para pelanggan.

     
     
  • Tren ETS generasi ketiga bakal beroperasi Ogos ini

    Tren ETS generasi ketiga bakal beroperasi Ogos ini

    Dua set pertama bagi generasi ketiga Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS3) telah pun tiba di Malaysia dan sudah selesai proses pemasangan, menurut laporan Bernama.

    Tren ETS3 baharu jenis Electric Multiple Unit (EMU) ini dijangka akan digunakan bagi laluan selatan iaitu ke Johor Baharu Sentral, kini sedang menjalani ujian teknikal, dan sekiranya semuanya berjalan lancar, ia akan mula beroperasi pada Ogos ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

    “Selain dua set pertama ini, ada baki lapan set tren yang sedang dipasang secara berperingkat di kilang pemasangan China Railway Rolling Stock Corporation (CRRC) di Batu Gajah, Perak.

    “Kesemua 10 set ini dijangka akan siap dan beroperasi sepenuhnya menjelang awal tahun hadapan,” katanya sambil menambah lebih 85% daripada tenaga kerja di kilang pemasangan CRRC itu adalah warga Malaysia, sekaligus mencerminkan potensi besar dalam pemindahan pengetahuan dan kepakaran kepada bakat tempatan.

    “Komposisi tenaga kerja yang tinggi ini bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan industri rel negara, tetapi juga meletakkan Malaysia di landasan kukuh untuk menjadi hab kejuruteraan rel serantau pada masa hadapan,” katanya.

    Buat masa ini, ETS menggunakan set kereta api Kelas 91 (gen pertama, Hyundai Rotem-Mitsubishi Electric) dan Kelas 93 (gen kedua, CRRC Zhuzhou). Dan menurut Railway Gazette International, kereta api generasi ketiga akan diberi digelar Kelas 94.

     
     
  • Jetour VT9 bakal dilancarkan di M’sia tidak lama lagi – SUV 7-tempat duduk, 1.5T, DCT 6-kelajuan, 2 varian?

    Jetour VT9 bakal dilancarkan di M’sia tidak lama lagi – SUV 7-tempat duduk, 1.5T, DCT 6-kelajuan, 2 varian?

    Jetour Malaysia telah mengesahkan bakal melancarkan satu lagi modelnya untuk pasaran tempatan, iaitu Jetour VT9 tidak lama lagi. SUV tujuh-tempat duduk segmen-D ini dijangka mampu memberikan pesaingan sengit buat Proton X90 dan Chery Tiggo 8 Pro di pasaran tempatan.

    Pernah dipertontonkan di Malaysia Autoshow 2024, VT9 ini bersaiz 4,724 mm panjang, 1,900 mm lebar dan 1,720 mm tinggi, dengan jarak roda 2,720 mm dan jarak ground clearance cecah 144 mm. Ia diberikan enjin yang sama dengan Chery Omoda 5 iaitu 1.5 liter pengecas turbo empat-silinder dengan kuasa 156 PS dan tork 230 Nm dan digandingkan bersama transmisi automatik klac berkembar enam-kelajuan.

    Jetour VT9 yang dipertontonkan di persidangan Jetour Together For Future di Hilton Shanghai baru-baru ini

    Versi pemanduan sebelah kanan VT9 ini juga dipamerkan secara eksklusif dalam persidangan global Jetour Together For Future di Hilton Shanghai baru-baru ini, ditampilkan dengan kemasan krom sepenuhnya pada bahagian keliling tingkap, lampu belakang lebar sepenuhnya, dua pasang paip ekzos berkembar (palsu), sedikit kemadan merah pada bahagian luaran, rel bumbung, dan aloi dua-tona 19-inci. Untuk dalamnya, ia diberikan panel widescreen berkembar 10.25-inci, tempat duduk pemandu larasan kuasa enam-cara, Apple CarPlay/Android Auto, pengecas tanpa wayar 50-wat, empat pembesar suara, kamera 360-darjah dan juga tailgate elektronik.

    Buat masa sekarang ini, belum dipastikan perincian yang bakal diberikan untuk model pasaran Malaysia. Adakah kita juga bakal menerima dua varian iaitu Prime dan Signature, dengan model spesifikasi penuh menerima ciri tambahan termasuk bumbung suria panorami, tempat duduk pemandu dengan fungsi memori, enam beg udara, pemantauan titik buta, bantuan kekal lorong, kepekaan trafik lintasan belakang dan amaran membuka pintu, sementara Prime menerima empat beg udara dan AEB.

    Harga yang bakal ditawarkan untuk pasaran Malaysia juga masih tersimpul rahsia, kena nantikan pelancarannya tidak lama lagi, kebarangkalian berlangsung di Malaysia Autoshow 2025 yang akan dianjurkan pada awal bulan hadapan. Seperti SUV Jetour Dashing yang dilancarkan di sini pada 9 April lalu, Jetour telah mengesahkan kesemua modelnya yang ditawarkan di Malaysia akan diproduksi secara tempatan (CKD), ini termasuk juga dengan SUV off-road Jetour T2 yang juga akan dilancarkan di pasaran kita tidak lama lagi.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.11 (+0.03)
Last Updated Jul 17, 2025