Search in Bahasa Malaysia:

Honda HR-V Facelift 2025 - Apa yang baru selepas tiga tahun?



Artikel Terkini

  • Pandu perlahan di lorong kanan satu kesalahan, saman sehingga RM2k – pengarah JSPT Bukit Aman

    Pandu perlahan di lorong kanan satu kesalahan, saman sehingga RM2k – pengarah JSPT Bukit Aman

    Kejadian ini memang biasa berlaku atas jalan di Malaysia, terutamanya di lebuh raya. Sedang kita berada di lorong kanan pada kelajuan sepatutnya, tiba-tiba di hadapan ada kereta yang lebih perlahan mengganggu. Meskipun sudah diberi amaran dengan mengangkat lampu tinggi atau menggunakan penunjuk arah, mereka masih kekal di lorong kanan sedangkan lorong di sebelah kiri kosong.

    Inilah yang dipanggil sebagai ‘lane hogging’. Ia bukan setakat boleh menjadi penyebab rantaian kesesakan, tetapi juga boleh membawa kepada kemalangan kerana pemandu lain perlu memotong mereka menggunakan lorong di sebelah kiri. Antara puncanya adalah tidak peka ketika memandu, atau kurang tumpuan kerana perbuatan lain seperti menggunakan telefon bimbit.

    Ramai yang masih ingat, mereka layak untuk berada di lorong kanan selagi hampir dengan kelajuan maksimum, tetapi tahukah juga anda boleh dikenakan saman jika memandu santai atau menghalang kenderaan lain apabila berada di lorong kanan.

    Dalam satu temu ramah dengan Buletin Utama TV3, Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri memberitahu bahawa ini adalah satu peri laku yang tidak bertanggung jawab dan boleh dikenakan saman antara RM300 hingga RM2,000.

    “Jika pemandu mahu mengurangkan kelajuan, mereka hendaklah mengubah laluan ke lorong kiri untuk memberi laluan kepada pengguna lain untuk meneruskan perjalanan dengan lancar dan mengikut kelajuan yang ditetapkan,” kata beliau.

    Jadi selepas ini, amalkan disiplin dan timbang rasa apabila berada di atas jalan raya. Gunakan lorong kiri apabila bergerak dalam kelajuan biasa dan masuk ke kanan hanya apabila mahu memotong. Ia bukan sahaja boleh menjadikan jalan raya lebih lancar, tetapi juga lebih selamat untuk anda dan juga orang lain.

     
     
  • Proton eMas 7 akan dilancarkan di Nepal bulan depan – dilapor akan dijual dari RM190k hingga RM222k

    Proton eMas 7 akan dilancarkan di Nepal bulan depan – dilapor akan dijual dari RM190k hingga RM222k

    Proton Cars Nepal telah mengesahkan bahawa model EV pertama jenama automotif Malaysia itu, Proton eMas 7 akan dilancarkan pada pasaran berkenaan tidak lama lagi. Pengumuman itu dibuat menerusi hantaran laman Facebook wakil Proton di Nepal berkenaan namun ia tidak memperincikan dengan lebih lanjut berkenaan tarikh pelancaran rasmi dan juga spesifikasi yang bakal ditawarkan.

    Menerusi laporan media tempatan TechLekh, Proton eMas 7 akan dilancarkan di Nepal pada minggu ketiga bulan Mac, dan bakal ditawarkan dalam dua varian iaitu Light dan Max. Dengan duti kenderaan import yang boleh melebihi 200% di sana, EV ini akan dijual pada harga bermula NPR58.9 lakh (RM189,500) untuk varian Light sehingga NPR68.9 lakh (RM221,600) untuk varian Max.

    Laporan itu juga menyebut bahawa kedua-dua varian eMas 7 pasaran Nepal ini akan menerima motor elektrik tunggal berkuasa 218 PS/320 Nm, dengan varian Light diberikan bateri 49.52 kWj bagi memberikan jarak gerak sejauh 345 km (WLTP), manakala varian Max pula diberikan bateri 60.22 kWj untuk jarak gerak 410 kWj (WLTP).

    Perincian lain yang turut disahkan termasuk skrin sesentuh utama bersaiz 15.4-inci dan paparan instrumen dengan skrin 10.2-inci. Melihat kepada spesifikasi tersebut, kedua-dua varian tersebut berkemungkinan besar adalah menyamai penawaran varian Prime dan Premium bagi eMas 7 pasaran Malaysia.

    Selain eMas 7 ini, Proton Nepal yang diwakili oleh Jagdamba Motors kini sudah pun menjual beberapa model Proton lain termasuk Saga, X50 dan juga X70.

    GALERI: Proton eMas 7 Premium 2025 pasaran Malaysia

    GALERI: Proton eMas 7 Prime 2025 pasaran Malaysia

     
     
  • Jaecoo J7 PHEV dilancar bulan ini — 4.9 l/100 km, 88 km EV, 1,200 km jarak total; anggaran harga RM170k

    Jaecoo J7 PHEV dilancar bulan ini — 4.9 l/100 km, 88 km EV, 1,200 km jarak total; anggaran harga RM170k

    Selepas lapan bulan sejak dipertontonkan di Malaysia, Jaecoo J7 PHEV akhirnya akan dilancarkan secara rasmi di Malaysia bulan ini. Dalam satu hantaran terbaru di laman Facebook Jaecoo Malaysia, satu iklan teaser terbaru telah dimuatkan untuk mengesahkan perkara ini.

    Gambar berkenaan diambil ketika satu sesi pandu uji kecekapan bahan api yang diadakan bulan lalu, melibatkan beberapa media permotoran dari Malaysia dan Singapura yang telah menempuh jarak 1,066 km perjalanan dari Singapura ke Hat Yai. Dalam perjalanan tersebut, kereta yang dinaiki wakil dari paultan.org berjaya mencatatkan bacaan 3.8 liter per 100 km dengan masih berbaki 190 km menurut komputer kereta tersebut.

    J7 PHEV akan dilancarkan dalam versi pacuan roda depan dahulu, yang akan dipasang di sini dengan harga anggaran RM170,000 — berdasarkan pengalaman sebelum ini, harga model Jaecoo ini mungkin akan dijual dengan harga lebih rendah ketika pelancarannya nanti. Ini merupakan model plug-in hybrid bagi model J7, dengan melibatkan sedikit perbezaan penampilan untuk membezakan antara keduanya, seperti roda aero baru bagi model PHEV ini.

    Jaecoo J7 PHEV dilancar bulan ini — 4.9 l/100 km, 88 km EV, 1,200 km jarak total; anggaran harga RM170k

    Jaecoo J7 PHEV digerakkan oleh enjin petrol 1.5 TGDi (dan bukannya unit 1.6 liter turbocas empat-silinder/transmisi automatik klac berkembar tujuh-kelajuan bagi model petrolnya) yang dipadankan bersama transmisi hibrid DHT dan motor elektrik pada gandar roda hadapan.

    Tetapan ini menghasilkan output kuasa keseluruhan sebanyak 347 PS dan tork maksimum 525 Nm. Ini enjin yang sama digunakan oleh model bersaudaranya Chery Omoda 5 — untuk versi hibrid ini, unit enjinnya menghasilkan 143 PS dan 215 Nm tork (54 PS dan 75 Nm kurang kuasa berbanding J7 petrol). Janaan kuasanya juga dibantu oleh sebuah motor elektrik yang menghasilkan 204 PS dan 310 Nm.

    Bagi model 2WD, ia menggunakan bateri berkapasiti 18.3 kWh (dari BYD). Untuk pengecasan pula, yang dikongsikan ketika ini ialah untuk pengecasan pantas DC, ia mampu menampung sehingga 40 kW, sementara untuk pengecasan AC dengan 6.6 kW. Fungsi V2L pula menyediakan kapasiti 3.3 kW.

    Model J7 PHEV ini didakwa dapat memberi jarak perjalanan elektrik sepenuhnya sehingga 88 km kitaran WLTP, sementara dengan fungsi hibrid penuh, ia boleh memberi catatan penggunaan bahan api serendah 5.99 l/100 km. Dari segi prestasi, ia mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.5 saat. Menurut Jaecoo, dengan bateri penuh dan tangki bahan api 60 liter, J7 PHEV boleh bergerak sehingga 1,200 km.

    Untuk pemanduan, ia datang juga datang dengan tiga mod: Economy, Standard dan Sport. Untuk ruang barangan pula, minimum ia boleh memuatkan 500 liter kapasiti barangan, dan jika direbahkan kerusi barisan kedua, ruang yang tersedia ialah 1,265 liter.

    Tinjau galeri penuh dan perincian SUV ini, di sini.

     
     
  • Kembar Proton eMas 7, Geely Galaxy E5 diproduksi sebanyak 100k unit di China hanya dalam 5 bulan

    Kembar Proton eMas 7, Geely Galaxy E5 diproduksi sebanyak 100k unit di China hanya dalam 5 bulan

    Geely mengumumkan bahawa ia telah memproduksi sejumlah 100,000 unit SUV EV Galaxy E5 di China pada 29 Januari lalu, hanya selepas lima bulan berada dalam pasaran dengan pelancaran yang dibuat pada Ogos 2024.

    Menurut laporan CarNewsChina, secara purata Geely menghantar sekitar 15,000 unit Galaxy E5 kepada pelanggan setiap bulan. Pada 2024, sebanyak 77,685 unit model ini telah terjual, di mana 40,000 unit pertama telah dihantar kepada pelanggan dalam masa 85 hari selepas pelancarannya. Selepas 100 hari angka tersebut meningkat kepada 50,000 unit, dan kemudian mencapai 60,000 unit pada hari ke-119.

    Di China Geely Galaxy E5 ditawarkan dalam lima varian dengan dua kapasiti bateri berbeza, dijual pada harga bermula 109,800 hingga 145,800 yuan (sekitar RM68k hingga RM90k). Namun kesemuanya hanya dibekalkan dengan satu motor elektrik berkuasa 218 PS dan tork 320 Nm, bagi memacu roda hadapan yang menerima kuasa dari bateri lithium logam fosfat (LFP) ‘bilah pendek’ dari Aegis, iaitu pengeluar bateri milik Geely sendiri.

    Bagi pilihan bateri kecil, ia dibekalkan dengan bateri berkapasiti 49.52-kWj bagi memberikan jarak perjalanan sejauh 440 km berdasarkan ujian CLTC. Manakala pilihan bateri lebih besar menerima bateri 60.22 kWj untuk jarak gerak CLTC sejauh 530 km. Prestasi kedua-dua versi ini adalah sama di mana ia boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 180 km/j.

    Kembar Proton eMas 7, Geely Galaxy E5 diproduksi sebanyak 100k unit di China hanya dalam 5 bulan

    Untuk mengecas pula, sistem AC biasa membolehkan bateri 49.52 kWj dipenuhkan dari 10-100% dalam masa 7.5 jam, manakalan bateri 60.22 kWj pula mengambil masa sembilan jam. Sistem pengecas pantas DC juga diberikan dengan kemampuan memenuhkan bateri dari 30-80% dalam masa 20 minit untuk semua varian.

    Galaxy E5 ini merupakan model pertama Geely yang diperkenalkan terus dalam versi pemanduan sebelah kiri (LHD) dan sebelah kanan (RHD). Ini membolehkan ia turut sudah dilancarkan di beberapa pasaran eksport seperti Thailand, Indonesia dan Hong Kong, dikenali dengan nama Geely EX5.

    Model ini juga sudah dijelmakan sebagai Proton dengan nama eMas 7 – walaupun sudah dilancarkan di Malaysia pada Disember tahun lalu, ia masih dibawa ke sini sebagai unit CBU yang diimport dari China. Dua varian ditawarkan di sini iaitu Prime dan Premium, dijual pada harga bermula RM105,800 hingga RM119,800.

    Unit rangkaian kuasa yang diberikan pada eMas 7 sama seperti yang ditawarkan pada Galaxy E5, di mana varian Prime menerima bateri 49.52 kWj dengan jarak gerak WLTP yang lebih tepat sejauh 345 km, manakala varian Premium diberikan bateri 60.22 kWj dengan jarak gerak WLTP 410 km.

    Minggu lalu Proton telah mengesahkan bahawa hampir 4,000 tempahan bagi eMas 7 ini diterima, dengan kebanyakkan pelanggan memilih varian paling mahal iaitu Premium. Proton mensasarkan untuk menghantar 1,000 unit eMas 7 kepada pelanggan menjelang akhir Februari ini.

     
     
  • Polis keluarkan 104,235 saman dalam Op Selamat CNY 2025; masih ramai pandu laju, guna lorong kecemasan

    Polis keluarkan 104,235 saman dalam Op Selamat CNY 2025; masih ramai pandu laju, guna lorong kecemasan

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah mengeluarkan sebanyak 104,235 saman dalam tempoh lima hari sepanjang pelaksanaan Op Selamat 23 sempena dengan perayaan Tahun Baharu Cina (CNY) tahun ini. Walau pun angka berkenaan dilihat ‘besar’ namun sebenarnya jumlah keseluruhan saman yang dikeluarkan menurun sebanyak 43% berbanding operasi sebelum ini.

    Menurut Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, dalam Op Selamat 21 tahun lalu menyaksikan sejumlah 183,033 saman dikeluarkan. Katanya, JSPT akan membuat kajian sama ada penurunan jumlah saman tersebut disebabkan oleh pemandu yang mematuhi peraturan jalan raya atau kempen keselamatan dan advokasi yang dilaksanakan telah mula membuahkan hasil.

    Beliau turut berkata enam kesalahan lalu lintas utama merangkumi 49,339 daripada jumlah saman yang dikeluarkan, dan memandu laju mendahului senarai dengan lebih 44,000 kes. Kesalahan lain termasuk memotong menggunakan lorong kecemasan, melanggar lampu isyarat merah dan memandu sambil menggunakan telefon bimbit. Seramai 3,609 pegawai dan anggota JSPT telah ditugaskan dalam Op Selamat ini yang bermula sejak 28 Januari lalu.

     
     
  • Toyota masih jenama automotif terlaris di dunia untuk kali ke-5 berturut-turut; jual 10.8 juta kereta pada 2024

    Toyota masih jenama automotif terlaris di dunia untuk kali ke-5 berturut-turut; jual 10.8 juta kereta pada 2024

    Toyota masih kekal sebagai jenama automotif paling laris di dunia, di mana gelaran itu dirangkul buat kali kelima berturut-turut sejak 2019. Ia dicapai dengan jualan keseluruhan berjumlah 10.8 juta kenderaan sepanjang 2024, dan sekali lagi mengalahkan Volkswagen yang masih kekal di kedudukan kedua.

    Jumlah berkenaan bukan sahaja jualan untuk jenama Toyota, malah termasuk sekali jenama lain di bawah payung gergasi automotif Jepun tersebut iaitu Lexus, Daihatsu dan Hino. Namun jika dibandingkan dengan rekod 11.2 juta unit yang dicatat pada 2023, jumlah jualan tahunan Toyota bagi 2024 ini sebenarnya turun sebanyak 3.7%.

    Penurunan berkenaan dikenalpasti berpunca dari pasaran domestik Jepun sendiri di mana Toyota berhadapan dengan isu skandal ujian keselamatan di sana, terutamanya yang membabitkan divisi kereta kompaknya iaitu Daihatsu. Bagi dua jenama utama kumpulan tersebut iaitu Toyota dan Lexus, jumlah jualan yang dicatatkan adalah 10.2 juta, jatuh 1.4% kerana jualan kenderaan yang berkurang di Jepun.

    Menurut Toyota, jualan kenderaan dengan unit rangkaian kuasa hibrid adalah mewakili 40.8% dari jumlah jualan keseluruhan, sementara kenderaan elektrik bateri (BEV) pula hanya 1.4%. Ia juga menambah permintaan untuk model-model hibrid berkenaan sangat tinggi di Amerika Syarikat, namun pada pasaran automotif terbesar dunia iaitu China, jualan segmen tersebut jatuh 6.9% kerana perang harga yang menyebabkan pemotongan harga agresif sedang berlaku di sana.

    Manakala bagi Volkswagen, jualan bagi gergasi automotif Jerman itu jatuh 2.3% tahun lalu kepada sekitar 9 juta kenderaan. Volkswagen turut berhadapan dengan krisisnya sendiri di mana ia pernah mengambil kira untuk menutup beberapa kilangnya di Jerman pada September lalu, namun langkah itu kemudiannya dibatalkan.

    Volkswagen juga turut merancang untuk membuang sebanyak 35,000 pekerjannya di Jerman menjelang 2030 bagi membantu untuk mengurangkan perbelanjaan sebanyak 1.5 bilion euro (RM7.03 bilion) setiap tahun.

     
     
  • JPJ eBid: Siri TCS dan NEF bakal dibuka bidaan

    Kenderaan yang anda tempah bakal diperoleh tidak lama lagi, pasti anda teruja tercari-cari plat nombor pendaftaran yang sesuai kan. Ini ada dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor terkini dari Terengganu, TCS, bakal dibuka bidaan mulai 9 Februari ini. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 13 Februari ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 14 Februari 2025. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Negeri Sembilan pula, NEF, bidaannya pula bakal dibuka mulai 12 Februari dan akan berakhir jam 10 malam pada 16 Februari. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 17 Februari 2025.

    Jadi, jika anda mengingini mana-mana siri yang ditawarkan ini, anda boleh membidanya menerusi JPJ eBid tanpa perlu menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa.

     
     
  • BMW M3 CS Touring 2025 diperkenal – wagon prestasi lebih berkuasa, lebih ringan, 550 PS, 0-100 km/j 3.5s!

    BMW M3 CS Touring 2025 diperkenal – wagon prestasi lebih berkuasa, lebih ringan, 550 PS, 0-100 km/j 3.5s!

    Dua tahun lalu BMW membuat kejutan dengan menghasilkan M3 pertama dalam badan wagon iaitu BMW M3 Touring G81. Dan sekarang versi lebih berkuasa wagon tersebut turut diperkenalkan – ini dia BMW M3 CS Touring 2025!

    Enjin S58 3.0 liter enam silinder turbo berkembar masih digunakan dalam perut M3 CS Touring ini, tetapi ia kini menerima talaan 550 PS pada takat 6,250 rpm dan juga tork 650 Nm pada takat 2,750 hingga 5,950 rpm, berbanding 530 PS pada M3 Touring facelift diperkenalkan pada Mei tahun lalu.

    Enjin tersebut turut dipadankan dengan sistem ekzos M baharu yang menampilkan flap yang dikawal oleh sistem elektronik, peredam bunyi belakang titanium dan juga sepasang tip ekzos berkembar dalam kemasan hitam matte.

    BMW M3 CS Touring 2025 diperkenal – wagon prestasi lebih berkuasa, lebih ringan, 550 PS, 0-100 km/j 3.5s!

    BMW masih tidak memberikan pilihan kotak gear manual untuk wagon ini, di mana kuasa hanya dialirkan menerusi transmisi lapan kelajuan automatik M Steptronic (dengan Drivelogic). Juga M3 wagon ini tidak ditawarkan dalam versi pacuan belakang sepenuhnya, dan ia secara mandatori diberikan sistem pacuan semua roda M xDrive.

    Namun unit LSD Active M Differential diberikan standard pada gandar belakang, serta pemandu boleh membuat larasan agar semua tork hanya memacu roda belakang. Gandingan unit rangkaian kuasa membolehkan M3 CS Touring ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 300 km/j.

    Dengan kuasa dan kelajuan lebih tinggi, casis M3 Touring CS ini juga menerima sentuhan unik. Pertama sekali cagak-cagak enjin pada model ini telah direka semula, diserasikan dengan spring suspensi yang lebih keras bagi menghasilkan hubungan yang sangat tegar antara unit rangkaian kuasa an struktur badan wagon ini.

    BMW M3 CS Touring 2025 diperkenal – wagon prestasi lebih berkuasa, lebih ringan, 550 PS, 0-100 km/j 3.5s!

    Sistem elektronik yang berkaitan dengan dinamik pemanduan juga menerima talaan semula dengan larasan “yang komited terhadap pemanduan litar”. Untuk itu sistem DSC, mod M Dynamic, penyerap hentak adaptif M, sistem stereng M Servotronic dan juga sistem brek berintegrasi semuanya telah diberikan talaan unik dan dioptimakan.

    Secara standard wagon ini diberikan set brek M Compound bersama angkup dalam kemasan merah atau hitam. Namun sekiranya pemilik mahukan sistem lebih baik, BMW turut menawarkan opsyen termasuk sistem brek seramik M Carbon dengan angkup berwarna merah atau emas matte, bersama tayar sport atau ultra-litar (dengan set rim berdiameter 19-inci di hadapan dan 20-inci di belakang) dan juga pendakap topang M untuk bahagian hadapan

    Wagon liar ini juga menerima kelengkapan aero yang diperbuat dari bahan gentian karbon diperkuat plastik (CFRP) yang bukan sahaja berfungsi untuk memberikan aerodinamik lebih baik, malah lebih ringan dan kuat. Kit tersebut terdiri dari splitter hadapan, pengambil udara hadapan dan juga diffuser belakang. Malah bonet depan dan juga penutup cermin sisi juga diperbuat dari bahan CFRP.

    Pengurangan berat juga dibuat pada kabin wagon ini dimana ia diberikan tempat duduk hadapan bucket M Carbon, serta komponen-komponen CFRP termasuk pedal penukar gear, perapi-perapi dalaman dan konsol tengah. Menurut BMW, M3 CS Touring ini adalah 15 kg lebih ringan berbanding M3 Competition Touring M xDrive.

    Selain itu, tempat duduk bucket karbon yang dinyatakan tadi turut dibalut dengan kulit Merino serta menampilkan lencana ‘CS’ yang bernyala. Ia juga diberikan roda stereng balutan Alcantara, lencana ‘CS’ berwarna merah pada konsol tengah, tali pinggang keledar M dan juga kemasan bendul pintu juga dengan logo CS.

    Sistem infotainmen M3 CS Touring yang menggunakan BMW Operating System 8.5 ini bukan hanya sekadar memberikan hiburan, malah ia juga dipadatkan dengan pelbagai kawalan prestasi pemanduan termasuk sistem M Drive Professional dengan M Drift Analyser dan M Laptimer.

    Pemandu juga boleh membuat larasan pada M Traction Control dengan 10-tahap yang telah disediakan, bersama M Mode dan butang ‘M1/M2’ untuk membuat tetapan sendiri berdasarkan apa yang pemandu mahukan. Kesemua fungsi ini dimuatkan pada BMW Live Cockpit Professional yang menampilkan skrin tengah 14.9-inci, paparan instrument dengan skrin 12.3-inci dan juga paparan head-up.

    BMW M3 CS Touring 2025 ini dihasilkan secara terhad untuk pasaran Eropah, Australia, Jepun, Korea Selatan dan beberapa negara lain. Penghantarannya kepada pelanggan terawal yang menempah akan bermula pada Mac 2025.

     
     
  • BMW iX facelift 2025 diperkenal – penampilan baru, bateri lebih besar, kuasa lebih tinggi, hingga 659 PS

    BMW iX facelift 2025 diperkenal – penampilan baru, bateri lebih besar, kuasa lebih tinggi, hingga 659 PS

    Selepas lebih empat tahun membuat penampilan pertama, BMW iX kini diberikan facelift, yang membawa pelbagai peningkatan. Selain penampilan baru, kenderaan Sports Activity Vehicle (SAV) elektrik ini turut menerima peningkatan pakej penggerak serta senarai kelengkapan yang ditambah.

    Bermula dengan pilihan, varian xDrive40 sebelum ini diganti dengan xDrive45 baru, sementara xDrive50 sekarang dijadikan sebagai xDrive60. Paling tinggi adalah M70 xDrive, yang menggantikan M60 sebelumnya. Varian baru ini menawarkan jarak gerak serta kuasa yang lebih baik, hasil daripada penggunaan teknologi inverter baru untuk mengoptimakan ketumpatan kuasa dan talaan semula sistem pacuan. Berikut adalah perincian bagi setiap varian baru iX facelift ini:

    BMW iX xDrive45

    • Kuasa motor elektrik hadapan: 258 PS (255 hp atau 190 kW) dan 365 Nm
    • Kuasa motor elektrik belakang: 272 PS (268 hp atau 200 kW) dan 400 Nm
    • Kuasa keseluruhan: 408 PS (402 hp atau 300 kW) dan 700 Nm
    • Pecutan 0-100 km/j: 5.1 saat
    • Laju maksimum: 200 km/j (dihadkan secara elektronik)
    • Kapasiti bateri: 94.8 kWh bersih (100.1 kWh kasar); lithium-ion
    • Jarak gerak (WLTP): 490 ke 602 km
    • Pengecasan AC: 0-100% dalam lima jam (22 kW), 0-100% dalam sembilan jam 45 minit (11 kW)
    • Pengecasan DC: 10-80% dalam 34 minit (175 kW)

    BMW iX xDrive60

    • Kuasa motor elektrik hadapan: 258 PS (255 hp atau 190 kW) dan 365 Nm
    • Kuasa motor elektrik belakang: 313 PS (308 hp atau 230 kW) dan 400 Nm
    • Kuasa keseluruhan: 544 PS (536 hp atau 400 kW) dan 765 Nm
    • Pecutan 0-100 km/j: 4.6 saat
    • Laju maksimum: 200 km/h (dihadkan secara elektronik)
    • Kapasiti bateri: 109.1 kWh bersih (113.4 kWh kasar), lithium-ion
    • Jarak gerak (WLTP): 563 ke 701 km
    • Pengecasan AC: 0-100% dalam lima jam 45 minit (22 kW), 0-100% dalam 11 jam 15 minit (11 kW)
    • Pengecasan DC: 10-80% dalam 35 minit (195 kW)

    BMW iX M70 xDrive

    • Kuasa motor elektrik hadapan: 258 PS (255 hp atau 190 kW) dan 365 Nm
    • Kuasa motor elektrik belakang: 489 PS (483 hp atau 360 kW) dan 650 Nm
    • Kuasa keseluruhan: 659 PS (650 hp atau 485 kW) dan 1,015 Nm (1,100 Nm dengan Launch Control aktif)
    • Pecutan 0-100 km/j: 3.8 atau, 3.5 atau (dengan cara one-foot rollout)
    • Laju maksimum: 250 km/h (dihadkan secara elektronik))
    • Kapasiti bateri: 108.9 kWh bersih (112.8 kWh kasar), lithium-ion
    • Jarak gerak (WLTP): 521 ke 600 km
    • Pengecasan AC: 0-100% dalam lima jam 45 minit (22 kW), 0-100% dalam 11 jam 15 minit (11 kW)
    • Pengecasan DC: 10-80% dalam 35 minit (195 kW)

    Perubahan paling ketara adalah penampilan, di mana iX facelift ini nampak lebih moden dan mengikuti model-model terkini BMW yang lain. Lampu LED adaptif hadapan barunya kini menampilkan empat jalur menegak yang bertindak sebagai DRL, sama seperti iX2 dan i4 facelift.

    Gril kidney yang besar itu masih dikekalkan, tetapi kemasannya diubah dengan kini mempunyai jalur menegak dan berbucu, seperti X3 terbaru. Tiada lubang udara pada gril ini dan ia mempunyai lapisan polyurethane tambahan yang dikatakan dapat memberi kesan membaik pulih sendiri calar halus dalam masa 24 jam.

    Sementara itu bagi varian M70 xDrive yang paling tinggi, kemasan bawah bampar belakangnya ditambah dengan elemen seperti diffuser, sementara gril hadapannya menggunakan kemasan bergaris melintang. Dua barangan ini turut termasuk dalam pakej M Sport, yang kini ditawarkan buat pertama kalinya bagi model iX. Melalui pakej ini, pemilik juga akan mendapat bampar hadapan dan belakang yang lebih agresif berserta rim M. Satu lagi pakej yang ditawarkan adalah M Sport Pro, yang memberikan lampu M Shadow Line.

    BMW iX facelift 2025 diperkenal – penampilan baru, bateri lebih besar, kuasa lebih tinggi, hingga 659 PS

    Seperti yang dijangka, BMW menyediakan pelbagai pilihan lain untuk pemilik, termasuk sembilan warna badan solid dan sembilan warna metalik, pakej kemasan Individual Exterior Line Titanium Bronze serta saiz rim antara 20 ke 23 inci.

    Di bahagian dalam, iX datang secara standard dengan pakej Atelier, yang termasuk roda stereng bentuk heksagon, tempat duduk khas dengan penyandar kepala bersepadu serta permukaan Sensatec. Pilihan lain adalah seperti Loft and Suite, pakej Clear & Bold yang memberikan kemasan kayu pada konsol tengah dan butang kawalan kaca kristal serta Pakej M Sport dengan roda stereng bulat, lapik bumbung anthracite, pedal M dan paparan khas M.

    Skrin yang digunakan masih lagi unit 12.3 inci untuk instrumen serta 14.9 inci di tengah (sesentuh). Sistem infotainmennya dikawal oleh BMW Operating System 8.5, dengan QuickSelect, BMW Intelligent Personal Assistant, BMW Maps, kemas kini perisian over-the-air (OTA), BMW ConnectedDrive, BMW ID, telematik My BMW App, eSIM bersepadu, Digital Key Plus dan sokongan Amazon Alexa.

    Live Cockpit Professional kini diberikan secara standard, datang dengan head-up display serta fungsi Augmented View, manakala ciri lain yang ditawarkan adalah termasuk bumbung panoramik Sky Lounge dan sistem bunyi Bowers & Wilkins 30 pembesar suara.

    Bagi mereka yang pentingkan praktikaliti, iX menyediakan ruang barangan 500 liter di belakang, dan boleh bertambah menjadi 1,750 liter apabila tempat duduk belakangnya dibaringkan. Semua varian iX juga mempunyai kapasiti menarik maksimum sehingga 2,500 kg.

    Untuk sistem bantuan pemandu, ia datang dengan pakej Driving Assistant Plus, yang termasuk Autonomous Emergency Braking, Lane Change and Departure Warning, Traffic Sign Recognition, Adaptive Cruise Control dengan stop and go, Steering and Lane Centring Assist serta Active Speed Limit Assist.

    BMW iX facelift 2025 diperkenal – penampilan baru, bateri lebih besar, kuasa lebih tinggi, hingga 659 PS

    Driving Assistant Professional disediakan sebagai pilihan tambahan, memberikan Evasion Assistant, Road Priority Warning, Wrong-way Warning, Active Lane Change, Threading Assist dan laju operasi lebih tinggi bagi Adaptive Cruise Control (210 km/j berbanding 180 km/j).

    Jika mahukan lebih lagi, pemilik boleh menambah Highway Assistant, yang membenarkan pemanduan autonomous Level 2+ bagi pasaran seperti Jerman, Amerika Syarikat dan Kanada. Dengan fungsi ini, pemandu boleh melepaskan tangan dari stereng (tapi perhatian masih perlu diberi sepenuhnya), dan kenderaan akan memandu sendiri pada kelajuan sehingga 130 km/j.

    Sama seperti sebelum ini, iX masih menggunakan tetapan double wishbone di hadapan dan five-link di belakang, tetapi suspensi dan kawalan casis ditala semula. Suspensi udara adaptif two-axle dan Integral Active Steering diberikan secara standard pada M70 xDrive, manakala angkup brek berwarna biru datang bersama pakej M Sport.

    GALERI: BMW iX xDrive45 2025

    GALERI: BMW iX xDrive60 2025

    GALERI: BMW iX M70 xDrive 2025

     
     
  • KTM tingkatkan langkah keselamatan di kawasan berisiko tinggi bagi cegah pencerobohan landasan

    KTM tingkatkan langkah keselamatan di kawasan berisiko tinggi bagi cegah pencerobohan landasan

    Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berkata pihaknya akan meningkatkan langkah keselamatan di kawasan berisiko tinggi dengan menempatkan lebih ramai anggota polis bantuan untuk mencegah pencerobohan landasan pada masa hadapan. Ini berlaku susulan insiden pencerobohan landasan beberapa hari lepas, di mana seorang lelaki maut dan empat lagi cedera ringan selepas mereka dirempuh kereta api KTM Komuter di KM 34.734, laluan antara Teluk Pulai dan Klang.

    Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif KTMB Mohd Zain Mat Taha berkata syarikat itu akan terus berhubung dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk memastikan pematuhan ketat terhadap peraturan keselamatan dan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang di premis operasi, laporan Bernama.

    “Ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk mengukuhkan undang-undang sedia ada dan membendung insiden pencerobohan. Keselamatan penumpang dan operasi kereta api yang lancar kekal menjadi keutamaan kami,” katanya. Tambah beliau, pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu, di mana tren KTM Komuter 2110, yang berlepas dari Stesen Jalan Kastam pada 6.39 pagi Selasa, terpaksa menghentikan operasi selama lebih sejam selepas perlanggaran tersebut.

    Seramai 200 penumpang terjejas dan terpaksa dihantar ke Stesen Klang dengan diiringi pegawai polis bantuan dan kakitangan KTMB. Mereka kemudian menaiki bas ulang-alik ke Stesen Subang Jaya untuk meneruskan perjalanan. Sebuah lokomotif sementara telah dihantar untuk menunda kereta api terbabit bagi membolehkan mayat mangsa dipindahkan, membolehkan perkhidmatan kereta api beroperasi semula seperti biasa.

    Pengendali kereta api itu memohon maaf atas kejadian itu dan menggesa orang ramai supaya peka dan sedar tentang bahaya pencerobohan di landasan kereta api.

     
     
  • Mitsubishi XForce ke pasaran Afrika Selatan sebagai Outlander Sport, ganti ASX, diimport dari Indonesia

    Mitsubishi XForce ke pasaran Afrika Selatan sebagai Outlander Sport, ganti ASX, diimport dari Indonesia

    Selepas membuat kemunculan sulung global di Indonesia pada Ogos 2023, Mitsubishi XForce kini sudah pun diperkenalkan pula di pasaran Afrika Selatan. Di sana XForce dikenali sebagai Outlander Sport, iaitu nama yang sebelum ini digunakan oleh SUV Mitsubishi ASX pada beberapa pasaran tertentu. Jadi benarlah XForce merupakan model gantian untuk ASX, kecuali untuk pasaran Eropah di mana pada benua berkenaan menerima Mitsubishi ASX generasi baharu yang merupakan model rebadge dari Renault Captur.

    Untuk Afrika Selatan, Outlander Sport ini masih diproduksi dan diimport dari kilang Mitsubishi Motors Krama Yudha Indonesia yang terletak di Bekasi, Jawa Barat. Ia ditawarkan dalam empat varian bermula dengan 1.5 GL CVT dijual pada harga R429,990 (sekitar RM101k) sehingga varian tertinggi 1.5 Exceed CVT yang berharga R499 990 (RM117k). Kesemua varian ini dijana oleh enjin 4A91 1.5L DOHC MIVEC berkuasa 105 PS dan tork maksima 141 Nm, digandingkan dengan kotak gear CVT yang hanya memacu roda hadapan.

    Walaupun hanya pacuan dua roda, Mitsubishi mendakwa bahawa Outlander Sport mempunyai kemampuan pemanduan pada laluan lasak yang baik, dengan menampilkan empat mod pemanduan iaitu Normal, Wet, Gravel dan Mud yang boleh dipilih oleh pemandu bagi disesuaikan dengan situasi pemanduan.

    Mitsubishi XForce ke pasaran Afrika Selatan sebagai Outlander Sport, ganti ASX, diimport dari Indonesia

    Kesemua mod berkenaan akan dihasilkan menerusi tetapan pada sistem Active Yaw Control (AYC) yang akan melaras agihan kuasa antara roda kiri dan kanan hadapan bagi mencapai pengendalian terbaik, traction control untuk mengawal tahap gelangsar pada roda, kawalan enjin, dan juga kawalan stereng bantuan kuasa elektrik. Walau bagaimanapun, mod ini hanya diberikan pada model varian tertinggi.

    Tetapan suspensi juga sama dengan XForce di mana Outlander Sport ini menerima sistem topang McPherson di hadapan dan Torsion Beam di belakang yang di tala untuk jalan raya ASEAN dan didakwa turut sesuai untuk digunakan di Afrika Selatan. Angka-angka kebolehan lain turut dilihat masih sama antaranya jarak kelegaan tanah 222 mm, sudut approach dan sudut departure masing-masing 21 dan 30.5 darjah serta radius pusingan minimum 5.2 meter.

    Untuk luaran Outlander Sport ini diberikan perincian seperti lampu hadapan, lampu nyalaan siang dan lampu belakang LED, pelindung-pelindung sekeliling badan, serta rekaan yang diinspirasikan dari rekaan model konsep Mitsubishi XFC yang membuat kemunculan di Vietnam pada 2022.

    Mitsubishi XForce ke pasaran Afrika Selatan sebagai Outlander Sport, ganti ASX, diimport dari Indonesia

    Manakala dalam kabin, SUV segmen-B ini menerima papan pemuka yang direka dengan elemen mendatar. Mitsubishi menyatakan bahawa rekaan ini memberikan pandangan lebih luas pada cermin hadapan, membolehkan pemandu melihat perubahan postur kenderaan ketika dipandu pada permukaan lasak.

    Paparan instrumen digital dengan skrin lapan-inci pula direka seakan bersatu dengan panel pintu menerusi kemasan fabrik melange, menghasilkan rasa yang lebih luas serta memberikan “rasa seperti duduk di ruang tamu”, dakwa Mitsubishi.

    Untuk sistem infotainmen, Xforce hadir dengan skrin sesentuh Smartphone-Link Display Audio 12.3-inci yang menyokong fungsi Apple CarPlay dan Android Auto. Skrin berkenaan memaparkan tiga bahagian berbeza bagi membolehkan pelbagai fungsi digunakan dalam satu masa.

    Skrin ini juga memberikan paparan ‘meter tiga beradik’ yang memberikan informasi termasuk altitud, sudut senget melintang dan menegak, serta kompas, diinspirasikan dari meter yang sama pada papan pemuka SUV legenda Mitsubishi iaitu Pajero.

    Model pasaran Afrika Selatan ini juga dilengkapi dengan sistem bunyi premium yang dibekalkan oleh Yamaha, yang menampilkan lapan pembesar suara yang terdiri dari dua tweeter pada tiang-A, woofer pada pintu hadapan, dan dua pembesar suara coaxial dua hala pada pintu belakang.

    Untuk keselamatan pula, Mitsubishi Outlander Sport ini datang dengan sistem pemantau titik buta dan amaran lintasan trafik belakang. Bagi dua varian paling rendah ia hanya diberikan empat beg udara, manakala dua varian lebih tinggi diberikan enam beg udara.

     
     
  • Rapid KL On-Demand – nama baharu untuk van DRT; kini di Jln Klang Lama, Bangsar, Putrajaya, Setapak

    Rapid KL On-Demand – nama baharu untuk van DRT; kini di Jln Klang Lama, Bangsar, Putrajaya, Setapak

    Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid KL) telah mengumumkan van Demand Responsive Transit (DRT) kini dikenali sebagai Rapid KL On-Demand, dan perkhidmatan ini ditambah dengan empat laluan baharu di Lembah Klang bermula 1 Februari 2025.

    Empat laluan baharu itu ialah T650B membabitkan Taman Desa-Jalan Klang Lama, T850B (LRT Bangsar-Taman Bandaraya), T512B (MRT Putrajaya Sentral-Presint 11) dan T250B (Taman Genting Setapak-Setapak). Selain itu, ia melibatkan Laluan T850B (LRT Bangsar-Taman Bandaraya) dan T512B (MRT Putrajaya Sentral-Presint 11) yang akan terhubung langsung dengan perkhidmatan rel Rapid KL

    Rapid KL mengatakan bahawa laluan Bangsar dan Putrajaya menghubungkan komuter ke stesen tren LRT dan MRT, manakala van Rapid KL On-Demand yang berkhidmat di Jalan Klang Lama dan Setapak akan menggunakan laluan bas di Jalan Klang Lama dan Jalan Genting Klang.

    “Kami masih mengekalkan perkhidmatan bas Rapid KL di kawasan-kawasan ini, dan perkhidmatan Rapid KL On-Demand yang baharu ini akan dapat menyokong capaian bas dengan hentian lebih dinamik. Purata waktu menunggu juga adalah lebih pendek… sekitar 10 minit,” kata Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Rapid Bus, Ku Jamil Zakaria.

    Sejak diperkenalkan pada Mei 2023, perkhidmatan Rapid KL On-Demand di Lembah Klang berkembang kepada sembilan laluan dengan 20 van pada Ogos 2024, dan berjaya mencatatkan purata peningkatan jumlah penumpang harian sebanyak 59 peratus, iaitu daripada 1,271 kepada 2,023 penumpang.

    Anda boleh menempah tempat duduk di dalam van ini sama ada menggunakan aplikasi Kummute (Kumpool), Trek atau Mobi bergantung pada lokasi, dari jam 6 pagi hingga 11.30 malam. Tambang yang dikenakan ialah RM1 sehala, dan juga boleh dibayar menggunakan My50/MyCity/Pas Famili, Touch n Go, kad konsesi MyRapid dan juga pas OKU Smile.

    Awal bulan ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, Prasarana bakal memperkenalkan lagi 300 unit van Rapid KL On-Demand menjelang hujung tahun ini. Ia adalah satu usaha untuk memastikan penumpang tidak perlu mengambil masa terlalu lama untuk sampai ke stesen tren, dan juga sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam. Katanya, van baharu itu akan mula beroperasi secara berperingkat antara Februari dan Jun.

     
     
  • Hot Wheels dan Ferrari kembali bekerjasama selepas 10-tahun, bakal hasilkan pelbagai koleksi baharu

    Hot Wheels dan Ferrari kembali bekerjasama selepas 10-tahun, bakal hasilkan pelbagai koleksi baharu

    Untuk peminat Hot Wheels, perasan tak kini tiada lagi mana-mana kereta sport Ferrari dihasilkan sebagai replika kereta die-cast enam-inci berkenaan? Malah dalam koleksi terbaharu F1 Hot Wheels, jentera Ferrari tidak termasuk dalam siri berkenaan. Sebabnya adalah kerana jenama kereta sport Itali itu telah menghentikan kerjasamanya dengan Mattel sejak 10-tahun lalu.

    Namun ketika berlangsungnya Nuremberg International Toy Fair 2025 semalam, Mattel telah mengumumkan kerjasama baharu antara Hot Wheels dan Ferrari, di mana ia bakal menyaksikan Hot Wheels akan hadir dengan pelbagai koleksi baharu dengan jenama Ferrari.

    Koleksi berkenaan akan menampilkan model-model klasik dan terkini Ferrari, serta bukan hanya model produksi jalan raya, malah turut akan melibatkan kereta-kereta lumba Ferrari. Ia juga bukan hanya terhad pada model-model skala 1/64 mainline, tetapi akan merangkumi banyak siri lain termasuk versi-versi edisi terhad yang boleh didapati secara pra-tempahan menerusi Mattel Creations dan juga model-model kawalan jauh (RC).

    “Ia merupakan satu projek yang dipacu keghairahan untuk pasukan Hot Wheels bagi menyampaikan visi autentik model Ferrari ikonik ini untuk dinikmati oleh pencinta kereta generasi akan datang, pada masa yang sama mencipta sesuatu yang istimewa untuk dihargai oleh pengumpul,” kata Roberto Stanichi, naib presiden eksekutif Hot Wheels dan Ketua Set Kenderaan & Bangunan di Mattel.

    “Kami tidak sabar-sabar untuk melihat reaksi dunia terhadap visi kami untuk beberapa karya seni boleh bergerak yang paling indah dalam sejarah automotif, direka oleh pasukan pakar reka bentuk kami yang boleh melakukannya dengan lebih baik daripada orang lain,” tambahnya lagi. Sejak kewujudan Hot Wheels pada 1968, ia telah berkerjasama dengan Ferrari dengan menghasilkan sebanyak 26 model, di mana sebahagiannya diburu oleh pengumpul.

    Koleksi pertama untuk koleksi Hot Wheels Ferrari ini akan dilancarkan pada musim bunga nanti. Ia kemudiannya akan disusuli dengan koleksi lain yang turut akan diperkenalkan sepanjang 2025 dan tahun-tahun seterusnya.

     
     
  • Volkswagen sekali lagi tidak akan keluarkan sebarang EV baharu dalam masa satu tahun, untuk 2025

    Volkswagen sekali lagi tidak akan keluarkan sebarang EV baharu dalam masa satu tahun, untuk 2025

    Menurut satu laporan yang dikeluarkan oleh Bloomberg, Volkswagen sekali lagi tidak akan mengeluarkan sebarang kenderaan elektrik (EV) baru dalam masa satu tahun, iaitu untuk tahun 2025, dengan produk utama ditangguhkan kerana terdapat kelewatan dalam pembangunan. Langkah ini menambahkan lagi kesuraman pengeluar Jerman itu selepas berhadapan dengan kejatuhan jualan global dan kemungkinan penutupan kilang pada tahun 2024.

    Ketiadaan EV baru tahun ini menjadi satu isu bagi Volkswagen, terutamanya selepas ia bergelut untuk berhadapan dengan pesaing seperti BYD di China, yang merupakan penyumbang utama jenama itu selain merupakan pasaran terbesar automotif dan EV di dunia.

    Penambahan paling baru untuk EV Volkswagen setakat ini adalah ID.7, yang diperkenalkan pada tahun 2023 untuk menyertai ID.3 dan ID.4. Produk seterusnya adalah versi produksi bagi model konsep ID.2all yang sepatutnya tiba pada tahun 2026, tahun sama di mana kita boleh melihat SUV baru yang dibangunkan bersama Xpeng.

    Model lain adalah termasuk SUV Scout Traveler dan trak pikap Terra, yang akan menggunakan susun atur elektrikal Rivian – Volkswagen juga mempunyai pelaburan dalam syarikat ini. Lihat lebih ke hadapan lagi, Golf elektrik generasi seterusnya hanya dijangka tiba pada tahun 2029, iaitu tiga tahun selepas ID.2all dan hampir satu dekad selepas ID.3 dan ID.4.

     
     
  • Alfa Romeo batal peralihan ke EV 100% pada 2027

    Alfa Romeo batal peralihan ke EV 100% pada 2027

    Dengan penurunan momentum jualan kenderaan elektrik penuh (EV), satu demi satu jenama automotif Eropah mula ‘melonggarkan’ halatuju elektrifikasi masing-masing. Terbaharu, jenama automotif Itali, Alfa Romeo mengumumkan bahawa ia akan membatalkan peralihan untuk menjadi jenama EV 100% menjelang 2027 dan akan terus menawarkan enjin pembakaran dalaman, lapor auto123.

    Menurut pengarah Alfa Romeo Amerika Utara Chris Feuell ketika berlangsungnya acara NADA 2025 di New Orleans baru-baru ini, jenama berkenaan akan menggunakan strategi pelbagai-tenaga selepas ini, dan model Tonale plug-in hybrid 2023 bukanlah model terakhir yang menerima enjin pembakaran dalaman seperti yang dicanangkan sebelum ini.

    Laporan ini turut menyebut bahawa Alfa Romeo tidak akan dapat bertahan sekiranya hanya bergantung pada jualan EV sepenuhnya. “Jualan jatuh 38% pada suku keempat dan 19% pada 2024, merekodkan kejatuhan untuk tahun ke-empat berturut-turut,” kata Feuell. Jaringan pengedar Alfa Romeo juga kini hanya berjumlah 110 buah berbanding 150 buah sebelum ini.

    Dengan menggunakan strategi pelbagai-tenaga, Alfa Romeo berharap agar jaringan pengedar tersebut akan bangkit semula dan memenuhi jangkaan asas pelanggan yang lebih lestari, tulis laporan tersebut lagi.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 24, 2025