Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Purata dua kematian sehari akibat kemalangan dalam perjalanan pergi-balik ke tempat kerja pada 2018

    Purata dua kematian sehari akibat kemalangan dalam perjalanan pergi-balik ke tempat kerja pada 2018

    Saban hari pasti ada saja berita mengenai kemalangan jalan raya yang dilaporkan oleh pihak media. Kita mengharapkan orang tersayang selamat tiba di destinasi, tapi bila menerima perkhabaran duka sebegini, pasti hancur hati dibuatnya. Namun, itulah ketentuan dari Yang Maha Esa.

    Menurut Kementerian Sumber Manusia, purata dua kematian sehari dicatatkan akibat kemalangan dalam perjalanan pergi-balik ke tempat kerja, iaitu dengan mencatatkan sebanyak 890 kes pada tahun lalu. Timbalan menterinya Datuk Mahfuz Omar berkata, walau bagaimana pun, ia menunjukkan penurunan berbanding tahun 2017 yang mencatatkan 924 kes kematian sama, laporan Bernama.

    “Ini bermakna setiap hari purata dua orang yang pergi kerja tidak pulang semula ke rumah akibat terlibat dalam kemalangan maut,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Geran Bantuan Kewangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada institusi dan badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) 2019 semalam.

    Bagaimanapun, kes kemalangan pergi dan balik ke tempat kerja pada tahun lepas meningkat iaitu 35,195 berbanding 33,319 pada 2017 dengan kira-kira 74% daripada kemalangan itu melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.

     
     
  • Citroën perkenalkan konsep mobiliti urban di Geneva

    Citroën perkenalkan konsep mobiliti urban di Geneva

    Citroën telah mengumumkan akan memperkenalkan konsep “mobiliti urban” di Geneva Motor Show yang bakal berlangsung bulan hadapan. Kereta tersebut disahkan oleh CEO LInda Jackson menerusi tontonan video dalam persidangan VivaTech di Paris pada 16 hingga 18 Mei, di mana syarikat berkenaan juga akan memperkenalkan satu lagi konsep berdasarkan idea bagi “keselesaan ultra”.

    Beberapa teaser kereta berkenaan juga ditunjukkan di penghujung video berkenaan, dengan mendedahkan sedikit rekaan yang radikal, seperti lampu utama dan lampu belakang berbentuk-chevron “terapung”, lebih nipis, beberapa bodywork berwarna jingga dan cermin pintu brushed metal yang besar dengan sekeping kaca yang juga besar.

    Jackson berkata syarikat ini telah bekerja keras untuk “menunjukkan inovasi terbaik dalam digital atau pengalaman pelangan menerusi ‘on board'”. Kereta ini juga lebih sempit, dipacu elektrik sepenuhnya, lebih kurang sama janaan pada Renault Twizy.

    Ketua pemasaran, komunikasi dan sukan Arnaud Benolli sebelum ini memberitahu Autocar bahawa kereta ini akan dipertontonkan sebagai model produksi mampu milik yang akan mempersembahkan semangat ikonik, dengan imej yang urban. Beliau berkata kereta ini akan menjadi “penting seperti 2CV” sempena meraikan ulang tahun ke-100 syarikat tahun ini.

     
     
  • Range Rover Sport HST didedah dengan enjin hibrid ringkas Ingenium enam silinder sebaris 400 PS/550 Nm

    Range Rover Sport HST didedah dengan enjin hibrid ringkas Ingenium enam silinder sebaris 400 PS/550 Nm

    Ini adalah Range Rover Sport HST baru, yang merupakan sebuah model edisi khas dan kenderaan produksi pertama daripada Jaguar Land Rover (JLR) yang menggunakan enjin hibrid ringkas asas daripada enjin petrol Ingenium 3.0 liter enam silinder sebaris 3.0 liter serba baru syarikat itu. Walaubagaimanapun, ini bukanlah model Land Rover pertama yang menggunakan enjin hibrid tersebut, kerana itu adalah untuk Evoque terbaru.

    Antara perkara menarik pada enjin ini adalah ia menggunakan pengecas turbo twin scroll, serta supercharger elektrik yang menggunakan sistem elektrikal 48 volt, serta mampu memberikan mampatan penuh dalam masa cuma 0.5 saat, sehingga 120,000 rpm. Perkara ini didakwa oleh JLR dapat menghilangkan sebarang kelambatan (lag).

    Aspek lain pada sistem hibrid ringkas ini adalah termasuk bateri 48 volt, sistem penjanaan semula kuasa brek dan juga motor elektrik, yang dipadankan bersama enjin 3.0 liter. Motor elektrik ini dapat memberikan bantuan tork sewaktu memecut, bermula dari awal dan turut dilengkapkan dengan sistem start-stop untuk menjimatkan penggunaan bahan api.

    Enjin enam silinder sebaris pada model ini juga datang dengan teknologi Continuous Variable Valve Lift (CVVL) dan Variable Cam Timing (VCT) untuk membantu kecekapannya. Menurut Land Rover lagi, enjin baru ini mengeluarkan kurang 12% karbon dioksida berbanding enjin petrol V6 sebelum ini, sementara penggunaan penapis dapat mengurangkan emisi sebanyak 75%.

    Bukan itu sahaja, enjin baru ini juga dapat menghasilkan sehingga 400 PS dan 550 Nm tork, yang mana adalah lebih tinggi berbanding 380 PS dan 450 Nm yang dapat dihasilkan oleh enjin V6 supercharge JLR sebelum ini. Antara catatan prestasinya adalah 0-100 km/j dalam masa 6.2 saat dan laju maksimum 225 km/j.

    Enjin ini kemudiannya dipadankan besama transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda secara standard, serta suspensi aktif dengan pelarasan spring udara, penyerap aktif serta sistem pemanduan offroad Terrain Response 2.

    Untuk membezakan versi HST ini dengan Range Rover Sport biasa, anda boleh melihat pada lencana khas, serta barangan gentian karbon pada kemasan tertentu, bonet, gril hadapan, sirip udara serta pintu but kenderaan ini. Pelanggan boleh memilih dua rekaan rim serta lima warna badan dan angkup brek berwarna sama ada merah ataupun kelabu.

     
     
  • Harga motosikal Triumph di Malaysia dikemas kini – Speed Twin 1200, Scrambler 1200 kini boleh ditempah

    Harga motosikal Triumph di Malaysia dikemas kini – Speed Twin 1200, Scrambler 1200 kini boleh ditempah

    Dalam senarai model yang ditawarkan untuk pasaran Malaysia, Triumph masih kekurangan beberapa buah model terbaru, namun ia kini sudah boleh ditempah. Pertamanya adalah untuk Speed Twin 1200, yang baru sahaja dipertonton buat kali pertama di dunia Disember lalu, dengan harga RM73,900 untuk warna Jet Black dan RM75,900 untuk padanan warna Korosi Red/Storm Grey atau Silver Ice/Storm Grey.

    Model baru seterusnya yang kini sudah mempunyai harga dan dibuka untuk tempahan di pasaran Malaysia adalah Scrambler 1200 XC dan Scrambler 1200 XE, iaitu masing-masing RM80,900 dan RM86,900. Speed Twin 1200 dan Scrambler 1200 menggunakan enjin dua silinder 1,200 cc yang sama namun ditala untuk kuasa yang berbeza iaitu 95 hp/ 112 Nm untuk Speed Twin 1200 dan 88.7 hp/ 110 Nm untuk Scrambler 1200.

    Enjin sama (dengan talaan berbeza) juga ada digunakan untuk beberapa model Triumph lain, yang mana harganya baru dikemas kini untuk pasaran Malaysia iaitu Bonneville T120 antara RM69,900 hingga RM71,900 (bergantung kepada warna) dan Boneneville Bobber pada harga RM71,900. Kedua-dua model ini sekarang didatangkan dengan ekzos Vance & Hines percuma, yang biasanya dijual pada harga RM6,500.

    Model klasik moden lain Triumph yang menggunakan enjin dua silinder 900 cc pula sekarang dijual pada harga bermula RM55,900 hingga RM56,900, iaitu untuk model Street Twin, manakala model Street Scrambler ditawarkan dalam tiga pilihan iaitu RM64,900 untuk model asas, RM65,900 untuk yang menggunakan warna metalik dan RM66,200 untuk yang menggunakan warna dua tona.

    Turut mengalami perubahan adalah model jenis kembara iaitu Tiger 800. Model asas Tiger XR sekarang dijual pada harga RM59,900, diikuti RM69,900 untuk Tiger 800 XRX dan RM73,900 untuk Tiger 800 XCX. Model Tiger ini dikuasakan oleh enjin tiga silinder selari 800 cc.

     
     
  • Pengasas buku Haynes Manual meninggal dunia

    Pengasas buku Haynes Manual meninggal dunia

    Rata-rata peminat-peminat kereta yang suka melakukan pembaikkan secara sendiri atau DIY tentu tahu akan siri buku manual Haynes Manual kan? Berita buruk, pengasasnya iaitu John Harold Haynes telahpun meninggal dunia 8 Februari lalu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Haynes Manual sendiri, John menghembuskan nafas terakhir dengan tenang dikelilingi ahli keluarganya Jumaat lalu, pada umur 80 tahun setelah jatuh sakit baru-baru ini.

    John Harold Haynes dilahirkan pada 25 Mac 1938 di Ceylon (Sri Lanka) ketika ayahnya, Harold Haynes bertugas sebagai pengurus ladang teh di sana. Beliau mula minat terhadap dunia automotif sejak dari kecil, dan sangat suka untuk bersiar-siar dengan Morris 8 milik ayahnya. Dia kemudiannya berpindah ke UK bersama abangnya David ketika berumur 12 tahun.

    Haynes kemudian memulakan projek pertamanya iaitu mengubahsuai sebuah Austin 7 menjadi model lebih sporty dan lebih ringan Austin 7 Special, dan selepas itu mendokumentasikan projek tersebut. Dokumen berkenaan dijilidkan dengan tajuk “Building A 750 Special” dan dicetak sebanyak 250 naskah, kesemuanya habis dijual dalam masa hanya 10 hari.

    Selepas habis zaman persekolahan, John memilih untuk berkhidmat dalam Tentera Udara DiRaja (RAF) sebagai melengkapkan program Khidmat Negara pada ketika itu. Dalam RAF, John mula berjumpa dengan lebih ramai kawan yang berminat dengan dunia perlumbaan, dan berjaya membina berberapa buah kereta lumba.

    Pada tahun 1965, seorang rakannya dalam RAF telah membeli sebuah Austin Healey Sprite ‘Frogeye’ dalam keadaan yang teruk dan meminta pertolongan John bagi merestorasi semula kereta tersebut. John bersetuju untuk membantu, tetapi ketika mahu memulakan projek tersebut, beliau sedar akan sesuatu – manual asli dari kilang untuk model berkenaan agak sukar untuk difahami bagi seseorang yang tidak mempunyai asas yang kuat dalam bidang automotif.

    Jadi beliau membeli sebuah kamera, dan segala langkah demi langkah untuk kerja-kerja membaikpulih Healey Sprite tersebut direkodkan, kemudian dihubungkan pada diagram asal – seperti yang anda boleh lihat pada siri-siri lain Haynes Manual. Buku Haynes Manual untuk Austin Healey Sprite itu menjadi buku pertama diterbitkan untuk siri berkenaan, dan mula dijual pada 1966.

    John mencetak sebanyak 3,000 naskah Haynes Manual pertama tersebut, dan kesemuanya habis dijual dalam masa tidak sampai tiga bulan! Sehingga kini, lebih dari 200 juta naskah Haynes Manual telah terjual di seluruh dunia. Kejayaan siri buku manual ini juga membolehkan Haynes Publishing Group PLC berkembang ke Eropah dan Amerika Utara, dan kemudian saham syarikat tersebut diapungkan di Bursa Saham London pada 1979.

    Setelah berjaya sebagai usahawan, John Haynes membuka museum automotifnya sendiri di Sparkford, Somerset. Haynes International Motor Museum tersebut juga merupakan Dana Amanah Pendidikan, yang menempatkan koleksi 30 buah keretanya, dimana keuntungannya akan digunakan untuk kerja-kerja amal dalam negara.

    Beliau terus memberikan dana sokongan dan tambahan unit-unit kereta yang dipamerkan, membolehkan ia kini mempunyai 400 buah kenderaan dengan jumlah pengunjung mencecah 125,000 orang setahun, serta berjaya dinobatkan sebagai Museum of the Year pada tahun 2014.

    John menerima anugerah OBE dari Istana UK pada 1995 atas usahanya menerbitkan siri buku manual berkenaan, dan kemudian beliau diberikan Ijazah Kehormat dari Open University. Usahanya dalam bidang penulisan pemotoran telah mendapat pengiktirafan dari The Guild of Motoring Writers pada 2014, membolehkan beliau menerima keahlian sepanjang hayat.

    John terus memegang jawatan sebagai Pengarah Pengasas dalam Haynes Publishing Group selepas melepaskan jawatan sebagai Pengerusi syarikat tersebut pada 2010. Sehingga akhir hayatnya, boleh dikatakan setiap hari beliau akan makan tengah hari di Cafe 750 yang terletak di muzium miliknya itu dan menyapa pengunjung-pengunjung muzium berkenaan.

     
     
  • Petron lancar kedai rasmi maya pertama di Shopee

    Petron lancar kedai rasmi maya pertama di Shopee

    Petron Malaysia telah mengumumkan, minyak enjin keluarannya kini boleh didapati secara atas talian melalui platform e-dagang terkemuka Shopee, yang mempunyai lebih daripada 16 juta pengguna di Malaysia. Ini menandakan pelancaran kedai rasmi atas talian yang pertama buat Petron Malaysia, selaras dengan komitmen Petron dalam meningkatkan pengalaman pelanggan dengan menyediakan akses yang lebih luas dan mudah kepada produknya.

    “Kami sentiasa berusaha untuk menggembirakan pelanggan dan meningkatkan pengalaman mereka bersama kami. Pelanggan Petron kini boleh menikmati pengalaman pembelian yang lancar – hanya semak, klik atas talian untuk membeli minyak enjin Petron, dan mendapat penghantaran produk terus kepada mereka,” kata Choong Kum Choy, Ketua Jabatan Dagangan Runcit dan Komersial Petron Malaysia.

    Minyak enjin Petron juga boleh didapati di kedai serbaneka yang terdapat di stesen minyaknya dan bengkel kenderaan yang sah.

    “Pembelian atas talian semakin berkembang di kalangan pengguna. Kini, mereka boleh menyakini keaslian minyak enjin Petron yang terdapat di kedai rasmi Petron di Shopee kerana produk-produk dihantar dari pengedar kami yang sah. Kami berharap para pelanggan dapat menikmati inisiatif baharu ini daripada kami sebagai sebahagian daripada usaha kami bagi memenuhi keperluan terkini mereka dan menawarkan layanan yang lebih baik,” tambah Choong.

    Petron lancar kedai rasmi maya pertama di Shopee

    Pelanggan boleh menemui pelbagai produk minyak enjin Petron seperti Petron Blaze Racing Fully Synthetic, Petron Blaze Racing Synthetic Blend, dan Petron Blaze Racing Premium Multi-Grade yang terdapat dalam portal membeli-belah tersebut. Kedai rasmi Petron di Shopee juga memberi pelanggan akses kepada panduan dan maklumat produk.

    Selaras dengan kempen Tahun Baharu Cina Petron dan kempen Shopee Khas Untuk Lelaki yang akan datang, Petron Malaysia menawarkan barangan premium untuk sebarang pembelian Petron Blaze Racing Engine Oil.

    Setiap pembelian minyak enjin Petron Blaze Racing 4L dilengkapi dengan hadiah istimewa. ‘Speaker bluetooth’ percuma akan diberikan buat setiap pembelian Petron 4L Blaze Racing Fully Synthetic 5W-40, manakala pembelian 4L Petron Blaze Racing Synthetic Blend 10W-40 dilengkapi dengan satu set fon telinga tanpa wayar percuma.

    Sementara itu, pelanggan yang membeli 4L Petron Blaze Racing Premium Multi-Grade atau 7L Rev-X Premium Multi-Grade 15W40 akan menerima pengecas kereta USB percuma. Promosi ini sah sehingga 28 Februari atau sementara stok masih ada. Layari kedai rasmi Petron di Shopee menerusi PAUTAN INI.

     
     
  • MIROS anggap trend pemasangan dashcam dalam kenderaan merupakan satu perkembangan positif

    MIROS anggap <em>trend</em> pemasangan <em>dashcam</em> dalam kenderaan merupakan satu perkembangan positif

    Sejak kebelakangan ini, trend pemasangan kamera di dalam kenderaan atau dashcam kian mendapat sambutan. Malah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) turut menganggap ia satu perkembangan yang positif.

    Menurut ketua pengarahnya, Dr Siti Zaharah Ishak, ini kerana dashcam mampu merekodkan pelbagai kejadian di atas jalan raya dan boleh dijadikan sebagai maklumat tambahan untuk mengenal pasti punca sesuatu kemalangan.

    “Contohnya, apabila berlakunya satu kemalangan, pada mulanya ia dikatakan terjadi kerana kecuaian pemandu. Namun selepas siasatan dibuat melalui rakaman dashcam, kita mendapati kemalangan berlaku kerana faktor lain seperti tayar meletup sehingga menyebabkan kenderaan hilang kawalan,” katanya seperti yang dilaporkan Bernama.

    Menurutnya lagi, pemasangan dashcam juga selari dengan usaha MIROS dan Kementerian Pengangkutan untuk menggalakkan masyarakat menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dalam menyalurkan maklumat termasuk berkaitan kemalangan jalan raya.

    Dalam pada itu, Siti Zaharah berkata, dashcam juga wajar dipasang pada kenderaan keselamatan seperti ambulans, kereta peronda polis dan jentera bomba kerana ia dapat membantu melancarkan operasi pasukan penyelamat dan keselamatan.

    MIROS anggap <em>trend</em> pemasangan <em>dashcam</em> dalam kenderaan merupakan satu perkembangan positif

    “Ada kalanya ambulans memerlukan ruang untuk lalu di jalan raya dengan pantas bagi menyelamatkan nyawa pesakit tetapi ia dihadang oleh kenderaan lain, melalui rakaman dashcam kita akan dapat kenal pasti pemandu-pemandu yang tidak bertoleransi itu dan seterusnya membantu pihak berkuasa mengambil tindakan,” katanya.

    Oleh itu, katanya, walaupun tidak diwajibkan namun pemilik kenderaan digalak memasang dashcam, apatah lagi pemasangan alat itu tidak melibatkan proses yang sukar dan harganya berpatutan iaitu serendah RM40 bergantung kepada spesifikasi.

    “Ia boleh dipasang dengan mudah iaitu hanya ‘plug and play’. Tidak mengganggu sistem kenderaan pun. Fungsi asasnya adalah untuk merakam dan merekod sahaja tetapi ada juga versi dashcam terkini yang mempunyai pelbagai fungsi tambahan seperti boleh merakam kemalangan yang berlaku pada waktu malam dengan jelas dan paparan yang luas. Ada juga dashcam yang mempunyai sistem amaran pelanggaran hadapan,” katanya.

    Baru-baru ini Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, walaupun menyedari akan kebaikannya, namun kerajaan belum mempunyai cadangan untuk mewajibkan pemasangan kamera itu pada setiap kenderaan di Malaysia kerana tidak mahu membebankan rakyat.

    Namun, Anthony memuji usaha pemilik kenderaan yang mengambil inisiatif sendiri memasang dashcam pada kenderaan mereka.

     
     
  • Daihatsu Copen hanya empat tahun di Indonesia

    Daihatsu Copen hanya empat tahun di Indonesia

    Model kereta “kei-roadster” Daihatsu Copen tak pernah dijual di Malaysia, tetapi ada dalam pasaran Indonesia. Sejak 2015, PT Astra Daihatsu Motor (ADM) jadi pengedar sahnya – yang turut memasarkan model paling laris jenama Jepun itu, MPV Xenia dan Sigra.

    Copen menjadi model paling kecil dan paling mahal, diimport terus dari Jepun. Di negara kelahirannnya juga, Copen bukanlah sebuah model yang senang dilihat merata. Ia “sekapal” dengan Honda S660, membikin satu kelompok kenderaan “rare” dengan dua-pintu – melawan arus dan pemahaman pasaran tentang praktikaliti dan ruang luas dan selesa.

    Tapi, kesempatan untuk menikmati kelebihan itu kini berakhir; masa Copen ditawarkan di sana sudah tamat. ADM mengesahkan syarikat itu akan berhenti membawa masuk Copen bermula tahun ini. “Sejak awal, niatnya adalah untuk menunjukkan bahawa Daihatsu mempunyai model-model menarik seperti itu. Ia bukan untuk meraih jumlah jualan tinggi. Selepas ini kami akan beri tumpuan kepada model-model semasa yang ada,” jelas Pengarah Pemasaran ADM, Amelia Tjandra kepada Kompas.

    Beliau juga memaklumkan, jumlah Copen yang ada di sana hanya dalam angka ratusan sahaja, dan syarikat itu juga tidak lagi akan melayani sebarang tempahan khas terhadap model berkenaan seperti sebelum ini. Laporan sebelum ada menyebut, pada 2015, ADM hanya menjual 14 unit Copen – empat manual dan 10 lagi CVT. Pada 2016, hanya dua unit dijual.

    TAS2019: Daihatsu Copen GR Sport Concept

     
     
  • Tun Mahathir mahu F1 kembali beraksi di SIC

    Tun Mahathir mahu F1 kembali beraksi di SIC

    Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah meluahkan hasrat untuk melihat perlumbaan berprestij dunia, Formula One (F1) kembali beraksi di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

    Dalam ucapannya selepas menerima Anugerah Pencapaian Seumur Hidup di Majlis Anugerah PETRONAS SIC Motorsports Association of Malaysia 2018 hari ini Tun Dr Mahathir mengimbau kembali detik awal dalam pembinaan litar untuk kejuaraan di Malaysia, laporan Berita Harian.

    “Saya masih ingat kunjungan ke Estoril di Portugal, kunjungan yang mempengaruhi saya untuk mempunyai satu sirkit yang lebih kurang sama seperti itu di Malaysia. Saya tak pernah terfikir ia akan membangun sebegini, saya fikir mungkin dalam 10,000 atau 20,000 pengunjung yang akan datang tetapi seperti anda tahu penerimaannya agak baik,” ujar beliau.

    Tun Mahathir mahu F1 kembali beraksi di SIC

    Tambahnya lagi, rakyat Malaysia turut memberi maklum balas bukan saja dengan menyaksikan perlumbaan F1, mereka mula berlumba sesama mereka dan sekarang kita sangat bagus dalam sukan permotoran selain menjadi jurutera di belakang pasukan.

    “Saya harap kita dapat menjana banyak perkara daripada perlumbaan di Sepang dan perbelanjaan yang dibelanjakan di trek ini berbaloi. Malah berharap perlumbaan ini akan diteruskan pada masa depan dan F1 dapat kembali dengan penuh gemilang,” sambungnya lagi yang merupakan tonggak utama SIC diwujudkan dan F1 beraksi buat kali pertamanya di litar terbabit pada tahun 1999.

    Walau bagaimana pun, dua tahun lalu, SIC tidak dapat meneruskan penganjuran F1 memandangkan ia makin kurang mendapat sambutan dan kos perbelanjaan yang tinggi.

     
     
  • Toyota 86 British Green Limited – JDM, gaya Lotus

    Toyota 86 British Green Limited – JDM, gaya Lotus

    Anda perasan tak kereta lumba Ferrari dan Alfa Romeo selalunya berwarna merah, Toyota dan Honda harus berwarna putih-merah, serta Mercedes dan Audi perlu berwarna perak? Sebenarnya pada era 1920’an dahulu, dunia perlumbaan telah bersetuju untuk memilih warna-warna rasmi ini sebagai lambang negara asal jenama-jenama berkenaan.

    Ini ada sedikit pelik, Toyota 86 edisi khas terbaharu yang hanya akan dijual pada pasaran domestik Jepun (JDM) ini mengenakan warna perlumbaan rasmi untuk Britain iaitu British Racing Green. Jadi sekali tengok, model yang digelar Toyota 86 British Green Limited ini seolah-olah ada sentuhan dari Lotus, seperti Satria Neo Lotus Edition dihasilkan Proton satu ketika dulu.

    Selain dari warna badan unik ini, ia turut menerima spoiler belakang dengan kemasan hitam pada bahagian sayap dan juga rim aloi pelbagai jejari lebih ringan kemasan warna Bronze.

    Toyota 86 British Green Limited – JDM, gaya Lotus

    Masuk ke kabin, model istimewa ini juga diberikan rupa yang lebih ‘British’ dengan upholsteri kulit dan alcantara, gabungan warna hitam dan Dark Tan, bersama serlahan jahitan berwarna oren pada bahagian tempat duduk, roda stereng, but tuil penukar gear, tuil brek tangan, kemasan panel pintu dan juga pad lutut. Konsol tengah dihitamkan, dan ia nampak lebih hardcore tanpa sebarang sistem infotaimen di papan pemuka.

    Prestasi pengendalian kereta ini turut mendapat peningkatan menerusi pemadanan penyerap hentak dan spring dari Sachs untuk setiap sudut, bersama angkup brek lebih besar dengan empat omboh di hadapan dan dua omboh di belakang dari Brembo.

    Walau bagaimanapun, unit janakuasa masih kekal standard dengan enjin NA 2.0 liter empat-silinder boxer – berkuasa 207 PS untuk versi enam-kelajuan manual, manakala versi automatik hanya menjana 200 PS – memacu hanya roda belakang. Toyota 86 British Green Limited ini dijual pada pasaran Jepun dengan harga bermual 3,251,880 yen (RM119,476).

     
     
  • Pasukan Red Bull KTM akhirnya dedah jentera 2019

    Pasukan Red Bull KTM akhirnya dedah jentera 2019

    Tahun ini pasukan Red Bull KTM mempunyai pasukan lengkap dalam MotoGP, Moto2 dan Moto3, dan semalam mereka telah mendedahkan bentuk serta penampilan jentera musim ini. Walaupun agak lambat berbanding pasukan lain, KTM berjaya meningkatkan keterujaan kerana ramai yang mengatakan jentera mereka antara yang paling menarik tahun ini.

    Dalam MotoGP, pasukan utama yang mempunyai Johann Zarco serta Pol Espargaro sebagai pelumba menggunakan jentera RC16 berwarna oren/hitam manakala pasukan Tech 3 yang diwakili Hafizh Syahrin serta Miguel Oliveira menggunakan jentera berwarna oren/biru.

    “2019 adalah musim ketiga kami dalam MotoGP dan ini sudah pun satu pencapaian yang bermakna, terima kasih kepada Tech3 dan juga pelumba baru dalam pasukan ini. Keadaan akan jadi sangat mencabar tapi kami harap dapat terus ke atas. Kami berhadapan dengan beberapa halangan, tetapi telah bekerja baik waktu musim sejuk dan sepatutnya dapat membawa kepada sesuatu yang positif musim ini,” kata pengurus pasukan Red Bull KTM, Mike Leitner.

    Semasa ujian musim sejuk yang berlangsung di Litar Sepang minggu lalu, pelumba KTM dilihat bergelut untuk mencatat masa terpantas, dan ini bukan sahaja berlaku pada Hafizh, malah juga Zarco. Apabila hari ketiga ujian berakhir masa terpantas bagi KTM dicatat oleh Zarco iaitu 1 minit 59.640 saat, namun dalam kedudukan keseluruhan, itu adalah tempat ke-17.

    Jika dibandingkan dari hari ujian bermula sehingga tamat, Hafizh dapat memperbaiki catatan masa beliau, tetapi masih berada di kelompok bawah. Beliau juga pernah berkata bahawa jentera KTM bukannya mudah untuk dikendali bagi pelumba baru dan akan berusaha sehabis mungkin untuk menyesuaikan diri beliau.

     
     
  • Toyota Camry 2019 dapat ASEAN NCAP lima bintang

    Toyota Camry 2019 dapat ASEAN NCAP lima bintang

    Ketika majlis pengenalan label ASEAN NCAP baru, turut diumumkan ialah keputusan ujian perlanggaran bagi Toyota Camry 2019. Model terkini Camry versi pemasangan Thailand dalam varian 2.0G mencatatkan penarafan lima-bintang dengan mata keseluruhan 91.47%.

    Pecahan mata yang diperoleh model sedan segmen D itu adalah seperti berikut; 35.31 mata daripada 36 mata bagi pelindungan penumpang dewasa (AOP) – terdiri daripada 15.31 mata bagi pertembungan sisi hadapan, 16 mata penuh bagi impak bahagian tepi dan empat mata penuh bagi teknologi pelindungan kepala (HPT). Dengan AOP menyumbang sebanyak 50% daripada mata keseluruhan, peratusan yang dicapai Camry ialah 49.04%.

    Bagi pelindungan penumpang kanak-kanak (COP) pula, Camry memperoleh 44.44 mata daripada 49 mata keseluruhan, termasuk 16 mata penuh bagi impak hadapan, lapan mata penuh bagi hentaman dari tepi, 11.44 mata bagi pemasangan mudah dan sembilan mata bagi penilaian ciri mesra kerusi kanak-kanak. Ini memberikan peratusan sebanyak 22.68% daripada 25.

    Akhir sekali, aspek bantuan keselamatan yang melengkapinya, di mana Camry berjaya mencatatkan 14.22 mata daripada 18. Ini termasuk lapan mata penuh bagi teknologi brek dan penghindaran perlanggaran yang cekap, tiga mata bagi amaran tali keledar, 1.22 mata bagi teknologi titik buta dan dua mata penuh bagi teknologi bantuan keselamatan termaju. Ini menjadikan peratusan keseluruhan yang dicapai ialah 19.75% daripada 25.

    Di Malaysia, Camry hanya ditawarkan dalam satu varian, 2.5V dan dijual pada harga RM189,900. Ia dilengkapi dengan enam beg udara, ABS dan EBD dengan bantuan brek, kawalan kestabilan, ISOFIX di belakang dan ciri lengkap bantuan pemandu Toyota Safety Sense. Di dalamnya termasuk sistem pra-perlanggaran (brek kecemasan automatik), Lane Departure Alert dengan Steering Assist, Dynamic Radar Cruise Control dan Automatic High Beam.

     
     
  • Jalan Tuanku Abdul Rahman ditutup kepada semua kenderaan kecuali bas mulai 15 Mac ini – menteri

    Jalan Tuanku Abdul Rahman ditutup kepada semua kenderaan kecuali bas mulai 15 Mac ini – menteri

    Jalan Tuanku Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Jalan TAR memang menjadi tumpuan ramai untuk membeli-belah khususnya menjelang Hari Raya Aidilfitri, mahu pun cuti umum. Boleh dikatakan saban hari, Jalan TAR akan sesak tidak kira waktu.

    Justeru, Kementerian Wilayah Persekutuan telah membuat keputusan sepanjang jalan terbabit (di hadapan kompleks membeli-belah Sogo dan Pertama) akan ditutup kepada semua kenderaan kecuali bas bermula 15 Mac ini, laporan Berita Harian.

    Menurut menterinya, Khalid Abdul Samad, laluan sepanjang satu kilometer itu merangkumi laluan di Jalan Esfahan sehingga Jalan Melayu.

    “Penutupan jalan itu dibuat bagi memberi keselesaan kepada orang awam untuk berurusan di kawasan berkenaan yang akan dijadikan tapak baharu untuk operasi bazar Ramadan. Malah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah menjalankan kajian dalam talian berhubung penutupan jalan berkenaan di mana sebanyak 57% pengguna laman sosial bersetuju dengan cadangan berkenaan,” ujarnya,

    Tambahnya lagi, laluan berkenaan akan dijadikan sebagai kawasan bebas kenderaan atau ‘pedestrian mall’ yang mana pengunjung boleh berjalan kaki untuk membeli-belah tanpa perlu bersesak.

     
     
  • Mitsubishi ASX facelift 2020 untuk Eropah didedahkan

    Mitsubishi ASX <em>facelift</em> 2020 untuk Eropah didedahkan

    Pada 2017, Mitsubishi telah memperkenalkan crossover segmen-B Eclipse Cross dan ramai yang menjangkakan ia akan secara berperingkat menggantikan Mitsubishi ASX. Tapi nampaknya umur ASX ternyata masih lagi panjang setelah Mitsubishi mendedahkan SUV kompak yang telah berada dalam produksi sejak 2010 itu diberikan satu lagi versi facelift untuk pasaran Eropah.

    Model yang disegarkan kembali ini akan membuat kemunculan pertamanya pada Geneva Motor Show 2019 Mac nanti. Dan seperti yang anda boleh lihat, muka ‘adik Lancer’ pada ASX telah berubah menggunakan rekaan signatur Dynamic Shield terbaharu Mitsubishi.

    Lampu utama ASX 2020 ini direka sepet, mengapit gril seakan dinding kubu yang kelihatan lebih gagah. Ia kemudian diberikan elemen X kemasan krom, bersama lampu kabus LED dan isyarat membelok dengan empat unit lampu disusun menegak dan juga skid plate dalam kemasan perak. Lampu belakang masih menggunakan kluster lampu yang sama, tetapi diberikan lensa jernih bersama grafik dan bar LED baharu di dalamnya.

    Bampar belakang juga menerima sentuhan semula dengan rekaan lebih rumit, menampilkan kemasan liang udara palsu, dan juga skid plate seperti gaya diffuser juga berwarna perak. Tiga warna baharu tampil pada model kemaskini ini iaitu Red Diamond, Sunshine Orange dan Oak Brown.

    Masuk ke kabin, sebahagian besar rekaan terutama pada papan pemuka masih lagi sama dengan model sedia ada. Perubahan yang paling ketara dapat dilihat adalah skrin sistem infotainmennya kini lebih besar, bersaiz lapan-inci.

    Di Eropah, ASX ditawarkan dengan pilihan enjin petrol 2.0 liter NA dengan pilihan sama ada kotak gear manual lima-kelajuan atau CVT automatik INVECS-III. Pembeli juga boleh memilih sama ada mereka mahukan pacuan roda hadapan atau pacuan semua roda.

     
     
  • Suzuki Jimny Black Bison Edition didedah oleh Wald

    Suzuki Jimny Black Bison Edition didedah oleh Wald

    Kalau sebelum ini pernah ditampilkan versi rekaan digital sahaja, kini syarikat talaan Wald International tunjukkan pula versi akhir Suzuki Jimny Black Bison Edition yang sebenar.

    Diasaskan dari varian Sierra yang dijual di Jepun, Wald memberikan rekaan baru pada bahagian bampar, gril, perumah lampu utama dan bonet yang kini lebih aerodinamik. Sekali pandang, ia memang ada membawa imej dan iras yang sama dengan Mercedes-Benz G-Class, dengan pakej yang lebih kecil.

    Bahagian lain yang turut diperbaharui ialah pada lengkuk tayar yang menjadikannya lebih lebar dan nampak garang, diikuti juga dengan saiz rim dan tayar yang lebih besar. Wald juga memasangkan lampu LED di depan dan bumbung.

    Penyudah yang melengekapkan lagi imej SUV ini tentulah warna hitam kesat yang digunakan – sesuai dengan nama Black Bison Edition. Buat masa ini belum ada pengumuman harga atau aksesori berasingan yang mungkin dijual bagi Jimny ini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025