Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Hasil kajian pengurangan kadar dan pemansuhan tol akan dibentangkan pada Mei 2019 – Kem. Kerja Raya

    Hasil kajian pengurangan kadar dan pemansuhan tol akan dibentangkan pada Mei 2019 – Kem. Kerja Raya

    Menerusi persidangan Dewan Negara hari ini, Kementerian Kerja Raya memaklumkan hasil kajian mekanisme bagi mencapai matlamat pengurangan kadar dan pemansuhan tol lebuh raya di negara ini akan dibentang kepada Kabinet pada Mei 2019.

    Menurut timbalan menterinya, Mohd Anuar Mohd Tahir, kajian mekanisme berkenaan akan dilaksanakan jururunding audit bebas bertauliah yang akan dilantik pada Januari 2019, bagi membantu kerajaan mencari mekanisme secara jangka pendek, sederhana dan panjang, laporan Bernama.

    “Jemaah Menteri, pada 31 Oktober lalu, selepas menimbang hala tuju industri lebuh raya bertol, bersetuju JKR diberi tempoh enam bulan untuk mengemukakan cadangan mekanisme terbaik untuk capai matlamat berkenaan. Pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia sedang dalam proses melantik jururunding bagi menjalankan kajian hala tuju lebuh raya bertol di Malaysia ini,” katanya.

    Kenyataan tersebut adalah bagi menjawab soalan Senator Mohamad Imran Abd Hamid iaitu bilakah manifesto Pakatan Harapan (PH) mengenai penghapusan kutipan tol boleh dilaksanakan.

    Hasil kajian pengurangan kadar dan pemansuhan tol akan dibentangkan pada Mei 2019 – Kem. Kerja Raya

    Mohd Anuar turut berkata jururunding audit bebas bertauliah itu akan diberikan tugas besar dan perlu menjalankan kajian itu dengan penuh tanggungjawab bagi memenuhi hasrat kerajaan dan rakyat.

    Menurut beliau, kementeriannya serius bagi menjalankan tanggungjawab mengkaji pengurangan kadar dan pemansuhan kadar tol dan sebab itulah Bengkel Hala Tuju Industri Lebuh Raya dianjurkan pada September lalu di kementerian yang membabitkan Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi (EPU).

    Mohd Anuar berkata, walaupun kerajaan sentiasa berusaha untuk mengurangkan kadar dan memansuhkan tol lebuh raya, ia hanya akan dapat dilaksanakan apabila kewangan kerajaan sudah stabil dan mengizinkan.

    “Sebelum itu (kewangan kerajaan stabil dan mengizinkan), sebarang tindakan mengejut tidak akan beri kebaikan dan faedah kepada survival negara,” katanya.

     
     
  • Nio ES6 didedahkan – SUV elektrik dengan 536 hp

    Nio ES6 didedahkan – SUV elektrik dengan 536 hp

    Nio hujung minggu lalu memperkenalkan SUV elektrik ES6 yang dibangunkan syarikat itu. Ini merupakan model kedua yang dihasilkan, genap setahun selepas model ES8 yang lebih besar diumumkan buat pertama kali.

    Disifatkan sebagai sebuah SUV pintar berprestasi tinggi dengan jarak mod elektrik yang jauh, kenderaan dengan kepanjangan 4.85 meter ini tampil dengan rekabentuk yang lebih “mengalir” dan ringkas berbanding Nio ES8. Struktur kerangkanya diperbuat daripada aluminium 7075 dan carbon-fibre reinforced plastic (CFRP) – dengan kira-kira 2 meter persegi CFRP digunakan pada kerangka keseluruhan.

    Ruang dalaman juga kemas dan teliti, dengan penggunaan kulit Nappa dan suede dari gentian mikro bagi bahagian pelapik bumbung. Kluster instrumen digital sepenuhnya dengan skrin paparan besar di tengah, ia juga turut dilengkapi dengan sistem infotainmen AI Nomi, yang menyepadukan operasi musik, servis, perisian dan peranti di bawah satu kendalian.

    Nio ES6 didedahkan – SUV elektrik dengan 536 hp

    Kelengkapan lain termasuk stereng tiga jejari, tempat duduk sport untuk bahagian depan serta pilihan untuk tataletak tempat duduk Lounge Seat. Tidak ketinggalan ciri Nio Pilot, sistem bantuan pemanduan autonomous yang dibangunkan oleh Nio sendiri.

    Motor magnet kekalnya menggunakan unit 160 kW dan bertindak untuk mengendalikan penggunaan pemanduan kelajuan rendah dan sederhana seharian. Dengan kadar kecekapan pertukaran tenaga sebanyak 97%, ia didakwa akan memperpanjangkan jarak perjalanannya. Sebuah lagi induction motor, unit 240 kW dengan 15,000 rpm pula memberikan prestasi pecutan dan kelajuan tinggi. Janaan maksimum SUV ini ialah 536 hp (544 PS).

    Tiga varian akan ditawarkan; Standard Edition dengan dua motor magnet kekal; Performance Edition dengan kedua-dua motor magnet dan induction motor serta suspensi udara aktif; dan terakhir Premier Edition, yang hadir dengan semua pakej pilihan – ini ditawarkan pada 6,000 set sahaja.

    Dua versi bateri akan ditawarkan – unit 70 kWh ataupun unit pilihan 84 kWh yang memberikan jarak lebih jauh. Dengan menggunakan unit 84 kWh, Performance Edition ES6 mampu memberikan jarak perjalanan 510 km bagi satu caj penuh (kitaran NEDC). Dengan bateri 70 Kwh pula, jaraknya ialah 430 km. Bagi Standard Edition jarak yang boleh dicapai dengan penggunaan pilihan bateri yang dinyatakan ialah masing-masing 410 km dan 480 km.

    SUV ini memberikan angka prestasi seperti berikut – pecutan 0-100 km/j dalam 4.7 saat (5,6 saat bagi versi Standard) dengan kelajuan maksimum 200 km/j. Dilengkapi dengan kaliper brek Brembo empat-piston, ES6 menggunakan tayar Pirelli P-Zero. Jarak brek yang diperlukan dari kelajuan 100 km/j ialah 33.9 meter.

    Ketika ini, harga tanpa subsidi Nio ES6 bermula dari RMB 358,000 (RM217,280) bagi versi Standard 70 kWh hingga RMB 448,000 (RM271,910) bagi Performance 84 kWh. Serahan kepada pemilik akan bermula Jun tahun depan.

     
     
  • Yamaha Y15ZR V2 tiba di Indonesia – empat warna

    Yamaha Y15ZR V2 tiba di Indonesia – empat warna

    Selepas dilancarkan di Vietnam Ogos lalu, kini Yamaha Y15ZR 2019 (juga dipanggil sebagai Y15ZR V2, MX King 150 atau Exciter 150 bergantung kepada negara) tiba pula di Indonesia dengan tanda harga Rp. 21.950.000 (bersamaan RM6,289).

    Kemunculan model ini sememangnya menjadi perhatian ramai kerana melibatkan beberapa naik taraf seperti perumah lampu hadapan bentuk baru bersama unit LED, fender baru bagi menempatkan tayar hadapan lebih besar (saiz 90/80 R17), meter LCD satu warna, butang lampu tinggi (passing light), butang mematikan enjin (kill switch) serta penggera yang boleh ditekan untuk mengeluarkan bunyi.

    Kemudiannya, dimensi motosikal ini turut berubah sedikit di mana panjang dan tingginya bertambah masing-masing 15 mm dan 20 mm, tinggi tempat duduk bertambah 15 mm, manakala berat juga bertambah 2 kg. Berkemungkinan ini adalah kesan daripada penggunaan tayar hadapan lebih besar, dan suspensi belakang juga ditala semula kerana dalam risalah, gambar monoshock belakangnya terpapar bersama kelengkapan baru lain.

    Bahagian lain masih lagi sama termasuklah penggunaan enjin satu silinder SOHC penyejukan cecair 150 cc, bersama padanan kotak gear lima kelajuan, mampu menghasilkan 15.4 PS pada 8,500 rpm dan 13.8 Nm tork pada 7,000 rpm. Enjin ini tidak mempunyai teknologi Variable Valve Actuation (VVA) seperti R15 dan NVX 155.

    Kelengkapan lain yang terdapat pada MX King 150 Indonesia adalah termasuk brek cakera depan dan belakang, tangki bahan api 4.2 liter, lampu belakang LED serta tayar belakang saiz 120/70R17. Pilihan warna pula ada empat iaitu biru, merah, kuning dan Movistar 2018. Model ini juga sudah pernah dilihat diuji di Malaysia, dan mungkin pelancarannya akan dibuat pada tahun 2019.

    GALERI: Yamaha MX King 150 2019 di Indonesia


    GALERI: Yamaha Exciter 150 2019 di Vietnam

     
     
  • Tan Chong hilang kelayakan untuk import dan jual Nissan di Vietnam – kontrak ditamatkan tanpa sebab

    Tan Chong hilang kelayakan untuk import dan jual Nissan di Vietnam – kontrak ditamatkan tanpa sebab

    Tan Chong Motor Holdings telah mengumumkan bahawa mereka akan kehilangan hak untuk mengimport dan mengedarkan kenderaan-kenderaan jenama Nissan di Vietnam, bermula 10 September 2019. Menurut Tan Chong, Nissan Motor Co telah mengeluarkan notis untuk menamatkan perjanjian kerjasama ETCM (V) iaitu subsidiari penuh Tan Chong di Vietnam, tanpa menyatakan apa-apa sebab.

    Perjanjian kerjasama berkenaan telah ditandatangani pada 2010 selepas ETCM membeli sumbangan modal carter 74% dari syarikat Denmark Kjaer Group A/S dalam firma kerjasama, Nissan Vietnam Co Ltd dengan jumlah US$7.4 juta. Syarikat dengan 26% kepentingannya dipegang sendiri oleh Nissan tersebut, mempunyai hak istimewa untuk mengimport dan mengedar atau menjual semula kenderaan Nissan serta alat gantinya di Vietnam selama 30 tahun bermula November 2008.

    Menurut laporan The Edge Markets, Tan Chong menyatakan bahawa penamatan perjanjian ini “tidak akan menyebabkan impak kewangan dan operasi yang signifikant terhadap kumpulan untuk tahun kewangan sedia ada.” ETCM juga dikatakan “masih membuka ruang untuk perbincangan lanjut dengan Nissan untuk meneroka solusi alternatif dan peluang perniagaan untuk keuntungan bersama di Vietnam.”

    Dalam masa yang sama, Tan Chong turut mewujudkan satu lagi syarikat usahasama di New York yang akan membolehkan mereka membangunkan jaringan pengedar di Amerika Syarikat, Kanada dan negera-negara lain. Langkah ini turut membolehkan syarikat tersebut untuk mencari produk dan teknologi baharu yang boleh dibangunkan secara komersial untuk edaran dan jualan runcit di Asia Tenggara.

     
     
  • Op Khas Bersepadu Genting – 572 saman dikeluarkan

    Op Khas Bersepadu Genting – 572 saman dikeluarkan

    Bagi mengekang pemandu yang menggunakan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak secara merbahaya, polis menjalankan Op Khas Bersepadu Genting hujung minggu lalu. Dengan sekatan jalan di plaza tol Gombak, polis dan JPJ telah mengeluarkan keseluruhannya 572 saman sepanjang dua hari operasi itu berlangsung.

    Dalam sebuah laporan Berita Harian, Supt. Azman Shariat dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik menjelaskan, operasi berkenaan tertumpu kepada kenderaan mewah dan motosikal berkuasa tinggi yang menjadikan laluan itu sebagai litar lumba untuk melepaskan gian, terutama pada hujung minggu. Polis mengeluarkan sebanyak 355 saman daripada jumlah keseluruhan itu.

    “Sebanyak 94 saman membabitkan kesalahan lesen memandu, 31 saman kerana tiada cermin sisi, kesalahan membabitkan cukai jalan sebanyak 54 saman, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi 90 saman, 12 saman kesalahan tali pinggang keledar, enam kesalahan menggunakan lorong kecemasan, 15 saman bagi kesalahan lesen P dan L serta 49 saman kerana lain-lain kesalahan,”

    Operasi berkenaan turut dibantu oleh anggota JSPT Bukit Aman selain disertai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Gombak, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan JPJ. Selain itu, JPJ pula mengeluarkan 217 saman, dengan AADK turut menjalankan ujian air kencing ke atas 75 individu dengan 16 daripadanya didapati positif.

     
     
  • Mitsubishi kembali ke Rali Dakar dengan Eclipse Cross T1 – dipandu pelumba wanita Cristina Gutierrez

    Mitsubishi kembali ke Rali Dakar dengan Eclipse Cross T1 – dipandu pelumba wanita Cristina Gutierrez

    Selain dari Lancer Evolution yang mendominasi Kejuaraan Rali Dunia (WRC) pada era 90’an dahulu, ‘The Three Diamond‘ turut terkenal dengan reputasi SUV Ladder Frame mereka iaitu Pajero pada perlumbaan rali rentas negara Paris-Dakar (kini dikenali sebagai Rali Dakar) bermula dari tahun 1985.

    Pajero mula menyertai Rali Paris Dakar bermula pada tahun 1983, dan mengecapi gelaran juara pertamanya pada tahun 1985. Sehingga tahun 2007, Pajero telah dinobatkan sebagai juara rali berkenaan sebanyak 12-kali. Saya sendiri ingat lagi betapa ‘berlagak’nya USF-Mitsubishi pada era berkenaan dengan memberikan sarung tayar gantian yang disangkut pada pintu tailgate belakang Pajero yang menyatakan penguasaan mereka dalam perlumbaan rali sejauh 10,000 km tersebut.

    Namun seperti juga nasib yang menimpa pasukan rali dunia Mitsubishi, jenama tersebut turut menarik diri sepenuhnya dari Rali Dakar pada 2009 kerana krisis kewangan yang dialami.

    Pada tahun 2017, pelumba wanita dari Sepanyol, Cristina Gutierrez menyertai Rali Dakar dengan Mitsubishi Pajero Evolution, dan beliau terus berlumba dalam rali berkenaan untuk musim 2018. Tahun 2019, Cristina sekali lagi akan kembali ke Dakar, kali ini pasukan Mitsubishi Motors Sepanyol menghasilkan jentera baharu untuknya iaitu Mitsubishi Eclipse Cross T1 Prototype.

    “Seperti biasa apabila anda berhadapan dengan Dakar, anda lakukannya dengan harapan yang besar dan juga penghormatan yang besar kepada ujian. Objektif utama, sudah tentu, adalah untuk menghabiskan rali paling lasak di dunia, untuk kali ketiga berturut-turut,” kata Cristina.

    Jentera yang dipandu oleh Cristina ini dihasilkan dari crossover segmen-B terbaharu Mitsubishi iaitu Eclipse Cross. Ia menerima ubahsuai ekstensif dengan asas casis spaceframe logam, bersama sistem suspensi double wishbone yang menempatkan penyerap hentak berkembar Öhlins Racing boleh laras sepenuhnya pada setiap hab roda.

    Badan kereta rali ini pula diperbuat dari gentian karbon, dan dijana oleh enjin turbodiesel (tidak dinyatakan sesaran) menjana 340 hp dengan tork maksima 686 Nm. Kuasa berkenaan akan diagih ke setiap roda menerusi kotak gear sequential enam-kelajuan, kemudian ke sistem pacuan empat roda yang menggunakan unit differential mekanikal pada bahagian tengah, dan juga unit-unit LSD pada gandar hadapan dan belakang. Ia turut dilengkapkan bersama sistem brek dari AP Racing, dengan angkup brek empat-omboh pada setiap tayar.

    “Bagi saya, ia merupakan perubahan yang sangat besar berbanding (jentera) tahun-tahun sebelum ini. Anda boleh berlumba dengan sangat laju dengannya, dalam masa yang sama ia sangat mudah dipandu dan mempunyai kebolehan pemanduan permukaan lasak yang lebih bagus. Ia kereta paling hebat yang pernah saya pandu serta sangat menarik perhatian!” respon Cristina terhadap jentera baharunya itu.

    Adakah Cristina Gutierrez akan mencatatkan keputusan yang baik dalam Rali Dakar 2019? Perlu diingat, Jutta Kleinschmidt iaitu wanita pertama di dunia yang menjuarai Rali Dakar, memandu Mitsubishi Pajero Evolution pada tahun 2001 bagi mencapai gelaran tersebut.

    Rali Dakar 2019 akan berlangsung di Peru bermula 6 hingga 17 Januari, dengan lebih dari 10 peringkat yang merangkumi perjalanan sejauh 5,000 km dan 70 peratus perlumbaan akan berlangsung pada permukaan padang pasir.

     
     
  • Aplikasi cALLme untuk teksi di KLIA, KLIA2 diperkenal

    Aplikasi cALLme untuk teksi di KLIA, KLIA2  diperkenal

    Sebuah aplikasi pintar baru, cALLme, telah dilancarkan untuk pengguna mendapatkan khidmat teksi di KLIA. Ia merupakan kerjasama antara Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) dan Persatuan Pemandu Teksi, Limosin dan Kereta Sewa Malaysia (Petekma), dan bertujuan untuk membantu pemandu teksi bersaing dengan perkhidmatan lain seperti Grab.

    Menurut The Star, langkah ini perlu untuk menjadikan industri berkenaan lebih berdaya saing di dalam lankskap persaingan yang lebih meluas ketika ini, seperti yang dinyatakan oleh Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah. Angkasa juga akan menyediakan latihan kepada pemandu dan pengendali untuk memanfaatkan sistem berkenaan.

    Pengerusi Petekma, Mohd Syahrir Abd Aziz berkata, aplikasi cAllme akan mula beroperasi di KLIA dan KLIA2 terlebih dahulu sebelum dilanjutkan ke kawasan lebih luas; Langkawi menjadi lokasi seterusnya. “Ia hanya khusus kepada teksi yang berdaftar sahaja,” tambah beliau.

    Turut hadir ketika majlis pelancarannya di KLIA ialah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, yang menjelaskan aplikasi berkenaan bertujuan untuk membantu pemandu teksi untuk turut mempunyai platform moden dan bersaing dengan lebih berkesan.

    Aplikasi cALLme untuk teksi di KLIA, KLIA2  diperkenal

    Berkaitan tunjuk rasa yang dilakukan pemandu teksi terhadap pengendali perkhidmatan e-hailing sebelum ini, Loke berkata mereka yang tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan berhak untuk berbeza pendapat, tetapi kerajaan tidak pernah ingin menjadikan pemandu-pemandu teksi sebagai mangsa.

    “Kita perlu berdepan dengan kenyataan. Jika anda mahu memperbaiki industri teksi, kita perlu seiringan perkembangan teknologi,” jelas beliau, dengan menambah dengan cara meningkatkan daya saing sektor teksi begini lebih baik daripada sekadar meluahkan perasaan dan tunjuk perasaan.

    Saingan daripada sektor e-hailing telah membawa perubahan yang sangat besar kepada cara perniagaan perkhidmatan pengangkutan ini dijalankan. “Kita mempunyai 70,000 teksi berdaftar, dengan 60% daripadanya dimiliki oleh syarikat. Kebanyakan pemandu ialah pesara yang bergantung pendapatan hariannya untuk menyara hidup.”

     
     
  • MotoGP di Buriram, Thailand terbaik bagi musim 2018

    MotoGP di Buriram, Thailand terbaik bagi musim 2018

    Musim perlumbaan MotoGP tahun ini menyaksikan penglibatan Thailand buat kali pertama dengan perlumbaan berlangsung di Litar Antarabangsa Chang, Buriram. Banyak jangkaan yang diberi untuk Thailand, dan ternyata, mereka dapat mengendalikannya dengan baik.

    Sehinggakan, baru-baru ini Grand Prix Commission serta MotoGP Paddock telah mengiktiraf pusingan di Thailand ini sebagai yang terbaik dan yang paling banyak pengunjung bagi musim 2018. Secara keseluruhannya, 220,000 pengunjung datang ke litar tersebut sepanjang tiga hari acara berlangsung.

    Menurut presiden IRTA, Herve Poncharal, GP Thailand dipilih sebagai yang terbaik kerana banyak sebab. Banyak jangkaan yang mereka buat, tapi mereka tidak tahu apa yang boleh dilakukan oleh penganjur di Thailand.

    MotoGP di Buriram, Thailand terbaik bagi musim 2018

    “Segalanya berjalan lancar, komitmen penganjur sangat baik dan mereka berhadapan sebarang masalah yang berlaku dengan pantas, dan mencari penyelesaiannya secepat mungkin. Pengunjung, serta orang yang terlibat semuanya nampak gembira dan sentiasa tersenyum. Sokongan penyokong juga mengagumkan, akses kepada litar sangat cepat dan mereka menunjukkan mereka faham tentang MotoGP,” jelas Poncharal.

    “Asia adalah pasaran yang penting bagi kejuaraan ini dan acara seperti di Buriram menguatkan lagi pandangan bahawa sukan ini sangat popular di rantau ini. Ia boleh digunakan sebagai panduan untuk acara pada masa hadapan dan kami sudah teruja untuk kembali ke Buriram lagi tahun hadapan,” kata CEO Dorna Sports, Carmelo Ezpeleta.

     
     
  • Projek kereta nasional ketiga: Malaysia cuba tawar Qatar sebagai pelabur – Khalid Abdul Samad

    Projek kereta nasional ketiga: Malaysia cuba tawar Qatar sebagai pelabur – Khalid Abdul Samad

    Bagi menjayakan projek kereta nasional ketiga, Malaysia akan cuba mencari pelaburan termasuk dari negara luar, malah turut menawarkan kepada Qatar berikutan keupayaan negara itu yang dilaporkan mempunyai sejumlah AS$400 bilion (RM1.6 trilion) untuk tujuan pelaburan.

    Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, jumlah berkenaan adalah jumlah keseluruhan wang dimiliki Qatar yang akan digunakan untuk tujuan pelaburan di seluruh dunia dalam pelbagai bidang, laporan Berita Harian.

    “Qatar ada sebanyak AS$400 bilion, untuk dilaburkan di seluruh dunia, dia (Qatar) ada banyak duit, dia mahu laburkan dan kita mahu cari jalan supaya Qatar labur di Malaysia. Antara projek yang kita mahu tawarkan untuk dia laburkan adalah projek kereta Malaysia yang ketiga, yang pentingnya Qatar kena ada projeklah untuk dia laburkan dan kita perlu usahakan supaya dia dapat laburkan dalam projek itu (kereta nasional ketiga),” katanya.

    Tambahnya lagi, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir ada berbincang dengan Qatar mengenai cadangan pelaburan untuk projek berkenaan.

    “Dr Mahathir cakap dengan orang Qatar, kamu ada duit, kami ada kepakaran. Dalam Kabinet kita dah letak syarat nak buat kereta nasional ketiga jangan guna duit kerajaan, kerajaan tak ada duit. Tapi kalau inisiatif swasta, apa salahnya? Qatar nak buka kilang buat kereta di Malaysia, guna kepakaran Malaysia, duit daripada dia takkan kita nak bantah? Kalau dia boleh buat apa salahnya, lagi banyak pekerjaan,” katanya.

    Khalid berkata, apa yang menjadi keutamaan pada masa ini adalah untuk mencari projek yang boleh menarik perhatian pihak berkenaan melabur di negara ini.

     
     
  • Toyota perkenal kertas pembalut hadiah Supra A90 sempena Krismas, hasil jualan disalur ke badan amal

    Minggu lalu, Toyota telah mengumumkan bahawa unit pertama Supra A90 versi produksi yang keluar dari kilang akan dilelong di acara Barret-Jackson Arizona dan hasilnya akan disalurkan ke dua badan amal. Kini, Toyota GB pula telah memperkenalkan kertas pembalut hadiah dengan corak pelekat penyamaran prototaip Supra A90 yang dijual dan keuntungannya akan disalurkan ke Crisis UK.

    Badan nasional untuk membantu golongan gelandangan berkenaan akan menggunakan dana tersebut untuk program Crisis at Christmas. Kertas pembalut hadiah berukuran 695 mm x 1,000 mm tersebut pula akan dijual dengan harga £5 (RM26) untuk setiap set yang mengandungi empat keping kertas. Ia boleh dibeli secara atas talian dari Toyota GB menerusi CrowdFunder.co.uk.

    Seperti yang anda boleh lihat, corak yang ditampilkan pada kertas berkenaan adalah seiras dengan pelekat penyamaran badan Supra A90 yang muncul di Goodwood Festival of Speed sebelum ini. Corak camo dengan warna Gazoo Racing iaitu merah-putih-hitam berkenaan turut menampilkan kod casis ‘A90’, kesinambungan dari casis A80 pada Supra generasi sebelumnya.

    Toyota Supra generasi keenam berkenaan akan didedahkan secara rasmi di North American International Auto Show (NAIAS) 2019 yang akan berlangsung di Detroit 14 Januari ini. Walau bagaimanapun, minggu lalu bahagian muka sebenar kereta sport tersebut telah pun bocor di internet.

    Supra generasi baharu tersebut dibina bersama oleh Toyota dan BMW dimana pengeluar dari Jerman berkenaan membangunkan roadster Z4 generasi terkini di atas platform kereta sport yang sama sejak 2012, walau bagaimanapun pembinaan akhir Z4 dan Supra dilakukan secara berasingan. Menurut laporan sebelum ini, pasukan jurutera antara kedua-dua jenama tersebut tidak lagi berhubung antara satu sama lain sejak pertengahan 2014, jadi berkemungkinan besar karekter akhir kedua-dua kereta tersebut juga tidak sama antara satu sama lain.

    Toyota turut mengesahkan bahawa Supra A90 akan dijana enjin petrol 3.0 liter enam-silinder dengan pengecas turbo twin-scroll, bersama sistem suntikan terus dan injap kawalan bervariasi, menghasilkan kuasa lebih dari 295 hp dan tork maksima 450 Nm. Digandingkan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik, Toyota mendakwa Supra generasi kelima ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa tidak sampai lima saat.

    Kuasa hanya akan dialirkan ke gandar belakang, yang lengkap dengan unit LSD kawalan elektronik aktif. Kereta ini direka dengan nisbah berat hadapan dan belakang 50:50 dan ia turut dibekalkan dengan sistem suspensi adaptif bervariasi (AVS). Perkara lain yang turut disahkan adalah ia bina dengan diatas casis aluminium dan logam komposit, pusat graviti yang lebih rendah dan jarak roda yang lebih pendek dari Toyota 86.

    GALERI: Prototaip produksi Toyota Supra A90

     
     
  • DS Store Petaling Jaya dilancarkan – pertama di M’sia

    DS Store Petaling Jaya dilancarkan – pertama di M’sia

    Naza Euro Motors Sdn Bhd, pengedar tunggal bagi jenama kereta DS di Malaysia baru-baru ini telah melancarkan DS STore Petaling Jaya, yang merupakan yang pertama di Malaysia dan Asia Tenggara. Pelancaran ini telah disempurnakan oleh Yves Bonnefont, CEO DS Automobiles dan Dato’ Samson Anand George, CEO Kumpulan, Kumpulan Automotif, Naza Corporation Holdings.

    Membentangkan ciri penuh kemewahan dan moden, DS Store Petaling Jaya ini menampilkan identiti korporat DS Automobiles, termasuklah menjadikan DS Spirit of Avant-garde sebagai inspirasi bagi inovasinya, seperti mana yang diterjemahkan menerusi kereta-kereta DS.

    Bangunan seluas 3,230 kaki persegi, DS Store Petaling Jaya ini berfungsi sebagai pusat sehenti bagi pemilik kenderaan DS dan pelanggan prospektif untuk menikmati kemudahan terbaik yang disediakan.

    Dato’ Samson Anand George berkata, “DS Store Petaling Jaya ini adalah yang pertama diperkenalkan di Malaysia dan Asia Tenggara. Ia direka untuk memberikan perkhidmatan premium dan yang terbaik buat para pelanggan. Dengan sokongan daripada DS Automobiles dalam terus memacu pembangunan jenama DS di Malaysia, kami juga merancang untuk melabur sebanyak RM5 juta untuk pemasaran, operasi dan seumpamanya pada 2019, dengan pelaburan sebanyak RM2 juta untuk membangunkan gudang utama ini.”

    Kini DS Automobiles telah pun mempunyai sejumlah 450 DS Store di seluruh dunia dan akan mengembangkan lagi jenama ini di peringkat global serta terus menarik perhatian penggemar kenderaan premium bagi mendekati jenama dari Perancis ini.


     
     
  • Pelumba Cub Prix, Hafiz Nor Azman meninggal dunia

    Pelumba Cub Prix, Hafiz Nor Azman meninggal dunia

    Pusingan kesepuluh Petronas AAM Malaysian CubPrix Championship 2018 yang berlangsung di Dataran Bandar Penawar, Johor hujung minggu lalu menyaksikan satu insiden sedih apabila salah seorang pelumba, Mohd Hafiz Nor Azman, 22 tahun, meninggal dunia akibat perlanggaran.

    Pemergian Hafiz telah disahkan oleh penganjur Malaysian CubPrix, dan ia diberitahu berlaku semasa pusingan akhir kategori CP150. Walaubagaimanapun, punca kematian masih belum diberitahu dan kita masih perlu menunggu kenyataan rasmi daripada Malaysian Cubprix.

    Video kejadian juga ada tersebar di internet, namun ahli keluarga Hafiz berharap ia tidak ditularkan lagi. Daripadanya, kami boleh melihat pelumba yang berada di hadapan Hafiz terjatuh dahulu selepas melanggar papan iklan di tepi pagar, dan selepas itu, Hafiz juga terkena objek tersebut dan jatuh bersama pelumba di hadapan. Selepas kejadian, perlumbaan terus dihentikan.

    Menurut kenyataan rasmi oleh Malaysian CubPrix, litar tersebut telah diperiksa pada hari Jumaat, 14 Disember, untuk memastikan semua aspek keselamatan dan penghadang berada di tempat yang betul dan selamat untuk perlumbaan.

     
     
  • Teknologi gelombang mikro ganti palam pencucuh; mampu kurangkan hingga 80% pencemaran udara

    Teknologi gelombang mikro ganti palam pencucuh; mampu kurangkan hingga 80% pencemaran udara

    Syarikat dari Empfingen, Jerman, MWI Micro Wave Ignition AG dilaporkan sedang membangunkan sistem nyalaan enjin (ignition system) yang tidak menggunakan palam pencucuh (spark plug), sebaliknya digantikan dengan denyutan gelombang mikro bagi memulakan letupan campuran udara dan bahan api dalam kebuk pembakaran, menurut The Drive.

    Syarikat tersebut menyatakan bahawa teknologi ini bukan sahaja boleh digunakan pada enjin petrol, malah yang dijana bahan bakar diesel dan ia dapat mengurangkan penggunaan bahan api sebanyak 30%. Apa yang lebih mengejutkan, pembakaran dengan gelombang mikro yang berlaku pada suhu yang lebih rendah tersebut membolehkan pencemaran nitrogen oksida (NOx) turut dikurang sehingga 80 peratus.

    Sistem ini juga didakwa tidak memerlukan rekaan baharu pada kepala silinder enjin, di mana ia boleh dipadankan terus dengan menggantikan sistem nyalaan konvensional menggunakan palam pencucuh, dengan sistem gelombang mikro ini secara retro-fit.

    Antara tulang belakang disebalik MWI ini adalah sekumpulan pemegang kepentingan yang diketuai oleh bekas CEO Porsche iaitu Wendelin Wiedeking, yang pernah menyelamatkan jenama kereta sport itu pada era 90’an. “Saya yakin bahawa MWI adalah inovasi yang mengganggu dengan potensi pasaran yang besar,” kata Wiedeking.

    Teknologi gelombang mikro ganti palam pencucuh; mampu kurangkan hingga 80% pencemaran udara

    The Drive turut melaporkan bahawa teknologi nyalaan gelombang mikro ini tidak lama lagi akan digunakan pada kereta Porsche 911 GT3 Cup yang berlumba dalam kejohanan one-make Porsche Supercup. MWI mengumumkan bahawa mereka akan bekerjasama dengan rakan lama, Fach Auto Tech yang telah berlumba dalam siri berkenaan sejak 1994.

    Bagaimana sistem ini berfungsi dan apa kelebihannya berbanding sistem palam pencucuh biasa? The Drive telah menghubungi penala enjin, Jake Lehmkuhl dari Pink Sock Racing bagi menjelaskannya dengan lebih terperinci.

    Menurut Lehmkuhl, sistem yang menggunakan palam pencucuh diketahui akan memulakan pembakaran campuran bahan api dan udara pada satu titik, iaitu pada kepala palam pencucuh yang menghasilkan percikan api ketika dialirkan kuasa elektrik. Tetapi untuk gelombang mikro, pembakaran dapat dimulakan pada banyak titik, membolehkan campuran tersebut terbakar dengan lebih cepat, dan masa untuk percikan pemula diambil dengan lebih singkat.

    Ini secara tidak langsung membolehkan tekanan diberikan lebih cepat ketika antara hujung lejang mampatan dan permulaan lejang kuasa, berpotensi untuk mendapatkan pembakaran yang lebih lengkap dan sempurna. Jika ia ditala dengan betul, sistem ini boleh memberikan percikan pada pemasaan nyalaan yang lebih lambat (retard), membolehkan risiko untuk berlaku ‘knocking’ serta masalah berkaitan nyalaan lain dikurangkan.

    Teknologi gelombang mikro ganti palam pencucuh; mampu kurangkan hingga 80% pencemaran udara

    Dengan nyalaan yang dilakukan pada pelbagai poin juga membolehkan campuran udara-bahan api yang lebih nipis (lean) diberikan pada kebuk pembakaran, seterusnya memberikan penggunaan bahan api yang lebih baik. Sistem ini turut dikatakan dapat memberikan pembakaran yang lebih lengkap pada putaran rpm enjin yang tinggi kerana ia dapat membakar habis dengan lebih cepat, di mana selalunya ia sukar dilakukan kerana pada peringkat tersebut kerana masa yang diambil untuk melengkapkan setiap lejang adalah lebih singkat.

    Namun Lehmkuhl menyatakan sistem ini masih lagi belum matang sepenuhnya, dan data lebih banyak perlu diambil sebelum dikomersialkan. Beliau juga mempersoalkan adakah sistem ini dapat direka dengan ringkas, boleh diharap dan dengan kos yang cukup efektif untuk digunakan pada kenderaan-kenderaan produksi massa.

    Berbalik kepada MWI, The Drive turut memetik laporan Bloomberg bahawa syarikat itu telah memulakan perbincangan dengan pengeluar-pengeluar automotif bagi memasarkan sistem ini, dan salah satu syarikat tersebut adalah Hyundai – yang kini sedang mencari jalan bagi menghasilkan enjin yang boleh mencapai kecekapan suhu sekitar 50% di bawah program yang digelar sebagai SmartStream.

    MWI juga tidak mendakwa bahawa sistem ini dapat meningkatkan kuasa enjin. Namun ia tidak mustahil akan direka kearah itu sama seperti teknologi-teknologi hijau sebelum ini, sistem hibrid misalnya yang kini mula dibina sebagai sistem bagi menambahkan kuasa kuda dan tork, termasuk telah digunakan dalam perlumbaan Formula 1.

     
     
  • Toyota Supra A90 pertama akan dilelong di Barret Jackson – keuntungan akan diagih ke badan amal

    Toyota Supra A90 pertama akan dilelong di Barret Jackson – keuntungan akan diagih ke badan amal

    Toyota Supra generasi keenam atau dikenali dengan kod casis A90 sah akan didedahkan di North American International Auto Show (NAIAS) 2019 yang akan berlangsung di Detroit 14 Januari ini. Ingin menjadi sebahagian sejarah Supra tersebut dengan menjadi orang pertama di dunia memilikinya? Toyota telah mengumumkan bahawa unit pertama kereta sport berkenaan akan di lelong pada acara lelongan Barrett-Jackson di Scottdale, Arizona pada 19 Januari 2019.

    Pembida tertinggi akan membawa pulang Supra dengan nombor casis (VIN) 20201 tersebut, manakala kutipan hasil jualan akan disalurkan ke dua badan amal iaitu American Heart Association dan Bob Woodruff Foundation. Unit pertama ini turut menampilkan ciri istimewa yang berbeza dari versi produksi biasa dengan diberi warna badan matte gray, penutup cermin sisi merah serta rim berwarna hitam matte. Ia turut akan diberikan lencana gentian karbon pada bahagian dalaman, bersama upholsteri kabin berwarna merah.

    Walau bagaimanapun, Toyota hanya akan membawa versi prototaip Supra berkenaan ke acara lelongan Barret-Jackson tersebut, kerana model produksi sebenar hanya akan dihantar ke pelanggan sebelum habis separuh pertama 2019.

    Model konsep perlumbaan Supra A90 ini telah pun didedahkan di Geneva Motor Show Mac lalu, dan versi prototaipnya yang sudah bersedia untuk diproduksi muncul buat kali pertama di Goodwood Festival of Speed 2018 yang berlangsung Julai lalu. Minggu ini, bahagian muka sebenar kereta sport tersebut telah pun bocor di internet.

    Toyota Supra A90 pertama akan dilelong di Barret Jackson – keuntungan akan diagih ke badan amal

    Supra generasi baharu dibina bersama oleh Toyota dan BMW dimana pengeluar dari Jerman berkenaan membangunkan roadster Z4 generasi terkini di atas platform kereta sport yang sama sejak 2012, walau bagaimanapun pembinaan akhir Z4 dan Supra dilakukan secara berasingan. Menurut laporan sebelum ini, pasukan jurutera antara kedua-dua jenama tersebut tidak lagi berhubung antara satu sama lain sejak pertengahan 2014, jadi berkemungkinan besar karekter akhir kedua-dua kereta tersebut juga tidak sama antara satu sama lain.

    Toyota turut mengesahkan bahawa Supra A90 akan dijana enjin petrol 3.0 liter enam-silinder dengan pengecas turbo twin-scroll, bersama sistem suntikan terus dan injap kawalan bervariasi, menghasilkan kuasa lebih dari 295 hp dan tork maksima 450 Nm. Digandingkan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik, Toyota mendakwa Supra generasi kelima ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa tidak sampai lima saat.

    Kuasa hanya akan dialirkan ke gandar belakang, yang lengkap dengan unit LSD kawalan elektronik aktif. Kereta ini direka dengan nisbah berat hadapan dan belakang 50:50 dan ia turut dibekalkan dengan sistem suspensi adaptif bervariasi (AVS). Perkara lain yang turut disahkan adalah ia bina dengan diatas casis aluminium dan logam komposit, pusat graviti yang lebih rendah dan jarak roda yang lebih pendek dari Toyota 86.

    GALERI: Prototaip produksi Toyota Supra A90

     
     
  • Proton X70 vs Honda CR-V: Beza kos servis lima tahun

    Proton X70 yang baru saja dilancarkan secara rasmi akan kekal menjadi buah mulut orang ramai untuk beberapa ketika. Selepas mendapat pengesahan harga jualannya (dari RM99,800 hingga RM123,800). Dari segi harga, X70 berada di antara segmen B dan C bagi SUV.

    Jadi, ada eloknya juga kita lihat perbandingan kos servis berkenaan antara X70 dengan SUV paling popular di Malaysia, Honda CR-V yang dijual pada harga dari RM138,308 hingga RM163,191. Ini bermaksud, harga X70 lebih rendah sekitar RM40k jika dibandingkan dengan CR-V.

    Tetapi, satu lagi persoalan yang bermain difikiran ialah berapa kos servis yang diperlukan oleh SUV ini? Kami membandingkan harga bagi setiap kali servis bagi kedua-dua model berkenaan – berdasarkan versi pemanduan dua roda, dengan CR-V dari varian 1.5 VTEC Turbo. Secara umumnya, aspek ini nampaknya tidak menyebelahi Proton. Mengikut kiraan kami, ditolak dengan kos bahan api dan penggunaan lain, kos servis bagi X70 adalah kira-kira RM1,000 lebih mahal bagi tempoh sepanjang lima tahun berbanding CR-V; RM4,921.20 berbanding RM3,863.41.

    Melihat kepada perincian setiap kali servis, adalah jelas mengapa ia lebih tinggi bagi X70. Proton memerlukan lima liter minyak enjin bagi setiap kali servis, manakala CR-V pula hanya perlukan empat liter. Kemudian, walaupun penapis udara bagi X70 lebih murah berbanding model Honda, ia perlu ditukar lebih kerap. Untuk itu, walaupun X70 memberikan kos buruh percuma bagi lima kali servis terawal (Honda pula menawarkannya bagi jadual servis berselang berikutnya), hanya pada servis ke-30,000 km sahaja X70 lebih murah.

    Lihat pula keperluan menukar bendalir untuk transmisi. CR-V perlu ditukarkan minyak untuk CVT pada setiap 40,000 km, dengan kos RM141.50 setiap kali. X70 pula hanya perlukan penukaran minyak gear automatik dalam jarak lebih jauh, iaitu 60,000 km. Tetapi kosnya juga lebih tinggi; RM500.96. Itu juga merupakan jarak di mana penukaran coolant perlu dilakukan untuk X70, menjadikan kos keseluruhannya ialah RM1,269.66.

    Proton X70 vs Honda CR-V: Beza kos servis lima tahun

    Klik untuk besarkan

    Bagi Honda, walaupun dengan harga alat ganti yang lebih tinggi, tempoh penukaran yang perlu dilakukan pula lebih panjang. Coolant bagi CR-V misalnya, walaupun melibatkan kos RM201.05, ia hanya perlu ditambah apabila kenderaan mencapai jarak 200,000 km. Penggunaan palam pencucuh Iridium pula, walaupun mahal (RM431.05), ia hanya perlu ditukar pada jarak 100,000 km sahaja, berbanding X70 yang perlu menukar palam pencucuhnya pada setiap 20,000 km.

    Kos penggunaan bagi X70 juga akan menjadi lebih tinggi sekiranya anda mengambil kira penggunaan tayar 19-inci bagi varian Premium (17-inci bagi Standard, 18-inci bagi Executive). Gantian tayar anda akan lebih tinggi jika dibandingkan dengan tayar CR-V yang menggunakan saiz 18-inci.

    Sudah tentu, semua ini adalah anggaran kos bersandarkan kepada cadangan pengeluar, dan kos sebenar mungkin saja akan berbeza, bergantung kepada cara penggunaan anda. Kadar yang dikenakan juga tertakluk kepada perubahan, terutamanya sebagai contoh, Honda kini memberikan 15% potongan harga untuk alat ganti.

    Dengan perbezaan kos servis antara kedua model ini, anda juga mungkin ingin mempertimbang harga yang ditawarkan pula untuk pembeli; mungkin di sinilah timbal balik untuk kos servis yang tinggi bagi Proton kerana X70 dijual pada harga yang jauh lebih murah berbanding Honda CR-V. Apa pendapat anda, mana satu lagi berbaloi?

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025