Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Proton serap SST untuk semua model yang dibeli sepanjang Sept ini – jualan Ogos meningkat 18.5%

    Proton serap SST untuk semua model yang dibeli sepanjang Sept ini – jualan Ogos meningkat 18.5%

    Proton telah mengumumkan akan menyerap cukai jualan dan perkhidmatan (SST) untuk pembelian mana-mana model kenderaannya sepanjang September ini. Walau pun mengakui pelaksanaan SST pasti mendatangkan kesan terhadap pasaran automotif tempatan, namun keputusan Proton untuk menyerap cukai tersebut sepanjang bulan ini adalah bagi memastikan pembeli masih dapat membeli dengan harga yang lebih rendah (tanpa cukai).

    “Sementara Proton menunggu maklumat lanjut mengenai pelaksanaan SST, kami akan menyerap kos SST tersebut untuk semua model untuk memberi peluang kepada pembeli untuk membeli kereta. Ini memberikan manfaat kepada mereka semasa tempoh transaksi serta membantu Proton mengekalkan momentum jualan,” ujar Abdul Rashid Musa, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar.

    Sementara itu, Abdul Rashid turut berkata, bulan Ogos turut mencatatkan jualan yang memberangsangkan dengan peningkatan sebanyak 18.5% berbanding bulan sebelumnya. Malah ia merupakan rekod jualan tertinggi (setakat ini) bagi 2018. Secara keseluruhannya, sebanyak 9,501 unit kereta telah dijual, di mana ini bukan sahaja pencapaian terbaharu bagi tahun ini, tetapi merupakan volum jualan terbanyak sejak Julai 2015. Malah TIV yang dicatatkan pula mencapai 15.4% bagi Ogos, meskipun peratusan sebenar akan diumumkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

    Proton serap SST untuk semua model yang dibeli sepanjang Sept ini – jualan Ogos meningkat 18.5%

    “Ogos telah memperlihatkan pertumbuhan jualan sebanyak tiga kali berturut-turut untuk PROTON di mana syarikat sekali lagi mencapai volum yang tinggi bagi tahun ini. Pertumbuhan ini sedikit sebanyak didorong oleh GST yang berkadar sifar sebelum pelaksanaan SST, serta kempen pemasaran yang giat dijalankan bagi mengingatkan rakyat Malaysia untuk mengambil kesempatan bersempena dengan pembelian tanpa cukai ini.

    “Jumlah jualan yang tinggi ini menunjukkan peningkatan keyakinan orang ramai terhadap jenama kami kerana ramai yang masih memilih Proton berdasarkan pakej menarik yang ditawarkan kepada mereka. Pelan pemulihan kami berjalan seperti yang dirancangkan, kini menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan mereka kekal memilih jenama kami dengan memberikan servis pelanggan yang terbaik,” ujar Rashid lagi.

    Sama seperti tujug bulan sebelum ini, Saga dan Persona kekal menjadi model pilihan pembeli apabila kedua-dua model ini kekal mendominasi jualan Syarikat. Saga menunjukkan prestasi yang sangat memberangsangkan dan memecah rekod jualan sebanyak 4,000 unit dengan pendaftaran sebanyak 4,174. Manakala, Proton Persona hampir mencapai jualan 3,000 unit dengan pendaftaran sebanyak 2,957 unit bagi Ogos. Bagi model-model yang lain turut menyumbang pada jualan, ditambahkan lagi dengan pembeli yang mencari kereta sebelum tamat hujung bulan.

     
     
  • Tempoh percubaan Touch ‘n Go RFID bermula hari ini

    Masih ingat dengan tempoh percubaan bagi sistem radio-frequency identification (RFID) oleh Touch n’ Go? Masuk bulan September, maka bermulakan percubaan pengguna umum terpilih ke atas sistem berkenaan, bermula hari ini.

    Dijangka akan dilancarkan secara rasmi dan dilaksanakan secara menyeluruh pada Januari tahun hadapan, program percubaan khas yang dibuka kepada pengguna umum serta pemasangan pelekat RFID pada kenderaan mereka yang terpilih kini telah dimulakan.

    Bagi yang telah mendaftar dan terpilih, mereka perlu menetapkan temujanji untuk pemasangan kit berkenaan, yang hanya memerlukan 15 minit di pusat-pusat pemasangan yang telah ditetapkan.

    Tempoh percubaan Touch ‘n Go RFID bermula hari ini

    Terbuka kepada pengguna lebuhraya di Lembah Klang yang memandu kenderaan kelas 1 (kereta penumpang, van, 4×4 dan trak pikap) dengan pendaftaran persendirian akan membolehkan penggunaan secara lebih meluas untuk sistem berkenaan serta menilai aspek-aspek yang perlu diperkemas, sekiranya ada. Ketika ini, lorong RFID ada di 16 lebuhraya.

    Pengguna yang terlibat di dalam tempoh percubaan ini tidak perlu membayar yuran RFID, tetapi perlu membayar kadar tol seperti yang ditetapkan. Bayaran dan tambah nilai boleh dilakukan melalui aplikasi eWallet Touch ‘n Go pada platform iOS dan Android.

    RFID akan menjadi kaedah baru pembayaran tol secara elektronik selepas ini. Ia menggunakan pelekat/tag RFID yang mempunyai chip frekuensi radio khas dan dipasang sama ada pada cermin depan atau bahagian lampu utama kenderaan, dan setiap satunya hanya khusus untuk kegunaan satu kenderaan.

    Sistem ini akan menolak kadar tol yang dikenakan dari eWallet Touch ‘n Go yang dihubungkan kepada pelekat RFID berkenaan. Ia berfungsi dengan cara yang sama dengan pengeimbas barcode. Pelekat berkenaan akan diimbas melalui pengimbas melalui gelombang elektromagnetik dalam frekuensi antara 850 dan 950 Mhz, dan boleh dilakukan dalam jarak lebih daripada 27 meter dengan kadar respon sepantas 10 milisaat.

    Dari sudut kecekapan berfungsi, RFID lebih baik dan stabil berbanding sistem SmartTag yang digunakan sebelum ini, dan ia tidak memerlukan bateri atau kecenderungan kehilangan kad TnG – kerana ia tidak memerlukan kedua-duanya.

     
     
  • Perodua Alza facelift 2018 – brosur bocor!

    Perodua Alza <em>facelift</em> 2018 – brosur bocor!

    Ketika cuti hari kemerdekaan lalu, Perodua telah mendedahkan rupa MPV Alza dengan facelift baharu tanpa apa-apa perincian lanjut. Namun kami telah pun menerima brosur model kemaskini berkenaan yang bocor di internet dari pembaca Farhan Pramadipta.

    Alza versi baharu tersebut masih lagi ditawarkan dalam tiga varian iaitu S (Standard), SE dan AV (Advanced). Tiada perubahan diberikan pada sistem mekanikal di mana kesemuanya masih dijana enjin 3SZ-VE 1.5 liter empat silinder DVVT berkuasa 102 hp/136 Nm. Namun untuk transmisi, kini hanya model S ditawarkan sama ada dengan kotak gear manual lima-kelajuan atau automatik empat-kelajuan, manakala SE dan AV cuma boleh dipilih dalam versi auto.

    Teruja dengan bampar baharu seperti yang didedahkan tempoh hari? Menerusi brosur ini nampaknya bampar dan gril hadapan rekaan baharu bersama penderia parkir hadapan berkenaan hanyalah untuk model SE dan AV, sementara model asas S masih dibekalkan dengan bampar dari model sedia ada. Selain itu, penampilan MPV ini masih lagi kelihatan sama, termasuk lampu hadapan projektor yang kelihatan sama tanpa apa-apa perubahan.

    Perodua Alza <em>facelift</em> 2018 – brosur bocor!

    Dilihat pada sisi, skirt sisi Alza tersebut nampaknya kini diberi kemasan dua serlahan jalur hitam, manakala rim 15-inci asal dari model sebelumnya menerima kemasan akhir titanium (S masih dengan rim perak).

    Bahagian belakang turut diberikan sedikit perubahan. Rekaan bampar diolah semula dengan menempatkan reflektor secara melintang berbanding menegak sebelum ini, dan turut diberikan kemasan seakan diffuser. Lampu belakang masih lagi sama, tetapi kemasan hitam yang merentangi pintu tailgate direka lebih labuh sehingga setara dengan bahagian bawah lampu, dan turut diberikan jalur krom di bawahnya.

    Perodua turut menawarkan warna badan baharu – Granite Grey – pada versi facelift ini, manakala warna lain yang terdiri dari Electric Blue, Mystical Purple, Glittering Silver dan Ivory White masih lagi boleh dipilih pembeli.

    Klik untuk besarkan

    Kabin Alza turut dilihat sedikit berubah. Bentangan pada papan instrumen telah direka semula, begitu juga pada liang penghawa dingin bahagian tengah akan memberikan pengudaraan lebih baik kepada penumpang pada baris ketiga, menurut Perodua.

    Istimewa untuk versi AV, ia kini diberikan skrin infotaimen baharu yang memberikan fungsi screen mirorring dan paparan kamera undur, serta masih dibekalkan dengan skrin bumbung tambahan untuk penumpang belakang. Varian lain yang lebih rendah pula masih menerima unit hiburan asas dengan input USB serta Bluetooth. AV juga kini diberikan upholsetri kulit rekaan baharu pada tempat duduk, manakala S dan SE dibekalkan dengan fabrik yang lebih gelap dari sebelumnya.

    Sistem keselamatan pada Alza facelift 2018 ini nampaknya masih kekal sama. Ia dilengkapi dengan dua beg udara hadapan, sistem brek ABS, EBD dan BA, cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix pada tempat duduk baris kedua, serta penderia undur.

     
     
  • SPYSHOT: Mitsubishi Triton facelift 2019 dilihat lagi

    SPYSHOT: Mitsubishi Triton <em>facelift</em> 2019 dilihat lagi

    Mitsubishi Triton facelift dilihat sekali lagi, dengan pelekat samaran, selepas tampil awal tahun ini di Tonsley, selatan Australia. Dalam kemunculan terbaru, model sama dilihat di Eropah, dan dengan jelas mempamerkan wajah dengan Dynamic Shield baru serta penggayaan yang lebih segar.

    Wajah baru ini menerima rekaan lampu utama yang lebih tirus (kemungkinan projektor LED dengan DRL LED) serta gril baru. Kedudukan lampu kabus juga dianjak ke sudut yang paling hujung bahagian bawah bampar.

    Ia turut menampilkan penggunaan pelindung ruang enjin di bahagian bawah, dalam warna hitam, sama seperti pada Triton sebelum ini. Ia juga menggunakan rim yang diberi rekaan baru, serta lampu belakang yang dikemaskini. Selebihnya, penampilan rekaan dan bentuk kabin Triton nampak sama dengan model sedia ada.

    SPYSHOT: Mitsubishi Triton <em>facelift</em> 2019 dilihat lagi

    Setakat ini, masih belum ada perincian lanjut sama ada Triton facelift ini (dikenali sebagai L200 di pasaran lain) akan dilengkapi dengan enjin yang diberi peningkatan. Tetapi, ia dijangka akan diberikan peningkatan – terutama pada bahagian kabin.

    Dengan wajah baru ini, Triton akan tampil dengan rupa yang lebih mirip kepada model konsep GR-HEV yang dipertontonkan pada 2013 lalu. Apa pandangan anda tentang penampilan baru trak pikap ini?

     
     
  • Kontrak dan AP yang dijual kepada pihak ketiga untuk raih keuntungan atas angin akan dibatalkan – PM

    Kontrak dan AP yang dijual kepada pihak ketiga untuk raih keuntungan atas angin akan dibatalkan – PM

    Penjualan kontrak dan Permit Import (AP) kepada pihak ketiga sebenarnya bukanlah suatu perkara baharu. Ia telah lama dilakukan oleh syarikat mahu pun individu yang mendapat kontrak dan AP tersebut, bagi meraih keuntungan atas angin.

    Enggan gejala ini kian berleluasa, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, kontrak dan AP yang dijual kepada pihak ketiha akan dibatalkan berkuat kuasa serta-merta, laporan Berita Harian.

    Beliau menegaskan pihak yang berhasrat untuk menjadi peniaga ‘ali baba’ dengan memanipulasi AP dan kontrak tidak sepatutnya memfailkan permohonan.

    Kontrak dan AP yang dijual kepada pihak ketiga untuk raih keuntungan atas angin akan dibatalkan – PM

    “Apabila kita dapat peluang, guna ia sebaik mungkin, bukan jual walaupun boleh dapat wang cepat kerana percaturan seperti ini hanya membuatkan orang lain yang kaya. Kalau hanya untuk jual kontrak dan AP, maka ia terbatal dan tidak boleh dilaksanakan. Kita ada banyak lagi cara untuk ketatkan amalan yang berupaya merosakkan proses tadbir urus,” katanya dalam perasmian Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 baru-baru ini.

    Beliau berkata, ia termasuk peruntukan kuota kontrak dan AP kepada golongan berkenaan, namun usaha itu terencat susulan keputusan mereka untuk menjual atau memindahkannya sebagai pendekatan jalan pintas.

    “Mungkin salah kerajaan (ketika itu) kerana beri AP kepada kroni dengan tanggapan mereka tidak berusaha seperti yang sering dilemparkan terhadap Dasar Ekonomi Baharu (DEB). Orang lain dapat juga AP, tetapi tidak gagal kerana berniaga, berbanding mereka yang jual setiap satunya dengan nilai RM8,000 satu permit. Memang mereka jadi kaya, tapi tak lamalah,” katanya.

     
     
  • Harga petrol RON 97 turun 4 sen sepanjang September

    Harga petrol RON 97 turun 4 sen sepanjang September

    Nampaknya lepas ini tak ada lagi perubahan dan pengumuman harga bagi petrol RON 97 secara mingguan. Selepas harganya naik empat sen dua hari lalu, kini KPDNHEP memaklumkan harganya kembali turun sebanyak empat sen, dan akan kekal untuk tempoh sebulan sepanjang September.

    Ini menjadikan harga RON 97 akan dijual pada harga RM2.65 seliter sepanjang bulan ini. Harga bahan api lain pula masih kekal sama disebabkan pemberian subsidi sehingga hujung tahun ini.

    Untuk itu, harga petrol RON 95 dijual pada RM2.20 seliter, manakala diesel Euro 2M RM2.18 seliter dan diesel Euro 5 pula RM2.28 seliter.

     
     
  • Perodua tampilkan Alza facelift dalam iklan Merdeka

    Perodua tampilkan Alza <em>facelift</em> dalam iklan Merdeka

    Selamat Hari Merdeka. Walaupun ketika ini ramai di antara kita yang ternanti-nanti pengesahan harga baru kenderaan selepas pelaksanaan SST, Perodua ada satu “bonus” lain yang disampaikan senyap-senyap.

    Di dalam poster sempena Hari Merdeka yang baru sahaja dikeluarkan di laman Facebook rasmi, syarikat ini menampilkan model Alza versi facelift terbaru, lebih awal daripada tarikh pengenalan rasminya yang dikhabarkan akan berlangsung dalam bulan September ini.

    Ini selari dengan maklum balas yang pernah diberikan Perodua awal Ogos lalu, yang menyatakan model Alza akan diberikan peningkatan terlebih dahulu sebelum digantikan dengan model baru.

    Dari gambar berkenaan, perubahan paling ketara ialah pada bahagian wajah depan Alza. Bermula dari bahagian gril, ia bakal menampilkan rekaan dua bilah krom merentangi kawasan berekaan, sementara kerangka luaran rekaan gril yang sama pula hadir dalam kemasan yang kelihatan seperti krom-hitam.

    Perodua tampilkan Alza <em>facelift</em> dalam iklan Merdeka

    Bahagian yang menempatkan lampu kabusnya juga diberi rekaan baru, dengan perumahnya datang dalam perincian hitam, yang dilanjutkan pula ke bahagian rekaan bawah bamparnya – juga dengan rekaan bilah melintang, dengan bukaan udara yang lebih besar. Lampu utamanya juga nampak diberi peningkatan, tidak lagi menggunakan unit halogen biasa seperti sebelum ini.

    Selain itu, rekaan bampar secara keseluruhan juga diberikan sentuhan baru. Tidak lupa juga penggunaan rim dalam warna gelap dengan lapan jejari dengan perincian dan kemasan baru – walaupun rekaan nampak seperti dikekalkan dari yang sebelum ini.

    Alza kini menjadi model paling lama dan “senior” dalam barisan kenderaan yang ditawarkan oleh Perodua ketika ini. Ia pertama kali diperkenalkan pada tahun penghujung 2009 dahulu, dan telah menerima beberapa kemaskini sepanjang tempoh hayatnya sehingga kini.

    Bagaimanapun, masih belum ada perincian lanjut yang diumumkan secara rasmi oleh Perodua. Ini merupakan imej pertama bagi Alza facelift terbaru yang dapat kita lihat. Apa pandangan anda tentang rekaan terbaru bahagian depan MPV kompak ini, menarik atau sebaliknya?

     
     
  • VIDEO: Selamat Hari Kemerdekaan ke-61, Malaysia! – sorotan penglibatan industri automotif di negara kita

    Diam tak diam, 31 Ogos tahun ini menandakan sudah 61 tahun kita Merdeka daripada penjajahan British. Sepanjang tempoh itu juga, telah banyak yang kita lalui sebagai sebuah negara yang di dalamnya terdiri daripada berbilang kaum yang pelbagai latar belakang dan budaya.

    Tahun ini juga banyak sejarah besar yang telah kita lakarkan bersama, terutamanya perubahan lanskap politik dan sosial selepas PRU14 Mei lalu. Dan tentunya, jalan ke depan lebih genting dan mencabar; bagaimana kita sebagai sebuah negara mahu memanfaatkan keadaan, ruang dan peluang ini untuk membawa Malaysia ke tahap yang jauh lebih baik.

    Kesungguhan untuk membangunkan negara tidak wajar disandarkan hanya pada bahu ahli-ahli politik sahaja. Kita, anak semua bangsa dari semua lapisan masyarakat, wajar merebut peluang untuk turut sama terlibat dalam proses berkenaan, tidak kira sekecil apa pun peranan kita masing-masing. Ke mana harus kita bawa negara tercinta ini?

    Bagi kami di paultan.org, satu daripada caranya adalah untuk belajar dari sejarah. Dan, semestinya segala hal berkaitan automotif begitu dekat di hati kami, dan di lapangan ini jugalah kami bertungkus-lumus memainkan peranan dan memberikan yang terbaik. Hanya kerja keras dan kesungguhan, moga sama-sama dapat membantu meletakkan industri automotif Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.

    VIDEO: Selamat Hari Kemerdekaan ke-61, Malaysia! – sorotan penglibatan industri automotif di negara kita

    Bercakap tentang sejarah automotif, Malaysia lama dulu telah menjadi pemain utama serantau. Tidak berlebihan sekiranya ingin menyatakan bahawa kita antara yang terawal memberikan perhatian terhadap industri automotif di rantau ini, sebelum negara-negara jiran bangkit dan menelusuri jalan yang sama dan kini berada di hadapan kita.

    Untuk itu, melalui video khas sempena Merdeka ini, kami ingin membawa anda untuk pandang ke belakang dan lihat kembali apa peranan yang Malaysia pernah mainkan di dalam usaha untuk memperkukuh dan meraih keyakinan luar terhadap sektor perindustrian yang menjadi antara yang terbesar di negara kita hari ini.

    Mungkin ada banyak perkara yang anda sudah lupakan, atau mungkin juga tidak pernah ketahui tentang Malaysia dan perjalannya berkaitan perkembangan industri automotif selama ini. Dari kami, pasukan editorial paultan.org ingin mengucapkan Selamat Hari Merdeka ke-61 untuk semua rakyat Malaysia. Nikmati video yang kami sediakan ini.

     
     
  • Menangi tiket percuma tayangan perdana The Predator 12 September ini melalui peraduan Driven Movie Night

    Menangi tiket percuma tayangan perdana <em>The Predator</em> 12 September ini melalui peraduan Driven Movie Night

    Driven Movie Night kembali lagi! Filem The Predator akan ditayangkan di pawagam pada 13 September nanti, tetapi kami ingin memberikan anda peluang untuk menontonnya lebih awal bersama kami, terima kasih kepada 20th Century Fox Malaysia. Kami sedang mencari pemenang bertuah bagi tayang perdana yang akan berlangsung pada 12 September 2018, pukul 9 malam di TGV Sunway, Petaling Jaya.

    10 pasang tikat ditawarkan untuk dimenangi; ini bermakna kami memberikan keseluruhannya 20 pas masuk percuma. Apa yang anda perlu lakukan ialah tonton sedutan filem ini di bawah dan jawab dua soalan mudah. Tapi, anda perlu cepat, kerana peraduan ini tamat pada Khamis, 6 September nanti.

    Dari ruang angka hinggalah ke sebuah pekan di pinggir bandar, siri Predator terbaru ini menerima sentuhan dan penceritaan semula yang memukau dari Shane Black. Kini, pemburu paling kejam itu telah bertambah kuat, pintar dan merbahaya berbanding sebelumnya, dengan cara memperkukuhkan DNA dari spesis lain.

    Ketika seorang kanak-kanak secara tidak sengaja mencetuskan kepulangan mereka ke Bumi, nasib seluruh manusia berada di tangan sekumpulan bekas askar dan guru sains yang mampu melakukan sesuatu.

    Untuk mengetahui selanjutnya, sertai peraduan ini sekarang.

    *Peraduan ini akan ditutup pada Khamis, 6 September 2018. Pemenang akan diumumkan di laman paultan.org dan dimaklumkan melalui emel dan SMS pada Jumaat, 7 September 2018. Keputusan adalah muktamad, dan sebarang bantahan tidak akan dilayan. Tayangan akan dilakukan pada pukul 9 malam pada Rabu, 12 September 2018 di TGV Sunway Pyramid di Petaling Jaya. Pemenang perlu mengambil tiket mereka di lokasi berkenaan sejam sebelum tayangan. Disebabkan lokasi tayangan, peraduan ini hanya terbuka kepada mereka yang berada di Lembah Klang sahaja.

     
     
  • Limosin Aurus Senat jadi kereta rasmi Vladimir Putin

    Limosin Aurus Senat jadi kereta rasmi Vladimir Putin

    Pernah nampak Presiden Rusia, Vladimir Putin naik sebuah kereta yang tak berapa dikenali sebelum ini? Itu sebenarnya Aurus Senat, sebuah kereta yang dibangunkan sepenuhnya di Rusia di bawah satu jenama mewah baru, Aurus.

    Nama ini diambil dari dua perkataan; “aurum” (emas dalam bahasa Latin) dan “rus” untuk Rusia. Kereta yang nampak macam rupa bentuk sebuah Rolls Royce sebenarnya dibangunkan oleh sekumpulan pengeluar kenderaan Rusia yang diketuai oleh Russian Central Scientific Research Automobile and Automobile Engines Institute (NAMI) di bawah projek dengan nama Kortezh.

    Limosin ini pertama kali kelihatan secara umum Mei lalu, ketika Putin memandunya dalam satu siaran televisyen. Model Senat ini ketika itu menggantikan sebuah Mercedes-Benz yang biasa digunakan oleh beliau, ketika majlis pelantikannya sebagai presiden bagi penggal keempat.

    Limosin Aurus Senat jadi kereta rasmi Vladimir Putin

    Tindakan itu menghantar mesej patriotik bahawa Rusia mampu berdikari dan tidak perlu bergantung kepada teknologi dan barangan dari luar. Ini adalah rentetan kepada tekanan yang dihadapi Rusia disebabkan sekatan oleh Barat.

    Bagi versi pasaran umum, ada dua versi yang dipertontonkan – Senat standard dan juga Senat Limosin yang lebih panjang. Yang pertama mempunyai kepanjangan 5,639 mm (kurang sedikit dari Rolls-Royce Phantom, tetapi lebih panjang dari Bentley Mulsane), manakala versi limosin mempunyai kepanjangan 6,629 mm.

    Ia dikuasakan oleh enjin 4.4 liter petrol hibrid V8. Enjin turbocas itu menghasilkan sebanyak 598 hp dan 880 Nm tork, manakala motor elektriknya pula membekalkan tambahan 40 hp. Kuasa disalurkan kepada semua tayar melalui transmisi automatik sembilan-kelajuan.

    Limosin Aurus Senat jadi kereta rasmi Vladimir Putin

    Enjin yang lebih besar dengan kapasiti 6.6 liter V12 juga sedang dibangunkan, dijangka akan menghasilkan sebanyak 800 hp. Kedua-dua sistem janaan kuasa ini dibangunkan bersama dengan Porsche.

    Penyerahan pertama Aurus Senat ini akan dilakukan awal 2019 nanti, dengan hanya 150 unit dirancang untuk dikeluarkan bagi tempoh dua tahun pertamanya. Pada 2021, angkanya akan ditingkatkan kepada 5,000 hingga 10,000 unit, bergantung kepada permintaan. Syarikat itu juga sedang mempertimbang untuk memasuki pasaran eksport di China dan Timur Tengah.

    Menarik tak kereta rasmi Persiden Putin yang guna produk Rusia sepenuhnya ini? Tak lama lagi akan banyaklah atas jalan di sana, bila versi umum mula diedarkan kelak.

     
     
  • Lexus RC 2019 dipertingkatkan imej, pengendalian

    Lexus RC 2019 dipertingkatkan imej, pengendalian

    Selepas beberapa ketika, Lexus akhirnya telah memberikan peningkatan bagi model RC 2019. Perubahan ini termasuklah penggayaan ala coupe, dan juga aspek berkaitan pemanduan, dengan beberapa informasi yang akan didedahkan pada Oktober hadapan di Paris Motor Show.

    Untuk bahagian hadapannya, RC 2019 digayakan dengan bampar baharu yang turut menampilkan gril gelendong, bersama corong sudut yang dibentuk semula. Malahan ia turut ditampilkan dengan lampu nyalaan siang LED berbentuk-L disambung dengan lampu utama, dengan pilihan spesifik unit tiga-LED.

    Bagi bahagian belakangnya pula, lampu belakang yang lebih gelap ditampilkan bersama grafik berbentuk-L, bersama corong udara di sudut bampar. Selain itu, set roda aloi 19-inci turut ditawarkan sama seperti model terkini LS dan LC. Warna baharu, Blue Vortex Metallic, turut ditawarkan, bersama 10 lagi pilihan warna lain.

    Menjengah bahagian kabinnya pula, kemasan Dark Gray baharu turut digayakan pada panel kawalan pemanas dan panel audio. Lexus turut menambah pad lutut yang lebih besar.

    Model dengan pakej F Sport pula ditambah dengan kemasan Dark Gray Streamline. Malah pelanggan juga boleh memilih dari enam jenis kemasan dalaman, dengan warna seperti Glazed Caramel dan hitam dengan sentuhan kuning yang turut ditawarkaan. Secara keseluruhan, sebanyak tujuh warna kombinasi ditawarkan, termasuk untuk F Sport.

    Bagi pemanduan, kejuruteraan Lexus menambah ciri aerodinamik model ini dengan memperkenalkan bentuk fin yang baharu pada tingkap sisi dan bampar belakang yang dipertingkatkan untuk lebih kestabilan.

    Roda dan tayar baharu juga ditampilkan bagi memberikan cengkaman lebih baik, dan suspensi juga ditambahbaik bagi ketegaran sesendal (bushing) dan juga peredam baharu. Dengan semua pembaharuan ini, bersama penjana kuasa yang dioptima dapat membantu RC menjadi “lebih mantap dan responsif”.

     
     
  • Volkswagen Tiguan Offroad didedahkan di Moscow

    Volkswagen Tiguan Offroad didedahkan di Moscow

    Volkswagen Tiguan Offroad bakal didedahkan tahun ini iaitu di Moscow Motor Show tidak lama lagi. Model ini didatangkan dengan beberapa ciri yang memang kena dengan nama yang disarankan.

    Untuk luaran, bampar off-road boleh menambahkan sudut pendekatan sehingga 26 darjah. Di samping itu, ia turut didatangkan dengan roda aloi ‘Tulsa’ 17-inci, spoiler bumbung R-Line, cermin sisi yang dicat hitam, lampu belakang LED dan lampu LED adaptif.

    Pembeli boleh memilih beberapa pilihan warna – White Silver, Pure White, Deep Black dan Tungsten Silver – dengan pilihan bumbung berwarna hitam sekali.

    Volkswagen Tiguan Offroad didedahkan di Moscow

    Untuk dalamnya, beberapa campuran fabrik dan sintetik digunakan untuk memastikan ia tahan lebih lama dengan permukaan berbeza. Selain itu, ia juga menampilkan alas getah unik dengan logo ‘Offroad’, pad pedal aloi ringan dan ambang pintu.

    Pilihan penjana kuasa dengan dua enjin petrol– 1.4 TSI (150 PS) dan 2.0 TSI (180 PS) – bersama 2.0 TDI diesel (150 PS). Semua enjin didatangkan dengan kotak gear DSG tujuh-kelajuan dengan sistem pacuan semua-roda 4Motion standard – sesuai untuk pemanduan off-road.

    Kelengkapan lain yang turut disertakan termasuklah Paparan Info Aktif, sistem infotainmen Composition Media, skrin sesentuh 8-inci, pintu belakang berkuasa, sambungan Android Auto dan Apple CarPlay, kamera undur dan pengesan parkir.

    Volkwagen turut menawarkan Innovation Package sebagai pilihan, dengan menambah ciri seperti ACC Stop & Go, lampu utama LED adaptif, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, dan Bantuan Parkir. Malah roda aloi ‘Sebring’ 18-inci turut ditawarkan.

    Tiguan Offroad dipasang bersama model Tiguan biasa di kilang Volkswagen Group Rus di Kaluga, Rusia, dan jualannya dijangka bermula 1 Oktober.

     
     
  • Volkswagen lanjutkan ‘cuti cukai’ – sifar GST dan SST hingga 15 November, sementara stok masih ada

    Volkswagen lanjutkan ‘cuti cukai’ – sifar GST dan SST hingga 15 November, sementara stok masih ada

    Esok hari terakhir rakyat Malaysia menikmati tempoh cuti cukai di mana kerajaan telah bermurah hati untuk menetapkan kadar GST kepada 0% bermula 1 Jun lalu, sebelum ia digantikan dengan cukai SST bermula 1 September nanti. Anda dah beli kereta tanpa cukai? Kalau belum, peluang untuk mendapatkan kereta dengan harga lebih rendah sebenarnya masih ada jika anda mahukan sebuah VW kerana Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) hari ini mengumuman lanjutan tempoh tanpa cukai untuk barisan modelnya menerusi Skim Perlindungan Harga.

    Skim tersebut akan melibatkan kesemua model Volkswagen yang didaftarkan sekarang dan ia akan dilanjutkan sehingga 15 November 2018 dan sah sehingga stok masih ada. Menerusi skim ini, setiap model yang dijual adalah berdasarkan kepada harga 0% GST sekarang dan VPCM akan menyerap perbezaan harga yang disebabkan perlaksanaan SST kelak.

    Volkswagen lanjutkan ‘cuti cukai’ – sifar GST dan SST hingga 15 November, sementara stok masih ada

    Klik untuk besarkan

    Skim ini akan melibatkan semua model yang dijual di Malaysia, sama ada pemasangan tempatan dan import. Walau bagaimanapun, VPCM sekali lagi menegaskan bahawa stok adalah terhad dan pelanggan harus mengambil peluang ini untuk membuat tempahan sebuah Volkswagen baharu untuk menikmati skim berkenaan bagi mengelakkan kekecewaan.

    “Maklum balas sejak tiga bulan lalu berikutan pengumuman 0% GST sangat memberangsangkan. Kami cuba untuk memenuhi semua permintaan. Pengenalan Skim Perlindungan Harga merupakan satu cara VPCM untuk membuktikan bahawa kami sangat mengutamakan para pelanggan. Jadi, kami ingin menggesa pelanggan supaya membuat tempahan sekarang dan menikmati lanjutan tempoh tanpa cukai ini,” kata Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter.

     
     
  • RapidKL lanjutkan operasi LRT, MRT dan bas sempena konsert Sayangi Malaysiaku 2018 di Dataran Merdeka

    RapidKL lanjutkan operasi LRT, MRT dan bas sempena konsert Sayangi Malaysiaku 2018 di Dataran Merdeka

    Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah mengumumkan akan melanjutkan waktu operasi perkhidmatan LRT, MRT dan bas di beberapa stesen terpilih pada malam 30 Ogos sehingga 1 pagi 31 Ogos sempena konsert Sayangi Malaysiaku 2018 di Dataran Merdeka.

    Menurut kenyataan terbabit, stesen LRT dan MRT terlibat ialah LRT Masjid Jamek, LRT Bandaraya, LRT Pasar Seni dan MRT Pasar Seni. Perkhidmatan bas RapidKL juga akan dilanjutkan operasi dari hab bas Pasar Seni dengan bas terakhir berlepas 15 minit selepas tren terakhir berlepas.

    Laluan terlibat adalah ke Taman Jasa Utama (nombor laluan 173), Taman Melawati (220), Pandan Mewah (300), Terminal Kajang (450), Taman Sri Muda (751), Taman Medan (781), Taman Sri Manja/Taman Sri Sentosa (640), Puchong Utama (600), Kota Damansara (780) dan Taman Dato’ Senu (180).

    RapidKL lanjutkan operasi LRT, MRT dan bas sempena konsert Sayangi Malaysiaku 2018 di Dataran Merdeka

    Tambahnya Prasarana lagi, lima bas pengantara MRT pula akan beroperasi sehingga 2 pagi melibatkan nombor laluan T801 (MRT Kwasa Sentral-Subang Bestari), T102 (MRT Sungai Buloh-Aman Putri), T103 (MRT Sungai Buloh-Damansara Damai), T460 (Bandar Teknologi Kajang-MRT Stadium Kajang), dan T464 (Teras Jernang-MRT Kajang.

    Pengguna juga digalakkan menggunakan kad nilai Touch ‘n Go agar dapat mengelakkan kesesakan sewaktu mahu membeli token di mesin tiket.

    Walau bagaimana pun, stesen LRT dan MRT lain akan menamatkan operasi seperti biasa namun pengguna masih boleh keluar melalui stesen tersebut.

     
     
  • DBKL tawar kadar khas kompaun serendah RM20 kepada pesalah trafik dari 1-30 September ini

    DBKL tawar kadar khas kompaun serendah RM20 kepada pesalah trafik dari 1-30 September ini

    Bagi pesalah trafik yang belum menjelaskan notis kompaun kesalahan tempat letak kenderaan bermeter dan lalu lintas, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menawarkan kadar khas kompaun serendah RM20 mulai 1 hingga 30 September ini.

    Menurut Pengarah Jabatan Perancang Korporat DBKL Khairul Azmir Ahmad, kompaun khas RM20 diberikan bagi pengguna motosikal, RM30 bagi kereta, MPV, van, lori kecil, pikap, 4WD dan SUV manakala RM50 bagi kenderaan berat seperti lori besar, bas, kren, traktor dan treler, laporan Bernama.

    “Inisiatif ini adalah peluang bagi pesalah trafik menyelesaikan notis kompaun yang diterima sebelum 1 September 2018 bagi mengelakkan kes mereka disenarai hitam oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” ujarnya lagi.

    Walau bagaimana pun, kadar khas itu tidak termasuk bagi kesalahan yang sudah disenarai hitam (status W) dan kes-kes mahkamah (tindakan undang-undang (U), sebutan mahkamah (M) dan waran tangkap (W), katanya.

    Bayaran kadar khas itu boleh dibuat di beberapa lokasi antaranya kaunter bayaran dan kiosk DBKL, pejabat pos, aplikasi mudah alih DBKL Mobis dan portal dalam talian www.myeg.com atau e-bayar.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025