Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • 50 unit Ferrari di Malaysia terlibat dalam panggilan semula berhubung masalah beg udara Takata

    ferrari 458 italia

    Minggu lalu, dilaporkan sebanyak 359 unit Ferrari yang dibina antara 2009 hingga 2011 dipanggil semula di Australia berhubung beg udara keluaran Takata yang dipasang berkemungkinan bermasalah.

    Komponen yang diambil dari luar pada beg udara sebelah penumpang berkemungkinan tidak mematuhi piawaian. Jika kereta tersebut terlibat dalam kemalangan yang akan menyebabkan beg udara meletup, ketidakpatuhan tersebut mungkin akan menyebabkan kegagalan pada unit inflator dan letupan beg udara yang tidak betul pada sebelah penumpang, meningkatkan risiko berlakunya kecederaan.

    Australian Competition and Consumer Commission (ACCC) mengesahkan di laman web mereka dengan menyiarkan notis rasmi panggilan semula tersebut dan Ferrari Australiasia menyenaraikan 458 Italia, 458 Spider, California dan FF sebagai model yang terlibat.

    Untuk kemaskini isu ini dari sudut perspektif di Malaysia, Pejabat Ferrari Timur Jauh telah mengesahkan dengan paultan.org bahawa 50 unit Ferrari terlibat dengan panggilan semula berhubung isu yang sama. Model yang terlibat termasuk 458 Italia, California dan FF. Alat ganti akan ditukar pada kereta-kereta yang terlibat tanpa sebarang kos yang perlu dikeluarkan oleh pemilik.

    Sebelum ini Ferrari memanggil semula sekitar 2,600 model diseluruh dunia pada Julai 2015 berhubung masalah beg udara Takata sebelah pemandu, di mana 11 daripadanya yang terdiri dari model 458 Italia, FF, 458 Spider, 458 Speciale/Speciale A, California T, F12 Berlinetta and LaFerrari direka untuk pasaran Malaysia.

     
     
  • Plat nombor ‘F1’ dijangka dibida melebihi RM1j – JPJ

    W1A

    Tidak lama lagi, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya bakal menerima nombor pendaftaran kenderaan baharu yang bermula dengan abjad ‘F’ dan ‘V’ untuk kenderaan yang didaftarkan pada Jun dan Julai ini. Di mana Timbalan Menteri pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi berkata abjad-abjad awalan tersebut telah dipilih selepas menerima permohonan dari Perbadanan Putrajaya.

    Ekoran itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjangkakan nombor pendaftaran ‘F1’ bagi Putrajaya mampu dibida hingga melebihi RM1 juta, laporan Bernama. Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad, jumlah bidaan bagi nombor pendaftaran itu tidak ditetapkan dan terbuka untuk mana-mana pihak yang berminat.

    “Nombor pendaftaran yang paling mahal setakat ini dibeli pihak tertentu adalah W1N pada harga RM746,000 dan bagi nombor plat ‘F1’ pula dijangka lebih RM1 juta,” katanya.

    Bagaimanapun, Ismail enggan mendedahkan identiti individu yang membuat permohonan membida nombor pendaftaran ‘F1’ itu berikutan tempoh pembukaan tender masih berbaki dua hari lagi.

    Sebelum ini, dilaporkan jutawan perusahaan kosmetik terkenal Datuk Seri Hasmiza Othman, atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida turut menyampaikan hasratnya untuk membida nombor berkenaan. Di mana beliau telah bersedia ‘meletakkan harga yang cukup menarik’ bagi bidaan tersebut.

     
     
  • Sila gunakan kerusi khas kanak-kanak ketika pulang ke kampung sempena Hari Raya 2016 – pinjamkannya secara PERCUMA dari paultan.org

    IK-CAR-SEAT

    Kepada para pembaca dan ibubapa, sambutan Hari Raya Aidilfitri bakal menjelang tiba dan pastinya ramai antara kita akan melalui perjalanan yang panjang dan sukar untuk pulang ke kampung halaman.

    Namun begitu, satu hakikat yang tidak dapat dinafikan bahawa kadar kemalangan sering berlaku semasa tempoh ini. Di mana risiko kemalangan jauh lebih tinggi apabila banyak kenderaan di jalan raya, dengan masing-masing bergegas pulang ke rumah sebelum menjelang lebaran tiba.

    Kini, apa yang kita semua boleh lakukan secara terbaik ialah menjaga keluarga kita sendiri dengan lebih selamat, supaya kita tidak mengubah suasana yang sepatutnya gembira itu menjadi kedukaan. Pada ketika ini, kami ingin sekali mengingatkan semua tentang kepentingan penggunaan kerusi khas kanak-kanak ini. Wahai ibu bapa, jika anda sedang mencari masa yang sesuai untuk menggunakannya, inilah ruang yang terbaik untuk melakukannya.

    Namun salah satu alasan yang sering kali diberikan oleh ibu bapa di Malaysia ini mengapa tidak menggunakan kerusi khas kanak-kanak ini adalah kerana ia terlalu mahal untuk dibeli. Berdasarkan kajian kami sendiri, didapati, kerusi khas kanak-kanak yang disahkan oleh ECE R44 kini boleh didapati pada sekitar RM400.

    Memang ia bukanlah nilai yang kecil buat semua, namun jika anda menghabiskan wang ringgit hanya untuk membeli kit badan, rim aloi yang lebih cantik dan sebagainya, adalah lebih baik anda membeli kerusi khas kanak-kanak yang sangat diperlukan
    ini.

    Kerusi khas kanak-kanak untuk dipinjamkan secara PERCUMA – perkhidmatan komuniti oleh paultan.org, tajaan Mercedes-Benz Malaysia

    Mercedes-Benz-Malaysia-Future-of-the-Nation--e1464339091784

    Jika anda tidak mahu menggunakan kerusi khas kanak-kanak ini setiap hari, sekurang-kurangnya gunakanlah ia sepanjang Raya ini. Kami di paultan.org, tajaan Mercedes-Benz Malaysia, membuat keputusan untuk membuat sesuatu kelainan sempena Raya ini.

    Kami telah membeli 185 unit kerusi khas kanak-kanak yang mematuhi piawaian ECE R44 (35 tanpa Isofix dan 100 kerusi Isofix tajaan Mercedes-Benz Malaysia) dan kami ingin menawarkan kepada 185 keluarga di Malaysia ini untuk meminjam secara PERCUMA kerusi khas kanak-kanak ini bagi digunakan sepanjang Hari Raya ini.

    Terdapat empat jenis tempat duduk kanak-kanak ditawarkan untuk tahun ini. Pertama, tempat duduk kanak-kanak Koopers Jive, di mana ia boleh untuk kedudukan menghadap di belakang (0-13 kg) atau -ke hadapan (9-18 kg). Ia boleh dipasang dengan menggunakan Isofix dan tali pinggang keledar, dengan alat bantuan sokongan bagi mengehadkan pergerakannya kerusi ini.

    Jenis kedua pula ialah Koopers Mambo, kerusi khas kanak-kanak jenis-Isofix, yang boleh digunakan untuk arah hadapan-belakang (0-10kg) atau arah-hadapan (10-18 kg). Ia turut didatangkan dengan alat bantuan penyokong untuk mengehadkan pergerakan kerusi terbabit.

    Arah jam dari kiri: Koopers Jive, SNSKIDZ Pro dan Koopers Mambo. SNSKIDZ Star seperti foto di bawah

    Selain itu, kami juga memiliki SNSKIDZ Star iaitu tempat duduk yang boleh ditukar posisinya, sama ada menghadap arah-belakang (0-10 kg) atau arah-hadapan (10-25 kg), dan juga SNSKIDZ Pro, pengalas (booster) kerusi khas kanak-kanak menghadap hadapan (15-36 kg). Kerusi khas ini hanya menggunakan tali pinggang keledar untuk pemasangannya.

    Terima kasih yang tidak terhingga buat Safe ‘n Sound dan Koopers kerana menawarkan kerusi khas ini kepada kami dengan harga istimewa.

    Jika anda tidak memerlukan bantuan program ini dan ingin membelinya sendiri, layari SNSKIDZ Star untuk pembelian.

    Pemasangan menghadap ke belakang

    Child-car-seats-paultan.org-011

    Jika anak anda seberat 10 kg dan ke bawah, anda disarankan untuk memasang kerusi khas ini secara menghadap ke belakang. Kerusi khas yang sama boleh dipasang dengan menghadap ke belakang, cuma gunakan arah pemasangan yang berbeza bagi tali pinggang keselamatan. Apabila anda ingin mengambil kerusi khas yang dipinjamkan ini di The School, Jaya One, kami akan memasangkannya untuk anda dan sekali gus melatih anda memasangnya secara betul.

    Sebenarnya, adalah lebih baik untuk memastikan penumpang dewasa di belakang bersama kanak-kanak terbabit memiliki ruang yang lebih luas. Malah apabila memasang kerusi ini dengan cara sebegitu, ia turut memberikan ruang yang lebih pada bahagian bahu. Malah anda juga boleh berkomunikasi dengan anak anda secara lebih baik. Kami menggunakan Perodua Myvi untuk demo ini.

    Pemasangan menghadap ke hadapan

    Child-car-seats-paultan.org-007

    Cara ini sesuai untuk kanak-kanak yang memiliki berat antara 18 hingga 25 kg. Kami juga akan memasangkan kerusi khas ini untuk anda dan akan melatih anda bagaimana caranya memasang kerusi khas ini di dalam kereta anda.

    Seperti dalam foto di atas, kerusi khas ini bersifat kompak dan sesuai untuk kereta yang kecil, kerana ia tidak memerlukan ruang yang agak besar. Kami menggunakan Perodua Myvi untuk demo ini.

    Pemasangan Isofix
    paultan.org_free_child_seat_rental_-005

    Tempat duduk jenis Kooper Jive dan Mambo pula, lebih mudah untuk dipasang berbanding menggunakan tali pinggang keledar. Tapi kami tetap akan melatih anda untuk memasangnya supaya ia boleh dipasang secara betul dengan elemen Isofix yang ada dalam kenderaan anda.

    Kedua-duanya didatangkan dengan alat bantuan sokongan, di mana ia membantu mengurangkan pergerakan tempat duduk ini sekiranya berlaku kemalangan.

    paultan.org_free_child_seat_rental_-003

    Gunakan kerusi khas kanak-kanak setiap hari!

    Kami bersetuju, tetapi ini untuk mereka yang berkeyakinan. Ini kerana masih ramai di luar sana yang tidak menggunakan kerusi khas kanak-kanak kerana tidak mendapat pendedahan yang sewajarnya.

    Selain itu, ada keluarga yang mungkin tidak mampu untuk membelinya. Jadi, dengan cara menyewa secara percuma ini dapat menangani faktor kemampuan dalam tempoh kritikal yang meningkatkan kadar kemalangan.

    Selepas tempoh sewa telah berakhir, kita akan melihat jika keluarga terbabit membuat keputusan untuk menggunakannya secara berterusan, kami akan membantu untuk membelinya dengn cara yang lebih mudah daripada kerusi yang disewa itu.

    Berminat? Kami harapkan YA!

    Hanya isi borang yang dilampirkan di bawah dan kami akan menghubungi keluarga yang terpilih secepat mungkin.

    Anda juga perlu memberikan deposit (RM150 bagi kerusi tanpa-Isofix, RM300 untuk kerusi Isofix) ketika mengambil kerusi khas ini dari kami di The School, Jaya One. Dan deposit tersebut akan dipulangkan sepenuhnya ketika anda memulakan kerusi khas ini kepada kami pada 31 Julai 2016. Kami hanya menawarkan nilai deposit yang cukup rendah (lebih rendah berbanding kos bagi kerusi khas berkenaan) jadi ia tidaklah menjejaskan perbelanjaan anda sekeluarga pada Raya ini.

    Para pembaca, jika mungkin keluarga anda tidak memerlukannya, apa kata anda membantu kami mewar-warkan perkara ini kepada kenalan lain. Kongsikannya menerusi Facebook dan Twitter anda dan marilah kita bersama-sama menjadi pengguna jalan raya yang berhemah untuk anak-anak kita.

    Jangka masa sewaan secara PERCUMA ini berlangsung sehingga 31 Julai 2016.

     
     
  • Pemandu kenderaan guna lorong kecemasan bakal diseret ke mahkamah berkuatkuasa serta-merta – JPJ

    AppleMark

    Tiada lagi saman, bakal diheret ke mahkamah! Itulah amaran keras oleh Jabatan Pengangkutan Awam (JPJ) kepada para pengguna jalan raya yang masih berdegil menggunakan lorong kecemasan. JPJ tidak akan berkompromi lagi mengenai perkara ini dan bersedia mendakwa individu yang melakukannya ke mahkamah berkuatkuasa serta-merta, laporan Bernama.

    Menurut Ketua Pengarah JPJ Datuk Ismail Ahmad, pemandu yang masih berdegil menggunakan lorong itu akan dihadapkan ke mahkamah mengikut Kaedah 9 dan 53 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak kurang setahun.

    “Kita tidak lagi kemukakan saman sebanyak RM300 atas kesalahan berkenaan kerana kita lihat jumlah saman itu agak rendah dan ia tidak memberikan kesedaran kepada mereka. Maka, tindakan mendakwa mereka ke mahkamah dilihat lebih wajar,” tegasnya.

    Dalam insiden 22 Mei lalu, seorang penunggang motosikal telah melanggar sebuah kereta yang diletakkan di lorong kecemasan KM228 (menghala ke selatan) Lebuhraya Utara-Selatan pada pukul 4.30 petang. Penunggang tersebut tercampak ke bahagian tengah lebuhraya menyebabkan sebuah lori berpusing kerana mengelak dari melanggar penunggang tersebut. Pasukan kecemasan pertama sepatutnya tiba ke tempat kejadian dalam masa 20 minit tetapi hanya tiba sejam selepas itu akibat kesesakan trafik termasuk dilorong kecemasan.

     
     
  • Pusat 3S Proton di Chile dibuka secara rasmi

    showroom chile

    Pusat 3S Proton di Chile dibuka secara rasmi sejak 28 Mei lalu. Ini merupakan bilik pameran 3S pertamanya bersama Andes Motor, pengedar eksklusif Proton di Chile. Pusat 3S yang bertempat di Irarrazaval, Santiago, 15 minit dari pusat bandar ini telah dirasmikan oleh Mohd Khalid Yusof, Pengarah Transformasi dan Ketua Jualan Antarabangsa PROTON, bersama Jorge Greene Diaz, Pengurus Besar Andes Motor dan Maximilliano Sfeir, Pengurus Perniagaan PROTON; disaksikan oleh Dato’ Dr. Mohamad Rameez, Duta Malaysia ke Chile.

    Pusat 3S ini diuruskan oleh Andes Motor, anak syarikat Kumpulan Kaufmann, pengedar utama bas, lori dan kereta mewah di Chile yang mempunyai rangkaian luas dalam memberikan perkhidmatan jualan dan selepas jualan.

    “Pusat 3S ini adalah penting untuk menyediakan jualan dan perkhidmatan selepas jualan yang terbaik kepada pelanggan kami. Terdapat 3 ruangan servis di belakang bilik pameran yang boleh diperluaskan lagi, sekiranya perlu. Secara keseluruhan, kawasan sebesar 350 meter persegi ini boleh memuatkan tiga sehinga empat buah kereta untuk diservis pada satu masa, dengan empat ruang letak kereta khusus untuk pelanggan,” kata Khalid.

    Handover of Proton Exora-2

    Di Santiago juga terdapat lima buah pusat 1S lain yang terletak di dalam Plaza membeli-belah Oeste, Ayr, Technocid, Technosur dan Antivero. Selain daripada Santiago, pusat-pusat pameran lain turut berada di Sucursal Pajaritos, Las Parcelas, Quilicura, San Bernado dan Vespucio. Rangkaian ini dijangka akan berkembang dengan penambahan model pemanduan sebelah kiri Exora dan Saga dalam masa terdekat.

    Selari dengan pembukaan bilik pameran iaitu pada hari yang sama, Proton Prevé turut dilancarkan di Plaza Oeste, salah satu pusat membeli-belah terkenal di Santiago. Sambutan yang menggalakkan pada majlis pelancaran itu telah menyaksikan seramai 1,000 orang berkumpul untuk menyaksikan acara cabutan bertuah yang memberi peluang kepada seorang pemenang membawa pulang Proton Prevé baharu daripada 2,000 penyertaan yang diterima.

    Prevé 1

    Teruja untuk melihat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai, Maximilliano berkata, “Kami amat yakin dengan Proton Prevé. Para media di sini telah memandu uji kereta ini dan memberikan maklum balas yang positif. Pemasaran di sini menjadi lebih kuat sekiranya kereta ini mampu mempengaruhi pasaran dengan mudah.”

    Seperti yang dilaporkan pada Mac 2016, PROTON mengumumkan bahawa permulaan jualan bagi Prevé di Chile disasarkan pada Mei 2016 diikuti dengan Exora dan Saga pada bulan November 2016. Pada masa ini, model yang akan disediakan untuk pasaran Chile adalah Prevé 1.6 MT Standard, Prevé 1.6 Executive MT dan Prevé 1.6 Premium CVT.

    Selaras dengan usaha untuk mempromosikan produk-produk Proton di Chile, PROTON turut menyerahkan sebuah Proton Exora kepada Kedutaan Malaysia bagi mempromosikan Malaysia di negara Amerika Latin ini. Dato’ Dr Mohamad Rameez berbesar hati menerima MPV ini bagi pihak Kedutaan di bilik pameran Irarrazaval selepas perasmian pembukaan itu.

     
     
  • Terowong Genting Sempah hala Timur ditutup sementara dari 13 hingga 17 Jun ini

    HondaJazz1

    ANIH Berhad menerusi kenyataan medianya memaklumkan bahawa Terowong Genting Sempah hala Timur akan ditutup kepada lalu lintas bermula jam 8 pagi, 13 Jun hingga 12 tengah malam, 17 Jun 2016. Penutupan ini adalah bagi memberi laluan kepada pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan sistem dan pembaikan jalan di dalam terowong.

    Susulan itu, ANIH Berhad mengambil langkah alternatif dengan mengaktifkan satu laluan kontra di Terowong Genting Sempah hala Barat bagi memudahkan pengguna lebuh raya hala timur menuju ke Kuantan. Kerja-kerja penyelenggaraan ini merupakan penyelenggaraan secara berkala dan telah mendapat kelulusan dari Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

    Pengguna LPT disarankan mengikuti laman sosial rasmi iaitu Facebook Lebuhraya Pantai Timur dan laman Twitter @LPTTrafik atau menghubungi talian LPT-Line di 09-5947 111 bagi mengetahui sebarang perkembangan terkini di LPT.

    tunnel-closure

     
     
  • Perodua sumbang RM21,000 kepada tujuh surau di Selangor sempena bulan Ramadan ini

    DSC_5035

    Ingin memperoleh keberkatan bulan Ramadan, Perodua melalui program Ihya Ramadan telah menyumbang wang tunai sebanyak RM21,000 kepada tujuh buah surau di Selangor untuk menjalankan aktiviti kemasyarakatan di sepanjang bulan puasa.

    “Kami percaya melalui program sebegini, kita dapat membantu institusi badan agama Islam ini menampung program-program yang akan mereka jalankan di sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini. Usaha sebegini akan dilakukan berterusan dalam mengukuhkan persaudaraan dan seterusnya membina masyarakat ke arah yang lebih baik,” ujar Presiden dan CEO Perodua Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh.

    Program Ihya Ramadan adalah acara tahunan yang dianjurkan oleh Perodua dalam usaha untuk mendekati masyarakat, khususnya melalui surau-surau yang berdekatan.

    Surau-surau terpilih yang menerima sumbangan ialah Surau An-Nur, Bukit Beruntung, Surau Kampung Padang, Sg. Choh, Surau Hidayatul Mustaqim, Serendah, Surau Al-Ikhlas, Sg. Buaya, Surau Al-Rashidin, Bukit Beruntung, Surau As Soodiqin, Bukit Beruntung dan Surau Al-Ittihadiah, Shah Alam.

     
     
  • Proton diberi tempoh lima tahun pulihkan kewangan

    Proton_Iriz_Review_-019

    Kerajaan memberikan tempoh masa selama lima tahun bagi Proton untuk melengkapkan rancangan pemulihannya dan meletakkan keutamaan bagi syarikat pengeluar kereta nasional itu untuk melindungi rakan strategiknya, menurut The Star.

    Akhbar berbahasa Inggeris terbabit melaporkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pinjaman mudah sebanyak RM1.5 bilion kepada Proton dengan dividen sebanyak 4% setahun selama lima tahun. “Proton perlu mencari rakan strategiknya dan mengimplementasikan pelan pemulihan ini dengan dipantau oleh pasukan petugas khas,” ujarnya.

    Minggu lalu, Kerajaan telah menghulurkan bantuan tunai kepada Proton bernilai RM1.25 bilion menerusi Saham Keutamaan Boleh Tukar Boleh Tebus Terkumpul (RCCPS) di mana Kerajaan memegang kepentingan sebanyak 79.28% menerusi GovCo Holdings.

    Mustapa berkata Kerajaan memilih untuk perkongsian ini sebagai cara terpantas untuk Proton menyelesaikan masalah kewangannya.

    Mustapa

    Proses ini pastinya mengambil masa yang agak lama, disebabkan penangguhan bantuan untuk Proton menyelesaikan krisis bersama para pembekalnya. “Syarikat ini amat memerlukan aliran tunai bagi membayar pembekalnya,” ujar Mustapa sambil menambah Proton telah meminjam sejumlah RM847 juta sejak 31 Mac 2015.

    Sehubungan itu, Mustapa berkata perjanjian semasa ini adalah disertakan dengan terma dan syarat. Di mana Proton telah bersetuju untuk menukarkan pinjaman kepada saham dengan kadar 87 sen per saham dan kerajaan menerima 87 sen per saha,. Ia adalah 46% di bawah saham semasa Proton iaitu RM1.86 per saham.

    Walau bagaimana pun, Kerajaan tiada sebarang niat dengan struktur pemulihan Proton ini untuk mengambil alih pengurusan, sebaliknya mahu membantu syarikat ini sahaja. “Kerajaan setuju dengan pinjaman mudah bernilai RM1.5 bilion untuk Proton kekal sebagai pengeluar kereta nasional, yang memberikan pekerjaan kepada 12,000 pekerja dan 50,000 pekerjaan dalam rangkaian pembekalan automotif tempatan,” jelasnya lagi.

    Proton-Suzuki-MOU_-010

    Mengenai rakan kerjasama strategik, sebelum ini Proton pernah mengadakan pembincangan dengan beberapa syarikat termasuk Volkswafgen dan General Motor, namun tiada sebarang kata putus diambil. Proton dilaporkan mahu memeterai perjanjian dengan Volkswagen pada tahun 2007, namun Kabinet tidak meluluskan sebarang keputusan yang dibuat pada saat akhir.

    Selepas menjalinkan kerjasama dengan Mitsubishi dan Honda, Proton memeterai perjanjian dengan Suzuki bagi penghasilan model kenderaan, perkongsian platform, penjana kuasa dan teknologi automotif, di mana syarikat Jepun terbabit akan menyalurkan bantuan teknikal bagi produk dan skop terpilih.

    Baru-baru ini pula, The Edge melaporkan Proton telah mengadakan perbincangan bersama PSA Group dan Renault. Di mana perbincangan tersebit dilakukan bersama syarikat induk Proton, DRB-Hicom.

     
     
  • Lexus ES 250 tampil dengan dua warna baharu bagi model edisi terhad – 50 unit, harga dari RM293,900

    Lexus Malaysia, telah mengumumkan pengenalan bagi model edisi terhad Lexus ES 250 dengan dua warna pilihan iaitu Deep Blue Mica dan Sleek Ecru Metallic. Kedua-dua warna ini hanya untuk 50 unit model edisi terhad tersebut iaitu 25 unit bagi satu warna.

    Model edisi terhad Lexus ES 250 ini turut didatangkan dengan kekemasan dalaman Bamboo bersama ciri kayuan bagi menambahkan lagi kualiti dan pembuatannya. Malah kekemasan Bamboo ini juga padanan yang cukup ideal untuk skim warna dalaman Topaz Brown, eksklusif bagi model edisi terhad ini.

    Dijanakan oleh enjin 2AR-FE 2.5 liter dengan Dual VVT-I empat0silinder ACIS-III, ia mampu menghamburkan kuasa sehingga 181 hp pada 6,000 rpm dan tork 235 Nm pada 4,100 rpm.

    Walau pun tampil dengan dua warna baharu ini, namun tiada kos tambahan dikenakan, sebaliknya ia masih mengekalkan harganya iaitu dari RM293,900. Ia turut didatangkan dengan waranti selama lima tahun tanpa perbatuan terhad. Tempahannya juga sudah mula dibuka sekarang.

     
     
  • Honda CR-Z Alpha Final Label – tanda selamat tinggal

    Honda-CR-Z-Alpha-Final-Label-01

    Selepas enam tahun di bilik pameran, Honda CR-Z akhirnya menuju garisan penamat. Honda telah pun memperkenalkan model CR-Z Alpha Final Label di Jepun, sebagai ucapan selamat tinggal pada jentera sport hybrid tersebut.

    Dibangunkan berdasarkan model naik taraf (facelift) 2015, CR-Z Alpha Final Label ini muncul dengan kekemasan Alpha, bersama plak metal “Final Label” di antara brek parkir elektronik dan tuil gear. Perkataan “CR-Z Final Label” juga disulam pada bahagian penyandar tempat duduk. Manakala roda 17-inci pula sama seperti model facelift 2015.

    Tiada perubahan daripada sudut mekanikal, masih mengekalkan enjin kombinasi 1.5 liter i-TEC dan Integrated Motor Assist (IMA) yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 136 PS dan tork 190 NM (12 PS/16 Nm lebih berbanding model asal CR-Z). Motor elektrik pula dijanakan oleh 144-volt bateri lithium-ion berkuasa 18.8 kW. CR-Z Final Label dijual pada harga 2.8 juta yen (RM106,196) di Jepun.

    GALERI: Honda CR-Z facelift di IIMS 2016

     
     
  • Volkswagen tawar “duit raya” sempena Aidilfitri

    Beetle

    Volkswagen Malaysia menawarkan rebat “Duit Raya” sebanyak RM2,000 untuk semua model Volkswagen yang terpilih mulai sekarang hingga 31 Julai 2016.

    Model-model seperti Golf, Beetle dan Volkswagen CC akan menikmati rebat tunai tambahan, selain daripada promosi “Duit Raya” ini. Tawaran ini adalah sementara stok masih ada. Rebat tunai juga berbeza dan bergantung kepada model.

    Vento yang dilancarkan baru-baru ini turut menikmati Promosi Raya. Volkswagen akan membayar bayaran bulanan anda sehingga akhir tahun untuk kereta yang ditempah dalam tempoh promosi ini.

    Untuk layak menerima promosi ini, semua tempahan mestilah dibuat dalam tempoh promosi. Ia tertakluk kepada terma dan syarat, sehingga stok masih ada.

     
     
  • Proton sangkal dakwaan model kenderaannya akan rosak jika menggunakan ‘jump-start’

    Bagaimana untuk bantu mula kenderaan anda - BM

    Akibat penyebaran notis (gambar di atas) yang kononnya dari sebuah pusat servis kenderaan di laman media sosial baru-baru ini, Proton telah mengeluarkan kenyataan balas mengenai perkara ini.

    Menurut Proton, imej yang tersebar ini, yang mengesyorkan pengguna Proton untuk tidak melakukan sebarang tindakan bantu mula pada model-model Proton yang tertentu kerana ia akan menyebabkan kerosakan yang teruk kepada Unit Kawalan Transmisi (TCU), adalah tidak benar sama sekali. Sekali gus menegaskan, semua kereta boleh melalui tindakan bantu mula atau jump-start.

    Walau bagaimanapun, seperti OEM yang lain, kereta-kereta Proton telah dilengkapi dengan sistem elektronik yang sensitif kepada lonjakan kuasa. Justeru, syarikat pengeluar kenderaan nasional ini
    ingin memberi panduan yang lebih tepat mengenai perkara ini dan untuk memberi jaminan kepada pemilik Proton bahawa penggunaan kabel jump-start adalah selamat untuk menghidupkan enjin selagi berpandukan langkah-langkah yang betul, seperti yang dinyatakan dalam buku Panduan Pemilik Proton.

    Prosedur yang betul untuk melakukan jump-start kereta adalah dengan menyambungkan terminal (+) bateri dari kereta yang membantu kepada terminal (+) bateri kereta yang terjejas. Akan tetapi, terminal (-) dari kereta yang membantu mesti disambungkan ke badan kereta yang terjejas, dan BUKAN di terminal (-) kereta terjejas tersebut.

    13393994_1209390239111537_2822324668011549919_n

    Berikut merupakan langkah-langkah yang perlu diambil seperti yang dinyatakan dalam buku Panduan apabila menggunakan kabel jumper yang disambungkan kepada bateri dari kenderaan lain :

    • Kenderaan mestilah dirapatkan supaya kabel jumper boleh disambungkan, tetapi pastikan kenderaan tidak menyentuh satu sama lain. Sekiranya bersentuhan, ia boleh menyebabkan sambungan bumi yang tidak diingini. Kenderaan mungkin tidak akan dapat dihidupkan dan pembumian tidak diingini boleh merosakkan sistem elektrik (Unit Kawalan Transmisi, TCU).
    • Kenderaan yang membantu mestilah mempunyai bateri 12-volt dan keupayaan (Ah) bateri penggalak tidak boleh lebih rendah berbanding bateri yang tidak boleh digunakan, ini adalah untuk mengelakkan kerosakan litar pintas pada kedua-dua kenderaan.
    • Gunakan hanya kabel jumper dengan pengapit bateri berpenebat.
    • Kenderaan mestilah berada dalam keadaan “P” (PARK) untuk transmisi automatik dan “N” (NEUTRAL) untuk transmisi manual.
    • Matikan pencucuhan pada kedua-dua kenderaan terlebih dahulu.
    • Apabila menyambungkan kabel penggalak, jangan sambungkan positif (+) kabel ke negatif (-) terminal atau ia akan menyebabkan percikan api dan bateri boleh meletup.
    • Kabel jumper negatif (hitam) tidak boleh dikapitkan ke saluran bahan api dengan sarung logam atau ke penapis bahan api atau garisan brek kerana ini boleh menyebabkan kebakaran.
    • Hidupkan enjin kenderaan yang mempunyai bateri penggalak, biarkan enjin hidup untuk beberapa minit dan kemudian hidupkan enjin kenderaan yang terjejas.
    • Selepas enjin dihidupkan, buka sambungan kabel mengikut urutan terbalik.

    Untuk panduan yang lebih terperinci, pemilik kereta Proton dinasihatkan untuk merujuk kepada buku panduan kenderaan mereka sebelum melakukan apa-apa bantu mula kecemasan kepada bateri. Proton sekali lagi menegaskan, syarikatnya sentiasa memastikan kereta-keretanya dikeluarkan mengikut piawaian keselamatan yang tinggi dan tidak menjejaskan keselamatan pelanggan.

    Untuk sebarang pertanyaan dan bantuan, bolehlah terus hubungi Talian Khidmat Pelanggan Proton di 1800 888 398 atau emel kepada [email protected].

     
     
  • Digalakkan pasang webcam dalam kenderaan bagi merakamkan insiden di jalan raya – KPPJSM

    2016-hyundai-tucson-driven-2.0-executive- 108

    Ekoran pelbagai insiden di jalan raya termasuk kenderaan yang menggunakan lorong kecemasan, kes buli dan pelbagai lagi kesalahan, Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJSM) menyarankan agar pemandu kenderaan memasang alat perakam video (webcam) kereta.

    Menurut presidennya, Hamzah Masri, pemasangan webcam ini memudahkan para pemandu merakam sebarang kesalahan jalan raya yang disaksikan sebagai bukti, laporan Bernama.

    Selain itu, webcam juga dapat mengelakkan pemandu menggunakan telefon pintar untuk merakam gambar semasa memandu.

    “Sekiranya pemandu yang menyaksikan kemalangan atau kesalahan jalan raya yang dilakukan pemandu lain merakamkan insiden tersebut dengan menggunakan telefon sambil memandu, ia sudah mengundang bahaya yang lain pula,” ujarnya lagi.

    Ternyata saranan yang dikemukakan ini agak bernas dan kebanyakan webcam di pasaran juga ditawarkan dengan harga mampu milik, berbaloi untuk dibeli. Bagaimana komen anda semua? Kongsikan bersama kami.

     
     
  • Ferrari memanggil semula 359 unit kereta keluarannya di Australia, berhubung masalah beg udara Takata

    Ferrari 458 Spider

    Sejumlah 359 unit Ferrari yang dibuat antara 2009 hingga 2011 telah dipanggil semula di Australia kerana berkemungkinan mempunyai masalah dengan beg udara Takata yang telah dipasang pada kereta-kereta berkenaan, lapor CarAdvice.

    Australian Competition and Consumer Commission (ACCC) mengesahkan di laman web mereka dengan menyiarkan notis rasmi panggilan semula tersebut. Berdasarkan notis itu, Ferrari Australiasia menyenaraikan 458 Italia, 458 Spider, California dan FF sebagai model yang terlibat.

    “Berkemungkinan komponen yang diambil dari luar pada beg udara sebelah penumpang tidak mematuhi piawaian. Jika kereta tersebut terlibat dalam kemalangan yang akan menyebabkan beg udara meletup, ketidakpatuhan tersebut mungkin akan menyebabkan kegagalan pada unit inflator dan letupan beg udara yang tidak betul pada sebelah penumpang, meningkatkan risiko berlakunya kecederaan,” menurut notis berkenaan.

    Sebelum ini Ferrari memanggil semula sekitar 2,600 model diseluruh dunia pada Julai 2015, di mana 11 daripadanya direka untuk pasaran Malaysia. paultan.org akan cuba untuk mendapatkan informasi dari pihak-pihak yang berkenaan untuk mengesahkan adakah model Ferrari di Malaysia turut terlibat dengan panggilan semula terbaharu ini.

    Sebagai peringatan, terdapat pelbagai jenama dalam pasaran Malaysia yang terlibat dengan panggilan semula berikutan masalah beg udara Takata ini. Jika kenderaan anda terlibat, segeralah ke pusat servis bertauliah berhampiran untuk memperbaiki masalah tersebut.

     
     
  • Mercedes-Benz tawar skim pembiayaan beserta insuran komprehensif tahun pertama untuk E-Class

    W213 Mercedes-Benz E300 AMG 1

    Mercedes-Benz Services memperkenalkan skim pembiayaan istimewa untuk pelanggan yang membeli model E-Class generasi terbaharu – dengan menyertakan sekali insuran kenderaan bermotor komprehensif tahun pertama bersama skim pembiayaan tersebut.

    “Di Mercedes-Benz Services, kami berbangga untuk melangkah seiring pelanggan kami, menyediakan pengalaman pembiayaan yang fleksibel, tanpa gangguan dan menyenangkan. Pembiayaan E-Class baru dengan Insurans Kenderaan Komprehensif ialah pelan yang dirangka dengan teliti dan bijak dimana pilihan pembiayaan boleh disesuaikan Pembiayaan Agility dengan penyelesaian insurans semua dalam satu pelan yang komprehensif. Ini bermakna pelanggan kami akan dapat menikmati ketenangan fikiran sambil memandu E-Class baru,” kata Pengarah Urusan Mercedes-Benz Services, Hilke Janssen.

    Pembiayaan Agility memberi pelanggan jaminan kewangan menerusi ciri Nilai Masa Depan Terjamin (GFV). Skim nilai dipersetujui ini yang dicipta khas oleh Mercedes-Benz Services memastikan risiko susut nilai yang lebih rendah sepanjang tempoh pemilikan E-Class.

    Dengan matlamat memperkasakan pelanggan dari segi kewangan, pelan pembiayaan menawarkan pemilik E-Class baru aliran tunai fleksibel dan pilihan pada akhir perjanjian, serta ansuran bulanan lebih rendah. Ini termasuk pilihan untuk menjelaskan atau melanjutkan perjanjian pembiayaan, atau mengembalikan kenderaan dan menaik taraf kepada model lebih baru pada akhir perjanjian.

    Insurans Kenderaan Komprehensif bagi E-Class baru yang disertakan bersama membolehkan pelanggan menikmati perlindungan insurans dengan ketenangan fikiran tambahan pada tahun pertama. Perlindungan ini termasuk perkhidmatan tunda bernilai sehingga RM400 untuk kerosakan mekanikal, perlindungan cermin depan sehingga RM 8,000, Gantian Kenderan Satu untuk Satu dan kelulusan tuntutan yang pantas.

    Sebagai contoh, pelanggan yang membuat keputusan untuk membiayai E 200 Avantgarde Line selama tiga tahun dengan pelan jarak perjalanan 20,000 km setahun menerusi Pembiayaan Agility akan membayar ansuran bulanan rendah RM 3,842 sebulan. Tambahan lagi, pelanggan hanya perlu menambah sebanyak RM 246 sebulan untuk mendapatkan Insurans Kenderaan Komprehensif tahun pertama yang menjadikan jumlah ansuran bulanan RM 4,088 sebulan (berasaskan NCD 0% dan termasuk lanjutan cermin depan, LLP dan LLOP) sahaja.Ini bermakna pelanggan menikmati penjimatan RM 3,692 sepanjang tempoh pembiayaan tiga tahun di bawah kemudahan Pembiayaan E-Class dengan Insurans Kenderaan Komprehensif berbanding Pembiayaan Agility biasa tanpa insurans.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025