Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • BAIC BJ30, BJ60 tiba di M’sia pada 2025 – tiada rancangan untuk EV; hibrid, PHEV dipertimbangkan

    BAIC BJ30, BJ60 tiba di M’sia pada 2025 – tiada rancangan untuk EV; hibrid, PHEV dipertimbangkan

    BAIC yang membuat kemunculan di Malaysia dengan memperkenalkan model X55 dan BJ40 baru-baru ini, dikatakan bakal memperkenalkan dua lagi model SUV ala-off-road baharunya di pasaran tempatan pada tahun hadapan.

    Bercakap pada sidang media baru-baru ini, Pengarah Urusan BAIC Malaysia Lee FY berkata, BJ30 dan BJ60 dijangka akan dilancarkan pada tahun depan, menyertai model BJ40 Plus, walau bagaimana pun perinciannya masih belum didedahkan. BJ30 terkini telah dilancarkan di China pada awal tahun ini, menggantikan model asalnya yang telah pun dikeluarkan sejak 2015.

    Walau pun kononnya ia SUV kompak, namun BJ30 baharu ini lebih luas, dengan 4,730 mm panjang, malah lebih panjang berbanding Honda CR-V. Ia juga ditampilkan dengan gaya yang lebih moden, bersama rekaan ala 4×4 iras-iras Ford Bronco dan Land Rover Defender.

    Bahagian dalamnya juga nampak gayanya tampil moden, termasuk skrin sesentuh infotainmen dengan skrin sebesar 14.5-inci yang dioperasikan oleh prosesor automotif Qualcomm Snapdragon 8155. BJ30 ini juga dikatakan sesuai menjadi ‘camping SUV’, dan mampu membawa kapasiti kargo hingga 1.496 liter dengan tempat duduk belakang dibaringkan, serta mempunyai fungsi vehicle-to-load (V2L) dan tempat duduk hadapan yang boleh dibaringkan dengan satu-sentuhan.

    Pembeli mempunyai dua pilihan penjana kuasa, kedua-duanya dnegan unit yang sama iaitu 1.5 liter pengecas turbo empat-silinder, sama seperti X55. Model petrol mampu menghasilkan 188 PS dan tork 305 Nm, dengan kuasa disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi dwi-klac basah tujuh-kelajuan. Sementara versi hibrid pula dengan gandingan penjana kuasa 158 PS/235 Nm, motor elektrik 177 PS/315 Nm dan dedicated hybrid transmission (DHT) dua-kelajuan, bersama pilihan pacuan semua-roda dengan motor belakang 75 PS/135 Nm.

    BAIC BJ30, BJ60 tiba di M’sia pada 2025 – tiada rancangan untuk EV; hibrid, PHEV dipertimbangkan

    Satu lagi model yang bakal diperkenalkan di sini ialah BJ60, SIV bersaiz besar berukuran 5,040 mm panjang, bahkan lebih panjang berbanding Toyota Land Cruiser J3000. Diperkenalkan pada tahun 2022, SUV ini tampil dengan gril lima-port yang lebih kurang sama dengan BJ40 dengan kemasan berbentuk-U (disambungkan dengan lampu utama), dipadankan dengan badan tinggi dan berkotak, diserlahkan lagi dengan fender flare dan tayar simpanan yang diletakkan di bahagian luar belakangnya.

    Di dalamnya, kelihatan papan pemuka dan konsol tengah yang besar, bersama corong udara segi empat tepat dan skrin sesentuh ‘freestanding’ tengah 12.8-inci. Ciri pilihan lain termasuk sistem bunyi Infinity dengan 12-pembesar suara dan tujuh-tempat duduk.

    Kuasanya pula disalurkan dari unit 2.0 liter turbo yang dipadankan dengan sistem hibrid ringkas 48-voltan, sekaligus memberikan output hingga 266 PS dan tork 406 Nm. Selain itu, penjana kuasa lain yang turut diberikan sebagai pilihan ialah 2.9 liter turbodiesel dengan 163 PS/400 Nm, tapi disebabkan harga diesel yang dinaikkan baru-baru ini, kemungkinan besar ia tidak akan ditawarkan di pasaran kita. Selain itu, kotak gear automatik lapan-kelajuan dan pacuan empat-roda separa masa turut diberikan secara standard.

    Walaupun langkah ke arah elektrifikasi di kalangan pembuat kereta China giat berjalan, namun Lee memberitahu kami bahawa BAIC Malaysia pada masa ini tidak bercadang untuk membawa mana-mana kereta elektrik ke negara ini. Dia berkata bahawa kekurangan infrastruktur pengecasan awam, terutamanya apabila ia berkaitan dengan pengecas pantas DC menjadi antara penyebabnya. Walau bagaimanapun, syarikat ini sedang mempertimbangkan model hibrid dan plug-in hybrid (PHEV) kerana ia lebih sesuai dengan gaya hidup di sini.

    GALERI: BAIC BJ30

    GALERI: BAIC BJ60

     
     
  • Kerajaan akan salurkan semula penjimatan daripada subsidi diesel kepada STR, pengangkutan awam – PM

    Kerajaan akan salurkan semula penjimatan daripada subsidi diesel kepada STR, pengangkutan awam – PM

    Penjimatan sebanyak RM4 bilion yang diperoleh daripada penghapusan subsidi pukal untuk diesel akan disalurkan semula kepada rakyat, khususnya melalui penambah baikan pengangkutan awam serta program Sumbangan Tunai Rahmah, kata perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    “Penjimatan (daripada subsidi diesel bersasar) ini akan memberi sokongan kepada keperluan pengangkutan awam. Bayangkan STR kita untuk sembilan juta orang, dalam bentuk subsidi tunai terus, itu RM10 bilion. Wang (penjimatan) itu bukan untuk naikkan elaun menteri ataupun kepentingan lain, saya tumpukan hal ini,” kata beliau.

    Sementara sedar langkah kepada subsidi bersasar ini tidak digemari ramai, PM memberitahu beliau akan terus melakukan yang terbaik untuk negara, meskipun dikritik, sambil menyatakan bahawa beliau mahu membuktikan bahawa bukan semua ahli politik perompak, sombong dan mempergunakan rakyat, lapor Bernama.

    Kerajaan akan salurkan semula penjimatan daripada subsidi diesel kepada STR, pengangkutan awam – PM

    Anwar menegaskan bahawa subsidi diesel dilaksanakan untuk memastikan ia tidak memberi manfaat kepada golongan maha kaya dan orang luar. “Saya memberitahu kabinet, kita perlu membuat keputusan yang wajar, kita mesti membantu rakyat majoriti,” kata beliau.

    “Kita tidak sepatutnya menyediakan subsidi kepada golongan maha kaya, industri besar serta warga asing. Ini bukan diskriminasi kepada warga asing kerana mereka tidak membayar cukai, caruman (yang mereka bayar) pula adalah sangat sedikit. Tanggungjawab utama kami adalah kepada rakyat,” tambah Anwar.

     
     
  • UMW Toyota jual 8,422 unit kenderaan bagi Mei 2024; catat jualan keseluruhan 39.2k unit setakat ini

    UMW Toyota jual 8,422 unit kenderaan bagi Mei 2024; catat jualan keseluruhan 39.2k unit setakat ini

    UMW Toyota Motor (UMWT) menutup bulan Mei 2024 dengan jualan sebanyak 8,422 unit kenderaan, termasuk dari jenama Lexus. Bagi angka 2024 setakat ini, Toyota mencatatkan sebanyak 39,211 unit terjual. Untuk rekod, jualan pada April lalu yang dicatatkan ialah 7,345 unit.

    “Prestasi baik sepanjang bulan Mei mencerminkan kesungguhan kami untuk memberikan perkhidmatan dan produk cemerlang yang memenuhi keperluan pelanggan kami. Kejayaan program komuniti juga memperkukuh kesungguhan kami terhadap kemapanan alam sekitar serta tanggungjawab sosial, sekaligus memperkukuh juga peranan kami sebagai pelopor industri automotif yang meliputi falsafah “Move Your World” kami,” jelas Presiden UMWT, Datuk Ravindran K.

    Antara aktiviti utama yang dijalankan bulan lalu ialah program Toyota Eco Youth (TEY) ke-23, yang dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan. Program peringkat kebangsaan ini memberdayakan pelajar dari usia 13 hingga 17 tahun dari 16 buah sekolah, dengan memberi tumpuan kepada Kaedah Penyelesaian Masalah 8 Langkah Toyota untuk mempromosi pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah.

    UMW Toyota jual 8,422 unit kenderaan bagi Mei 2024; catat jualan keseluruhan 39.2k unit setakat ini

    Sejak pengenalannya pada 2001, TEY telah melibatkan seramai 300,000 pelajar dari 521 sekolah, dan memupuk kebertanggungjawaban terhadap alam sekitar dalam kalangan generasi muda. Bagi TEY 2024/2025, hadiah wang tunai yang tersedia berjumlah RM80,000 dan itu menjadi insentif terhadap penyelesaian inovatif yang selari dengan pelan tindakan alam sekitar UMWT untuk mencapai sifar pembebasan CO2 menjelang 2050.

    UMWT turut mengumumkan edisi ketiga bagi acara Toyota Start Your Impossible Outrun 2024, sebuah acara larian kebajikan yang disasarkan untuk meningkatkan kesedaran terhadap barah. Bakal berlangsung di Dataran Merdeka bulan ini, acara tahunan itu menyokong Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia. Larian tersebut terdiri daripada beberapa kategori, termasuk perlumbaan dengan hadiah keseluruhan RM50,000.

    Selain itu, UMWT juga memperkenalkan promosi “Peace of Mind” sepanjang Jun 2024, menawarkan pelanggan sehingga 100% pembiayaan untuk model terpilih. Promosi penjimatan sehingga RM7,500 juga diberikan untuk Yaris terkini, serta ansuran bulanan bermula dari RM688 untuk Vios.

     
     
  • ZF hasilkan roda stereng boleh adaptasi skrin seperti telefon pintar dengan beg udara masih berfungsi

    ZF hasilkan roda stereng boleh adaptasi skrin seperti telefon pintar dengan beg udara masih berfungsi

    Die innovative Positionierung des Fahrerairbags hinter dem Lenkrad ermöglicht zukunftsweisende Gestaltungsmöglichkeiten für das Lenkrad und seine Bedienelemente. Die waagerechte Speiche, einschließlich Nabe, kann so in einem nahtlosen, Smartphone-ähnlichen Design gestaltet werden. // The innovative positioning of the driver’s airbag behind the steering wheel enables pioneering design options for the steering wheel and its controls. The horizontal spoke, including the hub, can thus be given a seamless, smartphone-like design.

    Bagi kenderaan moden, roda stereng bukan hanya komponen yang digunakan untuk menukar arah kenderaan. Ia kini turut disertakan dengan pelbagai suis kawalan untuk fungsi seperti sistem cruise control adaptif, sistem infotainmen, butang telefon, malah ada yang boleh membuat tetapan pada panel instrumen.

    Oleh itu ada pengeluar yang mahukan satu skrin sesentuh seperti telefon pintar yang boleh diadaptasi pada bahagian tengah roda stereng, namun ada satu halangan bagi meneruskan rekaan sedemikian kerana pada bahagian tersebut terdapatnya beg udara yang perlu ada bagi menyelamatkan pemandu sekiranya berlaku kemalangan.

    Penyelesaian tersebut nampaknya telah ditemui oleh pengeluar komponen kenderaan dari Jerman, ZF menerusi divisi ZF Lifetec yang mendedahkan rekaan beg udara yang boleh berfungsi walaupun mempunyai skrin sesentuh diletakkan pada bahagian tengah roda stereng.

    ZF hasilkan roda stereng boleh adaptasi skrin seperti telefon pintar dengan beg udara masih berfungsi

    Die innovative Positionierung des Fahrerairbags hinter dem Lenkrad ermöglicht zukunftsweisende Gestaltungsmöglichkeiten für das Lenkrad und seine Bedienelemente. Die waagerechte Speiche, einschließlich Nabe, kann so in einem nahtlosen, Smartphone-ähnlichen Design gestaltet werden. // The innovative positioning of the driver’s airbag behind the steering wheel enables pioneering design options for the steering wheel and its controls. The horizontal spoke, including the hub, can thus be given a seamless, smartphone-like design.

    Rekaan dari ZF Lifetec ini menampilkan beg udara yang akan keluar dan mengembang dari bahagian atas pusat roda stereng berkenaan. Dengan rekaan ini membolehkan roda stereng diletakkan dengan skrin yang ‘lancar, direka seperti telefon pintar’ diintegrasikan pada bahagian tengah untuk kawalan sensitif-daya bagi fungsi bantuan pemanduan dan juga hiburan, kata syarikat itu.

    Dengan rekaan ini juga membolehkan lampu suasana kabin yang popular ditawarkan oleh pelbagai pembuat automotif sekarang turut disepadukan terhadap roda stereng ini. ZF menjangkakan rekaan roda stereng masa hadapan bakal dipengaruhi oleh rekaan beg udara yang telah dihasilkan ini.

    Menurut ZF lagi, dengan adanya rekaan beg udara ini akan membolehkan teknologi sensitif-sentuhan turut diterapkan pada roda stereng untuk fungsi keselamatan, dengan penderia kapasitif diletakkan di bawah balutan kulit, di mana kereta boleh mengesan pemandu dengan hanya memegangnya. Ia juga akan membolehkan suis-suis kawalan atau skrin yang ditempatkan pada roda stereng direka dengan lebih bebas.

     
     
  • JPJ eBid: SU-M dan SB-J bakal dibuka untuk bidaan

    Bagi yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi pilihan siri baharu yang kedua-duanya dari Sabah telah diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor SU-M, bakal dibuka bidaan mulai 22 Jun 2024. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 26 Jun ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 27 Jun 2024. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran SB-J pula, bidaannya akan dibuka mulai 26 Jun 2024. Ia berlangsung selama lima hari dan akan berakhir jam 10 malam pada 30 Jun 2024. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 1 Julai ini.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • Kia EV9 2024 dilancar secara rasmi di M’sia — GT Line AWD dua-motor, jarak 505 km, 6/7 kerusi; dari RM370k

    Kia EV9 2024 dilancar secara rasmi di M’sia — GT Line AWD dua-motor, jarak 505 km, 6/7 kerusi; dari RM370k

    Untuk pasaran tempatan, Kia EV9 2024 mula dibuka untuk tempahan pada April lalu, dan kemudian pada Mei telah diperkenalkan kepada umum. Hari ini, model SUV elektrik terbaru Kia ini dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia.

    Datang dalam dua varian iaitu GT Line enam-tempat duduk dan juga versi tujuh-tempat duduk, kedua-duanya dijual pada harga RM369,668 dan RM374,668 — yang merupakan harga atas jalan tidak termasuk insurans. Kia EV9 2024 merupakan model kedua Kia yang menggunakan Electric Global Modular Platform (E-GMP). Ia mempunyai ukuran dimensi 5,010 mm panjang, 1,980 mm lebar, 1,755 mm tinggi dengan jarak roda 3,100 mm. Jarak kelegaan tanahnya pula ialah 177 mm.

    SUV elektirk tiga-barisan tempat duduk ini dijana oleh bateri bervoltan tinggi 99.8 kWh, dan dilengkapi dengan dua motor elektrik yang menyalurkan kuasa ke gandar hadapan dan belakang menerusi transmisi e-Shift. Satu cas penuh membolehkan EV9 mencapai jarak perjalanan hingga 505 km. Janaan kuasa keseluruhannya mencecah 380 hp dan 700 Nm tork.

    Kia EV9 2024 dilancar secara rasmi di M’sia — GT Line AWD dua-motor, jarak 505 km, 6/7 kerusi; dari RM370k

    Baterinya boleh dicas menggunakan pengecas AC Type 2 dengan 11 kW yang akan mengambil masa sekitar 10 jam 30 minit untuk penuh. Dengan pengecas pantas DC CCS2 350 kW pula, ia boleh dicas dari 10%-80% dalam 24 minit. Dengan sistem pengecas Integrated Charging Control Unit (ICCU), model ini juga lengkap dengan ciri vehicle-to-load (V2L) berkapasiti hingga 3.6 kW untuk membekalkan kuasa bagi aksesori dan peranti elektrik.

    Rekaan luarannya meletakkan model ini berbeza jauh dengan yang lain. Dengan imej kontemporari dan sofistikated, EV9 hadir dengan identiti Digital Tiger Face yang dilengkapi Digital Pattern Lighting Grille. Lampu utama LED automatik bentuk menegak yang menampilkan dua kluster Small Cube Projection serta lampu nyalaan siang LED menjadikan wajah depannya unik dan menonjol. Di belakang, ia dilengkapi dengan lampu Star Map LED.

    Selain itu, penampilannya turut dipengaruhi oleh rekaan bampar depan dan belakang yang memberikannya imej kukuh, ada landasan bumbung, rim aloi 21-inci dengan tayar 285/45/R21, sunroof serta pintu belakang larasan kuasa. Suspensinya menggunakan jenis MacPherson di hadapan dan jenis multi-link di belakang. Manakala sistem breknya pula menggunakan cakera berliang untuk kedua-dua bahagian hadapan dan belakang.

    Kia EV9 2024 dilancar secara rasmi di M’sia — GT Line AWD dua-motor, jarak 505 km, 6/7 kerusi; dari RM370k

    Di dalam, Kia EV9 2024 menampilkan papan pemuka panoramik apungan yang seakan bersambung dari roda stereng hingga ke bahagian tengah kabin. Ia dilengkapi dengan dua skrin sentuh 12.3-inci yang disepadukan dengan skrin paparan 5-inci digital, butang penghidup enjin, brek parkir elektronik dan cermin pandang belakang paparan penuh jenis kamera.

    Selain itu, SUV ini juga diberikan sistem audio Meridian® dengan 14-pembesar suara, suis mod pemanduan, pedal penukar gear di belakang stereng, pendingin hawa automatik dua-zon, pengecas telefon pintar tanpa wayar, dua unit soket kuasa serta empat unit USB port.

    Kedua-dua varian ini menawarkan konfigurasi barisan pertama dan kedua tempat duduk dengan rekaan ala lounge, menyerlahkan sisi kemewahan dan keselesaannya. Bagi tempat duduk pemandu, ia diberikan ciri larasan kuasa empat-arah dengan fungsi mengurut dan Premium Relaxion. Manakala untuk tempat duduk penumpang hadapan, ia juga hadir dengan larasan kuasa dua-arah dengan fungsi Premium Relaxion — dengan semua kerusi dibalut dengan kulit.

    Bagi aspek keselamatan, Kia EV9 2024 dilengkapi dengan ciri standard yang merangkumi 10-beg udara (hadapan pemandu dan penumpang, bahagian lutut pemandu, sisi, tirai dan sisi tengah), ABS, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Bantuan Keluar Selamat (SEA), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), EBD, Bantuan Brek (BA), Kepekaan Penumpang Belakang (ROA), cagak ISOFIX untuk barisan kedua dan ketiga serta Kawalan Bantuan Mula Mendaki (HAC).

    Tidak hanya itu. SUV ini turut tampil dengan Ciri Keselamatan Termaju yang terdiri daripada Bantuan Lampu Tinggi (HBA), Bantuan Pengelak Pelanggaran Parkir (PCA), Bantuan Mengelak Pelanggaran Titik Buta (BCA), Bantuan Pelanggaran Trafik Lintasa Belakang (RCCA), Pemantauan Pandangan Titik Buta (BVM, Bantuan Kekal Lorong (LKA), Amaran Perhatian Pemandu (DAW), Bantuan Ikut Lorong (LFA2), Kawalan kelajuan Pintar (SCC) dan Bantuan Mengelak Pelanggaran Hadapan (FCA2).

    Model CBU dari Korea Selatan ini ditawarkan dengan lima pilihan warna: Ocean Blue, Snow White Pearl, Pebble Gray, Aurora Black Pearl dan Iceberg Green. Jaminan lima-tahun/150,000 km dan jaminan bateri EV lapan-tahun/160,000 km turut diberikan.

    Sempena pelancaran rasmi ini, Kia EV9 2024 akan dipamerkan di Tun Razak Exchange hingga 16 Jun ini.

    Kia EV9 GT Line AWD 7-tempat duduk

    Kia EV9 GT Line AWD 6-tempat duduk

    Foto rasmi Kia EV9 2024

     
     
  • Zeekr 009 bakal dilancarkan di Malaysia – MPV mewah EV pesaing kepada Toyota Alphard, 0-100 km/j 4.8 s!

    Zeekr 009 bakal dilancarkan di Malaysia – MPV mewah EV pesaing kepada Toyota Alphard, 0-100 km/j 4.8 s!

    Zeekr, jenama EV premium di bawah payung Zhejiang Geely Group sudahpun sah bakal masuk ke pasaran Malaysia dengan kerjasama Sentinel Automotive yang bakal menjadi pengedar rasminya di sini. Malah satu sesi pratonton tertutup telah dibuat minggu lalu, yang mendedahkan bahawa ia bakal hadir dengan dua model permulaan iaitu SUV kompak Zeekr X serta MPV mewah Zeekr 009, sama seperti yang akan dimulakan dengan pasaran Indonesia.

    Bagi Zeekr X anda boleh baca perinciannya pada PAUTAN INI, manakala untuk Zeekr 009 akan kami perincikan pada artikel ini. Sama seperti model-model Zeekr yang lain, 009 diasaskan dari platform Sustainable Experience Architecture atau SEA binaan Geely.

    Ia menampilkan dimensi panjang 5,209 mm, lebar 2,024 mm, tinggi 1,856 mm dan jarak roda sejauh 3,205 mm. Jadi saiz MPV dari Zeekr ini jelas lebih besar dari Alphard kerana model keluaran Toyota berkenaan hanya dihasilkan dengan dimensi panjang 4,945 mm, lebar 1,850 mm serta jarak roda 3,000 mm.

    Zeekr 009 bakal dilancarkan di Malaysia – MPV mewah EV pesaing kepada Toyota Alphard, 0-100 km/j 4.8 s!

    Apa yang menarik, 009 ini juga merupakan asas kepada kembarnya dalam versi lebih mewah iaitu Volvo EM90. Namun berbeza dengan MPV Volvo yang lebih mewah berkenaan hanya digerakkan oleh motor tunggal berkuasa 272 PS/343 Nm bagi memacu roda belakang, sementara Zeekr 009 ini hanya ditawarkan dalam versi motor berkembar memacu semua roda pada pasaran negara asalnya.

    Ini memberikan Zeekr 009 bekalan kuasa keseluruhan 544 PS (400 kW) dan tork maksima 686 Nm, membolehkan MPV besar ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.8 saat. Namun ia datang dengan dua varian bateri NMC, di mana versi 116 kWj didakwa boleh bergerak sejauh 702 km dalam kitaran CLTC dan varian 140 kWj pula boleh mencatatkan 822 km CLTC. Bagi varian dengan bateri 116 kWj, sistem pengecas pantas DC membolehkan kuasa dipenuhkan dari 10% hingga 80% dalam masa hanya 28 minit.

    Berbanding Alphard yang direka seakan van, Zeekr 009 ini tampil dengan muncung hadapan lebih panjang dan rekaan badan lebih tegap, serta set rim dan juga gril dalam kemasan perak yang sangat besar membuatkan ia nampak seperti SUV dari Amerika Syarikat. Gril berkenaan direka tanpa liang udara, sebaliknya menerima elemen jejari menegak yang unik.

    Sebenarnya jejari tersebut turut menerima sejumlah 154 jalur LED, yang diberi nama “lampu air terjun” oleh Geely. Lampu hadapan utama MPV ini terletak pada bahagian tengah bampar, manakala jalur LED berbentuk ‘cakar’ diatasnya adalah lampu nyalaan siang.

    MPV ini juga menerima tiang-A unik yang turut diberikan cermin, membolehkan titik buta di bahagian berkenaan dikurangkan. Ia dipadankan dengan pintu gelangsar untuk kabin belakang, namun rekaan pembuka pintu hadapan dan belakang yang nampak bercantum, seolah-olah ia menerima pintu jenis “suicide door”.

    Profil sisi MPV ini juga nampak “bersih” dengan garis badan tegak ke belakang tanpa “simpang siur”, serta diberikan jalur perak yang agak tebal pada sebelah atas tingkap sisi. Manakala pada tiang-C, ia diberikan kemasan yang seiras dengan gril hadapan, dan nampak seiring dengan rekaan jejari pada set rim.

    Zeekr 009 bakal dilancarkan di Malaysia – MPV mewah EV pesaing kepada Toyota Alphard, 0-100 km/j 4.8 s!

    Di belakang, lampu utamanya direka menegak dan kelihatan bersambung dengan rel pintu gelangsar, bersama grafik LED berbentuk-T, bersambung dengan grafik LED dengan motif cakaran yang lebih kecil pada bar lampu yang merentangi sepenuhnya pintu tailgate belakang. Secara keseluruhan bahagian belakang MPV ini juga nampak minimalis dengan hanya menampilkan garis-garis melintang bersama satu jalur perak merentangi sepenuhnya bahagian bawah bampar.

    Dalam versi standard, Zeekr 009 ini menampilkan enam tempat duduk dengan konfigurasi 2-2-2, seperti yang kami lihat di ketika ia dipamerkan di Bangkok International Motor Show (BIMS) 2024. Namun di China, ia turut ditawarkan dalam versi lebih mewah bagi menyaingi Lexus LM menampilkan hanya empat-sempat duduk.

    Antara perincian yang ditawarkan pada kabin model ‘biasa’ 009 ini termasuk fungsi pengurut pada tempat duduk hadapan dan baris kedua serta sistem audio Yamaha dengan 20-pembesar suara termasuk unit yang diletakkan di dalam perehat kepala pemandu dan baris kedua.

    Zeekr 009 bakal dilancarkan di Malaysia – MPV mewah EV pesaing kepada Toyota Alphard, 0-100 km/j 4.8 s!

    Ia juga diberikan paparan instrumen dengan skrin 10.25-inci, skrin sesentuh utama 15.4-inci dan juga satu lagi skrin yang dipasang pada siling sempat duduk baris kedua bersaiz 15.6-inci yang menampilkan mod mesyuarat dan theater dengan satu sentuhan, yang turut mengubah tetapan tempt duduk dan pelindung suria.

    Laporan sebelum ini menyebut bahawa Zeekr Malaysia bakal akan membuka cawangan pertamanya di Kuala Lumpur, dengan bilik pameran di bandar-bandar lain seperti Pulau Pinang dan Selangor turut akan dibangunkan dalam tahun ini juga. Macam mana? Nak terus tempah Alphard atau tunggu Zeekr 009 ini sampai dulu?

    Zeekr 009 di BIMS 2024

     
     
  • Pengusaha trak tunda, pengeluar konkrit naikkan harga susulan kenaikan harga bahan api diesel

    Pengusaha trak tunda, pengeluar konkrit naikkan harga susulan kenaikan harga bahan api diesel

    Portal berita FMT melaporkan beberapa syarikat trak tunda dan juga pengeluar konkrit telah menaikkan harga perkhidmatan masing-masing susulan kenaikan harga diesel bermula 10 Jun lalu selepas kerajaan memulakan pemberian subsidi bahan api tersebut secara bersasar.

    Dalam laporan tersebut FMT telah mengesahkan bahawa sekurang-kurangnya dua pengeluar konkrit iaitu DPG Readymix Sdn Bhd di Kelantan dan LCS Marketing Sdn Bhd yang beroperasi di Pahang telah menaikkan harga konkrit masing-masing.

    Bagi DPG Readymix, jurucakap syarikat tersebut menyatakan bahawa mereka dimaklumkan tidak layak mendapatkan kad fleet bagi subsidi diesel, seterusnya menaikkan harga seperti syarikat lain. Manakala dalam satu notis yang dikeluarkan oleh LCS Marketing menyatakan bahawa harga konkritnya kini meningkat kepada RM12 satu meter padu dalam jarak 30km, dan caj tambahan akan dikenakan untuk jarak melebihi 30km.

    Sementara penyedia perkhidmatan trak tunda Hong Guan Towing Service mengeluarkan notis bahawa harga perkhidmatan yang diberikan kini lebih tinggi berikutan “Tiada subsidi diperuntuk kepada trak penunda.” Jika dilihat pada senarai kenderaan yang layak di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), trak tunda adalah antara kenderaan yang tidak tersenarai.

    Manakala sebuah kedai barangan logam, Chuan Soon Heng Sdn Bhd, juga mengeluarkan notis memaklumkan pengguna mengenai peningkatan harga, menyatakan 25% kenaikan ‘caj trak’ berkuat kuasa semalam.

    “Selepas semakan mendalam peningkatan kos pengangkutan kami, perkapalan dan produk, kami perlu mengambil keputusan sukar menaikkan harga bagi semua barangan. Caj pengangkutan juga akan disemak,” kata syarikat itu dalam notis yang disiarkan.

     
     
  • Tiada KL Car Free Morning dianjurkan pada 16 Jun 2024 disebabkan cuti Hari Raya Aidiladha

    Tiada KL Car Free Morning dianjurkan pada 16 Jun 2024 disebabkan cuti Hari Raya Aidiladha

    Penganjur KL Car Free Morning (KLCFM) telah mengumumkan bahawa tiada KLCFM diadakan pada Ahad ini, 16 Jun 2024. Ia disebabkan cuti Hari Raya Aidiladha yang bakal disambut pada Isnin hadapan, 17 Jun. Ini bermakna hujung minggu ini melibatkan cuti yang panjang, bahkan kebanyakan sekolah juga mendapat cuti tambahan pada Selasa ini (18 Jun).

    Walau bagaimana pun, difahamkan, KLCFM akan dilaksanakan pada tarikh yang bakal dimaklumkan kelak. Jadi para peminat KLCFM yang sememangnya menanti untuk melakukan aktiviti termasuk larian dan berbasikal di sekitar ibu kota secara bebas perlulah bersabar untuk menunggu tarikh yang akan diuar-uarkan itu.

     
     
  • Penyasaran subsidi negara telah dibincang dan dipersetujui sejak 25 tahun lalu – PMX Anwar

    Penyasaran subsidi negara telah dibincang dan dipersetujui sejak 25 tahun lalu – PMX Anwar

    Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Penyasaran subsidi negara yang dilaksana kerajaan ketika ini sebenarnya dasar yang sudah dibincang dan dipersetujui sejak 25 tahun dulu, iaitu ketika beliau masih memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan ketika itu.

    Katanya, walau bagaimana pun langkah tidak dilaksana kerana pimpinan ketika itu lebih memikirkan soal survival politiknya, di samping penyasaran subsidi ini sendiri tak mudah untuk dilaksanakan, laporan Berita Harian.

    “Dasar (penyasaran subsidi) baik. Semua Perdana Menteri dari dulu setuju mesti ada penyasaran subsidi. Perkara ini dibincangkan semasa saya jadi Menteri Kewangan dulu. Lebih 25 tahun yang lalu sudah dibincangkan perlunya penyasaran subsidi, tapi tak upaya dilakukan kerana tak mudah. Biasanya pemimpin politik ini dia fikir kesan kepada pimpinan.

    “Apa pun kalau tarik subsidi atau naikkan cukai memamg membebankan. Itu pandangan politik,” katanya yang mengulas mengenai subsidi bersasar yang dilaksanakan oleh kerajaan Madani, termasuk yang terbaharu melibatkan kenaikan harga diesel di Semenanjung Malaysia.

    Penyasaran subsidi negara telah dibincang dan dipersetujui sejak 25 tahun lalu – PMX Anwar

    Beliau turut berkata, kerajaan yakin langkah diputuskan ini baik, khususnya untuk memastikan subsidi negara hanya diberi kepada mereka yang layak.

    “Dalam pertimbangan kita (kerajaan), kita sudah buat keputusan yang baik iaitu sementara kita harus bantu rakyat majoriti, kita tak seharusnya beri subsidi kepada golongan maha kaya, industri besar dan orang asing.

    “Bukan diskriminasi kepada orang asing kerana orang asing tak bayar cukai, cukai levi yang sangat kecil. Kita teliti dan dalam Jemaah Menteri pun hampir setiap minggu mendapat liputan dan perkembangan untuk pastikan pelaksanaan (penyasaran subsidi) ini berkesan,” katanya yang mengakui menerima segala kritikan serta kecaman atas keputusan dibuat kerajaan dalam menyusun semula agihan subsidi negara.

    Mulai 10 Jun 2024, kerajaan telah memulakan program rasinolisasi subsidi diesel, dengan mengumumkan harga diesel di Malaysia akan diapungkan dan ditetapkan pada harga runcit RM3.35 seliter. Di mana harga baharu tersebut hanya melibatkan semua stesen minyak di Semenanjung Malaysia sahaja. Manakala harga untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.

     
     
  • Sime Darby terus melangkah ke depan bersama UMW — kini merupakan pemain automotif utama di Malaysia

    Sime Darby terus melangkah ke depan bersama UMW — kini merupakan pemain automotif utama di Malaysia

    Pengambilalihan UMW oleh Sime Darby Berhad — yang bermula dengan pembelian pegangan sebanyak 61.18% pada Disember 2023 dan diikuti oleh pengambilalihan wajib yang seterusnya menjadikan UMW sebagai anak syarikat milik penuh Sime Darby Berhad — meletakkan Sime Darby sebagai pelopor utama industri automotif di Malaysia hari ini.

    Sime Darby sememangnya mempunyai kehadiran yang meluas dalam sektor automotif Malaysia dan juga rantau Asia Pasifik, dengan pelbagai jenama mewah dalam kendaliannya seperti BMW, Ford, Hyundai, Porsche, Rolls-Royce, Jaguar dan Land Rover.

    Dengan penyerapan kepentingan UMW dalam UMW Toyota Motor sebanyak 51% serta pegangan sebanyak 38% dalam Perodua, Sime Darby kini mempunyai kepentingan lebih meluas dalam pasaran massa — dengan Toyota sebagai jenama bukan nasional nombor satu di Malaysia berdasarkan jualan, sementara Perodua pula merupakan jenama domestik nombor satu serta pendahulu pasaran dalam industri automotif tempatan.

    Sime Darby terus melangkah ke depan bersama UMW — kini merupakan pemain automotif utama di Malaysia

    Pengambilalihan UMW oleh Sime Darby terbukti merupakan langkah yang strategik dan tepat pada masanya, ketika sektor automotif Malaysia menunjukkan daya tahan serta pertumbuhan berterusan, dengan saingan yang semakin sengit akibat kemasukan jenama baharu. Di dalam keadaan seperti ini, skala serta kekuatan dari segi bilangan adalah amat penting.

    Sime Darby terus melanjutkan proses untuk menyepadukan UMW ke dalam ekosistemnya. Menurut syarikat itu, secara operasi, terdapat banyak peluang yang terbuka untuk mempertingkat kecekapan serta mengembangkan ekonomi skala, pemanfaatan sumber serta silang-jualan.

    Selain itu, sebagai sebuah entiti yang lebih besar, jumlah yang lebih banyak akan membina keupayaan merentasi rantaian nilai automotif dengan memperkukuh segmen margin tinggi seperti kenderaan terpakai, khidmat selepas jualan serta pemasangan. Yang terakhir ini merupakan kekuatan bagi kedua-dua Toyota dan Perodua, yang menghasilkan kenderaan bagi pasaran domestik dan juga eksport.

    Sime Darby terus melangkah ke depan bersama UMW — kini merupakan pemain automotif utama di Malaysia

    Sebagai pengedar kepada beberapa jenama di luar Malaysia, potensi lain yang ada termasuklah peluang untuk mengembangkan jenama Toyota di pasaran lain, serta potensi untuk inovasi dan pertumbuhan hasil daripada perkongsian kepakaran dalam kumpulan pekerja yang lebih luas.

    Bagi pembeli serta peminat kereta, pengambilalihan ini membawakan berita menarik, kerana ia menjanjikan lebih banyak pilihan dan nilai yang dipertingkat untuk masa depan. Toyota dan Perodua merupakan dua jenama dengan produk yang sudah terbukti dan diyakini, dan pelanggan boleh menjangkakan layanan serta pengalaman terbaik daripada kedua-dua jenama itu, diperkaya juga dengan lonjakan kepakaran dan sumber daripada Sime Darby.

    Kenderaan elektrik (EV) pula kini menjadi bualan ramai, tetapi di Malaysia, EV masih mejadi pilihan segelintir masyarakat sahaja. Sime Darby, yang turut menjadi pelopor kepada perkembangan EV tempatan serta merupakan antara pemain terbesar dalam segmen yang kian berkembang ini, sedang berusaha keras untuk mempercepat peralihan penggunaan daripada kenderaan enjin biasa kepada jenis elektrik.

    Sime Darby terus melangkah ke depan bersama UMW — kini merupakan pemain automotif utama di Malaysia

    Dengan peyertaan jenama kenderaan pasaran umum seperti Toyota dan Perodua, kumpulan syarikat ini berada dalam kedudukan baik untuk meneroka lebih jauh asprirasi Malaysia ke arah masa depan mobiliti rendah karbon. Sime Darby juga akan terus menyokong peralihan kepada elektrik bagi model tempatan — nantikan perkembangan ini.

    Dengan penyertaan UMW, pelanggan boleh menjangkakan inovasi dan kualiti terbaik yang terkehadapan daripada Sime Darby selaku pemain automotif utama di Malaysia.

     
     
  • Motosikal langgar orang di plaza tol – guna lorong yang sepatutnya, perlahankan kenderaan

    Motosikal langgar orang di plaza tol – guna lorong yang sepatutnya, perlahankan kenderaan

    Peraturan dibuat ada sebab. Bila anda tidak ikut, risiko untuk menerima padah sentiasa ada. Contohnya boleh dilihat dalam video ini. Ia bukan setakat melibatkan diri sendiri, malah juga memberi kesan kepada orang lain.

    Video yang dimuat naik oleh Mummy Mika di X ini menunjukkan sebuah kereta sedang menuju ke arah plaza tol, di lorong paling kiri yang biasanya adalah untuk kenderaan berat atau tinggi. Apabila sampai di pondok tol, ternampak ada pekerja keselamatan mahu melintas.

    Beliau memakai jaket terang, dan mulanya menunggu kereta berhenti untuk melintas. Selepas memastikan kereta tersebut berhenti, beliau pun mula melangkah. Malangnya selepas itu beliau tidak menoleh lagi ke kiri.

    Secara tiba-tiba beliau disambar oleh sebuah motosikal, yang bukan sahaja tidak sepatutnya menggunakan jalan itu, tetapi juga dalam keadaan laju di kawasan yang kenderaan lain memang perlu berhenti untuk membayar tol.

    Kedua-dua penunggang motosikal dan pekerja keselamatan tersebut tercampak ke atas jalan namun selepas beberapa ketika kedua-duanya cuba untuk bangun. Penunggang itu bagaimanapun gagal untuk bangun kerana terlihat seperti kaki sebelah kanannya mengalami kecederaan.

    Bukan setakat sebuah, menyusuli motosikal yang terlibat dalam perlanggaran ini terdapat beberapa lagi motosikal dalam kelajuan hampir sama, menunjukkan seakan mereka sudah biasa melakukannya di tempat itu.

    Tapi ingatlah, hanya kerana anda tidak mahu masuk ke lorong motosikal, yang biasanya memang ada di setiap plaza tol, ia boleh membawa kepada kemalangan dan dalam keadaan yang lebih teruk, mungkin meragut nyawa. Kalau bukan anda sendiri, mungkin juga orang lain.

     
     
  • JomCharge perkenal fungsi AutoCharge – terus cas secara automatik apabila disambung kepada EV

    JomCharge perkenal fungsi AutoCharge – terus cas secara automatik apabila disambung kepada EV

    Pengendali JomCharge, EV Connection (EVC) melancarkan fungsi AutoCharge baru untuk rangkaian pengecas kenderaan elektrik mereka. Melalui fungsi baru ini, pengguna EV yang layak boleh menyambungkan kenderaan kepada pengecas dan ia akan terus beroperasi secara automatik tanpa perlu membuka aplikasi di telefon atau mengimbas kod QR – seperti Tesla Supercharger.

    AutoCharge kini disediakan di lebih 200 pengecas pantas DC JomCharge, dan telah diuji bersama pemilik Chery Omoda 5 sebelum ini. Buat masa ini, hanya dua model kenderaan sahaja sahaja yang boleh menggunakan fungsi baru ini, dengan satu lagi adalah GAC Aion Y-Plus.

    Sebabnya adalah AutoCharge perlu mengenalpasti ID kenderaan sebelum mula mengecas, dengan bayaran akan ditolak secara automatik melalui kad kredit yang telah dihubungkan kepada akaun pengguna JomCharge. Walaubagaimanapun, EVC memberitahu, mereka kini sedang berusaha secara aktif dengan syarikat kenderaan lain untuk mengembangkan lagi penggunaan JomCharge pada model-model EV lain.

    JomCharge perkenal fungsi AutoCharge – terus cas secara automatik apabila disambung kepada EV

    Pengecas yang mempunyai fungsi AutoCharge ini boleh dikenal pasti melalui pelekat khas yang dilekatkan padanya, dan pengguna juga boleh mencarinya melalui aplikasi JomCharge. Sebelum menggunakannya buat pertama kali, pengguna perlu mengaktifkan terlebih dahulu fungsi AutoCharge di dalam aplikasi.

    “Saya sendiri sebagai pengguna EV lebih menggemari proses mengecas yang lancar, dan saya percaya AutoCharge oleh JomCharge ini adalah cara yang mengecas yang sepatutnya,” kata pengarah urusan EVC, Lee Yuen How.

     
     
  • Jangan suka hati tunggang e-skuter Beam, atau kenderaan mikromobiliti yang lain di jalanraya!

    Jangan suka hati tunggang e-skuter Beam, atau kenderaan mikromobiliti yang lain di jalanraya!

    Kalau di sekitar bandaraya Kuala Lumpur, mesti ramai yang perasan, penggunaan skuter elektrik (e-skuter) ada di mana-mana termasuk yang berwarna ungu ini yang dioperasikan oleh Beam. Memang ramai yang memilih untuk menggunakan e-skuter untuk ke mana-mana termasuk ke pusat membeli-belah. Tetapi tahukah anda penggunaan e-skuter yang termasuk di bawah kumpulan kenderaan mikromobiliti ini hanya boleh digunakan di tempat yang tertentu dan dibenarkan sahaja.

    Namun kalau anda lihat video yang dikongsikan oleh @update11111 menerusi laman sosial X, kelihatan sepasang pelancong selamba menunggang e-skuter ini di Jalan Bukit Bintang, di celah-celah kesibukan jalan raya! Mungkin dia tak ambil tahu pun pasal undang-undang yang telah diwartakan untuk penggunaan PMA di Malaysia, tetapi tindakan sebegini memang mampu mengundang kecelakaan. Bukan setakat terhadap dirinya, bahkan kepada pengguna jalan raya yang lain.

    Pada tahun 2022, Kementerian Pengangkutan (MOT) telah mengumumkan larangan penggunaan kenderaan mikromobiliti tertentu adalah di atas jalan menerusi pewartaan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan (Larangan Penggunaan Kenderaan Mikromobiliti Tertentu) 2021 (“Kaedah Larangan”). Kenderaan mikromobiliti ini adalah merujuk kepada kenderaan yang menggunakan kuasa elektrik, enjin pembakaran dalaman, atau kuasa manusia, atau kuasa manusia yang digabungkan dengan mana-mana dua jenis kuasa yang disebutkan tadi, dengan kelajuan maksima 50 km/j. Ia termasuklah Moped, Personal Mobiliti Devices (PMD) termasuk skuter elektrik, kuasa enjin pembakaran dalaman ataupun kuasa manusia dan Personal Mobiliti Aids (PMA).

    Antara contoh moped dan PMA yang diharamkan diguna di jalan raya adalah termasuk kerusi roda bermotor dan skuter mobiliti, manakala PMD pula ada termasuk kenderaan seperti e-Skuter, papan luncur, hoverboards dan skuter kaki.

    Di mana penggunaan kenderaan mikromobiliti yang dilarang di atas jalan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1978 iaitu kompaun sebanyak RM300, dan agensi yang akan menguatkuasakan perintah larangan itu adalah Jabatan Pengangkutan Jalan dan polis. Manakala jika melakukan kesalahan yang sama buat kali kedua dan seterusnya, boleh dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 dan dipenjarakan selama tiga bulan.

     
     
  • Suzuki Swift Sport mungkin ‘pupus’, tiada model baru kerana undang-undang emisi yang semakin ketat

    Suzuki Swift Sport mungkin ‘pupus’, tiada model baru kerana undang-undang emisi yang semakin ketat

    Suzuki Swift generasi keempat sudahpun dilancarkan di Jepun pada akhir tahun lalu, manakala jualannya di pasaran tersebut sudah bermula pada awal tahun ini. Bagi peminat-peminat prestasi Swift, sudah tentu ada yang mungkin tak sabar untuk melihat varian yang lebih berkuasa dengan lencana ‘Sport’ bukan?

    Namun apa yang menyedihkan laporan media Australia, Drive menyebut Suzuki masih belum membuat keputusan untuk menghasilkan Swift Sport baharu berdasarkan model generasi keempat ini kerana undang-undang emisi global yang kini semakin ketat, manakala Swift Sport sedia ada akan terus dijual di pasaran negara itu sehingga akhir 2025 dan ia akan berada di bilik pameran sekali dengan Swift biasa generasi baharu.

    Perkara ini disebut oleh pengurus besar Suzuki Australia, Micheal Pachota ketika menjawab soalan dari Drive yang bertanyakan status Suzuki Swift Sport generasi baharu tersebut. “Tiada apa yang sudah disahkan oleh Jepun. Tiada apa yang saya tahu setakat ini,” katanya.

    Ini adalah kerana Suzuki akan menghadapi kesukaran bagi menghasilkan hot-hatch generasi baharu tersebut kerana undang-undang emisi global yang kini semakin ketat. Buat masa sekarang Swift Sport generasi sedia ada sudahpun diberikan sistem hibrid ringkas, namun ia masih tidak cukup bagi memenuhi piawaian emisi baharu yang bakal diperkenalkan di Eropah tidak lama lagi.

    Suzuki Swift Sport mungkin ‘pupus’, tiada model baru kerana undang-undang emisi yang semakin ketat

    Malah di Australia sendiri turut akan diperkenalkan dengan undang-undang emisi lebih ketat bermula 2025 menerusi undang-undang Standard Efisien Kereta Baharu (NVES) yang turut akan diperketat dari tahun ke tahun.

    Pachota menjelaskan bahawa agak sukar untuk menyediakan model prestasi baharu dengan kuasa enjin yang mencukupi untuk dilabel sebagai kereta sport dalam masa yang sama mematuhi standard emisi yang semakin ketat.

    “Jika anda mahu bermain dalam segmen hot hatch, anda benar-benar perlu ambil kira NVES selepas itu, dan/atau semua portfolio produk anda dari segi penalti yang perlu anda terima dalam satu ruang dan kredit kepada yang lain. Saya bayangkan ia sangat sulit,” katanya.

    Laporan Drive ini turut menyebut bahawa undang-undang emisi ini telah menyebabkan dua hot-hatch kompak iaitu Ford Fiesta ST dan Renault Clio RS telah dihentikan jualannya di Australia. Manakala Hyundai i20 N yang kini masih dijual di sana dijangka tidak akan bertahan sehingga 2026.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025