Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • GIIAS 2023: Subaru Outback 2.5i Touring EyeSight dilancar di Indonesia – X-Mode dwi-fungsi; RM236k

    GIIAS 2023: Subaru Outback 2.5i Touring EyeSight dilancar di Indonesia – X-Mode dwi-fungsi; RM236k

    Subaru Outback facelift 2023 telah pun dilancarkan di pasaran Indonesia menerusi penganjuran acara Gaikindo Indonesia International Auto Show 2023 (GIIAS 2023), yang kelihatan seperti wagon – walau Subaru menggelarkannya sebagai SUV – ditawarkan dengan varian tunggal, 2.5i Touring EyeSight berharga 779.5 juta rupiah (RM235,941).

    Bagi penjana kuasa, Outback ini diberikan enjin 2.5 liter naturally-aspirated mendatar atau unit boxer empat-silinder petrol yang mampu menghasilkan 185 PS dan tork 245 Nm, menyalurkan pacuan ke semua roda menerusi kotak gear Lineartronic CVT. Pemilih mod SI-Drive memberikan pilihan kepada pemandu untuk memilih dua throttle mapsIntelligent dan Sport, sementara X-Mode dwi-fungsi pula menawarkan pemilihan mod driveline bagi Snow/Dirt dan Deep Snow/Mud.

    Kit kelengkapan luaran bagi Outback 2.5i Touring EyeSight termasuklah roda aloi machined aluminium dua-tona 18-inci, bersama palang melintang pada rel bumbung. Ia juga diberikan lapisan plastik hitam pada gerbang roda juga pada bampar hadapan dan belakang. Unit pencahayaannya terdiri daripada lampu utama LED, lampu kabus LED sementara bahagian belakang unit kombinasi. Untuk tailgate pula diberikan spoiler bumbung.

    Seperti yang ditunjukkan pada nama modelnya, Outback ini juga dilengkapi sistem bantuan pemandu EyeSight, di mana kamera mono sudut-lebar menjadi larasan asas bagi sistem EyeSight dwi-kamera. Unit kamera ketiga pula menampilkan pandangan yang lebih luas untuk mengesan kehadiran pejalan kaki dan penunggang basikal apabila kenderaan memasuk persimpangan dengan kelajuan rendah.

    Sistem bantuan pemandu termaju yang diberikan untuk Outback 2023 ini termasuklah kawalan kelajuan adaptif, kawalan pemusatan lorong, kawalan stereng adaptif, kepekaan kenderaan di hadapan, pengurusan pendikitan pra-pelanggaran, sistem brek pra-pelanggaran, stereng kecemsan sendiri, bantuan kekal lorong kecemasan serta pengesan isyarat trafik dengan pengehad kelajuan pintar.

    Akses bagi ruangan penyimpanan barangan menerusi bukaan bebas-tangan, turut ditampilkan tailgate kuada dan barisan kedua tempat duduk dengan nisbah boleh baring 60:40 untuk mendapatkan ruang kargo yang lebih luas, kapasiti ruang penyimpanan barang mencecah 561 liter jika tempat duduk belakang dalam posisi normal dan 1,848 liter sekiranya ia dibaringkan.

    Di dalamnya, ia turut diberikan skrin berorientasikan-potret 11.6-inci untuk sistem hiburan dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, upholstery kulit Nappa untuk tempat duduk, dan panel sentuhan lembut bagi segenap ruangan kabin.

    Terdapat tujuh warna pilihan ditawarkan, termasuklah Brilliant Bronze Metallic seperti unit di dalam foto ini, untuk Subaru Outback 2.5i Touring EyeSight 2023 yang ditawarkan bagi pasaran Indonesia.

     
     
  • Individu yang kongsi gambar, video mangsa nahas pesawat Elmina boleh dikenakan tindakan – MCMC

    Individu yang kongsi gambar, video mangsa nahas pesawat Elmina boleh dikenakan tindakan – MCMC

    Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memberi amaran kepada individu yang melakukan perkongsian gambar atau video mangsa tragedi nahas pesawat yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor semalam boleh dikenakan tindakan undang-undang, lapor Bernama.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh suruhanjaya itu hari ini, pihak yang melakukan perkongsian boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    “Perkongsian gambar atau rakaman video mangsa nahas berkenaan bukan sahaja boleh menyinggung perasaan keluarga mangsa malah melanggar prinsip serta etika yang paling asas,” kata MCMC dalam kenyataan tersebut, dan menggesa semua pihak untuk menjaga sensitiviti serta mengelak daripada berkongsi gambar mangsa nahas.

    MCMC turut menzahirkan rasa dukacita dan simpati kepada keluarga mangsa nahas pesawat itu, dan meminta semua pihak membuat pertimbangan sewajarnya dengan menurunkan gambar mangsa tragedi dan tidak menyebar atau berkongsi lanjut kandungan berkenaan.

    Dalam kejadian yang berlaku petang semalam, pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang berlepas dari Langkawi menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina di Shah Alam.

    Kejadian itu berlaku sejurus selepas ia mendapat pelepasan untuk mendarat dari Lapangan Terbang Subang pada jam 2.48 petang, mengakibatkan 10 individu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang Datuk Seri Johari Harun maut.

    Lapan yang maut adalah enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi merupakan orang awam masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang lalu di tempat kejadian.

     
     
  • Jualan kenderaan di M’sia pada Julai 2023 naik 1.7%

    Jualan kenderaan di M’sia pada Julai 2023 naik 1.7%

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan kenderaan bagi Julai 2023, menyaksikan sejumlah 63,676 unit kenderaan telah dihantar kepada pembeli. Ini melibatkan kenaikan sebanyak 1.7% berbanding bulan Jun 2023 yang mencatatkan jualan sebanyak 62,593 unit.

    Keseluruhan jualan Julai 2023 juga menyumbang kenaikan sebanyak 27.5% berbanding bulan yang sama pada 2022 yang melibatkan penjualan mencecah 49,934 unit. Menurut MAA, faktor kenaikan ini disebabkan rantaian bekalan yang telah dipertingkatkan serta berdasarkan tempahan model baharu yang diperkenalkan.

    Sementara itu, jumlah keseluruhan industri (TIV) sehingga akhir Julai 2023 adalah 429,807 unit, iaitu naik 12.6% berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Dalam taklimat bersama pihak media bulan lalu, MAA menyemak semula ramalan TIV bagi keseluruhan tahun 2023 dari 650,000 unit ke 725,000 unit.

    Bagi Ogos 2023, dijangkakan rekod yang bakal dicapai sedikit tinggi berbanding Julai 2023 disebabkan pelancaran model baharu dan kempen promosi oleh syarikat pengeluar kereta sempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan.

    Bagi aspek pengeluaran pula, Julai 2023 menyaksikan sejumlah 66,862 unit kenderaan telah diproduksi, meningkat sebanyak 28% berbanding Julai 2022. Angka produksi keseluruhan bagi tahun ini masih kekal pada 429,397 unit, iaitu 16% lebih tinggi berbamding tempoh yang sama pada tahun lalu.

     
     
  • Lexus RX 500h F Sport 2023 di Malaysia — 2.4L turbo hibrid, 371 PS/550 Nm, DIRECT4; harga dari RM499k

    Lexus RX 500h F Sport 2023 di Malaysia — 2.4L turbo hibrid, 371 PS/550 Nm, DIRECT4; harga dari RM499k

    Mei lalu, Lexus Malaysia memperkenalkan model RX 350 Luxury generasi kelima untuk pasaran tempatan. Kini, kurang tiga bulan kemudian, syarikat itu membawakan pula varian tambahan terbaru untuk model yang sama, Lexus RX 500h F Sport 2023 dengan teknologi hibrid secara rasmi untuk pasaran di sini. Ia dibuka untuk tempahan bermula hari ini dengan harga RM498,888.

    Lexus RX 500h F Sport 2023 sebagai penawaran yang lebih tinggi bagi varian sebelumnya memiliki banyak kelainan yang membezakan penawarannya. Rekaan spindle grille yang yang luas dan tidak berbingkai misalnya menjadikan wajah depan yang tegas dan tajam. Imej khusus ini dikukuhkan lagi oleh rekaan lampu utama Ultra Slim 3- Beam LED Projector dengan perincian gelap dan DRL bentuk L-nya.

    Lebih penting ialah sistem janaannya: varian terbaru ini mempamerkan pengalaman panjang Lexus dalam membangunkan teknologi hibrid elektrik. Lexus RX 500h F SPORT 2023 memanfaatkan sistem hibrid baru yang terdiri daripada enjin tork tinggi 2.4-liter turbo yang digandingkan bersama sebuah motor elektrik.

    Lexus RX 500h F Sport 2023 di Malaysia — 2.4L turbo hibrid, 371 PS/550 Nm, DIRECT4; harga dari RM499k

    Motor elektrik di bahagian depan itu ditempatkan antara enjin dan transmisinya menjana sebanyak 85 hp/292 Nm. Sementara itu, sebuah lagi motor elektrik di eAxle belakang menjana sebanyak 102 hp/169 Nm. Enjinnya pula menghasilkan janaan sebanyak 275 PS (or 270 hp) pada 6,000 rpm dan 460 Nm dari 2,000 hingga 3,000 rpm.

    Sistem pacuan maju ini kemudiannya digandingkan pula dengan transmisi automatik enam-kelajuan, yang menghasilkan 371 PS kuasa dan 550 Nm tork secara keseluruhannya. Kuasa disalurkan ke semua roda melalui kawalan DIRECT4, sebuah teknologi pacuan eksklusif baru oleh Lexus. Ini membolehkan SUV ini memecut 0-100 km/j dalam masa 6.2 saat, angka yang boleh dibandingkan dengan SUV dengan enjin 3.0 liter turbocas.

    Dengan motor elektrik yang menjadi penggerak utamanya, penggunaan minyak juga dapat dikurangkan sebanyak 20% berbanding varian biasa. Baterinya menggunakan jenis nickel-metal hydride (Ni-MH) 288 volt yang terletak di bahagian bawah tempat duduk belakang.

    Lexus RX 500h F Sport 2023 di Malaysia — 2.4L turbo hibrid, 371 PS/550 Nm, DIRECT4; harga dari RM499k

    Sistem pacuan semua roda pintar DIRECT4 pula menggunakan motor elektrik berasingan dan inverter untuk mengimbangi kuasa dan tork antara gandar depan dan belakang dalam apa juga keadaan pemanduan. Ia akan sentiasa melaraskan tahap daya pacuan secara automatik antara dua gandar berkenaan, lebih pantas daripada apa yang sistem mekanikal mampu lakukan.

    Lexus RX 500h F SPORT hadir dengan rim 21-inci aloi ringan dengan penyudah hitam kesat dan datang bersama profil tayar eksklusif 235/50R21. Ini memberikan keselesaan yang sangat baik di dalam kabin, begitu juga dengan kesenyapan dan cengkaman di permukaan jalan yang memang sudah sangat sinonim dengan jenama Lexus.

    Lexus RX 500h F SPORT 2023 menggunakan platform GA-K (Global Architecture – K), yang memberikan ketahanan lebih baik untuk kelebihan keselesaan, maklumbalas serta kelincahan yang dapat dirasakan ketika memandu. Jurutera Lexus juga telah mengurangkan berat keseluruhan RX generasi ini sebanyak 90 kg, antaranya melalui kaedah pemasangan yang inovatif dan memanfaatkan aluminium di bahagian sayap depan yang menggantikan besi, dan merendahkan titik gravitinya sebanyak 15 mm.

    Lexus RX 500h F Sport 2023 di Malaysia — 2.4L turbo hibrid, 371 PS/550 Nm, DIRECT4; harga dari RM499k

    Platform GA-K ini membolehkan tetapan jarak antara roda dan jejak tanah yang lebih untuk rekaan badan kenderaan yang mengggunakannya, membolehkan ruang kabin yang luas selayaknya sebuah SUV dicapai untuk Lexus RX 500h F SPORT ini.

    Sekadar makluman, ukuran panjang RX generasi ini kekal sama dengan 4,890 mm, namun jarak antara rodanya ditambahn 60 mm menjadi 2,850 mm. Lebar jejaknya juga ditambah 15 mm di depan dan 65 mm di belakang. Tingginya pula kekal 1,695 mm.

    Model ini juga memanfaatkan ciri Adaptive Variable Suspension (AVS) untuk mengawal tahap serapan hentakan yang mampu dilakukan. Tidak ketinggalan juga adalah ciri Dynamic Rear Steering (DRS), dengan sudut belokan roda belakang yang lebih banyak — maksimum 4 darjah untuk memberikannya lebih kestabilan dalam kelajuan tinggi.

    Untuk ruang barangan, dengan kerusi belakang digunakan seperti biasa, kapasiti ruang yang tersedia ialah 612 liter. Kedudukan lantainya juga 30 mm lebih rendah untuk memudahkan muat naik dan turun barangan dan kargo lainnya.

    Ruang dalaman adalah di mana varian ini benar-benar menyerlah berbanding varian yang diperkenalkan sebelumnya. Dengan pendekatan dan konsep Tazuna dan Omotenashi, Lexus RX 500h F SPORT 2023 menampilkan ruang kabin mewah yang akan membuatkan pemandu dan penumpang terhubung secara emosi dengan kenderaan ini, dengan semua butang kawalan berada dalam capaian mudah.

    Ini termasuklah tempat duduk yang diperbuat daripada UltrasuedeTM, balutan kerusi eksklusif daripada bahan mentah tumbuh-tumbuhan. Mesra alam dan mewah, UltrasuedeTM turut menawarkan rasa yang puas dan tahan lasak sebagai kelebihannya. Kenderaan ini juga dilengkapi kemasan Dark Spin Aluminium, yang memanfaatkan penyudah dengan kesan rasa dan visual berkilau yang menyeluruh bagi panel instrumennya.

    Untuk memberikan pengalaman audio yang mengasyikkan, Lexus RX 500h F SPORT menggunakan sistem bunyi Mark Levinson yang mengeluarkan bunyi berkualiti hi-fi melalui 21-pembesar suara dan subwoofer-nya. Lexus RX 500h F SPORT juga datang dengan sistem bukaan pintu elektronik e-Latch, sebuah sistem elektronik yang menggantikan pemegang pintu sebelah dalam dengan suis tekan yang berada di sisi perehat lengan di panel pintu untuk capaian lebih mudah bagi urusan keluar-masuk kenderaan.

    Untuk pemandu, ada tiga mod pemanduan disediakan — Normal, Eco dan Sport. Skrin paparan digital juga menarik dan jelas, terdiri daripada meter gabungan digital dan head-up display untuk memudahkan pemandu. Sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto juga ada.

    Kelengkapan lain yang disediakan termasuklan empat slot USB di depan (3 Type-C dan 1 Type-A). Pengecas telefon tanpa wayar Qi juga ada, dan tidak ketinggalan soket 12V. Untuk penumpang di belakang, ada dua slot USB Type-C untuk dimanfaatkan.

    Lexus RX 500h F Sport 2023 di Malaysia — 2.4L turbo hibrid, 371 PS/550 Nm, DIRECT4; harga dari RM499k

    Dari segi keselamatan pula, Lexus RX 500h F SPORT lengkap dengan Lexus Safety System+, yang menampilkan ciri seperti sistem amaran pra-perlanggaran yang dicipta untuk memaklumkan pemandu dan mengambil langkah pencegahan aktif, yang terdiri daripada ciri Pre-Collision System, Dynamic Radar Cruise Control dengan Stop & Go Function, Lane Departure Alert & Lane Tracing Assist, Adaptive High-beam System dengan BladeScanTM dan Road Sign Assist.

    Selain itu, dengan menggunakan 12 sensor ultrasonik dan empat kamera, sistem Teammate Advance Park dari Lexus menjadikan urusan meletak kenderaan lebih senang. Tidak hanya memaklumkan pemandu jika ada objek berdekatan, ia juga boleh mengendalikan stereng secara automatik, operasi penukaran serta membrek untuk memudahkan lagi parkir di tempat sempit.

    Untuk pasaran tempatan, Lexus Malaysia menawarkan Lexus RX 500h F SPORT 2023 dalam empat warna luaran — White Nova Glass, Sonic Iridium, Graphite Black Glass Flake dan Sonic Copper. Lexus RX 500h F SPORT datang dengan perlindungan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan, sementara Hybrid Battery Pack diberikan jaminan lapan-tahun tanpa had perbatuan, dan boleh dilanjutkan bagi tempoh dua tahun lagi sebagai pilihan.

     
     
  • Keiichi Tsuchiya akan drift EV Hyundai Ioniq 5 N di WTAC 2023, Sydney Motorsport Park bulan depan

    Keiichi Tsuchiya akan drift EV Hyundai Ioniq 5 N di WTAC 2023, Sydney Motorsport Park bulan depan

    Sebut sahaja Keiichi Tsuchiya, kita tentu sahaja terbayang seorang pelumba lagenda Jepun yang begitu obses dengan Toyota AE86 serta aksi drift sehingga beliau diberikan gelaran “The Drift King”.

    Namun pada perlumbaan World Time Attack Challenge (WTAC) yang akan berlangsung di Sydney Motorsport Park, Australia pada 1 dan 2 September nanti, ada sesuatu yang luar biasa akan disajikan oleh Dorikin kerana beliau akan memandu sebuah kereta elektrik dari Korea Selatan iaitu Hyundai Ioniq 5 N!

    Kemunculan Tsuchiya dengan Ioniq 5 N ini bukan hanya sempena perlumbaan WTAC 2023, malah ia adalah persembahan istimewa untuk pengenalan rasmi model prestasi elektrik pertama Hyundai N berkenaan di pasaran Australia. Sebelum ini Hyundai Ioniq 5 N tersebut telah membuat kemunculan global sulungnya di Goodwood Festival of Speed bulan lalu.

    “Kami teruja untuk bekerjasama dengan World Time Attack Challenge, yang akan memberikan wadah yang sempurna bagi menunjukkan kebolehan prestasi besar Ioniq 5 N, kenderaan elektrik sepenuhnya Hyundai N kami, kata CEO Hyundai Motor Company Australia, Ted Lee.

    “Kami teruja Hyundai telah membuat keputusan untuk bekerjasama dengan World Time Attack Challenge untuk kemunculan sulung Ioniq 5 N. Dengan kuasa 478 kW dan dipandu lagenda Keiichi Tsuchiya, peminat akan disajikan dengan demonstrasi yang hebat,” kata CEO WTAC, Ian Baker.

    Hyundai Ioniq 5 N ini diasaskan dari crossover EV Ioniq 5 standard, diberikan prestasi dan juga rupa yang lebih agresif. Ia menampilkan badan 50 mm lebih lebar dan ia 20 mm lebih rendah yang terhasil kerana ia memerlukan tayar dan juga diffuser belakang yang lebih lebar untuk prestasi pemanduan yang lebih baik.

    Keiichi Tsuchiya akan drift EV Hyundai Ioniq 5 N di WTAC 2023, Sydney Motorsport Park bulan depan

    kerangka Ioniq 5 N ini juga telah dipertingkat. Berbanding Ioniq 5 biasa, kerangka Ioniq 5 N ini menerima 42 titik kimpalan yang lebih banyak bersama bahan perekat badan 2.1 meter lebih panjang. Cagak-cagak motor elektrik dan bateri juga dipertkuatkan, manakala subframe belakang dan hadapan juga dipertingkat dengan ketegaran sisi lebih kuat.

    Untuk unit rangkaian kuasa, Ioniq 5 N yang masih diasaskan dari platform E-GMP ini menerima dua buah motor elektrik masing-masing pada gandar hadapan dan belakang – jadi Ioniq 5 N ini merupakan jentera produksi jalan raya pertama Hyundai N yang menampilkan sistem AWD, memberikan peluang bagi sayap perlumbaan itu memindahkan pengetahuan mereka dari Kejohanan Rali Dunia (WRC) yang telah disertai sejak 2014 kepada model produksi yang dijual di bilik pameran.

    Kedua-dua motor berkenaan dipadankan pada gandar pacuan berintegrasi (IDA) yang diinspirasikan dari jentera WRC sebenar, bagi memastikan ia tahan asakan dari motor elektrik berkuasa tinggi. Motor yang memacu gandar hadapan menghasilkan kuasa 226 PS, manakala motor pada gandar belakang pula berkuasa 385 PS.

    Secara keseluruhan, ia menghasilkan kuasa gabung 609 PS, dan meningkat kepada 650 PS bersama tork maksima 770 Nm apabila mod N Grin Boost (NGB) diaktifkan. Ini membolehkan Ioniq 5 N tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.4 saat (3.5 saat jika NGB tidak digunakan), sebelum mencapai kelajuan maksima 260 km/j (Ioniq 5 biasa hanya mampu dipandu sehingga 185 km/j).

    Dengan pengetahuan yang dikutip dari Kejohanan Rali Dunia (WRC), Hyundai N turut memberikan fungsi N Drift Optimizer pada Ioniq 5 N – ini yang akan didemonstrasikan oleh Keiichi Tsuchiya di Sydney nanti. Menerusi fungsi ini, pemandu dapat melakukan aksi drift dengan lebih lama, malah turut boleh memulakan drift dengan aksi clutch kick seperti jentera enjin pembakaran dalaman pacuan roda belakang yang diberikan kotak gear manual menerusi fungsi Torque Kick Drift.

    Antara perincian menarik yang turut disertakan pada Ioniq 5 N ini termasuk sistem N Active Sound + dan juga N e-Shift, iaitu sistem yang akan memberikan bunyi seakan bunyi enjin sebenar dan rasa tukaran gear seperti kotak gear DCT.

    Bagi menghasilkan N Active Sound tersebut, Ioniq 5 N diberikan 10-pembesar suara (lapan dalam kabin dan dua lagi di luar) bagi memberikan tiga tema bunyi berbeza iaitu Ignition, Evolution dan Supersonic. Bagi bunyi Ignition, ia memberikan bunyi seakan enjin petrol 2.0 liter turbo pada model Hyundai N sebelum ini (i30 N, Kona N dan sebagainya), lengkap dengan dengan bunyi pop & bang.

    GALERI: Hyundai Ioniq 5 N

     
     
  • Pesawat peribadi terhempas di jalan raya di Elmina

    Pesawat peribadi terhempas di jalan raya di Elmina

    Sebuah pesawat peribadi dilaporkan terhempas dan musnah terbakar di tengah jalan di Seksyen U16 Elmina Central Park, berhampiran Denai Alam, Shah Alam sebentar tadi. Lokasi berkenaan berjarak lebih kurang 5 km dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah. Insiden tersebut dipercayai berlaku sekitar 2.49 petang berdasarkan rakaman CCTV dari sebuah rumah penduduk berhampiran.

    Sebaik sahaja menerima laporan mengenai insiden ini, pihak polis telah pun menutup laluan berkenaan sepenuhnya dan orang awam dilarang menghampiri lokasi kejadian.

    Setakat ini difahamkan insiden berkenaan turut mengorbankan seorang penunggang motosikal. Di mana pesawat terbabit terhempas dan terkena mangsa yang sedang menunggang motosikal yang kebetulan melalui Persiaran Elmina berhampiran susur Lebuhraya Guthrie.

    Foto dan video yang kami dapat ini adalah hasil rakaman orang awam yang dikongsikan menerusi media sosial Facebook dan X (sebelum ini dikenali sebagai Twitter). Kami akan membawakan berita terkini mengenai insiden berkenaan sekiranya mendapat maklumat lanjut mengenainya daripada pihak berkuasa.

    Kemaskini:

    4.30 petang
    Seorang pegawai bomba memberitahu Malaysiakini, mereka berkejar dari stesen Kota Anggerik dan Sungai Buloh setelah mendapat panggilan telefon pada jam 2.53 petang. Setakat ini, maklumat awal mendapati terdapat enam mangsa.

    5 petang
    Pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) dengan nombor pendaftaran N28JV, dioperasikan oleh Jetvalet Sdn Bhd berlepas dari Langkawi pada jam 2.08 petang menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah.

    Pada kira-kira jam 2.51 petang, Menara Kawalan Trafik Udara Subang mengesan kepulan asap dari lokasi kejadian namun tiada sebarang panggilan kecemasan (mayday call) dibuat dari pesawat berkenaan. Walau bagaimana pun, Kuala Lumpur Aeronautical Rescue Coordination Centre (KL ARCC) telah digerakkan untuk misi mencari dan menyelamat.

    Pesawat berkenaan dikendalikan oleh dua krew penerbangan dengan membawa enam penumpang. Keadaan mangsa terlibat hanya akan disahkan dalam sidang media yang akan dilakukan – Datuk Kapten Norazman Mahmud, CEO Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM)

    5.15 petang
    10 disahkan maut iaitu lapan orang dalam pesawat (enam penumpang, dua krew pesawat) manakala masing-masing seorang pemandu kereta dan seorang penunggang motosikal- Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan

    Nota: Antara mangsa yang disahkan maut merupakan Exco Pahang, Datuk Seri Johari Harun.

    5.26 petang
    Persimpangan Elmina iaitu laluan untuk keluar dan masuk ke Elmina di kedua-dua arah dari Lebuhraya GCE ditutup buat sementara waktu sehingga kerja-kerja pembersihan dan siasatan selesai. Pengguna diminta untuk menggunakan laluan alternatif.

    11.45 malam
    Identiti penunggang motosikal yang maut dikenal pasti sebagai Muhamad Hafiz Muhamad Salleh yang berasal dari Sidam, Kedah. Allahyarham berusia dalam lingkungan 30-an bekerja sebagai rider penghantar makanan – laporan MStar

    18/08 10.30 pagi
    Identiti pemandu e-hailing yang menjadi antara mangsa nahas telah dikenalpasti sebagai Sharipuddin Shaari, 53 tahun. Allahyarham Sharipuddin yang memandu Nissan Almera hanya berseorangan di dalam kereta ketika itu.

    Pesawat peribadi terhempas di jalan raya di Elmina

     
     
  • GIIAS 2023: Toyota Rangga Concept – versi produksi trak pikap pelbagai guna akan muncul tahun ini

    GIIAS 2023: Toyota Rangga Concept – versi produksi trak pikap pelbagai guna akan muncul tahun ini

    Disember lalu pengerusi Toyota, Akio Toyoda telah pun mendedahkan model konsep IMV 0 di Thailand, iaitu trak pikap modular yang lebih versatil dari Hilux yang boleh diubahsuai lebih bebas untuk pelbagai kegunaan. Dan ketika berlangsungnya Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2023 minggu lalu, model konsep berkenaan telah dipertingkat dan kini digelar sebagai Toyota Rangga Concept.

    Nama “Rangga” bukanlah diambil sempena watak filem popular Indonesia Ada Apa Dengan Cinta, tetapi ia berasal dari salah satu varian trak pikap Toyota Kijang yang dijual di negara berkenaan pada era 90’an. Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Toyota, nama Rangga ini juga diinspirasikan dari perkataan bahasa Jawa iaitu ‘ronggo’ yang bermaksud perwira dan melambangkan sifat kuat serta tahan lasak.

    Di GIIAS, model konsep Rangga ini tampil dalam beberapa varian termasuk kafe bergerak, ambulans, stesen servis bergerak untuk EV dan juga Pace Car.

    Malah untuk memberikan peluang orang ramai menghasilkan varian Rangga mereka sendiri, Toyota Astra Motor (TAM) telah mengadakan satu pertandingan rekaan digital yang boleh diserta oleh semua orang. Satu template asal Rangga diberikan, dan peserta boleh menghasilkan rekaan masing-masing dalam tiga kategori berbeza iaitu perniagaan, gaya hidup dan perkhidmatan awam.

    Rekaan-rekaan tersebut sudah disiarkan di laman sesawang pertandingan itu, dan anda boleh lihat pelbagai idea diterjemahkan termasuk trak ais krim, kenderaan menyelamat untuk pasaukan Bomba, kenderaan camper dan pelbagai lagi.

    Rangga bukan sekadar konsep, ia sebenarnya sudahpun hampir masuk ke fasa produksi dan bakal dijual pada lewat tahun ini atau awal tahun depan. Dan sembilan pemenang pertandingan ini akan menyaksikan rekaan mereka akan muncul dalam bentuk nyata bagi dijadikan mock-up ketika pelancaran model produksi sebenar Rangga ini kelak.

    Walau bagaimanapun, Rangga dijangka akan dilancarkan di Thailand terlebih dahulu, diikuti Indonesia dan pasaran lain. Menurut pengarah pemasaran TAM, Anton Jimmi Suwandy dalam laporan akhbar Kompas, Rangga adalah lebih kecil dan akan dijual lebih murah dari Hilux iaitu bermula 200 juta hingga 300 juta Rupiah (sekitar RM60,461 to RM90,691).

    Manakala dalam laporan Top Gear Filipina, model produksi Rangga ini turut akan dijual di negara berkenaan, meneruskan legasi Toyota Kijang yang dijual di sana juga pada era 90’an dengan nama Toyota Tamaraw – nama yang diberikan sempena nama kerbau kerdil yang berasal dari pulau Mindoro, Filipina.

    Menurut Top Gear PH lagi, buat permulaan Rangga akan ditawarkan dengan pilihan enjin turbodiesel dan petrol, kemudian bakal disusuli pilihan hibrid dan elektrik penuh (EV) selepas itu. Tiada perincian teknikal rasmi dari Toyota lagi diumumkan setakat ini, namun dilaporkan Rangga akan hadir dengan pilihan model cab dan casis.

     
     
  • Haruki Noguchi meninggal dunia selepas insiden dalam perlumbaan ASB1000 ARRC di Litar Mandalika

    Haruki Noguchi meninggal dunia selepas insiden dalam perlumbaan ASB1000 ARRC di Litar Mandalika

    Perlumbaan kategori Asia Superbike 1000 dalam FIM Asia Road Racing (ARRC) yang berlangsung hujung minggu lalu di Litar Mandalika, Indonesia terpaksa dihentikan awal, hanya selepas empat pusingan kerana insiden yang melibatkan dua pelumba Malaysia, Zaqhwan Zaidi dan Kasma Daniel, serta pelumba Jepun, Haruki Noguchi.

    Akibat daripada perlanggaran tiga pelumba itu di selekoh ke-10, Noguchi mengalami kecederaan yang kritikal dan kini selepas tiga hari dirawat di Hospital Nusa Tenggara Barat, beliau disahkan meninggal dunia. Noguchi berumur 22 tahun dan berlumba untuk pasukan SDG MS Harc-Pro Honda Ph menggunakan jentera CBR1000RR-R.

    Pengumuman pemergian Noguchi diumumkan oleh FIM Asia beberapa jam lalu (17 Ogos) dan kenyataan rasmi yang disiarkan melalui media sosial turut menyampaikan ucapan takziah daripada FIM Asia, Two Wheels Motor Racing serta semua yang terlibat dalam kejuaraan ARRC kepada keluarga serta rakan Noguchi.

    Turut menyatakan rasa sedih adalah Zaqhwan, yang menyatakan bahawa Noguchi adalah antara saingan terhebat beliau di dalam litar. “Saya rasa berbangga dan gembira pernah berlumba dengan awak dan saya akan merindui pertarungan antara kita di dalam litar. Memori dengan awak tidak akan dilupakan. Selamat tinggal Haruki, moga awak tenang di sana,” kata Zaqhwan di media sosial.

     
     
  • Mitsubishi Xforce akan ganti ASX di Amerika Syarikat

    Mitsubishi Xforce akan ganti ASX di Amerika Syarikat

    Walaupun pada asasnya ia dibangunkan khas untuk pasaran ASEAN, Mitsubishi Xforce yang baru sahaja membuat kemunculan sulung global di Indonesia minggu lalu turut akan dibawa ke pasaran Amerika Syarikat. Menurut laporan Automotive News, Xforce bakal menggantikan tempat SUV segmen-B Mitsubishi ASX (dikenali sebagai Outlander Sport di negara berkenaan) yang sudah berada lebih dari satu dekad dalam pasaran.

    Ini bermakna Mitsubishi ASX generasi baharu yang telahpun dilancarkan di Eropah (model rebadge dari Renault Captur) pada September tahun lalu tidak akan dibawa ke pasaran Amerika Syarikat, dan memilih model yang dibangunkan sepenuhnya oleh mereka untuk dijual ke pasaran negara Uncle Sam tersebut.

    Selain dari versi petrol sedia ada, Xforce dijangka bukan hanya bakal diperkenalkan dalam versi hibrid, malah berpotensi untuk hasilkan dalam versi elektrik sepenuhnya (EV) untuk masa hadapan.

    “Kami berharap untuk mengembangkan model dari kenderaan yang berkaitan dengan pasaran negara-negara Asia Tenggara kepada kenderaan strategik global, menjadikan ia model asas yang penting,” kata CEO Mitsubishi, Takao Kato.

    Mitsubishi X-Force merupakan SUV yang dihasilkan dengan saiz yang hampir sama dengan Honda HR-V dan Toyota Corolla Cross. Namun buat masa sekarang ia hanya ditawarkan dengan enjin 1.5 liter DOHC MIVEC berkuasa 105 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 141 Nm pada takat 4,000 rpm, digandingkan dengan kotak gear CVT untuk memacu hanya roda hadapan.

    Namun SUV ini direka dan ditala untuk pemanduan pada permukaan lasak di Asia Tenggara, termasuk untuk meredah laluan banjir yang kerap berlaku di rantau ini. Antara yang dibuat termasuk memberikan jarak kelegaan tanah 222 mm, set roda yang lebih lebar dengan rim 18-inci, saiz silinder penyerap hentak juga direka besar bagi memberikan kestabilan pada roda stereng serta keselesaan pemanduan walaupun dipandu pada permukaan tidak rata dan lasak.

    Mitsubishi Xforce akan ganti ASX di Amerika Syarikat

    Sudut caster suspensi hadapan juga dilaras lebih besar bagi memberikan kestabilan kelajuan tinggi dan respon stereng lebih baik, serta menggunakan set bushing suspensi belakang yang dipertingkat.

    Tetapan suspensi, roda dan rekabentuk Xforce ini juga membolehkan ia mendapat sudut approach dan sudut departure antara yang terbaik dalam kelasnnya, masing-masing 21 dan 30.5 darjah. Ini membolehkan Xforce ‘memanjat’ laluan dengan sudut-sudut yang curam, dan ia juga mudah dikendalikan pada laluan sempit dengan radius pusingan minimum 5.2 meter, yang juga paling kecil dalam kelasnya.

    Tidak cukup dengan itu, Xforce turut hadir dengan teknologi kawalan empat roda yang pertama untuk sebuah Mitsubishi yang hanya memacu dua roda. Teknologi ini menampilkan empat mod pemanduan iaitu Normal, Wet, Gravel dan Mud yang boleh dipilih oleh pemandu bagi disesuaikan dengan situasi pemanduan.

    Mitsubishi Xforce akan ganti ASX di Amerika Syarikat

    Kesemua mod berkenaan akan dihasilkan menerusi tetapan pada sistem Active Yaw Control (AYC) yang akan melaras agihan kuasa antara roda kiri dan kanan hadapan bagi mencapai pengendalian terbaik, traction control untuk mengawal tahap gelangsar pada roda, kawalan enjin, dan juga kawalan stereng bantuan kuasa elektrik.

    Mitsubishi turut menyatakan bahawa mod Wet merupakan mod yang baru diperkenalkan buat pertama kali menerusi Xforce ini, dan ia akan memberikan prestasi mengambil selekoh dan kestabilan yang lebih baik pada jalan basah ketika hujan, dan mengekalkan kawalan yang baik ketika meredah banjir.

    GALERI: Mitsubishi Xforce di GIIAS 2023

     
     
  • Melaka laksana percubaan zon bebas kenderaan mulai 19 Ogos – setiap Sabtu, 6 petang-12 tengahmalam

    Melaka laksana percubaan zon bebas kenderaan mulai 19 Ogos – setiap Sabtu, 6 petang-12 tengahmalam

    Melaka bakal melaksanakan percubaan bagi zon bebas kenderaan pada setiap hari Sabtu, bermula 19 Ogos 2023. Bagi tujuan tersebut, beberapa jalan utama di sekitar bandaraya Melaka akan ditutup selama enam jam, bermula 6 petang hingga 12 tengah malam.

    Antara laluan yang terlibat ialah Jalan Istana, Jalan Mahkamah, Jalan Gereja, Lorong Gereja, Jalan Laksamana dan sebahagian Jalan Tun Khalil Yaakob, sebahagian Jalan Merdeka serta Jalan Parameswara di Banda Hilir.

    Bagi menjayakan zon bebas kenderaan ini, kerajaan negeri turut menganjurkan program ‘Ride and Run’ bagi menarik penyertaan dari penduduk setempat dan juga pelancong yang berkunjung ke bandaraya bersejarah ini.

    Walau bagaimana pun, sepanjang penganjuran program tersebut dan juga penutupan jalan yang terbabit, kerajaan negeri mengesahkan tiada penutupan atau pun pemindahan premis perniagaan.

    Klik untuk besarkan

    Menurut EXCO Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin, kerajaan negeri menerusi Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) memberi jaminan peniaga di kawasan penutupan sementara jalan berkenaan boleh menjalankan urusan perniagaan seperti biasa dengan khidmat nasihat serta bantuan akan diberi jika diperlukan.

    “Kita mahu melihat bagaimana suasana dan sambutan orang ramai dan pelancong terhadap pelaksanaan zon bebas kenderaan yang akan dilaksanakan kelak sama ada menimbul masalah atau sebaliknya. Saya harap, semua pihak dapat memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan MBMB sepanjang tempoh percubaan itu nanti.

    “Sepanjang tempoh percubaan ini, kita menyediakan `buggy’ sebagai kenderaan membawa pengunjung ke destinasi pilihan mereka di sekitar kawasan berkenaan. Mereka juga boleh membuat pilihan untuk berjalan kaki di sekitar kawasan terbabit. Tempoh percubaan ini penting untuk kita menilai mengenai perkara yang perlu ditambah baik ketika pelaksanaan Melaka Zon Bebas Kenderaan kelak,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

     
     
  • Pameran Makers of Tomorrow di BSC, dari 16-20 Ogos — pembiayaan, tawaran untuk PHEV dan banyak lagi

    Pameran Makers of Tomorrow di BSC, dari 16-20 Ogos — pembiayaan, tawaran untuk PHEV dan banyak lagi

    Mendekati Hari Merdeka bulan ini, serta Hari Malaysia pada bulan depan, kita akan menyedari bahawa pengilangan automotif adalah bahagian penting daripada sejarah negara ini. Bahkan, Volvo misalnya telah menjadi jenama yang berada di sini sejak awal perjalanan itu lagi.

    Volvo Car Malaysia mempunyai sejarah yang panjang di Malaysia, dengan pertama kali membuka kilang Volvo Car Manufacturing Malaysia di Shah Alam, Selangor pada tahun 1966. Setahun kemudian, model Volvo 144 pemasangan tempatan pula telah diperkenalkan.

    Sepanjang tempoh itu, jenama Volvo juga menjadi sangat sinonim dengan keselamatan, paling dikenali kerana pengenalan tali keledar keselamatan tiga-poin dalam kenderaan yang telah dibangunkan oleh jurutera keselamatan Volvo, Nils Bohlin. Volvo tidak berhenti di situ, dan menjadikan ciptaan tersebut tersedia untuk semua, termasuk untuk dimanfaatkan oleh pengeluar kenderaan lain. Tali keledar tiga-poin dianggarkan telah menyelamatkan lebih daripada sejuta nyawa setakat ini.

    Dibangun dengan legasinya serta usaha untuk terus menjadikan kehidupan lebih baik dengan kenderaan, Volvo Cars Malaysia telah membentangkan rancangannya untuk elektrifikasi dan matlamat untuk neutral iklim; syarikat itu mensasarkan untuk mempunyai 75%, atau tiga per empat daripada jumlah kenderaan yang dijual adalah jenis Recharge Pure Electric menjelang 2025, serta dalam usaha untuk menjadi syarikat kenderaan elektrik sepenuhnya menjelang 2030. Sebagai tambahan, VCM berhasrat untuk mencapai nuetral iklim menjelang 2040.

    Pameran Makers of Tomorrow di BSC, dari 16-20 Ogos — pembiayaan, tawaran untuk PHEV dan banyak lagi

    Dalam usaha ke arah neutral iklim melalui elektrifikasi itu, Volvo Car Malaysia juga menjadi jenama automotif premium yang pertama di Malaysia yang memperkenalkan kenderaan plug-in hybrid pemasangan tempatan, Volvo XC90 Recharge pada 2016. Sejak itu, VCM telah menawarkan pelbagai barisan kenderaan PHEV pemasangan tempatan di sini. Syarikat itu juga menjadi yang pertama memperkenalkan kenderaan bateri-elektrik pemasangan tempatan melalui model Volvo XC40 Recharge Pure Electric pada 2022, yang kemudian diikuti pula oleh model Volvo C40 Recharge Pure Electric.

    Sempena sambuntan ulang tahun ke-96 Volvo Cars dan Hari Merdeka ke-66 Malaysia, Volvo Car Malaysia ingin membantu pemilik akan datang ke dalam penggunaan kenderaan elektrik dengan menjadikan peralihannya lebih mudah untuk semua, dan dengan pelbagai barisan penawaran.

    Beli Volvo XC40 Recharge Pure Electric atau Volvo C40 Recharge Pure Electric sebelum 30 September ini dan anda akan menikmati pengurangan harga serta-merta melalui diskaun RM20,000 dari prinsipal pinjaman. Pelanggan juga boleh mendapatkan pengurangan jumlah pembiayaan dengan menambah jumlah bayaran ansuran bulanan yang lebih tinggi.

    Turut tersedia manfaat untuk penyelesaian pembiayaan awal: nikmati tempoh pembiayaan lebih pendek, dan tiada yuran penamatan jika pinjaman diselesaikan lebih awal. Pembeli yang berminat boleh berhubung dengan perunding jualan Volvo Car Malaysia untuk mengetahui lebih lanjut kelayakan untuk mendapatkan kadar istimewa sert bagaimana untuk jimatkan caj pembiayaan.

    Pameran Makers of Tomorrow di BSC, dari 16-20 Ogos — pembiayaan, tawaran untuk PHEV dan banyak lagi

    Kelebihan ini turut dipanjangkan kepada mereka yang ingin membeli kenderaan PHEV Volvo. Beli Volvo XC60 Recharge atau Volvo XC90 Recharge sebelum 30 September ini, dan anda akan menerima pakej promosi bernilai hampir RM20,000. Ini termasuklah Volvo Service Plan (VSP) lima-tahun bernilai RM12,900, serta insuran kenderaan percuma untuk tahun pertama bernilai RM7,000.

    Selain itu, pameran Makers of Tomorrow oleh Volvo Car Malaysia akan berlangsung di Bangsar Shopping Centre pada 16-20 Ogos 2023, yang mana warisan jenama ini dan visinya akan dipamerkan. Pengunjung boleh mendekati kenderaan klasik Volvo yang dipamerkan, termasuk model kereta pertama yang dipasang di Malaysia, serta sesi pandu uji barisan kenderaan dengan elektrikfikasi terkini Volvo.

    Untuk mengetahui lebih lanjut berkaitan pembiayaan Volvo baru, layari laman Volvo Car Financial Services untuk perincian penuh termasuk simulasi penjimatan; anda juga boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang promosi PHEV Volvo, di sini.

     
     
  • myTukar siar video sempena Merdeka dan Hari Malaysia 2023 – boleh teka semua ikon Malaysia ini?

    Sebagai rakyat Malaysia, pastinya kita berbangga kerana ramai anak bangsa yang berjaya mengharumkan nama negara di mata dunia. Waima dalam bidang sukan, pendidikan, kerjaya mahu pun hiburan, kita punya barisan ikon dan idola kebanggaan ramai yang mencipta nama dalam bidang masing-masing.

    Mengambil ilham daripada pencapaian ini, myTukar telah mengeluarkan video pendek sempena dengan Hari Kemerdekaan ke-66 dan juga Hari Malaysia yang bakal disambut tidak lama lagi.

    Video pendek ini memaparkan sekumpulan murid sekolah rendah yang memakai uniform atau pun pakaian yang menggambarkan kerjaya impian atau pun personaliti pada masa hadapan. Mereka berimpian mahu mengikut jejak langkah ikon Malaysia yang mencipta nama di persada antarabangsa.

    Ada yang mahu menjadi seperti ratu Skuash dunia iaitu Datuk Nicol Ann David, yang mahu menjadi angkasawan pertama Malaysia seperti Sheikh Muszaphar Shukor, mahu menjadi seperti Yuna yang mencipta nama dalam dunia hiburan sehingga ke Amerika Syarikat, menjadi seperti aktres terkemuka kelahiran Ipoh, Tan Sri Michelle Yeoh yang menjadi artis Asia pertama yang memenangai anugerah Oskar dan sebagainya. Tidak kurang juga, ada kanak-kanak di dalam video berkenaan yang bercita-cita tinggi untuk menjadi CEO myTukar pada masa hadapan.

    Ternyata video myTukar ini mampu memberikan inspirasi buat kanak-kanak dan remaja yang bercita-cita tinggi dalam bidang yang ingin diceburi dan mempunyai impian untuk mengharumkan nama Malaysia ke serata dunia. Moga anak-anak kita dan generasi muda dapat meneruskan legasi kegemilangan yang pernah diraih oleh barisan ikon kita dan mencipta rekod yang membanggakan. Jangan lupa tonton video di atas.

     
     
  • Shell lancarkan rangkaian produk penjagaan kereta

    Shell lancarkan rangkaian produk penjagaan kereta

    Shell Malaysia secara rasmi melancarkan rangkaian produk penjagaan kereta yang kini dijual di semua stesennya di seluruh Semenanjung Malaysia, dan turut bakal di bawa ke pasaran Malaysia Timur tidak lama lagi. Untuk tempoh masa terhad, pelanggan-pelanggan Shell turut ditawarkan diskaun 20% untuk pembelian rangkaian produk penjagaan kereta baharu ini.

    Sebanyak enam produk dihasilkan untuk rangkaian baharu ini, lengkap untuk penjagaan luaran dan dalaman kereta anda. Bagi produk penjagaan luaran, ia terdiri dari Syampu Kereta Shell, Syampu dan Wax Kereta Shell serta Shell
    Speedwax, didakwa “berkesan menghilangkan karat, menghapuskan sisa minyak dan gris, dan memberikan kilauan yang menakjubkan kepada kenderaan anda.”

    Manakala untuk produk penjagaan bahagian dalaman pula, ia terdiri dari Kain Mikrofiber Shell, Pencuci Barangan Kulit Shell dan Pembersih Dalaman Shell yang “berkesan membersih kenderaan anda, memastikan ia bebas daripada kuman dan selamat untuk keluarga,” kata Shell dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    “Tahun ini dimulakan dengan pelancaran bahan api terbaik kami dengan memberikan tambahan 15 kilometer bagi setiap tangki penuh. Kini, dalam perjalanan kami untuk menjadi ‘Better by Far’, kami bercita-cita menjadi destinasi sehenti untuk semua pelanggan dengan pelancaran produk penjagaan kereta baharu kami. Rangkaian produk penjagaan kereta terbaru kami adalah bukti dedikasi ini, memenuhi semua keperluan pembersihan pelanggan dan meningkatkan pemanduan harian mereka dengan kepuasan dan keseronokan,” kata Seow Lee Ming, Pengurus Besar, Mobiliti, Malaysia.

    “Dengan produk yang direka khas oleh Shell, memilih penyelesaian yang tepat untuk keperluan kereta anda kini menjadi lebih mudah. Kami sedang menjalankan misi untuk menyampaikan pengalaman pemanduan yang terbaik, memberikan anda kebanggaan dan keyakinan selepas melakukan penjagaan kenderaan anda. Komitmen ini menekankan dedikasi Shell untuk menyediakan pengalaman pelanggan yang luar biasa, yang meningkatkan setiap pemanduan,” tambahnya lagi.

     
     
  • JPJ eBid: Siri JWM dan VLE dibuka bidaan

    Kali ini giliran siri nombor pendaftaran terkini dari Johor dan WP Kuala Lumpur dibuka untuk bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Johor, JWM, mula dibuka bidaan hari ini 17 Ogos 2023. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 21 Ogos. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 22 Ogos 2023. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini WP Kuala Lumpur, VLE, bakal dibuka bidaan mulai esok 18 Ogos 2023. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 22 Ogos, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 23 Ogos 2023.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Harga minyak 17-23 Ogos – Tiada perubahan

    Harga minyak 17-23 Ogos – Tiada perubahan

    Kementerian Kewangan (MoF) telah mengumumkan bahawa bagi minggu bertarikh 17 hingga 23 Ogos 2023, tiada perubahan harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api iaitu petrol RON 97, RON 95 dan diesel.

    Untuk itu, petrol RON 97 kekal pada harga RM3.37 seliter. Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Pada akhir Mei lalu, kerajaan telah mengumumkan bahawa Pangkalan Data Utama (PADU) dijangka siap menjelang akhir hujung tahun ini, dan ia akan diguna pakai untuk pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON 95 dan diesel tahun depan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025