Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Ducati Hypermotard 950 RVE 2024 dapat grafik baru

    Ducati Hypermotard 950 RVE 2024 dapat grafik baru

    Ducati Hypermotard 950 RVE, iaitu salah satu varian Hypermotard yang berada di antara Hypermotard 950 dan Hypermotard SP kini diperbaharui dengan grafik berbeza yang dipanggil sebagai Graffiti Livery Evo bagi model tahun keluaran 2024.

    Grafik baru ini menggunakan “water decal” dengan tujuan mendapatkan rekaan yang kompleks dan lebih halus, serta mendapat inspirasi daripada seni jalanan. Ia digunakan pada seluruh badan motosikal, sekaligus memberikan kesan seakan airbrush.

    Hanya huruf HYM sahaja yang dapat dilihat jelas pada panel tepi tangki Hypermotard 950 RVE ini, sementara pada panel belakang pula terdapat tulisan huruf RVE di kedua-dua sisi. Rim masih menggunakan dua warna, merah dan hitam seperti Hypermotard RVE yang didedahkan pada tahun 2020 (dijual di Malaysia pada harga RM81k).

    Ducati Hypermotard 950 RVE 2024 dapat grafik baru

    Bahagian mekanikal masih tidak berubah, dan sama seperti Hypermotard 950 yang lain, versi RVE ini didatangkan dengan enjin dua silinder Testastretta 11 937 cc yang dapat menghasilkan sehingga 114 hp pada 9,000 rpm dan 98 Nm tork pada 7,250 rpm.

    Kelengkapan moden lain yang terdapat pada motosikal ini adalah termasuk ABS Cornering Bosch EVO dengan fungsi Slide By Brake, Ducati Wheelie Control (DWC) EVO, tiga mod tunggangan serta panel instrumen TFT 4.3 inci. Fork hadapan menggunakan unit daripada Marzocchi yang boleh dilaras sepenuhnya manakala di belakang menggunakan monoshock Sachs yang juga boleh dilaras.

     
     
  • Pusat 3S BYD SISMA Auto di Glenmarie dilancarkan

    Pusat 3S BYD SISMA Auto di Glenmarie dilancarkan

    SISMA Auto telah membuka Pusat 3S BYD yang terbesar di Glenmarie, Shah Alam, hab automotif utama di Lembah Klang. Pusat 3S BYD Glenmarie yang menelan belanja sebanyak RM5 juta ini merupakan kemudahan BYD Kelas A di Malaysia yang menampilkan bilik pameran yang mampu mempamerkan sembilan buah kereta. Ia juga menampilkan ruang rehat untuk pelanggan dengan kemudahan WiFi percuma dan sudut makanan, sudut cenderahati serta petak pengecasan kenderaan elektrik (EV).

    Selain itu, ia turut menyediakan kemudahan servis dengan 16 petak pembaikan yang mampu menampung kapasiti lebih 1,000 pelanggan sebulan. Pusat servis yang termaju ini dilengkapi dengan peralatan diagnosis terkini, alat dan kelengkapan khas serta kawasan simpanan dengan suhu yang terkawal untuk menyimpan komponen bateri kuasa yang sensitif. Bilik Kenderaan Tenaga Baharu turut disediakan untuk membaiki semua komponen voltan tinggi.

    Pusat 3S BYD SISMA Auto juga telah mendapat pengiktirafan daripada Pengasas dan Pengerusi BYD, Wang Chuanfu, semasa kunjungan beliau ke Malaysia pada 4 Mei 2023.

    Pusat 3S BYD SISMA Auto di Glenmarie dilancarkan

    Pengarah Urusan Kumpulan SISMA Auto Syed Khalil Syed Ibrahim berkata dengan sejarah perkongsian perniagaan dengan jenama automotif selama 30 tahun, syarikat bersedia untuk menawarkan pengalaman 3S premium kepada para pemilik BYD di Malaysia.

    “Kami berbesar hati dapat menjalin hubungan perniagaan dengan BYD dan pengedarnya di Malaysia, Sime Darby Motors. Kami percaya bahawa masa depan industri automotif ialah kenderaan elektrik dan sebagai pembuat Kenderaan Tenaga Baharu (New Energy Vehicle, NEV) nombor satu di dunia, BYD berada dalam kedudukan yang terbaik untuk menjadi peneraju masa depan tenaga elektrik.

    “Reka bentuk dan ciri Pusat 3S kami mencerminkan kedudukan premium serta kualiti produk jenama. Sambutan daripada pasaran Malaysia yang diterima oleh BYD Atto 3 sangat menggalakkan dan kami teruja untuk memperkenalkan lebih banyak model BYD pada bulan-bulan yang akan datang,” kata Syed Khalil.

    Pengarah Urusan BYD Malaysia Sdn Bhd Eagle Zhao melahirkan keyakinan terhadap potensi pasaran untuk BYD di Malaysia dan berkata, “Permintaan untuk kenderaan tenaga baharu di Malaysia telah meningkat dengan ketara. Kami berhasrat untuk memperkenalkan teknologi terkini dan menawarkan lebih banyak pilihan untuk pengguna di Malaysia.”

    “Kami amat berbangga dengan kerjasama teguh antara Sime Darby Motors dan SISMA Auto. Gandingan bersama ini bermakna kedua pihak dapat membawa pengalaman industri yang mendalam dan berkongsi visi untuk membantu memacu masa depan mobiliti rendah karbon Malaysia dengan produk EV yang tercanggih daripada BYD.

    “Pusat 3S ini merupakan titik penting dalam perjalanan kami bersama dan pastinya akan membantu membina kepercayaan dan keyakinan terhadap jenama BYD dalam kalangan pemandu yang arif di Malaysia. Kami komited dalam menyediakan penyelesaian automotif bertaraf dunia dan amat teruja dengan kesan transformatif hasil daripada kerjasama ini ke atas pasaran Malaysia,” kata Pengarah Urusan Sime Darby Motors untuk Peruncitan & Pengedaran Asia Tenggara, Hong Kong dan Macau, Jeffrey Gan.

    Bilik Pameran Pusat 3S BYD SISMA Auto dibuka dari jam 9 pagi hingga 6 petang dari Isnin sampai Sabtu dan dari jam 10 pagi hingga 5 petang pada hari Ahad dan cuti awam. Pusat Servis pula beroperasi dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang dari Isnin sampai Jumaat dan dari 8.30 pagi hingga 12.30 petang pada hari Sabtu.

    Sempena dengan pembukaan pusat 3S ini, BYD SISMA Auto akan menganjurkan karnival istimewa untuk seisi keluarga mulai 2 hingga 11 Jun 2023. Karnival Electric Dreams BYD SISMA Auto akan diadakan setiap hari bermula 10 pagi hingga 5 petang. Para pelanggan dan pengunjung yang mendaftar untuk pandu uji layak menerima hadiah selamat datang, makanan ringan dan cabutan bertuah.

     
     
  • Puspakom keluarkan jadual unit pemeriksaan bergerak Jun 2023 – termasuk luar kawasan di Sabah/Sarawak

    Puspakom keluarkan jadual unit pemeriksaan bergerak Jun 2023 – termasuk luar kawasan di Sabah/Sarawak

    Puspakom telah mengeluarkan jadual Jun 2023 bag unit pemeriksaan bergerak untuk Semenanjung Malaysia dan juga ujian luar kawasan di Sabah dan Sarawak.

    Trak unit pemeriksaan bergerak itu bakal ke Perak, Johor, Terengganu, Kelantan, Pahang dan Negeri Sembilan. Tujuan bagi insiatif ini adalah untuk mereka yang tinggal jauh dari cawangan Puspakom. Perkhidmatan yang ditawarkan termasuklah rutin pemeriksaan, tukar nama hakmilik, dan banyak lagi.

    Walau pun tidak menampilkan trak besar seperti di Malaysia Timur, namun Puspakom tetap tidak melupakan pelanggan di pekan kecil di sekitar Sabah dan Sarawak.

    Klik untuk besarkan jadual ini

    Walau bagaimana pun unit bergerak itu tetap akan membawa kelengkapan yang diperlukan untuk pemeriksaan kenderaan. Antara daerah yang bakal dikunjungi termasuk Ranau, Kota Belud, Semporna, Kunak, Kapit, Limbang, Lawas dan Marudi.

    Puspakom berkata pelanggan boleh terus ke lokasi yang disenaraikan pada tarikh yang disediakan, tanpa perlu membuat temujanji secara dalam talian, seperti yang diamalkan di cawangan Puspakom lain.

    Unit pemeriksaan bergerak ini beroperasi dari jam 8 pagi hingga 6 petang, dan ada sesetengah lokasi, ia bermula dari jam 8 pagi hingga 1 tengahari. Sila semak dahulu jadual yang diberikan sebelum anda ‘menyerbu’ unit pemeriksaan bergerak Puspakom ini.

     
     
  • PLUS umum tandas awam di Hentian Sebelah Plaza Tol Tapah tutup hingga 11 Ogos untuk dinaiktaraf

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah memaklumkan bahawa kemudahan tandas awam di Hentian Sebelah Plaza Tol Tapah di KM326.8 di Lebuhraya Utara-Selatan ditutup sementara mulai hari ini (1 Jun) hingga 11 Ogos 2023. Ia adalah bagi kelancaran kerja-kerja menaiktaraf fasiliti berkenaan.

    Sebagai alternatif sepanjang tempoh penutupan sementara tersebut, pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya menggunakan kemudahan tandas awam yang disediakan di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R), hentian-hentian sebelah atau plaza-plaza tol yang berdekatan.

    “PLUS mengucapkan terima kasih kepada pengguna lebuh raya atas perhatian dan kerjasama yang diberikan,” kata PLUS menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • Mitsubishi akan dedah model produksi XFC Concept di Indonesia Ogos ini – pencabar Ativa, WR-V dan Creta?

    Mitsubishi akan dedah model produksi XFC Concept di Indonesia Ogos ini – pencabar Ativa, WR-V dan Creta?

    Mitsubishi telah mengumumkan bahawa ia akan mendedahkan SUV kompak serba baharu di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2023 yang akan berlangsung pada Ogos ini. Berdasarkan imej teaser yang disiarkan sekali dengan pengumuman tersebut, SUV berkenaan adalah model produksi bagi model konsep Mitsubishi XFC yang muncul di Vietnam Motor Show (VMS) pada Oktober tahun lalu.

    Menurut Mitsubishi, model yang akan didedahkan ini merupakan SUV baharu pertama yang akan masuk ke pasaran ASEAN terlebih dahulu.

    “Dihasilkan dari kepakaran pembangunan kenderaan yang diwarisi jenama, model serba baharu ini menampilkan rekaan asli SUV yang bergaya dan lasak, serta praktikal seperti pengendalian yang mudah serta ruang simpanan yang versatil, dan keselesaan termasuk ruang kabin yang luas,” kata Mitsubishi dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    “Selain itu, melalui ujian berulang dan penalaan dalam persekitaran jalan raya di rantau ASEAN, SUV kompak serba baharu ini memberikan ketenangan fikiran walaupun ketika dikendali pada permukaan lasak atau jalan yang dibanjiri air hujan lebat,” tambah kenyataan itu.

    Teaser baharu ini juga menunjukkan bahawa SUV kompak baharu ini akan dilengkapi sistem bunyi yang dihasilkan oleh Yamaha. Ini merupakan kerjasama pertama antara Mitsubishi dan juga pengeluar alat muzik serta kelengkapan audio dari Jepun tersebut.

    Mitsubishi belum mengumumkan sebarang spesifikasi teknikal berkenaan SUV serba baharu ini dalam kenyataan yang dikeluarkan kali ini. Namun sebelum ini jenama tersebut ada menyatakan bahawa model ini akan diperkenalkan dalam versi petrol sepenuhnya terlebih dahulu, dan kemudian akan diikuti versi hibrid elektrik selepas itu.

    Unit prototaip versi produksi XFC Concept ini juga sebelum ini sudah dijumpai sedang diuji di atas jalan raya awam di Indonesia. Ia dilihat menerapkan banyak perincian dari XFC Concept, seperti yang dibuat pada model XM Concept dan versi produksi Xpander sebelum ini.

    Pada bahagian muka, versi produksi XFC ini masih menerima gril hadapan berbentuk trapezoid dengan elemen sarang lebah, serta lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk-L. Jalur LED sebelah bawah DRL pada XFC mungkin akan dijadikan lampu utama pada versi produksi ini seperti pada Xpander.

    Rekaan skid plate pada sebelah bawah bampar XFC juga diberikan pada versi produksi, cuma ia bersaiz lebih kecil dan tiada jalur LED disekeliing sepasang liang berbentuk segi enam berkenaan.

    Segala perincian sebelah sisi XFC juga dilihat dijelmakan hampir sepenuhnya pada prototaip produksi sebenar ini. Ia termasuk rekaan ruang roda dibentuk seakan flare, garis badan yang direka membentuk seakan ‘otot-otot’ pada bahagian pintu belakang bersama garis cermin tingkap belakang ternaik ke atas, cermin tingkap suku belakang yang direka tajam, dan juga rekaan tiang-D yang memberikan rupa bumbung seakan terapung.

    Di belakang, lampu kombinasi berbentuk-T yang mencerminkan rekaan pada sebelah muka juga dijelmakan pada versi produksi ini. Rekaan pada cermin belakang dan juga spoiler juga nampak sama, namun lampu brek menegak pada versi konsep diubah menjadi mendatar seperti biasa.

    Walaupun ditutup dengan pelekat penyamaran, bahagian skid plate pada bahagian bawah bampar belakang ini nampak kelihatan hampir sama antara XFC Concept dan unit prototaip produksi ini. Cuma rekaan sepasang lubang berbentuk heksagon tidak lagi kelihatan, dan ia diberikan sepasang reflektor berwarna merah mendatar pada sebelah bawah.

    Ada khabar yang bertiup, model ini merupakan Xpander dalam versi yang dipendekkan, menggunakan banyak komponen mekanikal yang juga diambil dari Xpander – Jadi ada kemungkinan ia akan berkongsi enjin 1.5L MIVEC dan hanya memacu roda hadapan.

    Oleh itu, SUV baharu dari Mitsubishi ini mungkin akan dihasilkan dengan badan yang berada dalam kelas segmen-B. Dan dengan enjin 1.5L tanpa turbo yang ditawarkan, ia mungkin akan berhadapan dengan model seperti Honda WR-V, Hyundai Creta dan juga kembar Toyota Raize/Daihatsu Rocky/Perodua Ativa.

    Mitsubishi juga masih belum mengumumkan nama sebenar untuk versi produksi XFC ini nanti. Namun tidak mustahil ia akan menggunakan kembali nama SUV segmen-B yang popularnya sebelum ini iaitu Mitsubishi ASX. Sebelum ini nama berkenaan telah digunakan semula untuk SUV baharu yang direbadge dari Renault Clio, tetapi ia hanya dijual untuk pasaran Eropah.

    GALERI: Mitsubishi XFC Concept 2022

     
     
  • Harga minyak 1-7 Jun – RON97 naik 2 sen seliter

    Harga minyak 1-7 Jun – RON97 naik 2 sen seliter

    Bagi minggu pertama bulan Jun 2023 iaitu untuk tempoh 1 hingga 7 Jun, Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan harga runcit bagi petrol RON 97 dinaikkan sebanyak dua sen seliter, iaitu menjadi RM3.37 seliter. Ini merupakan kenaikan pertama selepas 23 minggu ia tidak mengalami sebarang perubahan harga iaitu RM3.35 seliter.

    Walau bagaimana pun harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Baru-baru ini, kerajaan telah mengumumkan bahawa Pangkalan Data Utama (PADU) dijangka siap menjelang akhir hujung tahun ini, dan ia akan diguna pakai untuk pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON 95 dan diesel tahun depan.

    Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, pangkalan data bersepadu itu akan meneliti semua data sedia ada bagi membolehkan subsidi bersasar berkenaan diberikan kepada sasaran yang tepat.

     
     
  • MINI Clubman Untold Edition 2023 di Malaysia — dari RM311k, sentuhan khusus dan tambahan kelengkapan

    MINI Clubman Untold Edition 2023 di Malaysia — dari RM311k, sentuhan khusus dan tambahan kelengkapan

    MINI Malaysia telah memperkenalkan MINI Clubman Untold Edition. Ditawarkan dalam unit terhad, Untold Edition dijual pada harga RM320,888 atas jalan tidak termasuk insuran, dan termasuk pakej lanjutan jaminan empat-tahun. Dengan tempoh jaminan dua-tahun standard, harganya ialah RM311,388.

    Berdasarkan varian Cooper S bagi Clubman, Untold Edition ini menampilkan enjin yang sama, unit 2.0 liter turbocas empat-silinder petrol, yang menghasilkan 192 PS (189 hp atau 141 kW) dan 280 Nm tork. Kuasa dihantar ke roda hadapan melalui transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan. Pecutan 0-100 km/j adalah dalam masa 7.2 saat, dengan laju maksimum 228 km/j.

    Didedahkan pada Februari lalu, Untold Edition dibezakan penampilannya melalui jalur di bonet dan bumbung dan hadir dalam warna Sage Green sahaja. Jalur hitam di dalam lampunya juga diberikan lapisan hijau, dan disertai cetakan 3D di bahagian sisi, manakala rim 18-inci Untold Spoke dalam warna dua tona Jet Black dan Refined Brass.

    MINI Clubman Untold Edition 2023 di Malaysia — dari RM311k, sentuhan khusus dan tambahan kelengkapan

    Sentuhan lain termasuk motif U di projektor lampu lantai serta komponen lain di luar sama ada menerima penyudah Refined Brass atau Piano Black. Kit badan John Cooper Works (JCW) pula melengkapkan imej luarannya.

    Di dalam, beberapa kemasan seperti corong udara dan beberapa panel diberi penyudah Refined Brass atau Sage Green, sementara kerusi pula MINI Yours Leather Lounge Sage Green dengan kemasan kain dan jahitan warna terang. Kerusi MINI Yours Leather dalam warna Carbon Black.

    MINI Clubman Untold Edition 2023 di Malaysia — dari RM311k, sentuhan khusus dan tambahan kelengkapan

    Beberapa lencana Untold Edition juga boleh dilihat, dengan stereng dibalut kulit Nappa. Alas pintu juga hadir dengan logo dan tulisan Untold Edition. Kelengkapan lain kekal sama seperti Cooper S Clubman, termasuklah sistem infotainmen MINI Visual Boost dengan skrin sentuh 6.5-inci, MINI Connected Services, MINI Navigation System, pakej MINI Excitement, pelapik bumbung antracite, Comfort Access, kawalan pendingin dua-zon, kawalan melayar dengan fungsi brek, kamera pandangan belakang dan Park Distance Control belakang.

    Untold Edition ini juga menerima beberapa ciri khusus lain, seperti lampu LED adaptif dan pakej Driving Assistant, yang terdiri daripada maklumat had limit berdasarkan kemara, amaran orang dan amaran kawalan mendekati dengan fungi brek bandar dan amaran penukaran lorong.

     
     
  • PLUS uji SmartLane di laluan USJ-Seafield Lebuhraya Elite mulai 1 Jun-31 Ogos untuk waktu puncak pagi

    PLUS uji SmartLane di laluan USJ-Seafield Lebuhraya Elite mulai 1 Jun-31 Ogos untuk waktu puncak pagi

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah memaklumkan bahawa bagi membantu melancarkan pergerakan trafik di laluan USJ-Seafield terutamanya pada waktu puncak di Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), pihaknya akan mengadakan ujian rintis awam SmartLane di laluan terbabit bermula 1 Jun hingga 31 Ogos 2023.

    Di mana ujian rintis awam laluan SmartLane ini akan dilaksanakan di laluan USJ ke Seafield di antara KM8.1 hingga KM6.1 (Arah Utara) di lebuhraya ELITE mulai jam 6.30 pagi hingga 9.30 pagi pada setiap hari Isnin hingga Ahad (kecuali hari kelepasan am).

    “Ujian rintis awam ini dilaksanakan dengan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Ia bertujuan untuk mengoptimumkan penggunaan semua laluan dan meningkatkan kapasiti lorong bagi mengurangkan kesesakan trafik di laluan kritikal lebuh raya,” kata Pengurus Besar Kanan Operasi PLUS, Mohd Yusuf Abdul Aziz.

    Sepanjang tempoh tersebut, lorong paling kiri yang sedia ada dibuka sebagai laluan tambahan untuk menambah kapasiti lorong sedia ada dan membantu melancarkan trafik pada waktu puncak pagi.

    PLUS uji SmartLane di laluan USJ-Seafield Lebuhraya Elite mulai 1 Jun-31 Ogos untuk waktu puncak pagi

    “Ketika laluan SmartLane ini diaktifkan, pengguna lebuh raya dibenarkan memasuki dan memandu di laluan kecemasan untuk sementara sebagai langkah untuk menambah kapasiti laluan terbabit sebelum diarahkan untuk masuk semula ke laluan utama lebuh raya bagi meneruskan perjalanan mereka. Walau bagaimanapun, pengguna lebuh raya dilarang sama sekali menggunakan bahu jalan/laluan kecemasan di lokasi-lokasi lain di mana tiada laluan SmartLane diaktifkan.

    “Berdasarkan kajian dan rekod PLUS, pertembungan trafik serta keadaan jalan yang sedikit mendaki menyebabkan peningkatan trafik yang tinggi dan sedikit perlahan di laluan tersebut. Oleh yang demikian, langkah proaktif PLUS melaksanakan ujian rintis awam laluan SmartLane di kawasan terbabit adalah untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas yang dihadapi oleh orang ramai pada waktu puncak setiap pagi pada hari-hari bekerja di Lebuhraya ELITE, di samping membantu PLUS memperbaiki tahap perkhidmatan kami di lebuh raya,” jelas Mohd Yusuf lagi.

    Menurutnya, PLUS juga telah melakukan pelbagai persediaan untuk melaksanakan inisiatif ini dengan pemantauan oleh anggota Polis, JPJ dan pasukan PLUSRonda serta memasang papan tanda trafik dan menyediakan trak tunda tambahan di lokasi sekiranya berlaku kecemasan.

    “Secara puratanya, kira-kira 75,000 kenderaan menggunakan laluan USJ-Seafield di Lebuhraya ELITE pada setiap hari. Daripada jumlah tersebut, 58% menggunakan laluan terbabit secara serentak pada waktu puncak di sebelah pagi,” tambah Mohd Yusuf.

    PLUS uji SmartLane di laluan USJ-Seafield Lebuhraya Elite mulai 1 Jun-31 Ogos untuk waktu puncak pagi

    Beliau turut berkata, laluan SmartLane dijangka dapat memendekkan tempoh perjalanan di laluan terbabit pada waktu puncak sekiranya tiada sebarang insiden seperti kemalangan atau kerosakan kenderaan di laluan tersebut.

    Dalam pada itu, pengguna lebuh raya boleh mengenalpasti penggunaan laluan SmartLane ini melalui papan tanda laluan SmartLane serta pengawal trafik yang ditempatkan di lokasi terbabit atau merujuk laman media sosial PLUS di Facebook dan Twitter PLUSTrafik.

    Pada masa yang sama, pengguna lebuh raya juga dinasihatkan supaya mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh pihak PLUS dari masa ke masa ketika melalui kawasan terbabit.

     
     
  • Harga RON 95, diesel mungkin naik berperingkat menjelang hujung tahun ini – Penganalisis

    Harga RON 95, diesel mungkin naik berperingkat menjelang hujung tahun ini – Penganalisis

    Penganalisis PublicInvest Research, Sabrina Edora meramalkan harga siling untuk petrol RON95 dan diesel berpotensi naik secara berperingkat menjelang hujung tahun ini. Buat masa sekarang, harga siling untuk kedua-dua bahan api tersebut masing-masing kekal pada harga RM2.05 dan RM2.15 seliter menerusi subsidi yang diberikan oleh kerajaan.

    Sabrina menjelaskan bahawa kenaikan secara beransur-ansur itu mungkin akan terjadi berikutan semakan semula harga yang akan dibuat. Menurutnya lagi, harga sebenar RON95 dijangka mencecah kira-kira RM3.22 seliter jika tanpa subsidi petrol berbanding RM2.05 seliter ketika ini.

    “Selain itu, kami menganggarkan bahawa penghapusan subsidi bahan api untuk kumpulan pendapatan T20 akan meningkatkan inflasi sebanyak 0.45 hingga 0.75 mata peratusan tambahan setiap tahun,” katanya dalam satu nota penyelidikan yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    Seperti yang kami laporkan sebelum ini, kerajaan telah mengumumkan bahawa Pangkalan Data Utama (PADU) dijangka siap menjelang akhir hujung tahun ini, dan ia akan diguna pakai untuk pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON 95 dan diesel tahun depan.

    Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, pangkalan data bersepadu itu akan meneliti semua data sedia ada bagi membolehkan subsidi bersasar berkenaan diberikan kepada sasaran yang tepat.

    “Kabinet sudah bincang isu subsidi bersasar RON95 dan diesel yang akan dilaksanakan tahun depan. MTEN (Majlis Tindakan Ekonomi Negara) sudah dimaklumkan, segera teliti semua data daripada pelbagai agensi kerajaan supaya dapat disepadukan dengan sistem PADU yang dijangka siap menjelang akhir tahun ini.

    “Ia bagi selaras semua data pelbagai agensi kerajaan yang ada. Apabila kita kuat kuasakan subsidi bersasar ini, kita akan pastikan ia benar-benar tepat sasarannya, tiada ketirisan. Itu yang kita harapkan,” kata menteri berkenaan.

     
     
  • Volvo Car Service Plan Plus, insuran setahun percuma untuk hibrid; baucar RM7k wallbox EV hingga 30 Jun

    Volvo Car Service Plan Plus, insuran setahun percuma untuk hibrid; baucar RM7k wallbox EV hingga 30 Jun

    Jika anda inginkan sebuah kenderaan dengan rekaan segar, kelengkapan keselamatan dan prestasi yang mengkagumkan, maka kenderaan Volvo akan memenuhi semua kriteria tersebut. Baik kenderaan elektrik bateri ataupun model hibrid, barisan penawaran Volvo Car Malaysia (VCM) pasti akan menepati keperluan dan kehendak anda.

    Model mana pun yang dipilih, anda akan mendapatkan nilai yang lebih, dan bukan hanya dari kenderaan tersebut sahaja. Ini kerana, bermula sekarang hingga 30 Jun nanti, VCM akan memberikan tawaran percuma berupa Volvo Car Service Plan Plus bernilai RM12,900, begitu juga dengan Volvo Car Insurance percuma untuk tahun pertama jika anda membeli model Volvo terpilih.

    Volvo Car Service Plan Plus memastikan kereta Volvo anda diberi jagaan rapi tidak hanya dari sudut servis berjadual, tetapi juga meliputi barangan alat ganti penggunaan. Sebagai tambahan kepada servis yang dilakukan oleh juruteknik berkemahiran yang menggunakan alat ganti tulen, kemaskini perisian percuma dan pemeriksaan kesihatan kenderaan turut disediakan sebagai sebahagian daripada pakej Volvo Car Service Plan Plus, menjadikan pengalaman pemilikan anda sangat melegakan.

    Pelbagai barisan model ditawarkan dengan pakej Volvo Car Service Plan Plus ini. Bermula dengan S60 dan saudara wagonnya, V60. Kedua-duanya dikuasakan oleh sistem janaan Recharge T8 plug-in hybrid, yang memberikan 462 hp kuasa dan 709 Nm tork dan dapat memberikan jarak elektrik sepenuhnya sejauh 90 km*.

    Service Plan Plus ini turut ditawarkan untuk model flagship jenama Sweden ini, S90, yang juga dilengkapi sistem janaan Recharge T8 plug-in hybrid. Dengan kemasan balutan kulit Nappa dan sistem audio dengan 19-pembesar suara Bowers and Wilkins memberikan kejelasan luar biasa kepada muzik sebagai antara senarai impresif kelengkapannya, anda akan dikelilingi suasana mewah ketika di dalam kabin S90.

    Jika anda lebih cenderung ke arah SUV, maka XC90 B5 mild-hybrid dan XC90 Recharge T8 merupakan pilihan dengan saiz yang lebih besar. Sekiranya mahukan saiz lebih kecil, usah khuatir kerana XC60 B5 dan XC60 Recharge T8 lebih sesuai.

    Untuk kegunaan urban pula misalnya, model lebih kompak dan sporty XC40 B5 tersedia, dengan janaan kuasa 263 hp dan 390 Nm ada disalurkan oleh enjin 2.0 liter turbo dengan sistem 48V mild-hybrid. Semua model yang disebutkan ini datang dengan Service Plan Plus dan insuran tahun pertama percuma.

    Bagi pilihan EV, mendaftarkan sama ada XC40 Recharge Pure Electric atau C40 Recharge Pure Electric akan membolehkan anda menerima baucar wallbox percuma bernilai RM7,000 serta insuran tahun pertama percuma.

    Volvo Car Service Plan Plus, insuran setahun percuma untuk hibrid; baucar RM7k wallbox EV hingga 30 Jun

    Kedua-duanya dilengkapi dengan sistem janaan elektrik pacuan semua roda, yang terdiri daripada sepasang — satu di setiap gandar — yang memberikan output keseluruhan sistem sebanyak 408 hp dan 660 Nm. Sebuah bateri lithium-ion 78 kWh membekalkan jarak sehingga 450 km untuk satu cas penuh, manakala 438 km untuk XC40 elektrik.

    Tiada masa yang lebih baik berbanding sekarang untuk memiliki model Volvo pilihan anda, dan dengan nilai tambah yang diberikan kini pastinya akan menjadikan tawarannya cukup menarik. Untuk tahu lanjut berkaitan model serta promosi yang ditawarkan, layari laman web Volvo Car Malaysia.

    *Jarak pergerakan elektrik adalah data sah berdasarkan keputusan ujian makmal menurut piawaian ECE R101.

     
     
  • Mitsubishi lancar Max Certified – program kereta terpakai rasmi dengan waranti selama 1-tahun

    Mitsubishi lancar Max Certified – program kereta terpakai rasmi dengan waranti selama 1-tahun

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah melancarkan program Max Certified, iaitu program kereta terpakai rasmi yang “menawarkan pelanggan pengalaman yang lancar untuk membeli kereta terpakai Mitsubishi”.

    Menerusi program ini, pelanggan bukan sahaja boleh membeli pelbagai pilihan kereta-kereta terpakai di semua pengedar sah Mitsubishi, malah ia turut menawarkan servis tukar-beli bagi memudahkan pelanggan menjual Mitsubishi lama mereka untuk memiliki model baharu Mitsubishi.

    Menurut MMM, kesemua kereta terpakai yang dijual di bawah program Max Certified ini akan menjalani ujian komprehensif 150-poin yang dibuat oleh pakar terlatih secara profesional Mitsubishi. Pelanggan juga akan menikmati perlindungan waranti selama 12-bulan yang meliputi pembaikan dan penukaran komponen enjin, transmisi, stereng dan juga elektrikal yang mengalami kerosakan mekanikal.

    Pelanggan yang membeli kereta-kereta yang ditawarkan oleh Max Certified ini juga akan menerima e-baucar bernilai RM500 yang boleh ditebus dipusat-pusat servis MMM yang bertauliah ketika membuat servis berkala.

    MMM turut menyatakan bahawa semua kenderaan yang dijual oleh Max Certified ini berumur tujuh tahun dan ke bawah, serta meter perbatuan kurang dari 180,000 km ketika tukar-beli dibuat. Kereta-kereta tersebut juga menerima alat-alat ganti asli MMC, bebas dari kemalangan besar dan kerosakan banjir, dan mempunyai rekod servis penuh dari pusar servis rasmi MMM.

    “Selain mengukuhkan jenama Mitsubishi dalam sektor kereta terpakai dan menaikkan nilai kenderaan terpakai Mitsubishi, Max Certified disasarkan untuk meningkat kesetiaan pelanggan dengan membeli model Mitsubishi yang lain. Melalui program Max Certified, kami mahu menyampaikan pendekatan yang lebih holistik,” kata CEO MMM, Shinya Ikeda.

    “Sementara MMM terus berusaha ke arah memperkenalkan model baharu untuk rakyat Malaysia, kami juga berharap dapat menawarkan kepada mereka yang berminat untuk membeli kereta Mitsubishi terpakai menerusi platform yang lebih mudah diakses dan boleh dipercayai,” tambahnya.

     
     
  • VIDEO: Kembar Proton X50, Geely Coolray ‘tapau’ 2 Honda Civic EG dalam kejohanan Drag di Filipina

    VIDEO: Kembar Proton X50, Geely Coolray ‘tapau’ 2 Honda Civic EG dalam kejohanan Drag di Filipina

    Walaupun sudah hampir tiga tahun Proton menggunakan enjin 1.5 liter tiga-silinder Turbo pada pelbagai modelnya, masih lagi ramai yang tidak boleh menerima bahawa enjin berkenaan mampu menghasilkan kuasa yang lebih besar berbanding enjin NA 2.0 liter.

    Namun bagi sesiapa yang telah pun mencuba memandu mana-mana model dengan enjin berkenaan, mereka pasti setuju ini ia adalah enjin yang cukup berkuasa dan menyeronokkan, lebih-lebih lagi dengan pemadanan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan.

    Sebab itulah di Malaysia sendiri kita boleh lihat sudah banyak Proton X50 yang diubahsuai seperti X50 ‘Militank’ dan X50 Racechip dan FTuned yang mencatatkan masa yang sangat pantas di Litar Antarabangsa Sepang. Dan bagi kembarnya iaitu Geely Coolray, nampaknya SUV berkenaan turut digunakan dalam perlumbaan Drag di sana!

    Hujung minggu lalu pusingan terakhir Kejuaraan Drag Nasional Filipina (NDRC PH) berlangsung di Clark International Speedway. Apa yang menarik, sebuah Geely Coolray bertanding dalam kelas Sportsman (untuk jentera yang mampu melakukan pecutan 0-400 meter dalam julat masa 14 hingga 15.99 saat) yang didominasi oleh barisan model-model Honda Civic dari generasi EG dan EK.

    Pada pusingan penyingkiran awal (anda boleh tonton pada 2:01:30 pada siaran langsung yang direkod di atas), Geely Coolray dengan nombor perlumbaan #150 berkenaan berjaya mengalahkan sebuah Honda Civic EG hatchback yang dilihat mengenakan panel badan sebelah hadapan ringan menggunakan material gentian karbon, serta corong udara besar menggantikan lampu hadapan sebelah kanan.

    Namun setelah kedua-dua kereta dilepaskan, nampaknya Geely Coolray yang masih menggunakan enjin tiga-silinder turbo memacu roda hadapan (seperti yang diberitahu pengulas) dengan mudah melepasi garisan penamat dengan meninggalkan Civic EG berwarna putih berkenaan di belakang.

    VIDEO: Kembar Proton X50, Geely Coolray ‘tapau’ 2 Honda Civic EG dalam kejohanan Drag di Filipina

    Dengan kemenangan tersebut membolehkan Geely Coolray tersebut terus bertanding dalam pusingan Winners Bracket. Ia kemudian muncul pada 3:29:15 untuk sekali lagi berlumba dalam pusingan Winners Bracket, kali ini berhadapan dengan sebuah lagi Honda Civic EG Hatchback berwarna biru.

    Sekali lagi Geely Coolray tersebut menang menentang Honda Civic EG, namun dengan catatan masa yang dicatatkan masih tidak melayakkannya untuk mara ke peringkat akhir.

    Awal bulan ini Proton telah pun mendedahkan versi konsep untuk Proton X50 R3 yang bakal diproduksi dalam jumlah terhad hanya 200 unit. Dengan potensi yang ada, mungkin kita boleh lihat model berkenaan akan menerima talaan lebih berkuasa dari model standard?

     
     
  • KTMB umum perkhidmatan tempahan van ride-pooling Kumpool kini ditawarkan di Stesen Subang Jaya

    KTMB umum perkhidmatan tempahan van ride-pooling Kumpool kini ditawarkan di Stesen Subang Jaya

    KTM Berhad (KTMB) telah mengumumkan perkhidmatan tempahan van ride-pooling yang kendalikan oleh Kumpool kini ditawarkan di Stesen KTM Subang Jaya.

    “Anda boleh menempah perkhidmatan ride-pooling dari Stesen KTM Subang Jaya untuk ke mana-mana destinasi dalam kawasan sekitar dengan harga promosi serendah RM1.00 sahaja. Sila muat turun aplikasi Kumpool di App Store atau Google Playstore,” kata KTMB menerusi laman Facebook rasminya.

    Sebelum ini, Kumpool pernah menawarkan perkhidmatan tempahan van ride-pooling ini di sekitar Johor Baharu. Kemudian ia meluaskan perkhidmatannya di Lembah Klang iaitu di sekitar Petaling Jaya sebelum diperkenalkan untuk Subang Jaya pula.

     
     
  • Great Wall Motor rancang bina kilang bateri baharu di Thai – produksi tempatan Ora Good Cat tahun depan

    Great Wall Motor rancang bina kilang bateri baharu di Thai – produksi tempatan Ora Good Cat tahun depan

    Menurut laporan Reuters, Great Wall Motor (GWM) bersedia dengan rancangan untuk melabur sehingga USD300 juta (RM138 juta) bagi membangunkan kilang pemasangan pek bateri baharu di Thailand. Menerusi temubual bersama Narong Sritalayon, Pengarah Urusan Great Wall Motor Thailand, yang berkatam produksi tempatan bagi Ora Good Cat bakal bermula tahun hadapan.

    Selain kilang bateri, GWM turut mecari peluang untuk membangunkan pusat pembangunan dan kajian (R&D) di Thailand untuk trak pikap elektrik. Bergantung pada subsidi kerajaan, pusat R&D baharu itu bagi menyokong hasrat negara untuk menjadi hab kenderaan elektrik (EV) serantau, selain memperkembangkan lagi R&D global GWM yang meliputi Eropah, Asia dan Amerika Utara.

    GWM bukan satu-satunya pengeluar kereta China yang melabur di Thailand, kerana BYD juga telah mengumumkan rancangannya untuk membuka rangkaian di negara itu. Walaupun begitu, Toyota dan Isuzu kekal sebagai kuasa dominan, dengan trak pikap jenama itu membentuk lebih separuh daripada jualan tahun lepas. “Saya fikir terdapat banyak perkara yang boleh kita pelajari daripada pasaran unik Thailand bagi trak pikap,” kata Narong.

    Thailand menyasarkan untuk EV menyumbang 30% daripada pengeluaran automotifnya menjelang 2030 dan melangkah secara agresif dalam menarik pelaburan dengan menawarkan insentif kewangan kepada syarikat kereta serta pembeli kereta. Peningkatan komponen tempatan, termasuk pek bateri, akan membantu GWM memenuhi keperluan yang ditetapkan oleh skim insentif kerajaan Thailand.

    Great Wall Motor rancang bina kilang bateri baharu di Thai – produksi tempatan Ora Good Cat tahun depan

    Buat masa ini, model EV yang dijual oleh GWM di Thailand hanyalah Ora Good Cat, yang dilancarkan pada November 2021. Pengeluar kereta tersebut juga menjual model elektrifikasi Haval yang dikeluarkan di kilang General Motors di Rayong.

    Narong berkata kilang bateri itu mungkin memerlukan pelaburan sehingga satu bilion baht (RM133 juta) bergantung kepada saiz kemudahan yang akan diputuskan dalam tempoh enam bulan akan datang. SVOLT Energy Technology, anak syarikat GWM, akan bertanggungjawab untuk mengeluarkan pek bateri di Thailand pada fasa awal.

    Permintaan dan sokongan kerajaan akan menjadi faktor penentu untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran di kilang bateri baharu, dab Narong menambah, kemudahan itu juga boleh menjadi pengeluar kontrak kepada pengeluar kereta lain.

     
     
  • Program bantuan MyLesen B2 dilancar – peruntukan RM2.7j untuk 9,000 individu dari kumpulan B40

    Program bantuan MyLesen B2 dilancar – peruntukan RM2.7j untuk 9,000 individu dari kumpulan B40

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution telah melancarkan program MyLesen B2 peringkat kebangsaan di Sungai Petani, Kedah, semalam.

    Program MyLesen B2 ini merupakan inisiatif kerajaan untuk menawarkan 9,000 rakyat Malaysia dari golongan B40 di seluruh negara untuk mendapatkan Lesen Memandu Malaysia Kelas B2 yang kosnya akan ditanggung oleh Kerajaan di bawah Belanjawan Madani 2023. Ia melibatkan kos peruntukan secara keseluruhan mencecah RM2.7 juta iaitu RM300 untuk setiap peserta bagi mengambil kelas dan ujian Lesen Kelas B2 ini.

    “Memang fokus saya adalah pengangkutan awam, tetapi saya juga memahami bahawa kenderaan persendirian seperti motosikal agak penting untuk penduduk luar bandar pergi ke kerja, pasar atau sekolah.

    Selain itu, ia juga boleh digunakan untuk membuka peluang dalam menceburi gig economy dan menambah pendapatan. Semoga para penerima boleh memanfaatkan program ini dan juga menjadi pemandu yang selamat dan berhemah,” kata Loke.

    Majlis di Sungai Petani ini menyaksikan kumpulan pertama seramai 306 peserta dari kumpulan B40, pelajar, OKU dan murid keperluan khas mengambil bahagian dalam program ini.

    Loke turut berkata, kerajaan berniat untuk mengembangkan lagi program MyLesen ini termasuk untuk lesen kenderaan awam (PSV) dan lesen Kelas E untuk bas.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025