Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Masalah Suhu Enjin Panas/Overheat: sebab-sebab utama, panduan untuk penyelenggaraan kereta anda

    Masalah Suhu Enjin Panas/Overheat: sebab-sebab utama, panduan untuk penyelenggaraan kereta anda
    Komponen sistem pendinginan kereta – (1) Radiator, (2) Termostat, (3) Pam Air, (4) Hos Cecair

    Enjin kereta yang menjadi panas merupakan masalah yang kerap dihadapi oleh pemilik kereta, dan kebanyakan masalah ini berpunca daripada beberapa faktor utama.

    Kekurangan Cecair Pendingin

    Pertama, kekurangan cecair pendingin dalam sistem pendingin adalah penyebab utama. Sistem pendingin berfungsi untuk memindahkan haba daripada enjin ke atmosfera dan cecair pendingin ini memainkan peranan penting dalam proses ini. Cecair ini menyerap haba dari enjin dan membawanya ke radiator, di mana ia didinginkan oleh angin yang mengalir melalui radiator.

    Jika kebocoran atau ketidakcukupan penggantian cecair ini berlaku, ianya boleh menyebabkan enjin kereta menjadi panas. Cara terbaik untuk mencegah ini adalah dengan memeriksa tahap cecair pendingin secara berkala dan mengisi semula atau menggantinya apabila perlu.

    Termostat Rosak

    Kedua, termostat yang rosak juga boleh menjadi punca enjin kereta menjadi panas. Termostat adalah alat yang mengawal suhu enjin dengan mengatur aliran cecair pendingin. Ia membuka untuk membolehkan cecair pendingin mengalir ke enjin apabila suhu melebihi nilai tertentu dan menutup apabila suhu turun.

    Jika termostat rosak dan tidak dapat membuka atau menutup dengan betul, ini boleh menghalang aliran cecair pendingin, yang boleh menyebabkan suhu enjin meningkat. Memeriksa dan menggantikan termostat yang rosak secara berkala boleh membantu mencegah masalah ini.

    Pam Air Rosak

    Ketiga, pam air yang rosak juga boleh menjadi punca enjin kereta menjadi panas. Pam air, yang dikendalikan oleh tali serpentin enjin, memainkan peranan penting dalam sistem pendingin kereta. Ia mengalirkan cecair pendingin dari radiator ke enjin dan semula ke radiator.

    Jika pam ini gagal, ianya boleh menghalang aliran cecair dan menaikkan suhu enjin. Untuk mengelakkan ini, pemilik kereta harus memeriksa keadaan pam air dan menggantikannya jika perlu.

    Radiator Sumbat

    Keempat, radiator yang tersumbat adalah sebab lain yang kerap ditemui. radiator berfungsi untuk mendinginkan cecair pendingin sebelum ia mengalir kembali ke enjin. Namun, jika radiator ini tersumbat oleh kotoran, serpihan logam, atau endapan lain, ianya boleh menghalang proses penyejukan ini, menyebabkan enjin menjadi panas.

    Pemilik kereta harus memeriksa radiator secara berkala dan melakukan pembersihan atau flush jika perlu untuk memastikan ianya bebas dari sumbatan.

    Kipas Pendingin Rosak

    Selain dari itu, kerosakan pada kipas pendingin juga boleh menyebabkan enjin kereta menjadi panas. Kipas ini berfungsi untuk memindahkan udara melalui radiator, membantu mendinginkan cecair pendingin.

    Jika kipas ini gagal atau tidak berfungsi dengan baik, proses penyejukan ini boleh terganggu, yang boleh meningkatkan suhu enjin. Oleh itu, penting untuk memeriksa dan membaiki atau menggantikan kipas pendingin yang rosak.

    Hos Cecair Pendingin Bocor

    Hos cecair pendingin merupakan komponen penting dalam sistem pendingin kereta yang membawa cecair pendingin antara enjin, raditor, dan komponen lain. Ini berfungsi untuk memastikan cecair pendingin mengalir dengan lancar di seluruh sistem, membantu menjaga suhu enjin agar tetap optimal.

    Jika hos ini mengalami kerosakan, retak, atau kebocoran, ini boleh menyebabkan kehilangan cecair pendingin, yang pada gilirannya boleh menyebabkan enjin menjadi panas.

    Hos Cecair Pendingin Lama

    Selain itu, hos yang lama boleh menjadi keras atau lembik, yang boleh menghalang aliran cecair pendingin dan meningkatkan risiko pecah atau bocor. Oleh itu, adalah penting untuk memeriksa hos cecair pendingin secara berkala, mencari tanda-tanda aus atau kerosakan, dan menggantikannya jika perlu.

    Sebagai tambahan, ketika menggantikan hos, memastikan clamp yang mengikat hos ke komponen lain berada dalam keadaan baik juga sangat penting, kerana clamp yang lemah atau rosak boleh menyebabkan kebocoran.

    Akhir kata, pemahaman dan pengetahuan mengenai sebab-sebab umum enjin kereta menjadi panas sangat penting bagi pemilik kereta. Penyelenggaraan kereta yang betul, termasuk memeriksa dan menggantikan komponen yang rosak, boleh membantu mencegah masalah ini.

    Ini bukan sahaja untuk mengelakkan kerosakan yang mahal, tetapi juga untuk memastikan keselamatan mereka semasa memandu.

    Apa yang perlu dilakukan kalau enjin panas/overheat?

    Berhenti dan Matikan Enjin

    Jika anda melihat tanda-tanda bahawa enjin anda menjadi panas, seperti penunjuk suhu yang menunjukkan suhu yang tinggi atau asap keluar dari kap enjin, segera berhenti di tempat yang selamat dan matikan enjin kereta. Meneruskan memandu kereta dengan enjin yang panas boleh merosakkan enjin dan komponen lain.

    Periksa Sistem Pendingin

    Setelah enjin telah sejuk, periksa sistem pendingin kereta anda. Lihatlah tahap cecair pendingin dalam tangki penebat dan raditor (jika boleh), dan periksa hos cecair pendingin untuk sebarang kebocoran atau kerosakan.

    Hubungi Mekanik

    Jika anda tidak dapat mengetahui apa yang menyebabkan enjin menjadi panas, atau jika masalahnya melibatkan komponen seperti pam air atau termostat, hubungi mekanik profesional. Mereka memiliki keahlian dan alat yang diperlukan untuk mendiagnosa dan membaiki masalah enjin panas.

    Selenggara Kereta Anda

    Untuk mencegah masalah enjin panas di masa depan, pastikan anda melakukan penjagaan kereta yang betul. Ini termasuklah memeriksa tahap cecair pendingin secara berkala, mengganti cecair pendingin seperti yang disyorkan oleh pengeluar, dan memeriksa sistem pendingin untuk sebarang kerosakan atau kebocoran.

    Ingatlah, mencegah selalu lebih baik daripada membaiki. Oleh itu, memastikan sistem pendingin kereta anda dalam keadaan baik adalah kunci untuk mencegah masalah enjin panas.

     
     
  • Lexus TX 2024 akan muncul 8 Jun ini – SUV dengan tiga baris tempat duduk, ganti model RX L lama?

    Lexus TX 2024 akan muncul 8 Jun ini – SUV dengan tiga baris tempat duduk, ganti model RX L lama?

    Pada 8 Jun ini, Lexus akan mendedahkan sebuah SUV yang dipanggil sebagai TX. Sebuah penambahan baru dalam barisan model mereka, TX akan datang dengan tetapan tiga baris tempat duduk, dan dikatakan bakal menggantikan tempat RX L yang pengeluarannya telah pun dihentikan.

    Setakat ini masih belum banyak perincian berkenaan TX, tetapi ada yang melaporkan ia menggunakan asas daripada Toyota Grand Highlander yang dibina atas platform Toyota New Global Architecture (TNGA). Gambar teaser yang dikeluarkan memberi kita petunjuk awal rupa SUV ini, yang sememangnya mempunyai persamaan dengan Grand Highlander – tetapi dengan perincian tersendiri.

    Dalam keadaan yang terkini, Grand Highlander mencatat ukuran 5,116 mm panjang, 1,989 mm lebar, 1,781 mm tinggi dan jarak roda 2,946 mm. Sebagai perbandingan, RX L yang menggunakan asas daripada RX generasi keempat sebelum ini mempunyai ukuran jarak roda 2,790 mm, panjang 5,000 mm, lebar 1,895 mm dan tinggi 1,700 mm.

    Sekiranya dimensi TX adalah hampir sama dengan Grand Highlander, ia sepatutnya menawarkan lebih banyak ruang berbanding RX L. Sebelum ini Lexus tidak menawarkan RX versi jarak roda panjang, dan sebab itulah sekarang TX dibuat.

    Salah satu daripada gambar teaser yang disiar juga menunjukkan bahagian dalam TX, menampakkan susunan tempat duduk 2-2-2, dengan baris tengah menggunakan tempat duduk berasingan dan masin-masing mempunyai perehat tangan sendiri.

    Kita juga boleh melihat sedikit bahagian hadapan, yang mempunyai perehat tangan serta banyak butang untuk mengawal pelbagai fungsi kenderaan pada konsol tengah. Gambar panel pintu pula menunjukkan model ini akan datang dengan sistem buka pintu elektronik e-Latch, sistem bunyi Mark Levinson serta skrin sesentuh untuk sistem infotainmen.

     
     
  • Harley-Davidson India dedah teaser X 440 – kerjasama dengan Hero Motocorp, pengenalan rasmi Julai nanti

    Harley-Davidson India dedah teaser X 440 – kerjasama dengan Hero Motocorp, pengenalan rasmi Julai nanti

    Harley-Davidson yang cuba memasuki segmen motosikal kelas pertengahan bukan setakat mengadakan kerjasama dengan syarikat China, QianJiang, tetapi juga dengan sebuah lagi syarikat dari India iaitu Hero Motocorp. Hasil pertama daripada kerjasama itu dirancang diperkenalkan kepada pasaran secara rasmi pada bulan Julai ini di India.

    Tapi sebelum pelancaran itu berlaku, Harley-Davidson India mengambil langkah menyiarkan beberapa gambar teaser yang menunjukkan bentuk penuh motosikal yang dipanggil sebagai X 440 tersebut secara jelas daripada beberapa sudut.

    Membawa gaya klasik, motosikal ini menggunakan lampu hadapan LED berbentuk bulat di hadapan, tempat duduk yang boleh dinaiki dua orang, tangki jenis teardrop serta ekzos yang terletak rendah di sebelah kanan. Rim menggunakan jenis aluminium manakala brek adalah jenis cakera hadapan dan belakang, dengan angkup Bybre.

    Harley-Davidson India dedah teaser X 440 – kerjasama dengan Hero Motocorp, pengenalan rasmi Julai nanti

    Spesifikasi teknikal motosikal ini masih belum didedahkan secara rasmi tetapi media dari India menjangkakan ia bakal tiba dengan enjin satu silinder 440 cc oil-cooled, dengan sistem suntikan bahan api dan kuasa sekitar 38 PS dan tork 30 Nm.

    Turut boleh dilihat melalui gambar ini adalah semua lampu jenis LED, fork USD, dua penyerap hentak di belakang, panel meter TFT, tongkat tengah, pemegang yang lebar serta tempat letak kaki yang berada di bahagian tengah.

     
     
  • Penutupan jalan di Shah Alam esok; persimpangan Persiaran Perbandaran ditutup malam hingga 31 Mei

    Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengumumkan terdapat beberapa penutupan jalan pada 6.30 pagi hingga 9.30 pagi esok (27 Mei) sempena dengan Larian Perpaduan Selangor.

    Acara larian terbabit membabitkan laluan sekitar Taman Tasik Shah Alam, melepasi Persiaran Tasik, Persiaran Dato Menteri dan Bulatan Permai, sebelum membuat pusingan-U di Bulatan Bestari dan tamat di Persiaran Masjid. Sila elak laluan di laluan berkenaan esok pagi.

    Dalam masa yang sama, MBSA turut mengumumkan persimpangan lampu isyarat di Persiaran Perbandaran akan ditutup hingga 31 Mei ini, setiap malam dari jam 9 malam hingga 4 pagi keesokan harinya. Pengguna jalan raya masih boleh membelok ke kiri atau kanan dan membuat pusingan-U untuk meneruskan perjalanan melalui Persiaran Perbandaran. Sila lihat peta grafik di atas sebagai panduan. Berhati-hati ketika memandu.

     
     
  • Honda Malaysia sudah jual lebih dari 7,600 unit model hibrid e:HEV RS; City, City Hatchback, HR-V & Civic

    Honda Malaysia sudah jual lebih dari 7,600 unit model hibrid e:HEV RS; City, City Hatchback, HR-V & Civic

    Mungkin ramai yang beranggapan bahawa model-model yang dijana oleh unit rangkaian kuasa hibrid e:HEV yang dijual oleh Honda Malaysia terlalu mahal dan tidak berbaloi untuk dibeli. Namun angka membuktikan segalanya – Honda Malaysia mengumumkan bahawa sehingga kini sebanyak lebih dari 7,600 unit model dari varian e:HEV ini telah terjual pada pasaran tempatan!

    Dari jumlah keseluruhan tersebut, lebih 2,800 unit adalah City RS e:HEV, 1,600 unit City Hatchback RS e:HEV, 2,600 unit HR-V e:HEV dan hampir 600 unit adalah Civic RS e:HEV. Bagi meraikan jumlah jualan yang memberangsangkan tersebut, Honda Malaysia hari ini secara rasmi mengumumkan acara ‘GEN H’ yang mewakili ‘Honda, Hybrid dan Hype’.

    Acara tersebut akan dilangsungkan di tiga lokasi berbeza Semenanjung Malaysia pada bulan hadapan, dan ia disasarkan bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia mengetahui lebih banyak berkenaan teknologi hibrid e:HEV yang ditawarkan dalam barisan model Honda Malaysia buat masa sekarang.

    Ia akan bermula di Linear Park Taman Desa Tebrau, Johor Bahru pada 3 hingga 4 Jun (10 pagi-10 malam), diikuti Juru Auto City Pulau Pinang pada 10 hingga 11 Jun (11 pagi hingga 11 malam), dan Grand Finale akan di buat di tempat letak kereta C Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 17 hingga 18 Jun (10 pagi-10 malam).

    Tiada sebarang bayaran akan dikenakan kepada pengunjung untuk kesemua acara ini. Antara aktiviti yang disediakan termasuk permainan-permainan fun fair dan arked, sesi pandu uji, bazar gaya hidup dan makanan, seni grafitti bersama artis tempatan, serta pelbagai acara interaktif yang akan dibuat di kawasan yang luas.

    “Honda Malaysia adalah perintis dalam memperkenalkan teknologi hibrid kepada rakyat Malaysia 19 tahun lalu apabila kami menawarkan teknologi Integrated Motor Assist (IMA) dalam Civic Hybrid. Respon terhadap teknologi IMA adalah positif dan kami terus memperkenalkan Sport Hybrid i-DCD pada tahun 2017 pada model City dan Jazz hibrid yang berbaloi dimiliki, seronok dan berprestasi untuk dipandu, memenuhi pasaran massa. Ia berkesan mengubah persepsi kereta hibrid dalam kalangan rakyat Malaysia,” kata pengarah urusan dan CEO Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura.

    Honda Malaysia sudah jual lebih dari 7,600 unit model hibrid e:HEV RS; City, City Hatchback, HR-V & Civic

    “Hari ini, teknologi telah berkembang dengan ketara, dengan teknologi hibrid termaju kami yang terkini, e:HEV, sistem hibrid dua motor yang memberikan prestasi berkuasa dan kecekapan pada masa yang sama sambil mengekalkan DNA Honda yang menyeronokkan untuk dipandu,” tambahnya.

    Honda Malaysia memperkenalkan unit rangkaian kuasa e:HEV ini buat pertama kali pada 2020 menerusi Honda City RS e:HEV, yang juga membuat kemunculan sulung globalnya ketika itu sebelum ia diperkenalkan pula di Thailand. Varian 1.5 liter e:HEV itu kemudiannya diperkenalkan pula pada City Hatchback RS dan juga HR-V RS e:HEV pada 2022.

    Pada November 2022, Honda Malaysia memperkenalkan pula varian e:HEV dengan enjin 2.0 liter menerusi Civic RS e:HEV. Motor elektrik berkuasa 184 PS dan tork segera 315 Nm bermula 0 rpm berkenaan secara tidak langsung menjadikan Civic RS e:HEV berkenaan sebagai Civic paling berkuasa dalam barisan model yang ditawarkan oleh Honda Malaysia buat masa sekarang.

    Nak tahu macam mana sistem hibrid ini berfungsi? Jemput baca ulasan pandu uji kami untuk Honda City RS e:HEV pada PAUTAN INI dan Honda Civic RS e:HEV pada PAUTAN INI.

     
     
  • Honda WR-V 2023 dengan kotak gear 6-kelajuan manual kini dijual di Indonesia dengan harga RM83k

    Honda WR-V 2023 dengan kotak gear 6-kelajuan manual kini dijual di Indonesia dengan harga RM83k

    Ketika membuat penampilan sulung global di Indonesia pada November tahun lalu, SUV segmen-B Honda WR-V hanya hadir dengan pilihan kotak gear CVT. Dan kini setelah sekitar enam bulan dijual, pembeli di Indonesia kini ditawarkan pula dengan WR-V yang dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan.

    Walau bagaimanapun, kotak gear manual ini hanya boleh dipilih menerusi varian paling asas iaitu WR-V E MT. Ia dijual pada harga Rp 269.4 juta (RM83k), lebih murah berbanding WR-V E CVT yang dijual pada harga Rp.271.9 juta (RM84k).

    “Honda WR-V E transmisi manual ini kami tawarkan untuk memenuhi permintaan pelanggan, terutamanya dari luar Pulau Jawa yang ada keperluan dan keadaan bentuk muka bumi yang lebih bervariasi. Dengan tetap menampilkan pelbagai kelebihan dari Honda WR-V, kami percaya varian ini akan memberikan lebih banyak pilihan dengan nilai yang lebih besar bagi pelanggan.” kata pengarah pemasaran jualan dan inovasi perniagaan PT Honda Prospect Motor, Yusak Billy.

    Kedua-dua varian E MT dan CVT ini berkongsi perincian yang sama. Antaranya ialah rim aloi 16-inci kemasan perak, lampu hadapan halogen, lampu kabus LED, bar LED pada lampu kombinasi belakang dan cermin sisi lipatan berkuasa.

    Honda WR-V 2023 dengan kotak gear 6-kelajuan manual kini dijual di Indonesia dengan harga RM83k

    Manakala dalam kabin, kedua-duanya juga menerima kelengkapan seperti skrin sesentuh kapasitif 7-inci untuk sistem infotainmen Display Audio, hubungan telefon pintar, suis arahan suara, empat pembesar suara, port kuasa untuk tempat duduk belakang, dan juga sistem penghawa dingin dengan kawalan digital.

    Kesemua varian WR-V dijana dengan enjin 1.5 lite DOHC i-VTEC yang menghasilkan kuasa 121 PS pada takat 6,600 rpm serta tork maksima 145 Nm pada takat 4,300 rpm – didakwa sebagai paling berkuasa dalam kelasnya. Tiga warna badan ditawarkan untuk WR-V E MT dan CVT ini iaitu Crystal Black Pearl, Meteoroid Gray Metallic, dan Taffeta White.

    Thailand juga telah menerima Honda WR-V yang diimport dari Indonesia ini. Honda Malaysia sudah pun mengesahkan WR-V turut akan dilancarkan di pasaran tempatan pada suku ketiga tahun ini. Berdasarkan imej spyshot yang dilihat serta strategi yang lazimnya digunakan oleh Honda Malaysia, WR-V dijangka turut akan diproduksi secara tempatan (CKD) menerusi kilang Honda di Pegoh, Melaka.

    GALERI: Honda WR-V 2023 varian RS dan E pasaran Indonesia

     
     
  • DS4 dikesan sedang diuji di jalan raya di Malaysia

    DS4 dikesan sedang diuji di jalan raya di Malaysia

    Mungkin ada yang tertanya-tanya, model hatchback apa yang memakai trade plate ini? Dikesan di Pulau Pinang oleh Farizul, ini merupakan model DS4 generasi semasa, yang pertama kali didedahkan oleh Citroen pada Februari 2021.

    DS4 generasi kedua ini diperkenalkan tiga tahun selepas pelancaran model asalnya – yang sebelum ini dikenali sebagai Citroen DS4 – yang tidak lagi dikeluarkan. Hatchback lima pintu ini mendapat banyak inspirasi daripada model konsep Aero Sport Lounge ini direka untuk menarik pembeli crossover dan juga hatchback.

    Jika dibandingkan dengan model generasi sebelumnya, DS4 baru ini lebih panjang dan rendah, dengan ukuran dimensi 4.4 meter panjang, 1.83 meter lebar dan 1.47 meter tinggi. Ia dibina atas Efficient Modular Platform (EMP2) versi dipertingkat, yang dapat membenarkan ia menggunakan tambahan penggerak elektrik, binaan lebih ringan serta menepati keperluan keselamatan terkini.

    Imej luarannya kelihatan ranggi dengan kehadiran ciri kelengkapan termasuk lampu nyalaan siang LED yang menyerlah, pemegang pintu jenis flush dan roda aloi yang besar dengan penawaran saiz 19- dan 20-inci.

    Untuk enjin jenis pembakaran dalaman, DS4 disediakan dengan pilihan unit petrol PureTech 130 hp, 180 hp dan 225 hp, serta unit diesel BlueHDi 130 hp, sementara untuk plug-in hybrid pula ia menggunakan gabungan enjin petrol 180 hp bersama motor elektrik 110 hp untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 225 hp. Semua penggerak ini datang dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan.

    Jadi apa yang DS4 buat di sini? Mungkin anda terlepas info ini. Untuk pengetahuan anda, Stellantis mempunyai hab ASEAN di Gurun, Kedah selepas ia mengambil alih kilang pengeluarannya dari Naza pada tahun 2021.

    Sejak pengambil alihan tersebut, kita telah beberapa kali terjumpa beberapa model kenderaan yang sedang diuji di jalan raya kita, termasuklah Opel Mokka, Citroen C4 dan sedan DS9. Mungkin sekadar ujian cuaca panas dan penggumpulan data sahaja. Barangkali.

    Bermaz yang kini mengendalikan jenama Peugeot (selain Kia da Mazda) di Malaysia, namun tidak mengambil alih jenama Citroen dan DS. Apa pun, jika model ini diperkenalkan di pasaran Malaysia, adakah ia akan menerima sambutan yang menggalakkan? Kongsikan pendapat anda bersama kami.

    GALERI: DS4 2021

     
     
  • JPJ eBid: Siri VKX dan SWH dibuka bidaan

    Kali ini giliran siri nombor pendaftaran terkini dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dan Sabah dibuka untuk bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari WPKL, VKX, telah pun dibuka bidaan mulai hari ini, 26 Mei 2023. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 30 Mei. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 31 Mei 2023. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Sabah, SWH, akan boleh mula dibida pada 2 Jun 2023. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 6 Jun, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 7 Jun 2023.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Hari Bebas Kenderaan PJ pada Ahad ini, 28 Mei – beberapa jalan bakal ditutup secara berperingkat

    Hari Bebas Kenderaan PJ untuk edisi tahun 2023 bakal dilaksanakan pada Ahad ini, 28 Mei, bertempat di Laman MBPJ, Seksyen 52. Untuk menjayakan pelbagai acara yang telah diaturkan, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah mengumumkan beberapa jalan di sekitar PJ akan ditutup.

    Menurut MBPJ, penutupan jalan membabitkan lokasi program iaitu di sepanjang Jalan Yong Shook Lin iaitu bermula dari IJM Land hingga Menara Choy Fook On pada tarikh berkenaan dari jam 6 pagi hingga 12 tengahari.

    Hari Bebas Kenderaan PJ pada Ahad ini, 28 Mei – beberapa jalan bakal ditutup secara berperingkat

    Manakala penutupan sebelah jalan berperingkat turut dilaksanakan bagi menjayakan salah satu programnya iaitu PJ Fun Purple Walk. Acara larian ini akan bermula di Laman MBPJ dan melalui Jalan Selangor-Jalan Sultan-Jalan Penchala-Jalan Templer-Jalan Selangor-Jalan Sultan-Jalan Yong Shook Lin dan tamat di Laman MBPJ. Penutupan jalan terbabit adalah secara berperingkat dari jam 6 pagi hingga 9 pagi.

    Untuk acara Hari Bebas Kenderaan PJ ini, orang ramai berpeluang menyertai pelbagai acara yang dianjurkan, selain bebas untuk berlari, berbasikal dan meluncur di jalan raya yang bebas dari laluan trafik, sepanjang pentupan jalan pada waktu yang ditetapkan.

    Selain PJ Fun Purple Walk, acara lain yang turut dianjurkan termasuklah pertandingan lato-lato, pertandingan memasak, pertandingan mewarna, permainan tradisional, Teater Bangsawan, zumba, jualan barangan terpakai, saringan kesihatan dan banyak lagi.

     
     
  • Ford Ranger Raptor 2.0L diesel 2023 dilancar di M’sia pada 9 Jun ini, boleh didapati mulai 8 Jun; ROI dibuka

    Ford Ranger Raptor 2.0L diesel 2023 dilancar di M’sia pada 9 Jun ini, boleh didapati mulai 8 Jun; ROI dibuka

    Ford Ranger Raptor terkini yang dijual di Malaysia ialah varian 3.0L biturbo V6 petrol, dengan kuasa 397 PS dan tork 591 Nm. Tidak lama lagi, versi diesel pula akan diperkenalkan seperti mana yang diumumkan oleh pengedarnya di sini, Sime Darby Auto Connexion (SDAC), yang mendedahkan jentera ini boleh didapati mulai 8 Jun ini, dan bakal dilancarkan di pasaran Malaysia pada 9 Jun 2023.

    Enjin diesel bagi Ranger Raptor dipacukan oleh unit 2.0 liter bi-turbo diesel, yang mampu menghasilkan kuasa hingga 210 PS dan tork 500 Nm. Turut dipadankan dengan transmisi automatik 10-kelajuan. Angka kuasa ini lebih kurang dengan yang dihasilkan oleh Ranger Raptor generasi sebelumnya.

    Pelancaran Ford Ranger Raptor 2.0L Bi-Turbo Diesel akan disempurnakan di MRANTI Open Space berhadapan Pavilion Bukit Jalil, dan 300 tempahan pertama untuk varian ini akan menerima pemasangan sistem perakam dashcam Kenwood dengan kamera hadapan quad-HD dan kamera belakang HD penuh.

    Pelanggan juga bakal menerima diskaun one-off bernilai RM500 untuk Ford Ranger Getaways, yang boleh ditebus sewaktu menerima Ranger Raptor diesel ini.

    Ford Ranger Raptor 2.0L diesel 2023 dilancar di M’sia pada 9 Jun ini, boleh didapati mulai 8 Jun; ROI dibuka

    Ford Ranger Raptor 3.0L V6 2022 di Malaysia

    Suspensi trak pikap ini lebih kurang sama dengan versi 3.0L V6 twin-turbo yang direka semula sepenuhnya, kini dengan lengan kawalan atas dan bawah aluminium, diberikan sistem Watt’s Linkage pada gandar belakang, bersama penyerap hentak off-road dengan strok panjang yang masih dibekalkan oleh Fox.

    Penyerap hentak tersebut menampilkan injap pirau dalaman 2.5-inci bersama Teflon yang disalut minyak bagi mengurangkan geseran sehingga 50% berbanding model sebelum ini. Karekter lantunan semula, kadar spring, ketinggian kenderaan dan tetapan injap kini ditala bagi memberikan keseimbangan terbaik antara prestasi atas jalan raya serta off-road.

    Buat masa ini, Ranger Raptor 3.0L V6 ditawarkan pada harga atas jalan RM259,888 tanpa insurans, manakala model tertinggi untuk Ranger biasa, Wildtrak pula berharga RM169,688 tanpa insurans. Dengan kapasiti enjin yang lebih kecik, Ranger Raptor 2.0L Bi-Turbo Diesel dijangkakan ditetapkan harga dengan dua varian tersebut. Apa pun kena nantikan pelancarannya awal bulan hadapan.

    GALERI: Ford Ranger Raptor 3.0L V6 Twin-Turbo Ecoboost 4WD 10AT 2022 di Malaysia

     
     
  • KTM 450 SMR 2024 diperkenal – penampilan baharu

    KTM 450 SMR 2024 diperkenal – penampilan baharu

    Baru berada dalam bulan Mei tahun 2023, KTM sudah memperkenalkan versi baru bagi supermoto terkenal mereka, iaitu 450 SMR. Bagi yang suka mengejar teknologi, anda bagaimanapun tidak perlu risau kerana model baru ini hanya diberikan perubahan grafik sahaja.

    Dalam keadaan sebelum ini juga, 450 SMR sudah cukup berkemampuan, dengan KTM memanggilnya sebagai satu tanda aras dalam dunia supermoto, bermula dengan enjin satu silinder SOHC 450 cc 63 hp yang mempunyai berat cuma 27 kg dan dilekapkan kepada casis baru yang diperkenalkan pada model tahun 2023.

    Motosikal khas untuk kegunaan litar ini menggunakan transmisi lima kelajuan, dengan klac slipper SUTER, yang boleh menjadikan roda belakang lebih stabil apabila penukaran gear dibuat sambil membrek kuat. Quickshifter juga datang secara standard.

    KTM 450 SMR 2024 diperkenal – penampilan baharu

    Pada bahagian suspensi, 450 SMR menggunakan padanan fork WP XACT 48 mm dan monoshock WP XACT, dengan kedua-dua boleh dilaras sepenuhnya. Brek menggunakan unit daripada Brembo, dengan cakera 310 mm serta angkup empat piston di hadapan, dan cakera 220 mm dengan angkup dua piston di belakang.

    Kelengkapan lain yang diberikan bersama 450 SMR adalah dua mod kuasa, launch control, traction control, tangki bahan api 7.2 liter, pemegang Neken, rim Alpina bersaiz 16.5 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, penghidup enjin elektrik serta bateri Li-ion.

     
     
  • EON Berhad dilantik jadi pengedar rasmi smart di Malaysia – smart #1 bakal dijual mulai suku ke-4 2023

    EON Berhad dilantik jadi pengedar rasmi smart di Malaysia – smart #1 bakal dijual mulai suku ke-4 2023

    Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET) telah melantik cabang pemasaran automotif DRB-HICOM, Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) sebagai pengedar rasmi smart Malaysia. Menurut PRO-NET, pelantikan EON adalah sebagai sebahagian daripada keluarga smart Malaysia bagi menambah jumlah pengedar elit yang dilantik. Sebelum ini, PRO-NET mementerai perjanjian dengan Hap Seng Smart manakala lima lagi pengedar baharu bakal diumumkan kelak.

    Tambahnya, kerjasama tersebut juga mampu meningkatkan kesedaran dan keterlihatan jenama kenderaan elektrik (EV) di kalangan pembeli kereta di Malaysia ke arah memperkenalkan SUV smart #1 pada suku ke-empat tahun 2023.

    Sebagai salah satu pengedar pelbagai jenama terbesar negara yang mewakili jenama automotif terkenal termasuk Proton, Audi, Mitsubishi dan Volkswagen, pelantikan EON mencerminkan komitmen PRO-NET untuk menembusi pasaran EV yang semakin rancak di Malaysia, kata PRO-NET.

    Dalam masa yang sama, perkongsian ini mempamerkan satu lagi pencapaian bersejarah bagi Proton dan kumpulan anak syarikatnya sejak hampir empat dekad lalu, di mana syarikat itu dan EON mempelopori evolusi industri automotif Malaysia apabila EON dilantik sebagai pengedar kereta Proton eksklusif dan yang pertama.

    EON Berhad dilantik jadi pengedar rasmi smart di Malaysia – smart #1 bakal dijual mulai suku ke-4 2023

    “Kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan jenama yang kukuh dan dipercayai di dalam industri automotif. PRO-NET yakin dengan pengetahuan dan pegalaman luas EON ditambah dengan capaian pelanggan DRB-HICOM yang sangat luas akan mewujudkan sinergi ideal yang mampu mendorong wawasan smart Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.

    “Kami akan terus bekerjasama dengan rakan kongsi perniagaan yang mempunyai prestasi cemerlang di dalam industri ini untuk memperkenalkan pelbagai produk, perkhidmatan dan pengalaman jenama premium,” kata Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET.

    “EON komited untuk menyumbang ke arah kejayaan perkongsian baharu ini. Kami diterajui oleh pasukan dinamik yang mempunyai pengalaman yang luas. Ia memberi kelebihan kepada kami untuk mewujudkan sinergi dengan smart Malaysia bagi memenuhi permintaan untuk smart #1 dalam usaha menghasilkan impak ketara kepada pasaran tempatan,’ kata Akkbar Danial, Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pengedaran Automotif DRB-HICOM.

    PRO-NET turut percaya kecemerlangan automotif bukan hanya sekadar mencipta kenderaan terbaik
    malah turut menyediakan kemudahan yang mewah dan pegalaman yang unik kepada pelanggan. Pelantikan pengedar baharunya adalah sebahagian daripada strategi smart Malaysia untuk menjadikan jenama auto terbaru-premium, pintar dan elektrik sepenuhnya menjadi teman pemanduan dalam bandar yang ideal kepada para pembeli EV di Malaysia.

    Sebahagian daripada strategi ini ialah memperkenalkan aplikasi pintar yang membolehkan pelanggan memulakan perjalanan digital dan menikmati perkhidmatan dalam talian – daripada mendapatkan maklumat produk sehinggalah kepada membuat pesanan dan pembayaran dengan mudah dan selesa.

    Selain itu, ia juga menyediakan akses mudah kepada peta pengecasan EV dan kemudahan pengecasan DC, yang membolehkan pemilik kereta smart sentiasa memastikan kereta eletrik mereka boleh dicas sepanjang perjalanan bagi menikmati rutin pemanduan harian yang lebih baik.

    Pengedar smart juga dilengkapi dengan sokongan perkhidmatan dan jualan sepenuhnya untuk memberi pelanggan ketenangan fikiran selain menawarkan pengalaman premium dan perkhidmatan tambahan lain termasuk perkhidmatan baik-pulih dan pengecasan pantas serta pusat pengedaran.

    “Pasukan kami telah mencapai kemajuan yang menakjubkan sejak kami mula beroperasi pada tahun lalu, dan dengan kehadiran model terbaharu smart #1 yang mengujakan, kami yakin bahawa kami mampu memberikan sumbangan besar kepada masa depan mobiliti elektrik untuk pasaran Malaysia.

    “Pelantikan pengedar yang bereputasi tinggi adalah salah satu strategi utama kami. PRO-NET akan mengumumkan beberapa lagi pelantikan pengedar baharu smart kelak” tambah Zhang Qiang.

     
     
  • JPJ gesa pemilik kenderaan kemaskini alamat masing-masing supaya mudah untuk dihubungi atau dijejaki

    JPJ gesa pemilik kenderaan kemaskini alamat masing-masing supaya mudah untuk dihubungi atau dijejaki

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggesa agar pemilik kenderaan mengemaskini alamat masing-masing bagi memudahkan pihak berkuasa menghubungi mereka, terutamanya bagi memaklumkan kepada pemilik sekiranya kenderaan mereka disita oleh jabatan terbabit.

    Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Mohd Zaki Ismail berkata, dengan mempunyai alamat yang betul akan membolehkan jabatan mengenal pasti pemilik kenderaan dan menjalankan tindakan sewajarnya bagi kenderaan yang disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan.

    Ini termasuk pelepasan semula kenderaan kepada pemilik apabila kes itu telah diselesaikan, laporan The Star. “Cabaran timbul apabila pemilik gagal menuntut kenderaan mereka atau tidak menerima notis yang diperlukan kerana perubahan alamat,” katanya.

    Bagi menyelesaikan isu ini, Mohd Zaki menekankan kepentingan pemilik kenderaan mengemaskini alamat terbaharu mereka. Beliau berkata kegagalan berbuat demikian boleh mengakibatkan kenderaan yang disita dilelong apabila pemilik gagal menuntutnya.

    Mohd Zaki berkata demikian semalam dalam acara lelongan awam JPJ Kuala Lumpur, di mana sebanyak 96 kenderaan telah dilelong dengan nilai keseluruhan mencecah RM214,690.

     
     
  • Projek litar perlumbaan drag di setiap negeri harus diteruskan, majukan sukan permotoran – Ismail Sabri

    Projek litar perlumbaan drag di setiap negeri harus diteruskan, majukan sukan permotoran – Ismail Sabri

    Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri menyarankan agar pembinaan litar perlumbaan drag di setiap negeri dapat diteruskan, sebagaimana yang diumumkan dalam Bajet 2023 ketika beliau mengetuai pentadbiran kerajaan Keluarga Malaysia sebelum ini.

    Katanya, peruntukan sebanyak RM20 juta telah diperuntukkan bagi pembinaan litar perlumbaan drag untuk memberi peluang kepada belia membabitkan diri dengan lebih serius dalam sukan permotoran mengikut saluran betul, laporan Bernama.

    Katanya, litar perlumbaan drag itu juga akan menjadi platform terbaik untuk menarik lebih ramai tenaga pengajar profesional untuk melatih belia dan seterusnya melahirkan bakat baharu dalam sukan permotoran negara.

    Projek litar perlumbaan drag di setiap negeri harus diteruskan, majukan sukan permotoran – Ismail Sabri

    “Kekurangan platform dan kompleks sukan permotoran ini menjadi satu daripada punca peningkatan masalah sosial dalam kalangan belia seperti perlumbaan haram, aktiviti samseng jalanan dan melepak,” katanya.

    Tambahnya, pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dicadang supaya melawat litar perlumbaan drag yang telah siap dibina di Terengganu dan Johor bagi memahami tujuan cadangan, aspirasi serta minat golongan muda terhadap sukan permotoran.

    “Di Johor, pembinaan adalah pada kadar minimum seperti litar dan pagar keselamatan sahaja berbanding di Terengganu yang menelan kos lebih tinggi kerana mempunyai tempat duduk grandstan. Manakala litar drag di Jempol, Negeri Sembilan yang siap dibina tahun lepas hasil usaha sama agensi swasta, pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri juga hanya melibatkan kos RM1.3 juta,” jelasnya lagi.

    Semalam, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dalam jawapan kepada pertanyaan Ahli Parlimen Kalabakan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata cadangan kerajaan terdahulu untuk membina litar perlumbaan drag khas di setiap negeri tidak akan diteruskan kerana akan menanggung kos penyelenggaraan yang sangat tinggi selain perlu diselia oleh pakar terlatih.

     
     
  • Kerangka subsidi bersasar siap 75%, mungkin dibentangkan dalam Bajet 2024 – Ahmad Maslan

    Kerangka subsidi bersasar siap 75%, mungkin dibentangkan dalam Bajet 2024 – Ahmad Maslan

    Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan kerangka pelaksanaan pemberian subsidi bersasar sudah hampir dimuktamadkan dengan perbincangan mengenainya ketika ini sudah 75% selesai.

    Katanya, hasil perbincangan mengenai kerangka itu yang membabitkan pelbagai jawatankuasa kemudian akan dibentangkan di Kabinet sebelum sebarang keputusan lanjut dimuktamadkan, laporan Bernama.

    “Ia masih lagi diperhalusi. Ia (subsidi bersasar) sudah dimulakan iaitu di Tabung Haji kepada mereka yang menunaikan haji baru-baru ini. (Kumpulan) T20, M40 dan B40 ada kadarnya dan T20 langsung tidak diberi (subsidi), elektrik juga sudah mula. Jadi, sudah tiba masanya untuk diesel dan RON95,” katanya.

    Dalam masa yang sama, beliau juga tidak menolak kemungkinan perincian mengenai kerangka itu akan dimaklumkan pada sesi pembentangan Belanjawan 2024 yang dijadualkan pada Oktober ini.

    Menerusi pendekatan itu, kerajaan tidak lagi melihat kepada asas pendapatan isi rumah semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira beberapa faktor dalam menentukan pendapatan boleh belanja.

    Kerangka subsidi bersasar siap 75%, mungkin dibentangkan dalam Bajet 2024 – Ahmad Maslan

    Ahmad Maslan turut mengulas saranan pakar ekonomi agar kerajaan tidak hanya bergantung kepada nilai pendapatan bulanan, sebaliknya turut mengambil kira jumlah tanggungan golongan T20, memaklumkan perkara itu ada dibincangkan di peringkat jawatankuasa khas pelaksanaan inisiatif berkenaan.

    Bagaimanapun, perbincangan mengenai perkara itu dan beberapa aspek lain berkaitan golongan T20 masih berlangsung dan belum ada keputusan yang dimuktamadkan setakat ini, katanya.

    “Kita memang ambil kira golongan T20 peringkat bawah yang akan disesuaikan nilai pendapatan bulanan dengan jumlah tanggungan mereka. Mungkin akan ada pertimbangan khusus bagi golongan ini, tetapi ia tidak terpakai bagi golongan T20 kelas menengah atau atas,” katanya.

    Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata kerajaan dijangka akan melaksanakan pemberian subsidi bersasar, termasuk untuk petrol RON95 dan diesel mulai tahun depan.

    Ia akan menggunakan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) bagi meneliti semua data sedia ada bagi membolehkan subsidi bersasar berkenaan diberikan kepada sasaran yang tepat,

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025