Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Pengusaha stesen minyak di JB didenda RM40k kerana benarkan kenderaan asing isi petrol RON95

    Pengusaha stesen minyak di JB didenda RM40k kerana benarkan kenderaan asing isi petrol RON95

    Gambar hiasan

    Akibat membenarkan kenderaan asing mengisi petrol RON95 bersubsidi, seorang pengusaha stesen minyak didenda sebanyak RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru, lapor Astro Awani.

    Pemilik stesen minyak berkenaan, Phan Chib Chan, 59 tahun dikenakan hukuman tersebut selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan melakukan kesalahan itu empat tahun lalu. Pertuduhan itu dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

    Laporan akhbar berkenaan menyebut, mengikut fakta kes Chib Chan didakwa melakukan kesalahan itu di stesen minyak miliknya yang terletak Jalan Tun Abdul Razak, Susur 4 Johor Bahru pada 13 Mei 2019, lebih kurang jam 10.40 pagi.

    Dia didakwa membenarkan pengisian petrol bersubsidi RON95 ke atas kereta jenis BMW bernombor pendaftaran Singapura, sebanyak 54 liter bernilai RM113.30. Perbuatan itu melanggar peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, suatu kesalahan di bawah Peraturan 21(1) peraturan sama.

    Kes ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Muhamad Sabiq Muhamad Subri dan Raja Nor Iklas Raja Ariff. Dalam penghujahan berkenaan, Raja Nor Iklas memaklumkan ini bukan pertama kali Chib Chan didapati bersalah kerana sebelum ini dia telah dua kali dikenakan kompaun atas kesalahan yang sama.

     
     
  • Bangkok 2023: BYD Dolphin EV berharga 800k baht di Thailand — Standard Range, 410 km NEDC, RM104k

    Bangkok 2023: BYD Dolphin EV berharga 800k baht di Thailand — Standard Range, 410 km NEDC, RM104k

    Di Bangkok, turut dipamerkan ialah BYD Dophin, kereta hatchback kompak elektrik yang dijual di sana dengan harga anggaran 799,999 baht (RM103,926), termasuk insentif EV daripada kerajaannya. Ini agak tinggi sebenarnya: untuk pasaran Malaysia, dijangka kereta ini akan dijual di bawah RM100k pada suku keempat nanti.

    BYD Dolphin mempunyai ukuran 4,125 mm panjang dan 1,770 mm lebar, Dolphin adalah 220 mm lebih pendek dan 22 mm lebih lebar berbanding Honda City Hatchback, tetapi 82 mm lebih tinggi dengan jarak antara rodanya 2,700 mm (ini menyamai ukuran kereta segmen C).

    Dolphin didatangkan dengan motor tunggal 174 hp/290 Nm, dengan bateri Blade 44.9 kWh, tetapi spesifikasi yang di tawarkan di Thailand untuk 800k baht adalah dengan motor 94 hp/180 Nm dan dikuasakan oleh bateri yang sama. Spesifikasi yang paling rendah pula menggunakan motor 94 hp dengan bateri 30.7 kWh.

    Pecutan 0-100 km/j dilakukan dalam masa 12.3 saat. Jarak perjalanan pula didakwa 410 km bagi setiap caj penuh mengikut kitaran NEDC, dan jika ambil kira kitaran WLTP yang lebih realistik, potong 20% lagi daripada angka itu.

    Pengcasan AC 7 kW memerlukan enam jam 25 minit, sementara DC pula sehingga 60 kW dan keadaan bateri 30%-80% SOC dalam masa 30 minit. Ada juga fungsi V2L (Vehicle To Load), membolehkan pengguna mengecas peranti elektrik dengan adapter yang disediakan. Dua warna disediakan — Coastal Cream dan Flora Purple yang ditunjuk ini. Bahagian dalaman adalah hitam-biege dua tona untuk semua.

    BYD Dolphin ini akan dijual di Malaysia, dijangka pada suku keempat nanti oleh pengedarnya, BYD SD Motors Malaysia: begitu juga dengan model Seal. Di China, Atto 3 dijual pada harga 150k Yuan, sementara Dolphin pula dari 94k Yuan. Oleh kerana Atto 3 di sini dijual dari RM150k di Malaysia, Dolphin di bawah struktur bebas cukai yang sama mungkin akan dijual di bawah RM100k. Apa pandangan anda pasal kereta ini?

     
     
  • Bangkok 2023: Toyota Hilux Revo BEV Concept beri petunjuk kemungkinan model trak pikap elektrik penuh

    Bangkok 2023: Toyota Hilux Revo BEV Concept beri petunjuk kemungkinan model trak pikap elektrik penuh

    Pada Disember tahun 2022, Toyota telah mempersembahkan Hilux Revo BEV Concept di Thailand, untuk menunjukkan kemungkinan bagi sebuah model Hilux elektrik penuh. Pada masa itu, Toyota Motor Thailand (TMT) menyambut ulang tahun yang ke-60 dan presiden Toyota sendiri, Akio Toyoda datang ke acara untuk menunjukkan model konsep tersebut.

    Tahun ini di Bangkok International Motor Show (BIMS), Hilux Revo BEV sekali lagi dipamerkan dan wakil kami berpeluang untuk mendekatinya dan mengambil sedikit gambar untuk tatapan anda. Sekadar mengingatkan, Toyota masih belum memberi pengesahan bila versi produksi akan keluar dan tiada sebarang spesifikasi teknikal didedahkan setakat ini.

    Model konsep ini menggunakan asas daripada Hilux Revo Standard Cab yang dijual di Thailand dan nampak seperti sudah bersedia untuk pengeluaran pasaran, bersama bahagian dalam yang lengkap. Bahagian luar pula menampakkan sedikit perubahan, termasuk gril hadapan yang sebahagian besar daripadanya ditutup serta terdapat jalur krom di bahagian tengah, menghubungkan lampu utama kiri dan kanan.

    Pada bahagian lain terdapat bampar baru dengan kemasan hitam berkilat di bucu serta tengah. Rim besi kini diganti dengan unit aloi 17 inci dan di bahagian kiri trak pikap ini tiada lagi tempat mengisi minyak. Soket pengecas bateri diletakkan pada fender hadapan dan melengkapkan penampilannya adalah lencana BEV di beberapa tempat.

    Masuk ke dalam, model konsep ini nampak seperti Hilux Revo Standard Cab yang biasa tetapi dengan beberapa naik taraf termasuk balutan kulit, kawalan pendingin hawa dua zon serta konsol tengah yang diubah untuk menempatkan brek parkir elektronik serta pemilih gear yang kelihatan seperti unit daripada bZ4X. Meskipun adalah kenderaan elektrik, model ini dilihat masih menggunakan panel instrumen analog dan bukannya skrin digital penuh.

     
     
  • Yamaha R25 pasaran M’sia dapat pilihan warna baru

    Yamaha R25 pasaran M’sia dapat pilihan warna baru

    Memasuki bulan Mac 2023 ini, Yamaha R25 sekali lagi diberikan pembaharuan warna dengan kali ini ditawarkan dalam pilihan Midnight Star dan Racing Blue. Harganya pula masih kekal seperti kali terakhir diumumkan September tahun lalu, iaitu RM22,998 tidak termasuk insurans.

    Spesifikasi teknikal motosikal sports permulaan ini masih tidak berubah, bermula dengan enjin dua silinder selari suntikan bahan api 249 cc DOHC penyejukan cecair serta kotak gear enam kelajuan, menghasilkan 35.5 hp pada 12,000 rpm dan tork 22.6 Nm pada 10,000 rpm.

    Menggunakan panel badan fairing penuh, R25 mencatat berat keseluruhan 169 kg, sementara tangki bahan apinya pula menyediakan kapasiti 14.3 liter. Rim menggunakan saiz 17 inci, dan dibalut tayar 110/70 di bahagian hadapan dan 140/70 di bahagian belakang.

    Kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk suspensi yang terdiri daripada fork teleskopik dan monoshock dengan pelarasan pra beban, lampu LED, brek cakera hadapan dan belakang bersama sistem ABS dual-channel serta panel instrumen LCD dengan lampu shift light.

    Setiap pembelian Yamaha R25 ini diberikan dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km, serta kunci cakera brek bernilai RM100. Warna baru ini akan mula berada di wakil pengedar Hong Leong Yamaha Motor pada 23 Mac 2023.

     
     
  • Bangkok 2023: Mitsubishi XRT Concept – Triton generasi baru yang lebih besar, bakal dilancar Julai ini

    Bangkok 2023: Mitsubishi XRT Concept – Triton generasi baru yang lebih besar, bakal dilancar Julai ini

    Selepas menyiarkan teaser untuk model generasi baharu trak pikap Triton sebelum ini, nah ini dia ia sudah muncul dalam versi konsep – Mitsubishi XRT Concept didedahkan ketika berlangsungnya Bangkok International Motor Show (BIMS) 2023 minggu ini!

    Versi produksi sebenar model generasi kelima (dikenali dengan asas nama L200 dan pelbagai nama lain seperti Storm dan Strada merentas generasi dan pasaran) bakal membuat kemunculan sulung pada bulan Julai nanti. Ia bakal menggantikan model generasi sedia ada yang sudah pun berada dalam pasaran sejak 2014, serta telah diberikan facelift menyeluruh pada 2018.

    Sebagai salah satu anggota Pakatan Renault Nissan yang disertai bermula 2016, model generasi baharu Triton ini turut akan dibina berasaskan platform kumpulan automotif berkenaan, atau secara spesifiknya menggunakan casis ladder frame yang sama dengan Nissan Navara.

    Bangkok 2023: Mitsubishi XRT Concept – Triton generasi baru yang lebih besar, bakal dilancar Julai ini

    Walau bagaimanapun, pembangunan yang dibuat bukanlah semudah proses rebadge seperti yang dilakukan pada Mitsubishi ASX dan Colt generasi baharu pasaran Eropah yang hanya menukar logo Renault Captur dan Clio. Menurut Mitsubishi, platform baharu ini telah menerima kejuteraan semula dari mereka sendiri dan ia kini adalah baharu sepenuhnya.

    Apa yang didakwa oleh Mitsubishi ini adalah tidak mustahil. Ini kerana ia telah dibuktikan pada model Outlander PHEV generasi baharu dimana ia masih berkongsi platform yang sama dengan Nissan X-Trail, tetapi unit rangkaian kuasanya bukan dari Nissan, sebaliknya adalah sistem hibrid dari Mitsubishi sendiri.

    Dengan menggunakan asas Navara, kelebihan utama pada Triton generasi baharu ini sudah tentu dari segi saiz. Navara menampilkan jarak roda sejauh 3,150 mm, dengan jelas 150 mm lebih jauh dari Triton generasi sedia ada. Badan XRT Concept ini juga nampaknya masih lagi ada pengaruh Navara, terutamanya pada bahagian garis tingkap.

    Bangkok 2023: Mitsubishi XRT Concept – Triton generasi baru yang lebih besar, bakal dilancar Julai ini

    Masih tiada perincian berkenaan unit rangkaian kuasa bagi Triton generasi baharu ini. Tetapi dijangka Mitsubishi tidak akan menggunakan teknologi dari Nissan dan masih akan menggunakan teknologi MIVEC DOHC Turbodiesel. Namun enjin 4N15 pada Triton sedia ada mungkin akan diganti dengan versi lebih baharu iaitu 4N16.

    Enjin 4N16 berkenaan menampilkan sesaran 2.4 liter yang sama seperti 4N15, dan ia sudahpun dipadankan pada van Nissan Urvan NV350 versi facelift (atau dikenali sebagai Caravan di Jepun) tahun lalu. Enjin pada van berkenaan turut menerima kotak gear automatik baharu dari Jatco yang menampilkan tujuh kelajuan – mungkin juga akan dibawa ke Triton kerana model sedia ada masih menggunakan kotak gear auto enam-kelajuan.

    Dari segi rekaan luaran, Triton XRT Concept ini masih diberikan rupa yang garang, tetapi kurang bersegi dan nampak lebih matang. Gril hadapannya kini direka besar hingga ke bawah, menampilkan elemen sarang lebah serta nampak seperti bersambung dengan lampu nyalaan siang LED yang tirus pada sebelah atas.

    Lampu utama masih diletakkan pada bahagian sisi bampar, dan kini direka seperti bentuk huruf-J yang bersambung dengan satu lagi lampu di bawah yang berkemungkinan merupakan lampu kabus atau lampu panduan. Lampu belakang juga menerima reka bentuk baharu bagi dipadankan pada badan yang nampak lebih besar.

    Pada sebelah sisi, kesemua fender direka seakan kit badan lebar yang nampak seperti otot-otot dan turut menampilkan liang udara pada bahagian belakang. Model konsep Triton ini juga menerima kelengkapan-kelengkapan off-road tambahan seperti rim aloi Work Crag T-Grabic II bersama tayar mud-terrain, dua set tayar gantian pada bed belakang dan juga unit snorkel untuk ‘menyelam’ merentas sungai.

    Keseluruhan badan Triton XRT Concept ini menerima grafik penyamaran “batu lava yang penuh mampat dengan tenaga” dan juga bar sendeng penala rasmi Mitsubishi iaitu Ralliart bagi menyembunyikan rupa sebenarnya.

    Rupa model produksi sebenar Triton generasi baharu ini mungkin hampir keseluruhannya sama dengan model konsep ini kerana ia sudah nampak seperti model produksi sebenar tanpa perincian-perincian mengarut, serta sudahpun diberikan penderia parkir pada sebelah hadapan dan belakang.

    Malah dengan perincian-perincian off-road bersama grafik Ralliart yang diberikan, ini mungkin gambaran sebenar trak pikap Triton generasi kedua dalam versi jentera rali T1 untuk berlumba dalam Asia Cross Country Rally (AXCR) hujung tahun ini.

    Tahun lalu Mitsubishi mula berlumba semula menggunakan panji-panji Ralliart, bermula dengan AXCR 2022 dengan Mitsubishi Triton generasi sedia ada. Jentera rali spesifikasi FIA T1 Cross Country dengan perincian hampir sama dengan model produksi berkenaan berjaya meredah dan menamatkan perjalanan sejauh 1,524 km, dengan ujian masa dalam 6 Special Stage (SS) dalam jarak 637 km di tempat pertama hanya dalam percubaan kali pertama.

     
     
  • Nissan Serena 2023 dilihat diuji di M’sia — MPV serba baru C28 tampil gaya lebih menonjol, makin hampir?

    Nissan Serena 2023 dilihat diuji di M’sia — MPV serba baru C28 tampil gaya lebih menonjol, makin hampir?

    Nissan Serena generasi keenam membuat penampilan global November tahun lalu dan kini telah dilihat sedang diuji di Malaysia. Ketika ini, belum ada petunjuk daripada Edaran Tan Chong Motor (ETCM) bila model C28 serba baru ini akan dilancarkan di Malaysia.

    Unit ujian dengan pelekat samaran ini ditemui dirakam imejnya oleh seorang pembaca paultan.org, Makinen Goh berdekatan Genting Highlands, dan dapat dilihat dengan agak jelas bentuk bersegi lampu balakangnya yang berakhir di hujung landasan pintu gelungsurnya serta kedudukan pemantulnya yang lebih rendah ke bawah.

    Perubahan rekaan lain yang terlibat untuk C28 ini ialah lampu belakang dengan rekaan baru dengan bahagian lebih jelas yang menggunakan lencana terbaru dan ejaan Nissan. Selebihnya, bentuk berkotak yang sama tidak berbeza jauh berbanding model lama, dengan ada semula garis badan mengarah ke tiang D.

    Bagaimanapun, bahagian depan lebih banyak berbeza daripada model C27. Bentuk X mengisi rupa depan, dengan lampu bertingkat telah digantikan dengan lampu LED yang mengisi hingga bahgian atas gril.

    Nissan Serena 2023 dilihat diuji di M’sia — MPV serba baru C28 tampil gaya lebih menonjol, makin hampir?

    Bahagian dalam pula banyak yang berubah, antaranya memperlihatkan rekaa papan pemuka yang lebih ringkas dan moden. Ada kluster instrumen digital di depan pemandu, sementara sistem infotainmen dengan skrin sentuh di sisinya. Di bawah skrin berkenaan, butang kawalan untuk sistem pendingin dan tuil gear diletakkan. Ini menjadikannya nampak lebih luas, sesuai dengan keluasan ruang yang sedia ada untuk Serena.

    Di Jepun, Serena ditawarkan dalam dua penjana kuasa: pertama, MR20DD 2.0 liter NA empat-silinder petrol yang menghasilkan 150 PS dan 200 Nm tork. Ini gandingkan dengan Xtronic CVT yang memacu roda depan. Ada juga pilihan untuk pacuan semua roda.

    Yang kedua ialah sistem e-Power yang memanfaatkan enjin 1.4 liter NA tiga-silinder yang hanya menjadi generator untuk bateri lithiium-ion, yang membekalkan kuasa kepada motor elektrik dengan janaan 163 PS (120 kW) dan 315 Nm.

    Serena ketika ini menggunakan unit MR20DD dengan sistem mild-hybrid yang termasuk sebuah motor elektrik kecil dengan janaan 2.6 PS (1.8 kW) yang dipasarkan sebagai S-Hybrid. Untuk kepastian tetapan masa satu yang akan diperkenalkan di sini, itu perlu tunggu berdekatan tarikh pelancarannya nanti.

     
     
  • Bangkok 2023: Hyundai Stargazer dilancar – bermula RM100k, pencabar Xpander & Veloz; M’sia selepas ini?

    Bangkok 2023: Hyundai Stargazer dilancar – bermula RM100k, pencabar Xpander & Veloz; M’sia selepas ini?

    MPV tiga baris tempat duduk segmen-B Hyundai Stargazer baru sahaja didedahkan untuk peringkat global di Indonesia Julai tahun lalu. Dan kini sempena berlangsungnya Bangkok International Motor Show (BIMS) ia dilancarkan pula secara rasmi untuk pasaran Thailand.

    “Baby Staria” ini sudahpun dilihat di Malaysia sebelum ini, tetapi Hyundai Malaysia masih belum mengesahkan adakah ia akan dilancarkan di sini atau tidak. Namun jika anda berminat, teruskan membaca artikel ini dan teliti gambar-gambar yang kami sempat rakam sebagai panduan bayangan apa spesifikasi yang bakal ditawarkan sekiranya ia benar-benar mendarat di Malaysia kelak.

    Stargazer ditawarkan dalam versi enam- dan tujuh- tempat duduk di Thailand. Ia dijual pada harga bermula 769,000 baht (RM100,476) untuk varian asas Trend, diikuti varian pertengahan Style berharga 829,000 baht (RM108,315). Kedua-dua varian ini datang hanya dengan versi tujuh-tempat duduk.

    Bangkok 2023: Hyundai Stargazer dilancar – bermula RM100k, pencabar Xpander & Veloz; M’sia selepas ini?

    Varian tertinggi Smart pula ditawarkan dalam dua konfigurasi – model Smart 7 dengan tujuh-tempat duduk dijual pada harga 869,000 baht (RM113,541), manakala model Smart 6 dengan hanya enam-tempat duduk yang lebih ‘mewah’ dijual pada harga 889,000 baht (RM116,149) dan ia turut ditawarkan dengan pilihan bumbung hitam dengan tambahan 20,000 baht (RM2,613).

    Stargazer dihasilkan dengan dimensi 4,460 mm panjang, 1,780 mm lebar, 1,695 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,780 mm. Di Thailand dan juga Indonesia, MPV jenama Korea ini perlu bersaing dengan lawan-lawannya dengan lencana jenama Jepun termasuk Toyota Veloz, Honda BR-V generasi kedua dan juga Mitsubishi Xpander.

    Bagi varian Smart 6, tempat duduk baris kedua hanya boleh menempatkan dua orang penumpang dengan kerusi kapten yang lebih selesa berbanding kerusi jenis bench yang boleh diduduki tiga orang penumpang pada varian-varian tujuh-tempat duduk.

    Bangkok 2023: Hyundai Stargazer dilancar – bermula RM100k, pencabar Xpander & Veloz; M’sia selepas ini?

    Dari segi kit kelengkapan, model asas Trend menerima perincian seperti lampu hadapan halogen, lampu belakang LED, cermin sisi elektrik, rim aloi 16-inci, upholsteri fabrik, pendingin hawa manual dengan liang udara kabin belakang, radio asas dengan hubungan Bluetooth dan empat pembesar suara.

    Sistem keselamatan standard untuk model ini adalah termasuk sistem kestabilan elektronik, brek ABS dan BA, bantuan mula mendaki, dua beg-udara, kunci automatik berdasarkan kelajuan dan juga cagak tempat duduk ISOFIX.

    Varian Style pula ditambah dengan rim aloi yang lebih sporty, gril hadapan kemasan hitam krom, lampu nyalaan siang LED, lampu hadapan halogen dengan fungsi automatik, lampu kabus hadapan, paparan pelbagai info dengan skrin TFT LCD Supervision 4.2-inci, sistem tanpa kunci dengan butang penghidup enjin serta fungsi kawalan jauh, upholsteri kulit, perehat tangan pada tempat duduk baris kedua serta meja tray.

    Fungsi tambahan lain yang turut diberi pada varian Style ini termasuk cruise control, empat mod pemanduan (Normal, Eco, Sport dan Smart), skrin sesentuh lapan-inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, tambahan dua lagi pembesar suara (enam secara keseluruhan), kamera undur, sistem pemantau tekanan tayar, amaran penumpang belakang dan juga bantuan had laju manual.

    Bagi varian Smart, ia menerima hampir kesemua perincian yang sama seperti Style, tetapi ditambah dengan ciri seperti lampu hadapan reflektor LED, lampu suasana kabin, pengecas tanpa wayar dan pendingin hawa automatik.

    Model varian tertinggi ini juga diberikan pakej bantuan pemanduan Hyundai SmartSense dengan fungsi seperti Bantuan Pengelak Pelanggaran Hadapan, Bantuan Kekal Lorong, Bantuan Pengelak Pelanggaran Titik Buta, Bantuan Pengelak Pelanggaran Lintasan Trafik Belakang, Amaran Keluar Selamat dan Amaran Tumpuan Pemandu.

    Dengan senarai kelengkapan yang dibekalkan pada Stargazer ini, ia ternyata lebih canggih berbanding Veloz, BR-V dan juga Xpander. Namun dalam saingan segmen ini, hanya Honda BR-V generasi kedua yang datang dengan sistem cruise control adaptif.

    Kesemua varian Hyundai Stargazer pasaran Thailand ini menerima unit rangkaian kuasa yang sama iaitu enjin petrol NA 1.5 liter MPi SmartStream berkuasa 115 PS dan tork maksima 144 Nm, dengan kelulusan piawaian emisi Euro-4. Ia digandingkan dengan kotak gear IVT Hyundai (CVT yang berfungsi dengan rantai) bagi memacu hanya roda hadapan.

    Enam warna badan ditawarkan untuk Stargazer pasaran Thailand ini termasuk Titan Grey Metallic, Magnetic Silver Metallic, Creamy White Pearl dan Midnight Black Pearl. Manakala pembeli varian Smart 6 yang mahukan bumbung hitam, ia hanya ditawarkan dalam warna badan perak atau putih sahaja.

    Honda sebelum ini sudah mengesahkan bahawa BR-V generasi kedua tidak akan dibawa ke pasaran Malaysia. Adakah anda rasa Stargazer ini merupakan pilihan alternatif yang baik jika mahukan MPV tujuh-tempat duduk yang berbeza dari Veloz, Alza dan juga Xpander sekiranya ia dilancarkan di Malaysia kelak?

     
     
  • Bangkok 2023: Honda Civic Type R FL5 dijual di Thailand pada harga RM520k, sudah boleh ditempah

    Bangkok 2023: Honda Civic Type R FL5 dijual di Thailand pada harga RM520k, sudah boleh ditempah

    Selain dari WR-V dan CR-V generasi ke-enam, Honda Thailand turut membawa Civic Type R generasi terbaharu ke Bangkok International Motor Show (BIMS) 2023. Tempahan bagi hot-hatch ini dibuka bermula hari ini, dan ia diumumkan dijual pada harga 3,990,000 baht, atau sekitar RM520k!

    Civic Type R FL5 ini di bawa ke Thailand dalam jumlah yang terhad, dan sesiapa yang mahu menempahnya perlu meletakkan nama mereka di laman sesawang rasmi Honda Thailand bermula pukul 10 pagi hari ini. Walaupun harganya mencecah lebih setengah juta ringgit, dijangka kesemua unit yang dibawa tersebut akan direbut secepat mungkin oleh pelanggan di Thailand.

    Seperti yang diketahui sebelum ini, Type R FL5 diasaskan dari Civic generasi ke-11 dalam versi hatchback. Ia masih menggunakan enjin K20C1 2.0 liter VTEC Turbo yang sama seperti generasi FK8 sebelum ini, namun diberikan talaan baharu yang 10 PS/20 Nm lebih berkuasa – model pasaran Jepun menghasilkan 330 PS dan tork maksima 420 Nm.

    Bangkok 2023: Honda Civic Type R FL5 dijual di Thailand pada harga RM520k, sudah boleh ditempah

    Peningkatan kuasa ini dibuat menerusi kemaskini pada pengecas turbo yang dihasilkan dengan saiz, bentuk serta jumlah bilah turbin yang dioptimakan bersama bentuk aliran udara dari salur kemasukan, serta sistem ekzos yang lebih efisien. Model baharu ini juga menerima injap aktif pada sistem ekzos yang memberikan operasi lebih baik pada Active Sound Control.

    Selain itu, rekaan gril hadapan dengan ruang kemasukan udara lebih besar membolehkan radiator beroperasi pada kadar 48% lebih baik dari FK8. FL5 masih lagi mengekalkan prinsip hanya dihasilkan dengan kotak gear enam-kelajuan manual, bagi memastikan ia dibeli oleh mereka yang betul-betul minat memandu.

    Transmisi manual bersama tombol aluminium ikonik Type R yang lengkap dengan LSD berkenaan dipertingkat menerusi roda tenaga yang lebih ringan, perisian sistem rev-match (heel & toe automatik) yang diperkemas, serta tuil dan pagar “H-pattern” yang dioptimakan bagi memberikan penukaran gear yang lebih jitu.

    Bangkok 2023: Honda Civic Type R FL5 dijual di Thailand pada harga RM520k, sudah boleh ditempah

    Tidak seperti FK8 yang diproduksi di United Kingdom sebelum ini, produksi FL8 sudah kembali ke Jepun kerana kilang Honda Swindon telahpun ditutup. Jadi semua unit FL8 untuk pasaran seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, Australia dan ASEAN adalah dari kilang Yorii di Saitama, Jepun.

    Minggu lalu Honda Malaysia sudah pun mengesahkan bahawa Civic Type R FL5 ini akan turut dilancarkan di sini tahun ini. Namun adakah harganya juga akan melebihi RM500k di Malaysia? Mungkin kita boleh ambil Toyota GR Corolla sebagai perbandingan – hot-hatch Toyota ini dilancarkan di Thailand pada November 2022 dan dijual pada harga 3.949 juta baht (RM500k), namun apabila ia tiba di Malaysia, UMW Toyota menjualnya pada harga RM355k.

    Jadi mungkin Honda Civic Type R ini akan dijual di Malaysia pada harga sekitar RM350k-RM360k? Sama-sama kita tunggu pengumuman dari Honda Malaysia sendiri.

     
     
  • Blueshark R1 dan R1 Lite dilancar di Malaysia – skuter elektrik bermula RM7,190, jarak gerak sehingga 110 km

    Blueshark R1 dan R1 Lite dilancar di Malaysia – skuter elektrik bermula RM7,190, jarak gerak sehingga 110 km

    Selepas dipamerkan di Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia (IGEM) Oktober lalu, motosikal elektrik penuh Blueshark R1 kini dilancarkan secara rasmi untuk jualan di Malaysia. Ia ditawarkan dalam dua versi, iaitu R1 Lite pada harga RM7,190 dan R1 pada harga RM9,390. Bagi syarikat korporat, anda boleh menyewa motosikal ini dengan bayaran bulanan RM487 untuk R1 Lite dan RM547 untuk R1.

    Diuji melalui protokol NEDC, Blueshark R1 boleh mencatat jarak perjalanan maksimum 110 km (dua bateri), dengan motor yang terletak di hab belakangnya boleh menghasilkan kuasa sehingga 5 kW dan tork 201 Nm. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 4.9 saat dan mencapai kelajuan maksimum 80 km/j. Menurut wakil Blueshark, jika hanya ada satu bateri pada motosikal, ia boleh mencatat kelajuan sehingga 40 km/j.

    Masa yang diperlukan untuk mengecas satu bateri R1 adalah tiga jam 35 minit, menggunakan pengecas domestik tiga pin yang disediakan, sementara untuk dua bateri yang terletak pada motosikal, ia akan mengambil masa tujuh jam untuk penuh. Untuk menunggang Blueshark R1 ini atas jalan raya, pengguna perlu memiliki sekurang-kurangnya lesen B2.

    Menggunakan sistem operasi ArkRide, Blueshark R1 boleh disambungkan kepada telefon pintar melalui bluetooth, dan menyediakan pelbagai fungsi seperti GPS, navigasi, pemain media, kemas kini atas talian, perakam video dan pelbagai lagi. Paparan yang disediakan pada motosikal adalah skrin 10.4 inci.

    Jika disewa oleh syarikat korporat, R1 dan R1 Lite akan datang dengan dua bateri, satu kunci bluetooth dan kad SIM. Pembeli persendirian pula akan menerima satu pengecas dan dua tapak pengecas, sementara bateri itu sendiri tidak disediakan.

    Untuk bateri, pemilik perlu melanggan pelan penukaran bateri BlueSwap, yang menawarkan bayaran RM1.95 setiap kali menukar bateri (BlueSwap Flex) atau tiga lagi pelan bayaran bulanan. Di bawah tempat duduk R1 tersedia ruang simpanan yang boleh menempatkan helmet open-face tanpa visor (tempat bateri adalah berasingan).

    Blueshark R1 dan R1 Lite dilancar di Malaysia – skuter elektrik bermula RM7,190, jarak gerak sehingga 110 km

    Bagi pelan bayaran bulanan bateri, pilihan yang disediakan bermula dengan BlueSwap Lite, iaitu RM59 sebulan untuk 36 kali penukaran bateri. Pergi pula kepada pelan pertengahan BlueSwap Standard yang berharga RM99, pengguna boleh menukar bateri sehingga 70 kali. Pelan paling tinggi adalah BlueSwap Pro, yang ditetapkan pada harga RM139 sebulan, untuk 120 kali penukaran bateri.

    Bagi pemilik yang tidak mahu memilih pelan penukaran bateri ini, mereka boleh membeli terus bateri R1 pada harga RM3,000 setiap satu atau RM6,000 untuk dua unit. Jika dua bateri dibeli sekali dengan model R1, harganya akan menjadi sekitar RM15k.

    Berkenaan penyelenggaraan, kos servis yang perlu ditanggung oleh pemilik adalah termasuk penukaran minyak gear setiap 6,000 km pada harga RM45, selain penukaran komponen seperti tayar dan pad brek.

     
     
  • Kuala Lumpur Bike Show 2023 bakal berlangsung 24 hingga 27 Sept – sasar jadi pameran premier di Asia

    Kuala Lumpur Bike Show 2023 bakal berlangsung 24 hingga 27 Sept – sasar jadi pameran premier di Asia

    Tahun ini buat pertama kalinya, Kuala Lumpur Bike Show 2023 (KLBS 2023) akan dilangsungkan di World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur, pada 24 hingga 27 Ogos ini. Mengikut perancangan, acara selama empat hari itu akan dibuka dari jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari.

    KLBS 2023 dianjurkan oleh Moventuum Sdn Bhd dan Bayu D Enterprise (Majalah Roda-Roda), dengan sasaran menjadikan ia sebagai satu pameran motosikal utama di rantau Asia dan melibatkan pelbagai bahagian seperti pelancaran model baru dan inovasi, pembentangan topik berkenaan motosikal, pameran serta jualan motosikal, aktiviti luar serta pelbagai lagi.

    “KLBS 2023 melibatkan pelbagai elemen yang akan memberi impak besar, membenarkan pemain industri untuk menunjukkan produk serta servis terbaru mereka, dan pengunjung boleh menikmati pengalaman emosi baru dalam dunia gaya hidup bermotosikal,” kata pengarah urusan Moventuum Sdn Bhd, Farouk Nurish.

    Selain pengunjung dan peserta dalam negara, KLBS 2023 juga akan mengadakan usaha promosi yang mensasarkan penunggang dan penggemar motosikal dari negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Indonesia, bersama dengan kempen yang lebih meluas di sekitar Asia.

    Beberapa kategori untuk tiket masuk KLBS 2023 telah ditetapkan, dengan antaranya bagi satu hari adalah RM38 untuk dewasa dan RM19 untuk kanak-kanak bawah 12 tahun, sementara untuk empat hari adalah RM68 untuk dewasa dan RM38 untuk kanak-kanak bawah 12 tahun.

    Walaupun begitu, anda boleh mendapatkan tiket ini dengan harga lebih murah apabila membeli sebelum 31 Mei 2023. Informasi lanjut untuk KLBS 2023 boleh didapati melalui laman www.kualalumpurbikeshow.com.

     
     
  • Bangkok 2023: Mitsubishi Xpander dan Xpander Cross facelift – gaya dikemaskini; 1.5L dan CVT; dari RM104k

    Bangkok 2023: Mitsubishi Xpander dan Xpander Cross facelift – gaya dikemaskini; 1.5L dan CVT; dari RM104k

    Mitsubishi turut mempertontonkan model Xpander dan Xpander Cross facelift dalam acara Bangkok International Motor Show 2023 (Bangkok 2023) yang sedang berlangsung. Wakil paultan.org, Danny Tan dan Sherman Sim, yang berada di sana turut berkongsikan foto dua versi Xpander tujuh-tempat duduk yang dipertingkatkan ini untuk tatapan anda.

    Bagi perubahan gaya untuk Xpander melibatkan lampu utama berbentuk-T baharu yang berada di bawah lampu posisi LED yang disemak semula. Manakala larasan pencahayaan dua-tingkat disambung pada gril yang turut dikemaskini, juga menampilkan kepingan melintang yang lebih tebal dan jejaring paten-berlian, sementara apron bawah juga diubahsuai dan masih menempatkan lampu kabus.

    Pada bahagian belakangnya, tailgate yang diprofil semula turut dipadankan dengan bampar baharu dengan lampu belakang kombinasi LED yang lebih nipis. Perubahan ini turut melibatkan kedua-dua versi Xpander dan Xpander Cross. Walau bagaimana pun, Xpander Cross ditampilkan dengan sedikit ciri yang berbeza termasuk gril dan bampar yang lebih bergaya bersama lapisan gerbang roda. Walau pun imejnya diinspirasikan dengan gaya off-road, kedua-dua model ini sebenarnya berkongsi ground clearance atau jarak kelegaan tanah yang sama iaitu 220 mm.

    Di dalamnya, bentangan papan pemuka lebih ringkas dan kini tidak lagi menempatkan garisan karakter melengkung, dengan garisan melintang yang menampakkan bahagian itu lebih luas. Manakala unit utama skrin sesentuh kini lebih besar bersaiz sembilan-inci (untuk varian terpilih), dan roda stereng juga diberikan rekaan semula dengan ruang di tengah yang lebih kecil.

    Selain itu, sistem pendingin hawa kini didatangkan dengan paparan kecik dengan suis toggle, menggantikan rotary dial yang ada pada model pre-facelift. Varian terpilih juga menerima brek parkir elektronik dengan penahan brek auto dan konsol tengah yang disemak semula untuk menempatkan ruang storan yang lebih besar.

    Di Thailand, barisan Xpander terdiri daripada GLS-LTD yang berharga 799,000 baht (RM104,388) dan harga untuk GT pula mencecah 895,000 baht (RM116,930). Ciri lain yang turut diberikan termasuklah lampu utama reflektor halogen, roda 17-inci, paparan pelbagai-inci 4.2-inci, kemasukan tanpa kunci dan butang push start, tempat duduk upholstery kulit sintetik, kamera pandangan belakang, Kawalan Kestabilan Aktif, ABS, kawalan cengkaman, EBD, bantuan brek serta unit utama skrin sesentuh sembilan-inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay.

    Xpander Cross pula didatangkan dengan varian tunggal yang ditawarkan pada harga 946,000 baht (RM123,565), dengan kelengkapan seperti GT yang lebih sporty dan premium. Ia diberikan ciri kelengkapan tambahan termasuk lampu utama LED, paparan kluster instrumen LCD lapan-inci, penapis udara PM2.5, cermin pandangan belakang auto-kelam dan Active Yaw Control.

    Kesemua model Xpander merupakan pacuan roda-hadapan dan dikuasakan oleh unit 4A91 1.5 liter naturally-aspirated empat-silinder yang menampilkan MIVEC, DOHC dan teknologi idling stop. Enjin ini mampu menghasilkan kuasa sehingga 105 PS pada 6,000 rpm dan tork 141 Nm pada 4,000 rpm, dengan transmisi Eco-Dynamic CVT.

    GALERI: Mitsubishi Xpander facelift (pasaran Thailand)

    GALERI: Mitsubishi Xpander Cross facelift (pasaran Thailand)

     
     
  • Bangkok 2023: Toyota Yaris — hanya diberikan facelift, belum terima platform DNGA; 1.2L dari RM73k

    Bangkok 2023: Toyota Yaris — hanya diberikan <em>facelift</em>, belum terima platform DNGA; 1.2L dari RM73k

    Jangan keliru dengan Toyota Yaris. Sebelum ini Yaris adalah versi sedan untuk Vios, seperti yang kita kenali di sini. Tetapi, dengan Vios generasi keempat yang dilacarkan semalam, ia telah “berpisah” daripada Yaris yang kita ketahui ini — Vios baru berkenaan dan Yaris Ativ menggunakan platform DNGA, sementara Yaris hatchback kekal dengan facelift sekali lagi.

    Facelift ketiga bagi kereta dalam segmen B ini menampilkan rekaan wajah depan yang nampak lebih lebar di bahagian bawah grilnya. Rekaan projektor lampunya juga baru dan berbeza, dengan rekaan bampar dan jalur DRL LED yang memberikan kesegaran lain. Namun, tidak ada apa yang berbeza dengan lampu belakang — dengan hiasan menegak di hujungnya. Warna baru, Cement Gray Metallic juga diperkenalkan, dengan pilihan bumbung hitam.

    Bangkok 2023: Toyota Yaris — hanya diberikan <em>facelift</em>, belum terima platform DNGA; 1.2L dari RM73k

    Tidak banyak perubahan untuk papan pemuka, yang menerima head unit dengan skrin sentuh 9.0-inci untuk varian Premium dan Premium S. Skrin 8-inci untuk varian Smart, sementara Sport yang paling asas menerima skrin 7-inci. Semua kecuali varian paling asas akan menerima ciri Android Auto dan Apple CarPlay. Kerusi hadir dengan rekaan baru, peningkatan tahap kemasan dan slot USB-C tetapi masih tiada panel meter digital seperti untuk Vios DNGA.

    Enjin kekal sama, unit 1.2 liter empat-silinder yang menjana 92 PS dan 109 Nm tork. Enjin 3NR-FKE NA ini digandingkan dengan kotak gear CVT dengan kadar penggunaan minyak didakwa 23.3 km/l. Ciri keselamatan juga sama — varian paling tinggi lengkap dengan AEB, amaran penukaran lorong, RCTA dan peninjau titik buta. Tiada kawalan melayar adaptif.

    Bangkok 2023: Toyota Yaris — hanya diberikan <em>facelift</em>, belum terima platform DNGA; 1.2L dari RM73k

    Di Thailand, Yaris Sport paling asas dijual pada harga 559,000 baht (RM73,020), diikuti Smart dengan 619,000 baht (RM80,863), Premium dengan 679,000 baht (RM88,701) dan yang paling lengkap,Premium S at 694,000 baht (RM90,656). Berbanding versi facelift 2020, harganya naik sekitar 10,000 hingga 15,000 baht (RM1,306 hingga RM1,959). Pakej penggayaan Lusso, Chiaro dan Presto juga ada.

     
     
  • Lebuhraya NPE, AKLEH, GCE, Besraya, Jambatan Penang laksana sistem bayaran terbuka mulai Sept ini

    Lebuhraya NPE, AKLEH, GCE, Besraya, Jambatan Penang laksana sistem bayaran terbuka mulai Sept ini

    Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, mengesahkan lima lebuhraya bakal melaksanakan sistem bayaran terbuka bagi kutipan tol bermula September 2023.

    Lebuhraya terbabit ialah:

    • Lebuhraya Sungai Besi (Besraya)
    • Lebuhraya Pantai Baharu (NPE)
    • Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH)
    • Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE)
    • Jambatan Pulau Pinang

    Ini bermakna pengguna lebuhraya terbabit dibenarkan untuk menggunakan kaedah pilihan pembayaran tanpa tunai selain kad Touch ‘n Go (TnG) untuk kadar tol. Ini termasuklah penggunaan kad debit/kredit, dan lain-lain.

    “Saya mengambil maklum isu monopoli Touch ‘n Go yang diutarakan oleh YAB Perdana Menteri baru-baru ini. Saya ingin menegaskan di sini bahawa usaha ke arah mengatasi isu ini sebenarnya sudah pun dimulakan sejak tahun lalu lagi dan perkara ini turut menjadi fokus utama saya apabila saya diberi tanggungjawab menerajui Kementerian ini.

    “Sejak awal tahun ini, saya sudah mengarahkan perancangan serta perbincangan bersama pihak-pihak terlibat serta syarikat konsesi lebuhraya diadakan bagi mengorak langkah ke arah pelaksanaan open payment system. Saya juga telah turut serta di dalam pelbagai perbincangan yang telah diadakan,” katanya menerusi kenyataan yang dipaparkan di laman Facebook rasminya.

    Menurut Alexander lagi, pelaksanaan sistem pembayaran terbuka adalah antara inisiatif awal sebagai peralihan ke arah sistem Aliran Bebas Pelbagai-Lorong atau Multi Lane Free Flow (MLFF) yang sedang giat diusahakan.

    Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub, mengesahkan pihaknya akan mengadakan mesyuarat dalam tempoh terdekat dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Kerja Raya (KKR) bagi menentukan kaedah untuk mengaplikasikan sistem pembayaran terbuka, termasuk untuk kemudahan pengangkutan awam.

     
     
  • Bangkok 2023: Honda CR-V generasi ke-6 dilancar di Thailand; 1.5L turbo, 2.0L hibrid, harga dari RM186k

    Bangkok 2023: Honda CR-V generasi ke-6 dilancar di Thailand; 1.5L turbo, 2.0L hibrid, harga dari RM186k

    Di Thailand bermula hari ini berlangsungnya Bangkok International Motor Show (BIMS) untuk pertama kali selepas musim pandemik sejak 2019. Dan, ada banyak model menarik pasaran serantau yang diperkenalkan. Antaranya ialah Honda CR-V 2023 serba baru, yang telahpun dilancarkan untuk pasaran di sana dan akan tiba di pasaran Malaysia juga nanti.

    Model SUV generasi keenam ini tampil dengan imej lebih berpetak berbanding model generasi kelima, yang berada di pasaran Malaysia sejak 2017 (kemudian versi facelift pada November 2020). CR-V 2023 ini kelihatan lebuh maskulin dengan sentuhan rekaan garis badan lebih jelas, serta gril hexagon saiz besar.

    Varian paling tinggi mengenakan gril mesh honeycomb yang besar, dengan rekaan bahagian belakang yang mengingatkan kita kepada SUV Volvo serta lampu LED yang khas rekaannya. Unit biru yang dilihat ini adalah dari varian RS, dan ini kali pertama CR-V menerima tahap kemasan sporty yang sudah pernah dilihat untuk City, Civic dan HR-V.

    Bangkok 2023: Honda CR-V generasi ke-6 dilancar di Thailand; 1.5L turbo, 2.0L hibrid, harga dari RM186k

    CR-V terbaru ini mempunyai ukuran 4,694 mm panjang (+71 mm) dan 1,865 mm lebar (+10 mm) berbanding model lama, sementara jarak antara roda bertambah 40 mm menjadi 2,700 mm. Di Thailand, SUV ini ditawarkan dalam konfigurasi lima atau tujuh-tempat duduk: hanya satu varian yang menawarkan dua kerusi tambahan tersebut. Paling asas ialah Turbo E 2WD, dengan empat varian lagi hadir dengan ciri “Real Time AWD”.

    Ada lima varian di sana, dengan harga yang lebih tinggi daripada jangkaan awal. Honda CR-V 2023 pemasangan Thailand dijual dalam varian 1.5 Turbo E 2WD pada harga 1,419,000 baht (RM186,478); 1.5 Turbo ES 4WD dengan 1,599,000 baht (RM210,133); 1.5 Turbo EL 4WD 7-tempat duduk dengan 1,649,000 baht (RM216,724). Semua varian ini dikuasakan oleh enjin 1.5 liter turbo dengan janaan 190 hp pada 6,000 rpm dan 242 Nm tork pada 1,700 hingga 5,000 rpm — dan menerima bahan bakar-bio E85. Enjin sama pada CR-V semasa kita di sini menghasilkan 193 PS dan 243 Nm dari 2,000 hingga 5,000 rpm, dengan CVT tentunya.

    Dua lagi varian di sana ialah hibrid — e:HEV ES 4WD pada 1,589,000 baht (RM208,839) dan varian paling tinggi e:HEV RS 4WD yang dijual 1,729,000 baht (RM227,239). Sistem janaan i-MMD ini sama dengan yang ada untuk Civic e:HEV, dengan enjin 2.0 liter kitaran Atkinson empat-silinder dan e-CVT yang memanfaatkan dua motor elektrik dengan janaan keseluruhan 204 hp (207 PS) dan 371 Nm dari 0-2,000 rpm.

    Bangkok 2023: Honda CR-V generasi ke-6 dilancar di Thailand; 1.5L turbo, 2.0L hibrid, harga dari RM186k

    Kelengkapan luarannya termasuk lampu utama dan DRL LED, lampu isyarat depan sequential LED, lampu kabus depan LED, lampu belakang LED, cermin sisi kuasa elektrik dengan lipatan automatik, bumbung panoramik elektrik, auto-lock, sensor parkir depan/belakang dan rim 18-inci.

    Varian RS pula terima tambahan kemasan warna badan dan kemasan hitam berkilat di kawasan plastik dan krom biasa, selain lencana RS yang diberikan. Perumah cermin sisi dan antena juga warna hitam, selain tambahan spoiler belakang dan rim 19-inci. Lampu depan pula dengan ciri Adaptive Driving Beam.

    Di dalam, CR-V memanfaatkan papan pemuka ala Civic FE dengan sistem infotainmen dengan skrin sentuh 9-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar (dan kawalan suara), panel meter digital 10.2-inci (kecuali E), pengecas tanpa wayar dan paddle shifter. RS pula terima tambahan seperti head-up display, 12-pembesar suara dan sistem audio Bose dan sistem tunjuk arah.

    Bangkok 2023: Honda CR-V generasi ke-6 dilancar di Thailand; 1.5L turbo, 2.0L hibrid, harga dari RM186k

    Honda Sensing adalah standard untuk semua varian, begitu juga dengan Honda LaneWatch. Untuk warna, Canyon River Blue Metallic khas untuk model hibrid. Ignite Red Metallic pula khas untuk model RS, dengan warna lain termasuk Platinum White Pearl, Meteoroid Gray Metallic, Lunar Silver Metallic dan Crystal Black Pearl.

    Di Thailand ketika ini, Honda CR-V 2023 ini dijual pada harga bermula RM186,478 hingga RM227,239. CR-V generasi kelima yang ada di Malaysia ketika ini pula dijual dari RM165,800 hingga RM170,400 bagi enjin turbo (ada juga model asas dengan 2.0L di bawah RM150k). Berapa harga CR-V ini agaknya bila sampai Malaysia? Lagi mahal?

     
     
  • Tokyo Auto Salon dibawa ke Kuala Lumpur tahun ini – 9-11 Jun 2023 di MITEC, disertai tuner dari Jepun!

    Tokyo Auto Salon dibawa ke Kuala Lumpur tahun ini – 9-11 Jun 2023 di MITEC, disertai <em>tuner</em> dari Jepun!

    Jika anda peminat kereta-kereta ubahsuai terutamanya dari Jepun, Tokyo Auto Salon (TAS) yang dilangsungkan saban tahun di dewan Makuhari Messe sudah tentu adalah antara acara yang perlu anda hadir sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Namun bagi mereka yang masih belum sempat untuk ke Jepun, ini peluang keemasan untuk anda kerana TAS bakal di bawa ke Kuala Lumpur tahun ini!

    Dalam majlis pelancaran Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur (TASKL) 2023 hari ini, penganjur acara berkenaan iaitu MUSE Group Asia, Element X Strategies dan juga pemilik jenama TAS iaitu San Ei Corporation mengumumkan bahawa acara ini akan dilangsungkan pada 9 hingga 11 Jun 2023, bertempat di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur.

    Acara ini akan berlangsung dalam ruang tertutup seluas 130,000 kaki persegi, dan akan melibatkan penala-penala dari Jepun termasuk Top Secret, RE Amemiya, Spoon, HKS, Greddy dan lain-lain. Menurut penganjur dalam sesi temubual ketika majlis pelancaran ini, pengasas Top Secret, Smokey Nagata merupakan antara ikon penala JDM yang akan turun ke TASKL 2023 ini.

    Selain itu, pemain-pemain dari ASEAN seperti Option 4 Wheel dari Thailand, Adtory-Minshing Brakes dari China, serta wakil-wakil tempatan seperti Hot Wheels Malaysia, EMMA Malaysia dan Soon Soon Garage turut akan hadir ke TAS KL kali ini.

    “Sejak MUSE Group Asia menganjurkan pameran Tokyo Auto Salon yang pertama di luar Jepun iaitu di Singapura pada 2013, hasrat kami ialah untuk membawa pameran berprestij ini ke Malaysia. Selepas perancangan selama 3 tahun, akhirnya kami dengan sukacitanya mengumumkan Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur akan menjadi realiti hanya beberapa bulan sahaja lagi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MUSE Group Asia Riduwan Matni.

    “Dengan sokongan kesemua rakan-rakan kongsi dan orang ramai. dan tidak lupa juga dari rakan­ rakan media, pameran ini berpotensi menjadi pencetus dalam merancakkan semula industri barangan dan peralatan automotif yang telah menempuh pelbagai cabaran akibat pandemik Covid-19 dan kini sedang menuju ke arah pemulihan. Kami tidak sabar mengacarakan pameran yang bersesuaian dengan prestij Tokyo Auto Salon,” tambahnya lagi.

    Majlis hari ini turut disertai oleh Ketua Pengarah Persekutuan Tokyo Auto Salon, Encik Junichi Fukui. Menurut beliau, keputusan untuk membawa Tokyo Auto Salon ke luar Jepun adalah bertujuan untuk mendapatkan pendedahan yang lebih meluas untuk ahli-ahlinya dan bagi meneroka pasaran-pasaran baharu.

    “Pameran di Kuala Lumpur juga akan mengetengahkan satu persembahan yang lebih bertaraf antarabangsa dengan paparan kenderaan-kenderaan tempatan yang telah diubah suai serta pameran-pameran yang menampilkan aksesori, barangan automotif berprestasi tinggi dan pelbagai perkhidmatan dari Malaysia dan rantau ASEAN. Objektif kami yang lebih besar adalah untuk mewujudkan platform yang berdaya maju untuk ahli-ahli kami serta bakal-bakal pengeluar serantau untuk terlibat dan berkerjasama dalam perniagaan ,” kata Fukui.

    “Cinta terhadap kereta JDM telah berkembang pesat di seluruh dunia dan Tokyo Auto Salon telah berada di pusat fenomena ini. Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur dijangka dapat menjadi hab stralegik untuk peminat-peminat dan ahli-ahli kami di rantau ASEAN ,” tambah Fukui lagi.

    Tiket untuk ke Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur kini sudahpun mula dijual secara atas talian menerusi laman sesawang rasminya yang boleh anda layari pada PAUTAN INI. Ia dijual pada harga RM60 sehari untuk dewasa dan RM28 sehari untuk kanak-kanak.

    Namun untuk pembeli-pembeli awal (dari 18 hingga 30 Mac) diberikan diskaun sebanyak 30% iaitu RM40 sehari untuk dewasa dan RM18 sehari untuk kanak-kanak. Pembeli-pembeli awal ini juga berpeluang menyertai cabutan bertuah yang menawarkan hadiah berupa perjalanan dan perbelanjaan yang dibiayai sepenuhnya (untuk dua pasangan) ke Tokyo Auto Salon 2024. Tiket turut akan dijual di pintu masuk ketika acara ini dilangsungkan kelak.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025