Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • BYD Atto 3 2023 dilancarkan di M’sia pada 9-11 Dis – daftar untuk sertai; harga jangkaan RM150k-RM170k

    BYD Atto 3 2023 dilancarkan di M’sia pada 9-11 Dis – daftar untuk sertai; harga jangkaan RM150k-RM170k

    Sime Darby Motors, pengedar rasmi bagi kenderaan BYD di Malaysia, telah mengumumkan bakal menganjurkan majlis pelancaran besar-besaran untuk model Atto 3 dari 9-11 Disember 2022. Bertempat di Bandar Malaysia, acara ini turut mengundang penyertaan untuk orang ramai, jadi bagi yang berminat, boleh mendaftarkan diri secepat mungkin kerana tempat adalah terhad.

    Atto 3 merupakan salah satu daripada beberapa model BYD yang sah bakal dijual di Malaysia, dan crossover elektrik penuh ini ditawarkan dengan dua pilihan kapasiti bateri. Pilihan pertama ialah pek 49.92-kWh yang menawarkan jarak hingga 345 km mengikut kitaran WLTP (410 km jika mengikut NEDC), sementara pilihan kedua ialah unit 60.48 kWh yang mampu memberikan jarak hingga 420 km (480 km bagi NEDC).

    Kedua-dua pek bateri Blade EV yang dibangunkan sendiri oleh BYD ini menyalurkan kuasa buat motor elektrik pemasangan hadapan, mampu memberikan output hingga 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan tork 310 Nm. Atto 3 menyokong pengecasan AC (sambungan Type 2) sehingga 7 kW, serta pengecas pantas DC (sambungan CCS2) dengan kadar maksimum antara 70 kW atau 80 kW mengikut kapasiti bateri. Kapasiti paling tinggi boleh mencapai status pengecasan 0-80% dalam 45 minit.

    Harga dan spesifikasi rasminya akan didedahkan bila Atto 3 ini dilancarkan. Tetapi harganya dijangka di antara RM150k hingga RM170k. Harga ini meletakkan BYD EV ini di antara Hyundai Kona Electrik yang berharga dari RM156k hingga RM208k.

    Malahan harga jangkaan Atto 3 ini juga memberikan persaingan buat GWM Ora Good Cat, satu lagi model EV dari China yang juga akan dijual di sini. Minggu lalu, kami telah melaporkan Good Cat telah menerima lebih 100 unit tempahan sebelum ia dilancarkan secara rasminya. Harga bagi Good Cat dianggarkan antara RM150k hingga RM160k dan ditawarkan dengan empat varian dan dua kapasiti bateri.

    Dan, jika anda berminat untuk menjadi antara individu terawal berpeluang melihat Atto 3 secara lebih dekat, jangan lupa untuk daftarkan penyertaan anda ya.

    GALERI: BYD Atto 3

     
     
  • Honda ZR-V dijual di Jepun mulai April 2023 – 1.5L VTEC Turbo dan 2.0L e:HEV hybrid; dari RM106k

    Honda ZR-V dijual di Jepun mulai April 2023 – 1.5L VTEC Turbo dan 2.0L e:HEV hybrid; dari RM106k

    Honda telah mengumumkan ZR-V serba baharu bakal dijual di Jepun bermula 21 April 2023, di mana pilihan penjana kuasa hibrid dan pengecas turbo akan ditawarkan.

    Buat pengetahuan anda, ZR-V adalah nama global bagi HR-V pasaran Amerika Syarikat yang diperkenalkan buat pertama kalinya pada April tahun ini, dengan versi berbeza yang kita dapat untuk Malayia bagi memenuhi permintaan pasaran. Menurut Honda, ZR-V bermaksud ‘Z Runabout Vehicle’, yang merujuk kepada Generasi Z.

    ZR-V dikategorikan sebagai crossover segmen-C dan berkongsi platform dengan Civic generasi-11. Dalam barisan model Honda, ia diposisikan di antara HR-V dan CR-V, berukuran 4,567 mm panjang, 1,839 mm lebar, 1,621 mm tinggi dan jarak roda 2,654 mm.

    Sebagai perbandingan, HR-V pasaran Malaysia berukuran 4,385 mm panjang, 1,790 mm lebar, 1,590 mm tinggi dan jarak roda 2,610 mm. Manakala model generasi ke-enam CR-V terbaharu pula berukuran 4,694 mm panjang 1,864 mm lebar, 1,681 mm tinggi dan jarak roda 2,700 mm.

    Honda ZR-V dijual di Jepun mulai April 2023 – 1.5L VTEC Turbo dan 2.0L e:HEV hybrid; dari RM106k

    Manakala CR-V generasi-kelima yang masih berada di pasaran pula berukuran 4,623 mm panjang, 1,855 mm lebar, 1,679 mm tinggi dan jarak rodanya tidak jauh bezanya dengan ZR-V iaitu 2,660 mm. Terdapat juga laporan menyatakan bahawa ZR-V bakal menggantikan CR-V untuk pasaran Jepun dan juga Eropah.

    Model pesaing paling hampir bagi ZR-V ialah Toyota Corolla Cross, yang memiliki ukuran dimensi 4,460 mm panjang, 1,825 mm lebar, 1,620 mm tinggi dan jarak roda 2,640 mm. Crossover Toyota itu dijual di beberapa pasaran yang juga bakal menerima ZR-V (HR-V di USA) termasuk Jepun, Eropah dan Amerika Utara.

    Buat masa ini, tidak dipastikan adakah pasaran ASEAN bakal menerima crossover baharu Honda ini, tetapi disebabkan Corolla Cross turut dijual di rantau ini, ada kebarangkalian ZR-V juga masuk ke pasaran sini. Apa pun kita kena tunggu dan lihat.

    Untuk Jepun, ZR-V didatangkan dengan pilihan enjin 1.5 liter pengecas turbo empat-silinder dengan kuasa 178 PS (176 hp atau 131 kW) pada 6,000 rpm dan tork 240 Nm dari 1,700 ke 4,500 rpm. Penjana kuasa VTEC Turbo ini dipadankan dengan CVT dan sama ada pacuan roda-hadapan atau semua-roda.

    Honda ZR-V dijual di Jepun mulai April 2023 – 1.5L VTEC Turbo dan 2.0L e:HEV hybrid; dari RM106k

    Satu lagi pilihan penjana kuasa bagi ZR-V ialah e:HEV hybrid dengan enjin 2.0 liter kitaran-Atkinson empat-silinder yang mampu menghamburkan output 141 PS (139 hp atau 104 kW) pada 6,000 rpm dan 182 Nm pada 4,500 rpm. Enjin pembakaran ini dipadankan dengan motor elektrik yang bertindak sebagai generator untuk menyalurkan kuasa pada motor daya penggerak (traction) yang berasingan dengan angka prestasi cecag 184 PS (181 hp atau 135 kW) dan 315 Nm.

    Walau bagaimana pun, e-CVT pada model hibrid ini boleh mencengkam enjin yang sedang dipacu dalam kelajuan tinggi sekiranya tenaganya cukup untuk berbuat demikian. Seperti versi bukan hibrid, penjana kuasa e:HEV ini turut didatangkan dengan pacuan roda-hadapan dan semua-roda. Dua gred (X dan Z) diberikan untuk setiap penjana kuasa, dan ZR-V ditawarkan pada harga antara 3,298,900 dan 3,768,600 yen (RM106,431 dan RM121,584), termasuk dengan 10% cukai penggunaan di Jepun.

    Untuk kelengkapannya, ZR-V spesifikasi Jepun diberikan lampu utama penuh, kluster instrumen digital 10.2-inci, kawalan suhu dwi-zon dengan corong belakang, roda 18-inci, pencahayaan ambien, upholstery kulit, sistem infotainmen asas-sentuhan Honda Connect, tempat duduk hadapan larasan kuasa dan Honda Sensing standard (brek kecemasan sendiri, kawalan kelajuan adaptif, bantuan kekal lorong, lampu tinggi automatik, lampu pemanduan adaptif, bantuan kesesakan trafik, false start suppression).

     
     
  • Honda Civic 2022 dapat lima-bintang untuk Euro NCAP — tampilkan peningkatan sistem keselamatan penting

    Honda Civic 2022 dapat lima-bintang untuk Euro NCAP — tampilkan peningkatan sistem keselamatan penting

    Honda Civic e:HEV (Civic Hybrid) yang terkini telahpun menerima penarafan lima-bintang selepas selesai menjalankan beberapa siri ujian oleh Euro NCAP. Honda sedang berusaha untuk mencapai sifar kehilangan jiwa dalam kemalangan yang melibatkan kenderaannya menjelang 2050. Untuk itu, syarikat mensasarkan tidak hanya mengurangkan kemalangan maut, tetapi juga untuk menghindar sebarang risiko yang membawa kepada perlanggaran.

    Bagi menepati piawaian keselamatan impak kemalangan yang ketat Euro NCAP bagi Adult Occupant Protection (AOP), Civic Hybrid menggunakan beberapa pendakap struktural untuk meningkatkan keselamatan pasif kenderaan. Ini termasuklah pengukuh tambahan untuk pintu depan dan bingkai lengkung roda belakang untuk memperbaiki impak sisi. Pendakap berkelebaran penuh juga menyokong lantai untuk mengurangkan impak remuk sekiranya berlaku perlanggaran dari depan.

    Selain AOP, Civic Hybrid juga mencatatkan mata terbaik dalam Child Occupant Protection (COP) dengan cagak Isofix yang menepati piawaian i-Size terkini Eropah. Pelindingan pejalan kaki juga turut diambil kira dengan penggunaan plat keselamatan bampar depan yang baru. Ia direka untuk menyerap tenaga impak bagi mengurangkan risiko kecederaan kaki dan lutut pejalan kaki sekiranya terligat dalam perlanggaran.

    Honda Civic 2022 dapat lima-bintang untuk Euro NCAP — tampilkan peningkatan sistem keselamatan penting

    Civic Hybrid di Eropah dilengkapi 11 beg udara termasuk untuk lutut bagi kedua-dua penumpang depan. Beg udara bahagian tengah di hadapan juga dipasangkan buat pertama kali untuk mengelakkan pertembungan antara pemandu dan penumpang depan.

    Aspek keselamatan aktif juga dipertingkat dengan kameran 100-darjah yang lebih lebar dan pemproses berkelajuan tinggi yang mampu mengesan garis jalan dan motosikal serta pengayuh basikal lebih pantas dan lebih tepat, walaupun dalam keadaan gelap. Sistem Honda Sensing juga menggunakan sensor sonar baru yang lebih tepat berbanding radar gelombang milimeter untuk mengesan objek seperti kaca dan dinding.

     
     
  • Perodua Myvi G3 JV Motorsport catat sejarah Myvi pertama habiskan perlumbaan S1K; P10 SP2 V!

    Perodua Myvi G3 JV Motorsport catat sejarah Myvi pertama habiskan perlumbaan S1K; P10 SP2 V!

    Perodua Myvi Generasi ketiga milik pasukan JV Motorsport yang dipandu oleh Fariqe Hairuman, Faiz Sulaiman dan juga Shafiq Rosli mencatatkan sejarah bukan sahaja sebagai Myvi pertama menyertai perlumbaan Sepang 1000 KM (S1K), malah turut direkodkan sebagai Myvi pertama menghabiskan perlumbaan endurance ulung tempatan berkenaan!

    Myvi G3 JV Motorsport tersebut ‘dilanyak’ selama 8 jam 35 minit untuk menamatkan perlumbaan itu, dan ia berjaya menduduki kedudukan ke-10 dalam kelas SP2 V (sebelum ini dikenali sebagai SP2), dan tempat ke-38 secara keseluruhan. Sebanyak 68 kereta yang memulakan perlumbaan S1K 2022 ini pada pukul 9.30 pagi Ahad lalu, namun sejumlah 13 kereta tidak berjaya melepasi garisan penamat apabila perlumbaan ini berakhir sekitar pukul enam petang hari yang sama.

    Seperti yang telah kami laporkan sebelum ini, Perodua Myvi AV pre-facelift JV Motorsport tersebut menampilkan enjin dan juga kotak gear automatik empat-kelajuan standard, tanpa sebarang ubahsuai bagi layak bertanding dalam kategori SP2 V tersebut.

    Perodua Myvi G3 JV Motorsport catat sejarah Myvi pertama habiskan perlumbaan S1K; P10 SP2 V!

    Ia juga masih menggunakan banyak komponen standard dari kilang kecuali suspensi khas yang dibangunkan oleh FTuned Suspension, brek hadapan lebih besar dibekalkan oleh NThree dan juga rollcage serta kelengkapan perlumbaan lain yang diluluskan oleh Persekutuan Automobil Dunia (FIA).

    Dalam sesi kelayakan yang berlangsung pada hari Jumaat, Myvi JV Motorsport ini mencatatkan masa purata 3 minit 0.567 untuk ketiga-tiga pemandu bagi membolehkan ia bermula dari petak ke-49, dan ia adalah lebih pantas dari sebahagian jentera seperti Honda Jazz, Toyota Vios dan Suzuki Swift kelas SP2 V dan SP2 G.

    Bagi memastikan Myvi ini berjaya menghabiskan perlumbaan tersebut, semua komponen haus dan lusuh (wear & tear) Myvi ini telah ditukar dengan alat ganti asli Perodua selepas habis sesi kelayakan, dibekalkan oleh DMM Performance, iaitu divisi sukan permotoran pengedar terbesar Perodua di Malaysia iaitu DMM Sales Sdn Bhd.

    Perodua Myvi G3 JV Motorsport catat sejarah Myvi pertama habiskan perlumbaan S1K; P10 SP2 V!

    Kotak gear standard 4AT Myvi ini juga telah menggunakan minyak gear Titaniumatic Automatic Transmission Fluid keluaran JV Auto Lube, dan ia telah terbukti mampu bertahan dalam situasi ekstrim seperti perlumbaan S1K ini.

    Menurut ketiga-tiga pemandu pasukan ini, tidak dinafikan Myvi yang dipandu mereka merupakan jentera yang paling perlahan pada laluan lurus berbanding pesaing yang lain. Walau bagaimanapun, ia masih boleh memberikan saingan dengan pemanduan bersih tanpa kesilapan dari mula sehingga tamat perlumbaan.

    “Berlumba dalam perlumbaan ini memerlukan sedikit kekuatan mental kerana ia memberi tekanan. Apabila melihat cermin sisi, kereta kami dipotong dan kami juga terpaksa mematuhi bendera biru untuk membiarkan kereta yang lebih laju memotong. Inilah cabaran berbeza untuk perlumbaan ini,” kata Faiz Sulaiman.

    Perodua Myvi G3 JV Motorsport catat sejarah Myvi pertama habiskan perlumbaan S1K; P10 SP2 V!

    Keadaan cuaca ekstrem Litar Sepang turut memberi sedikit kebimbangan kepada pasukan, memaksa Fariqe Hairuman mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan Myvi berkenaan berjaya menghabiskan perlumbaan.

    “Kereta ini berada dalam keadaan agak panas semasa saya memulakan tugas kedua, dan saya fikir ini adalah disebabkan oleh keadaan trek di mana permukaan trek dilihat sangat panas. Saya terpaksa perlahan sedikit untuk mengekalkan suhu minyak, tekanan minyak dan suhu air,” kata Fariqe.

    JV Motorsport juga bermain dengan strategi di mana kereta dipanggil untuk masuk ke pit ketika safety car keluar, membolehkan mereka mendapat posisi yang lebih baik selepas itu.

    Safety car keluar selepas kejadian di T11 dan ketika itu, saya berada di jalan lurus sebelum T15. Kami membuat panggilan pit yang tepat untuk menukar pemandu dan mengisi bahan api. Keputusan itu telah meletakkan kami sehingga ke kedudukan P10 dalam kelas dan kami mengekalkan kedudukan tersebut sehingga ke garisan penamat,” kata Shafiq Rosli.

    Perodua Myvi G3 JV Motorsport catat sejarah Myvi pertama habiskan perlumbaan S1K; P10 SP2 V!

    Berbanding pendahulu perlumbaan iaitu pasangan Tengku Djan Ley dan Naquib Azlan dari pasukan Toyota Gazoo Racing Malaysia yang menghabiskan 181-lap dengan Toyota Vios spesifikasi MTC yang jauh lebih berkuasa, Myvi JV Motorsport ini menamatkan perlumbaan dengan jumlah lap 158 pusingan.

    “Ini sudah melebihi jangkaan kami. Sasaran kami adalah untuk menamatkan perlumbaan, tidak kira apa kedudukan kami. Dan yang mengejutkan kami dan tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, kami berjaya mendapat P10 dalam kelas, dan P38 secara keseluruhan. Perasaan itu melebihi apa yang saya rasai berbanding mendapat podium dan ia sesuatu yang tidak akan saya lupakan,” tambah Shafiq.

    Menurut JV Motorsport, dengan objektif utama mereka yang telah tercapai dalam S1K 2022 ini, mereka bercadang untuk sekali lagi memberikan cabaran dalam S1K 2023. Pasukan tersebut kini turut sedang berbincang dengan SIC bagi melayakkan Myvi berkenaan untuk bertanding dalam Malaysia Championship Series (MCS) tahun hadapan menggunakan kotak gear manual.

     
     
  • JPJ eBid: Siri plat VKC, AMT bakal dibuka bidaan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan terdapat dua siri nombor plat pendaftaran baharu yang bakal dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Bagi siri dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, VKC, bidaannya bakal dibuka pada 25 November ini. Tempoh bidaan adalah selama lima hari dan bakal berakhir pada jam 10 malam, 29 November ini. Seperti biasa, keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 30 November 2022. Kini keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima sebarang perkhabaran (sama ada baik atau sebaliknya) menerusi e-mel.

    Manakala siri AMT dari Perak pula, bakal dibuka bidaannya bermula 27 November ini dan akan tamat jam 10 malam pada 1 Disember 2022. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 2 Disember 2022.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Motosikal diingatkan tidak boleh lalu Terowong SMART, tidak dilindungi insurans jika kemalangan

    Motosikal diingatkan tidak boleh lalu Terowong SMART, tidak dilindungi insurans jika kemalangan

    Pengendali Terowong SMART sekali lagi mengeluarkan amaran kepada penunggang motosikal bahawa kenderaan dua roda tidak dibenarkan melalui laluan tersebut. Dalam satu ciapan di Twitter, mereka menyatakan “penunggang dan pembonceng tidak dilindungi insurans jika berlaku kemalangan di dalam terowong.”

    Penutupan terowong itu kepada motosikal boleh difahami kerana ia bukan setakat bertindak sebagai jalan biasa untuk kenderaan, tetapi juga sebagai laluan penyuraian air Sungai Klang/Sungai Ampang apabila terdapat kemungkinan banjir.

    Terdapat tiga laluan masuk/keluar bagi Terowong Smart, iaitu di Sungai Besi, bersebelahan lapangan terbang TUDM di Jalan Tun Razak, di bulatan Kg Pandan, bersebelahan RHB Bank di Jalan Sultan Ismail dan di lampu isyarat Hotel Park Royal, bersebelahan Berjaya Time Square.

    Dalam laman web Smart Tunnel, kenderaan yang dibenarkan untuk menggunakan Terowong SMART hanyalah kereta, MPV dan SUV yang ketinggiannya tidak melebihi dua meter.

     
     
  • Volvo XC60 Recharge T8 Ultimate 2023 di M’sia – jarak EV 81 km, 462 PS; gaya dipertingkat; dari RM356k

    Volvo XC60 Recharge T8 Ultimate 2023 di M’sia – jarak EV 81 km, 462 PS;  gaya dipertingkat; dari RM356k

    Kami membawakan pula galeri foto bagi Volvo XC60 baharu yang dipertingkatkan bagi model tahun 2023 untuk pasaran Malaysia. Varian yang dipaparkan menerusi foto ini ialah Recharge T8 Ultimate yang ditawarkan pada harga RM355,888, yang merupakan salah satu daripada dua pilihan, selain varian asas B5 Plus berharga RM320,888.

    Varian ini menggantikan gandingan versi sebelum ini iaitu B5 Momentum dan Recharge T8 Inscription Plus, dan harga yang ditawarkan itu adalah tanpa insurans, termasuk waranti standard lima-tahun, tanpa had perbatuan.

    Recharge T8 Ultimate diberikan waranti selama lapan-tahun, 160,000 km untuk bateri plug-in hybrid. Bateri dengan kapasiti tenaga 18.8 kWh ini membolehkan ia dipacu dengan jarak elektrik sepenuhnya sehingga 81 km.

    Lain-lain elemen bagi penjana kuasa PHEV ini termasuklah enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder petrol yang menyalurkan kuasa hingga 317 PS pada 6,000 rpm dan tork 400 Nm dari 3,000 hingga 5,400 rpm, motor elektrik belakang (yang melengkapkan bentangan pacuan semua-roda) pada kadar 145 PS dan 309 NM serta transmisi automatik lapan-kelajuan. Larasan ini memberikan jumlah kuasa keseluruhan mencecah 462 PS dan 709 NM dengan pecutan 0-100 km/j dalam 4.8 saat serta kelajuan maksimum capai 180 km/j dan penggunaan bahan api serendah 1.6 liter bagi setiap 100 km.

    Perubahan gaya yang diberikan untuk Recharge T8 Ultimate ini termasuklah diberikan pakej luaran R-Design baharu (didedahkan pada tahun lalu) berbanding gaya Inscription. Profil “X-wing” yang menyerlah di bampar hadapan, gril jaring berpetak dan bampar belakang yang lebih menguja menjadi imej utama bagi model tahunan 2023 untuk XC60 PHEV.

    Klik untuk besarkan

    Kit standard untuk varian tertinggi ini termasuklah roda aloi potongan-berlian hitam jejari lima-berkembar, sistem infotainmen berasaskan-OS Android Automotive dengan skrin sesentuh 9-inci, sistem bunyi Bowers & Wilkins 1,100 wat, kawalan suhu dwi-zon, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi memori, tombol gear Orrefors crystal, paparan utama, lampu utama LED penuh dengan Active High Beam serta pencahayaan aktif, dalaman upholstery Charcoal Open Grid Textile dan Metal Mesh.

    XC60 mengekalkan ciri keselamatan aktif yang sama, termasuk pengelak pelanggaran dengan pengesan pejalan kaki, penunggang basikal dan haiwan besar serta sokongan stering dan brek, keupayaan pemanduan semi-sendiri Pilot Assist Level 2, batuan kekal lorong, pemantuan titik buta dengan bantuan stereng, kamera 360-darjah, run-off road mitigation, amaran pelanggaran hadapan dan belakang serta kepekaan trafik lintasan belakang dengan brek.

     
     
  • Toyota Innova Zenix 2023 diperkenalkan — MPV platform TNGA, generasi ke-3 lebih besar, ada hibrid

    Toyota Innova Zenix 2023 diperkenalkan — MPV platform TNGA, generasi ke-3 lebih besar, ada hibrid

    Toyota Innova serba baru akhirnya telah diperkenalkan di Indonesia. Dengan nama Kijang Innova Zenix untuk pasaran di sana, ini merupakan penampilan sulung model terbabit dengan rekaan serba baru dan menjadi penerus kepada legasi 45 tahun dan lebih dua juta unit yang telah terjual di sana.

    Ini merupakan Innova generasi ketiga. Dalam penampilan terbaru ini, ia mewakili peralihan baru yang sangat penting berbanding model lamanya dari banyak sekali aspek, termasuk dengan spesifikasi teknikal yang ditawarkannya kini.

    Jika versi terdahulu MPV berkenaan menggunakan caisis IMV ladder frame yang dikongsi bersama Hilux dan Fortuner, Innova terbaru ini telah beralih kepada binaan monocoque berasaskan Toyota New Global Architecture (TNGA), khusus platform dari varian GA-C.

    Maka, Innova bukan lagi sebuah MPV pacuan roda belakang, dan ini digantikan dengan tataletak enjin untuk sistem pacuan roda depan. Menurut Toyota, paltform baru ini membolehkan jarak overhang MPV ini dikurangkan dan jarak antara rodanya ditambah: kini berukuran 2,850 mm berbanding 2,750 mm sebelum ini.

    Toyota Innova Zenix 2023 diperkenalkan — MPV platform TNGA, generasi ke-3 lebih besar, ada hibrid

    Ukuran lain termasuklah panjang 4,755 mm (+20 mm) dan lebar 1,850 mm (+20 mm), sementara ketinggian masih kekal sama dengan 1,795 mm. Sudut mendekati dan berlepas bagi MPV ini juga masih dikekalkan dan sama dengan model generasi kedua, begitu juga tengan kedudukan dari tanah 185 mm.

    Dari segi penampilan, Innova baru ini diberikan rekaan lebih cenderung kepada sebuah SUV, dengan lenkuk sisi serta bahagian pelindung badan warna hitam pada lengkung tayar dan bahagian bawah pintunya. Di depan, gril hadir dalam bentuk hexagonal dengan rekaan lampu bersegi yang dipisahkan dari bukaan di bawahnya oleh lampu LED melintang.

    Dari sisi, Innova baru ini memiliki profil lebih dinamik dan kurang berkotak. Di belakang, lampunya diberikan rekaan lebih ringkas, dan digabungkan dengan lampu tegak yang ada, ia ada mirip rekaan dari RAV4. Di dalam, papan pemukanya rekaan baru dan nampak lebih elegan.

    Warna yang kontras pada kemasan menyerlahkan lagi lapisan papan pemuka yang ada, dengan tumpuan kepada konsol tengah yang bersepadu dengan tindanan di tengah. Kawasan ini menempatkan tuil gear, kawalan digital untuk sistem pendingin, corong udara tengah dan skrin sentuh 9/10-inci untuk sistem infotainmen.

    Toyota Innova Zenix 2023 diperkenalkan — MPV platform TNGA, generasi ke-3 lebih besar, ada hibrid

    Selebihnya, ada konsol berasingan di antara kerusi depan untuk ruang cawan, slot USB dan perehat lengan. Ruang dalamannya juga lebih luas kerana tidak lagi perlukan terowing tengah lantai untuk sistem pacuan roda belakang seperti sebelum ini. Turut ada varian yang ditawarkan dengan kerusi kapten untuk barisan kedua.

    Kelengkapan yang ditawarkan untuk Innova ini pula adalah rim dengan pilihan saiz 16 hingga 18-inci, lampu LED, brek parkir elektrik dengan Auto Hold, skrin hiburan 10-inci di belakang, bumbung panoramik, dan Toyota Safety Sense yang termausk AEB.

    Sudah dimaklumkan bahawa Innova juga akan menerima sistem janaan hibrid, dan dengan platfrom TNGA, ini kali pertama perkara itu menjadi kenyataan. Tetapan berkenaan terdiri daripada enjin Dynamic Force M20A-FXS 2.0 liter NA empat-silinder — memberikan sehingga 152 PS pada 6,000 rpm dan 187 Nm tork dari 4,400 hingga 5,200 rpm.

    Ini dibantu oleh sebuah motor elektrik dengan janaan kuasa 113 PS dan 205 Nm tork, menjadikan output keseluruhan 186 PS. Toyota menjelaskan, bateri nickel–metal hydride (Ni-MH) yang menjadi pilihan kerana cuaca panas di Indonesia, dan diletakkan di bawah dua kerusi depan.

    Toyota Innova Zenix 2023 diperkenalkan — MPV platform TNGA, generasi ke-3 lebih besar, ada hibrid

    Selain sistem janaan hibrid, Innova akan ditawarkan di Indonesia dengan enjin M20A-FKS 2.0 liter yang menjana 174 PS pada 6,000 rpm dan 205 Nm dari 4,500 hingga 4,900 rpm. Kedua-dua tetapan ini memanfaatkan CVT (e-CVT untuk hibrid), sementara untuk output lebih tinggi dengan enjin 1TR-FE 2.0 liter yang menghasilkan 139 PS dan 183 Nm.

    Di Indonesia, Innova ditawarkan dalam dua gred untuk enjin petrol, iaitu G dengan harga 419 juta rupiah (RM121,891) dan V dengan harga 467 juta rupiah (RM135,854). Janaan hibrid pula juga hadir dengan kemasan G dan V, dan dijual pada harga 458 juta rupiah (RM133,246) dan 522.15 juta rupiah (RM151,909).

    Versi hibrid juga datang dalam tingkap kemasan paling tinggi, Q dengan harga 601.15 juta rupiah (RM174,893). Gred V pula boleh dipilih dengan kit Modellista dengan tambahan 9.85 juta rupiah (RM2,866). Dengan ini, Innova baru berkenaan dijual pada harga permulaan yang lebih tinggi berbanding model sebelum ini, dengan 369.6 juta rupiah hingga 471.9 juta rupiah (RM107,521 hingga RM137,281).

    Apa pandangan anda tentang model ini? Berapa harganya yang boleh dijangka untuk pasaran Malaysia?

     
     
  • Subaru Impreza 2024 diperkenal – model generasi keenam hanya dalam bentuk hatchback, RS 182 hp

    Subaru Impreza 2024 diperkenal – model generasi keenam hanya dalam bentuk hatchback, RS 182 hp

    Subaru telah memperkenalkan Impreza 2024 di Los Angeles Auto Show, dengan kini model generasi keenam tersebut ditawarkan dalam satu bentuk badan sahaja, iaitu hatchback lima pintu – sebelum ini ada versi sedan.

    Dibina atas platform Subaru Global Platform (SGP) yang diperbaharui, Impreza baru ini mempunyai ketegaran torsional 10% lebih kuat berbanding sebelum ini serta pelekat struktur tambahan (daripada 7.99 menjadi 30 meter). Menurut pengeluar tersebut, perubahan ini menghasilkan prestasi dinamik yang lebih baik, kualiti pemanduan lebih lancar dan kabin lebih senyap.

    Bagi aspek penggayaan, Impreza baru ini mempunyai penampilan hampir seperti Crosstrek, tetapi tanpa ciri-ciri SUV seperti panel kemasan tambahan di bahagian bawah dan lengkuk roda, serta kedudukan yang tinggi. Perbezaan lain adalah termasuk kemasan gril serta bampar yang lebih ringkas, bersama lampu kabus berbentuk bulat.

    Di belakang, ia juga menggunakan lampu dengan pencahayaan berbentuk C, sementara di dalam, keadaannya adalah sama sahaja seperti Crosstrek, bersama sistem infotainmen dengan skrin sesentuh Starlink 11.6 inci di tengah papan pemuka.

    Subaru Impreza 2024 diperkenal – model generasi keenam hanya dalam bentuk hatchback, RS 182 hp

    Tiga varian ditawarkan iaitu Base, Sport dan RS (tambahan baru), dan semuanya datang standard dengan pakej keselamatan dan bantuan pemandu Subaru EyeSight. Subaru memberitahu, antara penambah baikan yang dibuat adalah termasuk sudut pandangan lebih luas, perisian kawalan yang dikemas kini serta tambahan booster brek elektronik untuk menjadikan operasi sistem lebih lancar, cepat dan lebih lagi kepelbagaian keadaan.

    Semua varian Impreza baru ini juga mendapat lampu penyambut, sistem pemerhati tekanan angin tayar, pengawal suhu dua zon serta tempat duduk belakang boleh lipat 60:40. Varian Sport mendapat tambahan skrin infotainmen menegak dengan sambungan Android Auto dan Apple CarPlay, sistem masuk dan mula tanpa kunci serta lampu kabus.

    Pergi pula kepada varian RS paling tinggi, pelanggan akan menerima tempat duduk pemandu larasan kuasa 10 arah dengan sokongan belakang, rim 18 inci warna kelabu gelap, kemasan dalam warna hitam, lampu utama LED yang dinaik taraf serta lampu kabus LED.

    Bahagian dalam varian RS juga menampilkan kemasan warna gunmetal serta ala gentian karbon, tempat duduk sport dengan balutan fabrik hitam/merah, pedal aluminium, tempat duduk dengan fungsi pemanas, soket pengecas USB belakang serta lapik kaki khas. Kelebihan lain varian ini adalah sistem Blind-Spot Detection dengan Lane Keep Assist dan Rear Cross-Traffic Alert, serta sistem bunyi Harman Kardon 10 pembesar suara.

    Varian RS ini dianggap sebagai peringatan semula kepada Impreza 2.5RS yang ditawarkan di Amerika Syarikat pada hujung tahun 90-an, tetapi model baru ini tidak ditawarkan dengan transmisi manual. Ia bagaimanapun cuma disediakan dengan transmisi Lineartronic CVT lapan kelajuan maya, dengan pedal penukar gear di tangan.

    RS juga menjadi satu-satunya varian yang menerima enjin boxer empat silinder 2.5L NA sama seperti Crosstrek, Forester, Legacy dan Outback, dengan kuasa 182 hp (185 PS) dan tork 241 Nm. Varian lain pula menggunakan enjin sama seperti sebelum ini, iaitu boxer 2.0L berkuasa 152 hp (154 PS) dan 197 Nm.

    Sistem pacuan Symmetrical All-Wheel Drive adalah standard untuk semua, dan ditambah baik dengan Active Torque Vectoring. Varian Sport dan RS juga mendapat sistem pengurusan prestasi SI-Drive serta suspensi talaan sport. Subaru juga memberitahu bahawa Impreza 2024 ini mempunyai rak stereng elektronik dual-pinion yang dapat memberikan rasa lebih natural dan respon lebih baik.

     
     
  • Honda Civic Type R 2023 di Australia dari RM220k

    Honda Civic Type R 2023 di Australia dari RM220k

    Honda Civic Type R 2023 bakal ditawarkan pada harga AUD72,600 (RM220,049) untuk pasaran Australia, dengan tempahannya akan bermula pada 1 Disember ini dan penghantarannya pula bermula dari Februari 2023, menurut laporan Drive. Sejak ia diperkenalkan di peringkat global pada Julai lalu, Honda Australia telah menerima lebih 4,000 pendaftaran minat untuk hot hatch generasi FL5 ini.

    Berkenaan dengan harganya itu, Civic Type R baharu di pasaran berkenaan adalah lebih mahal sebanyak AUD12,000 (RM36,373) berbanding model sebelumnya, yang dijual pada harga AUD60,000 (RM166,672). Berbanding dengan Civic Type R Limited Edition generasi FK-8, perbezaan harganya lebih murah sebanyak AUD2,600 (RM7,882).

    Dengan harga yang lebih tinggi ini, pelanggan dapat memiliki ciri yang dinaik taraf termasuk versi peningkatan bagi enjin KC20C1 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder petrol yang kini mampu menghamburkan kuasa hingga 320 PS (315 hp atau 235 kW) dan tork 420 Nm – naik sebanyak 10 PS (9 hp atau 7 kW) dan 20 Nm. Walau bagaimana pun, angka prestasi tersebut kurang sedikit berbanding enjin yang dipadankan pada model spesifikasi Jepun, disebabkan kualiti bahan api Australia.

    Enjin tersebut juga dipadankan dengan transmisi enam-kelajuan yang menyalurkan pacuan ke roda hadapan menerusi limited-slip differential. Ciri lain yang diberikan untuk FL5 ini termasuklah tayar yang lebih lebar (265/30 berbanding 245/30), roda 19-inci, ekzos sport aktif, electronic rev-matching, suspensi adaptif, brek Brembo, penyejukan yang ditambahbaik, serta rekaan yang lebih matang.

    Kelengkapan standard untuk model Australia ini juga termasuk dengan suede upholestery hitam dan merah, karpet merah, tombol gear aluminium, perakam data litar Honda LogR, kluster instrumn digital 10.2-inci, sistem infotainmen skrin sesentuh 9-inci, kawalan cuhu dwi-zon, pengecas tanpa wayar, pencahayaan ambien dan set Honda Sensing (brek kecemasan sendiri, kawalan kelajuan adaptif, bantuan kekal lorong, pemantauan titik buta, kepekaan trafik lintasan belakang, pengesan isyarat trafik).

    Empat warna ditawarkan iaitu Championship White, Rally Red, Sonic Grey dan Crystal Black. Warna Boost Blue (atau lebih dikenali sebagai Racing Blue Pearl di Jepun) tidak ditawarkan di Australia. Di Jepun, Civic Type R ditawarkan pada harga 4,997,300 yen (RM162,337), juga lebih tinggi berbanding model sebelumnya yang berharga 4,500,360 yen (RM146,203).

    Adakah peminat di Malaysia menantikan kehadiran Civic Type R baharu ini dilancarkan di pasaran tempatan? Kita telah pun menerima model FK8 (tetapi bukannya facelift, yang dijual pada harga atas jalan RM320,000 tanpa insurans ketika ia diperkenalkan pada November 2017 iaitu pada era GST – naik ke RM330,002 apabila SST diperkenalkan kembali.

    GALERI: Honda Civic Type R 2023

     
     
  • Honda Rebel 1100 Touring diperkenal – datang terus dengan fairing hadapan, beg barangan, enjin 1,084 cc

    Honda Rebel 1100 Touring diperkenal – datang terus dengan fairing hadapan, beg barangan, enjin 1,084 cc

    Bagi model tahun 2023, Honda tidak melakukan sebarang perubahan kepada Rebel 1100, kecuali warna, tetapi ia ditambah dengan varian baru yang dipanggil sebagai Rebel 1100 Touring. Varian ini disediakan bagi mereka yang gemarkan perjalanan jauh, dan mengubah penampilan ala bobber model tersebut dengan penambahan beberapa aksesori.

    Paling jelas dilihat adalah fairing jenis separuh di hadapan, yang dilekatkan pada bahagian fork, dan mempunyai lubang udara kecil serta tambahan penghadang angin pendek di atasnya. Kemudiannya, versi Touring ini juga datang terus dengan beg tepi jenis keras, yang masing-masing berkapasiti 16 liter untuk bahagian kiri dan 19 liter untuk bahagian kanan.

    Spesifikasi lain motosikal adalah sama seperti Rebel 1100 biasa, bermula dengan enjin, iaitu unit dua silinder selari SOHC 1,084 cc berkuasa 85.8 hp pada 7,000 rpm dan tork 98 Nm pada 4,750 rpm, dengan pilihan transmisi sama ada manual atau DCT enam kelajuan.

    Empat mod tunggangan disediakan, dan ia digabungkan bersama sistem elektronik lain seperti Honda Selectable Traction Control (HSTC), Wheelie Control dan Cruise Control. Lampu motosikal ini menggunakan jenis LED, dan ia juga datang dengan pengecas USB bawah tempat duduk serta panel meter digital.

    Rim hadapan yang bersaiz 18 inci dipegang oleh fork 43 mm dengan pelarasan pra beban manakala rim belakang bersaiz 16 inci dipegang oleh lengan ayun dan dua penyerap hentak dengan pelarasan pra beban serta tabung gas. Cakera brek hadapan cuma ada satu, bersaiz 330 mm bersama angkup empat piston sementara di belakang terdapat cakera 256 mm dan angkup satu piston. ABS datang secara standard.

    Berat keseluruhan Rebel 1100 Touring adalah 238 kg bagi versi manual dan 248 kg bagi versi DCT, dan ia menawarkan tunggangan yang lebih mudah dan santai dengan tinggi tempat duduk cuma 700 mm dari tanah. Tangki bahan api berkapasiti 13.6 liter sementara sistem pacuan pula menggunakan rantai.

     
     
  • Selang masa lebih lama untuk MRT Putrajaya hingga 18 Dis — beri laluan ujian akhir Fasa 2 sebelum dibuka

    Selang masa lebih lama untuk MRT Putrajaya hingga 18 Dis — beri laluan ujian akhir Fasa 2 sebelum dibuka

    Rapid KL telah umumkan jarak masa sementara perkhidmatan tren bagi MRT Putrajaya akan menjadi lebih lama daripada biasa, iaitu setiap lapan minit bagi bagi masa puncak dan setiap 12 minit bagi bukan masa puncak. Ini akan bermula esok (22 November 2022) hingga 18 Disember 2022.

    Rapid KL menjelaskan, senggang masa yang lebih lama antara tren itu adalah disebabkan ujian peringkat akhir bagi MRT Putrajaya Fasa 2 yang melibatkan bahagian bawah tanah di pusat bandar, dan akan melengkapkan jajaran 57.7 km dari Kwasa Damansara hingga Putrajaya Sentral.

    Selang masa lebih lama untuk MRT Putrajaya hingga 18 Dis — beri laluan ujian akhir Fasa 2 sebelum dibuka

    Bahagian dari Kwasa Damansara ke Kampung Batu di Jalan Ipoh telah mula beroperasi sejak 16 Jun tahun ini. Stesen antara dua lokasi itu termasuklah Kampung Selamat dan Sungai Buloh, sebelum ini dari jajaran MRT Kajang. Dari sana, tren menghala selari dengan MRR2 ke Kepong, menyusur Jalan Kepong dan Jalan Ipoh. Stesen yang terlibat di sepanjang laluan ini ialah Damansara Damai, Sri Damansara Barat, Sri Damansara Sentral, Sri Damansara Timur, Metro Prima, Kepong Baru, Jinjang, Sri Delima dan Kg Batu.

    Ramai yang berada di bahagian selatan menanti pembukaan Fasa 2 berkenaan, dan penantian itu tidaklah terlalu lama lagi. Mereka yang tinggal berdekatan laluan Fasa 1 juga akhirnya boleh ke KL dan selanjutnya dengan jajaran tersebut juga.

     
     
  • JPJ eBid: Siri plat nombor NDW bakal dibuka bidaan

    JPJ eBid: Siri plat nombor NDW bakal dibuka bidaan

    Untuk yang mencari-cari plat nombor pendaftaran bagi kenderaan baharu, ini ada lagi pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Ia bakal boleh dibida menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor dari Negeri Sembilan, NDW, bakal dibuka bidaan mulai 26 November 2022. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 30 November ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 31 November 2022. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • BMW Z4 sDrive30i G29 2022 di Malaysia – tampil sedikit perubahan lebih segar, warna baharu, RM509k

    BMW Z4 sDrive30i G29 2022 di Malaysia – tampil sedikit perubahan lebih segar, warna baharu, RM509k

    BMW Malaysia telah memperkenalkan BMW Z4 G29 yang dipertingkatkan, dengan menampilkan sedikit perubahan yang lebih segar. Seperti yang diperkenalkan di peringkat tempatan pada 2019, generasi ketiga ini masih kekal dengan varian sDrive30i M Sport.

    Perubahan luaran yang ditampilkan ialah dengan gril ‘kidney’ baharu. Manakala garisan luarannya kekal sama, namun struktur tersebut kini disepadukan dengan garisan mendatar baharu dengan rekaan yang lebih menyerlah tanpa kemasan krom/perak, menampakkan jentera ini lebih bergaya pada bahagian hujung hadapannya.

    Selain itu, rekaan gril baharu juga disertakan dengan corong pengambilan udara sisi juga bersama rekaan baharu, serta kemasan M high-gloss Shadowline dan roda jejari-berkembar 19-inci baharu yang menggantikan unit 798 M 18-inci yang memperlengkapkan gaya. Roadster ini juga kini diberikan suspensi Adaptive M yang menggantikan suspensi M Sport pada model terdahulu.

    Tiada perubahan mekanikal diberikan pada penjana kuasanya, dan varian sDrive30i ini masih dilengkapi enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder yang menawarkan output 255 hp (258 PS) dan tork 400 Nm dari 1,550 hingga 4,400 rpm. Dipadankan bersama transmisi automatik Steptronic Sport lapan-kelajuan, membolehkan Z4 ini dipecut dari 0-100 km/j dalam 5.4 saat dan mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 250 km/j.

    BMW Z4 sDrive30i G29 2022 di Malaysia – tampil sedikit perubahan lebih segar, warna baharu, RM509k

    Untuk bahagian dalamnya, sDrive30i M Sport kini menampilkan kemasan dalaman Aluminium Meshffect, yang menggantikan Aluminium Tetragon. Selain daripada itu, ciri lain masih dikekalkan, dari upholstery kulit Vernasca hingga ke tempat duduk M Sport dan roda stereng kulit M.

    Ciri kelengkapan standard juga masih dikekalkan, termasuklah Connected Package Professional, pengecas tanpa wayar, 12-pembesar suara, sistem bunyi Harman Kardon 405-watt dan sistem BMW Live Cockpit Professional, dengan paparan 10.25-inci berkembar untuk instrumentasi dan infotainmen.

    Aspek bantuan pemandu dan keselamatan juga tidak berubah. Masih mengekalkan pakej Bantuan Pemanduan (seperti yang diperkenalkan pada model naiktaraf 2022), yang merangskumi brek kecemasan sendiri, amaran ketibaan lorong dan pemantauan titik buta dan Bantuan Parkir, yang memiliki bantuan mengundur, Kawalan Jarak Parkir Aktif dan kamera pandangan belakang.

    Klik untuk besarkan

    Warna luaran juga telah disemak semula. Versi lama mempunyai lima pilihan, tetapi hanya Alpine White, Black Sapphire dan San Francisco Red yang masih dikekalkan. Dan ditambah dengan warna baharu iaitu Skyscraper Grey, Thundernight Metallic dan Portimao Blue.

    Manakala upholstery luaran masih diteruskan dengan tiga skim warna pilihan seperti sebelum ini iaitu deko hitam dengan jahitan hitam, Magma Red dengan jahitan hitam atau Cognac dengan jahitan hitam.

    BMW Z4 sDrive30i M Sport yang dipertingkatkan ini ditawarkan pada harga atas jalan RM508,800, tanpa insurans, dengan BMW Service dan Repair Inclusive. Turut termasuk dengan waranti lima-tahun perbatuan tanpa had dan program Servis Berjadual Percuma.

    BMW Z4 sDrive30i M Sport, Skyscraper Grey

    BMW Z4 sDrive30i M Sport, Portimao Blue

    BMW Z4 sDrive30i M Sport, Thundernight Metallic

    BMW Z4 sDrive30i M Sport, San Francisco Red

    BMW Z4 sDrive30i M Sport, Black Sapphire

    BMW Z4 sDrive30i M Sport, Alpine White

     
     
  • Maxus G90 dilancar di Australia – harga dari RM165k; boleh lawan Toyota Alphard dan Vellfire di Malaysia?

    Maxus G90 dilancar di Australia – harga dari RM165k; boleh lawan Toyota Alphard dan Vellfire di Malaysia?

    Maxus G90, yang pertama kali diperkenalkan di China April lalu kini tiba pula di pasaran Australia sebagai LDV Mifa. Nama itu digunakan atas sebab terdapat isu pemilikan nama, di mana ia dimiliki oleh syarikat lain yang membekalkan kelengkapan trak di negara itu.

    Dalam keadaan standard, G90/Mifa ini ditawarkan di Australia dengan tetapan tempat duduk 2-2-3, tetapi CarExpert melaporkan versi lapan tempat duduk akan tiba pada tahun 2023. Tiga varian disediakan sekarang, iaitu Mode, Executive dan Luxe – dengan harga antara AUD53,990 ke AUD72,990 (RM165,180 ke RM223,310).

    Satu-satunya pilihan enjin yang disediakan adalah unit petrol empat silinder 2.0 liter turbo, yang mampu menghasilkan 218 PS (215 hp atau 160 kW) dan tork 360 Nm. Kuasa ini disampaikan kepada dua roda hadapan melalui transmisi automatik lapan kelajuan Aisin dan pemandu boleh memilih tiga mod pemanduan iaitu Power, Normal dan Eco.

    Perlu diketahui juga terdapat varian elektrik penuh bagi G90/Mifa ini, dipanggil sebagai Mifa 9 – diperkenalkan November tahun lepas. Versi EV ini juga akan tiba di Australia hujung bulan ini, dan menampilkan bateri lithium ion 90 kWh, untuk memberi jarak gerak sehingga 440 km mengikut kitaran WLTP. Bateri ini menggerakkan motor elektrik yang berkuasa 245 PS (241 hp atau 180 kW) dan tork 350 Nm, dengan pengecasan boleh dilakukan menggunakan sumber AC dan DC.

    Berkenaan dimensi, G90/Mifa mencatat ukuran panjang 5,280 mm, lebar 1,998 mm, tinggi 1,845 mm dan jarak roda 3,200 mm. Ini menjadikan ia lebih besar berbanding Toyota Alphard dan Vellfire yang berada dalam pasaran kita – 4,945/4,935 mm panjang, 1,850 mm lebar, 1,895 mm tinggi dan jarak roda 3,000 mm.

    Apabila dibandingkan dengan Kia Carnival juga G90/Mifa ini adalah lebih besar, tetapi MPV Korea itu mencatat ukuran yang lebih hampir, iaitu panjang 5,155 mm, lebar 1,995 mm, tinggi 1,775 mm dan jarak roda 3,090 mm.

    Maxus G90 dilancar di Australia – harga dari RM165k; boleh lawan Toyota Alphard dan Vellfire di Malaysia?

    Jika ini masih tidak meyakinkan anda, mungkin rekaannya boleh. G90/Mifa menggunakan gril besar di bahagian hadapan, dengan DRL LED menegak serta lampu utama LED yang nipis. Kemasan krom digunakan pada banyak bahagian dan pemilik juga boleh mendapatkan skema warna dua tona untuk MPV ini. Rim pula disediakan dalam saiz dari 18 inci ke 19 inci.

    Masuk ke bahagian dalam, G90/Mifa menggunakan rekaan minimalis dengan corong pendingin hawa yang nipis dan butang kawalan suhu jenis sesentuh yang rata dengan kemasan papan pemuka. Di atasnya terdapat skrin sesentuh 12.3 inci untuk sistem infotainmen yang boleh disambung dengan Apple CarPlay. Panel instrumen menggunakan skrin digital tujuh inci.

    Menggantikan model G10 sebelum ini, G90/Mifa menyediakan balutan tempat duduk kulit warna hitam, lampu suasana 64 warna, pintu belakang gelungsur, pintu but bukaan kuasa, brek parkir elektronik, pengawal suhu khas untuk tempat duduk baris kedua, pembersih udara, tempat duduk baris pertama dan kedua kawalan kuasa, sistem bunyi 12 pembesar suara dan pad pengecas tanpa wayar.

    Lebih penting lagi, MPV baru ini mempunyai senarai ciri keselamatan dan bantuan pemandu yang panjang, termasuk tujuh beg udara, ESP, EBD, Brake Assist, ABS, Autonomous Emergency Braking, Adaptive Cruise Control, Lane Departure Warning, Lane Keep Assist, Blind Spot Monitoring, Rear Cross Traffic Alert, Rear Collision Warning, Hill Descent Control dan Traffic Sign Recognition.

    Semua ciri ini diberikan standard, dengan satu-satunya beza antara varian adalah kamera 360 darjah yang diberikan pada varian Executive dan Luxe, sementara varian asas Mode hanya mendapat kamera undur biasa.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025