Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Tempahan Perodua Alza cecah 39k unit, 4k diserah; jualan Julai turun 13.3% berbanding Jun 2022

    Tempahan Perodua Alza cecah 39k unit, 4k diserah; jualan Julai turun 13.3% berbanding Jun 2022

    Tempahan bagi Perodua Alza 2022 kini telah merekodkan angka 39,000 unit sejak tempahannya mula dibuka, dengan lebih 4,000 unit daripadanya telah diserahkan setakat ini. Tempahan bagi bulan Julai sahaja pula adalah sebanyak 9,000 unit. Tempoh menunggu bagi Alza juga masih kekal antara lapan hingga sepuluh bulan, berdasarkan kadar pengeluaran 3,000 unit sebulan.

    Dalam perkembangan lain, setakat bulan Julai 2022, Perodua menyaksikan permintaan kukuh untuk kenderaannya dengan mencatatkan tempahan sebanyak 24,265 unit, walaupun SST telah diperkenalkan semula sejak 1 Julai 2022. Bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini juga memperlihatkan peningkatan 48.7% kepada 145,689 unit berbanding 97,945 unit, bagi tempoh sama tahun lalu.

    Menurut Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad menggariskan dua faktor yang menyumbang kepada perkara ini. “Faktor pertama disebabkan oleh permintaan yang tinggi bagi kenderaan kami kerana pembeli ingin mendapat harga pelepasan cukai jualan yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan. Faktor kedua merupakan kesan penutupan hampir kesemua sektor pada bulan Jun hingga pertengahan Ogos 2021 bertujuan untuk membendung wabak Covid-19 pada masa itu,” ujar beliau.

    Tempahan Perodua Alza cecah 39k unit, 4k diserah; jualan Julai turun 13.3% berbanding Jun 2022

    Bagaimanapun, Perodua tetap mengakui terdapat beberapa isu lain yang masih berlarutan, misalnya kekurangan tenaga kerja serta gangguan bekalan cip semikonduktor. “Akibat daripada itu, jualan bulanan kami merosot sebanyak 13.3% kepada 18,346 pada bulan Julai berbanding 21,164 kenderaan yang dijual pada bulan Jun lepas,” tambah beliau.

    “Dalam isu kekurangan bekalan cip semikonduktor, kami telah mendapat bekalan secukupnya untuk kami mengeluarkan dan mendaftar lebih daripada 247,800 unit yang kami sasarkan pada awal tahun ini. Walaupun begitu, kami masih dalam usaha menstabilkan peningkatan pengeluaran kami. Ini bermaksud kami hanya akan mengumumkan sasaran jualan baharu kami pada tarikh kemudian” kata Dato’ Sri Zainal.

    Beliau turut memaklumkan jumlah jualan industri automotif tahun ini juga berpotensi untuk melebihi sasaran 630,000 unit yang telah diumumkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) baru-baru ini; melibatkan peningkatan 30,000 unit berbanding sasaran awalnya.

     
     
  • JPJ eBid: RAP dan MDQ bakal dibuka bidaan

    Untuk yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang bakal dibuka untuk bidaan. Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Bermula 11 Ogos 2022, siri plat nombor dari Melaka, MDQ, bakal dibuka bidaan. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 15 Ogos ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 16 Ogos 2022. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Manakala siri plat nombor dari Perlis pula, RAP, akan mula boleh dibida pada 17 Ogos 2022 dan berlangsung selama lima hari serta berakhir jam 10 malam pada 21 Ogos. Seperti biasa, keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 22 Ogos.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • Program langganan Perodua Ativa Hybrid disahkan, 300 unit CBU untuk kaji selidik, RM500 sebulan — CEO

    Program langganan Perodua Ativa Hybrid disahkan, 300 unit CBU untuk kaji selidik, RM500 sebulan — CEO

    Perodua mengesahkan bahawa syarikat itu sedang dalam perancangan untuk memperkenalkan Perodua Ativa Hybrid di Malaysia. Ini kali pertama pengesahan seumpamnya dilakukan, setelah khabar angin tentangnya mula kedengaran sejak kebelakangan ini. Model rebadge dari Daihatsu Rocky Hybrid itu merupakan unit CBU dari Jepun, dan hanya 300 unit dibawa masuk bagi tujuan kajian dan penilaian terlebih dahulu.

    Presiden dan CEO Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad memaklumkan kepada paultan.org yang Ativa Hybrid berkenaan akan dibawakan melalui program langganan sahaja terlebih dahulu. Ini bermakna, ia bukan untuk dijual seperti model lain. Beliau juga mengesahkan bahawa program sewa-beli berkenaan melibatkan komitmen selama lima-tahun, dengan bayaran muka RM2,150, diikuti dengan ansuran bulanan sebanyak RM500. Had perbatuan bagi tempoh lima-tahun itu adalah 100,000 km.

    Memandangkan ini merupakan program sewa-beli/langganan sahaja, mereka yang mendaftar perlu bersetuju untuk membolehkan sistem telematik GPS dipasangkan pada kenderaan tersebut. Ini bertujuan untuk Perodua mengkaji dan menilai corak penggunaan dan pemanduan. Mereka yang terlibat dalam program ini perlu menghantar maklum balas berkala kepada Perodua untuk tujuan sama.

    Daihatsu Rocky Hybrid (kiri) dan Perodua Ativa AV (kanan)

    Beliau menambah, komitmen atau ansuran bulanan itu sudah termasuk insurans, cukai jalan dan penyelenggaraan. Ini bermakna, mereka yang bertindak sebagai “penjaga” kepada Ativa Hybrid berkenaan hanya perlu mengeluarkan wang sekali ketika bersetuju untuk terlibat, dan bayaran bulanan tersebut tanpa tambahan lain. Perincian penuh bagi program langganan Perodua ini akan diumumkan kelak.

    Tawaran ini nampak menarik? Mungkin, bergantung kepada bagaimana anda melihatnya. Namun, perbezaan utama antara membeli dan melanggan ini adalah anda tidak perlu memiliki kenderaan terbabit, dan perlu mengembalikannya kepada Perodua selepas tempoh langganan yang dipersetujui itu tamat.

    Adakah Perodua akan menawarkan kepada pelanggannya untuk membeli kereta tersebut selepas tempoh lima-tahun itu? Jika ya, ini sama misalnya dengan skim pembiayaan HouzKEY oleh Maybank, sebagai contoh.

    Program langganan Perodua Ativa Hybrid disahkan, 300 unit CBU untuk kaji selidik, RM500 sebulan — CEO

    Bagaimanapun, tidak semua pengedar Perodua akan terlibat dengan program Ativa Hybrid ini. Hanya mereka di Lembah Klang dan dua cawangan setiap satunya dari bahagian utara dan selatan akan ikut serta. Memandangkan ini model hibrid pertama Perodua, cawangan yang terlibat ini perlu juga menggalas tanggungjawab untuk melakukan servis kenderaan terbabit.

    Siapa yang boleh ikut serta? Syarikat itu telah mula mengirimkan SMS dan borang kaji selidik, tetapi setakat ini belum lagi diketahui perincian lanjut tentangnya. Kenapa hanya 300 unit? Itu angka yang dibenarkan oleh pihak berkuasa untuk tujuan penilaian ini.

    Unit yang terlibat itu pula dibawa masuk dari Jepun, dari model Daihatsu Rocky Hybrid, tetapi telah siap dipasangkan dengan lencana Perodua, begitu juga dengan nama Ativa.

     
     
  • WMoto RT3S pasaran Malaysia dipertingkat – kini dilengkapi panel instrumen TFT dengan TPMS, RM18k

    WMoto RT3S pasaran Malaysia dipertingkat – kini dilengkapi panel instrumen TFT dengan TPMS, RM18k

    Skuter WMoto RT3S yang tiba di pasaran Malaysia pertama kali pada tahun lepas kini diberikan peningkatan dan dijual pada harga RM17,888 tidak termasuk insurans dan pendaftaran. Harga ini menunjukkan peningkatan hampir RM3k berbanding harganya sebelum ini.

    Peningkatan utama yang dibuat adalah pada panel paparan, yang kini menggunakan unit TFT berwarna penuh, yang selain boleh memaparkan informasi penting seperti kelajuan, rpm, tahap bahan api serta suhu enjin, juga dilengkapi dengan sistem pemerhati tekanan angin tayar.

    Pilihan warna bagi model baru ini sekarang terdiri daripada Justice Blue, Youth Grey dan Union Red, dan ini menggantikan warna Glittery Blue, Matte Grey dan merah sebelum ini.

    Bahagian lain skuter ini tidak berubah, termasuk enjin yang masih menggunakan unit 247 cc, silinder-tunggal sejukan cecair dengan empat-injap dan DOHC serta suntikan minyak EFI, menghasilkan 23 hp pada 8,000 rpm dan 22.5 Nm tork pada 6,500 rpm.

    Brek pula menggunakan jenis cakera hidraulik tunggal di depan dan belakang, dengan ciri ABS twin-channel sebagai standard sementara suspensi terdiri daripada fork teleskopik dan dua penyerap hentak di belakang. Rim bersaiz 15 inci di hadapan, dengan tayar 120/70 manakala di belakang menggunakan rim 14 inci dengan tayar 140/60.

    Kelengkapan lain yang disediakan pada WMoto RT3S ini adalah seperti tangki bahan api 17 liter, kunci pintar, ruang bawah tempat duduk boleh memuatkan sebuah helmet muka penuh dan lain-lain barangan, dua slot USB dalam glovebox serta lampu jenis LED. Berat keseluruhannya adalah 194 kg.

     
     
  • Proton jual 11,477 unit kereta sepanjang Julai; Jualan X50 atasi Saga, X70 masih SUV segmen-C paling laris

    Proton jual 11,477 unit kereta sepanjang Julai; Jualan X50 atasi Saga, X70 masih SUV segmen-C paling laris

    Proton telah mengumumkan prestasi jualannya untuk bulan pertama bagi separa kedua 2022, yang menyaksikan ia berjaya menjual sebanyak 11,477 unit kenderaan bagi pasaran tempatan dan eksport sepanjang bulan Julai. Jumlah jualan berkenaan dilihat turun berbanding bulan sebelumnya dimana Proton mencatatkan jualan sebanyak 14,787 unit kereta pada Jun.

    Walau bagaimanapun, jualan kumulatif tahunan untuk Proton dari Januari sehingga Julai kini sudah mencecah 71,061 unit, atau 19.7% lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu. Ini membolehkan Proton kekal di kedudukan kedua dalam jualan automotif nasional dengan anggaran pegangan pasaran sebanyak 22.7% bagi bulan Julai manakala pegangan pasaran tahun sehingga kini (YTD) meningkat kepada 18.7%. Jumlah Keseluruhan Volum Industri (TIV) bagi bulan Julai dianggarkan sebanyak 50,500 unit setelah jumlah pendaftaran berundur ke median berikutan penamatan tempoh insentif SST pada 30 Jun.

    Bulan Julai 2022 ini juga mencatatkan satu lagi sejarah buat Proton apabila X50 bukan sahaja menjadi model paling laris dalam kelas SUV segmen-B, malah dinobatkan model paling laris di Malaysia dengan jumlah jualan sebanyak 4,763 unit. Menurut Proton, ini adalah pertama kali dalam sejarah apabila sebuah model dalam segmen SUV berjaya menjadi model paling laris di Malaysia.

    Jumlah jualan X50 tersebut melangkaui jumlah jualan sedan mampu milik Proton iaitu Saga yang biasanya menjadi model paling larisnya. Sepanjang Julai, Saga berjaya dijual sebanyak 4,521 unit, dan ia sebenarnya masih kekal sebagai sedan segmen A paling laris di Malaysia. Menurut Proton, sejak Saga MC2 diperkenalkan pada 12 Mei lalu, ia telah berjaya mencapai pendaftaran sebanyak 9,811 dalam masa 80 hari sahaja.

    Manakala satu lagi model SUV Proton iaitu X70 turut mencatatkan peningkatan jualan dengan 1,704 unit telah dihantar kepada pelanggan. SUV ini telah pun menerima kemaskini yang dilancarkan pada Jun lalu, dan kini turut tampil dengan enjin 1.5 liter tiga silinder T-GDI, manakala enjin 1.8 liter T-GDI hanya ditawarkan varian tertinggi.

    Proton Exora juga kekal sebagai MPV segmen C paling laris sepanjang Julai dengan jualan sebanyak 476 unit. Namun agak malang bagi Proton kerana hanya dapat menghantar sebanyak lima unit sedan segmen-B Proton Persona dan lapan unit kembar hatchbacknya iaitu Proton Iriz kerana kedua-dua model berkenaan masih menanti kelulusan harga baharu dari pihak berkuasa.

    “Berikutan bulan Jun yang sibuk di mana jenama industri automotif berebut-rebut untuk mengumpul tempahan sebelum tamat insentif SST, Julai merupakan bulan di mana permintaan pasaran jatuh ke paras normal. Oleh itu tumpuan telah diberikan untuk memenuhi tempahan yang telah diterima. Proton tidak terkecuali dan dengan keadaan bekalan komponen kami yang terus bertambah baik, kami dapat menunjukkan potensi jualan sebenar Proton X50,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

     
     
  • Harga minyak 4-10 Ogos – RON97 turun 5 sen

    Harga minyak 4-10 Ogos – RON97 turun 5 sen

    Bagi minggu bertarikh 4 hingga 10 Ogos 2022, Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan harga runcit bagi petrol RON 97 turun sebanyak 5 sen seliter, menjadi RM4.50 seliter berbanding RM4.55 seliter pada minggu sebelumnya.

    Harga baharu tersebut akan berkuatkuasa mulai 12 tengah malam ini sehinggalah pada Rabu hadapan, 10 Ogos 2022.

    Manakala harga petrol RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20 yang turut dikekalkan pada harga RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    MoF turut berkata, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

     
     
  • Tenaga Nasional akan bina stesen pengecas EV di sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan, pelaburan RM90j

    Tenaga Nasional akan bina stesen pengecas EV di sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan, pelaburan RM90j

    Dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh Bernama, presiden dan CEO Tenaga Nasional Berhad (TNB) dipetik berkata bahawa TNB akan memasang pengecas kenderaan elektrik sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan sebagai sebahagian daripada kerjasamanya dengan pengendali lebuh raya, PLUS Malaysia.

    “Tenaga Nasional Berhad meletakkan sasaran untuk mempercepatkan penerimaan kenderaan elektrik bateri (BEV) untuk merebut nilai pasaran RM1.3 bilion menjelang 2030, dan mengalu-alukan kolaborasi dengan rakan kerja strategik bagi merangsang pertumbuhan ekosistem BEV,” kata Baharin dalam laporan Bernama.

    Turut dinyatakan adalah syarikat tenaga ini akan melaburkan RM90 juta dalam tempoh masa tiga tahun sebagai sokongan kepada ekosistem EV. Mac lalu, TNB pernah mengumumkan bahawa ia akan bekerjasama dengan PLUS Malaysia untuk pemasangan rangkaian pengecas pantas DC, sebanyak lapan stesen dengan enam daripadanya di Lebuh Raya Utara-Selatan dan dua lagi di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2).

    Bulan lalu pula, PLUS Malaysia mengumumkan bahawa ia akan menyiapkan 100 stesen pengecas EV sepanjang lebuh raya menjelang tahun 2024. Sebagai tambahan kepada kerjasama dengan PLUS, Baharin turut memberitahu bahawa TNB sedang berbincang dengan pengendali lebuh raya lain serta penguasa jalan persekutuan di bawah Kementerian Kerja Raya.

    Tenaga Nasional akan bina stesen pengecas EV di sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan, pelaburan RM90j

    Menurut Baharin lagi, pasaran kenderaan elektrik mempunyai potensi 3,300 tempat mengecas untuk unjuran 33,350 BEV menjelang 2025, dengan bakal membawa pendapatan elektrik sebanyak RM80 juta, dan seterusnya akan meningkat kepada 18,000 stesen pengecas untuk 524,809 BEV dengan pendapatan sebanyak RM1.25 bilion menjelang 2030.

    “Menjelang 2030, kami meramalkan separuh juta EV akan berada atas jalan, dengan keperluan mengecas elektrik 2.3 Twh, bernilai RM1.26 bilion. Ini juga membawa makna pengurangan emisi karbon dioksida sebanyak 4.4 juta tan hasil daripada pengeluaran kenderaan berenjin pembakaran dalaman di atas jalan,” kata Baharin.

    Selain pembinaan infrastruktur mengecas, TNB juga akan menyediakan kursus peningkatan kemahiran untuk industri kenderaan elektrik, penukaran kenderaan TNB kepada elektrik, menaja kajian berkenaan EV dan mewujudkan gabungan dengan pemain sektor EV seperti Persatuan Kenderaan Emisi Sifar (ZEVA).

     
     
  • Proton X50 adalah model paling laris di Malaysia untuk Julai 2022, SUV pertama capai rekod sedemikian!

    Proton X50 adalah model paling laris di Malaysia untuk Julai 2022, SUV pertama capai rekod sedemikian!

    Proton mengumumkan bahawa ia telah berjaya menyerahkan sebanyak 4,763 unit SUV segmen-B Proton X50 kepada pelanggan sepanjang bulan lalu, yang bukan sahaja menjadikannya sebagai model paling laris dalam kelasnya, malah merupakan model paling laris dalam Malaysia untuk bulan Julai 2022!

    Jumlah jualan yang dicatatkan X50 berkenaan melangkaui jualan model paling mampu milik Proton iaitu Saga yang merekodkan jualan berjumalah 4,521 untuk bulan lalu. Ini menjadikan jualan kumulatif bagi X50 tahun ini iaitu dari Januari sehingga Julai 2022 sudah pun mencapai 20,745 unit.

    “Syarikat amat berbangga dengan model Proton X50 menjadi SUV pertama yang dinobatkan sebagai kenderaan terlaris di Malaysia dan kami berterima kasih atas sokongan daripada pelanggan kami. Pencapaian ini dan kelarisan jualan Proton dalam segmen lain menunjukkan rancangan perniagaan kami berada di landasan yang betul dan membalas keyakinan yang diletakkan pada jenama oleh pembeli, pelabur dan pihak berkepentingan lain,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton.

    Proton X50 adalah model paling laris di Malaysia untuk Julai 2022, SUV pertama capai rekod sedemikian!

    Secara keseluruhan, Proton telah menjual sebanyak 11,477 unit kenderaan (domestik dan eksport) bulan lalu. Menurut Proton, kejayaan ini adalah berikutan jumlah produksinya yang meningkat semula selepas berjaya menyelesaikan isu kekurangan komponen. Ini menjadikan jumlah jualan kumulatif tahunan Proton sehingga bulan lalu telah pun mencapai 71,601 unit, atau peningkatan sebanyak 19.7% berbanding tempoh yang sama pada 2021.

    Menurut Proton lagi, ia turut kekal di kedudukan kedua dalam jualan automotif nasional dengan anggaran pegangan pasaran sebanyak 22.7% bagi bulan Julai manakala pegangan pasaran tahun sehingga kini (YTD) meningkat kepada 18.7%. Jumlah Keseluruhan Volum Industri (TIV) bagi bulan Julai dianggarkan sebanyak 50,500 unit setelah jumlah pendaftaran berundur ke median berikutan penamatan tempoh insentif SST pada 30 Jun

     
     
  • Dego Ride sedia bantu kurangkan kesesakan di KL dengan perkongsian motosikal, mahu dibenarkan

    Dego Ride sedia bantu kurangkan kesesakan di KL dengan perkongsian motosikal, mahu dibenarkan

    Perkhidmatan teksi motosikal Dego Ride telah meminta keputusan rasmi daripada kerajaan sama ada ia dibenarkan beroperasi secara sah atau pun tidak. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nabil Feisal Bamadhaj berkata, sekiranya ia dibenarkan untuk beroperasi secara rasmi, pasti lebih ramai penunggang motosikal akan menyertainya, memandangkan terdapat lonjakan permintaan terhadap perkhidmatan ini di sekitar Lembah Klang.

    Beliau berkata permintaan terhadap permintaan teksi motosikal ini dilihat berkembang pesat susulan kesesakan trafik yang kian meruncing di Kuala Lumpur dan Selangor. Walau bagaimana pun, syarikatnya bergelut untuk mencari penunggang bagi menyertai perkhidmatan ini kerana ramai yang bimbang untuk menyertai Dego Ride kerana ia menyalahi undang-undang, laporan Malay Mail.

    “Setakat April 2022, sejak sekatan mula dilonggarkan, kami mendapati trafik menjadi semakin teruk, namun dalam masa yang sama terdapat peningkatan dalam permintaan untuk permintaan kami. Hari ini, kami terus bergelut untuk menampung permintaan dan memerlukan lebih ramai penunggang untuk menyertai kami. Tetapi mereka takut dan ragu-ragu kerana tidak pasti adakah perkhidmatan kami dibenarkan atau tidak (untuk beroperasi),” katanya dalam sidang media yang diadakan semalam bersama Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil.

    Dego Ride sedia bantu kurangkan kesesakan di KL dengan perkongsian motosikal, mahu dibenarkan

    Perkhidmatan teksi motosikal ini telah dilarang di atas jalan raya di Malaysia sejak 2017, bersama dengan pesaingnya, Gojek, di mana ia dibimbangi bakal meningkatkan kadar kemalangan dan kematian di kalangan penunggang dan pembonceng motosikal. Walau bagaimana pun, pada November 2019, telah diumumkan bahawa kedua-dua perkhidmatan berkenaan dibenarkan untuk beroperasi dalam tempoh enam bulan ujian rintisnya dimulakan pada Januari 2020. Namun pada November tahun lalu, kerajaan membuat keputusan untuk tidak membenarkan perkhidmatan ini diteruskan.

    Syarikat tersebut turut berkata, buat masa ini terdapat lebih kurang 500 penunggang yang menyertai perkhidmatan ini, namun jumlah tersebut tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan di kawasan berpenduduk padat di Lembah Klang termasuk di Lembah Pantai, di mana permintaan untuk ke sambungan sistem rel berdekatan adalah tinggi. Nabil sebelum ini berkata perkhidmatan ini akan menarik minat mereka yang tidak mampu membayar teksi atau perkhidmatan pengangkutan e-hailing berasaskan kereta seperti yang ditawarkan oleh Grab dan AirAsia.

    Kesesakan trafik di Lembah Klang menjadi bertambah buruk dalam beberapa bulan kebelakangan ini berikutan penarikan sekatan Covid-19, berikutan itu terdapat cadangan untuk menangani isu ini termasuklah membenarkan perkhidmatan teksi motosikal beroperasi.

    Dego Ride sedia bantu kurangkan kesesakan di KL dengan perkongsian motosikal, mahu dibenarkan

    Dengan menggunakan kenderaan yang lebih tangkas seperti motosikal, yang boleh bergerak melalui kesesakan teruk dengan lebih mudah, Nabil berkata beliau percaya Dego Ride boleh menjadi sebahagian daripada penyelesaian isu ini. walau pun pengubal undang-undang tidak sependapat atas faktor keselamatan, Nabil berkata, sejak ujian percubaan dilaksanakan, telah menunjukkan operasi Dego Ride adalah selamat, dengan sifar kematian sejak ia mula beroperasi pada 2016.

    Sementara itu, Fahmi, yang menyokong idea penubuhan Dego Ride, mencadangkan agar penggubal dasar menjalankan kajian selanjutnya untuk memperhalusi peraturan yang mampu menjadikan perkhidmatan teksi motosikal ini lebih selamat, bukannya mengenakan larangan sepenuhnya. “Jika anda mempunyai kenderaan jenis mobiliti, mengapa tidak melihat cara untuk menghalalkannya dan ia juga dapat membantu menjana cukai. Saya rasa jika dilakukan dengan cara yang betul, ia dapat membantu orang ramai,” katanya.

    Tambah beliau, “Ia amat terpakai di kawasan berpenduduk padat di mana terdapat jumlah trafik yang tinggi pada waktu puncak di mana orang ramai perlu bergerak ke hab transit. Jadi saya berharap perkhidmatan Dego Ride atau mana-mana jenis penyedia perkhidmatan transit awam yang seumpamanya, disambut baik oleh kerajaan dan penggubal undang-undang.”

     
     
  • Royal Enfield akan perkenal model baru 7 Ogos ini – video teaser tunjuk kelincahan dan keseronokan

    Royal Enfield akan perkenal model baru 7 Ogos ini – video teaser tunjuk kelincahan dan keseronokan

    Dalam masa beberapa hari lagi, Royal Enfield dijangka akan memperkenalkan model baru apabila mereka menyiarkan dua teaser melalui laman Youtube. Motosikal sebenar tidak ditunjuk, sekaligus membiarkan kita untuk berteka-teki tentangnya dan membuat penilaian melalui apa yang boleh dilihat sahaja.

    Video pertama berdurasi 10 saat lebih menggambarkan detik-detik menyeronokkan yang dilalui oleh beberapa individu dan dalam salah satu tempatnya kita boleh melihat terdapat poster Bullet Meri Jaan yang merupakan satu lagu popular yang turut digunakan dalam video komersial Royal Enfield Bullet sebelum ini.

    Jika mahu mengambil perkara ini sebagai petunjuk, kita boleh menjangkakan mungkin ia adalah satu model Bullet baru, tetapi di bawah poster itu pula tertera tarikh 05.08.2022 yang bercanggahan dengan tarikh 07.08.2022 yang tertera pada video teaser. Berkemungkinan selain pada 7 Ogos, dua hari sebelum itu juga Royal Enfield akan mendedahkan sesuatu.

    Video teaser kedua memberikan lebih rasa teruja kerana ia membawa pandangan penunggang yang sedang menyelit dalam trafik sesak di jalan cukup meriah dengan lampu yang kami rasakan mungkin adalah di Thailand. Melalui video ini mungkin Royal Enfield mahu menunjukkan kelincahan model baru mereka ini.

    Selain daripada itu, kita juga boleh mendengar bunyi ekzos motosikal, yang boleh diambil sebagai petunjuk jika itu adalah bunyi sebenar model yang akan dilancarkan. Bagi kami, bunyinya agak padat dan menarik, dan jika ini adalah bunyi ekzos standard, ia mungkin boleh menimbulkan kemahuan pada ramai peminat motosikal.

    Anda rasa model apakah yang akan diperkenalkan oleh Royal Enfield ini nanti? Versi baru Bullet? Classic? Atau Meteor?

     
     
  • Bayi maut tercampak keluar dari kereta akibat kemalangan – letak si kecil di kerusi kanak-kanak

    Bayi maut tercampak keluar dari kereta akibat kemalangan – letak si kecil di kerusi kanak-kanak

    Satu lagi insiden penuh tragis yang menyebabkan seorang bayi berusia enam bulan maut selepas tercampak keluar dari kereta yang dinaiki terbabas di Kilometer 161.1, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan di Tangkak, malam Isnin lalu.

    Menurut Ketua Polis Daerah Tangkak Superintendan Mohd Fadhil Minhat, kemalangan yang berlaku pada 8.30 malam itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di kepala dan maut di tempat kejadian. Di mana Perodua Alza dipandu bapa mangsa berusia 28 tahun, yang turut dinaiki isterinya, bersama lima yang lain, datang dari arah Pekan Tangkak menghala ke Bukit Gambir.

    “Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta yang dinaiki kesemua mangsa dari arah Pekan Tangkak menghala ke Bukit Gambir itu hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan sebelum terbalik ke kawasan berumput. Bayi itu terpelanting keluar dan disahkan meninggal dunia manakala pemandu dan penumpang yang lain mengalami kecederaan ringan,” katanya.

    Bayi itu dibawa ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat manakala enam individu itu pula turut menerima rawatan di hospital sama. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, laporan Bernama.

    Walau bagaimana pun, laporan berita tersebut tidak menyebut sama ada bayi terbabit ditempatkan di dalam kerusi kanak-kanak atau pun dipangku oleh penumpang lain sewaktu kejadian berlaku. Namun, risiko kematian mungkin lebih rendah sekiranya anak kecil ditempatkan di dalam kerusi kanak-kanak dan dipasang dengan betul.

    Buat masa kini kerajaan menerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) sedang mempromosikan program subsidi kerusi kanak-kanak Keluarga Malaysia (MyCRS). Di mana program ini adalah untuk membantu golongan B40 bagi mendapatkan kerusi berkenaan.

    Diumumkan menerusi Bajet 2022, kerajaan memberi subsidi 50% atau sehingga RM150 untuk pembelian kerusi keselamatan kanak-kanak bagi golongan B40. Peruntukannya melibatkan kos sebanyak RM30 juta dan ia terhad kepada 188,000 pemohonan ketika diumumkan. Setiap individu yang layak boleh menuntut subsidi untuk satu kerusi kanak-kanak sahaja.

    Penggunaan kerusi kanak-kanak di dalam kenderaan sepatutnya sudah diwajibkan mulai 1 Julai 2020, tetapi penguatkuasaannya hanya dilakukan secara advokasi buat masa ini, bagi memberi peluang MIROS untuk mengkaji semula kesesuaiannya serta pelan menyeluruh yang diperlukan. Walau bagaimana pun, kami di paultan.org sangat menggalakkan penggunaan kerusi kanak-kanak ini demi keselamatan anak kecil anda biarpun pelaksanaannya belum dikuatkuasakan sepenuhnya.

     
     
  • VIDEO: Tiga buah Proton Saga hadir ke Hagerty Festival of the Unexceptional 2022 di Lincolnshire

    VIDEO: Tiga buah Proton Saga hadir ke Hagerty Festival of the Unexceptional 2022 di Lincolnshire

    Festival yang menghimpunkan kereta-kereta klasik, khususnya untuk kegunaan keluarga dan bukan dari jenis rare atau eksotik, Hagerty Festival of the Unexceptional kembali lagi tahun ini, diadakan di Grimsthorpe Castle di Lincolnshire, England. Jika tahun lalu festival berkenaan menampilkan hanya sebuah model dari Proton (dan menjadi juara keseluruhan!), tahun ini ia telah dihadiri oleh tiga buah Proton Saga.

    Salah satu dari Proton berkenaan adalah juara tahun lalu iaitu Proton Saga 1.5 GL Black Knight Edition 1989 milik Jon Coupland, pegawai polis dari Boston, Lincolnshire. Manakala sebuah lagi adalah Proton MPI 1.5 1994 (atau dikenali sebagai Saga Iswara di Malaysia) milik Stephanie Holloway dari saluran YouTube Idriveaclassic.

    Proton MPI Stephanie berkenaan juga agak dikenali berikutan videonya yang tular, membeli Proton tersebut yang disimpan dalam sebuah bangsal selama 10-tahun. Dengan meter perbatuan hanya mencatatkan jarak perjalanan sejauh 10,724 batu atau 17,259 km ketika itu, kereta berkenaan menampilkan kondisi yang hampir seperti baharu.

    Ketiga-tiga Proton berkenaan muncul dalam video terbaharu idriveclassic yang memberikan liputan terhadap Festival of the Unexceptional 2022. Walau bagaimanapun, Stephanie masih belum memberikan sebarang ulasan terhadap sebuah lagi Saga berwarna perak yang tampil dalam video berkenaan.

    Namun jika dilihat dari segi rupa – dengan muka seperti model Megavalve pasaran Malaysia bersama kit badan istimewa merangkumi spoiler bawah bampar, skirt sisi, cermin suria dan spoiler belakang – ini berkemungkinan adalah satu lagi model edisi khas untuk pasaran UK iaitu Proton Puma 1.5 GLS 1992.

    Menurut Stephanie, sekitar 1,500 kereta telah menyertai Hagerty Festival of the Unexceptional tahun ini. Festival berkenaan turut dihadiri oleh selebriti-selebriti yang dikenali dalam dunia restorasi automotif seperti Mike Brewer (Wheeler Dealers) dan juga Richard Hammond (pemilik garaj restorasi Smallest Cog dan pengacara The Grand Tour).

    Namun tiada model Proton yang tersenarai untuk memenangi sebarang hadiah tahun ini. Juara keseluruhan adalah Vauxhall Astra Merit 1.4 1994 milik Samuel Allan, diikuti naib juara Skoda Estelle 1986 milik Matthew Bareham. Penganjur turut menyatakan pertandingan tahun ini dikhususkan untuk model dari tahun 1967 sehingga 1997.

     
     
  • Honda Itali dedah teaser bunyi Hornet generasi baru

    Honda Itali dedah teaser bunyi Hornet generasi baru

    Semasa pameran EICMA tahun lalu, Honda telah mula mendedahkan bentuk motosikal konsep mereka yang akan membawa kembali nama Hornet ke dalam pasaran. Kemudiannya beberapa bulan selepas itu, lukisan konsepnya pula didedah, dihasilkan dengan kerjasama antara pusat R&D Honda di Itali dan Jepun.

    Sejak dari itu, ramai yang sudah teruja dan kini Honda mengusik lagi dengan mengeluarkan satu lagi video teaser. Kali ini ia datang daripada laman media sosial Honda Itali, tetapi masih belum menunjukkan bentuk sebenar motosikal dan panjangnya cuma 15 saat sahaja.

    Apa yang boleh didapati daripada video ini cuma bunyi enjin Hornet, yang dikerah daripada tahap rpm rendah hingga rpm tinggi. Daripada teaser sebelum ini, kita sudah mendapat petunjuk bahawa model ini akan menggunakan enjin dua silinder selari, dan sekarang, bunyinya juga seakan mengesahkan perkara yang sama.

    Jika mengikut media dari Jepun, ramai daripada mereka menjangkakan penggunaan enjin 750 cc yang sama seperti X-ADV ataupun Forza 750, tetapi sudah tentu, dipadankan bersama transmisi manual enam kelajuan. Honda juga sebelum ini pernah memberitahu bahawa enjin yang akan mereka gunakan pada Hornet baru ini adalah enjin berevolusi tinggi, sekaligus bakal menjadikan tunggangannya lebih bertenaga.

    Perkara lain berkenaan Hornet masih belum didedah dan kita boleh menjangkakan kemunculan pertamanya semasa pameran EICMA tahun ini yang akan berlangsung pada 8 hingga 13 November. Adakah anda juga teruja dengan ketibaan model naked baru ini? Kalau mengikut telinga anda, rasa-rasa itu bunyi enjin apa?

    GALERI: Lukisan konsep Honda Hornet

     
     
  • Kereta elektrik tidak boleh merentasi banjir? Saksikan Tesla Model 3 ini ‘berenang’ di Kuantan, Pahang

    Ramai yang menganggap kereta elektrik (EV) tidak boleh melalui kawasan banjir (yang tidak serius atau dalam) kerana bimbang komponen elektrik di dalam EV itu akan terganggu. Persoalan atau pun anggapan ini boleh dikira agak penting bagi mereka yang ingin memiliki EV memandangkan banjir kini menjadi salah satu isu besar di negara kita dan merasakan masuk akal jugalah komponen elektrik tidak boleh ‘terkena’ air.

    Namun ramai yang tidak menyedari bahawa kereta elektrik sebenarnya lebih cendereung untuk merentasi banjir berbanding kereta dengan enjin pembakaran dalaman. Ini kerana motor elektrik tidak mempunyai salur udara, jadi ia tidak boleh menyebabkan hydrolock, di mana air banjir boleh disedut masuk ke dalam salur udara berkenaan dan menyebabkan kerosakan enjin.

    Video yang dikongsikan oleh Farhan A Rahim yang memandu Tesla Model 3 merentasi banjir di Kuantan pada Januari 2021 ini membuktikan bahawa kereta elektrik boleh melakukannya. Menurut Farhan, kedalaman air pada paras yang menenggelamkan tayar keretanya. Untuk pengetahuan anda, Model 3 LR ini didatangkan dengan roda aero 18-inci tetapi juga boleh digantikan dengan roda sport 19-inci.

    Sebenarnya Tesla telah pun melakukan ujian merentasi kedalaman air terhadap model keretanya di kilangnya di Shanghai, sebagai sebahagian daripada proses kawalan kualiti. Anda boleh saksikannya menerusi video yang dikongsikan di bawah ini.

    Namun, kami tidak mengesyorkan anda memandu kereta elektrik melalui jalan yang ditenggelami banjir walau pun kedalamannya mengharungi air adalah lebih baik berbanding kereta yang berenjin pembakaran dalaman dengan jenis struktur badan yang serupa.

    Walaupun komponen penting mungkin tidak rosak dan anda masih boleh meneruskan pemanduan, namun masih terdapat risiko bahagian lain yang mungkin akan rosak disebabkan ia tidak kalis air, seperti nombor plat atau hon kereta. Apa pun tindakan anda, silalah berhati-hati agar tidak menyesal di kemudian hari.

     
     
  • Perodua Ativa Hybrid – ditawar hanya untuk dilanggan, RM500 sebulan, percubaan 5-tahun, hanya 300 unit

    Perodua Ativa Hybrid – ditawar hanya untuk dilanggan, RM500 sebulan, percubaan 5-tahun, hanya 300 unit

    Minggu lalu Perodua Ativa Hybrid telah dikesan di Malaysia, di bawa oleh sebuah lori pengangkut. Kami difahamkan Perodua telah menawarkan unit-unit Ativa Hybrid yang hanya berjumlah 300-unit berkenaan kepada pelanggan terpilih menerusi pakej langganan.

    Menurut sumber yang dipercayai dalam jaringan Perodua, syarikat berkenaan telah menghubungi pelanggan-pelanggan yang berpotensi menerusi sistem pesanan ringkas (SMS). Mesej tersebut akan membawa pelanggan yang dihubungi berkenaan kepada borang atas talian untuk meninjau minat mereka bagi mencuba Ativa Hybrid tersebut tetapi bukan dengan cara pemilikan yang konvensional.

    Bukan semua pengedar Perodua yang akan terbabit dengan program istimewa ini – menurut sumber itu, ia hanya membabitkan pengedar di Lembah Klang serta dua cawangan di kawasan Utara dan dua lagi di kawasan Selatan semenanjung Malaysia.

    Responden yang telah dihubungi oleh SMS tersebut akan diminta untuk berurusan dengan bilik pameran Perodua yang mereka boleh pilih menerusi pilihan yang Perodua sediakan termasuk outlet di Klang, Kuala Lumpur, Kajang, Glenmarie, Putrajaya, Balakong, Ampang dan fasiliti flagship Perodua Sentral di Petaling Jaya.

    Daihatsu Rocky Hybrid (kiri) dan Perodua Ativa AV (kanan)

    Bagi menyertai program langganan ini, pelanggan perlu membayar yuran permulaan berjumlah RM2,150, diikuti dengan bayaran bulanan berjumlah RM500. Kontrak langganan ini memerlukan pelanggan menyertai program tersebut selama lima tahun, dan kereta yang diberikan hanya dibenarkan bergerak sejauh 100,000 km dalam tempoh berkenaan.

    Setiap Ativa Hybrid yang diserahkan kepada pelanggan berkenaan turut akan dilengkapi dengan pengesan GPS untuk tujuan penyelidikan, kata sumber tersebut. Dan kesemua unit yang disewa dengan bayaran RM500 sebulan itu perlu diserahkan kembali kepada Perodua apabila tamat tempoh program langganan ini.

    Perodua Ativa Hybrid mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan kembarnya di pasaran Jepun iaitu Daihatsu Rocky Hybrid. Malah Perodua sudah pun dilihat menguji Rocky Hybrid berkenaan di Malaysia pada bulan Oktober tahun lalu, sebulan sebelum Daihatsu Rocky Hybrid tersebut dilancarkan secara rasmi di Jepun pada awal November 2021.

    Daihatsu Rocky Hybrid yang diuji dan di Malaysia tahun lalu (atas) dan Perodua Ativa Hybrid yang dijumpai baru-baru ini (bawah)

    Presiden dan CEO Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad memaklumkan kepada media ketika acara pratonton Perodua Myvi 2022 pada 16 November lalu bahawa unit ujian Daihatsu Rocky Hybrid tersebut berada di jalanraya tempatan untuk tujuan penilaian dan kajian, dengan perincian lanjutnya akan didedahkan bila tiba waktu yang sesuai.

    Beliau turut menambah yang kajian pasaran bagi model hibrid melibatkan kedua-dua sisi pelanggan dan juga kawal selia. “Kami menjalankan kajian pasaran, meninjau sejauh mana penerimaan pelanggan di Malaysia, takat harga yang boleh diterima serta untuk melihat sama ada model hibrid kami mampu menepati peraturan dan keperluan badan kawal selia yang ada,” ujarnya ketika itu.

    Unit Ativa Hybrid yang dilihat dibawa oleh lori pengangkut mendedahkan bahawa ia menggunakan bampar belakang dan juga set rim dengan rekaan yang sama dengan Daihatsu Rocky Hybrid, cuma dibezakan dengan logo Perodua pada pintu hatch. Gambar berkenaan walau bagaimanapun tidak dapat memperlihatkan bahagian muka SUV tersebut, dan tidak mustahil ia mungkin turut menggunakan muka yang sama seperti Rocky.

    Perodua Ativa Hybrid – ditawar hanya untuk dilanggan, RM500 sebulan, percubaan 5-tahun, hanya 300 unit

    Jadi ia dijangka menggunakan unit rangkaian kuasa yang sama dengan Rocky Hybrid iaitu sistem yang digelar sebagai e-Smart Hybrid. Sistem dari Daihatsu ini tidak sama dengan sistem hibrid Toyota di mana ia sebenarnya adalah hibrid dari jenis range extender. Menerusi sistem ini, enjin petrol yang dibekalkan hanya bertindak sebagai generator untuk mengecas bateri lithium ion, manakala roda hadapan adalah 100% dipacu oleh motor elektrik.

    Untuk itu, Rocky Hybrid menerima enjin petrol WA-VEX 1.2 liter tiga-silinder kitaran Atkinson berkuasa 82 PS dan tork maksima 105 Nm. Manakala motor elektrik yang memacu roda hadapan pula menghasilkan kuasa 106 PS dan tork maksima 170 Nm bermula dari 0 rpm. Disebabkan hanya motor elektrik yang memacu roda seakan sebuah kenderaan elektrik (EV) sebenar, Rocky Hybrid turut menerima mod pemanduan “Smart Pedal” yang membolehkan pemandu hanya menggunakan satu pedal untuk memandu sama seperti sistem e-Pedal pada Nissan Leaf.

    Sistem ini juga jauh lebih ringkas dari sistem hibrid konvensional, dan memberikan penggunaan bahan api yang cukup rendah iaitu mencapai 3.6 liter setiap 100 km – ia bukan dikira berdasarkan kitaran NEDC, sebaliknya menerusi kitaran ujian WLTP yang jauh lebih ketat.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025