Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Hyundai Ioniq 5 ditunjuk dalam kotak intai — varian Lite 58 kWh, Plus 58 kWh dan Max 72 kWh disahkan

    Hyundai Ioniq 5 ditunjuk dalam kotak intai — varian Lite 58 kWh, Plus 58 kWh dan Max 72 kWh disahkan

    Hyundai Ioniq 5 telah dipertontonkan buat pertama kali di Malaysia hari ini, walaupun di dalam sebuah kotak. EV yang ditutup ini dipamer di siri jelajah Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) di One Utama sayap lama, dan terbuka untuk sesiapa “mengintai” untuk melihatnya, hingga Ahad nanti. HSDM telah membuka tempahan untuk model ini semalam, dan pelancaran rasminya akan dilakukan dalam bulan ini.

    Ioniq 5 merupakan sebuah kereta hatchback saiz besar dengan ukuran 4,635 mm panjang, 1,890 mm lebar, 1,605 mm tinggi serta jarak roda sejauh 3,000 mm – dalam gambar ia mungkin nampak seperti sebuah hatchback kompak, tetapi hakikatnya ia adalah 430 mm lebih panjang dan 90 mm lebih lebar dari Kona.

    Jarak roda yang ada padanya juga lebih jauh berbanding Toyota Camry (2,825 mm) dan Mercedes-Benz E-Class (2,939 mm). Untuk rim, walaupun saiz 20-inci ada ditawarkan, bagaimanapun unit yang dipamerkan ini menggunakan rim 19-inci dengan tayar Michelin Primacy.

    Hyundai Ioniq 5 ditunjuk dalam kotak intai — varian Lite 58 kWh, Plus 58 kWh dan Max 72 kWh disahkan

    Ioniq 5 merupakan kereta elektrik yang diasaskan platform Electric-Global Modular Platform (E-GMP) Hyundai Motor Group. Tidak seperti Kona yang asalnya dihasilkan untuk model dengan enjin pembakaran dalaman, platform E-GMP yang direka seakan papan luncur ini adalah khas dibangunkan untuk kereta-kereta elektrik. Bagi yang belum tahu, nama ‘Ioniq’ itu sendiri kini adalah sub-jenama Hyundai hanya untuk EV, yang selepas ini akan tampil dengan model sedan dan SUV.

    Model yang diumumkan pada Februari 2021 ini adalah versi produksi untuk model konsep Hyundai 45 Concept yang muncul di Frankfurt pada 2019, diinspirasi dari model konsep rekaan Giorgetto Giugiaro iaitu Hyundai Pony Coupe Concept 1974.

    Hyundai memaklumkan kabin model ini menggunakan bahan kitar semula mesra alam. Kerusinya dibalut dengan kulit kitar semula yang diwarnakan menggunakan minyak tumbuhan, sementara kain yang digunakan adalah daripada gentian yang diperoleh daripada sisa bio tebu, wool dan benang poly serta bahan lain daripada botol plastik yang dikitar semula.

    Hyundai Ioniq 5 ditunjuk dalam kotak intai — varian Lite 58 kWh, Plus 58 kWh dan Max 72 kWh disahkan

    Dengan model ini sudah muncul di laman web “Click to Buy” HSDM, kini sah Ioniq 5 datang dalam tiga varian — Lite, Plus dan Max — seperti Kona Electric. Lite datang dengan bateri 58 kWh dan pacuan belakang, sementara Plus merupakan versi lebih lengkap varian tersebut. Max pula datang dengan bateri 72.6 kWh dan AWD dwi-motor.

    Kereta pacuan belakang mempunyai motor belakang 170 PS/350 Nm (125 kW), sementara versi dwi-motor AWD hadir dengan janaan 305 PS/605 Nm (225 kW) dan bacaan 0-100 km/j 5.2 saat. Jarak perjalanan adalah 430 km dalam kitaran WLTP. Laju maksimum pula ialah 185 km/j bagi kedua-dua AWD/RWD.

    Unik pada Ioniq 5 ini berbanding EV lain, ia mampu untuk menyokong sistem 400 V dan 800 V melalui lonjakkan yang diberi pada motor elektrik dan unit inverter, tanpa memerlukan pengecas bina dalam berasingan. Dengan pengecas pantas 350 kW DC, pengguna boleh mengecas dari 10 hingga 80% dalam masa 18 minit sahaja. Sistem ini turut membolehkan ia menerima jarak gerak tambahan 100 km (mengikut kitaran WLTP) dengan tempoh mengecas hanya lima minit.

    Hyundai Ioniq 5 ditunjuk dalam kotak intai — varian Lite 58 kWh, Plus 58 kWh dan Max 72 kWh disahkan

    Bagaimanapun, kita di Malaysia masih belum mempunyai fasiliti mengecas yang benar-benar pantas. Buat masa sekarang fasiliti pengecas pantas DC yang kita ada seperti di rangkaian Shell Recharge adalah 180 kW. Menurut Hyundai, pada kadar 50 kW, bateri 72.6 kWh Ioniq 5 boleh dicas bagi sehingga tahap 80% penuh dalam masa 62 minit. Jadi dengan kadar 180 kW, ia tentu lebih pantas.

    Kereta ini juga diberikan soket kenderaan-kepada-beban (vehicle-to-load atau V2L) yang diletakkan di bawah tempat duduk belakang. Soket ini membolehkan Ioniq menjadi sebuah power bank gergasi untuk mengecas basikal atau skuter elektrik, atau memberikan kuasa elektrik kepada kelengkapan-kelengkapan perkhemahan.

    Tempahan kini dibuka, dan walaupun anda boleh melakukan itu dengan bayaran pendahuluan RM1,000, masih belum ada harga anggaran untuk model ini. Jangkaan kami ia akan sedikit lebih mahal daripada Kona Electric, yang berharga RM150k (39.2 kWh) hingga RM200k (64 kWh).

     
     
  • Kerajaan terus tangguh kenaikan kadar tol sehingga 2023 – tiada kenaikan di Kesas, SKVE, LPT2 tahun ini

    Kerajaan terus tangguh kenaikan kadar tol sehingga 2023 – tiada kenaikan di Kesas, SKVE, LPT2 tahun ini

    Kementerian Kerja Raya telah mengesahkan tiada kenaikan kadar tol untuk tiga lebuh raya utama pada tahun ini, dengan penangguhan kenaikan kadar tol dari 2021 diteruskan ke 2022, laporan The Star.

    Pada April tahun lalu, kerajaan bersetuju untuk untuk menangguhkan kenaikan kadar tol yang dijadualkan untuk tiga lebuhraya utama, iaitu Lebuhraya Shah Alam (Kesas, Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2). Kenaikan kadar tol ini sepatutnya dilaksanakan bermula 1 Januari 2021.

    “Kerajaan telah memutuskan untuk menyusun semula kadar tol dan akan dirundingkan dengan syarikat konsesi lebuhraya, serta mesti dimuktamadkan sebelum 2023. Sepanjang tempoh rundingan, kadar tol yang diwartakan dikekalkan dan penangguhan kenaikan kadar tol akan diteruskan untuk 2022,” kata kementerian terbabit dalam jawapan bertulis bagi soalan yang diajukan di Parlimen.

    Kementerian terbabit memberikan maklumbalas terhadap soalan yang dikemukakan oleh Gobind Singh Deo (PH-Puchong) yang bertanya adalah kerajaan mempunyai perancangan untuk melaksanakan kenaikan kadar tol pada tahun ini. Ia menambah, berdasarkan perjanjian konsesi yang ditandatangani, sekiranya kerajaan melaksanakan kadar tol lebih rendah daripada yang dipersetujui atau memansuhkan kutipan tol, kerajaan perlu membayar pampasan kepada syarikat konsesi.

    Tahun lalu, kerajaan juga menangguhkan kenaikan kadar tol untuk 26 lebuhraya lain, termasuk Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya KL-Putrajaya (MEX). Menteri Kerja Rata Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kerajaan perlu menanggung pampasan sebanyak RM2.25 bilion pada tahun tersebut berikutan keputusan mengekalkan kadar tol.

     
     
  • PACE 2022 – BMW 218i Gran Coupe terkini dibawa oleh Auto Bavaria; nikmati tawaran, ganjaran istimewa

    PACE 2022 – BMW 218i Gran Coupe terkini dibawa oleh Auto Bavaria; nikmati tawaran, ganjaran istimewa

    Acara Premium Auto Car Expo (PACE) oleh paultan.org kembali untuk 2022, dan jika anda sedang mencari tawaran terbaik untuk kereta baharu dan terpakai premium, anda mungkin perlu ke Setia City Convention Centre (SCCC) bermula 19 hingga 20 Mac ini.

    Jika anda sedang mencari kereta untuk dibeli, ini masa yang terbaik untuk mengambil kesempatan dari pengecualian cukai jualan yang sedang berlangsung sekarang – 50% untuk model import CBU dan 100% untuk kereta pemasangan tempatan CKD – yang akan berakhir pada 30 Jun ini. Selain dari tawaran menarik, terdapat juga faedah istimewa untuk pembeli serta hadiah hebat untuk dimenangi.

    Di PACE, anda boleh melihat dengan lebih dekat model kemaskini BMW 218i Gran Coupe, yang kini hadir dengan sistem infotainmen terbaik dari jenama tersebut iaitu BMW Live Cockpit Professional. Jika versi sebelum ini diberikan skrin sesentuh tengah 8.8-inci yang lebih kecil dan paparan pelbagai info 5.1-inci di tengah-tengah antara dua meter analog, model kemaskini ini hadir dengan dua paparan 10.25-inci yang mempertingkatkan bahagian dalamnya.

    PACE 2022 – BMW 218i Gran Coupe terkini dibawa oleh Auto Bavaria; nikmati tawaran, ganjaran istimewa

    Sistem infotainmen ini dikuasakan oleh BMW Operating System 7, di mana ia menawarkan antaramuka yang intuitif dengan teks dan grafik yang lebih padu. Ia juga datang dengan servis-servis terhubung yang sangat berguna seperti Intelligent Personal Assistant dan juga kemaskini perisian over-the-air yang berpotensi untuk memberikan fungsi lebih baik.

    BMW 218i Gran Coupe ini adalah salah satu dari pelbagai model BMW yang akan dibawa oleh Auto Bavaria di PACE, dengan pelbagai rebat luar biasa ditawarkan untuk apa jua yang anda perlukan. Hadiah tempahan eksklusif bersama waranti lima-tahun tanpa had perbatuan percuma, serta pakej servis berkala percuma juga menunggu anda. Pemilik BMW sedia ada juga tidak dilupakan, kerana pemeriksaan 13-poin secara percuma turut akan disediakan pada acara ini.

    Selain dari tawaran-tawaran dari Auto Bavaria, semua kereta baharu yang ditempah di PACE akan diberikan baucer bernilai RM2,500 dari rakan-rakan niaga kami. Ini termasuk baucar RM500 untuk filem pelindung cat kenderaan (Kuziq Glanz), baucar RM500 bagi filem penapis haba (V-Kool), baucar RM500 bagi penapis udara (Blueair), baucar RM500 untuk kerusi kanak-kanak (Recaro Kids) dan baucar RM500 untuk produk gaya hidup Ogawa.

    PACE 2022 – BMW 218i Gran Coupe terkini dibawa oleh Auto Bavaria; nikmati tawaran, ganjaran istimewa

    Jenama-jenama yang menyertai acara ini juga turut membawakan barisan kenderaan terpakai yang berkualiti, dan pembeli akan menerima baucar bernilai RM1,000 daripada PACE, mengandungi dua baucar rawak RM500 daripada Kuzig Glanz, V-Kool, Blueair atau Recaro Kids.

    Bukan itu sahaja, selain tawaran daripada jenama terlibat dan baucar-baucar berkenaan, pembeli di PACE 2022 juga layak untuk memenangi 10 unit telefon pintar bernilai RM3,500 setiap satu. Lebih menarik, ada hadiah utama berupa pakej percutian bernilai RM25,000 untuk seorang pelanggan bertuah dan pasangan. Perinciannya ada di sini.

    Auto Bavaria akan mewakili jenama BMW dan MINI di PACE, bersama jenama-jenama lain yang turut serta termasuk Mercedes-Benz (diwakili oleh Hap Seng Star), Volkswagen, Volvo, Jaguar, Land Rover, Ford dan Hyundai. Bagi mereka yang berminat dengan motosikal, anda boleh lawati reruai BMW Motorrad dan Harley Davidson yang turut menyertai acara ini.

    Dengan pelbagai tawaran menarik diberikan, PACE 2022 adalah tempat di mana anda perlu beli kereta baharu, jadi jumpa anda di SCCC dari 19 hingga 20 Mac nanti!

     
     
  • PACE 2022: Volkswagen Passat dikemaskini bakal dipamer — tawaran menarik untuk Elegance, R-Line

    PACE 2022: Volkswagen Passat dikemaskini bakal dipamer — tawaran menarik untuk Elegance, R-Line

    Premium Auto Car Expo (PACE) anjuran paultan.org bakal kembali pada 2022, dan acara dua hari itu nanti akan membawakan tawaran terbaik bagi kereta premium baru dan terpakai, kelebihan lain untuk pembeli, serta hadiah menarik untuk direbut. Kosongkan jadual anda untuk 19-20 Mac dan berkunjunglah ke Pusat Persidangan Setia City (SCCC).

    Inilah masa terbaik untuk membeli kenderaan, sekiranya anda memang merancang, kerana pengecualian cukai jualan yang diberikan kini — 50% untuk CBU dan 100% untuk CKD — bakal berakhir pada 30 Jun nanti. Jangan berharap untuk lanjutan tempoh berkenaan kerana itu sudah beberapa kali dilakukan oleh kerajaan yang ada dan ini mungkin yang terakhir. Tambahan pula, beli kereta di acara ini dan pandu untuk Hari Raya!

    Jenama yang ikut serta termasuklah Mercedes-Benz (diwakili Hap Seng Star), BMW dan MINI (diwakili Auto Bavaria), Volkswagen, Volvo, Jaguar, Land Rover, Ford dan Hyundai. Motosikal daripada BMW Motorrad dan Harley-Davidson juga akan ikut serta.

    Volkswagen misalnya akan mempamerkan barisan model Passat yang dikemaskini untuk 2022. Sedan eksekutif ini datang dalam dua penawaran — Passat Elegance dan versi lebih sporty, Passat R-Line. Kedua-duanya pemasangan tempatan dan diberi kemaskini, termasuk kelengkapan tambahan.

    PACE 2022: Volkswagen Passat dikemaskini bakal dipamer — tawaran menarik untuk Elegance, R-Line

    Elegance yang dijual pada harga RM183,680 kini datang dengan rim 18-inci Bonneville dan lencana VW yang baru, panel sentuh baru dengan maklum balas haptik untuk sistem pendingin tiga-zon Climatronic dan sambungan tanpa wayar Android Auto untuk sistem infotainmen Discover Pro 9.2-inci. Passat paling asas ini menggunakan enjin 2.0L TSI dengan 190 PS dan 320 Nm, digandingkan bersama transmisi DSG klac berkembar tujuh-kelajuan.

    Untuk lebih sporty, Passat R-Line memberikan lebih gaya dan kuasa. Untuk tahun 2022, ia menggunakan enjin 2.0L TSI dengan janaan 220 PS dan 350 Nm, iaitu 30 PS dan 30 Nm lebih tinggi berbanding Elegance. DSG enam-kelajan dengan klac berkembar basah melengkapinya, serta penyerap hentak adaptif DCC dan differential elektronik XDS turut tersedia.

    Passat R-Line juga datang dengan panel kawalan haptik untuk sistem Climatronic tiga-zon, dan audio dinaiktaraf kepada sistem Harman Kardon 700W dengan 12 pembesar suara. Passat R-Line dijual pada harga RM212,939. Menarik tentang PAC adalah anda boleh meninjau model pesaing yang berada di bawah satu bumbung di lokasi kelak.

    PACE 2022: Volkswagen Passat dikemaskini bakal dipamer — tawaran menarik untuk Elegance, R-Line

    Seperti biasa, membeli kenderaan di PACE akan memberikan anda bonus dan penjimatan. Semua kenderaan yang ditempah akan didatangkan dengan baucar bernilai RM2,500 daripada rakan niaga kami. Ini termasuk baucar RM500 untuk filem pelindung cat kenderaan (Kuziq Glanz), baucar RM500 bagi filem penapis haba (V-Kool), baucar RM500 bagi penapis udara (Blueair), baucar RM500 untuk kerusi kanak-kanak (Recaro Kids) dan baucar RM500 untuk produk gaya hidup Ogawa.

    Jenama yang ikut serta juga membawakan barisan kenderaan terpakai yang berkualiti, dan pembeli akan menerima baucar bernilai RM1,000 daripada PACE, mengandungi dua baucar rawak RM500 daripada Kuzig Glanz, V-Kool, Blueair atau Recaro Kids.

    Selain tawaran daripada jenama terlibat dan baucar tersebut, pembeli di PACE 2022 juga layak untuk memenangi 10 unit telefon pintar bernilai RM3,500 setiap satu. Lebih menarik, ada hadiah utama berupa pakej percutian bernilai RM25,000 untuk seorang pelanggan bertuah dan pasangan. Perinciannya ada di sini.

    Pengecualian SST, tawaran hebat daripada jenama, baucar percuma daripada PACE, cabutan bertuah — semua ini menjadikan acara berkenaan masa dan tempat terbaik untuk membeli kenderaan. Jumpa di sana nanti!

     
     
  • Mazda CX-60 sekali lagi muncul dalam video teaser

    Mengikut perancangan, Mazda CX-60 akan diperkenalkan kepada dunia dalam masa satu minggu lagi, iaitu pada 8 Mac. Jadi, sebelum itu, mereka masih lagi mempunyai masa untuk mengeluarkan satu lagi teaser, dalam bentuk video. Kali ini, kita dapat melihat bahagian tepi badannya.

    Dari situ, kita boleh mengesahkan bahawa gambar yang bocor dan tersebar November lalu memang adalah CX-60 yang sebenar. Model ini menggunakan dua baris tempat duduk, dan menariknya, akan dibina atas platform baru enjin di hadapan, pacuan roda belakang (FR). Konsep rekaan Kodo masih dikekalkan.

    Daripada gambar yang tersebar sebelum ini juga kita boleh melihat bahagian hadapan CX-60 ini, di mana ia menggunakan lampu utama jenis bertingkat, jalur lampu DRL yang bersambung hingga ke gril, sirip udara hiasan di fender, rim dua tona besar serta garis tingkat yang menaik di belakang.

    Mazda memberitahu, rekaan kenderaan ini mengikut prinsip “less is more” serta konsep Ma Jepun yang membawa makna “ketenangan dan kecantikan bermaruah pada ruang terbuka.” Selain daripada itu, Mazda juga menyatakan bahawa cat putih dengan “pantulan halus” pada CX-60 ini adalah dibangunkan khas untuknya.

    Sedikit bahagian dalam CX-60 juga sudah pernah ditunjuk dalam teaser sebelum ini, di mana ia menggunakan kemasan gabungan kayu maple, kulit Nappa, krom serta fabrik Jepun dengan jahitan inspirasi daripada pembuatan buku Jepun. Ia juga sudah disahkan akan diperkenalkan dengan enjin PHEV yang menggunakan gabungan enjin petrol empat silinder 2.5 liter dan motor elektrik.

     
     
  • Jeep dedah gambar EV pertama mereka – lancar 2023

    Jeep dedah gambar EV pertama mereka – lancar 2023

    Jeep telah mendedahkan gambar model elektrik pertama mereka, yang akan dilancarkan di Eropah pada separuh pertama tahun 2023. Model yang masih belum mempunyai nama ini menggunakan bentuk sebuah crossover kompak, dan dijangka diletakkan di antara Compass dan Renegade dalam barisan model yang ditawarkan oleh Jeep.

    EV Jeep ini berkemungkinan menggunakan platform Stellantis’ STLA (Stella), yang datang dalam tiga versi untuk kenderaan penumpang iaitu kecil, sederhana dan besar. Pada aspek rekaan pula, EV ini dapat dikenali sebagai sebuah Jeep kerana menggunakan gril yang sudah sinonim dengan jenama itu – tetapi tidak mempunyai lubang.

    Sebahagian daripada gril itu juga mengasingkan bahagian jalur lampu DRL di atas dengan unit lampu utama di bawah, sementara pada bampar pula terdapat dua bukaan udara, lampu kabus serta skid plate hiasan. Kemasan plastik hitam bukan setakat digunakan pada lengkuk roda, malah juga bahagian bawah pintu dan bampar.

    Jeep dedah gambar EV pertama mereka – lancar 2023

    Perkara lain yang boleh dilihat adalah lekuk jelas pada fender, warna dua tona serta pintu belakang yang menggunakan pembuka tersembunyi pada c-pillar. Bahagian belakang juga mendapat skid plate berwarna perak, serta lampu yang mempunyai pencahayaan bentuk X seperti model Jeep lain. Sedikit kemasan biru serta lencana “e” memberi idea ini adalah crossover elektrik, tetapi pemacunya masih belum diberitahu.

    EV Jeep ini adalah satu daripada beberapa model yang telah dinyatakan oleh Stellantis dalam pembentangan rancangan masa hadapan mereka, dan syarikat itu juga mensasarkan 100% jualan di Eropah dan 50% di Amerika Syarikat adalah untuk kenderaan elektrik, menjelang hujung dekad ini.

     
     
  • Parkir automatik di KLCC kini boleh guna Setel

    Parkir automatik di KLCC kini boleh guna Setel

    Pengguna kini boleh menggunakan e-wallet Setel untuk ruang letak kereta automatik di Suria KLCC, dengan beberapa lagi lokasi seperti Pusat Persidangan KLCC dan Lot 91 KLCC juga akan menggunakan sistem berkenaan di masa hadapan. Ini bagaimana cara ia berfungsi.

    Pertama sekali, anda perlu mendaftar sebagai pengguna Setel dan masukkan perincian dalam menu “Parking”, yang berada dalam seksyen “More” dalam aplikasi — hanya perlu pastikan ia dari versi terkini.

    Selepas kenderaan anda siap ditambah, sentuh butang di sebelah nombor plat dan masukkan PIN/pengenalan biometrik untuk membolehkan pembayaran parkir automatik. Anda boleh mendaftar lebih daripada satu kenderaan di bawah akaun anda tetapi hanya satu kenderaan yang boleh dimanfaatkan dalam satu-satu masa dan perlu dipilih bagi sesi parkir automatik berkenaan.

    Dari sini, anda perlu masuk melalui lorong khas Setel di Suria KLCC. Sistem pengesanan nombor plat automatik (ANPR) akan mengimbas nombor kenderaan anda dan mengesahkan sama ada kenderaan berkenaan boleh dibenarkan masuk. Anda boleh memeriksa tempoh parkir dan perincian lain dalam masa nyata menggunakan aplikasi Setel selepas parkir.

    Parkir automatik di KLCC kini boleh guna Setel

    Ketika keluar, ANPR akan sekali lagi mengimbas nombor plat kenderaan anda dan menamatkan sesi parkir, dengan bayaran parkir ditolak secara automatik daripada baki e-wallet Setel. Walaupun anda boleh masuk ruang parkir dengan baki rendah (tiada had minimum diperlukan), anda tidak akan dibenarkan untuk pergi sekiranya tidak cukup jumlah bayaran parkir. Buat masa ini, anda hanya boleh membayara menggunakan e-wallet Setel, dengan kaedah bayaran lain akan ditambah kelak.

    Tidak seperti kaedah bayaran parkir lain, anda tidak perlu membayar di kiosk sebelum keluar atau menyentuhkan kad di pengimbas. Sebagai contoh, sistem parkir pintar di Sunway Pyramid juga menggunakan ANPR, tetapi anda perlu mambayar di kiosk, menyentuh kad ketika keluar atau imbas kod QR untuk membayar. Dah boleh cuba Setel?

     
     
  • Hyundai Ioniq 5 EV akan dipasang di kilang HMMI Cikarang, Indonesia — 1,000 unit dikeluar tahun ini

    Hyundai Ioniq 5 EV akan dipasang di kilang HMMI Cikarang, Indonesia — 1,000 unit dikeluar tahun ini

    Menurut sebuah laporan oleh OtoDriver, Hyundai Ioniq 5 akan dipasang di Indonesia di kilang PT Hyundai Motor Manufacturing Indonesia (HMMI) yang terletak di Cikarang, Bekasi, Jawa Barat.

    Ini penting kerana kali pertama Ioniq 5 dipasang di luar Korea Selatan. Pemasangan kenderaan EV berkenaan, dengan kod model NE, dijangka akan bermula bulan ini dengan 1,000 unit dijangka tersedia tahun ini, dan dinaikkan kepada 1,500 unit pada 2023.

    Sumber mengatakan angka berkenaan akan ditingkatkan kepada 2,000 unit pada tahun ketiga dan 2,500 unit selepas itu. Kilang PT Hyundai Motor Manufacturing Indonesia (HMMI) mempunyai kapasiti tahunan 150,000 unit, dengan separuh daripada output berkenaan akan dieksport ke negara jiran di Asia Tenggara. Selain Ioniq 5, Creta juga dipasang di kilang yang sama.

    Kedua-dua HMMI dan syarikat jualan PT Hyundai Motors Indonesia (HMID) adalah anak syarikat milik penuh Hyundai Motor Company, menggantikan syarikat milik tempatan sebelum itu, PT Hyundai Mobil Indonesia (pengedaran) dan PT Hyundai Indonesia Motor (pemasangan; kini dinamakan PT Handal Indonesia Motor sejak November 2020).

    Ioniq 5 telah diperkenalkan di peringkat global Februari tahun lalu dan dibina menggunakan platform Electric-Global Modular Platform (E-GMP). Ia ditawarkan dengan pacuan belakang motor tunggal atau pacuan semua roda (dwi-motor), tiga kapasiti bateri (58 kWh, 72.6 kWh, 77.4 kWh) dan output antara 170 PS (168 hp atau 125 kW)/350 Nm hingga 325 PS (321 hp atau 239 kW)/605 Nm.

     
     
  • Sistem RFID : Kadar penggunaan meningkat 18% sejak diperkenalkan pada tahun 2017 – Menteri Kerja Raya

    Sistem RFID : Kadar penggunaan meningkat 18% sejak diperkenalkan pada tahun 2017 – Menteri Kerja Raya

    Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof telah memaklumkan kadar penggunaan peranti Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) atau MyRFID bagi pembayaran tol meningkat sebanyak 18% sejak diperkenalkan pada 2017. Jelasnya, pemilihan teknologi RFID dilihat lebih berkesan berbanding teknologi Infrared yang digunakan bagi peranti SmartTag, laporan Bernama.

    “Jika dibandingkan dengan SmartTag yang menggunakan teknologi Infrared, teknologi ini masih belum terbukti keberkesanannya dalam pelaksanaan sistem laluan terus pelbagai lorong (MLFF) berbanding teknologi RFID yang telah diguna pakai secara meluas oleh negara-negara maju yang telah melaksanakan sistem kutipan tol itu.

    “Pelaksanaan teknologi RFID adalah selaras dengan hasrat kementerian untuk memperkenalkan sistem kutipan tol tanpa henti (MLFF) menggunakan pendekatan teknologi RFID dan dijangka dilaksanakan sepenuhnya menjelang tahun 2025,” katanya menerusi persidangan Dewan Rakyat semalam.

    Sistem RFID : Kadar penggunaan meningkat 18% sejak diperkenalkan pada tahun 2017 – Menteri Kerja Raya

    Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) mengenai pelaksanaan kemudahan pembayaran tol menggunakan teknologi RFID di semua tol tertutup di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) pada sesi soal jawab lisan.

    Berhubung dengan langkah mengatasi masalah kesesakan di plaza tol susulan dakwaan ketidakberkesanan RFID, Fadillah berkata beberapa tindakan jangka masa pendek telah dilakukan antara lain, menempatkan petugas tol di plaza tol dan mengekalkan lorong Touch ‘n Go (TnG) dan SmartTag sedia ada.

    “Kalau lihat sistem sedia ada, Touch n Go kita perlu berhenti untuk imbas sebelum palang dibuka dengan jumlah 450 kenderaan yang mampu diproses dalam tempoh satu jam, manakala SmartTag dan RFID mampu proses 1,000 kenderaan bererti ia juga mengurangkan kesesakan lalu lintas,” katanya.

    Sistem RFID : Kadar penggunaan meningkat 18% sejak diperkenalkan pada tahun 2017 – Menteri Kerja Raya

    Mohd Fasiah juga mengajukan soalan tambahan mengenai sama ada kerajaan bercadang untuk menghapuskan tol pada masa hadapan, dan Fadillah menjawab kerajaan tidak mampu menghapuskan tol kerana pampasannya yang begitu besar.

    “Janji Pakatan Harapan untuk menghapuskan tol semasa pentadbiran terdahulu juga tidak dapat dilaksanakan berikutan realiti kos yang ditanggung untuk membayar pampasan itu amat besar. Oleh itu, kita sekarang ini hanya lakukan perundingan untuk lihat bagaimana kita tidak bebankan pengguna dan dalam masa sama tidak membebankan kerajaan dari segi kedudukan kewangan kita. Menang-menang untuk semua pihak,” katanya.

    Merujuk kepada harga jualan semasa bagi tag RFID, Dewan Rakyat turut dimaklumkan bahawa pihak kerajaan telah meminta supaya pihak TnG Sdn Bhd mengkaji semula kos-kos berkenaan bagi tujuan mengurangkan harga jualan tag tersebut.

     
     
  • Parkir di Selangor – pembayaran secara digital sepenuhnya dilaksanakan bermula 1 April 2022

    Parkir di Selangor – pembayaran secara digital sepenuhnya dilaksanakan bermula 1 April 2022

    Pembayaran parkir di Selangor bakal dilaksanakan secara digital sepenuhnya bermula 1 April 2022, melibatkan semua daerah kecuali Sabak Bernam dan Hulu Selangor, laporan Free Malaysia Today.

    Selangor telah memulakan pelaksanaan sistem pembayaran digital secara berperingkat sejak 1 Januari lalu bagi memberi masa kepada orang awam menyesuaikan diri dengan perubahan itu, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Kampung Baharu Selangor, Ng Sze Han.

    Tambah Ng, pembayaran digital untuk parkir boleh dibuat melalui aplikasi mudah alih Smart Selangor Parking, yang boleh dimuat turun menerusi Apple App Store, Google Play dan Galeri Aplikasi Huawei. Sementara itu, penggunaan kupon letak kereta dan pembayaran manual menerusi mesin akan berakhir pada 31 Mac ini.

    Parkir di Selangor – pembayaran secara digital sepenuhnya dilaksanakan bermula 1 April 2022

    Untuk pemandu yang tidak mempunyai telefon pintar atau pun akses pembankan dalam talian di mana ia diperlukan untuk membuat pembayaran menerusi aplikasi berkenaan, mereka boleh membuat pembayaran dan pembelian kredit tambah nilai untuk e-kupon dari 100 kedai yang dipilih oleh pihak berkuasa tempatan, di mana terdapat tanda “SSP” yang dipaparkan” dan “e-kupon ada dijual di sini”, ujar Ng lagi.

    “Kini warga emas tidak perlu berjalan ke kereta mereka untuk meletakkan resit parkir yang dicetak kerana pembayaran direkodkan secara dalam talian untuk pegawai penguatkuasa menyemak secara maya,” kata Ng. Bagi mereka yang telah mengumpul kupon yang tidak digunakan, ia boleh ditukar kepada kredit dalam aplikasi mudah alih SSP dari 16 Mac hingga 30 April, tambahnya.

    Ng turut berkata, selain itu, zon parkir dua-jam khas, atau “Zon 2 Jam” akan diimplementasikan di kawasan komersil yang sibuk pada tahun ini.

    Parkir di Selangor – pembayaran secara digital sepenuhnya dilaksanakan bermula 1 April 2022

    Penggunaan kupon parkir menggunakan kertas sebegini termasuk yang dioperasikan oleh mesin secara manual tidak akan diteruskan selepas 31 Mac ini di Selangor

    “Kadar parkir bagi zon berkenaan adalah sama. Tujuannya adalah untuk mempunyai lebih banyak penggiliran di lot parkir untuk mengurangkan masalah sedia ada yang dihadapi oleh pemandu di kawasan komersil yang sibuk,” kata Ng.

    Ia akan dimulakan oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MBSJ) yang baru-baru ini telah mengumumkan akan melaksanakan had parkir dua-jam di beberapa kawasan dalam pentadbirannya termasuk di Subang Jaya, USJ 9 dan 10 (Taipan), SS19, Bandar Puteri Puchong dan Bandar Sunway.

    MBSJ juga akan beralih ke pembayaran parkir digital sepenuhnya bermula tarikh yang sama iaitu 1 April ini. Aplikasi yang menyediakan perkhidmatan pembayaran secara digital ini termasuk Smart Selangor Parking, Flexi Parking, Jom Parking, Boost dan Touch n Go e-wallets.

     
     
  • Toyota tutup kilang di Jepun kerana serangan siber

    Toyota tutup kilang di Jepun kerana serangan siber

    Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Toyota telah mengumumkan bahawa mereka telah menghentikan kesemua operasi barisan produksi mereka di 14 kilang seluruh Jepun bermula semalam kerana “kegagalan sistem pada pembekal domestik”.

    Menurut laporan Nikkei Asia, Hino telah menghentikan sementara operasi kilang Koga dan Hamura mereka, manakala produksi Daihatsu pula berhenti di fasiliti mereka di Kyoto. Laporan tersebut turut menyebut bahawa pembekal yang dimaksudkan tersebut iaitu Kojima Industries (membekalkan komponen plastik kepada Toyota) menjangkakan pengeluaran mereka akan dikurangkan sehingga “berberapa ratus buah kenderaan.”

    “Memang benar kami telah menerima serangan siber. Kami masih sedang mengenalpasti kerosakan dan kami bergegas untuk menyelesaikannya, dengan keutamaan untuk meneruskan semula sistem produksi Toyota secepat yang mungkin,” kata sumber yang rapat dengan Kojima Industries kepada Nikkei Asia.

    Akhbar tersebut turut menyatakan bahawa kelmarin syarikat berkenaan masih menyiasat asal usul serangan siber tersebut, apa perisian hasad sebenar yang digunakan dan kerosakan yang dibawa.

    Kebanyakkan dari sekitar 400 pembekal Tingkat 1 Toyota adalah berkait terus dengan sistem kawalan produksi segera jenama tersebut, menjelaskan mengapa serangan siber terhadap Kojima Industries telah menjejaskan Toyota, tulis Nikkei Asia.

    Tambah laporan itu lagi, Toyota telah menghentikan produksinya bagi mengelakkan kerosakan jangka masa panjang, dan mengutamakan pemeriksaan serta pemulihan sistem tersebut.

     
     
  • Hyundai Ioniq 5 2022 kini sudah boleh ditempah di Malaysia, bakal dilancarkan dalam tempoh terdekat

    Hyundai Ioniq 5  2022 kini sudah boleh ditempah di Malaysia, bakal dilancarkan dalam tempoh terdekat

    Pengedar rasmi jenama Hyundai di Malaysia iaitu Hyundai Sime Darby Motors (HSDM) kini secara rasmi mengesahkan bahawa kereta elektrik penuh (EV) Ioniq 5 akan dilancarkan pada pasaran tempatan tidak lama lagi, dan mereka yang berminat kini sudah pun boleh membuat tempahan.

    Ini bermakna Hyundai bakal mempunyai dua model EV yang dijual di bilik pameran di Malaysia selepas ini, dengan Kona Electric telah pun dilancarkan di sini pada bulan November tahun lalu.

    “Kona Elektrik yang telah diperkenalkan tahun lalu telah mencatatkan kejayaan dengan kumpulan pertama model tersebut telah pun habis dijual. Kami jangka permintaan terhadap Ioniq 5 ini akan melangkaui permintaan untuk Kona Electric. Disebabkan kenderaan elektrik jenama Hyundai diterima baik di sini, kami telah membariskan lebih banyak model elektrik untuk pelanggan kami yang bijak menilai,” kata Pengarah Urusan untuk pengedaran dan peruncitan Sime Darby Motors Malaysia, Jeffrey Gan.

    Beliau turut menambah bahawa Hyundai bakal menerajui pasaran segmen kereta elektrik di Malaysia kerana lebih banyak model-model EV dari jenama Korea berkenaan akan diperkenalkan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

    Hyundai Ioniq 5  2022 kini sudah boleh ditempah di Malaysia, bakal dilancarkan dalam tempoh terdekat

    Ioniq 5 merupakan kereta elektrik yang diasaskan platform Electric-Global Modular Platform (E-GMP) Hyundai Motor Group. Tidak seperti Kona yang asalnya dihasilkan untuk model dengan enjin pembakaran dalaman, platform E-GMP yang direka seakan papan luncur ini adalah khas dibangunkan untuk kereta-kereta elektrik. Bagi yang belum tahu, nama ‘Ioniq’ itu sendiri kini adalah sub-jenama Hyundai hanya untuk EV, yang selepas ini akan tampil dengan model sedan dan SUV.

    Model yang diumumkan pada Februari 2021 ini adalah versi produksi untuk model konsep Hyundai 45 Concept yang muncul di Frankfurt pada 2019, diinspirasi dari model konsep rekaan Giorgetto Giugiaro iaitu Hyundai Pony Coupe Concept 1974.

    Seperti yang dilaporkan semalam, Ioniq 5 pasaran Malaysia kelak akan tampil dalam dua versi bateri iaitu 58 kWj dan 72.6 kWj. Bagi model dengan bateri paling kecil 58 kWj, ia akan dibekalkan dengan sebuah motor elektrik berkuasa 215 hp/350 Nm pada gandar belakang, untuk memacu roda belakang.

    Manakala untuk varian dengan bateri lebih besar 72.6 kWj, ia akan dibekalkan dengan satu lagi motor pada gandar hadapan, menjadikannya sebuah model pacuan semua roda dengan kuasa keseluruhan 302 hp/605 Nm. Ini membolehkan model paling berkuasa tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 5.2 saat, serta jarak gerak 430 km untuk satu cas penuh berdasarkan kitaran ujian WLTP.

    Hyundai Ioniq 5  2022 kini sudah boleh ditempah di Malaysia, bakal dilancarkan dalam tempoh terdekat

    Walau bagaimanapun, kedua-dua model ini ditetapkan bagi mencapai kelajuan maksima 185 km/j. Untuk pasaran global lain, Ioniq 5 turut ada ditawarkan dengan bateri 72.6 kWj, tetapi hanya memacu roda belakang yang boleh mencapai jarak gerak sejauh 470 hingga 480 km dengan sekali cas.

    Apa yang unik pada Ioniq 5 ini berbanding EV lain, ia mampu untuk menyokong sistem 400 V dan 800 V melalui lonjakkan yang diberi pada motor elektrik dan unit inverter, tanpa memerlukan pengecas bina dalam berasingan. Dengan pengecas pantas 350 kW DC, pengguna boleh mengecas dari 10 hingga 80% dalam masa 18 minit sahaja. Sistem ini turut membolehkan ia menerima jarak gerak tambahan 100 km (mengikut kitaran WLTP) dengan tempoh mengecas hanya lima minit.

    Walau bagaimanapun, kita di Malaysia masih belum mempunyai fasiliti mengecas yang benar-benar pantas. Buat masa sekarang fasiliti pengecas pantas DC yang kita ada seperti di rangkaian Shell Recharge adalah 180 kW. Menurut Hyundai, pada kadar 50 kW, bateri 72.6 kWh Ioniq 5 boleh dicas bagi sehingga tahap 80% penuh dalam masa 62 minit. Jadi dengan kadar 180 kW, ia tentu lebih pantas.

    Hyundai Ioniq 5  2022 kini sudah boleh ditempah di Malaysia, bakal dilancarkan dalam tempoh terdekat

    Dengan pengecas AC on-board pula, bateri tersebut boleh boleh dipenuhkan dalam tempoh enam jam dan enam minit. Sama seperti model EV Hyundai yang lain, Ioniq 5 dilengkapi port CCS2 untuk sistem ini. Kereta ini juga diberikan soket kenderaan-kepada-beban (vehicle-to-load atau V2L) yang diletakkan di bawah tempat duduk belakang. Soket ini membolehkan Ioniq menjadi sebuah power bank gergasi untuk mengecas basikal atau skuter elektrik, atau memberikan kuasa elektrik kepada kelengkapan-kelengkapan perkhemahan.

    Dari segi saiz pula, Ioniq 5 ini dihasilkan dengan ukuran 4,635 mm panjang, 1,890 mm lebar, 1,605 mm tinggi serta jarak roda sejauh 3,000 mm – dalam gambar ia mungkin nampak seperti sebuah hatchback kompak, tetapi hakikatnya ia adalah 430 mm lebih panjang dan 90 mm lebih lebar dari Kona, bersama jarak roda yang lebih jauh berbanding Toyota Camry (2,825 mm) dan Mercedes-Benz E-Class (2,939 mm). Untuk pengetahuan anda, rim yang anda lihat bersaiz seakan 18-inci pada Ioniq 5 ini sebenarnya berdiameter 20-inci.

    Buat masa sekarang, HSDM masih belum memperincikan varian-varian Ioniq 5 pasaran Malaysia, namun kami difahamkan ia akan ditawarkan dalam tiga varian, dengan nama Lite, Plus dan Max sama seperti varian yag ditawarkan pada Kona Electric.

    Hyundai Ioniq 5  2022 kini sudah boleh ditempah di Malaysia, bakal dilancarkan dalam tempoh terdekat

    HSDM juga masih belum memberikan sebarang petunjuk berkenaan harga, tetapi jika berminat untuk membuat tempahan untuk Ioniq 5 ini, anda perlu membuat bayaran deposit berjumlah RM1,000.

    Jadi agak-agak berapa harga jualan untuk Ioniq 5 ini di Malaysia kelak? Di Australia, Ioniq 5 yang habis dijual dalam masa hanya dua jam ini boleh dibeli dengan harga A$75,900 (sekitar RM229k) untuk varian tertinggi 72.6 kWj AWD. Kami jangkakan ia tentu jauh lebih mahal dari Kona Electric yang dijual pada harga bermula RM150k (39.2 kWh) hingga RM200k (64 kWh).

    Jadi tanpa dikenakan sebarang cukai dan duti untuk kereta elektrik CBU seperti yang diumumkan kerajaan sebelum ini, kami rasa Hyundai Ioniq 5 mungkin akan dijual pada harga RM200k hingga RM250k. Pelancaran model ini mungkin akan dibuat pada bulan ini juga. Namun anda perlu ingat, walaupun anda orang pertama yang membuat tempahan, mustahil untuk anda menjadi orang pertama memiliki Ioniq 5 di Malaysia, kerana Sultan Johor dah ada kereta ini dalam garaj baginda!

     
     
  • BMW i dibawa oleh Regas Premium Auto Kuching ke M’sia Timur – fasiliti pengecasan BMW i turut dipasang

    BMW i dibawa oleh Regas Premium Auto Kuching ke M’sia Timur – fasiliti pengecasan BMW i turut dipasang

    BMW Group Malaysia telah mengembangkan rangkaian fasiliti pengecasan BMW i di negara ini dengan menambah pengecas pantas DC 180-kW baharu di Regas Premium Auto Kuching, sempena dengan ketibaan BMW iX di Malaysia Timur.

    iX dilancarkan di Malaysia pada Ogos tahun lalu dan mendapat manfaat daripada insentif kewangan dari kerajaan untuk EV pada tahun ini. Dengan cukai import dan eksais serta pengecualian cukai jualan (rebat 50% memandangkan iX adalah model CBU), iX ditawarkan pada harga dari RM356,987.35 atas jalan tanpa insurans di Malaysia Timur iaitu untuk Sabah dan Sarawak.

    “2022 akan menjadi tahun yang penting bagi kami di BMW Group Malaysia kerana kami sedang menuju ke arah elektrifikasi yang akan mengubah landskap automotif tempatan yang lebih mampan. Oleh itu, penting bagi untuk terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan, terutamanya pengedar kami, bagi memastikan bahawa infrastruktur pengecasan disediakan,” kata Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia.

    Tambah beliau lagi, “Ketibaan BMW iX di pasaran, serta pemasangan fasiliti pengecasan pantas DC BMW i baharu di Regas Premium Auto Kuching adalah bukti pendekatan ini, dan kami sangat teruja untuk pelanggan kami di Sarawak yang berpeluang merasai pengalaman ‘Sheer Electric Driving Pleasure’ dengan sebaik-baiknya.”

    BMW i dibawa oleh Regas Premium Auto Kuching ke M’sia Timur – fasiliti pengecasan BMW i turut dipasang

    “Sebagai satu-satunya pengedar BMW sah di Sarawak, kami berbesar hati dapat mewakili ‘Masa Depan Mobiliti Elektrik’ di sini, bagi pihak BMW Group Malaysia – dengan pemasangan pengecas pantas BMW i DC baharu, satu daripada dua Kemudahan pengecasan pantas DC kini tersedia di negeri ini. Ketibaan BMW iX serba elektrik juga tepat pada masanya kerana minat dan penghargaan pelanggan terhadap kenderaan elektrik semakin meningkat di Malaysia Timur,” ulas Jolene Tay, pengurus pemasaran Regas Premium Auto.

    “Pembangunan infrastruktur yang lebih baik untuk mempercepatkan penggunaan mobiliti elektrik di kalangan pemandu di Sarawak adalah satu langkah yang amat kami alu-alukan daripada semua pihak berkepentingan dalam industri.

    “Keyakinan yang ditunjukkan oleh BMW Group Malaysia dan Regas Group terhadap daya maju industri automotif di sini sejajar dengan matlamat kami untuk mobiliti mampan, dan kami berharap untuk melihat lebih banyak pembuat kereta mengambilnya sebagai inspirasi untuk turut bekerjasama dalam mempertingkatkan ekosistem untuk mobiliti elektro di Sarawak,” kata Datuk Sri Sim Kui Hian, Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Sesihatan Awam, Perumahan dan Tempatan kerajaan Sarawak.

     
     
  • Yamaha XMax 250 diberikan pembaharuan – enjin Euro 4, rekaan kunci dan pilihan warna baru, RM21,998

    Yamaha XMax 250 diberikan pembaharuan – enjin Euro 4, rekaan kunci dan pilihan warna baru, RM21,998

    Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) hari ini memperkenalkan XMax baru untuk pasaran Malaysia, di mana ia melibatkan beberapa peningkatan dan dijual pada harga RM21,998 tidak termasuk insurans dan cukai jalan – sedikit peningkatan berbanding harga RM21,500 sebelum ini.

    Enjin satu silinder 250 cc suntikan bahan api pada skuter ini telah dipertingkat untuk menepati tahap emisi Euro 4, tetapi jumlah kuasanya masih lagi sama iaitu 22.5 hp pada 7,000 rpm dan 24.3 Nm tork pada 5,500 rpm, disampaikan kepada roda belakang melalui transmisi automatik tali sawat.

    Melalui model baru ini juga pemilik akan menerima kunci pintar dengan rekaan baru serta lampu penunjuk arah yang lebih gelap (smoke) berbanding sebelum ini. Pilihan warna yang disediakan sekarang untuk XMax 250 adalah Icon Grey dan Power Grey.

    Bahagian lain pada skuter ini masih sama seperti sebelumya, termasuk rim 15 inci di hadapan, 14 inci di belakang, brek cakera depan dan belakang dengan sistem ABS, tangki bahan api 13.2 liter serta ruang simpanan yang boleh menempatkan dua buah helmet di bawah tempat duduk.

    Suspensi XMax 250 menggunakan padanan fork teleskopik di hadapan dan dua penyerap hentak di belakang, sementara kelengkapan lain padanya adalah seperti soket pengecas USB di ruang simpanan bawah pemegang, lampu LED dengan DRL, panel instrumen padanan analog dan digital (LCD), sistem kawalan cengkaman serta sistem kunci pintar.

     
     
  • Ford Everest 2023 diperkenal dalam tiga versi, empat enjin termasuk V6 3.0L diesel turbo, 7-tempat duduk

    Ford Everest 2023 diperkenal dalam tiga versi, empat enjin termasuk V6 3.0L diesel turbo, 7-tempat duduk

    Satu minggu selepas memperkenalkan pikap Raptor generasi kedua, Ford kini mendedahkan pula Everest serba baru. Apabila mula dijual nanti, SUV generasi ketiga ini akan ditawarkan dalam tiga gred iaitu Sport, Titanium+ dan Platinum, dan daripadanya, pelbagai lagi varian akan dikeluarkan.

    Seperti yang pernah dilihat dalam teaser, SUV tujuh tempat duduk ini menampilkan lampu utama dengan pencahayaan berbentuk C ala Maverick seperti Raptor, tetapi dengan gril yang lebih konvensional serta logo Ford biasa di bahagian tengah. Jarak roda kiri dan kanan yang lebih lebar kini menjadikan ia nampak lebih tegap atas jalan raya.

    Semasa pelancaran, empat enjin diperkenalkan untuk Everest baru ini, dengan tiga daripadanya adalah diesel. Satu daripada tiga enjin diesel ini adalah baru bagi Everest, iaitu unit V6 3.0L turbo, tetapi jumlah kuasanya masih belum diberitahu.

    Dua lagi enjin diesel adalah unit empat silinder 2.0L Single Turbo dan Bi-Turbo seperti yang pernah digunakan sebelum ini, sementara enjin petrol pula adalah unit 2.3L EcoBoost. Bagi enjin petrol ini, ia hanya akan ditawarkan kepada pasaran tertentu sahaja bermula tahun 2023. Untuk transmisi, SUV ini datang dengan pilihan unit automatik enam kelajuan atau automatik 10 kelajuan SelectShift 10R80.

    Jarak roda antara depan dan belakang Everest baru ini juga adalah lebih panjang, manakala jarak roda antara kiri dan kanan yang 50 mm lebih lebar membantu menghasilkan kawalan yang lebih baik atas jalan. Turut membantu kualiti pemanduannya (atas jalan biasa dan offroad) adalah tetapan suspensi yang ditala semula.

    Melalui Everest baru ini, pembeli boleh memilih dua sistem 4WD, iaitu yang mempunyai transfer case elektrik dua kelajuan shift-on-the-fly (juga dikenali sebagai part-time 4WD), atau yang menggunakan transfer case elektromekanikal kawalan elektronik dua kelajuan (EMTC) dengan mod pemanduan. Bagi pasaran tertentu, Everest juga akan ditawarkan dalam versi pacuan dua roda.

    Ford Everest 2023 diperkenal dalam tiga versi, empat enjin termasuk V6 3.0L diesel turbo, 7-tempat duduk

    Dengan hanya menekan satu butang sahaja, pemandu boleh melihat penunjuk sistem pacuan serta pengunci differential, sudut stereng dan panduan, serta sudut condong dan senget melalui skrin offroad khas. Kamera hadapan menyediakan pandangan keadaan jalan, dengan garis panduan ramalan untuk membantu pemandu mengatasi halangan.

    Meskipun mempunyai binaan sebuah SUV, kemampuan teknikal Everest masih lagi tinggi, di mana ia boleh meredah air sehingga 800 mm dan menunda treler sehingga 3,500 kg. Untuk ciri menunda ini, mod khas telah ditala untuk memastikan penukaran gear serta penyampaian kuasa yang lebih sesuai apabila menarik barang di belakang. Di atas bumbung, rel baru membolehkan Everest membawa barang statik sehingga 350 kg dan beban dinamik 100 kg.

    Menurut Ford, mereka telah menghabiskan banyak masa untuk membangunkan bahagian dalam Everest baru ini, terutamanya untuk fungsi dan rasa, dengan mengambil inspirasi daripada rumah moden, seterusnya memperkenalkan bahan yang lebih baik, kemasan premium serta lampu suasana di dalam kabin. Perhatian juga diberi untuk menjadikan keadaan di dalam lebih senyap.

    Sebagai tambahan bahagian dalam Everest ini juga mendapat teknologi canggih baru yang termasuk skrin sesentuh resolusi tinggi di bahagian tengah – 10.1 inci atau 12 inci. Panel instrumen juga menggunakan unit digital, 8.0 inci atau 12.4 inci, bergantung kepada varian. Bagi sistem infotainmen, Everest dilengkapi dengan sistem Sync 4, yang tersedia dengan kawalan suara.

    Model varian lebih tinggi akan dilengkapi dengan sistem pengecasan tanpa wayar, penukar gear dibalut kulit serta brek parkir elektronik. Bergantung kepada varian juga, tempat duduk boleh datang dengan jenis manual atau kawalan elektronik 10 arah dengan fungsi memori bagi pemandu dan lapan arah bagi penumpang hadapan.

    Berkenaan tempat duduk, baris kedua boleh dilipat 60:40 manakala baris ketiga boleh dilipat 50:50 dengan hanya menekan satu butang sahaja (bagi model spesifikasi tinggi). Ford memberitahu, akses kepada tempat duduk baris ketiga juga adalah lebih mudah kerana tempat duduk baris kedua boleh dilungsur lebih jauh ke hadapan. Pada bahagian keselamatan, Everest datang dengan sembilan beg udara, termasuk satu yang baru adalah di bahagian antara pemandu dan penumpang hadapan.

    GALERI: Ford Everest Sport 2023

    GALERI: Ford Everest Titanium 2023

    GALERI: Ford Everest Platinum 2023

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025