Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Renault Megane E-Tech Electric pra-produksi didedahkan; motor 217 hp, bateri 60 kWh; jarak 450 km

    Renault Megane E-Tech Electric pra-produksi didedahkan; motor 217 hp, bateri 60 kWh; jarak 450 km

    Susulan imej teaser yang dikeluarkan pada bulan lalu, baru kini Renault bersedia mendedahkan Megane E-Tech Electric dalam bentuk pra-produksi, dan ia dibangunkan dengan platform modular CMF-FV untuk kereta elektrik yang turut digunakan untuk Nissan Ariya.

    Logo berbentuk berlian dua-dimensi, yang direka semula, sama seperti dengan apa yang ditunjuk pada imej teaser sebelum ini, dengan garisan menegak dalam lampu utama dan lampu belakang yang sama seperti model konsep Renault Megane eVision tetapi serlahannya dikurangkan sedikit dan lebih padat bagi model pra-produksi ini. Namun bentuk tailgate masih lebih kurang sama dengan model konsep eVision, dan garis bumbung melunjur terus hingga ke hujung ditambah dengan penggunaan spoiler.

    Bagi penjana kuasanya, Megane E-Tech Electric ini dilengkapi motor pacuan elektrik berkuasa 160 kW (217 hp) bersama pek bateri 60 kWh, yang menawarkan jarak maksimum sehingga 450 km mengikut protokol ujian WLTP.

    Renault Megane E-Tech Electric pra-produksi didedahkan; motor 217 hp, bateri 60 kWh; jarak 450 km

    Walau bagaimana pun, tiada angka prestasi atau pun perincian protokol pengecasan bagi Megane E-Tech Electric ini didedahkan, namun jika dibandingkan dengan model konsep Megane eVision yang turut dijanakan bateri 60 kWh, ia mampu mencapai sehingga 130 kWh dengan pengecas pantas DC, dan pecutan dari 0-100 km/j mampu dicapai dalam lapan saat.

    Varian yang paling setanding dnegan Ariya yang turut menggunakan platform CMF-EV ini juga merupakan varian motor-tunggal, dengan kuasa dianggarkan pada 215 hp dan tork 300 Nm, dijanakan oleh bateri 63 kWh untuk jarak yang lebih kurang sama iaitu 450 km, namun pecutan dari 0-100 km/j bagi model Nissan tersebut mencatatkan masa 7.5 saat.

    Megane E-Tech Electric diuji di jalan raya biasa oleh barisan jurutera Renault dengan dibaluti lapisan penyamaran seperti yang dilihat menerusi foto ini – bersama logo baharu seperti dalam teaser Megane E-Tech Electric – dan menurut Renault, ia diperbuat untuk kenderaan elektrik sepenuhnya oleh Renault Design.

    Unit pra-produksi ini diperbuat di kilang Duai, milik Renault, yang terletak di Perancis, dan menurut pengeluar kereta ini, versi produksi sepenuhnya bagi Megane E-Tech Electric bakal diperkenalkan pada tahun ini juga dan akan mula dijual pada 2022.

     
     
  • Nissan Navara hentikan pengeluaran, jualan di Eropah

    Nissan Navara hentikan pengeluaran, jualan di Eropah

    Nissan telah mengesahkan produksi bagi model semasa Navara D23 di Eropah akan dihentikan apabila kilang Barcelona ditutup hujung tahun ini. “Produksi untuk Nissan Navara generasi semasa untuk pasaran Eropah akan berakhir apabila kilang. Barcelona ditutup pada Disember 2020,” ujar Nissan dalam kenyataan yang diemelkan kepada pihak media.

    Pengeluar automotif ini juga dikhabarkan tidak akan menggantikan trak pikap dengan model facelift terkini, di mana jualannya juga bakal berakhir di benua Eropah. Menurut Automotive News, Nissan berkata keputusan ini disebabkan pasaran untuk pikap telah menyusut walau pun penganalisa meramalkan sebaliknya. “Ia disebabkan penurunan segmen pikap di Eropah dan kebanyakan pelanggan kini memilih van yang lebih moden dan efisien berbanding pikap,” tambah kenyataan Nissan lagi.

    Walau bagaimana pun, Nissan masih mempunyai pilihan untuk mengimport Navara dari kilangnya di Thailand, yang turut mengeksport ke beberapa pasaran lain termasuk Australia. Navara telah berada di pasaran Eropah selama 16 tahun, termasuklah model generasi keduanya yang diperkenalkan pada tahun 2005.

    Model D23 dilancarkan pada tahun 2014 dan telah dikemaskini secara berkala selama bertahun-tahun. Walau pun usaha Nissan untuk meletakkannya sebagai kenderaan yang lebih berorientasi gaya hidup, namun penjualan di Eropah tetap perlahan dan akhirnya kecundang. Toyota dan Ford adalah satu-satunya pengeluar kereta di Eropah yang mengeluarkan trak pikap dalam jumlah yang besar. Manakakala Ford dengan kerjasama Volkswagen akan kembali dengan model Amarok, tidak lama lagi.

     
     
  • Ferrari SF90 Spider diperkenal secara rasmi di M’sia — plug-in hybrid bumbung terbuka, dari RM2.088 juta

    Ferrari SF90 Spider diperkenal secara rasmi di M’sia — plug-in hybrid bumbung terbuka, dari RM2.088 juta

    Naza Italia telah memperkenalkan secara rasmi Ferrari SF90 Spider untuk pasaran Malaysia dan dijual pada harga bermula dari RM2,088,000 (sebelum duti, pilihan kustom, teks dan insurans).

    Model F173A ini pada asasnya adalah model sama dengan SF90 Stradale, tetapi dengan rekaan open-top yang membezakan gayanya. Ukuran dimensi juga ada yang berubah, walaupun tidak ketara — dengan ukuran 4,704 mm panjang, 1,973 mm lebar dan 1,191 mm tinggi, Spider lebih pendek (-6 mm), lebih lebar (+1 mm) dan lebih tinggi (+ 5mm) berbanding versi coupe.

    Dari sudut rekaan, wajah depannya dikekalkan, dan perubahan hanya dilakukan bermula dari bahagian cermin depan ke belakang. Kokpit lebih ke depan bagi Spider, cermin depan berbeza kecondongan serta tiang A direka semula, menjadikannya lebih langsing dengan bumbung yang lebih rendah 20 mm.

    Ferrari SF90 Spider diperkenal secara rasmi di M’sia — plug-in hybrid bumbung terbuka, dari RM2.088 juta

    Berkenaan bumbung boleh lipatnya, unit aluminium itu boleh dipasang atau dibuka dalam masa 14 saat, dan boleh dilakukan dalam kelajuan hingga 45 km/j. Unit ini juga hanya menggunakan 100 liter ruang keseluruhannya. Bumbung ini juga memerlukan beberapa perubahan dilakukan. Antena “sirip jerung” misalnya dialih kedudukannya. Pada Stradale, ia dipasang pada bumbung, tetapi pada Spider ia lebih belakang.

    Oleh kerana bumbung ini terletak di atas ruang enjin, fungsi aliran udara di kawasan itu juga tentulah terhalang. Untuk itu, ada rekaan khas disertakan pada bahagian cermin belakang SF90 Spider yang berfungsi sebagai “corong” mengalihkan udara panas tanpa mengganggu aerodinamik kenderaan ketika bergerak.

    Unit janaan kuasa hibrid pada Spider sama saja dengan Stradale, menggabungkan enjin turbocas V8 dengan tiga motor elektrik, yang mana dua daripadanya adalah independent dan terletak di gandar depan RAC-e elektrik. Motor ketiga (Motor Generator Unit, Kinetic) diletakkan antara enjin dan kotak gear di belakang. Turut hadir ialah transmisi klac berkembar basah lapan kelajuan F1.

    Ferrari SF90 Spider diperkenal secara rasmi di M’sia — plug-in hybrid bumbung terbuka, dari RM2.088 juta

    Pek bateri lithium-ion 7.9 kWh SK Innovations, yang diletakkan di bawah tempat duduk, menyediakan Spider dengan jarak 25 km dengan janaan elektrik sepenuhnya, sehingga 135 km/j. Sama seperti pada Stradale, kereta ini memerlukan masa tiga jam untuk pengecasan bateri dengan kaedah plug-in hybrid.

    Enjin V8 ini menghasilkan sebanyak 780 PS pada 7,500 rpm dan 800 Nm tork pada 6,000 rpm, sementara tiga motor elektrik itu menawarkan 220 PS (atau 162 kW), menjadikannya 1,000 PS (atau 986 hp) keseluruhannya. Walaupun 100 kg lebih berat berbanding Stradale dengan 1,670 kg, Spider kurang sedikit prestasinya; pecutan 0-100 km/j adalah sama dengan masa 2.5 saat, tetapi sedikit lambat berbanding Stradale bagi pecutan 0-200 km/j dengan 7.0 saat (Stradale 6.7 saat). Laju maksimum kedua-duanya sama, 340 km/j.

    Empat mod pemanduan disediakan, dipilih melalui pengawal eManettino. Yang pertama ialah eDrive, operasi elektrik sepenuhnya. Diikuti dengan Hybrid, yang merupakan mod pemanduan standard kereta ini sebaik dihidupkan. Mod ketiga ialah Performance, yang mengekalkan enjin beroeprasi dan memberi keutamaan mengecas bateri, dan yang terakhir ialah Qualify, yang mengutamakan prestasi berbanding pengecasan bateri.

    Ferrari SF90 Spider diperkenal secara rasmi di M’sia — plug-in hybrid bumbung terbuka, dari RM2.088 juta

    Di dalam, kabin Spider juga mirip ruang yang sama pada Stradale. Antara kelengkapan yang ada ialah skrin instrumen digital melengkung 16-inci berdefinisi tinggi, roda stereng dengan touchpad dan butang haptic lainnya, head-up display, sistem navigasi baru serta kunci baru. Sama seperti Stradale, pek pilihan Assetto Fiorano turut ditawarkan bagi SF90 Spider ini.

    Antara yang dimaksudkan ialah livery dua tona, panel pintu gentian karbon serta spring titanium dan ekzos. Turut ada ialah spoiler belakang gentian karbon, penyerap hentak Multimatic GT untuk kegunaan optimum di trek, serta tayar Michelin Pilot Sport Cup2.

    Bagaimanapun, unit ini tidak dibuka untuk tontonan umum, kerana ia akan beralih ke destinasi seterusnya. Kereta ini dijadualkan untuk ditunjuk minggu lalu, tetapi disebabkan PKP 3.0 penuh yang berlangsung sekarang ini, ia tidak dapat dilakukan. Semua material pelancaran ini dilakukan sebelum tempoh PKP 3.0 tersebut.

     
     
  • Cusco Toyota GR 86 Concept – pamer peralatan perlumbaan sebenar untuk 86 generasi baharu

    Cusco Toyota GR 86 Concept – pamer peralatan perlumbaan sebenar untuk 86 generasi baharu

    Tidak seperti penala-penala Jepun yang lain, Carrosesser Co.Ltd atau lebih dikenali sebagai Cusco jarang dikaitkan dengan perlumbaan jalanan, sebaliknya mereka lebih terkenal dalam menghasilkan jentera perlumbaan litar, Gymkhana dan juga rali.

    Jadi pada perhimpunan Fuji 86 Style with BRZ 2021 yang berlangsung di Litar Fuji Speedway hujung minggu lalu, Cusco turut mendedahkan Toyota GR 86 versi mereka yang digelar Cusco GR 86 Concept. Tidak seperti GR 86 HKS, GR 86 GReddy dan juga GR 86 TOM’S yang nampak bergaya untuk digunakan di atas jalan raya, GR 86 Cusco ini nampak lebih seperti kereta rali dalam kategori JN2 yang dibina oleh Cusco untuk kejohanan rali All Japan untuk Toyota 86 generasi sebelum ini.

    Tiada sebarang kit badan yang fancy dipadankan pada GR 86 Cusco ini. Ia hanya dihiasi dengan livery perlumbaan putih-merah-hitam tradisi Cusco, bersama rim 17-inci Enkei RC-T5, dibalut dengan tayar Dunlop Direzza 225/45. Set brek dari Advics boleh dilihat di sebalik set roda berkenaan, yang dibantu dengan pad brek dari Winmax.

    Cusco Toyota GR 86 Concept – pamer peralatan perlumbaan sebenar untuk 86 generasi baharu

    Tipikal sebuah jentera binaan Cusco, pembangunannya lebih ditumpukan terhadap pengendalian. Cusco GR 86 ini dipadankan dengan set suspensi boleh laras Street Zero, yang dilengkapkan bersama stabiliser links boleh laras, lateral links untuk lengan belakang sebelah atas dan juga set bushing yang lebih keras. Kerangka badan kereta ini juga diperkukuhkan dengan pemadanan pelbagai pendakap serta strut bar.

    Kemudian, pengendalian jentera ini diperkemas lagi menerusi tingkat taraf yang dilakukakan pada sistem penghantaran kuasa, menerusi LSD jenis dua hala Cusco Type R pada gandar belakang. Ia juga menerima prototaip kit klac ORC, pelindung unit differential serta pelindung haba untuk driveshaft.

    Enjin petrol boxer NA FA24D 2.4 liter pada GR 86 ini menerima sistem ekzos Fujitsubo Authorize RM+c. Selain itu, ia turut diberikan perincian kecil lain seperti pelindung tali sawat gentian karbon, penutup radiator tekanan tinggi dan juga penapis pelincir sport.

    Kokpit GR 86 ini juga menerima sentuhan tipikal sebuah jentera Cusco, antaranya roll cage tujuh-point bersama bar sisi Safety21, tali pinggang keledar perlumbaan Cusco, tempat duduk perlumbaan Bride Xero VS dan juga roda stereng Works Bell.

     
     
  • PKP 3.0: Bas GoKL kurangkan kekerapan perjalanan

    PKP 3.0: Bas GoKL kurangkan kekerapan perjalanan

    Rapid KL telah mengumumkan mulai 5 Jun lalu, jadual operasi bas percuma GoKL mengalami perubahan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 Penuh Fasa 1. Ia melibatkan waktu perkhidmatan bas berkenaan termasuk terdapat beberapa laluan yang tidak akan beroperasi pada waktu bukan puncak. Laluan terbabit ialah Laluan Jingga, Merah Jambu, Biru Firus, Merah Manggis dan Coklat.

    Dimaklumkan bahawa bagi Laluan Jinga, Merah Jambu, Biru Firus, Merah Manggis dam Coklat, kekerapan perjalanannya adalah selang 15 minit pada waktu puncak, iaitu jam 6 pagi hingga 10 pagi, dan 3 petang hingga 9 malam. Di luar waktu tersebut (10 pagi hingga 3 petang), laluan GoKL tidak akan. beroperasi.

    Manakala laluan paling popular Hijau, Ungu, Biru dan Merah pula, kekerapan perjalanan bas adalah setiap lima minit pada waktu puncak dan setiap 30 minit dari jam 10 pagi hingga 3 petang. Untuk hari Sabtu, Ahad dan cuti umum pula, semua laluan GoKL akan beroperasi dari jam 7 pagi hingga 9 malam dengan kekerapan setiap 30 minit.

    Menurut syarikat pengendali perkhidmatan terbabit, perubahan yang dilakukan itu dilaksanakan sehingga tarikh yang bakal dimaklumkan kelak. Anda boleh rujuk jadual di atas untuk maklumat yang lebih jelas. Dan jangan lupa untuk terus patuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan termasuklah penjarakan sosial dan juga sentiasa memakai facemask, selain kerap mencuci tangan dan menggunakan hand sanitizer.

     
     
  • Toyota GR Yaris Morizo Selection diperkenal di Jepun – kemas kini prestasi berterusan melalui servis Kinto

    Toyota GR Yaris Morizo Selection diperkenal di Jepun – kemas kini prestasi berterusan melalui servis Kinto

    Toyota telah memperkenalkan satu varian baru bagi GR Yaris di Jepun, dipanggil sebagai ‘Morizo Selection’. Selain dipasang dengan beberapa kelengkapan istimewa, varian ini juga akan mendapat kemas kini perisian berterusan bermula tahun depan. Kemas kini tersebut adalah untuk meningkatkan prestasi kenderaan, dan akan ditawarkan melalui servis langganan Kinto.

    Nama Morizo itu sebenarnya adalah nama yang digunakan oleh presiden Toyota, Akio Toyoda apabila beliau berlumba di dalam litar. Bagi GR Yaris Morizo Selection ini, ia menggunakan asas daripada versi “High Performance” yang dijual di Jepun.

    Di pasaran lain termasuk Malaysia, versi “High Performance” ini dipanggil sebagai spesifikasi Rallye atau Circuit Pack. Model ini dilengkapi dengan limited-slip differential Torsen di hadapan dan belakang, rim BBS 18 inci, tayar Michelin Pilot Sport 4S, angkup brek GR berwarna merah serta penyerap, spring dan anti-roll bar yang ditala semula.

    Pada bahagian bucu cermin hadapan GR Yaris Morizo Selection ini terdapat ukiran tulisan Morizo, serta beberapa penambahan lain daripada pasukan yang berlumba menggunakan GR Yaris, iaitu Rookie Racing. Banyak kerjasama antara Toyota dengan pasukan persendirian ini, dan Toyoda juga pernah berlumba di bawah Rookie Racing dalam siri Super Taikyu di Jepun.

    Selain daripada logo Rookie Racing pada rim dan panel tepi pintu, GR Yaris Morizo Edition juga ditawarkan dalam pilihan warna Platinum White Pearl Mica, Emotional Red II dan Precious Black Pearl, dengan kemasan inspirasi Rookie Racing pada jahitan tempat duduk, spring serta penyerap hentak.

    Menurut Toyota, kereta ini akan mula mendapat peningkatan perisian tahun depan, bagi mengoptimakan pemanduan, belokan serta kemampuan berhentinya, sementara perubahan lain untuk mengikut kegemaran pemandu sedang dipertimbangkan. Yuran yang dikenakan untuk langganan servis Kinto ini bermula pada 54,350 yen (RM2,050) sebulan.

     
     
  • PKP 3.0: UMW Toyota gantung operasi kilang, jualan

    PKP 3.0: UMW Toyota gantung operasi kilang, jualan

    Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 Penuh Fasa Pertama mulai 1 Jun lalu, UMW Toyota Motor telah mengumumkan operasi kilang pengeluaran dan bahagian jualannya digantung sementara.

    “Beberapa minggu ini adalah tempoh mencabar untuk kita semua. Ketika menghadapi waktu sukar ini, kami di Toyota dan Lexus tetap bersama anda semua dalam solidariti untuk mengekang pandemik. Kami telah menangguhkan sementara semua perkhidmatan tidak penting. Dalam masa sama, kami faham dalam keadaan tidak menentu ini, kami tetap boleh membantu dan menyediakan sokongan. Untuk itu, kami akan tetap ada sekiranya kenderaan anda rosak atau dalam kecemasan dan memerlukan perhatian,” ujar Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K.

    Tambahnya lagi, “Semua kenderaan yang dibeli daripada UMW Toyota Motor atau pengedar sah kami dengan jaminan sedia ada yang sah serta akan tamat di dalam tempoh PKP ini, anda akan menikmati lanjutan tempoh berkenaan selama 30 hari, yang akan dikira dari hari terakhir PKP.”

    Ravindran K. turut berkata, syarikat akan terus memberikan perkhidmatan cemerlang kepada semua pelanggan dan terus memperkenalkan beberapa inisiatif yang bertujuan untuk membantu memberikan penjimatan lebih banyak dalam keadaan seperti sekarang.

    PKP 3.0: UMW Toyota gantung operasi kilang, jualan

    Naib Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama pula berkata, “Kami sangat berterima kasih kepada kerajaan kerana telah mengambil beberapa langkah dan campur tangan bukan sahaja untuk melindungi Malaysia daripada ancaman pandemik, tetapi juga di dalam memperkenalkan dasar kewangan serta industri untuk memastikan pandemik ini memberi kesan yang tidak terlalu parah terhadap ekonomi. Ini termasuklah lanjutan SST yang kami percaya akan terus menyumbang di dalam memulihkan keyakinan membeli dalam kalangan pelanggan.”

    Takeyama menambah bahawa kesan pandemik ini tidak boleh dijangka dan sukar diramal, tetapi pengenalan beberapa model baru sepanjang tahun ini yang digandingkan dengan insentif SST untuk pelanggan telah membantu industri automotif tempatan menghadapi badai ini dalam kedudukan yang kukuh.

    Dalam masa yang sama, UMW Toyota Motor turut menggalakkan semua orang untuk berada di rumah, kekal selamat dan menjaga keselamatan antara satu sama lain. “Kepada seluruh petugas kesihatan kita dan kepada mereka yang menjaga keamanan dalam apa cara sekali pun, kami berhutang dengan anda dan berterima kasih di atas segala pengorbanan yang telah diberikan. Kami ingin menzahirkan jutaan terima kasih kepada anda semua,” sambung Ravindran K.

     
     
  • TOM’S Toyota GR 86 Concept – kit badan lebih lebar, hasil inspirasi dari kereta lumba Super GT sebenar

    TOM’S Toyota GR 86 Concept – kit badan lebih lebar, hasil inspirasi dari kereta lumba Super GT sebenar

    Perhimpunan Fuji 86 Style with BRZ 2021 yang berlangsung hujung minggu lalu di Litar Fuji Speedway turut menyaksikan TOM’S mendedahkan Toyota GR 86 versi mereka, selain versi penala lain seperti HKS GR 86 Concept dan juga GR 86 Greddy. TOM’S tidak mendedahkan apa yang mereka lakukan pada prestasi, tetapi lebih menumpukan terhadap penggayaan menerusi TOM’S GR 86 Concept ini.

    Menurut TOM’S, kit penggayaan luaran direka dengan sasaran bagi menghasilkan “kecantikan yang berfungsi” dan “beremosi”, dengan konsep aerodinamik yang “bermotifkan kereta lumba GT500” mereka yang bertanding dalam perlumbaan Super GT.

    Kit berkenaan terdiri dari overfender pada setiap ruang roda yang menjadikan kereta ini sekitar 8 mm lebih lebar pada setiap sisi, spoiler bawah bampar hadapan, diffuser di bawah skirt sisi, diffuser belakang yang lebih agresif yang turut menempatkan empat tip untuk sistem ekzos “TOM’S Barrel”, dan juga spoiler tambahan bagi memanjangkan lagi panel ducktail pada but belakang.

    TOM’S Toyota GR 86 Concept – kit badan lebih lebar, hasil inspirasi dari kereta lumba Super GT sebenar

    Menurut TOM’S, kit ini bukan sahaja memberikan rupa yang menjadikan kereta sport Toyota ini kelihatan jauh lebih sporty, dengan badan dan juga ukuran trek roda yang kini lebih lebar secara tidak langsung menjadikan ia juga lebih stabil.

    Penggayaan luaran TOM’S GR 86 ini disempurnakan dengan pemadanan rim TOM’S Cross Speed dalam kemasan hitam berkilat. TOM’S turut menyatakan bahawa kit suspensi untuk GR 86 ini turut sedang dalam pembangunan.

    Dalam kabin, GR 86 ini diberikan aksesori asli TOM’S terdiri dari tombol gear gentian karbon dan juga pemegang tuil gear tangan. Dan yang paling menyerlah adalah roda stereng GR 86 yang direka semula oleh TOM’S – menampilkan satu skrin kecil pada kedudukan pukul 12, memberikan pelbagai informasi untuk pemandu, lengkap dengan indikasi rpm enjin pada kiri dan kanan seperti jentera Super GT sebenar!

    Toyota GR 86 generasi baharu ini baru sahaja didedahkan di Jepun pada April lalu. Dalam keadaan standard, Toyota GR 86 dijana oleh enjin petrol boxer NA FA24D 2.4 liter dengan sistem suntikan bahan api D-4S menjana 235 PS pada takat 7,000 rpm dan juga tork maksima 250 Nm seawal 3,700 rpm.

    Ia digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan dalam pilihan manual atau automatik, memacu hanya roda belakang. Menurut Toyota, GR 86 mampu untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 6.3 saat, atau 1.1 saat lebih pantas dari Toyota 86 generasi sebelum ini.

     
     
  • Triumph Speed Twin 2021 – tempahan dibuka di M’sia, RM77,900 untuk Black dan RM78,900 untuk premium

    Triumph Speed Twin 2021 – tempahan dibuka di M’sia, RM77,900 untuk Black dan RM78,900 untuk premium

    Model terkini Triumph yang baru sahaja diperkenalkan secara rasmi beberapa hari lalu, iaitu Speed Twin 2021 sudah boleh ditempah di Malaysia melalui pengedar rasminya. Harga yang disiarkan adalah RM77,900 untuk versi Jet Black dan tambahan RM1,000 untuk warna premium, menjadi RM78,900.

    Bagi model baru ini, enjin dua silinder selari SOHC 1,200 cc penyejukan cecair padanya kini melepasi tahap emisi Euro 5 dan mampu menghasilkan kuasa 98.6 hp pada 7,250 rpm – 3 hp lebih tinggi berbanding sebelum ini – dan tork 112 Nm pada 4,250 rpm – lebih cepat berbanding 4,950 rpm sebelum ini.

    Antara bahagian yang diubah dalam enjin tersebut adalah crankshaft dan alternator, yang menjadikan putarannya lebih ringan 17% dan membolehkan had rpm dijadikan lebih tinggi 500 rpm. Ia kemudiannya dipadankan bersama piston mampatan tinggi, profail cam baru dan lubang udara yang diubah. Servis menyeluruh (major) pertama motosikal ini sekarang boleh dilakukan pada 16,000 km.

    Bahagian pengendalian juga dinaik taraf, dengan fork USD 43 mm Marzocchi yang digunakan sekarang adalah spesifikasi lebih tinggi berbanding unit 41 mm sebelum ini, tetapi ia bagaimanapun masih tidak boleh dilaras. Di belakang, terdapat dua penyerap hentak yang boleh dilaras untuk pra beban.

    Bahagian brek tidak ketinggalan. Street Twin 2021 mendapat cakera berkembar 320 mm bersama angkup Brembo M50 Monobloc empat piston di hadapan sementara di belakang menggunakan cakera 220 mm dan angkup dua piston. Sistem ABS diberikan secara standard.

    Bagi mod tunggangan, kini penunggang diberikan tiga pilihan iaitu Road, Rain dan Sport, dan penukarannya boleh dilakukan sambil bergerak. Sistem kawalan cengkaman boleh ditutup sekiranya mahu. Bentuk asas motosikal ini masih tidak berubah tetapi ergonomiknya diperbaiki tempat letak kaki yang lebih rendah dan sedikit ke hadapan. Berat keseluruhan Street Twin 2021 adalah 216 kg dan ia datang dengan tangki bahan api 14.5 liter.

     
     
  • Chevrolet Corvette C8 dilancar di Jepun – pasaran pertama dapat unit RHD; tiga varian; dari RM444k

    Chevrolet Corvette C8 dilancar di Jepun – pasaran pertama dapat unit RHD; tiga varian; dari RM444k

    Sebelum ini, Chevrolet telah mengesahkan model Convette C8 terkini bakal ditawarkan dengan unit pemanduan sebelah kanan (RHD), dan unit pertama sebut telah pun tiba di pasaran Jepun. Baru-baru ini, negara tersebut telah meraikan pelancaran bagi kereta sport mid-engine generasi kelapan menerusi acara prebiu yang diadakan di litar lumba Fuji Speedway, dengan melibatkan kehadiran tetamu yang dihadkan susulan pandemik COVID-19.

    Ini merupakan pertama kali Chevrolet melancarkan varian RHD bagi Corvette, langkah yang hampir sama dilakukan oleh Ford ketika memperkenalkan Mustang generasi ke-enam. Ia mengambil masa yang agak lama untuk menanti ketibaan versi RHD ini, selepas C8 membuat penampilan sulung diperingkat global pada Julai 2019.

    Sebelum ini, terdapat laporan menyebut, ada permintaan yang tinggi terhadap Corvette di Jepun, dengan peruntukan awal sebanyak 300 unit telah habis terjual selepas ia diumumkan pada awal tahun lalu. Walau pun Jepun menjadi pasaran pertama menerima unit RHD bagi model ini, namun selepas ini Australia dan United Kingdom juga akan menerima versi yang sama tidak lama lagi.

    Pelanggan di Jepun berpeluang memilih varian coupe – 2LT dan 3LT – dengan harga bermula pada 11.8 juta yen (RM444,445) termasuk cukai penggunaan, sementara 3LT pula ditawarkan pada harga 14 juta yen (RM527,342). Selain itu, varian tunggal Convertible turut ditawarkan dan ia berharga 15.5 juta yen (RM583,843).

    Selain daripada senarai kelengkapan yang berbeza dan juga retractable hardtop, kesemua varian menerima padanan penjana kuasa yang sama iaitu unit Lt2 6.2 liter naturally-aspirated V8 petrol dan transmisi dwi-klac lapan-kelajuan yang menyalurkan pacuan ke roda-belakang. Penjana kuasa ini mampu menghamburkan sejumlah 502 PS (495 hp) pada 6,450 rpm dan tork 637 Nm pada 5,150 rpm.

    Kesemua varian juga menerima peredam Magnetic Ride Control, bersama Pakej Prestasi Z51 termasuk brek Brembo, ekzos prestasi, sistem penyejukan yang dipertingkatkan, nisbal gandar belakang unik, saluran masuk penyejukan brek hadapan, electronically controlled limited-slip differential dan tayar Michelin Pilot Sport 4S.

     
     
  • AD: Amaron — dari jenama tak dikenali jadi pemain utama bateri kenderaan di M’sia; bagaimana caranya?

    AD: Amaron — dari jenama tak dikenali jadi pemain utama bateri kenderaan di M’sia; bagaimana caranya?

    Kejayaan memerlukan masa yang panjang untuk dicapai. Jika bekerja keras dan tekun, anda atau jenama yang dibangunkan itu boleh menjadi nama besar di masa hadapan. Tentulah dengan mengambil kira sumber yang mencukupi serta mungkin nasib yang menyebelahi.

    Amaron di Malaysia antara kisah kejayaan yang unik. Beberapa tahun sebelum ini, tiada siapa pernah mendengar nama Amaron. Namun jenama itu dengan bateri hijaunya kini semakin dikenali. Hari ini, jenama yang berasal dari India itu menjadi antara pemain utama yang mampu menyaingi jenama-jenama besar lain, mendahului dengan penawaran program jaminan 36-bulan yang pertama seumpamanya.

    Walaupun Amaron sangat dikenali di pasaran Singapura, untuk berkembang seperti yang ia tunjukkan di Malaysia — dengan pelanggan yang bersikap lebih konservatif dan setia dengan jenama — memerlukan usaha dan keunikan tersendiri. Jadi bagaimana jenama ini, yang sebelum ini langsung tidak dikenali, sampai ke tahap sekarang? Kami tanyakan kepada jurucakap Tecxus Marketing yang bertindak sebagai pengedar Amaron.

    AD: Amaron — dari jenama tak dikenali jadi pemain utama bateri kenderaan di M’sia; bagaimana caranya?

    S: Jelaskan bila dan bagaimana Amaron berjaya menembusi pasaran Malaysia

    J: Bermula sederhana pada tahun 2016 ketika kami diberi peluang untuk mengimport dan mempromosi kan bateri Amaron di Semenanjung Malaysia. Melalui rangkaian sedia ada rakan niaga kami serta kualiti tinggi bateri Amaron, Tecxus Marketing berjaya menembusi pasaran, mengisi sektor premium dan kualiti bagi pasaran bateri automotif di sini.

    S: Apa pencapaian paling membanggakan, serta halangan paling berat yang ditempuh setakat ini?

    J: Halangan utama adalah jenama Amaron tidak begitu dikenali dalam pasaran. Ramai pelanggan belum pernah tahu jenama ini sebelumnya. Bagaimanapun, Amaron mendapat perhatian baik di Singapura dengan 70% perkongsian pasaran di sana. Khalayak di dalam perniagaan bateri automotif telah mendengar tentang jenama ini, tetapi belum pernah nampak lagi dalam pasaran tempatan sebelum itu. Jadi mereka hairan dan ingin tahu mengapa ia sangat popular di Singapura. Kami jadikan itu kenyataan.

    AD: Amaron — dari jenama tak dikenali jadi pemain utama bateri kenderaan di M’sia; bagaimana caranya?

    S: Adakah sukar untuk mewujudkan tanggapan positif sebuah jenama asal India di Malaysia, memandangkan kita jarang mengaitkan India dengan teknologi automotif?

    J: Produk automotif India tidaklah begitu dikenali di sini kerana melibatkan duti import yang tinggi seperti yang kita lihat sebelum ini. Kami berjaya memperkenalkan nilai terbaik dari segi harga dan prestasi serta spesifikasi, dengan harga yang ditetapkan adalah berdasarkan pemerhatian dalam pasaran.

    Secara umumnya, pelanggan kami tidak kecewa. Mereka telah menemui bateri yang memberikan prestasi menakjubkan dalam pakej Amaron hijau ini dan tak segan untuk berkongsi tentang jenama ini kepada rakan dan keluarga. Pengalaman positif dengan bateri Amaron memberikan kesan yang positif juga terhadap penerimaan produk ini, di sini.

    India merupakan pasaran automotif kelima terbesar di dunia. Jualan tahunan bagi kenderaan baru di sana adalah tujuh atau lapan kali ganda berbanding Malaysia. Mereka mempunyai industri automotif yang sangat kukuh, dan kami berharap pelanggan tempatan boleh mempelajari lebih banyak tentang produk mereka melalui Amaron.

    AD: Amaron — dari jenama tak dikenali jadi pemain utama bateri kenderaan di M’sia; bagaimana caranya?

    S: Malaysia sebuah negara dengan cuaca panas, dan itu tidak bagus untuk bateri kenderaan. Adakah ini kelebihan Amaron yang datang dari India, kerana cuaca di sana juga lebih ekstrim?

    J: Sudah tentu. Amaron berhasil untuk menghasilkan produk dengan jangka hayat yang panjang dengan mengatasi masalah suhu ekstrim dengan teknologi Silven-X yang telah dipatenkan. “Silver-Inside” telah menjadi slogan yang kerap kaki uar-uarkan, merujuk kepada kualitinya.

    Suhu musim panas di India boleh mencapai 40 darjah Celcius, sementara suhu musim dingin pula boleh jadi serendah 10 darjah Celsius di sesetengah bahagian negara tersebut. Dengan pengalaman lebih 20 tahun, bateri Amaron cemerlang dalam iklim ekstrim.

    S: Apa yang mendorong penawaran jaminan 36-bulan oleh Amaron? Sebelum ini, hanya jaminan 18-bulan diberikan dan itu saja sudah menjadi “lanjutan hayat” untuk pasaran di sini.

    J: Ia adalah disebabkan kesungguhan jenama ini untuk memberikan nilai terbaik kepada pelanggan. Ia juga sebuah pembuktian bahawa keyakinan kualiti produk kami berbanding pesaing lain yang ada. Pengenalan program jaminan 36-bulan di Malaysia disokong sepenuhnya oleh kilang, dan Malaysia merupakan pasaran luar negara pertama bagi program seumpama itu bagi Amron.

    AD: Amaron — dari jenama tak dikenali jadi pemain utama bateri kenderaan di M’sia; bagaimana caranya?

    S: Sejauh mana program jaminan 36-bulan ini membantu membina kepercayaan dan keyakinan pelanggan terhadap produk Amron?

    J: Ia merupakan sesuatu yang baru di Malaysia. Kami melanjutkan program jaminan yang sama ini yang telah diperkenalkan di pasaran India sejak 20 tahun lalu. Kami telah memperkayakan lagi program tersebut dengan pendaftaran jaminan digital dan pusat servis seluruh negara. Ini telah memperkasakan lagi pelanggan, memberikan mereka pengetahuan penuh tentang status jaminan bateri mereka. Ini memberikan keyakinan kepada ketahanan produk kami, tambahan pula ada sokongan lepas juala seluruh negara.

    S: Dengan bateri yang mampu bertahan tiga tahun atau lebih, adakan itu boleh diterjemahkan kepada pelanggan akan lebih jarang membeli dari Amaron, dan menjurus kepada berkurangnya jualan?

    J: Ia memerlukan masa yang lama untuk itu berlaku. Betul, senggang yang panjang antara penukaran bateri sekiranya pelanggan memilih tempoh jaminan 36-bulan ini. Memandangkan perkongsian pasaran kami masih kecil di Malaysia, jalan kami masih panjang untuk berkembang.

    AD: Amaron — dari jenama tak dikenali jadi pemain utama bateri kenderaan di M’sia; bagaimana caranya?

    S: Harga bateri Amaron kekal sama sejak beberapa tahun lalu, walaupun dengan tempoh lanjutan jaminan ini. Boleh jelaskan strategi ini, sama ada ia memberi kesan terhadap sentimen pelanggan.

    J: Matlamat kami selari dengan kilang. Kami berhasil membawakan lebih banyak nilai dan manfaat tambahan kepada pelanggan. Kami merasakan akan ada lebih banyak yang akan memilih program jaminan bagi bateri kenderaan dan Amaron akan meletakkan penanda aras baru untuk pasaran.

    S: Akhir sekali, apa mesej khusus untuk pelanggan Amaron di Malaysia?

    J: Kami sangat berterima kasih kepada rakan niaga dan pelanggan di atas sokongan anda terhadap bateri Amaron. Sokongan anda telah membolehkan kami meraih kejayaan awal. Sebagai pembekal bertanggungjawab, Tecxus Marketing akan terus membawakan manfaat dan sokongan kepada pelanggan. Terima kasih di atas kepercayaan anda.

     
     
  • Kia Sportage 2022 – gambar awal didedah, rekaan lebih moden, bahagian dalam guna skrin digital lebar

    Kia Sportage 2022 – gambar awal didedah, rekaan lebih moden, bahagian dalam guna skrin digital lebar

    Kia telah menyiarkan beberapa gambar awal untuk SUV Sportage generasi kelima, yang kini menggunakan konsep rekaan baru jenama itu, dipanggil sebagai Opposites United.

    Pada Sportage, konsep ini membawa kepada rekaan gril Tiger Nose baru, DRL LED berbentuk seperti boomerang pada kedua-dua bucu serta lampu dengan elemen bintik di sebelahnya. Buat pertama kalinya, Sportage kini ditawarkan dengan bumbung yang berwarna hitam, serta rel bumbung.

    Di bawah garis tingkap tepi Sportage baru ini terdapat jalur krom panjang dari depan sehingga ke belakang dan pintunya mempunyai lengkuk yang jelas. Lampu belakang menggunakan konsep bentuk sama seperti DRL hadapan dan ia bersambung di tengah.

    Kia Sportage 2022 – gambar awal didedah, rekaan lebih moden, bahagian dalam guna skrin digital lebar

    Sportage generasi kelima ini menggunakan bampar warna dua tona dengan kemasan di bahagian bawah berwarna hitam yang mempunyai seakan diffuser di tengah serta bentuk C di hujung. Logo Kia baru diletakkan di tengah dan lencana Sportage terdapat di tepi.

    Menurut Kia, bahagian dalam Sportage direka semula dengan mengambil lebih kepentingan kepada pemandu. Bahagian tengah papan pemuka didominasi oleh panel paparan bersepadu yang bersambung dengan panel instrumen di hadapan pemandu. Corong pendingin hawa di bahagian tengah mempunyai bentuk menegak dan ia bersambung ke tepi menjadi bentuk melintang.

    Selain daripada kawalan menggunakan skrin ini, pengguna juga boleh mengawal pendingin hawa dengan butang biasa di bawahnya sementara penukaran gear boleh dilakukan menggunakan tombol bulat jenis pusing yang terletak di konsol tengah. Berhampiran dengannya terdapat butang lain untuk mod cengkaman, pandangan kamera, pengesan jarak, butang pemula enjin dan fungsi pemanas/penyejuk tempat duduk.

    Kia Sportage 2022 – gambar awal didedah, rekaan lebih moden, bahagian dalam guna skrin digital lebar

    Bagi Sportage generasi kelima ini, akan terdapat varian X-Line yang akan mendapat bampar, kemasan tepi pintu serta rak bumbung khas. Bahagian dalam varian ini juga akan menggunakan balutan tempat duduk istimewa berwarna hitam atau hijau, bersama jahitan quilt serta kemasan kayu hitam.

    Perincian teknikal masih belum didedahkan, tetapi Kia sebelum ini pernah memberitahu enjin yang bakal digunakan nanti “mempunyai kecekapan tinggi”, bermakna mungkin ia termasuk dengan pilihan hibrid dan plug in hybrid. Melihat kepada Hyundai Tucson 2022 sebagai perbandingan, kita boleh menjangka antaranya adalah unit petrol 1.6 turbo bersama pek bateri 1.49 kWh untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 226 hp dan 350 Nm tork untuk versi hibrid.

     
     
  • Toyota GR 86 GReddy – kit turbo didedahkan!

    Toyota GR 86 GReddy – kit turbo didedahkan!

    Selain HKS, satu lagi penala Jepun, GReddy turut mendedahkan model konsep ubahsuai mereka terhadap model generasi baharu Toyota GR 86 ketika perhimpunan Fuji 86 Style with BRZ 2021 yang diadakan di litar Fuji Speedway hujung minggu lalu.

    Untuk penggayaan luaran, Toyota GR 86 GReddy ini dipadankan dengan kit badan GReddy yang direka oleh Voltex. Kit dari material gentian karbon tersebut direka ringkas dengan menampilkan spoiler bawah bampar, diffuser udara di bawah skirt sisi, diffuser yang lebih agresif pada bampar belakang serta spoiler lebih besar pada but belakang.

    Badan GR 86 ini nampak lebih rendah dari standard, tetapi set suspensi yang digunakan masih belum diperincikan. Turut kelihatan, ia dipadankan dengan rim dari Rays Engineering, bersama kita brek D2 yang lebih besar.

    Manakala dalam kabin, GR 86 ini menerima tempat duduk Bride berwarna merah, tombol gear aluminium ikonik Trust GReedy bersama roda stereng asal yang dibalut semula menampilkan serlahan jahitan dan juga penanda pukul 12 dengan warna GReedy kuning-biru cair-biru gelap.

    Berbanding HKS yang menggunakan kit Supercharger GT2, Toyota GR 86 GReddy ini disuapkan dengan kit pengecas turbo. Namun lagi sekali, GReddy belum memberikan sebarang perincian berkenaan harga, kelengkapan, kuasa yang dihasilkan mahupun tarikh bila kit turbo berkenaan akan mula dipasarkan.

    Dalam keadaan standard, Toyota GR 86 dijana oleh enjin petrol boxer NA FA24D 2.4 liter dengan sistem suntikan bahan api D-4S menjana 235 PS pada takat 7,000 rpm dan juga tork maksima 250 Nm seawal 3,700 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan dalam pilihan manual atau automatik, memacu hanya roda belakang. Menurut Toyota, GR 86 mampu untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 6.3 saat, atau 1.1 saat lebih pantas dari Toyota 86 generasi sebelum ini.

     
     
  • Toyota GR86 HKS – dengan Supercharger GT2, 340 hp!

    Toyota GR 86 baru sahaja membuat kemunculan sulungnya di Jepun pada April lalu, dan kini pelbagai versi ubahsuai dari penala-penala negara matahari tersebut sudahpun diperkenalkan sempena perhimpunan Fuji 86 Style with BRZ 2021 yang diadakan di litar Fuji Speedway hujung minggu lalu.

    Salah satu syarikat penala yang mendedahkan GR 86 mereka pada acara berkenaan adalah tuner ‘otai’ Jepun, HKS dengan demo car yang digelar Toyota GR 86 Concept. Kereta tersebut menerima pelbagai ubahsuai dari segi gaya sehingga prestasi, menampilkan peralatan-peralatan prototaip untuk GR 86 yang bakal diproduksi tidak lama lagi.

    GR 86 HKS ini masih dijana oleh enjin boxer empat silinder FA24D 2.4 liter asal. Namun berbeza dengan versi standard yang hanya menyedut udara ke kebuk pembakaran dengan cara Naturally Aspirated (NA), HKS mengambil kaedah drastik menyuap sistem induksi tersebut dengan Supercharger GT2.

    Toyota GR86 HKS – dengan Supercharger GT2, 340 hp!

    Angka kuasa rasmi untuk talaan baharu enjin berkenaan belum lagi diumumkan, tetapi HKS ada menyatakan bahawa ia bakal menghasilkan kuasa akhir 340 hp untuk versi kit yang bakal diproduksi nanti. Ini bermaksud kit berkenaan mampu untuk mengekstrak lebih 40% kuasa tambahan dari kuasa asal yang menjana 235 PS pada takat 7,000 rpm dan juga tork maksima 250 Nm seawal 3,700 rpm.

    HKS turut memperkenalkan prototaip sistem ekzos HKS Hi Power Spec L II, yang bukan sahaja memberikan prestasi enjin serta bunyi yang lebih baik untuk enjin, malah ia dihasilkan dengan material lebih ringan yang dapat menyumbang terhadap pengurangan berat keseluruhan kereta tersebut.

    Untuk pengendalian pula, GR 86 ini menerima set suspensi boleh laras sepenuhnya HKS Hipermax. Menurut HKS, set suspensi itu bukan hanya ditumpukan bagi memberi pengendalian lebih baik, malah mereka turut mengambil berat berkenaan aspek keselesaan.

    Toyota GR86 HKS – dengan Supercharger GT2, 340 hp!

    Manakala bagi pengayaan, GR 86 HKS Concept ini dipadankan dengan kit badan HKS Type S. Kit tersebut terdiri dari pelbagai splitter dan spoiler pada bampar hadapan, skirt sisi, bampar belakang, serta set sayap GT pada penutup but belakang yang bersaiz agak besar.

    GR 86 HKS ini turut kelihatan dipadankan dengan tempat duduk Bride Low Max, set brek lebih besar dari Endless, serta set rim Advan Racing GT. HKS tidak mengumumkan bila kit-kit prestasi ini akan mula dijual dalam pasaran, namun tidak mustahil ia sudahpun boleh dibeli ketika Tokyo Auto Salon 2022 yang akan berlangsung pada Januari nanti.

     
     
  • PKP 3.0: Jumlah kenderaan di lebuhraya kurang 60%

    PKP 3.0: Jumlah kenderaan di lebuhraya kurang 60%

    Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, memaklumkan, jumlah kenderaan yang menggunakan lebuh raya di seluruh negara berkurangan sebanyak 60% secara keseluruhan berbanding sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

    Menurutnya, jumlah itu berdasarkan statistik direkodkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), terutama di semua plaza tol dan lebuh raya sekitar Lembah Klang, laporan Berita Harian.

    “Namun kita percaya boleh mengurangkan lagi jumlah berkenaan. Disebabkan itu kita berusaha mengehadkan pergerakan orang ramai, hanya pergerakan penting dibenarkan. Berdasarkan laporan juga, saya mendapati selepas jam 8 malam, jalan hampir lengang dan tidak ada pergerakan ketara kenderaan dan orang ramai,” katanya.

    Walau bagaimana pun, beliau ada menerima maklumat masih banyak kenderaan memenuhi jalan-jalan utama sekitar Lembah Klang dan mengarahkan pemeriksaan serta pemantauan diperketat dan dipertingkatkan.

    PKP 3.0: Jumlah kenderaan di lebuhraya kurang 60%

    “Saya sudah memaklumkan kepada semua ketua polis negeri dan daerah untuk menyampaikan arahan kepada petugas di sekatan jalan raya dalam memastikan tidak berlaku pergerakan tanpa kebenaran di kawasan mereka.

    “Justeru selain sekatan jalan raya secara tetap, polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut melaksanakan penugasan sekatan secara bergerak selama dua jam di satu-satu lokasi yang dikenalpasti laluan sibuk semasa PKP ini,” tambahnya.

    Beliau berkata, selepas lebih 450 hari melaksanakan penugasan, pasukan yang ditugaskan di SJR juga sudah menghidu taktik tertentu pengguna jalan raya yang ingin melepasi sekatan, termasuk mengambil kesempatan semasa hujan ketika petugas sedang berteduh.

    “Justeru kita harap semua pihak lebih bertanggungjawab, janganlah cuba ambil kesempatan, kasihanilah orang yang berada di sekeliling kita dan patuhi segala arahan ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025