Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Honda Malaysia serah City RS kepada Invest Melaka

    Honda Malaysia serah City RS kepada Invest Melaka

    Bulan lalu, Honda Malaysia telah menyerahkan seunit City RS e-HEV hybrid kepada Invest Melaka Berhad (IMB). Penyerahan kenderaan itu, dibuat dengan kerjasama syarikat perkongsian kereta Socar, bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-50 Melaka State Development Corporation (PKNM).

    Kereta terbabit diserahkan oleh Presiden dan COO Honday Malaysia Sarly Adle Sarkum kepada CEO IMB Tuan Haji Ramli Mohd Ali dalam majlis yang berlangsung di Menara MITC, Melaka. Majlis berkenaan turut disaksikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Haji Sulaiman Md Ali yang juga merupakan jemaah eksekutif negeri.

    “Bagi pihak Honda Malaysia, kami berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada meraikan Invest Melaka Berhad dan berpeluang menyumbang kepada perkembangan industri automotif tempatan. Kami komited untuk pasaran Malaysia dan pertumbuhan industri automotif di sini. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia, kerajaan Melaka, Invest Melaka Berhad dan semua pelanggan kerana terus memberikan kepercayaan kepada kami,” ujar Sarly.

    Honda memulakan operasi di kilang Pegoh, Melaka pada tahun 2003, dan barisan produksi kedua telah ditambah pada tahun 2014. Buat masa ini, kapasiti pengeluaran mampu mencecah 100,000 unit kenderaan setahun dan fasiliti ini juga mempunyai 2.1 km trek ujian, fasiliti R&D, dan juga beberapa pusat pemeriksaan sebelum penghantaran.

     
     
  • Brembo New G Sessanta – angkup brek dengan lampu LED bersama hubungan kepada aplikasi telefon pintar

    Pembuat sistem brek terkemuka, Brembo, telah memperkenalkan angkup brek dengan konsep rekaan yang inovatif – ia mempunyai jalur LED yang bernyala! Angkup brek yang digelar sebagai New G Sessanta ini dihasilkan untuk motosikal, dan ia didedahkan sempena ulangtahun ke-60 Brembo.

    Oleh itu, rupa luaran angkup brek baharu ini dibuat diinspirasikan dari bentuk angkup brek pertama untuk motosikal yang diperkenalkan oleh Brembo pada tahun 1972. Menurut pengeluar dari Itali berkenaan, jalur LED pada angkup brek New G Sessanta tersebut bukan hanya sekadar cantik semata-mata, ia juga bertindak sebagai antaramuka bagi memberikan informasi kepada pemilik.

    Angkup brek berkenaan berhubung terus dengan aplikasi khas telefon pintar pemilik. Menerusi aplikasi tersebut, pemilik boleh membuat tetapan warna berdasarkan keadaan seperti sedang berhenti dan mengawal kadar cahaya untuk menunjukkan mood.

    Selain itu, warna-warna lampu pada angkup berkenaan juga boleh menghantar data dan informasi berkenaan motosikal dan juga angkup itu sendiri kepada pengguna – misalnya jika ia berkelip menandakan pad brek sudah perlu untuk ditukar, serta berfungsi sebagai lampu brek tambahan. Malah ia juga turut memudahkan pemilik untuk mencari semula motosikal yang diparkir dengan memancarkan cahaya.

    Walaupun buat masa sekarang New G Sessanta ini hanya dihasilkan untuk motosikal, laporan dari Motor1.com mengesahkan bahawa Brembo turut akan menghasilkan angkup brek dengan konsep yang sama bagi kegunaan aplikasi automotif yang lain selepas ini.

     
     
  • Harga minyak 6-12 Mei – RON 97 naik 2 sen seliter

    Harga minyak 6-12 Mei – RON 97 naik 2 sen seliter

    Kementerian Kewangan telah mengumumkan untuk minggu bertarikh 6 hingga 12 Mei 2021, harga bahan api petrol RON 97 dilaporkan naik sebanyak dua sen seliter. Ini menjadikan harganya kini RM2.60 seliter, berbanding RM2.58 seliter pada minggu sebelum ini.

    Walau bagaimana pun, harga bagi petrol RON 95 pula masih kekal pada paras harga siling yang ditetapkan iaitu RM2.05 seliter.

    Begitu juga dengan harga runcit diesel yang turut kekal pada paras RM2.15 seliter untuk gred Euro 2M dan RM2.25 seliter bagi Euro 5 (B7).

    Kesemua harga itu efektif mulai 12.01 tengahmalam ini, 6 Mei, sehinggalah Rabu hadapan, 12 Mei 2021.

     
     
  • Mitsubishi Lancer Evolution VI Tommi Makinen Edition milik Mitsubishi UK terjual RM573k dalam lelongan

    Mitsubishi Lancer Evolution VI Tommi Makinen Edition milik Mitsubishi UK terjual RM573k dalam lelongan

    Ingat lagi pada Mac lalu Mitsubishi UK telah mengumumkan bahawa semua kereta warisan sejarah yang disimpan hendak dilelong kerana mereka akan ‘tutup kedai’ dan keluar dari pasaran berkenaan? Kini kesemua kereta-kereta tersebut telah pun terjual, dan mereka berjaya mengutip sebanyak £627,100 (RM3.59 juta)!

    Menurut Mitsubishi UK, lelongan ini telah menarik sebanyak 1,287 bidaan untuk semua 51 lot yang ditawarkan. Manakala model yang terjual pada harga paling tinggi adalah Mitsubishi Lancer Evolution VI Tommi Makinen Edition – dengan harga jualan £100,100 (RM573k)!

    Unit Evo VI TME tersebut bukan sahaja menampilkan jarak perbatuan yang sangat rendah, malah ia juga mempunyai tandatangan Tommi Makinen sendiri pada bahagian bonet hadapannya. Menurut Mitsubishi UK lagi, harga lelongan kali ini juga telah memecahkan rekod bidaan satu lagi Evo VI TME di UK, terjual dengan harga £99,000 (RM567k) pada 2017.

    Unit kedua yang paling mahal terjual dalam lelongan ini adalah Mitsubishi Lancer Evolution IX MR FQ-360. Salah satu unit yang hanya dihasilkan sebanyak 200 unit khas untuk pasaran UK, dihasilkan bersama HKS tersebut terjual pada harga £68,900 (RM394k). Mitsubishi UK menyatakan ia adalah Lancer Evo ketiga paling mahal pernah terjual dalam lelongan setakat ini.

    Satu lagi model edisi terhad Lancer Evo siri MR FQ yang terjual dalam lelongan ini adalah Lancer Evolution X MR FQ-440. Model ini dihasilkan hanya 20 unit, dan ia adalah yang terakhir dalam siri edisi terhad untuk UK yang dibangunkan bersama HKS. Unit yang terjual kali ini mendapat bidaan akhir £58,100 (RM333k).

    Manakala Lancer Evo yang terakhir terjual dalam bidaan berkenaan adalah jentera rali Lancer Evolution IX Group N yang sebenar digunakan oleh juara Kejohanan Rali British dua kali iaitu Guy Wilkes bersama juruarahnya Phil Pugh. Jentera bersejarah ini terjual pada harga £61,700 (RM353k).

    Mitsubishi Lancer Evolution VI Tommi Makinen Edition milik Mitsubishi UK terjual RM573k dalam lelongan

    Mitsubishi UK menayatakan bahawa keempat-empat unit Lancer Evo ini sahaja mewakili 60% dari hasil jualan keseluruhan dalam lelongan tersebut. Kereta pertama yang didaftarkan di UK iaitu Colt Lancer 1.4 Mk Standard 2-pintu 1974 terjual pada harga £15,000 (RM86k), manakala sebuah Colt Galant 2000 GLII juga keluaran tahun yang sama terjual pada harga £11,600 (RM66k).

    Model-model yang pernah dipopularkan oleh filem-filem lakonan Jackie Chan turut ada tersenarai dalam barisan unit yang dilelong ini iaitu kereta sport Mitsubishi Starion Turbo 1988 terjual pada harga £21,100 (RM121k) dan juga Mitsubishi 3000GT 1992 (juga dikenali sebagai GTO) terjual pada harga £24,500 (RM140k).

    Model-model lain yang turut terjual adalah seperti berikut; jentera rali replika Mitsubishi Galant GLSi (VR-4) Lombard RAC Rally 1989(£12,500, atau RM72k), Shogun/Pajero Mk1 (£16,000, atau RM92k), Jeep J27 (£20,600, atau RM118k), Shogun/pajero Mk2 V6 SWB (£9,600, atau RM55k), Outlander PHEV 2015 (£16,000 or RM92k) dan juga L200 Desert Warrior (£30,100 atau RM172k).

    Selain dari kereta-kereta sebenar, lelongan kali ini juga turut menyenaraikan sebuah model skala yang berfungsi, iaitu Mitsubishi Model A 1917, kereta pertama yang dihasilkan oleh Mitsubishi. Ia terjual dalam lelongan ini pada harga £13,700 (RM78k).

    “Kenderaan-kenderaan ini mewakili bukan sahaja sebahagian besar warisan dan sejarah Mitsubishi di UK, ia juga adalah kenderaan-kenderaan yang sangat istimewa dalam dunia masing-masing. Setiap satunya mempunyai cerita yang unik untuk diberitahu dan dihargai serta dijaga sejak hari pertama kami menerima setiap unit,” kata pengarah operasi Mitsubishi UK, Paul Bridgen.

    “Saya telah melihat pembangunan sebahagian kenderaan-kenderaan ini secara peribadi jadi sangat sukar untuk mengucapkan selamat tinggal kepada mereka tetapi nilai yang telah dicapai hari ini meyakinkan saya mereka akan dijaga oleh tuan baru yang bersemangat dan faham asal usul serta kepentingan kereta-kereta ini dan akan menghargainya dan mengekalkannya untuk generasi akan datang,” tambahnya lagi

     
     
  • Skoda Fabia generasi keempat didedah — lima varian enjin, Travel Assist, jarak 900 km satu tangki minyak

    Skoda Fabia generasi keempat didedah — lima varian enjin, Travel Assist, jarak 900 km satu tangki minyak

    Perincian berkaitan Skoda Fabia generasi keempat kini telah didedahkan secara rasmi sepenuhnya. Sebagai permulaan, model baru itu datang dengan ruang dalaman dan barangan yang lebih besar, dengan ukuran 4,108 mm panjang, 1,954 mm lebar (termasuk cermin sisi), 1,459 mm tinggi serta jarak antara roda 2,564 mm.

    Ini menjadikan model generasi keempatnya 111 mm lebih panjang dan 48 mm lebih lebar berbanding model terdahulu, sementara jarak antara roda kini bertambah 94 mm. Kapasiti ruang barangan kini 380 liter, bertambah 50 liter berbanding yang lama. Dengan semua kerusi direbahkan, ruang tersedia ialah 1,190 liter.

    Lima varian enjin ditawarkan sebagai pilihan bagi Fabia terbaru ini. Bermula dengan unit 1.0 liter tiga-silinder MPI Evo petrol yang menghasilkan 65 PS/93 Nm dan juga 80 PS/93 Nm, kedua-duanya digandingkan dengan kotak gear manual lima-kelajuan. Unit 1.0 liter TSI Evo turbocas dengan janaan 95/175 Nm juga dipadankan dengan transmisi manual lima-kelajuan.

    Skoda Fabia generasi keempat didedah — lima varian enjin, Travel Assist, jarak 900 km satu tangki minyak

    Sementara itu, versi janaan output 110 PS/200 Nm bagi enjin turbo tiga-silinder pula datang dengan gandingan kotak gear manual enam-kelajuan dan DSG tujuh-kelajuan. Unit enjin paling besar yang ditawarkan, 1.5 liter turbocas TSI Evo empat-silinder petrol dengan ciri nyah-aktif silinder yang menghasilkan 150 PS dan 250 Nm tork, diganding bersama transmisi DSG tujuh-kelajuan sebagai standard. Ini membolehkannya memecut 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat dan laju maksimum 225 km/j.

    Dilengkapi dengan pilihan kapasiti tangki minyak 50 liter (standard hanya 40 liter), versi enjin 1.0 tiga-silinder Fabia boleh memberikan lebih daripada 900 km jarak bagi satu tangki penuh berdasarkan kitaran WLTP. Menurut Skoda lagi, enjin ini mematuhi piawaian emisi Euro 6d.

    Kecekapan aerodinamiknya juga dipertingkatkan pada model terbaru ini, yang kini memberikan bacaan drag coefficient 0.28; berkurang daripada angka 0.32 pada model sebelumnya. Hal ini dicapai antaranya disebabkan melalui tetapan penutup bukaan penyejuk pada bampar depannya. Lain-lain bahagian yang turut diperkemas ialah tirai udara pada bampar depan yang menyalur udara ke sisi kenderaan, sementara perumah cermin sisi direka semula.

    Skoda Fabia generasi keempat didedah — lima varian enjin, Travel Assist, jarak 900 km satu tangki minyak

    Selain itu, Skoda juga menawarkan enam rekaan bagi rimnya, dari saiz 16-inci dan 17-inci; dua saiz ini datang dengan kemasan plastik khas untuk memperbaiki aerodinamik. Selain itu, rim Fabia juga datang dalam saiz dari 14-inci hingga 18-inci. Bahagian bawah badan juga dipasangkan dengan 12 panel sebagai penampan.

    Tiga tahap kemasan ditawarkan — Active, Ambition dan Style — dengan papan pemukanya boleh dipilih dari enam warna berbeza. Sebagai ciri standard, ruang dalaman Fabia menerima kemasan warna gangsa dan jahitan kelabu, dengan kemasan Style menerima lampu suasana LED dalam warna merah atau putih.

    Fabia juga menerima paparan digital buat pertama kali bagi instrumennya, dengan pemandu menerima paparan 10.25-inci dengan empat tataletak berbeza, sementara pek Dynamics menawarkan tataletak kelima iaitu Sport dalam tetapan Virtual Cockpit. Sebagai ciri standard, Fabia dilengkapi skrin paparan analog 3.5-inci, dan kawalan pendingin dua-zon ditawarkan sebagai pilihan.

    Infotainmen hadir dalam tiga sistem berbeza, yang menampilkan skrin bersaiz 6.5-inci, 8-inci dan 9.2-inci. Skrin paling besar menampilkan tetapan “Amundsen”, dengan paparan penunjuk arah dan sokongan data. Sambungan peranti pula melibatkan capaian Smartlink tanpa wayar serta Android Auto dan Apple CarPlay, lima slot USB-C termasuk satu di cermin pandang belakang sebagai sumber kuasa bagi dashcam.

    Bagi aspek keselamatan, Fabia generasi keempat ini menerima fungsi Travel Assist yang membantu stereng dan kawalan kelajuan pemandu. Ini termasuk ciri kawalan melayar adaptif yang berfungsi hingga 210 km/j, dan Lane Assist membantu membetukkan kedudukan stereng. Travel Assist juga akan mengesan sama ada pemandu bersentuhan secara fizikal pada stereng untuk memastikan kenderaan sentiasa dalam kawalan.

    Termasuk sekali ialah Side Assist, atau pengesan titik buta, serta Park Assist untuk membantu mengesan ruang parkir undur dan sisi dalam kelajuan 40 km/j dan boleh mengambil alih stereng untuk meletak kenderaan. Selebihnya Fabia datang dengan sembilan beg udara, Isofix dengan cangkuk atas di tempat duduk belakang serta kerusi penumpang depan.

    Ada sembilan warna badan ditawarkan sebagai pilihan, termasuk Phoenix Orange dan Graphite Grey yang pertama kali diperkenalkan untuk hatchback ini.

     
     
  • Benelli Tornado 302R 2021 diperkenal di China – rupa lebih moden dan agresif, kuasa berkurang sedikit

    Benelli Tornado 302R 2021 diperkenal di China – rupa lebih moden dan agresif, kuasa berkurang sedikit

    Benelli telah memperkenalkan model baru Tornado 302R 2021 di China, yang kini tampil lebih moden dan menarik melalui rekaan badan serba baru. Model 302R sebelumnya, juga pernah dijual di Malaysia, pada harga sekitar RM23k oleh pengedar rasminya, MForce Bike Holdings.

    Pembaharuan paling utama pada model Tornado 302R 2021 ini sudah tentu adalah rekaannya, di mana semua panel badan adalah baru dan lampunya kini semua menggunakan unit LED. Muka hadapannya kelihatan lebih agresif dan fairing juga direka dengan mengambil berat ciri aerodinamik.

    Untuk belakang, tempat duduk penumpang kelihatan lebih tinggi, dan di tepinya terdapat pemegang yang disepadukan sekali dengan rekaan panel belakang lebih runcing. Melengkapkan pakej penampilannya, sudah tentu, ia datang dengan pilihan warna serta grafik baru.

    Bahagian enjin masih lagi sama, iaitu unit dua silinder DOHC 302 cc suntikan bahan api, tetapi ia telah diubah sedikit untuk mematuhi tahap emisi Euro 5. Kuasanya menurun sedikit menjadi 35 PS dan 27 Nm tork, tetapi ia ditimbal balik dengan berat yang dikurangkan kepada 182 kg.

    Bahagian lain yang dipertingkat adalah panel instrumen, di mana sekarang Tornado 302R menggunakan unit digital TFT berwarna. Kelengkapan lain pula masih sama, termasuk tetapan brek cakera berkembar, fork USD di hadapan, tangki bahan api 14 liter, sistem brek ABS serta transmisi enam kelajuan dengan klac jenis slip & assist.

     
     
  • Aprilia RS125 dan Tuono 125 2021 dilancar di Eropah

    Aprilia RS125 dan Tuono 125 2021 dilancar di Eropah

    Aprilia baru sahaja memperkenalkan dua model kapasiti rendah baru untuk pasaran Eropah, iaitu RS125 dan Tuono 125. Seperti yang boleh dijangka daripada namanya, dua model ini menggunakan inspirasi rekaan daripada model yang lebih besar iaitu RS660 dan Tuono 660.

    Asas dua model baru ini adalah sama – kerangka serta lengan ayun aluminium, dan enjin satu silinder penyejukan cecair, empat strok. Kuasa yang mampu dihasilkan masih belum didedahkan oleh Aprilia, tetapi kami menjangka ia berada di sekitar 15 hp dan 12 Nm. Beberapa peningkatan turut dibuat kepada enjin ini untuk menjadikan kuasanya lebih responsif dan lebih tork di rpm rendah.

    Daripada enjin, kuasa disampaikan kepada roda belakang melalui kotak gear enam kelajuan dan quickshifter disediakan sebagai pilihan tambahan. Sprocket belakang menggunakan saiz 58 dan kelengkapan lain adalah termasuk brek ABS two-channel, serta cakera brek 300 mm dan angkup dua piston di hadapan.

    Suspensi hadapan menggunakan fork USD sementara di belakang ia dipasang dengan monoshock. Aprilia mendakwa tangki bahan api 14.5 liter pada dua model baru ini adalah yang terbaik di dalam kelasnya dan di bawah tempat duduk terdapat ruang barangan kecil yang boleh memuatkan peranti sehingga saiz lapan inci serta soket pengecas USB.

    Aprilia RS125 ditawarkan dalam warna Aprilia Black dan Sintesi Blue, sementara satu lagi varian, GP Replica diberikan terus dengan quickshifter serta penutup tempat duduk belakang. Aprilia Tuono 125 pula ditawarkan dalam tiga warna iaitu Aprilia Black, Lightning White dan Arrow Grey.

     
     
  • PKP 3.0: Rentas negeri, daerah untuk temu janji vaksin tidak perlu surat kebenaran polis – Khairy Jamaluddin

    PKP 3.0: Rentas negeri, daerah untuk temu janji vaksin tidak perlu surat kebenaran polis – Khairy Jamaluddin

    Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar telah mengeluarkan kenyataan bahawa individu yang ingin merentas negeri bagi tujuan janji temu penerimaan vaksin COVID-19 tidak perlu surat kebenaran polis.

    Khairy berkata, penerima vaksin hanya perlu menunjukkan janji temu dalam MySejahtera atau laman web dan khidmat pesanan ringkas (SMS). Malahan perkara tersebut juga telah dijelaskan kepada Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, laporan Berita Harian.

    “Penerima vaksin tidak perlu surat polis. Cukup sekadar menunjuk janji temu dalam MySejahtera atau laman web atau SMS,” katanya dalam ciapan Twitter malam tadi.

    Pada 15 April lalu, kerajaan memberi kebenaran merentas negeri kepada mereka yang ingin membawa ahli keluarga atau tanggungan bagi tujuan janji temu penerimaan vaksin COVID-19. Dengan kelonggaran itu mereka hanya perlu menunjukkan surat janji temu itu kepada pihak berkuasa di sempadan negeri.

    Walau bagaimana pun, semalam Selangor telah diumumkan bakal melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam daerahnya. Dengan pelaksanaan PKP itu, pergerakan negeri tidak dibenarkan kecuali untuk kes kecemasan, kematian dan mereka yang bekerja.

    Jadi, mari kita nantikan pengumuman rasmi yang mungkin akan dibuat oleh Ismail Sabri mengenai perkara ini.

     
     
  • JPJ kutip RM3.1j melalui kempen diskaun 70% sejak 13 April; S’gor catat kutipan tertinggi RM549k setakat ini

    JPJ kutip RM3.1j melalui kempen diskaun 70% sejak 13 April; S’gor catat kutipan tertinggi RM549k setakat ini

    Menerusi kempen diskaun saman sehingga 70% yang sedang berlangsung sehingga 11 Jun 2021, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengutip sebanyak RM3.147 juta dalam tempoh dua minggu ia berlangsung.

    Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim, jumlah kompaun itu membabitkan 45,317 saman dikeluarkan di seluruh negara, laporan Berita Harian.

    “Daripada jumlah itu, jumlah terbesar dikutip adalah sebanyak RM548,910 atau 7,871 saman dikutip di Selangor, disusuli Johor sebanyak RM343,605 membabitkan 4,911 saman dan Pahang (RM311,874 dengan 4,413 saman),” katanya dalam sidang media sempena sambutan Jubli Platinum 75 JPJ Bersama Media malam tadi.

    Tambahnya, tawaran kompaun sempena dengan ulang tahun yang ke-75 JPJ itu tidak akan disambung selepas tempoh 60 hari diberikan itu tamat.

    JPJ kutip RM3.1j melalui kempen diskaun 70% sejak 13 April; S’gor catat kutipan tertinggi RM549k setakat ini

    Pengurangan 70% bagi semua saman yang dikeluarkan adalah di bawah Akta Pengangkuta Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Akta 334) dan Akta Pengangkutan Awam Darat (Akta 715) termasuk kes yang masih dalam tindakan senarai hitam. Untuk mereka yang mempunyai kes senarai hitam, pesalah haruslah pergi sendiri ke cawangan JPJ berhampiran untuk proses pendokumentasian semula, sebelum pembayaran saman boleh dibuat.

    Tawaran ini juga untuk semua saman yang masih aktif dan tempoh kompaunnya masih berkuatkuasa dengan syarat pembayaran dilakukan dalam tempoh yang dinyatakan iaitu 60 hari. JPJ turut berkata tawaran ini adalah bagi mengurangkan beban kewangan rakyat, terutamanya yang terjejas disebabkan masalah ekonomi ekoran pandemik COVID-19.

    Semua saman JPJ ini boleh dibayar di pejabat dan cawangan JPJ, cawangan UTC, kios dan juga secara dalam talian.

     
     
  • Oppo pula dikhabarkan berminat nak bikin kereta

    Oppo pula dikhabarkan berminat nak bikin kereta

    Oppo, yang merupakan anak syarikat BBK Electronics yang mengeluarkan telefon pintar dan peranti elektronik lain kini dilaporkan sedang mengintai untuk menceburi perniagaan kenderaan, mengikut jejak yang sama dilakukan oleh Huawei dan Xioami. Menurut satu laporan di China oleh CarNewsChina, Pengasas dan CEO Oppo, Tony Chen akan mengetuai projek itu dan sedang mengambil pekerja serta meneroka jalan yang ada.

    “Walaupun dalam pengeluaran kenderaan, kami akan memberi tumpuan kepada perkara yang Oppo sangat arif. Jika pengeluar kenderaan tidak boleh menghasilkan kereta yang bagus dan Oppo ada kekuatan untuk itu, kami akan mencubanya pada masa depan,” jelas Chen.

    Setakat ini masih belum dinyatakan pendekatan mana yang akan diambil oleh syarikat ini sekiranya ia akan menceburi pengeluaran automotif, sama ada untuk membina kereta sendiri dari sifar atau seperti Xiaomi, membangunkan perisian dan menyediakan sokongan untuk pengeluar kenderaan. Yang terakhir ini dapat dilihat pada Seres SF5 yang ditunjuk bulan lalu, yang menggunakan teknologi Huawei di dalam crossover yang pertama kali dibangunkan oleh syarikat dari California, Seres.

    Oppo pula dikhabarkan berminat nak bikin kereta

    Dilaporkan Chen ada bertemu dengan pembekal bateri CATL baru-baru ini dan Oppo sedang mempersiapkan pasukan untuk membangunkan teknologi pemanduan autonomous, yang terdiri daripada Naib Presiden Kejuruteraan Perisian Oppo, Andy Wu dan bekas saintis di Xiaopeng Motors, Eric Guo.

    Oppo juga menghadiri persidangan pembangun SAIC yang diadakan di Shanghai tahun ini dan telah menerbitkan beberapa paten berkaitan pemanduan autonomous, termasuk peranti mengukur jarak, kamera dan kelengkapan bagi memposisikan kenderaan. Kajian sedang dijalankan di pusat automotif Oppo di Chengdu.

    Walaupun laporan China mencadangkan bahawa Oppo sedang giat dengan idea untuk menceburi ruang automotif, tidak diyakini bahawa syarikat itu akan meletakkan komitmen untuk menghasilkan kereta sendiri. Ia mungkin sama seperti minat Apple terhadap industri berkenaan sebelum ini.

     
     
  • Nissan Flagship Store kini di Lazada – yuran tempahan serendah RM250, hadiah bernilai RM598 menanti anda

    Nissan Flagship Store kini di Lazada – yuran tempahan serendah RM250, hadiah bernilai RM598 menanti anda

    Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd. (ETCM) telah pun melancarkan Nissan Flagship Store di platform membeli-belah dalam talian terkemuka, Lazada, sekaligus menawarkan pengalaman membeli mana-mana model Nissan dengan lebih pantas dan mudah.

    Sempena dengan jualan 5.5 Lazada, pelanggan kini boleh menempah model Almera 1.0L Turbo, trak pikap Navara, SUV X-Trail atau MPV Serena S-Hybrid dengan yuran tempahan serendah RM250. Dan 55 pelanggan pertama yang membuat tempahan bakal menerima Nescafe Coffee Machine bernilai RM598 secara percuma.

    “Kami teruja dapat mengembangkan penjualan model Nissan menerusi Lazada, memudahkan sesiapa yang lebih senang membeli-belah menerusi hujung jari sahaja. Dalam situasi wabak COVID-19 yang mencabar ini, pendigitalisasi lebih pantas digunakan dan kami yakin dengan langkah ini adalah cara lain bagi jenama kami untuk meningkatkan perkhidmatan, sekaligus memberikan tawaran hebat ketika membeli model Nissan baharu menerusi aplikasi digital,” ujar Christopher Tan, Pengarah Pemasaran dan Jualan ETCM.

    Model serba baharu Almera 1.0L Turbo kini didatangkan dengan pakej aksesori Urban bernilai RM5,500 dan turut menawarkan Pembiayaan Fleksi pada kadar serendah RM540 sebulan. Sementara Promosi Bagi Penjawat Awam pula menawarkan varian VL bagi model yang sama dengan harga bermula RM71,906.

    Manakala bagi Navara 4×4 2.5L Turbo Double Cab pula diberikan rekaan baharu dan lebih radikal dengan pelbagai teknologi yang terbaik dalam kelasnya, termasuklah sistem keselamatan dan ciri bantuan pemandu Nissan Intelligent Mobility. Ia juga menawarkan Pembiayaan Fleksi bernilai serendah RM950 sebulan.

    Bagi X-Trail pula, kini ia didatangkan dengan pakej aksesori IMPUL atau Aero Edition yang bernilai RM5,600. Manakala Serena S-Hybrid pula kini ditawarkan dengan servis penyelenggaraan percuma selama tiga-tahun termasuk dengan kos buruh dan alat ganti.

     
     
  • AD: Peroleh hingga 4X mata BonusLink Shell menerusi “Ekstra Ganjaran Setiap Hari” berakhir 31 Julai 2021

    AD: Peroleh hingga 4X mata BonusLink Shell menerusi “Ekstra Ganjaran Setiap Hari” berakhir 31 Julai 2021

    Shell kini sedang memperbaharui program kesetiaannya dengan membolehkan anda untuk menikmati sehingga 4X mata ganjaran BonusLink melalui kempen “Ekstra Ganjaran Setiap Hari”, menawarkan nilai lebih banyak setiap kali anda mengisi minyak di Shell. Lebih banyak anda pam, lebih banyak mata ganjaran yang boleh dikumpul, berdasarkan tahap mata ganjaran sedia ada.

    Untuk mengambil bahagian, belanjakan RM50 atau lebih bagi pengisian minyak Shell FuelSave 95, Shell V-Power 97 atau Shell V-Power Racing dalam satu resit. Setiap kali anda membuat isian semula, anda akan menerima mata ganjaran yang digandakan mengikut tahap mata terkumpul semasa dan akan beralih ke tahap seterusnya, sehingga maksimum 4X.

    Apa yang boleh dilakukan dengan semua mata terkumpul itu? Antaranya anda boleh menebusnya dengan mendapatkan makanan atau minuman ringan di mana-mana stesen Shell seluruh negara, dari serendah 100 mata. Sekarang, inilah yang dikatakan nilai terbaik!

    AD: Peroleh hingga 4X mata BonusLink Shell menerusi “Ekstra Ganjaran Setiap Hari” berakhir 31 Julai 2021

    Jadi tunggu apa lagi? Terus berkunjung ke stesen Shell berdekatan anda bermula dari sekarang hingga 31 Julai 2021 untuk isi minyak dan kumpul mata ganjaran sekarang! Dan, sementara anda berkunjung ke stesen minyak Shell, jangan lupa untuk mencuba juga petrol Shell FuelSave 95 yang direka untuk memberikan anda ekstra kilometer dan penjimatan bagi setiap perjalanan.

    Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi Shell Malaysia.

    *Tertakluk kepada terma dan syarat.

     
     
  • Toyota sekali lagi kekal jenama automotif paling dipercayai di Australia untuk tahun ke-16 berturut-turut

    Toyota sekali lagi kekal jenama automotif paling dipercayai di Australia untuk tahun ke-16 berturut-turut

    Toyota sekali lagi merangkul gelaran jenama automotif paling dipercayai di Australia, menurut tinjauan Reader’s Digest Most Trusted Brands 2021. Ini merupakan kali ke-16 berturut-turut jenama dari Jepun berkenaan menjuarai carta tersebut menerusi tinjauan di seluruh Australia yang dibuat oleh firma perundingan Catalyst Research.

    Menurut Reader’s Digest, pemenang untuk tinjauan ini merupakan jenama yang konsumer rasakan boleh diharap secara konsisten dan bernilai untuk wang tanpa mengira iklim ekonomi. Ia turut menambah bahawa kepercayaan kekal sebagai aspek yang penting dalam masa yang sama satu-satu organisasi itu sentiasa mencari jalan baru untuk membina dan mengekalkan hubungan yang lebih rapat dengan pelanggan mereka.

    Naib pesiden jualan dan pemasaran Toyota Australia, Sean Hanley menyatakan bahawa adalah menjadi keutamaan syarikatnya, pekerja dan pengedar untuk memberikan pengalaman pemilikan kenderaan yang terbaik dalam industri.

    “Di Toyota, kami sangat bertuah untuk boleh bergerak cepat bagi mengatasi cabaran dan membina kesetiaan pelanggan yang luar biasa. Kami sangat bersyukur kerana ramai rakyat Australia terus meletakkan kepercayaan mereka kepada Toyota bagi memberikan kenderaan dan servis berkualiti, terutamanya dalam masa yang sukar ini,” kata Hanley.

     
     
  • Pelancongan antara negeri PKPP tidak lagi dibenarkan – kerajaan tangguh skim gelembung pelancongan

    Pelancongan antara negeri PKPP tidak lagi dibenarkan – kerajaan tangguh skim gelembung pelancongan

    Selain dari mengumumkan PKP di enam daerah di Selangor dan prosedur operasi standard (SOP) untuk sambutan Aidilfitri dalam sidang medianya semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri turut mengumumkan bahawa pergerakan rentas negeri untuk tujuan pelancongan antara negeri Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kini tidak lagi dibenarkan sehingga diberitahu.

    “Kerajaan telah membuat keputusan untuk menangguhkan kebenaran untuk merentas negeri di bawah ‘gelembung pelancongan zon hijau’ dari kawasan PKPP ke kawasan PKPP bagi tujuan pelancongan menggunakan agensi pelancongan dengan serta merta,” katanya.

    Ismail Sabri juga turut menjelaskan bahawa penduduk dalam negeri PKPP masih dibenarkan untuk bergerak merentas daerah. Buat masa sekarang, negeri-negeri yang berada dalam status PKPP adalah Kedah (kecuali lima daerah berada di bawah PKP), Melaka, Negeri Sembilan (kecuali daerah Seremban), Pahang (kecuali daerah Raub), Perak, Perlis, Terengganu, Putrajaya dan Labuan.

    Skim gelembung pelancongan tersebut sebelum ini telah pun diperkenalkan pada dua bulan lalu. Dengan skim berkenaan, pergerakan merentas antara negeri PKPP hanya boleh dibuat menerusi agensi pelancongan yang berdaftar dengan kerajaan, di mana mereka perlu mendapatkan kebenaran dari polis dahulu sebelum bergerak.

    Maklumat peserta, penginapan dan aktiviti perlu disertakan oleh agensi pelancongan kepada polis ketika memohon kebenaran, dan ia jelas menyatakan bahawa pelancongan dalam kapasiti persendirian – dan menggunakan kenderaan persendirian – adalah dilarang.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025