Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Harga minyak 20-26 Jun-RON 97 dan RON 95 naik sehingga 3 sen, diesel pula naik sebanyak 4 sen

    Harga minyak 20-26 Jun-RON 97 dan RON 95 naik sehingga 3 sen, diesel pula naik sebanyak 4 sen

    Seperti yang dijangka, untuk minggu bertarikh 20 hingga 26 Jun 2020, sekali lagi harga bahan api utama negara dilaporkan mengalami kenaikan harga runcit.

    Kementerian Kewangan memaklumkan harga petrol RON97 dan RON95 naik masing-masing sebanyak 3 sen, manakala diesel juga naik sebanyak 4 sen.

    Bagi petrol RON97, harga baharunya bakal menjadi RM1.89 seliter, berbanding RM1.86 seliter pada minggu sebelum ini. Manakala RON 95 pula, daripada RM1.56 seliter menjadi RM1.59 seliter.

    Untuk diesel pula, harga bagi gred Euro 2M kini RM1.77 seliter dan RM1.87 seliter bagi gred Euro 5. Kesemua harga baharu ini efektif mulai 12 tengahmalam ini sehingga Jumaat hadapan, 26 Jun 2020.

    Alasan yang sama masih diberikan bagi kenaikan harga ini, iaitu disebabkan oleh peningkatan harga minyak yang diproses (refined product), selari dengan harga minyak mentah dunia.

    Walau bagaimana pun, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

     
     
  • Chevrolet Colorado 2021 dapat muka seperti Silverado

    Chevrolet Colorado 2021 dapat muka seperti Silverado

    Beberapa bulan selepas versi ranggi ZR2 didedahkan, kini Chevrolet menunjukkan pula versi standard untuk Colorado 2021. Varian lain yang dijual untuk trak pikap ini adalah Work Truck (paling asas), LT dan Z71.

    Kini, Colorado 2021 mendapat beberapa pengaruh rekaan daripada satu lagi trak Chevrolet yang lebih besar iaitu Silverado, termasuklah gril lebih besar dengan muka yang direka semula serta bukaan udara lebih besar, dan kemasan bahagian bawah bampar yang boleh ditanggalkan sekiranya perlu.

    Perubahan di bahagian belakang tidak begitu ketara kerana lampu serta bampar dengan pemijak kaki yang lebar masih dikekalkan seperti sebelum ini. Cuma pintu penutup ruang barangan belakang direka semula untuk menempatkan tulisan Chevrolet yang besar.

    Chevrolet Colorado 2021 dapat muka seperti Silverado

    Seperti yang didedahkan sebelum ini, versi ZR2 mempunyai penampilan yang lebih ganas, dengan gril yang lebih panjang ke bawah serta tulisan Chevrolet melintang panjang di atasnya. Versi yang lebih fokus kepada prestasi offroad ini juga mendapat cangkuk penarik, penyerap Multimatic, differential depan dan belakang dengan pengunci elektronik, kit tinggi tambahan dua inci, jarak roda 3.5 inci lebih lebar serta pelbagai pelindung bahagian bawah kenderaan.

    Malangnya setakat ini Chevrolet masih belum mengeluarkan sebarang perincian penuh perubahan yang diberikan kepada bahagian lain seperti dalaman ataupun mekanikal untuk Colorado 2021 ini. Produksi untuknya diberitahu akan dimulakan hujung bulan ini.

     
     
  • Toyota Harrier 2020 terima kit Modellista di Jepun

    Toyota Harrier 2020 terima kit Modellista di Jepun

    Seperti biasa, sebaik sahaja satu-satu model dilancarkan di Jepun, barisan aksesori aslinya juga akan diperkenalkan sekali. Begitu juga Toyota Harrier generasi baharu yang didedahkan April lalu dan mula di jual di Jepun bulan ini, pembeli terus boleh memilih pelbagai aksesori yang lebih sporty dari Gazoo Racing seperti yang didedahkan semalam, atau yang nampak elegen menerusi penawaran kit dari Modellista ini.

    Modellista hadir dengan dua pilihan kit badan untuk Harrier yang dinamakan Gran Blaze dan Avant Emotional. Kedua-dua kit berkenaan menampilkan spoiler bawah bampar hadapan dan belakang dan juga skirt sisi yang sangat labuh. Perbezaan ketara antara kedua-duanya adalah pada bahagian belaakng di mana Gran Blaze menampilkan empat perumah tip ekzos, manakalan Avant Emotional pula menyorokkan sepenuhnya bahagian tersebut.

    Selain panel-panel tambahan pada badan, kedua-dua kit ini juga hadir dengan pelbagai aksesori lain seperti gril baharu dengan pencahayaan LED, spoiler belakang dan juga kemasan-kemasan krom pada bahagian bonet, bawah gril, cermin sisi, tiang-D, pintu tailgate belakang, dan juga rim aloi 20-inci “Wing Dancer XIV”.

    Toyota Harrier 2020 terima kit Modellista di Jepun

    Kit ini juga menampilkan kelengkapan lain termasuk kemasan logam pada pintu, lampu selamat datang berwarna biru yang dipancarkan ketika pintu dibuka, lampu suasana berwarna biru, lampu-lampu pada ruang kaki dan juga lampu bahagian but. Pemilik juga boleh memilih lantai dengan kemasan kayu pada bahagian kargo berkenaan yang didakwa lebih mudah untuk dibersihkan.

    Toyota Harrier generasi baharu ini dijual pada harga bermula 2,990,000 yen (RM119,800) hingga 5,040,800 yen (RM201,900). Ia diasaskan dari platform baharu Toyota New Global Architecture (TNGA) dalam varian GA-K, dan ditawarkan dengan enjin 2.0 liter Dynamic Force NA berkuasa 171 PS/207 Nm dan juga versi hibrid elektrik dengan enjin 2.5 liter menghasilkan kuasa 218 PS secara keseluruhan.

    Kedua-dua pilihan enjin ini digandingkan dengan kotak gear CVT, dengan versi Hybrid juga turut didatangkan dengan sistem pacuan semua roda E-Four yang ditambah motor elektrik pada gandar belakang. Tiada lagi model yang dijana oleh enjin petrol turbo untuk Harrier generasi keempat ini.

    GALERI: Toyota Harrier Modellista Gran Blaze 2020

    GALERI: Toyota Harrier Modellista Avant Emotional 2020

     
     
  • Pengecualian SST 2020: Senarai harga baru Hyundai — jimat hingga RM6,249 sebelum 31 Disember 2020

    Pengecualian SST 2020: Senarai harga baru Hyundai — jimat hingga RM6,249 sebelum 31 Disember 2020

    Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) telah mengeluarkan senarai harga dikemaskini bagi semua barisan kenderaan Hyundai berikutan pengumuman pengecualian cukai jualan (SST) bagi kenderaan penumpang CKD (100%) dan CBU (50%) yang akan berkuatkuasa sehingga 31 Disember nanti.

    Jika diperhatikan jadual di bawah, tiada perbezaan harga bagi Hyundai Elantra, Ioniq hibrid dan Tucson. Ini adalah kerana model-model berkenaan dikilangkan pada tahun 2019, dan hanya kenderaan yang dikeluarkan pada 2020 akan diberi pengecualian cukai. Walaupun harga rasmi kekal sama bagi ketiga-tiga berkenaan, tentunya ada promosi yang ditawarkan kepada yang berminat.

    Pengecualian SST 2020: Senarai harga baru Hyundai — jimat hingga RM6,249 sebelum 31 Disember 2020

    Bagi SUV Santa Fe CKD, ia dijual sebelum ini pada harga RM171,888 hingga RM213,888 (atas jalan tanpa insurans), kini harganya turun kepada RM166,974 bagi 2.4 Executive hingga RM207,638 bagi varian paling tinggi 2.2 Premium. Itu melibatkan penjimatan antara RM4,913 hingga RM6,249, atau 2.86% hingga 2.92%.

    Sementara itu, Hyundai i30 N – model CBU yang diimport dari Eropah – menerima penurunan harga dari RM298,888 kepada RM293,797. Itu melibatkan perbezaan sebanyak RM5,090, atau 1.7%. Tiada perbezaan harga bagi MPV Hyundai Grand Starex, disebabkan status komersialnya.

     
     
  • Tangkap gambar nombor plat fancy, laporkan – JPJ

    Tangkap gambar nombor plat <em>fancy</em>, laporkan – JPJ

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan notis kepada 12,694 pemilik kenderaan setakat ini kerana menggunakan nombor plat yang tidak mengikut spesifikasi seperti yang digariskan oleh undang-undang. Selain itu, dari Januari hingga Mei 2020, sebanyak 7,455 kenderaan telah dikompaun diatas kesalahan sama.

    “Mereka yang menggunakan nombor-nombor plat yang fancy ini mungkin ada alasan dan maksud tersendiri yang ingin ditunjukkan, tetapi yang salah di sisi undang-undang akan tetap salah,” jelas Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid seperti dilaporkan oleh Harian Metro.

    “Pemilik kenderaan yang didapati menggunakan nombor plat yang tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan akan diminta menyatakan alasan mereka dan kenderaan terbabit akan diperiksa sebelum dikenakan saman,” jelas beliau, menjelaskan perbezaan antara notis dan kompaun.

    Shaharuding juga mengalu-alukan laporan daripada orang awam berkaitan nombor plat fancy ini. “Orang awam yang ternampak kenderaan menggunakan nombor plat seperti itu boleh tangkap gambar dan kirimkan kepada pusat aduan JPJ,” ujar beliau.

    Apa yang dimaksudkan dengan nombor plat fancy di sini? Selain daripada permukaan plat dan juga rekaan huruf yang tidak sah atau tidak dibenarkan, tindakan sesetengah orang untuk menyambung atau mengubahsuai huruf atau nombor yang membolehkannya dibaca sebagai satu perkataan juga adalah salah.

    Sebagai contoh, MAF 14 adalah nombor plat biasa, tetapi sekiranya ia ditukar dan diubahsuai menjadi MAF1A, maka itu sudah menjadi kesalahan dan boleh dikenakan tindakan. Fancy di sini pula tidaklah merujuk kepada nombor plat khas yang dikeluarkan secara sah oleh JPJ, misalnya yang terbaru ialah SYG.

     
     
  • MB Selangor tinjau norma baharu di kilang Toyota

    MB Selangor tinjau norma baharu di kilang Toyota

    Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari telah berkunjung ke Assembly Services Sdn Bhd (ASSB), sebuah anak syarikat milik penuh UMW Toyota Motor Sdn Bhd yang terlibat dalam kerja-kerja pemasangan tempatan bagi kenderaan-kenderaan Toyota bagi meninjau sendiri amalan dan prosedur terbaharu yang diamalkan di kilang tersebut yang selari dengan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh kerajaan untuk menghentikan penularan Covid-19.

    Kehadiran Amirudin ke kilang yang terletak di Kawasan Perindustrian Bukit Raja itu disambut oleh barisan pengurusan tertinggi UMW Toyota Motor dan ASSB. Selepas menerima taklimat berkaitan operasi kilang, beliau dibawa meninjau sekitar kemudahan yang ketika ini menjadi pusat pemasangan bagi model-model seperti Toyota Yaris dan Toyota Vios.

    Antara SOP yang diamalkan di fasiliti berkenaan termasuklah mengekalkan jarak sosial, pemeriksaan suhu badan dijalankan setiap hari, manakala cecair pembasmi kuman dan penggunaan pelitup muka dijadikan kelaziman baru.

    MB Selangor tinjau norma baharu di kilang Toyota

    Amirudin juga sempat dibawa melawat Toyota Boshoku UMW Sdn Bhd, sebuah syarikat usaha sama antara Toyota Boshoku dan UMW Toyota Motor yang membuat dan mengeluarkan tempat duduk, kemasan pintu, lapik bumbung serta dulang barangan yang digunakan dalam model-model kenderaan pemasangan tempatan Toyota.

    Sebelum ini, Toyota Boshoku UMW turut membantu mengeluarkan kelengkapan perlindungan peribadi (PPE) yang diperlukan oleh petugas medik yang menguruskan pesakit-pesakit Covid-19. Lebih 10,000 unit PPE yang terdiri daripada pelindung kasut, penutup kepala dan baju pelindung telah diserahkan kepada Kementerian Kesihatan untuk diedarkan ke hospital-hospital seluruh negara.

    Selain itu, turut diadakan majlis penyerahan kelengkapan PPE berkenaan kepada Amirudin sebagai tanda terima kasih kepada kerajaan negeri Selangor. Serahan berkenaan merangkumi 100 helai baju pelindung, penutup kepala dan pelindung kasut.

    MB Selangor tinjau norma baharu di kilang Toyota

    “Kami sangat berterima kasih kepada kerajaan negeri Selangor di atas kelulusan dan bimbingan yang membolehkah ASSB menyambung semula operasi selepas memberhentikannya untuk tempoh yang lama berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sebelum ini.

    Kilang kami telah mengambil segala langkah yang perlu untuk mematuhi SOP seperti yang digariskan, serta kami juga telah menerapkan amalan terbaik lainnya yang dipinjam dari kilang-kilang Toyota di negara lain,” ujar Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K.

    Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama pula berkata, “Toyota Motor Corporation juga sangat serius dalam menyediakan persekitaran yang baik dan selamat kepada semua pekerja. Sebagai ahli keluarga Toyota peringkat global, ASSB juga boleh mendapatkan nasihat dan panduan amalan terbaik daripada TMC berkaitan langkah-langkah tambahan yang boleh digunakan di Selangor juga.”

     
     
  • PKPP: Polis keluarkan 80,950 saman 8 hari pertama

    PKPP: Polis keluarkan 80,950 saman 8 hari pertama

    Sepanjang tempoh lapan hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) diperkenalkan bagi tempoh 10 Jun hingga 17 Jun 2020, statistik menunjukkan bahawa pihak polis telahpun mengeluarkan sebanyak 80,950 saman diatas pelbagai kesalahan terutamanya trafik, lapor Bernama.

    Ini adalah selari dengan makluman yang diberi sebelum ini yang mana pihak berkuasa akan terus mengekalkan kehadiran dan memantau lebuh-lebuh raya serta jalan persekutan dan jalan negeri di seluruh negara berikutan jangkaan meningkatnya jumlah pengguna sebaik sahaja perjalanan rentas negeri dibenarkan.

    Pengarah Jabatan Penyiasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, kesalahan utama yang kerap dilakukan ialah melanggar had laju (37,802), lesen luput tarikh (12,169) dan melanggar isyrat trafik (10,390).

    Pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan ini juga boleh dibawa ke mahkamah sekiranya mereka mengabaikan peraturan jalan raya dan juga undang-undang, merujuk kepada pemandu-pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk atau ditangkap kerana lumba haram di jalan umum.

     
     
  • VIDEO: Pemasangan Ducati Panigale Superleggera V4 – model terhad 500 unit, casis, rim gentian karbon

    VIDEO: Pemasangan Ducati Panigale Superleggera V4 – model terhad 500 unit, casis, rim gentian karbon

    Februari lalu, Ducati telah mengumumkan mereka akan mengeluarkan satu versi khas untuk model V4 dipanggil Panigale Superleggera V4. Ini adalah motosikal keluaran terhad sebanyak 500 unit sahaja untuk seluruh dunia dan dijual pada harga USD100,000 (RM414k).

    Kini pemasangan model istimewa ini sudah pun bermula dan pengeluar dari Itali tersebut telah mengeluarkan satu video yang menunjukkan pemasangan model nombor satu. Kebanyakan proses pemasangan dibuat dengan tangan, namun masih dibantu beberapa mesin untuk memastikan ketepatannya.

    Menurut Ducati, Panigale Superleggera V4 adalah motosikal produksi paling berkuasa dan paling maju pada aspek teknologi yang pernah mereka keluarkan dan ia adalah satu-satunya motosikal yang menggunakan casis, lengan ayun dan rim gentian karbon, dan boleh digunakan atas jalan biasa. Dimensi lengan ayun itu juga diubah menjadi lebih panjang untuk memberikan prestasi lebih baik dalam litar.

    Panel aerodinamik pada motosikal ini hampir kesemuanya juga dibuat daripada gentian karbon, dan menghasilkan kecekapan aerodinamik ekstrem yang menurut Ducati bukan sahaja menyamai jentera MotoGP, malah lebih daripada itu. Pada kelajuan 270 km/j, daya tolakan ke bawah yang mampu dihasilkan adalah sebanyak 50 kg – lebih 20 kg berbanding Panigale V4 dan V4R.

    Dalam keadaan standard dan menggunakan ekzos Akrapovic yang diluluskan untuk kegunaan atas jalan biasa, enjin V4 998 cc pada Panigale Superleggera V4 ini boleh menghasilkan 224 hp dan keseluruhan motosikal mencatat berat 159 kg (kurang 16 kg berbanding Panigale V4 biasa).

    Apabila dipasang pula dengan kit lumba yang diberikan sekali dengan motosikal termasuk ekzos Akrapovic khas untuk kegunaan litar, kuasanya akan bertambah 10 hp lagi menjadi 234 hp manakala beratnya pula berkurang menjadi 152.2 kg. Dalam keadaan ini, nisbah berat dan kuasa menjadi 1.54 hp/kg – satu jumlah yang menakjubkan bagi motosikal produksi. Dalam keadaan standard Panigale Superleggera V4 mencatat nisbah kuasa dan berat 1.41 hp/kg.

    GALERI: Ducati Panigale Superleggera V4

     
     
  • Prasarana lancar aplikasi khas Google Maps untuk bantu pengguna rancang perjalanan dengan bas

    Prasarana lancar aplikasi khas Google Maps untuk bantu pengguna rancang perjalanan dengan bas

    Rapid Bus Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan pengendali operasi perkhidmatan bas Rapid KL, Go KL dan SMART Selangor telah melancarkan aplikasi khas Google Transit menerusi Google Maps, yang bakal memanfaatkan ribuan pengguna perkhidmatan bas awam di Lembah Klang dan Selangor.

    Dilancarkan oleh Pengerusi Kumpulan Prasarana, Dato’ Sri Haji Tajuddin Abdul Rahman di Kompleks Rapid Bus Cheras Selatan semalam, aplikasi yang dibangunkan sendiri oleh Rapid Bus boleh membantu warga kota untuk merancang perjalanan mereka dengan lebih baik dan lebih efisien.

    Diusahakan dengan kolaborasi bersama Google, aplikasi yang menggunakan platform terbuka Google membolehkan para penumpang untuk menyemak lokasi semasa sebenar atau ‘real time’ bas Rapid KL untuk hampir 170 laluan bas di Lembah Klang termasuk bas perantara LRT, Go KL dan beberapa laluan-laluan perkhidmatan bas Smart Selangor yang terpilih.

    Di bawah perancangan masa depannya, Rapid Bus akan meluaskan capaian kepada bas perantara MRT, Rapid Penang di Pulau Pinang dan Rapid Kuantan di Pahang.

    Selain perjalanan bas, perkongsian data tersebut melalui Google Maps turut menyajikan pilihan perjalanan lain seperti kombinasi perkidmatan bas dan rel, memberikan maklumat hentian bas dan jangkaan masa perjalanan. Dengan memiliki maklumat-maklumat ini, para penumpang boleh melakukan aktiviti lain ketika menanti bas mereka dan menuju ke hentian sejenak sebelum ketibaan bas.

    Pada masa sekarang, Rapid KL banyak menerima pertanyaan mengenai lokasi bas daripada pelanggan. Di mana lebih 60% pertanyaan yang diterima daripada pengguna adalah untuk mengetahui kedudukan atau kekerapan bas daripada para penumpang yang sedang menunggu.

    Untuk menggunakan kemudahan ini, para pengguna perkhidmatan bas Rapid KL boleh memuat turun aplikasi Google Maps daripada Google Play atau Apple App Store.

     
     
  • Perincian Honda City pasaran India didedah – 1.5L i-VTEC, ada LaneWatch, meter digital dan pelbagai lagi

    Perincian Honda City pasaran India didedah – 1.5L i-VTEC, ada LaneWatch, meter digital dan pelbagai lagi

    Belum lagi dilancarkan sepenuhnya di India, namun Honda telahpun mendedahkan sebahagian perincian City generasi baharu untuk pasaran berkenaan. Jika ia dilancarkan mengikut jadual pada bulan hadapan, ini bermakna India akan menjadi negara kedua di dunia menerima City ini selepas Thailand.

    Seperti apa yang terdedah seperti sebelum ini, model pasaran India berkenaan mempunyai berberapa perbezaan ketara dengan versi yang telah dilancarkan di Thailand hujung tahun lalu. Yang pertama adalah enjin – India tidak diberikan enjin 1.0 liter tiga-silinder turbo, tetapi hadir dengan pilihan enjin iaitu 1.5L NA i-VTEC dengan kuasa 121 PS/145 Nm dan juga enjin 1.5 liter diesel i-DTEC yang kini telahpun menepati tahap emisi Bharat 6 (BS-VI), berkuasa 100 PS/200 Nm.

    Ketika dilancarkan nanti, model petrol akan ditawarkan dengan pilihan sama ada kotak gear CVT automatik atau manual enam-kelajuan, manakala model diesel seperti sebelum ini hanya tampil dengan transmisi manual enam-kelajuan. Menurut laporan IndianAutosblog, versi diesel mungkin turut akan diberikan pilihan transmisi CVT selepas ini.

    Perincian Honda City pasaran India didedah – 1.5L i-VTEC, ada LaneWatch, meter digital dan pelbagai lagi

    Dengan gandingan yang dinyatakan tersebut, model petrol dengan kotak gear manual mampu mencapai penggunaan bahan api 17.8 km/l, enjin petrol dengan kotak gear CVT mencatatkan kadar 18.4 km/l manakala versi diesel pula 24.1 km/l.

    Pada bahagian dalaman pelbagai lagi perbezaan dapat dilihat. Berbeza dengan versi Thai yang diberikan paparan meter biasa, model di India ini menerima paparan instrumen separa digital yang dibintangi oleh meter digital tujuh-inci pada bahagian sepatutnya ditempatkan meter analog, bersama satu paparan pelbagai info bersaiz kecil di tengah.

    Ia juga menerima sistem kamera pemantau titik buta Honda Lanewatch. Pada pasaran lain termasuk Malaysia dan Thai, sistem Lanewatch yang terdiri dari satu kamera diletakkan pada cermin sisi sebelah penumpang (dipaparkan pada skrin infotainmen utama) ini biasanya hanya diberikan pada model-model besar seperti Civic, Accord dan CR-V.

    Manakala untuk sistem hiburan, City varian tertinggi di India dibekalkan dengan skrin sesentuh lapan-inci yang dihubungkan dengan Alexa Remote, serta boleh dihubungkan dengan Android Auto dan Apple CarPlay. Sedan segmen-B ini juga hadir dengan sistem Honda Connect, iaitu sistem hubungan dengan aplikasi telefon pintar yang menggunakan kawalan telemetik bagi memberikan status perincian kereta terus kepada pemandu walaupun dalam jarak jauh.

    Selain itu, pelbagai kelengkapan lebih tinggi dari versi pasaran Thailand turut dilihat pada model di India ini, antaranya bumbung suria berkuasa elektrik, sistem pemantau tekanan tayar, dan juga lampu suasana dalam kabin.

    Untuk keselamatan pula, City dengan spesifikasi penuh pasaran India ini diberikan enam-beg udara, sistem kestabilan elektronik (VSA), bantuan pengendalian lincah (AHA), traction control, bantuan mula mendaki (HSA) dan juga kamera undur.

     
     
  • Malaysia tidak akan bayar pampasan kepada Singapura dalam penangguhan projek HSR – Azmin

    Malaysia tidak akan bayar pampasan kepada Singapura dalam penangguhan projek HSR – Azmin

    Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan Malaysia tidak akan membayar apa-apa pampasan kepada Singapura dalam penangguhan Projek Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) kerana keputusan itu dipersetujui secara bersama.

    “Pada prinsipnya, kami telah bersetuju bahawa projek ini memberi manfaat kepada kedua-dua negara tetapi kami perlu membincangkan lagi mengenai hal teknikal yang membabitkan projek tersebut.

    “Oleh itu, kami memerlukan lebih banyak masa. Jika kami boleh memuktamadkan keseluruhan langkah dalam tempoh tiga hingga empat bulan, sudah tentu kami akan bertemu sekali lagi,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Malaysia tidak akan bayar pampasan kepada Singapura dalam penangguhan projek HSR – Azmin

    Menurutnya lagi, pasukan dari kedua-dua negera akan bermesyuarat selepas Hari Raya, untuk berdialog lebih lanjut mengenai aspek teknikal projek mega itu.

    “Mandat yang diberikan kepada kami apabila kami menangguhkan projek pada 2018 hingga 2020 adalah bagi melihat semula kos projek tersebut, yang merangkumi penjajaran dan reka bentuk baharu.

    “Alhamdulillah, kami berjaya mengurangkan kos HSR dengan ketara tetapi sekarang, kami telah bersetuju untuk meneruskan projek (diteruskan selepas ditangguhkan pada kali pertama),” katanya.

    Pada hujung Mei lalu, kedua-dua negara telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh penangguhan keputusan mengenai HSR sehingga 31 Dis 2020.

     
     
  • Mercedes-AMG tunjuk pengecas turbo dibantu motor elektrik – lenyapkan turbo-lag, lahir dari Formula 1

    Mercedes-AMG tunjuk pengecas turbo dibantu motor elektrik – lenyapkan turbo-lag, lahir dari Formula 1

    Enjin berkuasa turbo, walaupun digeruni kerana mampu menghasilkan kuasa dan tork yang cukup tinggi dari blok dengan kapasiti kecil, ia sentiasa dihantui oleh satu masalah iaitu turbo-lag.

    Apa sebenarnya turbo-lag ini? Mari saya ceritakan dahulu secara ringkas bagaimana pengecas turbo ini berfungsi. Selain dari bahan api, enjin memerlukan oksigen dari udara yang disedut masuk ke kebuk pembakaran. Lebih banyak udara yang disedut, lebih banyak bahan api yang dapat dibakar seterusnya menghasilkan kuasa yang lebih besar pada enjin berkenaan.

    Pengecas turbo merupakan satu alat yang berfungsi sebagai kipas untuk menyedut lebih banyak udara masuk kedalam enjin. Dan untuk menggerakkan kipas berkenaan, ia menggunakan aliran asap atau gas dari sistem ekzos. Jadi, ini masalah yang selalu terjadi – ketika enjin bekerja dalam rpm rendah, tekanan dari gas ekzos tidak cukup kuat untuk memberikan hembusan yang laju pada pengecas turbo berkenaan, dan inilah yang dimaksudkan dengan turbo lag di mana ia mengambil masa sehingga putaran rpm tertentu bagi memberikan boost secukupnya untuk memberikan tujahan pada enjin.

    Mercedes-AMG tunjuk pengecas turbo dibantu motor elektrik – lenyapkan turbo-lag, lahir dari Formula 1

    Pelbagai cara yang dilakukan oleh jurutera bagi mengurangkan atau melenyapkan masalah turbo-lag ini, antaranya rekaan semula pada pengecas turbo dengan bahagian turbin yang lebih kecil dan juga sistem anti-lag yang biasanya digunakan pada kereta lumba.

    Dan ini satu lagi inovasi bijak untuk menyelesaikan masalah tersebut hasil rekaan sayap perlumbaan Mercedes-Benz iaitu Mercedes-AMG dengan kerjasama pengeluar pengecas turbo terkemuka, Garret Motion – mereka menghasilkan pengecas turbo yang dilengkapi oleh motor elektrik yang mampu berputar menghasilkan tekanan boost, walaupun pada putaran rpm enjin yang rendah, seterusnya memberikan respon segera tanpa turbo-lag ketika pedal pendikit dikerah serta merta walaupun bermula pada kelajuan rendah.

    Menerusi gambarajah yang disiarkan, motor elektrik yang berukuran 4 cm berkenaan direka secara bersepadu dengan pengecas turbo tersebut, diletakkan dalam perumah tengah bagi membolehkan ia menggerakkan syaf penghubung antara kipas turbin dan juga kipas pemampat, walaupun gas ekzos tidak dapat memutarkan kipas turbin kerana tekanan yang tidak mencukupi pada putaran rpm enjin yang rendah.

    Mercedes-AMG tunjuk pengecas turbo dibantu motor elektrik – lenyapkan turbo-lag, lahir dari Formula 1

    Turut dapat dilihat adalah kotak komputer untuk pengecas turbo berkenaan yang kini bukan sahaja mengawal actuator injap wastegate untuk mengawal jumlah boost yang diberikan secara elektronik, malah turut bertugas untuk mengawal motor elektrik yang diberikan tersebut.

    Menurut Mercedes-AMG, motor elektrik berkenaan akan memutarkan kipas pemampat sebelum turbin dapat memutarkan kipas itu. Kemudian, turbin akan berputar secara semula jadi tanpa halangan sehingga mencecah 170,000 rpm, membolehkan tekanan boost yang mencukupi dibekalkan kepada enjin walau dalam apa jua takat rpm enjin sekalipun, dakwa Mercedes-AMG.

    Jenama berkenaan turut menyatakan bahawa teknologi ini merupakan salah satu teknologi yang dapat mereka bawakan kepada model produksi sebenar yang lahir dari perlumbaan Formula 1. Walau bagaimanapun, model pertama yang akan menerima pengecas turbo yang begitu inovatif ini masih belum diumumkan.

     
     
  • Honda Malaysia panggil semula 55,354 unit kenderaan tahun 2018 dan 2019 akibat masalah pam bahan api

    Honda Malaysia panggil semula 55,354 unit kenderaan tahun 2018 dan 2019 akibat masalah pam bahan api

    Honda Malaysia hari ini mengumumkan panggilan semula ke atas 55,354 unit kenderaan Honda bagi tujuan penggantian pam bahan api sedia ada sebagai satu langkah pencegahan awal, selari dengan pendekatan sama yang dilakukan di peringkat global.

    Pecahan model-model yang terlibat serta tahun pengeluarannya adalah seperti berikut; Accord (2018, 298 unit), BR-V (2018, 5,367 unit), City (2019, 15,582 unit), City HEV (2019, 1,620 unit), Civic (2018, 9,122 unit), CR-V (2018, 5,883 unit & 2019, 1,047 unit), HR-V (2018, 8,070 unit), HR-V HEV (2018, 1,408 unit), Jazz (2019, 6,509 unit) dan Jazz HEV (2019, 448 unit).

    Honda Malaysia juga mengesahkan, semua kenderaan yang dipasang dan dikeluarkan pada tahun 2020 tidak terlibat dengan panggilan semula ini. Syarikat berkenaan yakin bahawa panggilan semula ini perlu dilakukan sebagai langkah pencegahan terhadap kemungkinan berlakunya kehilangan kuasa dari enjin. Segala kesulitan kepada pelanggan adalah amat dikesali.

    Honda Malaysia panggil semula 55,354 unit kenderaan tahun 2018 dan 2019 akibat masalah pam bahan api

    Semua pelanggan yang terlibat di dalam panggilan semula ini akan dimaklumkan melalui surat, yang akan mengandungi perincian lanjut berkaitan hal ini. Honda Malaysia juga menggesa semua pelanggan yang terkesan dengan aktiviti ini untuk menghubungi mana-mana pengedar sah Honda untuk membuat temujanji selepas menerima notis berkenaan untuk menukar pam bahan api berkenaan, bergantung kepada stok alat ganti.

    Setakat hari ini, belum ada apa-apa kejadian seperti kemalangan atau kecederaan yang berpunca daripada masalah pam bahan api ini yang dilaporkan di Malaysia. Penukaran alat ganti berkenaan adalah percuma dan semua kos terlibat akan ditanggung oleh Honda Malaysia. Stok untuk penggantian alat ganti berkenaan akan tersedia secara berperingkat.

    Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh menghubungi pengedar sah Honda yang berdekatan atau layari www.honda.com.my untuk menyemak status kenderaan masing-masing.

     
     
  • JPJeBid peroleh RM110,289,072 daripada 97 siri plat nombor yang dikeluarkan – purata RM1,137,001/siri

    JPJeBid peroleh RM110,289,072 daripada 97 siri plat nombor yang dikeluarkan – purata RM1,137,001/siri

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pertama kali memperkenalkan sistem bidaan plat nombor kenderaan menerusi dalam talian JPJeBid sejak April tahun lalu. Menerusi JPJeBId, sistem elektronik itu lebih telus ekoran tiada campur tangan manusia dan proses pembidaan serta keputusan lebih singkat serta menjimatkan kos dokumentasi. Sebelum ini, siri plat nombor unik atau istimewa dikendalikan oleh NGO, di mana tidak semua keuntungannya akan diperoleh JPJ.

    Selepas mengimplementasikan sistem ini, JPJ telah mendedahkan angka kutipan yang diperoleh iaitu mencecah RM110,289,072 daripada 97 siri plat nombor sehingga sekarang. Di mana ia mencapai purata lebih kurang RM1,137,001 bagi setiap siri.

    Pada 2019, sebanyak 54 siri plat nombor telah dibuka untuk bidaan menerusi JPJeBId, dengan mencapai keuntungan keseluruhan mencecah RM61,962,724, atau secara purata sebanyak RM1,147,458 untuk setiap siri. Untuk tahun 2020 pula, setakat ini, sebanyak 43 siri plat nombor telah dikeluarkan dan JPJ telah mengutip sebanyak RM48,326,348, atau secara purata cecah RM1,123,869 bagi setiap siri.

    Siri plat nombor terbaharu, SYG, telah memberi keuntungan kepada JPJ sebanyak RM3.4 juta selepas lima hari bidaannya dibuka secara dalam talian. JPJ berkata, kutipan tersebut adalah RM100,254 lebih tinggi berbanding siri ALL pada tahun lalu. Mulai hari ini pula, JPJ membuka bidaan bagi siri plat nombor VEV menerusi JPJeBid yang berlangsung sehingga 22 Jun 2020.

     
     
  • Kia Carnival – teaser model generasi ke-empat ditunjukkan, dijangka dilancarkan pada Q3 2020

    Kia Carnival – <em>teaser</em> model generasi ke-empat ditunjukkan, dijangka dilancarkan pada Q3 2020

    Kia Carnival serba baharu dijangka akan diperkenalkan pada suku ketiga tahun 2020, dan pengeluar kenderaan Korea ini telah pun memberikan imej pandangan pertama dengan menayangkan teaser imej luaran MPV generasi ke-empat tersebut.

    Carnival atau turut dikenali sebagai Sedona di beberapa pasaran lain, telah ditampilkan dengan imej yang lebih bergaya dengan rekaan yang diinspirasikan dari SUV termasuk perincian baharu yang lebih futuristik. Wajahnya juga umpama bersalin kulit, lebih segar dengan kehadiran lampu utama berteknologi tinggi bersama gril “tiger-nose” yang menjadi ikonik jenama ini.

    Hujung hadapan pula tampil dengan rekaan binaan simfonik, dengan perincian yang lebih kemas, ditampilkan ciri lebih teknikal yang memberikan aura lebih harmoni dengan tenaga struktur.

    Kia Carnival – <em>teaser</em> model generasi ke-empat ditunjukkan, dijangka dilancarkan pada Q3 2020

    Grand Carnival 2.2D LX 11-tempat duduk generasi ketiga

    Untuh bahagian sisinya, MPV ini menerima garisan karakter yang lebih menyerlah merentangi keseluruhan panjang badannya, menghubungkan efek bagi lampu hadapan dan belakang. Sementara perumah kaca pula lebih berkarakteristik dengan sirip krom baharu, yang dilanjutkan sehingga ke belakang.

    Kia turut berkata Carnival baharu ini mampu menarik perhatian keluarga muda dengan adanya kombinasi inovasi, fleksibeliti dan gaya. Selepas pengenalannya di Korea, MPV baharu ini juga akan dipasarkan di beberapa pasaran lain.

    Pada masa ini, Grand Carnival generasi ketiga telah pun diperkenalkan di Malaysia pada Mei lalu, dengan kapasiti 11-tempat duduk. Varian 2.2D KX dan 2.2D SX lapan-tempat duduk masing-masing dijual pada harga RM155,148 dan RM183,766, harga atas jalan tanpa insurans, susulan pengumuman kerajaan yang menurunkan cukai jualan (SST) sehingga 31 Disember ini. Manakala varian 2.2D LX 11-tempat duduk kekal dengan harga RM179,888.

    GALERI: Kia Grand Carnival 2.2D LX

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025