Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • JPJ buka semula kaunter urusniaga mulai 29 April bukan bagi kenderaan persendirian, teksi dan e-hailing

    JPJ buka semula kaunter urusniaga mulai 29 April bukan bagi kenderaan persendirian, teksi dan <em>e-hailing</em>

    Seperti yang diumumkan sebelum ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membuka semula kaunter urusniaga bagi kenderaan perkhidmatan awam, barangan dan pelancongan mulai 29 April 2020. Walau bagaimana pun, pembukaan semula kaunter tersebut buat masa ini tidak melibatkan urusan bagi kenderaan persendirian, teksi dan e-hailing.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JPJ, ini adalah untuk mengelakkan berlakunya ketidakpatuhan kepada garis panduan yang ditetapkan iaitu penjarakkan sosial dan aspek kesihatan seperti berlakunya kesesakan di kaunter.

    Bagi pemandu kenderaan persendirian, teksi dan e-hailing, pengecualian pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (termasuk lesen memandu vokasional) masih dilanjutkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan syarat kenderaan mereka mempunyai perlindungan insurans yang sah sepanjang perkhidmatan dan pengoperasian.

    “Bagi urusniaga yang melibatkan perkhidmatan JPJ yang lain, arahan pembukaan akan dimaklumkan berdasarkan perkembangan semasa isu pandemik COVID-19 dan keputusan kerajaan mengenai PKP,” kata kenyataan terbabit.

    Klik untuk besarkan

    Urusan kaunter urusniaga yang dibuka mulai 29 April ini iaitu yang melibatkan kenderaan perkhidmatan awam, barangan dan pelancongan adalah bagi memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM), memperbaharui Lesen Memandu Malaysia dan Lesen Vokasional (GDL dan PSV) serta menyelesaikan senarai hitam dan pembayaran saman berhubung dengan dua urusan lesen berkenaan. Walau bagaimana pun, waktu operasi bagi kaunter berkenaan adalah dari jam 8 pagi hingga 1 tengahari sahaja.

    Sejak 20 Mac lalu, JPJ telah menutup semua perkhidmatan di kaunternya selaras dengan keputusan kerajaan melaksanakan PKP mulai 18 Mac 2020. Walau pun pada mulanya, JPJ telah memaklumkan pembukaan kaunter perkhidmatan di cawangannya (kecuali di UTC) beroperasi seperti biasa. Namun demikian, setelah mendapati kaunter-kaunter JPJ telah menjadi tempat orang ramai berkumpul, iaitu bertentangan dengan arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan, keputusan penutupan tersebut terpaksa diambil.

    Walau bagaimana pun, bagi LKM kenderaan persendirian yang tamat tempoh dalam pelaksanaan PKP ini, anda boleh memperbaharuinya menerusi portal MYEG dengan transaksi bayaran secara dalam talian. Manakala cetakan bagi LKM anda juga akan dihantar menerusi perkhidmatan pos.

     
     
  • Kawasaki EV Endeavor motosikal elektrik gear manual

    Kawasaki EV Endeavor motosikal elektrik gear manual

    Pada bulan November tahun lepas, Kawasaki telah mengesahkan mereka sedang membangunkan sebuah motosikal elektrik dan ia akan menemui orang ramai tidak lama lagi. Serentak dengan itu, video di sebalik pembangunannya juga disiarkan.

    Kini selepas beberapa bulan, Kawasaki dilihat menyiarkan semula video tersebut, tetapi ia telah dipotong pendek kepada beberapa bahagian, dan tajuknya juga melihatkan ia sudah diberi nama. Motosikal elektrik itu sekarang dikenali sebagai Kawasaki EV Endeavor.

    Selain daripada nama itu, tiada perincian baru lain yang diberitahu dan ia masih sama seperti yang didedah sebelum ini. Motosikal yang menggunakan bentuk sports ini dikuasakan oleh motor elektrik yang dipanggil sebagai “unit kuasa generasi seterusnya”.

    Walaupun ini adalah sebuah motosikal elektrik, Kawasaki tidak mahu penunggangnya kehilangan aspek keseronokan dan ia dilengkapkan dengan penukar gear di kaki. Seperti yang ditunjukkan dalam video, pembangunannya juga banyak dilakukan dalam litar.

    Pelbagai bahagian pada motosikal ini juga masih sedang dikaji, termasuk pakej keseluruhan, geometri casis, transmisi serta penggunaan satu lagi tuil tambahan di bahagian kiri yang boleh ditekan menggunakan ibu jari, untuk sistem penjanaan semula kuasa brek.

     
     
  • Yamaha pernah tunjuk kereta konsep pada tahun 2015 tapi kenapa tidak diteruskan untuk pengeluaran?

    Yamaha pernah tunjuk kereta konsep pada tahun 2015 tapi kenapa tidak diteruskan untuk pengeluaran?

    Bagi kebanyakan orang, Yamaha lebih sinonim kepada motosikal dan juga alat muzik. Tapi sebenarnya, syarikat dari Jepun ini mempunyai banyak lagi produk berteknologi dan kerjasama dengan syarikat lain termasuklah pengeluar kereta. Contoh ringkas, enjin Beams (digunakan banyak model termasuk pada Altezza) dan 1JZGTE pun ada sentuhan Yamaha.

    Pada tahun 2015, Yamaha membuat kejutan apabila membawa sebuah kereta konsep yang dinamakan sebagai Sports Ride Concept ke Tokyo Auto Show. Ia dihasilkan dengan kerjasama pereka kereta terkenal, Gordon Murray, dan sekaligus mewujudkan rasa teruja kepada orang ramai untuk melihat kenderaan ini masuk ke fasa produksi dan dijual kepada umum.

    Untuk masa beberapa tahun, berita Yamaha akan mengeluarkan kereta untuk pasaran senyap seketika, tetapi ia timbul kembali pada tahun 2018 apabila Yamaha dijumpai mendaftar paten reka bentuk sebuah kereta di Eropah. Rekaan kereta tersebut walaubagaimanapun adalah berbeza berbanding kereta konsep yang ditunjukkan pada tahun 2015.

    Yamaha pernah tunjuk kereta konsep pada tahun 2015 tapi kenapa tidak diteruskan untuk pengeluaran?

    Ia menggunakan bentuk hatchback dua pintu yang kompak seperti Toyota MR2 serta lampu yang mempunyai iras seperti Lotus Exige. Anda juga boleh melihat Yamaha memberikan fokus kepada pengurusan angin dengan terdapat skup atas bonet dan bumbung, serta pelbagai garisan badan yang membantu pengaliran angin untuk menjadikan kereta lebih aerodinamik.

    Keterujaan ini bagaimanapun tidak mencapai klimaks kerana pada tahun 2019 Yamaha membuat pengumuman mereka tidak akan mengeluarkan sebarang kereta bukan sahaja dalam tempoh jangka masa pendek, tetapi juga untuk tempoh yang lebih panjang. Antara sebab yang diberikan oleh presidennya, Yoshihiro Hidaka adalah mereka tidak rasa kereta tersebut boleh jadi lebih menonjol berbanding pesaingnya dan membuat keputusan untuk lebih fokus kepada penggerak jenis lain yang lebih kecil.

    Apa pula pendapat anda? Adakah kereta Yamaha ini nampak menarik kalau dijadikan realiti untuk jualan umum? Melihat kepada bentuk, ia pastinya berada dalam segmen kereta sports yang lebih tertumpu dan harganya pasti lebih tinggi daripada kereta biasa. Kalau macam tu, makin seronoklah orang melontarkan ayat Yamahalll.

    GALERI: Yamaha Sports Ride Concept 2015

    GALERI: Paten kereta Yamaha yang didaftar pada 2018

     
     
  • VIDEO: Sylvain Guintoli tunjuk cara guna brek belakang dalam perlumbaan – penting dalam MotoGP

    VIDEO: Sylvain Guintoli tunjuk cara guna brek belakang dalam perlumbaan – penting dalam MotoGP

    Sepanjang tempoh kawalan pergerakan di seluruh dunia sekarang, apa yang banyak kita lihat dilakukan oleh pelumba profesional adalah berlatih di dalam kawasan rumah untuk mengekalkan kecergasan. Walaupun dengan aktiviti tersebut, masih banyak lagi masa terluang yang boleh diisi.

    Salah seorang pelumba profesional yang juga penguji untuk jentera MotoGP Suzuki sekarang, Sylvain Guintoli mengambil peluang ini untuk berkongsi pengalaman beliau melalui video dalam Youtube. Antara yang terbaru, dimuat naik beberapa hari lepas adalah berkenaan penggunaan brek belakang semasa dalam perlumbaan.

    Kami percaya anda pasti sudah banyak kali mendengar, semasa dalam litar, brek hadapan adalah bahagian paling penting untuk membantu memperlahankan jentera, tetapi ia tidak bermakna brek belakang tidak digunakan langsung.

    Dalam video ini Guintoli memberitahu brek belakang juga penting terutamanya bagi jentera MotoGP dan beliau juga menerangkan bila dan kenapa beliau menggunakannya. Apa yang dibuat ada penjelasannya tapi beliau juga memberitahu ia bergantung kepada keselesaan.

    Brek belakang sewaktu dalam perlumbaan digunakan semasa memperlahankan jentera sebelum masuk selekoh, semasa dalam selekoh dan juga sewaktu mahu keluar dari selekoh. Selain pedal di kaki, ada juga pelumba yang menggunakan tuil jenis tarik di bahagian kiri pemegang seperti skuter ataupun tuil jenis tekan di bahagian kiri.

     
     
  • Spoon perkenal kit aero untuk Honda Civic Type R FK8

    Spoon perkenal kit aero untuk Honda Civic Type R FK8

    Sedikit demi sedikit, penala hardcore Honda dari Jepun, Spoon melengkapkan barisan produk prestasi mereka untuk Civic Type R generasi terkini iaitu FK8. Jika sebelum ini rim forged ikonik Spoon SW388 dan sistem brek untuk model ini telah diumumkan sedia untuk dijual, bermula Disember tahun lalu kit aero untuk FK8 ini secara berperingkat mula ditawarkan secara rasmi.

    Sehingga bulan lalu, tiga komponen dari kit aero ini telah pun rasmi dijual oleh Spoon iaitu bampar hadapan, sayap belakang ‘Crane Neck’, dan juga bampar belakang.

    Untuk bampar hadapan, rekaan dari Spoon ini menampilkan gril hadapan yang memberikan aliran udara ke radiator yang lebih besar, membolehkan penyejukan enjin menjadi lebih efisien. Menurut Spoon, tidak seperti bampar standard dengan liang sisi palsu, bampar rekaan mereka ini dihasilkan bagi membolehkan pemilik meletakkan penyejuk minyak serta membuat liang penyejuk sistem brek pada kedua-dua sisi.

    Spoon perkenal kit aero untuk Honda Civic Type R FK8

    Pemilik juga boleh memindahkan terus lampu kabus standard ke bampar ini tanpa sebarang masalah. Bampar ini diperbuat dari bahan FRP, namun pembeli boleh memilih sama ada mahu spoiler di bawahnya menggunakan bahan FRP atau dari material gentian karbon.

    Bagi bampar belakang pula, Spoon telah menghasilkan bahagian tengah bampar tersebut dengan satu gril yang dapat mengurangkan ‘kesan payung terjun’. Manakala kedua-dua liang sisi bampar ini pula dapat melepaskan udara yang terperangkap dalam ruang roda belakang serta memberikan kesan aerodinamik menerusi perbezaan tekanan aliran udara.

    Bampar belakang ini juga direka bagi membolehkan sistem ekzos dua tip Spoon N1 pada bahagian tengah, bagi menggantikan ekzos asal tiga tip dari Honda. Sama seperti bahagian hadapan, ia diperbuat dari bahan FRP, manakala bahagian diffuser boleh dipilih sama ada juga menggunakan FRP atau gentian karbon.

    Beralih ke bahagian spoiler pula, seperti namanya, sayap GT rekaan Spoon ini menerapkan rupa ‘leher bangau’ inspirasi dari logo Spoon itu sendiri (logo tersebut juga sebenarnya menunjukkan salah satu selekoh dalam litar Suzuka yang digelar selekoh sudu).

    Walau bagaimanapun, rekaan ini tersebut bukan sekadar kosmetik semata-mata kerana menurut Spoon, dengan sayap yang ‘dipegang’ dari atas membolehkan downforce yang lebih baik dapat dijana menerusi aliran angin lebih perlahan pada bahagian atas, berbanding aliran lebih laju di bawahnya. Spoiler ini diperbuat sepenuhnya dari bahan gentian karbon, dan sudut ‘attack’ sayap tersebut boleh dilaras dalam lima tetapan berbeza.

    Berminat nak beli? Bampar hadapan untuk Civic FK8 ini dijual pada harga 180,000 yen (RM7.3k) untuk spoiler FRP dan 250,000 yen (RM10.1k) untuk spoiler karbon. Bampar belakang pula berharga 160,000 yen (RM6.5k) untuk diffuser FRP dan 220,000 yen (RM8.9k) untuk diffuser karbon. Manakala untuk spoiler Crane Neck, ia dijual pada harga 295,000 yen (RM12k).

    Kalau anda lihat betul-betul gambar kit lengkap pada kereta demo Spoon di atas, masih lagi ada bahagian yang belum mula dijual, antaranya spoiler pada bahagian bumbung dan juga skirt sisi. Jika lengkap semuanya, tak mustahil harga keseluruhan kit badan ini boleh mencecah RM50k!

     
     
  • Subaru Malaysia buka semula pusat servis terpilih

    Subaru Malaysia buka semula pusat servis terpilih

    TC Subaru Sdn Bhd, selaku pengedar eksklusif kenderaan Subaru di Malaysia telah pun menerima kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk membuka semula operasi pusat servis terpilih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 12 Mei ini.

    Pusat servis TC Subaru terpilih itu memulakan kembali operasinya hari ini, 27 April 2020, melibatkan perkhidmatan penyelenggaraan, membaikpulih berskala kecil dan membaiki kenderaan. Ia melibatkan pusat servis Motor Image (MI) Petaling Jaya, MI Cheras, MI Bukit Mertajam, MI Georgetown, Subaru Setapak (Karrus Automotive Sdn Bhd) dan Subaru Putrajaya (SS Auto Venture).

    Cawangan lain yang turut terlibat termasuklah Subaru Bayan Lepas (Gembira Auto), Subaru Butterworth (Gembira Auto), Subaru Alor Setar (Gem Utara), Subaru Sungai Petani (Gem Utara), Subaru Muar (AJ Premium Motors), Subaru Kluang (AJ Premium Motors), Subaru Cheng (AJ Premium Motors), Subaru Old Klang Road (AAW Nexus) dan Subaru Sungai Besi (AAW Nexus).

    Menurut TC Subaru, pelanggan yang hendak mendapatkan perkhidmatan sedemikian perlu menghubungi pusat servis berhampiran untuk membuat temujanji sebelum menghantar kereta masing-masing untuk diselenggara atau dibaiki.

    Bagi pelanggan yang berhadapan dengan kecemasan seperti kereta mengalami kerosakan atau kemalangan, bolehlah menghubungi Subaru Careline di talian 1-800-22-9898 atau 012-536-0080. TC Subaru turut memaklumkan, waranti kenderaan yang tamat sewaktu dalam tempoh PKP, akan dilanjutkan sehingga 60 hari atau 1,000 km (mana-mana yang tiba terlebih dahulu) sejurus selepas PKP tamat.

    Bagi pelanggan yang datang ke pusat servis terpilih ini juga akan disaring suhu badan terlebih dahulu sebelum memasuki premis, selain perlu memakai penutup hidung dan mulut serta menggunakan hand sanitiser. Malah setiap premis juga akan membersihkan semua kawasan dengan pembasmi kuman bagi mengelakkan penularan COVID-19.

    Dalam tempoh PKP ini juga, TC Subaru telah melancarkan kempen tempahan secara dalam talian bagi pelanggan yang berminat untuk membeli model Forester atau XV baharu. Bagi sesiapa yang berminat, bolehlah mengisi borang secara dalam talian yang disediakan di laman web Subaru Malaysia dan dikenakan yuran tempahan sebanyak RM188.

    Selepas itu, kod tempahan unik akan dihantar kepada pelanggan menerusi e-mel. Kemudian, penasihat jualan akan menghubungi pelanggan terbabit dalam tempoh lima hari bekerja untuk memuktamadkan tempahan dan beberapa langkah seterusnya (pandu uji, melihat kereta terbabit dan pemohonan pinjaman bank) akan dilakukan selepas PKP berakhir.

     
     
  • Kaunter APAD akan dibuka semula dari 29 April – untuk tempoh terhad 8.30 pagi hingga 1 tengahari

    Kaunter APAD akan dibuka semula dari 29 April – untuk tempoh terhad 8.30 pagi hingga 1 tengahari

    Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah mengumumkan pembukaan semula kaunter-kaunter perkhidmatannya bermula 29 April nanti. Beberapa perkhidmatan terpilih akan ditawarkan pada hari bekerja, tetapi bagi tempoh yang lebih singkat iaitu dari jam 8.30 pagi hingga 1 tengahari di empat Pejabat Wilayah APAD (Tengah, Selatan, Timur, Utara) serta kaunter APAD di cawangan JPJ.

    Lima perkhidmatan yang akan terlibat di kaunter-kaunter tersebut ialah Permohonan Membaharui Lesen, Permohonan Semula, Permohonan Melesenkan Kenderaan Mengikut Surat Tawaran Kelulusan (STK), Serahan Dokumen Kelulusan dan Kad Pemandu.

    Bagi lain-lain perkhidmatan di kaunter, sebarang kemaskini akan diumumkan berdasarkan situasi semasa Covid-19 di nehara ini dan keputusan kerajaan terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Fasa empat PKP akan bermula dari 29 April hingga 12 Mei nanti.

    Bagi menjamin keadaan terkawal dan selamat serta bagi mematuhi peraturan PKP, mereka yang bergejala atau mempunyai simtom tidak dibenarkan untuk datang ke mana-mana kaunter APAD, sementara bagi yang hadir pula perlu mengamalkan penjarakan sosial setiap masa.

     
     
  • PKP: 300,000 individu daftar aplikasi Gerak M’sia, 100,000 daripadanya untuk permit rentas negeri

    PKP: 300,000 individu daftar aplikasi Gerak M’sia, 100,000 daripadanya untuk permit rentas negeri

    Dalam tempoh 12 jam selepas aplikasi Gerak Malaysia dibuka untuk orang ramai, sebanyak 300,000 pendaftaran individu telah diterima dan angka itu dijangka meningkat menjelang 1 Mei ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM), daripada jumlah tersebut, 100,000 individu memohon untuk mendapatkan permit pergerakan bagi melakukan perjalanan rentas negeri kerana terkandas di kampung halaman dan tidak sempat pulang ke rumah masing-masing ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata amat perlu bagi polis memastikan bahawa setiap permohonan yang diterima adalah untuk tujuan yang dibenarkan sahaja, supaya perancangan pergerakan antara negeri dapat berjalan dengan lancar dan tidak menyulitkan pengguna-pengguna lebuh raya atau jalan raya yang terbabit.

    PKP: 300,000 individu daftar aplikasi Gerak M’sia, 100,000 daripadanya untuk permit rentas negeri

    “Dalam tempoh yang ditetapkan, pihak polis akan memantau dan menilai trend permohonan yang diterima melalui aplikasi tersebut. Hasil pemantauan dan penilaian akan dimaklumkan kepada kerajaan agar tarikh pergerakan seperti mana yang diumumkan semalam dapat dikaji semula dan diselaraskan mengikut jumlah permohonan yang diterima,” katanya menerusi kenyataan tersebut.

    Beliau turut menasihatkan agar orang ramai dapat memberi kerjasama dengan hanya memohon untuk mendapatkan permit pergerakan atas sebab sahih seperti yang ditetapkan.

    “Kerjasama semua pihak adalah penting bagi memastikan sistem apliksasi tersebut dapat dimanfaatkan oleh mereka yang perlu untuk melakukan pergerakan antara negeri. Perkembangan lanjut mengenai jadual pergerakan antara negeri tersebut akan diumumkan kelak,” katanya.

    Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selepas mendapat data dan maklumat daripada permohonan orang ramai itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan PDRM akan membincangkan Prosedur Operasi Standard (SOP) termasuk menetapkan tarikh pergerakan tersebut.

    Semalam Malaysia Goverment Call centre (MyGCC) telah mengeluarkan info grafik mengenai dua Q&A (question & answer) mengenai permohonan pergerakan rentas negeri. Menurut MyGCC, permohonan rentas negeri tersebut hanyalah untuk satu kali perjalanan iaitu sehala sahaja. Sebagai contoh, jika ada pemohon yang ingin balik ke kampung untuk mengambil anak dan isteri kemudian pulang ke rumah semula, permohonan tersebut adalah tidak dibenarkan sama sekali.

    Soalan kedua pula mengenai penggunaan nombor telefon orang lain untuk mendaftar aplikasi Gerak Malaysia, MyGCC menjawab, “Tidak. Anda adalah tidak digalakkan atau disyorkan untuk berbuat demikian. Tujuan aplikasi ini adalah untuk mengesan nombor telefon bimbit individu. Dengan menggunakan nombor telefon bimbit orang lain, ia menidakkan tujuan sebenar aplikasi ini.”

    Jadi, harap orang ramai tidak menyalahgunakan kepercayaan pihak kerajaan yang telah memberikan kebenaran untuk melakukan perjalanan rentas negeri atas tujuan kembali ke rumah masing-masing selepas terkandas di kampung. Permohonan ini adalah sangat penting untuk mendapatkan kebenaran pihak berkuasa sebelum memulakan perjalanan. Di mana apabila permohonan diluluskan, satu kod QR akan diberikan menerusi e-mel dan ia akan diperlukan sekiranya anda ditahan di sekatan jalan raya. Hanya tunjukkan kod QR tersebut kepada pegawai polis yang bertugas untuk diimbas (scan).

     
     
  • Honda Winner X Sport ABS diperkenal di Vietnam

    Honda Winner X Sport ABS diperkenal di Vietnam

    Kapcai yang ditunggu-tunggu ramai peminat motosikal bukan sahaja di Malaysia, malah juga negara-negara lain kerana cuma dilancarkan di Vietnam, iaitu Winner X kini diperkenalkan dengan versi baru yang dipanggil sebagai Sport ABS.

    Ia bagaimanapun cumalah perubahan pada warna di mana versi baru ini menggunakan gabungan warna kelabu, merah dan hitam, dengan tulisan Sport di tepi. Harganya adalah sama seperti versi ABS yang diperkenalkan sebelum ini, iaitu 48.99 juta dong (RM9,111).

    Spesifikasi lain motosikal ini tidak berubah, di mana ia masih lagi dikuasakan oleh enjin satu silinder DOHC PGM-Fi (suntikan bahan api) 149.1 cc bersama transmisi enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa 15.4 hp pada 9,000 rpm dan 13.5 Nm tork pada 6,500 rpm.

    Penl meter motosikal ini menggunakan unit digital penuh seperti CB150R, dan kelengkapan lain termasuk tayar 90/80 di hadapan dan 120/70 di belakang, tangki bahan api 4.5 liter, berat 123 kg untuk versi CBS dan 124 kg untuk versi ABS serta lampu jenis LED.

    Honda Winner X sekarang ditawarkan di Vietnam dalam pilihan 10 warna dan selain versi ABS, terdapat versi CBS paling murah pada harga 45.99 juta dong (RM8,553) dan paling mahal adalah yang menggunakan warna HRC dilengkapi ABS iaitu 49.99 juta dong (RM9,297).

     
     
  • Honda Orthia – jelmaan Civic EK9 Type R versi wagon

    Honda Orthia – jelmaan Civic EK9 Type R versi wagon

    Kita di Malaysia selalunya akan jumpa Civic generasi keenam (kod casis EK dan EJ) dalam dua bentuk badan iaitu sedan empat pintu dan hatchback tiga pintu. Ramai juga yang tahu bahawa model generasi ini turut dihasilkan dalam bentuk coupe dua pintu untuk pasaran Amerika Syarikat. Namun tahukah anda, Civic ini turut ditawarkan dalam bentuk wagon?

    Ya, ia memang wujud dalam bentuk wagon dikenali sebagai Honda Orthia dengan kod casis EL, dan model wagon ini sebenarnya khas dihasilkan untuk pasaran domestik Jepun. Manakala Orthia yang anda lihat ini pula telah diimport oleh seorang warga Thailand, dan set foto ini telah diambil oleh jurugambar juga dari negara tersebut iaitu Plub Persimmon dan dikongsikan menerusi laman facebook fotografi automotif miliknya yang diberi nama PSM.

    Untuk pengetahuan anda, walaupun Orthia ini adalah EK versi wagon, muka asalnya tidak sama langsung dengan EK sedan atau hatchback. Ia menerima rekaan muka yang lebih mirip kepada Honda CR-V generasi pertama, iaitu SUV yang turut diasaskan dari platform Civic EK.

    Honda Orthia – jelmaan Civic EK9 Type R versi wagon

    Manakala Orthia putih ini pula telah menerima muka yang disalin sepenuhnya dari Honda Civic Type R EK9 versi facelift tahun 1999 – membuatkan ia seakan benar-benar EK9 wagon yang dihasilkan oleh Honda sendiri. Untuk pengetahuan anda juga, dalam keadaan standard, Orthia JDM ditawarkan dengan enjin 1.8L B18B dan juga 2.0L B20B.

    Walaupun kepada silinder untuk kedua-dua enjin tersebut hadir dengan sistem aci sesondol berkembar, tiada sistem VTEC dibekalkan pada enjin wagon ini, seperti enjin B20B pada Honda CR-V. Namun nampaknya wagon di Thailand ini sudahpun menerima perubahan yang ekstensif – tidak tahulah ia menggunakan enjin B16A, B16B atau B18C, atau sekadar menukar kepala silinder, apa yang pasti sistem DOHC VTEC nampaknya telah bertapak di atas blok enjin berkenaan.

    Ubahsuai lain yang turut boleh dilihat adalah pada sistem breknya. Angkup asal brek hadapan kereta ini telah ditukar dengan angkup berwarna biru dari penala hardcore Honda dari Jepun iaitu Spoon, bersama cakera yang dilarik dengan diameter lebih besar dari standard.

    Sistem brek tersebut berselindung disebalik set rim 16-inci Volks Racing CE28, bersalut tayar Toyo Proxes R1R bersaiz 205/45R16. Rel bumbung pada Orthia ini masih lagi dikekalkan bagi mengekalkan imej sebuah wagon.

    Dalam kabin, Orthia ini diberikan papan pemuka EK9 Type R lengkap bersama panel meter model prestasi penuh tersebut. Roda stereng asal tidak lagi digunakan bagi membolehkan roda stereng balutan kulit tiga-jejari keluaran Momo yang dihasilkan untuk Spoon. Tempat duduk asal hadapan juga ditukar, kini menggunakan sepasang tempat duduk Recaro Top Fuel.

    Berminat? Sekarang bolehlah usya laman-laman kereta lelong Jepun. Dan ingat jangan pakai kata kunci ‘Civic EK Wagon’ atau cari gambar sebuah wagon dengan muka EK yang anda kenal, memang tak jumpa kerana di Jepun kereta ini memang dikenali sebagai Honda Orthia dengan muka yang unik.

     
     
  • PKP: Tarikh perjalanan rentas negeri belum ditetapkan

    PKP: Tarikh perjalanan rentas negeri belum ditetapkan

    Lewat petang semalam, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah mengeluarkan jadual perjalanan bagi pergerakan rentas negeri , iaitu antara 1 hingga 3 Mei mengikut negeri. Walau bagaimana pun, sebentar tadi Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan tarikh pergerakan kepada mereka yang berada di kampung untuk pulang ke destinasi masing-masing bukan bermula pada 1 Mei ini.

    “Sebenarnya seperti yang saya sebutkan bahawa sehingga 1 Mei itu adalah pendaftaran melalui temu janji di balai polis. Pendaftaran boleh dibuat melalui aplikasi Gerak Malaysia dan sesiapa yang tidak mempunyai aplikasi tersebut boleh melaporkan ke balai-balai polis berdekatan melalui temu janji,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Menurutnya lagi, selepas mendapat data dan maklumat daripada permohonan orang ramai itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan PDRM akan membincangkan Prosedur Operasi Standard (SOP) termasuk menetapkan tarikh pergerakan tersebut.

    PKP: Tarikh perjalanan rentas negeri belum ditetapkan

    Ismail berkata kerajaan tidak hanya melihat isu pergerakan merentas negeri membabitkan mereka yang kini di kampung dan ingin pulang ke destinasi masing-masing sahaja tetapi turut melihat kekangan lain dalam isu tersebut.

    Katanya banyak perkara yang perlu diperhalusi sebelum membuat keputusan kerana masalah pergerakan itu bukan seperti isu membawa pulang pelajar di kampus ke kampung halaman masing-masing.

    “Ia bukan kes yang jelas dan mudah tetapi melibatkan perkara yang besar seperti melibatkan kepulangan dari kampung ini, isunya banyak misalnya mereka yang tiada kenderaan untuk pulang, satu kenderaan lima orang misalnya (ia melanggar akta) kerana akta menetapkan iaitu satu pemandu sahaja. Jadi ini adalah antara perkara yang perlu diperhalusi,” katanya.

    PKP: Tarikh perjalanan rentas negeri belum ditetapkan

    Selain itu Ismail Sabri berkata kerajaan juga mengambil maklum masalah yang dihadapi individu yang terkandas di bandar dan mahu pulang ke destinasi masing-masing. Jelasnya ia susulan terdapat orang ramai bercuti di bandar sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

    Bagaimanapun Ismail Sabri mengucapkan terima kasih kepada PDRM yang telah mencadangkan beberapa SOP yang dibawa ke mesyuarat bersama MKN dan KKM.

    “Selepas mereka mencadangkan SOP tersebut, perkara itu perlu dibawa ke mesyuarat khas menteri-menteri untuk diluluskan. Selepas itu barulah tarikh pergerakan ditetapkan,” katanya.

     
     
  • PKP: PDRM keluarkan jadual perjalanan untuk pergerakan rentas negeri antara 1 hingga 3 Mei

    PKP: PDRM keluarkan jadual perjalanan untuk pergerakan rentas negeri antara 1 hingga 3 Mei

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah mengeluarkan jadual perjalanan bagi orang ramai yang berjaya mendapatkan kebenaran melakukan perjalanan rentas negeri, iaitu yang terkandas di kampung dan mahu kembali ke kediaman masing-masing. Permohonan untuk mendapatkan kebenaran tersebut adalah menerusi aplikasi mudah alih Gerak Malaysia.

    Selain memudahkan orang ramai memohon kebenaran tersebut menerusi dalam talian, ia juga mengurangkan risiko jangkitan dan penularan wabak COVID-19 jika terpaksa ke balai polis untuk membuat permohonan tersebut.

    Bagi memudahkan pergerakan pemohon, PDRM juga telah mengeluarkan jadual perjalanan yang telah dirancangkan. Di mana pemohon yang bergerak dari Perak, Johor dan Kelantan, perlulah melakukan pergerakan pada 1 Mei ini. Manakala yang dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang pula, pada 2 Mei. Dan pada 3 Mei pula adalah bagi pemohon yang bergerak dari Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu.

    Menurut PDRM, permohonan permit pergerakan tersebut sudah boleh dibuat mulai hari ini sehingga 29 April 2020. Untuk menggunakan aplikasi ini, orang ramai boleh memuat turun melalui Google PlayStore , Apple AppStore dan juga Huawei App Gallery. Semasa pendaftaran kali pertama, pengguna perlu memasukkan butiran peribadi seperti nama penuh, nombor MyKad/Passport, alamat, nombor telefon peranti yang digunakan dan juga alamat e-mel.

    Selain itu, pengguna juga perlu memberikan kebenaran kepada aplikasi ini untuk mengakses lokasi GPS, bagi membolehkan sistem aplikasi ini mengesahkan lokasi semasa pemohon, seterusnya meluluskan permit pergerakan.

    Aplikasi ini juga dapat membantu PDRM untuk mengenal pasti jumlah mereka yang bakal terlibat dalam perjalanan pergerakan rentas negeri ini. Pengguna yang telah memohon hendaklah mengemaskini permohonan pada tarikh dibenarkan berlepas agar kod QR dapat dijana secara automatik.

    PKP: PDRM keluarkan jadual perjalanan untuk pergerakan rentas negeri antara 1 hingga 3 Mei

    Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Dato’ Huzir Mohamed, buat masa ini, hanya permohonan untuk mendapatkan permit pergerakan rentas negeri sahaja yang akan diproses. Dengan permit pergerakan yang dijana melalui kod QR di dalam aplikasi telefon pintar, orang ramai hanya perlu menunjukkan kod tersebut ketika melalui sekatan jalan raya untuk diimbas oleh pihak berkuasa.

    “Orang ramai diingatkan agar hanya membuat permohonan bagi tujuan perjalanan yang benar-benar perlu seperti yang telah ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tidak menyalahgunakan kemudahan permit pergerakan melalui aplikasi tersebut,” ujarnya menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh PDRM.

    Kenyataan tersebut turut memaklumkan, aplikasi terbabit juga akan memproses beberapa permohonan permit lain iaitu bagi pembelian barangan keperluan dalam lingkungan 10 kilometer dari kediaman, mendapatkan rawatan perubatan, keadaan kecemasan (contohnya kematian ahli keluarga terdekat) dan aktiviti perlu seperti membaiki kerosakan kenderaan atau membaikpulih kerosakan di dalam rumah. Walau bagaimana pun, PDRM tidak memaklumkan bilakah permit untuk permohonan tersebut boleh dimohon. Kena tunggu pengumuman selanjutnya oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan PDRM sendiri.

     
     
  • Rakyat Malaysia di Singapura yang mahu pulang ke tanahair melalui jalan darat perlu mohon permit masuk

    Rakyat Malaysia di Singapura yang mahu pulang ke tanahair melalui jalan darat perlu mohon permit masuk

    Ini ada makluman buat rakyat Malaysia yang berhasrat untuk pulang ke tanah air dari Singapura melalui jalan darat, anda dikehendaki mendapatkan permit masuk daripada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di republik terbabit mulai 27 April ini.

    Menerusi paparan laman Facebook suruhanjaya berkenaan, pemohon perlu menghantar butiran seperti nama, nombor kad pengenalan dan pasport, tarikh berlepas ke e-mel [email protected], sekurang-kurangnya dua hari sebelum tarikh berlepas.

    Selain itu, satu salinan pas iaitu Penduduk Tetap Singapura, Pas Jangka Panjang, Permit Kerja, Pelajar dan lawatan sosial juga perlu dilampirkan bersama. Setelah diluluskan, Suruhanjaya Tinggi akan membalas e-mel tersebut dengan disertakan nombor rujukan unik.

    Kemudian, rakyat Malaysia terbabit hanya perlu mencetak atau mengambil tangkapan skrin telefon bimbit (screenshot) e-mel tersebut dan diserahkan di Pusat Pemeriksaan Imigresen Malaysia di Johor Bahru.

    Sebelum ini, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menetapkan prosedur operasi standard (SOP) baharu berhubung pengurusan kemasukan melalui pintu masuk antarabangsa di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di Tambak Johor dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), di Tanjung Kupang, Gelang Patah.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, ujian COVID-19 yang dilakukan di Singapura tidak lagi terpakai serta tidak lagi menjadi rujukan pihak berkuasa bagi kemasukan rakyat Malaysia bekerja di Singapura di pintu masuk negeri ini.

    Di mana tiada lagi kuarantin di rumah bagi mereka yang mempunyai surat ujian negatif COVID-19 yang dibawa balik dari Singapura sebaliknya mereka akan dihantar terus ke stesen kuarantin diwartakan kerajaan.

     
     
  • PKP: Pergerakan antara negeri dibenarkan dari 1 hingga 3 Mei ini dengan syarat yang ditetapkan

    PKP: Pergerakan antara negeri dibenarkan dari 1 hingga 3 Mei ini dengan syarat yang ditetapkan

    Seperti yang diumumkan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai pergerakan antara negeri untuk orang ramai yang terkandas di kampung kembali ke kediaman masing-masing di bandar, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengesahkan kebenaran telah pun dikeluarkan iaitu dari 1 hingga 3 Mei 2020.

    Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, mereka yang layak boleh mengemukakan permohonan untuk membuat pergerakan antara negeri mulai 26 April ini melalui aplikasi Gerak Malaysia atau pun permohonan bertulis untuk mendapatkan kebenaran perjalanan di balai polis berdekatan.

    “Namun keutamaan perjalanan akan diberikan kepada pengguna aplikasi Gerak Malaysia. Bagi yang membuat permohonan menerusi aplikasi ini, mereka perlu mengemas kini permohonan pada 29 April untuk mengesahkan destinasi perjalanan dan pada 1 Mei, mereka boleh membuat semakan status permohonan di aplikasi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi.

    Tambahnya, tempoh pergerakan antara negeri yang dibenarkan adalah antara 1 hingga 3 Mei depan dan pengguna jalan raya dikehendaki merancang perjalanan mereka mengikut syarat yang ditetapkan.

    PKP: Pergerakan antara negeri dibenarkan dari 1 hingga 3 Mei ini dengan syarat yang ditetapkan

    Dalam masa yang sama, beliau turut mengingatkan kepada pengguna Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), tiada sebarang kemudahan makanan disediakan di kawasan rehat dan rawat (R&R). Ini termasuk surau yang ditutup dan sebarang aktiviti solat berjemaah di R&R tidak dibenarkan termasuklah di dalam mana-mana bangunan, kawasan lapang, tempat letak kereta dan lain-lain.

    Selain itu, hanya fasiliti tandas sahaja awam sahaja yang dibenarkan beroperasi. Kawasan meletak kenderaan hanya dibenarkan untuk tujuan rehat dan pengguna lebuh raya tidak dibenarkan keluar daripada kenderaan semasa dalam tempoh rehat kecuali untuk menggunakan tandas awam.

    Manakala stesen minyak hanya akan beroperasi antara jam 6 pagi sehingga 12 tengah malam di sepanjang lebuh raya dan dilarang melalukan sebarang aktiviti secara berkumpulan dalam tempoh perjalanan.

    Beliau turut memaklumkan satu kenyatan media berhubung tatacara pendaftaran aplikasi Gerak Malaysia akan dikeluarkan pada hari ini dan diikuti dengan satu sidang media pada 29 April ini mengenai pergerakan mengikut negeri bagi memastikan perjalanan mereka lancar dan teratur.

    PKP: Pergerakan antara negeri dibenarkan dari 1 hingga 3 Mei ini dengan syarat yang ditetapkan

    Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) turut mencadangkan agar orang ramai yang ingin melakukan pergerakan antara negeri ini supaya bergerak pada waktu yang sesuai bagi mengelakkan pertembungan dan kesesakan di lebuh raya.

    Menurut Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, bagaimana pun pihaknya menunggu keputusan kepimpinan tertinggi PDRM dalam memutuskan mekanisme terbaik untuk pergerakan mereka.

    “Pihak JSPT juga memberi cadangan agar apa jua mekanisme (yang diputuskan) perlu mengikut masa-masa yang tertentu dan tidak bertembung pada waktu-waktu puncak agar kesesakan dapat dielakkan. Waktu sebelah malam iaitu 9 malam hingga 5 pagi dicadangkan sebagai waktu terbaik untuk bergerak,” katanya kepada Bernama.

    Azisman berharap agar apa jua keputusan yang akan dibuat dapat melancarkan pergerakan bagi memudahkan anggota polis di sekatan jalan raya menjalankan tugas.

    Ditanya adakah cadangan itu hanya untuk mereka yang terkandas dikampung yang ingin pulang ke bandar, Azisman berkata ia termasuk penuntut institut pengajian tinggi yang berhasrat pulang ke rumah mereka.

     
     
  • Perodua KeliXa — bayangan konsep kompak popular

    Perodua KeliXa — bayangan konsep kompak popular

    Perodua Kelisa tak memerlukan pengenalan panjang. Sebahagian besar daripada kita tentu ada pengalaman sendiri tentang model yang menggantikan Kancil pada 2001 dulu, sebelum itu pula kemudiannya digantikan dengan model Viva pada tahun 2007.

    Kecil dan ligat, kereta kompak ini masih lagi ada harga; dalam pasaran kereta terpakai misalnya, walaupun dan berusia banyak tahun, Kelisa masih lagi boleh dijual sekitar RM10,000. Tak dapat dinafikan, model yang meminjam asas daripada Daihatsu Mira L700 ini ada daya tarikan dan kualiti tersendiri.

    Theophilus Chin, yang kerja lakaran serta rekaan digitalnya selalu kami tampilkan di laman ini, mengalihkan perhatian untuk membayangkan semula model Kelisa ini. Ia diberi nama KeliXa, sebuah bayangan konsep kepada model kereta kompak popular nasional – tetapi kali ini diposisikan antara Axia dan Myvi.

    Perodua KeliXa — bayangan konsep kompak popular

    Jika anda nampak bentuk umumnya macam pernah dilihat, ia sebenarnya diambil daripada model Perodua X-Concept yang dipamerkan ketika KLIMS 2018. Theo pernah gunakan asas yang sama untuk menghasilkan rekaan bayangan Axia generasi baru sebelum ini.

    Walaupun terdapat beberapa persamaan dengan rekaan awal berkenaan serta dengan X-Concept, banyak elemen pada KeliXa ini dihasilkan bagi menampakkan yang ia seperti sudah siap untuk diproduksi dan kekal menarik perhatian. Bermula di depan, lampu utama yang tirus serta bersegi adalah lanjutan daripada model konsep itu, digandingkan dengan bentuk gril hexagonal dengan kemasan corak berlian.

    Bahagian bawah bampar, seksyen bentuk T pada X-Concept diubah menjadi ruang untuk menempatkan lampu kabus, di atas bukaan udara hiasan. Walaupun bahagian berkenaan nampak konvensional, sedikit ruang turut disediakan untuk menempatkan sensor sistem keselamatan kereta berkenaan.

    Dari sisi, garis badan yang kelihatan lebih tajam dan ketara berbanding Kelisa yang dulu. Ini dilanjutkan sehingga ke bahagian lampu belakang dan ke bahagian lebih bawah bampar. Rekaan lampu juga lebih ringkas dan jelas.

    Mengingat kembali perihal model X-Concept terdahulu, ia mempunyai dimensi seperti berikut; 3,750 mm panjang dan 1,665 mm lebar. Ukuran ini berada di antara Axia (3,640 mm panjang, 1,620 mm lebar) dan Myvi (3,895 mm panjang, 1,735 mm lebar).

    Jarak antara rodanya pula ialah 2,460 mm, berbanding yang dimiliki Axia (2,455 mm) dan Myvi (2,500 mm). Zamuren menjelaskan, saiz yang digunakan ini adalah bagi kereta kompak global, boleh saja merujuk kepada kenderaan segmen A. Jadi, macam mana dengan rekaan KeliXa ini? Cukup menarik?

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025