Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Cadangan JPJ gantung, batal lesen syarikat kenderaan berat langgar undang-undang wajar dilaksana

    Cadangan JPJ gantung, batal lesen syarikat kenderaan berat langgar undang-undang wajar dilaksana

    Cadangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ untuk menggantung dan membatalkan lesen syarikat kenderaan berat yang melanggar undang-undang perlu dan wajar dilaksanakan, ujar Persatuan Pengusaha-Pengusaha Lori Tipper Malaysia.

    Menurut pengerusinya, Datuk Michael Loo Leep Chye, peningkatan kes kenderaan berat yang tidak mempunyai cukai jalan, insurans dan menggunakan pemandu warga asing sebagai masalah lama yang semakin membarah, laporan Harian Metro.

    “Kami tidak bersetuju pengusaha menggajikan pemandu warga asing, lebih-lebih lagi tanpa lesen sah. Ia bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah mengancam keselamatan pengguna jalan raya,” katanya sambil menambah ahli persatuan dilarang menggaji warga asing sebagai pemandu lori kerana ia menyalahi undang-undang.

    Tambahnya, “Jika mereka cabar undang-undang, mereka tidak layak jadi ahli persatuan ini. Tindakan tegas perlu diambil terhadap syarikat dan individu terbabit. Syarikat sebegini biasanya terlibat dalam pengangkutan bahan galian seperti pasir, batu dan tanah,” katanya.

    Cadangan JPJ gantung, batal lesen syarikat kenderaan berat langgar undang-undang wajar dilaksana

    Michael turut berkata, antara punca utama pengusaha tidak memperbaharui cukai jalan dan insurans ialah bebanan kos operasi yang tinggi.

    “Kos cukai jalan dan insurans dibayar penuh untuk setahun, tetapi operasi hanya berjalan beberapa hari setiap bulan, belum masuk cuti umum dan sekatan permit doket bahan galian,” katanya yang dalam masa sama turut menegur isu penyelarasan undang-undang antara JPJ, JKR dan Kementerian Kerja Raya (KKR) berhubung muatan maksimum atau BDM (Berat Dengan Muatan).

    Menurutnya, JPJ dan persatuan sudah bersetuju dengan BDM tambah tolak 10% untuk lori tipper, tetapi dalam masa sama, ada pula pengusaha yang dapat kelulusan BDM lebih tinggi.

    “Di sini berlaku double standard yang sangat mengelirukan. Pengusaha tipper berdepan dilema apabila berat lori tidak sepadan dengan doket yang dibayar. Akibatnya, mereka terpaksa terlebih muatan atau menanggung kerugian.

    “Sebagai contoh, lori 10 tayar dengan BDM 24 tan, jika tolak berat lori 11 tan, hanya boleh bawa 13 tan. Tapi doket yang dikeluarkan adalah untuk 20 tan,” katanya yang berharap kerajaan meneliti isu penyelarasan undang-undang ini agar keadilan dapat diberikan kepada semua pihak.

    Cadangan JPJ gantung, batal lesen syarikat kenderaan berat langgar undang-undang wajar dilaksana

    Sehubungan itu, beliau mencadangkan satu prosedur operasi standard (SOP) komprehensif dibangunkan Kementerian Pengangkutan Malaysia dengan penglibatan semua pihak termasuk pengusaha lori.

    “Kami sedia menyumbangkan idea agar dapat dimasukkan dalam pelaksanaan undang-undang atau SOP baharu,” katanya.

    Menurutnya, semua pemandu lori wajar diwajibkan menghadiri kursus keselamatan jalan raya bagi meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab terhadap keselamatan awam.

    Minggu lalu, JPJ mendedahkan bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini, sebanyak 365 lori telah disita atas pelbagai kesalahan. Di mana lori tipper atau dump truck merupakan jenis lori yang paling banyak disita oleh JPJ sejak tahun 2022 iaitu sebanyak 602 unit daripada keseluruhan 3,061 lori yang dikenakan tindakan sehingga April 2025.

    Malah JPJ turut mendedahkan 15 syarikat dicadangkan untuk pembatalan lesen dan 513 lagi digantung operasinya, selain amaran terhadap 28 syarikat lain susulan peningkatan kes kemalangan membabitkan kenderaan berat.

     
     
  • Chery X3 di China — rebadge dari iCaur 03, Jaecoo J6

    Chery X3 di China — rebadge dari iCaur 03, Jaecoo J6

    Sepertinya iCaur 03/Jaecoo 6 turut akan menggunakan nama Chery di China. Car News China melaporkan, dengan merujuk fail dari Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China, model berkenaan akan dikenali sebagai Chery X3 dan X3 Plus, yang menggunaan asas daripada iCaur 03 dan 03T.

    Dengan berat sekitar 1.8 tan, Chery X3 mempunyai dimensi ukuran 4,327 mm, 1,910 mm, 1,715 mm dan 2,715 mm — iCaur 03 adalah 79 mm lebih panjang, dengan dimensi lain semuanya sama. Bagi Chery X3 Plus yang hadir dengan berat 1.7 tan pula, ia mempunyai ukuran 4,380 mm panjang, 1,916 mm lebar, 1,715 mm tinggi dengan jarak roda 2,715 mm — ia 52 mm lebih pendek dan 26 mm lebih rendah berbanding iCaur 03T.

    Menurut laporan berkenaan, Chery x3 dan X3 Plus dilengkapi dengan motor elektrik 252 PS, laju maksimum 150 km/j, sudut mendekat 26-darjah serta sudut berlepas 28-darjah dan rim aloi 18-inci atau 19-inci dengan tayar 245/55 dan 225/60. Turut dinyatakan model berkenaan menggunakan bateri LFP Gotion 68.36 kWh yang memberikan jarak 520 km CLTC.

    Ini berbeza sedikit daripada angka iCaur 03, yang mempunyai 184 PS dan 65.7 kWh bateri bagi versi RWD, atau 279 PS dan 69.8 kWh untuk versi AWD — untuk versi pasaran globalnya, termasuk Malaysia. Dari segi rekaan, berdasarkan gambar yang dikongsi, kelihatan seperti lencana Chery disepadukan dengan lebih bersih pada grilnya — pendekatan rekaan yang lebih klasik.

    iCaur (disebut iCar, nama aslinya di China) merupakan sebuah jenama di bawah payung Chery yang dilahirkan hasil kerjasama dengan anak syarikat Xiaomi, Zhimi Technology. Jenama ini telah membuat penampilan pertama di Malaysia ketika Malaysia Autoshow 2025, dengan mempamerkan model 03, 03T dan V23.

    Daripada tiga model ini, 03 akan dilancarkan terlebih dahulu dan dijangka tiba di pasaran secara rasmi pada suku ketiga tahun ini. Pendaftaran minat telah di buka, dan harga anggaran sekitar RM145K untuk versi RWD dan RM155k untuk AWD.

     
     
  • Geely Galaxy E5 bakal terima varian dengan jarak gerak 610 km – Proton eMas 7 LR akan menyusul?

    Geely Galaxy E5 bakal terima varian dengan jarak gerak 610 km – Proton eMas 7 LR akan menyusul?

    Kembar Proton eMas 7 di pasaran China iaitu Geely Galaxy E5 bakal menerima varian dengan bateri berkapasiti lebih besar bagi memberikan jarak gerak lebih jauh tidak lama lagi. Perincian bagi versi berkenaan telah pun didedahkan di dalam laman web rasmi Kementerian Industri dan Teknologi Informasi (MIIT) China dan dilaporkan oleh portal CarNewsChina.

    Varian baharu tersebut akan dibekalkan dengan pek bateri 68.39 kWj bagi memberikan jarak perjalanan sejauh 610 km dalam kitaran ujian CLTC. Buat masa sekarang Galaxy E5 datang dalam dua varian bateri iaitu 49.52-kWj bagi memberikan jarak perjalanan sejauh 440 km CLTC dan juga 60.22 kWj untuk jarak gerak sejauh 530 km CLTC. Proton eMas 7 di Malaysia yang datang dengan dua varian juga menerima pek bateri sama menawarkan jarak gerak sejauh 345 km dan 410 km dalam kitaran ujian WLTP yang lebih tepat.

    Namun versi dengan bateri lebih besar ini masih akan menampilkan konfigurasi motor elektrik yang sama iaitu motor tunggal memacu roda hadapan berkuasa 218 PS dan tork maksima 320 Nm. Sistem pengecas AC dan DC terus ditawarkan untuk varian baharu ini namun spesifikasinya belum diumum. Manakala sistem Vehicle-to-load (V2L) terus diberikan dengan kapasiti 3.3 kW. Rupa luaran varian baharu ini nampknya masih lagi sama tanpa sebarang perubahan.

    Geely Galaxy E5 bakal terima varian dengan jarak gerak 610 km – Proton eMas 7 LR akan menyusul?

    Dengan pengenalan varian baharu pada Geely Galaxy E5 (juga dikenali sebagai Geely EX5 pada pasaran eksport lain), mungkin Proton juga akan menawarkan eMas 7 dengan pilihan bateri lebih besar dan jarak gerak lebih jauh (Long Range atau LR)?

    Buat masa sekarang Proton eMas 7 masih lagi merupakan model EV paling laris di Malaysia. Varian asas EV ini dikenali sebagai eMas 7 Prime dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM109,800, manakala varian tertinggi eMas 7 Premium dijual pada harga RM123,800.

     
     
  • Kerajaan tidak akan naikkan harga RON 95 walaupun telah dibincangkan, warga asing bayar lebih — PMX

    Kerajaan tidak akan naikkan harga RON 95 walaupun telah dibincangkan, warga asing bayar lebih — PMX

    Dalam perkembangan terbaru, kerajaan mengumumkan tidak akan berlaku kenaikan harga bagi RON 95 sebagai sebahagian daripada rancangan penyelarasan semula subsidi bahan api itu, yang sebelum ini dijangka bermula pada pertengahan 2025.

    Kerajaan memberi jaminan yang harga bagi petrol RON 95 tidak akan dinaikkan, walaupun perkara itu telah dibincangkan oleh kabinet, lapor Sinar Harian. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ada desakan agar harga RON 95 dinaikkan, tetapi beliau tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

    “Sesetengah pihak meminta untuk menaikkan harga bahap api itu bagi rakyat kebanyakan. Tetapi, saya tidak bersetuju. Sekiranya perkara itu akan dilakukan, pelarasan (subsidi) RON 95 perlu dikurangkan sedikit demi sedikit mengikut harga pasaran semasa,” jelas PM dalam ucapan penggulungan persidangan parti sebagai Presiden PKR di Johor.

    Kerajaan tidak akan naikkan harga RON 95 walaupun telah dibincangkan, warga asing bayar lebih — PMX

    Bagaimanapun, warga asing akan membayar harga yang lebih tinggi. “Warga asing menikmati sekitar RM3-4 bilion dalam bentuk subsidi. Mungkin selepas ini, untuk membeli RON 95, orang ramai perlu menunjukkan kad pengenalan,” jelas Anwar dengan menekankan bahawa harga minyak di pam bagi sekitar empat juta warga asing di Malaysia perlu dinaikkan.

    Adakah PM sedang mengelak daripada penyelarasan subsidi minyak RON 95 ini, yang sudah dibincangkan dan diumumkan sejak tahun lalu? Minggu lalu, Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli memaklumkan bahawa perkara tersebut telah diserahkan kepada Kementerian Kewangan, yang diketuai oleh PM, dan menyatakan bahawa tanggungjawab terhadap perkara itu kini bukan lagi di bawah kementeriannya.

    “Ini adalah keputusan kabinet. Dari pihak Kementerian Ekonomi, kami telah membawakan perkara ini ke dalam kabinet sebanyak empat kali, dan ketika ini hanya menunggu tindakan daripada Kementerian Kewangan. Mereka akan menguruskan semua proses berkaintan subsidi RON 95 selepas ini. Kita perlu menunggu pengumuman lanjut mereka. Adalah lebih baik untuk mendapatkan perincian lanjut daripada mereka,” jelas Rafizi.

     
     
  • Malaysia tetap komited sasar untuk sediakan 10,000 pengecas EV menjelang hujung tahun 2025 — TPM

    Malaysia tetap komited sasar untuk sediakan 10,000 pengecas EV menjelang hujung tahun 2025 — TPM

    Oktober tahun lalu Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri menegaskan bahawa ia akan terus mengekalkan sasaran untuk menyiapkan 10,000 pengecas EV di Malaysia menjelang tahun 2025, selari dengan sasaran yang telahpun diumumkan pada 2021 dalam Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030 (LCMB).

    Menurut timbalan perdana menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dalam laporan Bernama, sasaran berkenaan masih lagi kekal dan kerajaan akan terus komited untuk mewujudkan 10,000 stesen pengecas EV di seluruh negara menjelang hujung tahun ini.

    “Sasaran kita adalah untuk memiliki kira-kira 10,000 stesen pengecas di seluruh Malaysia, termasuk di Sabah dan Sarawak, menjelang akhir tahun ini,” katanya berucap pada majlis makan malam bersama diaspora Malaysia di Thailand semalam.

    Berdasarkan laporan, papan pemuka Jaringan Pengecas Kenderaan Elektrik yang diwujudkan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) telah merekodkan kewujudan sebanyak 3,611 ruang pengecas EV (EVCBs) di seluruh Malaysia sehingga 31 Disember 2024.

    Malaysia tetap komited sasar untuk sediakan 10,000 pengecas EV menjelang hujung tahun 2025 — TPM

    Fadillah turut mengakui bahawa buat masa sekarang terdapat permintaan yang tinggi terhadap pengecas DC yang lebih pantas berbanding AC. “Kami bekerjasama rapat dengan Petronas dan pihak industri lain untuk menangani isu ini. Kementerian kami memastikan kesalinghubungan pengecasan mencukupi, termasuk di lebuh raya, kawasan luar bandar dan seluruh Malaysia,” katanya.

    Dalam pelan asal LCMB, dari 10,000 pengecas yang dirancang untuk dipasang, 9,000 unit daripadanya adalah pengecas AC, dan 1,000 unit selebihnya adalah pengecas DC. Namun kerajaan telah pun merombak semula rancangan itu dengan menetapkan pemasangan 8,500 pengecas AC bagi memberikan jumlah pengecas DC dipasang dengan lebih banyak iaitu 1,500 unit. Namun dalam laporan tahun lalu, sasaran tersebut dijangka hanya akan dapat dicapai pada 2026.

    November lalu, Malaysia Zero Emission Vehicle Association (MyZEVA) berkata pihaknya menjangkakan sasaran 1,500 unit pengecas DC di seluruh negara akan dicapai pada pertengahan tahun ini, enam bulan lebih awal daripada tarikh akhir. Sasaran itu mungkin akan tercapai kerana pada 31 Disember tahun lalu MEVnet telahpun merekodkan 1,095 pengecas DC sudah dipasang di seluruh negara.

    Manakala untuk pengecas AC, persatuan itu meramalkan bahawa 8.5k yang dimaksudkan dijangka akan tersedia menjelang suku ketiga 2026. Namun dengan hanya 2,516 unit EVCB yang telah direkod dipasang tahun lalu, serta secara purata hanya 150 unit dipasang setiap bulan, jumlah pengecas AC mungkin hanya mencecah 5,000 unit mejelang tempoh masa yang disasarkan tersebut.

     
     
  • Pusat R&D Proton di Hangzhou Bay, China gandakan tenaga kerja hujung 2025 untuk bangunkan model baru

    Pusat R&D Proton di Hangzhou Bay, China gandakan tenaga kerja hujung 2025 untuk bangunkan model baru

    Pusat Kajian dan Pembangunan Proton (PRDC) di China kini meraikan ulang tahun pertamanya selepas mula dibuka pada April tahun lalu. Terletak di Hangzhou Bay dalam perkarangan kawasan yang sama dengan Zhejiang Geely Holding (Geely), pusat itu menjadi pelengkap kepada kemudahan R&D Proton yang ada di Malaysia.

    Kerjasama antara Proton dan Geely secara langsung telah memperkasakan kemampuan R&D Proton dan membolehkan pemindahan teknologi untuk dimanfaatkan oleh semua model Proton. Kerjasama itu juga telah memupuk persekitaran yang dinamik bagi pertukaran pengetahuan dan invasi, yang akan membolehkan Proton untuk memenuhi keperluan pelanggannya.

    Sistem baru bagi pembangunan produk dilaksanakan di PRDC untuk meliputi semua fasa kritikal pembangunan, bermula dari strategi dan definisi awal produk hinggalah kepada fasa akhir dan penilaian data, yang dijalankan bagi memastikan hubungan yang selari serta progres yang cekap, jelas Proton.

    Pusat R&D Proton di Hangzhou Bay, China gandakan tenaga kerja hujung 2025 untuk bangunkan model baru

    “Sejak tiga bulan lalu, saya telah menyaksikan bagaimana PRDC menyumbang kepada pembangunan kenderaan pintar generasi akan datang Proton melalui penyepaduan teknologi E&E kenderaan yang canggih,” ujar jurutera kanan, Wan Fatin Nur Amira Binti Wan Rusli, yang tertanggungjawab mengendalikan penyepaduan kerja-kerja elektrik dan elektronik di PDRC.

    Proton juga sedang menunjukkan progres dalam memperkaya karekteristik pemanduan bagi model-model akan datang, yang mana aspek casis diberi penelitian halus yang sesuai untuk jalan raya Malaysia, dalam perkara seperti membrek, kesenyapan kabin, gegaran dan kekerasan (NVH) dan juga kecekapan bahan api, jelas ketua jurutera bagi prestasi Proton, Muhammad Hafiz Bin Zabidi.

    Antara hasil kerjasama antara PRDC dan Geely ialah eMas 7, kereta elektrik pertama Proton. Menggunakan asas dari Geely Galaxy E5/EX5, eMas 7 dihasilkan dengan bantuan makmal bateri, ujian sistem janaan serta pusat pembangunan kenderaan pintar Geely di Hangzhou Bay.

    Pencapaian yang boleh dibanggakan oleh PRDC ini dicapai melalui usaha yang telah disahkan berkaitan pengurusan haba, kecekapan pengecasan dan brek regeneratif, untuk mempertingkatkan keselamatan, ketahanan dan jarak bateri. “Melalui usaha ini, kami berada di landasan yang betul untuk memperkenalkan EV bernilai tinggi yang boleh diharapkan, untuk pelanggan ASEAN,” jelas jurutera kanan, Omar Farhan Bin Omar.

    “Setiap hari kami berhubung dengan R&D Proton di Malaysia, berkongsi pengetahuan teknikal dan data ujian yang akan membantu memperbaiki kemampuan ujian di Malaysia. Ini bagi memastikan Proton boleh membangunkan kenderaan berkualiti tinggi dan berdaya saing pada masa depan,” jelas jurutera kanan ujian dan pembangunan, Zulkifli Bin Fadzlullah.

    Pusat R&D Proton di Hangzhou Bay, China gandakan tenaga kerja hujung 2025 untuk bangunkan model baru

    PRDC Hangzhou Bay memainkan peranan penting dalam senibina E&E serta pembangunan EV Proton. Pusat yang berpangkalan di China itu merancang untuk menggandakan tenaga kerjanya menjelang hujung tahun ini, yang dijangka akan melonjakkan lagi kemampuan R&D-nya sebagai sebuah kumpulan, jelas ketua R&D kejuruteraan dan teknikal, Mohd Haizam Bin Ghazali.

    “Kerjasama ini menjadi penghubung yang penting bagi kemampuan pembangunan produk Proton dengan menyediakan capaian kepada jurutera terhadap kemudahan canggih dan memberdayakan mereka tanpa mengubag teras operasi R&D dari Malaysia,” ujar Mohd Haizam.

     
     
  • Xiaomi YU7 diperkenal – SUV EV dengan jarak gerak sehingga 835 km, kuasa 690 PS/866 Nm, tiga varian

    Xiaomi YU7 diperkenal – SUV EV dengan jarak gerak sehingga 835 km, kuasa 690 PS/866 Nm, tiga varian

    Selepas ditunjukkan secara ringkas hujung tahun lalu, Xiaomi YU7 kini dilancarkan secara rasmi. SUV ini menjadi model EV kedua jenama itu, selepas sedan SU7. Ia ditawarkan dalam tiga varian iaitu:

    • YU7 RWD – Motor tunggal 235 kW (320 PS)/528 Nm, 0-100 km/j dalam 5.9 saat, laju maksimum 240 km/j
    • YU7 AWD – Dua motor 365 kW (496 PS)/690 Nm, 0-100 km/j dalam 4.3 saat, laju maksimum 240 km/h
    • YU7 Max AWD – Dua motor 508 kW (690 PS)/866 Nm, 0-100 km/j dalam 3.23 saat, laju maksimum 253 km/j

    Untuk kapasiti bateri dan jarak gerak mengikut standard CLTC pula adalah seperti berikut:

    • YU7 RWD – 96.3 kWh LFP, jarak gerak 835 km
    • YU7 AWD – 96.3 kWh LFP, jarak gerak 770 km
    • YU7 Max AWD – 101.7 kWh NCM, jarak gerak 760 km

    Xiaomi YU7 diperkenal – SUV EV dengan jarak gerak sehingga 835 km, kuasa 690 PS/866 Nm, tiga varian

    Menggerakkan model ini adalah motor V6s Plus yang dibekalkan oleh United Automotive Electronics, diletakkan atas platform 800 volt yang berkemampuan menerima pengecasan sehingga 5.2C, memberikan jarak gerak 620 km apabila dicas selama 15 minit, atau 10-80% dalam masa 12 minit.

    Berdasarkan maklumat sebelum ini, YU7 mencatat dimensi panjang 4,999 mm, lebar 1,996 mm, tinggi 1,600 mm dan jarak roda 3,000 mm. Jika dibandingkan dengan SU7, ia dua mm lebih panjang, 33 mm lebih lebar dan 160 mm lebih tinggi, sementara jarak roda pula adalah sama.

    Berkenaan gaya, YU7 ini mempunyai rekaan hampir sama seperti SU7 dari depan hinggalah ke pintu belakang, namun ditambah dengan kemasan lengkuk roda berwarna gelap. Pandangan di bahagian belakang juga hampir sama, tetapi YU7 ini dipasang dengan spoiler bumbung.

    Xiaomi YU7 diperkenal – SUV EV dengan jarak gerak sehingga 835 km, kuasa 690 PS/866 Nm, tiga varian

    Di sebalik badannya, YU7 menggunakan besi berkekuatan tinggi, 2,200 MPa untuk palang perlindungan hentakan pada tiang pintu, yang dikatakan mampu menawarkan kapasiti menampung beban dan penyerapan tenaga masing-masing sebanyak 52.4% dan 40.2% untuk pintu hadapan, serta 37.6% dan 25.4% untuk pintu belakang.

    Sementara itu, tiub yang dibentuk secara hot-forming di tiang A dan B membentuk “roll cage binaan dalam” bagi memperkukuhkan struktur badan dan meningkatkan kapasiti menampung beban tiang A dan B masing-masing sebanyak 35% dan 70.5%. Struktur binaan SUV YU7 ini 90.2% menggunakan besi kekuatan tinggi dan aluminium, menyumbang kepada ketegaran kilasan sebanyak 47,610 Nm bagi setiap darjah.

    Untuk casis, YU7 menggunakan suspensi jenis double wishbone di bahagian hadapan dan tetapan five-link di belakang, dibantu oleh spring udara dual-chamber dan penyerap hentak dengan kawalan berterusan.

    Suspensi ini menyediakan lima tahap ketinggian kenderaan dengan julat pelarasan sebanyak 75 mm, memberikan jarak kelegaan tanah maksimum sebanyak 222 mm. Kadar spring udara boleh diubah sehingga 40%, dan menawarkan 10% lebih pelarasan serapan berbanding sedan SU7. Sistem brek dilengkapi angkup empat piston dari Brembo, yang dapat menghasilkan jarak membrek dari 100 km/j ke 0 dalam 33.9 meter.

    Xiaomi YU7 diperkenal – SUV EV dengan jarak gerak sehingga 835 km, kuasa 690 PS/866 Nm, tiga varian

    Sama seperti luar, bahagian dalam Xiaomi YU7 juga direka berasaskan gaya sedan SU7, dengan tambahan ciri moden. Ia dilengkapi skrin selebar 1.1 meter di bawah cermin hadapan, dipanggil HyperVision Panoramic Display, dengan tahap kecerahan tinggi sehingga 1,200 nits (jelas walaupun di bawah cahaya matahari).

    Di tengah papan pemuka, terdapat skrin sesentuh infotainmen bersaiz 16.1 inci dan penumpang belakang turut diberikan dua skrin hiburan seperti dalam model SU7. Tempat duduk hadapan menggunakan reka bentuk “zero gravity” yang menyokong tubuh dengan selesa, dibalut dengan kulit Nappa, boleh disandar sehingga 123 darjah, dan dilengkapi fungsi urutan 10 bahagian.

    Tempat duduk belakang boleh dilaras secara elektrik dan disertakan skrin sesentuh bersaiz 6.7 inci untuk kawalan hiburan dan penyaman udara. Untuk ruang simpanan, YU7 menyediakan 678 liter (boleh dibesarkan hingga 1,758 liter jika tempat duduk belakang dilipat) di but belakang, 141 liter di ruang hadapan (frunk) dan 71 liter dalam kabin melalui pelbagai tempat letak barang.

    Sistem bantuan pemanduan dalam Xiaomi YU7 menggunakan gabungan satu unit lidar, satu radar gelombang milimeter, 11 kamera definisi tinggi dan 12 radar ultrasonik. Semua peralatan ini disokong oleh platform pengkomputeran Nvidia Drive AGX Thor, yang menawarkan kuasa pemprosesan sehingga 700 TOPS (Trillion Operations Per Second) untuk bantuan pemanduan.

    Pelancaran rasmi Xiaomi YU7 dijadualkan berlangsung pada bulan Julai tahun ini dan harga untuk pasaran China akan diumumkan waktu itu. Ia akan hadir dalam tiga varian utama iaitu asas RWD 320 PS – pacuan roda belakang, bateri LFP 96.3 kWh dan jarak gerak sehingga 835 km, AWD 496 PS – dua motor, pacuan semua roda, bateri LFP 96.3 kWh dan jarak gerak 770 km, dan Max AWD 690 PS – dua motor, pacuan semua roda, bateri NCM 101.7 kWh, jarak pemanduan 760 km. Semua jarak gerak ini adalah mengikut kitaran CLTC.

     
     
  • Polis beri 50% diskaun saman trafik terpilih pada 23-25 Mei dalam Program Madani Rakyat 2025 Johor di JB

    Polis beri 50% diskaun saman trafik terpilih pada 23-25 Mei dalam Program Madani Rakyat 2025 Johor di JB

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor sedang menawarkan pengurangan bayaran saman trafik sebanyak 50% bagi kesalahan terpilih yang ditawarkan bermula hari ini, 23 Mei hingga Ahad, 25 Mei 2025. Ia adalah sempena dengan penganjuran Program Madani Rakyat 2025 Johor.

    Di mana orang ramai boleh mendapatkan diskaun saman trafik terpilih itu di kaunter yang dibuka di lokasi acara iaitu di Toppen Shopping Centre, Johor Bahru (JB) dari jam 9 pagi hingga 6 petang.

    Walau bagaimana pun, anda dinasihatkan agar membuat semakan awal melalui portal https://mybayar.rmp.gov.my dan aplikasi MyBayar PDRM bagi melancarkan proses pembayaran saman nanti.

    Seperti amalan sebelum ini, pemberian diskaun saman tersebut tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya, saman memotong di garisan kembar, saman kemalangan, saman tidak boleh kompaun (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan kenderaan berat, saman ubahsuai ekzos dan saman berstatus Op Selamat tahun semasa.

    Jadi, jika anda berada di JB atau daerah berhampiran, jangan lupa ambil peluang ini untuk mendapatkan kadar diskaun bagi saman trafik terpilih. Sila lunaskan tunggakan saman yang ada bagi mengelakkan nama disenarai hitam atau disekat untuk pembaharuan cukai jalan atau lesen memandu.

     
     
  • KTM Komuter Lembah Klang tangguh perubahan jadual sementara yang sepatutnya pada 24-26 Mei

    KTM Komuter Lembah Klang tangguh perubahan jadual sementara yang sepatutnya pada 24-26 Mei

    Pengendali perkhidmatan KTM Komuter Lembah Klang, KTM Berhad (KTMB) memaklumkan pihaknya menangguhkan pelaksanaan perubahan jadual sementara yang sepatutnya berlangsung selama tiga hari bermula esok hingga Isnin ini (24-26 Mei 2025) ke tarikh yang bakal diumumkan kelak.

    Sebelum ini, KTMB memaklumkan sepanjang tempoh perubahan jadual itu dua laluan utama KTM Komuter iaitu Pulau Sebang – Batu Caves – Pulau Sebang dan Tanjung Malim – KL Sentral – Tanjung Malim serta perkhidmatan tren elektrik (ETS) dijangka mengalami kelewatan hingga 50 minit berbanding jadual asal.

    Menurut KTMB, ia adalah bagi memberi laluan kepada pelaksanaan kerja-kerja menaiktaraf sistem semboyan di laluan Stesen Kepong hingga Stesen Salak Selatan sebagai sebahagian usaha berterusan KTMB untuk meningkatkan kecekapan sistem dan keselamatan operasi tren.

    Walau bagaimana pun, buat masa ini, KTMB memaklumkan bahawa semua perjalanan bagi perkhidmatan KTM Komuter Lembah Klang adalah berjalan seperti biasa.

    Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui saluran media rasmi KTMB atau hubungi Pusat Khidmat Pelanggan KTMB di 03-9779 1200.

     
     
  • Ketua Menteri P. Pinang pertahan pembelian Toyota Camry bernilai RM3.31 juta, kurangkan kos selenggara

    Ketua Menteri P. Pinang pertahan pembelian Toyota Camry bernilai RM3.31 juta, kurangkan kos selenggara

    Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mempertahankan pembelian 15 unit Toyota Camry 2.5V XV80 bernilai RM3.31 juta untuk kegunaan rasmi pegawai pentadbir kerajaan negeri, lapor New Straits Times.

    Beliau menjelaskan, Camry generasi kesembilan XV80 itu dibeli atas tujuan untuk mengurangkan kos penyelenggaraan, kerana kereta terbabit sangat dikenali kerana ketahanan dan jarak perbatuan yang jauh yang dapat dicapainya. Kos penyelenggaraan bagi kenderaan yang sudah berusia lima tahun biasanya akan lebih tinggi, dan juga memberi kesan dari aspek keselamatan.

    “Kerajaan negeri menggantikan kenderaan lama yang berusia lebih daripada lima tahun untuk mengurangkan kos penyelenggaraan yang semakin meningkat,” jelasnya dalam satu ucapan penggulungan di Dewan Undangan Negeri, semalam.

    Jelasnya lagi, 15 unit Toyota Camry 2.5V generasi kelapan sebelum ini dibeli pada 2019, dan amalan untuk menggantikan kereta rasmi setiap enam tahun bermula sejak 2013, ketika kerajaan negeri membeli 15 buah Camry generasi ketujuh untuk menggantikan barisan kenderaan rasmi Mercedes-Benz dan Proton Perdana.

    Chow juga menyatakan bahawa kos penyelenggaraan bagi barisan Camry yang digunakan sebelum ini telah meningkat dengan banyak. “Secara purata, penyelenggaraan yang diperuntukkan kepada setiap ahli exco dan pegawai telah mencecah RM42,144 disebabkan baik pulih penggunaan. Keseluruhannya, kerajaan negeri membelanjakan hampir RM650,000 untuk tujuan penyelenggaraan,” jelasnya.

    Bagaimanapun, barisan Camry yang digunakan sebelum ini masih tetap akan digunakan oleh pegawai sekiranya ada keperluan. Menurutnya lagi, walaupun ada kereta lebihan untuk digunakan, ia sebenarnya masih tidak mencukup untuk memenuhi keperluan penggunaan.

     
     
  • Honda kurangkan pelaburan EV kerana permintaan turun, tumpu bangunkan hibrid yang semakin popular

    Honda kurangkan pelaburan EV kerana permintaan turun, tumpu bangunkan hibrid yang semakin popular

    Dengan perkembangan global yang menunjukkan permintaan terhadap model-model EV yang kini mula ‘sejuk’ dan juga populariti model-model yang digerakkan dengan teknologi hibrid semakin meningkat, Honda telah membuat penjajaran semula terhadap rancangannya iaitu dengan merendahkan sasaran jualan dan juga pelaburan untuk pembangunan EV, dalam masa yang sama bakal memperbanyakkan model-model HEV dalam pasaran.

    Perubahan rancangan ini diumumkan oleh CEO Honda Toshihiro Mibe ketika berlangsungnya taklimat kemaskini perniagaan tahunan syarikat tersebut pada awal minggu ini. Untuk itu Honda hanya akan melabur sebanyak tujuh trilion yen (RM208.2 bilion) untuk pembangunan EV dan perisian bagi jangka masa panjang, berbanding 10 trilion yen (RM297.5 bilion) pada rancangan asal yang diumum tahun lalu.

    Begitu juga dengan jualan, Honda akan menurunkan sasarannya untuk EV menjelang 2030 kerana permintaan dalam pasaran dilihat merosot atas beberapa faktor, termasuk perubahan pada undang-undang alam sekitar dan juga polisi perdagangan di pelbagai negara. Menurut Honda, nisbah untuk EV kini jatuh di bawah paras 30% berbanding yang disasarkan sebelum ini.

    Pengurangan sasaran jualan dan juga pelaburan untuk EV ini akan digantikan dengan fokus terhadap model-model hibrid yang dilihat sebagai penghubung sebelum peralihan kepada elektrik sepenuhnya. Oleh itu Honda mengumumkan bahawa ia akan memperkenalkan beberapa model hibrid (HEV) generasi baharu bermula 2027, dengan sasaran melancarkan 13 model HEV pada pasaran global menjelang akhir dekad ini.

    Honda kurangkan pelaburan EV kerana permintaan turun, tumpu bangunkan hibrid yang semakin popular

    Honda akan kekal dengan sistem e:HEV untuk rangkaian model-model hibridnya tetapi bakal diberikan pelbagai tingkat taraf untuk generasi selepas ini, dipadankan bersama platform generasi baharu yang lebih ringan dan stabil, serta ditawarkan dengan unit pacuan semua roda.

    Antara tingkat taraf yang akan dibuat termasuk peningkatan jarak gerak di mana enjin dapat beroperasi dalam keadaan paling efisien serta kadar keberkesanan pemanduan dipertingkat, dengan kadar ekonomi bagi sistem e:HEV generasi baharu tersebut dapat ditambahbaik sehingga lebih dari 10%.

    Honda turut mensasarkan untuk mengurangkan kos sistem hibrid generasi baharu tersebut dengan lebih dari 30% berbanding sistem e:HEV pada model-model sedia ada. Ia akan dibuat dengan mensasarkan penurunan kos utama pada komponen-komponen penting seperti bateri dan motor elektrik menerusi pelbagai inisiatif. Ia termasuk bekerjasama rapat dengan pembekal ketika dalam proses pembangunan, bagi mempertingkatkan keberkesanan produksi dan mengharmonikan lebih banyak komponen dalam aspek perkongsian komponen.

    Honda kurangkan pelaburan EV kerana permintaan turun, tumpu bangunkan hibrid yang semakin popular

    Syarikat itu juga mendedahkan bahawa ia akan membangunkan sistem hibrid baharu untuk kenderaan bersaiz besar bagi model-model pasaran Amerika Utara, dengan sasaran bagi memperkenalkan ia pada produk yang akan dilancarkan di sana pada separa kedua dekad ini. Selain itu logo baharu Honda yang direka untuk model-model EV turut akan digunakan pada model-model utama HEV bermula 2027.

    Dengan penjajaran semula dibuat pada rancangannya ini, Honda berharap untuk meningkatkan jumlah jualan global pada 2030 lebih banyak dari sasaran asal iaitu 3.6 juta unit. Dari jumlah berkenaan, 2.2 juta disasarkan adalah HEV, manakala untuk EV pada kadar sekitar 750,000 unit.

    Namun Mibe sekali lagi menegaskan ini bukan bermaksud Honda akan melupakan teknologi EV kerana syarikat itu masih berpendapat ia adalah solusi yang optimal untuk mencapai peneutralan karbon bagi kenderaan penumpang. “Pelaburan untuk EV tidak disisihkan, cuma dilewatkan sahaja,” katanya.

    Model-model Honda 0 Series (di mana model SUV dan Saloon 0 telahpun didedahkan) masih akan menjadi model utama Honda dalam segmen EV. Model generasi pertama siri berkenaan akan diperkenalkan dalam pasaran pada tahun hadapan dan bakal menjadi kenderaan yang diperhaluskan oleh perisian (SDV).

     
     
  • Honda HR-V 2026 terima naiktaraf minima di USA – warna baharu, skrin sesentuh 9-inci lebih besar

    Honda HR-V 2026 terima naiktaraf minima di USA – warna baharu, skrin sesentuh 9-inci lebih besar

    Honda HR-V telah diberikan naiktaraf secara minima untuk pasaran Amerika Syarikat (USA) bagi memastikan ia kekal menjadi antara SUV paling popular di kalangan pembeli Gen Z dan yang pertama kali membeli kenderaan, seperti mana ia dipilih mengungguli SUV sub kompak oleh Hispanic – berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat berkenaan sendiri.

    Tidak seperti HR-V di pasaran kita, yang diletakkan di bawah segmen-B, versi yang dijual di USA adalah berbeza dan ia lebih besar dari segi saiznya. Turut dikenali sebagai ZR-V di beberapa buah pasaran, HR-V di USA telah diperkenalkan pada tahun 2023 dan berkongsi asas dengan model semasa Civic.

    Untuk model tahun 2026, HR-V akan ditawarkan dengan kemasan LX, Sport dan EX-L, di mana LX dan EX-L diberikan warna kemasan baharu iaitu Solar Reflection Metallic. Sementara, model Sport pula diberikan rona baharu Boost Blue Pearl dan ia juga diberikan lencana hitam pada tailgate. Selain perubahan ini, ciri lain masih dikekalkan seperti model sebelumnya.

    Di dalamnya, HR-V juga akan mnenerima sistem infotainmen skrin sesentuh sembilan-inci baharu, sama seperti yang diberikan kepada CR-V 2026. Sistem ini adalah dua inci lebih besar berbanding pada model pra-naiktaraf dan ia turut menyokong fungsi tanpa wayar bagi Android Auto dan Apple CarPlay.

    Selain itu, lapisan kaca belakang privasi kini didatangkan secara standard, dan EX-L menerima kemasan perak untuk roda stereng, pencahayaan tombol kawalan suhu dinamik (merah, biru dan putih) dan pencahayaan footwell baharu untuk bahagian hadapan.

    Kesemua varian juga didatangkan dengan enjin 2.0 liter naturally-aspirated empat-silinder sebaris yang mampu memberikan kuasa 158 hp pada 6,500 rpm dan tork 187 Nm pada 4,200 rpm. Penjana kuasa DOHC VTEC (intake) dengan Dual Variable Timing Control (VTC) dipadankan dengan CVT yang memacu roda hadapan. Harga HR-V untuk USA bermula dari USD26,200 hingga USD31,550 (sekitar RM112k hingga RM134k).

     
     
  • JPJ eBid: KGB dan PRT bakal dibuka bidaan

    Bagi yang memerlukannya untuk kenderaan baharu, siri nombor pendaftaran terkini dari Kedah dan Pulau Pinang ini bakal dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Kedah, KGB bakal dibuka bidaannya bermula esok, 24 Mei. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 28 Mei. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 29 Mei 2025. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Pulau Pinang, PRT, bakal dibuka bidaan mulai 25 Mei. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 29 Mei, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 30 Mei 2025.

    Disebabkan sekarang ini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Pioneer SXT-C10PS diperkenal – pemain audio digital moden, ada Bluetooth dan aplikasi, tapi nampak retro

    Pioneer SXT-C10PS diperkenal – pemain audio digital moden, ada Bluetooth dan aplikasi, tapi nampak retro

    Untuk pemilik kereta klasik, salah satu perkara yang agak menyakitkan mata adalah pemadanan pemain audio moden pada papan pemuka yang berlainan era yang kelihatan janggal. Ini antara sebab mengapa ramai pemilik-pemilik kereta seperti ini membiarkan pemain audio lama yang sudah rosak berada di slot asal, sementara pemain audio baharu yang boleh berfungsi disorokkan dalam glove box.

    Ini jalan penyelesaian untuk masalah seperti ini – pembuat sistem audio automotif iaitu Pioneer baru sahaja memperkenalkan Pioneer SXT-C10PS, iaitu pemain audio 1-DIN 50W X 4 moden tetapi menampilkan rupa seakan dari era 80’an dan 90’an.

    “Pasaran kereta klasik terus berkembang, dipacu oleh nostalgia dan peluang untuk pelaburan. Dengan pertumbuhan tahunan sekitar 7.5% setahun, jumlah kenderaan bersejarah telah mencapai tahap tinggi yang baharu. Di Jerman sahaja, sekitar 1.5 juta kenderaan klasik yang dimiliki pemilik golongan berusia dan muda telah didaftarkan. Seiring dengan trend restorasi semakin naik dan komponen OEM sukar untuk dicari, pemilik kenderaan merujuk kepada jenama yang mereka biasa untuk mencari solusi,” kata Girish Janday, pengurus pemasaran Pioneer Europe NV.

    Pioneer SXT-C10PS diperkenal – pemain audio digital moden, ada Bluetooth dan aplikasi, tapi nampak retro

    “Kajian kami menunjukkan bahawa pemilik lebih suka kekalkan rupa asli papan pemuka kenderaan mereka, mengelakkan skrin moden yang akan menggangu rupa asal tersebut. Solusi dari Pioneer adalah pemain SXT-C10PS baharu, menggandingkan estetik retro 1980’an dengan perincian moden seperti Bluetooth dan radio digital DAB+,” tambahnya.

    Seperti yang boleh dilihat SXT-C10PS ini menampilkan rupa seakan dari era 80’an dengan logo Pioneer lama, skrin LCD kecil tanpa warna serta butang-butang digital termasuk butang saluran yang telah dipreset, suis putar untuk kawalan tahap bunyi dan lain-lain.

    Pemain audio ini juga nampak seperti diberikan slot untuk memainkan kaset, namun bahagian tersebut sebenarnya menyembunyikan slot untuk port USB dan AUX. Selain dari dua port ini, ia juga diberikan fungsi hubungan Bluetooth bukan sahaja untuk memainkan muzik dari sumber lain, malah untuk fungsi menyambungkan telefon pintar.

    Malah pemain ini juga boleh disambungkan bersama aplikasi Pioneer Smart Sync bagi membolehkan pengguna menggunakan Advanced Audio Features bagi melaras bunyi dari tempat duduk pemandu, mengoptimakan bunyi dari pembesar suara lama dan juga biasanya diletakkan pada posisi yang tidak sesuai.

    Selain itu warna lampu latar belakang juga boleh ditukar mengikut kesesuaian kemasan kabin, equalizer grafik 13-jalur, jam dengan fungsi 12H/24H dan pelbagai lagi.

    Menurut Pioneer, SXT-C10PS ini bakal berada dalam pasaran bermula bulan Oktober nanti. Harganya masih belum diumumkan, namun ada laman jualan atas talian sudahpun membuka tempahan dengan memberikan harga 399 euro (sekitar RM1.9k).

    Selain dari Pioneer SXT-C10PS ini, sebelum ini Blaupunkt sudah pun memperkenalkan Blaupunkt Bremen SQR 46 DAB, iaitu pemain audio yang nampak seperti model klasik Blaupunkt Bremen SQR 46, tetapi diberikan pelbagai perincian moden.

     
     
  • JPJ memperhebatkan penguatkuasaan terhadap kenderaan berat – 365 lori disita dari Jan-April 2025

    JPJ memperhebatkan penguatkuasaan terhadap kenderaan berat – 365 lori disita dari Jan-April 2025

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkata pihaknya memandang serius akan peningkatan kes pemilik kenderaan berat yang gagal memperbaharui Lesen Kenderaan Bermotor (LKM/cukai jalan), tidak mempunyai perlindungan insurans yang sah serta mengabaikan pemeriksaan berkala di Puspakom seperti yang diwajibkan oleh kerajaan.

    Muhammad Kifli Ma Hassan, Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Malaysia berkata pemilik syarikat kenderaan yang terlibat dan didapati melakukan kesalahan tersebut boleh dikenakan sitaan dan lucut hak kerana gagal mematuhi peraturan di bawah Akta 333 dan Akta 715.

    Antara kesalahan yang terbabit di bawah akta berkenaan ialah Lesen Kenderaan Tamat Tempoh di bawah Seksyen 23 (1) Akta Pengangkutan Jalan dengan denda tidak melebihi RM2,000, dan Perakuan Pemeriksaan Berkala Tamat Tempoh di bawah Seksyen 66A (1) Akta Pengangkutan Jalan yang boleh dikenakan denda tidak kurang RM300 dan tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

    Manakala bagi kesalahan Tiada Perakuan Insurans di bawah Seksyen 90 (1) boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak lebih tiga bulan atau kedua-duanya.

    JPJ memperhebatkan penguatkuasaan terhadap kenderaan berat – 365 lori disita dari Jan-April 2025

    Menurut Muhammad Kifli lagi, pihaknya juga telah diberi tanggungjawab untuk menguatkuasakan Seksyen 58 (1)(a) APAD 2010: Syarat Berkanun Lesen Pengendali iaitu gagal selenggara kenderaan dengan baik boleh digunakan, Seksyen 58 (1)(b) APAD 2010: Syarat Berkanun Lesen Pengendali iaitu gagal memberi keutamaan yang paling tinggi kepada pengguna jalan raya yang lain dan Seksyen 57 (1) APAD 2010: Syarat Permit Lesen Pengendali iaitu tidak mematuhi syarat dalam keperluan tahap perkhidmatan bagi perkhidmatan kenderaan barangan tahun 2024.

    “Tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas dilaksanakan dan tiada kompromi terhadap pemandu atau pemilik kenderaan berat yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kedah-Kaedah di bawahnyam Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715),” katanya dalam sidang media yang berlangsung di Stesen Penguatkuasaan JPJ Elmina pagi tadi.

    Kifli turut mendedahkan bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini, sebanyak 365 lori telah disita atas pelbagai kesalahan. Tambahnya, lori ‘tipper’ atau dump truck merupakan jenis lori yang paling banyak disita oleh JPJ sejak tahun 2022 iaitu sebanyak 602 unit daripada keseluruhan 3,061 lori yang dikenakan tindakan sehingga April 2025.

    Malah, katanya, pihaknya juga mendapati lori ‘tipper’ paling paling banyak melakukan kesalahan jalan raya, antaranya termasuk membawa muatan berlebihan, cukai jalan tamat tempoh dan gagal menjalani pemeriksaan berkala yang diwajibkan.

    JPJ memperhebatkan penguatkuasaan terhadap kenderaan berat – 365 lori disita dari Jan-April 2025

    “Walau pun pihak kami senantiasa menjalankan pemeriksaan, operasi penguatkuasaan dan pemantauan terhadap kenderaan berat, namun mereka ini (pemandu lori) dilindungi oleh tonto. Bila ada operasi yang dijalankan, mereka sedaya upaya akan mencari jalan untuk melepaskan diri termasuk melarikan diri dari sekatan jalan raya walau pun terpaksa meninggalkan kenderaan berat masing-masing.

    “Sebelum meninggalkan kenderaan, pemandu lori ini biasanya akan mematikan GPS atau merosakkan komponen termasuk drive shaft menyebabkan lori tersebut tersadai di tengah jalan dan menghalang lalu lintas. Untuk kesalahan sedemikian, kami akan tambah satu lagi kesalahan di mana pihak JPJ akan membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 234 APAD iaitu menghalang atau mengganggu tugas-tugas anggota JPJ dan untuk kesalahgan di bawah seksyen ini adalah sangat serius dan boleh didenda sehingga RM500,000 dan pihak kami akan mengesyorkan kepada pihak APAD untuk membatalkan lesen pihak pengendali,” tegasnya.

    Beliau turut memberikan peringatan kepada syarikat lori yang bermasalah, untuk memastikan lori-lori berada dalam keadaan selamat dan mempunyai semua dokumen yang diperlukan semasa berada di atas jalan raya.

     
     
  • PLUS ingatkan pengguna Lebuhraya Utara-Selatan, NKVE, ELITE tentang penutupan jalan pada 23-28 Mei

    PLUS ingatkan pengguna Lebuhraya Utara-Selatan, NKVE, ELITE tentang penutupan jalan pada 23-28 Mei

    Awal minggu ini, PDRM telah mengumumkan terdapat penutupan jalan secara berperingkat di enam buah lebuhraya dan 25 jalan utama di sekitar Lembah Klang pada 23 hingga 28 Mei ini sempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN 2025.

    Memandangkan tiga lebuhraya kendalian PLUS Malaysia Berhad iaitu Lebuhraya Utara-Selatan, ELITE dan NKVE turut termasuk dalam senarai antara enam lebuhraya terbabit, maka PLUS ingin mengingatkan kepada para penggunanya agar merancang perjlanan sewajarny pada tempoh berkenaan.

    Dari 23-26 Mei, penutupan jalan berperingkat akan dilaksana dari jam 7 pagi di laluan KLIA – Putrajaya di Lebuhraya ELITE, Subang – Jalan Duta di NKVE, dan Sungai Buloh – Damansara di Lebuhraya Utara-Selatan. Ini adalah sempena ketibaan pemimpin ASEAN, yang kemudian konvoi VIP ini akan menuju ke hotel penginapan yang terletak di pusat bandar.

    Delegasi juga akan berlepas pulang pada 28 Mei, yang akan menyaksikan laluan sama iaitu Lebuhraya ELITE, NKVE dan Lebuhraya Utara-Selatan ditutup secara berperingkat, mulai 8 pagi. Lihat nota di bawah untuk gambaran yang lebih jelas.

    PLUS ingatkan pengguna Lebuhraya Utara-Selatan, NKVE, ELITE tentang penutupan jalan pada 23-28 Mei

    PLUS turut berkata pihaknya akan bersiap sedia dan mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi memastikan kelancaran operasi di lebuhraya kendaliannya sepanjang tempoh tersebut. Dalam masa yang sama, pihak PLUS akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa, khususnya anggota trafik yang bertugas bagi memudahkan pergerakan delegasi di lokasi-lokasi yang melalui Lebuhraya PLUS.

    “PLUS menasihatkan pengguna lebuhraya terutamanya yang menuju ke atau dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan TUDM Subang, supaya merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan sebarang kelewatan.

    “Orang ramai juga disaran supaya memberikan kerjasama sepenuhnya dan mematuhi arahan pihak berkuasa dan petugas trafik di lokasi. Jika pemanduan tidak dapat dielakkan, sila gunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas ketika penutupan laluan dilaksanakan,” kata PLUS.

    Untuk makluman trafik terkini, pengguna lebuhraya boleh merujuk kemas kini melalui platform media sosial JSPT/PDRM, aplikasi PLUS, X @PLUSTrafik, atau papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih di lebuhraya. Pengguna juga digalakkan untuk menggunakan aplikasi navigasi seperti Google Maps dan Waze bagi merancang perjalanan dengan lebih efisien.

     
     
  • Anwar Ibrahim pandu uji Proton eMas 7 – “pencapaian membanggakan dalam landskap automotif negara”

    Anwar Ibrahim pandu uji Proton eMas 7 – “pencapaian membanggakan dalam landskap automotif negara”

    Perdana menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat satu hantaran dalam media sosial menyatakan beliau sempat memandu uji Proton eMas 7 di sekitar kawasan pejabat beliau, sambil menyatakan ia adalah satu pencapaian membanggakan dalam landskap automotif negara.

    Beliau menambah, pemilihan eMas 7 sebagai kenderaan rasmi Malaysia sempena Kepengerusian ASEAN 2025 bukan sahaja mencerminkan kemajuan teknologi tempatan, tetapi juga keyakinan terhadap kebolehan anak tempatan dalam menerajui industri automotif masa hadapan.

    “Insya-Allah, saya percaya Proton e.MAS 7 ini akan menjadi pemangkin kepada promosi dan pembangunan industri kenderaan elektrik negara, khususnya ketika kita menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 yang bakal berlangsung tidak lama lagi,” kata Anwar.

    Anwar Ibrahim pandu uji Proton eMas 7 – “pencapaian membanggakan dalam landskap automotif negara”

    Inisiatif ini juga dikatakan seiring dengan komitmen Malaysia ke arah pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun-tahun mendatang, selaras dengan agenda kelestarian dan peralihan tenaga hijau negara di bawah kerangka Malaysia Madani.

    “Marilah kita terus menyokong inovasi tempatan dan berusaha ke arah masa depan yang lebih lestari, berdaya saing dan berteknologi tinggi,” kata Anwar.

     
     
  • BYD Dolphin Surf di Eropah — besar dari Seagull, hingga 322 km WLTP, 156 PS; RM108k-RM135k

    BYD Dolphin Surf di Eropah — besar dari Seagull, hingga 322 km WLTP, 156 PS; RM108k-RM135k

    Dolphin Surf, atau nama lainnya Seagull atau Dolphin Mini di pasaran berbeza, kini diperkenalkan secara rasmi di Eropah. Tiga varian ditawarkan dengan harga masing-masing seperti berikut; 22,390 euro (RM108k) untuk varian Active; 25,390 euro (RM123k) untuk varian Boost; dan 27,890 euro (RM135k) Comfort — dengan harga pengenalan untuk pelanggan awal hingga hujung Jun nanti.

    Ia sedikit berbeza kerana hadir dengan saiz yang sedikit lebih besar daripada Seagull untuk pasaran China — jarak rodanya sama 2,500 mm, tetapi panjang, lebar dan tingginya adalah 3,990 mm (+210 mm lebih daripada Seagull), 1,720 mm (+5 mm) dan 1,590 mm (+50 mm).

    Varian Active yang paling asas dilengkapi bateri 30 kWh dan memberikan jarak WLTP sejauh 220 Km. Varian Boost dan Comfort pula dengan bateri 43.2 kWh dan motor 88 PS yang sama seperti Active (jarak perjalanan sejauh 32 km WLTP), sementara varian paling tinggi Comfort lengkap dengan motor 156 PS (jarak 310 km WLTP). Semuanya pacuan roda depan dan menggunakan e-Platform 3.0 dengan laju maksimum 150 km/j.

    Angka-angka tersebut juga berbeza daripada Seagull di pasaran China — yang menggunakan motor 75-95 PS, dengan bateri 30-38 kWh dan jarak 305 km-405 km CLTC; dengan harga yang juga lebih rendah, bermula dari sekitar RMB60k, atau RM35k. Selain itu, Seagull juga mempunyai kapasiti pengecasan maksimum 6.6 kW untuk AC dan 40 kW untuk DC, sementara Dolphin Surf boleh menerima 11 kW AC, 65 kW DC (bateri kecil) dan 80 kW DC (bateri besar) — dengan 30%-80% SoC dalam masa 22 minit untuk yang paling pantas.

    Di dalam, skrin sentuh boleh pusing 10.1-inci (dengan Apple CarPlay, Android Auto dan ‘Hi BYD’) terletak di tengah papan pemukanya. Ruang but memberikan kapasiti 316 liter; kerusi belakang direbahkan akan menjadikannya 1,037 liter. Ada sistem ADAS juga.

     
     
  • CFMoto 800 MT-X dilancar di Malaysia – harga RM49k, enjin dua silinder 799 cc, cruise control, QS, TFT

    CFMoto 800 MT-X dilancar di Malaysia – harga RM49k, enjin dua silinder 799 cc, cruise control, QS, TFT

    Selepas 800 MT, kini CFMoto melancarkan pula 800 MT-X untuk pasaran Malaysia, dengan dijual pada harga RM48,888 tidak termasuk insurans. Ia ditawarkan dalam pilihan dua warna iaitu hitam dan biru, bersama jaminan dua tahun tanpa had batuan.

    Terarah lebih kepada tunggangan lasak berbanding model touring/adventure biasa, 800 MT-X datang dengan suspensi boleh laras sepenuhnya daripada Kayaba, dengan jarak gerak 190 mm di hadapan dan belakang, serta rim 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang.

    Model yang tiba di Malaysia ini sebenarnya menggunakan suspensi versi yang lebih rendah, bagi menjadikan tempat duduknya 830 mm, sementara di pasaran luar, suspensi standard mempunyai jarak gerak 230 mm dan tinggi tempat duduk 870 mm. Berat keseluruhannya adalah 220 kg (tanpa beg).

    Penggerak masih sama seperti dua model 800 MT yang sudah diperkenalkan sebelum ini, iaitu unit dua silinder 799 cc DOHC bersama transmisi enam kelajuan, menghasilkan 94 hp pada 8,250 rpm, tetapi tork ditala menjadi lebih tinggi, iaitu 87 Nm dan pengguna disediakan dengan tiga mod tunggangan iaitu Standard, Rain dan Offroad.

    Kemudiannya, 800 MT-X ini dilengkapi dengan tangki bahan api lebih besar, berkapasiti 22.5 liter, hasil daripada tambahan ruang yang dibuat sehingga ke bahagian bawah motosikal (tepi, kiri dan kanan). Kelengkapan lain yang disediakan adalah seperti steering damper, pelindung tangan, pelindung bawah enjin, penghadang angin larasan manual, soket USB serta skrin TFT tujuh inci menegak dengan sambungan kepada telefon pintar.

    Pada bahagian elektronik, 800 MT-X secara standard datang dengan ABS dual-channel (belakang boleh tutup), kawalan cengkaman (dua mod, boleh tutup), cruise control, pemerhati tekanan angin tayar serta quickshifter yang boleh digunakan untuk naik dan turun gear. Menjadikan pembelian lebih berbaloi, motosikal ini juga datang dengan beg barangan tepi 35 liter, serta beg barangan belakang 45 liter.

     
     
  • Tak logik nak capai jualan 80% EV menjelang 2030, enjin pembakaran terus ditawarkan – bos Porsche

    Tak logik nak capai jualan 80% EV menjelang 2030, enjin pembakaran terus ditawarkan – bos Porsche

    Pengerusi lembaga eksekutif Porsche, Oliver Blume mengakui sasaran yang ditetapkan oleh syarikatnya pada 2022 yang mahu 80% dari jualan kereta baharunya pada 2030 adalah kenderaan elektrik penuh (EV) adalah tidak realistik.

    Blume menyebut perkara itu dalam ucapannya ketika mesyuarat agung tahunan pengeluar kereta sport dari Jerman berkenaan baru-baru, selepas menyatakan kesukaran yang dihadapi Porsche tahun lalu yang menyaksikan jualannya menurun kepada hanya 310,718 unit pada 2024 berbanding 320,221 unit dijual pada 2023 (jatuh 3%).

    “Tahun lalu, kami sudah pun menghadapi angin kencang yang besar. Sekarang kami sedang mengalami ribut yang kuat. Tetapi kedudukan kami untuk mengharungi ribut tersebut adalah kukuh. Keadaan ekonomi dan geopolitik keseluruhan adalah sangat dinamik dan sangat tidak menentu. Dan lebih sukar untuk dikira berbanding sebelum ini,” katanya.

    “Peningkatan mobiliti elektrik telah menjadi perlahan. Pasaran kami di China telah runtuh secara literal. Selain itu, konflik perdagangan dan rantaian bekalan yang tidak stabil meningkatkan kos. Kami telah meningkatkan peraturan serantau. Dan perbelanjaan yang tinggi untuk unit rangkaian kuasa yang fleksibel dan produk yang kini sedang mengalami transformasi. Di samping itu, tarif import AS kini membebankan perniagaan – begitu juga dengan ketidakpastian yang berterusan,” katanya.

    Tak logik nak capai jualan 80% EV menjelang 2030, enjin pembakaran terus ditawarkan – bos Porsche

    Momentum kelembapan jualan masih lagi berterusan pada 2025, di mana Porsche telah mengumumkan pada April lalu sebanyak 71,470 unit kenderaan telah dijual pada tiga bulan pertama tahun ini, atau turun 8% dari 77,640 unit yang dicatatkan pada tempoh sama 2024.

    Jualan bagi model produksi pertama EV Porsche iaitu Taycan turut jatuh. Pada tahun pertama model itu dijual iaitu pada 2020, sebanyak 20,015 unit telah berjaya dijual, dan meningkat kepada 41,296 pada 2021. EV terus menujukkan jualan yang baik pada 2022 (34,801 unit) dan 2023 (40,629 unit), tetapi ia jatuh mendadak pada 2024 dengan hanya 20,836 terjual. Pada suku pertama 2025, jualan Taycan mencatatkan sebanyak 4,203 unit) jatuh 1% berbanding tempoh sama 2024.

    Bagi mengelakkan jualan Porsche terus jatuh dalam situasi tidak menentu ini, Blume menyatakan bahawa Porsche akan mengambil “pendekatan yang seimbang” yang akan terus menyaksikan ia mengejar startegi elektrifikasi dalam masa yang sama “memperluaskan barisan enjin pembakaran dalaman dan hibrid dengan model-model tambahan.”

    “Sudah tentu, ini memberi kesan kepada peningkatan BEV secara keseluruhan. Matlamat kami adalah untuk menjual lebih daripada 80% kereta sport elektrik sepenuhnya menjelang 2030. Salah satu matlamat paling bercita-cita tinggi dalam keseluruhan industri. Strategi produk kami masih membolehkan kami mencapai ini. Dalam sudut pandang perkembangan pasaran, ia tidak realistik. Oleh itu, peningkatan BEV kami akan menyesuaikan permintaan dan pembangunan pasaran secara fleksibel. Untuk permintaan dan pembangunan pasaran,” kata Blume

    Tak logik nak capai jualan 80% EV menjelang 2030, enjin pembakaran terus ditawarkan – bos Porsche

    “Pada 2024, 27% daripada kenderaan yang kami jual telah menerima elektrifikasi. Ini bermakna kenderaan elektrik atau hibrid plug-in. Bahagian BEV tulen adalah sekitar 13%. Pada suku pertama 2025, 38% telah diberikan elektrifikasi. Daripada jumlah ini, hampir 26% adalah elektrik penuh,” sambungnya, sambil menambah bahawa Macan Electric terbaharu telah menyumbangkan hasil memberangsangkan, dengan sebanyak 18,278 telah terjual pada 2024 dan 14,185 unit terjual hanya dalam suku pertama tahun ini.

    Bagi perancangan model akan datang pula, Blume mengesahkan model-model empat-pintu seperti Cayenne dan Panamera akan terus ditawarkan dengan unit rangkaian kuasa enjin pembakaran dalaman serta hibrid sehingga 2030 ke atas. Bagi Cayenne generasi keempat yang akan diperkenalkan nanti, ia akan terus ditawarkan dalam versi EV dan juga enjin pembakaran dalaman sama seperti barisan model Macan.

    Blume turut membayangkan Porsche bakal memperkenalkan satu lagi siri SUV yang bakal masuk ke pasaran menjelang akhir dekad ini, juga dengan pilihan enjin pembakaran dalaman dan juga hibrid. Namun Porsche masih akan menawarkan model EV di mana ia bakal memperkenalkan versi EV dalam segmen 718.

    “Walau bagaimanapun, peralihan adalah lebih perlahan daripada yang dirancang pada asalnya. Itulah sebabnya kami sekali lagi menganalisis aktiviti bateri kami dengan teliti. Dan bertindak balas secara konsisten dan tegas. Seperti yang anda ketahui, kami telah merancang untuk mengembangkan kapasiti pengeluaran kami untuk sel bateri berprestasi tinggi dengan Cellforce Group. Kami tidak akan meneruskan rancangan ini secara bebas. Ini kerana jumlah jualan yang dijangkakan telah berkurangan dengan ketara,” jelas Blume.