Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Rafizi Ramli letak jawatan menteri ekonomi – apa jadi dengan subsidi RON95 bersasar dan PADU sekarang?

    Rafizi Ramli letak jawatan menteri ekonomi – apa jadi dengan subsidi RON95 bersasar dan PADU sekarang?

    Tengah hari ini negara dikejutkan dengan perletakkan jawatan Rafizi Ramli sebagai menteri ekonomi, di mana perkara berkenaan diumum menerusi satu kenyataan rasmi yang turut disiarkan menerusi akaun Facebook rasmi Ahli Parlimen Pandan itu. Perletakkan jawatan tersebut akan berkuat kuasa 17 Jun ini, iaitu kurang tiga minggu dari sekarang di mana beliau akan menghabiskan baki cuti tahunan sehingga 16 Jun 2025.

    Perletakkan jawatan ini sudah dijangka apabila Rafizi kalah di dalam pemilihan Parti Keadilan Nasional (PKR) dan gagal untuk mempertahankan jawatannya sebagai timbalan presiden parti berkenaan baru-baru ini.

    “Saya menyertai politik untuk membudayakan politik baru yang berteraskan kebertanggungjawaban dan mandat rakyat. Kekalahan saya dalam pemilihan PKR baru baru ini bermakna saya tidak lagi mempunyai mandat dari parti saya untuk menterjemahkan agenda rakyat yang digagaskan oleh PKR menjadi program kerajaan,” katanya dalam kenyataan tersebut.

    Ketika menyandang jawatan menteri ekonomi, Rafizi telah melancarkan Pangkalan Data Utama (PADU) pada 2 Januari 2024 iaitu pangakalan data sosio ekonomi yang disebut akan menjadi komponen utama bagi menentukan pemberian subsidi dan bantuan kewangan.

    Ia termasuk untuk pengagihan subsidi untuk bahan api petrol RON 95 apabila kerajaan mula beralih ke kaedah subsidi bersasar kelak. Buat masa sekaran subsidi RON 95 masih diberikan secara pukal untuk semua rakyat Malaysia dengan harga siling ditetapkan pada kadar RM2.05 seliter sejak 2021.

    Kemaskini terakhir yang diumumkan oleh Rafizi pada bulan ini bahawa tanggungjawab kementeriannya untuk merangka langkah perlaksanaan tersebut sudahpun selesai, dan ia kini telah diserahkan sepenuhnya kepada kementerian kewangan bagi menjalankan langkah seterusnya.

    Manakala awal minggu ini perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan jamin bahawa harga bahan api RON 95 tidak akan dinaikkan untuk rakyat walaupun rasionalisasi subsidi ini dijalankan, dan ia hanya melibatkan warga asing. Manakala menteri kewangan kedua Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pula mengesahkan bahawa langkah untuk merasionalisasikan subsidi bahan api RON 95 itu akan bermula pada separa kedua tahun ini seperti yang dirancang.

     
     
  • Bovensiepen Zagato – legasi Alpina diteruskan, asas BMW M4 G82 dengan kuasa 611 hp, kemasan eksklusif

    Bovensiepen Zagato – legasi Alpina diteruskan, asas BMW M4 G82 dengan kuasa 611 hp, kemasan eksklusif

    Selepas banyak dekad bekerjasama rapat dengan BMW, keluarga Bovensiepen — nama besar di sebalik jenama Alpina — kini bergerak dengan arah baru. Tahun ini menandakan tamatnya kerjasama rasmi Alpina dengan BMW, selepas BMW mengumumkan pada tahun 2022 bahawa mereka telah mengambil alih jenama tersebut sepenuhnya.

    Namun, semangat automotif keluarga Bovensiepen tidak terhenti di situ. Mereka kini tampil dengan projek pertama di bawah nama mereka sendiri, Bovensiepen Zagato — sebuah grand tourer yang cukup eksklusif dan penuh gaya.

    Model ini diasaskan daripada BMW M4 generasi G82, tapi ia bukan sekadar olahan kosmetik biasa. Saiznya lebih panjang dan rendah, dengan ukuran 4,943 mm panjang, 1,913 mm lebar, 1,394 mm tinggi dan berat sekitar 1,875 kg. Sebagai perbandingan, BMW M4 CS sedikit lebih pendek dan juga lebih ringan.

    Bovensiepen Zagato – legasi Alpina diteruskan, asas BMW M4 G82 dengan kuasa 611 hp, kemasan eksklusif

    Di bawah bonetnya terletak enjin 3.0 liter enam silinder sebaris yang menjana 611 hp dan tork 700 Nm. Hasilnya, pecutan 0-100 km/j dapat dilakukan dalam 3.3 saat dan kelajuan maksimum mencapai lebih 300 km/j. Menambahkan lagi kepuasan memandu, ia dipasang dengan ekzos Akrapovic yang dibuat khas untuknya.

    Bahagian badan luar dibuat “hampir sepenuhnya” daripada gentian karbon, menjadikannya bukan sahaja ringan, tapi juga kelihatan sangat eksklusif. Ada elemen-elemen dari BMW M4 G82 yang masih kekal seperti rekaan lampu depan DRL dan lampu belakang, tapi keseluruhan rupa lebih unik, lebih agresif dan lebih “Zagato”.

    Rimnya bersaiz 20 inci, diperbuat daripada aluminium tempa dengan potongan pada jejari untuk pengurangan berat. Sistem gantungan pula direka khas oleh Bilstein, lengkap dengan tiga pilihan mod – Comfort, Sport dan Sport Plus.

    Bahagian dalaman Bovensiepen Zagato boleh dilengkapi dengan kulit Lavalina sepenuhnya, dalam 16 warna standard. Mahukan lebih gaya? Gabungkan kulit dengan Alcantara, yang ditawarkan dalam 45 pilihan warna. Masih tidak cukup? Program Bovensiepen Bespoke membolehkan pelanggan memilih apa sahaja warna yang diinginkan — dari minimalis sehinggalah ke kombinasi warna eksentrik.

    Menurut Bovensiepen, setiap unit Zagato akan mengambil lebih daripada 250 jam untuk disiapkan dengan buatan tangan. Namun, jumlah unit yang akan dihasilkan masih belum diumum. Harga dan jumlah keluaran rasmi juga hanya akan diberitahu pada suku keempat tahun ini, manakala penghantaran pertama dijangka bermula sekitar suku kedua 2026.

     
     
  • Land Rover Defender dinaik taraf untuk model 2026

    Land Rover Defender dinaik taraf untuk model 2026

    Land Rover Defender — model ikonik untuk pengembaraan lasak — kini diberi nafas baru. Tiga versi badannya, iaitu Defender 90, 110 dan 130, menerima beberapa penambahbaikan dari segi rekaan luaran dan teknologi dalaman. Walaupun perubahan yang dibuat nampak kecil, impaknya tetap besar.

    Defender terbaru kini tampil dengan bampar yang diperbaharui dan kemasan menarik dalam dua pilihan warna – Silicon Silver dan Carpathian Grey Satin. Rekaan pada kemasan bonet dan salur udara sisi juga kini diberi corak bertekstur yang lebih moden. Semua varian kini diberikan dengan penutup tengah rim berjenama “Defender” dalam kemasan hitam berkilat.

    Gril depan pula diberi kemasan hitam berkilat sebagai standard, sepadan dengan logonya yang berwarna gelap. Lampu utama kini mempunyai reka bentuk baru — dua jalur kecil di tepi dan DRL bulat — manakala lampu belakang pula diberi kemasan gelap. Pelanggan juga diberikan lebih banyak pilihan warna dan reka bentuk rim dalam katalog.

    Land Rover Defender dinaik taraf untuk model 2026

    Bahagian dalam menyaksikan penggunaan skrin sesentuh infotainmen yang lebih besar, kini berukuran 13.1 inci berbanding model lama yang hanya 11.4 inci. Skrin ini memenuhi sepenuhnya ruang antara konsol tengah dan papan pemuka, memberikan rupa yang lebih moden dan kemas.

    Konsol tengah juga direka semula — kini ada ruang laci gelungsur yang boleh menyimpan barang kecil dengan lebih rapi. Jika pilih pakej Signature Suite, anda akan dapat poket sisi yang boleh ditanggalkan dan juga saluran khas untuk kabel, supaya ruang kekal kemas dan tersusun.

    Buat pertama kalinya, Defender baru kini dilengkapi sistem Adaptive Off‑Road Cruise Control. Fungsi ini secara automatik melaras kelajuan mengikut permukaan jalan tidak rata untuk keselesaan pemandu. Ia berguna semasa memandu di laluan berbatu, bersalji atau berlumpur.

    Turut ditambah ialah kamera yang menghadap pemandu di bahagian stereng. Ia digunakan untuk sistem Driver Attention Monitor yang memantau sama ada pemandu benar-benar fokus ketika memandu.

    Land Rover masih belum umumkan semua pilihan enjin untuk model yang diperbaharui ini, tetapi mereka mengesahkan versi Octa akan dilengkapi enjin 4.4 liter V8 berkembar turbo yang menjana 635 PS. Untuk rujukan, model sebelum ini ditawarkan dengan beberapa pilihan enjin termasuk enam silinder sebaris 3.0 liter diesel, petrol 2.0 liter plug-in hybrid dan V8 5.0 liter supercharge.

     
     
  • BMW M2 CS G87 2025 didedah -3.0L bi-Turbo, 530 PS/650 Nm, 30kg lebih ringan, 0-100 km/j 3.8 saat!

    BMW M2 CS G87 2025 didedah -3.0L bi-Turbo, 530 PS/650 Nm, 30kg lebih ringan, 0-100 km/j 3.8 saat!

    Selepas versi facelift untuk BMW M2 generasi kedua (G87) didedahkan Jun tahun lalu, kini tiba masa versi lebih berkuasa, lebih aerodinamik dan juga lebih ringannya iaitu M2 CS didedahkan sepenuhnya secara rasmi.

    Seperti biasa, ia masih dijana oleh enjin S58 3.0 liter enam-silinder turbo berkembar yang sama, namun talaan kuasanya dipertingkat dari 480 PS/600 Nm pada versi biasa kepada 530 PS pada takat 6,250 rpm dan tork maksima 650 Nm untuk versi CS ini.

    Kuasa disampaikan kepada hanya roda belakang menerusi kotak gear automatik lapan-kelajuan M Steptronic, membolehkan pecutan 0-100 km/j dibuat hanya dalam masa 3.8 saat. Tiada pilihan kotak gear manual diberikan pada versi CS ini. Sebagai perbandingan untuk M2 G87 biasa, versi automatik mampu membuat pecutan sama dalam masa 4 saat, manakala varian dengan kotak gear manual enam-kelajuan (tork diturunkan kepada hanya 550 Nm) pula memerlukan masa 4.2 saat.

    BMW M2 CS G87 2025 didedah -3.0L bi-Turbo, 530 PS/650 Nm, 30kg lebih ringan, 0-100 km/j 3.8 saat!

    Kelajuan maksima untuk versi CS ini juga lebih tinggi iaitu 302 km/j secara standard, berbanding hanya 285 km/j untuk CS biasa sekiranya ia datang dengan pakej M Driver yang ditawarkan secara opsyen.

    Dengan kuasa lebih besar dan kelajuan lebih tinggi, M2 CS 2025 ini turut menerima tingkat taraf pada casis, antaranya pemadanan penyerap hentak, spring dan sistem kawalan dengan talaan khas serta direndahkan lagi sebanyak 8 mm. Secara standard ia diberikan brek M Compound dengan angkup yang diwarnakan merah, namun pembeli boleh memilih untuk tingkat taraf sistem brek karbon seramik M.

    Menurut BMW M2 CS ini adalah sekitar 30 kg lebih ringan dari M2 biasa dengan pemadanan banyak komponen luaran dan dalaman yang diperbuat dari material plastik-diperkuat-gentian-karbon (CFRP). Antara komponen CFRP yang digunakan pada sebelah luar dan kit aerodinamik termasuk bumbung (standard untuk M2 biasa), serta diffuser belakang, splitter hadapan, gril kidney dengan aliran udara yang dioptimakan dan penutup but dengan spoiler ekor itik bersepadu yang direka khas untuk M2 CS ini.

    BMW M2 CS G87 2025 didedah -3.0L bi-Turbo, 530 PS/650 Nm, 30kg lebih ringan, 0-100 km/j 3.8 saat!

    Empat warna badan ditawarkan untuk M2 CS ini iaitu Sapphire Black, BMW Individual Velvet Blue, M Brooklyn Grey dan M Portimao Blue. Logo ‘M2 CS’ dengan jalur sekeliling merah dilekat pada penutup but belakang dan juga pad gril hadapan bagi memberikan amaran bahawa ia bukanlah M2 yang biasa.

    Secara standard juga M2 ini menerima set rim aloi forged berdiameter 19-inci di hadapan dan 20-inci di belakang. Pembeli boleh memilih untuk menggunakan tayar sport biasa untuk jalan raya atau tayar yang lebih fokus untuk litar, dengan saiz 275/35R19 di hadapan serta 285/30R20 di belakang.

    Manakala sebelah dalam, M2 CS ini diberikan konsol tengah yang diperbuat dari CFRP, dan juga tempat duduk bucket M Carbon dibalut kulit Merino yang bukan sahaja ringan, malah dapat memeluk pemandu dengan erat ketika dalam situasi ekstrem.

    Bahagian lain dalam kabin ini menerima balutan upholsteri Alcantara termasuk pada roda stereng sport yang turut diberikan penanda pukul 12 berwarna merah. Pelapik bumbung pula dibuat menggunakan material antrasit, dan ia turut menerima banyak kemasan dan komponen dengan logo CS, termasuk yang bernyala seperti pada tempat duduk dan juga plat bendul pintu.

    BMW M2 CS ini akan diproduksi di kilang San Luis Potosi BMW di Mexico, dan akan dihasilkan secara terhad. Antara pasaran utama yang akan menerima model ini termasuk Amerika Syarikat, Jerman dan China. Ia dijual pada harga 115,000 euro di Jerman (sekitar RM553k), dan dijangka akan dihantar kepada pelanggan terawal yang menempah bermula musim panas tahun ini.

     
     
  • Manchester United lwn. ASEAN All-Stars, 28 Mei — operasi LRT Bukit Jalil dilanjutkan hingga 12.30 pm

    Manchester United lwn. ASEAN All-Stars, 28 Mei — operasi LRT Bukit Jalil dilanjutkan hingga 12.30 pm

    Pasukan bolasepak Manchester United kini berada di Kuala Lumpur dan akan berdepan dengan pasukan ASEAN All Stars dalam satu perlawanan persahabatan Maybank Challenge Cup 2025 malam ini, 28 Mei. Bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, dan dijangka akan menarik jumlah penonton yang ramai untuk menyaksikan pasukan Liga Perdana Inggeris tersebut beraksi.

    Sehubungan dengan itu, Rapid KL akan melanjutkan operasi LRT laluan Ampang/Sri Petaling dari stesen Bukit Jalil hingga 12.30 pm malam ini. Perlawanan tersebut dijangka bermula pada 8.45 pm. Semua stesen LRT yang bersambung juga akan melanjutkan waktu operasi.

    Pengguna dinasihatkan menggunakan kad Touch n Go dan memastikan baki kad mereka mencukupi. Warga luar pula boleh membeli MyCity Pass yang menawarkan penggunaan tanpa had bagi semua tren dan bas kendalian Rapid KL — hanya RM10 sehari, RM18 untuk dua hari dan RM25 untuk tiga hari (ini akan jadi lebih murah untuk warga negara Malaysia, boleh ditanyakan di stesen LRT)

    Kepada yang bakal turun ke stadium malam ini, selamat menikmati perlawanan.

     
     
  • Toyota Corolla Cross GR Sport facelift kini di Jepun; bermula RM115k, casis ditala semula, hanya hibrid

    Toyota Corolla Cross GR Sport facelift kini di Jepun; bermula RM115k, casis ditala semula, hanya hibrid

    Selepas diperkenalkan di Eropah serta disahkan turut akan masuk ke pasaran Australia awal bulan ini, Toyota Corolla Cross GR Sport facelift kini dilancarkan pula secara rasmi di Jepun.

    Seperti yang didedahkan sebelum ini, Corolla Cross GR Sport facelift ini berbeza dari versi yang dilancarkan di Malaysia serta pasaran ASEAN lain sebelum ini, yang tidak menampilkan sebarang perubahan besar pada sebelah luar. Sebaliknya model JDM ini tampil dengan rupa lebih garang terutamanya dengan pemandanan bampar hadapan baharu yang diinspirasikan dari rekaan bampar GR Corolla.

    Menurut Toyota gril pada bampar tersebut digelar sebagai “gril Matrix dengan fungsi berevolusi” menampilkan banyak liang bagi memberikan aliran udara untuk kestabilan lebih baik. Tiga warna badan ditawarkan untuk Corolla Cross GR Sport JDM ini iaitu Emotional Red II, Platinum White Pearl Mica atau Ash, kesemuanya dipadankan dengan bumbung berwarna hitam.

    Toyota Corolla Cross GR Sport facelift kini di Jepun; bermula RM115k, casis ditala semula, hanya hibrid

    Corolla Cross GR Sport ini juga diberikan set rim berdiameter 19-inci, dengan angkup brek di belakangnya kelihatan diberikan kemasan merah bersama logo GR. Lencana-lencana GR juga ditampal pada bampar hadapan dan juga pada pintu tailgate belakang.

    Model ini ditawarkan hanya dalam pilihan unit rangkaian kuasa hibrid, menampilkan enjin petrol M20A-FXS 2.0 liter empat-silinder NA berkuasa 152 PS/188 Nm, digandingkan dengan kotak gear E-CVT yang diberikan 10-kelajuan maya, serta motor elektrik 1VM berkuasa 95 PS dan tork 185 Nm.

    Corolla GR Sport ini juga hanya datang dalam pilihan pacuan semua roda E-Four Toyota, di mana gandar belakang dipacu dengan satu lagi motor elektrik berkuasa 41 PS/84 Nm. Model ini turut menerima mod pemanduan Sport yang tiada pada varian lain.

    Walaupun tanpa sebarang penambahan kuasa, Corolla Cross GR Sport ini masih menerima talaan casis bagi memberikan pengendalian yang lebih sporty. Ia termasuk penggunaan set bushing suspensi hadapan yang lebih keras, penyerap hentak yang diberikan spring rebound di dalamnya, spring baharu bagi membolehkan badan SUV ini 10 mm lebih rendah, serta kerangka lebih keras dengan penambahan bar hentakan di sebalik bampar belakang.

    Untuk kabin pula, Corolla Cross GR Sport JDM ini turut menampilkan penggayaan lebih sporty, dengan perincian seperti tempat duduk bucket dengan sulaman logo GR dan upholsteri gandingan fabrik seakan sued bersama kulit sintetik, roda stereng GR, pedal penukar gear, set pedal kaki aluminium dan juga perapi-perapi kemasan perak metalik.

    Untuk semua ini, Toyota Corolla Cross GR Sport ini dijual pada harga 3.895 juta yen (sekitar RM115k), menjadikan ia varian paling mahal bagi SUV itu di Jepun, di mana varian asas dijual pada harga bermula 2.76 juta yen in Japan (RM81k).

     
     
  • Honda keluar kenyataan perjelas enjin mereka tidak dibekalkan kepada jenama motosikal lain di Malaysia

    Honda keluar kenyataan perjelas enjin mereka tidak dibekalkan kepada jenama motosikal lain di Malaysia

    Boon Siew Honda (BSH) dalam satu kenyataan menjelaskan, dakwaan berkenaan enjin Honda digunakan pada motosikal jenama lain di Malaysia adalah tidak benar. Sebaliknya, semua enjin yang digunakan pada model Honda direka dan dihasilkan sendiri oleh Honda.

    “Teknologi canggih kami tidak dikongsi, dilesenkan atau dibekalkan kepada jenama motosikal lain yang terdapat di Malaysia,” tertulis lagi di dalam siaran akhbar yang dikeluarkan.

    Selain itu, Honda juga menyatakan penghargaan kepada kepercayaan yang telah diberi oleh pelanggan dan komited untuk memastikan kualiti dan teknologi terbaik dalam setiap produk mereka. Setiap komponen termasuk enjin, dikatakan adalah hasil kajian dan reka bentuk yang teliti demi memberikan pengalaman menunggang yang terbaik kepada pelanggan. Jika ada pertanyaan atau memerlukan maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi 1800883993 atau emel kepada [email protected].

     
     
  • Volvo akan berhentikan 3,000 pekerja akibat jualan EV lembab dan situasi perdagangan tidak menentu

    Volvo akan berhentikan 3,000 pekerja akibat jualan EV lembab dan situasi perdagangan tidak menentu

    Seperti kebanyakkan pengeluar automotif Eropah yang lain, Volvo turut terkesan dengan permintaan yang mula menurun terhadap kenderaan elektrik dan juga situasi ketidaktentuan dalam perdagangan. Oleh itu sebagai langkah untuk mengurang kos operasi, jenama automotif Sweden itu mengumumkan langkah penstrukturan semula dengan mengurangkan 3,000 tenaga kerjanya.

    “Pelan tindakan itu bertujuan untuk mengukuhkan Volvo Cars dan membolehkan ia lebih berdaya tahan ketika industri automotif menghadapi cabaran yang besar dalam persekitaran luarannya. Pelan tindakan SEK18 bilion (kira-kira RM8 bilion) ini termasuk mewujudkan organisasi yang lebih ringkas, lebih cekap dengan asas kos struktur yang lebih rendah, yang sepadan dengan anggaran pengurangan kira-kira 3,000 jawatan, termasuk perunding dalam operasi Volvo Cars seluruh dunia,” kata syarikat itu dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Kebanyakkan jawatan yang terjejas kali ini adalah jawatan-jawatan dalam pejabat di Sweden dan ia mewakili sekitar 15% tenaga kerja Volvo yang bekerja di pejabat di seluruh dunia. Menurut Volvo, pengurangan tenaga kerja di Sweden ini akan membabitkan sekitar 1,200 pekerja di negara itu.

    Angka ini merupakan sebahagian daripada kira-kira 3,000 pemberhentian tenaga kerja yang dirancang, manakala bakinya adalah sekitar 1,000 jawatan yang kini diisi oleh perunding (kebanyakan di Sweden) serta dalam pasaran global yang lain.

    Volvo Cars menjangkakan ia akan menanggung kos penyusunan semula sekali sehingga SEK1.5 bilion (RM665 juta). Ini akan menjejaskan prestasi kewangannya untuk suku kedua 2025, dengan kesan yang akan dirasai dari suku keempat 2025 hingga 2026. Pemberhentian kerja ini dibuat selepas satu lagi pengumuman dibuat April tahun ini melibatkan pekerja Volvo Cars di fasiliti di Amerika Syarikat.

     
     
  • BMW Concept Speedtop – gabungan seni, gaya dan kuasa, akan dihasilkan sebanyak 70 unit sahaja

    BMW Concept Speedtop – gabungan seni, gaya dan kuasa, akan dihasilkan sebanyak 70 unit sahaja

    Tahun lepas, BMW menggoda kita semua dengan Concept Skytop. Tahun ini, mereka kembali ke acara penuh gaya, Concorso d’Eleganza Villa d’Este di tepi Tasik Como, Itali dengan membawakan sebuah lagi kereta konsep yang bukan sahaja menarik perhatian, tapi juga membangkitkan keghairahan. Namanya? BMW Speedtop.

    Speedtop ni bukan calang-calang jentera – ia direka sebagai sebuah shooting brake yang elegan, seolah-olah versi baru untuk Touring sporty, tapi dengan sentuhan reka bentuk yang halus dan penuh karakter.

    Kalau anda perasan gaya “shark nose” yang pernah muncul pada model BMW klasik, ia kembali di sini – dengan lampu hadapan nipis dan kidney grille yang menyala, memberi wajah garang tapi tetap bergaya. Garisan tajam dari bonet depan merentasi bumbung hingga ke spoiler belakang bukan sekadar hiasan, ia benar-benar menambah aura eksklusif. Warna badan pula sangat memukau – bertukar dari Floating Sunstone Maroon ke Floating Sundown Silver, seolah-olah senja yang berubah dari emas ke perak.

    BMW Concept Speedtop – gabungan seni, gaya dan kuasa, akan dihasilkan sebanyak 70 unit sahaja

    Bentuk lekuk tepi yang lebar menyerlahkan postur tegap Speedtop ini dan roda 14 cabang, dua tona yang direka khas untuknya menambahkan lagi sentuhan tersendiri. Menariknya, tiada pemegang pintu tradisional – minimal dan moden, rasa seperti kereta masa hadapan.

    Masuk ke dalam, DNA BMW M8 terasa – sebab memang itu asasnya. Tapi di sini, segalanya disuntik dengan tahap kemewahan yang lebih tinggi. Susun atur skrin dan kawalan nampak familiar, tetapi material yang digunakan adalah luar daripada kebiasaan. Warna coklat berkilau seperti diluar dibawa masuk ke dalam kabin, diserasikan pula dengan tona Sundown Maroon dan putih lembut Moonstone White pada tempat duduk.

    Di belakang tempat duduk, ada ruang simpanan yang dibalut kulit – siap dengan pencahayaan – untuk letak beg tangan atau barang kecil. But belakang juga dapat layanan mewah yang sama. Kkalau itu belum cukup eksklusif, BMW juga berkerjasama dengan pembuat barangan kulit tersohor dari Itali, Schedoni, untuk menghasilkan set beg khas yang direka hanya untuk Speedtop. Beli kereta ini, beg itu akan diberikan sekali.

    Speedtop ini bukan sekadar kereta pameran – BMW akan hasilkan 70 unit sahaja untuk peminat dan pengumpul yang benar-benar menghargai seni automotif. Ini adalah 20 unit lebih banyak dari Skytop, tapi tetap sangat terhad. Harga? Jangan harap murah. Dalam dunia kereta konsep, eksklusiviti memang datang dengan tanda harga yang tinggi.

    Untuk penggeraknya, BMW tidak mendedahkan banyak perkara, cuma menyatakan ia akan menggunakan enjin V8 paling berkuasa yang mereka ada. Besar kemungkinan ia adalah enjin 4.4 liter V8 biturbo S63 dengan kuasa setinggi 635 PS (617 hp) dan 750 Nm – cukup untuk beri pengalaman pemanduan yang bukan sahaja pantas, tapi penuh emosi.

     
     
  • Melaka tambah baik lampu jalan di kawasan kerap kemalangan, terutama di luar bandar – Ketua Menteri

    Melaka tambah baik lampu jalan di kawasan kerap kemalangan, terutama di luar bandar – Ketua Menteri

    Sebagai sebahagian daripada usaha mencegah tragedi jalan raya berulang, kerajaan negeri Melaka berkata pihaknya akan meningkatkan tahap lampu jalan di kawasan yang kerap berlaku kemalangan, terutamanya di luar bandar, laporan Bernama.

    Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata pihak berkuasa tempatan sedang mengenal pasti lokasi yang memerlukan lampu jalan dengan segera, dan langkah akan diambil untuk menangani isu tersebut. Beliau berkata statistik Jabatan Siasatan Trafik dan Penguatkuasaan Polis negeri mendapati 68 kemalangan maut dan 7,871 kes kemalangan jalan raya direkodkan dari Januari hingga April tahun ini.

    Walau bagaimana pun, kerajaan negeri memerlukan belanjawan yang lebih besar daripada yang sedia ada untuk menambah baik lampu jalan. Bulan lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata kerajaan negeri memerlukan kira-kira RM25 juta untuk menangani isu itu, tetapi hanya mempunyai peruntukan sekitar RM3.5 juta untuk tahun ini, dengan RM3 juta daripadanya daripada kerajaan persekutuan.

    Tambahnya, Melaka turut menerima peruntukan sebanyak RM1.7 juta di bawah Maklumat Rekod Jalan Malaysia (Marris) untuk pemasangan lampu jalan di kawasan kampung tahun ini, dengan daerah Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin menerima masinhg-masing sejumlah RM500,000, manakala RM200,000 akan disalurkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri.

    “Jumlah itu masih belum mencukupi bagi menyelesaikan masalah lampu jalan di jalan negeri, kerana ia tidak termasuk jalan kampung,” katanya.

     
     
  • Aletra L8 MPV EV mula diproduksi di Indonesia — ‘Geely Jiaji EV’ RHD akan dieksport ke Asia Pasifik

    Aletra L8 MPV EV mula diproduksi di Indonesia — ‘Geely Jiaji EV’ RHD akan dieksport ke Asia Pasifik

    Produksi bagi model Aletra L8 kini telah mula dikeluarkan oleh PT Handal Indonesia Motor di kilangnya yang terletak di Purwakarta, Jawa Barat. Syarikat itu menjelaskan ia komited untuk mencapai kandungan tempatan lebih 40% dalam beberapa tahun ke depan, selari dengan polisi yang digariskan kerajaannya.

    Menurut Autonetmagz, kerja-kerja R&D yang dilakukan oleh Aletra termasuk untuk menukar sisi pemanduan dari kira ke kanan, serta beberapa perubahan lain di bahagian dalaman dan luarannya bagi memastikan model L8 ini — yang menggunakan asas dari Livan Maple 80V L, yang sebetulnya adalah mode EV untuk Geely Jiaji — menepati selera dan keperluan pengguna Indonesia. Purwakarta menjadi satu-satunya lokasi yang mengeluarkan L8 pemanduan sebelah kanan (RHD). Ada juga rancangan untuk mengeksport EV berkenaan ke pasaran RHD lain di Asia Pasifik.

    Dilancarkan pada November 2024, L8 merupakan produk pertama daripada jenama Indonesia Aletra ini, yang dimiliki oleh PT Sinar Armada Globalindo (PT SAG). Rakan niaga syarikat ini ialah Livan Automotive, yang merupakan hasil daripada penggabungan antara Shanghai Maple milik Geely dan Lifan Technology, dan merupakan usaha sama antara Lifan Group dan Geely Qizheng (dimiliki Zhejiang Geely Holding).

    Aletra L8 MPV EV mula diproduksi di Indonesia — ‘Geely Jiaji EV’ RHD akan dieksport ke Asia Pasifik

    Antara perubahan yang dilakukan terhadap L8 untuk pasaran Indonesia ini termasuklah pendingin dengan kompresor berkembar yang dipertingkat, rekaan rim 18-inci baru dan sedikit perubahan wajah depan.

    Ada tujuh tempat duduk tersedia dengan tataletak 2-2-3, model ini mempunyai dimensi ukuran 4,812 mm panjang (-14 mm berbanding Jiaji L), 1,909 mm lebar dan 1,699 mm tinggi, dengan jarak roda 2,807 mm. Jarak kelegaan tanah ialah 160 mm, yang sama dengan Jiaji, tetapi keluasan ruang barangan 459 liter yang ada kurang berbanding Jiaji (513 liter) — mungkin disebabkan kedudukan bateri untuk versi EV. Suspensi depan dari jenis MacPherson strut dan belakang dengan jenis multi-link.

    Aletra L8 MPV EV mula diproduksi di Indonesia — ‘Geely Jiaji EV’ RHD akan dieksport ke Asia Pasifik

    Varian paling asas L8 menggunakan bateri LFP 50.4 kWh dengan jarak 431 km CLTC, sementara varian paling tinggi dengan bateri 64.74 kWh bilah pendek untuk jarak 540 km CLTC. Kedua-dua varian dilengkapi motor 163 PS/240 Nm yang sama, membolehkannya memecut 0-100 km/j dalam masa 10.7 saat untuk mencapai laju maksimum 160 km/j.

    Kelengkapan lain termasuklah bumbung panoramik, pengilap automatik, peninjau titik buta, panel instrumen LCD penuh TFT tujuh-inci, pengecas tanpa wayar 50w, lampu ambient 72-warna, kerusi depan larasan enam-arah serta skrin sentuh 12.4-inci dengan AACP tanpa wayar. Turut ada ialah empat beg udara dan kawalan kestabilan, namun ADAS tidak disebut.

    Aletra L8 dijual dengan harga Rp 468 juta (RM121,457).

     
     
  • BMW Concept RR – petunjuk superbike masa hadapan

    BMW Concept RR – petunjuk superbike masa hadapan

    BMW Motorrad memperkenalkan motosikal konsep terbaru mereka, BMW Motorrad Concept RR, yang dikatakan sebagai gambaran awal superbike generasi akan datang mereka. Motor ni diperkenalkan di acara Concorso d’Eleganza Villa d’Este dan difokuskan pada dua benda utama – kerangka ringan dan reka bentuk aerodinamik.

    Konsep RR dibina untuk kekal stabil semasa bawa laju, ambil selekoh dengan mantap dan minimumkan rintangan angin semasa kelajuan tinggi. Saiznya kompak dan rekaannya ringkas – tidak banyak aksesori luaran tapi aliran angin tetap lancar dari depan sampai belakang motor. Bahagian ekornya juga menggunakan bentuk satu blok (monolithic) dan ada sistem pengudaraan khas untuk membantu prestasi aerodinamik.

    Motosikal ini turut dilengkapi dengan sayap kecil (winglet) dan brek berprestasi tinggi, sesuai untuk kegunaan jalan raya dan juga perlumbaan profesional. BMW menggunakan pengalaman mereka dari kejayaan dalam Kejohanan Superbike Dunia (WSBK) 2024 – di mana pelumba mereka, Toprak Razgatlıoglu menjadi mendominasi.

    Concept RR ni menggunakan asas daripada BMW M1000RR (yang dijual pada harga RM289,500 di Malaysia pada 2023). Ia menggunakan enjin empat silinder sebaris penyejukan cecair – sama macam jentera yang memenangi WSBK – dan mampu hasilkan lebih 230 hp. Badan motor ni banyak guna bahan ringan seperti gentian karbon serta aluminium untuk bagi prestasi maksimum.

    Sistem elektronik juga diambil dari M1000RR – termasuk kawalan enjin, kawalan cengkaman dan kawalan brek enjin. Untuk peminat tegar dan pengumpul, ada juga jaket edisi terhad Concept RR LTD yang hanya dibuat sebanyak 50 unit. Jaket ni diperbuat daripada kulit Nappa oleh syarikat Bavarian, Meindl.

     
     
  • Pengguna di Johor boleh tuntut pampasan kerosakan kenderaan yang disebabkan oleh keadaan jalan

    Pengguna di Johor boleh tuntut pampasan kerosakan kenderaan yang disebabkan oleh keadaan jalan

    Pengguna jalan raya di Johor yang terlibat dalam kemalangan yang disebabkan oleh permukaan jalan yang rosak atau berlubang layak untuk membuat tuntutan pampasan daripada pihak berkuasa berkaitan. Perkara ini adalah menurut kerajaan negeri Johor seperti dilaporkan oleh New Straits Times.

    Tuntutan ke atas kerosakan yang berlaku bagaimanapun perlu disertakan dengan bukti jelas serta dokumentasi yang lengkap, jelas Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh.

    Ini adalah susulan daripada seorang pengguna jalan raya yang diberikan pampasan sebanyak RM721,000 oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru kerana kerugian yang terpaksa ditanggung akibat jalan yang rosak. “Sekiranya kemalangan berlaku, atau ada kenderaan yang rosak disebabkan keadaan jalan, pengguna boleh mengemukakan tuntutan ke atas syarikat konsesi yang bertanggungjawab menyelenggara laluan tersebut,” ujarnya.

    Jika berlaku sebarang kerasakan yang terpaksa ditanggung disebabkan jalan yang rosak, pengguna dinasihatkan untuk menyediakan gambar kejadian tersebut, kerosakan yang dialami oleh kenderaan, keadaan jalan yang terlibat, lokasinya serta masa kejadian, laporan polis serta apa saja resit yang berkaitan.

    “Surat rami kemudiannya boleh disertakan kepada pihak berkuasa yang terlibat, seperti majlis tempatan, Jabatan Kerja Raya, atau Lembaga Lebuhraya Malaysia,” tambah beliau.

     
     
  • Peugeot kembalikan lencana GTI – EV e208 GTi akan diperkenal di Le Mans Jun ini, lawan terus Alpine A290

    Peugeot kembalikan lencana GTI – EV e208 GTi akan diperkenal di Le Mans Jun ini, lawan terus Alpine A290

    Peugeot bakal kembali menghasilkan hot-hatch dengan lencana GTi, namun kali ini ia akan dilekat pada model elektrik penuh (EV) iaitu pada hatchback kompak Peugeot e208. Menurut laporan Autocar, Peugeot e208 GTi ini akan didedahkan ketika berlangsungnya perlumbaan Le Mans 24 Jam pada bulan Jun ini, dan ia bakal memberikan cabaran kepada model Alpine A290, iaitu hot-hatch EV yang diasaskan dari Renault 5 E-Tech.

    “Kami mahu terus memupuk reputasi jenama dalam aspek sensasi pemanduan dan hakikat bahawa kereta yang kami buat menghasilkan sensasi pemanduan tertentu, sama ada sebagai pemandu atau sebagai seseorang yang dipandu di dalam kereta itu,” kata CEO Peugeot, Alain Favey kepada Autocar sebelum ini.

    Ini merupakan pengenalan semula pertama lencana GTi oleh Peugeot selepas model 308 GTi diperkenal pada 2017. Favey menyatakan sama ada versi dengan enjin pembakaran dalam turut akan diperkenalkan atau tidak, ia bakal diputuskan bergantung kepada respon dari pelanggan kelak.

    “Kami akan bermula dengan 208 dan pastinya turut akan mendengar input, atau apa yang pelanggan kami akan katakan. Kami tidak mengecualikan bahawa mungkin terdapat versi lain 208 GTi di bawah lencana GTi, tetapi untuk hari ini tiada apa-apa yang dirancang sama sekali untuk perkara itu,” katanya.

    Peugeot kembalikan lencana GTI – EV e208 GTi akan diperkenal di Le Mans Jun ini, lawan terus Alpine A290

    Peugeot 208 generasi sedia ada mula diperkenalkan pada 2019, dan kini berada pada fasa facelift yang muncul pada 2023. Varian yang masih diisi dengan petrol menawarkan enjin 1.2 liter Puretech NA dan juga hibrid dengan pelbagai varian talaan kuasa bermula 75 PS hingga 136 PS.

    Manakala untuk versi EV iaitu e208, ia diberikan motor elektrik tunggal memacu roda hadapan berkuasa 156 PS, dan juga bateri 51 kWj untuk jarak perjalanan sejauh 400 km dalam kitaran WLTP.

    Bagi model e208 GTi kelak boleh dijangka ia akan menerima motor elektrik yang lebih berkuasa dan responsif, talaan semula pada casis untuk pengendalian lebih baik, dan sudah tentu penggayaan luaran dan dalaman yang lebih garang dari versi standard.

    Ia juga bakal menjadi 208 generasi kedua yang menerima lencana GTi. Peugeot 208 GTi generasi pertama muncul pada tahun 2012, dan kemudian diberikan facelift pada 2015. Model berkenaan dipacu oleh enjin 1.6 liter turbo berkuasa 208 PS/300 Nm yang digandingkan bersama kotak gear enam-kelajuan manual.

     
     
  • Perkhidmatan Bas Smart Selangor ditangguh kerana pengendali lewat kemuka permohonan – APAD

    Perkhidmatan Bas Smart Selangor ditangguh kerana pengendali lewat kemuka permohonan – APAD

    Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menjelaskan penangguhan sementara perkhidmatan Bas Smart Selangor di lima laluan dalam kawasan Majlis Bandaraya Subang Jaya, baru-baru ini bukan disebabkan oleh kelewatan memproses permohonan pihak pengendali iaitu Syarikat SKS Coachbuilders Sdn Bhd (SKS Coachbuilders).

    “Hasil siasatan dan semakan mendapati pihak pengendali telah lewat mengemukakan permohonan kerana ia hanya diterima pada 25 dan 26 April lalu. Sebanyak lima permohonan telah dikemukakan dan kesemuanya diproses mengikut prosedur operasi standard, kriteria dan syarat kelulusan ditetapkan serta dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pelesenan (eJKP) pada 8 Mei lalu.

    “APAD ingin menegaskan bahawa permohonan itu siap diproses dalam tempoh singkat iaitu kurang daripada 14 hari bekerja sebagaimana diperuntukkan dalam Piagam Pelanggan APAD bagi permohonan baharu permit. Namun begitu, terdapat beberapa kriteria dan syarat belum dipenuhi pemohon antaranya ketidakpatuhan bagi pemasangan sistem kedudukan sejagat (GPS) dan Surat Tawaran Kelulusan (STK) yang belum dilesenkan. Justeru, permohonan itu telah diluluskan secara bersyarat pada 8 Mei dan pemohon diberikan peluang untuk melengkapkan keperluan ditetapkan sebelum kelulusan penuh dapat diberikan,” menurut APAD menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Perkhidmatan Bas Smart Selangor ditangguh kerana pengendali lewat kemuka permohonan – APAD

    Tambah APAD, pada 15 Mei lalu, syarikat pengendali berkenaan telah mengemukakan maklum balas dengan melengkapkan semua kriteria serta syarat diperlukan serta diluluskan Mesyuarat eJKP pada 22 Mei dan boleh mencetak STK melalui Sistem iSPKP APAD bermula 23 Mei.

    “Semua pihak yang menjalankan perkhidmatan pengangkutan awam serta barangan diingatkan mematuhi kriteria dan syarat ditetapkan bagi mengelakkan kerugian kepada pengendali atau kesan negatif kepada mereka menggunakan pengangkutan awam sebagai mod pergerakan harian,” katanya lagi.

    Awal bulan ini, pihak media melaporkan aktiviti harian pengguna di sekitar Subang Jaya, Selangor terjejas akibat ketiadaan perkhidmatan bas di laluan SJ01, SJ02, SJ03, SJ04 dan SJ05 sehingga memaksa mereka menggunakan alternatif lain sekali gus meningkatkan kos perjalanan. Terdapat juga dakwaan menyatakan situasi itu berpunca daripada kelewatan APAD memproses permohonan dikemukakan pengendali terlibat dan dikatakan mengambil masa hampir dua bulan.

    Namun semalam Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) memaklumkan tiga laluan utama perkhidmatan Bas Smart Selangor di bawah seliaan MBSJ kini telah beroperasi sepenuhnya bagi kemudahan dan keselesaan komuniti bandar raya.

     
     
  • Nissan mungkin jual ibu pejabatnya di Yokohama untuk hadapi krisis kewangan yang meruncing

    Nissan mungkin jual ibu pejabatnya di Yokohama untuk hadapi krisis kewangan yang meruncing

    Nissan’s Super GT stars meet the fans at Global HQ in Yokohama at the annual motorsport announcement.

    Kita tahu Nissan kini sedang bergelut dengan krisis kewangan, dan merancang pelbagai langkah penjimatan termasuk mahu menutup 17 kilangnya di seluruh dunia, menghentikan 11,000 orang pekerja selain dari 9,000 orang yang telah dihentikan November tahun lalu. Dan terbaharu, Nikkei Asia melaporkan jenama automotif Jepun berkenaan turut mungkin akan menjual bangunan ibu pejabat utamanya yang terletak di Yokohama.

    Menurut laporan itu Nissan telah meletakkan ibu pejabatnya itu dalam senarai aset yang mungkin akan dijual menjelang akhir Mac 2026. Nissan telah bertapak di ibu pejabat tersebut pada 2009 ketika ia masih diketuai oleh Carlos Ghosn. Fasiliti yang terletak di tebing Sungai Katabira dan hanya beberapa minit dari stesen Yokohama dianggarkan kini bernilai sekitar 100 bilion yen (kira-kira RM3 bilion).

    Walau bagaimanapun ini bukan bermakna Nissan akan berpindah ibu pejabat, tetapi ia mungkin akan menyewanya dari pemilik bahari kelak, sama seperti apa yang dibuat oleh McLaren terhadap ibu pejabatnya di Woking menerusi kaedah jual-dan-sewakan semula bagi mengurangkan hutang.

    Nissan mungkin jual ibu pejabatnya di Yokohama untuk hadapi krisis kewangan yang meruncing

    Penjualan aset tersebut akan membantu Nissan untuk membuat penstrukturan semula kos yang dijangka sekitar 60 bilion yen (RM1.8 bilion) dalam tahun kewangan semasa. Awal bulan ini Nissan baru sahaja mengumumkan bahawa ia telah mencatat kerugian 670.9 bilion yen (RM20 bilion) dalam tahun kewangan berakhir Mac 2025.

    CEO baharu Nissan Ivan Espinosa dalam pelan pemulihan Re:Nissan yang diumumkan dua minggu lalu mendedahkan bahawa syarikatnya mensasarkan penjimatan sebanyak 500 bilion yen (RM15 bilion) dalam tahun fiskal terkini berbanding tahun fiskal berakhir 2024. Penjimatan ini akan mewujudkan rangka kerja bagi mendapatkan keuntungan operasi dan juga aliran tunai bebas dalam perniagaan automotif menjelang tahun fiskal 2026.

    Selain itu Nissan juga akan memendekkan masa pembangunan sesebuah model baharu kepada hanya 37 bulan (dan setiap ‘model sama keluarga’ kepada hanya 30 bulan) untuk mengurangkan lagi kos operasinya. Ini akan memastikan tiada penangguhan pelancaran produk baharu, serta selari dengan pengurangan 70% kerumitan komponen dan mengurangkan jumlah platform dari 13 kepada hanya 7 pada tahun kewangan 2035.

     
     
  • JPJ eBid: Siri JYC dan QAB_M bakal dibuka bidaan

    Jika anda sedang mencari nombor pendaftaran bagi kenderaan, ini ada siri terkini dari Johor dan Sarawak yang bakal dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Johor, JYC akan dibuka bidaan mulai 2 Jun 2025. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 6 Jun. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 7 Jun 2025. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Sarawak, QAB_M, akan dibuka bidaan bermula 3 Jun 2025. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 7 Jun, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 8 Jun 2025.

    Disebabkan sekarang ini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran kenderaan yang diingini.

     
     
  • Rasionalisasi subsidi RON95 tetap dilaksanakan separuh kedua tahun ini seperti dirancang – MoF

    Rasionalisasi subsidi RON95 tetap dilaksanakan separuh kedua tahun ini seperti dirancang – MoF

    Menteri Kewangan II (MoF), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata kerajaan akan tetap melaksanakan rasionalisasi subsidi RON95 seperti yang dirancang pada separuh kedua tahun ini, laporan Berita Harian.

    Katanya, buat masa ini perbincangan berkaitan rasionalisasi subsidi masih berjalan di peringkat Jemaah Menteri bagi meneliti mekanisme terbaik untuk pelaksanaan menyeluruh dan adil kepada rakyat.

    “Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Kabinet telah berbincang, di mana kita akan meningkatkan tahap kelayakan penerimaan subsidi. Yang kedua ialah mekanisme yang akan digunakan, seperti yang diumumkan Perdana Menteri, kita akan menggunakan kad pengenalan dan setiap rakyat Malaysia memilikinya.

    “Kita sudahpun menggunakan kad pengenalan dalam Skim SARA (Sumbangan Asas Rahmah) dan ia berkesan. Jadi, buat masa sekarang Kementerian Kewangan sedang mengetatkan lagi sistem di mana kita boleh menggunakannya untuk perlaksanaan subsidi RON95,” katanya.

    Pada minggu lalu, Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli telah mengesahkan kementeriannya telah menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 kepada Kementerian Kewangan (MoF).

    Rasionalisasi subsidi RON95 tetap dilaksanakan separuh kedua tahun ini seperti dirancang – MoF

    Minggu lalu, Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, berkata kementeriannya telah menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 kepada MoF, sekali gus memberi petunjuk jelas bahawa pelaksanaannya semakin hampir direalisasikan.

    “Keputusan berhubung subsidi bersasar RON95 telah diserahkan sepenuhnya kepada Kementerian Kewangan. Itu adalah keputusan Jemaah Menteri. Pihak Kementerian Ekonomi telah membentangkan perkara ini dalam mesyuarat Jemaah Menteri sebanyak empat kali.

    “Kini, kami menunggu tindakan selanjutnya daripada Kementerian Kewangan yang akan mengurus keseluruhan proses subsidi RON95 selepas ini. Kita tunggu pengumuman rasmi daripada mereka,” katanya.

    Penyerahan tanggungjawab itu mencerminkan pendekatan berpusat di bawah Kementerian Kewangan dalam usaha menyusun semula sistem subsidi negara sebagai sebahagian daripada agenda pembaharuan fiskal yang lebih menyeluruh.

     
     
  • Naza buka bilik pameran flagship pertama Suzuki di PJ

    Naza buka bilik pameran flagship pertama Suzuki di PJ

    NAZA Automotive Group (NAZA Auto) melalui anak syarikatnya Naza Eastern Motors kini membuka bilik pameran flagship Suzuki yang pertama di Petaling Jaya.

    Terletak di Naza Auto Mall, bilik pameran dengan keluasan 5,000 kaki persegi itu bertujuan untuk menghadirkan sebuah pengalaman pelanggan yang menyeluruh bagi jenama Suzuki, serta mencerminkan tumpuan utama oleh Naza Auto terhadap pelanggan serta perkembangan perniagaannya. Bilik pameran tersebut akan menggunakan identiti korporat serta rekaan terbaru Suzuki.

    Ia antara lain menampilkan kaunter servis di dalam bilik pameran itu sendiri, ruang menunggu bercirikan gaya hidup dengan sudut untuk kanak-kanak serta bilik perbincangan berasingan — ini membawakan pengalaman yang tersendiri kepada pelanggan.

    Naza buka bilik pameran flagship pertama Suzuki di PJ

    “Bilik pameran flagship ini adalah sebuah pernyataan tegas Naza Auto terhadap perubahan yang melibatkan visi yang lebih luas bagi kumpulan autmotif ini untuk memberikan layanan yang lebih baik terhadap pelanggannya di Malaysia,” jelas Pengerusi Kumpulan Automotif Naza, Dato’ Jasmy Ismail.

    Sebagai sebahagian daripada strategi penjajaran semula syarikat, Naza Auto sedang memperkemaskan portfolio perniagaannya bagi memberi tumpuan kepada jenama automotif yang lebih berdaya saing, serta menggugurkan jenama bukan teras dari segmen berasaskan gaya hidup bagi tujuan jangka panjangnya.

    Bilik pameran baru di Petaling Jaya ini akan menjadi ruang pameran utama bagi semua model akan datang Suzuki di Malaysia, serta akan menjadi hab utama bagi pengalaman pelanggan terhadap jenama Suzuki di sini.

     
     
  • Projek Sambungan Lebuhraya NPE dilulus kerajaan – 15 km, Pantai Dalam-Jln Istana, dijangka siap 2029

    Projek Sambungan Lebuhraya NPE dilulus kerajaan – 15 km, Pantai Dalam-Jln Istana, dijangka siap 2029

    Projek Sambungan Lebuhraya Pantai Baharu (NPE) telah pun diluluskan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) dan ia akan dikendalikan oleh IJM Corp, termasuk untuk penstrukturan semula tol bagi Lebuhraya NPE sedia ada. Untuk Sambungan NPE ini, ia melibatkan jarak sejauh 15 km iaitu dari plaza tol Pantai Dalam hingga persimpangan Jalan Istana menerusi Jalan Syed Putra.

    Melibatkan kos sebanyak RM1.4 bilion, projek Sambungan NPE ini bakal mempunyai plaza tol baharu, akan dibiayai sepenuhnya oleh syarikat konsesi tanpa sebarang pembiayaan kerajaan. Kerja pembinaan dijangka dimulakan pada suku ketiga (Q3) tahun ini, dan lebuhraya itu disasarkan beroperasi menjelang 2029.

    Sambungan NPE ini akan dihubungkan terus dengan NPE, Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) dan juga Laluan Istana-Kiara Expressway (LIKE) yang merupakan lebuhraya baharu. IJM berkata bahawa rangkaian bersepadu ini dijangka mampu menyuraikan kira-kira 40% trafik sedia ada dari Jalan Bangsar ke pusat bandar, meningkatkan kesalinghubungan, meningkatkan mobiliti di koridor utama Lembah Klang.

    Projek Sambungan Lebuhraya NPE dilulus kerajaan – 15 km, Pantai Dalam-Jln Istana, dijangka siap 2029

    Tambahnya, projek Sambungan NPE juga sejajar dengan Pelan Induk Trafik Kuala Lumpur 2040, yang mengutamakan sambungan lebuhraya ke lebuhraya yang menghalang lalu lintas daripada teras bandar.

    “Kelulusan ini menandakan peristiwa penting dalam usaha kami untuk meningkatkan mobiliti bandar di Lembah Klang. Sambungan NPE direka bukan sahaja untuk menyuraikan trafik dengan lebih cekap, tetapi juga untuk mengurangkan masa perjalanan dan menyokong perjalanan harian orang ramai dan perniagaan dengan mengurangkan tekanan di laluan utama bandar dan melengkapi sistem pengangkutan awam,” kata Datuk Lee Chun Fai, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan MD IJM.

    Syarikat itu turut berkata selain mengurangkan kesesakan, projek ini dijangka menjana manfaat limpahan ekonomi sebanyak kira-kira RM5.6 bilion, sekaligus merangsang pertumbuhan bagi pembangunan berhampiran seperti Pantai Sentral Park dan Bangsar South.

    Bagi menyokong perjalanan ulang-alik yang bersedia untuk masa depan, Sambungan NPE akan dilengkapi dengan ciri-ciri infrastruktur pintar seperti sistem tol Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) Malaysia, pemantauan CCTV masa nyata yang bersepadu, lampu jalan pintar dan kawasan hentian rehat baharu dengan stesen pengecasan pantas bagi kenderaan elektrik.