Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • GALERI: Honda Jazz Edisi X – terhad hanya 300 unit, DRL, tempat duduk separa kulit, tray but, RM82,500

    Honda Jazz X 05

    Setelah pengumuman Honda Jazz X diperkenalkan semalam, kami bergegas ke bilik pameran Honda yang dikhabarkan sudah pun mempamerkan model edisi khas tersebut untuk mendapatkan gambaran sebenar.

    Seperti yang dilaporkan sebelum ini Honda Jazz X (X bermaksud ‘eXclusivity’) hanya ditawarkan sebanyak 300 unit dalam pasaran, dan diperkenalkan bersama model City X yang juga dibina dalam jumlah terhad kepada 450 unit dalam pasaran.

    Jazz X diasaskan dari varian pertengahan Jazz sedia ada iaitu varian gred E dengan tambahan pelbagai aksesori eksklusif X antaranya lampu nyalaan siang (DRL), penggunaan pembalut tempat duduk separa kulit dengan logo X serta dilengkapi tray dengan logo sama pada bahagian but belakangnya.

    Honda Jazz X 02

    Ciri-ciri lain yang dilengkapi pada Jazz E masih ditampilkan pada model istimewa X ini antaranya Ultra Seats yang membolehkan tempat duduknya dilipat dalam empat mod berbeza, roda aloi berdimeter 15-inci dengan tayar 175/65R15, Vehicle Stability Assist (VSA), Hill Start Assist (HSA) dan Emergency Stop Signal (ESS).

    Begitu juga dengan unit janakuasa, Jazz X masih bernafas dengan enjin 1.5L SOHC i-VTEC berkuasa 120 PS pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 145 Nm pada takat 4,600 rpm yang digandingkan dengan sistem transmisi CVT.

    Dua warna ditawarkan untuk edisi terhad ini iaitu Modern Steel Metallic dan Carnival Red. Honda Jazz X dijual pada harga atas jalan termasuk insurans RM82,500 dan Honda Malaysia menyatakan tempoh menunggu bagi tempahan model edisi terhad ini ialah sebulan. Setiap pembelian model ini juga hadir dengan pakej jaminan lima tahun tanpa had perbatuan, serta enam servis percuma (kos buruh sahaja) yang diselang-seli bersama servis berbayar sehingga 100,000 km.

     
     
  • GALERI: Honda City Edisi X – terhad 450 unit, DRL, tempat duduk separa kulit, logo X, harga RM86,100

    Honda City X 02

    Semalam Honda Malaysia telah memperkenalkan versi edisi terhad iaitu Honda City X, selain turut dilancarkan bersama Jazz X. Ia hanya ditawarkan dengan jumlah produksi yang terhad sahaja iaitu sebanyak 450 unit.

    ‘X’ yang membawa maksud ‘eXclusivity’ ini, turut menampilkan beberapa ciri yang dipertingkatkan bagi City X. Pada bahagian luarannya, ia kini dipadankan dengan lampu nyalaan siang (DRL) serta logo X di bahagian belakang iaitu bersebelahan dengan perkataan ‘City’.

    Manakala bagi kabinnya pula, kini ia ditampilkan tempat duduk bersama balutan separa kulit dengan logo X serta dilengkapi tray dengan logo sama pada bahagian but belakangnya untuk memudahkan meletak barangan dengan kemas. Malahan ia turut menawarkan ruang but seluas 536 liter.

    Bagi menjadikan ia memang istimewa, ia ditawarkan dengan dua warna sahaja iaitu Modern Steel Metallic dan Dark Ruby Red Pearl.

    Seperti model City yang standard, City X ini turut dilengkapi enjin 1.5L SOHC i-VTEC yang digandingkan dengan sistem transmisi CVT, menggunakan pendekatan dan teknologi Honda Earth Dreams untuk pecutan yang lebih lancar dan cekap penggunaan bahan apinya.

    Selebihnya, edisi terhad ini masih mengekalkan semua elemen yang sama dengan versi biasa, termasuklah bagi aspek keselamatannya, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Bantuan Mula Mendaki (HSA) dan Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS).

    City X ini dijual pada harga atas jalan RM86,100 (termasuk insurans). Ia turut ditawarkan dengan pakej jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan, tempoh servis dilanjutkan kepada 10,000 km serta enam servis buruh percuma yang diselang-seli bersama servis berbayar sehingga 100,000 km.

     
     
  • Liow bimbang kemalangan bas kerap berlaku di Karak

    Bus_accident_Karak

    Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tion Lai telah menyuarakan rasa kebimbangannya dengan peningkatan kemalangan yang melibatkan bas di sepanjang Lebuhraya Karak.

    Katanya, biar pun pelbagai kaedah telah dilaksanakan namun sehingga kini ia masih belum dapat mengurangkan kadar kemalangan khususnya yang melibatkan bas di lebuhraya terbabit, laporan The Sun.

    “Selepas kejadian kemalangan bas di tempat berkenaan yang terjadi sebelum ini, pihak berkuasa telah menerima lebih 50 kertas kerja bagi mencari kaedah menangani masalah ini. Walau bagaimana pun, telah banyak kaedah yang telah diimplementasikan, namun masih gagal untuk mengurangkan kadar kemalangan berikut,” ujarnya kepada pihak media semalam.

    Tambahnya lagi, pihak kementerian perlu membuat kajian yang lebih khusus bagi mencari kaedah yang lebih baik supaya kemalangan di kawasan berkenaan dapat dibendung.

    Ia adalah bagi mengulas kejadian kemalangan di terowong selepas Genting Sempah pada petang 31 Ogos lalu. Kemalangan yang melibatkan sebuah bas persiaran yang terbabas, lalu merempuh pembahagi jalan dan terbalik di laluan bertentangan itu turut menyebabkan seramai 14 penumpang mengalami kecederaan.

     
     
  • Perodua Bezza turut menyertai perarakan sempena meraikan Hari Kebangsaan ke-59 di Dataran Merdeka

    Perodua turut meraikan Hari Kebangsaan yang ke-59 secara penuh bersemangat termasuk menyertai perarakan di Dataran Merdeka pada 31 Ogos lalu. Ia melibatkan model terbaharu mereka iaitu Perodua Bezza sebanyak dua unit. Pastinya Bezza menjadi kebanggaan Perodua kerana ia merupakan model ciptaan sepenuhnya pengeluar kenderaan kedua nasional ini.

    Malah sehari sebelum sambutan Hari Kebangsaan tersebut, Perodua terlebih dahulu meraikannya bersama lebih kurang 300 kakitangannya di ibu pejabat Perodua di Sungai Choh, Rawang. Presiden dan CEO Perodua, Datuk Dr. Aminar Rashid Salleh turut melaungkan ucapan keramat Merdeka sebanyak tiga kali yang turut disambut oleh para kakitangannya. Selain itu, perarakan ringkas yang melibatkan sebanyak 22 unit kenderaan yang terdiri daripada 11 model Perodua turut dilangsungkan.

     
     
  • Honda X-ADV “City Adventure” akan diproduksi?

    Honda-City-Adventure-X-ADV-4-e1456712234844_BM

    Skuter konsep “City Adventure” atau Honda X-ADV yang membuat kemunculan sulung di EICMA Milan, Itali tahun lalu berkemugkinan besar akan diproduksi sebagai model keluaran 2017. “Skuter super” X-ADV ini bakal dikuaskan dengan enjin yang diambil dari Honda NC750X.

    Enjin berkenaan, iaitu enjin 745cc bentangan dua silinder selari menghasilkan kuasa 54 hp dan tork maksima 68 Nm akan dipadankan dengan kotak gear klac berkembar DCT Honda.

    Digelar sebagai “CR-V dalam dunia skuter” X-ADV menampilkan tempat duduk yang agak tinggi, memberikan sudut pandangan terbaik untuk penunggang, walaupun pada mulanya idea pembinaan skuter ini kedengaran agak janggal.

    Honda-City-Adventure-X-ADV-5-e1456712199976_BM

    Pembinaan X-ADV bukanlah sekadar meninggikan sebuah skuter Honda Integra. Ia dibina dengan unsur-unsur dari model lagenda Honda Africa Twin, dipadankan dengan sepit udang lebih tinggi serta roda jejari lidi dibaluti tayar untuk kegunaan pelbagai permukaan.

    Selari dengan itu, X-ADV turut dipadanakan dengan cermin pelindung hadapan lebih tinggi, pelindung tangan pada tuil di bahagian hendal dan juga paip ekzos yang mengikut bentuk badan skuter ini. Rekaan pada lengan ayun bahagian belakang juga direka semula agar ketinggiannya setara dengan bahagian hadapan, berbeza dari lengan ayun Integra yang hanya tegak kebelakang.

    Kami menjangkakan X-ADV akan muncul sekali lagi pada acara EICMA tahun ini dalam versi yang lebih hampir kepada model produksi. Apa pendapat anda dengan skuter pelbagai guna ini? Adakah rekaan ‘pelik’ dari Honda ini akan mendapat tempat dalam pasaran?


     
     
  • Honda Grace Style Edition dilancarkan hanya di Jepun

    Honda-Grace-Style-Edition-1-e1472789877762

    Honda City atau pun lebih dikenali sebagai Honda Grace di pasaran domestik Jepun, kini telah diperkenalkan dengan model edisi istimewa, “Style Edition”. Terdapat beberapa ciri yang dipertingkatkan, ia ditawarkan dengan dua trim iaitu Hybrid LX atau Hybrid EX.

    Bagi bahagian luarannya, gril hadapan, pemegang pintu dan bingkai lesen belakang ditampilkan dengan kekemasan krom gelap yang memberikan penampilan lebih bergaya. Sementara, bagi kabinnya pula, ia menampilkan fabrik upholsteri hitam (dengan jahitan kontras biru) dan roda stereng balutan kulit. Senarai elemennya kini termasuk unit electronic toll collection (ETC).

    Penjana kuasa hibrid diteruskan sebagai sumber utama, dengan menampilkan enjin petrol 1.5 liter DOHC i-VTEC Atkinson cycle (110 PS/134 Nm) yang dipadankan bersama transmisi DCT tujuh-kelajuan. Pengelektrikannya didatangkan dari motor enjin (29.5 PS/160 Nm) dan pembeli boleh memilih sama ada konfigurasi pemanduan dua- atau empat-roda.

    Mengenai harganya, Honda Grace Style Edition ditawarkan dari 2,098,400 yen (RM83,004) sehingga 2,424,400 yen (RM95,840), termasuk cukai penggunaan. Pembeli juga boleh memilih dua warna eksklusif sama ada hitam atau biru gelap, dengan tambahan putih mutiara dan merah metalik.

     
     
  • Hot Wheels hasilkan replika Fugu Z – Datsun Fairlady S30 240Z milik bintang Fast & Furious, Sung Kang

    Pengumpul ‘kereta kecil’ Hot Wheels perlu bersedia, laman instagram rasmi Hot Wheels telah mendedahkan siri model die-cast skala 1:64 terbaharu mereka – Fugu Z, iaitu Datsun Fairlady S30 240Z milik bintang Fast and Furious, Sung Kang.

    Model berkenaan diberikan perincian yang agak teliti oleh pihak Hot Wheels dalam mereplikakan Datsun Fairlady 240Z milik Sung Kang tersebut. Ia hadir dengan warna badan putih dan dilengkapi fender flare(kemasan untuk melebarkan ruang roda) Rocket Bunny pada keempat-empat sudut, spoiler but belakang, cermin sisi ‘tanduk’ (fender mirror) asli 240Z JDM, bampar hadapan berwarna hitam serta bampar belakang yang ditanggalkan.

    Fugu Z direstorasi oleh Sung Kang dengan bantuan Greddy USA, OS Giken dan banyak lagi nama besar dalam dunia modifikasi automotif di Amerika Syarikat. Enjin L24 enam silinder 2.4 liter asal Datsun Fairlady 240 Z ini telah digantikan dengan enjin RB26 dari Nissan Skyline R32 GT-R tetapi tanpa bantuan pengecas turbo bagi mengekalkan karekter asal kereta sport klasik tersebut. Enjin berkenaan dipadankan dengan kotak gear lima-kelajuan dari enjin RB25 dan turut dilengkapi dengan pelbagai perlalatan transmisi berprestasi tinggi dari OS Giken seperti sistem klac dan juga unit gandar LSD.

    Pada bahagian luaran, Fugu Z dilengkapi dengan kit badan Rocket Bunny, roda aloi Rays Engineering TE37V (V untuk Vintage) serta perincian JDM lain seperti cermin sisi fender berbentuk bulat.

     
     
  • Jln Sultan Ismail beroperasi sedia kala mulai 4 Sept ini

    mrt-construction-works

    MMC-Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd (MGKT) telah mengeluarkan kenyataan berhubung dengan Jalan Sultan Ismail yang diubah daripada jajaran asalnya akan beroperasi seperti sedia kala mulai 4 September ini.

    Jajaran asalnya diubah bagi memudahkan kerja-kerja pembinaan projek bawah tanah Mass Rapid Transit (MRT) Bukit Bintang.

    Walau bagaimana pun, kerja menaik taraf seperti pembinaan sekatan jalan raya, perparitan, landskap akan dilaksanakan sehingga 31 Disember ini,laporan Bernama.

    Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya mematuhi papan tanda arahan semasa proses penyusunan semula berkenaan dan Pasukan Tindakan Kecemasan MRT akan dikerahkan untuk melancarkan lalu lintas.

     
     
  • GrabCar kini ditawarkan di Melaka dan Kota Kinabalu

    grab-expands

    Grab mengumumkan perkhidmatan bagi GrabCar telah diperluaskan ke dua lagi bandar di negara ini. Melaka dan Kota Kinabalu menjadi lokasi terkini yang menawarkan perkhidmatan ini, selepas Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

    “Grab telah pun berada di beberapa bandar ini sejak perkhidmatan MyTeksi diperkenalkan, dan kehadiran GrabCar adalah sebagai satu lagi pilihan bagi pengangkutan awam, selain perkhidmatan teksi biasa. Ia tertumpu pada lokasi pelancongan di mana masalah pengangkutan, trafik dan parkir sering menjadi isu,” ujar Jaygan Fu, ketua bagi Grab Malaysia.

    Dengan Lokasi yang disenaraikan, termasuk Melaka dan Kota Kinabalu, ia turut menawarkan perkhidmatan 24/7 buat para pelanggan, termasuk butang kecemasan PDRM dan perkongsian lokasi dengan rakan-rakan serta keluarga bagi mengenalpasti di mana penumpang sedang berada.

    GrabCar beroperasi secara kadar bayaran tetap, membolehkan penumpang melihat terlebih dahulu kadar bayaran sebelum menggunakan perkhidmatan ini. Malah pembayaran boleh dibuat secara tunai atau pun kad kredit/debit.

     
     
  • Brosur Mitsubishi Triton VGT 2016 didedahkan – MIVEC Turbodiesel 2.4 liter, berkuasa 181 PS/430 Nm

    IMG_20160901_1342006_BM

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) kini sudah mula mengedarkan brosur Mitsubishi Triton VGT 2016 versi dipertingkat. Kami menerima imej brosur berkenaan dari pembaca Raja Rizal, yang diperolehinya ketika roadshow Mitsubishi di Pulau Pinang. Menerusi brosur ini, dapat dipastikan berberapa perincian yang telah diberikan pada trak pikap yang dikemaskini tersebut.

    Triton 2016 menerima enjin baharu 2.4 liter MIVEC Turbodiesel yang memenuhi spesifikasi Euro-5, menggantikan enjin 2.5 liter turbodiesel sedia ada. Enjin “Clean Diesel” baharu ini sudahpun dipadankan pada Triton pasaran Thailand tahun lalu dan tidak menjana versi pasaran Malaysia kerana kualiti diesel tempatan hanya berada pada tahap Euro 2M ketika itu.

    IMG_20160901_1342091_BM

    Memandangkan diesel Euro 5 yang kini sudah mula dijual secara meluas, ini merupakan masa sesuai Triton dipadankan dengan enjin MIVEC Turbodiesel tersebut. Walaupun dengan kapasiti kurang 100cc enjin baharu ini menghasilkan kuasa 3 ps dan tork 30 Nm lebih tinggi, dengan jumlah kuasa keseluruhan 181 ps/430 Nm. Kecekapan penggunaan bahan api enjin ini juga jauh lebih baik. Transmisi lima-kelajuan automatik dan lima-kelajuan automatik dari model sebelum ini mungkin dipadankan pada enjin baharu ini.

    Kemaskini lain yang dibuat adalah lampu hadapan bi-xenon kini dilengkapi pada model VGT varian pertengahan sama seperti varian tertinggi Adventure, menggantikan lampu reflektor halogen. Varian Adventure juga kini menerima warna baharu Impulse Blue dan roda aloi berdiameter 18-inci kemasan dua-ton, seperti yang gambar spyshot yang kami siarkan tempoh hari serta Triton Plus Special Edition di Bangkok Motor Show Mac lalu.

    Triton-Blue-Spy-2

    Imej spyshot Triton 2.4 liter MIVEC Turbodiesel

    Walau bagaimanapun, masih belum jelas adakah perincian lain yang dilengkapi pada Triton versi tingkat taraf di Thailand akan turut dipadankan pada versi pasaran Malaysia kali ini. Ciri-ciri berkenaan termasuk stereng teleskopik yang boleh dilaras untuk semua model, soket 12V pada bahagian belakang serta roda stereng empat jejari yang diambil dari Pajero Sport untuk varian lebih tinggi GLS LTD.

    Triton pasaran Thailand varian spesifikasi tertinggi Double Cab 4×4 LTD 5AT juga dilengkapi dengan sistem pacuan empat-roda Easy Select 4WD yang disadur terus dari sistem Super Select 4WD II Pajero Sport bersama tujuh-beg udara, Kawalan Tarikan serta Kawalan Stabiliti Aktif.

    GALERI: Mitsubishi Triton versi dipertingkat di Bangkok Motor Show 2016

     
     
  • Diskaun tambang 50% bagi pengguna LRT, monorel mulai 16 Sept ini – melibatkan pembayaran tanpa tunai

    LRT-rail-pix-Bernama_PT_BM

    Prasarana mengesahkan pemberian diskaun tambang sebanyak 50% bagi pengguna sistem Transit Aliran Ringan (LRT) dan monorel bermula 16 September ini. Ia akan dilaksanakan bagi perjalanan antara 6 hingga 7 pagi bagi penumpang yang membuat pembayaran tanpa tunai.

    Menurut CEO Kumpulan Prasarana, Datuk Azmi Abdul Aziz, senada dengan yang diumumkan oleh Perdana Menteri sewaktu melancarkan projek LRT3 pada 24 Ogos lalu, diskaun berkenaan bertujuan mengurangkan kesesakan di stesen LRT dan Monorel pada waktu puncak, laporan Bernama.

    “Pemberian diskaun ini boleh dinikmati oleh pengguna kad Touch ‘n Go, MyRapid, MyRapid Smart 7, MyRapid Smart 30, dan pemegang kad konsesi (pelajar, warga emas, orang kelainan upaya). Ia bertujuan menggalakkan pengguna menukar corak perjalanan mereka dari waktu puncak pagi iaitu antara 7 hingga 9 pagi kepada seawal 6 hingga 7 pagi untuk mengelakkan kesesakan di beberapa stesen,” katanya kepada pihak media.

    Beliau berkata kira-kira 10,000 pengguna dijangka mendapat manfaat melalui diskaun tersebut, dan diharap dapat mengubah corak perjalanan mereka selaras dengan konsep ‘win-win situation’.

    “Diskaun ini meliputi laluan LRT Kelana Jaya, LRT Sri Petaling, LRT Ampang, Monorel Kuala Lumpur dan Bus Rapid Transit (BRT) Laluan Sunway,” katanya.

    Azmi berkata 66% daripada pengguna LRT dan monorel sekarang menggunakan kaedah pembayaran tanpa tunai.

     
     
  • Range Rover Evoque STARTECH kini tiba di Malaysia

    Startech-4

    Naza-Brabus, pengedar rasmi kenderaan yang ditala oleh Brabus di Malaysia, hari ini memperkenalkan kit aksesori tambahan STARTECH untuk pasaran tempatan bagi Range Rover Evoque. Kit lengkap yang ditampilkan pada model ini bernilai RM56,592.

    Bernaung di bawah kumpulan Brabus, edisi berkenaan, kit STARTECH REFINEMENT ini antara lain menampilkan rim 21 inci kustom dengan kit ketinggian yang kini membolehkannya direndahkan sebanyak 35 mm dan sistem ekzos sport.

    Bagi rim, ia adalah unit 3 piece rekaan Monostar R dengan saiz 9Jx21 yang ringan dan teguh sekali gus. Saiz tayar yang melengkapinya ialah 265/40 R21. Sebagai pilihan, rim Monostar one piece dalam saiz 9Jx20 dan 9Jx22 turut ditawarkan.

    Range Rover Evoque STARTECH turut menampilkan rupa baharu bagi wajah depan dan bahagian belakangnya; bahagian bampar diganti sepenuhnya dan tidak lagi menggunakan bampar asal. Liang masukan udara bahagian depan kini memberikan profil yang lebih dinamik.

    Bahagian belakang, diffuser dan corong ekzos merupakan penambahan baharu. Penggunaan spoiler/wing belakang menjadikan imejnya lebih agresif dan sporty.

    Pilihan kemasan ruang dalaman yang lebih premium. Antara ciri khusus pada ruang kabin ialah penggunaan stereng dengan bentuk ergonomik, serta pedal, perehat kaki dan shifter diperbuat daripada aluminium.

    Turut diusahakan kini ialah talaan enjinnya. Kit prestasi STARTECH bagi enjin 2.0 liter SI4 yang menjana sebanyak 240 hp kini sudah memasuki peringkat terakhir pembangunannya.

    Pilihan bagi rekaan kustom pada kabin juga ditawarkan. Warna bagi kemasan kulit termasuk dari jenis Alcantara boleh diberi sentuhan penggayaan yang berbeza. Trim dari kayu dan gentian karbon juga boleh dipilih untuk melengkapi penampilan dalam kabin.

     
     
  • Ferrari bina LaFerrari ke-500 – bakal dilelong, khas untuk dana bantuan mangsa gempa bumi di Itali

     LaFerrari-8

    Sebelum ini, Ferrari mengumumkan mereka hanya akan memproduksi sejumlah 499 unit LaFerrari. Namun, khas untuk membantu mangsa gempa bumi yang melanda bahagian tengah Itali pada 24 Ogos lalu, pembuat supercar dari Maranello berkenaan bersetuju untuk membina sebuah lagi LaFerrari.

    LaFerrari yang ke-500 berkenaan akan dijual dalam satu acara lelongan, dan hasilnya akan disalurkan terus kepada mangsa gempa bumi, yang didakwa meragut lebih 200 nyawa dan berpuluh-puluh lagi mengalami kecederaan. Walau bagaimanapun, Ferrari masih belum mendedahkan bila unit tambahan LaFerrari ini akan disiapkan.

    Produksi LaFerrari secara rasminya telah ditamatkan pada 2015. Model yang menggantikan Enzo ini dijana dengan unit janakuasa hibrid berkuasa 950 hp/900 Nm, menggabungkan enjin NA 6.3 liter V12 dan sistem HY-KERS Ferrari.

    Seperti model-model edisi istimewa Ferrari sebelum ini, LaFerrari ke-500 ini pastinya menjadi rebutan dan dilelong dengan harga yang tinggi, seterusnya dapat membantu untuk mengurangkan beban mangsa-mangsa yang terlibat dengan bencana gempa bumi berkenaan.

    GALERI: LaFerrari di Ferrari World Abu Dhabi

     
     
  • GALERI: Chevrolet Colorado facelift diprebiu di Naza World Automall Petaling Jaya sebelum pelancarannya

    Chevy_ColoradoFL-2

    Ketika berlangsungnya Karnival Jualan Auto Merdeka di Naza Automall PJ, Chevrolet telah mempamerkan trak pikap Chevrolet Colorado generasi kedua versi facelift untuk di prebiu, menandakan ia akan dilancarkan untuk pasaran Malaysia tidak lama lagi.

    Trak pikap ini pertama kali diprebiu untuk rantau ASEAN pada pada bulan Mac dan diperkenalkan secara rasmi untuk pasaran global di Brazil April lalu.

    Versi facelift ini menampilkan muka hadapan yang direka semula dengan pemadanan lampu hadapan yang lebih nipis seiras dengan unit khas Colorado Xtreme yang dibina oleh GM Australia untuk diprebiu pada Bangkok Motor Show 2016 Mac lalu.

    Chevy_ColoradoFL-21

    Unit yang dipamerkan ini tidak mendedahkan bahagian dalamannya dimana pihak Naza Quest telah pun memadankan filem penapis haba yang sangat gelap. Berdasarkan model yang telah dilancarkan di Brazil, Colorado menerima papan pemuka rekaan baharu dan juga kemasan pada tempat duduk yang menurut Chevrolet, ia telah diperhalusi dan materialnya lebih lembut ketika dipegang.

    Menurut spesifikasi yang ditunjukkan pada cermin hadapan, model pasaran Malaysia ini menampilkan skrin sesentuh sistem infotainmen bersaiz lapan-inci dan turut dilengkapi dengan sistem MyLink terkini, termasuk sistem Apple CarPlay dan Android Auto. Paparan instrumen turut ditukar dengan rekaan baharu. Ciri-ciri lain yang turut dipadankan termasuk sistem penghawa dingin automatik, lampu nyalaan siang LED, kamera undur, penderia parkir hadapan dan belakang serta penghidup enjin kawalan jauh.

    Untuk keselamatan, Colorado dilengkapi dengan Kawalan Tarikan, ESC, dan juga dua beg udara hadapan serta beg udara lutut pemandu. Trak pikap ini turut dilengkapi (sekurang-kurangnya pada varian tertinggi) dengan Amaran Keluar Lorong, Amaran Pelanggaran Hadapan serta Sistem Pemantau Tekanan Angin Tayar.

    Chevy_ColoradoFL-10

    Model facelift ini dijana oleh enjin Turbodiesel 2.5 liter empat silinder Duramax yang dipertingkat bagi menghasilkan kuasa yang lebih bagus, kecekapan bahan api yang lebih ekonomi serta tahap emisi yang lebih rendah. Enjin yang dipadankan dengan pengecas turbo Geometri Bervariasi (VGT) dan memenuhi spesifikasi Euro 4 berkenaan mampu menghasilkan kuasa 177 hp pada takat 3,600 rpm dan tork maksima 440 Nm pada takat 2,000 rpm, berbanding enjin sebelum ini yang hanya menghasilkan 161 hp/380 Nm.

    Enjin Duramax 2.8 liter pada model pre-facelift masih dikekalkan tetapi varian yang bakal ditawarkan pada pasaran Malaysia untuk versi facelift ini masih lagi samar. Buat masa sekarang, Colorado pre-facelift ditawarkan dengan enjin 2.5 liter (161 hp/380 Nm) dan enjin 2.8 liter dengan dua pilihan kuasa tork iaitu 193 hp/440 Nm serta 193 hp/500 Nm. Model 2.5 liter dan 2.8 liter 440 Nm dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan, manakala enjin 2.8 liter 500 Nm diberikan kotak gear enam-kelajuan automatik.

     
     
  • Toyota GT86 talaan Street FX dan GT Auto Garage dijana enjin Nissan GT-R 4.1 liter, 2 Turbo, 1,000 hp!

    toyota-gt86-by-street-fx-e1472694563247-_BM

    Setelah mengubahsuai enjin boxer asal FA20 2.0 liter dengan memadankan pengecas turbo pada tahap tekanan boost paling tinggi yang boleh ditampung enjin berkenaan, menghasilkan kuasa maksimum 545 hp, Street FX dan GT Auto Garage dari Australia masih tidak berpuas hati lagi dengan Toyota GT86 talaan mereka ini.

    Jalan penyelesaiannya? Mereka memadankan enjin VR38DETT V6 3.8 liter dengan dua pengecas turbo yang diambil daripada GT-R ke dalam perut GT86 berkenaan. Tidak cukup dengan itu, enjin tersebut turut diubahsuai dengan pemadanan kit stroker dari HKS yang meningkatkan kapasiti asal 3.8 liter kepada 4.1 liter. Pengecas turbo asal juga digantikan dengan dengan sepasang kit turbin Symmetrical GT1000 juga dari HKS. Hasilnya, enjin V6 berkenaan kini bernafas lebih buas dengan kuasa 1,000 hp!

    Enjin tersebut mampu diletakkan lebih enam inci ke bawah dari kedudukan sepatutnya setelah sistem pelinciran Dry-Sump dipadankan (takung minyak pelincir dialihkan ke bahagian atas menerusi sistem ini). Ini membolehkan titik graviti jentera ini direndahkan lagi sekaligus memberikan kestabilan yang baik.

    Kotak gear asal GT86 semestinya tidak mampu menampung kuasa yang dihasilkan dari enjin baharu ini. Street FX tidak mengambil sekali kotak gear klac berkembar dari GT-R, sebaliknya menggunakan kotak gear enam-kelajuan sequential yang dibekalkan oleh pembekal kotak gear yang sama menghasilkan sistem transmisi siri perlumbaan V8 Supercars Australia iaitu Albins. Pedal penukar gear pneumatik yang dikawal oleh kotak komputer Motec turut dipadankan untuk memudahkan penukaran gear dilakukan dengan pantas pada kelajuan tinggi.

    Kereta ini ditala bukan sahaja untuk kegunaan litar, malah turut akan digunakan di atas jalan raya biasa. Oleh itu, ia masih dilengkapi sistem penghawa dingin, sistem audio dan juga kamera undur.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024