Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • VIDEO: Teaser Volvo V90 Cross Country disiarkan

    Setelah mengumumkan Volvo V90 Cross Country 2017 akan diperkenalkan pada pertengahan September ini iaitu minggu hadapan, syarikat pengeluar automotif dari Sweden berkenaan turut menyiarkan video teaser model “untuk semua permukaan paling berkebolehan dan selesa pernah ditawarkan” yang akan dibina berdasarkan wagon Volvo V90, dan akan melengkapkan barisan model Siri 90 Volvo.

    Menerusi video berkenaan, Volvo telah memaparkan kronologi generasi Cross Country bermula dari model generasi pertama V70 Cross Country, generasi kedua yang ditukar namanya kepada XC70, sehingga generasi ketiga yang digemari di Amerika. Secara keseluruhan, separuh dari jumlah XC70 generasi sebelum ini yang telah diproduksi terjual di pasaran Amerika Syarikat. Teaser untuk generasi terbaharu Cross Country muncul pada penghujung video ini.

    “Cross Country telah mejadi cerminan sebenar kereta buatan Volvo pada pandangan ramai orang. Ia merupakan konsep yang berjaya sejak dari mula, sempurna untuk suhu yang sukar dan keadaan jalan raya yang kami tempuhi di Sweden,” kata Hakan Samuelsson, presiden dan CEO Volvo Car Group.

    Generasi pertama V70 Cross Country muncul dalam pasaran pada tahun 1996, menggabungkan fungsi pada wagon bersama dengan kebolehan yang lasak. Setelah 20 tahun, Cross Country kini menerjah masuk ke pasaran kenderaan premium, menawarkan pengalaman pemanduan yang berkebolehan serta selesa.

    Menurut Volvo, model Cross Country sentiasa direka untuk memenuhi keperluan lanskap yang ekstrem di kawasan Scandinavia, dan model ini boleh beraksi pada setiap permukaan jalan – dari jalan berlumpur dan salji tebal sehingga kepada perjalanan jarak jauh di lebuhraya. Volvo turut menambah, model ini agak popular dikalangan pemilik kuda dan bot kerana kelegaan tanahnya yang tinggi, serta kuasa yang mencukupi dan ciri pacuan semua roda.

    “Kami sangat berhati-hati sejak dari mula lagi untuk memastikan konsep Cross Country ini bukan hanya sekadar gaya yang lasak. Kami meletakkan keperluan yang tinggi pada kebolehan dunia sebenar, dan dalam pembangunan model ini kami menambah elemen keselesaan dan kemudahan yang dijangkakan oleh pemandu Volvo,” kata Peter Mertens, timbalan presiden senior pembangunan dan penyelidikan di Volvo Car Group.

     
     
  • VIDEO: Rekod Dunia Guinness baharu untuk monowheel terpantas dunia dicatat oleh Kevin Scott

    Motosikal monowheel adalah satu kenderaan yang unik; ia hanya mempunyai satu gelung yang bertindak sebagai tayar penggerak dan juga adalah rangka motosikal itu sendiri.

    Bagi kenderaan jenis itu, rekod dunia Guinness terpantas yang pernah dicatat adalah 92km/j oleh Kerry McClean pada tahun 2001. Walaubagaimanapun, ia telah dipecahkan oleh Kevin Scott dengan catatan 98.464km/j dan beliau kini adalah pemegang rekod dunia Guinness bagi monowheel terpantas.

    Kenderaan yang digunakan oleh Scott mempunyai diameter 59 inci, dikuasakan oleh enjin 200cc bersama transmisi khas dan mempunyai suspensi udara.

    Aksi Scott boleh dilihat dalam video di atas.

     
     
  • PLUS tawar rebat tol 20% bagi Lebuhraya Utara-Selatan, Linkedua dan BKE sempena Aidiladha dan Hari Malaysia ini – untuk pembayaran elektronik sahaja

    toll plaza plus

    Sempena dengan Hari Raya Aidiladha yang jatuh pada 12 September ini dan Hari Malaysia pada 16 September 2016, PLUS Malaysia Berhad mengumumkan pemberian rebat tol sebanyak 20% di Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) dan Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE).

    Ia ditawarkan untuk pengguna lebuhraya berkenaan yang membayar tol secara elektronik sahaja iaitu menerusi kad PLUSMiles, kad Touch ‘n Go dan SmartTAG.

    Menurut Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PLUS Malaysia Berhad, Dato’ Noorizah Hj Abd Hamid, “Pengguna Kenderaan Kelas 1 (kenderaan ringan dengan 2 gandar dan 3 atau 4 roda kecuali teksi) yang membayar tol menggunakan sistem elektronik berpeluang menikmati rebat tol sebanyak 20% pada 12 September (Isnin) dan 16 September (Jumaat) akan datang bersempena dengan Hari Raya Aidiladha dan Hari Malaysia.”

    Menurut Noorizah, untuk perjalanan pada 12 September dan 16 September ini, pengguna sistem elektronik masih perlu membuat bayaran tol seperti biasa, tetapi rebat tol 20% tersebut akan dimasukkan ke dalam kad Touch ‘n Go atau kad PLUSMiles masing-masing (dalam bentuk tambah nilai) di antara 15 Oktober 2016 sehingga 14 Januari 2017 akan datang di semua pusat khidmat pelanggan di lebuh raya PLUS.

    PLUS HIGHWAY

    Pemberian rebat tol oleh PLUS ini merupakan salah satu daripada langkah PLUS meraikan sambutan Hari Raya Aidiladha dan Hari Malaysia yang akan datang. Selain itu, ia adalah di antara strategi PLUS menggalakkan orang ramai beralih kepada sistem pembayaran secara elektronik yang lebih mudah dan lebih pantas dan bagi mengagihkan trafik.

    “Rebat tol ini boleh dinikmati sepanjang hari dan tidak terhad pada tempoh masa tertentu sahaja,” jelas Noorizah.

    Walau bagaimanapun, rebat tersebut tidak diberikan untuk pengguna yang membayar tol di Plaza Tol Tanjung Kupang, Bukit Kayu Hitam, Bangunan Sultan Iskandar dan Jambatan Pulau Pinang.

    PLUS turut menjangkakan jumlah trafik di Lebuhraya Utara-Selatan akan meningkat sebanyak 15% kepada 1.6 juta kenderaan setiap hari di antara 9 September hingga 19 September 2016 bersempena perayaan tersebut berbanding 1.4 juta kenderaan sehari pada hari-hari biasa.

    Malah PLUS juga telah mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi mengelakkan kenderaan ke destinasi berlainan bertembung dalam satu masa dan menyebabkan kesesakan. Sila bijak merancang perjalanan anda agar tidak terperangkap di dalam kesesakan trafik di lebuhraya berkenaan.

     
     
  • Honda Malaysia umum promosi Hari Malaysia – rebat tunai sehingga RM6k, kadar faedah serendah 2.24%

    honda-harmony-promo-1_bm

    Jika anda terlepas promosi Honda Malaysia (HM) sempena Hari Kemerdekaan bulan lalu, jangan risau kerana HM menyambung tawaran istimewa mereka dengan promosi Celebrate Harmony sepanjang bulan ini (1-30 Sept), bersempena sambutan hari Malaysia.

    Tawaran yang diberikan adalah sama dengan promosi sebelum ini, dengan promosi diberikan pada lima model terpilih. Tawaran berkenaan termasuk kadar faedah pembiayaan serendah 2.24% atau rebat tunai sehingga RM6,000, termasuk bonus istimewa My Malaysia.

    Civic generasi baharu tidak tersenarai dalam promosi bulan lalu, sama juga dengan promosi bulan ini. Accord yang ditawarkan pada promosi bulan lalu juga tidak tersenarai dalam promosi terbaharu ini kerana Accord versi facelift baru sahaja dilancarkan dua hari lalu.

    Bermula dengan Honda Jazz, bagi semua varian 1.5L – S, E dan V boleh dimiliki dengan kadar faedah serendah 2.24% atau dengan rebat tunai RM4,000. Sebagai tambahan, My Malaysia Bonus sejumlah RM2,000 turut ditawarkan, serta Eco Tint Ray Barrier 4 bernilai RM1,500 sebagai pilihan.

    Bagi Honda City, kadar faedah yang ditawarkan ialah 2.41% atau rebat tunai sebanyak RM3,000. Promosi ini sah untuk semua varian yang dijual, serta My Malaysia Bonus sehingga RM2,000 turut disediakan.

    Bonus istimewa bagi Honda HR-V pula ditawarkan sehingga RM3,000, dengan kadar faedah serendah 2.78% atau pilihan rebat tunai RM1,000. Ia turut ditawarkan bagi semua varian; HR-V 1.8 – S, E dan V.

    Ini diikuti dengan SUV lebih besar, Honda CR-V. Semua varian – 2.0L 2WD, 2.0L 4WD dan 2.4L 4WD kini boleh dimiliki dengan kadar faedah serendah 2.62% atau rebat tunai sehingga RM3,000, juga jumlah yang sama bagi My Malaysia Bonus yang untuk model ini.

    Yang terakhir; Odyssey pula ditawarkan dengan kadar faedah 2.75% atau rebat tunai RM2,000. Pembeli juga akan menikmati My Malaysia Bonus berjumlah RM1,000, beserta hadiah eksklusif Thermocafe Tumbler oleh Thermos.

     
     
  • Honda memperluaskan panggilan balik berkenaan beg udara Takata – lagi 668,816 unit kenderaan terlibat

    Honda airbag

    Honda telah memperluaskan lagi panggilan balik bagi menangani krisis beg udara buatan Takata. Kali ini, ia melibatkan sejumlah 668,816 unit kenderaan di Jepun, bagi penggantian beg udara bahagian penumpang yang mengalami masalah inflator.

    Model yang terlibat ialah Fit and Fit Hybrid (Jazz) buatan tahun 2010-2011, Fit Shuttle (2011), Freed dan Freed Spike (2010-2011), Insight (2010-2011), Civic, Civic Type dan Civic Hybrid (2009-2010), CR-V (2010-2011), Inspire (Accord) (2009-2011), Accord Euro dan Accord Tourer (2011), Legend (2009-2010) dan kenderaan sel hidrogen FCX Clarity (2009-2010).

    Menurut Automotive News, panggilan terkini di seluruh dunia telah melibatkan sejumlah 51 juta, dengan hampir 100 juta unit dipercayai terlibat dengan skandal beg udara Takata ini, mencatatkan panggilan balik terbesar dalam industri automotif. Malah ia turut melibatkan sekurang-kurangnya 14 kes kematian (termasuk tiga kes dari Malaysia) dan 150 kecederaan di seluruh dunia.

    Panggilan balik ini juga adalah susulan arahan dari Menteri Pengangkutan Jepun pada Mei lalu, di mana ia melibatkan lagi tujuh juta kenderaan menjelang 2019. Ia dilakukan secara berperingkat, termasuk panggilan semula yang dibuat oleh penguatkuasa pengangkutan Amerika Syarikat.

    Skandal beg udara buatan Takata ini berpunca dari masalah inflator di dalamnya. Di mana sekiranya kemalangan berlaku, hasil hentakan yang kuat boleh mengakibatkan besi di dalam inflator beg udara tersebut terkeluar, sekali gus mampu mengundang kematian.

    Honda yang merupakan pelanggan terbesar Takata, telah mengambil inisiatif bagi menggantikan semula unit beg udara yang terlibat dan menghentikan sepenuhnya penggunaan beg udara buatan Takata.

     
     
  • ANIH keluarkan jadual cadangan waktu perjalanan bagi Lebuhraya Karak, LPT1 sempena Aidiladha ini

    Karak-highway-01-850x490

    Hujung minggu ini, pastinya ramai yang ingin pulang ke kampung halaman masing-masing atau pun mahu ke destinasi pilihan memandangkan ia melibatkan cuti yang agak panjang sempena Hari Raya Aidiladha pada Isnin ini. Serentak pula dengan cuti persekolahan selama seminggu dan juga Jumaat depan, 16 September, kita akan menyambut Hari Malaysia.

    Seperti kebiasaan, lebuhraya pastinya dipenuhi dengan jutaan kenderaan yang bergerak ke serata destinasi. Justeru, bagi melancarkan perjalanan anda, sila rancang sebaik mungkin waktu bagi pergerakan kenderaan anda di lebuhraya yang terlibat.

    Bagi kelancaran trafik di Lebuhraya Kuala Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1), ANIH Berhad, pemegang konsesi bagi kedua-dua lebuhraya terbabit telah mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk membantu pengguna menikmati perjalanan yang selesa di KLK dan LPT 1 pada waktu puncak di musim cuti perayaan ini.

    Jadual TTA untuk perayaan Aidiladha kali ini menyarankan pengguna dari Lembah Klang yang menuju ke Pahang pada 10 dan 11 September untuk memasuki KLK dan LPT 1 pada jam 12 tengah hari hingga 3 petang atau antara 7 malam hingga 11 malam. Pengguna yang ingin menuju ke Terengganu dan Kelantan pula dinasihatkan memasuki lebuh raya antara jam 6 pagi hingga 11 pagi atau jam 5 petang hingga 8 malam.

    tta_raya-haji-2-002

    Klik untuk besarkan imej

    Bagi pengguna dari Pahang yang ingin kembali semula ke ibu kota pada 17 dan 18 September ini, mereka dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya pada jam 6 pagi hingga 10 pagi atau 7 malam hingga 11 malam.

    Pengguna dari Terengganu pula disarankan untuk memasuki lebuh raya pada jam 8 pagi hingga 11 pagi atau 8 malam hingga 10 malam, sementara pengguna dari Kelantan boleh menggunakan lebuh raya bermula jam 5 petang hingga 9 malam atau 9 malam hingga 12 tengah malam.

    Jadual TTA yang diperkenalkan ANIH Berhad sejak 2009, terdiri daripada cadangan perjalanan berperingkat mengikut masa dan destinasi tertentu dari Lembah Klang ke negeri-negeri dan bandar-bandar utama di negeri pantai timur Semenanjung Malaysia. Ia dirangka berdasarkan kepada analisis pergerakan trafik pada waktu puncak setiap kali musim perayaan pada tahun sebelumnya.

    Pengenalan TTA bertujuan untuk menyuraikan pergerakkan trafik dan mengurangkan kesesakan di laluan-laluan utama lebuh raya, plaza-plaza tol dan kawasan rehat pada waktu-waktu puncak.

     
     
  • Nissan Serena generasi kelima dipanggil balik kerana kerosakan dan risiko kebakaran pada sistem start/stop

    2016-nissan-serena-bm

    Dilancarkan di Jepun hanya dua bulan yang lalu, Nissan Serena baharu sudah terpaksa dipanggil balik kerana masalah pada sistem start/stop enjinnya. Secara keseluruhan, 9,481 unit Nissan Serena generasi kelima ini terkesan oleh panggilan balik tersebut.

    Masalahnya berpunca daripada litar elektrikal starter-generator – akibat rintangan yang tidak mencukupi, arus yang tinggi menyebabkan pemulaan semula enjin boleh mengakibatkan kerosakan bahagian dalaman, seterusnya litar pintas.

    Ini juga menyebabkan fungsi start/stop tidak berfungsi dengan betul dan paling teruk, generator boleh terbakar. Nissan menyarankan pengguna menutup ciri start/stop sehingga kerja penukaran dilakukan.

    Menurut Reuters, satu kejadian telah dilaporkan, dengan sedikit kebakaran kecil. Nissan juga dilaporkan sudah memberhentikan penghantaran minggu lalu akibat daripada panggilan balik ini.

    Walaupun jumlah penghantaran adalah tinggi, sebenarnya hanya 600 unit sahaja yang sudah tiba pada pelanggan. Selebihnya sama ada masih dalam proses penghantaran atau di pusat pameran sekitar Jepun. Nissan menjangka meneruskan kembali penghantaran pada minggu hadapan.

     
     
  • VIDEO: BMW 5 Series G30 diperlihat lebih awal daripada penampilan pertama di Paris Oktober nanti

    Pengenalan model baharu BMW 5 Series akan dilakukan semasa Pameran Permotoran Paris bulan hadapan, walaubagaimanapun video usikan awalnya sudah pun dikeluarkan. Model ini dianggap penting kerana akan bersaing terus dengan Mercedes-Benz E-Class W213 yang masih lagi baharu di pasaran.

    Tidak banyak sebenarnya yang dipaparkan berkenaan rekaan kereta dalam video selama 59 minit ini, dan paling jelas adalah lampu belakangnya sahaja. Ia mempunyai light guide berbentuk L berlapis, hampir seperti model 3-Series F30 Facelift.

    Melihat kepada laporan pemanduan awal 5 Series baharu ini oleh Autocar, ia akan menggunakan platform Cluster Architecture (CLAR) yang pertama kali digunakan pada model 7 Series baharu.

    Tidak seperti model yang lebih besar itu, G30 tidak akan menampilkan binaan Carbon Core, tetapi penggunaan aluminium diluaskan (serta ciri pengurangan berat lain), menjadikan beratnya berjaya dikurangkan sehingga 100kg, walaupun saiz bertambah besar.

    bmw-5-series-g30-bm

    Kuasa akan datang daripada enjin turbo empat, enam dan lapan silinder, termasuk 2.0 liter B47 diesel dan B48 petrol empat silinder, 3.0 liter B57 diesel dan B58 petrol enam silinder sebaris, dan 4.4 liter twin-turbo V8. Turut dijangka nanti adalah F90 M5 yang menggunakan enjin 4.4 liter V8 dipertingkat dan mampu mengeluarkan sehingga 626 hp.

    Turut akan ditawarkan adalah model plug-in hybrid yang menggunakan penjana kuasa sama seperti 330e, 740e dan X5 xDrive40e. Enjin empat silinder 2.0 liter digabungkan bersama motor elektrik dan bateri lithium-ion yang digunakan terletak di bawah lantai ruang simpanan belakang.

    Suspensi double wishbone pada bahagian hadapan juga diperbaiki, dengan penggunaan lebih komponen aluminium untuk mengurangkan beratnya, sementara suspensi belakang dengan lima sambungan juga direka kembali bersama geometri baharu, komponen aluminium lebih ringan dan keras serta tapak sambungan baharu. Turut akan ditawarkan sebagai pilihan tambahan adalah suspensi sport, penyerap dinamik, stereng empat roda dan pacuan empat roda xDrive.

    SPYSHOT: BMW 5 Series G30 M Sport

     
     
  • Lexus UX Concept – prebiu pertama yang disebarkan sebelum dipertontonkan di Paris Motor Show 2016

    lexus-ux-concept

    Lexus telah menyebarkan imej teaser pertama bagi model akan datang Lexus UX Concept, yang bakal diprebiu dalam slot SUV bersaiz kecil di bawah Lexus NX, kemungkinan berasaskan platform Toyota C-HR.

    Syarikat ini berkata, UX Concept direka oleh Pusat Rekaan Eropah milik Toyota, ED2. Menurut siaran akhbar yang diedarkan, ia mengadaptasikan rekaan terkini Lexus untuk peringkat akan datang dan menampilkan identiti yang lebih berdinamik, progresif dan sesuai dengan gaya hidup urban masa kini.

    Pertama kali mendengar nama UX ini pada Februari 2016, apabila Lexus dikhabarkan telah mendaftarkan nama UX 200, UX 250 dan UX 250h di Australia. Pada masa itu, kami menduga ia melibatkan sesuatu yang lebih kecil memandangkan saiz enjin turut disebut pada nama yang didaftarkan.

    Jika NX bersaing dengan beberapa model seperti Mercedes-Benz GLC dan BMW X3, UX pula dijangka bakal menyaingi pesaing seangkatannya termasuk GLA dan X1.

     
     
  • MV Agusta semakin pulih daripada masalah kewangan

    mv-agusta-motorcycle-9-e1473321202972-850x583BM

    MV Agusta yang sebelum ini menghadapi masalah kewangan kini dikatakan semakin pulih, menurut laporan yang ditulis oleh Motorcycle News.

    Dari laporan itu juga, Ketua Pegawai Eksekutif MV Agusta, Giovanni Gastiglioni menyatakan kilang MV Agusta sudah kembali beroperasi mengeluarkan model semasa serta akan datang mereka.

    Proses pemuilhan syarikat ini berjaya dilakukan oleh MV Agusta dengan memotong kos perbelanjaan dan mengecilkan syarikat untuk bertumpu kepada model yang lebih penting seperti Brutale.

    Selain itu, MV Agusta juga berjaya mendapatkan pelabur baharu dalam syarikat dan kini berjaya menghasilkan semula aliran tunai.

    Tambah Castioglioni, MV Agusta tetap akan mengeluarkan motosikal kelas tinggi dan tidak melihat kepada kemungkinan pengeluaran motosikal kelas lebih rendah seperti 400cc.

     
     
  • Lebuhraya CSR libatkan kos pembinaan RM6.6b

    latar-highway

    Dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-13 di Wisma Seri Pahang yang berlangsung semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar Pahang Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak telah menjelaskan projek pembinaan Lebuhraya Central Spine Road (CSR) melibatkan dua laluan antara Kota Bharu dan Kuala Krai, Kelantan, serta Kuala Krai ke Simpang Pelangai, Bentong dianggar menelan kos RM6.6 bilion.

    Katanya lagi, kos berkenaan lebih tinggi daripada anggaran awal berikutan langkah kerajaan menaik taraf projek daripada laluan dua lorong kepada empat lorong, laporan Bernama.

    Dalam menjawab soalan Chow Yu Hui (DAP-Bilut) yang mahukan penjelasan tentang anggaran kos keseluruhan pembinaan projek CSR, beliau turut berkata, pada peringkat awalnya, projek CRS yang dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan negeri dan Pusat ini hanya melibatkan pembinaan laluan dua lorong. Namun atas keprihatinan Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob, kerajaan negeri membuat keputusan melaksanakan lebuh raya empat lorong.

    “Buat masa ini, pelaksanaan projek Pakej 5 di Bentong melibatkan Raub Bypass dan Bentong Bypass, kemajuan kerja terkini adalah 19.9%,” ujarnya.

    Beliau turut memaklumkan, laluan Kota Bahru dan Kuala Krai melibatkan pembinaan jalan sepanjang 70.4 kilometer, manakala untuk laluan Kuala Krai ke Simpang Pelangai adalah sejauh 390 kilometer.

     
     
  • PLUS umum cadangan jadual perjalanan sempena Aidiladha; 1.6 juta kenderaan bakal banjiri lebuhraya

    tta-hari-raya-aidiladha-malaysia-day-school-holiday-16-01

    Bermula hujung minggu ini, PLUS menjangkakan 1.6 juta kenderaan akan menggunakan laluan Lebuhraya Utara Selatan pada waktu-waktu puncak di antara tempoh dari 9 September hingga 19 September nanti. Ini disebabkan oleh perayaan Hari Raya Aidiladha, Hari Malaysia serta musim cuti sekolah.

    Peningkatan berkenaan adalah 15% lebih tinggi daripada jumlah pengguna pada hari-hari biasa. Untuk berdepan dengan perkara itu, PLUS mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi mengelakkan kenderaan ke destinasi berlainan bertembung dalam satu masa dan menyebabkan kesesakan.

    Secara amnya, jadual berkenaan mengagihkan waktu mula perjalanan dan membahagikannya kepada beberapa zon kawasan. Sebagai contoh, pengguna dari Lembah Klang yang menuju ke Johor disarankan supaya memasuki Lebuhraya Utara-Selatan lebih awal iaitu di antara jam 6 pagi hingga 3 petang. Manakala, orang ramai yang menuju ke Negeri Sembilan dan Melaka dinasihatkan memasuki lebuh raya selepas jam 3 petang.

    social-media-size-tta-hari-raya-aidiladha-malaysia-day-school-holiday-16-01

    Pengarah Urusan PLUS, Datuk Noorizah Hj Abd Hamid berkata; “TTA memainkan peranan yang penting dalam membantu mengagihkan trafik di lebuh raya. Pengalaman dari musim-musim waktu puncak sebelum ini membuktikan jika lebih ramai yang mengikuti cadangan ini, keadaan trafik lebih terkawal.”

    Hal yang sama juga dicadangkan bagi pengguna-pengguna yang ingin pulang ke Utara. Maklumat lanjut pergerakan jadual perjalanan seperti yang dicadangkan oleh PLUS adalah seperti yang tertera pada grafik yang disertakan.

     
     
  • Volvo V90 Cross Country bakal membuat kemunculan sulung pada pertengahan bulan September ini

    Volvo V90 Location Front 7/8

    Volvo mengumumkan bahawa pengganti untuk model XC70 iaitu V90 Cross Country akan diperkenalkan buat pertama kali untuk peringkat global tengah bulan ini. “Cross Country telah mejadi cerminan sebenar kereta buatan Volvo pada pandangan ramai orang. Ia merupakan konsep yang berjaya sejak dari mula, sempurna untuk suhu yang sukar dan keadaan jalan raya yang kami tempuhi di Sweden,” kata Hakan Samuelsson, presiden dan CEO Volvo Car Group.

    V90 Cross Country ini akan mengembangkan lagi barisan model Siri 90 Volvo, yang kini terdiri dari sedan S90, V90 wagon (gambar diatas) serta SUV XC90. Ia akan menggunakan platform Scalable Product Architecture (SPA) Volvo, dan akan ditawarkan dengan enjin petrol serta diesel.

    Varian dengan unit janakuasa hibrid T8 Twin Engine mungkin juga turut akan ditawarkan, yang kini ditawarkan pada semua model Siri 90. Model Cross Country sentiasa direka untuk memenuhi keperluan lanskap yang ekstrem di kawasan Scandinavia, menampilkan ketinggian asal yang ditambah, dan juga tambahan panel penutup disekeliling badan untuk tujuan perlindungan.

    “Kami sangat berhati-hati sejak dari mula lagi untuk memastikan konsep Cross Country ini bukan hanya sekadar gaya yang lasak. Kami meletakkan keperluan yang tinggi pada kebolehan dunia sebenar, dan dalam pembangunan model ini kami menambah elemen keselesaan dan kemudahan yang dijangkakan oleh pemandu Volvo,” kata Peter Mertens, timbalan presiden senior pembangunan dan penyelidikan di Volvo Car Group.

    Seperti juga Cross Country sebelum ini, V90 Cross Country dijangka hanya hadir dengan versi pacuan semua roda sahaja. Lebih perincian berkenaan model ini akan didedahkan pada sesi pengenalan rasminya nanti. V70 Cross Country sebelum ini diubah namanya menjadi XC70 bagi menyelaraskan nama model setelah XC90 generasi pertama diperkenalkan.

    GALLERI: Volvo XC70

     
     
  • Perkhidmatan ETS KL – Butterworth – KL akan ditambah sempena Aidiladha dan cuti sekolah

    ktm-ets-e1437532629460

    Empat lagi perkhidmatan keretapi elektrik (ETS) untuk laluan Kuala Lumpur-Butterworth-Kuala Lumpur akan ditambah oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mulai esok hingga Ahad ini dan 16 hingga 18 Sept ini, menurut laporan Bernama.

    Perkhidmatan tambahan ini bagi menampung jangkaan warga kota pulang ke kampung sempena perayaan Aidiladha pada Isnin, sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept serta cuti sekolah bermula Sabtu ini hingga 18 Sept ini.

    Empat perkhidmatan ETS sedia ada yang kini hanya beroperasi pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad, akan beroperaasi setiap hari mulai esok hingga 18 Sept ini, jelas KTMB dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

    Menurut kenyataan berkenaan lagi, sepanjang tempoh berkenaan, sebanyak 40 perkhidmatan ETS akan beroperasi setiap Isnin hingga Khamis dan 44 perkhidmatan akan beroperasi pada Jumaat, Sabtu dan Ahad. Tiket perjalanan boleh dibeli mulai semalam dan KTMB menggalakan orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan tren bagi mengelak kesesakan lalu lintas di samping menjimatkan masa dan belanja.

     
     
  • Daihatsu Move Canbus – Kei-Car comel untuk wanita

    daihatsu-move-canbus-1-e1473321364728_bm

    Selain dari bentuknya yang kecil dan comel serta penggunaan bahan api dan pemilikannya yang menjimatkan, ada satu lagi daya penarik pada kei-car buatan Jepun, di mana sebahagian daripadanya diberikan ‘perwatakan’ khusus. Contohnya Daihatsu Mira L200 Felix the Cat dan Mira L500 Hello Kitty. Begitu juga dengan Toyota Passo generasi terbaharu – ia diberikan dua watak berbeza iaitu model standard X, dan juga Moda yang lebih funky.

    Terbaharu, Daihatsu memperkenalkan model Move Canbus yang berbentuk seperti van tetapi dalam saiz yang comel, dengan perwatakan lebih feminin, disasarkan untuk pembeli wanita.

    Canbus hadir dengan dimensi 3,395 mm panjang, 1475 mm lebar dan 1,655 mm tinggi, dengan jarak roda 2,115 mm. Jadi ia masih lagi diklasifikasikan sebagai K-Car dimana dimensi untuk kelas tersebut ditetapkan tidak melebihi 3,400 mm panjang, 1,480 mm lebar dan 2,000 mm tinggi.

    Undang-undang K-Car juga menetapkan kapasiti enjin yang dibenarkan adalah tidak melebihi 660 cc dan kuasa tidak melebihi 64 PS. Jadi, Canbus dikuasakan dengan enjin tiga silinder 658 cc menjana 52 PS pada takat 6,800 rpm dan tork maksima 60 Nm pada takat 5,200 rpm.

    Enjin berkenaan digandingkan bersama kotak gear CVT dengan opsyen sama ada pacuan roda hadapan atau pacuan empat roda. Untuk model pacuan hadapan, penggunaan bahan api dicatatkan pada 28.6 km untuk setiap liter mengikut kitaran JC08 Jepun. Manakala untuk model pacuan empat roda pula, penggunaan bahan api dicatatkan pada 27.4 km untuk setiap liter.

    Sesuai dengan wataknya, Canbus diberikan muka hadapan yang lebih comel berbanding Move standard atau Move Custom yang lebih agresif. Ia direka dengan konsep yang agak retro menampilkan gril dan lampu hadapan yang lebih bulat pada sudut-sudutnya. Tiang-D turut direka semula dan diwarnakan dengan warna hitam bagi memberikan penampilan seperti van sebenar.

    Bahagian belakang juga turut diberi penampilan baharu dengan lampu belakang berbentuk kiub serta pintu belakang ditukar dari pintu bukaan biasa pada Move standard kepada pintu jenis gelangsar. Menambah ciri femininnya, pembeli turut disediakan dengan pilihan warna yang luas bermula dari warna satu ton hingga pilihan kombinasi dua ton, begitu juga dengan roda aloi pelbagai corak bersaiz 14-inci yang boleh dipilih.

    daihatsu-move-canbus-3-e1473321734994_bm

    Bahagian dalaman Canbus diberikan pelbagai ciri storan yang praktikal seperti tray dibawah tempat duduk belakang yang boleh ditarik/ditolak untuk meletakkan barangan agar ia tidak jatuh. Ia juga dilengkapi dengan skrin sesentuh untuk sistem infotainmen pada varian tertentu, penghawa dingin automatik, tempat duduk pelbagai kofigurasi serta sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin.

    Untuk keselamatan, Canbus dilengkapi dengan sistem brek automatik (standard untuk semua varian), lampu hadapan LED adaptif, VSC, Kawalan Tarikan dan minimum dua beg udara (varian lebih tinggi menerima lebih banyak beg udara).

    Seperti biasa, peminat Kei-Car tempatan hanya mampu melihat dan bertenang kerana model istimewa sebegini sudah tentunya hanya untuk pasaran JDM sahaja. Daihatsu Move Canbus dijual pada harga bermula 1,188,000 yen (RM47,225) hingga 1,668,600 yen (RM66,330).

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.30
DIESEL
EURO 5 B10 RM3.35 (+1.20)
EURO 5 B7 RM3.55 (+1.20)
Last Updated Jun 06, 2024